Monday, July 25, 2011

Berpuasa di Bulan Ramadan Mempunyai 10 Keistimewaan di Kurniakan Oleh Allah SWT

ŰŁًÙ„ŰłَّÙ„Ű§َمُ Űčَلَيْكُمْ

 ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Firman Allah SWT maksudnya : “ Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertakwa. “ (Surah al-Baqarah ayat 183)


Dari Abu Hurairah katanya Nabi SAW bersabda maksudnya : " Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadan itu dibuka segala pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan."
 (Hadis Riwayat Ahmad, an-Nasa'i dan Baihaqi)
 
Marilah sama-sama kita menanti kedatangan Ramadan dengan hati yang suci dan mengharapkan keredaan Allah SWT. Terdapat banyak hikmah dan kebaikan ibadah puasa yang kita kerjakan di bulan Ramadan yang difardukan oleh Allah SWT,  semoga dengan memahami hikmah dan kebaikan ibadah puasa ini akan menambahkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT.

Sayyid Muhammad bin Alwi Al Maliki mengatakan orang yang berpuasa mempunyai 10 keutamaan yang diberikan Allah SWT, di antaranya ialah:

Pertama, Allah memberikan keistimewaan kepada umat yang berpuasa dengan menyediakan satu pintu khusus di syurga yang dinamai Al Rayyan. Pintu syurga Al Rayyan ini hanya disediakan bagi umat yang berpuasa ( puasa zahir dan batin).

Nabi SAW bersabda dalam satu hadisnya yang bermaksud : " Pintu Rayyan hanya diperuntukkan bagi orang-orang berpuasa, bukan untuk lainnya. Bila pintu tersebut sudah dimasuki oleh seluruh rombongan ahli puasa Ramadan, maka tidak ada lagi yang boleh masuk ke dalamnya. (Hadis Riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim).

Kedua, Allah telah mengfungsikan puasa umat Nabi Muhammad SAW  sebagai benteng yang kokoh dari siksa api neraka sekaligus tirai penghalang dari godaan hawa nafsu. Dalam hal ini Nabi SAW  bersabda maksudnya : “Puasa (Ramadan) merupakan perisai dan benteng yang kokoh dari seksa api neraka.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Al Baihaqi).

Nabi SAW. menambahkan pula bahawa puasa yang berfungsi sebagai perisai itu layaknya perisai dalam kancah peperangan selama tidak dinodai oleh kedustaan dan mengumpat. (Hadis Riwayat  Ahmad, An Nasa`i, dan Ibnu Majah).

Ketiga, Allah memberikan keistimewaan kepada orang yang puasa dengan menjadikan bau mulutnya itu lebih harum dari minyak kasturi. Sehingga Nabi SAW bersabda maksudnya "Maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat daripada bau kasturi. (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi)
  
Keempat, Allah memberikan dua kebahagiaan bagi orang yang puasa iaitu bahagia saat berbuka dan pada saat bertemu dengan Allah kelak. Orang yang berpuasa dalam santapan bukanya melahirkan rasa syukurnya dimana bersyukur termasuk salah satu ibadah dan zikir. Syukur yang terungkap dalam kebahagiaan kerana telah diberi kemampuan oleh Allah untuk menyempurnakan puasa di hari tersebut sekaligus berbahagia atas janji pahala yang besar dari-Nya.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi)

Kelima, puasa telah dijadikan oleh Allah sebagai medan untuk menempa kesihatan dan kesembuhan dari berbagai  penyakit. “Berpuasalah kalian, nescaya kalian akan sihat.”
(Hadis Riwayat Ibnu Sunni dan Abu Nu`aim).

Sayyid Muhammad  menegaskan bahawa rahasia kesihatan di balik ibadah puasa adalah bahawa puasa menempah tubuh kita untuk melumatkan racun-racun yang mengendap dalam tubuh dan mengosongkan bahan-bahan kotor lainnya dari dalam tubuh.
Menurut pandangan beliau puasa ialah cara mendapatkan kesihatan bagi seorang hamba guna meningkatkan kadar ketakwaan yang merupakan tujuan utama puasa itu sendiri. Firman Allah SWT maksudnya : “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah  Al Baqarah ayat 183).

Keenam, keutamaan berikutnya yang Allah berikan kepada orang yang puasa adalah dengan menjauhkan wajahnya dari seksa api neraka. Matanya tidak akan sampai melihat seksaan api neraka dalam bentuk apapun juga. Nabi SAW. bersabda maksudnya :  “Barangsiapa berpuasa satu hari demi di jalan Allah, dijauhkan wajahnya dari api neraka sebanyak (jarak) tujuh puluh musim.” (Hadis Riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim, dan Nasa`i).

Ketujuh, dalam al-Quran Allah berfirman maksudnya : “Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji, yang melawat, yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat makruf dan mencegah berbuat munkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah. dan gembirakanlah orang-orang mukmin itu.”
(Surah At Taubah ayat 112).

Sebagian ulama ahli tafsir menerangkan bahawa orang –orang yang melawat (as-saihuun) pada ayat tersebut adalah orang yang berpuasa sebab mereka melakukan lawatan (kunjungan) kepada  Allah. Makna lawatan, tegas beliau, di sini adalah bahawa puasa merupakan penyebab mereka (orang yang berpuasa) boleh sampai kepada Allah. Lawatan kepada Allah ditandai dengan meninggalkan seluruh kebiasaan yang selama ini dilaksanakan  (contoh makan, minum, mendatangi isteri di siang hari) serta menahan diri dari rasa lapar dan dahaga.

Sayyid Muhammad cuba mentafsirkan ayat 10 dalam Surah Az Zumar : “Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.”

Orang-orang yang bersabarlah maksudnya adalah orang yang berpuasa sebab puasa adalah nama lain dari sabar. Di saat berpuasalah, orang-orang yang bersabar (dalam beribadah puasa) memperoleh ganjaran dan pahala yang tidak terhitung banyaknya dari Zat Yang Maha Pemberi, Allah SWT.

Kelapan, di saat puasa inilah Allah memberi keistemewaan dengan menjadikan segala aktiviti orang yang berpuasa sebagai ibadah dan ketaatan kepada-Nya. Kerana  orang yang berpuasa dan ia meninggalkan ucapan yang tidak berguna (diam) adalah ibadah serta tidurnya dengan tujuan agar kuat dalam melaksanakan ketaatan di jalan-Nya juga ibadah.

Dalam satu hadis  riwayat Ibnu Mundih dinyatakan, Nabi SAW bersabda maksudny : “Diamnya orang yang berpuasa adalah tasbih, tidurnya merupakan ibadah, dan doanya akan dikabulkan, serta perbuatannya akan dilipatgandakan (pahalanya).”

Kesembilan, di antara cara yang Allah kenakan dalam memuliakan orang yang berpuasa, bahawa Allah menjadikan orang yang memberi makan berbuka puasa pahalanya sama seperti dengan orang yang berpuasa itu sendiri walaupun dengan sepotong roti atau seteguk air. Dalam satu riwayat Nabi SAW. bersabda maksudnya : “Barangsiapa yang memberi makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, maka baginya pahala yang seperti orang yang berpuasa tersebut tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa tersebut sedikit pun.” (Hadis Tirmidzi, Ahmad & An-Nasa’i)
 
Malaikat meminta ampun kepada Allah SWT untuk orang yang menjamu makanan dan minuman untuk orang yang berpuasa. Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : " Seseorang yang memberi makan orang yang puasa dari hasil yang halal, akan dimintakan ampunan oleh malaikat pada malam-malam Ramadan meski hanya seteguk air. (Hadis Riwayat  Abu Ya`la).

Kesepuluh, orang yang berbuka puasa dengan berjemaah demi melihat keagungan puasa, maka para malaikat akan berselawat (memintakan ampunan) baginya.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita menghayati 10 keistimewaan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada mereka yang berpuasa dengan ikhlas semata-mata mencari keredaan Allah SWT. Di harapkan sampai di akhir bulan Ramadan, semua dosa-dosa kita di ampunkan oleh Allah SWT., dapat pembebasan daripada api neraka dan memperolehi takwa kepada Allah SWT.

Wasiat Imam Syafie (Bahagian Kedua)

ŰŁًÙ„ŰłَّÙ„Ű§َمُ Űčَلَيْكُمْ
ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْمِ


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sebelum Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat Islam seluruhnya. Berikut ialah kandungan wasiat tersebut:

"Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara."

(Bahagian Kedua - Hak kepada Sirat, Hak kepada Malik (penjaga neraka), Hak Ridhwan (penjaga syurga), Hak kepada Nabi SAW dan Hak kepada Allah SWT)

KEENAM : HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI
NERAKA PADA HARI AKHIRAT)

1. Membuang tabiat suka mengumpat, 2. bersikap warak, 3. suka membantu orang beriman dan 4. suka berjemaah.

1. Membuang tabiat suka mengumpat.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah seseorang kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati, tentu sekali kamu benci memakannya. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
(Surah al-Hujarat ayat 12)

Jabir dan Abu Sa'id menceritakan bahawa Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud, " Awaslah dari mengumpat, kerana mengumpat itu lebih keras dari zina. Sesungguhnya seseorang itu berzina ia bertaubat, maka Allah SWT menerima taubatnya. Dan sesungguhnya seseorang yang mengumpat, tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampuni oleh orang yang diumpat." (Hadis Riwayat Ibn Abid Dunya)

2. Bersikap warak.

Jiwa seorang mukmin sentiasa berhat-hati di dalam kehidupan di dunia ini, sentiasa peka dan sensitif kalau-kalau ada perbuatan, percakapan dan niat dihatinya yang mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah. Dia bukankan saja meninggalkan yang haram tetapi dia juga meninggalkan perkara-perkara yang makruh , syubhah dan boleh mendatangkan fitnah.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud, " Seorang hamba tidak dapat mencapai tingkat muttaqin hingga ia meninggalkan apa-apa yang tidak berdosa kerana khuatir terjerumus pada apa-apa yang berdosa." (Hadis Riwayat Tarmidzi)

Berdasarkah hadis di atas adalah merupakan ungkapan dan gambaran sifat warak. Sifat warak adalah sifat berhati-hati dalam menghindari larangan Allah SWT.

3. Suka membantu orang beriman.

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW  bersada yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya." (Hadis Riwayat Muslim).

4. Suka berjemaah.

Nabi SAW  bersabda  maksudnya : "Hendaklah kamu berada dalam jemaah sesungguhnya tangan Allah itu berada dalam jemaah" (Hadis Riwayat Tibrani 447 /12).

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : “Barangsiapa yang menginginkan tempat tinggal di syurga maka hendaklah berada dalam jemaah" (Hadis Sahih riwayat Tirmidzi no 2165, Ibn Majah dan Humaidi).

Islam yang ingin kita hayati ini tidak boleh dipisahkan dengan jemaah. Kerana jemaah adalah sunah Rasulullah SAW. Daripada jemaah yang dibentuk oelh Nabi SAW  inilah yang telah melahirkan Daulah Islamiah (negara Islam Madinah).

Dan maksud sabda Rasulullah SAW. yang diriwayatkan dari Huzaifah al-Yaman : " Wajiblah kamu bersama jemaah muslimin dan pimpinan mereka."

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab." (Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)

Oleh itu apabila kita berusaha untuk menegakkan hukum-hukum Allah SWT di dalam Daulah Islamiah maka perlu dimulakan dengan jemaah. Tidak mungkin Islam yang lengkap dan sempurna hanya dilakukan oleh individu-individu sahaja tanpa wujud satu barisan jemaah yang lengkap dan sempurna.

KETUJUH : HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA)

1. Menangis lantaran takutkan Allah SWT, 2. berbuat baik kepada ibu bapa, 3. bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan 4. memperelok akhlak.

1. Menangis lantaran takutkan Allah SWT.

Nabi S.A.W. bersabda yang maksudnya : "Tiap mata pasti akan menangis pada hari kiamat, kecuali mata yang dipejamkan dari segala yang haram dan mata yang berjaga malam dalam jihad fisabilillah dan mata yang mentitiskan air mata walaupun sebesar kepala lalat kerana takutkan Allah." (Hadis Riwayat Abu Naim)

Sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Tidak ada sesuatu yang paling disukai Allah SWT selain daripada dua titisan dan dua kesan. Dua titisan itu ialah titisan air mata yang keluar kerana takutkan Allah SWT dan titisan darah yang tumpah di dalam perjuangan di jalan Allah. Manakala dua kesan ialah kesan berjuang di jalan Allah SWT dan kesan kerana menunaikan kefarduan yang telah difardukan oleh Allah.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

2. Berbuat baik kepada ibu bapa.

Firman Allah SWT. bermaksud: "Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya, atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata cis! terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut. (Surah al-Israk ayat 23).

Nabi SAW pernah bersabda maksudnya : “Sungguh hina, sungguh hina, sungguh hina!” Baginda ditanya: “Siapakah wahai Rasulullah (yang hina itu)?” Baginda menjawab: “Orang yang mendapati orang tuanya dalam keadaan tua, sama ada salah seorang atau kedua-duanya, kemudian dia tidak memasuki syurga.” (Hadis riwayat Muslim)

Diriwaytkan daripada Bukhri dan Muslim, Ibnu Umar berkata: "Saya telah bertanya kepada Rasulullah SAW : "Apakah perbuatan disukai oleh Allah?"

Lalu baginda bersabda maksudnya : : "Sembahyang pada waktunya."

"Kemudian apa?"tanya saya lagi.

Baginda SAW.  menjawab : "Berbakti kepada kedua ibu bapa."

Saya bertanya : "Apa lagi ?"

Jawab baginda : "Berjihad pada jalan Allah."

3. Bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi.

Sabda Nabi SAW maksudnya : “Segeralah kamu bersedekah, kerana bala bencana itu tidak dapat melangkahi sedekah”
( Hadis Riwayat al-Baihaqi )

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :
“Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (su’ul khatimah).”
(Hadis Riwayat al-Turmuzi)

Nabi SAW bersabda maksudnya : ‘Tidak akan dikurangi harta dengan sebab bersedekah, Allah tidak menambah keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambahkan dengan kemuliaan.Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredaan Allah melainkan akan diangkat darjatnya’. (Hadis Riwayat Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a katanya : Seorang lelaki menghadap Rasulullah SAW lalu bertanya : "Wahai Rasulullah! Sedekah mana satu yang lebih besar ?" Nabi SAW menjawab : "Engkau bersedekah ketika sihat dan sangat sayangkan hartamu; ketika engkau takutkan kepapaan dan berharap hendakkan kaya-raya. Janganlah engkau bertangguh untuk bersedekah, sehingga apabila nyawa sampai ke kerongkong, barulah engkau berkata : Aku mahu bersedekah untuk si anu.. sekian untuk si anu dan sekian lagi untuk si anu"
( Hadis Riwayat Bukhari )

4. Memperelok akhlak.

Akhlak ataupun budipekerti memegang peranan penting dalam kehidupan manusia. Akhlak yang baik akan  membezakan antara manusia dengan hewan. Manusia yang berakhlak mulia, dapat menjaga kemuliaan dan kesucian jiwanya, dapat mengalahkan tekanan hawa nafsu syahwat  syaitan, berpegang teguh kepada sendi-sendi agama. Menghindarkan diri dari sifat-sifat kecurangan, kerakusan dan kezaliman. Manusia yang berakhlak mulia, suka tolong menolong sesama insan dan makhluk lainnya.

Nabi SAW bersabda maksudnya :  “Tidak ada sesuatu yang lebih berat timbangannya (kelak diakhirat) dari pada akhlak yang mulia.”

Nabi SAW.bersabda yang bermaksud: "Orang mukmin yang paling sempurna imannya, ialah yang paling baik akhlaknya."(Hadis Riwayat Ahmad)

Dari An-Nawwas bin Samaan r.a dari Nabi SAW, baginda bersabda maksudnya : “Kebaikan adalah akhlak yang baik sedangkan dosa adalah apa yang terlintas di jiwamu tetapi kamu benci atau takut diketahui oleh orang lain”

(Hadis Riwayat Imam Muslim ; hadis no. 2553, Imam Ahmad ; 4/182, At-Turmuzi ; hadis no. 2389, Ad-Darimi ; 2/322, Imam Bukhari dalam kitabnya “Al-Adab Al-Mufrad” ; hal. 295, 302 . Hadis ini ditashhih oleh Ibnu Hibban; Sahih Ibn Hibban, hal. 397.)

KELAPAN : HAK KEPADA RIDHWAN (MALAIKAT PENJAGA SYURGA)

1. Berasa reda dengan qadak Allah, 2. bersabar menerima bala, 3. bersyukur ke atas nikmat Allah dan 4. bertaubat dari melakukan maksiat.

1. Berasa reda dengan qadak Allah.

Kesemua peristiwa berlaku di dunia ini, termasuk ke atas diri kita adalah sesuatu ketentuaan Allah SWT  yang diciptakan sebagai ujian dan dugaan, untuk Allah SWT menguji hamba-hamba-Nya samaada ia ingin bersabar atau tidak. Samaada ia hendak reda atau pun tidak. Samaada ia berbaik sangka kepada Allah SWT atau pun tidak.

Allah SWT berfirman maksudnya  : "Apakah kamu belum tahu bahwa Allah mengetahui apa yang ada di langit dan bumi, sesungguhnya hal itu telah ada dalam Kitab, sesungguhnya itu bagi Allah sangat mudah"
(Surah Al-Hajj ayat 70)

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud : "Allah SWT  berfirman maksudnya :  'Aku sesuai dengan prasangka hamba-Ku kepada diri-Ku'."
(Hadis RiwayatAl-Bukhari)

Berdasrkan hadis di atas hanya doalah satu-satu cara yang boleh di buat untuk merubah apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Ulama mencadangkan bahawa bila kita berdoa perlu berulang-ulang kali jangan jemu-jemu dan berserah bulat kepada Allah SWT.

Maksud hadis qudsi "Aku sesuai dengan prasangka hamba-Ku kepada diri-Ku"

Bahawa bila kita yakin Allah  akan beri kebahagiaan untuk membina  rumah tangga muslim dan dikurniakan anak-anak yang soleh dan solehah dan mendapat husnul khatimah, maka keyakinan itu akan ditunaikan oleh Allah SWT.

2. Bersabar menerima bala.

Allah SWT. menguji hamba-Nya dengan bala atau menjadikan penyakit yang di hadapi adalah  sebagai ubat pembersih untuk mengeluarkan semua kotoran dan penyakit hati yang ada pada hamba-Nya, yang kalau seandainya kotoran dan penyakit tersebut tidak dibersihkan maka dia akan celaka (kerana dosa-dosanya), atau paling kurang berkurang pahala dan derajatnya di sisi Allah SWT. Oleh kerena itu hendaklah kita bersabar supaya meraih pahala yang sempurna dan kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala buat mereka tanpa batas."
(Surah az-Zumar ayat 10) .

Daripada Abu Hurairah r.a. dan Abu Sa’id r.a,  Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud :
“Tidaklah seorang Muslim ditimpa keletihan, penyakit, kesusahan, kesedihan, gangguan, kegundah gulanaan hingga duri yang menusuknya melainkan Allah akan menghapuskan sebagian dari kesalahan-kesalahannya (dosa-doasnya)."
(Hadis Riwayat Bukhari)

3. Bersyukur ke atas nikmat Allah

Firman Allah SWT dalam Surah Ibrahim ayat 7, yang bermaksud : "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat kamu."

Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud :
"Siapa yang tidak bersyukur dengan pemberian yang sedikit, dia juga tidak akan bersyukur dengan pemberian yang banyak. Siapa yang tidak mensyukuri manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah. Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur" (Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)

4. Bertaubat dari melakukan maksiat.

Firman Allah SWT. yang bermaksud :
“Kecuali orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh, maka mereka itu akan masuk syurga dan tidak dianiaya (dirugikan) sedikitpun.” (Surah Maryam ayat 60)

Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud :“Barangsiapa bertaubat kepada Allah sebelum matahari terbit dari barat, nescaya Allah akan menerima taubat orang tersebut.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan memohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak 100 kali" (Hadis Riwayat Muslim).

KESEMBILAN : HAK KEPADA NABI SAW

1. Berselawat ke atas baginda, 2. berpegang dengan syariat, 3. bergantung kepada as-Sunnah (Hadis), 4. menyayangi para sahabat, dan 5. bersaing dalam mencari keredaan Allah.

1. Berselawat ke atas baginda.

Jalan untuk melahirkan kecintaan kita kepada Nabi SAW  adalah dengan kita banyakkan berselawat. Allah SWT  berfirman maksudnya : “Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya”.
(Surah al-Ahzab ayat 56)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : " Sesuatu doa terdinding (terhalang) sehinggalah seseorang yang berdoa berselawat kepada Nabi SAW "
(Hadis Riwayat At-Tabaraani)

Sabda Nabi SAW  maksudnya : " Dan sesiapa berselawat kepadaku sekali,  nescaya Allah akan selawat ke atasnya 10 selawat, menghapuskan daripadanya 10 kejahatan (dosa) dan mengangkatkannya 10 darjat." (Hadis Riwayat Bukhari, Ahmad, Nasa'i dan Al-Hakim)

Sabda Nabi SAW. maksudnya : "Sesungguhnya seutama-utama manusia (orang terdekat) dengan aku pada hari kiamat adalah mereka yang lebih banyak berselawat kepadaku" (Hadis Riwayat An-Nasa'i dan Ibnu Hibban)

2. Berpegang dengan syariat.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai; dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu dahulunya bermusuh-musuhan, lalu Dia (Allah) menjinakkan hati kamu sehingga kamu menjadi bersaudara dengan nikmat-Nya (nikmat Allah), padahal (dahulunya) kamu berada di pinggir lubang neraka, lalu Dia (Allah) selamatkan kamu. Demikianlah Allah menyatakan ayat-ayat-Nya (tanda-tanda Allah) kepada kamu agar kamu mendapat petunjuk." (Surah Ali-Imran ayat 103)

3. Bergantung kepada as-Sunnah (Hadis)

Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud : “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya: iaitu Kitab Allah dan sunnah Rasulullah SAW.” (Hadis Riwayat Imam Malik)

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya barangsiapa diantara kalian masih hidup nescaya bakal menyaksikan banyak perselisihan. kerana itu berpegang teguhlah kepada sunahku dan sunnah Khulafaur Rasyidin yang lurus (mendapat petunjuk) dan gigitlah dengan gigi geraham kalian. Dan jauhilah olehmu hal-hal baru kerana sesungguhnya semua bidah itu sesat." (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi, Hadis Hasan Sahih)

4. Menyayangi para sahabat.

Apa yang jelas, sehebat mana pun manusia yang datang selepas para sahabat Rasulullah SAW, tiada seorang pun yang dapat menandingi ketinggian dan ganjaran pahala yang dikurniakan Allah SWT kepada mereka.

Firman Allah SWT maksudnya. :
"Sesungguhnya Allah reda kepada orang mukmin ketika mereka berjanji setia kepadamu di bawah satu pohon, Allah mengetahui apa yang ada di dalam hati mereka, Allah menurunkan ketenangan atas mereka dan memberi balasan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat (waktunya)". (Surah al-Fath ayat 18)

Orang-orang mukmin yang melakukan perjanjian setia kepada Rasulullah SAW. adalah para sahabat, dengan itu ayat di atas adalah jelas Allah memuji para sahabat yang melakukan perjanjian setia dengan Rasulullah. Allah telah menjelaskan bahawa Allah telah reda kepada mereka.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya : "Jangan kamu memaki sahabatku, jangan kamu memaki sahabatku, demi Allah yang diriku di dalam kekuasaannya, jika salah seorang dari kamu membelanjakan emas (pada jalan Allah) seperti Gunung Uhud banyaknya, tidak sama satu 'mud'(cupak) yang dibelanjakan oleh mereka dan tidak sama setengah 'mud' pun yang dibelanjakan oleh mereka."  (Hadis Riwayat Muslim, Sahih Muslim tahqiq Mohamad Fuad Abdul Baqi, Mesir, ‘Isa al-Babi, 1955, hlm 1967.)

Oleh itu kita perlulah menyayangi para sahabat Rasulullah SAW yang banyak berjasa menegakkan agama Allah SWT di muka bumi.

5. Bersaing dalam mencari keredaan Allah.

Orang beriman digalakkan berlumba-lumba mengerjakan amal soleh, amal ibadah dan kerja-kerja kebajikan untuk mencari keredaan Allah SWT. Jika dia berharta maka hartanya disalurkan dijalan Allah SWT, bersedekah dan membantu orang-orang miskin. Begitu juga dengan ilmu pengetahuan perlu diajarkan dan dimanfaatkan untuk orang lain.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tidak boleh iri hati melainkan dalam dua perkara iaitu: Seseorang yang telah dikurniakan Allah harta lalu dibelanjakan hartanya itu kejalan yang benar (yang diredai oleh Allah) dan orang yang dikurniakan oleh Allah ilmu pengetahuan, lalu ia mengeluarkan sesuatu hukum berpandukan ilmunya (al-Quran dan Hadis) serta diajarkannya pula kepada orang lain”.(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Allah SWT berfirman maksudnya :
“Dan berlumba-lumbalah kamu kepada keampunan dari Tuhan kalian dan berlumba-lumbalah mencari syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa”
(Surah Ali Imran : ayat 133)

KESEPULUH : HAK KEPADA ALLAH SWT

1. Mengajak manusia ke arah kebaikan dan mencegah manusia dari kemungkaran, 2. menyukai ketaatan dan 3. membenci kemaksiatan.

1. Mengajak manusia ke arah kebaikan dan mencegah manusia dari kemugkaran.

Amar makruf nahi mungkar merupakan mahkota bagi sifat-sifat orang-orang beriman dalam masyarakat muslim, iaitu orang-orang yang menjual diri mereka kepada Allah, mereka memberikan nyawa dan harta mereka dengan reda di jalan Allah SWT.

Firman Allah SWT maksudnya : "Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji, yang melawat, yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat makruf dan mencegah berbuat mungkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah. dan gembirakanlah orang-orang mukmin itu. (Surah at-Taubah ayat 112).

Al-Quran al karim telah menjadikan rahasia kebaikan yang menjadikan umat Islam istimewa adalah kerana ia mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, dan beriman kepada Allah.

Firman Allah SWT maksudnya : "Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah." (Surah Ali Imran ayat 110)

2. Menyukai ketaatan.

Taat kepada Allah SWT dan Rasul-Nya adalah sifat mulia yang dituntut bagi diamalkan oleh setiap orang Islam. Taat yang dimaksudkan itu ialah kesetiaan menjunjung serta mengerjakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Setiap orang Islam dikehendaki menumpukan sepenuh taat setia tanpa sedikit pun berbelah bagi kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Taat setia yang penuh ialah mengerjakan semua perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah ayat 92:  "Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasul Allah, dan awaslah (janganlah sampai menyalahi perintah Allah dan Rasul-Nya) . Oleh itu jika kamu berpaling (enggan menurut apa yang diperintahkan itu), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas nyata".

Firman Allah diatas jelas menunjukkan bahawa perintah agar mentaati Allah SWT  itu adalah perintah yang tegas, tiada sebarang tolak ansur lagi, Jika ada manusia yang enggan mentaati perintah itu maka terpulanglah kepada dirinya sendiri. Rasulullah SAW telah menyempurna –kan tanggungjawabnya menyampaikan perintah tersebut dengan jelas dan nyata.

3. Membenci kemaksiatan.

Sabda Rasulullah SAW : Jauhilah perkara-perkara keji yang telah dilarang oleh Allah. sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia menutupinya dengan tutupan Allah dan bertaubat kepada Allah. Ini kerana jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan hukuman yang telah diperintahkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla. (Dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, hadis no: 7615 dan beliau berkata: “Hadis ini sahih atas syarat kedua-dua syaikh (al-Bukhari dan Muslim) dan mereka tidak mengeluarkannya.” Ini dipersetujui oleh al-Zahabi.)

Maksiat itu bukanlah suatu yang perlu dipromosikan dan perbuatan maksiat itu perlulah dibenci. Ini kerana jika ianya sering dicanang merata maka ianya menjadi suatu kebiasaan. Maksiat itu ada bezanya. Ada maksiat secara tertutup dan ada juga maksiat secara terbuka. Maksiat secara tertutup perlulah ditutup serapatnya. Namun maksiat secara terbuka perlulah digerakkan tindakan dalam mencegahnya. Kita bimbang apabila maksiat itu dianggap biasa, maka ianya sebenarnya sedang memanggil azab Allah. Maksiat secara terbuka adalah satu dosa purba dahulu kala yang sudah dimodenkan.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita bermuhasabah diri kita sendiri dan melihat adakah amalan dan perbuatan kita setiap hari semakin mendekatkan diri kita kepada Allah SWT atau semakin jauh daripada Allah SWT. Semua hak-hak yang dijelaskan oleh Imam Syafie perlulah kita penuhi dan amalkan supaya ianya akan memudahkan perjalanan hidup kita di dunia dan hari akhirat.

Sunday, July 24, 2011

Wasiat Imam Syafie (Bahagian Pertama)

ŰŁًÙ„ŰłَّÙ„Ű§َمُ Űčَلَيْكُمْ
ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sebelum Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat Islam seluruhnya. Berikut ialah kandungan wasiat tersebut:

"Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara."

(Bahagian Pertama - 1. Hak kepada diri, 2. Hak kepada malaikat maut, 3.Hak kepada kubur, 4.Hak kepada Munkar dan Nakir dan 5. Hak kepada mizan)

PERTAMA: HAK KEPADA DIRI.

1. Mengurangkan tidur, 2. mengurangkan makan, 3. mengurangkan percakapan dan 4. berpada-pada dengan rezeki yang ada.

1. Mengurangkan tidur.

Firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa ada di dalam syurga dan dekat dengan air yang mengalir. Sambil mengambil apa yang diberi oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum ini di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik. Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam. Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah.” ( Surah az-Zariat ayat 15-18 )

2. Mengurangkan makan.

Sabda Nabi SAW maksudnya : " Tidak ada satu bekas pun yang diisi oleh anak Adam, lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah baginya beberapa suapan, untuk memperkukuhkan tulang belakangnya agar dapat tegak. Apabila tidak dapat dihindari, maka satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga lagi untuk minumannya dan satu pertiga untuk nafasnya. (Hadis Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

3. Mengurangkan percakapan.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah dia mengucapkan perkataan yang baik dan kalau tidak, hendaklah diam." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

4. Berpada-pada dengan rezeki yang ada.

Jauhkan diri daripada sifat tamak kepada harta dunia. Bersyukur dan berpada-padalah diatas rezeki yang Allah SWT kurniaka kepada kita.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sekiranya anak cucu Adam memiliki dua lembah emas nescaya dia tetap masih menginginkan lembah emas yang ketiga, dan sekali-kali tidak akan penuh mulut anak cucu Adam kecuali tanah,dan Allah menerima taubat bagi orang yang bertaubat”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

KEDUA: HAK KEPADA MALAIKAT MAUT

1. Mengqadakkan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, 2. mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, 3. membuat persediaan untuk mati dan 4. merasa cinta kepada Allah.

1. Mengqadakkan kewajipan-kewajipan yang ditinggalkan.

Aisyah radiallahuanha berkata yang maksudnya:    "Kami diperintahkan mengqada puasa dan tidak diperintahkan mengqada sembahyang.’’
(Hadis riwayat Muslim). Ini untuk wanita yang haid dan nifas.

Para ulama sepakat bahawa mengqadak solat itu wajib bagi orang yang lupa atau tertidur, sebagaimana dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW maksudnya : "Sebenarnya bukanlah termasuk lalai kerana tertidur. Kelalaian itu ialah di waktu bangun. Maka apabila seseorang lupa solat atau ia tertidur, hendaklah ia melakukannya jika telah ingat atau sedar". Jumhur ulama bersetuju bahawa sesiapa yang telah meninggalkan solat setelah baligh hendaklah mengqadakkannya.

2. Mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi

Sabda Nabi SAW maksudnya : “Sesiapa yang ada padanya kezaliman terhadap saudaranya (muslim yang lain); seperti terhadap maruah dan selainnya, mintalah halal pada hari ini sebelum tiba waktu yang tidak ada dinar dan dirham (hari kiamat). Sekiranya baginya kebaikan (amalan soleh) maka akan diambil darinya dengan kadar kezalimannya. Jika tiada baginya kebaikan, maka akan diambil dosa orang yang dizalimi lalu ditanggung ke atasnya”
(Hadis Riwayat Bukhari).

3.0. Membuat persediaan untuk mati.

3.1. Bertaubat :

Rasulullah SAW pernah menasihati umatnya agar sentiasa bertaubat kepada Allah : "Wahai sekelian manusia, bertaubatlah kamu kepada Tuhan sebelum kamu mati. Gunakanlah kesempatan yang ada untuk beramal dan berbakti sebelum masa kamu dipenuhi oleh urusan dan kerja. Wujudkanlah satu pertalian antara kamu dengan-Nya, memperbanyakan mengingati-Nya (zikrullah)."

