Wednesday, July 28, 2010

Puisi Untuk Sahabat Seperjuangan.

 Salam ukhuwah dan salam sejahtera.
 Semoga kalian sentiasa dalam iman dan takwa.

Sahabatku yang dimuliakan...
Bersabarlah kerana kesabaranmu membawa kau dekat dengan Tuhanmu.
Bertakwalah kepada Allah, kerana takwamu akan membawamu menjadi insan yang mulia disisi-Nya
Bertawakkallah kerana tawakkal seorang hamba merupakan ikatan bersama Rabbnya.
Bersyukurlah kerana sifat syukur tanda kau menghargai nikmat-nikmat yang banyak yang telah kau terima.
Redhalah diatas Qadha' dan Qadar Allah tanda dirimu berbaik sangka dengan-Nya dan yakin diatas ketentuan-Nya.
Ikhlaskan hatimu kerana keikhlasan membawa nilai dalam semua amalanmu.
Khusyukan hatimu ketika solat kerana kekusyukan akan membawa erti dalam solatmu.
Berwaspadalah dalam semua perkara nescaya kau akan terhindar dari tipu daya .

Sahabat yang dirahmati Allah....
Bila kau takut kepada Allah kau akan menjadi orang yang paling alim

Bila kau yakin diri sendiri kau akan menjadi orang paling kaya

Bila kau mengasihi manusia seperti kasih diri sendiri kau akan menjadi orang paling adil.
Ingatlah! Orang yang paling baik adalah orang yang berguna kepada masyarakat.
Bila kau ingin menjadi orang yang.paling istimewa banyakkan zikrullah.
Bila kau ingi memiliki kesempurnaan iman maka perelokkan akhlakmu
Bila kau ingin menjadi insan bersifat muhsinin maka kau beribadahlah seolah-olah kau lihat Allah, jika tak merasa ingatlah Allah melihat kamu.
Bila kau ingin termasuk pada golongan yang taat maka laksanakan semua yang fardu.

Sahabat yang dimuliakan
Jika kau ingin berjumpa Allah dengan tiada dosa dihari akhirat nanti bersihkan diri dari dosa.
Jika kau inginkan mendapat cahaya dihari akhirat maka janganlah menzalimi orang lain.

Jika kau ingin dikasihi Allah di hari qiyamat kasih diri sendiri dan kasihilah orang lain.
Jika kau ingin dihapuskan segala dosa-dosamu maka banyakkan beristighfar.
Jika kau ingin menjadi semulia-mulia manusia maka janganlah sangka buruk pada orang lain.

Jika kau ingin menjadi orang yang paling gagah sentiasalah bertawakkal dan serah diri kepada Allah.
Jika kau ingin rezeki sentiasa murah dan kau akan memilikinya maka sentiasa bersih dari hadas dan hubungkan silaturahim.
Jika kau ingin termasuk golongan di kasihi Allah dan Rasul maka cintailah semua yang di sukai Allah dan Rasul.
Jika kau ingin terselamat dari kemurkaan Allah di hari qiyamat maka janganlah kau marah pada orang lain.
Jika kau inginkan do'amu diterima Allah maka jauhilah makanan yang haram masuk dalam perutmu
Jika kau inginkan keaifanmu ditutup di hari qiyamat maka tutuplah keaiban orang lain.
Jika kau ingin terselamat dari dosa maka alirkanlah air matamu tanda penyesalan, tunduk pada Allah dan bersabarlah ketika di timpa kesakitan.

Ingatlah! Sebesar-besar kebaikan disisi Allah apabila kau elokkan budi pekertimu, rendahkan dirimu dan bersabar dengan ujian.
Ingatlah! Sebesar-besar kejahatan disisi Allah adalah buruk akhlak dan sedikit ketaatan maka kau jauhkanlah dirimu dari sifat ini.
Jika kau ingin meredakan kemurkaan Allah dunia dan akhirat maka hulurkanlah sedekah secara senyap dan hubungkan kasih sayang kerana Allah.
Ingatlah! Jalan yang boleh memadamkan api Neraka adalah sabar di dunia dengan bala dan musibah.

Sahabat yang dikasihi Allah....
Tuluskanlah hatimu bila kau terima sesiapa saja menjadi teman hidupmu
kerana ketulusan itu membawa kebahagiaan

Jangan kau paksa hatimu nanti kau akan menyesal kerana hatimu akan merintih.
Hubungkanlah hatimu dengan Allah nescaya kau akan terpelihara dari perasaan kecewa, truma, forbia, putus asa dan resah gelisah.
Yakinlah apa yang Allah takdirkan padamu itu ada hikmah yang banyak dan tanda Allah kasih padamu.
Yakinlah janji Allah...bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah adalah  insan yang akan mendapat perlindungan Allah dihari akhirat nanti.
Ku harapkan pertemuan kita termasuk di dalam golongan ini. Amin

Tuesday, July 27, 2010

Ketenangan Jiwa Mendatangkan Kebahagiaan Dunia dan Akhirat

 Sahabat yang dirahmati Allah,
Betapa mahalnya harga ketenangan jiwa. Banyak yang mengorbankan apa saja untuk mendapatkannya. Namun, tak sedikit juga yang keliru. Lihat saja apabila seseorang ingin mendapatkan ketenangan jiwa, sangup menghabiskan masa berjam-jam untuk berhibur sambil mengambil minuman keras. Tak sedikit yang menghabiskan wang ribuan ringgit untuk mendapatkan pil penenang. Sementara, ketenangan yang diperolehi hanya sebentar saja. Akibatnya bukan ketenangan jiwa yang diperolehi tetapi kerosakan dan kehancuran yang diterima.

Kehidupan setiap hari dengan berbagai-bagai masaalah menyebabkan seseorang mendapat stress, risau, bimbang, gangguan emosi dan kemurungan. Kehidupan yang mencabar, keperluan dan tuntutan kehidupan yang meningkat, kos sara hidup yang tinggi kesemuanya menyumbang kepada keadaan jiwa yang tidak tenang dan memberikan tekanan jiwa yang amat membimbangkan. Apabila keadaan ini tak dapat dikawal dikhuatiri berbagai masaalah yang akan timbul, dan kadangkala boleh mengakibatkan seseorang itu bertindak diluar batasan manusia yang sihat. Contohnya faktor bunuh diri, penderaan seksual, penyiksaan fizikal terhadap kanak-kanak dan pembantu rumah, hinggakan ianya boleh sampai keperingkat membunuh orang lain.

Sebahagian besar daripada kecemasan jiwa yang menimpa manusia adalah disebabkan permainan fikiran yang sentiasa khuatir jika dirinya ditimpa oleh kejadian-kejadian buruk atau perkara-perkara yang tidak diingininya. Padahal apa yang difikirkannya itu belum tentu akan terjadi pada dirinya.

Syaikh Ibnu ‘Athaillah mengatakan:
"Tenangkanlah jiwamu daripada urusan kepentingan dunia, kerana segala sesuatu yang sudah dijanjikan oleh Allah, janganlah engkau turut memikirkannya.”
Perkara seperti ini biasanya dirasakan oleh orang-orang yang kurang bertawakal (berserah diri) kepada Allah dan tidak mengamalkan firman-Nya yang bermaksud :
“Barangsiapa yang berserah diri (tawakal) kepada Allah, nescaya Dia akan memenuhi keperluannya.” (Surah At-Thalaq ayat 3)
Firman Allah di atas di perkuat lagi dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“Seandainya kamu semua bertawakal sepenuhnya kepada Allah, nescaya kamu akan memperolehi rezeki bagaikan rezeki burung-burung yang pada waktu pagi berkeadaan lapar dan kembali ke sarangnya (di waktu petang) dengan perut kenyang.” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi)
Jika kita mahu berpegang teguh kepada firman Allah dan sabda Rasul-Nya sebagaimana yang sudah kita nukilkan di atas, nescaya jiwa kita akan merasa tenang dan tenteram. Ketenangan dan ketenteraman jiwa ini akan mendatangkan kebahagiaan, baik di dunia mahupun di akhirat kelak.

