Monday, February 7, 2011

Mohon Perlindungan Allah S.W.T. Daripada Seksaan Api Neraka.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap hari kita berdoa kepada Allah S.W.T. semoga kita dan ahli keluarga kita supaya dijauhkan daripada seksaan api neraka, kerana tidak ada seburuk-buruk tempat kembali melainkan di masukkan ke dalam api Neraka Jahanam, na'uzubillahiminzalik.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan keras yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka, dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan."
(Surah at-Tahrim ayat 6)

Berdasarkan ayat di atas Allah S.W.T. menyeru kepada orang-orang beriman supaya mendidik dan mentarbiah isteri dan anak-anaknya supaya sentiasa taat dan patuh kepada Allah S.W.T. dengan melaksanakan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya semoga dengan ini akan dapat menyelamatkan mereka semua daripada terjerumus ke dalam api neraka.

Rumah tangga adalah salah satu dari medan dakwah. Mendidik keluarga untuk mentaati Allah S.W.T. dan ubudiah kepada-Nya adalah tugas asasi bagi mereka yang telah berkeluarga . Suami dan isteri, atau ibu dan bapa seharusnya memastikan anak-anak mereka mendapat tarbiah Islamiah yang sempurna, merangkumi semua aspek, akidah, akhlak, kejiwaan, rohani dan jasmani seperti yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul-Nya. Kesemua tugas tersebut mesti dilakukan dengan baik, bukan tanpa perancangan. Kerana rumah tangga yang lintang pukang , anak-anak yang tidak terurus akan menjadi fitnah kepada dakwah itu sendiri sekali gus memberi imej negatif kepada sesiapa sahaja yang memerhatikannya.

Sahabat yang dimuliakan,
Rasulullah S.A.W. sentiasa berdoa selepas membaca tahyat akhir : "YA Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada azab Neraka Jahanam, daripada azab kubur, daripada ujian kehidupan dan kematian, dan daripada kejahatan ujian al-masih Dajjal."
(Hadis Riwayat Muslim)

Pertama sekali dalam doa Nabi S.A.W. adalah meminta perlindungan Allah S.W.T. daripada azab Neraka Jahanam kerana Neraka Jahanam adalah tempat balasan dan penyeksaan orang-orang kafir dan orang-orang derhaka kepada Allah S.W.T.

Abu Hurairah meriwayatkan: "Ketika Rasulullah berkata : 'Api dunia kamu adalah satu dari 70 bahagian api neraka;' lalu seseorang bertanya; 'Ya Rasulullah, adakah ia tidak akan mencukupi untuk membakar orang kafir?' Maka Rasulullah menjawab, 'Api neraka mempunyai 69 bahagian lebih dari api biasa di dunia, dan kesemuanya adalah sangat panas sebagaimana ia (api dunia).
(Hadis Riwayat Bukhari)

Kesan-kesan kehebatan neraka dapat dirasai di dunia ini lagi berdasarkan hadis Rasulullah. Diriwayat oleh Abu Hurairah: Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Api neraka mengadu kepada Allah dengan berkata;"Hai Tuhanku, bahagian-bahagian padaku memakan di antara satu sama lain."Lalu Allah membenarkannya mengambil dua pernafasan iaitu pada musim sejuk dan pada musim panas. Inilah sebabnya mengapa kamu terasa terlalu panas dan terlalu sejuk," (Hadis Riwayat Bukhari)

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Wahai Ali ! Ketika Allah mencipta syurga, maka syurga bertanya kepada Allah :
'Ya Tuhanku, untuk apakah Engkau menciptakan aku?'
'Untuk setiap orang yang bermurah hati dan orang-orang yang bertakwa,' jawab Allah S.W.T.
'Kalau begitu saya senang sekali.' ucap Syurga.

Kemudian neraka pun bertanya kepada Allah ketika ia diciptakan :
'Ya Tuhanku, untuk apakah Engkau menciptakan aku?'
'Untuk setiap orang yang bakhil (kedekut) dan sombong.'
'Ooh.....,baiklah saya untuk mereka,' ucap neraka.
Wahai Ali ! Barangsiapa menentang hawa nafsunya, syurgalah tempat ia kembali. Dan barangsiapa yang menuruti hawa nafsunya, Neraka Jahannamlah tempatnya.

Cuba kita semua bayangkan betapa dahsyatnya seksaan yang paling ringan di neraka dengan bahang bara api diletakkan dibawah tapak kaki pun sudah boleh mendidihkan otak yang ada di atas kepala, apatah lagi kalau seksaan yang lebih berat. Rasanya tidak ada seorang pun yang mampu berdiri di atas bara api yang panas sehingga boleh menggelegakkan otak yang ada di kepala. Kalau kita tersentuh sedikit sahaja api di dunia ini pun kita sudah menjerit kepanasan dan kita tidak mampu menahannya walaupun masa seminit, cuba bayangkan betapa pedihnya seksaan api neraka yang berterusan tanpa henti-henti.

Penduduk neraka tetap diberi makanan walaupun makanan ini tidak menyuburkan badan mereka. Firman Allah S.W.T. maksudnya :  "Mereka tidak memperolehi makanan selain dari pohon yang berduri, yang tidak menggemukkan dan tidak pula menghilangkan lapar." (Surah Al Ghasiyah ayat 6-7)
Minuman ahli neraka :

1. Hamim (air yang mendidih)

Firman Allah s.w.t maksudnya : " Samakah mereka dengan orang yang kekal dalam neraka, dan diberi minum dengan air yang mendidih, sehingga ususnya terpotong-potong?"
(Surah Muhammad ayat 15)

2. Ghassaq (nanah dan darah)

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Maka tiada seorang teman pun baginya pada hari ini di sini. Dan tiada makanan sedikit pun kecuali dari darah dan nanah. Tidak ada yang memakannya kecuali orang-orang yang berdosa." (Surah Al Haqqah ayat 35-37)

3. Sadid (air danur- nanah , yang keluar dari tubuh ahli neraka)

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dihadapan mereka ada Neraka Jahanam, dan ia diberi minum dari air danur (nanah yang keluar dari tubuh ahli neraka."(Surah Ibrahim ayat 16)

4. Air seperti Tembaga cair.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan jika mereka meminta minum,nescaya mereka akan diberi minum dengan air seperti tembaga yang mendidih yang menghanguskan muka mereka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat rehat yang paling hina."
(Surah Al Kahfi ayat 29)

Pakaian ahli neraka :
1. Pakaian dari api.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Inilah dua golongan(mukmin dan kafir) yang bertengkar, mereka saling bertengkar mengenai tuhan mereka. Maka orang kafir akan dibuatkan untuk mereka pakaian dari api neraka. Disiramkan air yang sedang mendidih ke atas kepala mereka." (Surah Al Hajj ayat 19)

2. Pakaian dari minyak tar.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Pakaian mereka adalah dari minyak tar dan muka mereka diliputi oleh jilatan api neraka." (Surah Ibrahim ayat 50).


Sahabat yang dikasihi,
Imran bin Husin meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Aku melihat ke dalam syurga dan mendapati majoriti penduduknya adalah orang miskin, dan aku melihat ke dalam neraka, aku mendapati majoriti penduduknya adalah wanita,"
(Hadis Riwayat Bukhari).

Di dalam kisah gerhana matahari yang Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wassalam dan para shahabatnya melakukan solat gerhana padanya dengan solat yang panjang , baginda Shalallahu ‘alaihi wassalam melihat syurga dan neraka.

Ketika baginda melihat neraka maka baginda bersabda kepada para sahabatnya radliyallahu 'anhum : “ … dan aku melihat neraka maka tidak pernah aku melihat pemandangan seperti ini sama sekali, aku melihat kebanyakan penduduknya adalah kaum wanita".

Sahabat pun bertanya : “Mengapa (demikian) wahai Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wassalam?”

Baginda Shalallahu ‘alaihi wassalam menjawab : “Kerana kekufuran mereka.”

Kemudian ditanyai lagi : “Apakah mereka kufur kepada Allah?”

Baginda menjawab : “Mereka kufur terhadap suami-suami mereka, kufur terhadap kebaikan-kebaikannya. Kalaulah engkau berbuat baik kepada salah seorang di antara mereka selama waktu yang panjang kemudian dia melihat sesuatu pada dirimu (yang tidak dia sukai) nescaya dia akan berkata : ‘Aku tidak pernah melihat sedikitpun kebaikan pada dirimu.’ ”

(Hadis Bukhari dari Ibnu Abbas radliyallahu 'anhuma)

Apabila membicarakan tentang berapakah dalamnya jurang api neraka? Rasanya tidak mampu kita menghitung berapakah dalamnya jurang api neraka yang di tempuh oleh perjalanan kepantasan batu besar yang jatuh dalam masa 70 tahun lamanya. Apa yang lebih mengerikan lagi ialah apabila jurang yang teramat dalam ini dipenuhi dengan bermacam-macam bentuk seksaan dan apabila sampai saatnya nanti pintu neraka itu akan di tutup serapat-rapatnya. Maka pada ketika itu, tidak ada seorang pun di antara penghuninya yang dibenarkan keluar daripadanya. Seksaan demi seksaan, habis satu jenis seksaan masuk pula pada jenis seksaan yang lain dan begitulah seterusnya. Alangkah malangnya bagi mereka yang mendapat seksaan tersebut. 

Salah satu cara untuk kita terselamat daripada seksaan api neraka adalah banyakkan sedekah. Sesiapa yang bersedekah ini, Allah S.W.T. janjikan kepadanya syurga dan merupakan pendinding daripada api neraka, dan amalan ini juga dapat menjinakkan hati kita sekali gus membuang sifat kesombongan yang wujud di dalam diri. Ia sebagaimana sabda Nabi S.A.W.  bermaksud: "Sesiapa yang sanggup mendinding dirinya daripada api neraka walaupun dengan (bersedekah) separuh buah kurma, maka hendaklah dia lakukan. 
(Hadis Riwayat Muslim) 

Dalam sebuah hadis yang lain daripada Anas, baginda bersabda bermaksud: "Bersedekahlah kamu, sesungguhnya bersedekah itu melepaskan kamu daripada Jahanam."

Rasulullah S.A.W. menjelaskan bahawa 4 ciri-ciri penghuni neraka ialah :
1. Muka yang muram.
2. Tutur kata yang keji.
3. Hati keras yang engkar.
4. Tangan yang kedekut (bakhil).
 Sahabat yang dikasihi,

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "Barangsiapa yang memohon Syurga kepada Allah sebanyak tiga kali, maka syurga itu berkata :'Ya Allah masukkanlah ia ke syurga!' Dan barangsiapa yang memohon diselamatkan dari neraka sebanyak tiga kali, maka neraka itu berkata: 'Ya Allah! Selamatkanlah ia dari neraka," (Hadis Riwayat Tirmizi)

Nabi S.A.W. sentiasa berdoa  : "Rabbana atinaa fiddunia hasanah wa fil akhirati hasanah wakina azabannar"
Maksudnya : Ya Allah, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan lindungilah kami daripada azab api Neraka"
(Hadis Riwayat Bukhari.)

Oleh itu setiap kali selepas solat fardu atau solat sunat, berdoalah kepada Allah S.W.T. tiga kali "Rabbana atinaa fiddunia hasanah wa fil akhirati hasanah wakina azabannar" semoga kita dapat di bebaskan oleh Allah S.W.T daripada seksaan api neraka.

Berdoalah Semoga Mendapat Kebaikan di Hari Akhirat

Sahabat yang dirahmati Allah,
Doa Nabi Muhammad S.A.W.  : "Rabbana atinaa fiddunia hasanah wa fil akhirati hasanah wakina azabannar"

Maksudnya : Ya Allah, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan lindungilah kami daripada azab api Neraka"
(Hadis Riwayat Bukhari.)

Doa ini sering kita baca selepas solat sebagai tanda kerendahan hati kita kepada Allah S.W.T., memohon dan merayu kepada Allah S.W.T. semoga dikurniakan kita kebaikan dan kebahagiaan di dunia dan di hari akhirat, seterusnya diberi perlindungan atau di selamatkan oleh-Nya daripada seksaan api neraka.

Kita telah membicarakan ciri-ciri kebaikan di dunia ada 14 perkara iaitu :

1. Mendapat taufik dan hidayah Allah SWT

2. Diberi kefahaman dalam agama

3. Dapat berbuat amalan soleh

4. Mendapat ilmu yang bermanfaat

5. Mendapat isteri yang solehah

6. Mendapat zuriat penyejuk hati

7. Mendapat sahabat-sahabat yang soleh.

8. Kesihatan, kesejahteraan dan kelapangan

9. Panjang umur di dalam ketaatan

10. Mendapat rezeki yang halal

11. Beroleh keimanan dan ketakwaan

12. Banyak mengingati Allah SWT

13. Berjaya menyucikan jiwa dari mazmumah

14. Mati di dalam kebaikan (Husnul Khatimah)

Apakah pula kebaikan di hari akhirat yang kita mohon daripada Allah S.W.T. supaya kita memperolehinya?

Terdapat 8 perkara kebaikan di hari akhirat yang mana kita sangat mengharapkan rahmat dan kasih sayang Allah S.W.T. supaya Dia mengkurniakannya kepada kita semua kebaikan dan keselamatan.

Perkara-perkara tersebuta adalah seperti berikut :

1. Keselamatan daripada seksa dan azab kubur.

2. Keselamatan ketika hari kiamat dibangkitkan daripada kubur.

3. Mendapat perlindungan Arasy ketika di panggil untuk berhimpun di Padang Mahsyar.

4. Di beri buku catatan di tangan kanan.

5. Di beri minum air daripada telaga kausar.

6. Di beri syafaat oleh Rasulullah S.A.W.

7. Meniti Siratul Mustaqim secepat kilat.

8. Di benarkan memasuki syurga Allah S.W.T.

Huraiannya adalah seperti berikut :

Pertama : Keselamatan daripada seksa dan azab kubur.

Setiap individu yang menempuhi alam kubur wajib akan mengalami fitnah kubur. Iaitu ujian berupa pertanyaan dua malaikat Munkar dan Nakir tentang Rabbnya, agamanya dan Nabi-nya sebagaimana dijelas oleh Rasulullah S.A.W. dalam sumber yang sahih.

Dari ujian ini akan diketahui apakah kita termasuk hambaNya yang jujur keimanannya sehingga berhak mendapatkan nikmat kubur, atau apakah kita termasuk yang dusta keimanannya sehingga berhak dibalas dengan azab yang menyeksakan.

Hanya keteguhan iman yang akan menjamin keselamatan dari azab kubur. Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa sabda Nabi S.A.W. maksudnya :
"Jika seorang mukmin telah didudukkan di dalam kuburnya kemudian didatangi (dua malaikat dan bertanya kepadanya) maka dia akan (menjawab) dengan mengucapkan dua kalimat syahadah:


ŰŁَنْ Ù„Ű§َ Ű„ِله Ű„ِÙ„Ű§َّ Ű§Ù„Ù„Ù‡ُ وَ ŰŁَنَّ مُŰ­َمَّŰŻًۧ ۱َŰłُوْلُ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ

Itulah 'ucapan yang teguh (Ű§Ù„Ù‚ÙˆÙ„ Ű§Ù„Ű«Ű§ŰšŰȘ ) sebagaimana yang tertera dalam firman Allah Ta'ala:

يُŰ«َŰšِّŰȘُ Ű§Ù„Ù„َّهُ Ű§Ù„َّ۰ِينَ ŰĄَŰ§Ù…َنُÙˆŰ§ ŰšِŰ§Ù„ْقَوْلِ Ű§Ù„Ű«َِّۧۚŰȘِ فِي Ű§Ù„ْŰ­َيَۧ۩ِ Ű§Ù„ŰŻُّنْيَۧ وَفِي Ű§Ù„ْ۹ِ۟۱َŰ©ِ وَيُ۶ِلُّ Ű§Ù„Ù„َّهُ Ű§Ù„ŰžَّŰ§Ù„ِمِينَ وَيَفْŰčَلُ Ű§Ù„Ù„َّهُ مَۧ يَŰŽَۧۥُ

"Allah meneguhkan dengan 'ucapan yang teguh' kepada orang-orang yang beriman dalam kehidupan di dunia dan di akhirat."
(Surah Ibrahim ayat  27)

Ujian yang akan kita hadapi di alam kubur merupakan ujian yang berat sama berat dengan ujian berdepan dengan fitnah al-Masih al-Dajjal di akhir zaman ini. Aisyah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya :
"Telah diwahyukan kepadaku sungguh akan ditimpakan fitnah kepada kalian di dalam kubur-kubur kamu seperti atau hampir mirip dengan fitnah al-Masih al-Dajjal."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sabda Rasulullah S.A.W.maksudnya :
"Sesungguhnya umat ini akan diuji di dalam kubur. Kalaulah kerana aku bimbangkan kamu tidak mahu menguburkan jenazah, nescaya aku akan berdoa agar Allah memperdengarkan kepada kamu azab kubur sebagaimana apa yang aku dengar. ( Hadis Riwayat Muslim)

Nabi S.A.W. juga bersabda maksudnya  : "Aku tidak pernah melihat satu pemandangan yang lebih dahsyat daripada azab kubur".
(Hadis Riwayat al-Tirmizi dan Ibn majah, dihasankan oleh al-Albani).

Oleh sebab itulah bila jenazah dikuburkan maka dianjurkan bagi kita untuk mendoakan untuk jenazah. Rasulullah S.A.W. bersabda:

ۧ۳ْŰȘَŰșْفِ۱ُÙˆŰ§ Ù„ŰŁَŰźِيْكُمْ وَۧ۳ْŰŁَلُÙˆŰ§ لَهُ Ű§Ù„ŰȘَŰ«ْŰšِيْŰȘَ فَŰ„ِنَّهُ Ű§Ù„ŰąÙ†َ يُŰłْŰŠَلُ

"Pohonkan keampunan untuk saudaramu, dan mohonkan untuknya keteguhan (iman), kerana sesungguhnya dia sekarang sedang ditanya." (Sahihul Jami').

Usaha-usaha untuk menghindari azab kubur:

1. Memantapkan keimanan kepada Allah serta mengukuhkan tauhid serta akidah dalam jiwa. Hendaklah memahami dan menghayati kalimah syahadah. Iaitu mengesakan Allah, menghindari sebarang amalan yang boleh membawa kepada syirik. Kita juga hendalklah mencintai dan mengamalkan sunnah Rasulullah S.A.W.  dalam kehidupan. Inilah benteng yang sebenar berdasarkan ayat al-Quran dan hadis sebelum ini. Iaitu dikurniakan 'ucapan yang kukuh'( Ű§Ù„Ù‚ÙˆÙ„ Ű§Ù„Ű«Ű§ŰšŰȘ)

2. Sentiasa bertaubat kepada Allah atas segala dosa dan kejahatan yang dilakukan. Dosa-dosa itulah sebenarnya yang menyebabkan azab kubur sebagaimana sabda Nabi S.A.W. yang menjelaskan keadaan ahli maksiat bila didatangkan kepadanya seorang lelaki dengan rupa yang hodoh. Bila ditanya orang itu menjawab :

"Aku adalah amalanmu yang buruk. Demi Allah, tidaklah aku mengetahuimu, kecuali engkau adalah orang yang berlambat-lambat dari melakukan ketaatan kepada Allah dan bergegas kepada kemaksiatan kepada Allah. Maka Allah membalasmu dengan yang terburuk.
(Hadis Riwayat Abu Daud, disahihkan oleh Syaikh Al-Albani)

3. Memohon perlindungan dengan Allah dari azab kubur. Sabda baginda S.A.W :
"Mohonlah perlindungan kepada Allah dari adzab kubur (diulangi sampai 2/3 kali)." Kemudian Rasululah S.A.W.  berdoa:

Ű§Ù„Ù„Ù‡ُمَّ Ű„ِنِّي ŰŁَŰčُÙˆŰ°ُŰšِكَ مِنْ Űčَ۰َِۧۚ Ű§Ù„ْقَŰšْ۱ِ

"Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan kepadaMu dari azab kubur (diulang 3 kali)."

Kita juga hendaklah mengamalkan doa yang dibaca oleh Rasulullah S.A.W. pada akhir solat iaitu selepas tasyahhud sebelum salam. Iaitu doa :

Ű§Ù„Ù„Ù‡ُمَّ Ű„ِنِّي ŰŁَŰčُÙˆŰ°ُŰšِكَ مِنْ Űčَ۰َِۧۚ ŰŹَهَنَّمَ وَمِنْ Űčَ۰َِۧۚ Ű§Ù„ْقَŰšْ۱ِ وَمِنْ فِŰȘْنَŰ©ِ Ű§Ù„ْمَŰ­ْيَۧ وَ Ű§Ù„ْمَمَۧŰȘِ

وَمِنْ فِŰȘْنَŰ©ِ Ű§Ù„ْمَŰłِيْŰ­ِ Ű§Ù„ŰŻَّŰŹَّŰ§Ù„ِ

"Ya Allah, aku memohon perlindungan kepadaMu dari azab jahannam, dari azab kubur, dan dari fitnah selama hidup dan sesudah mati, serta dari fitnah al-Masih al-Dajjal." (Hadis Riwayat Muslim).

4. Membaca surah Al-Mulk

Dari Ibnu Abbas r.a bahawa Nabi S.A.W. bersabda maksudnya :"Ia (surah Al-Mulk) adalah penghalang, dia adalah penyelamat yang akan menyelamatkan pembacanya dari azab kubur."
(Hadis Riwayat Tirmizi, disahihkan oleh al-Albani)

Abu-Laits berkata: “Siapa yang ingin selamat dari siksaan kubur maka harus melazimi (melaksanakan) empat perkara dan meninggalkan empat perkara iaitu:

1.Menjaga sembahyang lima waktu

2. Banyak bersedekah

3. Banyak membaca al-Quran

4.Memperbanyak bertasbih (membaca: Subhanallah walhamdulillah wal’aa ilaha illallah wallahu akbar, walahaula wala quwata illa billah)

Semua yang empat ini dapat menerangi kubur dan meluaskannya.

Adapun empat yang harus ditinggalkan ialah:

1.Berbohong

2.Khianat

3. Adu-domba

4. Menjaga kencing, sebab Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda: “Bersihkanlah kamu daripada air kencing, sebab umumnya siksa kubur itu berpunca daripada air kencing. (Maksudnya hendaklah dicuci kemaluan sebersih-bersihnya selepas membuang air kecil.)"

Demikian beberapa cara untuk menyelamatkan diri dari azab kubur. Semoga Allah SWT merahmati dan memelihara kita semua daripada menerima azab dalam destinasi hidup kita berikutnya yang pasti kita hadapi.

Kedua : Keselamatan ketika hari kiamat dibangkitkan daripada kubur. Di pilih dan termasuk di dalam barisan ke 12 yang dirahmati Allah.