3.2. Menjaga solat.

Daripada Abu Hurairah, katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya amalan yang mula-mula sekali dihisabkan seseorang pada hari kiamat mengenainya ialah solatnya, jika solatnya diterima, maka sesungguhnya beruntung dan berjayalah ia. Jika solatnya tidak diterima, maka kecewa dan rugilah ia. Jika terkurang daripadanya solat fardu sesuatu. Allah berfirman: 'Periksalah, adakah hambaku itu mempunyai solat-solat sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang daripada solat fardu. Demikianlah keadaan amalan lain."
(Hadis Riwayat Tirmizi)

3.3. Membayar hutang.

Dari Abi Hurairah radiallahuanhu katanya: Telah bersabda Rasulullah SAW maksudnya : "Roh seseorang Mukmin itu tergantung-gantung (dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan.''
(Hadis Riwayat Al-Imam Al-Tarmizi).

3.4. Perbanyakkan sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan mendidik anak-anak supaya menjadi soleh dan solehah.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Apabila seorang mati, putuslah amalannya kecuali tiga perkara, (iaitu): Sedekah jariah, ilmu yang memberi menfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.”
(Hadis Riwayat Muslim dan lain-lain termasuk Imam Ahmad.)

4.0. Merasa cinta kepada Allah.

Abu Hurairah r.a, beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda maksudnya :
“ Sesungguhnya Allah yang Maha Mulia lagi Maha Agung berfirman: “ Barang siapa yang memusuhi wali-Ku ( orang yang dekat kepada-Ku ) maka sesungguhnya Aku telah menyatakan perang baginya. Tidaklah seorang hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu, lebih Aku senangi dari pada melaksanakan apa yang Aku fardukan atasnya. Dan tidak pula hamba-Ku senantiasa mendekatkan diri dengan melakukan amalan amalan sunah , sehingga Aku mencitainya. Dan bila Aku mencintainya menjadilah Aku telinganya yang ia gunakan untuk mendengar , matanya yang ia gunakan untuk melihat, tangannya yang dengannya ia menghajar, dan kakinya yang dengannya ia berjalan. Apabila ia bermohon kepada-Ku maka pasti Ku kabulkan permohonannya, apabila ia meminta perlindungan-Ku maka pasti ia Ku-lindungi. Tidak pernah Aku mundur maju menyangkut sesuatu yang Ku kerjakan sebagaimana mundur maju-Ku terhadap jiwa hamba-Ku yang mukmin. Dia tidak senang mati, padahal Aku tidak senang menyakiti ( hati)nya. “ ( Hadis Riwayat Bukhari )

KETIGA : HAK KEPADA KUBUR

1. Membuang tabiat suka menabur fitnah, 2. membuang tabiat kencing merata-rata, 3. memperbanyakkan solat tahajjud dan 4. membantu orang yang dizalimi.

1. Membuang tabiat suka menabur fitnah

Diriwayatkan daripada Huzaifah r.a katanya: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Tidak masuk syurga orang yang suka menabur fitnah." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Allah meletakkan dosa membuat fitnah lebih buruk kesannya daripada membunuh. Firman Allah SWT bermaksud: "..fitnah itu besar (dahsyat) dari melakukan pembunuhan..." (Surah al-Baqarah ayat 217)

2. Membuang tabiat kencing merata-rata.

Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Ibnu Abbas bahawa ia berkata, Nabi melewati dua buah kubur. Baginda bersabda maksudnya : "Kedua penghuninya sedang diseksa bukan kerana dosa besar. Yang satu kerana ia suka mengadu domba, dan yang lainnya kerana tidak mau membersihkan air seni sehabis buang air kecil."

3. Memperbanyakkan solat tahajjud.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “solat tahajjud” padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”.
(Surah al-Israa’ ayat 79)

4. Membantu orang yang dizalimi.

Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada al-Barra’ bin Azib bahawa Rasulullah SAW memerintahkan mereka dengan beberapa perkara, antaranya ialah membantu orang yang dizalimi. Imam al-Bukhari juga meriwayatkan dari Abi Musa dari Nabi bersabda; “Seorang mukmin dengan mukmin yang lain seumpama sebuah bangunan yang kukuh saling menyokong antara satu sama lain, sambil Rasulullah SAW menggenggam kuat-kuat kedua-dua belah tangan baginda."
 
Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Zalim ada tiga jenis : 1. Zalim yang Allah tidak akan ampunkan ; 2. Zalim yang Allah akan ampunkan ; 3. Zalim yang Allah tidak akan tinggalkan.

Adapun zalim yang Allah tidak akan ampunkan adalah syirik . Allah berfirman : 'Sesungguhnya syirik adalah zalim yang amat besar' (Surah Luqman ayat 13) ;

Adapun zalim yang Allah akan ampunkan ialah kezaliman manusia terhadap dirinya sendiri dengan melakukan dosa-dosa antara dia dengan Tuhannya ;

Adapun zalim yang Allah tidak akan meninggalkannya adalah zalim insan kepada sesama insan sehingga mereka diadili kelak (di akhirat) "

( Hadis Riwayat al-Taualisiy dan Abu Na’im dari Anas Bin Malik – Menurut Syeikh Nasiruddin Albaniy – Hadis Hasan – Lihat Sahih Al-Jaami’ – No 3961 )

KEEMPAT: HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR

1. Tidak berdusta dan berkata benar, 2. meninggalkan maksiat dan 3. nasihat menasihati.

1. Tidak berdusta dan berkata benar.

Nabi SAW bersabda kepada Saidina Ali k.wj maksudnya : "Wahai Ali ! Jauhilah dusta kerana dusta itu menghitamkan wajah. Bila seseorang itu sentiasa berdusta, dia dinamakan pendusta di sisi Tuhan. Bila ia benar, dia di sebut di sisi Allah sebagai orang yang benar. Dan sesungguhnya berdusta itu akan menjauhkan iman."
 
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tanda kemunafikan ada tiga, iaitu jika berkata berdusta, jika berjanji mengingkari dan jika dipercayai berkhianat.” (Hadis riwayat Muttafaqalaih)

2. Meninggalkan maksiat.

Nabi SAW bersabda kepada Saidina Ali k.wj. maksudnya : "Wahai Ali ! Barangsiapa yang tidak mahu menjaga dirinya dari maksiat, maka perut bumi itu lebih patut baginya daripada muka bumi kerana sesungguhnya tidak ada iman di dalam hatinya."

3. Nasihat menasihati.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Agama itu nasihat. Agama itu nasihat. Agama itu nasihat. Maka sahabat pun bertanya: Kepada siapa? Jawab baginda: "Kepada Allah, kepada Kitab-Nya, kepada Rasul-Nya, kepada pemimpin kaum muslimin dan juga orang awam muslimin.” (Hadis riwayat Muslim)

KELIMA : HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT)

1. Menahan kemarahan, 2. banyak berzikir, 3. mengikhlaskan amalan dan 4. sanggup menanggung kesusahan.

1. Menahan kemarahan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang, Allah menyukai orang yang berbuat kebajikan.”
(Surah Ali-Imran, ayat 134)

2. Banyak berzikir.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan sebutlah nama Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak meninggikan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.”
(Surah Al A’raf ayat 205)
 
3. Mengikhlaskan amalan.

Amalan hendaklah dikerjakan semata-mata kerana Allah SWT bukan bercampur syirik atau riak. Abu Hurairah r.a. berkata, "Aku telah mendengar Rasulullah SAW.  bersabda, 'Allah SWT. berfirman yang bermaksud, 'Aku adalah Dzat Yang paling kaya dari persekutuan-persekutuan yang ada. Barangsiapa beramal dengan suatu amalan bercampur dengan syirik (persekutuan) di dalamnya antara Aku dengan selain Aku, Aku akan meninggalkannya dan apa yang dipersekutukan itu '." (Hadis Riwayat Muslim).

4. Sanggup menanggung kesusahan.

Daripada Abu Hurairah r.a. dan Abu Sa’id r.a,  Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud :
“Tidaklah seorang muslim ditimpa keletihan, penyakit, kesusahan, kesedihan, gangguan, kegundah gulanaan hingga duri yang menusuknya melainkan Allah akan menghapuskan sebagian dari kesalahan-kesalahannya (dosa-doasnya)."
(Hadis Riwayat Bukhari)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita beramal dengan amalan soleh semasa di dunia ini sebelum kita di panggil pulang oleh Allah SWT. Terlalu banyak perbuatan dan amalan dosa yang telah kita kerjakan sedangkan amal soleh, amal ibadah dan amal kebajikan masih terlalu sedikit yang telah kita kerjakan. Oleh kerana panggilan maut itu tidak ada siapa yang tahu melainkan Allah SWT maka perlulah kita sentiasa berwaspada dan beramal dengan amalan yang ikhlas kepada Allah SWT dan dilaksanakan secara berterusan. Ingatlah bahawa orang yang cerdik adalah orang yang sanggup bersusah payah sedikit di dunia ini semata-mata untuk mendapat kebahagiaan di hari akhirat.

Saturday, July 23, 2011

Amalakan Penghulu Istighfar Setiap Hari Untuk Memohon Keampunan Daripada Allah SWT

 ŰŁًÙ„ŰłَّÙ„Ű§َمُ Űčَلَيْكُمْ
ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْمِ
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Istighfar sering diertikan dengan permohonan ampun kepada Allah SWT. atas dosa atau kesalahan yang dilakukan. Lazimnya jika seseorang melakukan kesalahan dan kemudian menyesal akan perbuatannya itu, maka istighfar yang disertai dengan niat taubat yang ikhlas akan dilafazkan dengan harapan agar dosa atau kesalahan yang dilakukan akan diampunkan oleh Allah SWT.

Jika dilihat pada pengertian istighfar, maka tiada perbezaan antara istighfar dan taubat. Dari satu sudut, istighfar dan taubat mempunyai maksud yang sama iaitu kembali kepada Allah SWT. Keduanya mempunyai persamaan dalam permohonan untuk menghapuskan segala noda dan dosa yang telah dilakukan.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan memohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak 100 kali" (Hadis Riwayat Muslim).

Dan bacaan istigfar yang paling sempurna adalah sebagaimana yang terdapat dalam sahih
al- Bukhari dari Syaddad bin Aus r.a, dari Nabi SAW, baginda bersabda maksudnya : “Penghulu istigfar adalah apabila engkau mengucapkan :

 
َۧللَّهُمَّ ŰŁَنْŰȘَ ۱َŰšِّى Ù„Ű§َ Ű„ِلَهَ Ű„ِÙ„Ű§َّ ŰŁَنْŰȘَ ، ŰźَلَقْŰȘَنِى وَŰŁَنَۧ ŰčَŰšْŰŻُكَ ، وَŰŁَنَۧ Űčَلَى ŰčَهْŰŻِكَ وَوَŰčْŰŻِكَ مَۧ ۧ۳ْŰȘَŰ·َŰčْŰȘُ ، ŰŁَŰčُوْ۰ُŰšِكَ مِنْ ŰŽَ۱ِّ مَۧ Ű”َنَŰčْŰȘُ ،

ŰŁَŰšُوْŰĄُ لَكَ ŰšِنِŰčْمَŰȘِكَ Űčَلَيَّ وَŰŁَŰšُوْŰĄُ Űšِ۰َنْŰšِى فَۧŰșْفِ۱ْلِى فَÙ€Ű„ِنَّهُ Ù„Ű§َ يَŰșْفِ۱ُ Ű§Ù„Ű°ُّنُوْŰšَ Ű„ِÙ„Ű§َّ ŰŁَنْŰȘَ.

