Pengertian Pergaulan.
Pergaulan
dalam bahasa Arab disebutkan ikhtilat berasal daripada kalimah “khalata
yakhlutu khaltan” yang bererti bercampur.[Ibn Manzur, Lisan al-Arab,
Jilid 9, hlm. 120-121.]
Maksud
pergaulan (ikhtilat) dalam perbincangan ini ialah bergaul atau
bercampur di antara lelaki dan perempuan ajnabi (yang sah kahwin) di
satu tempat yakni berlaku interaksi dalam bentuk pandang-memandang atau
perbuatan di antara seseorang dengan lain. Ertinya, ia berlaku antara
tiga orang atau lebih. Ia berbeza dengan khalwat yang hanya terdiri dari
dua orang sahaja.
Hukum Pergaulan Di Antara Lelaki Dan Wanita.
Hukum
asal pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi (harus nikah) adalah
haram. Namun demikian, pengharaman ini tidak didasarkan kepada nas yang
sarih kerana tiada nas sarih mengenai kes ini. Pengharamannya hanya
diasaskan kepada hukum lain ynag pada asalnya dikhususkan bagi kaum
wanita kerana dalam hukum-hukum terbabit terdapat unsur-unsur pergaulan
antara lelaki dan perempuan ajnabi. Hukum-hukum yang dimaksudkan ialah;
larangan berkhalwat dan musafir tanpa mahram, solat berjemaaah di masjid
bagi wanita, hukum jihad bagi wanita-wanita dan hukum solat jumaat bagi
wanita.
1. Larangan Berkhalwat dan Musafir tanpa mahram
Perempuan dilarang bermusafir bersendirian tanpa mahram dan dilarang berkhalwat dengan lelaki ajnabi (sah kawin dengannya).
Kedua-dua larangan ini didasarkan kepada hadis-hadis berikut:
i.
Maksudnya: “Perempuan tidak harus musafir kecuali ada bersamanya mahram
dan lelaki tidak harus masuk (dalam rumah) perempuan kecuali ada
bersamanya mahram.”[Al- `Asqalani, Fath al-Bari bi Syarh al-Bukhari,
Jilid 4, hlm. 72, 77.]
ii.
Maksudnya: “Lelaki tidak harus berkhalwat dengan perempuan kecuali
bersamanya mahram dan tidak harus musafir kecuali bersamanya
mahram.”[Al-Nawawi, Sahih Muslim bi Syarh al-Nawawi, Jilid 9, hlm. 109.]
Hadis
pertama melarang lelaki ajnabi berkhalwat dengan wanita di dalam bilik
atau rumah. Hadis kedua pula melarang wanita keluar mengerjakan haji
tanpa mahram. Kedua-dua hadis ini telah dijadikan oleh para fuqaha’[ Abd
al-Karim Zaydan (Dr.), al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah, jilid 3, hlm.
423.] Sebagai dalil pengharaman pergaulan lelaki dan perempuan; kerana
kedua-duanya mengandungi unsur pergaulan.
Walau
apapun, satu kesimpulan dapat dibuat iaitu pergaulan perempuan dengan
lelaki bukan mahram adalah diharamkan. Namun, pengharaman ini bukanlah
didasarkan kepada suatu nas Syarak yang sarih kerana tiada nas Syarak
yang dengan jelas menyatakan demikian.
Pengharaman
ini hanyalah didasarkan kepada pengharaman khalwat yang terdapat dalam
hadis pertama di samping larangan bergaul yang boleh difahami dari
larangan ke atas wanita mengerjakan haji tanpa mahram. Dengan kata lain,
oleh kerana khalwat antara wanita dan lelaki bukan mahram diharamkan
maka pergaulan antara wanita dan lelaki bukan mahram juga adalah haram.
Begitu
juga, oleh kerana perempuan dilarang mengerjakan haji tanpa mahram
kerana perbuatan itu mendedahkannya kepada pergaulan dengan lelaki maka
semua bentuk pergaulan wanita dengan lelaki bukan mahram adalah haram.
