Saturday, November 14, 2009

Tanggungjawab Muslim Kepada Saudaranya.

Daripada Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. baginda telah bersabda yang maksud :
“Barangsiapa yang meringankan kesusahan seorang Mukmin di dunia, maka Allah s.w.t. akan meringankan satu kesusahan daripada kesusahannya di Hari Qiyamat.

Barangsiapa yang memudahkan (membantu membayar hutang) orang yang mendapat kesusahan (berhutang) maka Allah s.w.t. akan memudahkan baginya di dunia dan di akhirat. Allah menolong seorang hamba selagi hamba itu menolong saudaranya.

Barangsiapa menempoh jalan untuk mencari ilmu, Allah s.w.t. akan memudahkan baginya jalan ke Syurga. Tidaklah satu kaum berkumpul di satu rumah dari rumah-rumah Allah, mereka membaca al-Qur’an dan mempelajarinya bersama-sama kecuali sakinah (ketenangan) akan turun kepada mereka, rahmat akan meliputi mereka dan malaikat mengelilingi mereka dan Allah s.w.t. memuji mereka di hadapan para malaikat-Nya.

Barangsiapa yang amal solehnya sedikit, maka nasab (keturunan)nya tidak boleh mengangkat darjatnya.”


(Hadis Riwayat Muslim)

Rezeki : Antara Janji Allah dan Usaha Manusia

Sahabat yang dimuliakan Allah,
Setiap kali kita menghadapi makanan dan minuman, kita berdo’a kepada Allah agar di berikan barakah dari rezeki yang akan kita santapi. Setiap kanak-kanak Muslim juga di ajari sejak dari Tadika lagi untuk berdo’a sebelum makan. Barakah dari rezeki itulah yang kita hajatkan.

Setiap manusia menghabiskan sebahagian besar dari waktu dan umur untuk mencari rezeki. Berusaha mencari rezeki, apabila ikhlas niat dan dilaksanakan dengan mengikut jalan-jalan yang halal adalah ibadah kepada Allah. Dalam mencari rezeki juga , dapat menguatkan aqidah seorang Muslim, Allah s.w.t. adalah pemberi rezeki. Salah satu nama Allah adalah al-Razzak… iaitu Pemberi Rezeki. Banyak perkara di dunia ini dipermudahkan oleh Allah s.w.t. untuk manusia, agar di gunakan dalam usaha mencari rezeki. Oleh itu jangan sampai kita lupa kepada Allah s.w.t. apabila kita telah mendapat nikmat dari-Nya.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Terdapat satu kisah dizaman tabi’in, seorang wanita dan beberapa orang anak-anaknya menjadi perhatian orang ramai terutama kaum wanita yang berkerumun di rumahnya. Semua yang hadir menampilkan wajah yang redup menggambarkan kesedihan yang mendalam. Rumah itu adalah rumah salah seorang tabi’in yang syahid dalam pertempuran. Orang ramai yang hadir ingin mengucapkan takziah kepada isteri tabi’in itu. Sebahagian dari mereka merasa khuatir terhadap nasib isteri dan anak-anak tabi’in yang syahid itu. Tanpa disedari terlahir kata-kata dari salah seorang wanita dari mereka :”Bagaimana nasib dia dan anak-anaknya nanti. Siapa yang akan memberinya makan dan pakaian…”

Mendengar kekhuatiran wanita itu, isteri tabi’in itu menjawab dengan nada yang tegas dan yakin : “Setahu saya, suami saya adalah pemakan (rezeki Allah) dan bukan pemberi rezeki. Maka jika pemakan (rezeki) itu tiada maka Pemberi rezeki pasti tetap ada.”

Keyakinan bahawa hanya Allah yang mengurniakan rezeki kepada manusia dan seluruh makhluk adalah hasil dari Tauhid Rububuyyah. Ini bermakna ikrar dan pengakuan bahawa Allah adalah Rabbul ‘Alamin (Tuhan sekelian alam) secara otomatik mesti bermaksud keyakinan hanya Allah saja Pemberi rezeki. Tanpa keyakinan ini bermakna seseorang tidak memiliki Tauhid Rububuyyah manakala tanpa tauhid ini bagaimana seseorang itu akan mempunyai Tauhid Uluhiyyah?

Sahabat yang dihormati,
Oleh itu keyakinilah ‘hanya Allah Pemberi rezeki’ merupakan jambatan bagi manusia agar mereka mengabdikan diri hanya kepada Allah (Tauhid Uluhiyyah). Ini terakam dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud, : “Katakanlah, ‘Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi, atau siapakah yang berkuasa mencipta pendengaran dan penglihatan dan siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup dan siapakah yang mengatur segala urusan?’ Maka mereka akan menjawab, ‘Allah’. Maka katakan, “Mengapa kamu tidak bertakwa (kepada-Nya)?”
(Surah Yunus ayat 31).

Allah juga menegaskan bahawa setiap makhluk mempunyai hak untuk mendapatkan rezeki dan Dialah yang menjaminnya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, “Dan tiada suatu makhluk melatapun di muka bumi melainkan (menjadi) jaminan Allah lah rezekinya.”
(Surah Huud ayat 6).

Individu Muslim yang meyakini rezeki itu hanya datang dari Allah mampu menunjukkan kesan yang mendalam terhadap rohnya. Antara kesan yang jelas kelihatan pada mereka yang yakin adalah memiliki pandangan yang positif terhadap kehidupan. Ia dengan penuh yakin mengorakkan langkah-langkah dalam kehidupan. Dia sentiasa menghadapi pelbagai gelombang kehidupan dengan penuh optimis terutama tentang keperluan kebendaan. Kisah isteri tabi’in di atas mengambarkan sikap ini yang perlu dicontohi. Ungkapan kata-kata isteri tabi’in tadi mesti sentiasa terukir abadi dalam setiap diri kita.

