Friday, November 6, 2009

Jawapan Nabi s.a.w Mengenai Hari Akhirat

Sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. bertanya kepada baginda tentang hari akhirat.

1. Makanan yang menjadi hidangan pertama kali penghuni Syurga :

Diriwayatkan dari Rasulullah s.a.w. bahawa baginda ditanya,"Makanan apakah yang menjadi hidangan pertama kali penghuni Syurga?" Baginda menjawab, "Hati ikan." Ditanya kembali. "Kemudian apa lagi setelah itu?" Baginda menjawab,"Bagi mereka disembelihkan sapi Syurga yang biasa makan di tepian Syurga." Kemudian baginda ditanya lagi, "Apakah minuman mereka?" Maka, baginda menjawab, "Dari mata air Syurga yang bernama Salsabila."
(Hadis Riwayat Muslim).

2. Ketika manusia bertemu Allah s.w.t. di hari akhirat :

Diriwayatkan dari Rasulullah s.a.w. bahawa baginda ditanya, "Apakah yang diperbuat oleh Tuhan kita ketika kita menemui-Nya? Baginda menjawab," Kalian dihidupkan di sisi-Nya, lembaran-lembaran jalan hidup kalian ditampakkan dihadapan-Nya, tidak ada hal sekecil apa pun yang tersembunyi di balik hati kalian. Demi Allah, Tuhan kalian tidak pernah salah sedikitpun dalam menghisab amal kalian. Seorang Muslim mukanya berseri-seri laksana kain yang putih bersih, adapun seorang kafir dihancur-leburkan seperti arang yang berwarna hitam pekat."
(Hadis Riwayat Ahmad).

3. Mata air yang mengalir di Syurga :

Rasulullah s.a.w. ditanya, seperti apakah mata air yang mengalir di Syurga? Maka, baginda menjawab," Mata air dari madu yang murni, sungai-sungai dari khamar (arak) yang tidak menyebabkan mabuk dan penyesalan, sungai-sunagai dari susu yang tidak berubah rasanya, air jernih yang belum berubah dan buah-buahan. Demi Allah, kalian tidak pernah melihat kenikmatan ini di dunia dan tidak ada sedikitpun yang serupa dengannya."
(Hadis Riwayat Ahmad).

4. Isteri-isteri di Syurga :

"Adakah kita akan mempunyai isteri di Syurga?" Maka, baginda menjawab, " Orang-orang yang soleh akan dinikahkan dengan wanita-wanita yang solehah. Kalian akan merasakan kenikmatan sebagaimana isteri-isteri kalian juga akan merasakan kenikmatan waktu di dunia. Perbedzaannya, hubungan intim di Syurga tidak menyebabkan kehamilan."
(Hadis Riwayat Ahmad)

5. Hubungan badan dengan isteri-isteri di Syurga :

"Apakah kita berhubungan badan dengan isteri-isteri kita di Syurga? Maka, baginda menjawab, "Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, seorang lelaki mampu berhubungan badan dengan seratus bidadari pada satu pagi." (Imam Hafidz Abu Abdullah al-Maqdisi mengatakan bahawa perawi hadis ini adalah sahih).

"Apakah ada hubungan badan di Syurga?" Maka, baginda menjawab, "Ya, demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya. Apabila ia telah berdiri dari isteri-isteri-Nya (telah selesai dari hubungan badan), mereka kembali perawan seperti semula." (perawi hadis ini adalah sahih dengan syarat Ibnu Hibban)

6. Makna kata "al-Kautsar."

Diriwayatkan dari Rasulullah s.a.w. bahawa baginda ditanya tentang makna kata "al-Kautsar". Maka , baginda menjawab, "Al-Kautsar adalah sebuah sungai yang dianugerahkan oleh Allah kepadaku di Syurga. Lebih putih dari susu, lebih manis dari madu, terdapat burung yang lehernya seperti leher unta." Para sahabat bertanya, "Alangkah nikmatnya wahai Rasulullah! Maka, baginda bersabda,"Yang memakannya lebih merasakan nikmatnya berbanding yang sekadar mendengar saja."

7. Wanita yang pernah berkahwin lebih dari satu suami di dunia :

Diriwayatkan dari Rasulullah bahawa baginda ditanya , "Seorang wanita yang telah menikah dengan lebih dari dua atau tiga laki-laki, bersama siapakah ia tinggal di antara mereka di Syurga?" Maka, baginda menjawab, "Ia akan memilih yang paling mulia akhlaknya."

8. Penghuni Syurga saling menikah :

"Apakah penghuni Syurga saling menikah?" Maka, baginda menjawab, "Nafsu syahwat mereka tidak pernah putus dan kemaluan mereka tidak pernah lemas serta dorongan seksual mereka sangat kuat sekali."

9. Hubungan dengan isteri :

"Apakah penghuni Syurga juga berhubungan badan dengan isteri-isteri mereka?" Maka, baginda menjawab, " Sangat kuat dorongan seksualnya, tetapi mereka tidak mengeluarkan mani dan juga isterinya."

10. Penghuni Syurga tidak tidur.

"Apakah penghuni Syurga itu tidur?" Maka, baginda menjawab, "Tidur itu bererti mati, penghuni Syurga tidak pernah tidur,"

11. Di Syurga ada kuda dari permata :

"Apakah di Syurga ada kuda?" Maka, baginda menjawab, "Apabila masuk Syurga, kalian disiapkan seekor kuda tunggangan dari permata, yang mempunyai dua sayap, membawa terbang kemanapun kalian kehendaki di Syurga."

