Thursday, December 17, 2009

Hijrah Bukti Kebijaksanaan Rasulullah.

HIJRAH bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat atau berubah daripada satu keadaan kepada satu keadaan lain. Dari sudut istilah pula, hijrah adalah meninggalkan sesuatu yang dilarang.

Ia berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Habsyi, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah."
 (Hadis riwayat Abu Dawud)

Maknanya, hijrah difahami sebagai perpindahan daripada suatu keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik. Contohnya, meninggalkan ajaran bertentangan dengan Islam dan kembali kepada ajaran Islam sebenar.


Pada asasnya, peristiwa hijrah bukan saja berlaku kepada Nabi Muhammad s.a.w., tetapi turut dilakukan nabi yang lain atas perintah Allah. Nabi Ibrahim a.s. umpamanya diperintahkan Allah berhijrah ke satu tempat seperti firman-Nya yang bermaksud:
"Selepas Nabi Lut beriman kepada-Nya dan Nabi Ibrahim pun berkata: Aku hendak berhijrah kepada Tuhanku, sesungguhnya Dialah juga yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."
 (Surah al-Ankabut, ayat 26)

Selain Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s. juga diarahkan berhijrah kerana ancaman pembunuhan terhadap baginda. Selain itu, banyak ayat al-Quran yang menerangkan peristiwa hijrah Nabi Musa a.s. ke tempat Madyan, atas cadangan seorang lelaki yang mengetahui ada pakatan bunuh terhadap Nabi Musa a.s.. Begitu juga Nabi Noh yang diperintahkan berhijrah kerana akan berlaku banjir besar.

Bagaimanapun, dalam konteks hari ini, hijrah yang disambut setiap tahun lebih kepada memperingati peristiwa penghijrahan Rasulullah s.a.w. dan sahabat dari Kota Makkah al-Mukarramah ke Kota Madinah al-Munawwarah.

Peristiwa hijrah itu menyingkap satu perjuangan yang pantang menyerah atau mengaku kalah di samping ia menjadi garisan pemisah antara kebenaran dan kebatilan. Ia juga diibaratkan satu jambatan yang menghubungkan antara dua tahap masa perjuangan Rasulullah s.a.w. iaitu, di Makkah selama 13 tahun dan kedua, di Madinah selama 10 tahun.

Ia bermakna Rasulullah s.a.w. berhijrah bukan untuk lari atau meninggalkan medan perjuangan, sebaliknya meneruskan perjuangan. Malah, hijrah memberikan harapan dan membayangkan keberhasilan perjuangan pada masa depan.

Justeru, hijrah adalah tonggak perjuangan sangat bermakna. Hijrah juga fajar kemenangan yang menentukan kemenangan demi kemenangan perjuangan Nabi s.a.w. dan sahabat yang berhijrah menyahut panggilan dan keimanan.

Hijrah itu berlaku atas dorongan iman yang kuat dan suci. Tanpa iman, pasti mereka akan berasa berat untuk meninggalkan keluarga, sanak saudara, kampung halaman dan kota kelahiran. Namun, demi mempertahankan cita-cita luhur yang lahir daripada iman kepada Allah dan Rasul-Nya, ia menguatkan semangat mereka untuk berhijrah.

Mereka juga menyedari tanpa pengorbanan dan perjuangan kental, hasrat atau cita-cita murni itu pasti terkubur. Justeru, mereka bersiap sedia untuk berjihad dengan ikhlas kerana Allah. Mereka berhijrah demi memenuhi panggilan iman, mempertahan dan mencapai cita-cita murni itu.

Mereka menghadapi apa saja rintangan, tekanan dan pelbagai kesulitan dalam perjalanan jihad itu dengan penuh sabar, tabah dan hati yang teguh. Hijrah Nabi s.a.w. dan sahabatnya bukan bererti menjadi orang yang kalah atau tersingkir. Hijrah yang penuh tentangan dan halangan itu memberi mereka peluang untuk meraih kemenangan.

Peristiwa hijrah juga memperlihatkan banyak kebijaksanaan Rasulullah s.a.w., bagaimana baginda mengutamakan pembinaan masjid pertama di Madinah dikenali sebagai Masjid Quba. Ia juga memperlihatkan fungsi kepentingan masjid dalam Islam. Masjid kedua yang didirikan Nabi ialah Masjid Nabawi.

