Friday, August 7, 2015

Hukum Orang Bertato Jika Telah Bertaubat

Di dalam sebuah hadits Rasulullah SAW. bersabda:

“Sesungguhnya Allah memaafkan dari ummatku, kesalahan, kelupaan dan segala sesuatu yang dipaksakan atasnya.” (HR. Hakim dari Ibnu Abas).

Menato badan hukumnya memang haram, bukan bererti orang yang bertato tidak wajib solat. Mungkin ada yang beralasan tidak sah solat orang yang bertato kerana tato dianggap
menghalangi air ke kulit ketika bersuci (wuduk dan mandi junub), sehingga bersucinya tidak sah. Sekilas memang pernyataan ini seolah-olah benar, padahal tidak tepat.

Sebab,

1. Allah Maha Menerima Taubat hamba-hamba-Nya.

2. Solat lima waktu hukumnya wajib.

3. Kalau menghapus tato itu mudah dan tanpa menyakiti badan maka harus dihapus, tetapi kalau menghapusnya harus dengan menyakiti badan, dengan disetrika misalnya, atau dengan memberikan cairan yang menimbulkan rasa sangat sakit, tentu ini justru perbuatan yang dilarang dalam Islam, oleh itu Allah SWT berfirmanyang bermaksud, “Dan janganlah kalian melemparkan diri kalian dalam kebinasaan.” (Surah al-Baqarah ayat 195).

4. Ada beberapa kaedah usul yang membenarkannya, diantaranya;

a. Meninggalkan syarat lebih baik daripada meninggalkan kewajiban,

b. apabila terdapat dua bahaya dalam dua pilihan, maka pilihlah bahaya yang lebih ringan.

Berdasarkan beberapa alasan diatas, maka orang yang terlanjur bertato kemudian ia bertaubat dengan taubatan nasuha lalu melaksanakan solat maka insya Allah taubat dan solatnya diterima oleh Allah SWT.

Di samping itu semua bahawa Islam adalah agama rahmatan lil alamin, agama yang sesuai dengan fitrah manusia dan tidak ada ajarannya yang bertentangan dengan akal sihat. 

Betapa sulitnya manusia, sekiranya keinginan kuatnya ingin bertaqarrub kepada Allah SWT tidak boleh tercapai hanya gara-gara tato yang sulit dihapus. Padahal Allah Maha Pengampun, Maha Pemaaf dan Maha Menerima taubat. Wallahu A’lam.

Subhanallah, semoga bermanfaat.

Wednesday, August 5, 2015

HUKUM SHISHA MENURUT PANDANGAN SYARAK

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 17 Julai 2013 telah membincangkan Hukum Shisha Menurut Pandangan Syarak. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

Setelah mendengar pembentangan dan penjelasan pakar-pakar daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan meneliti maklumat serta bukti-bukti perubatan dan saintifik terperinci yang dikemukakan dari dalam dan luar negara mengenai kesan dan kemudharatan besar yang dihadapi akibat daripada shisha terhadap kesihatan ummah, pembangunan ekonomi negara serta pembentukan generasi pada masa akan datang, maka Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa shisha adalah HARAM. Oleh itu, umat Islam adalah dilarang menghisap shisha atau menyediakan perkhidmatan menghisap shisha atau apa-apa aktiviti yang berkaitan dengan shisha.

Muzakarah menegaskan bahawa pengharaman Shisha ini adalah berdasarkan nas-nas syarak daripada al-Quran dan Hadith serta Kaedah Fiqhiyyah bagi memastikan lima perkara asas bagi manusia yang terkandung dalam Maqasid Syari’yyah iaitu menjaga agama, jiwa, akal, keturunan dan harta dapat dipelihara sepertimana tuntutan syarak, kerana Shisha jelas memudharatkan kesihatan, membazir dan mensia-siakan masa dan harta serta dikategorikan sebagai satu perkara buruk atau keji, berdasarkan nas-nas berikut:
Firman Allah swt dalam Surah al-Baqarah, ayat 195 :

“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”.

Firman Allah swt dalam Surah al-A’raf ayat 157;

“ Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk”.

Sabda Rasulullah s.a.w :

“Tidak boleh mudharatkan (diri sendiri) dan memberi kemudharatan (kepada orang lain)”. (Hadith riwayat Ahmad, Malik, Ibn Majah dan al-Daraqutni)

Kaedah Usul Fiqh:

۳ۯ Ű§Ù„Ű°Ű±ÙŠŰčŰ© - iaitu “Menutup pintu kerosakkan” 
ۯ۱ۥ Ű§Ù„Ù…ÙŰ§ŰłŰŻ Ù…Ù‚ŰŻÙ… Űčلى ŰŹÙ„Űš Ű§Ù„Ù…Ű”Ű§Ù„Ű­ – iaitu “menolak kerosakan adalah didahulukan daripada mencari kemaslahatan”.

http://www.e-fatwa.gov.my/…/hukum-shisha-menurut-pandangan-…

Tuesday, August 4, 2015

Terkini: Fatwa Penggunaan Rokok Elektrik/E Cigarette/Vapor dari Mufti Wilayah



Trend terkini selalu kita lihat ramai perokok telah bertukar kepada penggunaan vapor/E Cigarette/rokok elektrik di mana dikatakan penggunaannya lebih sihat dan menjimatkan.

Selain baunya yang wangi dan sedap ia dikatakan bebas dari bahan kimia lain selain hanya perisa makanan, air dan sedikit nikotin berdasarkan keperluan.

Namun adakah hukum menghisap rokok ini adalah berbeza dengan rokok sebenar dan perkara ini telah diulas oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri di mana beliau telah menfatwakan penggunaan vapor ini adalah haram seperti rokok sebenar.

Hukum Menggunakan Rokok Elektrik/ E Cigarette/ Vapor Difatwakan Sebagai Haram Sama Seperti Rokok Sebenar

IRSYAD FATWA KE-63: HUKUM PENGGUNAAN ROKOK ELEKTRONIK / VAPOR
Alhamdulillah, dalam Irsyad Fatwa pada kali ini, kami seupaya mungkin cuba menekuni isu yang berkaitan dengan penggunaan rokok elektronik dan vapor atau vape yang sekarang ini begitu berleluasa digunakan termasuk kalangan remaja perempuan dengan pelbagai alasan. Antara alasan paling popular adalah sebagai pengganti kepada rokok sebenar untuk ditinggalkan dan berhenti secara perlahan-lahan atau tadarruj.

Alasan seperti ini seolah-olah menghalalkan cara dan penggunaan rokok elektronik dengan berleluasa.

Justeru, Irsyad Fatwa pada kali ini merasa terpanggil untuk membincangkan isu dan hukum berkaitan dengan rokok elektronik ini.

Definisi Rokok Elektrik

Rokok Elektronik (Elecronic Nicotine Delivery Systems atau e-Cigarette) adalah sebuah inovasi dari bentuk rokok konvensional menjadi rokok moden. Pada masakini, rokok elektrik juga dikenali sebagai vape atau vapor.

Pendapat Pakar

Dinyatakan di sini beberapa pendapat pakar berkenaan dengan penggunaan rokok elektronik, antaranya :

-Jumlah nicotine yang dalam e-rokok ini berbeza bergantung kenyataan tertulis dalam labelnya. Ia boleh mengandungi antara 6–8 mg dalam setiap 1 ml cecair (mg/ml), yang dilabelkan berkepekatan rendah. Ada juga yang mengandungi 16–18 mg/ml (berkepekatan tinggi) atau 24-36mg/ml (berkepekatan ekstra tinggi). Namun harus diketahui bahawa jika semua 60 mg nikotin diserap dalam darah, ia berpotensi untuk membunuh seorang dewasa yang tidak merokok. Jumlah ini bersamaan dengan 30-40 batang rokok konvensional.

-Saintis dari Bahagian Penilaian Farmaseutikal US Food and Drug Administration (USFDA) telah menguji 19 jenis e-rokok yang telah dikeluarkan oleh dua pengeluar (NJoy dan Smoking Everywhere). Mereka mendapati terdapat bahan ‘tobacco-specific nitrosamines’ (TSNAs), yang boleh menyebabkan kanser dalam kedua-dua jenama e-rokok itu. Malah kepekatan nikotin yang terdapat dalam e-rokok tidak sama dengan nilai yang ditulis pada label. Terdapat sedikit nicotine dalam e-rokok yang dikatakan “nicotine-free”.

-Pada September 2008, World Health Organization telah mengeluarkan kenyataan: “tiada kajian yang sahih menunjukkan e-rokok ini selamat dan berkesan sebagai rawatan penggantian nicotine. Oleh itu, pihak pengeluar haruslah melakukan kajian yang mendalam untuk menyokong dakwaan mereka bahawa e-rokok boleh digunakan untuk mengurangkan tabiat merokok” Lihat http://www.who.int/media…/…/releases/2008/pr34/en/index.html


Hukum

Berdasarkan daripada kenyataan di atas dan juga nas yang dinyatakan maka kami berpendapat bahawa penggunaan rokok elektronik juga hukumnya adalah HARAM. Ini kerana seperti yang kami ‘illahkan atau nyatakan sebab terhadap hukum merokok terpakai untuk isu rokok elektronik ini bahkan kami nyatakan sekali lagi beberapa alasan antaranya:

-Qiyas kepada rokok sebenar
-Kenyataan pakar menunjukkan ia mudarat bahkan boleh jadi lebih mudarat daripada merokok itu sendiri. Ini merupakan asas pertimbangan yang amat kuat kerana mafsadahnya tidak boleh disangkal lagi serta mudaratnya telah diperakui oleh pakar dan badan-badan berautoriti.
-Pembaziran
-Meniru budaya yang bukan Islam
-Dilihat tidak bermaruah

Terdapatnya fatwa ulama’ yang menyokong tentang pengharaman rokok elektronik ini. Justeru, kami berpendapat seperti itu juga dengan alasan yang diberikan di atas. Untuk ulasan pengharaman, sila rujuk Bayan Linnas Siri-18.

Fatwa Ulama’

Kami nyatakan di sini fatwa yang dikeluarkan menyatakan hukumnya sama seperti hukum rokok biasa. Justeru, hukumnya adalah haram. (Lihathttp://fatwa.islamweb.net/fatwa/index.php…)
Penutup

Dalam isu ini, ramai juga berpendapat bahawa ia adalah salah satu cara untuk menolong penghisap rokok berhenti daripada merokok. Justeru, ia menggunakan rokok elektronik sebagai alternatif kepada cara berhenti merokok. Sebenarnya anggapan ini adalah menyimpang daripada asas kerana dikatakan ada juga bahan tobacco dan nikotin yang asalnya daripada bahan yang boleh memabukkan dan memberi mudarat kepada kesihatan manusia.

Kami sepertimana isu merokok juga menyeru kepada khalayak umat Islam untuk meninggalkan penggunaan rokok elektronik atau vapor berdasarkan kepada kenyataan-kenyataan di atas. Alangkah baiknya duit yang kita gunakan untuk membeli rokok atau vapor, kita masukkan ke tabung masjid, menyantuni anak-anak yatim, memberi makan kepada fakir miskin serta membantu keperluan mereka. Semoga Allah kurniakan kepada kita taufiq dan hidayah dan berikan kepada kita kesihatan yang baik. Amin.

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan