Sunday, January 11, 2015

Kemuskilan Agama : Hukum Mempercayai Petua Orang Tua-tua.

Soalan Kedua :

Di sini saya ingin bertanyakan satu soalan berkaitan dengan hukum mempercayai petua orang tua-tua. Mengikut petua orang tua-tua, membunuh binatang yang berdarah adalah tidak dibolehkan semasa isteri sedang mengandung ... takut terkenan katanya. Bagaimana pula jika suami tersebut membunuh cicak yang terlalu banyak di rumah dan bagaimana pula jika beliau membunuh serangga perosak seperti semut, lalat, nyamuk dan lain-lain? ....

Jawapan :

Tidak ada apa yang sisebutkan sebagai kenan. Kepercayaan ini adalah khurafat dan bercanggah dengan ayat-ayat alQur'an, antaranya:

1. Firman Allah SWT maksudnya,"(Apakah mereka akan mengikut juga akan petua-petua nenek moyang mereka), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apa pun, dan tidak mendapat petunjuk." (Surah al-Baqarah ayat 170)

2. Firman Allah SWT maksudnya, "Dan pada sisi Allah jualah, anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Dia-lah sahaja." (Surah al-An'am ayat 59)

3. Firman Allah SWT maksudnya, "Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib itu kepada sesiapa pun, kecuali kepada mana-mana Rasul yang diredhai-Nya." (Surah al-Jinn ayat 26-27)

4. Firman Allah SWT maksudnya, "Katakanlah:'Tidak akan menimpa kami selain apa yang telah ditetapkan Allah untuk kami..." (Surah al-Taubah ayat 51)

Perkara-perkara tersebut kurafat perlu di jauhi dan tak boleh di percayai, perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

1. Mempercayai bulan safar membawa sial dan bala bencana.

2. Mempercayai burung hantu berbunyi diwaktu malam akan ada orang nak mati atau ada bala bencana.

3. Percaya bahawa apabila hujan panas ada orang nak mati.

4. Percaya kalaulah cicik berbunyi maknanya betullah cakap kita.

5. Biawak lintas jalan ada petanda urusan hari itu gagal tak boleh diteruskan. Jika diteruskan akan gagal.

6. Bila ada kupu-kupu masuk rumah akan ada tetamu nak datang ke rumah.

7. Bila tangan kanan bergerak-gerak akan ada rezeki, begitu juga bila tangan kiri bergerak akan habiskan rezeki yang ada.

8. Telik tapak tangan dan mempercayai urat-urat tertentu boleh membawa tuah atau sebaliknya.

9. Apabila ada pingan pecah maka akan ada bala nak datang atau ada sesuatu kemalangan akan berlaku.

10. Bila makan tersedak ada orang sebut nama kita atau ada orang sedang mengingati kita.

Tidak ada larangan menyembelih binatang, membunuh binatang yang memudharatan manusia atau membunuh binatang dan makhluk yang merbahaya walaupun isteri sedang mengandung.
Kenan itu adalah kepercayaan orang purbakala dan animisma yang tidak didatangkan petunjuk ke atas mereka. Islam datang dan telah membersihkan kepercayaan khurafat tersebut. Bunuhlah lalat, nyamuk, lipas dan cicak seperti biasa.

Rasulullah S.A.W. menyatakan melalui sabdanya yang bermaksud: "Tidak ada penularan penyakit (tanpa izin Allah), tidak ada penentuan nasib dengan burung, tiada kemudaratan burung hantu, dan tiada bala bencana bulan Safar". (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Sabda Nabi S.A.W. bermaksud: “Barangsiapa datang kepada tukang tenung (bomoh), kemudian dia membenarkan perkataannya, maka sembahyangnya tidak diterima oleh Allah selama 40 hari.”(Hadis Riwayat Muslim).

Tambahan daripada itu, Rasulullah S.A.W. juga mengingatkan bahawa orang yang mempercayai keburukan itu datangnya daripada sesuatu selain daripada Allah adalah syirik, sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Menyandarkan keburukan kepada sesuatu adalah syirik, dan tidak termasuk dalam golongan kami melainkan orang yang beriman sahaja, dan Allah akan menghilangkan syirik itu dengan tawakkal".(Hadis Riwayat Ibnu Majah). Wallahu a'lam

Rujukan:

1. Prof (alMarhum) Mutawalli Sya'arawi: asSihr wal hasadu, Akhbarul Yaum, Cairo
2. Syaikh Atiyyah Saqr, Islam wa Musykilatul hayah, Kuwait
3. Ustaz Ismail Awang, Adat Orang-Orang Melayu yang bertentangan dengan Aqidah Islam, Pustaka Aman Press Kelantan, 1996.