Maksudnya: "Ya Allah, Engkau Tuhanku, tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkau telah menciptaku dan aku hamba-Mu, dan aku (terikat) dengan janji-Mu semampu yang aku boleh (laksanakan), aku memohon perlindungan kepada-Mu dari kejahatan yang aku lakukan, aku mengakui bahawa semua nikmat yang Engkau berikan kepadaku adalah milikMu, dan aku mengakui terhadap dosa dosaku, oleh itu ampunilah aku, kerana sesungguhnya tiada yang dapat memberi ampunan kecuali hanya Engkau". 
(Hadis Riwayat Bukhari)

(Sekurang-kurangnya di baca 3 kali pada waktu pagi dan petang. Sebaik-baiknya dibaca 100 kali dalam masa sehari)
 
Faedah dari bacaan ini adalah sebagaimana yang Nabi SAW  sabdakan dari lanjutan hadis di atas, “Barangsiapa mengucapkannya pada siang hari dan meyakininya, lalu dia mati pada hari itu sebelum waktu petang, maka dia termasuk penghuni syurga. Dan barangsiapa mengucapkannya pada malam hari dalam keadaan meyakininya, lalu dia mati sebelum waktu pagi, maka dia termasuk penghuni syurga.” (Hadis Riwayat Bukhari)
 
Sahabat yang dimuliakan,
Alangkah ruginya kita, jika amalan yang amat mudah tapi dijanjikan dengan syurga pun masih kita tidak amalkan. Semoga Allah memberi kekuatan agar kita mampu mengamalkannya.


Bacaan sayyidul istigfar (penghulu istighfar)  ini meliputi makna taubat dan terdapat pula hak-hak keimanan. Di dalam bacaan ini juga terkandung kemurnian ibadah dan  kesempurnaan ketundukan serta perasaan sangat megharapkan kepada Allah SWT. Sehingga bacaan zikir ini melebihi bacaan istigfar lainnya kerana keutamaan yang dimilikinya.

Semoga penghulu istighfar ini dapat kita amalkan setiap hari secara istiqamah.



Friday, July 22, 2011

Hikmah dan Kebaikan Berpoligami di Dunia dan Akhirat.

 ŰŁًÙ„ŰłَّÙ„Ű§َمُ Űčَلَيْكُمْ

ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  SAW. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Apabila kita memperkatakan hikmah dan kebaikan berpoligami mungkin kita hanya memfokuskan kebaikannya hanya di dalam kehidupan di dunia sahaja.Tetapi kebaikan yang lebih besar adalah kebaikan yang dikurniakan oleh Allah SWT di hari akhirat nanti. Nabi SAW adalah contoh utama kita di dunia dan akhirat dan sunnah baginda adalah amalan yang terbaik yang sepatutnya menjadi ikutan dan amalan umat Islam keseluruhannya. Tidak boleh sesiapa dikalangan umat Islam boleh mempertikaikan dan menolak sunnah dan amalan kehidupan baginda SAW.

Berpoligami adalah sunnah Rasulullah SAW dan baginda  berpoligami sehingga sembilan orang isteri ini adalah khusus untuk baginda sahaja dan umatnya dibenarkan oleh Allah SWT paling ramai setakat empat sahaja. Samaada baginda mengawini anak dara atau janda itu soal kedua kerana yang penting berpoligaminya Nabi SAW adalah utuk kebaikan para isteri baginda di hari akhirat. Wanita yang mengawini orang lain belum pasti memasuki syurga tetapi wanita yang mengawini Nabi SAW adalah pasti menjadi penghuni syurga.

Firman Allah SWT. yang bermaksud, "Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain), dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.
(Surah An-Nisaa' Ayat 3)

Setiap ayat Allah SWT pasti mengandungi hikmah dan kebaikan yang tidak dapat dijangkau oleh pemikiran manusia. Allah SWT membenarkan lelaki muslim yang berkemampun perlu untuk berpoligami samaada dua, tiga atau empat. Hanya mereka yang tidak berkemampun sahaja kekal untuk seorang isteri sahaja. Jika Allah SWT lebih menyukai hamba-hamba-Nya hanya seorang isteri maka dalam ayat di atas akan dimulakan dengan seorang isteri terlebih dahulu, tetapi ayat diatas di mulakan dangan perkataan 2,3, dan 4 dahulu baru diakhir ayat mengatakan 1 (seorang isteri). Ini menunjukkan ada hikmah yang tersirat dan tersurat yang mana Allah SWT lebih mengetahui kebaikan para hamba-Nya samaada di dunia dan akhirat.

Sahabat yang dimuliakan,
Jika dikaji beberapa hadis-hadis Nabi SAW bolehlah kita menceduk hikmah berpoligami menurut kacamata Islam.

Rasulullah SAW pernah menggambarkan kegembiraan baginda di akhirat dengan bilangan umatnya yang ramai hasil daripada perkahwinan berlangsung di kalangan umatnya.
Sabda Nabi SAW bermaksud: "Nabi SAW menyuruh kami supaya berkahwin dan melarang kami membujang. Larangan itu beliau tekankan dengan cukup keras dengan bersabda: "Nikahilah wanita yang subur dan penyayang, kerana aku berasa bangga melihat umatku yang ramai pada hari kiamat kelak." (Hadis Riwayat Ahmad)

Ini menjelaskan kepada kita bahawa berkahwin adalah satu cara untuk mendapatkan keturunan. Berkahwin seorang tidak sama dengan berkahwin 2,3, atau 4 darisegi bilangan umat baginda di hari akhirat. Semakin ramai seseorang berkahwin secara logiknya maka akan bertambah ramai ahli keluarganya sebagai umat Rasulullah SAW.

Mengikut sirah sahabat-sahabat Rasulullah SAW ramai yang berpoligami adalah bertujuan untuk meramaikan umat Islam dihari akhirat nanti seperti saranan baginda. Maksudnya keturunannya akan ramai bersambung menyambung hingga ke hari kiamat. Jika seorang berkahwin dua maka ada dua saluran keturunannya hingga kehari kiamat begitu juga jika berpoligami empat isteri dia akan memiliki empat saluran keturunan yang bersambung sehingga kehari kiamat. Jika ada dikalangan ahli keluarganya yang ramai itu dapat memasuki syurga maka mereka boleh saling bantu membantu memberi syafaat di antara satu sama lain. Keistimewaan ini tidak dimiliki oleh mereka yang berkahwin seorang sahaja.

Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin berkata, “…Seorang lelaki jika dia mampu dengan harta, badan (tenaga) dan hukumnya (bersikap adil), maka lebih utama baginya untuk menikahi dua sampai empat orang wanita jika dia mampu. Dia mampu dengan fizikalnya (tenaga batin) sehingga dia mampu menunaikan hak yang khusus bagi isteri-isterinya. Dia juga mampu dengan hartanya sehingga dia boleh  memberi nafkah yang layak bagi isteri-isterinya. Dan dia mampu pula dengan bersikap adil di antara mereka. Kalau dia mampu seperti ini maka hendaknya dia menikah (dengan lebih dari seorang wanita), semakin banyak wanita yang dinikahinya  maka itu lebih utama.

Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata, “Orang yang terbaik di umat ini adalah yang paling banyak isterinya."(tidak lebih daripada 4 isteri)

Seorang yang soleh dan bertakwa boleh memberi syafaat kepada ahli keluarganya yang lain. Sabda Rasulullah SAW maksudnya : "Barangsiapa membaca Al Quran dan mengamalkannya, menghalalkannya yang halal dan mengharamkan yang haram maka Allah memasukkannya ke dalam syurga dan dia boleh memberi syafaat 10 orang keluarganya yang sudah pasti masuk neraka." (Hadis Riwayat Tarmizi)

Nabi Adam a.s adalah seorang nabi yang mempunyai keluarga yang cukup besar iaitu semua umat manusia akan menjadi keluarganya yang besar bermula daripada anak-anaknya hingga manusia yang hidup semasa berlakunya hari kiamat.
Firman Allah SWT maksudnya :" Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya." (Surah al-Tur ayat 21)

Ayat di atas secara jelas menjelaskan bahawa Allah SWT akan pertemukan diantara bapa dan anak cucu dan cicitnya dan keturunannya di akhirat kelak. Orang-orang yang beriman akan ditempatkan di dalam syurga bersama dengan keluarga dan keturunan mereka sebagai salah satu bentuk nikmat dan hiburan kepada mereka.

Bahkan Allah akan mengangkat darjat ibu bapa yang soleh kerana doa anak-anak mereka dan doa cucu-cicit dan keturunan mereka begitu juga meninggikan darjat anak- cucu disebabkan amal soleh  ibu bapa (Tafsir Ibn Kathir)). Menurut Imam al-Razi, ayat ini juga menjadi bukti bahawa kasih sayang ibu bapa yang beriman berterusan sehingga ke akhirat (Tafsir al-Razi).
Walaubagaimanapun nikmat ini hanya dikhususkan kepada ibu bapa dan anak cucu yang sama-sama beriman dan mati di dalam iman sahaja.
Di syurga seorang lelaki yang mempunyai seorang isteri akan memiliki seorang ketua bidadari dan 72 orang bidadari.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Setiap lelaki yang masuk syurga akan diberi 72 bidadari; tidak peduli pada umur berapa dia mati, ketika dia masuk syurga dia akan menjadi seorang berumur 30 tahun dan tidak akan tambah tua. Lelaki di syurga akan diberi keperkasaan yang sama dengan keperkasaan seratus orang lelaki." (Hadis Riwayat Tirmizi)

Bagi lelaki yang mempunyai 4 orang isteri dia akan memiliki 4 orang ketua bidadari dan 72 bidadari untuk setiap isteri-isterinya.

Keseronokan disyurga bukan sahaja memiliki ketua bidadari dan bidadari-bidadari tetapi keseronokkan juga kerana mempunyai keturunan yang ramai dan ini akan lebih menambahkan kenikmatan berkomunikasi dan berinteraksi dan berhibur sesama keturunan mereka.

Sahabat yang dikasihi,
Pahala yang besar juga akan diperolehi kepada orang mukmin yang berpoligami semata-mata kerana Allah SWT, berhajat mendidik isteri-isterinya menjadi isteri yang solehah dan berhajat memiliki keturunan yang besar dan beriman  yang akan dapat saling memberi syafaat dan tolong menolong di hari akhirat nanti.

Amat malang bagi seorang lelaki yang berkahwin seorang isteri tetapi isterinya tidak menutup aurat, berhias untuk lelaki lain dan sering tidak mensyukuri rezeki suaminya dan hanya mementingkan kepentingan duniawi semata-mata. Anak-anaknya pula tidak soleh dan solehah kerana tidak ada didikan agama daripada seorang ayah dan ibu.

Wanita yang solehah yang memahami bahawa haknya tidak akan berkurangan di hari akhirat nanti jika suaminya berpoligami semasa di dunia dan kerana anak-anak daripada isteri-isteri yang lain jika beriman dan bertakwa dan dipilih memasuki syurga akan dapat memberi syafaat dan membantu ahli keluarganya yang lain termasuk ibu-ibu tirinya untuk memasuki syurga. Keistimewaan ini tidak dimiliki wanita yang bujang tak mahu berkahwin atau wanita yang tidak membenarkan suaminya berpoligami walaupun berkemampuan.

