Saturday, July 24, 2010

Segerakanlah Lima Perkara Untuk Mendapat Keredhaan Allah

Sahabat yang dikasihi Allah,
Di dalam kehidupan sebagai seorang Mukmin, ada masanya sesuatu perkara perlu disegerakan dan diberi keutamaan. Banyak hadis-hadis Nabi s.a.w yang meminta umatnya mengutamakan lima perkara bersangkut paut dengan kewajipan dan tanggungjawab kepada diri sendiri dan masyarakat. Bila kita menjalankan tangungjawab ini dengan ikhlas maka ganjaran besar akan disediakan oleh Allah s.w.t di hari akhirat nanti.

Tanggungjawab tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Melayani, menyatuni dan memberi makan kepada tetamu apabila dia sudah sampai .

Melayan tetamu dengan baik dan lemah lembut dan memberi makan dan minum apabila telah sampai kerumah adalah satu amalan yang amat terpuji dan dituntut oleh Islam. Nabi s.a.w samakan sesiapa yang beriman dengan hari akhirat dengan memuliakan tetamu.

Nabi s.a.w berwasiat kepada Sayyidina Ali k.w maksudnya : "Wahai Ali ! Barangsiapa yang memberi makan orang Muslim dengan hati tulus, Allah mencatatnya sejuta kebaikan dan menghapuskan sejuta keburukan. Di samping itu, ia diangkat sampai seribu tingkat mertabatnya."

"Wahai Ali ! Anjurkanlah berbuat baik kepada mereka yang sedang ceria wajahnya. Dan hormatilah tetamu sebab rezeki tetamu yang singgah kerumah sesaorang pun ikut singgah di situ. Dan kalau ia meninggalkan rumah itu, dosa penghuni rumah itu lenyap bersama kepergian tetamu tersebut. Lalu terhapuslah dosa-dosa itu jauh ditengah lautan."

Nabi s.a.w bersabda maksudnya : "Apabila telah habis tiga hari tiga malamnya, maka apa yg diberikan kepada tetamu dianggap sedekah.“
(Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Pada hari pertama, tuan rumah hendaklah memberi jaizah (lauk pauk yang istemewa) dan pada hari kedua dan ketiga, ia menghidangkan lauk pauk yg biasa dimakan.

Nabi s.a.w bersabda maksudnya : "Barangsiapa yg beriman dengan Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tamunya dengan memberi jaizah.” Para sahabat bertanya,”apakah itu jaizah, ya RasuluLlah?” Sabda Nabi,” sehari semalam"
(Hadis Riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Tiga hari itu mengikut jumhur ulama sebagai hak tamu. Ia bukan wajib tapi sunat (sunnah yg dikukuhkan, akhlak karimah dan kebajikan dalam agama). Umar al-Khattab r.a mewajibkan hak tamu (Majmu’) . Selepas tiga hari, mengikut hadis di atas ia menjadi sedekah.

Abu Hurairah r.a katanya : Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Begitu juga sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia memuliakan para tetamunya
(Hadis Riwayat Muslim)

Walaupun tuan rumah berkewajipan merai tetamu selama tiga hari tiga malam tetapi Islam minta umatnya janganlah membebankan tuan rumah kerana Nabi s.a.w ada bersabda maksudnya :
"Tidak halal bagi tetamu berdiam lama-lama di rumah (yg ditumpanginya) kerana ia membebankan tuanrumah.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kedua : Menguruskan dan menyelenggarakan jenazah apabila dia sudah meninggal dunia (fardhu kifayah)

Menyempurnakan dan menyegerakan pengurusan jenazah (dimandikan, dikafankan, di sembahyangkan dan dikebumikan) adalah salah satu tuntutan Islam. Ini adalah kerana bila jenazah ini orang beriman dan soleh menyegerakannya adalah baik kerana mempercepatkan jenazah ini diletakkan disalah satu taman- taman Syurga. Kubur menanti dengan gembiranya orang yang soleh. Begitu pula jika jenazah ini orang jahat maka menyegerakannya adalah kerana untuk melepaskan tanggungjawab kita.

