Thursday, August 25, 2011

Tunaikan Zakat Fitrah dan Teruskan Beramal di Hujung Ramadan Untuk Mendapat Takwa Kepada Allah SWT.

ŰŁًÙ„ŰłَّÙ„Ű§َمُ Űčَلَيْكُمْ
ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Ramadhan telah berada dipenghujungnya. Beberapa hari lagi Syahwal akan menjalang tiba iaitu menandakan Hari Raya Aidilfitri akan menjelma lagi. Hari Raya Aidilfitri disambut pada 1 Syawal tahun Hijrah. Perayaan tersebut juga dikenali sebagai Hari Raya Puasa, Hari Raya Fitrah, dan Hari Lebaran.

Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia berbagai bangsa di seluruh dunia yang beragama Islam bagi menandakan berakhirnya bulan Ramadhan yang mana umat Islam telah menjalani ibadat puasa dengan tekun. Ia merupakan antara dua perayaan terbesar bagi umat Islam, selain Hari Raya Korban.

Sebelum menjelangnya Hari Raya Aidilfitri umat Islam diwajibkan membayar zakat fitrah.

Ibnu Umar meriwayatkan: “Rasulullah SAW. mewajibkan zakat fitrah di bulan Ramadan kepada setiap orang Muslim, sama ada dia merdeka atau hamba, lelaki mahu pun perempuan. Iaitu (jumlahnya) segantang kurma atau gandum.”
(Hadis Riwayat Imam Muslim)

Di dalam Islam, di samping zakat harta maka semua umat Islam yang layak diwajibkan zakat fitrah. Sungguh pun sama dari aspek nama dan amalan; namun kedua-dua amalan fardu ini mempunyai perbezaan. Ia berbeza lantaran mempunyai beberapa syarat  yang mendasari hikmah di sebalik perlaksanaannya.

Zakat fitrah dikenakan kepada semua umat Islam, sama ada merdeka mahu pun hamba sahaya. Ini berbeza dengan zakat harta, kerana tidak dikenakan kepada hamba. Mana mungkin seorang hamba mampu berzakat, andai dirinya sendiri pun dimiliki oleh orang lain. Bahkan, demi mengangkat taraf seorang hamba maka Islam memberikan hak zakat untuk mereka menebus diri.

Zakat fitrah juga mempunyai nisab yang berbeza dengan zakat harta. Untuk menunaikan zakat fitrah, Islam menetapkan bahawa seseorang itu mempunyai makanan yang cukup baginya pada malam hari raya sehingga ke siang hari raya. Jika seseorang itu mempunyai makanan yang cukup bagi tempoh itu, maka wajiblah zakat fitrah ke atasnya.

Manakala, nisab zakat harta pula mesti disandarkan kepada nilai emas semasa. Apabila harga emas tinggi, maka tinggilah nisabnya. Kadar zakat fitrah pula ialah sekadar segantang Baghdad yang dikenakan berdasarkan makanan asasi. Jika di Malaysia, beraslah zakat fitrahnya. Segantang Baghdad itu pula menyamai 2.7 kg. Maka, darablah harga beras semasa dengan 2.7 kg bagi mendapatkan kadar zakat fitrah. Manakala, kadar zakat harta pula ialah 2.5 peratus dari keseluruhan harta. Manakala, jika zakat pertanian pula kadarnya sama ada 5.0 peratus atau 10.0 peratus.

Contohnya harga sekilo beras pada masa kini rm2.60 kemudian dikali dengan 2.7kg, bersamaan  rm7.00 (kadar bayaran zakat fitrah)  jumlah kadar zakat fitrah berubah mengikut harga beras dipasaran.

Zakat harta agihannya kepada lapan asnaf. Manakala, agihan zakat fitrah selalunya difokuskan kepada fakir dan miskin. Inilah pandangan sebahagian ulama. Misalnya dinyatakan oleh Ibnu Qayyim, Ibnu Rusyd, Sayid Sabiq dan Karim Zaidan

Menjelang Aidilfitri, bermakna umat Islam menuju kegembiraan. Inilah yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW. iaitu orang yang berpuasa diberikan dua kegembiraan. Kegembiraan pertama sewaktu berbuka (berbuka puasa dan berhari raya) dan keduanya ketika menatap wajah Allah  SWT. di dalam syurga (mafhum daripada hadis riwayat Imam Muslim dan Imam Ahmad).

Di dalam memastikan umat Islam khususnya golongan fakir dan miskin turut merasai nikmat hari raya inilah, maka zakat fitrah diwajibkan. Ia bertujuan memberikan mereka makanan yang cukup. Bahkan dalam konteks hari ini, fakir miskin bukan sahaja diberikan makanan bahkan wang ringgit. Maka, dapatlah mereka membeli keperluan hari raya dengan wang ringgit tersebut.

Di samping itu, zakat fitrah juga menepati kehendak puasa yang bermaksud mengembalikan manusia kepada fitrah. Apabila zakat fitrah ditunaikan, maka akan terhakislah rasa tamak dan haloba dalam diri. Akan tersingkaplah tirai kesombongan dan diganti dengan rasa rendah diri dan saling berkongsi.

Ibnu Abbas menyatakan: “Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang berpuasa daripada ucapan yang tidak ada manfaatnya dan kata-kata yang kotor, serta untuk memberikan makanan kepada orang-orang miskin.” (Hadis Riwayat Abu Daud).

Sahabat yang dimuliakan,
Pergunakanlah beberapa hari yang tinggal dibulan Ramadan ini dengan penuh keinsafan dan tingkatkan lagi amalan, kerana para sahabat Rasulullah menangisi kerana pemergiaan Ramadan kerana dibulan yang penuh berkah ini terdapat hikmah dan ganjaran yang tidak diperolehi pada sebelas bulan yang akan datang.

Bulan Ramadan dipilih sebagai bulan re-charge untuk kita semua menghadapi 11 bulan keseterusnya. Re-charge dari segi ibadat, akhlak, muamalat. Sebab itu, banyak sekali pantang larang yang perlu kita ikuti dan patuhi sepanjang tempoh sebulan tersebut. Ia adalah latihan Allah SWT. kepada kita supaya dapat diamalkan pada bulan-bulan seterusnya. Solat berjamaah, berterawih, berzikir, membaca al-Quran, menjaga tutur kata dan  bersedekah ialah antara amalan yang menjadi kelaziman pada bulan yang mulia ini .

Namun, sebaik sahaja azan Maghrib berkumandang menandakan masuknya 1 Syawal, maka umat Islam akan meraikan hari kemenangan kerana selama sebulan telah berjaya menundukkan hawa nafsu dan bergembira kerana jiwa telah kembali kepada fitrahnya yang asal iaitu bertakwa kepada Allah SWT. Hasil daripada madrasah Ramadan akan menghasilkan insan-insan yang baru dan bersih daripada dosa kerana mendapat pengampunan daripada Allah SWT.

Sahabat yang dikasihi,
Kekalkanlah amalan-amalan mulia yang kalian lakukan ini walaupun Ramadan yang penuh berkah pergi meninggalkan kita. Penerusan amalan dan beristiqamah adalah tanda takwa itu telah kita miliki. Jika kita kembali hidup cara lama iaitu kurang darisegi ibadah dan amal soleh dikhuatiri ibadah puasa kita setakat mendapat lapar dan dahaga saja. Oleh itu marilah sama-sama kita bermuhasabah dan meneruskan jihad dan pengorbanan kita dalam mencari keredaan Allah di dunia ini.

Kelebihan Istighfar

ŰŁًÙ„ŰłَّÙ„Ű§َمُ Űčَلَيْكُمْ
ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Istighfar sering diertikan dengan permohonan ampun kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala atas dosa atau kesalahan yang dilakukan. Lazimnya jika seseorang melakukan kesalahan dan kemudian menyesal akan perbuatannya itu, maka istighfar yang disertai dengan niat taubat yang ikhlas akan dilafazkan dengan harapan agar dosa atau kesalahan yang dilakukan akan diampunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Jika dilihat pada pengertian istighfar, maka tiada perbezaan antara istighfar dan taubat. Dari satu sudut, istighfar dan taubat mempunyai maksud yang sama iaitu kembali kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Keduanya mempunyai persamaan dalam permohonan untuk menghapuskan apa yang tidak sepatutnya (dosa).

Hakikat istighfar dalam Islam adalah menundukkan jiwa, hati dan fikiran kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala sambil memohon ampun dari segala dosa. Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan hamba-hambaNya supaya beristighfar sebagaimana firmanNya di dalam al-Quran:

“Dan hendaklah engkau memohon ampun kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah adalah amat Pengampun, lagi amat Mengasihi” (Surah an-Nisaa:106)

Dalam ayat yang lain pula, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman: “Dan pohonlah ampun bagi dosamu, serta bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang.”
(Surah al-Mukmin:55)

Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga menganjurkan kepada hamba-hambaNya agar sentiasa beristighfar bukan saja untuk diri sendiri malahan juga untuk orang-orang yang beriman, lelaki mahupun perempuan. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

“Dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa orang-orang yang beriman (lelaki dan perempuan).” (Surah Muhammad: 19)

Walaupun istighfar adalah sunat, namun perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala pada ayat-ayat di atas menunjukkan adanya penegasan bahawa istighfar merupakan satu tuntutan agama yang tidak boleh dilupakan. Oleh itu adalah menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk sentiasa beristighfar bukan saja sebagai tuntutan yang perlu dipenuhi malahan untuk merebut fadhilat istighfar sebagaimana yang disebut dalam al-Quran dan hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam.

Fadhilat Beristighfar :

Banyak fadhilat atau kelebihan yang dikurniakan Allah Subhanahu wa Ta‘ala bagi mereka yang mengamalkan istighfar. Ini merupakan peniup semangat agar hamba-hambaNya akan tekun melakukan istighfar.

Allah Subhanahu wa Ta‘ala ada menerangkan mengenai dengan fadhilat beristighfar pada beberapa ayat di dalam al-Qur’an, antaranya, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman maksudnyanya: “Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya, supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Dia akan memberi kepada kamu tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal saleh) akan pahala kelebihan itu.”
 (Surah Hud: 3)

Ayat di atas menerangkan bahawa antara kelebihan istighfar dan taubat ialah Allah akan memberi nikmat dengan kurniaanNya yang berupa keluasan rezeki dan kesenangan hidup serta tidak menimpakan azab kepada orang-orang yang beristighfar dan bertaubat kepadaNya.

Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga menjanjikan syurga bagi mereka yang memohon keampunan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan menyesali atas segala perbuatannya sebagaimana dalam firmanNya:

Tafsirnya: “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah – dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka pula kekal di dalamnya, dan demikian itulah sebaik-baik balasan bagi orang yang beramal.”
 (Surah al-Imran: 135-136)

Menurut Qatadah Rahimahullah: “Al-Qur’an menunjukkan kepada kamu tentang penyakit bagi kamu dan penyembuh (ubat) bagi kamu. Adapun penyakit bagi kamu adalah dosa dan penyembuh (ubat) bagi kamu adalah istighfar”.

