Saturday, July 25, 2009

Kisah Pencuri Kurma di Zama Nabi SAW

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Pada suatu hari Abu Hurairah telah diserahkan tugas oleh Nabi SAW untuk menjaga kurma orang berzakat pada bulan Ramadan. Tiba-tiba datang seorang tua lalu terus mengambil buah kurma lalu terus dimakannya. Abu Hurairah terus menangkap orang tua itu lalu hendak dibawa mengadap Rasulullah SAW.

Tetapi orang tua itu mengeluh dan minta dikasihani seraya berkata : "Aku adalah orang yang sangat miskin lagi banyak anak, kerana itu aku sangat memerlukan makanan ini, anakku menangis dirumah kerana perutnya lapar."

Mendengar kata-kata orang tua itu, Abu Hurairah berasa terharu dan akhirnya dia melepaskan orang tua itu. Keesokan pagi Abu Hurairah telah ditanya oleh Nabi SAW :
"Apakah yang telah dilakukan oleh tawananmu semalam?"

Maka Abu Hurairah menjawab, "Dia aku lepaskan kerana mengeluh sebab anaknya dirumah sedang menunggu makanan darinya."

"Nanti, malam ini dia akan datang lagi." kata Rasulullah.

Mendengarkan kata-kata Rasulullah itu maka Abu Hurairah pun berjaga malam itu dengan bersungguh-sungguh. Pada malam itu orang tua itu datang lagi dan mengambil kurma dengan kedua belah tangannya. Maka Abu Hurairah pun segera menangkapnya dan kemudian hendak membawanya mengadap Rasulullah, tetapi dia minta maaf dan benar-benar memerlukan makanan itu untuk keluarganya, bahkan dia berjanji tidak akan kembali lagi.

Abu Hurairah berasa kasihan terhadap orang tua itu dan akhirnya dia pun dilepaskan semula .Keesokan harinya Abu Hurairah ditanya kembali oleh Rasulullah : "Hai Abu Hurairah, apakah engkau lakukan terhadap tawananmu semalam?"

Abu Hurairah menjawab :"Dia ku lepasakan kerana benar-benar memerlukan makanan dan benar-benar miskin. Lagi pun dia sangat berhajat kepada makanan itu untuk keluarganya yang lapar. Dia berjanji tidak akan kembali lagi."

Rasulullah berkata, "Dia berdusta, dia akan kembali malam ini."

Oleh kerana Nabi berkata lelaki itu akan kembali lagi maka Abu Hurairah berjaga dengan lebih berwaspada. Kata-kata Rasulullah memang benar pada malam itu orang tua itu datang lagi dan mengambil kurma dengan banyaknya. Maka Abu Hurairah pun segera bertindak dan menangkapnya untuk dihadapkan kepada Rasulullah SAW. Lantas dia meminta maaf dan berjanji tidak akan kembali. Tetapi kali ini Abu Hurairah tidak mahu melepaskannya dan berkata : "Kamu telah berjanji tetapi tidak menepati."

Orang tua itu menjawab, "Jika anda melepaskan aku nescaya aku ajarkan padamu doa yang sangat berguna bagimu."

"Apakah doanya itu?" tanya Abu Hurairah.

"Jika kamu akan tidur ditempat tidurmu, maka bacalah ayat Al-Kursyi sesungguhnya kamu akan dijaga oleh malaikat yang ditugaskan oleh Allah untuk menjagamu. Dan semalaman itu kamu tidak akan didekati oleh syaitan hingga pagi hari," jawab orang tua itu.

Kemudian keesokan paginya seperti biasa Abu Hurairah ditanya lagi oleh Nabi SAW  tentang tawanannya.

"Hai Abu Hurairah, apakah yang telah dilakukan oleh tawananmu semalam?"

Jawab Abu Hurairah, "Ya Rasulullah, dia telah mengajarkan doa padaku yang sangat berguna padaku."

Rasulullah SAW  bertanya, "Apakah doa yang telah diajarkan kepadamu itu?"

"Dia berkata, sebelum aku tidur bacalah ayat Al-Kursyi terlebih dahulu kerana barangsiapa yang membaca ayat tersebut maka Allah menyuruh malaikat menjaganya hingga pagi dan tidak didekati oleh syaitan."

Rasulullah SAW berkata, "Dia telah berkata benar kepadamu, padahal dia adalah pendusta. Tahukah kamu siapakah orang tua itu?"

Jawab Abu Hurairah, "Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui."

Rasulullah berkata, "Ketahuilah Abu Hurairah, orang tua itu adalah syaitan."

Sahabat yang dimuliakan,
Bagaimana liciknya iblis laknatullah untuk menipu sahabat Nabi SAW hingga tiga kali berjanji untuk tidak mencuri kurma dalam simpanan baitulmal tetapi dia mungkiri. Mungkin ada hikmah di balik peristiwa ini apabila iblis laknatullah menceritakan kebaikan ayat Kursyi bahawa sesiapa yang mengamalkan sebelum tidur dia akan dijaga oleh malaikat dan dia terhindar daripada gangguan syaitan dan iblis. Semoga kita dapat amalkan ayat Kursyi setiap hari dan terhindar daripada godaan dan hasutan iblis dan syaitan.

Lima Nasihat Untuk Orang Mukmin

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Abu Hurairah pernah mendengar Rasulullah SAW. berwasiat kepadanya yang bermaksud :
“Siapakah yang sudi mengambil dari diriku lima wasiat ini, lalu mengamalkannya atau mengajarkannya kepada orang yang mahu mengamalkannya?”

Abu Hurairah segera menyambut kata-kata Rasulullah ini dengan ucapan, “Saya, ya Rasulullah”

Maka baginda menjabat tangan Abu Hurairah dan menghitung lima kali seraya berkata,
yang bermaksud :

1. Jagalah dirimu dari perbuatan yang haram nescaya engkau akan menjadi orang yang paling baik dalam beribadah.

2. Berpuas hatilah dengan kurnia yang Allah berikan kepadamu nescaya kamu akan menjadi orang yang paling kaya.

3. Berbuat baiklah kepada tetanggamu, nescaya kamu akan menjadi seorang mukmin sejati .

4.Cintailah manusia sebagaimana kamu mencintai dirimu sendiri, nescaya kamu akan menjadi muslim yang sempurna.

5.Dan janganlah banyak bergurau kerana banyak bergurau itu akan mematikan hati.

(Hadis Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW. sering memberi panduan yang berharga sedemikian rupa. Semuanya disesuaikan dengan permintaan para sahabat atau sesuai dengan kadar potensi orang yang baginda ajak berbicara.

Nasihat atau wasiat yang baginda sampaikan walaupun ringkas namun padat serta suatu yang praktikal. Apa sahaja yang baginda ungkapkan sentiasa terbukti kebenarannya dalam sepanjang sejarah kehidupan manusia.