Abu Hurairah r.a : Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda maksudnya : "Segerakanlah pengurusan jenazah kerana jika jenazah itu baik maka sudah sepatutnya kamu menyegerakannya. Jika sebaliknya maka jenazah itu adalah keburukan yang kamu letakkan (lepaskan) dari leher-leher kamu (dari tanggungjawab kamu)"
(Hadis Riwayat Muslim)

Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda maksudnya : "Sesiapa yang menghadiri jenazah sehingga jenazah itu di sembahyangkan, maka dia seolah-olah mendapatkan satu qirat (qirat adalah kinayah bagi ganjaran pahala yang sangat banyak) dan sesiapa yang menghadirinya sehingga jenazah itu dikuburkan, maka dia mendapat dua qirat. Sahabat bertanya: Apakah dua qirat itu? Baginda s.a.w bersabda: Seumpama dua gunung"
(Hadis Riwayat Muslim)

Ketiga : Mengahwinkan anak gadis dengan lelaki soleh apabila sudah sampai masa dan cukup usianya (memelihara maruah wanita)

Tanggungjawab ibu bapa yang mempunyai anak gadis, jika jodohnya sudah sampai dan bila datang meminang seorang lelaki yang di dapati baik akhlak dan agamanya, maka segerakanlah. Janganlah dipandang hantaran yang mahal-mahal dan menyediakan perbelanjaan yang besar untuk majlis perkahwinan. Islam mengalakkan bersederhana dan janganlah menunjuk-nunjuk untuk bermegahan. Janganlah dipandang harta-benda , pangkat atau kedudukan si lelaki terimalah seadanya kerana keberkatan dalam kehidupan bukanlah pada harta dunia. Apa gunanya pangkat dah harta-benda dan majis perkahwinan yang hebat dan gilang gemilang tetapi keluarga yang dibina jauh dari roh Islam dan umur perkahwinan tersebut hanya mampu bertahan beberapa tahun sahaja.

Jarak masa pertunangan dengan pernikahan janganlah diambil masa yang panjang (hingga beberapa tahun) kerana banyak risiko yang akan berlaku di antara masa tersebut. Ibu bapa perlulah mengawasi anak-anak mereka pertunangan bukanlah lesen untuk mereka berjalan berdua-duaan dan bebas untuk bersama-sama kerana hakikat sebenarnya selagi mereka belum di hijab kabulkan mereka tetap haram berkhalwat dan jalan berdua-duaan. Allah s.w.t melarang orang lelaki dan perempuan untuk menghampiri zina. Perjumpaan dan pertemuan mestilah mengikut adab-adab Islam dalam pergaulan.

Sabda baginda lagi: dari Anas ra, Rasullulah Al Ma’shum bersabda,
“Barangsiapa mempunyai anak perempuan yang telah mencapai umur 12tahun,lalu ia tidak segerakan mengahwinkannya kemudian anak perempuan tersebut melakukan dosanya di tanggung oleh ayahnya".
(Hadis Riwayat Baihaqi)

Nabi s.a.w bersabda maksudnya : "Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah mempunyai keupayaan iaitu zahir dan batin untuk berkahwin, maka hendaklah dia perkahwin,sesungguhnya perkahwinan itu dapat menjaga pandangan mata dan menjaga kehormatan.maka sesiapa yang tidak berkemampuan,hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat mengawal iaitu benteng nafsu"
(Hadith riwayat Muslim)

Firman Allah s.w.t. maksudnya :
“ Dan diantara tanda-tanda (kebesaran)Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri,agar kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya.Dan menjadikan diantaramu rasa kasih dan sayang”.
(Surah ar-Ruum:21)

Dari Abu Hurairah r.a Rasulullah bersabda maksudnya : “ Tiga golongan yang akan selalu di beri pertolongan oleh Allah ialah seorang mujahid yang selalu memperjuangkan agama Allah s.w.t ,seorang penulis yang selalu memberi penawar dan seorang yang menikah demi menjaga kehormatan dirinya”
(Hadis Riwayat Thabrani)

Keempat : Membayar hutang apabila sudah sampai tempohnya.

Keadaan umat Islam menjadi memilukan apabila, aktiviti berhutang menjadi asas kehidupan masyarakat hari ini, ia mungkin tidak pelik bagi mereka yang tidak berkemampuan, tetapi ia telah menjadi kaedah dan teknik yang terbaik (sebagaimana didakwa) bagi mencapai keuntungan tanpa mengeluarkan wang tunai.

Maka lahirlah ramai individu yang berkemampuan untuk membuat pembayaran secara tunai, tetapi masih lagi suka berhutang dalam membeli kereta dan rumah. Hujah mereka mudah sahaja dalam hal ini, iaitu jika bayar tunai maka kita akan rugi. Inilah satu fenomena kurang sihat yang telah di anggap sihat oleh masyarakat hari ini. Ia berpunca daripada kurangnya maklumat berkenaan bahaya hutang dalam keadaan berkemampuan.

Dalam konteks semasa, kita dapat melihat bagaimana ramainya peminjam-peminjam yang enggan membayar hutang pengajian, rumah, kereta dan juga yang lebih rela di gelar muflis asalkan tidak perlu membyara jumlah hutangnya yang menimbun. Ia kelihatan enak untuk tidak membayar hutang di dunia, tetapi ia pasti akan menjadi malapetaka di akhirat. Seorang yang mati syahid tergantung rohnya di antara langit dan bumi kerana hutangnya yang belum dibayar ketika di dunia.