Berkata Sayyidina Ali Radhiallahu ‘anhu: “Satu keajaiban pada siapa yang binasa (kerana dosa), namun bersamanya penyelamat”. Ditanyakan kepadanya: “Apa dia (penyelamat itu)?” Beliau menjawab: “Istighfar”.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam juga ada menerangkan tentang fadhilat istighfar, antaranya; Dalam sebuah hadis qudsi, Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa dia mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda:

Maksudnya: “Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman: “Wahai anak Adam, jika engkau berdoa dan berharap padaKu, nescaya Aku mengampuni dosa-dosamu yang ada padamu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, jika dosamu mencapai awan sekalipun, kemudian engkau meminta ampun padaKu, nescaya Aku ampunkan engkau dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, jika engkau datang padaKu membawa dosa sepenuh bumi sekalipun, lalu engkau mendatangiKu tanpa menyekutukanKu dengan sesuatu, Aku akan mendatangimu dengan keampunan yang sepenuhnya”.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Busr Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alahi wassalam bersabda:

Maksudnya: “Bersabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam: “Alangkah beruntungnya sesiapa yang mendapati di dalam lembarannya (amalannya), bahawa amal istighfar (nya) begitu banyak.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa mereka yang sering mengamalkan istighfar akan mendapat keuntungan kerana besarnya kelebihan yang terdapat dalam lafaz istighfar. Keuntungan ini merupakan rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada hamba-hambaNya serta ganjaran atas ketaatan mereka kepadaNya.

Al-Aghar al-Muzani Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya tertutup hatiku, dan sesungguhnya aku memohon ampun kepada Allah setiap hari sebanyak seratus kali.” (Hadis riwayat Muslim)

Dalam sebuah hadis yang lain pula, Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan:

Maksudnya: “Bersabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam: “Sesiapa yang selalu beristighfar, nescaya Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesedihan dan memberinya rezeki tanpa diduga olehnya”.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Dari ayat-ayat al-Qur’an dan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam di atas, maka dapat diambil kesimpulan bahawa fadhilat istighfar itu antaranya adalah:

1) Memperoleh keampunan dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala atas segala dosa yang dilakukan samada sengaja atau tidak.

2) Menyenangkan hati dari kegelisahan dan gundah gulana kerana dosa yang dilakukan.

3) Mendekatkan diri kepada Allah Subhanhu wa Ta‘ala kerana istighfar bukan hanya terbatas kepada permohonan ampun saja tapi juga sebagai bukti ketaatan kepada Allah Subhanahu Ta‘ala dan untuk mencapai keredhaanNya.

4) Memperolehi perlindungan dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala daripada tipu daya serta hasutan syaitan kerana menghiasi lidah dengan istighfar merupakan salah satu perkara yang dibenci oleh syaitan.

5) Memelihara diri dari melakukan dosa atau kesalahan yang belum dilakukan kerana dengan istighfar dapat membersihkan hati dari lalai dan lupa akan tanggungjawab terhadap apa yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan apa yang dilarangNya.

6) Memperoleh keutamaan dan anugerah dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala berupa nikmat bagi sesiapa yang mengamalkannya seperti diberi kelapangan, kesenangan, kesihatan serta rezeki yang melimpah.

Sedikit tambahan dari saya : saya pernah mendengar dari suatu Majlis Ilmu dan Dzikir, berkata seorang Habib (saya lupa namanya) bahwa dengan istighfar akan menurunkan hujan, sedangkan hujan itu air, air merupakan sumber kehidupan, berarti dengan istighfar maka Allah akan mendatangkan 'Kehidupan' yang artinya sebagai rezeki.Wallahu 'alam bishawaf


(Di petik daripada tulisan Ryan Hidayatullah Sang Pencari)

Wednesday, August 24, 2011

Menghidupkan dan Menghayati Malam Lailatul Qadar

ŰŁًÙ„ŰłَّÙ„Ű§َمُ Űčَلَيْكُمْ
ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
‘Ubadah bin as-Shamit berkata: “Bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam keluar akan memberitahukan tentang Lailatul Qadr, lalu ada dua lelaki di antara kaum muslimin bertengkar maka baginda bersabda: “Sesungguhnya aku keluar untuk memberitahukan kalian tentang Lailatul Qadr. Tetapi sesungguhnya si Fulan dan si Fulan bertengkar sehingga diangkatlah (ilmu tentang waktu Lailatul Qadr). Namun mudah-mudahan hal itu lebih baik bagi kalian. Carilah Lailatul Qadr pada malam tujuh, sembilan dan lima (yang terakhir).” (Hadis riwayat Bukhari).

Dalam riwayat yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : “Aku keluar untuk mengkhabarkan kepada kamu berkenaan Lailatul Qadar, tetapi ada dua orang sedang berselisih sehingga pengetahuan berkenaannya tidak diberikan. Mudah-mudahan ini lebih baik bagi kamu, carilah di malam 29, 27, 25 (dan dalam riwayat lain, pada malam ke tujuh, sembilan dan lima).” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/232))

Kita sama-sama telah berada pada puasa yang ke 24 dan pada malam ini kita berada pada malam ke 25 Ramadan. Ini bermakna pada malam ini kita berada pada malam ganjil ke 3 dan ada 2 lagi malam ganjil yang mana baginda SAW menyatakan bahawa Lailatul Qadar berada pada malam-malam ganjil.

Berdasarkan hadis riwayat Bukhari di atas secara khusus Nabi SAW menjelaskan bahawa Lailatul Qadar kemungkinan besar berada di dalam malam ke 25, 27 dan 29. berbandiang malam ke 21 dan 23.

Oleh itu saya berpesan pada diri saya sendiri dan kepada kalian semua anggaplah malam ini (25 Ramadan) seolah-olah  malam Lailatul Qadar dan buatlah persiapan serapi mungkin kerana jika jatuh Lailatul Qadar pada malam ini sungguh besar ganjarannya di sisi Allah SWT. Segala amal ibadah, solat fardu dan solat terawih, solat tahajjud, berdoa dan munajat, zikir, bacaan al-Quran, sedekah dan amal-amak soleh yang lain fadilatnya lebih baik daripada 1000 bulan. Maksud lebih baik daripada 1000 bulan adalah amalan kita kebaikannya  melebihi 1000 bulan.

Pada malam Lailatul Qadar turun para malaikat rahmat dan membawa rezeki dan mendoakan kesejahteraan orang mukmin yang sedang beribadah  dan berikhtikaf di masjid.

Doa pada malam itu mustajab di sisi Allah SWT dan terbuka pintu-pintu langit. Turun rahmat Allah SWT mencurah-curah bagaikan hujan , amat rugilah sesiapa yang mensia-siakan malam yang penuh berkat ini dengan tidur atau melakukan perbuatan yang tidak berfaedah.

Antara kelebihan Lailatul Qadar ialah malaikat yang berada di Sidratul Muntaha turun ke bumi dengan izin Allah pada malam itu. Sidratul bererti pokok bidara manakala Muntaha ialah sempadan iaitu sempadan sebelah atas langit, selepas langit yang ke tujuh. Semasa peristiwa Isra’ Mikraj, malaikat Jibril hanya boleh menghantar Rasulullah s.a.w. hingga setakat pokok bidara ini sahaja.

Firman Allah SWT maksudnya :  [13] Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi, [14] Di sisi “Sidratul-Muntaha”; [15] Yang di sisinya terletak Syurga “Jannatul-Makwa”.(Surah an-Najm ayat 13-15)

Bermula solat magrib berjemaah, selepas itu perbaharui niat-niat yang baik untuk membela agama Allah SWT, menegakkan Islam dan melaksanakan amar makruf nahi mungkar, perbanyakkan berdoa minta kebaikan di dunia dan akhirat dan minta dijauhi oleh Allah SWT daripada seksaan api neraka. Dan juga berdoa dengan doa yang diajarkan Nabi SAW kepada Aisyah "Allaahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘annii (wahai Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, Engkau suka memaafkan, maka maafkanlah daku).

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesiapa yang menghidupkan malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas dan sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Malam itu tidak panas dan tidak sejuk dan pada paginya matahari naik tidak banyak cahayanya kerana banyak malaikat turun naik pada malam itu:

Dan dari Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu, ia berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:“Malam al-Qadar adalah malam yang indah penuh kelembutan, cerah, tidak panas dan tidak juga dingin. Manakala pada keesokan harinya sinar mataharinya kelihatan melemah kemerah-merahan.” (Hadis Riwayat ath-Thayalisi (394), Ibnu Khuzaimah (3/231), al-Bazzar (1/486) dan sanadnya hasan)

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Pagi hari (setelah) Lailatul Qadar, matahari terbit tidak menyilaukan (tanpa sinar), seakan-akan ia bejana sehinggalah ia meninggi.” (Hadis riwayat Muslim (762))

Dalam Mu’jam At-Tobarani Al-Kabir daripada Waailah bin Al-Asqa’ daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang maksudnya : "Malam Lailatul Qadar bersih, tidak sejuk, tidak panas, tidak berawan padanya, tidak hujan, tidak ada angin, tidak bersinar bintang dan daripada alamat siangnya terbit matahari dan tiada cahaya padanya(suram)."

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita menghidpkan malam ini dan baki malam  yang lain dihujung Ramadan ini dengan amalan yang bersungguh-sungguh. Jangan leka dan buang masa sia-sia kerana Ramadan yang akhir inilah yang menentukan kedudukan kita disisi Allah SWT samaada kita menjadi orang mukmin yang bertakwa atau seorang muslim yang berdosa di sisi Allah SWT.

Ibadah puasa kita dan seluruh amal ibadah kita akan dinilai dan digandakan oleh Allah SWT tanpa batas kerana malaikat tidak mampu mencatat pahala puasa yang ikhlas kepada Allah SWT. Kebaikan malam Lailatul Qadar melebihi 1000 bulan itu juga sesuatu yang tidak mampu dicatatkan oleh malaikat berapa jumlah pahalanya kerana yang akan menilai dan memberikan pahala adalah Allah SWT.

Tuesday, August 23, 2011

Tanggungjawab Suami Terhadap Isteri dan Ahli Keluarganya

ŰŁًÙ„ŰłَّÙ„Ű§َمُ Űčَلَيْكُمْ
ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْمِ
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Seorang suami yang bertanggungjawab akan menyediakan nafkah zahir seperti makan-minum, pakaian, rumah, kenderaan dan pendidikan formal (bersekolah). Kedudukan keperluan zahir ini bergantung kepada kemampuan suami dan Islam tidak membebankan suami yang kurang berkemampuan untuk menyediakan keperluan asas yang lengkap seratus peratus.

Tetapi bagaimana pula dengan tuntutan nafkah batin? Rata-rata masyarakat sekarang memahami bahawa tuntutan nafkah batin itu sekadar untuk melepaskan keperluan seks melalui jalan yang sah dan tidak lebih dari itu. Bila pandangan mereka menjadi sempit, maka timbullah berbagai masalah di dalam rumahtangga. Contohnya, ahli keluarga tidak pandai bersembahyang, tidak pandai membaca al-Quran, meninggalkan berpuasa dan tidak tahu hukum halal dan haram. Isteri dan anak-anak hidup terbiar tanpa asuhan dan dididkan Islam yang sewajarnya.

Nabi S.A.W. telah mengingatkan para suami dengan sabdanya yang bermaksud:
"Takutlah kepada Allah dalam memimpin isteri-isterimu, kerana sesungguhnya mereka adalah amanah yang berada di sampingmu; barangsiapa tidak memerintahkan sembahyang kepada isterinya dan tidak mengajarkan agama kepadanya, maka ia telah berkhianat kepada Allah dan Rasul-Nya." 

