Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
ŰšِŰłْÙ
ِ Ù±ÙÙَّÙِ Ù±Ù۱َّŰْÙ
َÙٰÙِ Ù±Ù۱َّŰِÙÙ
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat
junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan
pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Tidak ada paksaan dalam agama
(Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari
kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan taghut, dan
ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang
kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan
(ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Surah
al-Baqarah ayat 256)
Apakah tafsiran ayat di atas yang mengatakan tidak ada paksaan dalam beragama?
Rasulullah SAW datang ke Madinah berhijrah daripada Mekkah untuk
mencari tempat yang subur dalam dakwah baginda menyebarkan Islam dan
mengajak manusia supay kembali beriman kepada Allah SWT. Baginda telah
membina Daulah Islamiah Madinah dan membuat perjanjian dengan penduduk
kota tersebut atau yang lebih dikenal dengan Piagam Madinah.
Salah satu perkara yang menjadi persetujuan dalam piagam tersebut
adalah kebebasan beragama bagi masing-masing individu. Tidak pernah
Rasulullah SAW memaksa penduduk Madinah yang beragama Yahudi pada ketika
itu untuk memeluk Islam. Bahkan yang terjadi baginda memerintahkan
para sahabatnya untuk menghormati hak-hak mereka apalagi sebagai jiran
tetangga.
Bahkan semasa perang pun, Islam melarang kaum muslimin untuk memaksa
mereka agar memeluk agama Islam. Kepada mereka yang menjadi musuh,
Islam memberikan tiga pilihan. Tiga perkara tersebut selalu baginda
sampaikan kepada ketua tentera yang akan menuju ke medan Jihad.
Baginda memberi nasihat kepada mereka:
Pertama. Serulah musuh kalian untuk memeluk Islam, jika mereka menerima maka janganlah kalian memerangi mereka.
Kedua : Jika mereka menolak untuk masuk Islam, mintalah kepada mereka
untuk membayar jizyah sebagai jaminan bagi keselamatan mereka. Jika
mereka mahu menerima hal tersebut, maka tahanlah diri kalian dan
janganlah memerangi mereka.
Ketiga : Jika mereka menolak untuk membayar jizyah, maka perangilah mereka.
Seorang muslim harus meyakini dengan sepenuh hati bahawa agama Islam
adalah agama yang paling benar dan yang paling diredai oleh Allah SWT
sebagaimana telah ditegaskan dalam Al-Quran, firman Allah SWT maksudnya :
“Sesungguhnya agama yang diredai di sisi Allah hanyalah Islam” (Surah
Ali Imran ayat 19)
Firman-Nya lagi yang bermaksud : “Barangsiapa mencari agama selain
agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu)
daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.” (Surah
Ali Imran ayat 85)
Akan tetapi keyakinan tersebut tidak boleh menjadi alasan seorang
muslim untuk memaksa orang yang memeluk agama lain untuk masuk Islam.
Islam sangat menghargai toleransi beragama yang diwujudkan dengan
kebebasan setiap orang untuk mempercayai dan menjalankan agama
masing-masing.Berdakwah kepada mereka digalakan dengan membawa akhlak
yang mulia kerana taufik dan hidayah itu adalah hak Allah SWT.
Oleh kerana itu, ketika terjadi penaklukan kota al-Alqsa pada masa
Khalifah Umar bin Khattab r.a. beliau tidak memerintahkan para
tenteranya untuk mengusir kaum Nasrani dari negeri tersebut, justru
khalifah tersebut memberikan kebebasan kepada mereka untuk menjalankan
ajaran agama mereka. Oleh sebab itu, tidak ada pertentangan antara dua
ayat tersebut.
Kerana ayat dalam surat Ali Imran menjelaskan tentang kebenaran agama
Islam dan kewajiban setiap muslim untuk meyakininya. Sedangkan ayat
dalam surat al-Baqarah menjelaskan tentang sikap kita terhadap orang
yang memiliki kepercayaan yang berbeda dengan kita.
