Saturday, July 3, 2010

Bersabar dan Berhemah di Jalan Raya Sifat Orang Mukmin

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap hari akhbar arus perdana memaparkan kejadian kemalangan maut yang berlaku di seluruh negara. Kemalangan yang amat mengerikan berlaku, seolah-olah nyawa rakyat Malaysia amat murah dijalan-jalan raya. Kalau di Iraq kematian berpunca daripada ledakkan bom yang diletakkan ditempat-tempat awam tetapi di negara kita kematian berpunca dari kelalaian manusia atau sikap tidak bertanggung jawab manusia memandu laju melebihi had yang dibenarkan undang-undang hingga membahayakan keselamatan orang lain.

Tidak dinafikan kemalangan juga boleh berpunca dari perkara yang tidak disengajakan seperti tayar pancit, kerosakan brek atau jalan licin disebabkan hujan dan sebagainya. Perkara seperti ini kita boleh katakan sebagai takdir kerana diluar kemampuan manusia untuk mengelaknya. Tetapi sekiranya kemalangan berlaku disebabkan mengantuk (tak cukup tidur), terbabas disebabkan memandu terlalu laju, mabuk disebabkan meminum arak ianya tidak boleh dimaafkan kerana ianya atas kesalahan manusia, ianya mungkin tidak akan berlaku jika perkara tersebut dielakkan diperingkat awal lagi.

Sahabat yang dimuliakan,
Sebagai seorang Mukmin, kita meyakini bahawa setiap peristiwa yang berlaku di atas muka bumi ini adalah di atas Qadha' dan Qadar Allah s.w.t. kita kena terima dan redha di atas apa yang telah ditetapkan. Walaubagaimana pun sebagai langkah berjaga-jaga untuk masa akan datang dan dalam rangka ibadah kepada Allah s.w.t. kita diminta berhati-hati dalam setiap aspek kehidupan kita. Perkara yang difikirkan boleh mendatangkan mudarat dan membahayakan keselamatan hendaklah dielakkan.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sifat orang Mukmin cukup berhati-hati ketika memandu dengan penuh kesabaran dan berhemah. Tidak gopoh dan hanya mementingkan diri sendiri. Dia amat prihatian atas kesalamatan orang lain. Orang Mukmin sentiasa berzikir dan mengingati Allah ketika memandu dan sentiasa berhati-hati supaya orang lain tidak akan mendapat kesusuahan disebabkan sifat lalai dan tidak bertanggung jawab.

Ingatlah! Kita akan menjawab dihadapan Allah sekiranya kemalangan berlaku hingga membawa kecederaan dan kematian adalah kerana kecuaian , gopoh , ego dan mengikut hawa nafsu ketika membawa kenderaan.

Terdapat beberapa tip-tip perlu diikuti sebagai ikhtiar kita untuk mengelakkan kemalangan :

1. Semasa memandu perlulah berada di dalam keadaan segar dan tidak mengantuk, jika mengantuk berihat seketika jangan memaksa diri.

2. Pastilan kenderaan dalam keadaan baik, periksa brek,lampu kenderaan, minyak hitam, tayar , tangki air dan bateri.

3. Jangan memandu laju melebihi had yang dibenarkan. Kerana bila berlaku sesuatu yang tidak dijangkakan sempat memberhentikan kenderaan secara kecemasan.

4. Jika jalan licin disebabkan hujan hendaklah memandu lebih perlahan dari had yang dibenarkan.

5. Jika berhenti dilorong kecemasan pastikan meletakkan kun kecemasan dibelakang kenderaan supaya kenderaan yang dibelakang mengetahui kita memberhentikan kenderaan ditepi jalan.

Sahabat yang dihormati,
Terdapat dua cara untuk kita mengelakkan daripada mendapat bala atau musibah iaitu dengan berdo'a kepada Allah s.w.t. dan membanyakkan memberi sedekah.

Pertama, Membaca do'a naik kenderaan dan berdo'a kepada Allah.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Supaya kamu duduk tetap di atasnya; kemudian kamu mengingati nikmat Tuhan kamu apabila kamu duduk tetap di atasnya, serta kamu (bersyukur dengan) mengucapkan: 'Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. . Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali"
(Surah Az-Zukhruf ayat 13-14)

Do'a dari Nabi s.a.w yang diajarkan kepada kita untuk diamalkan :"Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kesusahan bala, hinanya kesengsaraan, keburukan Qadha' dan kegembiraan musuh (terhadap masaalahku)"
(Riwayat al-Bukhari).

Firman Allah s.w.t. maksudnya : " Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk Neraka Jahanam dalam keadaan hina."
(Surah al-Mukmin ayat 60)

Kedua, banyakkan bersedekah :
Sedekah boleh melindungi dari bahaya dan musibah, serta menolak su’ul khatimah (kematian yang buruk). Kematian yang buruk adalah kematian yang tidak sempat mengucap kalimah syahadah, kematian ngeri disebabkan kemalangan jalan raya, mati lemas, mati terbakar dan lain-lain lagi.

Sedekah mampu memberikan pengaruh yang luar biasa kepada orang yang menunaikannya. Salah satu manfaat sedekah adalah ia memelihara seseorang dari segala macam bahaya dan musibah.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (su’ul khatimah).”
(Hadis Riwayat al-Turmuzi)

Oleh itu marilah sama-sama kita amalkan dua perkara tersebut di atas semoga kita dan ahli keluarga kita terselamat daripada kemalangan, bala atau musibah dan dijauhi daripada su'ul khatimah (kematian yang buruk). Sebagai seorang Mukmin yang yakin pada janji-janji Allah hendaklah sentiasa bersabar dan berhemahlah dimana saja kita berada samaada dirumah, didalam masyarakat dan ketika dijalan raya, ' ingatlah akan kemurkaan Allah jika kita lalai dan menyusahkan orang lain dan ingatlah orang yang tersayang supaya menjadi motivasi supaya tetap berhati-hati dalam setiap pekerjaan kita.

Friday, July 2, 2010

Jauhilah Diri Kita Daripada Sifat-sifat Munafiq

Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
 Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud :
“Empat sifat, siapa yang bersifat dengannya bererti ia seorang munafiq yang nyata, dan siapa yang mempunyai salah satu dari sifat-sifat itu bererti ia mempunyai satu sifat munafik sehingga ia meninggalkan sifat itu iaitu : Apabila bercakap ia dusta, apabila berjanji ia mungkiri, apabila ia mematerikan perjanjian ia cabuli perjanjian itu dan apabila berbalah (bertengkar) ia sentiasa ingin menang.” 
(Riwayat oleh al’Syaikhan dari Ibn ‘Amr)

Kaum  munafiq dizaman Nabi s.a.w. adalah seorang yang pada zahirnya nampak beriman tetapi hakikat sebenarnya dia adalah seorang kafir (tidak beriman kepada Allah dan Rasul dan menolak syariat Allah). Mereka yang tidak berterus- terang dalam kekafiran dan pengingkarannya. Mereka menampakkkan keimanan sementara pada hakikatnya mereka adalah kafir! Mereka ini merancang dengan kaum Yahudi dan kaum kafir untuk memerangi baginda.

Abdullah ibn Ubay ibn SalĂ»l (ketua kaum Munafiq) dengan hatinya yang busuk  mengejek-ejek dan mengancam untuk mengusir Nabi saw. dan kaum Muslimin dari kota Madinah. Kemudian setelah ucapannya yang menjelaskan kekentalan kemunafikannya itu dilaporkan kepada Nabi s.a.w. dan baginda pun menegurnya lalu Abdullah ibn Ubay pun mengelak dengan mengatakan bahawa ia tidak pernah mengatakan apa-apa pun seperti yang dilaporkan kepada baginda.

Menyingkap kekejian kata-kata Abdullah ibn Ubay ibn SalĂ»l sebagai sahabat lainnya (khususnya Umar ibn al KhaththĂąb) meminta agar Nabi s.a.w. memerintah untuk membunuh saja Abdullah ibn Ubay si ketua munafiq itu. Tetapi mereka (sahabat-sahabat)  benar-benar dikejutkan dengan jawapan Nabi s.a.w. Apa jawaban Nabi s.a.w. terhadap Umar yang mengusulkan agar Abdullah ibn Ubay dibunuh saja?

Ibnu Jarir ath Thabari, menyebutkan banyak riwayat: bahawa ketika Umar r.a. berkata kepada Nabi s.a.w, ‘Wahai Nabi, perintahkan Mu’Ăądz ibn Jabal agar memenggal kepala si munafiq itu!’ Maka Nabi s.a.w. menjawab:
“Jangan sampai orang-orang berbicara bahawa Muhammad membunuh para sahabatnya.”