Firman Allah s.w.t maksudnya :
"Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu bermu`amalah tidak secara tunai untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menuliskannya. Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menuliskannya dengan benar. Dan janganlah penulis enggan menuliskannya sebagaimana Allah telah mengajarkannya, maka hendaklah ia menulis"
( Al-Baqarah : 282)

Firman Allah s.w.t maksudnya :
"Dan jika (orang berutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan menyedekahkan (sebahagian atau semua hutang) itu, lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.
( Al-Baqarah : 280 )

Sabda Nabi s.a.w maksudnya : "Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban Syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia)"
(Hadis Riwayat Muslim)

Sabda Nabi s.a.w. maksudnya : "Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya"
(Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Oleh itu sebaik-baiknya janganlah berhutang jika tidak diperlukan, janganlah berhutang semata-mata untuk menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah dengan harta dunia. Jika sudah berhutang dan mempunyai kemampuan maka tunaikanlah secepat mungkin.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud : "Ya Allah, aku berlindung dari kekufuran dan hutang", Mendengar itu seseorang bertanya, " Apakah engkau menyamakan kekufuran dengan hutang wahai Rasulullah ? ; " Benar " Jawab Rasulullah"
( Riwayat An-Nasaie, Ahmad Al-Hakim berkata Sohih dan disepakati oleh Az-Zahabi)

Aisyah r.ha katanya : "Rasulullah s.a.w pernah mendengar orang bertengkar di pintu dengan suara yang tinggi. Tiba-tiba salah seorang dari mereka meminta kepada yang seorang lagi agar memaafkan sebahagian dari hutangnya dan bersikap lemah lembut. Tetapi beliau menjawab: 'Demi Allah! Aku tidak akan memaafkan kamu'. Lalu Rasulullah s.a.w keluar dan bersabda: ' Siapakah yang sungguh-sungguh bersumpah demi Allah tidak akan berbuat kebaikan?' Orang itu berkata: 'Saya, wahai Rasulullah! Tetapi sekarang dia boleh memilih mana yang dia suka (antara melepaskan sebahagian dari hutang atau bersikap lemah lembut)"
(Hadis Riwayat Muslim)

Kelima : Bertaubat apabila berbuat dosa .

Hidup dan mati adalah suratan takdir. Kita tidak mengetahui bila masa saat kematian menjemput kita. Oleh itu apabila kita telah melakukan kesalahan di sebabkan dorongan hawa nafsu yang kita tidak sedari sentiasa menghantui hidup kita, ditambah pula pengaruh kebendaan dan nikmat dunia yang menipu. Maka jalan terbaik adalah segera bertaubat dan memohon keampunan Allah s.w.t. di atas kesalahan dan dosa-dosa yang dilakukan.

Seorang ahli sufi yang bernama Dzun Nun berkata, "Hakikat taubat ialah jika bumi yang luas ini terasa sempit bagimu. Sehingga engkau tidak melihat tempat yang boleh dihuni, dan keadaan ini semakin menyempitkan jiwamu."

Rasulullah s.a.w. pernah menasihati umatnya agar sentiasa bertaubat kepada Allah :
"Wahai sekelian manusia, bertaubatlah kamu kepada Tuhan sebelum kamu mati. Gunakanlah kesempatan yang ada untuk beramal dan berbakti sebelum masa kamu dipenuhi oleh urusan dan kerja. Wujudkanlah satu pertalian antara kamu dengan-Nya, memperbanyakan mengingati-Nya (zikrullah)."

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."
(Surah Al-Baqarah ayat 222)

Tanda kerendahan hati kepada Allah s.w.t. tidak ada ruginya kita bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah s.w.t. kerana kita tidak ketahui mungkin ada tindakan, amalan, perbuatan, pandangan mata dan lintasan hati kita, kita rasa tidak berdosa tetapi disisi Allah ianya berdosa. Alangkah bahagianya jika dalam perjalanan hidup ini kita bersih dari dosa dan kemurkaan Allah kerana lidah tidak putus-putus beristighfar kepada-Nya siang dan malam.

Sahabat yang dimuliakan,
Akhirkata, marilah sama-sama kita segerakan lima perkara di atas supaya kita tergolong dikalangan orang-orang yang menyegerakan kebaikan dalam rangka mencari keredhaan Allah s.w.t. Semoga Allah s.w.t mengampunkan segala dosa-doas kita dan ditempatkan dikalangan hamba-hamba-Nya yang dirahmati.

No comments: