Friday, August 21, 2015

Najis Yang Di Maafkan Tidak Menjejaskan Sembahyang


Muslim_Prayer
Seseorang yang hendak mendirikan sembahyang hendaklah terlebih dahulu memastikan dirinya, pakaiannya serta tempatnya bersembahyang suci daripada najis. Jika terdapat najis pada perkara-perkara yang disebutkan itu, maka hendaklah ianya dibersihkan terlebih dahulu sehingga tempat yang terkena najis itu menjadi suci. Salah satu daripada syarat sah sembahyang itu ialah suci tubuh badan, pakaian dan tempat sembahyang daripada najis yang tidak dimaafkan. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan!” (Surah al-Muddatstsir: 4)
Syarat suci daripada najis ketika di dalam sembahyang adalah juga berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Jika datang darah haid maka tinggalkanlah sembahyang, dan jika telah berlalu haidh itu maka bersihkanlah (darah) dari dirimu dan kerjakanlah sembahyang.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Daripada ayat dan hadits di atas, jelas bahawa tidak sah sembahyang seseorang yang terdapat najis pada tubuh badan, pakaian atau tempatnya bersembahyang. Namun jika sekiranya najis itu merupakan najis yang dimaafkan, maka sembahyangnya adalah sah walaupun dia tidak menghilangkan najis dan menyucikan tempat yang terkena najis itu terlebih dahulu.
Untuk memudahkan seseorang itu melaksanakan ibadatnya, adalah perlu dia mengetahui apakah perkara yang dikategorikan sebagai najis yang dimaafkan.
Apakah Dia Najis Yang Dimaafkan itu?
Menurut para ulama mazhab asy-Syafi‘e, kaedah umum yang boleh dirujuk untuk mengenal pasti najis-najis yang dimaafkan itu ialah suatu perkara yang susah untuk dielakkan daripadanya.
Berikut adalah sebahagian contoh najis-najis yang dimaafkan:
1. Najis yang tidak nampak pada pandangan mata kasar. Umpamanya darah yang terlalu sedikit atau air kencing yang terpercik sama ada pada tubuh badan, pakaian atau tempat bersembahyang yang tidak nampak oleh pandangan mata kasar.
2. Najis yang sedikit seperti darah nyamuk, agas atau kutu yang tidak mengalir. Begitu juga darah yang keluar dari kudis, bisul, jerawat kecil, luka atau nanah pada badan seseorang, pakaian atau tempatnya bersembahyang yang bukan disebabkan perbuatannya sendiri.
Jika darah tersebut keluar disebabkan oleh perbuatannya sendiri, umpamanya membunuh nyamuk yang ada pada bajunya atau memicit kudis atau jerawat sehingga mengeluarkan darah, maka darah tersebut tidak dikira sebagai najis yang dimaafkan.
Darah atau nanah luka yang banyak juga termasuk najis yang dimaafkan dengan syarat, iaitu:-
  • Darah atau nanah tersebut merupakan darah/nanah dari orang itu sendiri
  • Darah atau nanah itu keluar bukan disebabkan perbuatannya atau disenghajakannya.
  • Darah atau nanah yang keluar itu tidak mengalir dari tempatnya, seperti darah yang banyak itu tidak mengalir daripada lukanya.
3. Darah ajnabi iaitu darah orang lain yang terkena pada badan, kain atau tempat bersembahyang dengan kadar yang sedikit dengan syarat najis tersebut bukan dari najis mughallazhah iaitu daripada anjing dan babi. Jika ia berasal dari keduanya atau salah satu dari keduanya, tidaklah ia dimaafkan walaupun hanya sedikit.
Menurut Imam al-Adzra‘ie Rahimahullah bahawa adalah termasuk juga darah yang terpisah daripada badan seseorang itu yang kemudiannya terkena semula padanya sebagai darah ajnabi.
4. Darah yang sedikit yang keluar dari hidung atau darah yang keluar dari bahagian-bahagian tubuh seperti mata, telinga danyang seumpamanya, selain dari jalan tempat keluar najis seperti tempat keluar tahi.
Jika darah keluar dari hidung seseorang sebelum dia melakukan sembahyang dan terus menerus keluar darah tersebut, dalam hal ini jika pendarahan itu diharapkan berhenti dengan keadaan waktu sembahyang yang masih panjang, maka hendaklah ditunggu. Akan tetapi jika sebaliknya, hendaklah dia membersihkan dahulu darah tersebut dan hidungnya (tempat keluar darah tersebut), kemudian menyumbatnya dengan kapas umpamanya dan melapisnya dengan kain jika perlu.
5. Darah yang masih tinggal di tempat lukanya yang keluar hasil dari perbuatan mengeluarkan darah dengan tusukan atau berbekam, sekalipun banyak yang masih tinggal di tempat lukanya.
6. Darah yang keluar dari gusi bila tercampur dengan air ludah sendiri. Sah sembahyang bagi orang yang gusinya berdarah sebelum dicucinya darah tersebut selagi dia tidak menelan air ludahnya ketika di dalam sembahyang.
7. Sedikit tanah tempat laluan seperti jalanraya atau yang seumpamanya yang memang diyakini kenajisannya, dengan syarat najis tersebut tidak jelas di tempat itu dan dia telah pun berusaha untuk mengelak daripada terkena tempat laluan tersebut seperti tidak membiarkan hujung kain terkena tanahtempat laluan tersebut.
Perhatian: Dasar menentukan kadar sedikit atau banyak yang dimaksudkan bagi najis itu ialah merujuk pada adat kebiasaannya, iaitu apa yang dianggap oleh adat kebiasaan sebagai sedikit, maka dikira sebagai sedikit dan begitulah sebaliknya. Jika ada syak darah tersebut banyak atau sedikit, maka dihukumkan sedikit dan dimaafkan.
Sesungguhnya Islam adalah agama yang mengutamakan kebersihan. Kerana itu umat Islam diperintahkan untuk memelihara diri dari segala najis sehinggakan suci daripada najis pada tubuh badan, pakaian dan tempat dijadikan sebagai salah satu syarat sah sembahyang. Walau bagaimanapun Islam juga adalah agama yang tidak membebankan umatnya dengan kesukaran. Contohnya pengecualian terhadap najis yang dimaafkan yang tidak menjejaskan kesahihan sembahyang, kerana kesukaran menghilangkannya atau mengelak dari terkena najis tersebut.