Allah s.w.t. menurunkan ayat:

وَ مِنْهُمُ Ű§Ù„َّŰ°ÙŠÙ†َ يُŰ€ْ۰ُونَ Ű§Ù„Ù†َّŰšِيَّ وَ يَقُولُونَ هُوَ ŰŁُ۰ُنٌ قُلْ ŰŁُ۰ُنُ Űźَيْ۱ٍ لَكُمْ يُŰ€ْمِنُ ŰšِŰ§Ù„Ù„َّهِ وَ يُŰ€ْمِنُ لِلْمُŰ€ْمِنينَ وَ ۱َŰ­ْمَŰ©ٌ لِلَّŰ°ÙŠÙ†َ ŰąÙ…َنُÙˆŰ§ مِنْكُمْ وَ Ű§Ù„َّŰ°ÙŠÙ†َ يُŰ€ْ۰ُونَ ۱َŰłُولَ
Ű§Ù„Ù„َّهِ لَهُمْ Űčَ۰ٌۧۚ ŰŁَليمٌ
.
“Di antara mereka (orang- orang munafiq) ada yang menyakiti Nabi dan mengatakan:” Nabi mempercayai semua apa yang didengarnya”. Katakanlah:” Ia mempercayai semua yang baik bagi kamu, ia beriman kepada Allah, mempercayai orang- orang mukmin, dan menjadi rahmat bagi orang- orang yang beriman di antara kamu”. Dan orang- orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab yang pedih.” 
(Surah At Taubah ayat 61)

Orang-orang munafik dizaman Rasulullah s.a.w akan mencari alasan untuk tidak menyertai peperangan. Diriwayatkan oleh Abu Said Al-Khudriy r.a:
"Pada zaman Rasulullah s.a.w orang munafik selalu tidak menyertai peperangan, malah mereka bergembira dengan sikap mereka tidak bersama Rasulullah s.a.w. Apabila Nabi s.a.w kembali, mereka mengemukakan berbagai alasan kepada baginda sambil bersumpah dan mengharapkan pujian terhadap apa yang mereka tidak lakukan. Lalu Allah s.w.t menurunkan ayat ,aksudnya : "Jangan sekali-kali engkau menyangka wahai Muhammad bahawa orang-orang yang bergembira dengan apa yang telah mereka lakukan itu dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang mereka tidak lakukan, maka jangan kamu sangka mereka akan terselamat dari seksa "
(Hadis Sahih Riwayat Muslim)

Di suatu masa nanti diakhir zaman orang-orang kafir dan Munafik akan keluar dari Madinah untuk menemui Dajal. Diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
‏

"Tidak ada negara (dalam dunia) melainkan akan dipijak (dilanda) oleh Dajal kecuali Mekah dan Madinah kerana setiap jalan dan lereng bukit dijaga oleh barisan Malaikat. Oleh itu Dajal akan turun (berhenti) di satu kawasan bernama Sibkhah (tanah kering lagi masin) maka Madinah bergegar sebanyak tiga kali, kemudian semua para Kuffar (orang kafir) dan para Munafik keluar dari Madinah menemui Dajal " 
(Hadis Sahih Riwayat Muslim)

Sahabat yang dimulaikan,
Sifat munafik ialah sifat-sifat hipokrit  atau sifat talam dua muka atau musang berbulu ayam atau berpura-pura jujur. Seorang yang munafik ialah seorang yang berpura-pura baik dan jujur. Seorang yang bersifat telunjuk lurus kelingking berkait atau pepet di luar runcing di dalam. Ia bercakap manis tapi bohong. Ia pandai berbahasa sehingga orang boleh mempercayai percakapannya, ia pandai berjanji tapi mungkir, ia bijak mematerikan perjanjian tetapi ia cabuli dan apabila ia berbalah ia sentiasa ingin menang walaupun terpaksa menegakkan benang yang basah asalkan orang boleh percaya cakap dia, dia juga pandai mengampu seseorang.

Di dalam masyarakat umat Islam memang terdapat kaum munafik yang berlindung dibalik agama Islam . Mereka ini memerangi saudara seagama, merancang dan menangkap para pejuang Islam yang menegakkan syariat Islam. Mereka lebih gembira bekerjasama dengan Yahudi dan Kristian atau kaum kafir daripada bekerjasama dengan ulama-ulama, para pendakwah, para mujahidin dan aktivis Islam.

Salah satu contoh bagaimana seorang munafik bernama Mustafa Kamal Artatuk yang menjatuhkan Kerajaan Islam Uthamaniah di Turki dan menukar hukum-hakam dan syariat dengan undang-undang barat. Menghalalkan arak dan judi , mengharamkan menutup aurat dan menghidupkan budaya cara hidup barat yang membenarkan kebebasan lelaki dan wanita. 

Kita juga digemparkan bagaimana pemimpin umat Islam berjiran dengan Palestin, boleh menghalang bantuan kemanusiaan ke Gaza yang memerlukan bantuan makanan dan ubat-ubatan dan sanggup menyalurkan gas beracun dan membunuh penduduk Palestin yang melalui terong bawah tanah membawa makanan dan uabat-uabatan. Pemimpin seperti ini boleh berpelukan dengan pemimpin Zionis dan pada masa yang sama membunuh saudara seagama.?

Kita bertemu juga dengan pemimpin umat Islam yang menolak hukum hudud dan menganggap hukum hudud adalah hukum yang tak sesuai dengan zaman. Dan sanggup membenarkan lesen-lesen judi dan membiarkan maksiat dan gejala sosial bermaharajalela?

Berdasarkan hadis Nabi s.a.w. terdapat empat ciri-ciri munafik , sekiranya seseorang itu memiliki keempat-empat ciri tersebut jadilah ia seorang munafik tulin.

1. Khianat amanah iaitu mencabul dan mengkhianati amanah-amanah yang wajib dipelihara dan meremeh-temehkan amanah yang diberikan padanya atau tidak menunaikan tugas dan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya yang diserahkan padanya, kerja dengan sambil lewa dan ia gunakan amanah yang diberikan kepadanya untuk mendapatkan kepentingan diri dan keluarganya. Amanah yang paling utama adalah amanah menegakkan syaraiat Islam dan hukum-hukum Islam tertegak dalam masyarakat. Apabila amanah ini dikhianati maka ini adalah salah satu sifat munafik yang paling utama sekali.

2. Bercakap bohong. Membuat penjelasan, kenyataan dan penerangan yang dusta atau seakan-akan dusta samada dengan lisan atau tulisan, memutar belit dan memesongkan keterangan yang sebenar, mengubah dan menokok tambah kenyataan untuk disesuaikan dengan seleranya, membuat kempen-kempen atau promosi-promosi dusta dan propaganda liar dan segala bentuk penyelewengan kata-kata dan bicara termasuk membesarkan yang kecil dan memperkecilkan yang besar.

3. Mencabul janji-janji yang diikrarkan dan mencabul perjanjian yang dipersetujui bersama.

4. Ingin menang dalam pertengkaran walaupun terpaksa menegakkan benang yang basah atau terpaksa membawa saksi yang palsu bagi menguatkan hujahnya.

Sahabat yang dihormati,
Semua sifat-sifat munafik yang tersebut itu boleh menimbulkan kesan yang amat buruk kepada ketenteraman masyarakat manusia, malah boleh menimbulkan huru-hara dan perpecahan dan boleh menghilangkan rasa kepercayaan terhadap satu sama lain yang merupakan batu asas bagi kerukunan sesebuah masyarakat yang padu dan kukuh, selagi mana ada manusia serupa ini dunia ini tidak akan aman tenteram. Oleh itu marilah sama-sama menjauhkan diri kita daripada sifat-sifat munafik dan kembali kepada Allah dengan melaksanakan Islam sebagai cara hidup yang sempurna.

Kaum munafik dihari akhirat nanti akan dimasukkan kedalam Neraka Jahanam yang paling bawah sekali kerana sifat pura-pura dan hipokrit. Di satu ketika pertemuan Jibril a.s dengan Rasullullah s.a.w, Jibril ada memberitahu tentang tingkatan Neraka dan para penghuninya. Telah digambarkan oleh Jibril orang-orang munafik berada di tingkat yang paling dalam iaitu tingkat ketujuh, sedangkan Iblis yang jahat menghasut manusia pun hanya berada di tingkat yang ke empat. Suatu gambaran betapa orang munafik sangatlah keji, satu makhluk yang paling jahat dan paling dihina di muka dunia ini.Ia digambarkan lebih hina dan lebih jahat dari Iblis, tetapi dia memakai topeng seolah dia mulia dan menyebelahi golongan mukmin.




Thursday, July 1, 2010

Jauhi Sifat Marah Untuk Mendekatkan Diri Kepada Allah

Sahabat yang dirahmati Allah,
Marah adalah salah satu sifat mazmumah yang harus di jauhi supaya kita tidak termasuk dikalangan orang yang memilikmi sifat tercela.. Sesiapa yang tidak dapat mengawal perasaan marah sebenarnya ia sedang dikuasi oleh hawa nafsu.

Dari Abu Hurairah r.a, bahwasanya seseorang berkata kepada Nabi s.a.w., "Berilah aku wasiat?."
Nabi s.a.w. bersabda: : "Janganlah engkau marah"
Orang tersebut mengulangi permintaannya hingga beberapa kali, sedang Nabi s.a.w. bersabda : " Janganlah engkau marah"
(Hadis Riwayat. Bukhari).

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, “Tidaklah seseorang dikatakan pemberani dan kuat karena cepat meluapkan amarahnya, tetapi seseorang dikatakan pemberani dan kuat kalau mampu menguasai diri dan nafsunya ketika marah"

Banyak keadaan marah boleh mendatangkan perkara buruk. Apabila seseorang itu marah, ia dibantu oleh syaitan. Syaitan adalah musuh utama manusia yang berjanji kepada Allah untuk menggoda dan memesongkan anak cucu Adam.