Menunaikan nafkah batin bererti mengajar isteri dan anak-anak dengan ilmu serta didikan agama yang sempurna sehingga terbentuknya sebuah keluarga yang dianggotai oleh mereka yang soleh dan solehah. Barangsiapa yang cuai atau lari daripada tanggungjawab ini bererti dia telah menempah jalan ke neraka.

Nabi S.A.W. pernah  sabda maksudnya : "Tidak ada seseorang yang menjumpai Allah S.W.T. dengan membawa dosa yang lebih besar daripada seorang suami yang membodohkan ahli keluarganya."

Apakah ilmu-ilmu dan didikan yang mesti diajarkan oleh seorang suami kepada ahli keluarga? Setiap suami bertanggungjawab mengajar anak isterinya ilmu-ilmu fardu ain iaitu ilmu tauhid, fekah dan tasauf.

Tujuan mempelajari ilmu tauhid supaya akidah mereka bertepatan dengan fahaman ahli sunnah wal jamaah. Mengajarkan konsep Kalimah Tayyibah itu (yakni kalimah la ilaha illAllah - Ù„Ű§ Ű§Ù„Ù‡ Ű§Ù„Ű§ Ű§Ù„Ù„Ù‡) dan memberi kefahaman mengenai Tauhid Rububiyah dan Tauhid Uluhiyah. Menjelaskan dan mempercayai satu persatu mengenai rukun-rukun Iman. Jika suami kurang berkemampuan mengajar agama kepada isteri dan anak-anak maka perlu dihantar kepada guru-guru yang bertuliah untuk memberi pendidikan agama.

Suami juga bertanggungjawab mendidik isteri, berakhlak mulia terhadapnya dan terhadap anak-anak, ibubapa, sesama isteri-isterinya (jika berpoligami) , rakan-rakan, jiran tetangga serta masyarakat.

Suami perlu memberitahu isteri tentang adab seorang isteri bersopan santun dalam segala percakapan dan tindakannya. Juga tentang akhlak semasa bersama anak-anak iaitu berbual dengan mereka dengan bahasa yang baik dan jangan suka memaki-hamun mereka dengan bahasa yang kesat. Kerana sesungguhnya kata-kata ibu itu mengandungi doa ; jika tercetus dari mulut ibu kata-kata yang tidak elok maka di khuatiri akhlak anak seperti apa yang diucapkannya.

Ajarkan juga isteri supaya menghormati dan beradap sopan ketika berhadapan dengan ibubapa dan mertuanya. Memuliakan keluarga suami lebih daripada yang lain. Sentiasa memberi nasihat kepada isteri jika ia suka mengumpat, berleter atau memfitnah jiran tetangganya.

Ingatkan isteri supaya jangan suka menceritakan keburukan dan kelemahan suami kepada orang lain. Selalu ingatkan isteri supaya banyak bersabar dalam menempuh segala ujian dan perintah-perintah Allah S.W.T.

Ajarkannya batas-batas aurat dan batas-batas pergaulan seorang wanita. Pastikan auratnya terkawal ketika pergaulan dengan sanak saudara, sahabat-sahabat perempuan, dan ketika berhadapan dengan lelaki yang bukan mahramnya. Dan supaya isteri tidak keluar rumah tanpa izin daripada suami.

Isteri yang berjaya dididik dengan baik akan menjadi insan yang patuh kepada Allah SWT dan taat pada suaminya dikala susah mahupun senang. Dia akan menjadi insan yang sentiasa menjadi pendorong serta penasihat kepada suami dalam hal-hal kebaikan.

Sahabat yang dimuliakan,
Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan." (Surah at-Tahrim ayat 6)

Allah S.W.T. menyuruh orang-orang beriman agar memelihara dirinya dan ahli keluarganya daripada api neraka, maksudnya; 'Peliharalah diri kamu' itu bukan sahaja sekadar mentaati segala perintah Allah tetapi juga adalah menjauhi segala larangan Allah kepada diri kita seperti dosa-dosa besar, dosa-dosa kecil dan juga larangan yang mendatangkan boleh menimbulkan fitnah dan syubhah.  Contoh  dosa-dosa besar seperti berzina, minum arak, makan riba, mencuri dan lain-lain. Manakala dosa-dosa kecil seperti melihat sesuatu yang diharamkan oleh Allah atau bergaul lelaki perempuan yang diharamkan oleh Allah dan sebagainya. Dalam perkara syubhah dan makruh juga perlulah dielakkan kalau kita hendak memelihara diri daripada seksa api neraka.

Allah S.W.T. . maksudkan 'Ahli keluarga kamu' itu ialah, isteri-isteri kita, anak-anak, orang-orang gaji dan sesiapa saja yang di dalam jagaan kita. Tanggungjawab kita kepada ahli keluarga ialah menjaga, mendidik, mengajar dan memimpin mereka dalam melakukan perkara-perkara sepertimana yang Allah S.W.T. memberi tanggungjawab pada diri kita sendiri. Perlulah disuruh anak isteri melakukan perkara-perkara yang berbentuk fardu ain dan fardu kifayah dan perkara-perkara sunat yang lain. Wajib pula menghalang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah seperti berzina, mencuri, dedah aurat, mengumpat, hasad dengki, takbur, riak dan lain-lain lagi.

Jelaslah di sini bahawa peringatan Allah SWT dalam memelihara diri kita bukanlah terhad kepada diri kita sahaja, ia adalah meliputi seluruh keluarga kita serta mereka-mereka yang berada di dalam jagaan dan keluarga kita. Kalau kita tidak memimpin dan mendidik ahli keluarga kita, kita masih lagi belum terlepas dari seksaan api neraka. Kerana Allah telah perintahkan, "Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu."

Daripada hadis Rasulullah S.A.W. yang menunjukkan bagaimana amalan seseorang itu walau sebesar manapun akan hapus disebabkan ia tidak melaksanakan tanggungjawabnya terhadap isteri dan anak-anaknya dan semua mereka yang berada di dalam jagaannya, maka berkatalah malaikat, bahawa inilah orangnya yang telah menghapuskan semua amalan kebajikan oleh ahli-ahlinya dan anak-anaknya semasa di dalam dunia.

Adalah diriwayatkan oleh setengah-setengah ulama bahawa sesungguhnya syarat pertama untuk memasuki syurga  kepada seseorang lelaki itu ialah isteri dan anak-anaknya. Apabila seorang lelaki hendak dibawa ke syurga kerana amal solehnya, tiba-tiba isteri, anak-anak dan orang-orang yang dibawah tanggungannya  mengadu kepada Allah SWT bahawa suaminya atau bapanya tidak melaksanakan kewajipan mengajarkan agama kepada mereka semasa di dunia maka lelaki tersebut akan ditarik oleh ahli keluarganya ke neraka. 

Sahabat yang dikasihi,
Seorang lelaki yang telah sempurna amal solehnya belum tentu dengan mudah untuk dia memasuki syurga Allah SWT sebelum dia menyempurnakan tanggungjawabnya terhadap  ahli keluarganya terlebih dahulu. Oleh itu marilah kita sama-sama berusaha mendidik diri kita, ahli keluarga , jiran tetangga dan masyarakat kita seluruhnya kepada ajaran Islam, mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran dan istiqamah diatas jalan yang hak.

Teruskan Beramal Soleh Dan Jangan Menangguhkan Amalan Untuh Meraih Keredaan Allah

ŰŁًÙ„ŰłَّÙ„Ű§َمُ Űčَلَيْكُمْ
ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Di dalam setiap urusan di dunia ini, yang paling penting adalah dipenghujungnya. Berjaya atau gagal sesuatu urusan atau amal itu adalah dilihat dipenghujungnya. Contohnya sesuatu pertandingan untuk diberikan hadiah adalah acara terakhir siapa berjaya memenanginya maka hadiah tersebut layak untuknya, seorang bekerja untuk mendapat gaji perlu bekerja sehingga akhir bulan maka barulah layak mendapatkan gajinya, begitu juga amala ibadah kita seperti puasa diakhir puasa kita nanti adakah kita layak mendapatkan takwa daripada Allah SWT?. Allah SWT menurunkan malam lailatul qadar juga di 10 malam yang terakhir. Syarat untuk kita layak memasuki syurga Allah SWT juga ditentukan di akhir hayat kita samaada mendapat husnul khatimah atau su'ul khatimah.

Iblis laknatullah akan cuba membisikkan, menggoda dan memesongkan amalan anak Adam supaya rosak dan tidak diterima oleh Allah SWT. Pertama iblis akan cuba menggoda supaya manusia syirik kepada Allah SWT. Jika tidak berjaya dia akan menyuruh melakukan dosa-dosa besar, perkara haram . Jika gagal juga dia akan menyuruh manusia memandang ringan dosa-dosa kecil dan berterusan dengan dosa-dosa kecil. Jika gagal dia suruh buat yang syubahat dan makruh, jika gagal lagi dia akan suruh berlebih-lebihan perkara yang harus dan akhir sekali dia akan menyuruh manusia menangguh-nangguhkan amalan ibadah, amal soleh dan amal kebaikan.

Ingatlah! Menanguh-nangguhkan amal ibadah, amal soleh dan amal kebaikan adalah hasil daripada godaan iblis dan syaitan.

Apabila manusia terperangkap dengan tipu daya iblis dan syaitan maka manusia sendiri akan rugi kerana kurang mempersiapkan dirinya dan beramal soleh ketika hidup di dunia .

Apabila manusia semuanya dikumpulkan di Padang Mahsyar, dan menerima azab kepanasan mata hari sejengkal di atas kepala manusia menyesal, 'kenapakan aku dahulu tidak beramal sehingga aku termasuk di dalam 7 golongan yang akan mendapat perlindungan Arasy?' .

Abu Hurairah ra telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: ” Terdapat 7 golongan yang akan mendapat lindungan arasyNya pada hari yang tiada lindungan melainkan lindungan daripadaNya. 1.Pemimpin yand adil; 2. pemuda yang masanya dihabiskan untuk beribadah kepada Allah SWT; 3. seseorang yang hatinya terpaut pada masjid; 4. dua  lelaki yang berkasih sayang dan bertemu dan berpisah kerana Allah SWT; 5. lelaki yang digoda oleh perempuan cantik dan berpengaruh untuk melakukan maksiat tetapi dia menolak dengan mengatakan Aku Takutkan Allah; 6. seseorang yang bersedekah dan menyembunyikannya sehinggakan tangan kanannya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kirinya; dan 7. seseorang yang mengingati Allah ketika bersendirian sehinggakan mengalir air matanya kerana Allah SWT.” (Hadis Riwayat Muslim)

Begitu juga apabila di timbang amalan manusia di Mizan, dan timbangan amalan kebaikannya sedikt berbanding dengan amalan kejahatannya ataupun amalannya 50:50 (kebaikan dan kejahatan sama banyak) maka dia akan menyesal kenapa di dunia dahulu tidak suka bersedekah, berakhlak mulia dan tidak banyak berzikir kepada Allah SWT.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Dermawan itu merupakan suatu pohon yang akarnya di syurga dan dahan-dahannya menurun ke dunia. Maka barangsiapa yang berpegang kepadanya akan ditarik ke syurga. Kedekut (kikir) itu pohon yang asalnya di dalam neraka sedang dahan-dahannya menurun ke dunia. Maka barangsiapa yang berpegang kepadanya akan ditarik ke neraka." (Di riwayatkan oleh Aishah r.anha)

Nabi SAW bersabda maksudnya :  “Tidak ada sesuatu yang lebih berat timbangannya (kelak diakhirat) dari pada akhlak yang mulia.”