Rasulullah SAW bersabda, “Kemudian ditiuplah sangkakala, dimana tidak seorangpun tersisa kecuali semuanya akan dibinasakan. Lalu Allah SWT menurunkan hujan seperti embun atau bayang-bayang, lalu tumbuhlah jasad manusia.Kemudian sangkakala yang kedua ditiup kembali, Dan manusia pun bermunculan (bangkit) dan berdiri”.
(Hadis Riwayat Muslim).

Suatu ketika, Muaz bin Jabal r.a menghadap Rasulullah s.a.w dan bertanya:
"WahaiRasulullah, tolong uraikan kepadaku mengenai firman Allah s.w.t. : 'Pada saat sangkakala ditiup, maka kamu sekalian datang berbaris-baris"
(Surah Naba' ayat 18)

Mendengar pertanyaan itu, baginda menangis dan basah pakaian dengan air mata.

Lalu baginda menjawab : "Wahai Muaz, engkau telah bertanya kepadaku, perkara yang amat besar, bahwa umatku akan digiring, dikumpulkan berbaris-baris . Maka dinyatakan apakah12 barisan tersebut :  

BARISAN PERTAMA
Digiring dari kubur dengan tidak bertangan dan berkaki. Keadaan mereka ini dijelaskan melalui satu seruan dari sisi Allah Yang Maha Pengasih: "Mereka itu adalah orang-orang yang sewaktu hidupnya menyakiti hati tetangganya, maka demikianlah balasannya dan tempat kembali mereka adalah Neraka..."


BARISAN KEDUA
Digiring dari kubur berbentuk babi hutan. Suara dari sisi Yang Maha Pengasih: "Mereka itu adalah orang yang sewaktu hidupnya meninggalkan solat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah Neraka..."


BARISAN KETIGA
Merekaberbentuk keledai, sedangkan perut mereka penuh dengan ular dan kala jengking. "Mereka itu adalah orang yang enggan membayar zakat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah Neraka..."

BARISAN KEEMPAT
Digiring dari kubur dengan keadaan darah seperti air pancuran keluar dari mulut mereka. "Mereka itu adalah orang yang berdusta di dalam jual beli"

BARISAN KELIMA
Digiring dari kubur dengan bau busuk dari bangkai. Ketika itu Allah s.w.t.  menurunkan angin sehingga bau busuk itu mengganggu ketenteraman di Padang Mahsyar. Mereka itu adalah orang yang menyembunyikan perlakuan durhaka takut diketahui oleh manusia tetapi tidak pula merasa takut kepada Allah s.w.t. , maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah Neraka..."

BARISAN KEENAM
Digiringdari kubur dengan keadaan kepala mereka terputus dari badan. "Merekaadalah orang yang menjadi saksi palsu, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah Neraka..."

BARISAN KETUJUH
Digiringdari kubur tanpa mempunyai lidah tetapi dari mulut mereka mengalir keluar nanah dan darah. "Mereka itu adalah orang yang enggan memberi kesaksian di atas kebenaran, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah Neraka..."

BARISAN KEDELAPAN
Digiring dari kubur dalam keadaan terbalik dengan kepala ke bawah dan kaki ke atas."Mereka adalah orang yang berbuat zina, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah Neraka..."

BARISAN KESEMBILAN
Digiring dari kubur dengan berwajah hitam gelap dan bermata biru sementara dalam diri mereka penuh dengan api gemuruh. "Mereka itu adalah orang yang makan harta anak yatim dengan cara yang tidak sebenarnya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah Neraka..."

BARISAN KESEPULUH
Digiring dari kubur mereka dalam keadaan tubuh mereka penuh dengan penyakit sopak dan kusta. "Mereka adalah orang yang durhaka kepada orang tuanya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah Neraka..."

BARISAN KESEBELAS
Digiring dari kubur mereka dengan berkeadaan buta mata-kepala, gigi mereka memanjang seperti tanduk lembu jantan, bibir mereka melebar sampai ke dada dan lidah mereka terjulur memanjang sampai ke perut mereka dan keluar beraneka kotoran."Mereka adalah orang yang minum arak, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah Neraka..."

BARISAN KEDUA BELAS
Mereka digiring dari kubur dengan wajah yang bersinar-sinar laksana bulan purnama. Mereka melalui titian sirat seperti kilat. Maka, datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih memaklumkan: "Mereka adalah orang yang beramal soleh dan banyak berbuat baik."

Berdoalah semoga kita menjadi barisan ke 12 iaitu mereka menjauhi perbuatan durhaka, mereka memelihara solat lima waktu, ketika meninggal dunia keadaan mereka sudah bertaubat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah syurga, mendapat ampunan, kasih sayang dan keredaan Allah Yang Maha Pengasih."

Ketiga : Mendapat perlindungan Arasy ketika di panggil untuk berhimpun di Padang Mahsyar.

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :
“Berpancaran peluh manusia di hari kiamat (di Padang Mahsyar) nanti kerana sangat huru hara yang mereka alami dan rasai, sehingga mereka tenggelam didalam peluh mereka yang telah mengalir."

Terdapat lapan golongan (dari dua hadis dibawah) yang akan mendapat naungan Arasy ketika manusia kepanasan cahaya matahari sejengkal di kepala dan banjir peluh yang meneggelamkan manusia yang berdosa.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya (perlindungan Arasy) di hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu: Imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diajak oleh wanita rupawan serta berkedudukan tinggi untuk melakukan zina, lalu ia menjawab, “Aku takut kepada Allah”, seseorang yang bersedekah dengan sesuatu sedekah lalu menyembunyikan sedekahnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya, seseorang yang mengingati Allah di tempat yang sunyi lalu mengalir air matanya."
(Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Dalam hadis yang lain seseorang akan mendapat perlindungan Arasy adalah seorang yang menangguhkan hutang orang yang belum dapat membayarnya atau membebaskannya.

Rasulullah S.A.W.  bersabda yang maksudnya : "Sesiapa yang menangguhkan hutang orang yang belum dapat membayarnya atau membebaskannya, pada hari kiamat kelak Allah S.W.T. akan menaunginya di bawah naungan Arasy, di mana pada hari tersebut tidak ada naungan kecuali naungan-Nya."
(Hadis Riwayat Tirmizi).

Berdoalah kepada Allah S.W.T semoga kita menjadi salah satu golongan yang mendapat perlindungan Arasy di hari akhirat nanti.

Keempat : Di beri buku catatan di tangan kanan.

Bagi orang-orang yang bertakwa buku cacatan diberikan melalui tangan kanannya. Apabila orang-orang itu durhaka maka bukunya akan diberikan dengan melalui tangan kirinya. Dan bagi orang-orang kafir bukunya diberikan dengan melalui arah belakang punggungnya.

Sesungguhnya pada hari perhitungan, manusia dibagi menjadi 3 tingkatan yang berbeza, iaitu:

1. Perhitungan yang mudah, mereka adala golongan orang-orang bertakwa.

2. Perhitungan yang sangat sukar, lalu orang-orang tersebut dihancurkan, mereka adalah golongan orang-orang yang kafir.

3. Golongan orang-orang yang dihitung (dihabiskan) lalu diseksa dan kemudian dibebaskan kembali, mereka adalah golongan orang-orang yang berbuat maksiat.

Dari Anas r.a pernah berkata, “ Mahukah kalian aku beritahu tentang dua hari dan dua malam yang belum pernah diketahui dan didengar oleh manusia (yang masih hidup)? Hari yang pertama adalah hari dimana datang kepadamu pembawa berita dari Allah, baik dengan membawa keredaanNya ataupun murkaNya (hari kewafatan), dan kedua iaitu hari dimana kalian dihadapkan kepada Allah untuk mengambil buku catatan amal, dengan tangan kiri atau tangan kanan. Sedangkan dua malam, adalah malam pertama kali didalam kubur dan malam dimana pagi harinya dilenyapkan tatkala terjadinya hari kiamat”

Kelima : Di beri minum air daripada telaga kausar.

Terdapat satu kolam ( Ű­ÙˆŰ¶ ) kepunyaan Nabi Muhammad s.a.w. bernama "Al-Kausar" yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.

Keenam : Di beri syafaat oleh Rasulullah S.A.W.

Diriwayatkan dari Rasulullah bahawa Anas bin Malik memohon syafa'atnya pada hari kiamat, maka baginda bersabda yang bermaksud :
"Saya akan memberikan syafa'atku untuk semua umatku."
Ia bertanya, "Dimanakah saya harus mencarimu pada hari kiamat?"
Baginda bersabda, "Carilah saya di Shirat."
Ia mengatakan, "Kalau saya tidak mendapatimu di Shirat?"
Baginda bersabda, "Saya berada pada Mizan."
Ia bertanya, "Kalau saya tidak menemukan di Mizan?"
Baginda bersabda, "Carilah saya di Khaudh (Danau), saya tidak akan melangkah dari ketiga tempat ini pada hari kiamat."
(Hadis Riwayat Ahmad)

Dari Humaid, ia berkata : Aku mendengar Anas r.a. berkata : Saya mendengar Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Apabila hari kiamat tiba, Aku diberi syafa’at, kemudian aku berkata : “Wahai Tuhan, masukkanlah ke syurga orang yang di dalam hatinya ada seberat biji sawi”. Maka mereka masuk, kemudian aku berkata : “Masukkanlah ke syurga orang yang didalam hatinya ada sedikit- dikitnya sesuatu”.
Maka Anas r.a. berkata seolah-olah saya melihat jari-jari Rasulullah S.A.W.
(Hadis Riwayat Bukhari).

Ketujuh : Meniti Siratul Mustaqim secepat kilat.

Semasa melintasi Titian Sirat (Siratul Mustaqim), terdapat pelbagai jenis manusia. Manusia pertama menjejakkan kakinya di Sirath adalah Nabi Muhammad s.a.w. Baginda akan memimpin kumpulan-kumpulan umatnya menjadi 10 bahagian untuk melintasi Jambatan tersebut.

    * Kumpulan Pertama – melintasi bagai cahaya kilat memancar

    * Kumpulan Kedua – melintasi bagai angin yang kencang

    * Kumpulan Ketiga – melintasi bagai kuda yang baik

    * Kumpulan Keempat – melintasi bagai burung yang pantas

    * Kumpulan Kelima – melintasi dalam keadaan berlari

    * Kumpulan Keenam – melintasi dalam keadaan berjalan

    * Kumpulan Ketujuh – berdiri dan duduk

    * Kumpulan Kelapan – menarik muka mereka dengan rantai

    * Kumpulan Kesembilan dan kesepuluh – tertinggal diatas Sirat dan tidak diizinkan untuk menyeberangi kerana dosa-dosa mereka.

Orang mukmin akan terselamat disebabkan keimanan dan amal soleh yang mereka lakukan di dunia, manakala orang kafir dan murtad akan terhumban ke dalamnya. Orang pertama melalui Titian Sirat ialah Nabi Muhammad s.a.w. yang mengepalai umat lain.

Berdoalah kepada Allah S.W.T. semoga kita menjadi kumpulan pertama yang melintasi siratul mustaqim bagai kilat memancar.

Kelapan : Di benarkan memasuki syurga Allah S.W.T.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda maksudnya :
“Apabila telah datang hari kiamat, maka didatangkan 4 golongan
manusia di sisi pintu syurga tanpa dihisab dan disiksa, mereka
ialah ;
1. Orang alim yang mengamalkan ilmunya.
2. Seorang haji yang sewaktu menunaikan haji tidak melakukan
sebarang perkara yang membatalkan hajinya.
3. Orang yang mati syahid di dalam peperangan.
4. Dermawan yang mengusahakan harta yang halal dan membelanjakannya
di jalan Allah tanpa riyak.