Hati yang tenang dan tenteram dapat membentuk tindak-tanduk yang cemerlang dan sempurna. Bagaimana jiwa yang kusut dapat membuat keputusan yang bijak dan mengurus kehidupan dengan teratur?
Selain itu juga, terdapat beberapa ayat Allah dan sabda Rasul-Nya yang patut kita renungkan, supaya tercapai ketenteraman dan ketenangan jiwa yang kita harapkan. Antara lain firman-Nya yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah (berzikir) kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya dan pujilah (bertasbih) kepada-Nya pada waktu pagi dan petang.” (Surah Al-Ahzab ayat 41-42)
Firman-Nya lagi, yang berbunyi :
“Dan sembahlah Tuhanmu, hingga datang kepadamu yang diyakini (ajal).”
(Surah Al-Hijr ayat 99)
Firman-Nya lagi, yang bermaksud :
“Dan tiada satu haiwan melatapun di permukaan bumi, melainkan rezekinya ditanggung oleh Allah.”
(Surah Hud ayat 6)
Dalam ayat lain, Allah berfirman :
“Dan tiadalah kehidupan dunia ini, melainkan kesenangan dan permainan (sementara) dan sesungguhnya kehidupan yang hakiki adalah kehidupan akhirat, andainya mereka mengetahui.” (Surah Al-Ankabut : 64)
Perhatikan pula firman-Nya yang bermaksud :
“Dan janganlah engkau menyembah tuhan yang lain di samping Allah. Tiada Tuhan melainkan Dia. Tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan Zat Allah. Bagi-Nyalah segala penentuan, dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan.” (Surah Qasas : 88)
Firman-Nya lagi :
“Dan (ingatlah) sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya.” (Surah At-Talaaq : 4)
Selanjutnya, marilah kita perhatikan pula firman-Nya yang berbunyi :
“Tidak ada kesusahan yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. Supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak juga bergembira dengan apa yang diberikan kepadamu. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.” (Surah Al-Hadid : 22-23)
Begitu besar kasih dan sayang Allah kepada hamba-Nya dan cinta Rasul kepada ummahnya, yang memberikan petunjuk untuk kebahagiaan hidup manusia. Namun semuanya itu bergantung kepada kita sendiri, apakah kita mahu mengikuti petunjuk-petunjuk itu atau hendak mengabaikannya.

Untuk lebih jelas lagi mengenai pengertian tawakal, Rasulullah SAW didatangi orang Badawi dan berkata,
“Bolehkah saya melepaskan unta saya, lalu saya bertawakal kepada Allah, wahai Rasulullah? Nabi menjawab: Tambatlah unta itu, lalu engkau bertawakal kepada Allah” (Al-Hadis).
Daripada penjelasan di atas maka bolehlah kita mengambil satu rumusan bahawa segala bentuk urusan atau pekerjaan yang dihadapi hendaklah berusaha terlebih dulu sebelum bertawakal kepada Allah s.w.t.

Sebagai manusia yang inginkan kejayaan dan kesejahteraan hidup, haruslah berusaha dan bekerja dengan tekun. Lantaran kesempurnaan hidup (di dunia dan di akhirat) tidak akan tercapai apabila ada sikap malas. Islam sama sekali tidak menghendaki umat-Nya menganggur dan berpeluk tubuh, hanya berserah buta kepada Allah s.w.t

Sahabat yang dimuliakan,
Hakikat sebenarnya, tak ada seorang pun boleh terlepas dari masaalah kehidupan. Itulah sunatullah yang berlaku di dunia. Kekayaan, pangkat dan kedudukan takkan mampu menghalanginya.

Namun, Islam memberikan penyelesaian terhadap tekanan hidup itu agar jiwa menjadi tenang. Tak ada istilah stress bagi seorang Mukmin. Persoalannya Islam telah memberikan penyelesaian untuk menghadapi tekanan hidup. Dua langkah yang boleh dilakukan untuk mendapat ketenangan jiwa:

Pertama : Membaca dan mendengarkan kitab suci al-Qur'an :

Suatu ketika seseorang datang kepada Ibnu Mas’ud, salah seorang sahabat utama Rasulullah s.a.w.. Ia mengeluh, “Wahai Ibnu Mas’ud, nasihatilah aku dan berilah ubat bagi jiwaku yang gelisah ini. Hari-hariku penuh dengan perasaan tak tenteram, jiwaku gelisah, dan fikiranku kusut. Makan tak lalu, tidur pun tak lena," kata orang tersebut.

Ibnu Mas’ud menjawab, ”Kalau penyakit itu yang menimpamu, maka bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat :

1. Pergi ketempat orang membaca al-Quran. Engkau baca al-Quran atau engkau dengar baik-baik orang yang membacanya.

2. Engkau pergi ke majlis ilmu yang mengingatkan hatimu kepada Allah.

3. Engkau cari waktu dan tempat yang sunyi, di sana engkau berkhalwat mengabdikan diri kepada Allah.

Nasihat sahabat Nabi itu segera dilaksanakan orang tersebut. Sampai saja di rumah, segera ia berwudhu kemudian diambilnya al-Qur'an dan dibacanya dengan khusyuk. Selesai membaca, ia segera dapati hatinya memperoleh ketenteraman, dan jiwanya pun tenang. Fikirannya segar kembali, hidupnya terasa seronok kembali. Padahal, ia baru melaksanakan satu dari tiga nasihat yang disampaikan sahabat Rasulullah s.a.w tersebut.

Kedua : Selalu berfikiran positif :

Mengapa seseorang mudah stress dan jiwa tak tenang? Salah satu faktornya kerena ia selalu berfikiran negatif. Selalu mencela dan menyesali kekurangan diri. Padahal, setiap kita diberikan oleh Allah s.w.t. berbagai kelebihan. Ubahlah fikiran negatif itu menjadi positif. Ubahlah perasaan keluh kesah yang membuat muka berkerut, lemah badan dan kecewa dengan ucapan yang mengembirakan. Ucapan yang mengembirakan akan membuat kita mudah tersenyum, jiwa menjadi lebih bersemangat. Bukankah di balik kesulitan dan kegagalan ada hikmah yang boleh jadi pelajaran? Dan bukankah disebalik kesulitan ada kemudahan?

Ketiga :  Menjaga perhubungan silaturahim :

Manusia adalah makhluk ciptaan Allah yang memerlukan perhubungan sesama manusia, untuk bantu membantu sesama mereka. Berbagai keperluan hidup tak mungkin diperolehi tanpa bantuan orang lain. Oleh itu, di dalam hadis Rasulullah s.a.w diperintahkan untuk tetap menjalin hubungan silaturahim, sekalipun terhadap orang yang melakukan permusuhan.

Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda bahwa silaturahmi dapat memanjangkan umur dan memurahkan rezeki . Hubungan yang baik di dalam keluarga, maupun dengan jiran tetangga akan mendatangkan ketenangan, kedamaian dan kemesraan. Hubungan yang baik itu juga akan menyelesaikan berbagai masaalah yang dihadapi oleh masyarakat.

  Keempat : Banyak mengucapkan kalimah "la hawla wa la quwwata illa billah." dan berzikir kepada Allah s.w.t.


La Hawla Wala Quwwata Illa Billah merupakan khazanah daripada khazanah-khazanah syurga, ia merupakan penyembuh untuk 99 jenis penyakit, sekurang-kurangnya penyakit dukacita, kesedihan dan kerisauan.

Berkata Abdullah bin Masoud r.a, pernah seketika beliau bersama Rasulullah SAW dan dia mengucapkan La Hawla Wala Quwwata Illa Billah. "Baginda SAW bertanya:"Apakah kamu mengetahui maksudnya?", "Aku menjawab: Hanya Allah dan RasulNya yang mengetahui"

Baginda SAW menerangkan maksudnya:"Ia bermakna tidak ada sesiapa yang mempunyai daya keupayaan untuk memelihara dirinya daripada menderhakai Allah melainkan dengan pertolongan dan perlindungan dari Allah, dan tidak ada sesiapapun mempunyai daya keupayaan untuk mentaati dan beribadat kepada Allah tanpa bantuan dan petunjuk daripada Allah.