Setiap muslim dan muslimah yang baik bukan mereka yang mengasingkan diri dari masyarakat sekitarnya, sehingga mereka mewujudkan satu kelompok yang terasing. Muslim dan muslimah tidak berhak menuduh masyarakat sebagai masyarakat jahiliah sebelum mereka cuba untuk memperbaikinya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Mukmin yang bergaul di tengah-tengah masyarakat dan sabar atas gangguannya lebih baik daripada muslim yang tidak bergaul dalam masyarakat dan tidak sabar terhadap gangguan mereka.”

Oleh itu sebagaimana lima nasihat dari hadis Nabi SAW .di atas, memberikan arahan kepada kita untuk hidup dalam masyarakat. Nasihat ini sangat penting, berharga dan berguna ketika berinteraksi dengan masyarakat. Nasihat ini mestilah diamalkan serta disampaikan kepada saudara sesama muslim dimana jua mereka berada.

1.Menjaga Diri dari Perbuatan yang Haram :

Kunci pergaulan Islam di tengah masyarakat adalah memelihara diri dari perkara yang di haramkan Allah SWT. Kaum muslimin boleh melakukan apa saja perkara selagimana perkara itu tidak haram atau syubhat. Perkara syubhat juga perlu dijauhi kerena ia akan menyeret kepada yang haram. Apabila perkara yang haram telah ditinggalkan, yang syubhat pun dihindari, sanggup melawan hawa nafsu serta membentengi diri dari tipu daya syaitan maka itulah jalan menuju takwa. Jalan yang akan mempertemukan kita bersama dengan orang-orang soleh yang di janjikan pelbagai bentuk kenikmatan oleh Allah SWT.

2.Puas dan Redha dengan Kurnia yang Dilimpahkan Allah Padanya :

Wasiat kedua ini menjelaskan kepada kita bahawa hakikat ‘kaya’. Kaya bukanlah bererti melimpah ruahnya harta, memiliki rumah yang tersergam indah, perabut mewah, kenderaan hebat atau perhiasan yang dipakai oleh seseoramg. Tetapi kekayaan yang hakiki terletak pada lubuk hati. Ia merupakan ketenteraman dan ketenangan jiwa kerana puas dengan segenap kurnia yang diberikan Allah SWT. Sehingga ia tidak memburu dan rakus terhadap harta lalu menghalalkan segala cara bagi memperolehinya.

Walaubagaimanapun apabila kita bersyukur diatas rezeki yang di kurniakan Allah, nescaya Allah akan tambah lagi rezeki kita dengan berlipatkali ganda dan kekayaan yang di miliki akan membawa kita lebih hampir dengan Allah SWT.

Kekayaan juga bermakna apabila kita memiliki nikmat Iman dan Islam yang mampu menyelamatkan kita dari seksa neraka dan membawa kita menuju ke syurga Allah SWT. Tentulah ianya tak mungkin dapat dinilai dan diukur dengan nilai-nilai kebendaan.

3.Berbuat Baik Kepada Jiran Tetangga :

Rasulullah SAW. memerintahkan kita agar berbuat baik terhadap orang yang paling hampir rumahnya iaitu jiran. Jiran yang paling berhak mendapat perlakuan baik kita. Maka ajaran Islam mengatur masaalah rumah tangga secara terperinci termasuk kewajipan berinteraksi dengan baik terhadap jiran tetangga.

Sabda Nabi SAW. yang bermaksud : “Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah ia memuliakan jiran tetangganya.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

4.Mencintai Orang Lain :

Prinsip dasar ajaran Islam adalah cinta kepada Allah dan Rasulnya. Mencintai orang lain kerana Allah termasuk dalam tuntutan Islam. Mencintai orang lain yang dimaksudkan Rasulullah SAW adalah sesama muslim sebagaimana yang disabdakan baginda dalam hadis lain yang bermaksud : “Tidak beriman salah seorang di antara kamu sehingga mencintai saudaranya sama sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Manakala terhadap orang yang bukan Islam, tidak boleh ada hubungan cinta selain daripada seruan dakwah ke jalan Allah. Sebagai pendakwah kita perlulah berlemah lembut kepada mereka bagi tujuan memperlihatkan kemuliaan akhlak Islam.

5.Tidak Banyak Bergurau :

Keceriaan dan kegembiraan merupakan tuntutan hidup yang sihat dan bahagia. Islam menganjurkan umatnya untuk bersikap riang gembira, tidak kaku dan sentiasa bersikap optimis.

Rasulullah SAW  mengatakan bahawa senyum terhadap saudara seakidah merupakan perbuatan makruf dan tergolong dalam ibadah.

Sabda Rasulullah s.a.w maksudnya : “Janganlah kamu meremehkan yang makruf meskipun hanya dengan memberi senyuman kepada saudaramu.”

“Senyum terhadap saudaramu adalah sedekah.”

Namun hal ini bukan bererti kita harus banyak bergurau. Gurauan adalah ucapan yang diada-adakan yang sering kali terjerumus pada perlecehan dan seumpamanya. Apabila perlecehan ini berkaitan dengan masaalan agama dan perkara yang berkaitan maka kita akan berdosa dan berhak mendapat kemurkaan Allah SWT. Manakala jika gurauan itu terseleweng lalu melecehkan sesama manusia maka ia juga berdosa kerana mencemarkan kehormatan orang lain.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Allah melaknat orang-orang yang membuat orang lain ketawa.”

Sahabat yang dikasihi,
Inilah lima pedoman dalam bergaul dalam masyarakat. Perlulah sama-sama kita amalkan kerana jika setiap muslim yang mengamalkannya tentu akan berjaya di dunia dan di akhirat. Di dunia ia akan menjadi muslim sejati yang di cintai sesama insan sedang di akhirat ia akan terhindar dari kemurkaan Allah SWT dan di redai-Nya.

Sirah Sahabat Amr Bin Ash : Keadilan Islam

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sejak menjawat jawatan sebagai gabenor, Amr bin Ash tidak lagi turut serta dalam medan pertempuran.Dia lebih sering tinggal di istananya di Mesir. Di depan istananya yang mewah itu terdapat sebidang tanah yang luas dan sebuah pondok usang milik seorang Yahudi tua. 'Alangkah baik dan indahnya jika di atas tanah itu berdiri sebuah mesjid.' Detik hati sang gabenor.

Di pendekkan cerita, Yahudi itu di panggil mengadap gabenor untuk melakukan proses tawar menawar bagi membeli tanah milik Yahudi tua itu. Namun keputusannya sungguh mengecewakan. Amr bin Ash sangat kesal kerana si tua itu menolak dan enggan menjual tanah dan pondok buruknya, walaupun harga yang di tawarkan oleh gabenor adalah lima kali ganda dari harga pasaran.

"Baiklah jika itu keputusanmu, saya harap anda tak akan menyesal !".Tegas gabenor dengan nada ancaman.

Setelah orang tua Yahudi itu berlalu, Amr segera memerintahkan orang bawahannya mengeluarkan sepucuk surat pemberitahuan bagi membongkar tanah milik Yahudi tersebut. Apabila peristiwa itu berlaku, orang tua tadi hanya mampu menangis kerana tidak berdaya melakukan apa-apa. Dalam situasi yang mengecewakan itu, terdetik dalam hati orang Yahudi itu untuk mengadu keputusan gabenor Mesir kepada Khalifah Umar al-Khattab.

"Ada apa-apa keperluan yang pentingkah wahai datuk, kerana kau datang begitu jauh dari Mesir ke sini?" Tanya Umar al-Khattab kehairanan.

Yahudi tua itu pun mula bercerita bagaimana perjuangannya mempertahankan miliknya dan melapurkan aduan kesnya penuh kesedihan.

Merah padam wajah Umar al- Khattab apabila mendengar aduan datuk tua Yahudi itu. "Masya Allah, kurang sopan sungguh Amr !" kecam Umar.

"Sungguh tuan, saya tidak mengada-adakan cerita walau sepotong ayat",sahut datuk tua itu bertambah gementar dan kebingungan. Malah dia semakin bingung apabila Umar memintanya mengambil sepotong tulang lalu menggoreskan sesuatu pada tulang itu dengan pedangnya.

"Berikan tulang ini kepada gabenorku, saudara Amr bin Ash di Mesir," perintah Khalifah, al-Faruq, Umar al-Khattab.

Orang Yahudi itu semakin kebingungan, "Tuan, adakah Tuan sedang mempermainkan saya?" kata Yahudi tua itu dengan suara yang perlahan. Dia mula cemas dan memikirkan perkara yang bukan-bukan. 'Jangan-jangan khalifah dengan gabenornya sama dua kali lima saja. Yalah, di mana saja manusia yang majoriti dan memagang tampuk pemerentahan dan kekuasaan pasti akan menindas golongan minoriti. Malah mungkin aku akan ditangkap dan dituduh sebagai seorang subversif,' bisik hati orang tua itu penuh curiga dan khuatir. Namun dia tetap mengadap gabenor Mesir sebagaimana yang diarahkan oleh Khalifah Umar al-Khattb.

Setelah menyerahkan tulang goresan Umar kepada gabenor Mesir datuk tua Yahudi itu semakin tak faham. Dia semakin tak faham kerana gabenor Mesir dengan segera memerentahkan sesuatu yang di luar dugaan. "Bongkar dan runtuhkan mesjid itu ! teriak Amr bin Ash dengan nada yang gementar. Wajah gabenor Mesir itu pucat, seperti dilanda satu situasi ketakutan yang amat dahsyat.

Yahudi itu segera berlari keluar dari istana, menuju ke kawasan pondok usangnya bagi melihat akan kebenaran arahan gabenor tadi. Tepat sekali sebagaimana yang di jangkakan. Beberapa petugas sedang bersiap sedia menghancurkan mesjid yang tersergam indah yang hampir siap di binanya.

"Tunggu !" jerit orang tua Yahudi. "Maafkan saya tuan gabenor, tolong jelaskan kepada saya segala peristiwa pelik ini? Adakah ia berpunca dari tulang itu? Apa keistimewaan tulang itu hingga Tuan begitu nekat membuat keputusan untuk membongkar semula bangunan yang amat mahal ini? Sesungguhnya, saya benar-benar tak faham?" tanya orang tua Yahudi itu bertalu-talu dengan nada yang penuh kehairanan.

Amr bin Ash memegang bahu datuk tua itu dengan penuh mesra, "Wahai datuk, sebenarnya tulang itu hanyalah tulang biasa, baunya juga busuk."

"Tapi...."datuk tua itu mencelah.

"Namun kerana ia mengandungi perintah Khalifah, maka tulang itu menjadi sangat bererti. Ketahuilah, tulang yang busuk itu adalah peringatan bahawa betapapun tingginya kekuasaan seseorang ia akan kembali menjadi tulang yang busuk. Manakala huruf alif yang di gores di atas tulang itu bermaksud kita mestilah berlaku adil sama ada ke atas (di kalangan pembesar) maupun ke bawah (di kalangan rakyat biasa). Dan bila saya tidak mampu menegakkan keadilan, Khalifah tidak akan teragak-agak untuk memenggal kepala saya !" jelas gabenor Mesir itu panjang lebar.

"Sesungguhnya, amat agung ajaran agama Tuan. Sungguh, saya rela menyerahkan tanah dan pondok usang saya itu. Dan bimbinglah saya dalam memahami ajaran Islam." Ujar orang tua Yahudi itu pasrah berserta linangan air mata yang tak tertahan. Allahu Akbar!!

Sahabat yang dimuliakan,
Inilah Islam yang benar dan agung.Inilah antara deretan kisah sejarah keunikan pemerentahan Islam yang indah dan adil. Pemerentahan yang sedia mendengar rintihan dan keluhan walaupun ianya dari seorang Yahudi tua ! Sentiasa menegakkan keadilan, tanpa memilih taraf dan agama. Lihatlah pula bagaimana pemerentah menerima teguran ! Sungguh mengharukan....tak pernah berdendam dan bermusuhan. Menerima kebenaran dan segera membetulkan kesilapan tanpa bertelagah atau penangguhan. 

Betapa kerendahan hati yang ada pada pemerentah-pemerentah teladan. Sehingga mampu menawan hati kaum kuffar yang asalnya ingin berlawan. Mengkagumkan ! Benarlah sebagaimana yang di sabdakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud : ".... umat yang terbaik adalah semasa zamanku, kemudian selepasnya, serta berikutnya..."

Thursday, July 23, 2009

Mulakanlah Islam Dari Diri Kita

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Untuk meningkatkan komitmen kita terhadap Islam, banyak yang mesti kita lakukan. Langkah berikut merupakan beberapa langkah dasar yang patut dilaksanakan :

1.Meningkatkan pengetahuan Islam secara sempurna dan menyeluruh.

Perlulah memahami ilmu tentang Allah, Rasul dan al-Quran. Untuk melahirkan keyakinan dan kekuatan iman mustahil diperolehi tanpa pengetahuan terhadap apa yang diimani. Ertinya, tahap keimanan, banyak ditentukan oleh tahap pemahaman seseorang.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran." (Surah az-Zumar ayat 9)

Oleh itu sebagai seorang mukmin ilmu pengetahuan mengenai Islam yang asas dan menyeluruh perlulah dipelajari dan difahami supaya kefahaman kita bukanlah berdasarkan ikutan semata-mata. Kerana Islam adalah satu sistem hidup yang lengkap dan sempurna. Dewasa ini umat Islam hanya memahami secara serpihan yang terpisah-pisah dan tidak difahami secara satu sistem hidup.

2.Memperbanyakkan amal soleh dan mempertingkatkan ketaatan.

Dr Muhammad Yasin dalam bukunya al-Iman menyebutkan bahawa keimanan mesti mencakupi dua faktor asasi . 

Pertama, pengakuan secara ilmu pengetahuan dan membenarkannya. 

Kedua, pengakuan secara amaliyah dengan mentaati apa yang telah diketahui dan diyakini. 

Oleh itu seorang mukmin wajib melaksanakan keyakinannya dalam bentuk perbuatan dan tindakkan, iaitu ia perlu melaksanakan amal-amal soleh dalam kehidupannya.