Keempat-empat golongan ini berebut-rebut untuk mendahului memasuki syurga, kemudian Allah memerintahkan kepada Jibrail A.S. menghakimi mereka.

Berkata Jibrail A.S. kepada orang mati syahid, “Apakah yang telah

kamu lakukan sewaktu di dunia sehingga kamu hendak masuk ke syurga?”

Berkata orang yang mati syahid, “Aku telah terbunuh dalam peperangan kerana mencari keredhaan Allah.”

Berkata Jibrail A.S., “Dari siapa kamu mendapat tahu tentang pahala
orang yang mati syahid?”

Orang yang mati syahid menjawab,”Aku mendengar daripada alim ulama.”

Berkata Jibrail A.S. lagi, “Jagalah kesopanan, jangan kamu mendahului guru yang mengajar kamu.”

Kemudian Jibrail A.S. bertanya kepada yang mengerjakan haji, “Apakah yang kamu telah lakukan di dunia dahulu sehingga kamu hendak masuk ke syurga?”

Berkata yang berhaji,”Aku telah menunaikan haji semata-mata kerana
Allah.”

Berkata Jibrail A.S., “Siapakah yang memberitahu kamu tentang pahala haji?”

Berkata yang berhaji, “Aku mendengar dari alim ulama.”

Berkata Jibrail A.S. lagi, “Jagalah kesopananmu, jangan kamu
mendahului guru yang mengajar kamu.”

Berkata Jibrail A.S. kepada penderma pula, “Apakah yang kamu lakukan sewaktu kamu di dunia dulu?”

Menjawab si penderma, “Aku telah banyak menderma semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah S.W.T.”

Jibrail A.S. berkata lagi, “Siapakah yang memberitahumu tentang
pahala orang yang menderma kerana Allah?”

Berkata si perderma, “Aku mendengarnya dari para alim ulama.”

Maka Jibrail A.S. pun berkata, “Jagalah kesopananmu, jangan kamu
mendahului guru yang mengajar kamu.”

Kemudian orang alim berkata, “Ya Tuhanku, tidaklah boleh aku
menghasilkan ilmu kecuali dengan sebab sifat kasih dermawan dan
kebaikan orang yang dermawan itu.”

Lalu Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud, “Telah benar kata si
alim itu, bukakanlah pintu syurga supaya si dermawan masuk dahulu.
Kemudian barulah orang-orang lain masuk.”

Nabi Muhammad S.A.W. telah bersabda, “Keutamaan orang alim di atas ahli ibadah itu seperti keutamaan saya di atas orang yang paling
rendah di antara kamu.”

Allah S.W.T. berfirman, maksudnya, “Aku Maha Berilmu dan Aku suka
kepada orang yang berilmu.”

Al Hassan r.a. berkata, “Tinta para ulama itu ditimbang pada hari
kiamat dengan darah orang-orang mati syahid, dan tinta para ulama
akan menjadi lebih berat daripada darah para syuhada.”

Rasulullah S.A.W. bersabda, “Jadilah engkau orang alim (yang
mengajar) atau orang yang belajar atau orang yang mendengar
(pelajaran). Janganlah engkau menjadi orang yang keempat, akan
rosaklah engkau.”

Orang bertanya kepada Rasulullah S.A.W., “Amal apakah yang paling
utama?”

Rasulullah S.A.W. menjawab, “Berilmu tentang Allah.”

Inilah kelebihan seorang derwawan yang ikhlas dia akan masuk syurga sebelum orang alim, orang ahli ibadah dan orang mati syahid.

Dalam hadis yang lain sabda Rasulullah S.A.W. lagi, “Sesungguhnya Allah S.W.T telah menciptakan kepada keturunan anak-anak Adam lapan perkara, dan dari lapan itu empat perkara bagi penghuni syurga, iaitu:

1. Wajah yang manis dan berseri-seri.

2. Tutur kata yang bersopan.

3. Hati yang bertaqwa kepada Allah.

4. Tangan yang dermawan.

Sahabat yang di kasihi,
Marilah sama-sama kita sentiasa berdoa kepada Allah S.W.T. untuk mendapat kebaikan di hari akhirat iaitu meragkumi lapan perkara penting seperti dihuraikan di atas. Semoga kita mendapat kejayaan yang paling tinggi dan utama iaitu memasuki syurga Allah S.W.T. Mohonlah kepada Allah S.W.T. supaya kita dapat memasuki syurga tanpa hisab, jika di hisab sekali pun biarlah dengan hisab yang mudah dan meniti siratul mustaqim pantas seperti kilat. Amin.

Saturday, February 5, 2011

Kebaikan Hidup di Dunia Dengan Mendapat Rahmat Allah

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap mukmin berhajatkan hidup berbahagia di dunia dan akhirat. Ketika di dunia sentiasa dirahmati Allah, dan sentiasa melakukan ketaatan kepda-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.

Terdapat banyak ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi S.A.W. yang menjelaskan ciri-ciri kebahagiaan dunia yang Allah S.W.T kurniakan kepada orang mukmin bahawa ianya merupakan tanda-tanda awal ia mendapat taufik dan hidayah daripada-Nya. dan akan mendapat kebahagiaan dihari akhirat nanti.

Ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut :

1. Mendapat taufik dan hidayah Allah SWT

Orang yang mendapat taufik dan hidayah ertinya dia seorang yang dibantu oleh Allah untuk mengamalkan Islam. Islam bererti selamat. Orang Islam kalau kekal mendapat taufik dan hidayah dari Allah, akan selamat di dunia dan akhirat.

Sabda Rasulullah SAW : "Sungguh beruntung orang yang beragama Islam…" (Hadis Riwayat Muslim)

Dari Abi Zar r.a., Rasulullah SAW bersabda, (Hadis Qudsi) "Firman Allah Taala: 'Wahai hamba-hamba-Ku, Aku telah haramkan ke ats diri-Ku kezaliman dan Aku jadikan kezaliman itu juga haram ke ats kamu semua maka janganlah berlaku zalim sesama sendiri.

Wahai hamba-hamba-Ku, semua kamu adalah sesat kecuali orang-orang yang mendapat petunjuk-Ku, maka mintalah hidayah daripada-Ku, nescaya akan Aku berikan.

Wahai hamba-hamba-Ku semua kamu adalah dalam kelaparan kecuali orang yang mendapat makanan daripada-Ku, maka mintalah daripada-Ku nescaya Aku berikan kepadamu.

Wahai hamba-hamba-Ku semua kamu adalah tidak berpakaian kecuali orang yang Aku berikan kepadanya pakaian, maka mintalah daripada-Ku nescaya akan Aku berikan.

Wahai hamba-hamba-Ku, kamu semua melakukan salah dan silap setiap masa dan Aku adalah pengampun dosa-dosa, maka pohonlah keampunan daripada-Ku nescaya Aku akan ampunkan..."

(Hadis Riwayat Muslim)

2. Diberi kefahaman dalam agama

Untuk amalkan Islam perlukan kefahaman. Siapa yang diberi kefahaman tentang Islam juga dikira telah mendapat kebaikan di dunia. Orang Islam yang tidak diberi kefahaman tentang Islam oleh Allah akan mengamalkan apa yang disangkanya dari ajaran Islam tetapi sebenarnya menyeleweng dari Islam. Hidupnya tak akan benar-benar selamat dan tidak mampu menyelamatkan orang lain.

Sabda Rasulullah SAW : "Barangsiapa yang Allah menghendaki kebaikan kepadanya, Dia akan menjadikannya faham dalam agama." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

3. Dapat berbuat amalan soleh

Dengan kefahaman agama yang Allah beri, seseorang itu dapat berbuat amal soleh. Ini juga merupakan kebaikan di dunia kerana hidup akan terisi perkara baik dan tidak terumbang-ambing.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: "Katakanlah: 'Hai hamba-hamba-Ku yang beriman, bertakwalah kepada Tuhanmu'. Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini memperolehi 'hasanah' (kebaikan). Dan bumi Allah itu adalah luas. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas." (Surah Az-Zumar ayat 10)

4. Mendapat ilmu yang bermanfaat

Ilmu yang bermanfaat adalah panduan untuk mengisi hidup dengan perkara-perkara baik dan selamat. Sebab itu Rasulullah SAW berdoa: "Ya Allah ya Tuhanku, berikanlah manfaat kepadaku dari apa-apa Engkau ajarkan kepadaku dan ajarkan daku apa-apa yang bermanfaat buat diriku." (Hadis Riwayat at-Tabrani)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang berkehendakkan dunia maka hendaklah ia berilmu, sesiapa yang berkehendakkan akhirat maka hendaklah ia berilmu dan sesiapa yang berkehendakkan kedua-duanya maka hendaklah ia berilmu."
(Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Ilmu pengetahuan menurut Islam sama ada yang berunsur keduniaan mahupun keakhiratan adalah bersifat sepadu (integrated) dan saling berhubung di antara satu sama lain. Berasaskan pegangan inilah maka kehidupan dunia akan dapat dijadikan persediaan untuk kehidupan di akhirat.

Ilmu terbahagi kepada dua iaitu ilmu naqliyah yang berteraskan wahyu seperti akidah, syariah dan akhlak dan ilmu aqliyah iaitu ilmu yang pada zahirnya dipandu oleh akal bagi memperolehi kejayaan dan kemajuan duniawi. Kedua-dua jenis ilmu ini bersepadu bagi mencapai satu matlamat iaitu keredaan Allah SWT.

Islam menggalakkan umatnya memiliki seberapa banyak ilmu dalam usaha mencari kehidupan yang baik dan sempurna disamping memajukan masyarakat menurut lunas-lunas yang dibenarkan oleh Islam.

5. Mendapat isteri yang solehah

Kebahagiaan hidup adalah perkara yang semua orang impikan. Kebahagiaan selalunya bermula di rumah. Siapa yang mendapat pasangan hidup yang baik patut bersyukur kerana di situlah tanda kebahagiaannya. Isteri atau suami yang baik ini juga membantu seseorang mendekatkan diri kepada Allah. Itulah antara kebaikan di dunia buatnya.

Sabda Rasulullah SAW : "Empat dari tanda-tanda kebahagiaan seseorang: Isterinya solehah, anak-anaknya abrar (soleh), teman-temannya orang soleh dan sumber rezekinya di negerinya sendiri." (Hadis Riwayat ad-Dailami dari Ali r.a.)

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Apabila seseorang isteri meninggal dunia dan suaminya reda kepadanya, maka ia akan masuk syurga." (Hadis Riwayat Tirmidzi dan Ibn Majah)

Islam telah menggariskan peranan suami dan isteri dengan jelas di mana suami mestilah bersedia untuk mentadbir rumah tangga dan isteri pula mestilah bersedia untuk mentaati perintah suami.

Syurga anak adalah di telapak kaki ibunya manakala syurga isteri adalah apabila taatkan suaminya. Taat di sini bererti patuh kepada perintah dan kehendak suami kecuali apabila suami menyuruh melakukan dosa. Ia menduduki tempat kedua selepas taat kepada Allah dan Rasul.

Ketaatan isteri berkait rapat dengan keperibadian suami di mana kuasa suami bukan terletak pada kekuatan fizikalnya tetapi terletak pada iman, ilmu dan kesabarannya. Dengan demikian barulah kepimpinannya menjadi lebih mantap dan dihormati isteri.

Kunci kerukunan rumah tangga adalah persefahaman antara suami isteri. Oleh itu Islam telah menyarankan bahawa dalam mencari isteri idaman hendaklah dari kalangan wanita yang mempunyai empat ciri seperti berketurunan baik, elok paras rupanya, berharta, dan kuat pegangan agamanya.