Tidak ada daya keupayaan untuk mengelak daripada menderhakai Allah melainkan dengan perlindungan dan pertolongan Allah dan tidak ada daya keupayaan untuk mentaati dan menyembah Allah melainkan dengan pertolongan dan petunjuk daipadaNya, dan tidak ada tempat perteduhan yang selamat daripada kemurkaan Allah melainkan Allah"

Zikir adalah menyebabkan Allah S.W.T ingat kepada seseorang yang ingat kepada-Nya sepertimana disebutkan di dalam Al-Quran yang bermaksud:
"Kerana itu ingatlah kamu kepada Aku, nescaya Aku ingat pula kepadamu."
(Al-Baqarah : 152)
Dan diterangkan pula di dalam hadis yang bermaksud :
"Barangsiapa mengingati Aku di dalam hatinya, nescaya Aku mengingati
pula di dalam hati-Ku."

 Di dalam hadis yang lain bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda maksudnya : “Pada hari kiamat orang yang paling beruntung mendapat syafaatku ialah orang yang banyak membaca kalimah ‘Laailaha illallah’ dengan hatinya dan jiwanya iaitu dengan hati yang ikhlas”.

Nabi  s.a.w. bersabda maksudnya : “Orang yang membaca ‘Laailaha illallah’ di dalam keadaan penuh keikhlasan di dalam hatinya atau iman bersamaan dengan sebiji barli, maka ia akan dikeluarkan dari neraka jahanam. Dan orang yang membaca kalimah ini dan di dalam hatinya terdapat keikhlasan atau iman bersamaan sebesar biji gandum maka ia akan dikeluarkan dari api Neraka Jahanam dan orang yang membaca dengan penuh kebaikan atau iman maka ia juga akan dikeluarkan daripada api Neraka Jahanam”.

Di dalam hadis lain terdapat: Orang yang membaca kalimah ‘Laailaha illallah’ dari hatinya, ia pasti akan memasuki Syurga walaupun ia melakukan dosa seperti berzina dan mencuri, walaupun ia melakukan zina dan mencuri. (Nabi s.a.w. telah mengulangkannya sebanyak tiga kali)


Sumber ketenangan jiwa yang hakiki adalah bersumberkan dari Allah s.w.t. Oleh itu hendaklah kita selalu menghubungkan hati dengan Allah s.w.t. dengan kita berzikir, dalam semua keadaan, baik dalam keadaan senang maupun susah. Perhubungan yang  kuat dengan Allah s.w.t. akan membuat jiwa seseorang menjadi kuat, tak mudah diganggu gugat oleh sesiapa pun, apabila hati sentiasa mengingati Allah maka syaitan laknatullah tidak akan dapat mempengaruhi hati dan fikiran kita.

Akhirkata, marilah sama-sama kita amalkan segala perkara-perkara yang boleh mendatangkan ketenangan jiwa kita supaya kita sentiasa tenang dan bahagia menjalani kehidupan di dunia dan di akhirat kita pengharapkan rahmat Allah untuk meletakkan diri kita dikalangan oenag-orang yang berjaya dan bahagia.

Persiapan Diri Untuk Menyambut Kedatangan Ramadan al-Mubarak

Sahabat yang dimuliakan,
Apabila berada saja kita dibulan Syaaban maka teringatlah kita bahawa Ramadan sudah hampir. Bulan yang penuh keberkatan.

Orang Mukmin yang hati dan jiwanya sentiasa berhubung dengan Allah akan menanti kehadiran Ramadan al-Mubarak adalah umpama penantian sepasang suami isteri yang bahagia menanti kelahiran anak pertama mereka, dengan penuh gembira dan debaran. Persiapan dibuat rapi, persalinan dan pakaiannya telah disediakan awal, takut bila-bila masa, bayi yang dinanti akan lahir kedunia.

Apakah kita merasai perasaan yang sama? Berapa kalikah dalam kehidupan kita telah kita lalui kehadiran Ramadan, adakah setiap kali ia datang telah menambahkan takwa kita kepada Allah? Atau adakah ia datang dan pergi sama dengan bulan-bulan yang lain?

Tinggal beberapa hari lagi bulan Ramadan akan tiba, oleh itu saya mengajak diri saya dan diri sahabat semua, untuk Ramadan kali ini kita membuat persiapan awal lebih rapi dan teliti. Kita penuhi keperluan empat fakulti insan iaitu persiapan jiwa (spritual), fikiran (mental), perasaan (emosi) dan badan (fizikal). Apabila lengkap persiapan ini, insya Allah kualiti puasa dan ibadah kita akan lebih baik untuk kita persembahkan kepada Allah s.w.t.

Terdapat sepuluh persiapan untuk kita menyambut kedatangan Ramadan al- Mubarak :

1.Berdoa kepada Allah s.w.t. semuga dipanjangkan umur dan diberi kesihatan ketika kedatangan bulan Ramadan :
Nabi s.a.w berdo'a : "Ya Allah! Berkatilah kami didalam Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami kebulan Ramadan"

2.Bersyukur dan memuji Allah diatas kedatangan bulan Ramadan.

3.Gembira dan teruja dengan Ramadan :

Dari Abu Hurairah katanya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :

"Apabila tibanya malam bulan Ramadan syaitan dan jin jahat diikat, ditutup pintu-pintu Neraka, dibuka pintu-pintu Syurga dan malaikat menyeru, 'Hai mereka yang mencari kebaikan ayuhlah, hai mereka yang mahu melakukan kesalahan tangguhlah,' setiap malam Allah akan memerdekakan hambaNya dari api Neraka."

4.Menyediakan perancangan yang rapi untuk manfaatkan bulan Ramadan dengan sebaik mungkin.berazam untuk khatam 30 juzuk al-Qur'an.

5.Membuat keazaman yang jujur untuk merebut dan memenuhkan setiap masa didalam bulan Ramadan dengan melakukan amalan-amalan yang soleh,memulakan bersedekah, mengasihi , merai dan mengingati anak-anak yatim dan membatu fakir miskin.

6.Mempelajari dan memahami hukum -hakam berkaitan Ramadan.

7.Kita menyambut kedatangan Ramadan dengan keazaman untuk bertaubat dan meninggalkan kesemua dosa dan maksiat.dan berazam untuk mendapat malam Lailatul qadar (lebih baik dari seribu bulan) .

8.Membaca buku-buku, ceramah serta pengajian yang dapat menyemarakkan semangat untuk melakukan ketaatan didalam bulan Ramadan.

9.Membuat persiapan menjadi pendakwah didalam bulan Ramadhan iaitu menyebarkan risalah-risalah dan adakan perbincangan yang berkaitan puasa dan hukum-hukumnya.

10.Membukukan lambaran baru hubungan kita dengan :

a. Allah s.w.t. iaitu bertaubat dan berdoa dan mentaati perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.

b.Rasulullah s.a.w. iaitu mentaati segala perintahnya dan menjauhi larangannya dan mengamalkan sunnahnya.

c. Ibu bapa , suami,isteri,anak-anak dan saudara mara iaitu dengan melakukan kebaikan dan menyambung hubungan silaturrahim.

d.Mesyarakat iaitu membina perhubungan persaudaraan Islam dan mendidik mereka untuk menjadi hamba Allah yang soleh dan bertakwa.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setelah kita atur semua program dan perancangan yang akan kita laksanakan dalan bulan Ramadan ini, kita perlu pastikan dihari pertama Ramadan terus dilaksanakan tanpa ada apa-apa alasan, beristiqamahlah hingga akhir bulan Ramadan. Insya Allah ibadah puasa yang kita laksanakan akan mendapat markah penuh iaitu bertakwa kepada Allah s.w.t.

Apabila kita berniat dan berazam dengan sepenuh hati untuk memiliki puasa yang terbaik dan dibulan Syaaban ini kita mulakan persiapan maka Allah s.w.t akan memberi kekuatan dan mengkabulkan hajat kita ini.

Aun bin Abdullah berkata: Dahulu orang-orang soleh menulis surat kepada sahabatnya tiga kalimat;
1. Siapa yang beramal untuk akhirat, maka Allah mencukupi segala urusan dunianya.
2. Dan siapa yang memperbaikki niatnya, maka Allah akan memperbaikki zahirnya.
3. Dan sesiapa yang memperbaikki hubungannya dengan Allah, maka Allah akan memperbaikki hubungannya dengan sesama manusia.

Nabi s.a.w bersabda: ” Seorang hamba dihadapkan pada hari kiamat membawa hasanah sebesar bukit, lalu ada seruan;' Siapa yang pernah di aniaya oleh fulan boleh datang untuk dibayar'. Maka datanglah beberapa orang lalu mengambil bahagiannya sehingga tiada tinggal satu pun dari hasanah yang banyak itu, sehingga hamba itu menjadi bingung, lalu Tuhan berkata kepadanya: 'Untuk mu ada simpanan pada Ku yang tidak Aku perlihatkan kepada malaikat atau seorang pun dari makhluk Ku,' lalu ia bertanya:' Apakah itu'. Jawab Tuhan: Ia itu niatmu, yang kau selalu niat akan berbuat kebaikan, Aku tulis untuk mu berlipat ganda, tujuh puluh lipat ganda.' "

Monday, July 26, 2010

Ciri-ciri Kesempurnaan Iman

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Hadis :
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:" Tidak sempurna iman seseorang hamba sehingga dia memiliki tiga sifat iaitu: menafkahkan harta tanpa kedekut, berlaku adil terhadap diri dan memberi salam kepada orang lain."
(Hadis Riwayat Ahmad)

Huraian :
1. Harta benda atau wang ringgit adalah kurniaan Allah kepada hamba-Nya. Harta benda yang dimiliki adalah suatu himpunan amanah dan tanggungjawab yang perlu diurus dan dibelanjakan sewajarnya. Oleh itu manusia yang suka menyimpan harta kerana takut akan kehabisan dan tidak sanggup mengeluarkan sebahagiannya ke jalan yang hak seperti berzakat dan membelanjakan ke jalan yang bermanfaat pasti tidak akan mendapat keberkatan dan rahmat Allah walaupun dianugerahi nikmat yang melimpah ruah.

2. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Tuhanmu yang meluaskan rezeki terhadap sesiapa jua yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang dan peraturan-Nya) dan Dia juga yang menyempitkan (menurut yang demikian). Sesungguhnya Dia Maha Mendalam Pengetahuan-Nya lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya." 
(Al-Israk ayat 30).

3. Adil dengan diri sendiri bermaksud seseorang itu menyeimbangkan antara keperluan spiritual (rohani) dan dan fizikal (material, intelektual dll) di mana semua komponen ini saling berkait rapat dan sangat penting bagi menjadikan kehidupan seseorang seimbang, tenang dan damai.

4. Memberi salam pula adalah simbol kekuatan ukhuwwah yang dituntut oleh Islam untuk diamalkan selalu oleh setiap muslim dalam menjalani kehidupan bermasyarakat. Ini bagi memastikan masyarakat yang dihuni itu berkeadaan saling hormat menghormati di samping mewujudkan perpaduan dan kasih sayang tanpa berlakunya cara hidup yang bersifat indidualistik, menyombong diri, mementingkan diri dan sebagainya tanpa menghiraukan orang lain.

Mendidik Jiwa Sentiasa Bersyukur

Sahabat yang dikasihi Allah,
Hidup di dunia ini adalah sementara, akhiratlah kehidupan yang kekal abadi.
Janganlah kita merasa seolah-olah umur kita masih panjang kerana lamunan seperti itu banyak membawa kepada kelalaian.

Sesiapa yg sentiasa bersyukur bermakna dirinya mengingati Allah. Rasa bersyukur terhadap Maha Pencipta yg memberikan segala kehidupan ini dan rasakan diri sentiasa hampir kepada Allah. Justeru, Allah membalasnya dgn melimpahkan nikmat yg lebih baik.

Allah berfirman bermaksud: “ Maka ingatlah Aku nescaya Aku akan mengingatimu dan syukurlah atas nikmat- Ku dan janganlah sekali2 kamu kufuri nikmat Ku. ”
(Surah al-Baqarah, ayat 152). 
Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada seluruh manusia, tanpa mengira orang beriman atau tidak beriman. Orang yg ingkar akan menanggung kerugian di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat. Kehidupan orang yang tidak bersyukur sentiasa tertekan dan gagal memanfaatkan apa yg dimilikinya.

Walaupun mendapat banyak kemewahan dan kesenangan, jiwa orang tidak bersyukur sentiasa berasa masih tidak mencukupi. Semakin banyak yang dikejar, semakin dirasakan bebanan perasaan dan bertambah kekufurannya. Allah berjanji menambah nikmatnya kepada sesiapa yg sentiasa bersyukur. Betapa beruntungnya orang yg bersyukur, mendapat nikmat di dunia dan pembalasan syurga di akhirat.

Firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat Ku), maka sesungguhnya azab Ku sangat pedih.” 
(Surah Ibrahim, ayat 7). 
Kita disuruh bersyukur bukan saja apabila mendapat kemewahan atau apa yang dihajati tercapai. Sebaliknya, rasa bersyukur juga di atas ciptaan Allah yang menjadikan dunia ini untuk kemudahan manusia serta seluruh kehidupan lain di dunia ini.

Sabda Rasulullah SAW yg bermaksud: “Tidaklah kekayaan itu dgn banyak harta, tetapi sesungguhnya kekayaan itu ialah kekayaan jiwa.” 
( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

buat renungan bersama....


Sunday, July 25, 2010

Dua Puluh Empat Perkara Yang dilarang Untuk dilakukan.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hidup kita di dunia ini tidak boleh lari daripada peraturan dan undang-undang. Islam telah lengkap dan sempurna sebagai cara hidup untuk manusia. Apabila manusia kembali kepada peraturan dan undang-undang ciptaan Allah s.w.t. manusia akan selamat dan mencapai hakikat kebahagiaan yang sebenarnya. Bila mausia lari dari peraturan ini maka berlakulah berbagai kerosakkan dan kehancuran dalam kehidupan manusia sendiri.


Sesungguhnya didalam hidup kita dikelilingi oleh perkara-perkara yang menyeronokkan. Tetapi tidak semua yang menyeronokan itu akan mendatangkan kebahagian yang sebenarnya. Kebanyakkan perkara yang menyeronokan ini boleh mendatangkan keburukan.

Terdapat 24 perkara-perkara yang perlu ditinggalkan supaya kita menjadi hamba Allah yang patuh dan taat kepada-Nya.

1- Jangan sengaja lewatkan solat. Perbuatan ini tidak disukai oleh Allah s.w.t. 


2- Jangan masuk ke bilik air tanpa memakai alas kaki (selipar). Dikhuatiri terbawa keluar najis dan mengotori seluruh rumah kita. 


3- Jangan makan dan minum dalam bekas yang pecah atau sumbing. Makruh kerana ianya merbahayakan.
 

4- Jangan biarkan pinggan mangkuk yang telah digunakan tidak berbasuh. Makruh dan mewarisi kepapaan. (pastikan pingan mangkuk yang kotor diwaktu malam dibasuh semuanya jangan dibiarkan hingga waktu subuh)

5- Jangan tidur selepas solat subuh, nanti rezeki mahal (kerana waktu pagi itu membuka segala pintu keberkatan) 


6- Jangan makan tanpa membaca BISMILLAHHIRRAHMANNIRAHIM dan do'a makan. Nanti makanan yang dijamah adalah dari muntah syaitan. 


7- Jangan keluar rumah tanpa niat membuat kebajikan atau kebaikan. Takut-takut anda mati dalam perjalanan. 


8- Jangan pakai kasut atau selipar yang berlainan pasangan. Makruh dan mewarisi kepapaan. 


9- Jangan biar mata liar di perjalanan. Nanti hati kita gelap diselaputi dosa. 


10- Jangan bergaul bebas ditempat kerja. Jagalah akhlak dan adab sopan secara Islam.


11- Jangan menangguhkan taubat bila berbuat dosa kerana mati boleh datang bila-bila masa. 


12- Jangan ego untuk meminta maaf kepada kedua ibu bapa dan sesama manusia kalau memang kita bersalah. 


13- Jangan mengumpat sesama rakan taulan. Ia boleh merosakkan silaturrahim. 


14- Jangan lupa bergantung harap hanya kepada Allah s.w.t. dalam setiap kerja kita. Nanti sombong bila berjaya dan kecewa pula bila gagal. 


15- Jangan bakhil untuk bersedekah. Sedekah itu memanjangkan umur dan memurahkan rezeki kita. 


16- Jangan banyak ketawa nanti jiwa mati. 


17- Jangan biasakan berbohong kerana ia adalah ciri-ciri munafik dan menghilangkan kasih sayang orang kepada kita. 