Begitu
juga hukum sebaliknya, iaitu oleh kerana wanita tidak haram berkhalwat
dengan lelaki mahram kerana darurat,[Al-Nawawai, op.cit., hlm. 109.]
maka juga tidak haram bergaul dengan lelaki mahram atas alasan darurat.
Jelas di sini, hukum boleh dengan tidak boleh wanita bergaul dengan
lelaki mahram adakah sinonim dengan hukum boleh dan tidak boleh dia
berkhalwat dengan lelaki mahram, begitu juga boleh dan tidak boleh
beliau musafir tanpa mahram.
2. Hukum Perempuan solat Jemaah di Masjid
Rujukan
kedua bagi pengharaman pergaulan antara lelaki dan wanita ajnabi ialah
keizinan bagi wanita melakukan solat jemaah di masjid. Solat jemaah di
masjid digalakkan bagi kaum lelaki, tidak bagi kaum wanita. Malah
sebaliknya solat wanita di rumahnya adalah lebih afdhal bagi mereka.
Keizinan
bagi wanita solat berjemaah di masjid tidak mutlak. Ia diikat dengan
berbagai syarat; keizinan suami atau wali, tidak memakai bau-bauan tidak
berhias dan tidak bercampur gaul dengan lelaki semasa solat jemaah di
dalam masjid. Syarak menentukan saf bagi wanita dalam solat jemaah
mestilah di belakang saf lelaki. Penentuan ini sabit melalui nas hadis
seperti yang dinyatakan oleh Abdullah bin `Abbas yang beliau mendirikan
solat di sebelah Rasulullah s.a.w dan Aisyah r.a mendirikan solat
bersama di belakang mereka. Beliau berdiri di sebelah kanan Rasulullah
s.a.w. Mereka menunaikan solat bersama.[Abd al-Razzaq al-San`ani,
al-Musannaf, Jilid 2, hlm. 407.]
Pensyaratan-pensyaratan
yang dikenakan dalam kes wanita solat berjemaah dengan lelaki ini
menunjukkan bahawa pergaulan antara lelaki dan wanita adalah haram.
Lebih-lebih lagi jika dihalusi persoalan kedudukan saf bagi wanita; di
belakang saf lelaki. Ertinya wanita tidak boleh berada dalam satu saf
dengan lelaki. Kalau dalam solat yang suasananya penuh taqwa, jauh dari
fitnah pun wanita tidak dibenarkan bergaul dalam satu saf dengan lelaki
apatah lagi dalam situasi lain yang jauh lebih tidak taqwa dan lebih
terdedah kepada fitnah, sudah tentu tegahan bergaul dalam keadaan itu
lebih ditegah. Kesimpulannya, pengharaman pergaulan lelaki dan perempuan
adalah dirujukkan kepada nas yang melarang wanita bergaul dalam satu
saf sewaktu melakukan solat jemaah bersama lelaki di samping
pensyaratan-pensyaratan lain. Ini bererti kebolehan berlaku pergaulan
dengan wanita dan lelaki ajnabi adalah bergantung kepada pensyaratan
boleh berlakunya solat jemaah wanita bersama lelaki. Dengan kata lain
pergaulan wanita dan lelaki ajnabi bukan boleh secara mutlak, tetapi
boleh dengan syarat-syarat yang ditentukan.
3. Hukum Wanita Turut Serta Dalam Perang Jihad
Rujukan
ketiga bagi pergaulan wanita denga lelaki ajnabi ialah hukum wanita
turut serta dalam perang jihad. Menurut hukum asal, wanita tidak wajib
turut serta dalam perang jihad. Aisyah r.a pernah meminta izin daripada
Rasulullah s.a.w untuk turut serta berjihad, tetapi Rasulullah SAW
menyatakan bahawa jihad bagi wanita adalah mengerjan haji.
Dalam
menghuraikan hadis ini, Ibn al-Battal menyatakan bahawa wanita tidak
wajib berjihad di medan perang kerana mereka diwajibkan berhijab dan
tidak boleh bergaul dengan lelaki.
Jelas
dilihat bahawa Rasulullah s.a.w tidak mengizinkan Aisyah turut serta
dalam perang jihad adalah kerana mereka ditegah bergaul dengan lelaki.
Ertinya, kalau dalam keadaan perang jihad mempertahankan Islam, satu
keadaan yang sangat kritikal kepada orang Islam dan agama Islam sendiri
wanita tidak diizinkan bergaul, maka dalam kes-kes lain yang tidak
mendesak adalah lebih tidak dibenarkan.
4. Wanita Tidak Wajib Solat Jumaat
Fuqaha’
sepakat mengatakan bahawa wanita tidak wajib menunaikan solat
jumaat.[13] Mazhab Hanafi berpendapat sebab wanita tidak wajib solat
jumaat ialah kerana wanita sibuk dengan urusan rumah tangga di samping
mereka ditegah keluar bersama kaum lelaki dlam keadaan yang boleh
membawa fitnah.[14] Alasan ini membawa erti bahawa hukum pergaulan
antara wnaita dan lelaki ajnabi adalah haram.
Di
awal perbincangan telah dinyatakan, tiada nas sarih yang secara
langsung mengharamkan pergaulan perempuan dengan lelaki ajnabi. Namun
demikian, dalam konteks ini kaedah al-Asl fi al-Asyia’ al-Ibahah, tidak
dapat digunakan untuk menyatakan bahawa hukum asal pergaulan perempuan
dan lelaki ajnabi adalah harus, kerana nas-nas yang dikemukakan di atas
secara tidak langsung telah mengandungi unsur-unsur larangan dari
pergaulan antara perempuan dan lelaki ajnabi. Oleh itu, keharusan yang
mutlak dalam kes ini sudah tidak ada lagi.
Batas-batas Pergaulan Lelaki dan Wanita Yang Di Benarkan.
Perbincangan
di atas telah menjelaskan bahawa hukum asal pergaulan antara lelaki dan
perempuan adalah dilarang. Namun demikian, dalam keadaan atau situasi
tertentu hukum tersebut berubah menjadi harus. Keadaan dan situasi yang
dimaksudkan ialah darurah, hajat (keperluan), maslahat Syar’ie dan
kebiasaan adat setempat.
1. Pergaulan Antara Lelaki Dan Perempuan Kerana Darurat
Dalam
syarah Sahih Muslim, al-Imam al-Nawawi menyatakan bahawa tidak ada
perbezaan hokum berkhalwat antara perempan dan lelaki ajnabi di dalam
dan luar solat, kecuali dalam keadaan darurat. Sebagai contoh, situasi
di mana seorang perempuan bersendirian dalam satu perjalanan yang
mungkin mendedahkannya kepada bahaya. Keadaan ini membolehkan seorang
lelaki ajnabi bersama dengannya sekadar untuk membantu dan melindungi
daripada bahaya.
Penjelasan
al-Nawawi menyakinkan bahwa pergaulan perempuan dan lelaki ajnabi yang
dikategorikan sebagai darurat, atas tujuan memberikan perlindungan atau
menyelamatkan perempuan terbabit daripada bahaya adalah diharuskan
dengan syarat tidak ada tujuan-tujuan lain. Hukum uni adalah satu
pengecualian dari hukumnya yang asal iaitu haram.
2. Pergaulan Antara Lelaki Dan Perempuan Kerana Keperluan
Pergaulan
antara perempuan dan lelaki ajnabi kerana hajat (keperluan) Syar’ie
adalah dibolehkan. Antara keperluan-keperluan Syar’ie ialah:
a. Pergaulan antara lelaki dan perempuan untuk mengurus muamalah maliyah (urusan harta)
Pergaulan
antara lelaki dan perempuan untuk tujuan-tujuan seperti jualbeli dan
aktiviti transaksi lain dibolehkan kerana tabiat urusan jenis ini
memerlukan berlaku interaksi di antara dua pihak sebelum berlaku akad.