Apabila hati seorang yakin bahawa segala yang diperolehi dalam hidupnya semata-mata datang dari Allah maka dia tidak akan bergantung kepada sesiapa pun selain Allah s.w.t. Dia tidak akan merasa takut berkurangnya rezeki apabila mengatakan atau melaksanakan sesuatu yang benar.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, “Allahlah yang telah menjadikan bagi kamu bumi sebagai tempat menetap dan langit sebagai atap dan membentuk kamu lalu memperelokkan paras rupamu serta memberimu rezeki dari yang baik-baik. Itulah Allah Rabb kamu. Maha Suci Allah, Rabb sekelian alam. Dialah Yang Maha Hidup. Tiada Tuhan selain Dia. Maka sembahlah Dia dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya. Segala puji bagi Allah Rabb semesta alam.”
(Surah Al-Mukmin ayat 64-65)

Sudah pasti orang yang yakin kepada Allah akan sentiasa mendekatkan diri kepada Pencipta dan Pemberi rezekinya, tiada pada yang lain.

Sahabatku,
Allah Pemberi rezeki. Namun ini bukan bererti manusia hanya menadah tangan berdo’a sahaja tetapi tidak berusaha dan berikhtiar untuk bekerja mencari nafkah. Rezeki yang dijanjikan Allah mesti diiringi dengan usaha. Antara usaha yang perlu kita laksanakan adalah bekerja dan berusaha secara yang halal dan menjauhi perkara-perkara yang haram dan syubahat.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud,"Jika kamu bertawakkal yang sebenarnya, nescaya Allah akan mengurniakan rezeki kepadamu sebagaimana Dia memberi rezeki kepada burung yang keluar di pagi hari dengan tembolok kosong dan pulang pada waktu petang dengan tembolok yang penuh." (Hadis Riwayat Tarmidzi)

Rezeki datang dari Allah. Oleh itu ia mesti di manfaatkan sesuai dengan kehendak Allah. Guna dan belanjakanlah rezeki yang diperolehi mengikut batas ketentuan Allah bukan menurut seruan hawa nafsu. Atur dan rancanglah rezeki yang ada agar ia menjadi saksi kepada kita di hari Perhitungan. Bersederhanalah dalam membelanjakan harta, sebagaimana firman Allah yang bermaksud, "Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak pula kikir dan adalah (perbelanjaan) itu di tengah-tengah antara yang demikian." (Surah Al-Furqan ayat 67)

Berapa banyak pun harta yang di perolehi hendaklah kita bersyukur. Kekurangan dalam memiliki harta bukan bererti Allah tidak menyayangi kita. Berlimpahnya harta pula bukan bermakna kita di sayang Allah. Semuanya adalah ujian bagi kita untuk dinilai oleh Allah siapa yang paling bersyukur. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "Jika kamu bersyukur. nescaya akan Aku tambah (rezeki) padamu dan jika kamu kufur, maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." (Surah Ibrahim ayat 7).

Selain daripada bersyukur kepada Allah di atas pengurniaan rezeki, kita juga dikehendaki memohon kepada Allah agar rezeki yang di perolehi mendapat keberkatan.

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, "Barangsiapa yang cita-citanya adalah dunia, maka Allah akan memporakperandakan urusan kehidupannya. Menjadikan kefakiran di hadapannya. Dan ia tidak memperolehi bahagian dunia selain dari yang sudah diberikan kepadanya. Dan barangsiapa menjadikan akhirat sebagai tujuannya, Allah akan membereskan urusan hidupnya. Menjadikan kekayaan berada di dalam hatinya. Dan dunia akan menghampirinya tanpa perlu di kejar-kejar." (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tarmidzi.

Akhirkata, yakinilah bahawa rezeki yang kita perolehi dan makhluk-makhluk Allah yang lain adalah atas sifat Pemurah dan Penyayang Allah s.w.t. Dan jangan adapun sedikit keraguan di dalam hati dan sanubari kita. Sesungguhnya segala keraguan datangnya dari syaitan dan Iblis laknatullah. Mohonlah perlindungan Allah s.w.t. dari segala bentuk gangguan dan keraguan.

Friday, November 13, 2009

Kembalilah ke Jalan Tuhanmu

Sahabat yang dimuliakan Allah,
Bersyukurlah apa sahaja yang telah dikurniakan Allah padamu, nescaya Allah akan tambahkan lagi rahmat dan nikmat-Nya. Takdir yang berlaku atasmu adalah Allah ingin meninggikan darjatmu, di mana kalian di selamatkan dari kesusahan hidup di dunia dan di akhirat dan di jauhi dari noda dan dosa. 

Kalian akan dinaikkan ke darjat yang lebih tinggi jika kalian bersabar dan redha tentang apa yang telah ditetapkan-Nya. Dan berusaha segigih mungkin untuk melaksanakan ketaatan di atas segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. 

Sahabat yang dihormati,
Ketahuilah bahawa hidupnya kalian di muka bumi ini sebenarnya kalian berada dalam istana Raja Yang Maha Berkuasa dan Maha Agung, yang tentera-Nya banyak tiada terhingga, yang diperintah-Nya tidak boleh dibantah, yang kerajaan-Nya tidak boleh diganggu-gugat, yang kekal dan abadi selamanya, yang ilmu-Nya meliputi segala sesuatu, bahkan Dia dapat melihat apa yang terdetik dalam hati sanubarimu. 

Kalian akan berbuat zalim terhadap dirimu sendiri, jika kalian digerakkan oleh hawa nafsu amarah untuk melakukan sesuatu sesuka hatimu sendiri dan berbuat sesuatu yang menyekutukan Allah.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mempersekutukan (sesuatu) dengan Dia, dan Dia mengampuni dosa selain syrik itu bagi sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa mempersekutukan (sesuatu) dengan Allah, maka sesungguhnya ia telah tersesat sangat jauh."
 (Surah 4 ayat 116)

Jauhilah dirimu dari syirik dan janganlah kalian mendekatinya. Segala gerak dan diammu pada siang dan malam hari, baik kalian seorang diri maupun kalian berada di tempat yang ramai, hendaklah dibebaskan dari syirik itu. Berhati-hatilah terhadap dosa berbentuk zahir atau batin. Dosa bentuk zahir nampak dalam perbuatan dan percakapan, sedangkan dosa bentuk batin terletak dihati iaitu sifat sombong, ujub, irihati, takabur dan hasad dengki.

Janganlah kalian melarikan diri dari amanah, tugas dan tanggungjawab yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepada kalian. Janganlah kalian laksanakan larangan-Nya kerana kalian akan ditimpa kehinaan. Janganlah kalian lupa untuk mengingati-Nya, sesungguhnya apabila kalian mengingati-Nya nescaya Dia akan mengingatimu malahan lebih dekat lagi. 

Jangan kalian berbicara tentang agama-Nya menurut hawa nafsu semata-mata kerana jika kamu berbuat demikian nescaya kalian akan dimurkai oleh Allah s.w.t. Hatimu akan digelapkan oleh-Nya, imanmu akan akan dicabut-Nya dan ilmu kerohanian akan dihilangkan-Nya. Kemudian kalian akan dikuasai oleh Syaitan ; nafsu kehaiwananmu, keluargamu, tetanggamu, sahabatmu, jin, binatang dan seluruh makhluk akan menguasai dan mempengaruhimu. Kalau demikian kalian akan hidup di dunia ini berada dalam kegelapan dan azab Neraka akan kalian terima di akhirat kelak. 

Sahabatku,
Untuk kita kembali kepada Allah s.w.t. dalam keadaan redha meredhai, pastikan kalian mempersiapkan tujuh perkara asas di dalam pengurusan untuk menghadapi hari akhirat.

1. Pastikan kalian memahami dan menghayati Rukun Iman yang enam.
(Percaya kepada Allah s.w.t, Malaikat-malaikat-Nya, Rasul-rasul-Nya, Kitab-kitab-Nya, Hari Qiyamat dan Qada' dan Qadar). 

2. Pastikan kalian memahami dan menghayati Rukun Islam yang lima.
(Mengucap dua kalimah syahadah, solat, puasa, zakat dan mengerjakan haji di Mekah bila ada kemampuan). 

3. Pastikan mendapat khusyuk dalam solat. 

4. Pastikan tinggalkan semua yang haram.
Syirik kepada Allah, zina, minum arak, rasuah, berjudi dan mengambil hak orang lain adalah haram. Untuk dosa mengambil hak orang lain cara penyelesaiannya adalah pulangkan kepada tuan asal dan meminta maaf. 

5. Pastikan membayar semua hutang-hutang.
Seorang yang mati syahid dijalan Allah rohnya masih tergantung selagi hutangnya masih belum diselesaikan. 

6. Pastikan sentiasa bertaubat kepada Allah s.w.t.
Maksud bertaubat mesti ada rasa bersalah dalam hati dan rasa penyesalan di atas dosa-dosa yang dilakukan. 

7. Berusaha untuk membuat amalan yang kekal pahalanya .
 Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh.

Siapa Aku Di Hadapan Tuhanku

SUBUHNYA...
di mana aku berada
masih enak dalam kelambu rindu
sambil berpoya-poya dengan waktu
masa bagaikan menderu
langkah tiada arah tuju
fikiran terus bercelaru
terlupa aku semakin dihujung waktu
siapa aku di depan Tuhanku.

ZOHORNYA...
aku lebih memikirkan kelaparan
kehausan dan rehatku
aku lebih mementingkan
tuntutan jawatanku
aku bertolak ansur dengan waktu
aku gembira membilang keuntungan
aku terlupa betapa besar kerugian
jika aku mengadaikan ketaatan
siapa aku di depan Tuhanku.

ASARNYA...
aku lupa warna masa
cepat berubah bagaikan ditolak-tolak
aku masih dengan secawan kopiku
terlupa panas tidak dihujung kepala
aku masih bercerita
tentang si Tuah yang setia
dan si Jebat yang derhaka
siapa aku didepan Tuhanku.

MAGRIBNYA...
aku melihat warna malam
tetapi aku masih berligar
di sebalik tabirnya
mencari sisa-sisa keseronokan
tidak terasa ruang masa yang singkat
jalan yang bertongkat-tongkat
ruginya bertingkat-tingkat
siapa aku di depan Tuhanku

ISYAKNYA...
kerana masanya yang panjang
aku membiarkan penat
menghimpit dadaku
aku membiarkan kelesuan
menggangguku
aku rela terlena
sambil menarik selimut biru
bercumbu-cumbu denga waktuku
siapa aku di depan Tuhanku.

kini aku menjadi tertanya-tanya
sampai bila aku akan
melambatkan sujudku
apabila azan berkumandang lagi
aku tidak akan membiarkan
Masjid menjadi sepi
kerana di hujung hidup ada mati
bagaimana jenazah
akan dibawa sembahyang di sini
jika ruangku dibiarkan kosong
jika wajahku menjadi asing
pada mentari dan juga bintang-bintang.

Siapa Aku Di Depan Tuhanku......

(Di petik daripada Majalah Haluan 5/2001 oleh Hasnita Mohd Leham)


Thursday, November 12, 2009

Raut Muka Yang Mendamaikan

Abu Yazid Al-Busthami, seorang ahli sufi, pada suatu hari pernah didatangi seorang lelaki yang wajahnya kusam dan keningnya selalu berkerut. Dengan murung lelaki itu mengadu, "Tuan Guru, sepanjang hidup saya, rasanya tak pernah lepas saya beribadah kepada Allah. Orang lain sudah lelap, saya masih bermunajat. Isteri saya belum bangun, saya sudah mengaji. Saya juga bukan pemalas dalam mencari rezeki tetapi mengapa saya selalu malang dan kehidupan saya penuh kesulitan?."


Sang Guru menjawab sederhana, "Perbaiki penampilanmu dan ubahlah raut mukamu. Kau tahu, Rasulullah s.a.w. adalah penduduk dunia yang miskin namun wajahnya tak pernah keruh dan selalu ceria. Sebab menurut Rasulullah s.a.w., salah satu tanda penghuni Neraka ialah muka masam yang membuat orang curiga kepadanya."


Lelaki itu tunduk. Ia pun berjanji akan memperbaiki penampilannya. Wajahnya sentiasa berseri. Setiap kesedihan diterima dengan sabar, tanpa mengeluh. Alhamdulillah, sesudah itu dia tidak pernah datang lagi untuk berkeluh kesah.


Memang Allah telah mentakdirkan manusia sebagai makhluk yang paling indah. Bentuknya begitu sempurna, sehingga dipandang dari sudut manapun manusia kelihatan cantik dan serasi. Untuk itu hendaklah kurnia ini jangan dinodai dengan penampilan yang buruk, sebagaimana kata Rasulullah s.a.w., "Sesungguhnya Allah itu indah dan mencintai keindahan."


Namun demikian tidak bererti Islam mengajarkan kemewahan. Islam justeru menganjurkan kesederhanaan. Baik dalam berpakaian, menghias tubuh maupun pada tindakan dalam kehidupan seharian. Nabi s.a.w. walaupun memakai jubah yang luntur warnanya, tetapi sentiasa bersih.


Sayyidina Umar bin Khattab walaupun jawatannya khalifah, pakaiannya sangat sederhana dan tidak nampakkan tanda kebesaran diri. Tetapi kerapian berpakaian selalu dijaga. Sikapnya ramah, wajahnya sentiasa mengukir senyum. Raut mukanya berseri. Tidak hairanlah jika Imam Hasan Al-Basri berpendapat, awal keberhasilan suatu pekerjaan adalah raut muka yang ramah dan penuh senyuman. Rasulullah juga pernah bersabda bahawa senyuman adalah sedekah paling murah tetapi besar pahalanya.

Wednesday, November 11, 2009

Keutamaan Solat Fardu Berjemaah di Masjid

Sahabat yang dirahmati Allah,
Amalan anak Adam yang utama akan di hisab di hari akhirat nanti adalah solat fardu. Setelah solat fardunya diterima maka barulah amalan-amalannya yang lain akan dihisab satu persatu. Untuk melaksanakan solat fardu lima waktu yang paling afdhal perlaksanaannya adalah di masjid secara berjemaah. Abdullah bin Umar r.a menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Solat dengan berjemaah adalah dua puluh tujuh kali baik mutunya daripada solat bersendirian."

Rasulullah s.a.w. pernah memerentahkan sahabat-sahabat baginda mengumpulkan kayu api untuk membakar rumah orang-orang Islam yang mendengar azan tetapi engan menunaikannya solat berjemaah di masjid. Walaupun baginda tidak pernah melaksanakan perkara tersebut, namun amaran keras baginda mengenai perkara ini menunjukkan amalan solat berjemaah di masjid adalah suatu suruhan yang amat penting.

Nabi s.a.w. mewasiati umatnya supaya tidak meninggalkan solat berjemaah di masjid. Seorang sahabat, Abdullah bin Ummi Maktum pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. kemungkinan adanya keringanan untuk solat di rumah. "Ya Rasulullah, aku seorang buta. Rumahku jauh dari masjid. Aku punya seorang. Adakah kelapangan bagiku untuk solat di rumah sahaja?." Rasulullah balik bertanya, "Apakah engkau mendengar azan?" Abdullah menjawab, "Ya aku mendengarnya." Rasulullah bersabda, "Aku tidak membenarkan bagimu untuk solat di rumah."
(Hadis Riwayat Muslim dan Nasa'i)

Sekiranya Abdullah bin Ummi Maktum yang buta mata dan jauh pula dari masjid masih tidak dibenarkan oleh Nabi s.a.w. untuk mengerjakan solat fardu dirumah, apatah lagi kita yang memiliki kenderaan (kereta atau motosikal) dan masjid atau surau banyak ada di merata tempat, tidak ada alasan kukuh untuk kita mengabaikan solat fardu berjemaah dan hanya solat bersendirian dirumah.

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Kalau seorang tidak pergi ke masjid meskipun dia telah dengar azan (dia lebih suka solat di rumah) tanpa sesuatu 'uzur syar'i yang kuat maka solatnya tidak diterima." Apabila para sahabat bertanya apakah 'uzur syar'i yang kuat itu, maka baginda menjawab, "Ketakutan atau sakit."

Kenapakah Rasulullah s.a.w. begitu menekankan untuk solat berjemaah di masjid? Rahsianya, adalah kerana masjid adalah asas utama dan terpenting bagi pembentukan masyarakat Islam.

Masyarakat Islam tidak akan terbentuk secara kukuh dan rapi kecuali dengan adanya komitmen terhadap sistem, aqidah dan anjuran Islam. Hal ini hanya dapat di tumbuhkan dengan semangat masjid.

Tidak hairanlah kalau sahabat berlumba-lumba mendekatkan dirinya di masjid. Mereka tidak rela satu pun kesempatan solat jemaah berlalu begitu sahaja. Malah, sebahagian sahabat Ansar yang tinggal jauh, ramai yang ingin memindahkan rumahnya berhampiran masjid.

Rasulullah s.a.w. juga menjelaskan bahawa jalan menuju masjid dihampiri pahala dan kebaikan. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, "Barangsiapa yang pergi ke masjid untuk berjemaah, maka satu langkah menghapuskan kesalahan (dosa) dan yang satu langkah lainnya dituliskan kebaikan. Hal itu berlangsung pada saat berangkat maupun pulang."
(Hadis Riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban)

Pada hadis yang lain Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Orang yang paling besar mendapatkan pahala solat adalah yang paling jauh perjalanannya ke tempat berjemaah. Sedangkan orang yang menunggu-nungu waktu solat berjemaah pahalanya lebih besar daripada orang yang solat sendirian, setelah itu dia tidur."

Sahabat yang dikasihi Allah,
Salah satu sifat orang Mukmin yang beramal soleh yang tidak dapat dipisahkan dalam kehidupannya adalah solah fardu di masjid secara berjemaah. Sentiasa memakmurkan masjid-masjid Allah.

Masjid adalah jantung kehidupan umat Islam. Surutnya interaksi seseorang dengan masjid mengakibatkan imannya semakin lemah. Semangat untuk beramal soleh pun secara langsung menjadi sukar. Jiwanya gersang, kering kontang. Bagi seorang Muslim, 'Rumah Allah' adalah tempat penyejuk jiwa. Setiap saat menawarkan keteduhan dan kedamaian. Sehingga dimana pun ia berada, hatinya selalu terpaut dengan masjid.