18- Jangan suka menganiaya manusia atau haiwan kerana do'a makhluk yang teraniaya cepat dimakbulkan Allah s.w.t.
19- Jangan terlalu susah hati dengan urusan dunia. Akhirat itu lebih utama dan kekal selamanya. Carilah kehidupan dunia untuk akhirat. 


20- Jangan duduk dalam bilik air terlalu lama kerana disitulah tempat tinggal jin kafir dan syaitan. 


21- Jangan merokok dan memasang kemenyan kerana asap itu adalah makanan jin. 


22- Jangan lupa membaca BISMILLARRAHMANIRAHIM dan salam ketika masuk ke rumah. Dikhuatiri jin dan syaitan masuk bersama. 


23- Jangan memakai tangkal kerana Allah s.w.t. tidak sempurnakan agama seseorang itu jika memakainya tangkal. Jika memakai tangkal kita bergantung pada tangkal bukan kepada Allah s.w.t.


24- Jangan mempertikaikan kenapa Islam itu berkata 'jangan'. Sebab semuanya untuk kebaikan dan sesun
gguhannya Allah s.w.t  itu lebih mengetahui. 

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita perbanyakkan amal soleh kita dan lakukan semua kebaikan dan kebajikan semata-mata kerana Allah s.w.t. Dan tinggalkanlah perkara-perkara yang boleh menjauhkan diri kita dengan Allah s.w.t. seperti yang terdapat di atas. Semoga kita berjaya memperolehi keredhaan Allah di dunia dan akhirat.

Adab-adab Dalam Islam.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap amalan dalam Islam terdapat beberapa peraturan dan adab-adab yang perlu dipatuhi untuk menyempurnakan amalan tersebut. Tanpa dipatuhi adab-adab yang telah digariskan Islam menjadikan amalan tersebut cacat dan tidak sempurna. Oleh itu untuk menjadikan ibadah dan amalan harian kita sempurna maka perlulah mematuhi beberapa adab-adab yang telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w.

Adab-adab tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Adab menghadiri majlis Ilmu.

Daripada Abu Waqid al-Laitsi r.a berkata, "Rasulullah SAW sedang duduk di masjid bersama orang ramai ketika menyampaikan ceramahnya, tiba-tiba datang tiga orang lelaki. Dua daripada mereka mendatangi Nabi SAW., sedang yang seorang lagi terus pergi begitu saja. Seorang daripada mereka mencari-cari ruang yang kosong dalam majlis itu, lalu dia duduk di situ. Dan yang seorang lagi terus duduk di belakang.

Setelah Rasulullah SAW. selesai memberikan pengajian, Baginda bersabda yang bermaksud, 'Perhatikanlah, kuberitahukan kepada anda sekalian tentang orang yang bertiga itu. Seorang antaranya mencari tempat di sisi Allah, maka Allah melapangkan tempat baginya. Orang kedua malu-malu maka Allah malu pula padanya. Dan orang yang ketiga jelas berpaling , maka Allah berpaling pula daripadanya."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pengajaran yang boleh di ambil :

1.Seorang alim yang menyampaikan kuliahnya hendaklah duduk di tengah-tengah murid-muridnya di tempat yang boleh di lihat dengan jelas oleh semua orang.

 2.Disunatkan duduk dalam masjid untuk muzakarah yang membincangkan tentang ilmu.

 3.Disunatkan membentuk halakah dalam majlis ilmu dan zikir.

 4.Makruh keluar dari dalam masjid ketika sedang berlangsungnya ceramah tanpa alasan yang munasabah.

 5.Disunatkan mendekati orang yang berilmu dalam halakah agar dapat mendengar penerangannya dengan jelas.

 6.Seorang yang ingin bergabung dalam halakah jika melihat ada tempat yang renggang hendaklah ia duduk di tempat tersebut, bukan di belakang para jemaah.

 7.Harus memberi pujian kepada sesaorang yang membuat kebaikan.

 8.Harus menceritakan tentang keburukan yang di lakukan oleh sesaorang secara terang-terangan.

 9.Orang yang terlebih dahulu menduduki suatu tempat dalam majlis ilmu maka jika ia kembali ia lebih berhak untuk duduk di tempat tersebut.

 10.Kita hendaklah mengisi kawasan yang renggang dengan penuh adab tanpa menganggu para hadirin yang sedia ada.

 11.Hendaklah duduk tetap di suatu tempat sehingga selesai pengajian atau ceramah melainkan jika ada keuzuran.

Kedua : Adab makan dan minum.

1. Sebelum makan dan minum hendaklah memulakan dengan membaca basmallah.  
Basmallah adalah sebutan atau nama singkat dari lafaz "BISMILLAHIR ROHMAANIR ROHIIM" yang bermaksud "Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang."

2. Membaca doa makan : "Allaahumma baarik lanaa fiimaa razaqtanaa wa qinna'adzaabannar."
(Ya Allah, berkahilah rezeki yang Engkau rezekikan kepada kami, dan peliharalah kami dari siksa Neraka.)

3. Mulakan makan dengan tangan kanan.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a. Sesungguhnya Rasulullah SAW  bersabda yang maksudnya :
"Apabila salah seorang di antara kamu makan, hendaklah dia makan dengan menggunakan tangan kanannya dan apabila dia minum hendaklah dia minum dengan menggunakan tangan kanannya kerana sesungguhnya syaitan itu, dia makan dengan menggunakan tangan kirinya dan minum juga dengan menggunakan tangan kirinya."
 (Hadis Riwayat Imam Muslim).

Ketiga  : Adab-adab tidur.

Tidur seorang hamba pada waktu malam setelah segala aktivitas yang dilakukannya pada siang hari, akan membantu tubuhnya menjadi segar untuk bisa melakukan aktivitas pada esok hari, juga akan membantu tubuhnya lebih bersemangat untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT. Maka dengan nikmat yang besar ini hendaknya seorang muslim bersemangat untuk menjaga tuntunan yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam masalah adab-adab yang berkaitan dengan tidur.

Perlu di ingatkan bahawa hati perlu berniat untuk bangun awal untuk melaksanakan tahajjud dan solat Subuh berjemaah supaya dengan niat yang baik ini seluruh masa tidur kita akan mendapat pahala di sisi Allah SWT. 

Di antara adab-adab tersebut adalah seperti berikut : 

1. Tidak mengakhirkan tidur setelah melakukan solat Isya kecuali kerana perkara yang penting untuk dilakukan seperti mempelajari ilmu atau menjamu tamu atau untuk melayani keluarga. Dalilnya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Barzah bahwasanya Nabi SAW. tidak menyukai tidur sebelum solat Isya dan berbincang-bincang setelahnya.

2. Tidur dengan berwuduk terlebih dahulu. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW : “Apabila kamu hendak tidur maka berwuduklah sebagaimana wuduk untuk solat, kemudian berbaringlah di atas sisi kananmu.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

3. Memulai tidur dengan membaringkan tubuh ke sisi sebelah kanan sebagaimana dalam hadis di atas.

4. Tidak tidur dengan tengkurap, berdasarkan sabda Nabi SAW, “Sesungguhnya itu adalah cara tidur yang dimurkai Allah ‘azza wa jalla”.
(Hadis Riwayat Abu Daud dengan sanad yang shahih)

5. Mengumpulkan kedua telapak tangannya. Kemudian ditiup dan dibacakan: surat Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas. Kemudian dengan kedua telapak tangan tadi mengusap tubuh yang dapat dijangkau dimulai dari kepala, wajah dan tubuh bagian depan. Hal ini dilakukan sebanyak tiga kali. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

6. Mengibaskan tempat tidur dengan ujung sarung atau dengan pakaiannya sebanyak tiga kali. (Hadis Riwayat Bukhari).

7. Membaca doa-doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, seperti membaca doa “Bismika Allahumma amuutu wa ahyaa (Dengan menyebut nama-Mu ya Allah aku mati dan hidup)”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

8. Dianjurkan membaca tasbih 33 kali, tahmid 33 kali, takbir 33 kali atau 34 kali ketika hendak tidur, sebagaimana sabda Nabi SAW  kepada Ali bin Abi Thalib dan isterinya ketika mereka hendak tidur, “Maka bacalah tasbih tiga puluh tiga kali, tahmid tiga puluh tiga kali, dan takbir tiga puluh tiga kali” dan dalam riwayat lain “takbirlah tiga puluh empat kali”
(Hadis Riwayat Bukhari).