Dari Abu Hurairah: Rasulullah SAW bersabda maksudnya, “Ada dua buah kalimat yang ringan di lisan namun berat di dalam timbangan, dan keduanya dicintai oleh ar-Rahman, yaitu ‘Subhanallahi wabihamdihi, subhanallahil ‘azhim’.” (Hadis Riwayat Bukhari [7573] dan Muslim [2694])

Manusia akan menyesal kerana disaat nyawa telah sampai dikerongongnya, dia tahu bahawa dia akan bertemu Allah SWT dan dia telah dilihatkan tempatnya di hari akhirat maka ketika ini datanglah rasa penyesalan yang amat sangat .

Inilah saat yang sangat mengejutkan dan mengerikan ibarat melihat panahan petir sewaktu hari sedang panas terik. Saat itu simati akan teringat terhadap ancaman Allah SWT yang berupa Neraka Jahannam, yang mungkin pernah didengar atau dibaca sebelum saat nazaknya. Firman Allah SWT maksudnya : "Dan pada hari itu, diperlihatkan Neraka Jahanam ; dan pada hari itu ingatlah kalian akan tetapi tidak berguna lagi mengingati itu baginya. Dan dia berkata , "Alangkah baiknya kiranya aku dahulu mengerjakan amal soleh untuk hidupku ini. Maka pada hari itu tiada seorang pun yang menyeksa seperti seksaan-Nya dan tiada seorang pun yang mengikat seperti ikatan-Nya" (Surah al-Fajr ayat 23-26)

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan belanjakanlah (bersedekah) sebagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu; lalu ia berkata: "Ya Rabb-ku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian)ku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang soleh?" (Surah al-Munafiqun ayat 10)

Sahabat yang di muliakan,
Nafsu kita sebenarnya suka berehat-rehat, buang masa dengan berbual kosong, menonton filem-filem di TV, menangguh-nangguhkan amal soleh, kurang melaksanakan amalan sunat dan banyak makan, banyak tidur dan suka membazir. Perkara yang lebih teruk lagi jika kita suka mengumpat, memfitnah, mengadu domba dan suka menyakiti hati orang lain.

Kita sedang berada di malam ke 10 terakhir Ramadan tetapi kenapa kita masih kurang mengisi malam dengan beribadah, bersolat, berdoa, berzikir dan membaca al-Quran? Sedangkan kita tahu bahawa sekiranya kita bertemu Lailatul qadar amalan kita lebih baik daripada 1000 bulan.? Ingatlah amalan kita disaat-saat akhir ini akan menentukan ibadah puasa kita samaada berhasil menatijahkan takwa dan dosa-dosa kita diampunkan oleh Allah SWT ataupun mendapat 'kutukan malaikat' kerana berakhirnya Ramadan nama kita masih tertulis dipintu neraka dan dosa-dosa kita tidak diampunkan oleh Allah SWT. Nauzubillahiminzalik.

Oleh itu marilah kita bermuhasabah dan semak diri kita masing-masing kemanakah arah tujuan kehidupan kita yang ingin kita capai , adakah kita berhajat meraih reda dan rahmat Allah SWT dengan mendapat balasan syurga atau membiarkan diri kita hanyut dibawa arus hawa nafsu dan bisikan syaitan hingga merugikan hidup kita di dunia dan hari akhirat.

Monday, August 22, 2011

Rahsia Untuk Menjadi Isteri Solehah

 ŰŁًÙ„ŰłَّÙ„Ű§َمُ Űčَلَيْكُمْ
 ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
 
Sahabat yang dirahmati Allah,
Baitul muslim atau rumah tangga Islam adalah lahir daripada gabungan suami dan isteri yang soleh dan solehah. Tanpa wujud kedua-duanya atau salah satunya tidak soleh maka akan berlaku kekurangan dan kepincangan maka tidak mungkin baitul muslim tersebut dapat dibena untuk menjadi rumahtangga bahagia.

Isteri yang  solehah adalah komponen penting untuk membentuk rumahtangga bahagia tetapi sebaliknya jika para isteri yang tidak memahami akan tanggungjawabnya sudah pasti akan melahirkan rumahtangga yang kucar-kacir. Kita sedar dan faham terdapat tiga perkara yang membahagiakan iaitu  isteri yang solehah, jiran-tetangga yang baik dan kenderaan yang sempurna.
Wanita adalah penentu buruk baik sebuah masyarakat. Sedangkan masyarakat yang baik lahir dari rumahtangga dan keluarga yang bahagia. Wanita dengan sifat kehalusan yang dianugerahi oleh Allah SWT, sesuai sekali sebagai pengasuh, pendidik anak-anak, pembimbing dan juga penghibur hati suami. Dari sifat asal dengan kehalusan sifat kewanitaan ini jika dididik dan diasuh serta dihalusi hatinya sejak awal-awal maka akan melahirkan kematangan berfikir dan tingkah laku yang mulia sebagai persiapan seorang isteri yang solehah, sudah pasti berhasil.

Ada yang bertanya, bagaimana saya mahu menjadi wanita atau isteri solehah. Adakah perlu warak (kuat beribadat), mempunyai ilmu Islam yang tinggi atau pandai menafsir al-Quran?

Jika memiliki kelebihan tersebut adalah bonus, tetapi jika tidak memiliki sepenuhnya masih layak menjadi isteri yang solehah.

Sebenarnya untuk menjadi isteri solehah bukanlah suatu perkara sukar, dia mesti pandai menghibur dan melayan suami dengan mempersembahkan segala kemesraan, kemanjaan dan cinta sepenuh hati sehingga suami sentiasa rindukan dirinya dan merasai seronok berada disampingnya. Hanya dengan senyuman yang manis dan menambat hati suami, mereka boleh menduduki carta itu.
 

Sekiranya senyuman isteri yang dilakukan dengan ikhlas semata-mata untuk suami lebih baik daripada menggunakan produk alat solek jenama mahal yang berharga ratusan ringgit.

Pandangan yang mesra dan lembut ibarat celak yang paling indah menghiasai sepasang matanya. Kelembutan dan kehalusannya berbicara seperti pakaian yang paling cantik dipakainya.


Sahabat yang dimuliakan,
Suami mana akan memandang ke belakang apabila isterinya sentiasa harum dan bersih. Malah, aroma itu pasti memikat selera suami untuk sentiasa berada di samping isteri daripada berborak bersama rakan di kedai kopi.

Berapa ramai isteri yang memberikan senyuman manis, pandangan yang mesra dan lembut serta wajah yang berseri-seri ketika mengiringi suami keluar rumah atau menyambut kepulangannya di muka pintu.?

Rasululullah SAW pernah bersabda bahawa isteri solehah ialah yang menggembirakan suaminya apabila suami melihat kepadanya.



Sabda Rasulullah SAW. dari Ibnu Abbas r.a maksudnya : "Maukah aku berikan kepadamu sebaik-baik benda yang disimpan? Iaitu  wanita yang soleh. Apabila suaminya melihat kepadanya, gembiralah dia; apabila suaminya perintah akan dia, taatlah ia padanya dan apabila suaminya meninggalkannya, ia akan memelihara nama baik suaminya."
(Hadis Riwayat Abu Daud)

Dari hadis di atas jelaslah kepada kita ukuran seorang isteri yang baik. Ia mampu melayani suami sebaik mungkin dalam segala bidang; ketaatan yang tidak berbelah-bahagi asalkan yang diredai Allah SWT dan boleh mengawal harta benda dan nama baik suaminya ketika tidak ada di rumah.
 
Bayangkan suami yang pulang dalam keadaan letih kerana beban tugas di pejabat ditambah kesesakan jalan raya, isteri yang menyambut di muka pintu menguntum senyuman, wajah yang dihiasi cantik, menolong membawa beg, membuka sarung kaki dan menyediakan minuman untuk menghilangkan dahaga.

Memang sukar mencari ciri-ciri wanita sedemikian kerana kebanyakan isteri terutama yang bekerja terlalu terbawa-bawa perangai mereka di pejabat sehingga suami tidak diberi perhatian. Akhirnya, suami jemu dan sengaja balik lewat ke rumah.

Layanan isteri kepada suami tidak perlu kepada unsur kewangan. Sebagai ketua rumah tangga, suami perlu menyediakan keperluan kepada isteri termasuk makan minum, pakaian, perhiasan dan belanja isteri.

Jika perkara ini dilaksanakan, apa alasan isteri untuk tidak memberi layanan kelas satu kepada suami.?

Beruntung isteri yang tahu melayan dan menghiburkan suami kerana selain mendapat kenikmatan, mereka juga mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT.


Bersabda Rasulullah SAW: "Sampaikanlah kepada sesiapa yang engkau temui daripada kaum wanita, bahawasanya taat kepada suami serta mengakui haknya  adalah menyamai pahala orang yang berjihad pada jalan Allah, tetapi sangat sedikit daripada golongan kamu yang dapat melakukannya."(Hadis Riwayat Al-Bazzar dan Ath-Thabrani)

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seorang wanita reda atas kehamilannya dari suaminya yang sah, sesungguhnya ia telah mendapat ganjaran pahala seperti ibadah puasa dan mengerjakan ibadah-ibadah lainnya dijalan Allah; dan jika ia merasa berat, letih atau lesu, tidaklah dapat dibayangkan oleh penghuni langit dan bumi, betapa kesenangannya disediakan oleh Allah di hari akhirat nanti. Apabila anaknya lahir, maka dari setiap teguk air susu yang dihisap oleh anak, si ibu mendapat kebajikan pahala. Apabila si ibu berjaga malam (kurang tidur kerana anak) maka si ibu mendapat ganjaran pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba sahaya kerana Allah.” (Hadis Riwayat Ibn Hibban) 

Isteri yang sengaja enggan melayan hajat suami di tempat tidur tanpa alasan yang menasabah akan dilaknat malaikat kerana tidak menunaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri.

Nabi SAW bersabda maksudnya :  "Jika seorang suami memanggil isterinya datang ke katilnya (iaitu untuk hubungan kelamin) dan dia menolak, dan menyebabkan suaminya tidur dalam kemarahan, malaikat-malaikat akan mengutuknya hingga waktu pagi."
(Hadis Riwayat  Bukhari)  

Menurut satu kajian mendapati suami yang mendapat belaian dan kasih sayang isterinya akan cemerlang di tempat kerja dan masyarakat. Mereka tidak memerlukan apa-apa lagi melainkan isteri di sisi.

Mungkin ramai yang tidak percaya bahawa semangat suami lebih tinggi jika mendapat kasih sayang isteri. Suami manusia biasa, walaupun segagah atau segarang mana mereka, jika dimanja atau dibelai, mereka ibarat harimau jinak.

Justeru, isteri perlu mempunyai teknik atau kaedah untuk memikat suami, bukan semata-mata wajah yang jelita atau harta yang banyak.

Bayangkan ketika kecil, anak mendapat perhatian dan kemanjaan ibu bapa, tentu anak membesar menjadi manusia yang baik. Tetapi jika tiada kasih sayang ibu bapa, anak pasti membesar sebagai manusia yang tidak terkawal.