Hal ini jelas dinyatakan melalui firman Allah yang bermaksud: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan aku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus.”
(Surah al-Araf, ayat 16)

Mujahid menceritakan syaitan berkata: “Aku tidak dapat dilemahkan oleh anak Adam pada tiga perkara. Salah satu perkara itu ialah apabila orang itu marah, dia akan berkata apa yang tidak diketahuinya dan melakukan sesuatu perkara yang dikesalnya.”

Walaupun perasaan marah itu banyak dihasut oleh syaitan, ada waktunya perasaan itu boleh diredakan dengan kita mengalihkan pemikiran kita kepada Allah yang sentiasa melihat kita dan apa yang kita lakukan.

Ingatlah, Allah tidak menyukai hamba-Nya berakhlak buruk, apatah lagi kesan dari akhlak buruk itu boleh mendatangkan perkara tidak baik. Kaedah cukup baik untuk menurunkan api kemarahan yang bergelora dalam diri ialah dengan mengambil wuduk untuk menyejukkan kemarahan yang membara dalam dada.

Sesungguhnya apabila kita menjauhkan diri daripada mengamalkan sikap marah atau orang yang suka marah, kita sebenarnya menjauhkan diri daripada kemurkaan Allah.

Hal itu dinyatakan Rasulullah SAW kepada seorang lelaki bertanya Baginda: “Wahai Rasulullah! Apakah sesuatu yang lebih berat? Dijawab Rasulullah s.a.w.: Kemurkaan Allah! Lelaki itu bertanya lagi: Apakah sesuatu yang dapat menjauhkan aku daripada kemurkaan Allah? Rasulullah s.a.w. menjawab: Jangan marah.”
(Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu `Amr)

Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang, Allah menyukai orang yang berbuat kebajikan.”
(Surah Ali-Imran, ayat 134)

Selain dapat menjauhkan diri daripada kemurkaan Allah, hikmah dan beruntungnya orang yang tidak marah ini ialah dapat masuk Syurga seperti diceritakan Abu Darba bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Saya bertanya, Wahai Rasulullah! Tunjukkanlah saya amalan yang boleh membawa saya masuk ke dalam Syurga! Lalu Baginda menjawab: Jangan marah.”
(Hadis riwayat Ibnu Abid-Dunya dan At-Tabrani)

Daripada Imam Hasan, dinyatakan bahawa ada empat orang dilindungi Allah dari syaitan dan diharamkan masuk Neraka. Iaitu orang yang mengekang dirinya dari kecintaan, kebencian, nafsu syahwat dan marah.

Mengelak rasa marah adalah sepanjang waktu perlu mengawal emosi supaya tidak lekas marah. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang cepat marah dan suka marah.

Perlu diingat, marah itu bara api syaitan yang menjunam ke dalam hati manusia dan syaitan itu adalah musuh manusia nombor satu. Jauhkan diri kita daripada sifat marah.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa menahan kemarahannya dan dapat melaksanakannya, nescaya Allah akan memanggilnya di hadapan manusia ramai dan menyuruhnya memilih di antara bidadari yang dikehendakinya.”

Sahabat yang dimuliakan,
Marah terbahagi dua iaitu marah yang terpuji dan marah tercela.

1. Marah yang terpuji adalah marah yang dilakukan karena Allah, bertujuan kebaikan dan memberikan pelajaran, tidak melampaui batas, tidak mengeluarkan kata-kata kotor dan maki hamun, terkontrol dan bukan mengikut emosi dan hawa nafsu. Marah kerana Islam dihina dan dipermainkan. Marah melihat perbuatan maksiat yang dilakukan oleh seseorang, kerana orang beriman benci dan marah kepada perbuatan maksiat tersebut dan akan mengajak secara hikmah mereka yang melakukan maksiat itu kembali kepada Allah.

2. Marah yang tercela adalah marah yang dilakukan bukan karena Allah, tidak memberikan pelajaran, melampaui batas, mengeluarkan kata-kata kotor dan maki hamun, tidak dapat kontrol emosi dan hawa nafsu.

Diantara penyebab marah adalah: Sombong, saling membanggakan diri, menghina dan mengolok-olok, banyak bercanda, berdebat, ikut campur dalam permasalahan yang tidak ada kepentingannya dan tamak untuk mendapatkan harta dan kedudukan.

Marah adalah sifat semula jadi yang ada pada semua orang, antara mereka ada yang cepat marah dan ada yang lemah lembut. Marah bukanlah suatu sifat yang boleh dibuat serta merta, malah ia biasanya didahului sesuatu yang boleh menyebabkan seseorang itu marah, perasaannya memberontak dan akan bertindak kasar. Seseorang yang sedang marah akan hilang kewarasan fikirannya. Pertimbangannya sudah hilang, lidahnya asyik memaki hamun dan mengejek-ejek. Kadang-kadang perasaan marah berlanjutan sehingga menimbulkan permusuhan antara keluarga dan sahabat handai, dan lebih aneh lagi ada orang boleh berkelahi dengan benda-benda yang tidak berakal.

Perasaan marah dapat diatasi dengan mengikuti beberapa panduan yang ditunjukkan oleh Islam, iaitu:

1. Hendaklah melatih diri dengan akhlak yang mulia seperti sabar, lemah lembut, berhati-hati dalam membuat keputusan. Sifat ini hendaklah berpandu kepada contoh yang paling baik iaitu contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w terutamanya contoh yang terdapat dalam Sunnahnya yang bersifat amali. Hendaklah mengawal dan menguasai diri ketika didatangi perasaan marah, iaitu dengan mengingati akibat buruk yang akan menimpa dan kelebihan pahala orang yang menahan marah serta memaafkan sahaja seseorang melakukan kesalahan yang menyebabkan dia marah, firman Allah s.w.t. maksudnya: "…Dan orang yang menahan kemarahan-nya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah) Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik."
(Surah Ali Imran ayat 134)

2. Memohon kepada Allah supaya menjauhkannya daripada syaitan yang dilaknat. Panduan ini dinyatakan didalam Al-Quran melalui firman Allah S.W.T.: "Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan daripada syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Mendengar lagi Amat Mengetahui." (al-A'raf 7:200)

3. Meninggalkan tempat yang menyebabkan seseorang itu marah. Sabda Baginda: "Apabila seseorang kamu marah, sedang dia berdiri, maka duduklah, jika marahnya berhenti (maka baiklah) jika belum, maka hendaklah dia berbaring." (Hadis Riwayat Abu Daud)

4. Mengambil wuduk, sabda Nabi s.a.w.: "Sesungguhnya marah itu dari syaitan. Syaitan itu dijadikan daripada api,apabila kamu marah, maka hendaklah dia mengambil wuduk." (Hadis Riwayat Abu Daud)

Oleh kerana besarnya bahaya marah, Nabi s.a.w. melarang keras seseorang daripada marah, dengan menyifatkan orang yang berjaya menahan diri daripada perasaan marah sebagai pahlawan yang berani. "Bukannya kuat (kerana dapat mengalahkan orang) dengan bergusti, tetapi kekuatan sebenarnya ialah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah."
(Hadis Riwayat Al-Tirmizi)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
"Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)"
(Hadis Riwayat Baihaqi)

Wednesday, June 30, 2010

Kebaikan Poligami Dalam Islam

Sahabat yang dirahmati Allah,
Poligami adalah peruntukan yang diberikan oleh syarak kepada lelaki. Dengan peuntukan tersebut lelaki boleh mengahwini wanita lebih daripada seorang dan tidak melebihi empat orang. Ianya bukan satu kewajipan, tetapi satu keizinan. Menjadi kewajipan bagi setiap muslim beriktikad bahawa hukum-hakam syarak yang diturunkan Allah s.a.w. bukan untuk kepentingan zatNya yang agung, kerana Dia Maha Suci daripada bergantung kepada makhluk. Segala apa yang diturunkanNya adalah li maslahah al-`Ibad iaitu untuk kemaslahatan atau kepentingan hamba-hambaNya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain), dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.
(.Surah An-Nisaa' Ayat 2)

Jadi, perkara di atas telah menerangkan lebih lanjut tentang berpoligami di dalam Islam dibolehkan dan memberi gambaran kepada kita bahawa Islam merupakan agama fitrah yang mengikhtirafkan kepelbagaian keperluan dan kehendak dalam hidup berpasangan. Bagi memastikan amalan poligami ini diamalkan secara adil dan memberi kesejahteraan kepada keseluruhan umat Islam.
Islam telah menetapkan syarat-syarat tertentu iaitu :
     1. Berkemampuan untuk menyarai nafkah isteri-isteri dan anak-anak; dan
     2. Berlaku adil kepada isteri-isteri.
         i. Adil dalam menyediakan kediaman;
         ii. Adil dalam giliran malam; dan
         iii. Adil dalam musafir.
     3. Memberi didikan agama kepada isteri-isteri.