9. Dianjurkan juga membaca ayat kursi, membaca dua ayat terakhir surat Al-Baqarah atau membaca surat Ali ‘Imran ayat 190-200.
(Hadis Riwayat Bukhari).

10. Apabila tiba-tiba terbangun di tengah malam, maka dianjurkan meminta kepada Allah SWT. kerana saat itu adalah saat yang mustajab, sebagaimana sabda Nabi SAW. “Tidaklah seorang muslim yang tidur dalam keadaan suci dan berzikir lalu tiba-tiba terbangun di malam hari kemudian mohon kepada Allah kebaikan dunia dan akhirat kecuali Allah akan mengabulkannya” (Hadis Riwayat Abu Dawud).

11. "Ketika bermimpi buruk hendaknya berlindung kepada Allah dari syaitan yang terkutuk dan dari keburukan yang dilihat dalam mimpi. "
(Hadis Riwayat Muslim).

12. Ketika bangun tidur hendaknya membaca doa, “Alhamdulillahil ladzi ahyaana ba’da maa amaatanaa wa ilaihin nusyuur (Segala puji bagi Allah yang telah membangkitkan kami dari mati (tidur) dan hanya kepada-Nya semuanya kembali)”
(Hadis Riwayat Bukhari).

Demikianlah beberapa adab tidur yang dituntunkan oleh Nabi kita Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam. Semoga Allah memberi taufik kepada kita untuk senantiasa mengamalkannya, mengikuti sunnah Nabi-Nya sehingga tidur kita tidak sekedar rutin harian untuk pemenuhan keperluan jasmani, namun juga merupakan kenikmatan yang bernilai ibadah dan membuahkan pahala di sisi Allah.

Keempat : Adab-adab memasuki rumah.

1. Memberi salam sebelum masuk ke dalam rumah.

Firman Allah SWT yang bermaksud ;
"Apabila kamu memasuki rumah-rumah, maka hendaklah kamu memberi salam kepada sesama kamu, sebagai penghormatan yang berkat, lagi baik disisi Allah".
(Surah An-Nur ayat 61).

2. Ketika kembali dari berpergian dan hendak masuk ke rumah, disunnahkan untuk berdoa:

"Allahuma inni as aluka khoiral muulaji wa khoiral mukhroji bismillahi walajnaa wa bismillahi khorojnaa wa alalloohi rabbina tawakkalna"

 Maksudnya : “Ya Allah, aku minta kepadaMu baiknya rumah yang ku masuki dan rumah yang ku tinggalkan. Dengan nama Allah kami masuk rumah, dengan nama Allah aku keluar rumah, serta kepada-Nya aku berserah diri. ”

Ketika masuk ke rumah hendaknya mendahulukan kaki kanan dan mengucapkan salam kepada keluarga yang berada di rumah.
 
3. Membaca Ayat Al-Kursi semasa didalam rumah bagi tujuan menghalau syaitan

 Diriwayatkan dari Abu Hurairah (r.a) bahawa Rasulullah saw bersabda :’Didalam surah Al-Baqarah ada ayat yang merupakan penghulu Al-Quran, Tidak dibaca didalam rumah, kecuali akan keluar Syaitan dari [rumah]nya : Ayat Al-Kursi "
(Hadis  Riwayat dari Zaa’idah dari Hakim ibn Jubayr)

4. Membaca beberapa doa yang disunatkan membacanya.

(‘Auzdhu bi kalimaat-Illaah it-taammaati min sharri ma khalaq.)

“Aku memnohon perlindungan dengan kalimah Allah yang sempurna dari kejahatan makhluk-Nya”

Kelima : Adab-adab keluar rumah.
1. Membaca doa bila hendak keluar daripada rumah.

"Bismillahi tawakaltu ‘alallahi laa haula walaa quwwata illa billah"

 Artinya: “Dengan nama Allah, aku berserah diri kepada Allah. Tidak ada daya dan kekuatan selain dari Allah.” 
(Hadis Riwayat Abu Daud, Tirmidzy dan Nasai)

Doa lain yang diajarkan Rasulullah SAW iaitu:

 "Allahumma innii a’uudzubika an adlilla au udlalla, au azilla au uzalla, au azhlima au uzhlama, au ajhala au yujhala ‘alayya:

Maksudnya: “Dengan nama Allah, aku berserah diri kepada Allah. Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari menyesatkan atau disesatkan; dari menggelincirkan atau digelincirkan; dari menganiaya atau dianiaya; dari membodohi atau saya dibodohi (orang lain) 
(Hadis Riwayat  Abu Daud dan Tirmidzy)

2. Sunnah berikutnya adalah mendahulukan kaki kiri ketika keluar rumah, serta memberi salam kepada keluarga. Sebelum keluar rumah hendaknya menentukan niat dan tujuan, serta memastikan barang bawaan tidak ada yang tertinggal.

3. Kaum perempuan yang hendak keluar rumah harus memperhatikan hal-hal berikut: tidak diperkenankan memakai wangi-wangian, menutup aurat dengan sempurna. Selain itu, haram bagi wanita berpergian tanpa izin orangtua atau suami dan dilarang berpergian sampai tiga hari tanpa disertai mahramnya.

Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri ra katanya: Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Haram bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat musafir, di mana perjalanannya melebihi dari tiga hari melainkan bersama ayah, anak lelaki, suami, saudara lelaki atau siapa sahaja mahramnya yang lain.” 
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


Saturday, July 24, 2010

Segerakanlah Lima Perkara Untuk Mendapat Keredhaan Allah

Sahabat yang dikasihi Allah,
Di dalam kehidupan sebagai seorang Mukmin, ada masanya sesuatu perkara perlu disegerakan dan diberi keutamaan. Banyak hadis-hadis Nabi s.a.w yang meminta umatnya mengutamakan lima perkara bersangkut paut dengan kewajipan dan tanggungjawab kepada diri sendiri dan masyarakat. Bila kita menjalankan tangungjawab ini dengan ikhlas maka ganjaran besar akan disediakan oleh Allah s.w.t di hari akhirat nanti.

Tanggungjawab tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Melayani, menyatuni dan memberi makan kepada tetamu apabila dia sudah sampai .

Melayan tetamu dengan baik dan lemah lembut dan memberi makan dan minum apabila telah sampai kerumah adalah satu amalan yang amat terpuji dan dituntut oleh Islam. Nabi s.a.w samakan sesiapa yang beriman dengan hari akhirat dengan memuliakan tetamu.

Nabi s.a.w berwasiat kepada Sayyidina Ali k.w maksudnya : "Wahai Ali ! Barangsiapa yang memberi makan orang Muslim dengan hati tulus, Allah mencatatnya sejuta kebaikan dan menghapuskan sejuta keburukan. Di samping itu, ia diangkat sampai seribu tingkat mertabatnya."

"Wahai Ali ! Anjurkanlah berbuat baik kepada mereka yang sedang ceria wajahnya. Dan hormatilah tetamu sebab rezeki tetamu yang singgah kerumah sesaorang pun ikut singgah di situ. Dan kalau ia meninggalkan rumah itu, dosa penghuni rumah itu lenyap bersama kepergian tetamu tersebut. Lalu terhapuslah dosa-dosa itu jauh ditengah lautan."

Nabi s.a.w bersabda maksudnya : "Apabila telah habis tiga hari tiga malamnya, maka apa yg diberikan kepada tetamu dianggap sedekah.“
(Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Pada hari pertama, tuan rumah hendaklah memberi jaizah (lauk pauk yang istemewa) dan pada hari kedua dan ketiga, ia menghidangkan lauk pauk yg biasa dimakan.

Nabi s.a.w bersabda maksudnya : "Barangsiapa yg beriman dengan Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tamunya dengan memberi jaizah.” Para sahabat bertanya,”apakah itu jaizah, ya RasuluLlah?” Sabda Nabi,” sehari semalam"
(Hadis Riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Tiga hari itu mengikut jumhur ulama sebagai hak tamu. Ia bukan wajib tapi sunat (sunnah yg dikukuhkan, akhlak karimah dan kebajikan dalam agama). Umar al-Khattab r.a mewajibkan hak tamu (Majmu’) . Selepas tiga hari, mengikut hadis di atas ia menjadi sedekah.

