Saturday, July 24, 2010

Segerakanlah Lima Perkara Untuk Mendapat Keredhaan Allah

Sahabat yang dikasihi Allah,
Di dalam kehidupan sebagai seorang Mukmin, ada masanya sesuatu perkara perlu disegerakan dan diberi keutamaan. Banyak hadis-hadis Nabi s.a.w yang meminta umatnya mengutamakan lima perkara bersangkut paut dengan kewajipan dan tanggungjawab kepada diri sendiri dan masyarakat. Bila kita menjalankan tangungjawab ini dengan ikhlas maka ganjaran besar akan disediakan oleh Allah s.w.t di hari akhirat nanti.

Tanggungjawab tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Melayani, menyatuni dan memberi makan kepada tetamu apabila dia sudah sampai .

Melayan tetamu dengan baik dan lemah lembut dan memberi makan dan minum apabila telah sampai kerumah adalah satu amalan yang amat terpuji dan dituntut oleh Islam. Nabi s.a.w samakan sesiapa yang beriman dengan hari akhirat dengan memuliakan tetamu.

Nabi s.a.w berwasiat kepada Sayyidina Ali k.w maksudnya : "Wahai Ali ! Barangsiapa yang memberi makan orang Muslim dengan hati tulus, Allah mencatatnya sejuta kebaikan dan menghapuskan sejuta keburukan. Di samping itu, ia diangkat sampai seribu tingkat mertabatnya."

"Wahai Ali ! Anjurkanlah berbuat baik kepada mereka yang sedang ceria wajahnya. Dan hormatilah tetamu sebab rezeki tetamu yang singgah kerumah sesaorang pun ikut singgah di situ. Dan kalau ia meninggalkan rumah itu, dosa penghuni rumah itu lenyap bersama kepergian tetamu tersebut. Lalu terhapuslah dosa-dosa itu jauh ditengah lautan."

Nabi s.a.w bersabda maksudnya : "Apabila telah habis tiga hari tiga malamnya, maka apa yg diberikan kepada tetamu dianggap sedekah.“
(Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Pada hari pertama, tuan rumah hendaklah memberi jaizah (lauk pauk yang istemewa) dan pada hari kedua dan ketiga, ia menghidangkan lauk pauk yg biasa dimakan.

Nabi s.a.w bersabda maksudnya : "Barangsiapa yg beriman dengan Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tamunya dengan memberi jaizah.” Para sahabat bertanya,”apakah itu jaizah, ya RasuluLlah?” Sabda Nabi,” sehari semalam"
(Hadis Riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Tiga hari itu mengikut jumhur ulama sebagai hak tamu. Ia bukan wajib tapi sunat (sunnah yg dikukuhkan, akhlak karimah dan kebajikan dalam agama). Umar al-Khattab r.a mewajibkan hak tamu (Majmu’) . Selepas tiga hari, mengikut hadis di atas ia menjadi sedekah.

Abu Hurairah r.a katanya : Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Begitu juga sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia memuliakan para tetamunya
(Hadis Riwayat Muslim)

Walaupun tuan rumah berkewajipan merai tetamu selama tiga hari tiga malam tetapi Islam minta umatnya janganlah membebankan tuan rumah kerana Nabi s.a.w ada bersabda maksudnya :
"Tidak halal bagi tetamu berdiam lama-lama di rumah (yg ditumpanginya) kerana ia membebankan tuanrumah.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kedua : Menguruskan dan menyelenggarakan jenazah apabila dia sudah meninggal dunia (fardhu kifayah)

Menyempurnakan dan menyegerakan pengurusan jenazah (dimandikan, dikafankan, di sembahyangkan dan dikebumikan) adalah salah satu tuntutan Islam. Ini adalah kerana bila jenazah ini orang beriman dan soleh menyegerakannya adalah baik kerana mempercepatkan jenazah ini diletakkan disalah satu taman- taman Syurga. Kubur menanti dengan gembiranya orang yang soleh. Begitu pula jika jenazah ini orang jahat maka menyegerakannya adalah kerana untuk melepaskan tanggungjawab kita.

Abu Hurairah r.a : Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda maksudnya : "Segerakanlah pengurusan jenazah kerana jika jenazah itu baik maka sudah sepatutnya kamu menyegerakannya. Jika sebaliknya maka jenazah itu adalah keburukan yang kamu letakkan (lepaskan) dari leher-leher kamu (dari tanggungjawab kamu)"
(Hadis Riwayat Muslim)

Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda maksudnya : "Sesiapa yang menghadiri jenazah sehingga jenazah itu di sembahyangkan, maka dia seolah-olah mendapatkan satu qirat (qirat adalah kinayah bagi ganjaran pahala yang sangat banyak) dan sesiapa yang menghadirinya sehingga jenazah itu dikuburkan, maka dia mendapat dua qirat. Sahabat bertanya: Apakah dua qirat itu? Baginda s.a.w bersabda: Seumpama dua gunung"
(Hadis Riwayat Muslim)

Ketiga : Mengahwinkan anak gadis dengan lelaki soleh apabila sudah sampai masa dan cukup usianya (memelihara maruah wanita)

Tanggungjawab ibu bapa yang mempunyai anak gadis, jika jodohnya sudah sampai dan bila datang meminang seorang lelaki yang di dapati baik akhlak dan agamanya, maka segerakanlah. Janganlah dipandang hantaran yang mahal-mahal dan menyediakan perbelanjaan yang besar untuk majlis perkahwinan. Islam mengalakkan bersederhana dan janganlah menunjuk-nunjuk untuk bermegahan. Janganlah dipandang harta-benda , pangkat atau kedudukan si lelaki terimalah seadanya kerana keberkatan dalam kehidupan bukanlah pada harta dunia. Apa gunanya pangkat dah harta-benda dan majis perkahwinan yang hebat dan gilang gemilang tetapi keluarga yang dibina jauh dari roh Islam dan umur perkahwinan tersebut hanya mampu bertahan beberapa tahun sahaja.

Jarak masa pertunangan dengan pernikahan janganlah diambil masa yang panjang (hingga beberapa tahun) kerana banyak risiko yang akan berlaku di antara masa tersebut. Ibu bapa perlulah mengawasi anak-anak mereka pertunangan bukanlah lesen untuk mereka berjalan berdua-duaan dan bebas untuk bersama-sama kerana hakikat sebenarnya selagi mereka belum di hijab kabulkan mereka tetap haram berkhalwat dan jalan berdua-duaan. Allah s.w.t melarang orang lelaki dan perempuan untuk menghampiri zina. Perjumpaan dan pertemuan mestilah mengikut adab-adab Islam dalam pergaulan.

Sabda baginda lagi: dari Anas ra, Rasullulah Al Ma’shum bersabda,
“Barangsiapa mempunyai anak perempuan yang telah mencapai umur 12tahun,lalu ia tidak segerakan mengahwinkannya kemudian anak perempuan tersebut melakukan dosanya di tanggung oleh ayahnya".
(Hadis Riwayat Baihaqi)

Nabi s.a.w bersabda maksudnya : "Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah mempunyai keupayaan iaitu zahir dan batin untuk berkahwin, maka hendaklah dia perkahwin,sesungguhnya perkahwinan itu dapat menjaga pandangan mata dan menjaga kehormatan.maka sesiapa yang tidak berkemampuan,hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat mengawal iaitu benteng nafsu"
(Hadith riwayat Muslim)

Firman Allah s.w.t. maksudnya :
“ Dan diantara tanda-tanda (kebesaran)Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri,agar kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya.Dan menjadikan diantaramu rasa kasih dan sayang”.
(Surah ar-Ruum:21)

Dari Abu Hurairah r.a Rasulullah bersabda maksudnya : “ Tiga golongan yang akan selalu di beri pertolongan oleh Allah ialah seorang mujahid yang selalu memperjuangkan agama Allah s.w.t ,seorang penulis yang selalu memberi penawar dan seorang yang menikah demi menjaga kehormatan dirinya”
(Hadis Riwayat Thabrani)

Keempat : Membayar hutang apabila sudah sampai tempohnya.

Keadaan umat Islam menjadi memilukan apabila, aktiviti berhutang menjadi asas kehidupan masyarakat hari ini, ia mungkin tidak pelik bagi mereka yang tidak berkemampuan, tetapi ia telah menjadi kaedah dan teknik yang terbaik (sebagaimana didakwa) bagi mencapai keuntungan tanpa mengeluarkan wang tunai.

Maka lahirlah ramai individu yang berkemampuan untuk membuat pembayaran secara tunai, tetapi masih lagi suka berhutang dalam membeli kereta dan rumah. Hujah mereka mudah sahaja dalam hal ini, iaitu jika bayar tunai maka kita akan rugi. Inilah satu fenomena kurang sihat yang telah di anggap sihat oleh masyarakat hari ini. Ia berpunca daripada kurangnya maklumat berkenaan bahaya hutang dalam keadaan berkemampuan.

Dalam konteks semasa, kita dapat melihat bagaimana ramainya peminjam-peminjam yang enggan membayar hutang pengajian, rumah, kereta dan juga yang lebih rela di gelar muflis asalkan tidak perlu membyara jumlah hutangnya yang menimbun. Ia kelihatan enak untuk tidak membayar hutang di dunia, tetapi ia pasti akan menjadi malapetaka di akhirat. Seorang yang mati syahid tergantung rohnya di antara langit dan bumi kerana hutangnya yang belum dibayar ketika di dunia.

Firman Allah s.w.t maksudnya :
"Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu bermu`amalah tidak secara tunai untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menuliskannya. Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menuliskannya dengan benar. Dan janganlah penulis enggan menuliskannya sebagaimana Allah telah mengajarkannya, maka hendaklah ia menulis"
( Al-Baqarah : 282)

Firman Allah s.w.t maksudnya :
"Dan jika (orang berutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan menyedekahkan (sebahagian atau semua hutang) itu, lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.
( Al-Baqarah : 280 )

Sabda Nabi s.a.w maksudnya : "Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban Syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia)"
(Hadis Riwayat Muslim)

Sabda Nabi s.a.w. maksudnya : "Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya"
(Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Oleh itu sebaik-baiknya janganlah berhutang jika tidak diperlukan, janganlah berhutang semata-mata untuk menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah dengan harta dunia. Jika sudah berhutang dan mempunyai kemampuan maka tunaikanlah secepat mungkin.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud : "Ya Allah, aku berlindung dari kekufuran dan hutang", Mendengar itu seseorang bertanya, " Apakah engkau menyamakan kekufuran dengan hutang wahai Rasulullah ? ; " Benar " Jawab Rasulullah"
( Riwayat An-Nasaie, Ahmad Al-Hakim berkata Sohih dan disepakati oleh Az-Zahabi)

Aisyah r.ha katanya : "Rasulullah s.a.w pernah mendengar orang bertengkar di pintu dengan suara yang tinggi. Tiba-tiba salah seorang dari mereka meminta kepada yang seorang lagi agar memaafkan sebahagian dari hutangnya dan bersikap lemah lembut. Tetapi beliau menjawab: 'Demi Allah! Aku tidak akan memaafkan kamu'. Lalu Rasulullah s.a.w keluar dan bersabda: ' Siapakah yang sungguh-sungguh bersumpah demi Allah tidak akan berbuat kebaikan?' Orang itu berkata: 'Saya, wahai Rasulullah! Tetapi sekarang dia boleh memilih mana yang dia suka (antara melepaskan sebahagian dari hutang atau bersikap lemah lembut)"
(Hadis Riwayat Muslim)

Kelima : Bertaubat apabila berbuat dosa .

Hidup dan mati adalah suratan takdir. Kita tidak mengetahui bila masa saat kematian menjemput kita. Oleh itu apabila kita telah melakukan kesalahan di sebabkan dorongan hawa nafsu yang kita tidak sedari sentiasa menghantui hidup kita, ditambah pula pengaruh kebendaan dan nikmat dunia yang menipu. Maka jalan terbaik adalah segera bertaubat dan memohon keampunan Allah s.w.t. di atas kesalahan dan dosa-dosa yang dilakukan.

Seorang ahli sufi yang bernama Dzun Nun berkata, "Hakikat taubat ialah jika bumi yang luas ini terasa sempit bagimu. Sehingga engkau tidak melihat tempat yang boleh dihuni, dan keadaan ini semakin menyempitkan jiwamu."

Rasulullah s.a.w. pernah menasihati umatnya agar sentiasa bertaubat kepada Allah :
"Wahai sekelian manusia, bertaubatlah kamu kepada Tuhan sebelum kamu mati. Gunakanlah kesempatan yang ada untuk beramal dan berbakti sebelum masa kamu dipenuhi oleh urusan dan kerja. Wujudkanlah satu pertalian antara kamu dengan-Nya, memperbanyakan mengingati-Nya (zikrullah)."

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."
(Surah Al-Baqarah ayat 222)

Tanda kerendahan hati kepada Allah s.w.t. tidak ada ruginya kita bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah s.w.t. kerana kita tidak ketahui mungkin ada tindakan, amalan, perbuatan, pandangan mata dan lintasan hati kita, kita rasa tidak berdosa tetapi disisi Allah ianya berdosa. Alangkah bahagianya jika dalam perjalanan hidup ini kita bersih dari dosa dan kemurkaan Allah kerana lidah tidak putus-putus beristighfar kepada-Nya siang dan malam.

Sahabat yang dimuliakan,
Akhirkata, marilah sama-sama kita segerakan lima perkara di atas supaya kita tergolong dikalangan orang-orang yang menyegerakan kebaikan dalam rangka mencari keredhaan Allah s.w.t. Semoga Allah s.w.t mengampunkan segala dosa-doas kita dan ditempatkan dikalangan hamba-hamba-Nya yang dirahmati.

Adab-adab Mengambil Wuduk

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Kita mengambil wuduk sebelum melakukan ibadat-ibadat wajib mahupun sunat.

Adab-adab ketika mengambil wuduk juga haruslah dijaga supaya wuduk kita lebih sempurna dan segala amalan yang kita lakukan diterima Allah SWT. 

Di antara adab-adab ketika mengambil wuduk adalah:-

1) Membersih mulut dan gigi seperti berkumur dan bersugi. Ianya amat dituntut dalam Islam. Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud:

“Kalaulah tidak kerana menyusahkan umatku nescaya aku menyuruh mereka bersugi pada tiap-tiap kali sembahyang.”

2) Bersugi adalah sunat dengan menggunakan kayu sugi atau alat sugi yang boleh membersihkan (berus gigi). Seperti hadis Rasulullah SAW di atas, kita dapat lihat pentingnya bersugi sebelum berwuduk.

3) Sesudah itu, ambil wuduk dengan khusyuk tanpa lalai dan leka. Sesetengah ulama meminta supaya membaca doa di setiap anggota yang dibasuh dan disapu.

Ketika mengambil wuduk mulakan membaca:

“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyanyang. Hai Tuhan, aku minta berlindung dengan Engkau dari gangguan syaitan dan aku minta berlindung dengan Engkau, hai Tuhan dari mereka datang kepadaku.”

4) Membasuh dua tangan. Baca doa yang bermaksud: “Hai Tuhan, sesungguhnya aku meminta dari Engkau kesempurnaan dan keberkatan dan aku minta perlindungan dengan Engkau dari kecelakaan dan kebinasaan.”

5) Berkumur dan membaca doa yang bermaksud: “Hai Tuhan, tolonglah aku membaca kitab Engkau, banyak berzikir kepada Engkau dan tetapkanlah aku dengan kata-kata yang tetap di dunia dan di akhirat.”

6) Ketika memasukkan air ke dalam hidung, baca doa: “Hai Tuhan, berikan kepadaku bau-bauan syurga dan Engkau reda kepadaku.”

7) Ketika mengeluarkan air dari hidung hendaklah membaca doa: “Hai Tuhan, sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari bauan neraka dan keseksaan neraka.”

8) Sesudah itu berniat mengambil wuduk, kemudian membasuh muka dan berdoa: “Hai Tuhan, bercahayalah mukaku dengan cahaya Engkau pada hari bercahayanya muka wali-wali Kamu dan janganlah kamu menggelapkan mukaku dengan kegelapan Engkau pada hari menjadi hitam muka musuh-musuh Kamu.”

9) Ketika membasuh tangan hingga ke siku, baca doa; bagi tangan kanan-Hai Tuhan, serahkanlah rekod amalanku melalui tangan kananku dan perhitungkanlah aku secara mudah.” Manakala ketika membasuh tangan kira, baca doa: “Hai Tuhan, sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari Engkau serahkan buku rekodku melalui tangan kiriku atau dari belakang.”

10) Ketika menyapu kepala hendaklah kamu membaca: “Hai Tuhan, litupilah aku dengan rahmat Engkau, turunkan keberkatan Engkau kepada aku, lindungilah aku dibawah baying Arasy Engkau pada hari yang tidak ada sebarang perlindungan kecuali lindungan bayangan Engkau. Hai Tuhan, peliharalah rambutku dan kulitku daripada api neraka.”

11) Dan ketika menyapu dua telinga, bacalah: “Hai Tuhan, jadikanlah aku dari kalangan orang yang mendengar perkataan maka mengikut yang baiknya. Hai Tuhan perdengarkanlah aku malaikat yang menyeru ke syurga, di syurga bersama-sama orang yang baik-baik.”


Kemudian, ketika membasuh kaki kanan hendaklah membaca doa yang bermaksud: “Hai Tuhan, tetapkanlah kakiku di atas titian Siratul Mustaqim bersama tetapnya kaki hamba-hambamu yang soleh.”

Manakala ketika membasuh kaki kiri hendaklah membaca doa yang bermaksud: “Hai Tuhan, sesungguhnya aku minta berlindung dengan Engkau dari tergelincirnya kakiku di atas titian Sirat ke dalam neraka pada hari tergelincirnya kaki-kaki orang munafik dan musyrik.”

12) Dan akhir sekali, setelah selesai mengambil wuduk, membaca doa yang membawa maksud: Ya Allah, jadikanlah aku dari golongan orang-orang yang bertaubat, jadikanlah aku dari golongan orang-orang yang bersih dan jadikanlah aku dari golongan orang-orang yang soleh.”
Dari Umar bin Khattab r.a, dari Nabi SAW., bahawasanya baginda bersabda yang bermaksud "Tidaklah salah orang di antara kamu berwuduk, maka ia sempurnakan wuduknya kemudian berkata, 'Aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan kecuali Allah semata yang tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya,' kecuali dibukakan baginya delapan pintu syurga, ia boleh masuk dari mana sahaja yang dikehendakinya." (Hadis Riwayat Muslim )

Di dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Jika seorang hamba yang Muslim atau Mukmin berwuduk, ketika ia basuh wajahnya, keluarlah dari wajahnya semua kesalahan yang dilihat dengan kedua matanya bersama air atau bersama titisan air terakhir. Jika membasuh kedua tangannya, keluarlah dari kedua tangannya semua kesalahan yang dilakukan tangannya bersama keluarnya air atau titisan terakhir air. Jika membasuh kedua kakinya, keluarlah semua kesalahan yang diperbuat kakinya bersama air atau titisan terakhir air, sampai ia selesai wuduk dalam keadaan bersih dari dosa."
(Hadis Riwayat Muslim).

Di mana Cantiknya Seorang Wanita?

Mungkin pada sepasang matanya yang hening yang selalu menjeling tajam atau yang kadang kala malu-malu memberikan kerlingan manja. Boleh jadi pada bibirnya yang tak jemu-jemu menyerlahkan senyuman manis, atau yang sekali-sekala memberikan kucupan mesra di dahi umi juga, ayah, suami dan pipi munggil anak-anak. Atau mungkin juga pada hilai tawanya yang gemersik dan suara manjanya yang boleh melembut sekaligus melembutkan perasaan.