Sahabat yang dihormati,
Berpoligami banyak terdapat kemaslahatan/kebaikan yang agung bagi kaum lelaki maupun wanita, bahkan bagi seluruh umat Islam. Sebab dengan poligami akan memudahkan bagi lelaki maupun wanita untuk menundukkan pandangan, menjaga kemaluan (kesucian), memperbanyak (jumlah) keturunan di dunia dan akhirat, dan memudahkan bagi lelaki untuk memimpin beberapa orang wanita dan membimbing mereka kepada kebaikan, serta menjaga mereka dari sebab-sebab keburukan dan penyimpangan.

Hikmah berpoligami ini adalah menjadi amalan sahabat-sahabat Rasulullah SAW kerana sebahagian besar sahabat-sahabat berpoligami dan sebahagian kecil saja yang tidak berpoligami. Amalan ini juga diamalkan oleh ulama-ulama Islam dan orang-orang soleh sepanjang sejarah.

Akhirkata sebelum kalian ingin berpoligami pastikan kalian mempunyai kemampuan dari segi nafkah zahir dan batin dan mampu berlaku adil kepada isteri-isteri kalian, perlu diingat kalian akan jalan tempang sebelah kaki dihari akhirat nanti jika kalian tidak dapat berlaku adil, kerana sifat adil adalah paling hampir dengan sifat takwa. 

Tetapi jika kalian berpoligami menurut syariat Islam dan kalian terdiri daripada orang yang bertakwa maka kalian akan memasuki syurga yang penuh kenikmatan dan berbahagia bersama-sama isteri-isteri kalian (ketua bidadari) dan bidadari-bidadari bermata jeli dan keturunan kalian di syurga nanti. Waullahualam.

Thursday, July 21, 2011

Tujuh Pesanan Jibril Kepada Nabi SAW Untuk di Laksanakan Oleh Anak Adam

ŰŁًÙ„ŰłَّÙ„Ű§َمُ Űčَلَيْكُمْ
ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْمِ
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  SAW. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Malaikat Jibril adalah malaikat yang membawa wahyu daripada Allah SWT kepada Rasulullah SAW. Setiap pesanan dan berita yang disampaikan oleh Malaikat Jibril kepada baginda adalah semata-mata datangnya daripada Allah SWT.

Nabi SAW bersabda  kepada Saidina Ali k.wj. yang bermaksud : "Wahai Ali ! Malaikat Jibril selalu mengharapkan tujuh hal dari keturunan anak Adam iaitu :

Pertama : Solat lima kali dalam sehari semalam bersama imam (berjemaah)

Kedua : Berkumpul bersama para ulama

Ketiga : Menjenguk orang sakit.

Keempat : Menghantar jenazah ketempat perkuburan

Kelima : Memberi minum orang yang kehausan

Keenam : Mendamaikan dua orang yang sedang berselisih

Ketujuh : Menghormati tetangga (jiran) dan anak yatim

Maka berusahalah untuk melakukan ketujuh hal tersebut."

Huraiannya :
Pertama : Solat lima kali dalam sehari semalam bersama imam (berjemaah)

Keutamaan solat jemaah tidak perlu diperjelaskan lagi, kerana ketetapan syariat dan sabda Rasulullah SAW tentang 27 kali ganda pahala solat sendirian sudah cukup untuk menggambarkan betapa tingginya darjat solat jemaah itu.

Imam Syafie berpendapat, solat jemaah adalah Fardu Kifayah (sekurang2nya ada satu kumpulan yang buat jemaah dalam sesuatu kawasan) manakala ada ulama berpendapat ia adalah sunat muakkad (sunat yang dituntut).

Solat jemaah ni sebenarnya bukan sahaja untuk mendapatkan 27 kali pahala itu atau menunaikan fardu kifayah/sunat muakkad, tapi banyak hikmahnya, samada terang atau tidak. Yang paling nyata aktiviti solat jemaah di masjid adalah satu cara untuk memupuk perpaduan ummah, silaturrahim sesama muslim. Ini kerana kita bukan sahaja duduk sebelah menyebelah dengan saudara-saudara kita, tapi juga selepas solat, aktiviti bersalam-salaman adalah satu perkara yang membuka ukhwah.

Nabi SAW. mewasiati umatnya supaya tidak meninggalkan solat berjemaah di masjid.
Sabda Rasulullah SAW maksudnya, "Sesiapa yang berjalan untuk pergi mendirikan solat fardu berjemaah, maka ianya seperti pahala haji, dan sesiapa yang berjalan untuk pergi mendirikan solat sunat (iaitu duha) , maka ianya seperti pahala umrah sunat".
(Hadis Riwayat Imam Ahmad bin Hanbal, Abu Daud,Tabrani , Baihaqi )

Rasulullah SAW. juga menjelaskan bahawa jalan menuju masjid dihampiri pahala dan kebaikan. Sabda Nabi SAW. yang bermaksud, "Barangsiapa yang pergi ke masjid untuk berjemaah, maka satu langkah menghapuskan kesalahan (dosa) dan yang satu langkah lainnya dituliskan kebaikan. Hal itu berlangsung pada saat berangkat maupun pulang."
(Hadis Riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban)

Pada hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang bermaksud, "Orang yang paling besar mendapatkan pahala solat adalah yang paling jauh perjalanannya ke tempat berjemaah. Sedangkan orang yang menunggu-nungu waktu solat berjemaah pahalanya lebih besar daripada orang yang solat sendirian, setelah itu dia tidur."

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda). " (Hadis riwayat al-Bukhari dan Musliam)

Kedua : Berkumpul bersama para ulama

Berkumpul dan bertemu para alim ulama untuk mendengar tazkirah, kuliah atau ceramah agama adalah salah satu tuntutan Islam.

Luqman Al-Hakim pernah berpesan kepada anaknya supaya sentiasa bersama orang alim dan soleh serta menghadiri majlis ilmu kerana apabila Allah SWT menurunkan keberkatan kita turut sama memperolehinya.

Disamping itu apabila kita sentiasa bersama orang soleh akan menasihati kita ke arah kebaikan serta menegur kita apabila berlakunya kesilapan dan kesalahan. Ini kan mematangkan lagi diri kita disamping menambahkan lagi semangat kita dalam belajar. Ini bukan bermakna kita diminta menjauhi mereka yang tidak soleh sebaliknya kita diminta berdakwah kepada mereka setakat kemampuan yang ada dan jangan pula kita yang terpengaruh dengan cara hidup mereka.

Ingatlah firman Allah dalam surah Al-Zukhruf ayat 67 yang bermaksud : "Teman-teman yang rapat pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh kepada sebahagian yang lain kecuali mereka yang bertakwa".

Rasulullah SAW pernah berpesan kepada kita melalui hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tarmizi dan Abu Daud maksudnya  : "Seseorang itu mengikut agama sahabat temannya. Maka hendaklah seseorang itu memerhati siapakah yang dijadikan teman".

Nabi SAW bersabda kepada Saidina Ali k.wj. : "Wahai Ali ! Apabila seorang mukmin yang lebih dari empat puluh hari tidak berkumpul duduk dengan ulama maka hatinya menjadi keras dan berani mengerjakan dosa-dosa besar. Kerana sesungguhnya ilmu itu penghidup hati".

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Bersendirian (berseorangan) itu lebih baik daripada berteman dengan teman yang buruk sedangkan berteman dengan teman yang baik lebih baik berbanding bersendirian. Berkata dengan perkataan yang baik itu lebih baik daripada diam sedangkan diam lebih baik daripada berkata dengan perkataan buruk”. (Hadis Riwayat Al-Hakim, Abu Sheikh dan Al-‘Askari daripada Abu Zar r.a.)

Hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dalam sahih daripada Abdullah bin Umar telah berkata : "Aku mendengar Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud : 'Sesungguhnya Allah tidak menarik ilmu dengan menariknya secara mengejut sebaliknya Allah akan menarik ilmu itu dengan mematikan para ulama  sehingga tiba suatu masa yang tiada lagi ada ulama  maka manusia akan memilih ketua-ketua mereka dari kalangan orang jahil lalu apabila mereka ditanya maka dikeluarkan fatwa yang sesat maka sesatlah mereka serta menyesatkan pula orang lain."

Ketiga : Menjenguk orang sakit.
Menziarahi orang sakit sama ada di hospital atau rumah termasuk antara kunjungan diwajibkan. Mereka yang menziarahi orang sakit akan mendapat doa para malaikat dan pahala yang besar diberikan oleh Allah SWT.

Diriwayatkan Imam Ahmad: Saya mendengar Rasulullah SAW. bersabda : "Barang siapa mengunjungi orang sakit, tujuh puluh ribu malaikat mengikutnya dan memintakan ampun kepadanya hingga petang. Baginya pahala satu tahun di syurga. Dan jika ia mengunjunginya pada malam hari, maka tujuh puluh ribu malaikat mengikutnya dan semua memintakan ampun untuknya hingga pagi. Dan baginya pahala satu tahun di syurga."

Daripada Anas bin Malik pula mengungkapkan bahawa Rasulullah SAW. bersabda bermaksud: "Barang siapa berwuduk dengan sempurna lalu berkunjung kepada saudaranya yang sakit semata-mata mengharap reda Allah, ia akan dijauhkan daripada api neraka sejauh perjalanan 60 kharif (satu kharif bersamaan dengan satu tahun)."

Sementara Abu Hurairah menyatakan Rasulullah SAW. bersabda bermaksud: "Barang siapa berkunjung kepada saudaranya yang sakit, maka seseorang menyeru dari langit: Beruntunglah engkau, beruntunglah perjalananmu dan sungguh engkau sudah membangun rumah di syurga."

Mengunjungi muslim yang sedang sakit adalah suatu kewajiban ke atas muslim lain. Lebih-lebih lagi jika pesakit itu kaum kerabat dan saudara maranya  sendiri. Mengunjungi orang sakit termasuk salah satu amal solih yang sangat afdhal. Rahmat Allah senantiasa menaungi diri pesakit dan orang yang mengunjunginya.

Orang yang datang berkunjung sebaiknya mendoakan untuk pesakit agar dia lekas sembuh dan menasihatinya supaya memperbanyak taubat dan berpesan dengan pesan-pesan penting lainnya.  Pengunjung janganlah terlalu lama duduk dan berbual dengan pesakit kecuali dalam hal-hal tertentu. Bawalah buah tangan untuk mengembirakan hati pesakit atau hadiah untuk waris yang menjaga pesakit.

Keempat : Menghantar jenazah ketempat perkuburan.
Salah satu hak muslim kepada saudaranya yang muslim adalah menghantar jenazahnya sehingga ketempat perkuburan.


Nabi SAW bersabda maksudnya : "Barangsiapa yang mengikuti penyempurnaan jenazah hingga solat jenazah maka dia akan memperolihi ganjaran satu qirath, dan barangsiapa yang mengikutinya hingga dikebumikan maka dia akan memperolihi ganjaran dua qirath. Mengikuti jenazah adalah hak Allah, hak jenazah dan hak kaum kerabatnya yang masih hidup."