     Sebenarnya banyak manafaat yang boleh diambil dari poligami ini atas sebab ia disyariatkan oleh Allah s.w.t. yang Maha Bijaksana yang mengetahui kebaikan yang tersembunyi tanpa tercapai oleh ilmu dan pemikiran manusia. Manfaat yang dapat kita ambil dari kebaikan poligami ini adalah seperti berikut :
     a. Bagi isteri yang telah lanjut usia dan mengalami kesakitan, ia akan menyebabkan si suami hilang tumpuan dari segi batin, caranya dengan berpoligami bagi mengelak dia membuat perkara yang dilarang di sisi Islam;
     b. Menambahkan hubungan antara keluarga dengan ikatan yang dibuat;
     c. Kehormatan wanita akan terjaga bila ia dilindungi oleh kaum Adam yang ingin mengambilnya sebagai isteri;
     d. Mengelak berlakunya perzinaan terutamanya kaum lelaki yang akan menyalurkan keinginan nafsunya ke tempat yang haram.
     e. Mengelakkan perceraian bila terdapat isteri-isteri yang tidak dapat melahirkan anak;
     f. Kebanyakan lelaki yang sering bermusafir ia memberi manafaat kerana tidak melakukan perzinaan apabila dia amat memerlukan;
     g. Bagi isteri-isteri yang kematian suami, mereka dibantu oleh para suami dengan berpoligami;
     h. Memberi kesempatan yang lebih besar untuk para isteri beramal apabila giliran isteri yang kedua;
     i. Mengeratkan lagi kasih sayang apabila perjumpaan antara isteri-isteri digilirkan;
     j. Menambahkan keturunan-keturunan;

Kata-kata Dr. Yusuf al-Qaradawi  “Adapun pendapat yang menyatakan bahawa berpoligami membawa keburukan kepada keluarga dan masyarakat ianya adalah pendapat yang mengandungi kekeliruan yang nyata. Kita katakan kepada mereka yang keliru ini: Sesungguhnya syariat Islam tidak mungkin menghalalkan untuk manusia sesuatu yang memudaratkan mereka, seperti mana ianya tidak mungkin mengharamkan manusia sesuatu yang memberi manfaat kepada mereka. Bahkan telah dipastikan menerusi nas (al-Quran dan al-Sunnah) dan kajian bahawa syariat Islam tidak menghalalkan melainkan perkara yang baik lagi manfaat. Juga ianya tidak mengharamkan melainkan yang keji lagi mudarat "

Nabi s.a.w. menyebut dalam hadis .Daripada `Aisyah r.ha: Bahawa Nabi s.a.w  membahagikan hak di antara isteri baginda dengan adil. Baginda bersabda: "Ya Allah inilah pembahagianku apa yang miliki, jangan Engkau salahku dalam apa yang aku tidak miliki."
(Riwayat al-Nasai, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah. Al-Hakim)

Kata Abu Daud ketika meriwayat hadis ini maksud apa yang aku tidak miliki ialah hati, iaitu cinta yang lebih dan kecenderungan hati. (lihat Al-`Azim al-Abadi,).

Maka kecenderungan hati yang menyebabkan tidak sama dalam kasih sayang tidak dianggap salah di sisi Allah  selagi mana tidak berlakunya ketidak adilan dalam tindakan. Inilah maksudnya ayat tersebut.

Sesungguhnya Islam boleh diumpamakan sebuah kedai yang  menyediakan berbagai jenis ubat untuk semua jenis penyakit. Jangan kerana ada ubat yang dijual itu tidak bersesuaian dengan penyakit kita maka kita menganggap ubat tersebut mesti dihapuskan. Poligami adalah salah satu ubat bagi penyakit yang bersesuaian dengannya. Menghalang zina dan membantu wanita. Bagi yang tidak memerlukan ubat ini dia tidak disuruh meminumnya.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita fahami bahawa poligami adalah salah satu daripada syariat Allah s.w.t. Kita perlu berfikiran positif dan tidak menanamkan kebencian kepada mereka yang mengamalkan poligami di dalam kehidupan berkeluarga. Setiap wanita yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan meyakini akan syariat dan hukum-hukum Allah s.w.t. tidak boleh membenci dan menolaknya. Kerana dikhuatiri perasaan benci di dalam hatinya yang terbawa-bawa dengan fahaman barat boleh menjejaskan aqidahnya.
Para isteri yang meminta cerai kepada suaminya disebabkan si suami berpoligami adalah termasuk dikalangan isteri yang derhaka kerana alasan ini tidak dibenarkan syarak.

Di dalam serah tidak pernah kita dengar ada dikalangan isteri-isteri sahabat-sahabat Nabi s.a.w. yang meminta cerai disebabkan suami mereka berpoligami. Malahan ada dikalangan isteri sahabat-sahabat Nabi s.a.w  menggalakkan suami mereka berpoligami dengan tujuan untuk kemaslahatan umah disebabkan kematian suami.

Kesimpulannya, poligami merupakan hukum Allah s.w.t.yang mempunyai hikmah dan manfaat yang besar baik bagi individu, masyarakat dan umat Islam. Penolakan yang berlaku sekarang adalah kerana kenipisan masyarakat tentang poligami yang menyebabkan syariat ini diragui sehinggakan menganggap ia sebagai sumber kepada kesengsaraan dan kehinaan wanita. Perlu diingat bahawa setiap perintah yang diturunkan oleh Allah s.w.t. pasti terselindung kebaikan yang banyak, yang tidak dapat diungkap dengan mata kasar yang tidak menggunakan cermin mata yang berjenama iman dan amal.


Perkara-perkara Kebaikan dan Keburukan yang Perlu di Fahami

Sahabat yang dirahmati Allah,
Seorang Mukmin sentasa berhati-hati ketika menjalani kehidupan ini, supaya setiap amal soleh, ibadah dan perbuatannya dapat diterima oleh Allah s.w.t. sebagai amal soleh dan pada masa yang sama dapat menyelamatkan dirinya daripada kemurkaan Allah s.w.t.dengan meninggalkan segala tegahan-Nya

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Tiga perkara yang menyelamatkan , iaitu takut pada Allah ketika bersendirian dan di khalayak ramai, berlaku adil pada ketika suka dan marah, berjimat cermat ketika susah dan senang, dan tiga perkara yang membinasakan iaitu mengikut hawa nafsu, terlampau bakhil dan kagum seseorang dengan dirinya sendiri.”

Berdasarkan hadis di atas dapatlah kita mengambil pengajaran bahawa terdapat tiga perkara yang menyelamatkan dan tiga perkara yang menyesatkan. Bila kita laksanakan dan tinggalkan ketiga perkara tersebut maka kita akan menjadi hamba Allah yang dikasihi-Nya

Tiga perkara yang menyelamatkan :

1.Takut pada Allah ketika bersendirian dan khalayak ramai.
Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, " Wahai Muaz, takutlah Allah, dimana kamu berada, dan turutilah kejahatan dengan kebaikan yang akan memadamkannya dan berakhlaklah dengan manusia dengan akhlak yang baik"
( Hadis Sahih Riwayat Tirmizi)

Thauban meriwayatkan satu pesanan junjungan , bahawa Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : “ Aku sangat jelas mengetahui bahawa ada golongan dari umatku yang akan datang pada hari Qiyamat dengan amalan soleh sebesar gunung Tihamah, tetapi Allah akan menjadikannya seperti debu-debu berterbangan.”

Thauban bertanya : “Wahai Rasulullah, ceritakanlah tentang mereka kepada kami dan beritahulah kami lagi, supaya kami tidak menjadi seperti mereka.”

Baginda bersabda lagi yang bermaksud : “Mereka adalah saudara kamu dan dari kaum kamu, melakukan ibadah malam seperti kamu, tetapi mereka adalah orang yang apabila mereka bersendirian, mereka akan melanggar larangan Allah.”
(Hadis Riwayat Ibn Majah)

2. Berlaku adil ketika suka dan marah.
Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Setiap anggota badan manusia adalah sedekah baginya pada setiap hari apabila terbit matahari; engkau berlaku adil (iaitu mendamaikan) antara dua orang (iaitu dua orang yang berbalah) adalah sedekah.."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

“Daripada Aishah r.a. katanya, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda dalam rumahku ini, “ Ya Allah, sesiapa yang mentadbir sesuatu urusan pemerintahan umatku, kemudian ia melakukan kezaliman ke atas mereka (berlaku tidak adil), maka kembalikan kezaliman itu ke atas mereka. Sesiapa yang mentadbir sesuatu urusan pemerintahan umatku, dengan menunjukkan kasih sayang kepada mereka, maka kasihilah orang tersebut”.
(Hadis Riwayat Muslim)

Berlaku adil yang bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya tanpa ada diskriminasi dan beremosi. Ini termasuk memberikan hak kepada yang berhak yang bukan terhad pada hubungan antara sesama makhluk sahaja malah dalam menjaga hubungan dengan Tuhan. Sifat adil akan menghidupkan suasana berkasih sayang dalam masyarakat.

3. Berjimat ketika senang dan susah.
Orang yang membelanjakan hartanya untuk jalan yang betul, yang diharuskan syarak, maka ia tidak diperkira sebagai membazir atau sia-sia. Orang yang mengorbankan hartanya dijalan Allah demi untuk kemaslahatan Islam maka itu tidak termasuk dalam amalan membazir. Begitu juga mereka yang menghabiskan sebahagian daripada hartanya untuk menyekolahkan anak, membina bangunan untuk tempat kediaman atau mengeluarkan hartanya untuk membeli kereta bagi keperluan harian. Namun demikian, orang yang mengeluarkan sebahagian harta bendanya, biarpun untuk membeli bahan makanan yang sedikit, tetapi disedari makanan tersebut tidak diperlukan dan terbuang begitu sahaja, maka perbuatan itu termasuk dalam perbuatan membazir.

