Showing posts with label Bulan Syaaban 2012. Show all posts
Showing posts with label Bulan Syaaban 2012. Show all posts

Thursday, July 5, 2012

Kedatangan Syaaban Menandakan Hampirnya Kita Dengan Ramadan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dibulan Syaaban ini Rasulullah SAW menggalakkan umatnya perbanyakkan amalan-amalan sunat sebagai persiapan menyambut kehadiran Ramadan al-Mubarak. Digalakkan puasa sunat, sedekah, iktikaf di masjid, solat malam dam membaca al-Quran.

Rasulullah SAW berdoa yang bermaksud : "Ya Allah berkati kami (apa yang kami buat) dalam Rejab dan Syaaban dan sampaikan kami Ramadan."

Ramadan adalah bulan terbaik dalam setahun. Didalamnya kita berpuasa, solat sunat terawih, iktikaf di masjid, membaca al-Quran, sedekah, menjamu untuk berbuka puasa dan mengintai Lailatul Qadar. Setiap saat dalam Ramadan mengandungi jutaan keampunan dan rahmat.

Sesiapa yang terlepas dari memanfaatkan bulan Ramadan dianggap celaka. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Celakalah orang yang mendengar namaku disebut tidak berselawat, celakalah mereka yang mendapati kedua ibu bapanya telah tua tetapi tidak berbakti kepada mereka, dan celaka bagi sesiapa yang bertemu dengan Ramadan tetapi tidak mendapat apa-apa daripadanya."

Tidak mungkin setibanya Ramadan kita mampu terus membuat banyak ibadat. Baki beberapa hari lagi ini perlulah kita melatih diri untuk perbanyakkan amalan-amalan sunat, ringan-ringankan tangan bersedekah, membiasakan diri untuk terus solat lima waktu berjemaah, menghadirkan diri setiap majlis-majlis ilmu di masjid atau disurau. Cuba mengurangkan aktiviti-aktivit yang kurang bermanfaat dan di isi dengan program-program yang meningkatkan ilmu dan iman kita kepad Allah SWT.

Puasa menjinakkan nafsu atau kehendak dalaman diri kita. Nafsu yang liar menjadi tunggangan syaitan. Jadilah diri itu tempat longgokan kejahatan dan kebutaan. Ia liat dari mentaati Allah, ego terhadap manusia, suka berihat-rihat daripada membuat kebajikan, buta akhirat dan tamakkan dunia.

Semasa Allah hendak mencipta Adam a.s., dicipta-Nya komposisi manusia iaitu akal dan nafsu. Akal dipanggil menghadap, Akal tampil dengan hormat. Dipanggil pula nafsu. Sombong, degil dan tidak menghadap. Dihumban nafsu kedalam neraka selama 100 tahun. Dipanggil menghadap lagi. Engkar juga. Dihumbankan lagi ke neraka selam 100 tahun. Dipanggil menghadap, masih engkar. Selepas seksaan 100 tahun ketiga baru ia sudi menghadap Allah.

Betapa degil dan liarnya nafsu. Menurut Imam Ibnu Qayyim al-Jauzi, puasa dapat menyelesaikan penyakit lebih makan dan minum, solat malam dapat mengubati penyakit lebih tidur dan iktikaf di masjid dapat mengubati penyakit lebih bergaul yang tidak berfaedah.

Sahabat yang dimuliakan,
Kita sekarang ini berada dipertengahan bulan Syaaban. Hanya tinggal beberapa hari lagi insya Allah jika dipanjangkan umur kita akan bertemu dengan Ramadan 1433 Hijrah. Sebagai peringatan jika ada dikalangan kita yang masih belum mengqadakan puasa maka eloklah disegerakan kerana jika masuk sahaja bulan Ramadan sedasngkan kita masih berhutang puasa maka akan di denda dengan fidyah kerana kelewatan mengqada puasa yang ditinggalkan pada tahun lepas.

Oleh itu buatlah persiapan sebaik mungkin di bulan Syaaban ini sebagi usaha terakhir sebelum kedatangan bulan yang penuh keberkatan dan di khususkan untuk umat Rasulullah SAW  iaitu bulan Ramadan al-Mubarak.