Sahabat yang dikasihi,

Oleh itu, isteri perlu faham, walau setinggi mana pangkat, kedudukan, harta dan darjat mereka, jangan lupa memberi kasih sayang dan kemanjaan kepada suami. Senyuman, kemanjaan, pakaian dan haruman dan ketaatan adalah senjata untuk memikat hati suami dan menjamin kebahagiaan rumah tangga yang sedang dibena.

Walaupun kalian belum sempurna dengan ciri-ciri isteri solehah, kalian perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi kriteria ini dengan berdoa dan berazam untuk mencapai tahap solehah yang akan meletakkan kalian menjadi perhiasan terbaik di dunia seperti  hadis Nabi SAW  yang menyatakan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah.





Sunday, August 21, 2011

Berdoa dan Bermunajat Kepada Allah SWT di 10 Malam Terakhir

ŰŁًÙ„ŰłَّÙ„Ű§َمُ Űčَلَيْكُمْ
ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Banyakkan bersyukur kepada Allah SWT sehingga disaat ini kita masih dipanjangkan umur oleh Allah SWT untuk berada difasa ke 3 Ramadan (pembebasan daripada api neraka) dan berada di sepuluh malam terakhir.

Berazamlah kita supaya diberi kekuatan oleh Allah SWT untuk meningkatkan amal ibadah kita, berikhtikaf di masjid, perbanyakkan berdoa dan bermunajat mohon kepada Allah SWT supaya kita dijauhi daripada seksaan api neraka. Alangkan hebat dan dahsyatnya seksaan api neraka kita tidak akan mampu menanggung sakitnya, jika api dunia dikenakan dihujung jari kita tak sampai 2 saat kita akan menjerit kesakitan kerana kepanasannya.

Rasulullah S.A.W. sentiasa berdoa selepas membaca tahyat akhir : "Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada azab Neraka Jahanam, daripada azab kubur, daripada ujian kehidupan dan kematian, dan daripada kejahatan ujian al-masih Dajjal."
(Hadis Riwayat Muslim)

Pertama sekali dalam doa Nabi S.A.W. adalah meminta perlindungan Allah S.W.T. daripada azab Neraka Jahanam kerana Neraka Jahanam adalah tempat balasan dan penyeksaan orang-orang kafir dan orang-orang derhaka kepada Allah S.W.T.

Abu Hurairah meriwayatkan: "Ketika Rasulullah berkata : 'Api dunia kamu adalah satu dari 70 bahagian api neraka;' lalu seseorang bertanya; 'Ya Rasulullah, adakah ia tidak akan mencukupi untuk membakar orang kafir?' Maka Rasulullah menjawab, 'Api neraka mempunyai 69 bahagian lebih dari api biasa di dunia, dan kesemuanya adalah sangat panas sebagaimana ia (api dunia).
(Hadis Riwayat Bukhari)

Betapa dahsyatnya seksaan api neraka seperti firman Allah SWT maksudnya : " Samakah mereka dengan orang yang kekal dalam neraka, dan diberi minum dengan air yang mendidih, sehingga ususnya terpotong-potong?"
(Surah Muhammad ayat 15)

Apabila membicarakan tentang berapakah dalamnya jurang api neraka? Rasanya tidak mampu kita menghitung berapakah dalamnya jurang api neraka yang di tempuh oleh perjalanan kepantasan batu besar yang jatuh dalam masa 70 tahun lamanya. Apa yang lebih mengerikan lagi ialah apabila jurang yang teramat dalam ini dipenuhi dengan bermacam-macam bentuk seksaan dan apabila sampai saatnya nanti pintu neraka itu akan di tutup serapat-rapatnya. Maka pada ketika itu, tidak ada seorang pun di antara penghuninya yang dibenarkan keluar daripadanya. Seksaan demi seksaan, habis satu jenis seksaan masuk pula pada jenis seksaan yang lain dan begitulah seterusnya. Alangkah malangnya bagi mereka yang mendapat seksaan tersebut. 

Sekali api neraka menyambar, tidak tersisa lagi daging yang membalut tulang. Kulit dan daging berguguran sehingga mereka berubah menjadi makhluk yang sangat hodoh.Nauzubillah!!

Allah SWT berfirman maksudnya :  “Muka mereka dibakar oleh api neraka, dan mereka di dalam neraka itu dalam keadaan cacat (kalihun).” ( Surah al-Mukminun ayat 104)

Dalam sunan al-Tarmizi, Rasulullah SAW mentafsir lafaz “kalihun” ini dengan sabda yang bermaksud : “Wajah mereka dibakar dengan api, maka bibir bahagian atas mereka menjulur hingga ke lehernya dan bibir bahagian bawah mereka menjulur hingga menyentuh tali pusatnya.”

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “ Ahli neraka akan melepaskan tangisan dan jeritannya sehingga kering air mata mereka. Mereka lalu menagis air mata darah sehingga meninggalkan kesan di wajah mereka seperti parit-parit. Andai sebuah bahtera dilayarkan di atasnya, nescaya ia akan berlayar”. (Hadis Riwayat Ibn Majah)

Sungguh rugi orang yang memiliki rupa yang cantik namun tidak menghiasi kecantikannya dengan iman. Sungguh rugi orang yang diciptakan dengan rupa yang tampan, namun tidak pernah membasuh mukanya dengan air mata taubat.
Rugilah orang membeli neraka dengan kenikmatan sesaat. di dunia yang sementara.   Kenikmatan yang ditawarkan hawa nafsu  akan berakhir dengan segera, sementara azab neraka tidak akan berakhir selama-lamanya.

Semoga Allah SWT menjauhkan kita daripada seksa neraka. Pada saat ini kita telah dapat membayangkan manusia yang penampilannya begitu mempesona bersolek cantik ketika di dunia kini berubah menjadi makhluk yang buruk rupa. Rawatan kecantikan yang menghabiskan jutaan ringgit di dunia ini tidak dapat menangkis bahang api neraka sedikit pun.

Sahabat yang dimuliakan,
Allah SWT bersifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya. Bulan Ramadan dijadikan oleh Allah SWT sebagai bulan rahmat, pengampunan dan pembebasan daripada api neraka, maka rebutlah sebaik-baiknya dibulan ini, tawaran Allah SWT hanya sebulan saja dalam masa setahun, kita tidak pasti tahun hadapan kita boleh bertemu Ramadan ataupun tidak.

Imama Ghazali ada menyatakan tanda puasa dan amal ibadah seseorang itu diterima oleh Allah SWT di bulan Ramadan ada tiga :
1. Dia merasakan ibadahnya terlalu sedikit dan dia perbanyakkan lagi amalan tersebut.
2. Dia merasa seronok dan nikmat melakukan amal ibadah.
3. Dia merasa prihatin terhadap nasib umat Islam yang miskin dan menderita, dia perbanyakkan sedekah dan memberikan bantuan.

Berdoalah kapada Allah Rabbul Jalil semasa qiyamulalil dan bertahajud di malam-malam 10 terakhir :

"Ya Allah ya Tuhan kami. Ampunkan semua dosa-dosa kami yang telah kami lakukan secara sengaja atau tidak secara sengaja. Yang kami ketahui dan yang tidak kami ketahui. Kami adalah hamba-hamba-Mu yang lemah dan dhaif yang sentiasa melakukan kesalahan dan dosa, sentiasa melangar peraturan dan suruhan -Mu, yang selalu leka dan lalai untuk melaksanakan tanggungjawab dan kewajipan terhadap-Mu. Jika kami bersalah ampunkanlah kami , maafkanlah kami sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun dan Maha Pemaaf.

Ya Allah ampunkan dosa kedua ibu bapa kami, kasihanilah mereka berdua,  sebagaimana mereka mengasihi kami semasa kecil,  ampunkan juga dosa isteri dan akan-anak kami, kaum keluarga , jiran tetangga  dan sahabat-sahabat kami.

Ya Allah, dibulan Ramadan yang penuh berkat ini rahmat dan pengampunan-Mu amat luas sekali kepada hamba-hamab-Mu yang berpuasa. Ya Allah terimalah ibadah puasa kami, amal ibadah kami, sedekah kami dan jihad kami. Berikanlah kami rahmat-Mu, pengampunan-Mu dan bebaskanlah kami daripada seksaan api neraka.

Ya Allah pilihlah kami semua untuk memasuki syurga-Mu melalui pintu Ar-Rayyan khusus untuk orang-orang berpuasa. Pintu Ar-Rayyan hanya Kau peruntukkan bagi orang-orang berpuasa, bukan untuk lainnya. Bila pintu tersebut sudah dimasuki oleh seluruh rombongan ahli puasa Ramadan, maka tak ada lagi yang boleh masuk ke dalamnya. Sesungguhnya bila Kau telah pilih kami memasuki syurga sebenarnya kami telah berjaya. Tunaikan hajat dan permohonan kami ini ya Allah.

Ya Allah, jika Engkau telah mentakdirkan kami tergolong di dalam golongan orang-orang yang bahagia dan berjaya di hari akhirat, maka tetaplah kami di dalam keadaan itu. Sebaliknya jika Engkau telah tetapkan kami di dalam golongan orang-orang yang celaka dan berdosa, hapuskanlah takdir itu dan masukkanlah kami ke dalam golongan orang-orang yang mendapat kebahagiaan dan keampunan-Mu.

Ya Allah ya Tuhan kami, Kau berilah sihat sejahtera kepada kami , jauhkan kami daripada mala petaka bencana dan penyakit. Jauhkan kami daripada seksaan api neraka Jahanam, seksa kubur, , fitnah hidup ada mati, pilihlah kami dapat menyebut kalimah syahadah di akhir hayat kami dan mendapat husnul khatimah, jadikanlah lubang-lubang kubur kami adalah daripada taman-taman syurga.

Ya Allah bersihkan akidah kami daripada syirik kepada-Mu, sucikan hati-hati kami daripada sifat hasad dengki, riak, sombong, bongkak, takbur, iri hati dan sifat-sifat keji yang Kau benci , dan tanamkan di dalam hati-hati kami sifat iman, takwa, sabar, syukur, lemah lembut dan jadikan hati-hati kami memiliki sifat mahmudah.

Ya Allah pertemukanlah kepada kami dengan lailatul qadar, malam kemuliaan yang lebih baik daripada 1000 bulan, temukanlah kami dimalam al-qadar dengan malaikat-Mu yang mulia Jibril a.s yang membawa rahmat dan rezeki pada malam itu dan berikanlah kepada kami tanda-tandanya. kerana kami yakin dengan sabda Rasul-Mu Nabi Muhammad SAW. " Sesiapa menghidupkan malam kemuliaan (Lailatul Qadr ) kerana beriman serta mencari pahala yang dijanjikan akan mendapat pengampunan daripada dosa-dosa yang telah lalu "

Ya Allah izinkanlah kami bertemu Ramadan yang akan datang dan jadikanlah hati-hati kami sentiasa mengingati-Mu  samaada ketika kami berseorangan atau dengan orang lain. Jadikan kami sentiasa berbaik sangka dengan qadak dan qadar-Mu dan sentiasa reda dengan takdir yang telah Kau tetapkan.

Ya Allah berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan lindungilah kami daripada seksaan api Neraka."