Wednesday, August 19, 2015

Tujuh Cara Menghalau Lalat

7 Cara Menghalau Lalat
Petua Nenek
Adakah anda tidak suka dengan kehadiran lalat di rumah anda? Jom ketahui teknik menghalau lalat di sini..
Lalat merupakan sejenis serangga yang mampu terbang dan boleh menyebarkan penyakit, diisebabkan cara permakanan dan sifatnya yang sering terbang ke tempat yang kotor seperti dalam tandas, tempat sampah dan sebagainya.
Lalat juga adalah salah sejenis serangga perosak yang paling mudah dijumpai. Namun begitu, jenis lalat buah dan bunga tidak dikategorikan sebagai pembawa penyakit.
Kehadiran lalat pasti lalat merimaskan sesiapa sahaja yang berhadapan dengan situasi ini. Selain bunyi yang dikeluarkan ketika terbang, ia suka menghinggap pada badan kita dan keadaan tersebut sangat menganggu.
Berikut adalah senarai petua bagaimana hendak menghalau lalat.
1) Ambil dua batang lilin dan nyalakannya. Kemudian letakkan di atas meja makan atau di kawasan hidangan. Haba daripada lilin amat tidak disukai lalat.
2) Masukkan beberapa kuntum bunga cengkih ke dalam mangkuk atau cawan berisi air. Biarkan terdedah di ruang dapur.
3) Letakkan secekak daun kari dalam bekas berisi air dan biarkan di sudut tempat makan atau hidangan.
4) Ambik beberapa biji cili besar dibelah dua dan letakkan di atas meja.
5) Tumbuk kulit kayu manis sehingga hancur. Kemudian taburkan pada meja makan jika anda tidak mahu lalat datang ke meja makan tersebut.
6) Kibaskan daun belimbing kepada lalat yang sedang terbang. Selepas itu lalat akan pergi jauh.
7) Bagi mengurangkan lalat hinggap pada makanan, sediakan satu uncang yang diisi kulit kayu manis, bunga lawang dan cengkih di dalamnya. Gantungkan pada ruang makan yang terdapat lalat.
Keberkesanan petua-petua di atas untuk menghalau lalat adalah sementara, sekiranya anda mengamalkan kebersihan luar dan dalam rumah, sudah pasti lalat tidak akan hadir di rumah anda. ‘Kebersihan yang bersih bermula daripada anda sendiri’. Jagalah kebersihan di kawasan anda agar anda tidak di timpa penyakit di kemudian hari.