12. Wanita dunia lebih mulia dari bidadari :

"Apakah wanita dunia lebih utama dari bidadari yang bermata jelita?" Maka, baginda menjawab, "Wanita dunia adalah lebih mulia dari bidadari seperti keutamaan sesuatu yang nampak dari hal yang tersembunyi."

Lalu ia bertanya kepada Nabi s.a.w, "Hai Rasulullah, apakah yang menjadikannya demikian?" Baginda menjawab, "Kerana solat, puasa, dan ibadah mereka kepada Allah. Maka Allah menghiaskan cahaya di muka mereka dan membalutkan kain sutra pada tubuh mereka. Mereka berkulit putih, berpakaian hijau, perhiasannya kuning, pedupan mereka dari permata dan sisir mereka dari emas. Mereka seraya berkata, "Kita tinggal di Syurga selama-lamanya tidak pernah akan mati, menyelam dalam lautan kenikmatan tidak pernah mendapatkan musibah, dan kami menetap tidak pernah pindah selamanya, kami rela dan tidak pernah benci selamanya. Maka beruntunglah orang yang memiliki kami dan menjadi milik kami."

Kemudian ia bertanya kepada Rasulullah s.a.w., "Seorang wanita di dunia yang telah menikah dua suami, tiga atau empat dan ia meninggal, kemudian ia masuk Syurga dan mereka pun masuk Syurga. Waniat itu tinggal dengan siapakah diantara mereka?" Maka, baginda menjawab, "Hai Umi Salama, ia dipersilakan untuk memilih, kemudian ia memilih di antara mereka yang paling mulia akhlaknya. Lalu ia berkata, "Wahai Tuhanku, sesungguhnya suamiku ini adalah yang paling mulia akhlaknya ketika saya bersamanya di dunia. Maka, nikahkan aku bersamanya," Hai Umi Salamah, akhlak yang mulia akan membawa kebaikan kehidupan dunia dan akhirat."

Nasihat Sayyidina Ali r.a.

Sayyidina Ali bin Abi Talib r.a berkata, " Barangsiapa membereskan hubungan antara dirinya dengan Allah, nescaya Allah akan membereskan hubungan antara dia dan manusia semuanya. Barangsiapa yang membereskan urusan akhiratnya, nescaya Allah akan membereskan baginya urusan dunianya. Barangsiapa selalu menjadi penasihat yang baik tentang dirinya sendiri, nescaya Allah akan menjaganya dari segala bencana."

Allah Penguasa Mutlak

Sahabat yang dirahmati Allah,
Pada Allah-lah hakikat manfaat dan mudarat. Tiada suatu apapun yang dapat memberikan manfaat maupun mudarat melainkan dengan izin-Nya. Allah-lah yang menghina dan Allah-lah yang memulikan. Sesiapa yang dimuliakan Allah, maka dialah orang mulia. Barangsiapa yang dihinakan Allah, sesungguhnya benarlah dia seorang yang hina. Segalanya adalah milik Allah.


Segalanya bersumber daripada khazanah Allah s.w.t.. Khazanah yang tiada batas dan hadnya. Khazanah Allah yang maha luas, seluas Kudrat dan Iradat Allah yang tiada had dan batasnya. Khazanah yang pintunya tidak pernah tertutup dan isinya tidak pernah berkurang.

Jika berhimpun seluruh manusia dan jin daripada yang awal sehingga yang terakhir daripada mereka di satu lapangan, lalu dengan serentak masing-masing berdo'a memohon kepada Allah setiap hajat dan keinginan mereka, dengan bahasa masing-masing yang bermacam-macam lagi berbagai, pasti, pasti dan pasti!. Segala permohonan mereka itu dapat didengar dan dapat difahami oleh Allah s.w.t. Dan jika Allah s.w.t. memakbulkan setiap do'a dan permintaan tersebut, nescaya tidak berkurang satu apa pun daripada Allah s.w.t., melainkan ibarat setitis air daripada lautan yang terbentang luas. Inilah Kudrat Allah, itulah khazanah Allah s.w.t. Di tangan Allah ada Sunnatullah (hukum-hukum peraturan Allah), dan di tangan Allah jugalah adanya Kudratullah (kemutlakan kekuasaan Allah).


Sahabat yang dimuliakan,
Allah s.w.t. Maha Berkuasa di atas setiap makhluk ciptaan-Nya. Harus dan bebas bagi Allah untuk menjadikan atau melakukan sesuatu berdasar asbab (sebab-akibat) dan harus bagi Allah untuk melakukan sesuatu menyalahi asbab. Bahkan harus bagi Allah untuk melakukan sesuatu tanpa asbab. Pisau yang sama di tangan Nabi Ibrahim a.s. mampu membelah batu, tetapi pisau yang itu juga tidak dapat melukakan Ismail r.a. Api yang marak membakar ranting-ranting dan puntung-puntung kayu yang membukit dengan lahapnya, tetapi api yang menggunung itulah yang tidak mampu membakar walau sehelai roma Nabi Ibrahim a.s.


Untuk hidup, kita perlukan udara, air dan makanan, tetapi apakah yang dapat menjadi punca kehidupan kepada Nabi Yunus a.s. selama dia berada sekian hari lamanya di dalam perut ikan Nun? Yang ada hanyalah segala kematian; tanpa makanan dan tanpa minuman dan tanpa udara. Inilah yang dinamakan Kudratullah, yang ada bersama Nabi Yunus a.s. ialah Kudrat Allah, bukan hanya sekadar Sunnatullah lagi. Apabila Allah menginginkan sesuatu itu tidak binasa, ia pasti tidak akan binasa.