Kemuskilan Agama : Doa-doa Untuk Menghentikan Bayi Menangis Di Waktu Malam.

Soalan Pertama :

Saya nak minta pandangan dan doa-doa yang boleh di amalkan bagaimana nak hentikan bayi menangis tengah malam? Sedangkan siang dia tidur lena..seolah-lah ada yang menganggunya untuk tidur..tiap kali menangis kepala dan mata bayi akan mendongak ke atas seolah-olah ada sesuatu yang dipandangnya.

Jawapan :

Menangis bagi bayi atau anak kecil merupakan perkara biasa, bukan semestinya kerana ada masalah atau kerana kecuaian ibu. Malah menangis merupakan suatu pernyataan bayi atau kanak-kanak sebagai ganti kepada pertuturan yang tidak dapat diluahkan terhadap sesuatu yang berlaku.

Ada bayi yang masih dalam hari tidur nyenyak di siang hari, tetapi mula menangis pada masa-masa tertentu sama ada pada tengah malam, petang ataupun bila-bila masa tanpa sebab yang jelas.

Terdapat juga bayi yang mula menangis apabila tidurnya terganggu, biarpun oleh suara yang perlahan seperti bunyi benda jatuh, bunyi tapak kaki, bunyi pintu tertutup dan sebagainya. Pada kebiasaannya tangisan akibat gangguan tersebut berlaku dalam tempoh yang singkat.
Tangisan biasa selalunya ada kaitan dengan punca yang jelas seperti tercucuk pin pakaian, pakaian terlalu ketat menyebabkan bayi terasa tidak selesa, lampin basah, rasa terlalu panas, sakit perut, dahaga, lapar, rasa kesepian dan sebagainya.

Sesetengah bayi atau anak kecil akan menangis apabila berubah tempat tidur, dari tempat gelap yang biasa dia tidur berpindah ke tempat terang atau sebaliknya. Anak-anak yang dibawa balik kampung menghadiri majlis kenduri mungkin akan menangis kerana suasana tempat tidur yang berubah atau sebaliknya.

Walaupun demikian, tangisan yang memanjang seperti yang berlaku kepada anak puan tidak semestinya mempunyai sebab atau punca yang jelas. Tidak semestinya kerana lapar, dahaga, kesejukan, panas atau kehilangan orang yang selama ini berada di sampingnya, iaitu si ibu.
Ada orang yang mengaitkan keadaan sedemikian rupa, yang dikenali sebagai sawan tangis ini, akibat gangguan makhluk-makhluk halus, tidak kira sama ada gangguan tersebut akibat perbuatan makhluk halus yang dilibatkan dengan perbuatan manusia, ataupun akibat gangguan jin yang menggemari manusia, sejak seseorang itu dilahirkan, yang dikenali sebagai qarin atau makhluk halus yang datang menumpang bersama manusia.


Perkataan qarin berasal daripada bahasa Arab bererti teman atau pasangan. Istilah qarin bererti roh-roh jahat, yang terdiri daripada makhluk-makhluk halus yang sentiasa mendampingi manusia, sejak seseorang itu dilahirkan sehinggalah dia meninggal dunia.

Kewujudan qarin di samping manusia ialah untuk membiasakan, iaitu untuk menggoda atau menyesatkan, sehingga manusia itu tunduk kepada nafsu, yang akhirnya melakukan dosa, tidak kira sama ada dosa itu dosa kecil berpanjangan atau dosa besar seperti membunuh, berzina, makan harta anak yatim dan sebagainya. Cara lain ialah dengan memesongkan iktikad mereka sehingga membawa kepada perbuatan syirik atau murtad.

Dosa-dosa itu tidak diampuni Allah. Walaupun demikian, sekiranya manusia itu beriman dan dilindungi Allah, qarin itu akan menyuruhnya melakukan kebaikan.

Selain itu, qarin juga berusaha untuk mencederakan fizikal dan roh manusia secara bersendirian ataupun dengan perantaraan manusia, menyebabkan manusia menggunakan jin-jin untuk melakukan perbuatan tertentu seperti untuk menyakiti orang lain dan sebagainya. Apabila ini berlaku, maka dari sini terjadilah kegiatan sihir.

Sawan tangis itu ada dua punca utama, iaitu bersifat fizikal seperti kerana lapar, haus dan sejuk, rasa hilang keselamatan diri seperti kehilangan orang yang selalu berada di sampingnya, biarpun buat sementara. Sakit seperti kembung perut atau selesema. Termasuk dalam kategori ini ialah sakit akibat jangkitan kuman dan juga kecacatan anggota seperti terhantuk, terjatuh dan sebagainya.

Punca kedua ialah akibat gangguan makhluk-makhluk halus. Allah menjadikan manusia itu daripada dua unsur utama, iaitu jasad dan roh. Islam mengajar agar anak yang baru dilahirkan diazankan di telinga kanan dan diiqamatkan di telinga kirinya.

Itulah ajaran terawal yang mesti diperhatikan dan dilakukan dengan tujuan agar bayi itu mendengar kalimah Allah sebaik-baik sahaja dilahirkan. Pencipta yang melahirkan bayi yang baru dilahirkan, yang memberi rezeki dan membesarkannya, dan akhirnya akan mematikannya untuk menemui-Nya.

Sekiranya dilakukan demikian, insya-Allah, bayi berkenaan tidak akan diganggu oleh ummu`s-sibyan, iaitu sejenis makhluk jin yang sering mengganggu bayi, yang boleh menyebabkan timbul pelbagai masalah termasuk gangguan tidur pada waktu malam, yang akhirnya boleh menyebabkan demam panas ataupun sawan.

Keterangan ini membuktikan bahawa roh bayi atau anak kecil boleh terganggu akibat gangguan yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar, ataupun melalui eksperimen teknologi moden. Dalam masa tertentu anak tadi kadang-kadang memperlihatkan reaksi luar biasa dengan wajah yang ketakutan seolah-olah sedang melihat satu objek yang menggerunkan di hadapannya.

Mungkin sukar untuk menjelaskan bagaimana gangguan yang tidak dapat dilihat itu boleh mengganggu bayi menyebabkan dia tidak berhenti-henti menangis, terkujat-kujat dan terketar mulut sehingga tidak terdengar suara tangisannya menyebabkan ibu dan juga bapanya menggelabah.

Ada beberapa tanda lumrah yang boleh diperhatikan oleh mata kasar sekiranya bayi atau kanak-kanak itu menangis akibat gangguan seperti yang dijelaskan, bukan disebabkan akibat luaran.Menangis bagi bayi atau anak kecil merupakan perkara biasa, bukan semestinya kerana ada masalah atau kerana kecuaian ibu. Malah menangis merupakan suatu pernyataan bayi atau kanak-kanak sebagai ganti kepada pertuturan yang tidak dapat diluahkan terhadap sesuatu yang berlaku.

Ada bayi yang masih dalam hari tidur nyenyak di siang hari, tetapi mula menangis pada masa-masa tertentu sama ada pada tengah malam, petang ataupun bila-bila masa tanpa sebab yang jelas.

Terdapat juga bayi yang mula menangis apabila tidurnya terganggu, biarpun oleh suara yang perlahan seperti bunyi benda jatuh, bunyi tapak kaki, bunyi pintu tertutup dan sebagainya. Pada kebiasaannya tangisan akibat gangguan tersebut berlaku dalam tempoh yang singkat.
Terlalu banyak kaedah atau usaha boleh dilakukan yang diajar oleh Rasulullah SAW. dalam usaha mengatasi masalah seperti ini, di antaranya ialah dengan membacakan surah al-Fatihah, ayat al-Kursi, surah an-Nas dan surah al-Falaq, kemudian hembuskan pada ubun-ubun anak. Lakukan sebanyak tiga kali. Sekiranya anak-anak ini masih juga menangis, bacakan azan di telinga kanannya dan iqamah di telinga kiri. Lakukan sekali ataupun tiga kali.
Dalam sebuah hadis riwayat oleh Abu Isa at-Tarmizi, katanya telah diriwayatkan oleh Aqabah bin Amir al-Juhani, daripada Nabi SAW sabdanya maksudnya : "Sesungguhnya Allah telah menurunkan kepada aku beberapa ayat yang tidak diperlihatkan seumpamanya, iaitu Qul a'uzu bi rabbinnas dan Qul a'uzu bi rabbilfalaq sehingga akhirnya."

Hadis ini bermaksud bahawa Allah telah menurunkan dua ayat di atas kepada Rasulullah yang mempunyai fadilat yang amat besar, iaitu untuk melindungi diri daripada bahaya teguran hasad dan pandangan mata jahat. Termasuk dalam kategori pandangan mata jahat ialah manusia yang dibantu oleh jin-jin untuk melakukan perbuatan sihir, yang memancarkan pandangan jahatnya kepada mangsa melalui pandangan mata, termasuk bayi atau anak-anak yang menyebabkan berlakunya gangguan roh jahat (jin dan syiatan).

Mudarat akibat daripada pandangan mata jahat memang boleh berlaku. Dalam menghadapi masalah seperti ini Rasulullah membenarkan Asma' Binti Umays (isteri seorang sahabat) untuk meminta pertolongan kepada orang yang tahu menjampi dalam usaha untuk menolong merawat anak Jaafar, iaitu saudara kepada Ali Abu Talib. Wallahu a'lam