Abu Hurairah r.a katanya : Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Begitu juga sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia memuliakan para tetamunya
(Hadis Riwayat Muslim)

Walaupun tuan rumah berkewajipan merai tetamu selama tiga hari tiga malam tetapi Islam minta umatnya janganlah membebankan tuan rumah kerana Nabi s.a.w ada bersabda maksudnya :
"Tidak halal bagi tetamu berdiam lama-lama di rumah (yg ditumpanginya) kerana ia membebankan tuanrumah.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kedua : Menguruskan dan menyelenggarakan jenazah apabila dia sudah meninggal dunia (fardhu kifayah)

Menyempurnakan dan menyegerakan pengurusan jenazah (dimandikan, dikafankan, di sembahyangkan dan dikebumikan) adalah salah satu tuntutan Islam. Ini adalah kerana bila jenazah ini orang beriman dan soleh menyegerakannya adalah baik kerana mempercepatkan jenazah ini diletakkan disalah satu taman- taman Syurga. Kubur menanti dengan gembiranya orang yang soleh. Begitu pula jika jenazah ini orang jahat maka menyegerakannya adalah kerana untuk melepaskan tanggungjawab kita.

Abu Hurairah r.a : Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda maksudnya : "Segerakanlah pengurusan jenazah kerana jika jenazah itu baik maka sudah sepatutnya kamu menyegerakannya. Jika sebaliknya maka jenazah itu adalah keburukan yang kamu letakkan (lepaskan) dari leher-leher kamu (dari tanggungjawab kamu)"
(Hadis Riwayat Muslim)

Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda maksudnya : "Sesiapa yang menghadiri jenazah sehingga jenazah itu di sembahyangkan, maka dia seolah-olah mendapatkan satu qirat (qirat adalah kinayah bagi ganjaran pahala yang sangat banyak) dan sesiapa yang menghadirinya sehingga jenazah itu dikuburkan, maka dia mendapat dua qirat. Sahabat bertanya: Apakah dua qirat itu? Baginda s.a.w bersabda: Seumpama dua gunung"
(Hadis Riwayat Muslim)

Ketiga : Mengahwinkan anak gadis dengan lelaki soleh apabila sudah sampai masa dan cukup usianya (memelihara maruah wanita)

Tanggungjawab ibu bapa yang mempunyai anak gadis, jika jodohnya sudah sampai dan bila datang meminang seorang lelaki yang di dapati baik akhlak dan agamanya, maka segerakanlah. Janganlah dipandang hantaran yang mahal-mahal dan menyediakan perbelanjaan yang besar untuk majlis perkahwinan. Islam mengalakkan bersederhana dan janganlah menunjuk-nunjuk untuk bermegahan. Janganlah dipandang harta-benda , pangkat atau kedudukan si lelaki terimalah seadanya kerana keberkatan dalam kehidupan bukanlah pada harta dunia. Apa gunanya pangkat dah harta-benda dan majis perkahwinan yang hebat dan gilang gemilang tetapi keluarga yang dibina jauh dari roh Islam dan umur perkahwinan tersebut hanya mampu bertahan beberapa tahun sahaja.

Jarak masa pertunangan dengan pernikahan janganlah diambil masa yang panjang (hingga beberapa tahun) kerana banyak risiko yang akan berlaku di antara masa tersebut. Ibu bapa perlulah mengawasi anak-anak mereka pertunangan bukanlah lesen untuk mereka berjalan berdua-duaan dan bebas untuk bersama-sama kerana hakikat sebenarnya selagi mereka belum di hijab kabulkan mereka tetap haram berkhalwat dan jalan berdua-duaan. Allah s.w.t melarang orang lelaki dan perempuan untuk menghampiri zina. Perjumpaan dan pertemuan mestilah mengikut adab-adab Islam dalam pergaulan.

Sabda baginda lagi: dari Anas ra, Rasullulah Al Ma’shum bersabda,
“Barangsiapa mempunyai anak perempuan yang telah mencapai umur 12tahun,lalu ia tidak segerakan mengahwinkannya kemudian anak perempuan tersebut melakukan dosanya di tanggung oleh ayahnya".
(Hadis Riwayat Baihaqi)

Nabi s.a.w bersabda maksudnya : "Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah mempunyai keupayaan iaitu zahir dan batin untuk berkahwin, maka hendaklah dia perkahwin,sesungguhnya perkahwinan itu dapat menjaga pandangan mata dan menjaga kehormatan.maka sesiapa yang tidak berkemampuan,hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat mengawal iaitu benteng nafsu"
(Hadith riwayat Muslim)

Firman Allah s.w.t. maksudnya :
“ Dan diantara tanda-tanda (kebesaran)Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri,agar kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya.Dan menjadikan diantaramu rasa kasih dan sayang”.
(Surah ar-Ruum:21)

Dari Abu Hurairah r.a Rasulullah bersabda maksudnya : “ Tiga golongan yang akan selalu di beri pertolongan oleh Allah ialah seorang mujahid yang selalu memperjuangkan agama Allah s.w.t ,seorang penulis yang selalu memberi penawar dan seorang yang menikah demi menjaga kehormatan dirinya”
(Hadis Riwayat Thabrani)

Keempat : Membayar hutang apabila sudah sampai tempohnya.

Keadaan umat Islam menjadi memilukan apabila, aktiviti berhutang menjadi asas kehidupan masyarakat hari ini, ia mungkin tidak pelik bagi mereka yang tidak berkemampuan, tetapi ia telah menjadi kaedah dan teknik yang terbaik (sebagaimana didakwa) bagi mencapai keuntungan tanpa mengeluarkan wang tunai.

Maka lahirlah ramai individu yang berkemampuan untuk membuat pembayaran secara tunai, tetapi masih lagi suka berhutang dalam membeli kereta dan rumah. Hujah mereka mudah sahaja dalam hal ini, iaitu jika bayar tunai maka kita akan rugi. Inilah satu fenomena kurang sihat yang telah di anggap sihat oleh masyarakat hari ini. Ia berpunca daripada kurangnya maklumat berkenaan bahaya hutang dalam keadaan berkemampuan.

Dalam konteks semasa, kita dapat melihat bagaimana ramainya peminjam-peminjam yang enggan membayar hutang pengajian, rumah, kereta dan juga yang lebih rela di gelar muflis asalkan tidak perlu membyara jumlah hutangnya yang menimbun. Ia kelihatan enak untuk tidak membayar hutang di dunia, tetapi ia pasti akan menjadi malapetaka di akhirat. Seorang yang mati syahid tergantung rohnya di antara langit dan bumi kerana hutangnya yang belum dibayar ketika di dunia.

Firman Allah s.w.t maksudnya :
"Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu bermu`amalah tidak secara tunai untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menuliskannya. Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menuliskannya dengan benar. Dan janganlah penulis enggan menuliskannya sebagaimana Allah telah mengajarkannya, maka hendaklah ia menulis"
( Al-Baqarah : 282)

Firman Allah s.w.t maksudnya :
"Dan jika (orang berutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan menyedekahkan (sebahagian atau semua hutang) itu, lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.
( Al-Baqarah : 280 )

Sabda Nabi s.a.w maksudnya : "Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban Syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia)"
(Hadis Riwayat Muslim)

Sabda Nabi s.a.w. maksudnya : "Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya"
(Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Oleh itu sebaik-baiknya janganlah berhutang jika tidak diperlukan, janganlah berhutang semata-mata untuk menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah dengan harta dunia. Jika sudah berhutang dan mempunyai kemampuan maka tunaikanlah secepat mungkin.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud : "Ya Allah, aku berlindung dari kekufuran dan hutang", Mendengar itu seseorang bertanya, " Apakah engkau menyamakan kekufuran dengan hutang wahai Rasulullah ? ; " Benar " Jawab Rasulullah"
( Riwayat An-Nasaie, Ahmad Al-Hakim berkata Sohih dan disepakati oleh Az-Zahabi)

Aisyah r.ha katanya : "Rasulullah s.a.w pernah mendengar orang bertengkar di pintu dengan suara yang tinggi. Tiba-tiba salah seorang dari mereka meminta kepada yang seorang lagi agar memaafkan sebahagian dari hutangnya dan bersikap lemah lembut. Tetapi beliau menjawab: 'Demi Allah! Aku tidak akan memaafkan kamu'. Lalu Rasulullah s.a.w keluar dan bersabda: ' Siapakah yang sungguh-sungguh bersumpah demi Allah tidak akan berbuat kebaikan?' Orang itu berkata: 'Saya, wahai Rasulullah! Tetapi sekarang dia boleh memilih mana yang dia suka (antara melepaskan sebahagian dari hutang atau bersikap lemah lembut)"
(Hadis Riwayat Muslim)

Kelima : Bertaubat apabila berbuat dosa .