Sejuta perkataan belum cukup untuk menceritakan kecantikan perempuan. Sejuta malah berjuta-juta kali ganda perkataan pun masih belum cukup untuk mendefinisikan tentang keindahan perempuan. Kitalah perempuan itu. Panjatkan kesyukuran kehadrat Tuhan kerana menjadikan kita perempuan dan memberikan keindahan-keindahan itu. Namun, betapa pun dijaga, dipelihara, dibelai dan ditatap di hadapan cermin saban waktu, tiba masanya segalanya akan pergi jua. Wajah akan suram, mata akan kelam. Satu sahaja yang tidak akan dimamah usia, sifat keperempuanan yang dipupuk dengan iman dan ibadah.

Anda ingin lebih cantik dan menarik??

# Jadikanlah Ghadhdul Bashar (menundukkan pandangan) sebagai "hiasan mata" anda, nescaya akan semakin bening dan jernih.

Allah berfirman : “Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya" (QS. 24 : 30-31)

# Oleskan "lipstik kejujuran" pada bibir anda, nescaya akan semakin manis.

Sesungguhnya kejujuran mengantarkan kepada kebaikan, dan kebaikan mengantarkan kepada Syurga. Sesungguhnya seseorang biasa berlaku jujur hingga ia disebut shiddiq (orang yang senantiasa jujur). Sedang dusta mengantarkan kepada perilaku menyimpang (dzalim) darn perilaku menyimpang mengantarkan kepada Neraka. Sesungguhnya seseorang biasa berlaku dusta hingga ia disebut pendusta besar.

( Abdullah bin Mas’ud RadhiyAllohu ‘anhu yang terhimpun dalam Kitab Hadits Bukhari, Muslim dan Tirmidzi. (HR Bukhari dalam shahihnya bab Adab subbab 69, jilid VII, hal 95. HR Muslim dalam shahihnya bab Al-Birr subbab 29, hadits nomor 104, jilid IV hal 2012-2013, dan HR Tirmidzi dalam sunannya bab Al-Birr subbab 46 hadits nomor 1971 jilid IV hal 347)

Jujur ialah kesesuaian ucapan dengan hati kecil dan kenyataan objek yang dikatakan (Fathul Baari, jilid X, hal 507).

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman, yang artinya: “Hai orang-orang yang beriman,bertaqwalah kepada dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang jujur”
(Surah  At-Taubah: 119).

Dalam ayat lain, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman, yang artinya: “Jikalau mereka jujur kepada Alloh, niscaya yang demikian itu lebih baik bagi mereka”
(Surah Muhammad: 21)

# Gunakanlah "pemerah pipi" anda dengan kosmetik yang terbuat dari rasa malu yang dibuat dari salon Iman.

Kata Ali bin Abi Thalib,“Orang yang menjadikan sifat malu sebagai pakaiannya, niscaya orang-orang tidak akan melihat aib dan cela pada dirinya.”

Kata Nabi s.a.w maksudnya :  “Malu adalah bagian dari iman, dan keimanan itu berada di Syurga. Ucapan jorok berasal dari akhlak yang buruk dan akhlak yang buruk tempatnya di Neraka.”
(Hadis Riwayat Tirmidzi dalam Ktab Birr wash Shilah)

# Pakailah "sabun Istighfar" yang menghilangkan semua dosa dan kesalahan yang anda lakukan.

Istighfar merupakan syiar para Anbiyaullah,tidak ada seorang Nabipun yang tidak beristighfar dan selalu mengajak umatnya untuk beristighfar, Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa beristighfar atas dosa yang telah mereka perbuat, Firman Allah Surat Al-`Araf 23 maksudnya :" Keduanya berkata "Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, niscaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi".

# Rawatlah rambut anda dengan "Selendang Islami" yang akan menghilangkan kelemumur pandangan lelaki yang merbahayakan.

“Dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah

suami mereka atau putra-putra mereka atau putra-putra suami mereka atau saudara-saudara laki-laki mereka atau putra-putra saudara lelaki mereka atau putra-putra saudara perempuan mereka atau wanita-wanita Islam atau budak-budak yang mereka miliki atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.”
(Surah An-Nur: 31).

# Hiasilah kedua tangan anda dengan gelang Tawadhu' dan jari-jari anda dengan cincin Ukhuwwah.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala maksudnya : "(Mereka) keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka..."
(Surah al-Fath :29)

Allah Subhanahu Wa Ta'ala menyuruh Nabi-Nya dengan firman-Nya yang bermaksud : "dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang mengikutimu, yaitu orang-orang yang beriman."
 (Surah Asy-Syu'ara : 215)

Rasulullah bersabda maksudnya : “Dunia adalah perhiasan, sebaik-baiknya perhiasan adalah wanita salehah.”
(Hadis Riwayat Muslim).

Nabi Shallallahu Alaihi wasallam bersabda maksudnya : "Maukah kalian aku tunjukkan akhlak yang paling mulia di dunia dan diakhirat? Memberi maaf orang yang mendzalimimu, memberi orang yang menghalangimu dan menyambung silaturrahim orang yang memutuskanmu”
 (Hadis Riwayat Baihaqi)

“Maukah kalian aku tunjukkan amal yang lebih besar pahalanya daripada solat dan puasa?” Sahabat menjawab, “Tentu saja!” Rasulullah pun kemudian menjelaskan, “Engkau damaikan yang bertengkar, menyambungkan persaudaraan yang terputus, mempertemukan kembali saudara-saudara yang terpisah, menyambungkan berbagai kelompok dalam Islam, dan mengukuhkan ukhuwah di antara mereka, (semua itu) adalah amal saleh yang besar pahalanya. Barangsiapa yang ingin dipanjangkan usianya dan dibanyakkan rezekinya, hendaklah ia menyambungkan tali persaudaraan”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

# Sebaik-baiknya kalung anda adalah kalung "kesucian".

Dari Abu Malih Al- Hudzli : Kaum perempuan kota Himsh atau penduduk syam menemui Aisyah. lalu Aisyah berkata " kalian adalah kaum perempuan yang masuk ke kamar mandi. padahal, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Siapa saja perempuan yang meletakkan pakaiannya bukan di rumah suaminya, Allah akan membuka aibnya"
( Hadis Riwayat AL-Tirmidzi, Abu Daud, AL- Hakim )

Abu Hurairah r.a pun menyebutkan, ketika turun ayat al- Mula'anah ( tentang suami-istri yang saling melaknat kerana tuduhan perbuatan serong ) Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : " Siapapun perempuan yang menemui suatu kaum yang bukan kerabatnya, ia akan tidak memperoleh apapun dari Allah s.w.t dan Dia tidak akan memasukkannya ke Syurga "

Dari Aisyah ra berkata : “Sesungguhnya wanita-wanita Quraisy memiliki beberapa kelebihan. Demi Allah, sesungguhnya aku tidak pernah melihat wanita lain yang lebih baik daripada wanita kaum Anshar dalam hal keimanannya terhadap kitabullah dan apa-apa yang diturunkan-Nya. Ketika turun surat An-Nur, pada potongan ayat (yang artinya) : Dan hendaknya mereka memakai tudung sampai menutupi dada mereka. Maka saat itu pula para suami membacakan kepada anak-anak perempuan, saudara-saudara perempuan dan kerabat-kerabatnya setelah dibacakan, maka tidak ada satu wanita pun kecuali mereka memakai tudung (jilbab) lalu mereka melipatkannya di atas kepala mereka. Hal itu dilakukan kerana kepercayaan dan keimanan mereka terhadap apa yang telah diturunkan Allah dalam kitab-Nya. Kemudian tatkala mereka berada di belakang Nabi Shallallahu Alaihi wasallam , mereka terlihat sudah mengenakan jilbab. Seolah-olah di atas kepala mereka ada seekor burung ghirban.”

Hadis di atas menunjukkan contoh perempuan yang tidak menjaga diri, yang akan menjerumuskan pada fitnah yang lebih besar. Nauzubillahimandzalik,....

semoga untuk para wanita termasuk yang senantiasa menjaga kesucian diri mereka.

# Bedaklah wajah anda dengan "air Wudhu" nescaya akan bercahaya di akhirat.

Umatku akan tampil pada hari kiamat dgn wajah bersinar tangan serta kakinya berkilauan dari bekas-bekas wudhu. ( Al-Hadis)

Semoga Bermanfaat untuk kaum Hawa ..

Wassalam ,

(Di petik daripada tulisan Andi Muhammad)

Sempurnakan Amal Kalian Dengan Enam Perkara

Kesalihan amal seseorang akan sempurna dengan enam perkara :

(1) Senantiasa mendekatkan diri kepada Allah dan takut pada ancaman-Nya.

(2) Berbaik sangka terhadap sesama Muslim.

(3) Menyibukkan diri dengan aib sendiri sehingga ia tidak sempat memperhatikan aib orang lain.

(4) Menutup aib saudaranya dan tidak menyebarkannya kepada orang lain dengan harapan saudaranya tersebut mahu meninggalkan perbuatan maksiat dan memperbaiki perilakunya yang tidak baik.

(5) Menganggap besar kekurangan yang ada pada amalnya sehingga ia terdorong untuk meningkatkannya. 

(6)Berteman dengan orang yang ia anggap benar iaitu orang soleh.

(Di petik dari tulisan Syaqiq bin Ibrahim)

Membina Keluarga Bahagia

Nikah merupakan sunnah Rasulullah yang sangat sinonim dengan kita. Pernikahan juga merupakan ikatan yang sangat kuat yang dalam istilah al-Quran disebut sebagai “miytsaqon ghaliyzho” (4: ayat 21) yang mana kata ini digunakan juga untuk menyebut perjanjian antara para Nabi dengan Allah s.w.t. dalam mengembangkan perjuangan dakwah (33: ayat 7).