Seterusnya, kebijaksanaan baginda mempersaudarakan kaum Muhajirin (sahabat Nabi s.a.w.  yang sama-sama berhijrah dari Makkah ke Madinah) dan kaum Ansar, yang bersedia menerima kedatangan mereka di Madinah.

Baginda juga berusaha mengadakan beberapa kesepakatan dengan golongan Yahudi dan Nasrani di Madinah untuk mewujudkan suasana aman damai dan harmoni.

Melihat kepada perancangan baginda, marilah kita sama-sama mencontohi semangat hijrah yang terkandung padanya banyak hikmah dan iktibar. Antara teladan yang boleh dipelajari daripada hijrah Nabi ialah komitmen baginda memperbaiki dan membangunkan ummah, yakni membangun ummah beriman, bertakwa, bersaudara, bergotong-royong, saling membantu dan hidup dalam damai dan harmoni dengan umat agama lain.

Hijrah baginda bukan untuk kerehatan, tetapi meneruskan perjuangan dakwah, kerja keras dan berkorban demi kebaikan ummah. Inilah masanya untuk umat Islam di Malaysia menghayati roh hijrah ini untuk diguna pakai dalam konteks semasa iaitu membina semula kegemilangan tamadun Islam.

Tamadun Islam tidak dapat dibina dengan slogan indah atau retorik manis semata-mata, sebaliknya ia menuntut satu jihad, pengorbanan, kesungguhan dan komitmen yang jitu untuk menjulang panji Islam ke persada dunia.

Hijrah juga mengajar makna perpaduan. Cuba renungkan kejayaan Rasulullah s.a.w. menyatukan dua kumpulan yang sebelum itu yang saling bermusuhan, iaitu Aus dan Khazraj. Atas nama persaudaraan dan demi kasih sayang kepada Allah, dua kumpulan itu akhirnya dapat disatukan.

Dalam konteks kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia, wajar umat Islam mempamerkan semangat toleransi dan rahmah sejajar dengan Islam sebagai ad-Deen yang amat menitikberatkan soal kedamaian sejagat dan kesejahteraan ummah.

Justeru, Islam dari awal lagi menganjurkan umat Islam supaya bekerjasama dan bertoleransi antara satu sama lain dalam memakmurkan bumi Allah ini. Bumi Allah adalah milik semua makhluk diciptakan Allah dan ia bukan milik atau kepunyaan istimewa satu kaum atau bangsa tertentu.

Malah, semuanya diberikan hak dan keistimewaan sama rata untuk bersama mendiami alam ini di samping memakmurkannya ke arah kejayaan dan kebahagiaan sejagat.

Oleh itu, Islam melarang keras sebarang bentuk penindasan, kezaliman, kekejaman atau permusuhan dengan bangsa lain biarpun berlainan akidah dan kepercayaannya kerana Islam adalah ad-Deen yang bersifat rahmat kepada sekalian alam.

Firman Allah yang bermaksud:
"Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam."
 (Surah al-Anbia, ayat 107)


(Di petik dari tulisan Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi)







































Do'a Agar Banyak Berzikir, Syukur dan Taat.

Sahabat yang dimuliakan,
Do'a dan zikir adalah senjata orang Mukmin, manakala bersyukur dan melakukan ketaatan adalah natijah dari jiwa yang beriman dan bertakwa kepada Allah s.w.t. Do'a dan zikir mampu menjadi pendorong utama untuk menguatkan rohani dan jiwa.

Seorang Muslim Mukmin yang sentiasa dalam hidupnya  berdo'a dan berzikir kepada Allah s.w.t., kekuatan dalamannya amat luar biasa dan akan mencapai kecemerlangan dalam hidupnya berbanding mereka yang dalam hidupnya tidak mahu berdo'a dan berzikir dan hanya bergantung pada akal fikirannya semata-mata untuk mencapai sesuatu perkara. Perancangan macamana hebat sekalipun apabila ianya dibuat tanpa memohon pertolongan Allah s.w.t. maka ianya tidak akan berjaya dan kalau berjaya sekalipun ianya tidak akan berkat dan akhirnya akan menemui jalan buntu dan kegagalan.