Islam dengan tegas menegah seseorang membeli barang melebihi keperluan hidup atau berbelanja mengatasi jarum penunjuk pendapatan, lantaran akibatnya akan menimbulkan pembaziran yang dibenci Allah. Jika berbelanja melampaui batas untuk tujuan bermegah-megah, sehingga berlaku pembaziran hanya saja akan menggambarkan tingkah laku orang yang tidak tahu bersyukur dengan nikmat Allah. Sesungguhnya membazir itu adalah amalan syaitan sebagaimana keterangan daripada ayat yang bermaksud:

“Dan jangan membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”
(Surah al-Israk ayat 26 – 27)

Tiga perkara yang membinasakan :

1. Mengikut hawa nafsu .
Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
"Dan demi jiwa dan penciptaannya yang sempurna, maka Allah mengilhamkan (menunjukkan) jalan kejahatan dan jalan ketaqwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan rugilah orang yang mengotorinya."
(Surah As-Syams ayat 7-10)

Rasulullah s.a.w.telah bersabda:
"Seseorang kamu tidak benar-benar beriman sehinggalah hawa nafsunya tunduk menuruti ajaran yang
aku bawa."

Hadis ini menerangkan salah satu daripada tuntutan iman, iaitu mestilah hawa nafsunya tunduk dan
menurut ajaran yang dibawa oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.. Sekiranya dia
mengutamakan hawa nafsunya daripada mengamalkan ajaran lslam, menyintai maksiat daripada amal
kebajikan, maka imannya tidak sempurna.

2. Terlampau bakhil (kedekut)
Nabi s.a.w. berwasiat kepada Sayyidina Ali k.w, maksudnya :
"Wahai Ali ! Orang yang pemurah itu dekat dengan Allah, dekat dengan rahmat-Nya serta jauh dari seksa-Nya, sedangkan orang bakhil (kedekut) itu jauh dari Allah, jauh dari rahmat-Nya serta dekat dengan seksa-Nya.

Wahai Ali ! Saya melihat tulisan pada pintu Syurga yang berbunyi "Syurga itu diharamkan bagi setiap orang yang bakhil (kedekut), orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, dan bagi orang yang suka mengadu domba (mengasut)."

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Sesiapa yang ditanya tentang ilmu lalu dia menyembunyikannya akan diikat mulutnya (meletakkan kekang di mulutnya seperti kuda) dengan kekang dari api Neraka pada Hari Kiamat.”
(Hadis Riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Kita perlu ingat dengan larangan Rasulullah terhadap orang kedekut ini sebagaimana maksud hadis:

“… dan takutlah kamu dari sifat kikir, kerana sesungguhnya sifat kikir itu telah membinasakan umat sebelum kalian, yang mendorong mereka melakukan pertumpahan darah dan menghalalkan semua yang diharamkan Allah.”
(Hadis Riwayat Muslim)

3. Kagum dengan diri sendiri.(Sifat ujub)
Firman Allah s.w.t maksudnya, ".....Janganlah kamu terlalu bangga; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri." (Surah. Al Qashash ayat 76)

Kagum dengan diri sendiri iaitu ujub dengan kelebihan diri sehingga menjadikan seseorang itu bersikap angkuh dan sombong serta suka menghina orang lain menyebabkan dia akhirnya disisihkan daripada masyarakat.

Salah satu sifat mazmumah yang amat dibenci Islam dan tidak disenangi dalam masyarakat ialah sifat ujub (perasan diri lebih). Ujub dapat diertikan sebagai ‘menganggap dan melihat diri lebih daripada orang lain’. Dengan menganggap diri lebih, seperti dari segi pengetahuannya, kealimannya, ibadatnya atau lebih kekayaannya daripada orang lain. Ujub ini sifat tercela, ia perlu segera dikikis dan dijauhi umat Islam kerana boleh mendorong kepada pelbagai sifat yang lebih buruk lagi, misalnya sombong, takbur, gila hormat, meremehkan orang lain dan sebagainya

Sahabat yang dikasihi Allah,
Marilah sama-sama kita mengambil iktibar di daripada hadis di atas iaitu supaya kita sentiasa merasai takut kepada Allah s.w.t. ketika berseorangan atau ada orang ramai , hanya jiwa yang beriman akan merasai kehadiran Allah s.w.t di di dalam seluruh kehidupannya. Merasai cctv Allah s.w.t. memfokus dan merakamkan seluruh amalan-amalannya baik yang nampak atau tersenbunyi.

Sentiasa berlaku adil walaupun kepada musuh samaada ketika suka atau marah. Kerana sifat adil adalah lebih hampir kepada sifat takwa.Dan salah satu sifat berjimat cermat dan tidak boros adalah satu sifat yang terpuji, Allah s.w.t. samakan orang yang bersifat boros adalah kawan syaitan. Sesungguhnya syaitan lebih suka membawa manusia kepada kebinasaan.

Perkara-perkara yang membinasakan manusia adalah suka mengikut hawa nafsu,sifat bakhil dan sifat ujub. Ketiga-tiga perkara ini semuanya membawa kepada kemurkaan Allah s.w.t. Sesiapa yang mengekalkan ketiga-tiga sifat ini sebenarnya ia menempahkan tempat duduknya di Neraka, nauzubillah. Oleh itu marilah sama-sama kita insaf dan sentiasa kembali kepada keredhaan Allah dan menjauhi larangan-Nya.

Perkukuhkan Ikatan Silaturahim Sesama Muslim

 Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
"Tidak masuk Syurga mereka yang memutuskan silaturahim."
(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Di dalam hadis yang lain Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :
"Sesiapa yang suka supaya diperluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menjalankan hubungan tali silaturahim."
(Hadis Riwayat al-Bukhari).

Imam Ibnul Atsir berkata : "Silaturahim adalah suatu ungkapan berkaitan dangan menjalinkan perbuatan baik terhadap kaum kerabat yang memiliki hubungan senasab atau perkahwinan, berlemah lembut kepada mereka, menyayangi mereka, walaupun mereka jauh dan berbuat jahat. Manakala memutuskan silaturahim adalah berlawanan dengannya."

Rasulullah s.a.w di awal-awal dakwah baginda bermula dengan mengajak kaum keluarganya untuk beriman kepada Allah s.w.t . Bermula dengan isteri dan anak-anaknya, bapa saudara, sepupu dan seterusnya kepada kaum keluarganya dari Bani Hashim dan sahabat-sahabat dekat baginda.

Oleh itu sebagai individu Muslim kita di tuntut untuk perkukuhkan hubungan kasih sayang, meraikan dan menjalini hubungan mesra kepada ahli keluarga dan kaum keluarga dengan hubungan silaturahim semata-mata kerana Allah s.w.t. Hubungan yang di tuntut bukan sahaja hubungan keduniaan semata-mata tetapi yang lebih penting bagaimana kita ingin menyelamatkan diri kita ,ahli keluarga kita yang lain daripada azab Allah s.w.t., supaya mereka beriman dan bertakwa kepada Allah s.w.t.

Perhubungan yang baik terhadap ahli keluarga ini perlulah sentiasa di lakukan bertepatan dengan petunjuk Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Sekiranya ada ahli keluarga kita yang kafir atau fasik, jalinan kekeluargaan dapat di lakukan dengan nasihat yang baik serta memberi tunjuk ajar selain berusaha mengajak mereka kejalan yang benar dengan hikmah.

Menjalinkan silaturahim memiliki begitu banyak menfaat antaranya sebagai usaha melaksanakan perintah Allah dan RasulNya, membina suasana kasih sayang yang harmoni dan saling bantu membantu, merapatkan hubungan dan peluang dakwah yang lebih baik.

Sahabat yang dimuliakan,
Berdasarkan hadis di atas Allah s.w.t akan memperluaskan rezeki dan di panjangkan umur kepada sesiapa sahaja yang sentiasa menjalin ikatan tali silaturahim. Terdapat satu kisah di zaman Nabi Daud a.s. bahawa menjalin ikatan silaturahim dengan izin Allah dipanjangkan umur. Mengikut riwayat, pada suatu ketika malaikat maut datang kepada Nabi Daud. Pada masa itu kelihatan seorang lelaki duduk di depannya.

Malaikat maut berkata "Enam hari lagi, orang ini akan dicabut nyawanya".

Bagaimanapun, selepas beberapa hari, Nabi Daud menjenguk lelaki itu yang ternyata dia masih hidup. Bahkan keadaannya bertambah sihat. Lelaki itu juga kelihatan bertambah muda berbanding sebelumnya.

Nabi Daud pun bertanya kepada malaikat maut,"Mengapakah demikian (dia masih hidup) sedangkan katamu tinggal enam hari saja lagi lelaki itu akan dicabut nyawanya?".

Malaikat maut pun menjawab. "Ketika itu, selepas beredar dari hadapanmu, dia sudah menyambung silaturahimnya yang sudah lama terputus, maka Allah menambahkan umurnya hingga 20 tahun lagi."

Hubungan baik juga membolehkan berkongsi ilmu serta kebaikan, meraih kekuatan dengan kesatuan kekeluargaan yang terbina, menjauhi keburukan seperti fitnah atau buruk sangka dan akhirnya di beri jaminan Syurga oleh Allah s.w.t.

