Saturday, February 6, 2010

Perkara-perkara Yang Menyebabkan Solat di Tolak

Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Solat adalah ibadah pokok dan ia merupakan tiang atau tunggak kepada seluruh ibadah-ibadah yang lain sesudah iman. Di akhirat kelak solatlah  diantara ibadah yang akan dihisab dan dinilai lebih dahulu daripada ibadah-ibadah lain. Kalau ibadah solat tidak lulus di dalam pepereksaan Allah kerana beberapa kecacatan akibat beberapa amalan kita yang boleh merosakkan pahalanya, maka ibadah-ibadah lain yang kita lakukan walaupun cantik, banyak dan hebat turut tertolak dan tidak dinilai oleh Allah s.w.t

Orang yang mengerjakan ibadah solat adalah sebagai penentu bahawa ia telah beriman. Orang yang meninggalkan solat ia telah derhaka kepada Allah s.w.t dan telah merobohkan tiang agama. Amat berat hukumnya di sisi Islam orang yang meninggalkan solat fardu tanpa uzur yang dibenarkan oleh syarak.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dalam banyak lagi keterangan hadis dan juga al-Qur'an tentang kepentingan dan kedudukan solat yang diperintahkan oleh Allah kepada setiap orang Islam. Memandangkan betapa besarnya solat ianya begitu penting yang menentukan kedudukan dan nilai seseorang itu samaada  ia dimasukkan ke dalan Syurga atau Neraka serta dimurkai atau dicintai oleh Allah, maka menjadi tanggungjawab kepada setiap kita orang Islam memikirkan serta mengerjakannya secara bersungguh-sungguh dan dengan sempurna.

Disamping itu, kita juga wajib memerhatikan beberapa amalan-amalan kita yang lain yang boleh mencacatkan ibadah solat kita yang kita hendak persembahkan kepada Allah itu agar ia benar-benar cantik, sempurna dan bernilai di sisi Allah s.w.t.

Hakikat solat yang sempurna akan dapat membawa seseorang menolak dan meninggalkan perkara mungkar dan jahat. Kerana kesan daripada solat itu akan membina kekuatan jiwa kepada orang yang bersolat dan berupaya menghindari setiap larangan Allah. Firman Allah s.w.t yang bermaksud ; "Sesungguhnya solat (yang sebenarnya)  itu dapat menghindari diri kamu daripada perkara-perkara jahat dan mungkar."
(Surah Al-'Ankabut ayat 45).

Bila kita lihat realiti yang berlaku di dalam masyarakat kita kenapa ramai yang mengerjakan solat tetapi mereka masih berterusan melakukan maksiat dan kemungkaran? Contoh yang jelas mereka memakan riba atau masih menerima sistem riba walaupun telah ada pilihan bermuamalah secara Islam. Mereka suka melakukan fitnah menfitnah, adu domba, dengki mendengki, masih menipu, mengambil rasuah, mendedahkan aurat, pergaulan bebas , mengurat dan mengumpat.

Sementara itu dalam masa mereka mengerjakan solat, mereka juga mengabaikan kewajipan yang lain iaitu seperti tidak mencari rezeki dari sumber yang halal, tidak menegakkan rumah tangga Islam, tidak mendidik anak-anak kepada akhlak Islam, tidak menjalankan kerja-kerja dakwah mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran, tidak berminat menuntut ilmu fardu 'ain, tidak berdakwah kepada jiran tetangga dan sahabat handai kepada ajaran Islam yang sebenar, tidak bergaulan dan berkasih sayang sesama Mukmin, tidak memenuhi hak-hak umat Islam yang lain dan sebagainya.

Kenapa berlaku demikian? Kenapa ibadah solat masih belum mampu mendidik dan membentuk orang yang melakukan solat itu menjadi insan yang sempurna? Berkemungkinan kerana solat yang dilakukannya itu tidak diterima dan tidak dinilai oleh Allah s.w.t.

Sahabat yang dimuliakan,
Di dalam kitab 'Majmuk Salasi Risaa'il' bahawa ada sepuluh perkara yang kalau dilakukan oleh orang yang melakukan solat menyebabkan solatnya tidak diterima dan ditolak oleh Allah s.w.t. iaitu :

1.Makan minum dan pakaian mestilah daripada sumber yang halal.

2.Hendaklah mengerjakan solat dengan penuh khusyuk. Hati tidak mengingat perkara lain selain daripada menumpukan kepada Allah.

