Showing posts with label Hadis akhir zaman (Sifat amanah akan hilang sedikit demi sedikit). Show all posts
Showing posts with label Hadis akhir zaman (Sifat amanah akan hilang sedikit demi sedikit). Show all posts

Friday, April 8, 2011

Hadis Tanda Akhir Zaman - Sifat Amanah Akan Hilang Sedikit Demi Sedikit

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Daripada Huzaifah bin Al-Yaman ra katanya :"Rasulullah SAW pernah memberitahu kami dua buah hadis (mengenai dua kejadian yang akan berlaku). Yang pertama sudah saya lihat sedang yang kedua saya menanti-nantikannya. Rasulullah SAW memberitahu bahawasanya amanat itu turun ke dalam lubuk hati orang-orang yang tertentu. Kemudian turunlah al-Quran. Maka orang-orang itu lalu mengetahuinya melalui panduan al-Quran dan mengetahuinya melalui panduan as-Sunnah. Selanjutnya Rasulullah SAW menceritakan kepada kami tentang hilangnya amanah, lalu baginda bersabda, "Seseorang itu tidur sekali tidur, lalu diambillah amanah itu dari dalam hatinya, kemudian tertinggallah bekasnya seperti bekas yang ringan sahaja. Kemudian ia tertidur pula, lalu diambillah amanah itu dari dalam hatinya, maka tinggallah bekasnya seperti lepuh di tangan (menggelembung di tangan dari bekas bekerja berat seperti menggunakan kapak atau cangkul). Jadi seperti bara api yang kau gilingkan dengan kaki mu, kemudian menggelembunglah ia dan engkau melihat ia meninggi, padahal tidak ada apa-apa". Di ketika Rasulullah SAW menceritakan hadis ini baginda mengambil sebiji batu kecil (batu kerikil) lalu menggilingkannya dengan kaki baginda.

"Kemudian berpagi-pagi (jadilah) orang ramai berjual beli, maka hampir sahaja tiada ada seorang juga pun yang suka menunaikan amanah, sampai dikatakan orang bahawasanya di kalangan Bani Fulan (di kampung yang tertentu) itu ada seorang yang sangat baik memegang amanah, sangat terpercaya dan orang ramai mengatakan, "Alangkah tekunnya dalam bekerja, alangkah indahnya pekerjaannya, alangkah pula cerdik otaknya. Padahal di dalam hatinya sudah tiada lagi keimanan sekalipun hanya seberat timbangan biji sawi".


"Maka sesungguhnya telah sampai masanya, saya pun tidak memperdulikan manakah di antara kamu semua yang saya hendak bermuhaya'ah (berjual beli). Jikalau ia seorang Islam, maka agamanyalah yang akan mengembalikan kepada ku (maksud agamanyalah yang dapat menahannya dari khianat). Dan jikalau dia seorang Nasrani atau Yahudi, maka pihak yang bertugaslah yang akan mengembalikannya kepada ku (maksudnya jika dia seorang Nasrani atau Yahudi maka orang yang memegang kekuasaan/pemerintahlah yang dapat membantu aku untuk mendapatkan semua hak-hak ku daripadanya). Ada pun pada hari ini maka saya tidak pernah berjual beli dengan kamu semua kecuali dengan Fulan dan Fulan (orang-orang tertentu sahaja)". 
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Keterangannya :

Hadis ini menunjukkan bahawa sifat amanah akan hilang secara beransur-ansur dari kalangan kaum muslimin, sehinggalah sampai suatu saat nanti orang yang dianggap baik untuk menjaga amanah pun telah khianat juga.

Begitulah gambaran masyarakat kita hari ini. Ramai daripada kita terpedaya oleh seseorang yang pada zahirnya nampak boleh memikul amanah, tetapi sebenarnya ia juga telah berlaku curang. Contohnya kita pernah di dedahkan di akhbar bahawa seorang penurus wang zakat Majlis Agama Islam di sebuah negeri dituduh pecah amanah wang zakat jutaan ringgit dan juga bagaimana seorang pegawai pencegah maksiat boleh terlibat ditangkap kerana sedang melakukan maksiat.