Daripada Abu Ayyub al-Ansari, katanya : "Seorang lelaki datang bertanya kepada Rasulullah s.a.w. "Wahai Rasulullah, beritahu kepadaku suatu amal yang dapat masukkan aku kedalam Syurga dan menjauhkan aku dari neraka."

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :
"Engkau beribadah kepada Allah dan tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu apa pun, mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan menjalinkan silaturahim."
(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim.)

Realiti masyarakat kita masa kini amat membimbangkan, hubungan kekeluargaan sudah mula banyak berlaku keretakan. Ibu bapa sudah tidak di hormati, anak-anak sanggup derhaka dan meninggalkan mereka hanya kerana menolak pilihan teman hidup mereka, dan sanggup mengadai maruah semata-mata kerana mengikut perasaan dan hawa nafsu. Ada di kalangan anak-anak pula sanggup menghantar ibu bapa mereka kepusat-pusat jagaan orang-orang tua dan membiarkan mereka kesaorangan. 

Pergaduhan dan permusuhan juga berlaku di kalangan adik beradik kerana berebut harta pusaka dan ada di kalangaan mereka sanggup bergaduh hingga membawa kepada kecederaan, dakwa mendakwa di mahkamah dan pulau memulau. Kadangkala hal-hal yang kecil dan remeh-temeh boleh menyebabkan permusuhan di kalangan ahli keluarga dan saudara mara hingga tidak mahu bertegur sapa.

 Terdapat juga dikalangan umat Islam berselisih pendapat di dalam hal-hal cabangan (furu') daripada ajaran Islam dan perbezaan pendapat ulamak feqah boleh mendatangkan permusuhan dan tuduh menuduh. Seharusnya perkara tersebut tidaklah boleh dijadikan hujah untuk bermusuhan sesama umat Islam.

Sedangkan kalau mereka tahu betapa besarnya dosa memutuskan silaturahim sesama mereka, mereka tidak akan sanggup melakukannya.

Al-Imam As-Syahid Hassan al-Banna pernah berkata, "Kita bekerjasama di dalam perkara-perkara yang dipersetujui bersama dan bermaaf-maafan di dalam perkara-perkara yang diperselisihkan selagi  yang diperselisihkan itu bukan masaalah prinsip."
 
Sahabat yang dihormati,
Oleh itu marilah sama-sama kita kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya, mengikut kitab suci al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w dalam kita menjalinkan hubungan ukuwah Islamiyyah dan silaturahim supaya Allah s.w.t. mencucuri rahmat-Nya kepada kita semua.

Teruskanlah kerja-kerja dakwah dan tarbiyyah tanpa penat dan jemu, perbetulkanlah diri kita, ahli keluarga , jiran, rakan-rakan, seterusnya anggota masyarakat kita semuga mereka kembali pada ajaran Islam sebenarnya.

Sunday, June 27, 2010

Tujuh Perkara Kebahagiaan Dunia

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dari Ibnu Abbas r.a katanya : " Ada tujuh petanda kebahagiaan dunia, iaitu :
1. Hati yang selalu bersyukur (Qalbun syakirun)
2. Pasangan hidup yang soleh (Al azwaju shalihah)
3. Anak-anak yang soleh. (Al auladun abrar) 
4. Suasana yang baik untuk iman kita (Albiatu sholihah)
5. Harta yang halal. (
Al malul halal)
6. Semangat untuk memahami agama. (
Tafakur fi dien)
7. Umur yang barakah ( umur yang semakin tua semakin soleh, yang setiap detiknya diisi dengan amal ibadah.)"

Pertama : Hati yang selalu bersyukur.
Ibnu Abbas r.a berkata : "Bersyukur adalah taat dengan segenap anggota badan kepada Allah s.w.t., baik secara sembunyi ataupun terang-terangan serta secara lisan maupun di dalam hati. Setelah itu sedaya upaya menjauhi maksiat serta kemungkaran."

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat kamu."

(Surah Ibrahim ayat 7)

Kedua : Pasangan hidup yang soleh .
Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud , "Yang paling kukuh keimanan ialah berkawan kerana Allah, bermusuhan kerana Allah, bercinta kerana Allah dan membenci kerana Allah"
(Hadis Riwayat Tabarani dari Ibnu Abbas r.a)

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji pula. Wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik pula”.
(Surah an-Nur ayat 26)

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“Wanita itu dikawini kerana hartanya atau kecantikannya, keturunannya atau agamanya, maka hendaklah kamu memilih yang mempunyai agama yang kukuh, nescaya kamu akan bernasib baik.”

Ketiga : Anak-anak yang soleh.
Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan daripada tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu pengetahuan yang dapat
diambil manfaat daripadanya dan anak soleh yang mendoakan untuknya”.

(Hadis Riwayat Imam Muslim)

Firman Allah s.w.t.yang bermaksud :
"Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun;(dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)."
(Surah al-Luqman ayat 14)

Keempat : Suasana yang baik (biah solehah).
Betapa pentingnya mewujudkan suasana yang baik untuk membantu menjaga peribadi dan iman kita sebagai seorang muslim. Suasana yang baik ini perlu ada didalam rumah kita, suasana dipejabat dan suasana di kawasan perumahan tempat kita tinggal dan seterusnya suasana masyarakat kita.Mewujudkan biah solehah atau persekitaran yang baik adalah suatu yang wajib. 


Ianya termasuk melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar. Bahkan menjalankan tugas amar makruf dan nahi mungkar itu adalah untuk mewujudkan biah solehah. Remaja yang terlibat dengan gejala sosial pada masa kini adalah disebabkan suasana persekitaran yang tidak sihat dan mendorong mereka untuk melakukan maksiat.

Kelima : Harta yang halal.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Setiap jasad yang membesar daripada benda-benda yang haram maka api nerakalah yang layak baginya.”
 
Harta-harta yang berkat itu adalah harta yang halal dan baik, kerana sesuatu yang diambil dari yang tidak halal dan tidak baik tidak mungkin mampu mendorong seseorang kepada melakukan kebaikan sama ada kepada diri sendiri mahupun orang lain.

Keenam : Semangat untuk memahami agama.
Sesiapa yang diberi kefahaman tentang Islam juga dikira telah mendapat kebaikan di dunia. Orang Islam yang tidak diberi kefahaman tentang Islam oleh Allah akan mengamalkan apa yang disangkanya dari ajaran Islam tetapi sebenarnya menyeleweng dari Islam. Hidupnya tak akan benar-benar selamat dan tak mampu menyelamatkan orang lain.

Sabda Rasulullah s.a.w. : "Barangsiapa yang Allah menghendaki kebaikan kepadanya, Dia akan menjadikannya faham dalam agama."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah saw bersabda,
"Manusia yang paling baik ialah seorang mukmin yang berilmu, yang apabila diperlukan kepadanya dia akan memberi manafaat (kepada orang lain) dan jika dia tidak diperlukan dia akan menjaga dirinya (dari orang lain)."
(Hadis Riwayat  Al Baihaqi)

Ketujuh : Umur yang barakah.
Rasulullah s.a.w menyimpulkannya dalam dua kalimat iaitu “Manusia paling baik ialah yang panjang umurnya dan baik amal perbuatannya. Manusia paling buruk ialah yang panjang umurnya dan buruk amalnya."

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita berusaha untuk memiliki tujuk perkara kebahagiaan dunia yang dinyatakan oleh Ibnu Abbas r.a seorang sahabat Nabi s.a.w. Kebahagiaan di dunia yang dinyatakan ini sebenarnya mempunyai kaitan yang rapat dengan kebahagiaan di hari akhirat.

Orang yang sentiasa bersyukur akan dirahmati Allah di dunia dan akhirat. Pasangan hidup yang bahagia adalah suami dan isteri yang soleh dan solehah. Dikurniakan pula anak-anak yang soleh dan solehah yang akan mendo'akannya apabila kedua ibu bapa pulang ke alam barzakh. Suasana baik, aman dan damai adalah faktor yang akan membentuk diri kita dan anak-anak kepada suasana Islam yang akan menambahkan iman dan takwa kita kepada Allah. 

Begitu juga harta yang halal yang masuk kedalam perut kita akan menyebabkan do'a-do'a kita dimakbulkan Allah s.w.t. dan apabila disoal dihari akhirat nanti tentang harta, maka sumber yang kita perolehi adalah daripada sumber yang halal maka kita akan terselamat daripada azab Allah. Tanda Allah kasih pada hamba-hamba-Nya adalah Dia memberi kefahaman tentang deen Islam dan dapat pula di amalkannya. Yang terakhir adalah umur panjang yang dikurniakan Allah akan memberi manfaat kepada dirinya sendiri dan memberi manfaat kepada orang lain.




Tiga Perkara Kebaikan dan Keburukan.


Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Tiga perkara yang menyelamatkan , iaitu takut pada Allah ketika bersendirian dan di khalayak ramai, berlaku adil pada ketika suka dan marah, berjimat cermat ketika susah dan senang, dan tiga perkara yang membinasakan iaitu mengikut hawa nafsu, terlampau bakhil dan kagum seseorang dengan dirinya sendiri.”

i) Terdapat tiga perkara yang memberikan keselamatan kepada manusia iaitu :

a) Sentiasa menjaga tingkahlaku kerana sesungguhnya Allah S.W.T Maha Melihat dan Mendengar apa jua yang dilakukan oleh hamba-Nya. Bahkan setiap amalan itulah yang akan menentukan sama ada seseorang manusia itu diberi kebahagiaan atau ditimpa celaka dalam hidupnya.

b) Berlaku adil yang bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya tanpa ada diskriminasi dan beremosi. Ini termasuk memberikan hak kepada yang berhak yang bukan terhad pada hubungan antara sesama makhluk sahaja malah dalam menjaga hubungan dengan Tuhan. Sifat adil akan menghidupkan suasana berkasih sayang dalam masyarakat.

c) Berjimat cermat ketika susah dan senang kerana ini akan menyelamatkan seseorang itu daripada menyesal di kemudian hari.

ii) Manakala Rasulullah berpesan pula bahawa terdapat tiga perkara lain yang akan membinasakan manusia iaitu:

a) Mengikut telunjuk syaitan yang sentiasa mendorong kepada kehendak hawa nafsu yang mengakibatkan kebinasaan diri.

b) Bersifat kedekut sehingga menyebabkan orang lain membenci dan menjauhinya.

c) Kagum dengan diri sendiri iaitu ujub dengan kelebihan diri sehingga menjadikan seseorang itu bersikap angkuh dan sombong serta suka menghina orang lain menyebabkan dia akhirnya disisihkan daripada masyarakat.
 
Kesimpulannya :
 Sesungguhnya setiap perkara yang dilarang itu ada hikmahnya begitu juga dengan perkara yang baik itu pasti ada kemuliaannya. Oleh itu kita hendaklah sentiasa berhati-hati agak tidak melakukan kesilapan hingga terjerumus ke lambah kebinasaan.

Saturday, June 26, 2010

Kisah Pemuda Beribu-bapakan Babi.

Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah S.W.T Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah.Nabi Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.

Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah. "Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?".

Allah pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan.

Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu.

Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya. "Apa hal ini?, kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh keheranan.

Bai itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik.

Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. "Wahai saudara! Apa agama kamu?". "Aku agama Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam. "Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu." Kata Nabi Musa.

"Wahai tuan hamba", kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua babi itu adalah ibubapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodohrupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibubapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menajdi babi, aku tetap melaksanakan tugasku.", sambungnya.

"Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah masih belum memakbulkan lagi.", tambah pemuda itu lagi.

Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s. 'Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepasa kedua ibubapanya. Ibubapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami."

Allah juga berfirman lagi yang bermaksud : "Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibubapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga."

Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibubapa yang akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibubapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibubapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.

Walau bagaimana buruk sekali pun perangai kedua ibubapa kita itu bukan urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa.

Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan urusan kita, urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah S.W.T supaya kedua ibubapa kita diampuni Allah S.W.T.

Doa anak yang soleh akan membantu kedua ibubapanya mendapat tempat yang baik di akhirat, inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibubapa di alam kubur.

Erti sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya bukan melalui hantaran wang ringgit, tetapi sayang seorang anak pada kedua ibubapanya ialah dengan doanya supaya kedua ibubapanya mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah.

Jenazah Bertukar Menjadi Babi Hutan.


Seorang anak mendatangi Rasulullah sambil menangis. Peristiwa itu sangat mengharukan Rasulullah S.A.W yang sedang duduk bersama-sama sahabat yang lain.

"Mengapa engkau menangis wahai anakku?" tanya Rasulullah. "Ayahku telah meninggal tetapi tiada seorang pun yang datang melawat. Aku tidak mempunyai kain kapan, siapa yang akan memakamkan ayahku dan siapa pula yang akan memandikannya?" Tanya anak itu.

Segeralah Rasulullah memerintahkan Abu Bakar dan Umar untuk menjenguk jenazah itu. Betapa terperanjatnya Abu Bakar dan Umar, mayat itu berubah menjadi seekor babi hutan. Kedua sahabat itu lalu segera kembali melapur kepada Rasulullah S.A.W.

Maka datanglah sendiri Rasulullah S.A.W ke rumah anak itu. Didoakan kepada Allah sehingga babi hutan itu kembali berubah menjadi jenazah manusia. Kemudian Nabi menyembahyangkannya dan meminta sahabat untuk memakamkannya. Betapa hairannya para sahabat, ketika jenazah itu akan dimakamkan berubah kembali menjadi babi hutan.

Melihat kejadian itu, Rasulullah menanyakan anak itu apa yang dikerjakan oleh ayahnya selama hidupnya.

"Ayahku tidak pernah mengerjakan solat selama hidupnya," jawab anak itu. Kemudian Rasulullah bersabda kepada para sahabatnya, "Para sahabat, lihatlah sendiri. Begitulah akibatnya bila orang meninggalkan solat selama hidupnya. Ia akan menjadi babi hutan di hari kiamat."

Kelebihan Zikir Kepada Allah

   

Allah Yang Maha Besar selalu mengingatkan kita di dalam kitab-Nya Al-Quran Al-Karim supaya berzikirillah seperti berikut:

“Dan sebutlah nama Tuhanmu pada waktu pagi dan petang, dan pada sebahagian dari malam, maka sujudlah kepadaNya dan bertasbihlah kepadaNya pada bahagian yang panjang di malam hari.” 
( Surah Al Insan, Ayat 25 & 26)

“Dan sebutlah nama Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak meninggikan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.”
(Surah Al A’raf,  Ayat 205)

“Orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata) “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.” 
(Surah Al Imran Ayat 191)

“Sesungguhnya Aku lah Allah, tidak ada Tuhan selainKu, maka sembahlah Aku dan dirikanlah salat untuk mengingat Aku.”   
(Surah Ta Ha Ayat 14)

“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut nama Allah.” 
(Surah Al Ahzab Ayat 21)

Dari Bukhari, Muslim, Tirmidhi dan Ibn Majah, diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w bersabda : Allah s.w.t berfirman maksudnya : "Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hambaKu terhadapKu. Aku bersamanya ketika dia mengingatiKu. Apabila dia mengingatiKu dalam dirinya, nescaya aku juga akan mengingatinya dalam diriKu. Apabila dia mengingatiKu di majlis, nescaya Aku juga akan mengingatinya di dalam suatu majlis yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekatiKu dalam jarak sejengkal, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekatiKu sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepadaKu dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya seperti berlari-lari anak."

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda maksudnya : "Sesungguhnya Allah s.w.t Yang Maha Memberkati lagi Maha Tinggi memiliki para Malaikat yang mempunyai kelebihan yang diberikan oleh Allah s.w.t. Para Malaikat selalu mengelilingi bumi. Para Malaikat sentiasa memerhati majlis-majlis zikir. Apabila mereka dapati ada satu majlis yang dipenuhi dengan zikir, mereka turut mengikuti majlis tersebut di mana mereka akan melingkunginya dengan sayap-sayap mereka sehinggalah memenuhi ruangan antara orang yang menghadiri majlis zikir tersebut dan langit. Apabila orang ramai yang hadir dalam majlis tersebut beredar, para malikat naik ke langit."

Allah s.w.t bertanya para malaikat meskipun Allah mengetahui pergerakan mereka:

“Dari mana kamu datang?”
Malaikat menjawab:
“Kami datang dari tempat hamba-hambaMu di dunia.  Mereka bertasbih, bertakbir, bertahlil, bertahmid serta berdoa memohon dari-Mu.”

Allah s.w.t berfirman:
“Apakah yang mereka pohonkan.?”

Para Malaikat menjawab:
“Mereka memohon Syurga dari-Mu.”

Allah berfirman:
“Apakah mereka pernah melihat Syurga-Ku?”

Para Malaikat menjawab:
“Belum, wahai Tuhan.”

Allah berfirman:
“Bagaimanakah agarnya akan terjadi seandainya mereka dapat melihat Syurga-Ku?”

Malaikat berkata lagi:
“Mereka juga memohon daripada-Mu perlindungan.”

Allah berfirman:
“Mereka pohon perlindungan-Ku dari apa?”

Malaikat menjawab:
“Dari Neraka-Mu, wahai tuhan.”

Allah berfirman:
“Apakah mereka pernah melihat Neraka-Ku?”

Malaikat menjawab:
“Belum.”

Allah berfirman:
“Bagaimanakah agarnya akan terjadi seandainya mereka dapat melihat Neraka-Ku.”

Malaikat terus berkata:
“Mereka juga memohon keampunan-Mu.”

Allah berfirman:
“Aku sudah mengampuni mereka. Aku telah kurniakan kepada mereka apa yang mereka pohon dan Aku telah berikan ganjaran pahala kepada mereka sebagaimana yang mereka pohonkan.”

Malaikat berkata lagi:
“Wahai tuhan kami, di antara mereka terdapat seorang hamba-Mu. Dia penuh dengan dosa, sebenarnya dia tidak berniat untuk menghadiri majlis tersebut, tetapi setelah dia melaluinya dia terasa ingin menyertainya lalu duduk bersama-sama orang ramai yang berada di majlis itu.”

Allah berfirman:
“Aku juga telah mengampuninya. Mereka adalah kaum yang tidak dicelakakan dengan majlis yang mereka adakan.”