Hidup dan mati adalah suratan takdir. Kita tidak mengetahui bila masa saat kematian menjemput kita. Oleh itu apabila kita telah melakukan kesalahan di sebabkan dorongan hawa nafsu yang kita tidak sedari sentiasa menghantui hidup kita, ditambah pula pengaruh kebendaan dan nikmat dunia yang menipu. Maka jalan terbaik adalah segera bertaubat dan memohon keampunan Allah s.w.t. di atas kesalahan dan dosa-dosa yang dilakukan.

Seorang ahli sufi yang bernama Dzun Nun berkata, "Hakikat taubat ialah jika bumi yang luas ini terasa sempit bagimu. Sehingga engkau tidak melihat tempat yang boleh dihuni, dan keadaan ini semakin menyempitkan jiwamu."

Rasulullah s.a.w. pernah menasihati umatnya agar sentiasa bertaubat kepada Allah :
"Wahai sekelian manusia, bertaubatlah kamu kepada Tuhan sebelum kamu mati. Gunakanlah kesempatan yang ada untuk beramal dan berbakti sebelum masa kamu dipenuhi oleh urusan dan kerja. Wujudkanlah satu pertalian antara kamu dengan-Nya, memperbanyakan mengingati-Nya (zikrullah)."

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."
(Surah Al-Baqarah ayat 222)

Tanda kerendahan hati kepada Allah s.w.t. tidak ada ruginya kita bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah s.w.t. kerana kita tidak ketahui mungkin ada tindakan, amalan, perbuatan, pandangan mata dan lintasan hati kita, kita rasa tidak berdosa tetapi disisi Allah ianya berdosa. Alangkah bahagianya jika dalam perjalanan hidup ini kita bersih dari dosa dan kemurkaan Allah kerana lidah tidak putus-putus beristighfar kepada-Nya siang dan malam.

Sahabat yang dimuliakan,
Akhirkata, marilah sama-sama kita segerakan lima perkara di atas supaya kita tergolong dikalangan orang-orang yang menyegerakan kebaikan dalam rangka mencari keredhaan Allah s.w.t. Semoga Allah s.w.t mengampunkan segala dosa-doas kita dan ditempatkan dikalangan hamba-hamba-Nya yang dirahmati.

Adab-adab Mengambil Wuduk

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Kita mengambil wuduk sebelum melakukan ibadat-ibadat wajib mahupun sunat.

Adab-adab ketika mengambil wuduk juga haruslah dijaga supaya wuduk kita lebih sempurna dan segala amalan yang kita lakukan diterima Allah SWT. 

Di antara adab-adab ketika mengambil wuduk adalah:-

1) Membersih mulut dan gigi seperti berkumur dan bersugi. Ianya amat dituntut dalam Islam. Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud:

“Kalaulah tidak kerana menyusahkan umatku nescaya aku menyuruh mereka bersugi pada tiap-tiap kali sembahyang.”

2) Bersugi adalah sunat dengan menggunakan kayu sugi atau alat sugi yang boleh membersihkan (berus gigi). Seperti hadis Rasulullah SAW di atas, kita dapat lihat pentingnya bersugi sebelum berwuduk.

3) Sesudah itu, ambil wuduk dengan khusyuk tanpa lalai dan leka. Sesetengah ulama meminta supaya membaca doa di setiap anggota yang dibasuh dan disapu.

Ketika mengambil wuduk mulakan membaca:

“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyanyang. Hai Tuhan, aku minta berlindung dengan Engkau dari gangguan syaitan dan aku minta berlindung dengan Engkau, hai Tuhan dari mereka datang kepadaku.”

4) Membasuh dua tangan. Baca doa yang bermaksud: “Hai Tuhan, sesungguhnya aku meminta dari Engkau kesempurnaan dan keberkatan dan aku minta perlindungan dengan Engkau dari kecelakaan dan kebinasaan.”

5) Berkumur dan membaca doa yang bermaksud: “Hai Tuhan, tolonglah aku membaca kitab Engkau, banyak berzikir kepada Engkau dan tetapkanlah aku dengan kata-kata yang tetap di dunia dan di akhirat.”

6) Ketika memasukkan air ke dalam hidung, baca doa: “Hai Tuhan, berikan kepadaku bau-bauan syurga dan Engkau reda kepadaku.”

7) Ketika mengeluarkan air dari hidung hendaklah membaca doa: “Hai Tuhan, sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari bauan neraka dan keseksaan neraka.”

8) Sesudah itu berniat mengambil wuduk, kemudian membasuh muka dan berdoa: “Hai Tuhan, bercahayalah mukaku dengan cahaya Engkau pada hari bercahayanya muka wali-wali Kamu dan janganlah kamu menggelapkan mukaku dengan kegelapan Engkau pada hari menjadi hitam muka musuh-musuh Kamu.”

9) Ketika membasuh tangan hingga ke siku, baca doa; bagi tangan kanan-Hai Tuhan, serahkanlah rekod amalanku melalui tangan kananku dan perhitungkanlah aku secara mudah.” Manakala ketika membasuh tangan kira, baca doa: “Hai Tuhan, sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari Engkau serahkan buku rekodku melalui tangan kiriku atau dari belakang.”

10) Ketika menyapu kepala hendaklah kamu membaca: “Hai Tuhan, litupilah aku dengan rahmat Engkau, turunkan keberkatan Engkau kepada aku, lindungilah aku dibawah baying Arasy Engkau pada hari yang tidak ada sebarang perlindungan kecuali lindungan bayangan Engkau. Hai Tuhan, peliharalah rambutku dan kulitku daripada api neraka.”

11) Dan ketika menyapu dua telinga, bacalah: “Hai Tuhan, jadikanlah aku dari kalangan orang yang mendengar perkataan maka mengikut yang baiknya. Hai Tuhan perdengarkanlah aku malaikat yang menyeru ke syurga, di syurga bersama-sama orang yang baik-baik.”


Kemudian, ketika membasuh kaki kanan hendaklah membaca doa yang bermaksud: “Hai Tuhan, tetapkanlah kakiku di atas titian Siratul Mustaqim bersama tetapnya kaki hamba-hambamu yang soleh.”

Manakala ketika membasuh kaki kiri hendaklah membaca doa yang bermaksud: “Hai Tuhan, sesungguhnya aku minta berlindung dengan Engkau dari tergelincirnya kakiku di atas titian Sirat ke dalam neraka pada hari tergelincirnya kaki-kaki orang munafik dan musyrik.”

12) Dan akhir sekali, setelah selesai mengambil wuduk, membaca doa yang membawa maksud: Ya Allah, jadikanlah aku dari golongan orang-orang yang bertaubat, jadikanlah aku dari golongan orang-orang yang bersih dan jadikanlah aku dari golongan orang-orang yang soleh.”
Dari Umar bin Khattab r.a, dari Nabi SAW., bahawasanya baginda bersabda yang bermaksud "Tidaklah salah orang di antara kamu berwuduk, maka ia sempurnakan wuduknya kemudian berkata, 'Aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan kecuali Allah semata yang tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya,' kecuali dibukakan baginya delapan pintu syurga, ia boleh masuk dari mana sahaja yang dikehendakinya." (Hadis Riwayat Muslim )

Di dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Jika seorang hamba yang Muslim atau Mukmin berwuduk, ketika ia basuh wajahnya, keluarlah dari wajahnya semua kesalahan yang dilihat dengan kedua matanya bersama air atau bersama titisan air terakhir. Jika membasuh kedua tangannya, keluarlah dari kedua tangannya semua kesalahan yang dilakukan tangannya bersama keluarnya air atau titisan terakhir air. Jika membasuh kedua kakinya, keluarlah semua kesalahan yang diperbuat kakinya bersama air atau titisan terakhir air, sampai ia selesai wuduk dalam keadaan bersih dari dosa."
(Hadis Riwayat Muslim).