Segala kekuatan lahir, pengalaman, kemahiran dan kekuatan batin daripada tenaga dalaman akan dipadukan untuk mencapai apa-apa yang dihajatkan. Apabila diketengahkan dan diamalkan dalam kehidupan seharian do'a dan zikir mampu menjadi senjata yang ampuh.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Do'a dan zikir adalah suara hati. Namun jika do'a dan zikir itu kita ambil daripada do'a-do'a dan zikir-zikir yang diamalkan oleh Nabi s.a.w untuk memohon daripada Allah s.w.t.maka ianya menjadi lebih kuat dan mustajab.

Nabi s.a.w. berwasiat kepada Muaz bin Jabal r.a agar dapat mengamalkan do'a ini setiap lepas solat :
"Allahumma inni ala zikrika wasyukrika wahusni ibadatik"
(Ya Allah, tolonglah aku agar dapat berzikir kepada-Mu (mengingati Allah), bersyukur kepada-Mu, dan memperelokkan ibadah kepada-Mu.) - Riwayat Abu Daud.

Do'a untuk keselamatan dunia dan akhirat :
"Allahumma inni asalukal 'afiya fiddunia wal akhirah"
(Ya Allah, aku memohon kepada-Mu kesejahteraan di dunia dan akhirat) - Riwayat Tirmizi.

"Rabbana atinaa fiddunia hasanah wa fil akhirati hasanah wakina azabannar"
(Ya Allah, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan lindungilah kami daripada azab api Neraka) - Riwayat Bukhari.

Akhirkata peruntukkanlah masamu untuk beribadah, berdo'a dan berzikir kepada Allah s.w.t. terutama diseperiga malam untuk menambahkan kekhusyukan kepada-Nya. Kesemua amalan soleh ini akan menjadikan diri kita cemerlang dalam kehidupan di dunia dan di hari Akhirat.

Wednesday, December 16, 2009

Nasihat Nabi s.a.w. Kepada Abu Zar r.a.

Abu Zar r.a. meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :

"Aku menasihatkanmu;

* Kamu hendaklah bertakwa kepada Allah kerana Ianya sumber segala amalan.

* Utamakanlah bacaan al-Qur'an dan zikrullah kerana dengan itu nama kamu akan disebut dilangit dan sebabkan nur dipermukaan bumi.

* Perbicarakanlah yang baik-baik atau senyap nescaya syaitan akan terhindar darimu dan kamu akan ditolong tentang urusan-urusan agamamu.

* Janganlah sekali-kali banyak ketawa kerana dengan itu hatimu akan mati dan cahaya dari wajahmu akan lenyap.

* Utamakan jihad kerana itulah kebanggaan umatku.

* Hendaklah mengasihi orang-orang miskin dan mengauli mereka.

* Dan perhatikanlah keadaan mereka yang lebih rendah daripada keadaanmu.

* Janganlah sekali-kali memperhatikan keadaan mereka yang lebih tinggi daripada keadaanmu kerana dengan ini kamu tidak dapat mensyukuri nikmat-nikmat Allah yang Ia kurniakan kepada kamu.

* Hendaklah mengukuhkan silaturahim dengan kaum kerabatmu walaupun mereka memutuskan perhubungan mereka denganmu.

* Hendaklah berbicara yang benar walaupun dirasai pahit.

* Jangan sekali-kali menghiraukan para pencela mengenai urusan-urusan agama Allah.

* Carilah keaiban dirimu sendiri, janganlah sekali-kali menghebuhkan keaiban orang lain.

* Janganlah sekali-kali memurkai seseorang kerana keburukannya yang terlibat di dalam dirimu sendiri.

Wahai Abu Zar,

* Tidak ada kebijaksanaan yang lebih bernilai daripada tindakan yang sewajarnya,

* Sebaik-baik takwa ialah menjauhi segala larangan dan

* Tidak ada kemuliaan yang setimpal dengan akhlak yang sempurna."

Pengajarannya :
Berdasarkah hadis di atas yang diriwayatkan oleh Abu Zar r.a, Nabi s.a.w telah menjelaskan beberapa perkara mengenai ciri-ciri akhlak Islam dan amal soleh yang perlu ada pada diri seorang Mukmin. Walaupun nasihat ini ditujukan kepada sahabat baginda (Abu Zar) tetapi sebenarnya ia adalah ditujukan untuk semua umat Islam untuk mencapai tahap akhlak Islam dan amal soleh yang sempurna. Sekiranya kita fahami dan melaksanakan apa yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w, insya Allah kita akan menjadi Mukmin yang sempurna dan memiliki peribadi yang mulia.    


Tuesday, December 15, 2009

Tarbiyyah Hati Untuk Kesejahteraan Hidup

Sahabat yang di rahmati Allah,
Di dalam kehidupan kita mencari keredhaan Allah s.w.t., kita perlulah memperhambakan diri kepada-Nya dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Perhambaan ini perlu berlaku dengan amalan zahir dan amalan batin (hati). Amalan batin (pembersihan hati dan jiwa) amat penting sekali daripada amalan zahir kerana apabila dalaman seseorang telah bersih maka ia akan melahirkan amalan luaran yang bersih pula. Tetapi apabila amalan zahir nampak hebat dan banyak sedangkan batinnya kotor dengan perasaan ujub dan riak maka amalan zahirnya tidak ada nilai disisi Allah s.w.t.

Sahabat yang dimuliakan,
Apabila tubuh badan memerlukan latihan supaya segar dan sihat, maka hati kita juga perlu dilatih dan dididik supaya ia menjadi sihat dan khusyu'. Hati yang khusyu' amat diperlukan dalam ibadah dan seterusnya dalam kehidupan. Hati yang hidup dan sihat adalah hati yang apabila disebut nama Allah s.w.t. terasa gementar dan apabila dibacakan al-Qur'an bertambah Imannya. Hati seperti ini akan bersih dari keduniaan dan akan lahirkan keikhlasan kepada Allah s.w.t. dalam setiap tindak-tanduk perbuatannya. Manusia melihat zahir kita sedangkan Allah melihat hati kita. Untuk memiliki hati yang khusyu' ia perlu dilembutkan dahulu dan disinilah lahirnya pelbagai cara dalam melahirkan jiwa yang khusyu'.

Sahabat yang dihormati,
Terdapat beberapa amalan yang yang diambil daripada al-Qur'an dan As-Sunnah dan ulama-ulama muktabar untuk melahirkan hati yang bersih dan khusyu' adalah seperti berikut :

1. Tafakur dan muhasabah ;
Kita hendaklah sentiasa merenung kehidupan kita, bermuhasabah tentang hubungan hati kita dengan Allah s.w.t. Fikirkan betapa banyaknya dosa-dosa yang telah kita lakukan, tugas dan amanah yang telah kita tinggalkan dan betapa kurangnya amal soleh kita dan rasa tidak mampu nak berhadapan dengan Allah s.w.t. di hari Akhirat nanti. Sayyidina Umar setiap malam bertafakur dan bermuhasabah dan mengenangkan akan dosa-dosanya.

2.Beristighfar ;
Rasulullah s.a.w beristighfar sebanyak 70 kali sehari semalam. Walaupun baginda bersifat maksum dan telah diampunkan dosanya oleh Allah s.w.t yang kemudian dan yang akan datang, baginda tetap memohon ampun kepada Allah s.w.t. tanda bersyukur baginda kepada-Nya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Tiadalah Tuhan akan menyiksa mereka, sedangkan engkau berada diantara mereka, dan tiadalah Tuhan hendak menyiksa mereka selama mereka beristigfar."
(Surah al-Anfal ayat 33)

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Dan mohonlah keampunan kepada Tuhan kamu dan kembalilah kepada-Nya nescaya Dia akan mengurniakan pemberian yang baik kepada kamu hingga ke waktu yang ditentukan."
(Surah Hud ayat 3)

3.Berselawat kepada Nabi s.a.w ;
Sesiapa yang banyak berselawat keatas junjungan Nabi s.a.w akan mendapat syafaat dihari Akhirat nanti ketika itu tiada siapa yang dapat membantunya. Berselawat juga dapat melahirkan kecintaan kepada baginda dan ahli keluarganya.

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Barangsiapa yang berselawat kepadaku sekali, nescaya Allah akan membalasnya dengan selawat keatasnya sepuluh kali."

Firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada Nabi, wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah ke atasnya dan mengucap salamlah kepadanya dengan sepenuh salam (kehormatan).

4.Mengingati mati ;
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "Perbanyakkan mengingati mati, kerana yang demikian itu akan mengurangkan seseorang itu melakukan dosa dan zuhud pada dunia."

Imam al-Ghazali mengatakan, "Dengan meningati mati, hati kamu menjadi lembut."

5.Berzikir dalam hati ;
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : "Sebaik-baik zikir ialah yang dirahsiakan (dalam hati) dan sebaik-baik rezeki ialah yang mencukupi."

Dalam hadis yang lain baginda bersabda yang bermaksud, "Bagi segala sesuatu ada penggosok untuk membersihkan dan menghilangkan kekotorannya. Maka begitulah penggosok (pembersih) hati ialah zikrullah."

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Berzikirlah kepada Tuhanmu dalam hatimu dengan rendah hati dan perasaan takut."

Sebahagian ulama tasauf mengatakan zikir yang dimaksudkan di dalam hadis di atas ialah zikir qalbi (zikir dalam hati) bukan zikir lisan. Dengan mengerjakan zikir qalbi itu seseorang manusia terhubung dengan Allah s.w.t. selama-lamanya. Oleh kerana hati adalah 'raja' kepada anggota-anggota badan yang lain, dalam melakukan ibadah, jika hati sentiasa berhubung dengan Allah, maka anggota-anggota lainnya dengan sendirinya akan berhubung dengannya. Contohnya dalam keadaan kita berseorangan atau dalam kenderaan daripada fikiran kita berhayal dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah eloklah kita zikir dalam hati dengan menyebut Allah, Allah... berulang-ulang.

6.Zikir secara jihar (lisan) ;
Sayyidina Umar al-Khattab pernah ditanya mengapa beliau cenderung untuk berzikir jihar, beliau menjawab ; "Aku melakukan demikian untuk menyedarkan orang-orang yang lalai dan supaya syaitan-syaitan akan menjauhkan diri daripada sisiku."

Imam al-Ghazali amat menekan zikir jihar beramai-ramai kerana ia mempercepatkan keasyikan hati dan berlakunya tolong menolong antara satu sama lain dalam meningati Allah s.w.t.

7.Berdo'a kepada Allah s.w.t. :
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Dan Tuhan kamu berfirman : 'Mohonlah kepada-Ku nescaya Aku akan memperkenankan permohonan kamu."
(Surah al-Mukminin ayat 180)

Perbanyakkanlah berdo'a kepada Allah s.w.t. setiap masa. Selepas solat fardu, selepas membaca al-Qur'an, selepas solat tahajud di tengah malam dan ditempat-tempat yang afdhal do'a, kerana dengan banyaknya do'a hati akan menjadi bersih, lembut dan sejahtera.

Akhirkata, teruskanlah tarbiyyah hati  supaya hati yang bersih dan sejahtera akan membawa kepada hubungan yang akrab dengan Allah s.w.t. dan juga membawa kepada kesejahteraan hidup di dunia dan di hari Akhirat.

Pemimpin Yang Tidak Sombong

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

"Aku adalah pemimpin anak Adam pada hari kiamat dan tidak sombong, di tanganku panji-panji pujian dan tidak sombong. Tidak seorang nabi pun baik Nabi Adam mahupun yang lainnya melainkan berada di bawah panji-panjiku dan aku adalah orang pertama yang memberi syafaat dan orang yang pertama yang diterima syafaat dan tidak sombong."

(Hadis Hasan Riwayat  Ahmad, Tirmidzi dan Ibnu Majah dari Abu Sa’id)

Pengajarannya :
Rasulullah s.a.w. adalah contoh pemimpin yang tidak sombong samaada di dunia maupun di hari Akhirat. Baginda memimpin dengan penuh adil, saksama dan bertanggung jawab dalam kepimpinannya. Oleh itu sesiapa sahaja yang telah dilantik menjadi pemimpin dalam apa bidang sekali pun hendaklah memimpin dengan adil dan buangkan segala sifat sombong. Sesungguhnya sesiapa sahaja pemimpin yang ada sifat ini akan dimurkai oleh Allah s.w.t.













Sunday, December 13, 2009

Kembalilah Menghayati al-Qur'an

Sahabat yang dirahmati Allah,
Alhamdulillah, pertama marilah kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t. yang masih memanjangkan usia kita, masih diberi peluang untuk menyedut dan bernafas dengan udara-Nya., di berinya kesihatan dan masih berada di dalam keadaan beriman kepada-Nya.

Selawat dan salam kita tujukan buat Ar-Rasul Muhammad s.a.w., Rasul dakwah dan Rasul Tarbiyyah. Contoh yang telah ditunjukkan baginda itulah ikutan utama kita dalam segala keadaan samaada mudah atau sukar. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud, " Sesungguhnya telah ada untuk kamu pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang paling baik, bagi sesiapa yang mengharapkan Allah dan hari Akhirat dan banyak mengingati Allah."

Sahabat yang dimuliakan,
Kitab suci al-Qur'an yang diwahyukan oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Muhammad s.a.w adalah merupakan kitab suci yang sempurna dan lengkap, dan menjadi peduman hidup manusia di dunia. Al-Qur'anul karim perlu dibaca, difahami, diyakini dan dilaksanakan dalam kehidupan.

Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna pernah berkata, "Pesanku kepadamu wahai saudara-saudara...hendaklah sentiasa menghubungkan diri dengan al-Qur'an pada setiap detik dan masa. Andaikata saudara melakukan sedemikian, nescaya saudara akan merasa betapa agungnya Pencipta yang Maha Tinggi itu. Sebenarnya siapa yang berbuat demikian tidak dapat tidak akan bertambah keimanan terhadap keagungan Pencipta lalu bertambah lagi ketundukannya kepada kekuasaan-Nya...."

Sahabat yang dihormati,
Apakah kita setiap hari membaca al-Qur'an? Adakah al-Qur'an yang kita baca kita melihat pula makna dan tafsirnya untuk memahami maksud perintah dan larangan Allah s.w.t? Kesemua keadaan ini bergantung sejauh mana keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. Semakin tinggi iman dan takwa kita maka semakin banyak dan kerap kita membaca dan meneliti segala intisari yang terdapat di dalam al-Qur'an. Apabila kita jarang atau tidak pernah membaca al-Qur'an, dan gagal menfaatkan masa yang terluang untuk memahami dan menghayati mukjizat dan hikmah al-Qur'an maka itulah sebenarnya kayu pengukur hubungan hati kita dengan Allah s.w.t. Percayalah sebenarnya kita telah lari jauh dari rahmat Allah s.w.t. sekiranya kita jauh dari al-Qur'an.

Tidak ada yang lebih mendekatkan diri kita kepada Allah daripada ketika kita bersama qalam-Nya, hanya dengan al-Qur'an kita akan mendapat rahmat mendengar 'suara-Nya' yang berkata-kata dengan kita. Justeru, jadikanlah keinginan untuk datang hampir kepada Allah sebagai tujuan sebenar ketika membaca al-Qur'an.

Sahabatku,
Banyak hadis-hadis Nabi s.a.w. yang menjelaskan keutamaan, kebaikan dan hikmah kita belajar al-Qur'an (belajar membaca dengan tajuid, memahami makna dan tafsirnya), dan mengajarkan pula pada orang lain.
Hati manusia ini adalah seperti besi bila ditimpa air ia berkarat, maka untuk menggilapnya hendaklah banyak membaca al-Qur'an dan mengingati kematian.

Oleh itu marilah sama-sama kita memohon perlindungan daripada Allah s.w.t. dari memiliki hati yang keras dan mata yang tidak pernah menitiskan air mata penyesalan di atas segala dosa yang telah kita lakukan kepada Allah s.w.t.. Kita mengharapkan diberi Allah peluang dan kekuatan untuk termasuk ke dalam golongan hamba-hamba-Nya yang berjaya memakmurkan bumi Allah ini dengan sinar keimanan yang didapati daripada al-Qur'an.

Marilah sama-sama terus berdo'a kepada Allah semoga hati kita dibersihkan daripada kesan-kesan jahiliah yang cukup kuat menguasai manusia hari ini. Lebih-lebih lagi kita sekarang ini sedang berada dalam masyarakat yang tidak mengambil Allah sebagai Ilah dan Rabb. Semoga Allah s.w.t. memberi kekuatan untuk mengamalkan dan melaksanakan tanggungjawab Islam yang telah ditetapkan.

Pastikan setiap hari tidak ada masa kalian yang tidak diisi dengan membaca al-Qur'an. Bacalah setiap hari samaada satu surah, satu muka atau pun satu ayat. Insya Allah hidup kalian akan diberkati Allah!