Dalam hadis yang lain Nabi SAW  bersabda maksudnya : “Suatu ketika kami semua berada di Baqi’ Al-Gharqad untuk menghantar jenazah seseorang. Pada saat itu Nabi SAW mendatangi tempat kami, lalu baginda duduk dan kami semua pun duduk mengelilinginya dan bersama baginda ada sebatang tongkat.”
(Hadis riwayat Bukhari)

Kelima : Memberi minum orang yang kehausan.

Memberi minum kepada orang yang kehausan adalah satu amalan yang mulia disisi Allah SWT. Terdapat satu kisah dizaman umat terdahulu seorang lelaki yang memberi minum air kepada seekor anjing yang kehausan telah mendapat keampunan daripada Allah SWT terhadap dosa-dosanya.

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud :
"Ketika seorang lelaki sedang dalam perjalanan, ia berasa dahaga. Lantas ia masuk ke dalam sebuah telaga yang dalam, lalu minum air di dalamnya. Setelah dia keluar di dapatinya seekor anjing di tepi telaga sedang menjelirkan lidahnya dan menjilat-jilat tanah lembap kerana kehausan. Orang itu berkata : 'Anjing ini merasakan apa yang baru sahaja saya rasakan.'
Kemudian ia kembali turun ke dasar telaga semula untuk mengambil air. Dia telah mengisi kasutnya dengan air lalu membawanya naik dengan mengigit kasutnya itu. Sesampainya di atas ia memberi minum anjing tersebut. Kerana perbuatannya itu Allah s.w.t. berterima kasih kepadanya dan mengampuni dosanya."
Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, adakah jika kami mengasihi binatang, kami juga mendapat pahala?"
Baginda SAW. bersabda yang bermaksud :
"Berbuat baik kepada setiap makhluk pasti mendapat pahala."
(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Jika seseorang itu membantu seekor anjing yang kehausan mendapat pahala dan keampunan daripada Allah SWT maka lebih-lebih lagi apabila kita membantu saudara kita yang sedang susah dan perlukan bantuan maka lebih-lebih lagi besar pahalanya.

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersada yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya."
(Hadis Riwayat Muslim).

Keenam : Mendamaikan dua orang yang sedang berselisih.

Di dalam al-Quran Allah SWT memerintahkan orang-orang beriman supaya mendamaikan dua orang saudara yang berselisih faham atau berlaku pergaduhan di antara mereka.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al-Hujuraat ayat 9)

Ayat ke-9 ini menekankan prinsip mendamaikan dua golongan muslim yang bergaduh atau berperang. Firman-Nya lagi yang bermaksud : “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat..” (Surah al-Hujuraat ayat 10)

Diriwayatkan bahawa penipuan dibenarkan untuk memberikan manfaat, bukan untuk melakukan kerosakan. Rasulullah SAW bersabda: “Seseorang yang mendamaikan di antara dua insan dan berkata perkara yang baik, walaupun ia tidak benar, bukanlah seorang penipu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Ummu Kalsum binti ‘Uqbah turut berkata, di dalam tambahan lafaz ke atas hadis itu, “Aku tidak pernah mendengar Rasulullah SAW membenarkan menipu kecuali di dalam tiga situasi iaitu ketika perang, untuk mendamaikan di antara dua pihak yang bertelagah, dan perbualan biasa antara suami isteri.” Apa yang dimaksudkan dengan perbualan biasa antara suami isteri ialah untuk meredakan kesusahan di dalam kehidupan.

Ketujuh : Menghormati tetangga (jiran) dan anak yatim.

1. Menghormati tetangga (jiran) :

Rasulullah SAW. juga sering memperingatkan kita dalam beberapa hadisnya supaya kita sentiasa menjaga hubungan baik dengan jiran dan sentiasa berbakti serta memuliakan mereka. Hubungan akrab di antara jiran sesama jiran sangat diutamakan di dalam ajaran Islam. Antara pesanan Nabi SAW yang bermaksud : "Sentiasalah Jibrail berwasiat kepadaku mengenai jiran, sehingga aku menyangka bahawa sesungguhnya dia (jiran) layak untuk diwarisi ( mendapatkan harta pusaka).”

Jangan menyakiti jiran kerana perbuatan itu menjejaskan keimanan kita. Sehubungan dengan itu Rasulullah SAW. pernah bersabda maksudnya :“ Demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak beriman. Sahabat bertanya: “Siapakah (yang tidak beriman itu) ya Rasulullah?. Rasulullah SAW menjawab : 'Orang yang menyebabkan jirannya tidak merasa aman (selamat dan tenteram) lantaran kejahatannya '.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis yang lain dinyatakan bahawa Rasulullah SAW. bersabda maksudnya :“ Tidak masuk syurga barangsiapa yang jirannya tidak merasa aman (selamat dan tenteram) lantaran kejahatannya.” (Riwayat Muslim)
 
2. Menghormati dan memuliakan anak yatim :
 
Islam telah mendorong pemeluknya agar memiliki akhlak mulia. Salah satu akhlak mulia itu adalah menghormati, memuliakan, menyayangi dan berlemah lembut dengan  anak yatim. Sesungguhnya, anak yatim adalah manusia yang paling memerlukan pertolongan dan kasih sayang. Kerana ia adalah anak yang kehilangan ayahnya pada saat ia sangat  memerlukannya. Ia memerlukan pertolongan dan kasih sayang kita, kerana ia tidak mungkin mendapatkan kasih sayang ayahnya yang telah tiada.

Jika kita melihat seseorang yang penyayangi dan berlemah lembut kepada anak yatim dan memberi pertolongan kepadanya, maka ketahuilah bahwa ia adalah seorang yang berbudi dan berakhlak mulia.

Suatu ketika Saib bin Abdullah r.a datang kepada Nabi SAW  maka baginda bersabda kepadanya yang bermaksud : “Wahai Saib, perhatikanlah akhlak yang biasa kamu lakukan ketika kamu masih dalam kejahiliaan, laksanakan pula ia dalam masa keIslaman. Jamulah tetamu, muliakanlah anak yatim, dan berbuat baiklah kepada jiran tetangga.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Dawud, Shohih Abu Dawud, Al-Albani )

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Aku dan orang-orang yang mengasuh/menyantuni anak yatim di syurga seperti ini”, Kemudian baginda  memberi isyarat dengan jari telunjuk dan jari tengah seraya sedikit merenggangkannya.
(Hadis Riwayat Bukhari)

Imam Ibnu Bathal rahimahullah berkata : “Orang yang mendengar hadis ini wajib melaksanakannya, agar ia boleh menjadi sahabat Nabi SAW di syurga."

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita laksanakan 7 pesanan Jibril a.s kepada Rasulullah SAW untuk kita hayati dalam kehidupan kita. Sesungguhnya semua saranan Jibril adalah arahan daripada Allah SWT. Apabila kita mempu menghayati dan melaksanakan ketujuh-tujuh perkara tersebut kita akan menjadi mukmin yang dikasihi oleh Allah SWT .

Lima Keistimewaan Umat Nabi Muhammad SAW di Bulan Ramadan

ŰŁًÙ„ŰłَّÙ„Ű§َمُ Űčَلَيْكُمْ
ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  SAW. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Bulan Ramadan adalah bulan yang mulia di sisi Allah SWT. Terdapat 5 keistimewaan bulan Ramadan yang di kurniakan oleh Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW berbanding dengan umat-umat sebelum baginda.

Imam Ahmad telah meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahwasanya Nabi SAW bersabda maksudnya : “Ummatku telah diberi lima hal yang belum pernah diberikan kepada ummat-ummat sebelumnya ketika bulan Ramadan:

Pertama : Bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum dari pada minyak kesturi di sisi Allah,

Kedua : Para Malaikat beristighfar untuk mereka hingga berbuka,

Ketiga : Allah memperindah syurga-Nya setiap hari, seraya berfirman kepadanya: “Hampir-hampir para hamba-Ku yang soleh akan mencampakkan berbagai kesukaran dan penderitaan lalu kembali kepadamu,”

Keempat : Syaitan-syaitan durjana dibelenggu, tidak dibiarkan lepas seperti pada bulan-bulan selain Ramadan,

Kelima : Mereka akan mendapat ampunan di akhir malam.” Ada yang bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah itu terjadi pada malam Lailautl Qadar?” Baginda menjawab, “Bukan, namun pelaku kebaikan akan disempurnakan pahalanya seusai menyelesaikan amalanya.”

Lima perkara yang Allah SWT persiapkan untuk kalian. Dengan lima perkara tersebut, kalian mendapat keistimewaan dari Allah SWT di antara ummat-ummat lainnya. Semua itu diberikan Allah SWT untuk menyempurnakan berbagai nikmat-Nya kepada kalian. Sesungguhnya betapa banyak nikmat dan keutamaan yang telah Dia berikan kepada kalian, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud : “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah..” (Surah Al-Imran ayat 110)

Huraiannya :

Pertama : Bau busuk dari mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.

Mulut orang yang berpuasa bau haruman kasturi – Ulama mentafsirkan bahawa yang dimaksudkan dengan terlebih harum disisi Allah daripada bau kasturi ialah bahawa pada hari akhirat Allah akan memberi ganjaran dengan haruman kepada bau mulut orang yang berpuasa dengan haruman yang terlebih semerbak dan segar daripada bau kasturi.

Ada juga ulama mentafsirkan pada hari kiamat apabila kita bangun daripada kubur, suatu bau harum akan terkeluar daripada mulut orang-orang yang berpuasa yang terlebih harum daripada bau kasturi.

Tafsiran yang paling tepat ialah yang mengatakan bahawa bau mulut yang keluar daripada mulut orang yang berpuasa di dunia ini terlebih harum di sisi Allah daripada kasturi.

Puasa merupakan ibadah yang tersangat berharga di sisi Allah dan dengan sebab ini juga Allah berfirman yang bermaksud : “ Ganjaran bagi puasa Aku sendiri yang memberinya, kerana puasa itu adalah untukKu sendiri.”

Hadis juga ada menyebut,: “Puasa adalah pintu bagi semua bentuk ‘ibadah’. Maksudnya ialah menerusi puasa hati akan bercahaya dan melaluinyalah keinginan untuk melakukan ibadat-ibadat yang lain akan terangsang.Ini hanya akan dapat dicapai jika puasa dilaksanakan dengan mematuhi syarat-syaratnya dan bukannya setakat berlapar dan dahaga sahaja.

Dalam hadis yang lain daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud : "Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu (Allah) dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri (bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara. Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : 'Sesungguhnya aku berpuasa' demi Tuhan yang mana diri Nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi)

Kedua : Para malaikat beristighfar untuk mereka hingga berbuka.

Para malaikat adalah hamba-Nya yang dimuliakan di sisi-Nya, sebagaimana Allah SWT menceritakan sifat malaikat  dalam firman-Nya yang bermaksud : “…yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah At-Tahrim ayat 6)

Maka dari itu, sungguh layak apabila Allah SWT mengabulkan doa para malaikat untuk orang yang berpuasa. Sebab mereka memang telah diizinkan untuk itu. Allah mengizinkan para malaikat untuk beristighfar bagi mereka untuk mengangkat, meninggikan penyebutan, serta menjelaskan keutamaan puasa ummat ini. Makna istighfar adalah meminta ampun terhadap dosa-dosa yang dilakukan demi kebaikan di dunia dan akhirat. Setiap anak Adam tidak terlepas daripada melakukan dosa dan bersikap melampaui batas terhadap diri mereka sendiri. Sehingga mereka benar-benar mengharapkan keampunan daripada Allah SWT.