Oleh kerana itu pernikahan harus dilaksanakan dengan cara yang sesuai dengan ajaran Islam. Justeru itu pernikahan jangan sampai dinodai dengan perkara-perkara yang berupa maksiat. Sesudah pernikahan berlangsung, kehidupan berumah tangga pun harus dijalani dengan sebaik-baiknya meskipun cabaran dan godaan menjalani kehidupan rumah tangga yang Islamik begitu banyak. Untuk menjalani kehidupan rumah tangga yang Islamik, ada beberapa perkara yang harus mendapat perhatian suami dan isteri. Antaranya ialah:

MENGUKUHKAN RASA CINTA

Cinta merupakan pengikat dalam keutuhan kehidupan rumah tangga. Apabila rasa cinta suami kepada isteri atau sebaliknya telah hilang dari hati, maka kehancuran rumah tangga amat sukar untuk dihindari. Oleh kerana itu, suasana cinta-mencintai mesti saling dipupuksubur atau diperkukuhkan, tidak hanya pada masa-masa awal kehidupan rumah tangga, bahkan pada masa-masa selanjutnya hingga suami isteri menanjak dan menemui kematian.

Rasulullah s.a.w. sebagai seorang suami berjaya membahagi dan memupuk subur rasa cinta kepada semua isteri baginda sehingga salah seorang isteri mengatakan bahawa dialah yang paling dicintai oleh Rasulullah - begitu juga dengan isteri yang lain.

Berumah tangga diibaratkan seperti orang yang sedang belayar. Ketika pelayaran baru bermula, suasana di dalam kapal masih tenang kerana di samping penumpangnya benar-benar ingin menikmati pelayaran itu, juga kerana belum ada sebarang kesulitan, belum ada ombak dan angin kencang yang menerpa, tetapi ketika kapal itu telah sampai di lautan yang jauh, barulah terasa ombak besar dan angin yang sangat kencang menerpa.

Dalam suasana seperti itulah pengukuhan rasa cinta antara suami dengan isteri menjadi sesuatu yang sangat penting dalam menghadapi dan mengatasi terpaan badai kehidupan rumah tangga. Pernikahan dilangsungkan dengan pengertian agar lelaki dan wanita yang mengikat hubungan suami isteri mampu memperoleh ketenangan dan rasa cinta.

Dalam soal ini Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menjadikan untukmu isteri-isteri daripada kalanganmu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya yang demikian itu benar-benar menjadi tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (30: ayat 21).

SALING HORMAT-MENGHORMATI

Saling cinta-mencintai harus diperkukuhkan dengan saling hormat-menghormati - suami hormat kepada isteri dengan memberikan penghargaan yang sewajarnya terhadap perkara-perkara baik yang dilakukan oleh isterinya. Begitu juga isteri terhadap suaminya dengan menerima apa-apa yang diberikan oleh si suami meskipun dalam jumlah yang kecil

Pelayaran awal dalam kehidupan rumah tangga selalu diisi dengan suasana romantis yang segala-galanya indah, bahkan kelemahan dan kekurangan tidak begitu dipersoalkan. Romantisme memang menjadikan penilaian suami terhadap isteri dan isteri terhadap suaminya menjadi sangat subjektif. Tetapi ketika rumah tangga berlangsung semakin lama, mulailah muncul penilaian yang objektif dalam pengerti an suami menilai isteri atau isteri menilai suami sekadar sambil lewa atau apa adanya.

Dahulu, ketika masa romantis, kekurangan masing-masing sebenarnya sudah terlihat tetapi tidak begitu dipersoalkan, tetapi sekarang, kekurangan yang sedikit pun sering saja dipersoalkan. Dalam suasana seperti itulah perlunya “disemarakkan” hubungan antara suami dengan isteri hingga masing-masing menyedari bahawa memang kekurangan itu tetap ada tetapi setiap daripada mereka juga harus menyedari akan adanya kelebihan-kelebihan yang lain.

Dalam kehidupan rumah tangga Rasulullah s.a.w, baginda telah meninggalkan contoh teladan kepada kita betapa baginda berlaku adil dan baik kepada keluarganya. Dalam sebuah hadis, baginda telah bersabda, yang bermaksud: “Orang yang paling baik di antara kamu adalah yang paling baik dengan keluarganya dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku.” (Hadis riwayat Tabrani)

SALING MENUTUPI KEKURANGAN

Suami dan isteri tentu saja memiliki banyak kekurangan, bukan saja kekurangan dari segi fizikal, tetapi juga sifat-sifat yang ada pada diri mereka. Oleh kerana itu suami isteri yang baik tentu saja akan menutupi kekurangan-kekurangan tersebut - tidak suka menceritakannya kepada orang lain, termasuk kepada orang tuanya sendiri.
Walaupun begitu, dengan tujuan untuk berunding ke arah kebaikan, maka boleh menceritakan kekurangan sifat-sifat suami atau isteri kepada orang yang dipercayai.

KERJASAMA DALAM KELUARGA

Dalam mengharungi kehidupan rumah tangga tentu saja banyak beban dan tanggungjawab yang harus dipikul dan dilaksanakan, misalnya tanggungjawab ekonomi. Dalam perkara ini suami harus mencari nafkah dan isteri harus membelanjakannya dengan sebaik-baiknya untuk membeli perkara-perkara yang baik dan tidak membazir. Begitu juga dengan tanggungjawab terhadap pendidikan anak-anak yang dalam hubungan ini diperlukan kerjasama yang baik antara suami dengan isteri dalam melahirkan anak-anak yang salih.

Kerjasama yang baik dalam mendidik anak-anak antara lain dalam bentuk sama-sama meningkatkan kesalihan diri masing-masing sebagai orang tua kerana mendidik anak mesti dengan teladan yang baik, juga tidak ada pertentangan antara sikap bapa dengan ibu dalam mendidik anak dan sebagainya.

Keharusan kita bekerjasama dalam perkara-perkara yang baik telah difirmankan Allah s.w.t dalam Al-Quran, yang bermaksud: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebaikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan maksiat.”
(5: ayat 2)

MENCERNAKAN FUNGSI RUMAH TANGGA SECARA OPTIMUM

Waktu yang dilalui sesudah bernikah juga harus dijalani dengan mencernakan fungsi keluarga seoptimum mungkin sehingga rumah tangga tidak sekadar dijadikan seperti tempat persinggahan dalam erti kata anggota keluarga menjadikan rumah sekadar untuk singgah sebagaimana sesuatu stesen, tetapi semestinya rumah tangga dijadikan sebagai tempat pulang dari sesuatu tempat lain bagi menghilangkan rasa penat dan memperbaiki diri daripada pengaruh yang tidak elok serta memperkukuhkan hubungan antara sesama anggota keluarga.

Oleh kerana itu keluarga harus dioptimumkan fungsinya seperti masjid. Ini bermaksud, rumah dijadikan sebagai tempat untuk mengukuhkan hubungan dengan Allah s.w.t dan sesama anggota keluarga sehingga dapat menghindar sikap individualistik antara sesama anggota keluarga.

Di samping itu, rumah juga harus berfungsi seperti madrasah atau sekolah yang anggota keluarganya harus memperoleh ilmu dan pembinaan perwatakan sehingga suami dan isteri diharapkan berperanan seperti guru bagi anak-anaknya dengan memberikan ilmu dan contoh teladan yang baik.

Apa yang juga penting dalam kehidupan sekarang dan masa mendatang ialah menjadikan keluarga sebagai benteng pertahanan yang memberikan kekuatan pertahanan akidah dan keperibadian dalam menghadapi segala godaan kehidupan yang semakin banyak menjerumuskan manusia ke lembah kehidupan yang berupa maksiat pada pandangan Allah s.w.t dan Rasul-Nya.

Membangun rumah tangga yang Islamik merupakan sesuatu yang sukar. Banyak rintangan, baik dari aspek dalaman mahupun dari aspek luaran yang harus dihadapi. Namun begitu, harus diingatkan bahawa rintangan yang besar dan banyak itu bukan bermakna tidak boleh atau tidak berupaya membangun rumah tangga yang Islamik. Setiap daripada kita mesti yakin akan kemungkinan keupayaan membentuk rumah tangga yang Islamik, dan kalau kita sudah yakin, maka kita dituntut membuktikan keyakinan itu dengan penuh kesungguhan.

Ini adalah kerana melaksanakan ajaran Islam memang amat dituntut kesungguhan yang besar. Akhirnya, untuk menikmati kehidupan rumah tangga yang bahagia, ada baiknya kita telaah sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Empat perkara yang merupakan kebahagiaan seseorang, iaitu mempunyai isteri yang salihah, mempunyai anak yang berbakti, mempunyai sahabat yang salih dan mencari rezeki di negerinya sendiri.” (Hadis riwayat Dailami daripada Ali r.a)

(Di petik daripada tulisan S.Mahadzir)

Friday, July 23, 2010

Setiap Hari Bumi Menyeru (manusia) Sepuluh Kali.


"Sesungguhnya bumi setiap hari menyeru(manusia)dengan 10 kalimat "

1-Wahai manusia,engkau berlari-lari di atas belakangku,tempat kembalimu adalah di dalam perutku.

2-Engkau melakukan maksiat di atas belakangku,engkau akan diseksa di dalam perutku.

3-Engkau ketawa di atas belakangku,engkau akan menangis di dalam perutku.

4-Engkau bergembira di atas belakangku,engkau akan bersedih di dalam perutku

5-Engkau mengumpulkan harta di atas belakangku,engkau akan menyesal di dalam perutku.

6-Engkau memakan yang haram di atas belakangku,engkau akan di makan ulat-ulat di dalam perutku.

7-Engkau sombong di atas belakangku,engkau akan menjadi hina di dalam perutku

8-Engkau berjalan dalam keadaan sukacita di atas belakangku,engkau akan jatuh ke dalam perutku.

9-Engkau berjalan dalam cahaya yang terang di atas belakangku,engkau akan jatuh ke tempat yang gelap di dalam perutku.

