Ulama
terbilang dunia ketika ini, Dr Yusoff Al-Qaradhawi pernah menyebut dan
meluah rasa kurang setuju beliau dengan tindakan para ulama yang terlalu
meluaskan perbuatan yang membatalkan puasa. Beliau lebih setuju untuk
mengecilkan skop dan ruang lingkup pembatalan puasa kepada perbuatan
yang benar-benar terdapat dalil tepat dari al-Quran, al-Hadith dan
disepakati ulama sahaja.
Beliau berpendapat perbincangan panjang
lebar oleh ulama silam, antaranya para ulama dari mazhab Hanafi dan
ulama mazhab-mazhab lain menyebut sekitar 57 bentuk perbuatan yang
membatalkan puasa adalah adalah tindakan yang kurang sesuai. Malah ia
juga amat digemari oleh ulama masa kini sehingga terdapat yang
menghabiskan masa begitu lama untuk merangka fatwa, berijtihad dan
meletakkan kaedah bagi sesuatu perbuatan. Adakalanya ia adalah isu yang
tidak memerlukan perhatian begitu mendalam.
Masalah ini dilihat
semakin bertambah, apabila ijtihad dalam bab ini semakin bercambah
hingga menyebabkan kesukaran orang kebanyakkan (awam) menjalankan ibadah
ini dengan tenang kerana perincian perbuatan yang membatalkan puasa
amat cabang (furu’) dan terlampau banyak. Ia menyebabkan orang awam yang
terhad kemampuan, masa dan rujukan sering berada dalam kebimbangan
dengan isu batal dan tidak batal puasa ini. Lebih dikesali adalah
perbincangan tentang ini juga ada meninggalkan perbincangan yang lebih
besar berkenaan Ramadhan. (Taysir al-Fiqh – Fiqh As-Siyam, hlm 86-87)
Sebagai contoh, antara isu terbesar yang patut diberikan fokus mendalam di waktu Ramadhan adalah:-
1) Raih Taqwa:
Firman
Allah yang mengarahkan kita berusaha meraih taqwa di dalam bulan ini.
Perbincangan berkenaan kaedah, cara dan cabaran yang boleh menghalang
kita mencapai target ini perlu diberikan perhatian lebih.
2) Bulan Ingatan Fungsi Al-Quran:
Firman
Allah yang menyebut bahawa Al-Quran diturunkan di bulan Ramadhan ini
sebagai petunjuk, dan bukti kebenaran petunjuk dan pembeza di antara haq
dan yang batil. Justeru perbincangan berkenaan kemestian umat Islam
kembali kepada Al-Quran sebagai satu-satunya formula untuk berjaya
sebagai golongan bertaqwa dan selamat dunia akhirat perlu diperhebat.
3) Amaran Terhadap Pengikis Pahala Ramadhan Yang Pasti:
Sabda-sabda
Nabi berkenaan tindakan yang boleh menghapuskan pahala puasa Ramadhan
seperti bercakap kotor, nista, carut dan perbuatan jahat dan keji di
waktu bulan ini. Ia perlu dipertekankan kerana ia adalah perkara yang
disepakati bakal merosakkan pahala puasa seseorang walaupun ia tidak
sampai membatalkan zahir puasanya.
4) Kaedah Penambah Pahala
& Redha Allah di Bulan Ramadhan Yang Pasti: Sabda-sabda Nabi yang
mengandungi janji-janji dan tawaran Allah di bulan ini juga perlu
diperluas kepada orang ramai agar semakin ramai yang berpotensi ke
Syurga Allah sekaligus melemahkan fungsi Syaitan dan nafsu amarah yang
sentiasa ingin mengajak kepada kemaksiatan.
Adapun isu perkara yang membatalkan puasa, sewajarnya ditumpukan kepada hukum yang disepakati sahaja.
Justeru, larangan yang disepakati tatkala puasa adalah:
1- Menahan nafsu syahwat.
2- Menanggung lapar dan dahaga.
3- Menahan diri dari bersetubuh dengan isteri di siang hari
Semuanya dilakukan dengan niat ikhlas ibadat kerana Allah.
Inilah yang dijelaskan dari al-Quran dan as-sunnah.
Demikian
juga menjauhi kata-kata nista, bohong, mengumpat, cercaan dan lain-lain
dosa anggota demi kerana Allah. Ia disebut di dalam ayat al-Baqarah:
187 dan disokong oleh hadith-hadith yang banyak.
Merokok, keluar darah haid atau nifas dan hilang aqal adalah dipersetujui secara sepakat ulama membatalkan puasa.
Adapun
yang tidak disepakati, boleh dibincangkan cuma jangan sampai ia
mengambil perhatian utama kita apabila berada di dalam Ramdhan.
Sebagai panduan, berikut disertakan beberapa hukum secara ringkas berkaitan puasa yang kerap ditanya oleh orang ramai:-
1)
Darah keluar dari tubuh; samada untuk berbekam, ambil darah pesakit,
menderma darah, tercedera, darah dari hidung, tangan dan lain-lain.
Hukumnya:
Tidak batal puasa kerana yang membatalkan adalah yang masuk ke tubuh
melalui saluran terbuka hingga ke perut dan bukannya ‘yang keluar’ dari
tubuh. (As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr Muhd ‘Uqlah, hlm 215).
Manakala
pandangan pembatalan puasa dengan berbekam yang berdalil hadith riwayat
Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad sohih menurut Imam An-Nawawi, ia
telah di pinda (nasakh) dengan hadith dari Ibn Abbas yang menyebut Nabi
SAW berbekam dalam keadaan baginda berpuasa. (Riwayat Al-Bukari, 3/43)
kerana hadith dari Ibn Abbas ini berlaku tatkala Haji Wada’ dan
terkemudian dari hadith yang menyebut batal kerana bekam. (Tasysir
al-Fiqh, Qaradawi, hlm 90). Malah ini juga padangan majoriti mazhab
kecuali Hanbali. (Bidayatul Mujtahid, 1/247).
2) Memasukkan
sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke
perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala.
Ia seperti
memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika
proses perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam
hidung, telinga, mulut dan dubur.
Hukumnya: Tidak membatalkan
puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di dalam kemaluan tadi,
kerana illah @ faktor penyebab batal puasa adalah masuknya sesuatu
berfizikal ke perut. Terkecuali juga, wanita atau lelaki yang memasukkan
jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu, maka ia
membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja’ atau membasuhnya maka
hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam,
Dr Md ‘Uqlah, hlm 211).
Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah
Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak
sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (Min
Ahsanil Kalam fil Fatawa).
Tidak dinafikan terdapat fatwa yang
mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik menjauhinya
kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi yang khilaf
(perbezaan pendapat) itu lebih baik.
3) Pil elak haid untuk puasa penuh:
Hukumnya: Harus dengan syarat tidak membawa mudarat kepada pusingan haidnya, dan memerlukan nasihat doktor Islam yang berwibawa.
4) Penyembur gas untuk pesakit lelah:
Hukumnya:
Pada bulan Julai 2007, Persidangan Majlis Fiqh Antarabangsa (Majma’
A-Fiqh Al-Islami) di Putrajaya ada membincangkan isu ini. Tidak
dinafikan ia satu isu yang amat kerap dibincangkan oleh para ulama
seantero dunia dan mereka berbeza pandangan apabila sebahagian
menyatakannya batal dan sebahagian lain menolak.
Menurut kajian
terperinci bantuan para doktor, mendapati gas semburan itu punyai
jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika di sembur di atas kertas.
Selain itu, hampir 90 % darinya akan terus masuk ke tekak dan melekat di
esophagus dan terus ke perut. Ini bermakna ianya jisim-jisim gas itu
masuk ke perut setiap kali semburan. Justeru sudah pasti ia membatalkan
puasa. Demikian pandangan awal dari Majlis Fiqh Antarabangsa yang
bersidang Julai 2007 baru-baru ini, tetapi kemudiannya mereka menarik
balik keputusan mereka untuk dibincangkan lebih terperinci dalam
persidangan akan datang.
Bagaimanapun para ulama masih
bergantung kepada makumat jelas dari para doktor bagi memberikan fatwa
tepat kerana Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd ‘Uqlah, menyebut hukumnya
tidak batal kerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk
ke perut.
Manakala, ubat lelah jenis hidu melalui hidung adalah
membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam, Dr
Md Uqlah, hlm 226).
5) Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal:
Hukumnya:
Terdapat dua jenis: samada untuk berubat atau untuk menguatkan. Jika ia
digunakan untuk mengurangkan demam, bius, pain killer dan apa jua
tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa
(Al-Qaradawi, hlm 100; ‘Uqlah, hlm 226). Demikian juga hukumnya suntikan
kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan.
Berkenaan
suntikan makanan, air seperti glukos dan sepertinya untuk tujuan
perubatan; para ulama sekali lagi berbeza pandangan: Pandangan majoriti
adalah: Tidak membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh
melalui rongga terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercangah
dengan hikmah puasa. Ia adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi,
Syeikh Md Bakhit, Syeikh Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi,
Keputusan Lajnah Fatwa Azhar tahun 1948 (Taysir Al-Fiqh As-Siyam, hlm
100; Fatawa Syar’iyyah, hlm 268; Yasalunaka, 5/53 dll).
Bagaimanapun,
suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa terutama jika dilakukan
secara sengaja untuk melarikan diri dari ujian keletihan lapar dahaga
puasa.
6) Berkumur-kumur dan air masuk ke rongga hidung semasa wudhu.
Hukumnya:
Tidak membatalkan puasa, cuma jika berlebihan berkumur ulama Syafie
mengatakannya terbatal. Justeru, jauhilah berlebihan di ketika puasa
dalah lebih baik.
Ia berdasarkan hadith: “Sempurnakan wudhu,
basuhlah celah-celah jari jemarimu, dan lebih-lebihkan menyedut air ke
hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa” (Riwayat Abu Daud, no 142;
At-Tirmidzi, 788; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban
& Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi; al-Albani; Sohih).
7) Melakukan Maksiat seperti tidak solat:
Hukumnya:
Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab dan ulama. Akan tetapi dosa
maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat, malah
mungkin bertambah besar dosanya kerana mencarik kehormatan Ramadhan.
Pahala puasanya pula akan terhapus Selain itu, ia juga mencarikkan
keseluruhan tujuan berpuasa iaitu bagi melahirkan insan taqwa dan jauh
dari maksiat. (Qaradawi, hlm 104) Nabi bersabda: “Barangsiapa sempat
bertemu Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh ia dengan
Allah” (Riwayat Ibn Hibban)
8) Mencium lelaki dan wanita semasa berpuasa.
Hukumnya: Mencium isteri atau suami tatkala berpuasa, tidak batal menurut majoriti ulama.
Ia berdasarkan beberapa dalil antaranya :-
ÙŰ§Ù Ű±ŰłÙÙ Ű§ÙÙÙِ ÙُÙَŰšِّÙُ ÙÙÙ Ű”َۧۊِÙ
ٌ، ÙَÙُŰšَۧێِ۱ُ ÙÙÙ Ű”َۧۊِÙ
ٌ، ÙَÙَÙِÙَّÙُ ÙŰ§Ù ŰŁَÙ
ْÙَÙَ ÙŰ„ِ۱ْŰšِÙِ
Ertinya:
“Nabi S.a.w mencium dan bermesra (dengan isterinya) dalam keadaan ia
berpuasa, tetapi baginda adalah seorang yang menguasai diri dan
nafsunya” (Riwayat Abu Daud, 2/311; Syuaib Arnaout: Sohih).
Dan
satu lagi diriwayatkan: Ertinya: Kami bersama Nabi saw tiba-tiba datang
seorang pemuda dan bertanya: Aku berpuasa dan aku mencium isteriku,
jawab nabi: Jangan. Tiba-tiba datang seorang tua dan bertanya soalan
yang sama: Jawab nabi: Ye (tiada masalah). Kami kami saling berpandangan
antara satu sama lain, maka nabi berkata: “Aku tahu apa mengapa kamu
saling berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua mampu
mengawal dirinya (nafsu)“. (Riwayat Ahmad dan At-Tabarani, sanad
terdapat Ibn Lahi’ah yang diperkatakan tentangnya, menyebabkan hadis
dianggap dhoif).
Al-Qaradawi pula menambah “berapa ramai orang
tua zaman sekarang yang turut tidak mampu mengawal nafsunya”. (Fiqh
As-Siyam, hlm 106).
Kesimpulannya, ia tidak membatalkan puasa dan
ciuman sebegini tidak harus jika ia boleh membawa mudarat seperti
menaikkan nafsu dan boleh membawa kepada persetubuhan di siang hari
Ramadhan.
9) Wanita tamat haid.
Wanita tamat haid pada
waktu malam dan sempat niat pada waktu malamnya sebelum naik fajar
subuh. Ia dikira sah walaupun belum mandi hadas. Jika ia tidak sempat
berniat sebelum fajar subuh, seperti belum makan dan minum apa-apa pada
pagi itu, kemudian pada jam 8 pagi haidnya kering, ia tidak dikira boleh
berpuasa pada hari itu kerana tiada niat bagi puasa wajib boleh dibuat
selepas terbit fajar. Demikian juga ditegaskan oleh majoriti ulama
(Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/201).
Dalilnya adalah :-
Ù
Ù ÙÙ
ÙُŰŹْÙ
ِŰčْ ۧÙŰ”ِّÙَۧÙ
َ ÙŰšÙ Ű§ÙْÙَŰŹْ۱ِ ÙÙۧ Ű”ِÙَۧÙ
َ ÙÙ
Ertinya:
“Barangsiapa yang tidak berniat untuk puasa sebelum fajar, tiada puasa
(wajib) baginya“. (Riwayat Abu Daud, 3/108; Albani: Sohih).
10) Keluar air mazi.
Air
mazi adalah air yang keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan kerana
naik syahwat. Banyak persoalan berkenaan keluarnya air mazi semasa
berpuasa, samada ia membatalkan puasa atau tidak?
Zahir dalam mazhab Hanbali menyatakan, ia membatalkan puasa.
Bagaimanapun
mazhab Hanafi, Syafi’e, Awzai’e, Hasan al-Basri, As-Sya’bi dan Imam
Ahmad dalam satu pendapatnya berfatwa keluarnya air mazi tidak
membatalkan puasa. Saya lebih cenderung dengan pendapat ini.
11) Keluar air mani tanpa setubuh.
Mencium
dan menyentuh sehingga keluarnya mani dengan syahwat adalah membatalkan
puasa dan wajib qadha, ia adalah disepakati oleh seluruh ulama.
Adapun
keluarnya air mani hanya kerana berfikir lucah dan melihat dengan
syahwat, ia tidaklah batal menurut sebahagian ulama termasuk mazhab
Syafie, Hanafi. (Al-Mughni, 4/159)
Manakala mazhab Hanbali dan Maliki mengatakannya batal.
Walau
bagaimanapun, saya lebih cenderung dengan pendapat yang mengatakannya
batal kerana ia benar-benar bercanggah dengan tujuan dan maqasid puasa
dalam Islam. Selain itu, ia juga adalah sama dengannya keluar mani
kerana sentuhan.
Keluar air mani kerana bermimpi di siang hari
Ramadhan atau kerana sakit tertentu. Sepakat ulama menyatakan ia tidak
membatalkan puasa.
12) Menelan air liur.
Hukum: Ia tidak membatalkan puasa disebabkan terlalu sukarnya untuk menjaga hal seperti ini. (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/159).
13 ) Mandi.
Tiada
masalah untuk orang berpuasa mandi, ia tidak membatalkan puasa.
Dalilnya adalah hadis yang menunjukkan Nabi s.a.w mengizinkan orang yang
junub mandi selepas waktu subuh. Ibn Abbas juga pernah disebutkan mandi
ketika berpuasa.
14) Berniat berbuka atau membatalkan puasa sebelum waktu.
Tindakan
sebegini adalah membatalkan puasa menurut mazhab Syafie, Hanbali dan
Hanafi. Cuma jika dengan segera seseorang itu kembali berniat dan
membetulkan niatnya tadi, puasa tidak terbatal.
Justeru, seluruh
individu berpuasa wajib menjaga niatnya agar tidak terpesong untuk
membatalkannya. Imam Ibn Quddamah menolak pandagan yang mengatakan tidak
batal kerana ibadah itu adalah berdasarkan niat seperti solat juga yang
akan terbatal jika berniat membatalkannya. (Al-Mughni, 4/175) Sekian.
Soalan:
Jika si suami itu membuka puasa dahulu sebelum bersetubuh dengan
isterinya, Apakah dia tidak perlu membayar kaffarah, memadai dengan
menggantikan puasa sahaja?
UZAR: Memang ada pandangan yang
menyebut tiada kaffarah kalau sudah membatalkan puasa sebelum
bersetubuh, namun saya bersama mejoriti ulama yang tetap berpandangan
kena kaffarah kerana pembatalan puasa untuk setubuh dan elak kaffarah
itu adalah satu helah yang keji dan cuba menipu Allah swt.
(Zaharuddin
Abd Rahman. 13 Sept 2007 – 01 Ramadhan 1428H.
http://www.zaharuddin.net/ ULANG SIAR: 02 SEPTEMBER 2008). / (Majalah I,
Bil. 82. Ogos 2009).
Sekian.
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
-
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online – Di era
dimana teknologi memudahkan segala aspek kehidupan, bermain judi slot kini
tak ...
1 year ago
No comments:
Post a Comment