Saturday, December 26, 2009

Kisah Nabi Idris a.s. Dengan Iblis.

Pada suatu hari Nabi Idris a.s. didatangi seorang lelaki yang membawa sebiji telor. Ketika itu Nabi Idris a.s. sedang menjahit bajunya.
Tanpa ucapan salam, lelaki itu terus menegur Nabi Idris, "Wahai Idris, bolehkah Tuhan kamu memasukkan dunia ke dalam telor yang sedang aku pegang ini?"

Dengan izin Allah s.w.t. Nabi Idris tahu dengan siapa dia sedang berhadapan. Lalu berkata Nabi Idris, "Datanglah dekat denganku dan tanyalah apa yang engkau hendak tanya." Lelaki itu pun mendekati Nabi Idris yang masih sedang menjahit.

"Bolehkah Tuhanmu memasukkan dunia ke dalam telur ini?" Lelaki asing itu mengulangi pertanyaannya.

"Tuhanku boleh memasukkan dunia ke mana sahaja, jangankan ke dalam telur yang engkau pegang itu, bahkan Dia boleh masukkan dunia ke dalam lubang jarum yang aku pegang ini." kata Nabi Idris a.s.

Kemudian dengan pantas sekali baginda bingkas mencucuk mata lelaki itu dengan jarum yang ada di tangannya. Terperanjat lelaki asing itu dan dia tidak sempat berbuat apa-apa. Kelam-kabut dia melarikan diri meninggalkan Nabi Idris a.s. yang telah membutakan matanya.

Lelaki yang menganggu Nabi Idris a.s adalah Iblis laknatullah.

Pengajarannya :
1. Iblis akan datang untuk menggoda anak Adam, samaada terdiri daripada para Nabi atau manusia biasa dengan berbagai helah dan tipu daya. Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dengan tipu muslihat Iblis.

2. Tips yang diajarkan oleh ulama untuk menghindari hasutan Iblis ini iaitu apabila ada keraguan atau was-was dalam hati cepat-cepat tinggalkan was-was tersebut dan terus ambil tindakkan yang pasti. Contoh jika kita terlupa bilangan rekaat dalam solat samaada rekaat ke3 atau ke 4, ambil sebagai rekaat ke3 dan tambah satu lagi rekaat dan diakhiri dengan sujud sahwi.

3. Apabila berhajat untuk bersedekah atau ingin membuat sesuatu amal soleh, terus dilaksanakan jangan di tangguh-tangguh lagi kerana yang cuba melenggah-lenggahkannya adalah dari bisikan Iblis.

Friday, December 25, 2009

Takutlah Allah Ketika Sunyi


Sahabat yang dikasihi Allah,
Takutlah kamu kepada Allah ketika bersunyian, kerana sesungguhnya jiwa yang takut kepada Allah adalah jiwa orang-orang yang beriman dan bertakwa samaada kamu berada berseorangan atau ketika bersama-sama dengan orang lain.

Thauban meriwayatkan satu pesanan junjungan , bahawa Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : “ Aku sangat jelas mengetahui bahawa ada golongan dari umatku yang akan datang pada hari Qiyamat dengan amalan soleh sebesar gunung Tihamah, tetapi Allah akan menjadikannya seperti debu-debu berterbangan.”

Thauban bertanya : “Wahai Rasulullah, ceritakanlah tentang mereka kepada kami dan beritahulah kami lagi, supaya kami tidak menjadi seperti mereka.”

Baginda bersabda lagi yang bermaksud : “Mereka adalah saudara kamu dan dari kaum kamu, melakukan ibadah malam seperti kamu, tetapi mereka adalah orang yang apabila mereka bersendirian, mereka akan melanggar larangan Allah.”

(Hadis Riwayat Ibn Majah)

Bayangkanlah bagaimana seseorang yang banyak melakukan amal soleh, tetapi apabila dibawa kehadapan Allah s.w.t di hari Akhirat nanti amalan tersebut menjadi debu-debu yang berterbangan kerana tidak diterima oleh Allah s.w.t. Apakah sebabnya boleh jadi demikian? Nabi s.a.w. menjelaskan dalam hadis di atas bahawa apabila seseorang itu melakukan dosa ketika berada berseorangan tanpa dilihat oleh orang lain, akibatnya segala amal solehnya tidak akan diterima oleh Allah s.w.t. Ini menunjukkan kepada kita bahawa amal soleh yang tidak disertai dengan rasa takut kepada Allah s.w.t. ketika bersendirian masih belum sempurna lagi. Mungkin amalan soleh tersebut dibuat bukan kerana Allah s.w.t

Sahabat yang dimuliakan,
Orang Mukmin akan tetap istiqamah dan takut kepada Allah s.w.t. samaada ketika berseorangan atau ketika berada bersama keluarga, atau ketika bersama orang ramai. Dalam jiwanya tertanam keyakinan akan sifat-sifat kesempurnaan Allah s.w.t. iaitu Allah Maha Melihat segala perbuatannya dan Allah Maha Mendengar segala bisikan hatinya dan Allah Maha Mengetahui segala apa yang berlaku di langit dan di bumi. Ia akan rasa takut kepada Allah kerana sifat-sifat kesempurnaan Allah s.w.t. menguasai dalam kehidupannya.

Perasaan takut inilah yang dipanggil sifat takwa kepada Allah s.w.t. Nabi s.a.w sentiasa memberi amaran agar kita takut akan Allah terutama ketika bersendirian. Maka, berhentilah melakukan dosa ketika bersendirian apatah lagi berbangga melakukannya dihadapan manusia lain.

Setiap hari apabila kita membaca di dalam akhbar ada sahaja jenayah yang dilakukan oleh manusia. Kes ragut, merompak, membunuh, merogol dan lain-lain lagi seolah-olah tidak ada kesudahannya. Walaupun undang-undang jenayah diubah kepada hukuman yang lebih berat lagi tetapi penjenayah masih tetap teruskan kerja-kerja mereka dan tidak takut sedikit pun pada pihak polis dan hukuman yang bakal mereka terima. Kenapakah keadaan ini boleh berlaku? Ini adalah kerana dalam jiwa mereka tidak ada perasaan takut kepada Allah, mereka beranggapan apabila tidak ada orang melihatnya maka mereka bebas melakukan sesuatu mengikut kehendak hati mereka.

Oleh itu jenayah hanya boleh dicegah dengan menanam rasa takut kepada Allah, bukan rasa takut kepada undang-undang dan autoriti manusia. Takut dengan Allah , kerana Allah boleh bertindak dengan tindakkan-Nya yang diluar jangkaan kita, baik di dunia dan di akhirat. Menanam rasa takut kepada Allah dan takut akan azab Neraka maka ketika kita bersendirian akan membuahkan hasil yang lebih berkekalan .

Inilah agen kawalan yang lebih ampuh pada diri kita dan semua manusia umumnya, sekali gus melindungi masyarakat daripada sebarang ancaman para penjenayah. Takutkan Allah ketika kita sendirian akan melindungi diri kita daripada cuba melakukan maksiat dan dosa yang kita malu jika orang lain mengetahui. Bisikkanlah kepada hati agar akan sentiasa takut akan Allah sentiasa, terutamanya ketika syaitan dan nafsu membujuk rayu untuk kita melakukannya.


Berdo’alah kepada Allah :
“Ya Allah, wahai Tuhan yang Maha Mengetahui. Ampunilah dosa kami atas segala dosa dan kesalahan yang kami lakukan, yang sengaja dan yang tidak disengajakan. Yang dilakukan secara tersembunyi ataupun secara terang-terangan. Ampunilah kelemahan kami. Bantulah kami untuk mentaati-Mu . Sesungguhnya tidak ada siapa yang dapat menyelamatkan kami melainkan dengan rahmat dan pertolongan-Mu.”

Wednesday, December 23, 2009

Allah Suka Memberi Keampunan

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dalam sebuah hadis Qudsi Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud :
"Wahai anak Adam!
Setiap kali engkau memohon dan mengharap kepada-Ku, Aku tetap mengampunimu atas segala dosa yang engkau lakukan, dan Aku tidak peduli.

Wahai anak Adam!
Andaikata dosa-dosamu sampai setinggi langit, kemudian engkau memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku akan mengampunimu.


Wahai anak Adam!
Andai kata engkau datang kepada-Ku dengan dosa sepenuh bumi, kemudian engkau menemui-Ku, sedang engkau tidak menyekutukan Daku dengan sesuatu pun, nescaya Aku akan datang kepadamu dengan ampunan sepenuh bumi pula."

(Riwayat at-Tirmizi daripada Anas r.a.)

Kefahaman atau pengajaran yang sangat jelas menghuraikan Hadis Qudsi di atas ialah menggambarkan betapa Allah s.w.t. sangat suka memberi keampunan dan kemaafan. Allah sentiasa menunggu hamba-hamba-Nya yang mahu bertaubat serta memohon keampunan kepada-Nya.

Allah bersifar Al-Ghaffar, ertinya Yang Maha Pengampun. Keluasan maghfirah-Nya tiada batas. Sehinggakan seseorang yang berulang kali membuat dosa dan berulangkali bertaubat tetap juga diampuni oleh Allah s.w.t. selagi dosa itu bukan mensyirikkan-Nya.