10-Engkau berjalan di kalangan khalayak ramai di atas belakangku,engkau akan menjadi sendirian di dalam perutku''
~~~Berkata Anas Bin Malik r.a~~


~Malaikat Jibril as menemui Nabi s.a.w lalu berkata "Wahai Muhammad,carilah kesenangan hidup di dunia ini namun kematian adalah pasti.Berbuatlah apa saja,namun semuanya akan menerima balasan dan cintailah sesiapa yang kamu sukai,namun perpisahan akan menjemputmu.Ketahuilah kemuliaan seorang mukmin ialah dengan memperbanyakkan sembahyang malam serta tidak membebankan orang lain~

Sahabat ku yang tersayang dan terhormat...

Hidup yg sementara ini isikanlah ia dengan penuh hikmah...kumpulah segala kebaikkan untuk bekalan di sana.Usah berfikir yang esok untuk kita..percayalah betapa beruntungnya kita jika..menghirup..udara pada keesokannya...Esok belum pasti buat kita...

(Di petik dari tulisan Nur Husrah)

Muhasabahlah Dirimu Setiap Hari

Wahai Sahabatku yang dirahmati Allah,
Ingatlah ketika Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."
(Surah al-Hasyr ayat 18)

Ayat di atas mengingatkan  agar selalu muhasabah diri.
Kamu ibarat pedagang di dunia ini :
Ajaran Islam dan segala hukumnya adalah modalmu.
Keikhlasan, ketaatan dan istiqamah adalah strategimu.
Pahala dan keampunan dari Allah adalah untungmu.
Keredhaan Allah adalah matlamatmu.
Tempoh perniagaanmu hanya seumur hidupmu sahaja.
Jika kamu beruntung dan berjaya hendaklah kamu bersyukur kepada Allah s.w.t. sambil mengucap 'Alhamdulillah.'

Sahabat yang dimuliakan,
Hayatilah firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Dan (ingatlah), tatkala Tuhanmu memaklumkan :' Sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti kami akan menambah (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih."

Jika ditakdirkan kamu kurang bernasib baik dalam hidup ini, rugi atau gagal apa yang dihajatkan maka janganlah lemah dan patah semangat, perbaikilah langkah kamu sambil memohon ampun kepada Allah. Mungkin ada dosa-dosamu yang menyebabkan kegagalan ini. Ucaplah istighfar agar Dia mengampunkan dosa-dosamu dan segala keterlanjuranmu.

Sahabat,
Kamu adalah batu-bata yang menegakkan bangunan Islam.
Jangan biarkan masamu walaupun sedikit berlalu begitu sahaja.
Gunakanlah masa itu untuk menghitung diri, hingga kamu ketahui amalan mana yang harus dipelihara atau diperelokkan dan amal mana yang harus ditinggalkan.
Dengan demikian, kamu dapat meneruskan langkah-langkah sebagai seorang yang beriman dengan lebih mantap untuk hari esok yang pastinya lebih mencabar akalmu, jiwamu dan syaksiahmu.

Ingatlah pesanan Saydina Umar al-Khattab r.a :
"Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab (Allah) dan timbanglah dirimu sebelum ditimbang (Allah) serta bersiap-siaplah untuk menghadapi hari peperiksaan yang paling besar (hari kiamat)".

Kerana itu sahabatlah yang diharapkan untuk membawa kebenaran dan kejayaan Islam!
Oleh itu berilah perhatian yang sungguh-sungguh akan semua pesanan ini.
Lantaran itu, fikirkan sedalam-dalamnya mengenai :

Pertama : Gerak hatimu.
Adakah gerak hati dan niatmu ikhlas kerana Allah s.w.t. dalam melakukan sesuatu kerja. Adakah hatimu ada perasaan takabur dan ujub?.Ingatlah perasaan takabur dan ujub akan menghapuskan pahala dan amalan kebaikan.

Kedua : Perkara yang memenuhi akalmu.
Adakah kamu faham perbedzaan antara fikrah Islam dengan fahaman-fahaman sekular yang lain seperti nationalis, sosialis, kapitalis dan komunis? Untuk menjadi Muslim yang tulin dan baik, maka fahaman-fahaman yang sesat ini perlulah dijauhi dan dihindari agar ia tidak mempengaruhi akal dan fikiranmu sehingga ianya boleh membei kesan dalam kehidupan untuk menjadi hamba Allah s.w.t.

Oleh itu tingkatlah ilmu pengetahuan Islam, hadirlah dimajlis-majlis ilmu dan membaca buku-buku karangan ulama'-ulama' yang muktabar supaya ilmu dan fikrahmu benar-benar tulin yang tidak dipengaruhi dengan fahaman-fahaman sekular.

Ketiga : Kerjaya dan perniagaanmu.
Adakah semua kerja kamu semata-mata untuk menimbunkan kekayaan hingga melupakan perjuangan menegakkan agama Islam? Adakah kerja-kerja kamu menguntungkan atau merugikan Islam? Adakah kamu memperolehi rezeki dari sumber yang halal? Adakah dengan rezeki yang kau terima ada memberikan sedekah dan infak dijalan Allah?

Oleh itu ingatlah semua rezeki datangnya dari Allah s.w.t, kita akan ditanya dari mana sumber datangnya rezeki dan kemana ianya digunakan.

Keempat : Ibdah kamu kepada Allah.
Adakah kamu tunaikan solah lima waktu dengan sempurna, tepat waktunya dan khusyuk? Adakah kamu tunaikan secara berjemaah di masjid? Dan adakah kamu tunaikan zakat jika simpananmu mencukupi? Adakah kamu menjaga hubungan kamu dengan Allah setiap masa dan ketika, dan merasai bahawa Allah s.w.t. memerhatikan setiap pergerakanmu setiap masa dan ketika?. Ingatlah bahawa kita diciptakan Allah s.w.t. adalah semata-mata untuk memperhambakan diri kepada-Nya.

Kelima : Aktiviti dan tugas harianmu.
Adakah kamu telah melaksanakan tugasmu terhadap orang tuamu, rakan-rakanmu, jiranmu, anak-anak yatim dan masyarakat sekelilingmu? Adakah kamu menjalankan kerja-kerja dakwah dan tarbiyah dan melaksanakan amal ma'aruf nahi mungkar? Semua amal-amal kebajikan yang kamu laksanakan akan dikira sebagai amal soleh dan amal kebajikan yang akan dapat membantumu ketika kamu berhadapan dengan Allah dihari akhirat nanti.

Wahai sahabatku,
Memanfaatkanlah sisa-sisa usiamu yang tinggal dengan berusaha memperbaiki diri.
Hiasilah diri kalian dengan akhlak Islam, melahirkan contoh dan peribadi yang mulai untuk menjadi ikutan oleh orang lain.

Jangan pandang dan buangkan jauh-jauh budaya serta akhlak yang bukan datang dari al-Qur'an dan Sunnah Nabi s.a.w. Jauhkan diri dari budaya barat dan timur yang bertentangan dengan Islam.

Juga sentiasalah kalian merasakan Allah sentiasa mengawasimu. Dialah Penguasa dan Pemilik segala yang ada di langit dan di bumi, baik yang nampak oleh mata zahirmu atau yang tidak kelihatan.

Ingatlah! CCTV Allah merakamkan setiap masa dan ketika dan malaikat pencatat amal tidak pernah rehat mencatat amal kebaikan dan keburukanmu. Setiap anggotamu (melainkan mulut) dan bumi yang kau pijak akan menjadi saksi di hadapan Allah di atas setiap perbuatan dan niat-niatmu ketika di dunia.

Nabi s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya berita yang akan disampaikan oleh bumi ialah bumi menjadi saksi terhadap semua perbuatan manusia, sama ada lelaki ataupun perempuan terhadap apa yang mereka lakukan di atasnya."
Bumi akan berkata: 'Dia telah melakukan itu dan ini pada hari itu dan ini'. Itulah berita yang akan diberitahu oleh bumi."
(Hadis riwayat Imam Tirmizi).

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud "Akan dihadapkan pada hari kiamat seorang hamba, lalu ia meihat dalam suratan amalnya ada haji, umrah, jihad, zakat dan sedekah, maka ia berkata dalam hatinya; dari mana semua itu padahal aku tidak berbuat semua itu, mungkin ini bukan suratan amalku. Maka Allah berfirman;' Bacalah itu suratan mu, semasa hidupmu dulu sering berkata, andainya aku mempunya harta nescaya aku jihad. Aku mengetahui akan niatmu itu, maka Aku beri pada mu pahala semua itu."

Akhirkata, fahamai dan amalkanlah apa yang dinyatakan oleh hadis Nabi s.a.w.
Dari Syadad bin Aus r.a. berkata, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : " Orang yang pandai adalah yang menghisab (menilai) dirinya sendiri serta beramal untuk kehidupan sesudah kematian. Sedangkan orang yang lemah adalah yang dirinya mengikuti hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah s.w.t.)
(HR. Imam Turmudzi, ia berkata, ‘Hadits ini adalah hadis hasan’)
 
Semoga sahabatku sentiasa mendapat petunjuk dan rahmat dari Allah s.w.t.

Thursday, July 22, 2010

Keperluan Sedekah

Seorang anak lelaki bertanya Rasulullah s.a.w : "Sedekah mana yg lebih besar pahalanya?
Nabi menjawab, "Sedekah yg diberikan sedangkan pada masa itu engkau masih sihat dan sebenarnya engkau bakhil (merasa sayang nak dermakan harta kerana takut jadi fakir dan engkau berangan jadi kaya) maka jangan menangguh sedekah sehingga apabila roh sampai dikerongkongan lalu pada masa itu kau berkata, "ini untuk si anu ini untuk si anu sekian" dan sebenarnya harta engkau pada masa itu memang akan dimilki oleh orang lain."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)









Amal Bergantung Kepada Niat

Abul Laith Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Zaid bin Maisarah berkata: Allah terlah berfirman: Aku tidak menerima perkataan sesaorang hakim, tetapi aku melihat tujuan dan niatnya kepada Ku, maka aku jadikan diamnya untuk berfikir dan bicaranya sebagai zikir meski pun ia tidak berkata-kata.
Aun bin Abdullah berkata: Dahulu orang-orang soleh menulis surat kepada sahabatnya tiga kalimat;