Sahabatku,
Walaupun yang ada pada masa itu hanyalah segala asbab kebinasaan. Laut yang sama Allah s.w.t. gunakan untuk menyelamatkan Nabi Musa a.s. dan pengikutnya, dengan laut yang sama juga Allah telah binasakan Fir'aun dan segala bala tenteranya. Manusia pada hukumnya memerlukan pencantuman benih daripada ibu dan bapanya untuk dilahirkan ke muka bumi ini, tetapi siapakah yang telah menjadikan Nabi Isa a.s. tanpa bapa, malah yang menjadikan Nabi Adam a.s. tanpa ibu dan bapa? Dialah Allah, tiada Tuhan melainkan Dia. Dalam genggaman-Nyalah segala sesuatu.


Bagaimana Allah s.w.t. telah menghancurkan tentera Abrahah dengan dihantar-Nya burung-burung yang kecil, membawa bersama-sama mereka batu kerikil yang kecil. Cukup untuk menyebabkan Abrahah dan tentera bergajahnya hancur berkecai, bagai daun yang dimakan ulat. Sedangkan ketika itu Abdul Mutalip dan pemimpin arab tidak berupaya melawan tentera Abrahah untuk mempertahankan Ka'abah.


Oleh itu marilah sama-sama kita mentauhidkan Allah s.w.t. dengan sifat yakin dan sahih. Yakin dengan sebenar-benar-Nya bahawa kesempurnaan, ketunggalan, kehebatan, kebesaran dan kekuasaan Allah s.w.t. darisegi Zat, Af'aal, Asma' dan Sifat. Kalimah 'Laa ilaaha illallah' ini menuntut supaya kita mengosongkan apa jua sesuatu selain Allah daripada hati kita. Hanya Allah dan kesukaan-kesukaan Allah yang layak memenuhi hati kita. Hanya undang-undang dan peraturan hidup daripada Allah s.w.t. sahaja kita terima dan undang-undang lain kita tolak.


Di dalam sebuah hadis Qudsi ada disebut. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, " Wahai hamba-Ku! Hatimu adalah taman-Ku; dan Syurga-Ku adalah tamanmu. Sekiranya engkau tidak bakhil kepada-Ku dengan tamanmu bahkan engkau tempatkan makrifah-Ku di dalam hatimu, nescaya Aku tidak akan bakhil kepada kamu dengan taman-Ku dan Aku akan tempatkan engkau di dalamnya!"


Akhirkata, yakinilah bahawa semuanya berada dalam pengetahuan dan perhitungan Allah s.w.t. Hati kita hendaklah dipenuhi keyakinan, hanya dengan mengikut perintah Allah, kita akan berjaya. Dan apabila melanggar perintah Allah pasti ada kegagalan dan kehinaan. Janji Allah adalah benar. Akhirat adalah benar, Barzakh adalah benar. Mahsyar adalah benar. Syurga adalah benar. Neraka adalah benar. Segala janji Allah pasti akan berlaku kerana sesungguhnya :'Tiada Tuhan melainkan Allah'

Thursday, November 5, 2009

Waspada Terhadap Musuh Islam

Sahabat yang dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang bertakwa. Dan bersyukurlah di atas nikmat Allah yang paling besar lagi tidak terhingga nilainya. Nikmat berada di atas jalan-Nya yang benar iaitu jalan para Nabi dan Rasul. Kita berada di dalam nikmat Islam dengan pilihan Allah. Sesiapa yang menolaknya maka padahlah hidupnya dan akan rugilah dia di akhirat kelah.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, " Barangsiapa yang mencari selain Islam sebagai Deen (sistem hidup) maka ia tidak diterima dan dia di akhirat kelak bersama mereka yang rugi."
(Surah Ali-Imran ayat 83)

Sahabat yang dimuliakan,
Jadikanlah Islam itu sebagai cara hidupmu kerana sesungguhnya Islam menjanjikan keselamatan dan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Ingatlah bahawa sesungguhnya musuh-musuh Islam tidak akan senang melihat umat Islam berpegang teguh kepada ajaran agamanya. Mereka akan mencari jalan untuk memesungkan dan menyesatkan ke jalan yang batil mengikut telunjuk mereka.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "Mereka (musuh-musuh Allah) berusaha untuk memadam cahaya Allah (Deen Allah) dengan mulut-mulut mereka (diayah-diayah mereka) dan Allah tidak rela kecuali menyempurnakan cahaya Islam walaupun dibenci oleh orang-orang kafir."
(Surah At-Taubah ayat 32).

Usaha memadamkan cahaya Allah telah berlaku sepanjang sejarah hidup manusia di atas muka bumi ini sejak nabi-nabi dan rasul-rasul dahulu kala lagi hingga ke zaman Baginda Rasulullah s.a.w., di zaman Khulafah Ar-Rashidin hingga sekarang dan akan terus dicuba dan ditentang hingga hari Qiyamat.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "Sebahagian besa Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) sungguh ingin dapat mengembalikan kamu kepada kekufuran setelah kamu beriman kerana timbul rasa hasad dengki dari dalam hati mereka setelah jelas kepada mereka kebenaran."
(Surah Al-Baqarah ayat 109)

Ini adalah persaksian Allah tentang sikap permusuhan orang-orang kafir terhadap orang-orang Islam, tidak kira apa juga kedudukan mereka samaada Yahudi, Nasrani, Majusi, Buddha atau Hinduni dan sebagainya. Sebab itu Rasulullah s.a.w. barsabda yang bermaksud, "Kekufuran itu satu pegangan."