Sesungguhnya orang yang sentiasa mengerjakan solat fardu di masjid akan mendapat dua kebaikan iaitu mendapat ganjaran pahala 27 darjat di dunia dan di akhirat solat akan jadi 'peguam bela' untuk tuan diri. Disamping itu ia juga akan mendapat perlindungan di Mahsyar nanti kerana hatinya sentiasa terpaut di masjid.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, " Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat perlindungan Allah pada saat tak ada lagi perlindungan selain perlindungan-Nya, iaitu :
1. Pemimpin yang adil.
2. Pemuda yang selalu beribadah kepada Allah s.w.t.
3. Seorang yang selalu terikat hatinya ke masjid.
4. Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, mereka bersatu dan berpisah kerana-Nya.
5. Seorang yang apabila dibujuk (untuk berbuat dosa) oleh wanita cantik dan mempunyai kedudukan, maka orang itu berkata, 'saya takut kepada Allah.'
6. Seorang yang bersedekah secara sembunyi-sembunyi.
7. Dan seorang yang mengingati Allah di tempat yang sepi sampai ia mencucurkan air matanya."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bertaubat Sebelum Terlambat

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hidup di dunia ini penuh cabaran dan dugaan. Sebagai manusia kita tidak terlepas dari kesilapan dan kesalahan.Hidup ini umpama sebuah perjalanan yang cukup jauh. Dalam laluan ini kalian sering keletihan, kehausan dan pelbagai hambatan-hambatan lain akan menghujani kalian.

Tetapi, sepanjang perjalanan ini juga ada saat manis, keseronokan dan kegembiraan dan ketenangan jika kalian bersabar di atas jalannya.Situasi perjalanan yang ditempuh kadang kala mungkin boleh menyesatkan. Sekiranya tersesat, langkah yang terbaik dan pilihan yang tepat kembalilah ke pangkal jalan. Yakin dan percayalah Islam akan memberi petunjuk serta menyinari kehidupan Muslim dan seluruh alam ini.

Kesesatan dan kesalahan yang berlaku adalah di sebabkan dorongan hawa nafsu yang kalian tidak sedari sentiasa menghantui hidup kalian, ditambah pula pengaruh kebendaan dan nikmat dunia yang menipu. Oleh itu jalan terbaik segeralah bertaubat dan memohon keampunan Allah s.w.t. di atas kesalahan dan dosa-dosa yang dilakukan.

Seorang ahli sufi yang bernama Dzun Nun berkata, "Hakikat taubat ialah jika bumi yang luas ini terasa sempit bagimu. Sehingga engkau tidak melihat tempat yang boleh dihuni, dan keadaan ini semakin menyempitkan jiwamu."

Rasulullah s.a.w. pernah menasihati umatnya agar sentiasa bertaubat kepada Allah : "Wahai sekelian manusia, bertaubatlah kamu kepada Tuhan sebelum kamu mati. Gunakanlah kesempatan yang ada untuk beramal dan berbakti sebelum masa kamu dipenuhi oleh urusan dan kerja. Wujudkanlah satu pertalian antara kamu dengan-Nya, memperbanyakan mengingati-Nya (zikrullah)."

Justeru itu bertaubatlah kalian dan memohon keampunan daripada Allah s.w.t. secara berterusan tanpa henti.Taubat haruslah di perbaharui dari masa ke masa. Ini kerana, setiap insan tidak mungkin terlepas dari dosa, samaada besar atau kecil, dosa batin atau lahir, dosa yang diketahui atau tidak atau lalai dalam menunaikan hak Allah dan manusia lainnya. Bahkan dosa kerana tidak menambah ilmu pengetahuan dalam agama dan sebagainya juga tidak terkecuali.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."
 (Surah Al-Baqarah ayat 222)

Sahabat yang dimuliakan,
Bukti penyesalan ialah mengaku dosa dan tidak lari dari tanggungjawab untuk menerima akibatnya. Seterusnya, meminta maaf kepada manusia yang dizalimi dan memohon keampunan daripada Allah s.w.t. Demikianlah, yang dilakukan oleh Nabi Adam a.s. dan Hawa setelah memakan buah terlarang. Keduanya berkata : "Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya kami termasuk orang-orang yang rugi."
(Surah Al-A'raf ayat 23)

Diikuti Nabi Nuh a.s. yang memohon keampunan kerana hasrat untuk syafaatkan anaknya ditolak Allah s.w.t. Nabi Nuh a.s. berkata, "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dan memohon kepada Engkau sesuatu yang aku tidak mengetahui hakikatnya. Jika sekiranya Engkau tidak memberi ampun kepadaku dan tidak menaruh belas kasihan kepadaku, nescaya aku akan termasuk orang-orang yang rugi."
 (Surah Huud ayat 47).

Begitu juga kisah Nabi Musa a.s. yang meninju seorang Qibti hingga meninggal dunia dan kisah Nabi Yunus a.s. yang pergi dalam keadaan marah kepada kaumnya.

Satu lagi iktibar mengenai kesungguhan seorang pembunuh untuk bertaubat. Setelah membunuh 99 orang, timbul kesedaran di jiwanya. Kesedaran terhadap dosa besar ini memaksanya untuk berjumpa seorang abid (ahli ibadah) yang dianggap boleh membimbingnya. Tetapi ternyata abid itu bukan sahaja tidak membantunya tetapi menghalang hasratnya untuk bertaubat. Akibat terlalu kesal dia terdesak untuk membunuh abid itu hingga genap 100 orang yang di bunuhnya. Namun keinginan untuk bertaubat terus membara. Akhirnya, seorang ulama' yang arif mampu memberi jalan keluar, memahami perasaannya dan memberikan bimbingan yang lebih baik.

Sahabatku,
Jelas menunjukkan bahawa seseorang yang telah melakukan kesalahan dan dosa perlu menginsafi tindakannya dan segera melakukan taubat yang sebenarnya yang mengandungi tiga syarat utama :
Pertama, mempunyai tekat yang kuat. Maksudnya seseorang itu berazam meninggalkan segala kegiatan maksiat yang pernah dilakukan. Kesungguhan ini ibarat seorang bayi yang tidak mungkin kembali lagi ke rahim ibunya.

Kedua, mesti ada pembimbing. Jika seseorang berhasrat untuk bertaubat maka dia bertanggungjawab mencari seseorang yang diyakini mampu membimbing ke arah kebenaran. Ini kerana, bebanan jiwa yang di tanggung akan merasa lebih ringan. Jika seseorang itu sanggup mendengar keresahan dan masaalahnya. Justeru itu perlu bijak memilih orang yang ikhlas dan betul-betul ingin menghulurkan bantuan dan bimbingan.

Ketiga, bertekat untuk mencari suasana baru yang lebih baik. Dalan satu hadis di katakan, "Agama seseorang itu tergantung pada agama temannya." Semua teman-teman yang tidak berakhlak dan pernah mengajak dan membawanya melakukan kemaksiatan selama ini mesti dijauhi. Dalam masa yang sama, berusaha mencari teman-teman yang baik. Teman yang baik akan memberikan pandangan yang mengajak kepada mengingati Allah s.w.t. Nasihat dan perkataan mereka akan mengarah untuk melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t. Bahkan, setiap tindakan dan amal mereka hanya ditujukan kepada Allah s.w.t. semata-mata.

Akhirkata, tanda kerendahan hati kepada Allah s.w.t. tidak ada ruginya kita bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah s.w.t. kerana kita tidak ketahui mungkin ada tindakan, amalan, perbuatan, pandangan mata dan lintasan hati kita, kita rasa tidak berdosa tetapi disisi Allah ianya berdosa. Alangkah bahagianya jika dalam perjalanan hidup ini bersih dari dosa dan kemurkaan Allah kerana lidah tidak putus-putus beristighfar kepada-Nya siang dan malam.

Kisah Muaz bin Jabal r.a

Muas bin Jabal adalah sahabat Nabi s.a.w. yang sangat alim dan juga pakar dalam persoalan halal dan haram. Bukan mudah untuk mendapat pengikhtirafan seumpama itu.Ketinggian iman dan takwa sebab utama seseorang hamba sepertinya sangat dikasihi Allah dan Rasul-Nya.Bukan mudah seseorang mendapat pengiktirafan seumpama itu, lebih-lebih lagi lidah Rasulullah sendiri yang memberi pengiktiraf tersebut.

Muas bin Jabal, sahabat mulia al-Ansar ini turut serta berbai'ah dengan Rasulullah pada peristiwa Bai'ah Aqabah kedua. Berdasarkan penyertaan dan kondisi itu, dia tergolong daripada kalangan as-Sabiqunal Awwalun iaitu sahabat golongan awal. Selepas itu dia tidak menoleh kebelakang lagi. Dia tidak pernah terlepas dan ketinggalan untuk bersama dengan Rasulullah s.a.w. di dalam apa jua sempena dan peristiwa, di dalam suka dan duka, di dalam ketawa dan air mata.

Kerana keterampilan dan kewibawaannya dalam ilmu fikah dan ilmu wahyu, maka Nabi s.a.w. mengutuskannya ke Yaman sebagai guru pendidik umah. Diterima perlantikan itu dengan penuh ikhlas, beramanah dan bertanggungjawab, bahkan dia sangat berbahagia melaksanakan amanat Nabawi itu. Ikhlas dan tingginya ilmu dan imannya itu disifatkan oleh seseorang temannya : "Seolah-olah terbit dari mulutnya cahaya dan permata yang berkilau."

Semua kemuliaan yang dicapainya adalah kerana ketelusan iman dan kemantapan akidahnya, serta ketinggian budinya hasil siraman hidayah Allah, juga berkat didikan serta kasih sayang Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w. sangat sayang padanya. Limpahan ilmu pengetahuan yang dicapainya hingga menjadi 'lampu ummah' pada sebahagian besar usianya bermula seawal usia kanak-kanaknya lagi. Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. bersabda : "Wahai Muaz, demi Allah, aku sangat mengasihi kamu, maka kamu jangan lupa membacakan setiap kali selepas solat : 'Ya Allah ya Tuhanku, tolonglah daku untuk mengingati-Mu, untuk mensyukuri nikmat-Mu dan untuk mengelokkan ibadahku pada Mu." (Riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Imam Ahmad."

Kita dapat mengambil pengajaran dari sirah ringkas Muaz bin Jabal adalah :
1. Ketinggian iman dan takwa menjadi sebab utama seseorang hamba Allah sangat dikasihi Allah dan Rasul-Nya.
2. Kerana dorongan iman dan takwa, seseorang Muslim berusaha untuk menjadi seorang yang terbaik dan melakukan usaha (kerja) yang baik.
3. Kerana suluhan iman dan takwa, hidup seorang Muslim menjadi terarah dan bermatlamat. Seluruh umur menjadi berkat dan segala usaha membuahkan manfaat.

Monday, November 9, 2009

Malu dan Iman Teman Seiring Jalan

Sahabat yang dirahmati Allah,
Alangkah beruntungnya orang yang memelihara kesucian dirinya di sisi Allah, merendahkan dirinya dengan Allah, akur dengan hukum-Nya, mencintai-Nya dan bimbang terhadap kemurkaan-Nya dan memiliki sifat malu.

Dalam usaha kalian untuk merapatkan hubungan dengan Allah s.w.t. dan mensucikan diri dari karat-karat jahiliah maka cara yang patut kita contohi adalah proses tarbiyah yang dijalankan oleh Rasulullah s.a.w. As Syahid Syed Qutb dalam bukunya' Petunjuk Sepanjang Jalan' ada menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. mendidik sahabat-sahabatnya dengan menTauhidkan diri kepada Allah s.w.t. sehingga melahirkan jiwa-jiwa yang tulin dalam aqidah, tulin dalam pemikiran dan tulin dalam kefahaman. Tidak sedikit pun bercampur aduk dengan nilai-nilai jahiliah atau kotoran nafsu, di masuki di dalam proses pentarbiyahan yang mereka lalui. Hingga Rasulullah menghalang Sayyidina Umar membawa beberapa helaian dalam Kitab Taurat (yang asli) untuk diguna pakai dalam proses tarbiyah, ini adalah kerana Nabi s.a.w. ingin pastikan proses tarbiyah berjalan hanya melalui satu sumber sahaja iaitu kitab suci Al-Qur'an.

Ribuan sahabat yang mencontohi baginda telah berubah daripada pembunuh, tahi arak, penzina menjadi manusia yang sangat mulia hingga nama mereka menjadi buah mulut para malaikat di langit. Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Setiap agama ada akhlaknya dan (punca) akhlak Islam itu adalah haya (malu)." (Hadis Riwayat Malik, Ibn Majah dan Baihaqi)

Sahabat yang dimuliakan,
Malu tidak dapat dipisahkan dengan iman, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Malu dan iman itu adalah teman seiring jalan. Jika yang satu diangkat nescaya terangkat pula yang satu lagi." (Hadis Riwayat Muslim)

Lihat perwatakan Sayyidina Umar ketika dihembusi angin nyaman pada suatu musim panas, katanya, "Aku malu kepada Allah. Begitu banyak sudah nikmat-Nya kepadaku...(sambil beliau mengelak hembusan angin itu). Malu kepada Allah membuatkan seseorang memelihara kesucian dirinya di sisi Allah.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, "Antara ajaran Nabi-nabi terdahulu ialah apabila tiada malu, maka (kamu akan) perbuatlah sesuka hatimu." Malu melakukan perkara keji adalah perisai kuat dari membuat dosa.