  • Siapa yang beramal untuk akhirat, maka Allah mencukupi segala urusan dunianya.
  • Dan siapa yang memperbaikki niatnya, maka Allah akan memperbaikki zahirnya.
  • Dan sesiapa yang memperbaikki hubungannya dengan Allah, maka allah akan memperbaikki hubungannya dengan sesama manusia.
Nabi s.a.w bersabda: “Niat sesaorang Mukmin lebih baik dari amal perbuatannya”
Oleh sebab itu, niat itu mendapat pahala tanpa amal, sedangkan amal tanpa niat tidak ada pahalanya.

Nabi s.a.w bersabda: ” Seorang hamba dihadapkan pada hari kiamat membawa hasanah sebesar bukit, lalu ada seruan;' Siapa yang pernah di aniaya oleh fulan boleh datang untuk dibayar'. Maka datanglah beberapa orang lalu mengambil bahagiannya sehingga tiada tinggal satu pun dari hasanah yang banyak itu, sehingga hamba itu menjadi bingung, lalu Tuhan berkata kepadanya: 'Untuk mu ada simpanan pada Ku yang tidak Aku perlihatkan kepada malaikat atau seorang pun dari makhluk Ku,' lalu ia bertanya:' Apakah itu'. Jawab Tuhan: Ia itu niatmu, yang kau selalu niat akan berbuat kebaikan, Aku tulis untuk mu berlipat ganda, tujuh puluh lipat ganda.' "

Seorang ‘abid Bani Israel, ketika berjalan melihat anak bukit, lalu ia ingin, andaikan bukit itu menjadi tepung, maka akan diberinya makan kepada Bani Israel yang sedang menderita kelaparan. Maka Allah menurunkan wahyu kepada Nabi ketika itu: "Katakanlah kepada ‘abid itu bahawa Allah berfirman; 'Telah Aku tetapkan bagimu pahala sekiranya bukit itu menjadi tepung dah kamu sedekahkanya.' "

Juga ada riwayat:
Akan dihadapkan pada hari kiamat seorang hamba, lalu ia meihat dalam suratan amalnya ada haji, umrah, jihad, zakat dan sedekah, maka ia berkata dalam hatinya; dari mana semua itu padahal aku tidak berbuat semua itu, mungkin ini bukan suratan amalku. Maka Allah berfirman;' Bacalah itu suratan mu, semasa hidupmu dulu sering berkata, andainya aku mempunya harta nescaya aku jihad. Aku mengetahui akan niatmu itu, maka Aku beri pada mu pahala semua itu."

Abu Hurairah r.a. berkata; Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa mu, dahn tidak melihat harta mu, dan tidak melihat keadaan mu, tetapi melihat amal dan hati mu.

Hadis berkaitan kelebihan al-Fatihah


Syifa Fatihah
Hadis Nabi s.a.w.

Hazrat Abdul Malik bin ‘Umair rah. meriwayatkan secara mursal bahawa Rasulallah (s.a.w) bersabda, “Dalam surah al-Fatihah terdapat penawar untuk segala penyakit.”
(Hadis riwayat Darimi dan Baihaqi)

PENJELASAN LANJUT
Rasulallah (saw) bersabda, “Aku ingin memberitahu kamu satu surah yang paling afdal dalam al-Quran. Surah itu adalah surah al-Hamd (al-Fatihah) yang mempunyai tujuh ayat. Ayat-ayat ini adalah Saba’ Mathani dan dan mewakili seluruh al-Quran yang agung.”

Telah di riwayatkan dari setengah ahli sufi bahawa segala yang terkandung dalam kitab Allah yang terdahulu terdapat dalam al-Quran dan segala kandungan al-Quran terdapat dalam dalam surah al-Fatihah dan apa-apa yang terkandung dalam surah al-Fatihah terapat dalam “Bismillah” dan apa-apa yang terdapat dalam “Bismillah” terapat dalam huruf “ba”.

Terdapat juga dalam kitab tafsir menerangkan bahawa huruf “ba” bertugas sebagai penemu, yakni huruf “ba” memutuskan segala hubungan sesaorang hamba dengan segala perkara yang lain dan menemukan dengan Allah.

Sebahagian ulamak berpendapat bahawa apa-apa yang terdapat dalam huruf “ba” terkandung dalam titik pada “ba” itu, yakni titik wahdaniah. Dalam istilah ilmu tasauf, titik wahdaniah bermaksud sesuatu yang tidak boleh dibahagi-bahagi lagi.

Setengah ulamak menukilkan, ayat “Iya kanaq budu yaiya kanasta’in” , terkandung segala hajat dunia dan ugama.Rasullah (saw) pernah bersabda melalui satu hadis, “Demi Zat yang nyawaku dalam genggamanNya, satu surah yang seumpama ini tidak pernah diturunkan samaada dalam Taurat, Injil, Zabur atau bahagian yang lain dalam al-Quran.”

Membaca surah al-Fatihah dengan penuh keyakinan akan dapat menyembuhkan segala penyakit rohani atau jasmani, penyakit zahir atau penyakit batin.
Al-Fatihah yang ditulis dan dijadikan tangkal dan juga menjilat al-Fatihah yang ditulis berfaedah untuk mengubat penyakit.

Terdapat dalam kitab-kitab hadis yang sahih bahawa para sahabat nabi pernah membaca surah al-Fatihah dan menghembus ke atas orang yang di patuk ular atau disengat kala jengking, orang yang terkena sawan dan orang gila. Rasullah (saw) sendiri mengharuskan perbuatan ini.

Dalam satu riwayat, Rasullah (saw) pernah membaca surah al-Fatihah lalu menghembuskan kepada Hazrat Saib bin Yazid (r.a) dan baginda membaca dan menyapu air liur pada tempat yang sakit itu.

Dalam hadis yang lain pula, bahawa sesiapa yang berbaring dengan niat untuk tidur dan membaca al-Fatihah serta surah al-Ikhlas kemudian menghembus keatas dirinya sendiri maka dia akan dijauhkan dari segala bahaya melainkan maut.

Pahala memabaca surah al-Fatihah menyamai pahala membaca dua pertiga al-Quran.

Rasulallah (saw) pernah bersabda, “Aku telah mendapat empat perkara dari khazanah khas dari ‘Arash. Tiada sesiapa pun yang mendapat apa-apa perkara lain dari khazanah tersebut. Pertamanya adalah surah al-Fatihah, keduanya ayat Kursi, ketiganya ayat akhir dari surah al-Baqarah dan keempat surah al-Kauthar.”
Hazrat Hassan Basri (rah) meriwayatkan satu sabdaan Nabi (saw) yang berbunyi, “Seorang yang membaca surah al-Fatihah seumpama seorang yang membaca kitab Taurat, Injil, Zabur dan al-Quran yang mulia.”

Diriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa Iblis meraung-raung sambil melumurkan seluruh kepalanya  dengan debu apabila berlaku empat peristiwa; pertama apabila dia dilaknat, kedua apabila dia di kelurkan dari syurga ke dunia, ketiga apabila Nabi Mohammad (saw) dianugerahkan dengan kenabian dan kekempat apabila surah al-Fatihah diturunkan.

Pada suatu ketika ada seorang datang kepada Hazrat Sya’abi (rah) mengadu tentang buah pinggangnya yang sakit. Hazrat Sya’abi menasihatkannya supaya membaca ‘Asasul-Quran’ kemudian menghembus kepada tempat yang sakit. Apabila ditanya apakah ‘Asasul-Quran’, Hazrat Sya’abi menjawab, “Surah al-Fatihah.”

Antara amalan para masyaikh yang mujarab ialah surah al-Fatihah. Surah ini juga sebagai Ismul A’zam yang sepatutnya dibaca  tujuan memohon apa-apa hajat.

Didalam kitab Sahih Muslim terdapat satu Hadis yang diriwayatkan oleh dari Hazrat Abdullah bin Abas (r.a) bahawa pada suatu ketika Rasulallah (saw) sedang duduk bersama kami. Baginda (saw) bersabda, “Dilangit telah dibuka satu pintu yang belum pernah dibuka  sebelum ini, dan dari pintu tersebut turun satu malaikat yang pernah diturunkan sebelum ini. Malaikat itu berkata kepada ku, “Terimalah satu berita gembira dengan dua nur yang belum pernah diberikan kepada  sesiapa pun sebelum ini, pertama adalah surah al-Fatihah dan kedua adalah tiga ayat trakhir dari surah al-Baqarah.”

(Di petik daripada Blog Fazilat Amal)

Wednesday, July 21, 2010

Setiap Amalan Bergantung Pada Niat

Sahabat yang dimuliakan,
Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w.bersabda maksudnya : "Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan.."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ulama’ telah bersepakat mengatakan bahawa setiap amalan yang dilakukan oleh Mukmin yang mukallaf tidak dikira dari sudut syara’ dan tidak diberi pahala dengan hanya melakukannya kecuali disertai dengan niat. Niat adalah salah satu daripada rukun di dalam ibadat langsung (al-‘ibadatul maqshudah) seperti solat, haji dan puasa. Ibadat-ibadat tersebut dikira tidak sah kecuali apabila dilakukan dengan niat.


Sahabat yang dirahmati Allah,
Niat yang ikhlas untuk melakukan sesuatu ibadah atau perbuatan adalah terletak dihati. Niat inilah menjadi ibu dalam semua amal ibadah, amal soleh dan amal kebajikan  yang kita lakukan. Ibadah dan pekerjaan kita akan terbatal dan tidak dipandang oleh Allah s.w.t apabila tidak ada niat atau niatnya menyempang dari tujuan asal.


Hati kita juga perlu dilatih dan dididik supaya ia menjadi sihat dan khusyu'. Hati yang khusyu' amat diperlukan dalam ibadah dan seterusnya dalam kehidupan. Hati yang hidup dan sihat adalah hati yang apabila disebut nama Allah s.w.t. terasa gementar dan apabila dibacakan al-Qur'an bertambah Imannya. Hati seperti ini akan bersih dari keduniaan dan akan lahirkan keikhlasan kepada Allah s.w.t. dalam setiap tindak-tanduk perbuatannya. Manusia melihat zahir kita sedangkan Allah melihat hati kita. Untuk memiliki hati yang khusyu' ia perlu dilembutkan dahulu dan disinilah lahirnya pelbagai cara dalam melahirkan jiwa yang khusyu'.


Nabi Muhammad s.a.w bersabda,
"Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati."
(Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Nu'man bin Basyir)