Sahabat yang dihormati,
Salah satu bekas Perdana Menteri British ada membuat kenyataan katanya, "Barat sekali-kali tidak dapat menguasai timur atau barat sendiri tidak akan aman selagi mana Al-Qur'an berada di tangan orang-orang Islam."

Kenyataan yang sama di buat oleh Pesuruhjaya Perancis di Algeria di bawah jajahan mereka barkata, "Kita tidak akan menang dalam peperangan menentang orang-orang Algeria selagimana mereka membaca Al-Qur'an Al-Karim dan bercakap dengan bahasa Arab. Oleh itu kita perlu hapuskan Al-Qur'an daripada kehidupan mereka dan hapuskan bahasa mereka."

Maksud mereka "menghapuskan Al-Qur'an daripada kehidupan orang Algeria" bukanlah menghapuskan naskhah Al-Qur'an yang mereka baca tetapi menghapuskan roh Al-Qur'an di dalam kehidupan mereka. Menghapuskan Al-Qur'an daripada menjadi manhaj hayah (cara hidup) mereka.

Kenalilah musuh-musuh yang berada disekelilingmu, yang membawa berbagai-bagai pengaruh yang menyesatkan. Membawa masuk filem-filem barat, muzik-muzik rock, program-program hiburan-hiburan yang melampaui batas akhlak Islam (pergaulan bebas lelaki dan wanita) dan berbagai gejala sosial lain (arak, merokok dan berjudi) dan sebagainya.

Sahabat,
Pertelagahan antara haq dengan batil adalah menjadi sunnah hidup manusia di alam duniawi ini. Kebatilan dan kekufuran tidak senang dengan kebenaran yang dibawa Islam. Allah s.w.t. memperingatkan kita supaya berjaga-jaga jangan cuba terpengaruh dan ikut cara hidup orang-orang kafir nanti kita akan ditimpa kerugian yang besar.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "Wahai orang yang beriman jika kamu mentaati orang kafir mereka akan mengembalikan kamu kepada kekufuran dan kamu akan rugi."
(Surah Ali-Imran ayat 149).

Ingatlah! Musuh-musuh Islam telah menggunakan berbagai-bagai tektik dan cara dalam usaha mereka untuk menghancurkan umat Islam. Mereka menyerang Islam dan umatnya dengan senjata dan askar-askar, pemikiran dan ideologi serta akhlak dan kebudayaan. Semua bentuk serangan yang tersebut telah mendatangkan kemenangan kepada mereka. Umat Islam kalah dalam peperangan pemikiran dan ideologi dan kalah dalam serangan akhlak dan kebudayaan.

Lihatlah kepada reliti yang berlaku dinegara-negara Islam. Mereka diserang dan dijajah baik dengan kekuatan tentera atau kekuatan ekonomi atau kekuatan media elektronik dan sebagainya.

Bangunlah wahai pemuda Islam!
Musuh-musuh Islam menggunakan tektik dan tipu helah secara halus atau kekerasan. Mereka menghalang umat Islam membina kekuatan sendiri supaya tidak dapat memerintah dan memimpin manusia kearah keredhaan Allah. Orang-orang Mukmin perlu memiliki kekuatan dalam berbagai bidang bagi melayakkan mereka memimpin dan sekali gus menyelamatkan manusia sejagat dari kesesatan di bawah pimpinan jahiliah yang penuh engan angkara kezaliman di serta pelusuk dunia.

Oleh itu beristiqamahlah kamu dengan Islam walaupun dimana kamu berada, dan bersatulah dengan Jemaah Islam untuk menyusun strategi bersama-sama mendaulatkan Deen Islam dimuka bumi Allah ini.

Wednesday, November 4, 2009

Kita Pengemis Nur Illahi

Kita adalah pembawa roh dari ufuk ke ufuk.
Yang terpenjara dalam penjara hitam pekat nafsu.
Kita hanyalah pengemis Nur Illahi yang sering kali tewas dalam membersihkan cermin rohani.
Yang kalah dalam kesibukan duniawi.
Yang berperang dengan ego sendiri.
Kebahagiaan dan kenikmatan dalam mengingati Allah itu sebenarnya adalah milik-Nya, bukan milik kita.
Sebaliknya, bersyukurlah di atas keizinan berzikir yang di kurniakan kepada kita.
Sesungguhnya istiqamah kita di dalam berzikir juga merupakan satu karomah.

Apabila roh sering didedahkan kepada undur-unsur batil, sensitifnya pada haq pasti akan hilang.
Dalam masa yang sama, kita merasakan diri mula menghitung permata yang dulunya pernah kita miliki.
Hakikatnya bukan satu kehilangan. Ianya tanda kasih sayang Tuhan kerana kita mungkin akan dianugerahi sesuatu yang lebih baik.