3.Jangan ada rasa di dalam hati perasaan riak, yaini melakukan solat itu kerana selain daripada kerana Allah.

4.Jangan ada sifat takbur kepada makhluk.

5.Jangan melakukan umpatan kepada orang lain.

6.Jangan ada perasaan 'ujub di dalam hati ('ujub ialah merasai diri mempunyai kelebihan daripada orang lain dan menganggap orang lain mempunyai kekurangan. Diri sendiri seharusnya diberi keutamaan bukan orang lain).

7.Jangan ada perasaan suma'ah di dalam hati (suma'ah ialah ingin supaya memperdengarkan atau agar orang lain tahu akan kebajikan dan kebaikan yang ia lakukan dan merasa senang hati kalau ada orang lain tahu).

8.Melakukan amalan kebajikan kerana takut dengan Allah bukan kerana takut kepada Neraka Allah atau harapkan balasan Syurga.

9.Jangan kerana malu kepada makhluk, tapi hendaklah kerana malu dengan Allah yang mendorong kita melakukan ibadah itu.

10.Jangan lakukan ibadah itu kerana mengikut hawa nafsu, yakni melakukan dengan gopoh-gapah, kerana hendaklah cepat selesai atau hendaklah banyak jumlah ibadah, tapi melakukannya secara tidak berakhlak (tidak berhalusi).

Akhirkata, sekiranya kita melakukan solat atau ibadah yang lain, dalam masa yang sama melakukan (mencampurkan) perkara mungkar, lebih-lebih lagi mungkar batin sepertimana yang dijelaskan di atas, maka yang demikian layaklah ia dihina dan dimurkai oleh Allah kerana sikap mencampur-adukkan perkara hak (kebajikan) dengan perkara batil (maksiat) dilarang oleh Allah sendiri.

Apabila Allah murka, maka Allah tidak akan memberi pertolongan dan solat kita tidak dapat memberi kesan bagi merubah diri kita daripada baik kepada buruk.

Oleh yang demikian berusahalah menghindari dan meninggalkan 10 perkara yang mencacatkan pahala ibadah yang menjadi punca ibadah solat kita tidak diterima Allah s.w.t.

Friday, February 5, 2010

Wasiat Kedua Nabi s.a.w (Tentang Tauhid)

Dari Ibnu Abbas r.a. beliau berkata : Suatu hari saya berada dibelakang Rasulullah s.a.w dan baginda bersabda yang bermaksud : "Wahai budak kecil. Aku akan mengajar engkau beberapa ayat : 

Jagalah Allah maka Dia akan menjagamu. 

Jagalah Allah maka engkau akan mendapatkan-Nya sebagai penerangmu. 

Jika engkau minta, mintalah kepada Allah. 

Apabila engkau menghendaki pertolongan, mintalah pertolongan-Nya.

Ketahuilah seandainya umat ini berkumpul untuk memberi manfaat kepadamu tentang sesuatu, maka tidaklah dapat mereka memberimu manfaat melainkan sesuatu yang telah dipastikan oleh Allah kepadamu.

Jika mereka berkumpul untuk membahayakan engkau tentang sesuatu, maka tidaklah dapat mereka membahayakanmu melainkan sesuatu yang telah dipastikan oleh Allah bagimu kerana telah terangkat dan kertas yang ditulis pun dah kering."

(Hadis Riwayat Tirmidzi)

Didalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : " Jagalah Allah, maka engkau akan mendapatkan-Nya di depanmu.

Kenalilah Allah pada masa kesenangan maka Allah akan mengenalimu pada masa kesusahan.

Ketahuilah bahawa sesuatu yang terlepas daripadamu tidak akan mengenaimu dan

yang menjadi bahagianmu tidak akan terlepas daripadamu. 

Ketahuilah bahawa kemenangan itu beserta kesabaran.

Kegembiraan itu sesudah kesusahan. 

Setiap ada kesusahan itu pasti ada kelapangan."

Wednesday, February 3, 2010

Asas Pendidikan Luqman di Dalam al-Qur'an.

Sahabat yang dimuliakan,
Di dalam al-Qur'an terdapat satu surah yang bernama Surah Luqman. Surah ini memaparkan satu kisah mengenai Luqman yang dikurniakan hikmah kebijaksanaan dan rahsia mengenal Allah s.w.t., membanteras syrik, mendorong supaya berakhlak mulia dan menjauhi daripada akhlak tercela yang merupakan tujuan utama mengapa al- Qur'an diturunkan.