Namun yang perlu diutamakan adalah yang solehah (beriman) agar mudah untuk dididik dan beberapa masalah rumah tangga dapat dielakkan seperti isteri nusyuz dan sebagainya.

Setiap wanita Islam hendaklah menyedari tentang hak-haknya yang telah digariskan oleh syarak agar tidak berlaku kekeliruan dalam mentaati suami sehingga menjadi mangsa penderaan oleh suami yang tidak bertanggungjwab.

Oleh itu seorang isteri yang solehah adalah yang mencakupi erti kata wanita yang berilmu dan beriman. Dengan demikian rumah tangga akan sentiasa aman dan bahagia.

Namun ada juga orang yang Allah beri kebaikan walaupun tidak mendapat pasangan hidup yang soleh atau solehah. Buat mereka Allah kurniakan pahala sabar dalam mendidik atau sabar dalam menghadapi kerenah pasangannya.

6. Mendapat zuriat penyejuk hati

Betapa sejuknya hati kalau anak-anak taat, hormat dan tahu berbakti. Tanpa tiga perkara ini, tidak ada erti kepandaian, kedudukan dan jawatan tinggi yang dibangga-banggakan pada anak. Anak yang baik akan terus memberi manfaat setelah kematian kita. Pahala amalan baiknya hasil didikan kita terus mengalir kepada kita dan kita juga menerima kebaikan dari doa mereka.
Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud “Apabila meninggal dunia seorang anak Adam maka putuslah segala amalannya kecuali tiga iaitu
1.Sedekah yang di tinggalkan semasa hidup.
2.Ilmu yang di menfaatkan. dan
3.Anak yang soleh yang mendoakan kedua ibu bapanya.”

Dalam riwayat yang lain, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud : "Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu wanita yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)

Kehidupan yang selesa adalah suatu bentuk kehidupan yang dialu-alukan oleh Islam di mana kehidupan yang sempurna memerlukan empat asas yang penting iaitu:

Wanita yang solehah iaitu isteri yang baik yang dapat menguruskan keluarga dan rumahtangga dengan sempurna. Rumah yang luas yang boleh memberikan keselesaan untuk bermesra dengan keluarga dan anak-anak di samping dapat melapangkan fikiran dengan baik dan tenang.

Jiran yang baik kerana jiran merupakan orang yang paling rapat selepas sanak saudara dan keluarga. Jiran yang baik dapat menjamin keharmonian hidup bermasyarakat sehinggakan ikatan kejiranan itu boleh bertukar seakan-akan sebuah kelurga yang kasih-mengasihi dan saling mengambil berat di antara satu sama lain. Kenderaan yang selesa kerana ia memberikan kemudahan dalam segala urusan.

Antara tabiat buruk yang mengancam kebahagiaan hidup ialah berfoya-foya dengan kehidupan mewah, boros harta dan membazir ketika berbelanja.

Tabiat ini sering disebut dalam al-Quran sebagai punca kehancuran beberapa umat yang terdahulu.

Kemewahan hidup berbeza antara satu zaman dengan zaman yang lain, mungkin mewah pada suatu ketika dahulu, tidak dianggap mewah pada hari ini, kerana perbezaan masa, suasana dan pendapatan menjadikan ukuran kemewahan turut berbeza.

7. Mendapat sahabat-sahabat yang soleh.

Perkara ini juga disebut dalam hadis sebagai tanda kebahagiaan. Sahabat yang baik akan tegur kesalahan kita dan mengajak kita buat baik. Sahabat yang soleh atau solehah ini akan bawa kita ke jalan hidup selamat. Mereka tempat berkongsi masalah dan kegagalan, bukan hanya berkongsi senang dan kejayaan.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya, "Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan amalan yang paling disukai oleh Allah ialah menggembirakan hati orang-orang Islam atau menghilangkan kesusahan daripadanya atau menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi makan orang yang lapar."

Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Perjalananku bersama saudaraku yang muslim untuk menunaikan hajatnya, adalah lebih aku sukai daripada aku beriktikaf di dalam masjid ini selama sebulan, dan sesiapa yang menahan kemarahannya sekalipun ia mampu untuk membalasnya nescaya Allah akan memenuhi keredaan-Nya di dalam hatinya pada hari kiamat, dan sesiapa yang berjalan bersama-sama saudaranya yang Islam untuk menunaikan hajat saudaranya itu hinggalah selesai hajatnya nescaya Allah akan tetapkan kakinya (ketika melalui pada hari kiamat) dan sesungguhnya akhlak yang buruk akan merosakkan amalan seperti cuka merosakkan madu." (Hadis Riwayat Ibnu Abi Dunya)

Berbuat baik dan memberi keselesaan kepada orang lain akan diganjari Allah dengan balasan yang berlipat ganda sama ada berupa pahala, kebaikan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Semua ini akan dapat dilakukan sekiranya seseorang itu mempunyai keimanan dan keikhlasan di hatinya sehingga segala tindakan-tindakan yang dilakukannya sentiasa melahirkan kebaikan pada dirinya dan dalam hubungannya dengan orang lain serta masyarakat di sekelilingnya.

8. Kesihatan, kesejahteraan dan kelapangan

Dengan kesihatan yang baik, banyak perkara dapat dilakukan dalam hidup ini. Orang mukmin memanfaatkan kesihatan untuk buat sebanyak mungkin kebaikan sebelum datangnya sakit. Kesihatan juga sering dikaitkan dengan kesejahteraan hidup.

Rasulullah SAW memohon: "Ya Allah, afiatkanlah tubuh badanku dan afiatkanlah pendengaranku." (Hadis Riwayat Ibnu Syaibah)

Daripada Abdullah ibn Abbas r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda, "Dua jenis nikmat yang kebanyakan manusia menerima kerugian yang besar iaitu kesihatan dan kelapangan."
(Hadis Riwayat Bukhari)

Seseorang itu hendaklah menjaga kesihatan yang mana kesihatan itu adalah satu nikmat daripada Allah, hendaklah digunakan masa sihat itu dengan amal kebajikan dan amalan soleh sebelum sakit. Seseorang itu janganlah mensia-siakan masa lapangnya terbiar begitu sahaja, ianya hendaklah digunakan untuk melakukan semua perintah Allah yang diredai.

Kedua nikmat sihat dan kelapangan itu adalah cubaan Allah ke atas manusia. Oleh itu hendaklah digunakan masa sihat dan lapang itu untuk memerangi hawa nafsu. Sesiapa yang berjaya pasti akan mendapat kemenangan begitu juga sebaliknya.

9. Panjang umur di dalam ketaatan

Hampir setiap orang mahu hidup lama, kecuali orang yang putus asa dengan hidup. Paling baik kalau dapat panjang umur sambil berbuat ketaatan kepada Allah.

Sabda Rasulullah SAW : "Sesungguhnya sehabis-habis kebahagiaan itu ialah panjang umur di dalam mentaati Allah." (Hadis Riwayat Khatib daripada Abdullah dari bapanya)

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang mati pada masa ia dalam keadaan taatkan Allah, beramal soleh, maka ia dibangkitkan oleh Allah hidup kembali dengan keadaan yang menyukakannya; dan sesiapa yang mati pada masa ia dalam keadaan derhaka kepada Allah, berbuat jahat, maka ia dihidupkan kembali dengan keadaan yang mendukacitakannya." (Hadis Riwayat Jabir r.a.)

10. Mendapat rezeki yang halal

Rasulullah SAW menekankan agar umatnya berusaha mendapatkan rezeki halal kerana ia akan memberkatkan hidup. Dalam satu hadis, baginda mengatakan bahawa mencari rezeki yang halal itu satu jihad. Malah sabdanya: "Amalan yang paling utama itu ialah mencari rezeki dari usaha yang halal." (Hadis Riwayat al-Hakim)

Dari Abdullah bin Amru bin ‘Ash r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Sungguh amat beruntunglah orang yang Islam (berserah diri) dan merasa cukup dengan apa yang direzekikan Allah serta berpada dengan apa yang diberikan-Nya." (Hadis Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW telah menasihatkan kita agar melihat kepada orang yang di bawah. Jangan melihat kepada orang yang di atas (lebih bernasib baik) kerana yang demikian itu akan membuatkan kita menjadi tidak bersyukur. Namun itulah masalahnya yang berlaku pada setiap daripada kita. Sentiasa mengejar peluang yang lebih baik. Sentiasa mahukan yang lebih banyak. Tetapi ini bukan pula bererti bahawa kita tidak boleh mengejar yang lebih baik. Rezeki itu hak dan kepunyaan Allah. Maka bermohonlah kepada Yang Memiliki rezeki itu kerana tiada rezeki untuk kita tanpa ada keizinan daripada-Nya.

11. Beroleh keimanan dan ketakwaan

Dengan iman dan takwa, seseorang itu mulia di sisi Allah dan di sisi manusia. Siapa yang tak sukakan kemuliaan? Sabda Rasulullah SAW : "Semulia-mulia manusia adalah orang yang paling bertakwa di antara kamu." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Baginda juga bersabda : "Hendaklah kamu bertakwa, kerana ia merangkumi semua kebaikan." (Hadis Riwayat Abu Ya’ala)

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah mengasihi hambanya yang bersifat takwa, kaya jiwa serta tidak menonjolkan diri (merendah diri walaupun berpangkat tinggi)." (Hadis Riwayat Muslim)

Yang dimaksudkan dengan kaya di sini ialah kaya jiwa bukan kaya harta sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis. Tiga perkara yang apabila dilakukan oleh seseorang maka ia dikasihi oleh Allah SWT ialah :
1. Bertakwa.
2. Kaya jiwa (berakhlak mulia).
3. Tidak menonjolkan diri .

Setiap umat Islam hendaklah sentiasa memperbaiki dirinya dari masa ke semasa dengan menanamkan tiga sifat tersebut diatas secara berperingkat-peringkat. Islam menyuruh umatnya supaya bertakwa kepada Allah dan mempunyai sifat-sifat yang mulia dan berbudi bahasa, jangan bersifat sombong, ego dan sebagainya yang boleh menjatuh dan merendahkan mertabat kemuliaan manusia itu sendiri.

12. Banyak mengingati Allah SWT

Nikmat paling besar yang manusia cari-cari dalam hidup ialah nikmat ketenangan. Orang mukmin adalah orang yang hidupnya penuh ketenangan.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "...orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Sesungguhnya hanya dengan mengingati Allah itu, hati akan menjadi tenteram (tenang)." (Surah Ar-Ra’ad ayat 28)

Sabda Rasulullah SAW : "Aku berpesan kepada kamu semua supaya mengingati Allah, kerana hal itu dapat menghiburkan hati kamu dari segala kesulitan duniawi."
(Hadis Riwayat ad-Dailami)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya di hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu: Imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diajak oleh wanita rupawan serta berkedudukan tinggi untuk melakukan zina, lalu ia menjawab, “Aku takut kepada Allah”, seseorang yang bersedekah dengan sesuatu sedekah lalu menyembunyikan sedekahnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya, seseorang yang mengingati Allah di tempat yang sunyi lalu mengalir air matanya." (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Orang yang mencintai Allah SWT dengan hati yang ikhlas semestinya akan merasa keagungan dan kebesaran Allah. Oleh itu di saat ia bertafakur kepada Allah akan keluarlah air mata kerinduan dan keinsafan dari dalam dirinya.

Dalam riwayat yang lain pula, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : "Tanda cintakan Allah SWT ialah mengingati Allah SWT (zikrullah) dan tanda Allah SWT murka kepada hamba ialah dia tidak suka mengingati Allah." (Hadis Riwayat Baihaqi)

Ciri khas dalam akidah yang wajib ada dalam diri setiap individu adalah perasaan cintakan Allah kerana ia merupakan kayu ukur terpenting dalam menilai kualiti iman seorang muslim yang sebenar.

Antara sifat mereka ialah sentiasa merasa bahagia apabila mengingati Allah iaitu mereka banyak berzikir, mengerjakan sembahyang, membaca al-Quran dan sebagainya sebaliknya bagi orang yang tidak cintakan Allah, dia merasa bosan dan rimas apabila mendengar kalimah-kalimah Allah dan malas untuk berzikir (mengingati Allah) jauh sekali untuk beribadat kepada Allah.

Sesungguhnya orang yang selalu mengingati Allah (di kala senang mahupun susah) akan mendapat pemeliharaan daripada Allah SWT, kehidupannya sentiasa terkawal dan terpimpin, jalan hidupnya sentiasa sejahtera dan selamat. Sebaliknya mereka yang lalai daripada mengingati Allah, kehidupannya akan didapati kosong, kecewa dan hampa.

13. Berjaya menyucikan jiwa dari mazmumah

Hidup tak akan tenang jika hati penuh hasad dengki, tamak, takut, benci, keluh-kesah dan lain-lain sifat mazmumah. Tidak hairanlah dikatakan, orang yang bersih hatinya dari sifat mazmumah ini adalah orang yang mendapat kebaikan di dunia. Bila menghadapi musibah, dia sabar dan bersangka baik dengan Allah.

Bila ditimpa musibah dia bersabar. Bila dapat nikmat pula, dia bersyukur. Hatinya tak pernah keluh-kesah. Firman Allah Taala: "Sesungguhnya berjaya dan beruntunglah orang yang menyuci (membersihkan) jiwanya." (Surah Al-A’la, ayat 14)

14. Mati di dalam kebaikan (Husnul Khotimah)

Ini merupakan penutup segala kebaikan di dunia. Firman Allah SWT : "….demikianlah Allah memberi balasan kepada orang-orang yang bertakwa, (iaitu) orang-orang yang diwafatkan dalam keadaan baik oleh para malaikat dengan mengatakan (kepada mereka) Salamun ‘Alaikum." (Surah An-Nahl, ayat 32)

Sabda Rasulullah SAW : "Sebaik-baik amalan itu ialah bahawa kamu berpisah dengan dunia ini sedangkan lidahmu basah berzikir kepada Allah." (Hadis Riwayat Abu Na’im)

Para ulama yang beramal dengan ilmunya melihat sesuatu dengan mata hati. Oleh itu, dalam senarai kebaikan di dunia yang mereka turunkan di atas, tidak ada perkara-perkara berbentuk nikmat zahir semata-mata. Kebaikan di dunia itu sebenarnya milik hamba-hamba Allah yang taat – hamba yang lebih utamakan akhirat dari dunia.

Dalam surah an-Nahl ayat 122 dinyatakan bahawa Allah telah mengurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s. hasanah (kebaikan) di atas kehidupan dunia.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan Kami berikan kepadanya kebaikan di dunia. Dan sesungguhnya dia di akhirat benar-benar termasuk orang-orang yang soleh".
(Surah an-Nahl ayat 122)

Ayat ini menjadi dalil bahawa ada kebaikan duniawi yang Allah akan beri kepada hamba-hamba-Nya yang dikehendaki. Walaupun mengutamakan akhirat, Allah akan dahulukan bermacam-macam kebaikan buat mereka di dunia lagi. Dan segala kebaikan itu pula bermanfaat untuk akhirat mereka.

Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Rabbana atinaa fiddunia hasanah wa fil akhirati hasanah wakina azabannar"

(Ya Allah, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan lindungilah kami daripada azab api Neraka)  (Hadis Riwayat Bukhari.)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dengan mengerjakan amal soleh, amal ibadah dan amal kebaikan dan melaksanakan semua 14 perkara kebahagiaan di dunia seperti huraian di atas. Semoga amalan kita diredai Allah dan dipilih kita menjadi hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertakwa. Amin.

Doa Mohon Perlindungan Daripada Allah Kepada Empat Perkara.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Seorang mukmin yang sentiasa dalam hidupnya  berdoa dan berhubung hati dengan Allah S.W.T.  akan mempunyai  kekuatan dalamannya amat luar biasa dan akan mencapai kecemerlangan dalam hidupnya berbanding mereka yang dalam hidupnya tidak mahu berdoa dan hanya bergantung pada akal fikirannya semata-mata untuk mencapai sesuatu perkara.

Perancangan macamana hebat sekalipun apabila ianya dibuat tanpa memohon pertolongan Allah S.W.T. maka ianya tidak akan berjaya dan kalau berjaya sekalipun ianya tidak akan berkat dan akhirnya akan menemui jalan buntu dan kegagalan.

Segala kekuatan lahir, pengalaman, kemahiran dan kekuatan batin daripada tenaga dalaman akan dipadukan untuk mencapai apa-apa yang dihajatkan. Apabila diketengahkan dan diamalkan dalam kehidupan seharian doa dan munajat akan mampu menjadi senjata yang ampuh.

Rasulullah S.A.W.  selalu berdoa (mengajarkan kepada umatnya) : " Ya Allah aku berlindung dengan Engkau daripada ilmu yang tidak memberi manfaat dan daripada hati yang tidak khusyuk dan daripada amalan yang tidak diangkat (tidak diterima) dan daripada doa yang tidak didengar (tidak dimakbulkan). " (Hadis riwayat Ahmad).

Sahabat yang dimuliakan,
Di dalam doa Nabi S.A.W. seperti hadis di atas, menjelaskan kepada kita bahawa baginda memohon perlindungan daripada Allah S.W.T. dalam empat perkara :
1. Ilmu yang tidak memberi manfaat.
2. Hati yang tidak khusyuk.
3. Amalan yang tidak diangkat (tidak diterima)
4. Doa yang tidak di dengar (tidak dimakbulkan).

Huaraiannya :

Pertama : Ilmu yang tidak memberi manfaat.

Rasulullah S.A.W telah mengajar kepada kita bahawa mintalah perlindungan daripada Allah S.W.T. daripada ilmu yang tidak memberi manfaat. Kenapakah ilmu yang tidak bermanfaat ini amat ditakuti oleh Nabi S.A.W. ? Ini adalah kerana ilmu yang tidak bermanfaat ini jika ianya berbentuk dosa dan maksiat, dan ianya diikut oleh manusia terus menerus hingga kehari kiamat maka orang yang menyampaikannya kepada orang lain akan mendapat dosa yang berlipat kali ganda.

Dalam hadis yang lain baginda pernah bersabda yang bermaksud :
“Sesiapa yang memberi contoh kebaikan, maka ia mendapat pahala dan pahala orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat; dan sesiapa yang memberi contoh kejahatan, maka ia mendapat dosa dan dosa orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat.” (Petikan Kitab Tanbihul Ghafilin halaman 13).

Ilmu yang memudaratkan orang lain atau ilmu bermaksiat kepada Allah S.W.T.  pengamal dan penyampainya akan mendapat dosa disisi Allah dan dosa yang berterusan sehingga hari kiamat jika di amalkan dan diikuti oleh seseorang. Oleh itu jauhilah diri kita daripada perbuatan dan amalan yang boleh menyesatkan diri kita sendiri dan menyesatkan orang lain.

Ilmu yang tidak memberi manfaat juga bermaksud bahawa ilmu tersebut ilmu yang Islam iaitu dari  al-Quran dan sunnah dan boleh mendatangkan kebaikan tetapi kita tidak dapat amalkan dalam kehidupan walaupun kita mengetahuinya. Seperti firman Allah S.W.T. maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan” (Surah Ash Shaf ayat 2-3)

Sahabat Abu Darda’ r.a. berkata, “Yang aku takuti di hari kiamat adalah ketika dikatakan kepadaku, ‘Apakah engkau mengetahui atau tidak? Aku menjawab, ‘Aku mengetahui’.
Maka tidak ada satupun ayat dari Kitabullah yang memerintahkan atau melarang melainkan mendatangiku menanyakan perintah dan larangannya. Ayat yang memerintahkan bertanya apakah engkau kerjakan? Dan ayat yang melarang bertanya apakah engkau tinggalkan?
Maka Aku berlindung kepada Allah dari ilmu yang tidak bermanfaat, dari hati yang tidak khusyuk, dari nafsu yang tidak puas, dan dari doa yang tidak didengar”.
(Hadis Riwayat Al Baihaqy, Ad Darimy dan Ibnu Abdil Barr dari beberapa jalan dari Abu Darda’).

Berapa ramai orang yang mengingatkan manusia kepada Allah sementara dia sendiri lupa kepadaNya. Berapa ramai orang yang menakut-nakuti manusia dengan Allah ternyata dia berani menentang Allah. Berapa ramai orang yang mengajak manusia mendekatkan diri kepada Allah, dia malah jauh dari Allah. Berapa ramai orang yang menyeru mengajak manusia kepada Allah sedangkan dia sendiri jauh dari Allah dan berapa ramai orang yang membaca Kitabullah lalu dia melepaskan dirinya dari ayat-ayat Allah? Oleh itu pastikan semua ilmu yang kita miliki dan fahami dapat pula kita amalkan dalam kehidupan kita, insya Allah.

Kedua : Hati yang tidak khusyuk.
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan solat kita tidak khusyuk iaitu :

1.Tidak ada keinginan atau keghairahan mendirikan solat. Untuk mendapatkan keghairahan untuk bersolat ialah dengan banyak membaca al-Quran, ingat mati selalu ambil tahu tentang kelebihan khusyuk dalam solat.

2.Makan makanan yang haram atau sumber makanan daripada duit yang haram. Memakan benda yang haram bererti menentang Allah. Dan benda-benda yang haram ini akan menjadi darah daging manakala darah daging inilah yang akan melahirkan tenaga dan gerak. Kalau memakan yang haram ia akan menggerak dan mendorong perbuatan yang jahat dan maksiat akibatnya hati menjadi kotor dan hati yang kotor mesti sukar untuk beribadat dan sukar untuk mendapat khusyuk.

3.Keras hati dan takabbur. Orang yang takabbur ialah orang yang tidak berupaya untuk merendah diri di hadapan Allah. Manakala hati yang keras pula tidak akan terkesan dengan  nilai tarbiah kehambaan yang dilahirkan dalam solat. Apabila ruku dia tak rasa hina, bila sujud tak terasa kebesaran Allah.

4.Banyak melakukan perbuatan yang sia-sia. Apalagi kalau membawa kepada haram seperti mengumpat, memfitnah, mengadu domba dan suka keluar perkataan maki hamun kepada seseorang.

Mereka yang tidak memperoleh ketenangan daripada solat, bererti mereka tidak akan memperoleh ketenangan dalam jiwanya dalam erti kata sebenar, kerana solat adalah ibadah paling utama dalam usaha memperoleh ketenangan dan tangga mukmin untuk menghampirkan diri kepada Allah.

Ucapan dalam solat adalah perangsang dalam jiwa untuk membentuk cara berfikir dan bertindak yang akan dipersembahkan atau dipamerkan kepada Allah.

Kerana itu setiap orang yang solat mesti memahami apa yang diucapkan dalam usaha memperoleh khyusuk.

Solat adalah gambaran iman. Sentuhan kasih sayang yang mampu membuka hati, menembusi rahsia zat yang Maha Agung. Ia adalah proses perpindahan jiwa seorang hamba kepada Allah yang menciptanya.

Solat yang khusyuk adalah wasilah mensyukuri nikmat Allah dan ikrar ketuhanan. Bermaksud, orang yang meninggalkan, mengabaikan atau memandang ringan solat ialah orang yang mengingkari nikmat Allah.

Khusyuk ialah keadaan jiwa yang tenang. Ia adalah amalan hati. Sekiranya hati khusyuk, maka akan khusyuklah seluruh anggota badan. Gaya laku luaran menggambarkan keadaan batin, iaitu hati. Hati adalah penguasa. Jiwa yang khusyuk, menyebabkan semua anggota tubuh menjadi tawaduk, merangkumi ucapan dan gerakan tubuh.

Khusyuk ketika solat hanya diperoleh oleh orang yang berupaya menumpukan seluruh pengamatan dan keprihatinan kepada Allah. Solat mempengaruhi kehidupan kerana solat adalah tempat atau punca ketenangan jiwa.


Ketiga : Amalan yang tidak diangkat (tidak diterima).

Mu'az bin Jabal berkata Rasulullah S.A.W.  telah mewasiatkan kepada saya mengenai sepuluh perkara.

Dari Muaz, Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Puji syukur ke hadrat Allah S.W.T yang menghendaki agar makhluk-Nya menurut kehendak-Nya, wahai Muaz!”

Jawabku, “Ya, Sayidil Mursalin.”

Sabda Rasulullah S.A.W, “Sekarang aku akan menceritakan sesuatu kepadamu yang apabila engkau hafalkan (diambil perhatian) olehmu akan berguna tetapi kalau engkau lupakan (tidak dipedulikan) olehmu maka kamu tidak akan mempunyai alasan di hadapan Allah kelak.”

“Hai Muaz, Allah itu menciptakan tujuh malaikat sebelum Dia menciptakan langit dari bumi. Setiap langit ada satu malaikat yang menjaga pintu langit dan tiap-tiap pintu langit dijaga oleh malaikat penjaga pintu menurut ukuran pintu dan keagungannya.”

“Maka malaikat yang memelihara amalan si hamba (malaikat hafazah) akan naik ke langit membawa amal itu ke langit pertama. Penjaga langit pertama akan berkata kepada malaikat Hafazah,

“Saya penjaga tukang mengumpat. Lemparkan kembali amalan itu ke muka pemiliknya karena saya diperintahkan untuk tidak menerima amalan tukang mengumpat”.

“Esoknya, naik lagi malaikat Hafazah membawa amalan si hamba. Di langit kedua penjaga pintunya berkata,

“Lemparkan kembali amalan itu ke muka pemiliknya sebab dia beramal karena mengharapkan keduniaan. Allah memerintahkan supaya amalan itu ditahan jangan sampai lepas ke langit yang lain.”

“Kemudian naik lagi malaikat Hafazah ke langit ketiga membawa amalan yang sungguh indah. Penjaga langit ketiga berkata, “Lemparkan kembali amalan itu ke muka pemiliknya kerana dia seorang yang sombong.”

Rasulullah S.A.W meneruskan sabdanya, “Berikutnya malaikat Hafazah membawa lagi amalan si hamba ke langit keempat. Lalu penjaga langit itu berkata,

“Lemparkan kembali amalan itu ke muka pemiliknya. Dia seorang yang ujub. Allah memerintahkan aku menahan amalan si ujub.”

Seterusnya amalan si hamba yang lulus ke langit kelima dalam keadaan bercahaya-cahaya dengan jihad, haji, umrah dan lain-lain. Tetapi di pintu langit penjaganya berkata,

“Itu adalah amalan tukang hasad. Dia sangat benci pada nikmat yang Allah berikan pada hamba-Nya. Dia tidak reda dengan kehendak Allah. Sebab itu Allah perintahkan amalannya dilemparkan kembali ke mukanya. Allah tidak terima amalan pendengki dan hasad.”

Di langit keenam, penjaga pintu akan berkata,”Saya penjaga rahmat. Saya diperintahkan untuk melemparkan kembali amalan yang indah itu ke muka pemiliknya karena dia tidak pernah mengasihi orang lain. Kalau orang dapat musibah dia merasa senang. Sebab itu amalan itu jangan melintasi langit ini.”

Malaikat Hafazah naik lagi membawa amalan si hamba yang dapat lepas hingga ke langit ketujuh. Cahayanya bagaikan kilat, suaranya bergemuruh. Di antara amalan itu ialah solat, puasa, sedekah, jihad, warak dan lain-lain.

Tetapi penjaga pintu langit berkata, “Saya ini penjaga sum’ah (ingin kemasyhuran). Sesungguhnya si hamba ini ingin termasyhur dalam kelompoknya dan selalu ingin tinggi di saat berkumpul dengan kawan-kawan yang sebaya dan ingin mendapat pengaruh
dari para pemimpin. Allah memerintahkan padaku agar amalan itu jangan melintasiku. Tiap-tiap amalan yang tidak bersih karena Allah maka itulah riyak. Allah tidak akan menerima dan mengabulkan orang-orang yang riyak.”

Kemudian malaikat Hafazah itu naik lagi dengan membawa amal hamba yakni solat, puasa, zakat, haji, umrah, akhlak yang baik dan mulia serta zikir pada Allah. Amalan itu diiringi malaikat ke langit ketujuh hingga melintasi hijab-hijab dan sampailah ke hadirat Allah S.W.T.

Semua malaikat berdiri di hadapan Allah dan semua menyaksikan amalan itu sebagai amalan soleh yang betul-betul ikhlas untuk Allah."

Tetapi firman Allah S.W.T. maksudnya : “Hafazah sekalian, pencatat amal hamba-Ku, Aku adalah pemilik hatinya dan Aku lebih mengetahui apa yang dimaksudkan oleh hamba-Ku ini dengan amalannya. Dia tidak ikhlas pada-Ku dengan amalannya. Dia menipu orang lain, menipu kamu (malaikat Hafazah) tetapi tidak boleh menipu Aku. Aku adalah Maha Mengetahui.”

“Aku melihat segala isi hati dan tidak akan terlindung bagi-Ku apa saja yang terlindung. Pengetahuan-Ku atas apa yang telah terjadi adalah sama dengan pengetahuan-Ku atas apa yang bakal terjadi.”

“Pengetahuan-Ku atas orang yang terdahulu adalah sama dengan Pengetahuan-Ku atas orang-orang yang datang kemudian. Kalau begitu bagaimana hamba-Ku ini menipu Aku dengan amalannya ini?”

“Laknat-Ku tetap padanya.”

Dan ketujuh-tujuh malaikat beserta 3000 malaikat yang mengiringinya pun berkata:

“Ya Tuhan, dengan demikian tetaplah laknat-Mu dan laknat kami sekalian bagi mereka.”
Dan semua yang di langit turut berkata,”Tetaplah laknat Allah kepadanya dan laknat orang yang melaknat.”

Sayidina Muaz (yang meriwayatkan hadis ini) kemudian menangis terisak-isak dan berkata,

“Ya Rasulullah, bagaimana aku dapat selamat dari apa yang diceritakan
ini?”

Sabda Rasulullah S.A.W, “Hai Muaz, ikutilah Nabimu dalam soal keyakinan.”

Muaz bertanya kembali,”Ya, tuan ini Rasulullah sedangkan saya ini hanyalah  Muaz bin Jabal, bagaimana saya dapat selamat dan boleh lepas dari bahaya tersebut?”

Bersabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : “Ya begitulah, kalau dalam amalanmu ada kelalaian maka tahanlah lidahmu jangan sampai memburukkan orang lain. Ingatlah dirimu sendiri pun penuh dengan aib maka janganlah mengangkat diri dan menekan orang lain.”

“Jangan riyak dengan amal supaya amal itu diketahui orang. Jangan termasuk orang yang mementingkan dunia dengan melupakan akhirat. Kamu jangan berbisik berdua ketika disebelahmu ada orang lain yang tidak diajak berbisik. Jangan takabur pada orang lain nanti luput amalanmu dunia dan akhirat dan jangan berkata kasar dalam suatu majlis dengan maksud supaya orang takut padamu, jangan mengungkit-ungkit apabila membuat kebaikan, jangan mengoyakkan (menguris) perasaan orang lain dengan mulutmu, kerana kelak engkau akan dikoyak-koyak oleh anjing-anjing neraka Jahanam.”

Sebagaimana firman Allah yang bermaksud,”Di neraka itu ada anjing-anjing yang mengoyak badan manusia.”

Muaz berkata, “Ya Rasulullah, siapa yang tahan menanggung penderitaan semacam itu?”

Jawab Rasulullah S.A.W. maksudnya : “Muaz, yang kami ceritakan itu akan mudah bagi mereka yang dimudahkan oleh Allah S.W.T. Cukuplah untuk menghindari semua itu, kamu menyayangi orang lain sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri dan benci bila sesuatu yang dibenci olehmu terjadi pada orang lain. Kalau begitu kamu akan selamat dan dirimu pasti akan terhindar dari api neraka.”

Masya Allah! Betapa payahnya amalan kita ingin diterima oleh Allah S.W.T. jika kita beramal sedangkan sifat mazmumah masih menguasai hati dan jiwa kita. Oleh itu jauhkanlah diri kita daripada sifat mazmumah dan akhlak yang buruk dan ikhlaskanlah amalan kita semata-mata kerana Allah supaya ianya diterima oleh Allah S.W.T.

Keempat : Doa yang tidak di dengar (tidak dimakbulkan).

Suatu ketika Rasulullah S.A.W. melihat seorang lelaki yang kusut masai rambutnya, berdebu wajahnya kerana lama dan jauh perjalanannya. Dia mengangkat tangan berdoa Allah dengan katanya, ‘Wahai tuhanku, wahai tuhanku!
Keadaannya nampak bersungguh-sungguh memohon kepada Allah. Tetapi malang nasibnya kerana doanya tidak dimakbulkan. Ia disebabkan ketiadaan syarat yang diperlukan di dalam doa. Baginda menjelaskan, ‘Makannya haram, minumnya haram, pakaiannya haram, disuapkan dengan yang haram, maka bagaimanakah boleh dimakbulkan doanya.
(Hadis Riwayat Muslim).

Mafhum dari hadis ini, makanan halal adalah syarat penting termakbulnya doa. Sebaliknya pula, memakan makanan haram menyebabkan doa tidak dimakbulkan.
Pernah orang bertanya Ibrahim Adham ( seorang ahli tasawuf yang masyhur) mengapa doa mereka tidak dikabulkan Allah padahal mereka selalu berdoa. Jawapan beliau seperti berikut:

1.Kamu mengenal Allah tetapi tidak tunaikan hak-Nya.

2.Kamu cinta Rasulullah tetapi kamu tinggalkan sunnahnya.

3.Kamu membaca Al-Quran tetapi kamu tidak beramal dengannya.

4.Kamu telah makan nikmat-nikmat Allah tetapi kamu tidak tunaikan syukurnya.

5.Kamu berkata syaitan musuh kamu tetapi kamu tidak menentangnya.

6.Kamu berkata syurga itu benar tetapi kamu tidak beramal untuknya.

7.Kamu berkata neraka itu benar tetapi kamu tidak bersedia untuknya.

8.Kamu berkata mati itu benar tetapi kamu tidak bersedia untuknya.

9.Kamu bangun dari tidur lalu kamu menceritakan keaiban manusia tetapi kamu lupa keaiban kamu sendiri.

10.Kamu kuburkan mayat tetapi kamu tidak mengambil iktibar daripada mereka.

Syarat doa supaya di makbulkan.

1.Berdoa di dalam keadaan suci daripada hadas dan najis.