Selalulah beristighfar dan meminta ampun kepada Allah s.w.t. Kita tidak akan terlepas daripada dosa, samaada di sedari atau tidak. Dan tidak ada yang lebih bahagia selain mereka yang mendapat rahmat dan keampunan Allah s.w.t. Lebih-lebih lagi keampunan yang diperolehi pada saat-saat terakhir hidupnya.

Sahabat yang dimuliakan,
Allah s.w.t menyuruh kita bersifat pengampun kerana orang yang boleh memaafkan kesalahan orang lain, kesalahannya mudah diampunkan oleh Allah. Pernah berlaku seorang sahabat Nabi s.a.w. tidak mahu memaafkan khadamnya yang menyebarkan fitnah terhadap seorang isteri Nabi. Lalu turun perintah Allah s.w.t. agar orang-orang Mukmin memberi maaf dan berlapang dada. Sambil Allah s.w.t. bertanya : "Apakah kamu tidak menyukai Allah menutup (kesalahan, aib dan dosa) kamu? Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
(Surah An-Nur ayat 22)

Ertinya, orang yang boleh mencontohi sifat mulia ini tidak akan mendedahkan aib atau keburukan orang lain kerana tidak mahu aib dan keburukannya didedahkan oleh Allah s.w.t. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : "Tidak seorang manusia pun menutupi aib orang lain di dunia kecuali Allah menutupi aibnya pada Hari Qiyamat."
(Hadis Riwayat Muslim dari Abu Hurairah r.a)

Akhirkata, marilah sama-sama kita muhasabah diri kita setiap hari. Mohonlah ampun kepada Allah setiap masa dan saat. Basahkan lidah kita dengan beristighfar dan bertaubat kepada Allah s.w.t. samaada dosa-doas kecil atau di atas kelalaian kita tidak melaksanakan amanah dan perintah-perintah Allah. Orang Mukmin merasai dosa yang kecil dilakukan seolah-olah besar seperti gunung. Tetapi orang fasik merasai dosa besar yang dilakukan hanya kecil seperti lalat dan tak rasa bersalah.

Tuesday, December 22, 2009

Bantu Membantu Kerana Allah

Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Telalu banyak nikmat daripada Allah s.w.t. yang telah kita terima. Nikmat iman, nikmat Islam, nikmat kesihatan dan nikamt kehidupan. Sekiranya kita beribadah selama seribu tahun sekali pun namun kita tidak akan dapat membalas segala nikmat dan kebaikan yang kita perolehi daripada Allah s.w.t.

Tanda kesyukuran kita kepada Allah s.w.t. kita diminta hanya untuk mengabdikan diri sepenuhnya kepada-Nya iaitu dengan melaksanakan suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya.

Salah satu sifat yang mulia yang perlu ada pada orang yang beriman adalah sifat pemurah dan ada perasaan belas kasihan dan suka membantu kepada golongan fakir-miskin dan anak-anak yatim. Hidup ini akan lebih harmoni hanya apabila kita banyak memberi bukan menerima.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Manusia memikul peranan sebagai khalifah di muka bumi. Tugas khalifah itu adalah untuk memberi kebaikan untuk diri sendiri, untuk orang lain dan persekitarannya. Dengan itu makmurlah muka bumi ini dengan pembangunan material, keamanan dan keampunan Tuhan.

Tetapi reality masyrakat kita hari ini ramai yang mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan kesusuhan orang lain. Mereka merebut-rebut peluang yang ada dengan menggunakan apa cara sekali pun asalkan berhasil walaupun terpaksa merampas hak orang lain, rasuah dan mengunakan cara yang bertentangan dengan hukum syarak. Kenapakah mereka terpaksa memburu kekayaan dan berebut-rebut tanpa menghiraukan batas-batas akhlak Islam? Ini adalah kerana dalam jiwa mereka telah tertanam cinta dunia untuk mencari kemegahan dan kemewahan hidup demi memenuhi kehendak nafsu amarah yang tidak puas-puas!

Sahabat yang dimuliakan,
Islam mewajibkan zakat adalah semata-mata untuk membersihkan harta yang dimiliki, supaya terhindar perasaan tamak haluba dan mementingkan diri sendiri. Zakat dapat menaikkan ekonomi umat Islam dan dapat membantu merapatkan jurang diantara orang miskin dan kaya sekali gus membaiki hubungan sosial dalam masyarakat Islam. Selain zakat Islam menggalakkan umatnya yang berkemampuan untuk memberikan sedekah jariah dan memberi bantuan secara suka rela tanpa mengharapkan balasan duniawi, melainkan mengharapkan keredhaan Allah s.w.t. semata-mata.

Dalam hadis Nabi s.a.w. ada menjelaskan bahawa sedekah jariah yang diberikan dengan ikhlas semata-mata kerana Allah adalah salah satu saham akhirat yang akan mengalir terus pahalanya walaupun ia telah kembali menemui Allah s.w.t di alam Barzakh.

Kekayaan sebenar bukanlah kerana banyak ‘memiliki’ tetapi kerana banyak ‘memberi’. Justeru, Allah itulah zat yang Maha Kaya, kerana Dia-lah yang banyak memberi. Jika kita banyak memberi akan meningkatkan kualiti jiwa. Jika kita banyak menerima kita akan hanya meningkatkan kuantiti harta. Kualiti jiwa itu matlamat, kuantiti harta itu cuma alat. Jangan tertukar antara alat dan matlamat.

Sahabatku,
Senyum itu adalah sedekah. Intailah hari-hari yang berlalu dalam kehidupan seharian. Pada hari yang ceria dan gembira, itulah hari yang kita lebih banyak memberi berbanding menerima. Untuk merasa gembira, gembirakanlah orang lain. Sebab itu senyum ada dua.

Pertama, senyum kerana gembira. Kedua senyum untuk mengembirakan. Senyum pertama kerana mendapat kegembiraan. Manakala senyuman yang kedua kerana hendak memberikan kegembiraan.

Senyum untuk mengembirakan itulah yang lebih tinggi nilainya seperti yang disebut dalam hadis, sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, “Senyumanmu di hadapan saudaramu adalah satu sedekah.” (Hadis Riwayat Tarmizi).

Orang yang sentiasa berfikir untuk menggembirakan orang lain insya Allah akan sentiasa dibukakan pintu kegembiraan buatnya oleh Allah s.w.t.

Akhirkata, berikanlah apa yang Allah berikan kepada kita kerana disana ada hak orang lain yang diamanahkan kepada kita. Jangan jadi seperti Qarun yang menganggap kekayaan diri kerana kepandaiannya. Memang benar kita yang memerah keringat, kita yang berusaha dan berfikir. Tetapi… kita perlu ingat siapa yang mencipat otak, tangan, kaki, mata, telinga, memberi tenaga, kesihatan, siapa yang menciptanya? Semua ini bukan milik kita,segala-galanya pemberian Allah. Kita bukan pemilik, kita hanya peminjam.

Sebagai khalifah, kita memikul amanah untuk memberi kebaikan dengan segala kebaikan yang kita terima. Dari itu teruskanlah memberi, insya Allah ganjaran besar akan diberikan Allah s.w.t. dihari Akhirat nanti.


Kemurkaan Allah Terhadap Kaum 'Aad



Allah s.w.t. telah merakamkan dalam al-Qur’an sebuah kisah yang amat mengerikan dan dahsyat pernah berlaku di atas muka bumi ini. Kisah ini juga merupakan mesej untuk memberitahu betapa murkanya Allah s.w.t. terhadap sikap dan tindakkan manusia yang menentang kebenaran dan melampau sehingga menyebabkan kerosakan di muka bumi.

Kaum ‘Aad merupakan kaum yang mahir dalam seni bina sehingga mereka mampu mendirikan bangunan dan gedung-gedung indah di setiap tempat tinggi dengan harapan mereka dapat hidup selama-lamanya.

Allah s.w.t. mengutus kepada kaum ‘Aad seorang Nabi yang dilantik daripada kalangan mereka iaitu Nabi Hud a.s. untuk memberi peringatan. Malangnya kaum ‘Aad menolak dan mendustakan Nabi Hud a.s.

Allah s.w.t. merakamkan kisah tersebut dalam al-Qur’an :

“Dan (Hud berkata) : ‘Hai kaumku, mohonlah ampun kepada Tuhanmu lalu bertaubatlah kepada-Nya, nescaya Dia menurunkan hujan yang sangat deras atasmu, dan Dia akan menambahkan kekuatanmu, dan janganlah kamu berpaling dengan berbuat dosa.’

Kaum ‘Aad membalas : ‘Hai Hud, kamu tidak mendatangkan kepada kami suatu bukti yang nyata, dan kami sekali-kali tidak akan meninggalkan sembahan-sembahan kami kerana perkataanmu, dan kami sekali-kali tidak akan mempercayai kamu. Kami tidak mengatakan melainkan bahawa sebahagiaan sembahan kami telah menimpakan penyakit gila atas dirimu’.”



Allah s.w.t. menjelaskan bagaimana kaum ‘Aad dibinasakan dalam firman-Nya :

“Adapun ‘Aad (kaum Nabi Hud), maka mereka telah dibinasakan dengan angin rebut yang kencang , yang melampau kencangnya, yang diarahkan menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus menerus. (Kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati , seolah-olah mereka , batang-batang pohon kurma yang (tumbang dan) lompang. Dengan yang demikian dapatkah engkau melihat lagi sisa-sisa mereka (yang masih hidup)?”
(Surah al-Haaqqah ayat 6-8)

Kajian geografi menunjukkan bahawa tempat tinggal kaum ‘Aad ialah di bumi Ahqaf yang terletak di sebelah utara Hadramaut. Disebelah utaranya terletak Ar Rab’ Khali, manakala timurnya ialah Oman . Mereka ialah kaum yang menyembah berhala, antaranya yang bernama Waddn, Suwa’an, Yaghus, Ya’uq dan Nasran. Kaum ‘Aad yang dibinasakan ialah kaum ‘Aad yang terdahulu (pertama). Adapun kaum ‘Aad yang terkemudian (kedua) mereka menetap di Yaman.

Menurut cerita daripada penduduk Hadramaut . Sesungguhnya Nabi Hud a.s menetap di Hadramaut selepas kaum ‘Aad di binasakan sehingga baginda wafat dan dikebumikan ditimur Hadramaut iaitu dua marhalah daripada bandar Turim berhampiran lembah (Barhut)

Allah s.w.t. telah menyebutkan kehebatan kaum ‘Aad dalam firman-Nya yang bermaksud : “Tidakkah engkau perhatikan, bagaimana Tuhanmu lakukan terhadap kaum ‘Aad (yang kufur derhaka). Iaitu penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi tiangnya (sesuai dengan penduduknya.)
(Surah al-Fajr ayat 6-7)

Seorang ahli arkeologi bernama Nicholas Clapp telah menemui lokasi lagenda purba itu. Daripada penemuan arkeologi tersebut didapati bahawa menara dan tiang-tiang yang disebutkan dalam al-Qur’an begitu mengagumkan dan mempunyai bentuk-bentuk khas . Catatan sejarah mendapati kaum ‘Aad adalah kaum yang terkaya di dunia. Mereka sangat maju dalam pertanian ‘frankincence’ , salah satu tanaman yang paling berharga pada waktu itu. Manakala hasil daripada penggalian , telah ditemui sisa runtuhan sebuah kota yang amat luar biasa. Kota tersebut dikelilingi dinding memiliki ukuran begitu luas dan istananya merupakan bangunan yang sangat menakjubkan. Tiang-tiangnya memiliki teknologi arkitektual yang tinggi, berbentuk bulat dan disusun dalam serambi yang melengkung, berlapis emas atau perak. Ruang-ruang di antara tiang-tiang tersebut sangat mengagumkan.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

“Adapun kaum ‘Aad , maka mereka berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar , serta berkata : “Siapakah yang lebih kuat daripada kami?” Dan (mengapa mereka bersikap demikian?) tidakkah mereka memerhatikan bahawa Allah yang menciptakan mereka (daripada tiada kepada ada) adalah lebih besar kekuatan-Nya daripada mereka? Dan sememangnya mereka sengaja mengingkari tanda-tanda kekuatan Kami (sedang mereka sedia mengetahui)
(Surah al-Fushilat ayat 15)

Begitulah sikap kaum ‘Aad sehingga mendatangkan kemurkaan Allah s.w.t . Akibatnya mereka dibinasakan dengan taufan.

(Dipetik dari tulisan Ustaz Mohd Wahid Abd. Hanif dari Majalah Solusi 05/2009)

Pengajarannya :
1. Setiap para Rasul yang diutuskan oleh Allah s.w.t. yang berdakwah kepada kaumnya untuk mengajak mereka kembali kepada sumber yang satu iaitu mentauhidkan Allah s.w.t dan meninggalkan segala sembahan yang lain. Mereka engkar dan mencabar kekuasaan Allah s.w.t. dan meminta diturunkan bala, maka turunlah bala menimpa mereka.

2. Kemajuan dan teknologi cangih yang dimiliki oleh umat terdahulu semuanya tidak mampu menghalang azab Allah s.w.t apabila telah datang kemurkaan Allah s.w.t. Oleh itu kita di zaman moden dengan kemajuan sains dan teknologi juga tidak akan terlepas dari azab Allah s.w.t apabila umat Islam hari ini meninggalkan ajaran Islam yang di bawa oleh Rasulullah s.a.w. Seharusnya kemajuan yang kita miliki semakin mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dan patuh kepada hukum-hakam-Nya.


Monday, December 21, 2009

Jalan Dakwah Jalan Kebenaran


Sahabat yang dirahmati Allah,
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Kalau sekirannya jalan yang kamu lalui itu dekat dan perjalanan yang kamu tempuhi mendatangkan banyak keuntungan, nescaya mereka berbondong-bondong mengikutimu, tetapi (jalan dakwah) itu penuh dengan kesusahan."
(Surah at-Taubah ayat 42).

Jalan dakwah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w adalah jalan yang penuh dengan cabaran, dugaan dan rintangan, tetapi Nabi s.a.w. dan sahabat-sahabatnya tetap istiqamah, dan yakin sepenuhnya akan janji-janji Allah. Allah akan memberi kemenangan dan kejayaan samaada hidup di dunia dan juga kehidupan di hari Akhirat.

Dalam sejarah telah membuktikan bahawa Rasulullah s.a.w. dalam misi dakwah dan penyebaran Islam di muka bumi ini, baginda telah menghantar sahabat-sahabatnya keluar berdakwah hingga ke negeri Cina di sebelah timur, Sepanyol di sebelah barat dan Afrika di sebelah utara. Apakah jalan ini jalan mudah?

Sahabat yang dimuliakan,
Dimanakah kita sekarang ini? Adakah kita berada di atas jalan dakwah atau masih berada di tepi-tepinya atau sedang memilih jalan berehat-rehat atau berseronok-seronok? Hanya mereka-mereka yang luar biasa sahaja terpilih untuk memikul amanah yang berat di atas jalan ini. Allah membuat pilihan dikalangan hamba-hamba-Nya untuk di serahkan tugas dan kekuatan untuk membantu Islam, sudah tentu mereka itu akan mendapat pandangan istimewa di sisi Allah s.w.t.

Amat sedikit manusia yang sanggup bersabar untuk terus berada di atas jalan dakwah. Iman adakalanya naik  dan adakalanya ia turun.

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, " Sesungguhnya setiap amal ada masanya naik (rajin) dan setelah itu ia akan turun (futur). Barang siapa yang turun (amalnya) masih dalam  (batas-batas) sunnahku, sungguh ia dalam petunjuk (Allah). Dan barang sesiapa yang turun (amalnya) ia telah keluar dari sunnahku sungguh celaka ia."

Sahabat yang dimuliakan,
Di dalam madrasah Rasulullah s.a.w. sebelum sahabat-sahabat dihantar untuk berdakwah dan menyebarkan Islam di seluruh pelusuk dunia mereka telah menjalani proses tarbiyyah Imaniah. Hati dan jiwa mereka telah di isi dengan iman yang kuat kepada Allah s.w.t. Asas Tauhid Rububuyah dan Tauhid Uluhiyah benar-benar telah meresap masuk dalam jiwa mereka, sehinggakan mereka sanggup menyerahkan segala-galanya demi mencari keredhaan Allah s.w.t. Mereka menganggap sepi di atas kehidupan di dunia ini dan mengutamakan kehidupan yang kekal abadi di hari Akhirat nanti.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Sebagaimana Kami telah mengutus bagi kamu seorang Rasul, yang ia membacakan ayat-ayat Kami, membersihkan (jiwa) kamu serta mengajarkan kamu (ilmu) al-Kitab dan hikmah dan mengajarkan kamu (apa-apa) yang tidak kamu ketahui."
(Surah al-Baqarah ayat 151)

Ayat ini mengambarkan bahawa Rasulullah s.a.w melaksanakan misi melalui tiga pendekatan iaitu :
1. Membaca dan memberi pemahaman tentang ayat-ayat al-Qur'an, agar umat Islam mengenali dan mengetahui hakikat hidup di dunia ini secara jelas dan tepat. Mereka tahu mana yang Islam mana yang bukan, walaupun dalam perkara-perkara yang kecil.

2. Membersihkan jiwa umat Islam dari unsur-unsur syirik seterusnya menyucikan hati dan sifat-sifat terkeji dan berusaha mengisi dengan sifat terpuji dan akhlak yang baik.

3. Mengajarkan ilmu dan hikmah, yang mana ianya dapat diperolehi melalui apa yang Allah turunkan melalui al-Qur'an dan diperjelaskan oleh Nabi s.a.w.

Sahabatku,
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"(Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk dan berbaring serta berfikir mengenai penciptaan langit dan bumi (oleh Allah), 'Ya Tuhan kami tidaklah Engkau ciptakan (semua ini) dengan sia-sia'." (Surah Ali-Imran ayat 191)

Allah s.w.t telah mengambarkan persepaduan antara zikrullah denga berfikir dapat menunjukkan pengenalan kepada Tuhan secara tepat. Persepaduan zikir dan fikir yang sesuai akan menghantarkan seseorang kepada pengenalan Tuhan dan alam semesta dengan tepat dan kemudian ia dapat memanfaatkan alam dan seisinya dengan petunjuk wahya. Kefahaman yang benar dan asli dan zikir dan fikir akan mampu menunjukkan kepada jalan yang benar.