Dalam Surah Luqman didapati lapan ayat berturut-turut secara khusus memperkatakan kisah Luqman, dimana tajuk ayat tersebut merupakan isi pengajaran Luqman kepada anaknya. Dari ayat-ayat tersebut dapat diklasifikasi kepada tiga asas utama iaitu Asas Aqidah, Asas Ibadah dan Asas Akhlak.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Untuk mencapai kejayaan di dalam mempelajari pendidikan Islam berdasarkan sistem pendidikan Luqman, ketiga-tiga asaas tersebut perlulah difahami dan menghayat ketiga-tiga asas pendidikan tersebut :

Pertama :  Asas Aqidah,
Persoalan aqidah merupakan isu terpenting dalam kehidupan Muslim . Ini disebabkan aqidah menurut Islam adalah asas bagi binaan Islam pada keseluruhannya. Daripada aspek yang lain ia juga dapat disifatkan sebagai benteng yang paling teguh bagi menjaga dan mengawasi segala bentuk penyelewengan.

Dewasa ini didapati beberapa bentuk penyelewengan berlaku sama ada dari segi pemikiran, percakapan lebih-lebih lagi tingkah laku yang semuanya berpunca daripada ketidakfahaman mereka terhadap asas aqidah Islam  secara mendalam, sedangkan kefahaman tentang aqidah itu merupakan satu tuntutan untuk melahirkan keyakinan dan penghayatan Islam secara menyeluruh.

Asas aqidah yang ditekankan di sini adalah mentauhidkan Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Wahai anak kesayanganku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan satu yang lain),sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar."
(Surah Luqman ayat 13)

Dalam ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Luqman memulai nasihat kepada anaknya supaya menjauhkan diri daripada syirik kepada Allah, kerana jiwa yang suci harus bersih daripada sebarang kerosakan dan kesesatan. Di antara punca kerosakan aqidah adalah syirik. Oleh itu ia hendaklah dijaga daripada syirik agar aqidah sentiasa berada dalam keadaan baik. Kerana kesucian dan kemurniaan aqidah itulah punca segala amalan yang baik.

Syirik adalah sebesar-besar dosa yang dilakukan oleh seseorang kepada Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa (syirik) mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua) dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar."

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah ditanya, yang manakah dosa yang paling besar? Baginda menjawab : "Bahawa engkau jadikan bagi Allah penyerupaan, saingan atau persamaan sedangkan Dia menjadikan engkau."

Kedua : Asas Ibadah,
Konsep ibadah dalam Islam bukan hanya terbatas kepada soal-soal ta'abbudi yang dikenali seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Malah ibadah mempunyai erti yang sangat luas dan mendalam. Ibadah merupakan pengabdian sepenuhnya dan berfungsi menjalinkan hubungan yang berterusan antara hamba dengan Allah. Hubungan ini sebenarnya yang menjadi asas utama pendidikan Islam pada keseluruhannya.

Ibadah dalam Islam merangkumi keseluruhan kehidupan manusia iaitu hubungan manusia dengan Allah s.w.t, hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam dan makhluk Allah yang lain. Setiap perkara yang kita lakukan dan tinggalkan semata-mata kerana Allah dan mencari keredhaan-Nya akan dikira sebagai beribadah kepada Allah s.w.t.

Solat adalah saluran utama hubungan manusia dengan Allah s.w.t. Ia merupakan pancaran yang menghidupkan dan menyuburkan keimanan dalam hati, kerana dengan bersolat seorang akan mengingati Allah melalui segala bacaan yang dibaca sepanjang solat. Dalam solat seseorang akan mengingati hari akhirat, ingat kepada Rasul, Malaikat, seterusnya kepada kitab yang diturunkan kepada Rasul iaitu al-Qur'an. Solat juga dapat mencegah seseorang daripada mengerjakan perbuatan keji dan mungkar. Dengan ini jelaslah kepada kita bahawa solat adalah manisfetasi daripada keimanan kepada perkara-perkara ghaib.

