Showing posts with label Kelebihan majlis zikir. Show all posts
Showing posts with label Kelebihan majlis zikir. Show all posts

Friday, August 28, 2009

Kelebihan Zikir

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,  
Sesungguhnya, zikrullah mempunyai pelbadai kelebihan yang tiada tolok bandingnya. Hafiz Ibnu Qayyim, seorang ulama hadis yang masyhur telah mengarang sebuah risalah bernama Al-Wabil, yang mengandungi berbagai-bagai penjelasan mengenai kelebihan berzikir. Di dalam risalah itu, beliau berkata bahawa zikir mempunyai faedah kira-kira lebih dari seratus faedah, di sini di nyatakan hanya sepuluh sahaja kelebihannya :

1. Zikir boleh menjauhkan syaitan dan menghancurkan kekuatannya.

2. Zikir boleh melahirkan cinta sejati kepada Allah SWT kerana cinta itulah merupakan roh Islam, jiwa agama dan sumber kejayaan dan kebahagiaan. Barangsiapa ingin mendapat cinta Ilahi itu, maka hendaklah ia berzikir sebanyak-banyaknya.

3. Zikir mendatangkan hakikat muraqabah. Muraqabah itu membawa seorang kepada martabat Ihsan. Dengan Ihsan, manusia dapat beribadah kepada Allah SWT dalam keadaan seolah-olah ia melihat-Nya (keadaan seperti inilah merupakan tujuan asasi setiap perjalanan para sufi).

4. Zikir membawa seorang kepada penyerahan diri yang bulat kepada Allah SWT. Dengan ini, lama kelamaan maka setiap urusan dan dalam setiap keadaan Allah SWT menjadi pelindung dan pembantunya.

5. Zikir membawa seorang kepada taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah SWT. Jika zikir itu bertambah banyak, maka dengan sendirinya ia bertambah dekat kepada Allah SWT dan sebaliknya, jika ia bertambah lalai daripada berzikir, maka dengan sendirinya ia makin bertambah jauh daripda Allah SWT.

6. Zikir adalah membuka pintu makrifat (mengenal) Allah SWT.

7. Zikir boleh menghidupkan hati. Perbandingan zikrullah dengan hati seseorang ibarat ikan dengan air. Ingatlah, apakah halnya ikan itu kalau ia tidak berada di dalam air?

8. Zikir adalah santapan bagi roh dan hati. Andaikata keduanya tidak dapat menikmati santapannya, maka adalah sama seperti badan yang tidak mendapat makanan.

9. Zikir boleh membersihkan hati daripada kekaratan (kekotoran) sepertimana diterangkan di dalam hadis, bahawa tiap-tiap sesuatu mempunyai daki dan kotoran baginya. Daki dan kotoran hati ialah keinginan dan kelalaian yang tidak dapat dibersihkan melainkan dengan berzikir.

10. Nur zikir sentiasa bersama dengan orang yang berzikir sama di dunia ini atau di dalam kubur. 

Firman Allah SWT. yang bermaksud : “Apakah orang yang sudah mati (sudah sesat) kemudian Kami hidupkan ia (menjadi ia beragama Islam) dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang. Dengan cahaya itu, dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia (nur itu sentiasa bersama dengannya) serupa dengan orang-orang yang berada di dalam keadaan gelap gelita yang tidak dapat keluar daripadanya.” (Surah Al-An’am ayat 122)

Demikianlah beberapa kelebihan amalan zikir. Sesungguhnya kepentingan zikrullah tidak boleh dipertikaikan. Ia adalah jalan para Anbiya dan Auliya yang terbukti berjaya melahirkan hamba Allah yang bertakwa dan bersih jiwa dan nuraninya, yang memancarkan cahaya ketenangan kepada seluruh makhluk dan alam. Jadilah hamba Allah yang hidup hati nuraninya dengan cahaya yang akan menerangi kita di dunia dan akhirat.

Sahabat ayng dimuliakan,
Nabi SAW  menjelaskan tentang apa yang terjadi dalam majlis zikrullah. Nabi SAW bersabda bahawa sekumpulan malaikat diberi tugas khusus oleh Allah SWT. membuat rondaan di muka bumi ini untuk melihat orang yang berzikir itu. Apabila malaikat itu berjumpa dengan jemaah orang yang berzikir itu, malaikat berasa sukacita, lalu memanggil lebih ramai malaikat masuk ke dalam kumpulan tersebut. Mereka saling berpegangan sayap dan membuat satu barisan yang sampai ke langit.

Apabila majlis zikir itu tamat, malaikat itupun kembali kelangit. Allah bertanya ke mana mereka pergi (walaupun Allah Maha Mengetahui ke mana mereka pergi). Para malaikat itu menjawab bahawa mereka kembali dari majlis zikir yang mengagung dan membesarkan Allah.

Allah bertanya pada mereka, "Pernahkah mereka melihat Aku?"

Malaikat menjawab, "Tidak, wahai Tuhan kami."

Allah bertanya,"Apakah anggapan mereka sekiranya mereka melihat Aku?"

Malaikat menjawab,"Jika demikian mereka akan bertambah-tambah lagi mengingati dan memuliakan Engkau."

Allah bertanya,"Apa yang mereka pinta dari-Ku?"

Malaikat menjawab,"Mereka rindukan syurga-Mu?"

Allah bertanya,"Pernahkah mereka melihatnya?"

Malaikat menjawab,"Belum pernah."

Allah bertanya,"Apa akan terjadi jika mereka melihatnya?"

Malaikat menjawab,"Mereka akan bertambah rindu lagi."

Allah bertanya lagi,"Dan apakah mereka hendak berlindung?"

Malaikat menjawab,"Mereka minta perlindungan daripada neraka-Mu."

Allah bertanya,"Pernahkah mereka melihat neraka-Ku?"

Jawab malaikat,"Belum lagi wahai Tuhan kami."

Allah bertanya,"Bagaimana kalau mereka melihat neraka-Ku?"

Malaikat menjawab,"Mereka bertambah-tambah lagi memohon perlindungan daripada-Mu supaya dilindungi daripada neraka."

Kemudian Allah berkata kepada para malaikat bahawa Dia telah mengampunkan semua dosa mereka yang berzikrullah itu. Tetapi seorang malaikat bertanya,"Ya Allah, ada seorang yang kebetulan duduk sahaja hampir dengan mereka yang berzikir itu dan bukan termasuk dalam kumpulan yang berzikir itu." (iaitu zikir dengan ikhlas)

Allah menjawab,"Bahkan yang seorang itu pun Aku ampuni. Majlis zikrullah itu sangat mulia hinggakan orang yang berada di tepi majlis mereka itu pun mendapat ganjaran daripada-Ku."

Sahabat yang dikasihi,
Majlis zikir itu berbagai-bagai bentuk dengan gelaran Majlis Usrah, Halaqah, Tadarus al-Qur'an, Zikir Asma' Allah (nama-nama Allah) , Zikir al-Ma'thurat dan sebagainya. Semuanya adalah untuk memuji Allah dan mengagongkan kebesaran-Nya. Marilah kita teruskan melaksanakan majlis zikir iaitumengingati Allah SWT.