Akhirkata,marilah sama-sama kita fikir dan renungkan sejenak bahawa untuk mendapat kebahagiaan mengikut nilai dan neraca Allah bukanlah suatu yang mudah tetapi ianya bukanlah terlalu sukar untuk kita capai. Allah s.w.t. tidak memaksa kita diluar kemampuan kita. Oleh itu marilah kita berusaha untuk berada di atas jalan dakwah ini. Tugas kita adalah memahami dan meyakini Islam dan seterusnya menyampaikan Islam kepada orang lain. Tidak ada kerja yang lebih mulia melainkan mengajak kepada yang ma'ruf dan mencegah yang mungkar dan mengajak manusia untuk memperhambakan diri kepada Allah s.w.t

Sunday, December 20, 2009

Berhati-hati Dengan Godaan Dunia

Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Menurut Islam seluruh hidup kita ialah ibadah. Ibadah terbahagi dua iaitu ibadah khusus dan ibadah umum. Ibadah khusus adalah ibadah seperti solat, puasa, haji dan membaca al-Qur'an. Manakala tolong menolong, rajin, menjaga kebersihan, bercakap benar, taat pada ibu bapa, taat pada suami, mengasihi isteri dan seumpamanya dinamakan ibadah umum.

Islam mahukan penganutnya melakukan kedua-dua jenis ibadah itu iaitu ibadah khusus dan ibadah umum. Apabila  seorang Muslim melakukan kedua-dua ibadah itu bererti dia sentiasa dalam ibadah. Tiada waktunya yang disia-siakan kerana semua aktivitinya disukai oleh Allah s.w.t. dan mendapat pahala. Bagi menjadikan seluruh hidup kita sebagai ibadah maka beberapa perkara harus dihayati secara berterusan.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hendaklah kita yakin bahawa Allah s.w.t. sahaja yang berkuasa, yakin kepada Tauhid Rububiyah dan Tauhid Uluhiyah. Juga yakin bahawa Nabi Muhammad s.a.w ialah seorang manusia yang dipilih oleh Allah s.w.t. untuk mendapat berita dari langit (wahyu) dan baginda menjadi contoh. Kita meniru contohnya dalam ibadah khusus dan ibadah umum. Kita mesti meyakini bahawa al-Qur'an ialah panduan tertinggi untuk semua manusia, dimana sahaja dan pada zaman mana sekalipun.

Sentiasa berusaha untuk menjadikan diri bermanfaat kepada orang lain, dan berlumba-lumba untuk membuat kebaikan. Sentiasa ringan tangan untuk bersedekah, bantu membantu dan sentiasa menganjurkan kebaikan sesama manusia.

Sebagai seorang Muslim perlu membina keluarga yang harmoni. Ibu bapa, anak-anak dan suami isteri hendaklah tahu tanggung jawab masing-masing dan melaksanakannya. Sebagai ketua keluarga seorang suami wajib mencari rezeki yang halal dan diberkati Allah. Untuk menjadikan rezeki itu berkat, segala usaha mencari rezeki itu tidak melalaikan ibadah khusus, contohnya tidak meninggalkan solat. Juga tidak melalaikan dari ibadah umum. Disamping itu usaha mencari rezeki tidak mencuri masa keluarga. Masa untuk mendidik lebih utama daripada gairah mencari pendapatan lebih dan lumayan. Perlu pastikan bahawa anak-anak membesar dengan diberi kasih sayang dan didikan yang sempurna supaya mereka akan menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.

Sahabat yang dimuliakan,
Hidup sederhana dalam pakaian, makanan dan perhiasan. Tidak mewah dan bermegah dengan apa yang dimiliki. Bermewah ialah berlebihan daripada yang diperlukan. Seorang Muslim pelu melihat apa yang ada disekelilingnya, anak-anak yatim, fakir miskin dan jiran-jirannya. Bersedia memberi bantuan jika mereka memerlukan pertolongan. Sesungguhnya tidak sempurna iman seseorang kamu apabila dia kenyang sedangkan jirannya kelaparan.

Seluruh kehidupan ialah nikmat dari Allah s.w.t. Kita disuruh menikmati nikmat yang diberi tetapi harus bersifat rendah diri kepada-Nya. Cuba perhatikan rayuan hati yang diisyaratkan oleh al-Qur'an sebagai adab manusia terhadap Penciptanya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "....Wahai Tuhanku, berilah aku  keampunan supaya bersyukur kerana nikmat yang Engkau telah anugerahkan kepadaku dan kepada kedua ibu bapaku, dan supaya aku dapat mengerjakan perbuatan baik yang Engkau sukai dan perbaikilah keturunan aku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau, dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang Muslim."
(Surah al-Ahqaf ayat 15)

Sahabatku,
Kehidupan di dunia adalah kehidupan yang sementara, hakikat yang bernyawa akan mati. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "...di bumi ada tempat kediaman dan kesenangan hidup untukmu hingga ke waktu yang ditentukan." Selepas kematian akan terdapat alam lain yang lebih panjang iaitu alam Barzakh (kubur), alam Bangkit (Qiyamat), alam Mahsyar, alam Mizan (Timbangan), alam Pengadilan, alam Titian Sirat dan akhir sekali alam Akhirat iaitu samaada mendapat Syurga atau kecelakaan Neraka selama-lamanya.

Sesiapa yang menganggap kehidupan ini bersifat sementara akan bersedia menghadapi segala kesusahan hidup yang sementara, tidak berkeluh-kesah dan tidak kecewa. Kesenangan pula dianggap sebagai kesenangan sementara yang akan luntur dan luput bila-bila masa. Kesihatan dan kegagahan badan akan mengalami sakit dan tua. Kecantikan akan dilamar cacat dan kendur dimakan usia. Harta akan pupus kerana rosak, susut nilai atau hilang dicuri orang. Allah s.w.t. sahaja akan kekal selama-lamanya. Teman setia kita yang akan kekal bersama-sama kita adalah amal soleh dan ketaatan kepada Allah s.w.t. Tanda orang yang menganggap hidup ini sementara ialah dia tidak keberatan atau sedih berpisah dari dunia dan hartanya. Manakala terdapat orang yang ingin agar hidupnya lebih lama dan engan berpisah dengan dunia dan hartanya.

Kehidupan dunai adalah gurauan dan tipu daya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "Dan tidaklah kehidupan dunia ini melainkan gurauan dan tipu daya." (Surah Ali-Imran ayat 185).Perkara gurauan tentunya olok-olok (main-main). Indah olok-olok, kaya olok-olok, seronok olok-olok, susah olok-olok,glamour olok-olok. Takkan kerana olok-olok kita harus menempah susah akhirat yang sebenar! Takkan kerana olok-olok kita tak menghiraukan larangan Islam! Kesenangan sebenar ialah ternanti di hari Akhirat.

Ketika Malaikat Maut melangkah masuk ke dalam rumah seseorang yang sedang nazak akan nampak yang sebenar. Ketika itu penyesalan tidak berguna. Jika dia memang bersedia dengan perbuatan taat kepada Allah s.w.t. dan menjalani hidup dalam Islam wajah Malaikat Maut kelihatan berseri ketika datang hendak mencabut nyawanya. Kubur pula akan berkata, "Kamulah antara orang yang aku suka semasa di dunia." Tergambar pada simati nikmat yang bakal dirasai dari alam Kubur hingga ke alam Akhirat.

Sahabat yang dimuliakan,
Usia kita umpama satu harga. Kemungkinan dengan harga itu kita membeli kehidupan dunia dan mengabaikan kehidupan akhirat kerana kehidupan dunia kelihatan masyhur direbut orang. Juga kerana kehidupan dunia dipersembah hingga mempersonakan mata. Kemugkinan juga kita meletakkan harga rendah pada kehidupan akhirat. Bagi orang beriman ia selalu berwaspada dan memilih kehidupan akhirat dan meletakkan harga mahal untuk kehidupan akhirat. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "...(Orang-orang beriman) tidak membeli ayat-ayat Allah dengan harga murah. Mereka memperolehi pahala di sisi Tuhan, sesungguhnya Allah itu cepat membuat perhitungan." (Surah Ali-Imran ayat 199)

Akhirkata, marilah sama-sama kita membeli kehidupan akhirat dengan harga yang mahal, dengan kita menjualkan kehidupan dunia ini. Orang yang cedik adalah menggunakan modal yang sedikit dan murah untuk mendapat keuntungan yang besar dan  berkualiti. Jadikan hati kita sentiasa terpaut dan terpengaruh denga iklan akhirat yang terdapat dalam al-Qur'an dan hadis Nabi s.a.w , sahabat-sahabat baginda, ulama-ulama  dan solihin. Dan jauhkan diri kita dari terpengaruh dengan iklan dunia yang dipromosikan oleh orang-orang kafir, munafik dan ahli maksiat. Sesungguhnya sesiapa yang mengambil kehidupan dunia ini habis-habisan dia akan tertipu. Orang yang bijak ialah mereka yang mengambil kehidupan dunia seperti bercucuk tanam dan ingin memetik hasilnya di akhirat dan tidak akan tertipu insya Allah.

Thursday, December 17, 2009

Hijrah Bukti Kebijaksanaan Rasulullah.

HIJRAH bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat atau berubah daripada satu keadaan kepada satu keadaan lain. Dari sudut istilah pula, hijrah adalah meninggalkan sesuatu yang dilarang.

Ia berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Habsyi, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah."
 (Hadis riwayat Abu Dawud)

Maknanya, hijrah difahami sebagai perpindahan daripada suatu keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik. Contohnya, meninggalkan ajaran bertentangan dengan Islam dan kembali kepada ajaran Islam sebenar.


Pada asasnya, peristiwa hijrah bukan saja berlaku kepada Nabi Muhammad s.a.w., tetapi turut dilakukan nabi yang lain atas perintah Allah. Nabi Ibrahim a.s. umpamanya diperintahkan Allah berhijrah ke satu tempat seperti firman-Nya yang bermaksud:
"Selepas Nabi Lut beriman kepada-Nya dan Nabi Ibrahim pun berkata: Aku hendak berhijrah kepada Tuhanku, sesungguhnya Dialah juga yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."
 (Surah al-Ankabut, ayat 26)

Selain Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s. juga diarahkan berhijrah kerana ancaman pembunuhan terhadap baginda. Selain itu, banyak ayat al-Quran yang menerangkan peristiwa hijrah Nabi Musa a.s. ke tempat Madyan, atas cadangan seorang lelaki yang mengetahui ada pakatan bunuh terhadap Nabi Musa a.s.. Begitu juga Nabi Noh yang diperintahkan berhijrah kerana akan berlaku banjir besar.

Bagaimanapun, dalam konteks hari ini, hijrah yang disambut setiap tahun lebih kepada memperingati peristiwa penghijrahan Rasulullah s.a.w. dan sahabat dari Kota Makkah al-Mukarramah ke Kota Madinah al-Munawwarah.

Peristiwa hijrah itu menyingkap satu perjuangan yang pantang menyerah atau mengaku kalah di samping ia menjadi garisan pemisah antara kebenaran dan kebatilan. Ia juga diibaratkan satu jambatan yang menghubungkan antara dua tahap masa perjuangan Rasulullah s.a.w. iaitu, di Makkah selama 13 tahun dan kedua, di Madinah selama 10 tahun.

Ia bermakna Rasulullah s.a.w. berhijrah bukan untuk lari atau meninggalkan medan perjuangan, sebaliknya meneruskan perjuangan. Malah, hijrah memberikan harapan dan membayangkan keberhasilan perjuangan pada masa depan.

Justeru, hijrah adalah tonggak perjuangan sangat bermakna. Hijrah juga fajar kemenangan yang menentukan kemenangan demi kemenangan perjuangan Nabi s.a.w. dan sahabat yang berhijrah menyahut panggilan dan keimanan.

Hijrah itu berlaku atas dorongan iman yang kuat dan suci. Tanpa iman, pasti mereka akan berasa berat untuk meninggalkan keluarga, sanak saudara, kampung halaman dan kota kelahiran. Namun, demi mempertahankan cita-cita luhur yang lahir daripada iman kepada Allah dan Rasul-Nya, ia menguatkan semangat mereka untuk berhijrah.

Mereka juga menyedari tanpa pengorbanan dan perjuangan kental, hasrat atau cita-cita murni itu pasti terkubur. Justeru, mereka bersiap sedia untuk berjihad dengan ikhlas kerana Allah. Mereka berhijrah demi memenuhi panggilan iman, mempertahan dan mencapai cita-cita murni itu.

Mereka menghadapi apa saja rintangan, tekanan dan pelbagai kesulitan dalam perjalanan jihad itu dengan penuh sabar, tabah dan hati yang teguh. Hijrah Nabi s.a.w. dan sahabatnya bukan bererti menjadi orang yang kalah atau tersingkir. Hijrah yang penuh tentangan dan halangan itu memberi mereka peluang untuk meraih kemenangan.

Peristiwa hijrah juga memperlihatkan banyak kebijaksanaan Rasulullah s.a.w., bagaimana baginda mengutamakan pembinaan masjid pertama di Madinah dikenali sebagai Masjid Quba. Ia juga memperlihatkan fungsi kepentingan masjid dalam Islam. Masjid kedua yang didirikan Nabi ialah Masjid Nabawi.

Seterusnya, kebijaksanaan baginda mempersaudarakan kaum Muhajirin (sahabat Nabi s.a.w.  yang sama-sama berhijrah dari Makkah ke Madinah) dan kaum Ansar, yang bersedia menerima kedatangan mereka di Madinah.

Baginda juga berusaha mengadakan beberapa kesepakatan dengan golongan Yahudi dan Nasrani di Madinah untuk mewujudkan suasana aman damai dan harmoni.

Melihat kepada perancangan baginda, marilah kita sama-sama mencontohi semangat hijrah yang terkandung padanya banyak hikmah dan iktibar. Antara teladan yang boleh dipelajari daripada hijrah Nabi ialah komitmen baginda memperbaiki dan membangunkan ummah, yakni membangun ummah beriman, bertakwa, bersaudara, bergotong-royong, saling membantu dan hidup dalam damai dan harmoni dengan umat agama lain.

Hijrah baginda bukan untuk kerehatan, tetapi meneruskan perjuangan dakwah, kerja keras dan berkorban demi kebaikan ummah. Inilah masanya untuk umat Islam di Malaysia menghayati roh hijrah ini untuk diguna pakai dalam konteks semasa iaitu membina semula kegemilangan tamadun Islam.

Tamadun Islam tidak dapat dibina dengan slogan indah atau retorik manis semata-mata, sebaliknya ia menuntut satu jihad, pengorbanan, kesungguhan dan komitmen yang jitu untuk menjulang panji Islam ke persada dunia.

Hijrah juga mengajar makna perpaduan. Cuba renungkan kejayaan Rasulullah s.a.w. menyatukan dua kumpulan yang sebelum itu yang saling bermusuhan, iaitu Aus dan Khazraj. Atas nama persaudaraan dan demi kasih sayang kepada Allah, dua kumpulan itu akhirnya dapat disatukan.

Dalam konteks kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia, wajar umat Islam mempamerkan semangat toleransi dan rahmah sejajar dengan Islam sebagai ad-Deen yang amat menitikberatkan soal kedamaian sejagat dan kesejahteraan ummah.

Justeru, Islam dari awal lagi menganjurkan umat Islam supaya bekerjasama dan bertoleransi antara satu sama lain dalam memakmurkan bumi Allah ini. Bumi Allah adalah milik semua makhluk diciptakan Allah dan ia bukan milik atau kepunyaan istimewa satu kaum atau bangsa tertentu.

Malah, semuanya diberikan hak dan keistimewaan sama rata untuk bersama mendiami alam ini di samping memakmurkannya ke arah kejayaan dan kebahagiaan sejagat.

Oleh itu, Islam melarang keras sebarang bentuk penindasan, kezaliman, kekejaman atau permusuhan dengan bangsa lain biarpun berlainan akidah dan kepercayaannya kerana Islam adalah ad-Deen yang bersifat rahmat kepada sekalian alam.

Firman Allah yang bermaksud:
"Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam."
 (Surah al-Anbia, ayat 107)


(Di petik dari tulisan Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi)







































Do'a Agar Banyak Berzikir, Syukur dan Taat.

Sahabat yang dimuliakan,
Do'a dan zikir adalah senjata orang Mukmin, manakala bersyukur dan melakukan ketaatan adalah natijah dari jiwa yang beriman dan bertakwa kepada Allah s.w.t. Do'a dan zikir mampu menjadi pendorong utama untuk menguatkan rohani dan jiwa.

Seorang Muslim Mukmin yang sentiasa dalam hidupnya  berdo'a dan berzikir kepada Allah s.w.t., kekuatan dalamannya amat luar biasa dan akan mencapai kecemerlangan dalam hidupnya berbanding mereka yang dalam hidupnya tidak mahu berdo'a dan berzikir dan hanya bergantung pada akal fikirannya semata-mata untuk mencapai sesuatu perkara. Perancangan macamana hebat sekalipun apabila ianya dibuat tanpa memohon pertolongan Allah s.w.t. maka ianya tidak akan berjaya dan kalau berjaya sekalipun ianya tidak akan berkat dan akhirnya akan menemui jalan buntu dan kegagalan.

Segala kekuatan lahir, pengalaman, kemahiran dan kekuatan batin daripada tenaga dalaman akan dipadukan untuk mencapai apa-apa yang dihajatkan. Apabila diketengahkan dan diamalkan dalam kehidupan seharian do'a dan zikir mampu menjadi senjata yang ampuh.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Do'a dan zikir adalah suara hati. Namun jika do'a dan zikir itu kita ambil daripada do'a-do'a dan zikir-zikir yang diamalkan oleh Nabi s.a.w untuk memohon daripada Allah s.w.t.maka ianya menjadi lebih kuat dan mustajab.

Nabi s.a.w. berwasiat kepada Muaz bin Jabal r.a agar dapat mengamalkan do'a ini setiap lepas solat :
"Allahumma inni ala zikrika wasyukrika wahusni ibadatik"
(Ya Allah, tolonglah aku agar dapat berzikir kepada-Mu (mengingati Allah), bersyukur kepada-Mu, dan memperelokkan ibadah kepada-Mu.) - Riwayat Abu Daud.

Do'a untuk keselamatan dunia dan akhirat :
"Allahumma inni asalukal 'afiya fiddunia wal akhirah"
(Ya Allah, aku memohon kepada-Mu kesejahteraan di dunia dan akhirat) - Riwayat Tirmizi.

"Rabbana atinaa fiddunia hasanah wa fil akhirati hasanah wakina azabannar"
(Ya Allah, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan lindungilah kami daripada azab api Neraka) - Riwayat Bukhari.

Akhirkata peruntukkanlah masamu untuk beribadah, berdo'a dan berzikir kepada Allah s.w.t. terutama diseperiga malam untuk menambahkan kekhusyukan kepada-Nya. Kesemua amalan soleh ini akan menjadikan diri kita cemerlang dalam kehidupan di dunia dan di hari Akhirat.

Wednesday, December 16, 2009

Nasihat Nabi s.a.w. Kepada Abu Zar r.a.

Abu Zar r.a. meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :

"Aku menasihatkanmu;

* Kamu hendaklah bertakwa kepada Allah kerana Ianya sumber segala amalan.

* Utamakanlah bacaan al-Qur'an dan zikrullah kerana dengan itu nama kamu akan disebut dilangit dan sebabkan nur dipermukaan bumi.

* Perbicarakanlah yang baik-baik atau senyap nescaya syaitan akan terhindar darimu dan kamu akan ditolong tentang urusan-urusan agamamu.

* Janganlah sekali-kali banyak ketawa kerana dengan itu hatimu akan mati dan cahaya dari wajahmu akan lenyap.

* Utamakan jihad kerana itulah kebanggaan umatku.

* Hendaklah mengasihi orang-orang miskin dan mengauli mereka.

* Dan perhatikanlah keadaan mereka yang lebih rendah daripada keadaanmu.

* Janganlah sekali-kali memperhatikan keadaan mereka yang lebih tinggi daripada keadaanmu kerana dengan ini kamu tidak dapat mensyukuri nikmat-nikmat Allah yang Ia kurniakan kepada kamu.

* Hendaklah mengukuhkan silaturahim dengan kaum kerabatmu walaupun mereka memutuskan perhubungan mereka denganmu.

* Hendaklah berbicara yang benar walaupun dirasai pahit.

* Jangan sekali-kali menghiraukan para pencela mengenai urusan-urusan agama Allah.

* Carilah keaiban dirimu sendiri, janganlah sekali-kali menghebuhkan keaiban orang lain.

* Janganlah sekali-kali memurkai seseorang kerana keburukannya yang terlibat di dalam dirimu sendiri.

Wahai Abu Zar,

* Tidak ada kebijaksanaan yang lebih bernilai daripada tindakan yang sewajarnya,

* Sebaik-baik takwa ialah menjauhi segala larangan dan

* Tidak ada kemuliaan yang setimpal dengan akhlak yang sempurna."

Pengajarannya :
Berdasarkah hadis di atas yang diriwayatkan oleh Abu Zar r.a, Nabi s.a.w telah menjelaskan beberapa perkara mengenai ciri-ciri akhlak Islam dan amal soleh yang perlu ada pada diri seorang Mukmin. Walaupun nasihat ini ditujukan kepada sahabat baginda (Abu Zar) tetapi sebenarnya ia adalah ditujukan untuk semua umat Islam untuk mencapai tahap akhlak Islam dan amal soleh yang sempurna. Sekiranya kita fahami dan melaksanakan apa yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w, insya Allah kita akan menjadi Mukmin yang sempurna dan memiliki peribadi yang mulia.    


Tuesday, December 15, 2009

Tarbiyyah Hati Untuk Kesejahteraan Hidup

Sahabat yang di rahmati Allah,
Di dalam kehidupan kita mencari keredhaan Allah s.w.t., kita perlulah memperhambakan diri kepada-Nya dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Perhambaan ini perlu berlaku dengan amalan zahir dan amalan batin (hati). Amalan batin (pembersihan hati dan jiwa) amat penting sekali daripada amalan zahir kerana apabila dalaman seseorang telah bersih maka ia akan melahirkan amalan luaran yang bersih pula. Tetapi apabila amalan zahir nampak hebat dan banyak sedangkan batinnya kotor dengan perasaan ujub dan riak maka amalan zahirnya tidak ada nilai disisi Allah s.w.t.

Sahabat yang dimuliakan,
Apabila tubuh badan memerlukan latihan supaya segar dan sihat, maka hati kita juga perlu dilatih dan dididik supaya ia menjadi sihat dan khusyu'. Hati yang khusyu' amat diperlukan dalam ibadah dan seterusnya dalam kehidupan. Hati yang hidup dan sihat adalah hati yang apabila disebut nama Allah s.w.t. terasa gementar dan apabila dibacakan al-Qur'an bertambah Imannya. Hati seperti ini akan bersih dari keduniaan dan akan lahirkan keikhlasan kepada Allah s.w.t. dalam setiap tindak-tanduk perbuatannya. Manusia melihat zahir kita sedangkan Allah melihat hati kita. Untuk memiliki hati yang khusyu' ia perlu dilembutkan dahulu dan disinilah lahirnya pelbagai cara dalam melahirkan jiwa yang khusyu'.

Sahabat yang dihormati,
Terdapat beberapa amalan yang yang diambil daripada al-Qur'an dan As-Sunnah dan ulama-ulama muktabar untuk melahirkan hati yang bersih dan khusyu' adalah seperti berikut :

1. Tafakur dan muhasabah ;
Kita hendaklah sentiasa merenung kehidupan kita, bermuhasabah tentang hubungan hati kita dengan Allah s.w.t. Fikirkan betapa banyaknya dosa-dosa yang telah kita lakukan, tugas dan amanah yang telah kita tinggalkan dan betapa kurangnya amal soleh kita dan rasa tidak mampu nak berhadapan dengan Allah s.w.t. di hari Akhirat nanti. Sayyidina Umar setiap malam bertafakur dan bermuhasabah dan mengenangkan akan dosa-dosanya.

2.Beristighfar ;
Rasulullah s.a.w beristighfar sebanyak 70 kali sehari semalam. Walaupun baginda bersifat maksum dan telah diampunkan dosanya oleh Allah s.w.t yang kemudian dan yang akan datang, baginda tetap memohon ampun kepada Allah s.w.t. tanda bersyukur baginda kepada-Nya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Tiadalah Tuhan akan menyiksa mereka, sedangkan engkau berada diantara mereka, dan tiadalah Tuhan hendak menyiksa mereka selama mereka beristigfar."
(Surah al-Anfal ayat 33)

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Dan mohonlah keampunan kepada Tuhan kamu dan kembalilah kepada-Nya nescaya Dia akan mengurniakan pemberian yang baik kepada kamu hingga ke waktu yang ditentukan."
(Surah Hud ayat 3)

3.Berselawat kepada Nabi s.a.w ;
Sesiapa yang banyak berselawat keatas junjungan Nabi s.a.w akan mendapat syafaat dihari Akhirat nanti ketika itu tiada siapa yang dapat membantunya. Berselawat juga dapat melahirkan kecintaan kepada baginda dan ahli keluarganya.

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Barangsiapa yang berselawat kepadaku sekali, nescaya Allah akan membalasnya dengan selawat keatasnya sepuluh kali."

Firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada Nabi, wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah ke atasnya dan mengucap salamlah kepadanya dengan sepenuh salam (kehormatan).

4.Mengingati mati ;
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "Perbanyakkan mengingati mati, kerana yang demikian itu akan mengurangkan seseorang itu melakukan dosa dan zuhud pada dunia."

Imam al-Ghazali mengatakan, "Dengan meningati mati, hati kamu menjadi lembut."

5.Berzikir dalam hati ;
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : "Sebaik-baik zikir ialah yang dirahsiakan (dalam hati) dan sebaik-baik rezeki ialah yang mencukupi."

Dalam hadis yang lain baginda bersabda yang bermaksud, "Bagi segala sesuatu ada penggosok untuk membersihkan dan menghilangkan kekotorannya. Maka begitulah penggosok (pembersih) hati ialah zikrullah."

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Berzikirlah kepada Tuhanmu dalam hatimu dengan rendah hati dan perasaan takut."

Sebahagian ulama tasauf mengatakan zikir yang dimaksudkan di dalam hadis di atas ialah zikir qalbi (zikir dalam hati) bukan zikir lisan. Dengan mengerjakan zikir qalbi itu seseorang manusia terhubung dengan Allah s.w.t. selama-lamanya. Oleh kerana hati adalah 'raja' kepada anggota-anggota badan yang lain, dalam melakukan ibadah, jika hati sentiasa berhubung dengan Allah, maka anggota-anggota lainnya dengan sendirinya akan berhubung dengannya. Contohnya dalam keadaan kita berseorangan atau dalam kenderaan daripada fikiran kita berhayal dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah eloklah kita zikir dalam hati dengan menyebut Allah, Allah... berulang-ulang.

6.Zikir secara jihar (lisan) ;
Sayyidina Umar al-Khattab pernah ditanya mengapa beliau cenderung untuk berzikir jihar, beliau menjawab ; "Aku melakukan demikian untuk menyedarkan orang-orang yang lalai dan supaya syaitan-syaitan akan menjauhkan diri daripada sisiku."

Imam al-Ghazali amat menekan zikir jihar beramai-ramai kerana ia mempercepatkan keasyikan hati dan berlakunya tolong menolong antara satu sama lain dalam meningati Allah s.w.t.

7.Berdo'a kepada Allah s.w.t. :
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Dan Tuhan kamu berfirman : 'Mohonlah kepada-Ku nescaya Aku akan memperkenankan permohonan kamu."
(Surah al-Mukminin ayat 180)

Perbanyakkanlah berdo'a kepada Allah s.w.t. setiap masa. Selepas solat fardu, selepas membaca al-Qur'an, selepas solat tahajud di tengah malam dan ditempat-tempat yang afdhal do'a, kerana dengan banyaknya do'a hati akan menjadi bersih, lembut dan sejahtera.

Akhirkata, teruskanlah tarbiyyah hati  supaya hati yang bersih dan sejahtera akan membawa kepada hubungan yang akrab dengan Allah s.w.t. dan juga membawa kepada kesejahteraan hidup di dunia dan di hari Akhirat.

Pemimpin Yang Tidak Sombong

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

"Aku adalah pemimpin anak Adam pada hari kiamat dan tidak sombong, di tanganku panji-panji pujian dan tidak sombong. Tidak seorang nabi pun baik Nabi Adam mahupun yang lainnya melainkan berada di bawah panji-panjiku dan aku adalah orang pertama yang memberi syafaat dan orang yang pertama yang diterima syafaat dan tidak sombong."

(Hadis Hasan Riwayat  Ahmad, Tirmidzi dan Ibnu Majah dari Abu Sa’id)

Pengajarannya :
Rasulullah s.a.w. adalah contoh pemimpin yang tidak sombong samaada di dunia maupun di hari Akhirat. Baginda memimpin dengan penuh adil, saksama dan bertanggung jawab dalam kepimpinannya. Oleh itu sesiapa sahaja yang telah dilantik menjadi pemimpin dalam apa bidang sekali pun hendaklah memimpin dengan adil dan buangkan segala sifat sombong. Sesungguhnya sesiapa sahaja pemimpin yang ada sifat ini akan dimurkai oleh Allah s.w.t.













Sunday, December 13, 2009

Kembalilah Menghayati al-Qur'an

Sahabat yang dirahmati Allah,
Alhamdulillah, pertama marilah kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t. yang masih memanjangkan usia kita, masih diberi peluang untuk menyedut dan bernafas dengan udara-Nya., di berinya kesihatan dan masih berada di dalam keadaan beriman kepada-Nya.

Selawat dan salam kita tujukan buat Ar-Rasul Muhammad s.a.w., Rasul dakwah dan Rasul Tarbiyyah. Contoh yang telah ditunjukkan baginda itulah ikutan utama kita dalam segala keadaan samaada mudah atau sukar. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud, " Sesungguhnya telah ada untuk kamu pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang paling baik, bagi sesiapa yang mengharapkan Allah dan hari Akhirat dan banyak mengingati Allah."

Sahabat yang dimuliakan,
Kitab suci al-Qur'an yang diwahyukan oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Muhammad s.a.w adalah merupakan kitab suci yang sempurna dan lengkap, dan menjadi peduman hidup manusia di dunia. Al-Qur'anul karim perlu dibaca, difahami, diyakini dan dilaksanakan dalam kehidupan.

Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna pernah berkata, "Pesanku kepadamu wahai saudara-saudara...hendaklah sentiasa menghubungkan diri dengan al-Qur'an pada setiap detik dan masa. Andaikata saudara melakukan sedemikian, nescaya saudara akan merasa betapa agungnya Pencipta yang Maha Tinggi itu. Sebenarnya siapa yang berbuat demikian tidak dapat tidak akan bertambah keimanan terhadap keagungan Pencipta lalu bertambah lagi ketundukannya kepada kekuasaan-Nya...."

Sahabat yang dihormati,
Apakah kita setiap hari membaca al-Qur'an? Adakah al-Qur'an yang kita baca kita melihat pula makna dan tafsirnya untuk memahami maksud perintah dan larangan Allah s.w.t? Kesemua keadaan ini bergantung sejauh mana keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. Semakin tinggi iman dan takwa kita maka semakin banyak dan kerap kita membaca dan meneliti segala intisari yang terdapat di dalam al-Qur'an. Apabila kita jarang atau tidak pernah membaca al-Qur'an, dan gagal menfaatkan masa yang terluang untuk memahami dan menghayati mukjizat dan hikmah al-Qur'an maka itulah sebenarnya kayu pengukur hubungan hati kita dengan Allah s.w.t. Percayalah sebenarnya kita telah lari jauh dari rahmat Allah s.w.t. sekiranya kita jauh dari al-Qur'an.

Tidak ada yang lebih mendekatkan diri kita kepada Allah daripada ketika kita bersama qalam-Nya, hanya dengan al-Qur'an kita akan mendapat rahmat mendengar 'suara-Nya' yang berkata-kata dengan kita. Justeru, jadikanlah keinginan untuk datang hampir kepada Allah sebagai tujuan sebenar ketika membaca al-Qur'an.

Sahabatku,
Banyak hadis-hadis Nabi s.a.w. yang menjelaskan keutamaan, kebaikan dan hikmah kita belajar al-Qur'an (belajar membaca dengan tajuid, memahami makna dan tafsirnya), dan mengajarkan pula pada orang lain.
Hati manusia ini adalah seperti besi bila ditimpa air ia berkarat, maka untuk menggilapnya hendaklah banyak membaca al-Qur'an dan mengingati kematian.

Oleh itu marilah sama-sama kita memohon perlindungan daripada Allah s.w.t. dari memiliki hati yang keras dan mata yang tidak pernah menitiskan air mata penyesalan di atas segala dosa yang telah kita lakukan kepada Allah s.w.t.. Kita mengharapkan diberi Allah peluang dan kekuatan untuk termasuk ke dalam golongan hamba-hamba-Nya yang berjaya memakmurkan bumi Allah ini dengan sinar keimanan yang didapati daripada al-Qur'an.

Marilah sama-sama terus berdo'a kepada Allah semoga hati kita dibersihkan daripada kesan-kesan jahiliah yang cukup kuat menguasai manusia hari ini. Lebih-lebih lagi kita sekarang ini sedang berada dalam masyarakat yang tidak mengambil Allah sebagai Ilah dan Rabb. Semoga Allah s.w.t. memberi kekuatan untuk mengamalkan dan melaksanakan tanggungjawab Islam yang telah ditetapkan.

Pastikan setiap hari tidak ada masa kalian yang tidak diisi dengan membaca al-Qur'an. Bacalah setiap hari samaada satu surah, satu muka atau pun satu ayat. Insya Allah hidup kalian akan diberkati Allah!

Saturday, December 12, 2009

Jagalah Hak-hak Allah

Ibnu Abbas berkata, " Pada suatu hari aku berada di belakang Nabi s.a.w. Baginda bersabda kepadaku :
 'Wahai anakku, sesungguhnya aku akan mengajarmu beberapa kata ini sebagai nasihat buatmu :
Jagalah hak-hak Allah, nescaya Allah pasti akan menjagamu. Jagalah dirimu dari berbuat dosa terhadap Allah, nescaya Allah akan selalu berada di hadapanmu. Apabila engkau menginginkan sesuatu, mintalah pada Allah. Dan apabila engkau menginginkan pertolongan, mintalah pertolongan pada Allah. Ketahuilah, bahawa apabila seluruh umat manusia berkumpul untuk memberi manfaat padamu, mereka tidak akan mampu melakukannya kecuali apa yang dituliskan oleh Allah di dalam takdirmu itu. Juga sebaliknya, apabila mereka berkumpul untuk memudharatkanmu, nescaya mereka tidak mampu memudharatkan dirimu sedikitpun kecuali atas kehendak Allah. Pena telah diangkat dan lembaran takdir telah kering (telah digariskan ketentuan Allah)."
(Hadis Riwayat Tirmidzi)

Dalam riwayat yang lain disebutkan :
"Jagalah Hak Allah, nescaya engkau akan mendapati-Nya di hadapan kamu. Ingatlah Allah ketika engkau senang nescaya Dia akan mengingatimu ketika kamu susah. Ketahuilah bahawa segala sesuatu yang salah dalam dirimu tidak semestinya engkau langsung mendapat hukuman-Nya. Dan juga apa-apa yang menimpa dirimu dalam bentuk musibah atau hukuman tidak bererti disebabkan kesalahanmu. Ketahuilah bahawa pertolongan itu akan datang ketika engkau berada dalam kesabaran, dan bersama kesempitan akan ada kelapangan. Juga bersama kesulitan akan ada kemudahan."
(Hadis Sahih diriwayatkan Ahmad, Hakim, Thabarani, Ibnu Sinni, Al-Ajiri dan Adh-Dhiya')

Friday, December 11, 2009

Silaturahim Dapat Memanjangkan Usia Seseorang

Ketahuilah saudaraku.
SILATURAHIM ini dapat memanjangkan usia seseorang.
Mengikut riwayat, pada suatu ketika malaikat maut datang kepada Nabi Daud. Pada masa itu kelihatan seorang lelaki duduk di depannya.

Malaikat maut berkata "Enam hari lagi, orang ini akan dicabut nyawanya".

Bagaimanapun, selepas beberapa hari, Nabi Daud menjenguk lelaki itu yang ternyata dia masih hidup. Bahkan keadaannya bertambah sihat. Lelaki itu juga kelihatan bertambah muda berbanding sebelumnya.

Nabi Daud pun bertanya kepada malaikat maut,"Mengapakah demikian (dia masih hidup) sedangkan katamu tinggal enam hari saja lagi lelaki itu akan dicabut nyawanya?".

Malaikat maut pun menjawab. "Ketika itu, selepas beredar dari hadapanmu, dia sudah menyambung silaturahimnya yang sudah lama terputus, maka Allah menambahkan umurnya hingga 20 tahun lagi."