Saturday, August 20, 2011

Kelebihan Orang-orang Yang Mati Syahid (Syuhada)

ŰŁًÙ„ŰłَّÙ„Ű§َمُ Űčَلَيْكُمْ
ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap manusia akan mati dan kematian datang bila-bila masa samaada manusia sudah buat persiapan atau belum membuat persiapan. Kematian ditentukan oleh Allah SWT samaada kematian dengan  mendapat husnul khatimah atau su'ul khatimah.

Nabi SAW mengajar kita supaya sentiasa berdoa setiap saat dan masa semoga Allah SWT kurniakan kita husnul khatimah (kematian yang baik) dan menjauhkan daripada su'ul khatimah (kematian yang buruk).

Di kalangan hamba-hamba Allah SWT ada diantara mereka dipilh oleh Allah SWT mendapat mati syahid iatu kematian yang sangat mulia, dan menjadi idaman para mukmin dan solihain kerana mati syahid adalah kematian yang terlepas daripada seksa kubur dan kegawatan di Padang Mahsyar. Mereka yang mati syahid akan dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab.

Dalam Islam, mati syahid (bahasa Arab: ŰŽَÙ‡ÙŠŰŻ ‎ ĆĄyahÄ«d, jamak: ŰŽُهَۯۧۥ ĆĄyuhadā’) ertinya muslim yang mati ketika berperang atau berjuang di jalan Allah membela kebenaran atau mempertahankan hak dengan penuh kesabaran dan keikhlasan untuk menegakkan agama Allah. Siapa yang berjuang membela harta miliknya, jiwanya, keluarganya, agamanya, dan meninggal dalam perjuangannya itu, maka ia meninggal fi sabilillah atau mati syahid. Mati syahid merupakan cita-cita tertinggi umat Islam. Salah satu jalan menuju mati syahid adalah berjuang di jalan Allah (jihad fi sabilillah).

Sejarah membuktikan bukan sedikit umat Islam yang gugur sebagai syahid terutama melalui perjuangan menentang golongan kafir.

Dalam perjuangan peringkat awal kebangkitan Islam dibawah pimpinan Rasulullah SAW jumlah yang syahid ialah perang Badar (14) , perang Uhud (71), perang Khandak/Ahzab (6), perang Khaibar (21), perang Muktah (12) serta perang Hunain dan Taif (16).

Dalam perang Uhud,  bapa saudara Rasulullah SAW, Hamzah bin Abd Mutalib, gugur syahid.

Orang pertama gugur syahid dalam Islam ialah Sumayyah binti Khayyat, ibu kepada Ammar bin Yasir yang mati kerana mempertahankan agama Allah di tangan pemuda Quraisy Makkah, Abu Jahal.

Hakikat sebenarnya mereka yang mati syahid bukanlah mati tetapi mereka hidup di sisi Allah SWT dan sentiasa mendapat rahmat dan rezeki daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "dan jangan sekali-kali Engkau menyangka orang-orang Yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (Mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka Dengan mendapat rezeki;(169)
(dan juga) mereka bersukacita Dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) Yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira Dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam Yang sedang berjuang), Yang masih tinggal di belakang, Yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (Iaitu) Bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian Yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.(170). Mereka bergembira Dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan (ingatlah), Bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang Yang beriman" (171)
(Surah Ali-Imran ayat 169-171)

Asbabun Nuzul ayat 169-171 :

Ibnu Abbas r.a. menjelaskan bahawa suatu saat Rasulullah SAW bersabda,"Allah telah menjadikan ruh saudara-saudaramu yang gugur di medan Uhud berada di dalam rongga burung berwarna hijau yang berada dipinggir sungai di syurga. Burung itu memakan buah-buahan syurga kemudian bertengger di atas lampu-lampu yang terbuat dari emas yang tergantung di bawah Arasy. Saat mereka telah mendapat makanan, minuman, dan tempat tidur yang menyenangkan, mereka berkata, 'Jika saudara kita yang masih hidup di dunia mengetahui apa-apa yang Allah berikan kepada kita, mereka tidak akan meninggalkan jihad di jalan Allah dan tidak akan lari dari medan perang." Lalu turunlah ketiga-tiga ayat ini.(Hadis sahih riwayat Hakim diriwayatkan Ahmad, Abu Daud, Hakim dan Tirmidzi)

Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman yang bermaksud :

"Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa Yang terbunuh Dalam perjuangan membela ugama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang Yang hidup (dengan keadaan hidup Yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya". (Surah al-Baqarah ayat 154)

Asbabun Nuzul ayat 154 :

Ibnu Abbas r.a mengatakan bahawa Umar bin al-Hammam r.a gugur dalam Perang Badar, Allah lalu menurunkan ayat ini, terkait dengan Umar r.a dan sahabat-sahabat lain yang gugur sebagai syuhada. (Hadis Riwayat Ibnu Mandah. Lihat al-Wahidi : 36-37)

Sahabat yang dimuliakan,
Alangkah mulianya mereka yang mendapat gelaran para syuhadah , sentiasa mendapat rezeki dan nikmat yang sungguh besar dikurniakan oleh Allah SWT  jika boleh mereka ingin kembali kedunia dan mereka ingin mati syahid sekali lagi kerana betapa nikmatnya mati sebagai para syuhadah.

Anas bin Malik ra.berkata : Dari Nabi SAW. baginda bersabda maksudnya : "Tidak ada satu jiwa pun yang mati dan akan memperoleh kebajikan yang menggembirakannya di sisi Allah kerana dia dapat kembali ke dunia bukan kerana untuk memperoleh dunia serta isinya kecuali orang yang mati syahid. Kerana ia berharap dapat kembali lagi lalu terbunuh lagi di dunia, melihat besarnya keutamaan mati syahid."(Hadis Riwayat Muslim : 3488)

Dalam hadis riwayat Jabir ra., ia berkata: Seorang lelaki bertanya: "Wahai Rasulullah, di mana aku nanti bila telah mati terbunuh? Baginda menjawab: "Di surga." Lelaki itu lalu segera melemparkan beberapa buah kurma yang berada di tangannya, kemudian ia berperang hingga gugur. Dalam hadis Suwaid: Seorang lelaki berkata kepada Nabi saw. pada waktu perang Uhud."(Hadis Riwayat Muslim : 3518)

Dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim Rasulullah SAW bersabda maksudnya : Seorang yang mati syahid diberi enam perkara pada saat titisan darah pertama tumpah dari tubuhnya:

1. Diampunkan semua kesalahannya.
2. Diperlihatkan tempatnya di syurga.
3. Dikahwinkan dengan bidadari.
4. Diamankan daripada kesusahan kedahsyatan yang besar(pada hari kiamat).
5. Diselamatkan daripada seksa kubur.
6. Dihiasi dengan pakaian keimanan."

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda maksudnya :
"Bagi orang yang mati syahid ada 6 keistimewaan iaitu:

1. diampuni dosanya sejak mulai pertama darahnya meluncur keluar

2. melihat tempatnya didalam syurga.

3. dilindungi dari azab kubur - dan terjamin keamanannya dari malapetaka besar

4. merasakan kemanisan iman,

5. dikahwinkan dengan bidadari, dan

6. diperkenankan memberikan syafaat bagi 70 orang kerabatnya"

(Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad)

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Apa yang kalian kategorikan sebagai orang yang mati syahid di antara kalian?
Mereka menjawab: "Wahai Rasulullah yang kami anggap sebagai orang yang mati syahid adalah siapa saja yang mati terbunuh di jalan Allah.
Baginda bersabda: "Kalau begitu umatku yang mati syahid sangatlah sedikit."
Kalangan sahabat kembali bertanya: "Kalau begitu siapa sajakah dari mereka yang mati syahid wahai Rasulullah?"
Baginda menjawab: "Sesiapa yang terbunuh di jalan Allah, yang mati sedang berjuang di jalan Allah dan yang mati kerana penyakit kolera, yang mati kerana penyakit perut (iaitu disebabkan penyakit yang menyerang perut seperti busung lapar atau sejenisnya), dialah syahid dan orang-orang yang mati tenggelam, dialah syahid."
(Hadis riwayat Muslim, Ahmad dan al-Baihaqi)

Sahabat yang dikasihi,
Golongan syahid tidak wajib disolatkan dan dimandikan sekalipun berada dalam hadas kecil atau besar.Perkara itu seperti arahan Rasulullah ke atas syuhada perang Uhud.Sabda baginda maksudnya: "Jangan kamu mandikan mereka kerana setiap luka dan darah itu adalah wangi semerbak pada hari kiamat dan tidak usah solat ke atas jenazah mereka."

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesiapa yang meminta mati syahid dengan benarnya, Allah akan menyampaikan hajatnya itu pada kedudukan mati syahid, walaupun dia meninggal di tempat tidur-nya."
(Hadis riwayat Muslim (al-Nawawi, 1972, jil.13: 56).

Hadis tersebut mempengaruhi orang Islam supaya bercita-cita mati syahid, iaitu kematian yang termulia dalam Islam, dengan menjanjikannya akan mendapat kedudukan yang dimintanya itu, walaupun dia hanya meninggal di rumah.. Sesiapa yang tidak bercita-cita mahu mati syahid dan di dalam hatinya tidak ada niat langsung maka matinya dalam kehinaan kerana tidak mendapat ganjaran mati syahid sedangkan semulia-mulia kematian adalah mati syahid, setiap amalan bergantung pada niatnya.

Friday, August 19, 2011

Amalan-amalan Nabi SAW di 10 Malam Terakhir

ŰŁًÙ„ŰłَّÙ„Ű§َمُ Űčَلَيْكُمْ
ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dari Abu Hurairah dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud : "Barang siapa yang mendirikan Lailatul Qadar dengan iman dan ketakwaan, maka Allah akan menghapuskan semua dosanya yang berlalu." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Mendirikan malam al-Qadar bermakna mengisi malam itu dengan pelbagai ibadat dan menjauhkannya daripada semua perbuatan maksiat hingga ia benar-benar menjadi malam yang penuh kebaikan dan keberkatan.

Ada beberapa amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sahabat pada malam-malam akhir Ramadan untuk mengisi Lailatul Qadar. Antaranya:

Pertama : Mandi, berpakaian indah dan berharum-haruman.

Diriwayatkan oleh Ibnu Abi ‘Asim bahawa Huzaifah pernah mengerjakan qiyam Ramadan bersama Rasulullah SAW dan melihat bahawa baginda mandi pada malam itu. Ibnu Jarir pula berkata bahawa sahabat menyukai mandi pada malam-malam akhir Ramadan.

Demikian pula beberapa riwayat daripada sahabat seperti Anas bin Malik dan ulama pada masa Tabi’in menyatakan bahawa mereka akan mandi, memakai baju indah dan berharum-haruman apabila berada pada akhir Ramadan.

Apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, sahabat dan tabi’in ini adalah satu upaya untuk menyambut dan meraikan kedatangan Lailatul Qadar, sambil berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu.

Kedua : Melaksanakan solat sunat, iktikaf dan membaca al-Quran.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Aishah, bermaksud : “Adalah Rasulullah apabila telah masuk 10 akhir daripada Ramadan, maka baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan keluarganya dan mengikat pinggangnya.”

Sahabat dan ulama berbeza pendapat dalam memberi penafsiran terhadap hadis di atas. Tetapi mereka bersepakat bahawa Rasulullah SAW melebihkan ibadahnya pada 10 malam yang terakhir Ramadan.