Daripada aspek kejiwaan, solat mendidik seseorang agar mencapai ketenangan jiwa, memberi kekuatan dalaman kepada seseorang untuk menempuh penderitaan hidup di dunia ini. Daripada aspek kesihatan, solat mendidik seseorang supaya menjaga kebersihan, melatih badan supaya cergas dan aktif. Daripada aspek akhlak, solat dapat menyedarkan seseorang terhadap kesalahannya, dapat menghapuskan dosa, dapat mencegah seseorang daripada kemungkaran dan mendidik seseorang supaya berdisplin dengan waktu. Dan yang terakhir daripada aspek kemasyarakatan, solat melahirkan individu yang memiliki kemerdekaan jiwa, kemerdekaan dalam memberi teguran dan pandangan, memupuk persaudaraan dan melahirkan persamaan tanpa mengira pangkat kedudukan, harta kekayaan, mulia dan hina, tua dan muda. Semuanya sama dihadapan Allah.

Ketiga : Asas Akhlak.
Misi Islam sebenarnya ialah pengarahan manusia supaya mencapai nilai-nilai kemanusiaan yang luhur, yang sesuai dengan kemuliaan manusia. Islam sangat mementingkan budi pekerti untuk mewujudkan unsur-unsur kekuatan dan peribadi yang baik, yang akan dapat mempertingkatkan taraf kehidupan di dunia serta keredhaan Allah di sebalik kehidupan sekarang ini. Dalam pendidikan Luqman asas ini ditekankan kepada beberapa perkara pokok iaitu :

1.Berbakti kepada kedua ibu bapa :
Firman Allah s.w.t yang bermaksud, "Dan Kami wajibkan berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapanya, ibunya mengandung dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun, bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu, (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan) "(Surah Luqman ayat 14)

2.Bersifat sabar :
Firaman Allah s.w.t yang bermaksud : "Dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu, sesungguhnya yang demikian itu adalah perkara-perkara yang sangat-sangat di ambil berat untuk melakukannya." (Surah Luqman ayat 17)

3.Tidak takbur dan sombong :
Firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang sombong, takbur lagi membanggakan diri." (Surah Luqman ayat 18)

Takbur ialah sikap jiwa yang merasakan dirinya lebih baik daripada orang lain, samaada orang itu manusia atau jin. Sikap takbur inilah menyebabkan Iblis telah dilaknat oleh Allah s.w.t. dan akan dihumbankan kedalan api Neraka.

4.Kesederhanaan dalam semua perkara :
Kesederhanaan ini berlaku kepada keseluruhan sistem termasuk urusan ibadah. Seseorang Islam tidak digalakkan beribadah sehingga menyeksa diri sendiri kerana setiap diri itu ada hak yang mesti diberikan, seperti mana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "Sesungguh bagi tubuh badan ada haknya yang mesti kamu berikan kepadanya."

Begitu juga dalam urusan membelanjakan harta, Islam tidak menggalakkan umatnya supaya berbelanja secara berlebih-lebihan atau sebaliknya (kikir).

Dalam konteks pendidikan Luqman didapati dua aspek ditekankan iaitu:
Pertama : Sederhana sewaktu berjalan, firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Dan sederhanakanlah langkahmu sewaktu berjalan." (Surah Luqman ayat 19).

Kedua : Sederhana waktu bercakap., firman Allah s.w.t yang bermaksud :  "Lunakkanlah suaramu, sesungguhnya seburuk-buruk suara itu suara keldai." (Surah Luqman ayat 19).

Sahabat yang dirahmati Allah,
Apabila dilihat daripada aspek pengajaran, didapati bahawa Luqman al-Hakim mempunyai pendekatan tertentu tentang pendidikan anaknya. Dan darisegi metodnya pendidikan Luqman mempunyai dua sifat utama iaitu pertama, pendidikan yang bersifat melengkapi dan menyeluruh dan keduanya, pendidikan yang bersifat pemeringkatan dan menurut susunannya tersendiri.

Oleh itu sebagai individu Muslim Mukmin mempunyai tanggung jawab mendidik anak-anak  dan juga generasi umat Islam hari ini maka ambillah contoh dan cara-cara yang dilaksanakan oleh Luqman yang diceritakan kisah beliau dalam al-Qur'an.


                       

Monday, February 1, 2010

Wasiat Pertama Nabi s.a.w. (Keutamaan Kalimah La llaha Illallah)


Dari Abu Hurairah r.a  beliau berkata : Saya bertanya : "Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling bahagia mendapatkan syafaatmu pada hari qiyamat nanti?" Rasulullah s.a.w. menjawab : "Wahai Abu Hurairah, sungguh saya menduga tidak ada seorang pun yang mendahului engkau untuk menanyakan perkara ini, kerana aku melihat minatmu terhadap hadis. Manusia yang paling berbahagia mendapatkan syafaatku pada hari qiyamat nanti adalah orang yang mengucapkan kalimah La Ilaha Illallah dengan ikhlas dari hatinya atau jiwanya."
(Hadis Riwayat Bukhari)

Dari Ubadah bin Shamit r.a, Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud, " Sesiapa naik saksi bahawa Tiada Tuhan melainkan Allah, Tiada Sekutu bagi- Nya dan bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya dan Isa a.s. adalah hamba, utusan dan kalimat-Nya serta roh yang diletakkan Allah ke dalam diri Maryam. Dan sesungguhnya Syurga itu haq (benar adanya), Neraka haq, maka Allah akan memasukkannya ke dalam Syurga ekoran amal yang telah diperbuatnya."
(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Tarmidzi)

Sunday, January 31, 2010

Mengumpat Merupakan Sifat Mazmumah

Sahabat yabg dirahmati Allah,
Lidah merupakan di antara nikmat yang Allah s.w.t. kurniakan kepada manusia. Kerana dengan adanya lidah, dapatlah manusia berhubung di antara satu sama lain. Dan kalau kita perhatikan benar-benar, lidah banyak sekali mendatangkan manfaat kepada manusia. Ia atau tidak, dapat kita mengkaji sendiri.

Di samping berbagai-bagai kebaikan yang diperolehi daripada lidah, banyak juga perkara-perkara yang buruk timbul daripadanya. Ini adalah kerana apabila lidah tidak dipelihara dengan bersungguh-sungguh, maka berbagai-bagai kejahatan akan timbul daripadanya.

Sahabat yang dimulaikan,
Abu Said al-Khudri r.a menceritakan, "Bahawasanya manusia itu apabila berpagi-pagi maka bersegeralah segala anggota kepada lidah. Dan mereka semuanya berkata : 'Kami menuntut kepada engkau dengan nama Allah bahawa engkau benar atas petunjuk, kerana bahawasanya jika engkau lurus, kami akan lurus dan jika engkau bengkok nescaya kami akan bengkok.'."

Salah satu di antara kebinasaan lidah yang jarang disedari ialah sikap suka mengumpat. Mengapakah dosa atau kesilapan ini jarang disedari? Ini adalah kerana perbuatan itu dilakukan pada setiap hari malah setiap waktu di mana-mana sahaja. Sedangkan, sebagaimana yang kita ketahui mengumpat adalah termasuk perbuatan dosa serta dilarang oleh Allah s.w.t. dan juga Rasulullah s.a.w.

Sebenarnya sikap suka mengumpat timbul daripada perasaan hasad dengki seseorang terhadap orang lain. Ini mungkin disebabkan orang lain itu mempunyai beberapa kelebihan yang tidak ada padanya. Atupun sikap ini timbul kerana merasakan dirinya lebih baik dari orang lain. Mungkin juga sikap ini timbul kerana ia melihat berbagai kekurangan terdapat pada orang lain. Samaada kekurangan itu di segi harta, ilmu, pengaruh dan sebagainya.

Sahabat yang dihormati,
Mengumpat atau menyebut kejelekan orang lain atau ghaibah adalah dilarang oleh Allah s.w.t. Begitu juga mengumpat adalah termasuk di antara bencana-bencana lidah yang sangat bahaya selain dari perbuatan dusta. 

Firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah seseorang kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati, tentu sekali kamu benci memakannya. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
(Surah al-Hujarat ayat 12)

Imam Ghazali mengatakan bahawa mengumpat atau ghaibah adalah menyebut sesuatu yang tidak baik terhadap saudara sesama Muslim, yang jika ia dengar ia merasa marah. Samaada ia menyebut tentang kekurangan di dalam agamanya atau kecacatan tubuhnya, anak isterinya, gerak gerinya dan pakaiannya dari segala sesuatu yang berkaitan dengan dirinya samaada disebut dengan lidah, dengan tulisan atau menunjuk dengan jari.

Mengumpat adalah dosa yang amat berat di sisi Allah s.w.t.. Orang yang melakukan perbuatan itu diumpamakan oleh Allah s.w.t. sebagai memakan daging saudaranya yang telah mati. Ini jelas menunjukkan betapa hina dan buruknya perbuatan tersebut. Dan ia dianggap hina kerana menyinggung kehormatan orang lain yang sewajarnya dipelihara.

Jabir dan Abu Sa'id menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, " Awaslah dari mengumpat, kerana mengumpat itu lebih keras dari zina. Sesungguhnya seseorang itu berzina ia bertaubat, maka Allah s.w.t. menerima taubatnya. Dan sesungguhnya seseorang yang mengumpat, tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampuni oleh orang yang diumpat."
(Hadis Riwayat Ibn Abid Dunya)

Jelaslah pada hadis yang tersebut di atas bahawa Allah s.w.t. tidak mengampunkan dosa manusia yang berkaitan dengan diri manusia yang lain. Dia (tukang umpat) sendirilah yang terpaksa menyelesaikan atau meminta dihalalkan dosa mengumpat yang telah dilakukannya terhadap orang yang diumpat. Kalau sekiranya orang yang diumpat itu tidak dapat memaafkan kesalahannya itu, maka hal ini akan dibawa sehingga ke negeri akhirat.

Dari hadis yang lain Abu Hurairah r.a menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, " Tahukah kamu apakah ghaibah? Jawab sahabat, "Allah dan Rasul yang lebih mengetahui. " Maka Rasulullah s.a.w. bersabda , "Ghaibah itu jika kamu menyebut (membicarakan) hal keadaan saudaramu yang tidak suka hal itu disebut atau dibicarakan kepada orang lain, maka itu bererti ghaibah." Lalu Rasulullah s.a.w ditanya," Bagaimana kalau saudaraku itu memang begitu? "Jawab Rasulullah s.a.w " Jika kamu sebut itu benar ada padanya maka itu ghaibah. Tetapi jika ia tidak benar, itu buhtan (membuat kepalsuan untuk memburukkan nama orang lain).

Sahabat,
Bila kita memperkatakan sesuatu yang benar ada pada diri seseorang juga dilarang. Kerana perbuatan itu boleh menyinggung perasaan orang yang diumpat jika didengarinya. Dan sudah menjadi fitrah manusia ia akan mudah tersinggung jika sesuatu keburukan atau kekurangannya disebut oleh orang lain.

Dari Anas bin Malik r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, "Empat perkara yang dapt membatalkan wudhu dan boleh menghapuskan amal iaitu ghaibah, dusta, mengadu domba dan memperhatikan kecantikan yang haram dilihat. Dan semua itu dapat  menyuburkan bibit-bibit kejahatan sebagaimana air  menyuburkan tanaman, dan minum arak itu mengatasi semua dosa-dosa."

Jika seseorang mengumpat orang yang berbuat fasik secara terang-terangan atau ahli bid'ah, maka hal itu mendapat pahala sebab orang lain yang mendengarnya akan menjauhkan diri daripadanya. Ini bertepatan sekali dengan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, "Sebutan kejahatan orang yang melacur supaya orang lain berhati-hati daripadanya."

Dalam realiti kehidupan kita masa kini, budaya mengumpat sudah menjadi amalan kebiasaan, seseorang yang mengumpat ke atas saudaranya sudah tidak merasai satu kesalahan. Malahan keadaan yang lebih teruk daripada ini juga berlaku iaitu suasana fitnah memfitnah. Media masa dan internet telah menjadi alat untuk seseorang menabur fitnah dan mendedahkan keaifan orang lain tanpa merasa takut atas kemurkaan Allah s.w.t. Seolah-olah mereka yang membuat perbuatan dosa ini bahawa mereka tidak akan mati dan di hisab oleh Allah s.w.t. di akhirat nanti. Kadangkala kita yang mendengar dan membaca berita mengumpat dan fitnah ini turut terlibat sama kerana mempercayainya dan menyampaikan pula kepada orang lain.

Apbaila seseorang itu telah terlanjur melakukan perbuatan mengumpat saudaranya sesama Muslim, maka ia hendaklah segera bertaubat dan meminta maaf kepada saudaranya sebelum ia mati atau sebelum orang yang diumpat itu mati.

Akhirkata, marilah sama-sama kita perbaiki akhlak kita, meningkatkan iman dan takwa dan meninggalkan segala sifat mazmumah termasuk mengumpat. Kita bina dan menyambungkan silaturahim dan ukhuwah Islamiyah sesama Muslim dalam rangka kita mencari keredhaan Allah s.w.t. Aqidah dan iman yang kuat sahajalah yang dapat menghapuskan sifat buruk ini dari jiwa kita. Untuk mendapatkan aqidah dan iman yang kuat, kita hendaklah sentiasa mengikuti pengajian-pengajian agama dan majlis-majlis ilmu serta bercampur dengan masyarakat yang berpegang dengan al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah s.a.w dan bersahabat dengan orang-orang soleh.