Walaupun roh diselubungi karut dosa, namun yakinlah...rahmat Allah masih ada.
Walaupun terlalu payah rasanya, tazkirah dan didikan Allah itu, ibarat air yang mengalir.
Hakikatnya, kita memang tidak dapat lari dari semua itu, kerana, pada setiap denyut nafas manusia itu ada ketaatan atau maksiat, nikmat atau bala.
Setiap nafas itu menjadi satu wadah untuk terjadinya ketetapan Allah.
Oleh itu, kembalilah sebelum diri makin lupa arah rumahnya dan menjadi tidak terhingga rasa jauhnya.

(Dipetik dari Majalah Irsyad tulisan Wan Nor Asiah, Sabah)

Hakikat Diri Manusia

Sahabat yang dirahmati Allah,
Manusia adalah makhluk yang paling mulia, melebihi kedudukan para malaikat dan makhluk-makhluk yang lain. Ia dijadikan sebaik-baik kejadian. Bukan kerana faktor fizikal dan anggota lahiriah semata-mata, tetapi kerana ia mempunyai jiwa atau roh, yang datang dari alam ghaib atau alam ke Tuhanan yang membolehkan ia berhubung terus dengan Allah, Tuhan yang menciptanya.

Hari ini ramai manusia yang derhaka kepada Allah, lupa asal usulnya. Kalau mereka yang kufur itu, ia tidaklah menghairankan sangat tetapi mereka yang diutuskan Rasul dan Kitab terus menerus berada didalam keadaan menderhakai Allah. Malah ada yang cuba berlagak menjadi Tuhan, melawan sistem dan peraturan Tuhan. Maka jadilah kehidupan manusia itu sentiasa berada di dalam kemurkaan Allah.

Sahabat yang dimuliakan,
Manusia seperti ini, termasuk diri kita sendiri perlu disedarkan kembali tentang asal usul kita, siapa kita yang sebenarnya? Dari mana asal kita?
Ingatlah! Kita sebenarnya berasal dari alam roh dan diturunkan ke dunia untuk menjadi hamba Allah, mengabdikan diri kepada-Nya.

Apabila membicarakan persoalan mengenai hakikat diri manusia, ia tidak boleh lari dari perbincangan mengenai hati atau roh. Ini kerana dalam Al-Qur'an dan hadis Nabi s.a.w., kemuncak pembicaraan mengenai manusia ialah mengenai kalbu (hati). Kadangkala ia disebut jiwa atau roh.

Manusia akan dapat hidup dan bernafas apabila roh berada di dalam jasad manusia, tetapi apabila roh keluar dan berpisah dengan jasad manusia, maka jadilah jasad manusia seperti tunggul kayu yang menunggu hancur dan reput.

Apabila manusia dilahirkan didunia, roh yang berada pada jasad manusia masih bersih dan berada di dalam keadaan fitrah. Apabila manusia membesar sedikit demi sedikit, persekitarannya samaada ibu bapanya, keluarganya, rakan-rakannya, masyarakatnya dan teknologi di dunia yang ada akan mempengaruhi hidupnya. Apabila suasana iman dan Islam mempengaruhi hidupnya maka jadilah ia insan kamil yang baik akhlak dan beriman. Tetapi apabila susana jahiliah dan maksiat yang mempengaruhi sebahagian besar hidupnya maka jadilah ia manusia yang kufur dan derhaka dan akan mengotori rohnya sendiri.

Roh datang dari alam ghaib (alam al-amr) ke alam nyata (di dunia) dan akan kembali ke alam ghaib pula (alam akhirat). Ia ditumpangkan ke alam dunia ini tempat sementara kerana ada tujuannya iaitu sebagai ujian. Ia datang dari alam kejadian Tuhan yang aneh (alam ruhaniah) yang tidak menerima binasa dan fana selama-lamanya. Ia akan menanggung rasa bahagia atau celaka di akhirat. Ia sudah mengenali Tuhan di alam arwah sebelum benda-benda ini dijadikan. Ia sudah hidup, melihat, mendengar, bercakap dan seterusnya bersifat dengan sifat ma'ani sebelum ia bercantum dengan tubuh badan kasar manusia.

Sahabatku,
Roh ini yang digelar fitrah Allah (tabiat semulajadi untuk menerima agama dan rasa berTuhan) yang sudah mengenali dan mengetahui agama-Nya dengan tidak payah atau mentelaah kitab di alam arwah, yaini ia sudah mengenali segala-galanya sebelum ia dihantar atau dicantum dengan alam kasar ini. Malah ia pernah mengaku dan menyaksikan di alam arwah bahawa Tuhan Yang Maha Esa itu ialah Allah.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "Tidakkah Aku ini Tuhan kamu? Mereka menjawab; Bahkan kami menyaksikan!"
(Surah Al-'Araf ayat 172)

Ialah juga dijadikan sebab diutusnya para Rasul ke alam dunia ini untuk mengawasi dan mengingatkan kembali mengenai perkara-perkara agama yang manusia telah mengetahuinya ketiaka di alam arwah dahulu, mudah-mudahan supaya manusia tidak mengotorkan fitrahnya, malah hendaklah sentiasa bersih dari awal hingga akhir.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, " Dialah fitrah yang Allah jadikan sesuai pada manusia, tidak dapat diubah-ubah lagi pada kejadian Allah, itulah agama Allah yang betul"

Adapun orang-orang yang tidak menerima agama Allah yang disampaikan para Rasul di dunia ini, maka itulah tandanya mereka sudah mengotori fitrah bersih mereka yang sebenar dan ia sudah tercemar. Dengan itu mereka berhak medapat gelaran kufur di sisi Allah dan sewajarnya mereka akan kekal di dalam Neraka. Na'udzubillahimindzalik.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "Dan Aku tidak jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku."
(Surah Adz-Dzariyat ayat 56).

Oleh itu marilah kita sama-sama kembali mengaku dengan sedar hakikat sebenar diri kita sebagai manusia yang diciptakan oleh Allah s.w.t. Bersihkanlah hati dan jiwa kita dari segala bentuk kotoran sifat-sifat mazmumah dan suburkan ia dengan sifat-sifat mahmudah, sekiranya ia berlaku insya Allah akan bersihlah roh kita, dan kita akan kembali kepada fitrah yang asal dan ketika itu tidak akan ada hijab kita dengan Allah s.w.t. Jiwa kita dapat merasai keagongan Allah s.w.t. dan lahir rasa cinta dan kasih kepada-Nya.

Tuesday, November 3, 2009

Tanggungjawab Seorang Muslim

Sahabat yang dirahmati Allah,
Allah telah menyimpulkan tanggungjawab seorang Muslim dalam beberapa ayat Al-Qur'an. Setelah itu Allah mengulanginya dalam beberapa ayat yang lain. Ayat yang merangkumi tanggungjawab Muslim dalam hidup ini.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Hai orang-orang yang beriman, rukuklah, sujudlah, sembahlah Tuhanmu dan perbuatlah kebajikan, supaya kamu mendapat kemenangan. Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia (Allah) telah memilih kamu dan Dia tidak menjadikan untukmu suatu kesempitan dalam agama. (Ikutlah) Agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamakan kamu sekelian orang-orang Muslim dari dahulu dan begitu pula dalam (Al-Qur'an) ini, supaya Rasul menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia. Kerana itu, dirikanlah solah, tunaikanlah zakat dan berpeganglah pada tali Allah. Dia adalah pelindungmu, maka Dialah sebaik-baik pelindung dan penolong."
(Surah Al-Haj ayat 77-78)

Sahabat yang dimuliakan,
Firman Allah ini amat jelas. Tidak mengandungi sebarang kekeliruan atau kesamaran. Tidakkah orang Islam mendengarnya sebelum ini? Ataupun mereka mendengarnya tetapi hati mereka terkunci sehingga mereka tidak menyedari dan tidak mengambil pengajaran.

Allah memerintahkan orang-orang Islam rukuk dan sujud, memerintah mereka mendirikan sembahyang yang menjadi intipati dari segala ibadat, tiang agama dan perlakuan lahiriah yang paling nyata. Memerintahkan mereka melakukan kebajikan sekadar kemampuan mereka. Sewaktu memerintah mereka melalui kebajikan, Allah melarang mereka dari kejahatan. Awal-awal kebajikan yang dapat kita lakukan ialah dengan meninggalkan kejahatan. Setelah itu Allah menjamin pula kejayaan, kemenangan dan kelulusan untuk mereka. Inilah tanggungjawab tiap-tiap Muslim yang wajib dilakukan secara bersendiri atau secara berjemaah.

Kemudian setelah itu, Allah memerintahkan pula mereka supaya berjihad pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya untuk menyebarkan dakwah dan menerangkannya kepada seluruh manusia dengan hujjah dan dalil. Berjihad untuk menyebarkan dakwah adalah merupakan suatu kewajipan yang diwajibkan Allah kepada umat Islam sebagaimana Allah mewajibkan puasa, sembahyang, haji, zakat, melakukan kebajikan dan meninggalkan kejahatan. Allah mempastikan umat Islam berjihad dan menyeru mereka melakukannya. Tidak seorangpun yang dikecualikan sekiranya beliau mempunyai kemampuan.

Sahabat yang dikasihi Allah,
Setelah menerangkan perintah ini Allah menjelaskan kepada umat Islam. Allah menerangkan bahawa Dia memilih mereka supaya mereka menjadi pemimpin makhluk, memegang amanah syariat-Nya, menjadi khalifah dibumi ini dan menjadi pewaris Nabi s.a.w. dalam dakwahnya. Inilah tanggungjawab secara berjemaah yang mana Allah menyeru seluruh umat Islam melakukannya supaya mereka menjadi satu barisan, satu ketumbukan yang kuat, supaya mereka menjadi hamba-hamba yang ikhlas yang bakal menyelamatkan seluruh manusia dan menunjukkan kepada mereka jalan yang lurus.

Setelah itu, Allah menerangkan kepada manusia hubungan antara kewajipan individu dengan kewajipan kemasyarakatan. Dengan penjelasan ini manusia tidak lagi mempunyai alasan untuk meninggalkan kewajipan peribadi dengan alasan mereka telah melakukan kewajipan berjemaah. Mereka yang lain pula, tidak akan mempunyai alasan meninggalkan amal secara berjemaah dengan mangatakan mereka sibuk dengan amal ibadat peribadi.

Sahabatku,
Marilah sama-sama kita beribadat kepada Allah, tunaikan zakat dan berjihad dijalan Allah demi menegakkan agama-Nya. Marilah kita daulatkan syariat Islam dalam masyarakat. Tanggungjawab ini semua adalah tanggungjawab kita bersama. Sekiranya kita tunaikan tanggungjawab ini kita akan mendapat kejayaan di sisi Allah s.w.t. Ingatlah balasan Syurga menanti untuk orang-orang yang beriman dan bertakwa yang melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t ketika di dunia ini.