Cara-cara Mengatasi Anak Demam

10:53 AM
 

Demam adalah penyakit biasa yang akan menyerang semua orang termasuk bayi dan kanak-kanak. Biasanya serangan demam akan menyebabkan suhu badan si kecil meningkat dan panas, tidak bermaya dan tidak aktif seperti biasa. Ia amat merisaukan ibu bapa terutama yang perlu meninggalkan anak di bawah jagaan pengasuh.
Bahkan bayi dan anak-anak kecil yang demam akan kerap merengek kerana tidak selesa dengan keadaan suhu badan yang panas. Berikut adalah petua tradisional menurunkan suhu badan yang panas.
  1. Ambil beberapa helai daun bunga raya dan ramas sehingga hancur. Kemudian sapukan di kepala dan ubun-ubun bayi atau anak kecil. Ulang beberapa kali sehingga demam anak berkurangan.
  1. Beri anak kecil minum air kelapa muda dua kali sehari. In shaa Allah, panas badannya akan turun.
  1. Tumbuk beberapa biji bawang merah dan ambil air perahannya. Sapukan pada badan anak yang demam.
  1. Ambil sebuku asam jawa, ramas dengan sedikit air. Sapukan pada ubun-ubun dan seluruh kepal. Biarkan air asam jawa itu kering dengan sendir. Lakukan berulang kali sehingga suhu panas berkurangan.
  1. Ambil beberapa helai daun sirih dan sebiji buah pinang. Tumbuk kesemua bahan sehingga hancur lumat dan campurkan dengan sedikit air suam. Sapukan pada kepala anak. Lakukan tiga kali sehari sehingga demam anak reda.
  1. Ambil sebuku ubi kayu, kupas kulitnya dan cuci bersih. Kemudian parut ubi kayu tersebut dan parutan itu ditempekkan ke dahi bayi atau anak kecil yang demam. Bila parut sudah kering, gantikan dengan yang baharu sehingga suhu turun ke paras biasa.

Tuesday, August 18, 2015

Hadis Sahih kelebihan Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW

1. Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW. telah bersabda : “Bacalah selawat kepadaku kerana sesungguhnya bacaan selawat kamu semua dapat sampai kepadaku di mana saja kamu berada .” (Hadis Sahih Riwayat  Abu Daud, Riyadus Solihin, 1398, Sahih menurut Imam Nawawi)

2. Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW. telah bersabda; “Tiada seseorang pun yang memberikan salam kepadaku (setelah kewafatanku),melainkan Allah mengembalikan rohku sehinggalah aku dapat menjawab salam orang itu.” (Hadis Sahih Riwayat Abu Daud dan Ahmad,Riyadus Solihin -1398,Sahih menurut Imam Nawawi )

3. Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW. telah bersabda : “Sesiapa berselawat kepadaku sekali selawat, maka Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali.” (Hadis Sahih Riwayat Muslim-0408]

4. Dari Anas bin Malik r.a. berkata Rasulullah SAW. telah bersabda : “ Barangsiapa yang berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali dan akan dihapuskan daripadanya dosa dan diangkat baginya sepuluh darjat.” (Hadis Sahih Riwayat  An-Nasaie-1271)

5. Abdullah ibnu Masud r.a. berkata, Rasulullah SAW. telah bersabda : “Seutama-utama manusia dengan aku di hari kiamat ialah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.” (Hadis Hasan Riwayat  At-Tirmizi-0483 dan beliau berkata hadith ini adalah hasan Gharib. Riyadus Salihin -1395).

6. Hussain bin Ali memberitakan daripada ayahnya Ali bin Abi Talib (semoga Allah meredhainya mereka berdua) bahawa Rasulullah SAW telah bersabda :”Apakah tidak lebih baik aku khabarkan kepada kamu tentang orang yang dipandang sebagai manusia yang paling bakhil?”maka kami (para sahabat) menjawab : “Baik benar Rasulullah!” Maka Rasulullah SAW meneruskan: “ Orang yang disebut namaku di hadapannya, maka tiada ia berselawat kepadaku, itulah manusia yang paling bakhil.!” (Hadis Sahih Riwayat At-Tirmizi,Misykat Al-Masbih-3/299,no : 311.Riyadus Salihin -1440. Imam At-Tirmizi berkata hadis ini adalah sahih. Juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad,Ibnu Hibban dan Al-Hakim)

7. Ali bin Abi Talib r.a. berkata : “Doa seseorang itu terdinding (terhalang) sehinggalah dia berselawat ke atas Rasulullah dan ahli keluarganya.”
(Sila rujuk kitab Al-Mu’jam Al-Ausat oleh Imam Ath-Thabrani. Hadis Hasan)

8. Abu Hurairah r.a. berkata,Rasulullah SAW telah bersabda : “Tiadalah suatu kaum berada di sesuatu majlis di mana mereka tidaklah menyebut nama Allah dan mereka tidak pula berselawat ke atas Nabi mereka.melainkan mereka pasti akan ditimpai padah (penyesalan). Maka jika Allah kehendaki ,Dia akan seksa mereka ; dan jika Dia kehendaki, Dia akan mengampunkan mereka.” (Hadis Sahih Riwayat At-Tirmizi-3440)

9. Di dalam satu riwayat yang lain ,hadis ini di akhiri dengan: “……..mereka akan ditimpa penyesalan di hari Kiamat; sekali pun mereka dapat memasuki syurga bagi pahala amalan-amalan lain yang mereka kerjakan.”  (Hadis Sahih Riwayat Ahmad. Disemak semula sebagai Sahih oleh Imam Al-Hakim, Adz-Dzahabi dan Al-Haitami)