Sahabat yang dimuliakan,
Walau bagimana pun tidak ada paksaan dalam beragama tetapi Islam amat
tegas menjaga akidah umat Islam supaya tidak murtad atau dimurtadkan
oleh agama lain. Terdapat hukum hudud iaitu hukum bunuh bagi sesiapa
yang cuba murtad setelah mereka masuk Islam (setelah diberi peluang
untuk bertaubat).
Murtad adalah bermaksud berpaling dari agama Islam kepada agama kufur
samada dengan niat atau perbuatan atau perkataan yang membawa kepada
kufur samada secara persendaan, engkar atau iktiqad.
Murtad adalah satu perbuatan yang paling keji dan hina . Paling
dikutuk oleh Allah SWT kerana sesiapa yang murtad akan mendapat balasan
neraka Jahanam mereka kekal di dalamnya.
Firman Allah SWT. yang bermaksud : "..Barangsiapa yang murtad di
antara kamu dari agamanya lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka
itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat dan mereka itulah
penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya."
(Surah Al-Baqarah ayat 217)
Hukum asal bagi orang yang murtad ialah dibunuh. Ini berdasarkan
kepada hujah dan dalil hadis Nabi SAW. yang bermaksud, "Sesiapa yang
menukar agamanya (murtad) maka bunuhlah dia." (Hadis Riwayat Bukhari).
Hukum bunuh ini wajib dikenakan kepada semua penjenayah murtad
samaada lelaki ataupun perempuan, tua ataupun muda tanpa sebarang
perbedzaan. Sebelum hukuman dijalankan mereka yang murtad masih diberi
peluang beberapa hari untuk bertaubat dan kembali kepada akidah dan
ajaran Islam.
Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu umat Islam perlulah memahami sesungguhnya kebebasan dalam
Islam ada hadnya bukan boleh menukar agama seperti menukar baju. Untuk
mengatasi supaya gejala murtad (riddah) tidak berlaku dikalangan umat
Islam, semua pihak perlulah menjalankan kerja-kerja dakwah dan tarbiah.
Kerja-kerja amar makruf nahi mugkar perlulah berterusan dan tidak perlu
bermusim. Ibu bapa, Jabatan Agama, JAKIM, PERKIM, Jemaah Islam, NGO
Islam, Persatuan Islam dan Pendakwah Bebas perlulah bekerjasama
membenteras gejala sosial dan gejala murtad berlaku dikalangan umat
Islam.
Setiap pemimpin Islam perlu berhati-hati dalam memberi komen atau
pandangan mengenai "kebebasan beragama" supaya tidak dikelirukan atau
dimanipulasikan oleh orang-orang fasik atau akbar arus perdana yang suka
menabur fitnah dan cuba memesongkan fakta dan ucapan seseorang demi
kepentingan pihak tertentu.
Kenapa kita perlu kepada dakwah dan tarbiah berterusan dan setiap
individu muslim bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja mulia ini ? Ini
adalah kerana suasana sekarang ini cukup merbahaya kerana terlalu
banyak faktor-faktor yang boleh merosakkan iman dan akidah seseorang.
Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud : "Bersegeralah kalian untuk berbuat amal soleh, kerana akan
muncul berbagai fitnah seperti penggalan-penggalan malam yang
gelap-gulita, ada orang yang paginya beriman, petangnya kafir. Ada yang
petangnya beriman, paginya kafir. Ia jual agamanya dengan barang
perhiasan dunia." (Hadis Riwayat Muslim)
Oleh itu semua pemimpin umat Islam janganlah membiarkan sesiapa
sahaja dikalangan orang bukan Islam yang cuba merendahkan hukum-hukum
Islam dan mengambil sikap membisu kerana kepentingan politik
semata-mata. Perlu diingat semua kalian akan ditanya nanti di akhirat
apa yang telah kalian lakukan ketika Islam dihina dan diperlekehkan oleh
orang kafir yang membenci terhadap hukum-hukum Allah
SWT.Sekurang-kurangnya kalian bangun berdemontrasi aman untuk meyatakan
kemarahan kalian sebagai umat Islam yang bermaruah.