Pergaulan semasa muamalah maliyah (urusan harta) dibolehkan dengan
syarat menjaga batas-batas Syarak seperti pakaian menutup aurat,
menundukkan pandangan dan percakapan biasa.[16]
b. Pergaulan antara lelaki dan perempuan semasa bekerja
Semasa
melaksanakan kerja, pada kebiasaannya berlaku pergaulan di antara
lelaki dan perempuan. Pergaulan ini dibolehkan dengan syarat-syarat
kedua-dua pihak menjaga batas-batas Syarak seperti berpakaian menutup
aurat, menundukkan pandangan, percakapan biasa yang tidak mengandungi
unsur-unsur fitnah dan tidak berkhalwat. Khalifah `Umar al-Khattab
pernah melantik al-Syafi, seorang perempuan sebagai pegawai penguatkuasa
di pasar untuk memerhati supaya tidak berlaku penyelewengan.[17] Tabiat
penguatkuasa di pasar menuntut pegawai tebabit bergaul dengan peniaga
dan pembeli di pasar, lelaki dan perempuan. Perlantikan perempuan
bekerja sebgai penguatkuasa menunjukkan pergaulan semasa kerja
dibolehkan. Kalau pergaulan ini tidak dibolehkan pasti khalifah `Umar
tidak melantik perempuan bekerja sebagai penguatkuasa kerana tabiat
kerja tersebut menuntut berlakunya pergaulan.
c. Pergaulan di antara lelaki dan perempuan semasa menjadi saksi
Perempuan
boleh bergaul dengan lelaki semasa menjadi saksi dalam kes-kes yang
ditentukan oleh Syarak bahawa perempuan dibolehkan menjadi saksi seperti
perempuan harus menjadi saksi dalam kes-kes harta dan hak-haknya.
d. Pergaulan di antara lelaki dna perempuan dalam kenderaan awam
Pergaulan
di antara dalam kenderaan dibolehkan atas alasan ianya adalah keperluan
yang mendesak. Namun demikian, keharusan ini tertakluk kepada Syarak
bahawa perempuan keluar rumah bukan untuk tujuan yang tidak Syar’ie
seperti berfoya-foya. Ia mestilah bertujuan Syar’ie seperti bekerja
untuk menyara diri atau keluarga, menziarahi keluarga, pesakit dan
sebagainya.
Di
samping syarat-syarat di atas, batas-batas Syarak dalam pergaulan
lelaki dan perempuan perlulah dijaga. Pakaian mestilah menutup aurat,
pandangan ditundukkan dan percakapan berlaku secara biasa dan normal.
3. Pergaulan Mengikut Kebiasaan Adat Dalam Majlis-majlis
Pergaulan
di antara lelaki dan perempuan dalam majlis seperti kenduri kendara
kerana semperna sesuatu dibolehkan dengan syarat menjaga batas-batas
Syarak seperti pakaian menutup aurat, tidak tabarruj, menundukkan
pandangan, bercakap dengan suara biasa dan normal. Sekiranya batas-batas
Syarak tersebut tidak dipatuhi pergaulan di antara lelaki dan perempuan
tidak dibolehkan. Walau bagaimanapun, pengasingan tempat antara lelaki
dan perempuan semasa makan dan lainnya dalam majlis-majlis ini adalah
lebih baik. Ini didasarkan kepada kaedah “Sadd al-Zari’ah” (menutup
pintu-pintu fitnah).
4. Pergaulan Di Antara Lelaki Perempuan Semasa Belajar
Dalam
persoalan pergaulan di antara lelaki dan perempuan semasa belajar,
sebenarnya tidak ada hadis yang secara langsung menyentuh persoalan ini,
apakah ia dilarang atau dibolehkan. Bagaimanapun, ada sesetengah
ulama’[19] berpendapat lelaki dan perempuan tidak boleh bergaul semasa
belajar.Mereka berhujah dengan hadis Sa’id al-Khudri yang meriwayatkan:
Maksudnya:
“Perempuan berkata kepada Nabi s.a.w.: Golongan lelaki mengatasi kami
ke atas kamu (orang lelaki sentiasa bersamamu setiap hari mendengar
hal-hal agama). Tentukan bagi kami satu hari bersamamu (untuk mendengar
dan belajar) lalu baginda menentukan satu hari untuk bertemu(mengajar)
golongan perempuan, maka baginda menasihati dan mengajar mereka. Di
antara nasihat baginda kepada mereka: “Sesiapa di antara kaum golongan
perempuan yang menyerahkan tiga anaknya (untuk perang jihad dan anak itu
mati syahid) pasti anak-anak itu menjadi penghalangnya dari apai
neraka. Seorang perempuan berkata kalau dua orang? Baginda bersabda:
“walau dua orang”.