(Di petik dari sentuhanbayu-zieida92.biogspot.com)



Pengajarannya :
Berdasarkah kisah di atas dan bersesuaian dengan hadis Nabi s.a.w. menyatakan bahawa salah satu kebaikan dan hikmah menjalinkan ikatan silaturahim yang telah terputus adalah dipanjangkan usia oleh Allah s.w.t. Oleh itu kita hendaklah membaiki semula ikatan persaudaraan yang terputus samaada sesama keluarga, sahabat handai atau jiran tetangga. Lupakanlah perselisihan yang lama dan binalah ukuwah Islamiyah dan hidupkan semula ikatan silaturahim.

Seorang Mukmin adalah Khalifah Allah di Muka Bumi

Dari Abu Sa'id Al-Khudry r.a dari Rasulullah s.a.w. bahawasanya baginda bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya dunia ini adalah manis lagi hijau dipandang. Dan sesungguhnya Allah menjadikan kalian sebagai khalifah di dalamnya, maka Allah akan melihat bagaimana yang kalian perbuat. Kerananya, berhati-hatilah pada dunia dan berhati-hati kepada wanita, kerana sesungguhnya fitnah pertama yang menimpa bani Israel itu adalah fitnah wanita."
(Hadis Riwayat Muslim).

Sahabat yang dimuliakan,
Dalam hadis di atas Allah s.w.t. telah melantik manusia menjadi khalifah Allah di muka bumi. Apakah ciri-ciri seorang khalifah, yang mampu mentadbir muka bumi ini? Seorang Mukmin adalah orang yang layak menjadi khalifah. Seorang Mukmin yang kuat akan sentiasa memelihara apa yang bermanfaat baginya di sisi Allah. Ia betul-betul menjaga solat, zakat, puasa dan haji.

Menjaga apa yang bermanfaat bagi dirinya, seperti jujur, sedekah, amanah, amal ma'ruf nahi anil mungkar dan sentiasa mencari yang halal. Sentiasa mendidik isteri dan anak-anaknya dengan Deen dan aqidah Islam dan bersikap adil pada semua orang. Menjaga peribadinya dari mengumpat, menjadi batu api,hasad dengki, iri hati, sombong dan tidak merendahkan orang lain. Sentiasa menjaga pandangannya tidak memandang yang diharamkan, sentiasa menutup aurat dan sesuatu yang lahir dari lidahnya tidak menyakiti orang lain dan tidak mendatangkan dosa.

Orang Mukmin juga tidak merasa lemah dan sentiasa merasa mampu dan keyakinan diri yang kuat untuk melaksanakan amanah yang dipikulkan ke atas  dirinya. Ia juga sentiasa berhati-hati di dunia ini, dalam hatinya tidak masuk kecintaan pada dunia tetapi mengunakan sepenuhnya kenikmatan dunia untuk mencapai kebahgiaan di hari akhirat.Ia juga sentiasa berwas pada pada wanita supaya tidak timbul fitnah, kerana sesungguhnya fitnah pertama yang menimpa bani Israel adalah fitnah wanita.

Thursday, December 10, 2009

Tunaikan Tugas Dakwah ini!

Sahabatku yang dirahmati Allah,
Keyakinanmu pada Islam,  menuntut supaya kau laksanakan Islam ini dalam kehidupanmu dan sampaikan pada orang lain walaupun masyarakat menolaknya.
Jadikanlah dirimu sebagai batu-bata yang kuat dan mantap menuju binaan umat ini.
Teruskan dakwah ini tanpa rasa letih dan jemu, sesungguhnya nur kemenangan akan menerangi alam maya ini, bila kau gigih mengalas tugas yang besar ini dengan menunjukkan contoh yang baik.

Sahabatku yang dikasihi Allah,
Bercakap benarlah dan jangan sekali-kali kau berdusta,
walaupun ada telinga yang terasa perit mendengarnya.
Tepatilah janjimu, janganlah kau mungkiri,
 kerana sesungguhnya menyalahi janji adalah sebahagian sifat nifak.
Luruskan lidahmu kerana lidah yang benar akan menyelamatkan dirimu dari balasan yang menyakitkan di alam Akhirat yang kekal abadi.

Keberanian dan kesungguhanmu laksanakan amanah ini,
 menaikkan 'maqammu' di sisi yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
 Sesungguhnya menyatakan kebenaran ditengah-tengah kerosakkan umat, tanpa takut dan gentar adalah jihad yang benar.
Kemuliaan inilah yang diperoleh oleh para ambia, auliya, sidiqin, syuhada dan solihin.

Sahabat yang dihormati,
Kalian hendaklah bersikap serius dan bersungguh-sungguh,tetapi sikap serius itu tidaklah menghalang kalian dari bergurau dengan perkataan yang benar dan ketawa dengan sedikit senyum.

Hiasilah diri kalian dengan bersifat pemalu, berperasaan halus dan sensitif dengan kebaikan dan kejahatan.
Bersifatlah dengan merendahkan diri dan janganlah menyombongkan diri.

Jadilah pendamai dikala ulama sedang berbalah dalam suatu isu dan mempertahankan pendapat masing-masing.Janganlah memihak pada sesiapa kerana mereka ada hujah masing-masing.

Dewasa ini umat Islam disogokkan dengan berbagai fitnah memfitnah, tuduh menuduh, dan cela mencela diantara satu dengan yang lain. Hanya dengan isu kecil menjadi besar, hingga menjatuhkan martabat seorang Muslim.

Media arus perdana mengaut keuntungan dengan bahan-bahan sensasi yang belum pasti sahihnya!
Media alternatif juga kadangkala tersasar dan berlebihan dalam lapurannya sehinggakan kredibilitinya dan kebenarannya dipersoalkan.

Para pemimpin umat dan para pendakwah dilekakan dengan isu-isu semasa yang tidak berfaedah hinggakan tugas utama terpaksa ditangguhkan sehingga masaalah sebenar terabai!

Sahabatku!
Marilah tumpukan dan fokus pada tugas kita sebenar di dunia ini, iaitu sebagai khalifah Allah s.w.t.di muka bumi,  mengajak kepada yang maaruf dan mencegah kemungkaran.

Gejala sosial makin sehari makin parah, keruntuhan akhlak para remaja amat membimbangkan, kadar jenayah setiap hari makin bertambah dan kemurtadan juga berlaku tanpa kita sedari.

Pertingakatkanlah apa saja program yang membawa kesedaran Islam dan ajaklah mereka kejalan yang haq dan bimbinglah meraka dengan cara hikmah dan bijaksana. Kesemua tugas ini akan di persoalkan nanti dihadapan Allah s.w.t.

Jauhkanlah diri kita dari perkara-perkara yang boleh memecah belahkan umat, elakkan dari memutuskan silaturahim kerana sesungguhnya orang yang memutuskan silaturahim tidak akan memasuki Syurga. Tanpa disedari, dikhuatiri suasana semasa membawa kita kepada suka mengumpat dan mempercayai fitnah dan ingatlah amat besar dosa orang yang  mengumpat dan bersekongkol dengan kaki fitnah!

Mereka-mereka yang sedang mengejar pangkat dan pengaruh dalam masyarakat, sebenarnya berpegang pada prinsip 'matlamat membersihkan jalan' mereka akan gunakan berbagai cara yang bersih atau kotor asalkan matlamat mereka berjaya. Isu jatuh menjatuhkan adalah perkara biasa, mereka sanggup membuka rahsia seseorang dan menjatuhkan maruhnya tanpa rasa bersalah dihadapan Allah s.w.t. Sedangkan Allah s.w.t.telah menutup rahsia tersebut dan ianya amat dimurkai -Nya.

Dari itu jauhkanlah diri kalian dan peganglah pada prinsip Islam dan janganlah melakukan sesuatu yang boleh menghapuskan amal soleh dan amal kebaikan yang telah kita lakukan. Berdasarkan dari hadis Nabi s.a.w. orang-orang muflis di hari Akhirat nanti adalah mereka-mereka yang membawa banyak amal soleh dan amal kebaikan tetapi pada masa yang sama membawa juga amal-amal keburukan dan kejahatan (mengumpat, memfitnah, memukul orang, mengambil hak orang lain dan menghianati amanah). Semua amal soleh dan kebaikannya habis kerana membayar kepada mereka-mereka yang dianiaya dan difitnah, oleh kerana sudah habis pahalanya maka di terpaksa menerima pula dosa mereka-mereka yang teraniaya dan jadilah mereka hina kerana menjadi muflis, lalu dihumbankan ke dalam api Neraka.nauzubillah!

Sahabatku,
Ingatlah bahawa di dunia ini adalah tempat persinggahan yang sementara, dan di akhiratlah tempat yang kekal abadi, jadikanlah segala kerja-kerja kita di dunia sebagai wasilah untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t. Berhati-hatilah membaca berita-berita yang mengemparkan samaada dari media arus perdana ataupun media alternatif, kerana belum pasti berita itu benar dan dikhuatiri kita mendapat saham dosa dan menghapuskan pahala yang kita miliki, yang tidak sepatutnya berlaku ke atas diri kita.

Bersihkanlah hati kalian daripada hasad dengki, iri hati, riak, sombong dan syak wasangka sesama Muslim. Tidak rugi kita bersangka baik kepada sesama Muslim walaupun orang lain membencinya. Hati yang bersih dan salim inilah hati yang paling layak mendapat Syurga Allah s.w.t di hari Akhirat nanti.