Ketiga : Allah memperindah syurga-Nya setiap hari, seraya berfirman kepadanya: “Hampir-hampir para hamba-Ku yang soleh akan mencampakkan berbagai kesukaran dan penderitaan lalu kembali kepadamu.”

Yang dimaksud dengan hadis ini adalah mereka mencampakkan beban hidup di dunia dan susah payah serta penderitaannya lalu mengerjakan amal-amal soleh yang dengannya mereka hidup bahagia di dunia dan akhirat dan dapat memasukkan mereka ke syurga, negeri kedamaian dan kemuliaan.

Dari Abu Umamah, ia berkata, aku bertanya : "Wahai Rasulullah tunjukkan kepadaku suatu amal yang memasukkanku ke syurga". Nabi bersabda maksudnya : "Hendaknya engkau berpuasa, tiada yang menyamainya." (Hadis riwayat Nasai, ibnu Hibban, dan Hakim dan sanadnya sahih)

Dalam riwayat yang lain dari Sahl dari Nabi SAW bersabda maksudnya  : "Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang bernama Ar Rayyan, orang-orang yang berpuasa akan masuk melaluinya pada hari kiamat, dan selain mereka tidak akan masuk melaluinya.
Dikatakan : Dimanakah orang-orang yang berpuasa?
Maka mereka pun berdiri. Dan selain mereka tidak akan memasukinya .
Maka jika orang-orang yang berpuasa sudah memasukinya ditutuplah pintu itu dan tidak seorangpun akan memasukinya, Dan barangsiapa yang telah masuk ia pasti minum dan barangsiapa yang minum ia tidak akan kehausan selamanya."
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Keempat : Syaitan-syaitan durjana dibelenggu, tidak dibiarkan lepas seperti pada bulan-bulan selain Ramadan,

Ini adalah salah satu bentuk pertolongan Allah SWT kepada para hamba-Nya. Musuh umat ini (iblis dan syaitan) diikat sehingga tidak boleh membisikkan dan menggoda anak Adam yang berpuasa untuk terpengaruh dengan usaha-usaha jahatnya supaya menjadi penghuni neraka yang menyala- nyala. Oleh sebab itu, dapat kita dapat saksikan bahawa pada bulan ini umat Islam mempunyai keinginan yang lebih tinggi untk melakukan kebaikan dan menahan diri dari keburukan dibandingkan pada bulan-bulan lainnya.

Satu persoalan yang mungkin muncul bahawa apabila iblis dan syaitan-syaitan telah dirantai mengapa masih ada maksiat-maksiat dilakukan?.

Jawapannya ialah maksiat itu bukannya semestinya daripada syaitan sahaja tetapi disebabkan setelah sebelas bulan mentaati kehendak dan cita-cita syaitan maka perlaku maksiat telah menjadi sebahagian daripada tabiat dan naluri mereka.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Siapa yang melakukan suatu dosa, maka akan tumbuh di hatinya setitik hitam, kiranya ia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu dari muka hatinya. Jika ia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak sehingga seluruh muka hatinya menjadi hitam." (Riawayt Al-Imam Ibnu Majah).

Hadis ini sesuai dengan firman Allah Subhanahu Wataala di dalam Al-Quran surah Al-Muthaffifiin, ayat 14 :-
Maksudnya : "Sebenarnya ayat-ayat kami tidak ada cacatnya bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan."

Dengan demkian hati-hati mereka penuh diliputi kekaratan, apabila terjadi begitu, hati-hati seumpamanya ini secara semulajadi condong kearah dosa-dosa.

Kita sedia maklum bahawa walaupun iblis dan syaitan telah dirantai tetapi syaitan berbentuk jin kafir dan manusia tetap bebas di bulan Ramadan dan mereka inilah yang meneruskan kerja-kerja menggoda dan membisikkan kejahatan kepada manusia.

Kelima : Mereka akan mendapat ampunan di akhir malam. Ada yang bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah itu terjadi pada malam Lailautl Qadar?” Baginda menjawab, “Bukan, namun pelaku kebaikan akan disempurnakan pahalanya seusai menyelesaikan amalanya.”

Allah mengampuni umat Nabi Muhammad SAW pada setiap akhir malam bulan Ramadan. Jika mereka melaksanakan apa yang seharusnya dikerjakan pada bulan yang mulia ini, berupa puasa dan solat, maka Allah akan memberikan karunia dengan menyempurnakan pahala mereka ketika telah selesai mengerjakan amal-amal mereka. Sesungguhnya orang yang beramal akan disempurnakan pahala amalnya setelah selesai mengerjakannya. Allah SWT memberikan karunia kepada para hamba-Nya.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita menghayati dan menghidupkan bulan Ramadan al-Mubarak yang akan datang tidak berapa lama lagi dengan berpuasa secara sempurna iaitu  menjauhi perkara-perkara yang membatalkan puasa dan pahala puasa, bersolat yang wajib berjemaah dimasjid dan mengerjakan solat-solat sunat (solat terawih, tahajud, witir, taubat, hajat, duha, tasbih dan lain-lain).

Banyakkan bersedekah dan menjamu untuk mengadakan majlis berbuka puasa, membaca al-Quran, beristighfar dan menuntut ilmu. Jika kita dapat mendisplinkan diri kita amalan-amalan tersebut dengan ikhlas dan istiqamah insya Allah di akhir Ramadan kita akan dikurniakan oleh Allah SWT sifat takwa dan dibebaskan-Nya daripada seksaan api neraka.

Wednesday, July 20, 2011

Sifat Zuhud Adalah Sifat Yang Mulia di Sisi Allah SWT

 ŰŁًÙ„ŰłَّÙ„Ű§َمُ Űčَلَيْكُمْ
 ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  SAW. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sifat zuhud adalah satu sifat yang mulia di sisi Allah SWT. Zuhud yang sebenarnya adalah mengutamakan kehidupan akhirat dari dunia. Sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Al-A'laa ayat 16 dan 17 , yang mana Allah SWT. menyifatkan orang bukan Islam mengutamakan dunia semata-mata, kemudian Allah menyebut kehidupan akhriat lebih baik dan kekal.

Firman Allah SWT bermaksud :“Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi. Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.” (Surah Al-A’laa: 16-17)

Ibnu al-Qayyim mengatakan bahwa zuhud adalah meninggalkan apa yang tidak bermanfaat demi kehidupan akhirat.

Sayyidina Ali k.wj. pernah berkata , "Aku telah talak dunia dengan talak tiga" ini bermaksud dunia ini tidak masuk di dalam hatinya, apa yang beliau lakukan adalah semata-mata kerana Allah dan tidak ada langsung kepentingan dunia masuk di dalam hatinya.

Sebagai seorang khalifah Islam , Saidina Ali k.wj. sentiasa bersifat zuhud dan kezuhudannya  tidak menghalang beliau untuk mentakbir negara dengan adil dan saksama dan menjaga kemaslahatan rakyat. Diberitakan setiap pagi beliau akan menghantar makanan dipintu rumah ibu-ibu tunggal yang miskin dan kematiaan suami. Setelah kewafatan beliau tidak ada lagi makanan yang dihantarkan, barulah mereka tahu bahawa yang menghantar makanan adalah beliau sendiri.

Dari Abul Abbas, Sahel bin Sa'ad as-Sa'idi r.a. berkata: Telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW seraya berkata, "Ya Rasulullah! Tunjukkanlah aku suatu amalan, jika aku kerjakannya, nescaya aku dicintai Allah, dan dicintai orang ramai". Bersabda Rasullulah SAW, "Berlaku zuhudlah di dunia, nescaya engkau dicintai Allah. Berlaku zuhudlah kepada pada apa yang ada di tangan manusia, nescaya engkau dicintai orang ramai" – Hadis hasan diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan lain-lain dengan sanad-sanad yang hasan

Huraiannya :

Lelaki tersebut yang bertanya kepada Rasulullah SAW ingin mengetahui apakah bentuk amalan yang jika dilakukannya, maka Allah dan manusia akan mengasihinya. Dari soalannya yang tersebut menunjukkan minatnya terhadap melakukan amalan-amalan yang baik dengan niat yang ikhlas, dan jawapan dari Rasulullah SAW juga adalah tepat dan boleh dijadikan panduan hidup kepada seluruh umat Islam.

'Berlaku zuhudlah di dunia nescaya engkau dicintai Allah' bermaksud berlaku zuhudlah dengan mengambil harta dunia sekadar keperluan dan tidak berlebih-lebihan, apa lagi sehingga membawa ke peringkat tamak.

Pengertian zuhud bukan bermakna kita menolak semua kemudahan dan kebaikan kemajuan sains dan teknologi tetapi yang dikatakan zuhud adalah  hati dan jiwa seseorang  tidak terkesan dengan kemewahan dunia yang melekakan dan melalaikan tetapi hatinya tetap mencintai kehidupan di hari akhirat.

Zuhud dunia juga diertikan di segi syarak sebagai mengambil barang yang halal setelah meyakini kehalalannya dalam kadar yang perlu sahaja, dan sifat ini adalah lebih tinggi dari sifat warak.

Manakala sifat zuhud di kalangan muqarrabin (orang yang sentiasa berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT) pula adalah dengan terus meninggalkan kenikmatan dunia; segala-galanya adalah tidak penting bagi mereka melainkan mendekati Allah SWT semata-mata.

'Berlaku zuhudlah pada apa yang ada di tangan manusia, nescaya dicintai orang ramai'

Bermaksud jika seorang yang kaya itu bersifat zuhud, maka ia akan memadai dengan rezeki yang dikurniakan Allah SWT dan tidak bersifat tamak dengan memperbanyakkan lagi harta bendanya, atau lebih buruk lagi, apabila sifat iri hati terhadap kelebihan orang lain mula menguasai dirinya.

Orang miskin pula dikatakan bersifat zuhud apabila ia tidak meminta-minta tanpa hajat kepada orang lain sehingga menimbulkan rasa kebencian. Jika ada pemberian orang terhadapnya maka haruslah diterimanya, itu pun jika perlu dan berhajat; tetapi jika sudah cukup ada pada miliknya, maka pemberian itu harus ditolak dan diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Sahabat yang dimuliakan,
Berdasarkan huraian di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa :

1. Allah SWT dan manusia akan kasih dan cinta kepada seseorang jika ia bersifat zuhud di dunia dan terhadap apa yang ada pada tangan manusia.

2. Orang yang kaya hendaklah merasa cukup dengan rezeki yang dikurniakan Allah kepadanya, dan jauhilah dari sifat tamak dan iri hati.

3. Orang yang tidak berada pula hendaklah mengelakkan dari sifat meminta-minta perkara yang tidak perlu supaya tidak timbul kebencian orang lain terhadapnya.

Oleh itu perlulah kita sentiasa mengamalkan sifat zuhud kepada dunia ini untuk mendapat reda dan kasih sayang Allah SWT  dan zuhud apa yang ada ditangan manusia supaya kita sentiasa dikasihi oleh manusia.