Bagi
mereka hadis ini menunjukkan bahawa perempuan hendaklah diasingkan
tempat belajar daripada lelaki. Sekiranya pergaulan di antara lelaki
dan perempuan dibolehkan, pasti perempuan pada masa itu tidak meminta
Nabi SAW .menentukan hari khusus bagi mereka untuk mempelajari ilmu.
Begitu juga kalau pergaulan di antara lelaki dan perempuan semasa
belajar dibolehkan, pasti Nabi s.a.w tidak mengkhususkan hari bagi
perempuan.
Bagaimanapun,
setelah hadis ini diteliti, didapati ia tidak jelas menunjukkan lelaki
tidak boleh bercampur dengan perempuan semasa belajar. Buktinya,
ungkapan “ghalabana ‘alaika al-rijal” (lelaki mengatasi kami ke atasmu).
Maksudnya, secara tab’ie kaum lelaki setiap hari bersama Rasulullah SAW atas tabiat dan fungsi mereka sebagai lelaki. Oleh itu, mereka
dapat mendengar dan mempelajari perkara-perkara berkaitan agama
sedangkan perempuan tidak mampu berbuat demikian atas sifat dan fungsi
mereka sebagai wanita. Oleh itu, perempuan meminta Rasulullah SAW
menentukan hari khusus bagi mereka mempelajari agama. Ertinya,
permohonan dibuat bukan kerana tegahan bergaul semasa belajar, tetapi
atas dasar tabiat dan fungsi lelaki dan wanita yang berbeza. Ia
menatijahkan peluang bagi wanita untuk bersama dengan Rasulullah s.a.w
agak terbatas. Oleh itu, pengkhususan hari belajar bagi perempuan tidak
menunjukkan pergaulan di antara lelaki dan perempuan semasa belajar
dilarang. Jadi, hadis ini bukan hujah bagi pengharaman pergaulan antara
lelaki dan wanita semasa belajar. Larangan tersebut mungkin lebih sesuai
didasarkan kepada kaedah “Sadd al-Zari’ah” (menutup pintu-pintu yang
boleh mendatangkan fitnah) kerana lelaki dan perempuan, terutama di
peringkat awal remaja dan remaja banyak dipengaruhi oleh rangsangan
seks. Dengan itu, pergaulan di antara lelaki dan perempuan semasa
belajar pada peringkat ini boleh mendorongkan kepada perkara-perkara
keburukan lebih banyak daripada kebajikan. Oleh itu, pengasingan tempat
belajar di antara lelaki dan perempuan adalah didasarkan kepada “Sadd
al-Zari’ah” bukan hadis di atas.
Selain
dari penjelasan perenggan di atas, mereka yang mengatakan pergaulan
lelaki dan wanita semasa belajar diharamkan berpendapat bahawa pergaulan
antara lelaki dan perempuan semasa ziarah-menziarahi adalah dibolehkan
dengan beberapa syarat. Mungkin sukar difahami kenapa pergaulan semasa
ziarah dibolehkan dan pergaulan semasa belajar diharamkan, sedang
suasana belajar lebih jauh daripada fitnah berbanding dengan suasana
ziarah. Mungkin yang membezakan hanyalah ziarah dilakukan sekali sekala
tetapi belajar mungkin lebih kerap, malah dalam konteks pendidikan
formal, menengah atau tinggi ia berlaku setiap hari. Adapun, tegahan ke
atasnya bukan dirujukkan kepada nas, tetapi kepada kaedah “Sadd
al-Zari’ah”