Berhati-hatilah kalian dengan suasana masyarakat yang sudah hilang sifat malu. Persekitaran yang lucah menghakis sifar malu. Kelucahan film, iklan, 'modelling', ratu cantik, adigan lucah dalam internet, 'you tube', gambar lucah melalui mms dalam telefon bimbit, pakaian yang menjolok mata, majalah-majalah lucah, bahasa, simbol, nyanyian dan sebagainya. Kesemua perkara ini adalah berbentuk maksiat yang harus kalian jauhi. Ianya sebenarnya boleh mengotori jiwa dan hati kalian, jika dibiarkan boleh memesongkan amalan soleh kalian kepada Allah s.w.t.

Sahabat,
Apa sahaja berbentuk kelucahan adalah amalan dan kesukaan iblis dan syaitan. Iblis dan syaitan akan bekerja keras untuk menghancurkan sifat malu dan kesucian manusia. Islam menganggap semua ini sebagai zina. Zina mata, zina perasaan, zina lisan. Ia akan menjurus kepada zina yang sebenarnya. Allah s.w.t. melarang semua ini, firman-Nya di dalam surah Al-Isra' ayat 32 yang bermaksud, "Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya ia (zina) itu adalah perbuatan keji dan satu jalan yang jahat (membawa kerosakan)."

Dari itu wahai sahabatku, kalian tundukkanlah pandangan kalian, supaya kalian dapat menjaga mata, telinga, hati dan iman kalian kepada Allah s.w.t. Islam menyuruh supaya lelaki yang beriman agar mereka menundukkan pandangan terhadap wanita yang bukan mahram atau isteri-isteri mereka. Begitu juga wanita yang beriman disuruh agar menundukkan pandangan mereka terhadap kaum lelaki yang bukan mahram atau suami-suami mereka.

Para wanita yang solehah akan memelihara kesucian diri, tidak berhias di luar rumah seperti orang jahiliah. Mereka hanya disuruh hanya berhias di depan suami mereka. Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Mana-mana perempuan yang memakai bau-bauan kemudian keluar lantas melintasi suatu kaum (bukan mahram) agar mereka tercium bau-bauan harumnya, maka ia adalah perempuan zina dan tiap-tiap mata yang memandangnya itu berzina." (Hadis Riwayat Ahmad, Tabarani, Baihaqi dan Al-Hakim).

Wanita yang memelihara kesucian diri akan menutup aurat mereka dan membataskan pergaulan mereka dengan lelaki bukan mahram. Mereka yakin pada janji Allah bahawa sesiapa yang mengotori diri pasti akan rugi dunia dan akhirat. Mereka sering berdo'a seperti yang diajar oleh Rasulullah s.a.w., "Ya Allah berilah aku nampak kebenaran sebagai benar dan berupaya mengikutinya. Dan nampak kejahatan sebagai jahat dan berupaya menjauhinya."

Wanita solehah seperti ini adalah mereka yang tidak mahu melihat masyarakat terus terhimpit dengan kelucahan dan kehinaan. Lelaki yang soleh juga sentiasa menjaga akhlak dan keperibadiannya dan tidak mudah terpengaruh dengan aktiviti-aktiviti jahiliah dan mengajak kepada keruntuhan akhlak. Ia tetap istiqamah untuk menjadi seorang hamba Allah yang beriman dan bertakwa kepada Allah s.w.t.

Berkata Pujangga Maulana Muhammad Iqabal :
" Jika ingin melihat keadaan sesebuah masyarakat pada masa kini lihatlah akhlak golongan lelakinya pada masa kini, tetapi jika ingin tahu keadaan masyarakat itu pada masa hadapan lihatlah pada akhlak golongan perempuan pada masa kini."

Katanya lagi :
"Sinarlah zaman kamu dengan cahaya iman dan nyahkanlah kerosakkan dengan cahaya iman juga."

Sunday, November 8, 2009

Punahnya Hidup Jika Maju Tanpa Iman

Sahabat yang dirahmati Allah,
Kemajuan, perpaduan dan kesejahteraan adalah hak asasi semua manusia. Perpaduan mengambarkan tamadun dan kemanusiaan masih bersih. Sedangkan perpecahaan menuju kemunduran. Ia petanda sifat kehaiwanan sudah meresap ke dalam jiwa manusia. Haiwan tidak kenal perpaduan dan kesejahteraan, sanggup bercakaran dan berbunuhan kerana merebut makanan, tempat tinggal dan berebut betina. Maklum saja haiwan, bernafsu liar, pentingkan diri sendiri dan sanggup membinasakan sesiapapun asalkan hasratnya tercapai.

Sahabat yang dimuliakan,
Kenapakah saban hari kita saksikan nilai kemanusiaan kian malap? Sikap ego dan ganas menjadi-jadi. Akhirnya, berlaku keretakan keluarga, jenayah seks, berebut pengaruh, rasuah, pecah amanah, fitnah-memfitnah dan tuduh menuduh, mengabaikan si miskin, permusuhan, pembunuhan dan peperangan. Akhirnya dibalas oleh Allah s.w.t. dengan kecelakaan alam seperti sunami, gempa bumi, tanah runtuh, banjir, kemarau panjang, angin taufan dan berberbagai penyakit berjangkit yang merbahaya. Punah semua kemajuan fizikal yang dibina sekian lama. Cemas hati manusia kerana penyakit yang berjangkit masih belum mememui ubatnya sedangkan kematian bertambah hari demi hari.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, “Telah Nampak kerosakan di darat dan lautan akibat perbuatan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagiaan daripada perbuatan mereka itu agar mereka kembali (ke jalan yang benar).”
(Surah Ar-Rum ayat 41)

Bagaimana kesudahan jika kemajuan negara disertai malapetaka kerana manusia menurut nafsu dan mula lupa kepada Allah? Apakah kita tidak bimbang ancaman Allah akan datang satu persatu? Apakah kita tidak perhatikan kehancuran masyarakat lain kerana tidak direstui oleh Allah?