Ibadah yang biasa dilakukan pada malam Ramadan adalah solat Tarawih dan Witir serta membaca al-Quran. Dalam salah satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Amru bin ‘Ash bermaksud : “Barang siapa yang solat pada malam Ramadan dan membaca 10 ayat daripada al-Quran maka dia tidaklah dicatat sebagai orang yang lalai.”

Mengerjakan solat dan membaca al-Quran pada pada malam yang akhir ini sangat penting sehingga dalam salah satu riwayat dikatakan bahawa Rasulullah SAW melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib.

Baginda tidak akan melalui ayat-ayat rahmat terkecuali berharap agar Allah SWT memberikan rahmat itu dan tidak melalui ayat-ayat azab terkecuali bermohon perlindungan daripada Allah SWT daripada azab itu.

Solat berjemaah juga sangat diutamakan pada malam akhir bulan Ramadan sehingga Imam Malik dan Imam Syafie berkata : “Siapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah pada malam al-Qadar, dia telah mengambil bahagiannya daripada malam itu.” Ertinya orang yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh saja dianggap telah mendapat sebahagian daripada Lailatul Qadar, apalagi mereka mengisinya dengan amalan lain sepanjang malam itu.

Selain solat dan membaca al-Quran, 10 akhir Ramadan ini biasanya diisi oleh Rasullah SAW  dengan beriktikaf di masjid dan tidak tidur bersama isteri-isterinya. Ini berdasarkan hadis Aishah yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan al-Muslim, bermaksud :”Bahawa Rasulullah beriktikaf pada 10 hari akhir sampai Baginda wafat.”

Ketiga : Memperbanyak doa.

Rasulullah SAW bersabda doa adalah otak segala ibadah. Doa juga kunci daripada semua ibadah. Aishah diperintahkan oleh Rasulullah SAW untuk memperbanyak doa pada 10 malam terakhir Ramadan.

Dalam satu hadis daripada Aishah diriwayatkan at-Tirmizi, Aishah diajar oleh Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar.

Ulama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam al-Qadar itu adalah doa yang meminta keampunan dan kemaafan daripada Allah sebagaimana doa yang diajarkan Rasulullah SAW kepada Aishah. Doanya berbunyi : “Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa’ fu anni (maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka Maha Mengampun, maka ampunilah aku ini).”

Pada malam itu Allah akan mengabulkan semua permohonan dan doa, terkecuali terhadap empat golongan manusia. Ibnu Abbas berkata: "Semua doa pada malam itu diterima terkecuali doa 1. orang meminum arak, 2. anak yang derhaka kepada ibu bapa, 3. orang yang selalu bertengkar dan 4. mereka yang memutuskan silaturahim.”

Pentingnya doa pada malam al-Qadar sehingga Syofyan al-Sauri berkata: “Doa lebih aku sukai pada malam itu daripada solat.”

Demikianlah amalan sebaiknya dilakukan pada malam itu.

Semoga kita termasuk orang yang mendapat keberkatan malam itu hingga selepas Ramadan, seakan-akan anak yang baru lahir dari rahim ibunya, bersih daripada segala dosa.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita amalkan amalan-amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW di 10 malam terakhir Ramadan semoga persediaan jiwa kita untuk memperolehi Lailatul Qadar akan dikabulkan oleh Allah SWT dan jadilah kita mukmin yang bersih dari segala kotoran dosa dan maksiat. Ingat pesanan Ibnu Abbas empat golongan doa mereka tidak diterima oleh Allah SWT dimalam Lailatul Qadar.

Muhasabahlah diri kita, jika kita ada berdosa dengan ibu bapa segeralah minta ampun kepada mereka, jauhilah mereka yang suka bertengkar dan suka timbulkan perbalahan dan perpecahan dan juga hubungkanlah semula ikatan silaturahim jika kita ada memutuskan silaturahim dengan ahli keluarga atau saudara seagama.

Fasa Ketiga Ramadan Pembebasan Daripada Api Neraka

ŰŁًÙ„ŰłَّÙ„Ű§َمُ Űčَلَيْكُمْ
ŰšِŰłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Alhamdulillah kita berada dihari terakhir fasa ke 2 iaitu "Pertengahannya keampunan daripada Allah " kita akan masuk fasa ke 3 iaitu "Pembebasan dari api neraka"

Apabila kita masuk saja fasa terakhir dalam bulan Ramadan iaitu pembebasan dari api neraka ini bermakna kita juga sedang berada 10 malam terakhir bulan Ramadan. Malam kemuliaan atau Lailatul Qadar terdapat di dalam 10 malam terakhir iaitu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan.

Di fasa ini kita di tuntut menggandakan amal ibadah, bertahajjud, berikhtikaf di masjid, membaca al-Quran, zikrullah, berdoa, bermunajat dan memohon keampunan kepada Allah SWT dari segala dosa dan kesalahan dan memohon untuk di bebaskan dari siksaan api neraka!

Teruskanlah ibadah dengan bersungguh-sungguh,  ikutilah amalan Nabi SAW yang merasa terlalu sibuk lebih dari masa-masa sebelumnya kerana fasa terakhir ini amat penting iaitu memohon kepada Allah SWT supaya kita  mendapat pembebasan dari siksaan api neraka.

Nabi SAW. masa 10 malam terakhir mengikat kain sarung baginda (tidak mendekati isteri-ister baginda) .Kita amat berharap belas kasihan Allah SWT. semoga Allah memberi pembebasan dan menyelamatkan kita dari seksaan api neraka. Malaikat Jibril mengatakan celaka pada mereka yang berakhir Ramadan tetapi namanya masih tercatat sebagai ahli neraka.

Allah SWT Maha Mendengar atas rintihan hamba-hamba-Nya yang mengaku atas dosa dan kesalahannya meminta rahmat , rahim dan pengampunan daripada  Allah SWT. dimalam yang penuh sahdu hingga menitiskan air mata penyesalan.

Alangkah bahagianya hidup kita apabila Allah SWT mengampunkan segala dosa-dosa kita dan diredai-Nya dan dipilih untuk memasuki syurga-Nya seluas langit dan bumi.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "Barangsiapa yang memohon syurga kepada Allah sebanyak tiga kali, maka syurga itu berkata :'Ya Allah masukkanlah ia ke syurga!' Dan barangsiapa yang memohon diselamatkan dari neraka sebanyak tiga kali, maka neraka itu berkata: 'Ya Allah! Selamatkanlah ia dari neraka," (Hadis Riwayat Tirmizi)

Sahabat yang dimuliakan,
Amalkanlah doa-doa yang terdapat di dalam al-Quran untuk memohon keampunan daripada Allah SWT dan memohon rahmat-Nya dan terselamat daripada api neraka.

Doa-doa tersebut adalah seperti berikut :

1. "Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah beriman, maka ampunilah segala dosa kami dan peliharalah kami dari seksa neraka." (Surah Ali-Imran ayat 16)

2."Ya Tuhan kami, kami telah beriman, maka ampunilah kami dan berilah kami rahmat yang paling baik." (Surah al-Mukminun ayat 109)

3. "Ya Tuhanku berilah ampunan dan rahmat, kerana Engkau adalah Pemberi rahmat yang paling baik." (Surah al-Mukminun ayat 118)

4. "Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, pastilah kami menjadi orang yang merugi." (Surah al-A'raf ayat 23)

5. "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari permohonan yang aku tiada ketahui (hakikatnya). Dan sekiranya Engkau tidak memberi ampun kepadaku, dan (tidak) menaruh belas kasihan kepadaku, nescaya aku akan menjadi orang yang merugi."
(Surah Hud ayat 47)

6. "Ya Tuhan kami, ampunilah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya perhitungan (hari kiamat)." (Surah Ibrahim ayat 41)

7. "Ya Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu." (Surah at-Tahrim ayat 8)

8. "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan (alam) ini sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka. Ya Tuhan kami, sesungguhnya barang siapa yang Engkau masukkan kedalam neraka, sungguh telah Engkau hinakan dia, dan tidak ada bagi orang-orang yang zalim itu seorang penolongpun. Ya Tuhan kami, kami telah mendengar penyeru yang mengajak : Berimanlah kalian kepada Tuhanmu. Maka kami telah beriman. Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami, dan wafatkanlah kami bersama orang-orang yang abror (banyak berbakti). Ya Tuhan kami, berilah kami apa yang telah Engkau janjikan kepada kami dengan perantaraan Rasul-Rasul Engkau dan janganlah Engkau hinakan kami dihari kiamat. Sesungguhnya Engkau tidak pernah menyalahi janji."
(Surah Ali-Imran ayat 191-194)

9. "Ya Tuhan kami, jauhkanlah azab Jahanam dari kami, sesungguhnya azabnya itu adalah kebinasaan yang kekal." (Surah al-Furqan ayat 65)

Sahabat yang dihormati,
Lailatul Qadr sunat dicari, kerana malam ini merupakan suatu malam yang diberkati serta mempunyai kelebihan dan diperkenankan doa oleh Allah  SWT. Lailatul Qadr adalah sebaik-baik malam mengatasi semua malam termasuk malam Jumaat.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Qadr 97  Ayat 3.
Maksudnya: " Lailatul Qadr lebih baik daripada seribu bulan"

Ertinya menghidupkan malam kemuliaan (Lailatul Qadr) dengan mengerjakan ibadah adalah lebih baik daripada beribadah pada seribu bulan yang tidak ada Lailatul Qadr seperti sabda Nabi SAW .maksudnya : " Sesiapa menghidupkan malam kemuliaan (Lailatul Qadr ) kerana beriman serta mencari pahala yang dijanjikan akan mendapat pengampunan daripada dosa-dosa yang telah lalu "

Diriwayatkan daripada Saiyidatina Aisyah r.a bahawa Rasulullah SAW apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadan, baginda menghidupkan malam-malamnya dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya.

Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan maksudnya : " Rasulullah SAW. berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh  akhir Ramadan melebihi usahanya daripada malam-malam lain. "

Lailatul Qadr berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil bulan Ramadan. Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : " Carilah Lailatul Qadr pada sepuluh akhir bulan Ramadan dalam malam ganjil. "

Pendapat yang terkuat mengikut para ulama bahawa  Lailatul Qadr jatuh pada malam 27 Ramadan. Menurut Abu Ka'ab katanya, "Demi Allah sesungguhnya ibn Mas'ud telah meyakinkan bahawa  Lailatul Qadr jatuh dalam bulan Ramadan manakala Lailatul Qadr pula terjatuh pada malam 27, akan tetapi dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbangkan kamu tidak lagi berusaha mencarinya."

Aisyah juga pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat anda jika aku mengetahui waktu lailatul Qadr, apa yang aku ucapkan di malam itu?” Beliau menjawab: “Ucapkanlah: Allaahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘annii (wahai Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, Engkau suka memaafkan, maka maafkanlah daku).” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan at-Tirmidzi dengan sanad yang shahih)

Tanda-tandanya Rasulullah SAW telah memberitahukan tanda-tanda Lailatul Qadr di dalam beberapa hadisnya, antara lain: Dari Abu Hurairah dia berkata: “Kami memperbincangkan Lailatul Qadr di sisi Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, lalu baginda bersabda: ”Siapa diantara kalian yang mengingat ketika bulan muncul, yang bulan itu seperti separuh piring”. (Hadis Riwayat Muslim)

Ubay bin Ka’b berkata: “Demi Allah, sesungguhnya aku mengetahui bila Lailatul Qadr itu, iaitu malam yang kami diperintahkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam untuk solat padanya. Iaitu malam yang esok paginya (adalah hari ke) dua puluh tujuh. Adapun tandanya adalah matahari akan terbit pada pagi harinya dalam keadaan putih tidak menyilaukan.”  (Hadis riwayat Muslim no. 762, Tirmidzi, Abu Dawud, al-Humaidi dan lainnya).

Ibnu Abbas berkata: “Lailatul Qadr adalah malam yang lembut, sedang, tidak panas, tidak dingin; matahari akan terbit pada pagi harinya dalam keadaan lembut, merah“. (Hadis Riwayat at-Thayalisi 349, Ibnu Khuzaimah dan al-Bazzar dengan sanad yang hasan)

Sahabat yang dikasihi,
Kenapakah  Lailatul Qadr menjadi rahsia? Terdapat kisah pertengkaran dua orang sahabat Nabi SAW. Dan memang ilmu tentang hal tersebut telah diambil oleh Allah daripada Nabi gara-gara kesalahan (iaitu pertengkaran) yang dilakukan oleh dua lelaki di antara umat baginda.

‘Ubadah bin as-Shamit berkata: “Bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam keluar akan memberitahukan tentang Lailatul Qadr, lalu ada dua lelaki di antara kaum muslimin bertengkar maka baginda bersabda: “Sesungguhnya aku keluar untuk memberitahukan kalian tentang Lailatul Qadr. Tetapi sesungguhnya si Fulan dan si Fulan bertengkar sehingga diangkatlah (ilmu tentang waktu Lailatul Qadr). Namun mudah-mudahan hal itu lebih baik bagi kalian. Carilah Lailatul Qadr pada malam tujuh, sembilan dan lima (yang terakhir).” (Hadis riwayat Bukhari).

Akhirkata marilah kita bersama-sama hidupkan malam-malam sepuluh terakhir ini dengan hati yang khusyuk dan tawaduk. Sibukkanlah hati dan fikiran kita dengan ibadah dan hubungan hati kita dengan Allah SWT. Jangan dipersia-siakan malam yang penuh berkat ini. Masa untuk membeli belah dan  persiapan hari raya gunakanlah waktu siang hari dan jangan di ganggu waktu malam hari kerana masa berharga ini tak akan di dapati digantikan lagi ianya datang setahun sekali dan masa yang berlalu tidak akan ada penggantinya. Inilah masa untuk kita buat pelaburan untuk saham akhirat. Pelaburan ini tak perlukan wang ringgit tetapi ianya memerlukan masa dan hati yang cekal dan azam yang tinggi.

Sesuatu yang berharga tidak mungkin boleh kita perolehi dengan usaha sambil lewa, oleh itu berusahalah semaksima mungkin, berdoalah dengan bersungguh-sungguh hingga mampu mengalirkan air mata penyesalan. Solatlah dengan khusyuk seolah-olah kalian melihat Allah, jika kalian belum sampai ketahap itu maka yakinlah Allah sedang melihat apa yang kalian kerjakan.

Thursday, August 18, 2011

Sepuluh Kebaikan Menanti Orang Mukmin Yang Bersifat Sabar

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

 

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sekiranya kita diuji dengan fitnah daripada orang yang iri hati diatas kejayaan kita , diuji dengan kemiskinan, diuji dengan keretakan rumah tangga hingga berlaku perceraian sebagai suami-isteri, diuji dengan penyakit dan mendapat kemalangan, diuji dengan kematian insan yang dikasihi atau diuji dengan kerugiaan dalam perniagaan maka bersabarlah ini semuanya ada hikmah yang baik untuk diri kita sendiri sedangkan kita tidak mengetahui hikmah Allah berikan ujian tersebut . Ianya mungkin kafarah atau penghapusan dosa-dosa kita yang pernah kita lakukan kepada Allah SWT atau ianya sebagai satu cara Allah SWT ingin meningkatkan iman dan takwa kita kepada-Nya dan Dia mengasihi kita supaya dapat memasuki syurga-Nya nanti kerana salah satu jalan seseorang dimasukkan kedalam syurga kerana adanya kerana sifat sabar semasa di dunia.

Terdapat sepuluh kebaikan-kebaikan yang akan Allah SWT kurniakan pada hamba-hamba-Nya yang sabar. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Di ampunkan dosa untuknya.

Dalam hadis qudsi berkata Syaddad bin Aus r.a. bahwasanya Nabi SAW. bersabda maksudnya : “Allah telah berfirman:  'Sekiranya Aku uji salah seorang hamba-Ku yang mukmin, lalu ia memuji-Ku seraya bersabar atas (penderitaan) apa yang Aku mengujinya. Maka ia akan bangun dari tempat pembaringannya, bagaikan anak yang baru dilahirkan oleh ibunya, bersih dari dosa. Lantas Tuhan akan memerintahkan malaikat Pencatat Amal: Sesungguhnya Aku telah menahan hamba-Ku ini dan Aku telah mengujinya, maka kini catatkanlah baginya apa yang kamu selalu catatkan sebelum itu dari pahala-pahala amalannya.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Sayyidatina Aishah ada berkata, bahawa baginda Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: "Tidak menimpa ke atas seorang mukmin satu kecelakaan, biarpun duri,ataupun lebih daripada itu, melainkan Allah akan menggugurkan dengannya satu dosa." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslirn)

Kedua : Allah SWT merasa malu kepadanya semasa di neraca timbangan dan membuka buku catatannya diakhirat.

Berkata Anas ra. bahawasanya Nabi SAW  bersabda maksudnya : ”Allah telah berfirman:
'Jika Aku menimpakan suatu mushibah ke atas salah seorang hamba-Ku pada badannya, atau hartanya, atau anaknya, lalu dia menerima mushibah itu dengan penuh kesabaran, nescaya di hari kiamat Aku malu akan menegakkan baginya neraca timbangan atau membuka buku catatan amalnya.” (Hadis riwayat Qudha’i, Dailami, Hakim dan Tirmidzi) - hadis qudsi.

Ketiga : Allah SWT ingin mendengar sendiri ucapan hamba yang diuji-Nya .
(mukmin tersebut sentiasa memuji-muji kebesaran Allah SWT dengan dia bersabar dan tidak mengeluh)

Berkata Abu Umamah ra. bahwasanya Nabi SAW bersabda maksudnya : ”Allah telah berfirman: 'Wahai malaikat-ku. Pergilah kepada hamba-Ku, dan timpakan ke atasnya bala'. Maka para malaikat pun menimpakan bala ke atasnya dan orang itu memuji Allah. Para malaikat lalu kembali mengatakan, 'Wahai Tuhan kami ! Kami telah menimpakan atasnya sebagaimana yang Engkau perintahkan'. Berfirman Tuhan: 'Kembali semula kepadanya, Aku ingin mendengar apa katanya'.” (Hadis riwayat Thabarani) - hadis qudsi.

Keempat : Di bebaskan daripada seksaan api neraka.

Dari Abu Hurairah ra. bahawasanya ia bersama dengan Rasulullah SAW menjenguk orang yang sakit kerana demam, lalu Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : “Bergembiralah, kerana Allah telah berfirman:  'Itu adalah api-Ku, yang Aku kuasakan terhadap hamba-Ku yang mukmin di dunia agar menduduki (sebagai pengganti) bagian apinya di akhirat'.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah) - hadis qudsi.

Kelima : Di berikan kesihatan yang lebih baik daripada sebelumnya.

Dari Abu Hurayrah r.a., bahwasanya Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : “Berfirman Allah Ta’ala: 'Apabila Aku menimpakan bala ke atas hamba-Ku yang mukmin, lalu ia bersabar (atas penderitaan itu), tiada ia mengadu atau mengeluh kepada pengunjung-pengunjungnya, nescaya akan Aku lepaskan dia dari tahanan-Ku (penderitaan itu), kemudian Aku tukarkan dagingnya dengan daging yang lebih baik, dan darahnya dengan darah yang lebih baik, sehingga ia dapat bekerja semula (yakni: setelah semua dosa dan kesalahan yang lalu Allah ampunkan semuanya)'.” (Hadis riwayat Hakim)

Keenam : Di berikan ganjaran pahala tanpa batas.

Firman Allah SWT  maksudnya : "Sesungguhnya orang yang bersabar akan diberikan pahala mereka tanpa hisab (tanpa batas) " (Surah az-Zumar ayat 10).

Dalam sebuah hadis lain Rasulullah SAW. juga pernah bersabda yang bermaksud: "Rintihan orang sakit tercatat sebagai tasbih, kegelisahan dan jeritannya sebagai tahlil, nafasnya seumpama sedekah, tidurnya sebagai ibadah dan kegelisahannya,daripada satu,bahagian ke satu bahagian lain adalah bagaikan jihad kerana Allah SWT dan ditulis baginya sebaik-baik amalan yang pernah dilakukan semasa sihat."

Ketujuh : Mendapat selawat dan rahmat daripada Allah SWT.

Allah SWT berfirman maksudnya : "Dan berilah khabar gembira kepadaorang-orang yang sabar; (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: 'Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.' Mereka itu ialah orang-orang yang menerima selawat dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk-Nya."
(Surah al-Baqarah, ayat 155-157).

Kelapan : Mendapat balasan syurga.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Sesungguhnya Rasulullah SAW  bersabda didalam Hadis Qudsi: Allah SWT berfirman yang maksudnya :"Tidak ada balasan kecuali syurga bagi hambaku yang beriman yang telah Aku ambil kembali kekasihnya (Aku mematikan seseorang yang disayanginya seperti anak, adik-beradik dan sesiapa sahaja yang di sayangi oleh seseorang) dari kalangan penghuni dunia dan dia hanya mengharapkan pahala daripadaKu (dengan bersabar). " (Hadis riwayat Bukhari).

Kesembilan : Jaminan mendapat pertolongan Allah SWT.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Ya (cukup), jika kamu semua bersabar dan bertakwa. Dan (seandainya) mereka menyerang kamu semua seketika itu juga, nescaya Allah akan menolong kalian dengan lima ribu malaikat yang memakai tanda." (Surah Ali-Imran ayat 125).

Kesepuluh : Di berikan oleh Allah SWT sifat penyabar.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : “Dan sesiapa yang bersabar, maka Allah akan menjadikan dirinya penyabar, dan tiada pemberian yang (Allah) berikan kepada seseorang yang lebih baik dan lebih luas (manfaatnya) daripada kesabaran.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sahabat yang dimuliakan,
Alangkah beruntungnya seseorang mukmin yang memiliki sifat sabar dan dia praktikan kesabarannya tanpa mengeluh dan bersikap negatif . Sentiasa reda dengan ketentuan Allah SWT dan berbaik sangka dengan Allah SWT. Sifat orang fasik dan munafik akan cepat marah dan putus asa dengan rahmat Allah, tidak reda dengan musibah yang menimpa dirinya dan mudah menyalahkan orang lain. Jika kalian berhajat untuk menjadi hamba-hamba Allah SWT yang mendapat reda dan rahmat-Nya maka kalian perlulah sentiasa bersabar, tenang dan berfikiran positif dan meyakini setiap sesuatu perkara itu mengandungi 1000 hikmah kebaikan di sisi Allah SWT.