Jawapan Si Mukmin Kepada Syaitan

Kenapa aku diuji?
Jawapannya : "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan : 'Kami telah beriman.' sedangkan mereka belum diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar, dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta'."
(Surah Al-Ankabut ayat 2-3)

Kenapa masih tak dapat apa yang aku impikan?
Jawapannya : "Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, pada hal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
(Surah Al-Baqarah ayat 216)

Kenapa aku mendapat ujian seberat ini?
Jawapannya : "Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya."
(Surah Al-Baqarah ayat 286)

Rasa kecewa?
Jawapannya : "Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman."
(Surah Ali-Imran ayat 139)

Bagaimana harus aku menghadapinya?
Jawapannya : "Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (mengahadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan)."
(Surah Ali-Imran ayat 200)

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang, dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk."
(Surah Al-Baqarah ayat 45)

Apa yang aku dapat daripada semua ini?
Jawapannya : "Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang Mukmin, diri, harta mereka dengan memberikan Syurga untuk mereka."
(Surah At-Taubah ayat 111)

Kepada siapa aku mengharap?
Jawapannya : "Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dari-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal."
(Surah At-Taubah ayat 129)

Aku sudah tak dapat bertahan lagi!
Jawapannya : "...dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir."
(Surah Yusof ayat 12)

Monday, November 2, 2009

Umat Islam di Serang Dengan Budaya Maksiat

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hari demi hari dunia makin berkembang. Kehidupan manusia turut berubah. Usia manusia dan zaman juga pastinya mengalami peralihan. Faktor yang mempengaruhi kehidupan setiap individu semakin pelbagai dan rumit. Ini termasuklah wujudnya anasir yang baik dan anasir yang negatif saling mewarnai kehidupan anak Adam. Mungkin kerana itulah adanya pahala dan dosa, juga adanya Syurga dan Neraka.

Sahabat yang dimuliakan,
Jika anasir baik yang menguasai perkembangan dunia dan peralihan usia, tidak menjadi soal dan kerisauan. Sebaliknya, apa yang menjadi tanda tanya ialah pengaruh yang merosakkan bergerak aktif meresap ke dalam kehidupan seharian kita.

Di samping individu atau tokoh tertentu yang mempengaruhi corak hidup masyarakat, khususnya anak muda, faktor media juga memainkan peranan itu. Semua bentuk media, samaada majalah, akhbar, televisyen, radio, telefon bimbit, internet dan seumpamanya cukup kuat dalam menerapkan budaya hidup lucah dan sumbang mahram, terutama dalam kehidupan generasi muda.

Sebagai orang yang akan merasakan dirinya bakal bertemu dengan Allah dan menamakan dirinya Muslim, kita perlu serius melihat persoalan ini. Ini kerana, semua anasir yang sengaja dicipta ini tidak lain, bertujuan merosakkan peribadi generasi umat Islam, yang dilebel di atas nama hiburan atau keseronokan. Sama ada kita sedar atau tidak, tahu atau tidak, insaf atau tidak, agen-agen perosak ini terus berleluasa.

Sahabat yang dikasihi Allah,
Apakah segala bentuk kerosakkan ini berpunca dari teknologi? Kehidupan pada hari ini tidak boleh di pisahkan dengan teknologi termasuk yang menguasai semua bentuk media. Sebaliknya, apa yang wajar kita lakukan ialah waspada dan menyediakan benteng ketahanan diri untuk menghadapi semua kemajuan ini. Anak-anak muda perlu di berikan kesedaran mengenai akibat buruk dan baik yang di bawa oleh satu-satu teknologi itu.

Malah, kesedaran sebenar yang perlu diberi kepada mereka ialah kesedaran dan kefahaman Islam yang tulin. Dalam dunia hari ini ramai orang bercakap tentang Islam, tapi nak cari Islam yang sebagaimana Rasulullah s.a.w. bawa (tulin) agak sukar. Kita kena banyak berfikir dan mengkaji. Semua kemajuan yang datang mestilah diselaraskan dengan ajaran Islam. Setiap yang tidak menepati syariat hendaklah dijauhkan segera. Carilah apa yang Allah suka kelak kita tidak akan menyesal.

Sahabat,
Oleh itu marilah kita gunakan sepenuhnya usia, masa, kesihatan, kemampuan dan peluang yang ada untuk membaiki kehidupan umat Islam. Pastikan tidak sibuk dengan perkara-perkara yang tidak ada kaitan dengan hidup sebagai seorang Muslim. Pendik kata, semua masa itu di gunakan untuk memperbaiki akhlak umat Islam seperti mana yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Sepatutnya, apabila usia meningkat amal Islami pun makin bertambah. Bukan sahaja meningkat dari segi kuantiti tetapi juga sekaligus kualitinya. Oleh itu, kemampuan, kelapangan dan kesihatan yang Allah s.w.t. kurniakan sepatutnya dapat meningkatkan keelokan Islam seseorang.

Dalam hal ini , Nabi s.a.w telah mengingatkan kita dengan sabdanya yang bermaksud, "Keelokan Islam seseorang ialah meninggalkan barang yang tidak berguna kepadanya." (Hadis Riwayat Tirmizi). Ini bermakna kita tak sepatutnya sibuk dengan perkara-perkara yang tiada kaitan dengan kebaikan hidup di dunia dan di akhirat. Sesuatu yang tidak berguna itu meliputi perkataan sia-sia dan juga perbuatan kosong yang menghabiskan masa serta umur secara percuma. Ruginya kita apabila umur bertambah, tapi amal masih sedikit. Bahkan yang sedikit inipun tidak elok atau kurang berkualiti.

Nabi Musa a.s. pernah menyebut bahawa masa orang yang berakal itu ada empat. Pertama, masa untuk bermunajat kepada Tuhannya. Kedua, saat untuk menghitung diri. Ketiga, saat untuk memikirkan perbuatan Allah dan keempat, saat untuk urusan hajat serta makan minumnya. Orang yang berakal juga tidak berusaha atau sibuk melainkan untuk akhiratnya, untuk kehidupan dan berlazat dengan benda yang tidak haram.

Sahabat yang dihormati,
Oleh itu dalam kesempatan ini marilah kita merenung diri masing-masing samaada kesibukan kita itu pada perkara yang menguntungkan kita di dunia dan di akhirat atau sebaliknya, tertipu. Sebab itu kegairahan kita menjalani kehidupan ini perlu seimbang di antara rohani, akal dan jasad. Untuk itu, kita seharusnya berusaha supaya kesibukan kita adalah untuk mencukupkan bekal menuju Allah s.w.t. Jika kita sibuk berusaha, biarlah apa yang kita usahakan dan cari itu menambahkan kualiti Islam dan takwa kita. Bukan pula kuantiti kerja atau amal yang tidak diterima atau dinilai oleh Allah s.w.t.

Tanggungjawab Isteri Solehah

Sohibah yang dirahmati Allah,
Wanita yang solehah adalah wanita yang beriman kepada Allah s.w.t. dan rukun-rukun Iman yang lain. Mempunyai akhlak yang mulia, hati yang bersih daripada sifat-sifat mazmumah dan sentiasa melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu yang solehah untuk memastikan rumahtangga yang terbina adalah rumahtangga Islam (baitul Muslim). Semua masa dan waktunya dipergunakan dengan sebaik-baiknya untuk mencari keredhaan Allah s.w.t.

Sohibah solehah yang dihormati,
Di dalam Al-Qur'an dan hadis Nabi s.a.w. terdapat beberapa tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh setiap isteri yang solehah. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :
1. Sentiasa malu kepada suami.
2. Menutup keaifan suami dan tidak menceritakan kepada orang lain.
3. Mentaati perintah suami dan tidak suka berbalah dengan suami.
4. Diam ketika suaminya sedang berbicara.
5. Berdiri ketika suaminya pulang dan ketika keluar.
6. Dekatkan dirinya kepada suaminya (ketika tidur).
7. Memakai wangi-wangian hanya untuk suami.
8. Memelihara mulutnya dengan bersugi dan dengan bau-bauan yang harum.
9. Sentiasa berhias di hadapan suami.
10. Tidak berhias ketika suami tidak ada.
11. Tidak berkhianat kepada suaminya ketika tidak ada ditempat tidur.
12. Menghormati keluarga suami dan kerabatnya.
13. Merasa puas dan bersyukur jika di beri sedikit oleh suami.
14. Tidak menolak ajakan suami (untuk bersanggama).
15. Tidak boleh berpuasa sunat kecuali mendapat keizinan daripada suami.
16. Tidak boleh keluar rumah kecuali mendapat keizinan daripada suami.
17. Tidak membenarkan masuk ke dalam rumah orang yang tidak diredhai oleh suami.
18. Memelihara harta suami.
19. Tidak berbicara kepada setiap orang dengan perkataan yang lunak.
20. Menjauhkan diri dari tempat-tempat yang jelek.
21. Mampu melahirkan ramai anak.
22.Wanita yang kematian suami dan ia mempunyai anak-anak yang masih kecil, lalu ia mengekang dirinya hanya untuk mengurusi anak-anaknya dan mendidik mereka serta memperlakukannya dengan baik.
23. Tidak mengadu domba dan mengumpat.
24. Memelihara auratnya.
25. Tidak menyakiti suaminya.
26. Mengutamakan solat di rumah dari di masjid kecuali untuk mengikuti majlis ilmu dengan izin suaminya.
27. Tidak memakai perhiasan yang berlebihan ketika keluar rumah.
28. Tidak berjalan dengan gaya yang jelek.
29. Suaminya merasa senang dan rasa kasih apabila memandangnya.
30. Menahan pandangan (tidak liar pandangannya).
31. Mendidik anak-anak dengan iman dan takwa.
32. Banyak bersabar dalam menempuh segala kesusahan dan ujian Allah, dan dalam mengerjakan perintah-perintah Allah.
33. Menjaga rahsia suami dan tidak menceritakannya walaupun kepada ibu bapanya.

Sekiranya setiap wanita Islam yang telah berumahtangga, yang ingin mendapat keredhaan Allah s.w.t. di dunia dan di akhirat perlulah memiliki ciri-ciri sebagai isteri solehah seperti yang di nyatakan di atas. Wanita yang derhaka kepada suaminya dan tidak mempunyai alasan yang dibenarkan oleh syarak maka jika ia mati (tidak mendapat keampunan dari suaminya), maka ia tidak akan dapat mencium bau Syurga. Terdapat ramai dikalangan ahli Neraka adalah terdiri daripada kaum wanita, salah satu kesalahan mereka adalah kerana derhaka kepada suami.

Oleh itu bersiapkanlah diri kalian untuk menjadi wanita solehah iaitu isteri dan ibu solehah kerana sesungguhnya redha Allah bergantung kepada redha suami kepadamu.