Ulama mengkategorikan hati manusia terbahagi kepada beberapa jenis;


1. Hati yang sahih (qalbun sahih)
Bermaksud hati yang suci, bersih dan bebas daripada segala gangguan yang menyebabkan terhalangnya manusia melaksanakan perintah Allah s.w.t. Di sinilah letaknya ikhlas, yakin, percaya , berazam dan penyerahan secara sepenuhnya kepada Allah.


2. Hati yang mati (qalbun mayyit)
Bermaksud mereka yang memiliki hati yang degil dan ego untuk menyembah Allah s.w.t. Manusia jenis ini bekerjasama atau sekutu dengan syaitan dan nafsu. Hati seperti ini ditutupi dengan selaput hitam yang menjadi penghalang dari menerima hidayah dan petunjuk daripada Allah s.w.t.


3. Hati yang sakit (qalbun maridh)
Bermaksud hati yang masih mempunyai kehidupan tetapi hatinya ada benih-benih penyakit. Kadangkala mereka hidup sihat berpandukan iman tetapi ada kalanya mereka mengutamakan nafsu yang menggila. Hati seperti inilah dia turun dan naik. Iman yang terletak dihati seperti ini kadangkala naik kuat dan kadangkala turun dan lemah. Jika di biarkan hati ini boleh menjadi hati yg kedua iaitu hati yang mati.


Nabi s.a.w sentiasa berdo'a kepada Allah s.w.t. supaya hati ini diberikan petunjuk dan jalan ketaatan :
"Ya Allah, Tuhan yang menunjukkan hati, tunjukkanlah hati-hati kami kepada jalan ketaatan kepada-Mu."
(Hadis Riwayat Muslim)

Sahabat yang berbahagia,
Jadikanlah niat yang ikhlas dalam hati kita sebagai pendorong untuk kita lakukan amal-amal soleh walaupun kita belum mampu untuk melaksanakannya.

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, "Seorang hamba yang dikurniakan Allah ilmu dan niat yang ikhlas, ia berkata, 'Seandainya aku memiliki harta, nescaya aku akan beramal sebagaimana yang diperbuat oleh si polan (golongan yang diberikah harta dan ilmu).' Dengan niatnya tersebut, maka pahala kedua-dua hamba ini sama."
(Hadis Riwayat Tirmizi).

Setakat lintasan hati kita untuk membuat kebaikan belum dikira mendapat pahala disisi Allah s.w.t. selagi kita tak merancang dan berazam dengan sungguh-sungguh untuk melaksanakannya. Hadis diatas menjelaskan keazaman seseorang yang ingin bersedekah sekiranya ditakdirkan memiliki harta seperti orang kaya tersebut.

Begitu juga apabila kita berazam dan cita-cita untuk mati syahid dan berusaha ke arah itu iaitu menjalankan kerja-kerja dakwah dan tarbiyah dan menghulurkan bantuan kepada saudara-saudara kita yang sedang berjihad menghadapi kafir harbi maka ianya dikira kita sedang berjihad fisabilillah. Niat yang diserta dengan azam dan tindakkan akan memberi pahala yang sama dengan mereka yang sedang melakukan amalan terebut.

Contoh yang jelas adalah dizaman dahulu Nabi s.a.w menceritakan seorang telah membunuh 100 orang, bila dia berazam dengan sepenuh hati untuk bertaubat tiba-tiba mati ditengah jalan, maka kerana niat dan azam yang dimiliki oleh lelaki tersebut dia telah dipilih oleh Allah s.w.t termasuk dikalangan hamba-hamba-Nya yang bertaubat dan dimasukkan ke dalam Syurga.

Begitu juga sesuatu maksiat yang ingin dilakukan oleh seseorang sekiranya dia berusaha dan berazam untuk melakukannya sekiranya dalam masa perjalanan dia mati maka dia tetap dikira mendapat dosa kerana niatnya untuk  melakukan maksiat tersebut.


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Apabila dua orang Muslim berbunuh-bunuhan dengan pedang maka pihak yang membunuh dan yang terbunuh kedua-duanya masuk Neraka. Abu Bakrah bertanya, “Wahai Rasulullah, orang yang membunuh memanglah masuk Neraka tetapi bagaimana orang yang terbunuh pun masuk Neraka?” Jawab baginda, kerana ia berniat dengan bersungguh-sungguh hendak membunuh lawannya.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim )

Akhirkata marilah kita betulkan niat-niat hati kita untuk melakukan kebaikan dan berazam sepenuhnya untuk melaksanakan kebaikan dan beramal soleh tanpar ragu-ragu. Oleh itu kita perlulah berhati-hati dalam setiap amalan, percakapan dan niat dihati, semuanya hendaklah dibuat ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t. Kita buat sesuatu kerana Allah dan tinggalkan sesuatu juga kerana Allah. Kita cinta dan kasih seseorang kerana Allah dan kita benci seseorang juga kerana Allah. Untuk kita sentiasa kekal dalam keadaan ikhlas perlulah sentiasa berdo'a kepada Allah s.w.t. supaya Dia sentiasa tetapkan hati dan jiwa kita dalam keadaan bersih dan terhindar daripada syirik kepada-Nya.








Tuesday, July 20, 2010

Lapan Perkara Bahagia atau Derita di dalam Kubur

Sahabat yang dirahmati Allah,
Terdapat lapan perkara yang menentukan bahagia atau derita didalam kubur:

Abu-Laits berkata: “Siapa yang ingin selamat dari siksaan kubur maka harus melazimi (melaksanakan) empat perkara dan meninggalkan empat perkara iaitu:

1.Menjaga sembahyang lima waktu

2. Banyak bersedekah

3. Banyak membaca al-Quran

4.Memperbanyak bertasbih (membaca: Subhanallah walhamdulillah wal’aa ilaha illallah wallahu akbar, walahaula wala quwata illa billah)

Semua yang empat ini dapat menerangi kubur dan meluaskannya.

Adapun empat yang harus ditinggalkan ialah:

1.Berbohong

2.Khianat

3. Adu-domba

4. Menjaga kencing, sebab Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda: “Bersihkanlah kamu daripada air kencing, sebab umumnya siksa kubur itu berpunca daripada air kencing. (Maksudnya hendaklah dicuci kemaluan sebersih-bersihnya selepas membuang air kecil.)"

Sedutan dari Kitab Tanbihul Ghafilin

Dunia Penjara Bagi Orang Mukmin dan Syurga Bagi Orang Kafir.

Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Walau pun hidup di dunia singkat berbanding kehidupan akhirat, tetapi ianya sangat penting kerana ia adalah penentu samaada kita bahagia atau celaka di hari akhirat nanti.

Untuk bahagia di hari akhirat, kita mesti melakukan sebanyak-banyaknya kebaikan ketika hidup di dunia. Samalah seperti jika kita ingin memetik buah yang lebat, manis dan segar, maka pokok yang kita tanam perlu subur dan sihat. Mana mungkin, pokok yang layu, kering dan tidak sihat menghasilkan buah yang baik.

Begitulah hubungan kehidupan dunia dengan akhirat. Orang yang memikirkan kehidupan di hari akhirat ialah orang yang paling kuat berusaha, beribadah dan membuat kebajikan ketika hidup di dunia.

Hidup di dunia kita terikat dengan peraturan dan undang-undang yang telah di tetapkan oleh Allah s.w.t. Tidak boleh bebas sepenuhnya seperti orang-orang kafir kerana bagi mereka dunia ini adalah syurga dan tidak ada lagi syurga di hari akhirat kerana kekufuran mereka kepada Allah s.w.t. Sesuailah apa yang di sabdakan oleh Nabi s.a.w. bahawa di dunia ini adalah  penjara untuk orang Mukmin dan Syurga bagi orang kafir.

Dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya :”Dunia penjara bagi orang Mukmin dan Syurga bagi orang kafir.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Sahabat yang dimuliakan,
Dunia ini harus kita nikmati dengan mengikuti segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Dikatakan bahawa dunia adalah penjara bagi mukmin kerana di dunia manusia terdedah dengan pelbagai macam godaan dan ancaman yang mencabar keimanan.

Bahkan apa yang dilarang oleh agama itu selalunya menjadi kesukaan nafsu manusia. Namun hakikatnya laranga-larangan itu adalah demi kebaikan dan kesejahteraan manusia itu sendiri agar tidak terjebak ke lembah kebinasaan.

Berbeza pula bagi golongan kafir mereka bebas melakukan apa sahaja sehingga akhirnya mereka merosakkan jiwa dan diri mereka sendiri. Inilah hakikat dunia yang akan menjadikan manusia yang alpa tenggelam di dalamnya.

Sebab itu kita selaku orang Mukmin diseru agar memanfaatkan dunia dengan bijaksana iaitu apabila kita berusaha memanfaatkan kehidupan dunia sebagai jambatan menuju kebahagiaan akhirat, maka Allah akan memberikan kedua-duanya (kebahagiaan dunia dan akhirat).

Namun sekiranya kita hanya mengutamakan kehidupan dunia dan melupakan akhirat, maka Allah hanya akan memberikan satu kenikmatan sahaja iaitu dunia semata. Sedangkan di akhirat kelak kita mendapat kerugian yang banyak.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Orang beriman tidak mengenal letih, putus asa dan kecewa dalam melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Dunia tempat bekerja bukan tempat rehat. Oleh itu kita mesti gigih melaksanakan amal soleh, memperbanyakkan amal ibadah, meningkatkan ilmu fardu ain dan menyampaikannya, berdakwah dan berjihad di jalan Allah s.w.t.

Ingatlah! Dunia tempat menanam, akhirat tempat menuai. Waktu menanam memanglah susah, tidak semudah waktu menuai. Tetapi tanpa melalui kesusahan, kita tidak akan dapat menikmati kesenangan. Jangan sekali-kali mengikut ajakan syaitan dan godaan nafsu menyuruh berbuat jahat dan kemungkaran.