Friday, June 25, 2010

Jauhi Perbuatan Suka Mengumpat (ghaibah)

Sahabat yabg dirahmati Allah,
Lidah merupakan di antara nikmat yang Allah s.w.t. kurniakan kepada manusia. Kerana dengan adanya lidah, dapatlah manusia berhubung di antara satu sama lain. Dan kalau kita perhatikan benar-benar, lidah banyak sekali mendatangkan manfaat kepada manusia, walaubagaimanapun di samping berbagai-bagai kebaikan yang diperolehi daripada lidah, banyak juga perkara-perkara yang buruk timbul daripadanya. Ini adalah kerana apabila lidah tidak dipelihara dengan bersungguh-sungguh, maka berbagai-bagai kejahatan akan timbul daripadanya.
 
Salah satu di antara kebinasaan lidah yang jarang disedari ialah sikap suka mengumpat. Mengapakah dosa atau kesilapan ini jarang disedari? Ini adalah kerana perbuatan itu dilakukan pada setiap hari malah setiap waktu di mana-mana sahaja. Sedangkan, sebagaimana yang kita ketahui mengumpat adalah termasuk perbuatan dosa serta dilarang oleh Allah s.w.t. dan Rasul-Nya.

Dari hadis yang lain Abu Hurairah r.a menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, " Tahukah kamu apakah ghaibah (mengumpat)? Jawab sahabat, "Allah dan Rasul yang lebih mengetahui. " Maka Rasulullah s.a.w. bersabda , "Ghaibah (mengumpat)  itu jika kamu menyebut (membicarakan) hal keadaan saudaramu yang tidak suka hal itu disebut atau dibicarakan kepada orang lain, maka itu bererti ghaibah." Lalu Rasulullah s.a.w ditanya," Bagaimana kalau saudaraku itu memang begitu? "Jawab Rasulullah s.a.w " Jika kamu sebut itu benar ada padanya maka itu ghaibah. Tetapi jika ia tidak benar, itu buhtan (membuat kepalsuan untuk memburukkan nama orang lain).

Sahabat yang dimuliakan,
Sebenarnya sikap suka mengumpat timbul daripada perasaan hasad dengki seseorang terhadap orang lain. Ini mungkin disebabkan orang lain itu mempunyai beberapa kelebihan yang tidak ada padanya. Atupun sikap ini timbul kerana merasakan dirinya lebih baik dari orang lain. Mungkin juga sikap ini timbul kerana ia melihat berbagai kekurangan terdapat pada orang lain. Samaada kekurangan itu di segi harta, ilmu, pengaruh dan sebagainya.
 
Jabir dan Abu Sa'id menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, 
"Awaslah dari mengumpat, kerana mengumpat itu lebih keras dari zina. Sesungguhnya seseorang itu berzina ia bertaubat, maka Allah s.w.t. menerima taubatnya. Dan sesungguhnya seseorang yang mengumpat, tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampuni oleh orang yang diumpat."
(Hadis Riwayat Ibn Abid Dunya)
 
 Sahabat yang dihormati,
Terdapat enam alasan yang syarak benarkan untuk ceritakan keburukannya (mengumpat)
 seseorang yang dibenarkan syarak  di mana jika tidak melalui cara itu tujuan itu tak mungkin akan tercapai. Walaubagaimanapun, jika ada cara lain seboleh-bolehnya gunakan cara berkenaan. Elakkanmengumpat.

Untuk membela diri. Adalah dibenarkan jika: a) atas tujuan yang dibenarkan oleh syarak
b) Jika tiada jalan lain melainkan dengan membuka aib orang lain.

Contohnya, kalian telah dituduh mencuri, sedangkan kalian tahu siapa yang mencuri. kalian terpaksa mempertahankan diri dengan berkata benar. Ini biasa berlaku di mahkamah. Mahkamah terpaksa membuka aib mereka yang terbabit untuk tujuan yang dibenarkan oleh syarak, iaitu membuktikan benar atau salahnya orang yang dituduh (mencari penjenayah).

Di bawah ini di senaraikan enam tempat yang dibenarkan mengumpat.

Pertama: Mahu mengadu kepada qadhi, polis, imam, ketua kampung dsbnya kerana teraniaya. Ketika mengadu tidak boleh tidak kita terpaksa membuka kezaliman yang telah dilakukan terhadap kita. Dengan membuka keburukan orang berkenaan, barulah pengadilan dapat dilaksanakan.

 Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :
 “Aisyah r.a. berkata: Seseorang datang minta izin kepada nabi s.a.w. (masuk ke rumah). Lalu nabi s.a.w. bersabda: Izinkanlah. Dia adalah sejahat-jahat orang di kalangan kaumnya.” (riwayat Bukhari & Muslim)


Kedua: Mahu mencegah kemunkaran dan kemaksiatan yang berlaku. Keburukan pelaku maksiat itu boleh diceritakan kepada seseorang yang dapat diharapkan boleh menghindarkan kemungkaran itu. Seperti kalian melihat sebahagian anak-anak muda di kawasan kalian membawa perempuan ajnabi balik ke rumahnya (berkhalwat). Kalian hendaklah mencari seseorang yang boleh diharapkan dapat menghalang perkara berkenaan. Kalian dibenarkan menceritakan perihal anak-anak muda itu kepadanya.

Ketiga: Meminta fatwa dari alim-ulamak. Contohnya dalam masalah rumahtangga, jika si suami melakukan sesuatu yang tidak baik kepada isterinya (contoh: tidak beri nafkah), dia boleh mengadu hal kepada ulamak/mufti meminta fatwa. “Suami saya tidak memberi saya nafkah selama sekian lama. Apa hukumnya dia melakukan demikian. Apakah yang harus saya lakukan?”

“Aisyah r.a. berkata: Hindun binti Uthbah (isteri Abu Sufian) berkata kepada nabi s.a.w.: Sesungguhnya Abu Sufian seorang yang kedekut dan tidak memberi cukup belanja kepada ku dan anak-anakku, kecuali kalau saya ambil di luar pengetahuannya. Nabi s.a.w. menjawab: Ambillah secukupmu dan ank-anakmu dengan sederhana.” 
(Riwayat Bukhari & Muslim)

Keempat: Memberi peringatan (agar berhati-hati) dan nasihat kepada kaum muslimin tentang kejahatan seseorang. Bahkan jika dapat memberi mudarat kepada seseorang, wajib kita jelaskan keburukkannya. Contoh, apabila seseorang datang kepada kalian meminta nasihat tentang perkahwinan anak perempuannya. Apakah wajar dikahwinkan dengan si fulan? Sedangkan kalian tahu bahawa si fulan itu adalah seorang yang buruk akhlaknya dan tak menjaga agamanya ketika ini wajiblah kalian membuka aibnya. Keadaan yang sama juga sekiranya kalian ingin memilih pemimpin dikawasan kalian, jika terbukti calun pemimpin tersebut tidak berakhlak atau menolak hukum-hukum Allah kalian boleh mendedahkan keaifannya supaya dia tidak dipilih oleh orang ramai.

“Fatimah binti Qais berkata: Saya datang kepada Nabi s.a.w. bertanya tentang dua orang yang meminang saya, iaitu Abu Jahm dan Muawiyah. Maka Nabi s.a.w. bersabda: Adapun Muawiyah, dia adalah seorang yang miskin, manakala Abu Jahm, dia adalah seorang yang suka memukul isteri.” 
(Riwayat Bukhari & Muslim)

Hadis di atas menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. ada menceritakan keburukkan orang lain untuk mencapai maksud yang dibenarkan oleh syarak. Dan tiada pilihan lain melainkan memberitahu aib orang berkenaan.

Kelima: Mencela orang yang secara terang-terangan melakukan kefasikkan, bid’ah dan kezaliman. Contoh, seorang yang secara terang-terangan meminum arak, atau berjudi, atau melaksanakan projek-projek batil. Yang dibenarkan hanyalah menyebutkan kemaksiatan yang dilakukan secara terang-terangan itu sahaja. Dan diharamkan menyebutkan aib-aib lain.

Keenam: Untuk mengenalkan seseorang. Jika seseorang itu memang dikenali dengan julukkan si tempang, si buta dan sebagainya, boleh kalian menyebutkan julukkan itu dengan niat mengenalkan. Haram jika dengan niat mencemuh. Walaubagaimanapun selagi boleh mengelakkan menyebut julukkan itu, elakkan..
 Firman Allah s.w.t. maksudnya, “Allah tidak suka kepada perkataan yang tidak baik diperdengarkan, kecuali dari orang-orang yang teraniaya…” 
(Surah al-Nisaa’, ayat 148)

Sahabat yang dikasihi,
Apabaila kalian  telah terlanjur melakukan perbuatan mengumpat saudara sesama Muslim, maka ia hendaklah segera bertaubat dan meminta maaf kepada mereka sebelum mati atau sebelum orang yang diumpat itu mati.

Akhirkata, marilah sama-sama kita perbaiki akhlak kita, meningkatkan iman dan takwa dan meninggalkan segala sifat mazmumah termasuk mengumpat. Kita bina dan menyambungkan silaturahim dan ukhuwah Islamiyah sesama Muslim dalam rangka kita mencari keredhaan Allah s.w.t. Aqidah dan iman yang kuat sahajalah yang dapat menghapuskan sifat buruk ini dari jiwa kita. Untuk mendapatkan aqidah dan iman yang kuat, kita hendaklah sentiasa mengikuti pengajian-pengajian agama dan majlis-majlis ilmu serta bercampur dengan masyarakat yang berpegang dengan al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah s.a.w dan bersahabat dengan orang-orang soleh.