2.Memoho hanya perkara kebaikan dan kebajikan sahaja.

3.Disertai rasa menyesal diatas dosa-dosa yang lalu.

4.Berdoa diwaktu-waktu mustajab doa seperti selepas solat fardu, tengah akhir malam , waktu hujan atau hari Jumaat.

5.Dengan khusyuk.

6.Hidup dengan makanan yang halal dan jauhi makanan haram dan subahat

7.Menyeru nama Allah dengan munasabah dengan hajat yang diminta.

8.Mengulang-ulang permohonan itu dan meyakini bahawa doa kita akan dimakbulkan.

Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Fushshilat  ayat 51 maksudnya :
“Dan apabila Kami memberikan nikmat kepada manusia, ia berpaling dan menjauhkan diri; tetapi apabila ia ditimpa malapetaka maka ia banyak berdo'a.”

Dari ayat tersebut, terlihat bahwa Allah S.W.T. ‘menyindir’ dan mengecam (sifat) manusia, yang mudah lupa jika diberi kenikmatan. Sebaliknya, jika mendapat kesusahan, walau sekecil apapun, maka dia akan menangis, berkeluh kesah dan berdoa meminta pertolongan kepada Allah S.W.T.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu mereka) : Sesungguhnya Aku sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul."

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita sama-sama amalkan doa ini dan fahami sungguh-sungguh maksud yang tersirat di atas doa perlindungan Nabi S.A.W. kepada Allah S.W.T. supaya Dia melindungi baginda dalam empat perkara seperti hadis di atas.

Friday, February 4, 2011

Berdoa Untuk Kebahagiaan Dunia dan Akhirat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Doa adalah senjata orang mukmin. Dalam kehidupan seorang mukmin, hidupnya penuh dihiasi dengan akhlak Islam, amal soleh, amal ibadah dan peribadi mulia yang akan menjadi contoh kepada orang lain. Dalam keadaan hidup yang sukar dan perlu pengorbanan maka lidahnya sentiasa berzikir, berdoa dan bermunajat kepada Allah S.W.T.  tanda pengharapannya yang mutlak kepada AllahS.W.T.

Nabi S.A.W. mengajarkan agar sentiasa berdoa tanda pengharapan dan pergantungan kita kepada Allah S.W.T. salah satu doa yang sering baginda ucapkan yang maksudnya : "Ya Allah, perbaikilah agamaku kerana ia merupakan pangkal urusanku, perbaikilah duniaku kerana ia merupakan penghidupanku, perbaikilah akhiratku kerana ia merupakan tempat kembaliku, dan jadikanlah hidup sebagai kesempatan untuk menambah setiap kebaikanku, dan jadikanlah mati sebagai pelepas diriku dari setiap kejahatan." (Hadis Riwayat Muslim)

Berdasarkan doa di atas terdapat lima perkara Nabi S.A.W memohon kepada Allah S.W.T .iaitu :

1. Perbaikilah agamaku kerana ia merupakan pangkal urusanku.

2. Perbaikilah duniaku kerana ia merupakan penghidupanku.

3. Perbaikilah akhiratku kerana ia merupakan tempat kembaliku, dan

4. Jadikanlah hidup sebagai kesempatan untuk menambah setiap kebaikanku, dan

5. Jadikanlah mati sebagai pelepas diriku dari setiap kejahatan.

 Huraiannya :

Pertama : Perbaikilah agamaku kerana ia merupakan pangkal urusanku.

Perkara yang paling penting dan utama dalam kehidupan seorang mukmin adalah mempunyai pegangan agama yang kuat. Agama ini sentiasa difahami, diyakini dan dilaksanakan dalam kehidupan setiap hari.

Definisi agama Islam mengikut syara' adalah patuh dan menyerah diri kepada Allah dengan penuh kesedaran dan kerelaan tanpa paksaan. Islam juga adalah peraturan hidup, peraturan yang lengkap dan sempurna yang mengatur hidup dan kehidupan manusia dan menjadi dasar akhlak mulia, yang disampaikan oleh Nabi Muhammad S.A.W.

Sabda Rasulullah maksudnya : "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang mana kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang kepada kedua-duanya, iaitu al-Quran dan Sunnah Rasul".

Definisi Islam semasa Jibril datang bertanya Rasulullah tentang Islam:
"Ceritakan padaku (wahai Muhammad) tentang Islam," Rasulullah S.A.W. menjawab: "Kau mengakui tiada Tuhan selain Allah, Muhammad adalah hambaNya dan Rasulullah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, puasa bulan Ramadhan dan berhaji ke baitullah jika engkau kuasa".

Kedua : Perbaikilah duniaku kerana ia merupakan penghidupanku.

Dari Ibnu Abbas r.a katanya : " Ada tujuh petanda kebahagiaan dunia, iaitu :
1. Hati yang selalu bersyukur

2. Pasangan hidup yang soleh dan solehah

3. Mempunyai anak yang soleh dan solehah.

4. Suasana persekitaran yang baik untuk iman kita

5. Harta yang halal .

6. Memiliki kefahaman untuk memahami agama

7. Umur yang barakah - ertinya umur yang semakin tua semakin soleh, yang setiap detiknya diisi dengan amal ibadah."

Tujuan penciptaan manusia di dunia adalah untuk beribadah kepada Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepada-Ku" (Surah az-Zariyat ayat 56)

Untuk mendapatkan manfaat langsung dari Alah S.W.T, maka perlu untuk meyakini bahwa kejayaan yang sempurna di dunia ini terletak hanya dalam mentaati perintah-perintah Nya dengan cara yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W.

Allah S.W.T berfirman maksudnya  : "Barangsiapa mengerjakan amal kebaikan laki-laki atau perempuan, dan dia beriman, pasti akan Kami beri ia kehidupan yang baru, suatu kehidupan yang baik dan bersih, dan akan Kami balas dengan pahala sebaik-baiknya sesuai dengan apa yang telah mereka kerjakan".
(Surah an-Nahl ayat 97)

Allah S.W.T berfirman maksudnya : "Tidaklah semestinya bagi seorang mukmin, laki-laki dan perempuan bila Allah dan Rasul Nya sudah menentukkan suatu keputusan, mereka akan memilih yang lain dalam keputusan mereka ; Barang siapa tidak mentaati Alah dan rasul Nya ia dalam kesesatan yang nyata."
( Surah al Ahzab ayat 36)

Ketiga : Perbaikilah akhiratku kerana ia merupakan tempat kembaliku.

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :
“Ada empat perkara yang apabila diberikan kepada sesaorang sesungguhnya ia telah memperolehi kebaikan dunia dan akhirat, iaitu :
1. Hati yang sentiasa bersyukur
2. Lisan yang sentiasa berzikir
3. Tubuh yang sentiasa sabar dalam menanggung musibah, dan
4. Isteri yang tidak pernah khianat sama ada terhadap dirinya atau terhadap harta benda (suami) nya.”

Sesungguhnya setiap insan dalam menghadapi gelombang kehidupan pasti menjadikan doa sebagai senjata paling ampuh. Apatah lagi kehidupan seorang mukmin. Malah salah satu permohonan yang tidak pernah diabaikan adalah permintaan memperolehi kebaikan di dunia dan akhirat. Permohonan untuk mendapat kebahagiaan di dunia dan terlepas dari bahang api neraka. Doa ini dirakamkan di dalam al-Quran.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :
“Dan di antara mereka ada yang berdoa ; ‘Ya Tuhan kami kurniakanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa api Neraka.”
(Surah al-Baqarah ayat 201)

Dari hadis Rasulullah S.A.W. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. berkata, "Rasulullah S.A.W. ditanya tentang (amalan) yang paling banyak memasukkan orang ke dalam syurga. Baginda menjawab, 'Takwa kepada Allah dan akhlak yang baik (husnul khuluq).' Baginda ditanya tentang hal yang banyak memasukkan orang ke neraka. Baginda menjawab, 'Mulut dan kemaluan'."
(Hadis Riwayat Tirmizi)

Dari hadis diatas telah jelas kepada kita bahawa orang yang bertakwa (muttaqiin) dan akhlak yang baik adalah ciri utama yang boleh membawa jalan ke syurga. Orang muttaqiin adalah mereka yang mempunyai kedudukan yang tinggi disisi Allah S.W.T.

Keempat : Jadikanlah hidup sebagai kesempatan untuk menambah setiap kebaikanku.

Sikap orang mukmin sentiasa memperbaiki amalannya setiap hari. Jika ada perkara-perkara yang mencacatkan amalannya dia akan tinggalkan perkara tersebut, begitu juga jika ia dapati ada perkara-perkara yang membantu menyempurnakan amal solehnya kearah yang lebih baik dan sempurna maka ia akan lakukan.

Terdapat enam perkara yang boleh menyempurnakan amal soleh seseorang iaitu :

1. Senantiasa mendekatkan diri kepada Allah dan takut pada ancaman-Nya.

2. Berbaik sangka terhadap sesama muslim.

3. Sibuk dengan aib sendiri.

4. Menutup aib saudaranya .

5. Menganggap amalnya terlalu sedikit.

6. Berteman dengan orang- orang soleh.

Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah S.A.W.  bersabda yang bermaksud :
"Bersegeralah kalian untuk berbuat amal soleh, kerana akan muncul berbagai fitnah seperti penggalan-penggalan malam yang gelap-gulita, ada orang yang paginya beriman, petangnya kafir. Ada yang petangnya beriman, paginya kafir. Ia jual agamanya dengan barang perhiasan dunia." (Hadis Riwayat Muslim)

Rasulullah memperingatkan umatnya agar tidak malas dalam beribadat dan beramal soleh, sebaliknya harus memperbanyakkan kedua-duanya. Setiap hari ketika anak Adam menemui pagi, maka saat itu ada kesempatan baginya yang harus ia manfaatkan dengan memperbanyakkan ketaatan, ibadat dan amal soleh. Dengan begitu, ia akan sentiasa taat kepada Tuhannya dan menjauhi segala larangan-Nya, sehingga akan bertambah kebaikannya, semakin berat timbangan amal kebajikannya dan terhapus dosa-dosanya.

Kelima : Jadikanlah mati sebagai pelepas diriku dari setiap kejahatan.

Nabi S.A.W. bersabda yang maksudnya : “Apabila meninggal dunia seorang anak Adam maka putuslah segala amalannya kecuali tiga iaitu
1. Sedekah yang di tinggalkan semasa hidup.
2. Ilmu yang di menfaatkan. dan
3. Anak yang soleh yang mendoakan kedua ibu bapanya.”

Nabi S.A.W bersabda maksudnya : "Apabila dikebumikan hamba yang beriman, maka kubur berkata kepadanya, 'marhaban wa ahlan' (ucapan selamat datang), kamu adalah orang yang aku kasihi di kalangan mereka yang berjalan di atas belakangku, dan apabila aku menerimamu hari ini, lihatlah apa aku akan lakukan kepada kamu."

Sambung Nabi, "Maka kubur pun menjadi luas sejauh pandangan matanya dan dibukakan juga kepadanya pintu yang menghadap ke syurga.."

Bagi orang beriman dan bertakwa kematian itu adalah kerehatan kerana Allah S.W.T sedaikan untuk mereka taman-taman syurga. Sedangkan bagi orang kafir kubur adalah merupakan satu lubang daripada lubang api neraka.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita amalkan doa yang sering di baca oleh Nabi S.A.W. seperti di atas yang mengandungi 5 kebaikan yang perlu kita fahami dan hayati semoga kita termasuk di kalangan hamba-hamba Allah yang dirahmati dan di kasihi-Nya di dunia dan akhirat.