Fikirkanlah! Waktu tidur dan berehat-rehat telah berlalu, kerana bertambahnya umur kita bermakna kita telah terlalu hampir untuk bertemu Allah s.w.t. Sanggupkah kita berhadapan dengan Allah s.w.t. nanti dengan membawa amal yang terlalu sedikit sedangkan dosa pula melebihi daripada pahala yang kita miliki?

Walaupun di dunia ini kita mengalami kesusahan dalam kehidupan kerana kemiskinan,  menderita kerana penyakit yang dihadapi,  di uji dengan pergolakan dalam keluarga karenah anak-anak dan isteri, tekanan di tempat kerja dengan sikap ketua yang tidak berhemah, tekanan sebagai guru dengan sikap pelajar yang tidak beradap sopan dan berbagai-bagai masaalah yang datang silih berganti anggaplah itu semuanya sebagai 'penjara' atau pun dugaan yang ditakdirkan oleh Allah s.w.t. kepada kita semua. Bila kita redha dan sabar menghadapinya maka ingatlah ganjaran yang besar menanti kita di hari akhirat nanti.

Biarkanlah orang-orang kafir berseronok melakukan maksiat dan kemungkaran. Mereka buru harta dunia siang dan malam, Mereka berhibur dengan muzik, menonton filem, meminum arak, bermain judi, memiliki wanita-wanuta cantik, dan makan-minum apa saja yg mereka suka dan memuaskan hawa nafsu mereka sepenuhnya maka itu adalah Syurga untuk mereka. Sekiranya umat Islam terikut-ikut dengan cara hidup mereka dan menjadikan dunia ini seperti Syurga maka di hari akhirat nanti mereka akan dijauhi dari Syurga oleh Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
"Dan orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan mencegah dirinya dari hawa nafsu, maka Syurgalah tempat kediamannya."
(Surah An-Nazi'at ayat 40-41)
Akhirkata anggaplah kehidupan ini dan semua yang ada padanya sebagai ujian kepada menusia, dan dapat menilai siapakah manusia yang paling baik amalannya. Di akhirat nanti kedudukan manusia ditentukan beradasarkan apa yang mereka lakukan ketika di dunia dan akhir kesudahan kehidupan mereka. Kehidupan didunia hanyalah sementara sahaja.Oleh itu marilah sama-sama kita menginsafi diri, beristighfar setiap masa dan berdo'a memohon keampunan di atas kesalahan dan dosa yang telah kita lakukan. Persiapkanlah dua bekalan iaitu satu bekalan yang akan kita bawa bersama-sama ke alam Barzakh dan satu bekalan yang kita tinggalkan di dunia yang mana sahamnya masih kita perolehi iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak-anak yang soleh dan solehah.

Monday, July 19, 2010

Malu Itu Sebahagian Daripada Iman

Sahabat yang dikasihi Allah,
Sifat malu itu adalah satu fitrah kurniaan Allah s.w.t kepada semua manusia . Sifat inilah yang membezakan di antara manusia dangan haiwan. Apabila manusia sudah hilang sifat malu maka taraf manusia adalah sama dengan haiwan atau mungkin lebih rendah lagi.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
"Malu itu sebahagian dari iman"

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Iman mempunyai lebih daripada enam puluh cabang. Adapun malu adalah salah satu cabang dari cabang iman."
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
 
Hilangnya perasaan malu dalam jiwa boleh menyebabkan seseorang insan itu tanpa segan silu mengerjakan maksiat Mengenai hubungan iman dan malu, Ibnu Quthaibah berkata, sifat malu dapat menghalang dan menghindarkan seseorang melakukan kemaksiatan seperti iman. Maka sifat malu disebut sebagai iman, seperti sesuatu dapat diberi nama dengan nama lain yang dapat menggantikan makna perkataan tersebut.

Sifat malu adalah gabungan daripada sifat takut akan dosa dan keinginan untuk menjaga kesucian diri. Namun sifat malu tidak seharusnya menyebabkan seseorang itu mensia-siakan hak Allah dan Rasul-Nya, diri sendiri serta ahli keluarganya.

Kita tidak boleh malu menuntut ilmu, melaksanakan amar makruf nahi mungkar atau malu untuk bekerja mencari nafkah. Sifat malu sebegini adalah malu yang tercela dan hanya menunjukkan kelemahan jiwa seseorang insan

Oleh itu hendaklah kita memupuk dalam jiwa perasaan malu yang positif kerana ia adalah akhlak Islam yang dituntut. Sabda Baginda yang bermaksud: "Sesungguhnya setiap agama memiliki akhlak, dan akhlak Islam adalah malu."
(Hadis riwayat Imam Ibnu Majah)

Rasulullah s.a.w. bersabda lagi:  "Sesungguhnya Allah Maha Pemalu (al-Hayaa) dan Maha Menutupi (al-Sitr), Dia mencintai rasa malu dan yang tertutup. Apabila salah seorang daripada kalian mandi, maka hendaklah dia menutupi diri."
(Hadis riwayat Imam Abu Dawud)

Sahabat yang dimuliakan,
Malu antara sifat terpuji yang melambangkan ketinggian budi pekerti Muslim dan ketebalan imannya. Sifat malu juga satu petanda membuktikan iman itu bertapak kukuh dalam jiwa sanubarinya, sebaliknya mereka yang tidak mempunyai rasa malu bermakna sudah hilang imannya.

Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud: “Malu dan iman itu adalah teman yang seiring jalan. Jika salah satu daripadanya terangkat (tiada), nescaya terangkat (tiada) juga yang satu lagi.”
(Hadis riwayat Muslim)

Di dalam hadis yang lain Nabi s.a.w. bersabda maksudnya :
"Malulah kamu sekelian kepada Allah dengan sebenar-benarnya. "
"Wahai Rasulullah bukankah kita sudah malu dengan Allah?"
Sabda Nabi s.a.w : "Bukan itu yang di namakan malu dengan Allah, akan tetapi yang di namakan malu dengan Allah yang sesungguhnya adalah orang yang sudah boleh menjaga kepalanya dari maksiat dan apa yang ada di kepalanya, dan menjaga perutnya jangan sampai masuk barang yang haram, dan menjaga kemaluannya jangan sampai berzina, dan menjaga tangan dan kakinya dari perbuatan maksiat, dan ingat dengan mati, dan ingat bahawa dirinya akan rosak. Dan barangsiapa yang menghendaki kebahagiaan akhirat hendaklah meninggalkan kesenangan dunia dan memilih kebahagiaan akhirat daripada dunia, barangsiapa yang sudah dapat mengerjakan semua yang telah tersebut di atas barulah orang tersebut di namakan orang yang malu kepada Allah, orang yang malu kepada Allah adalah orang yang malu bila melakukan maksiat sehingga tidak jadi mengerjakan maksiat dan itulah yang di namakan malu yang sesungguhnya."
 
Seorang yang mempunyai budi pekerti yang baik adalah mereka yang rasa malu bila mengerjakan maksiat. Sentiasa berbuat baik, benar perkataannya, tidak berkata dengan perkataan yang keji (lucah), sedikit bicaranya kecuali ada menfaatnya, banyak amal soleh, sedikit kesalahannya, tidak berlebih-lebihan dalam semua perkara, suka menyambung persaudaraan, bersopan santun, banyak bersabar, sentiasa bersyukur kepada Allah, kasih sayang terhadap orang lain, menjaga diri dari yang tercela, tidak mudah marah, tidak mengadu domba (menghasut) orang lain, tidak mengumpat, tidak dengki dan iri hati, tidak bakhil, kalau dia mencintai sesuatu hanya kerana Allah dan membenci sesuatu juga kerana Allah dan kalau dia marah juga marah kerana Allah.

Ramai wanita Islam hari ini mendedahkan aurat tanpa rasa segan silu. Menampakkan perhiasan diri tanpa ada perasaan malu kepada Allah s.w.t. Bersolek berlebih-lebihan, berwangi-wangian, pakaian yang menjolok mata hingga menampakkan bentuk tubuh badannya dan seksi, kadangkala merobah bentuk asal wajahnya dengan di lakukan pembedahan plastik, menggunakan botox dan lain-lain, semua ini tidak menampakkan ciri-ciri wanita solehah.
Sahabat yang dihormati,
Di sudut yang lain pula, kita lihat gejala sosial telah melanda dengan hebatnya para remaja lelaki dan perempuan berdua-duaan dan berpasang-pasangan tanpa segan dan malu memenuhi taman-taman bunga, pusat membeli belah, tepi-tepi pantai dan pusat-pusat hiburan. Dalam keadaan seperti ini siapakah yang perlu di salahkan? Untuk mengubati penyakit-penyakit ini setiap kita (ibu bapa, guru-guru,alim ulama', para da'ie, pertubuhan dan persatuan Islam, jemaah Islam dan jabatan Agama Islam) berperanan dan bersatu tenaga untuk merawat dan jalankan proses pemulihannya. Kita tidak boleh menggunakan cara dan kaedah lain, melainkan kembali kepada kaedah rawatan yang di jalankan oleh Rasulullah s.a.w iaitu membaiki aqidah dan keimanan manusia terlebih dahulu sebelum membaiki kelemahan-kelemahan yang lain.

Apa sahaja berbentuk kelucahan adalah amalan dan kesukaan iblis dan syaitan. Iblis dan syaitan akan bekerja keras untuk menghancurkan sifat malu dan kesucian manusia. Islam menganggap semua ini sebagai zina. Zina mata, zina perasaan, zina lisan. Ia akan menjurus kepada zina yang sebenarnya. Allah s.w.t. melarang semua ini, firman-Nya di dalam surah Al-Isra' ayat 32 yang bermaksud, "Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya ia (zina) itu adalah perbuatan keji dan satu jalan yang jahat (membawa kerosakan)."

Akhirkata apabila proses tarbiyyah dan dakwah berjalan dan berfungsi sepenuhnya di dalam masyarakat, akan lahirlah individu-individu Muslim Mukmin yang beriman dan bertakwa kepada Allah s.w.t dan perasaan malu kepada Allah s.w.t berfungsi dalam kehidupan kita.