Sejarah telah membuktikan bahawa umat Islam bukan sekadar tentera-tentera penunggang kuda di siang hari bahkan mereka melaksanakan ibadah seperti rahib-rahib yang khusyuk di malam hari. Rasulullah SAW. sendiri menunjukkan contoh tauladan yang baik, di siang hari memimpin tentera-tentera Islam, melaksanakan kerja-kerja dakwah dan tarbiah, kemudian di malam hari melakukan qiyamulail sehingga bengkak-bengkak kaki baginda tanda kesyukuran kepada Allah SWT.

3.Zikir dan fikir

Zikir adalah mengingati Allah beserta sifat-sifat-Nya, kebesaran-Nya dan membaca kitab-Nya, sehingga hati selalu berhubung dengan Allah SWT.

Sabda Nabi SAW. yang bermaksud : "Iman itu bertambah dan berkurang," lalu ia bertanya kepada baginda, "Apa gerangan ya Rasulullah, yang dapat menambah dan menguranginya?"
Jawab Rasulullah , "Jika kita mengingati Allah dan memuji-Nya, menyucikan-Nya dan bertasbih kepada-Nya, maka disitulah iman akan bertambah kualitinya. Manakala jika kita melupakan atau lalai kepada-Nya, maka disitulah iman kita berkurang,"

Kefahaman yang mendalam terhadap zikrullah inilah menyebabkan Abdullah bin Rawahah memegang tangan seorang sahabatnya seraya berkata, "Bangkitlah sejenak bersama kami, marilah duduk di majlis zikir."

Fikir pula adalah aktiviti yang mengarah kepada renungan ciptaan Allah SWT dengan memikirkan apa yang ada pada ciptaan-Nya, memandang tanda-tanda kebesaran-Nya, mukjizat-Nya, sehingga bertambah keimanan kepada Allah dan merasakan keagongan-Nya dan kekuasaan-Nya. Aktiviti seperti ini disebut sebagai tafkir dan iktibar. Kepekaan pancaindera terhadap ciptaan Allah SWT walau hanya secara garis kasarnya saja sudah cukup memberi kesan akan keagungan sifat dan perbuatan Allah SWT. Ini jelas akan mempengaruhi tahap keimanan dan seterusnya, pasti tahap komitment kita.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita mulakan Islam pada diri kita sendiri kemudian ajak dan tarbiah  isteri dan anak-anak, ahli keluarga, sahabat-handai, rakan sekerja, jiran tetangga dan seterusnya umat Islam dalam masyarakat kita. Tegakkan negara Islam dalam diri kalian dahulu insya Allah negara Islam akan dapat di tegakkan dalam masyarakat .

Kisah Ahli Ibadah dan Seorang Perempuan.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Diriwayatkan daripada Abu Dzar r.a. Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud :
"Salah seorang ahli ibadah pada zaman Bani Israil selalu beribadah kepada Allah di rumah ibadah selama 60 tahun.

Suatu ketika, hujan turun dengan lebatnya sehingga bumi menjadi subur menghijau. Kemudian, ahli ibadah itu keluar dari rumah ibadahnya sambil berbisik, 'Sekiranya aku turun dari tempatku ini dan memperbanyakkan mengucap zikir tentulah kebaikanku berubah.'

Lalu ia turun dari penempatannya dengan membawa satu atau dua keping roti. Ketika ia berjalan-jalan, tiba-tiba ia bertemu dengan seorang perempuan. Lalu ia mula-mula berbual-bual dengan perempuan tersebut. Akibat terlalu asyik berbual dengan perempuan itu, ahli ibadah tadi diperdaya oleh syaitan menyebabkannya tertidur lalu berzina dengannya.

Lelaki ahli ibadah itu akhirnya telah pengsan. Kemudian apabila sedar daripada pengsan itu ia terjun ke tasik berdekatan untuk mandi. Pada masa itu datang seorang peminta sedekah yang melarat, meminta daripadanya sebahagian daripada bekalannya itu. Ahli ibadah itu menghulurkan kepadanya roti yang di bawanya. Kemudian lelaki ahli ibadah itu pun dicabut nyawanya oleh Allah s.w.t.

Pahala amal ibadah yang dikerjakan selama 60 tahun itu ditimbang dengan dosa perbuatan zinanya, ternyata dosa zinanya lebih berat. Kemudian satu atau dua keping roti yang diberikan kepada peminta sedekah telah ditimbang dengan amal kebaikan lelaki ahli ibadah tersebut. Hasilnya menyebabkan berat amalan kebaikannya bertambah, maka dosa lelaki tersebut diampuni Allah."

(Hadis Riwayat Ibn Hibban)

Sahabat yang dimuliakan,
Betapa besarnya dosa berzina sehinggakan pahala beribadah selama 60 tahun tidak mampu hendak mengatasi beratnya dosa zina. Mujurlah ahli ibadah tersebut sempat bersedekah dengan beberapa keping roti yang dia bawa untuk orang miskin yang kelaparan, maka pahala sedekahnya dapat membantu menjadikan pahala kebaikannya (lebih berat timbangannya) mengatasi dosa yang dia lakukan.

Pengajaran yang boleh diambil :

1.Umat sebelum kedatangan Nabi Muhammad s.a.w dibolehkan mengasingkan diri daripada masyarakat dan tidak mengadakan hubungan suami isteri bertujuan untuk ibadah.

2.Syaitan kadangkala berusaha menyesatkan manusia dengan memberi nasihat untuk berbuat kebaikan pada tempat yang tidak sepatutnya.

3.Digalakkan menjauhi bergaul dengan perempuan yang bukan mahram, dibimbangi ia akan dijerat oleh syaitan.

4.Melakukan zina merupakan dosa besar, (sehinggakan beribadah sepenuhnya selama 60 tahun tak dapat mengatasi beratnya dosa zina tersebut seperti kisah diatas)

5.Amalan sedekah adalah amat dituntut oleh Islam, dan akan diberi pahala yang besar oleh Allah SWT .kepada sesiapa dikalangan hamba-hamba-Nya yang melaksanakannya dengan ikhlas.

Wednesday, July 22, 2009

Wasiat Kesembilan Nabi SAW Kepada Ali k.w

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah SAW .bersabda kepada Saidina Ali k.w yang bermaksud :

"Wahai Ali ! Tanda-tanda orang kafir ada tiga :
1.Ragu terhadap adanya Allah
2.Benci terhadap hamba-hamba Allah
3.Lalai dari berbuat taat kepada Allah"

"Wahai Ali ! Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga :
1.Jika berbicara selalu dusta
2.Jika berjanji selalu ingkar
3.Jika bersumpah selalu khianat"

"Wahai Ali ! Tanda-tanda orang celaka itu ada tiga :
1.Makanannya dari sesuatu yang haram
2.Menjauhi dari orang-orang ‘alim
3.Solatnya sentiasa sendirian"

Wahai Ali ! Tanda-tanda orang berdosa itu ada tiga :
1.Suka membuat kerosakan
2.Suka membahayakan hamba Allah
3.Menjauhi segala petunjuk

"Wahai Ali ! Tanda-tanda orang hina itu ada tiga :
1.Suka berdusta
2.Banyak bersumpah keji
3.Banyak menghajatkan kepada para manusia"

"Wahai Ali ! Tanda-tanda orang bodoh itu ada tiga :
1.Mempermudah kewajipan kepada Allah
2.Banyak bicara dalam mengingat Allah
3.Main-main terhadap Allah"

"Wahai Ali ! Tanda-tanda orang riya’ itu ada tiga :
1.Rajin bila dihadapan orang
2.Malas bila bersendirian
3.Mengharap pujian dalam semua perkara"

"Wahai Ali ! Tanda-tanda orang zalim itu ada tiga :
1.Semena-mena terhadap bawahannya (selalu nak menang saja walaupun salah)
2.Mencelakakan orang di atas dengan kederhakaan
3Menampakkan kezalimannya dengan terang-terangan"

"Wahai Ali ! Tanda-tanda oramg malas itu ada tiga :
1.Selalu melambat-lambatkan waktu sampai sia-sia
2.Mensia-siakan kesempatan sampai gagal
3.Melalaikannya sampai berdosa."

Lelaki Yang Sentiasa Berlapang Dada

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Daripada Abu Hurairah r.a Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Bahawa sesungguhnya ada seorang lelaki yang tidak pernah sekalipun berbuat baik, cuma dia biasa memberi hutang kepada orang lain. Suatu hari dia berkata pada hambanya, 'Ambillah berapa pun yang disimpan, jangan menyusahkan orang dan seringlah memberi maaf. Mudah-mudahan Allah berkenan mengampuni kita.'

Setelah lelaki itu meninggal dunia Allah SWT. bertanya, 'Adakah kamu pernah berbuat baik?'

Dia dengan jujur menjawab, 'Tidak, cuma aku mempunyai seorang pembantu dan aku biasa memberikan hutang kepada orang lain, ketika aku meminta pembantuku untuk mengutip hutang, selalu saja aku berpesan kepadanya, 'Ambilah berapa pun yang dia berikan, jangan menyusahkan orang dan selalulah memaafkan orang lain, mudah-mudahan Allah mengampuni kita."

Kemudian Allah berfirman yang bermaksud, "Cukup, Aku telah mengampunimu."

Sahabat yang dimuliakan,
Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:
"Sesiapa yang menghilangkan atau melapangkan suatu kesusahan seorang Mukmin di antara kesusahan-kesusahannya di dunia, maka Allah akan menghilangkan atau melapangkan suatu kesusahan di antara kesusahan-kesusahannya pada hari kiamat. Sesiapa yang memberikan kemudahan atas orang yang dalam kesulitan, maka Allah akan memberinya kemudahan di dunia dan akhirat." (Hadis Riwayat Mustaim, Abu Dawud dan Tirmidzi).

Hadis di atas jelas menunjukkan kelebihan orang yang melepaskan kesusahan orang lain termasuk memberi hutang dan berlapang dada ketika menuntut hutangnya.

Sekiranya orang yang berhutang belum mampu membayar balik hutang tersebut, kemudian dia  berilah tempuh yang sewajarnya atau dia halalkan saja itu lebih baik kerana ada hadis di riwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya : "Sesiapa yang menangguhkan hutang orang yang belum dapat membayarnya atau membebaskannya, pada hari kiamat kelak Allah SWT. akan menaunginya di bawah naungan Arasy, di mana pada hari tersebut tidak ada naungan kecuali naungan-Nya."
(Hadis Riwayat Tirmizi).

Pengajaran yang boleh diambil :

1.Kita digalakkan berlapang dada dan memberi maaf kepada orang lain, dan berkelakuan baik semasa berurusan dengan orang lain.

2.Perbuatan memberi pinjam kewangan kepada mereka yang memerlukannya adalah peribadi mulia yang sangat dituntut oleh Islam dan akan diberi ganjaran pahala yang besar oleh Allah SWT., terutama mereka yang berlapang dada semasa menuntut balik hutang tersebut, semata-mata mencari keredhan Allah SWT.

3.Menerangkan betapa luasnya rahmat dan ampunan Allah SWT. walaupun suatu amalan yang kecil namun mendatangkan pahala yang besar.

4.Apabila seorang hamba itu mempunyai akhlak dan budi pekerti yang baik, lemah lembut dan berkasih sayang terhadap hamba Allah yang lain, tidak berhati kasar dan memudahkan urusan, nescaya Allah juga akan akan berlemah lembut dan sayang kepadanya.

Tuesday, July 21, 2009

Kebaikan Dunia dan Akhirat


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud :
“Ada empat perkara yang apabila diberikan kepada sesaorang sesungguhnya ia telah memperolehi kebaikan dunia dan akhirat.Iaitu :

1. Hati yang sentiasa bersyukur

2. Lisan yang sentiasa berzikir

3.Tubuh yang sentiasa sabar dalam menanggung musibah, dan

4.Isteri yang tidak pernah khianat sama ada terhadap dirinya atau terhadap harta benda (suami)nya.”

Huraiannya :

Sesungguhnya setiap insan dalam menghadapi gelombang kehidupan pasti menjadikan doa sebagai senjata paling ampuh. Apatah lagi kehidupan seorang muslim. Malah salah satu permohonan yang tidak pernah diabaikan adalah permintaan memperolehi kebaikan di dunia dan akhirat. Permohonan untuk mendapat kebahagiaan di dunia dan terlepas dari bahang api neraka. Doa ini dirakamkan di dalam al-Quran.

Firman Allah SWT. yang bermaksud :
“Dan di antara mereka ada yang berdoa ; ‘Ya Tuhan kami kurniakanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa api neraka.”
(Surah al-Baqarah ayat 201)

Merasai dan menikmati kebaikan yang dimaksudkan bukanlah hanya dengan kenikmatan yang bersifat dunia. Seperti dengan melimpahnya harta , kedudukan yang tinggi, isteri yang cantik, anak-anak yang ternama atau yang seumpamanya. Terdapat kebaikan yang lebih bererti dan bermakna sehingga sesaorang benar-benar menikmati kebaikan dunia dan akhirat. Inilah yang diungkapkan oleh baginda Rasulullah SAW. dalam hadisnya di atas. Jelas dari hadis di atas apabila seseorang ingin mencapai kebaikan di dunia dan akhirat maka ada empat perkara yang mesti dimiliki dan dipertahankannya.

Pertama : Bersyukur .

Bersyukur kepada Allah SWT bukan sekadar mengungkapkan kalimah hamdalah (alhamdulillah) dan terima kasih kepada Allah SWT. Ia tidak memadai dengan ucapan lisan tetapi mesti dibuktikan dengan amalan dalam bentuk pengabdian kepada- Nya. Bersyukur bukan hanya mengadakan kenduri kesyukuran sebagai tanda terima kasih kepada Allah SWT.

Sesungguhnya syukur itu adalah menumbuhkan rasa syukur di dalam hati. Kemudian apabila hati telah merasakan rasa syukur, maka tingkahlaku yang kita perlihatkan merupakan lambang atau jelmaan dari rasa syukur. Sehingga segala tingkah laku kita tidak ada penyimpangan dan penyelewengan dari jalan Allah. Segalanya menunjukkan ketaatan dan kepatuhan kepada Allah. Sesungguhnya tingkah laku manusia adalah refleksi dari apa yang ada di dalam hatinya.

Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud :
“Ketahuilah, sesungguhnya di dalam diri terdapat segumpal darah, bila baik segumpal darah ini, maka baiklah seluruh tubuhnya. Dan jika buruk, maka buruklah seluruh tubuhnya. Ketahuilah segumpal darah itu adalah hati.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Oleh itu apabila kita bersyukur dengan apa yang dimiliki, maka segala pemberian Allah pasti terasa nikmat. Dan Allah akan terus menambah rasa nikmat itu. Namun jika kita tidak pandai bersyukur, maka Allah mengingatkan bahawa azab-Nya sangat pedih.

Firman Allah SWT .yang bermaksud :
“Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan: 'Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambahkan (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.”
(Surah Ibrahim ayat 7).

Kedua : Berzikir

Setiap muslim amat dianjurkan untuk berzikir dengan lisan setiap hari. Apabila lisan telah biasa dengan zikir, insya Allah segala kata-kata yang lahir adalah perkataan yang baik (kalimah tayyibah). Seutama-utama zikir dengan lisan adalah mengucapkan kalimah Laailaahaillallah. Menyebut nama Allah memang mesti sentiasa kita lakukan baik ketika hendak melakukan sesuatu yang baik maupun sesudahnya.

Rasulullah SAW sendiri sentiasa berzikir kepada Allah dalam berbagai situasi dan keadaan. Perintah untuk sentiasa berzikir begitu banyak dirakamkan dalam al-Quran.

Firman Allah SWT .yang bermaksud :
“Wahai orang-orang beriman, berzikirlah kepada Allah dengan zikir yang sebanyak-banyaknya dan bertasbihlah kepada Allah pada waktu pagi dan petang.”
(Surah al-Ahzab ayat 41-42)

Apabila di dunia kita sentiasa membasahi lidah denga zikir kepada Allah, nescaya kebaikan dunia akan kita raih dan secara tidak langsung akan kita raih juga kebaikankan ukhrawi.
Amalkanlah zikir al-Mathsurat pada waktu pagi dan petang kerana zikir ini adalah amalan yang di buat oleh Rasulullah SAW, amalkanlah insya Allah ianya merapatkan hubungan hati kita dengan Allah SWT.

Ketiga : Bersabar

Ujian dan cubaan bagi manusia yang hidup tentu akan datang silih berganti. Kadangkala ujian itu dalam bentuk perkara duniawi yang menyenangkan seperti harta yang banyak, kedudukan yang tinggi, wajah yang cantik atau tampan, ilmu yang luas dan sebagainya. Namun tidak sedikit ujian itu dalam bentuk yang tidak menyenangkan secara duniawi sehingga perkara ini disebut sebagai musibah, seperti penyakit, kemiskinan ,kedudukan yang rendah, kurang pandai dan sebagainya.Terlepas dari menyenangkan atau tidak ,seorang Muslim mesti tabah dan istiqamah dalam menghadapi berbagai bentuk ujian dari Allah SWT.

Firman Allah SWT. yang bermaksud :
“Dan sungguh akan Kami berikan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan berita gembira kepada orang-orang yang sabar iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mengucapkan. ‘Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali.’ Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhannya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah ayat 155-157)

Orang yang sabar dan istiqamah dalam menghadapi berbagai ujian Allah merupakan orang yang akan mendapat kebahagiaan dalam hidupnya kerana dalam keadaan yang demikian dia tidak tergelincir kejalan yang salah sehingga kebaikan di dunia dan akhirat diraihnya. Dengan sabar, seseorang akan sentiasa sedia menghadapi segala kemungkinan dalam hidupnya sehingga ia tak akan lupa diri dalam kejayaan dan keberhasilan serta tidak putus asa dalam kesengsaraan dan kesulitan.

Keempat : Isteri yang solehah

Memilih isteri yang solehah merupakan suatu kewajipan bagi seorang muslim. Bersama isteri yang solehah bermakna terbina rumahtangga yang bahagia dan akan menghasilkan generasi yang soleh. Isteri yang solehah bukanlah diukur dengan kecantikan, kekayaan ,status sosial dan seumpamanya.Lebih penting lagi adalah iman dan aqidah yang mantap, akhlak yang mulia dan sentiasa berfikir serta bertindak ke arah masa depan yang lebih baik sebagaimana yang di kehendaki dalam Islam.Antara kelebihan memilih isteri solehah adalah ia membantu suaminya dalam kepentingan akhirat .

Dari Abdullah bin ‘Amr bin ‘Ash . Sesungguhnya Rasulullah SAW. telah bersabda yang bermaksud : “Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah isteri solehah yang membantu kepentingan akhirat suaminya.”
(Hadis Riwayat Ruzain)

Seorang isteri solehah juga akan mentaati kepimpinan suaminya, Nabi SAW  bersabda yang bermaksud : “Seorang perempuan yang beriman kepada Allah tidak halal mengizinkan orang yang dibenci suaminya memasuki ke rumahnya, tidak boleh keluar jika suaminya tidak menyukainya, tidak boleh mentaati seorang pun di rumah suaminya (kecuali suaminya), tidak boleh meninggalkan tempat tidurnya dan tidak boleh memukul suaminya. Jika suaminya berlaku zalim kepadanya, hendaklah ia tetap di sisi suaminya sehingga ia dapat menjadikan suaminya senang. Jika suaminya mahu menerimanya hal itu sangat menguntungkan dirinya dan Allah pun akan menerima alasannya, memenangkannya dan dia tidak berdosa sedikit pun. Sekiranya suaminya tetap tidak meredhainya, sesungguhnya alasannya di sisi Allah tetaplah kuat.”
(Hadis Riwayat Hakim)

Oleh itu amatlah penting memilih isteri yang solehah, maka seorang pemuda yang akan menamatkan zaman bujangnya mestilah memilih wanita yang demikian sebagai calun isteri. Sementara wanita yang telah menjadi isteri mesti terus membina kesolehannya.Seterusnya apabila ibu bapa yang memiliki anak yang solehah, apabila ada pemuda yang juga soleh datang melamar, maka tiada alasan bagi ibu bapa untuk menolak lamarannya. Apatah lagi bila kedua insan yang soleh bersepakat untuk mewujudkan rumah tangga Islam.

Sahabat yang dikasihi,
Dari huraian di atas jelas bahawa kehidupan yang hasanah (baik) di dunia tidak hanya di ukur semata-mata dengan melimpahnya kebendaan dan perkara-perkara yang bersifat kesenangan dunia. Namun kehidupan yang hasanah bagi seorang muslim adalah bila dia mampu menjalankan kehidupan sesuai dengan nilai-nilai Islam sehingga amal solehnya lebih banyak berbanding amal-amal yang tidak baik.

Dengan mengerjakan amal soleh seorang muslim mesti secepat mungkin melaksanakannya. Jangan sekali-kali dia menunda-nunda melakukan amal soleh hanya kerana kemalasannya. Disamping itu dalam beramal soleh seorang muslim juga tidak boleh merasa sudah banyak pahala yang di perolehi malah sebaliknya, iaitu merasa masih terlalu sedikit amalannya. Kita mesti rakus dan sentiasa merasa kurang senang dalam beramal soleh. Ini kerana apabila kita merasakan telah banyak amalan kebaikan maka keghairahan untuk memperbanyakkan amal soleh akan hilang dari diri kita.

Firman Allah SWT. yang bermaksud :
“Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah ia mengerjakan amal soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya.” (Surah al-Kahfi ayat 110)

Monday, July 20, 2009

Wasiat Kelapan Nabi SAW Kepada Ali k.w

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sabda Rasulullah SAW. kepada Saidina Ali k.w yang bermaksud :

"Wahai Ali ! Sebaik-baik manusia di sisi Allah SWT. adalah yang memberi kemanfaatan bagi manusia. Adapun seburuk-buruknya di sisi Allah adalah orang yang berumur panjang tetapi buruk amal perbuatannya."

"Wahai Ali ! Sebaik-baiknya manusia adalah orang yang berumur panjang serta baik amal perbuatannya."

"Wahai Ali ! Tanda-tanda orang mukmin itu ada tiga :
1.Tidak suka kepada harta dunia.
2.Tidak suka kepada wanita (maksudnya tidak suka melakukan maksiat dan mengikut hawa nafsu syahwat)
3.Tidak suka mengumpat ‘aib orang lain."

"Wahai Ali ! Tanda-tanda orang ‘alim itu ada tiga :
1.Jujur dalam berbicara.
2.Menjauhi yang haram
3.Tawaduk (rendah hati)"

"Wahai Ali ! Tanda-tanda orang yang bertakwa itu ada tiga :
1.Takut berdusta dan berbuat keji.
2.Menjauhi kejahatan.
3.Memohon yang halal kerana takut jatuh dalam keharaman."

"Wahai Ali ! Tanda-tanda orang benar itu ada tiga :
1.Merahsiakan ibadah.
2.Merahsiakan sedekah.
3.Merahsiakan dugaan yang menimpa dirinya."

"Wahai Ali ! Tanda-tanda ahli ibadah itu ada tiga :
1.Selalu membatasi diri.
2.Selalu menghisab (menghitung-hitung) dirinya.
3.Selalu memperbanyakkan ibadah"

"Wahai Ali ! Tanda-tanda orang soleh itu ada tiga :
1.Selalu memperbaiki hubungan dengan Allah s.w.t. melalui amal soleh.
2.Selalu memperbaiki agamanya dengan beramal soleh.
3.Selalu redha terhadap manusia dari apa yang diredai dirinya."

"Wahai Ali ! Tanda-tanda orang bahagia itu ada tiga :
1.Makanannya halal.
2.Duduk bersama para ulama’
3.Solat lima waktu bersama imam (berjemaah)"

"Wahai Ali ! Tanda-tanda orang dermawan itu ada tiga :
1.Memberi maaf ketika berkuasa (membalas).
2.Mengeluarkan zakat dengan benar.
3.Senang mengeluarkan sedekah."

"Wahai Ali ! Tanda-tanda orang tasamuh (toleransi) itu tiga :
1.Menyambung silaturahim pada orang yang memutuskannya.
2.Memberi kepada orang yang menghalang-halanginya
3.Memaafkan orang yang menganiayanya."

"Wahai Ali ! Tanda-tanda orang sabar itu ada tiga :
1.Sabar dalam mengerjakan ketaatan kepada Allah SWT
2.Sabar atas dugaan (musibah) yang dideritainya.
3.Sabar atas qadak (ketetapan) Allah SWT"

"Wahai Ali ! Tanda-tanda orang taubat itu tiga :
1.Menjauhi segala yang haram.
2.Senang menuntut ilmu untuk ibadahnya kepada Allah.
3.Tidak kembali berbuat dosa, sebagaimana tidak kembalinya susu yang sudah diperas kedalamnya."

Jalan Pengampunan ke atas Dosa-dosa Yang di Lakukan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Apa yang perlu dibina didalam diri seorang muslim bukan hanya sikap berwaspada dan berhati-hati dari menjauhi dosa. Malah tidak kurang pentingnya menanamkan sikap yang benar tentang apa dan bagaimana yang harus dilakukan ketika dosa-dosa itu terlanjur. Terdapat beberapa jalan-jalan pengampunan yang dianjurkan oleh Islam yang boleh mengurangkan azab keatas dosa-dosa malah boleh menghapuskan semua dosa-dosa yang telah dilakukan.

Antara jalan-jalan pengampunan itu adalah :

1.Taubat.
Terdapat banyak ayat-ayat Al-Quran, yang menyebutkan bahawa taubat itu berfungsi sebagai pengecualian dari ancaman azab yang akan diberikan kepada orang-orang yang melakukan kesalahan.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
“kecuali orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh, maka mereka itu akan masuk Syurga dan tidak dianiaya (dirugikan) sedikitpun.”
(Surah Maryam ayat 60)

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :“Barangsiapa bertaubat kepada Allah sebelum matahari terbit dari barat, nescaya Allah akan menerima taubat orang tersebut.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Taubat yang dimaksudkan adalah Taubat Nasuha. Sebuah taubat yang dilakukan dengan ikhlas dan benar. Bahkan ianya adalah termasuk jalan yang paling besar dan luas untuk memperolehi pengampunan dari Allah s.w.t.

2.Istighfar.
Istighfar dan taubat sebenarnya tidak jauh bezanya. Kedua-duanya adalah memohon keampunan daripada Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w .beristigfar lebih tujuh puluh kali sehari supaya lidah dan hati sentiasa menyebut dan mengingati Allah s.w.t.

Firman Allah SWT. yang bermaksud :
“Dan tidaklah Allah akan mengazab mereka, sedang mereka meminta ampun (istighfar)”
(Surah Al-Anfal ayat 33)

Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud :
“Sesungguhnya syaitan itu berkata kepada Allah : ‘Demi Izzah-Mu ya Allah, aku tidak akan berhenti menggoda hamba-hamba-Mu selama nyawa-nyawa mereka masih ada dalam jasad-jasad mereka. Maka Allah s.w.t. menjawab. ‘Demi Izzah-Ku dan keagongan-Ku, Aku akan mengampuni mereka selama mereka beristighfar memohon ampun kepada-Ku.”
(Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Al-Hakim)

3.Amal-amal Kebajikan.
Amal kebajikan yang dilakukan oleh seorang muslim akan dilipat gandakan oleh Allah SWT menjadi sepuluh kali atau lebih. Oleh itu amal kebaikan juga akan menjadi salah satu jalan pengampunan atas dosa-dosa kecil.

Firman Allah SWT  yang bermaksud :
“Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk.”
(Surah Hud ayat 114)

Abu Dzar meriwayatkan dari hadis Rasulullah SAW. yang bermaksud :
“Bertakwalah kepada Allah dimana saja kamu berada, dan iringilah perbuatan buruk itu dengan perbuatan yang baik kerana ia boleh menghapuskannya…”
(Hadis Riwayat Tirmidzi dan Ahmad)

4.Musibah-musibah di dunia.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Sesungguhnya setiap musibah yang menimpa seorang muslim menjadi penebus (kifarah) atas dosanya. Bahkan sampai terpeleset kakinya, luka di jari jemarinya atau pun duri yang mengenainya.” (Hadis Riwayat Muslim dari Abu Hurairah)

Sekiranya kita sabar diatas musibah yang datang kita akan mendapat pahala diatas kesabaran kita tadi dan ia menjadi sebagai penebus dosa.Kalau kita berkeluh kesah dan tidak sabar diatas ujian tadi maka kita akan mendapat dosa diatas sifat keluh kesah tadi.

5.Siksa Kubur .
Azab Kubur adalah suatu yang mesti diyakini kebenarannya. Ia juga merupakan salah satu jalan pengampunan yang boleh meringankan azab yang ditimpakan Allah kepada hamba-hamba-Nya kerana dosa dan kesalahan yang dilakukan. Namun begitu azab kubur itu terbagi dua macam ;

Pertama : azab kubur yang dirasai oleh orang-orang kafir selama-lamanya hingga hari kiamat. Dari Baro’ bin Azib berkata, Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud :
“Kepada orang kafir yang sudah berada di kubur dibukakan suatu pintu yang menghubungkannya dengan neraka, maka ia boleh melihat bakal tempat duduknya di neraka itu sampai hari kiamat.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Kedua : azab kubur yang waktunya terbatas. Azab ini di khususkan kepada dosa-dosa yang dikategorikan sebagai ringan dan disesuaikan dengan tingkat kesalahannya. Sehingga ia menjadi pengurang atau penebus azab yang akan menimpanya di akhirat nanti.

6.Doa Orang Mukmin.
Doa dan permohonan ampun dari orang mukmin yang diminta kepada Allah SWT untuk diberikan kepada orang yang berdosa dan melakukan kesalahan. Samaada yang melakukan dosa itu masih hidup atau sudah meninggal dunia.

Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud :
“Doa seorang muslim untuk saudaranya sesama muslim dengan tidak diketahuinya adalah sangat mustajab. Diatas kepalanya diutus seorang malaikat. Setiap kali ia berdoa dan memohon kepada Allah untuk saudaranya itu suatu permohonan yang baik, maka mengaminkannya. Dan sesungguhnya untukmu seperti yang engkau mohonkan untuk saudaramu itu.” (Hadis Riwayat Muslim dari Abu Darda’)

7.Hadiah Pahala Untuk Muslim (yang telah meninggal dunia)
Apa yang dihadiahkan seorang muslim yang masih hidup kepada saudaranya yang telah meninggal dunia. Hadiah tersebut berupa pahala sedekah, haji dan seumpamanya.

Para ulama  sependapat bahawa apabila meninggal dunia seorang muslim maka ia masih dapat memperolehi manfaat dari orang yang masih hidup lantaran dua perkara :

Pertama : Sumbernya dari orang yang mati itu sendiri ketika ia masih hidup seperti amal jariah. 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Apabila meninggal dunia seorang anak Adam maka putuslah segala amalannya kecuali tiga iaitu sedekah yang ditinggalkan semasa hidupnya, ilmu yang di manfaatkan dan anak yang soleh yang mendoakan kedua ibu bapanya.”

Kedua : Doa kaum muslimin untuknya, pahala sedekah yang di peruntukkan kepadanya, haji dan lainnya. Ada pun pahala dari amal-amal seperti membaca Al-Quran, zikir dan lain-lain menurut Imam Ahmad dan Imam Abu Hanifah boleh sampai kepada simati tersebut kalau memang dihadiahkan kepadanya .

8.Syafaat Dari Mereka Yang Berhak Memberi Syafaat :
Diantara jalan pengampunan yang lain ialah syafa’at dari mereka yang diizinkan Allah untuk memberi syafaat. Syafaat untuk meringankan atau membebaskan orang-orang yang harus mendapat seksaan di akhirat nanti. Mereka-mereka yang diberi keistimewaan adalah seperti berikut :

Pertama : Rasulullah SAW .

Syafaat untuk meringankan seksa keatas orang-orang tertentu seperti bapa saudara baginda Abu Talib, begitu juga syafaat baginda ke atas orang-orang yang melakukan dosa-dosa besar agar boleh dikeluarkan dari neraka.

Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud : “Diantara syafaatku ialah untuk orang yang melakukan doas besar dikalangan umatku.”
(Hadis Riwayat Abu Daud)

Kedua : Para Malaikat, para Nabi-nabi dan orang-orang yang beriman ;

Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud : “…maka para malaikat telah memberi syafa’at, para nabi sudah memberi syafaat, orang-orang beriman telah pun memberi syafaat… maka tidak ada lagi kecuali Zat Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Kemudian setelah berkata demikian Allah mengambil dengan sekali genggaman-Nya itu dari neraka orang-orang yang belum pernah berbuat kebaikan sedikitpun…”
(Hadis Riwayat Muslim)

Namun begitu, syafaat hanya berlaku untuk orang-orang yang memang dihatinya ada tauhid meskipun sebesar atom.Syafaat tidak berlaku untuk mereka yang memang harus kekal dalam neraka seperti orang-orang kafir. Maka jika begitu kita mesti berhati-hati jangan sampai terjejas akidah kita kepada Allah SWT

9. Ampunan dan Kemaafan Allah SWT. diluar Safaat-Nya.

Ini adalah jalan pengampunan terakhir.Keampunan daripada Allah SWT yang boleh meringankan atau menghapuskan sama sekali azab yang sepatutnya di terima oleh sesaorang yang melakukan dosa dan kesalahan didunia.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syrik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari itu (syirik), bagi siapa yang dikehendaki-Nya.” (Surah An-Nisaa’ ayat 48)

Ini adalah jalan pengampunan yang terakhir. Semuanya bergantung kepada kehendak Allah SWT. Untuk mengampuni siapa saja yang Dia kehendaki selain daripada dosa syirik. Adapun mereka yang tidak diampuni dosanya maka mereka terpaksa memasuki neraka terlebih dahulu untuk membersihkan keimanannya daripada kotoran dosa-dosanya.

Sahabat yang dikasihi,
Jalan-jalan pengampunan telah dihamparkan di hadapan kita. Terpulang pada kita sejauhmana kita memerlukan pengampunan itu. Sebelum pertanyaan itu diajukan kepada umat Islam sebagai sebuah komuniti justeru ia terlebih dahulu pasti diajukan kepada diri-diri insan muslim.

Firman Allah SWT  yang bermaksud ;
“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.”
(Surah Ali Imran ayat 133)