Contoh yang berlaku baru-baru ini gempa bumi di Padang, Sumatera Barat, Indonesia. Dari gambar-gambar yang diambil menunjukkan tiga buah kampung di telan bumi seolah-olah sama peristiwa yang berlaku keatas Qarun. Rumah-rumah dibina indah runtuh dan mayat bergelimpangan di sana sini. Dari cerita penduduk yang terselamat yang menyaksikan peristiwa tersebut, beliau menyatakan dia lihat macamana bumi terbelah dua, rumah-rumah, manusia dan haiwan ternak dan bukit-bukit dan pokok-pokok yang ada disekitarnya runtuh dan tertimbus ditelan bumi. Peristiwa ini berlaku beberapa minit saja dan amat dahsyat sekali.

Dari tinjauan dan perbincangan dengan alim ulama’ di Padang, apakah kesalahan penduduk-penduduk di sini mengakibatkan mereka mendapat musibah dan bala daripada Allah s.w.t. Mereka berpendapat penduduk di sini sebelum peristiwa ini berlaku ramai meninggalkan solat, masjid dan surau sentiasa kosong dan amat sedikit yang mengerjakan solat berjemaah. Mereka lebih suka berhibur daripada melaksanakan ibadah kepada Allah . Mereka berpegang teguh dengan adat pepetih yang mengutamakan kaum wanita dalam pembahagiaan harta pusaka dan secara tak langsung menolak cara pembahagian faraid menurut Islam. Hampir setiap rumah ada parabola dan mereka sibuk dengan rancangan-rancangan yang merosakkan minda dan akhlak.
Pergaulan bebas lelaki dan wanitanya, perlakuan maksiat tidak diambil kesah oleh masyarakat di sini. Tidak dilaksanakan amal maaruf dan mencegah kemungkar.

Perlu diingat disini bahawa dinegara kita juga pernah dikesan gempa bumi kecil lebih empat puluh kali (1,2 &3 skala richter), tidak mengakibatkan kerosakan harta benda dan nyawa. Ini mungkin amaran daripada Allah s.w.t. untuk kita berwaspada dan perlu kembali melaksanakan suruhan Allah s.w.t. Tetapi jangan kita lupa bahawa negara kita pernah ditimpa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa dan runtuhnya kondominiam H. Tower, yang telah mengakibat kematian dan kerosakkan harta benda. Ini hanyalah amaran kecil dari Allah s.w.t.

Sahabat yang dikasihi Allah,
Oleh itu apabila sesuatu pembangunan yang ingin dilaksanakan perlulah dipastikan iannya tidak lari dari asas iman. Islam dan akhlak. Manusia dan alam akan sejahtera dan selamat.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, “Tidakkah kamu lihat Allah membuat perumpamaan; kalimah yang baik umpama pokok yang baik, akarnya kukuh (di dalam bumi) dan dahannya menjulang tinggi ke langit. Menghasilkan buah setiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah membuat perumpamaan ini untuk manusia supaya mereka mengerti. Dan perumpamaan kalimah yang buruk ialah pokok yang buruk, akarnya terbongkar dari bumi, dan tidak dapat berdiri tegak.”
(Surah Ibrahim ayat 24-26)

Kalimah yang baik adalah Kalimah Syahadah iaitu beriman kepada Allah dan menjadikan Islam sebagai cara hidup untuk kemajuan dunia dan akhirat. Syahadah dan ajaran Islam (termasuk akhlak) itu akan menghasilkan buah kejayaan untuk sepanjang zaman. Malah zaman itu diberkati. Kalimah yang buruk ialah pegangan hidup yang kufur terhadap Allah dan menjadikan sistem hidup rekaan manusia sebagai cara memajukan kehidupan dunia. Nampak rendang dengan kemajuan tetapi rapuh dan mudah runtuh. Ahli tafsir mengatakan ada pokok yang tidak diingini tetapi tumbuh merata, berbunga cantik, malah berduri dan beracun. Sekali dihayun cangkul sudah tercabut.

Begitulah sistem kemajuan yang bukan daripada Allah. Mudah semarak kerana mengutamakan kebendaan. Tetapi menunggu masa runtuh kerana asas yang goyah. Apabila bencana datang dan merosakkan pembangunan yang mereka bina bertahun-tahun. Mereka terpaksa membelanjakan pula berbillion ringgit untuk membangunkan semula kerosakkan yang telah berlaku.

Beriman sekukuhnya menjana akal dan menjinakkan nafsu. Akal dan nafsu itu tidak mudah menurut perintah kerana adanya gangguan daripada syaitan yang membisikkan sesuatu yang boleh membawa kepada keruntuhan. Masyarakat maju sebenarnya adalah masyarakat yang menurut perintah Allah. Semua usahanya, samaada dalam pendidikan atau teknologi akan direstui oleh Allah s.w.t. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, “Sekiranya penduduk sesebuah negeri beriman dan bertakwa akan dibuka untuk mereka berkat dari langit dan bumi.” (Surah Al-A’araf ayat 96).

Sahabat,
Pengkaji sejarah mengakui bahawa apabila Islam bertapak di Benua Arab dan berkembang pesat ke merata tempat, masyarakat mula hidup bersatu padu dan membina negara ke mercu kejayaan. Banyak penemuan sains dicapai oleh masyarakat Islam ketika Eropah masih dalam kegelapan. Islam seterusnya memimpin dunia selama hampir seribu tahun, dari abad ke tujuh hingga abad ke tujuh belas. Selama tempuh itu mana-mana negara yang diperintah oleh Islam mengecapi keamanan dan mencapai kemajuan dalam bidang ilmu, teknologi dan kebudayaan.

Syariat Islam yang bersih serta mulia menjadi dasar mengamankan dunia dalam tempuh seribu tahun itu. Seluruh bumi dianggap tanahair bagi umat Islam. Jika musibah berlaku di satu penjuru tanahair Islam akan dibantu secara percuma oleh penjuru lain dengan arahan Khalifah. Tak kira musibah itu akibat kemerosotan ekonomi, wabak penyakit atau malapetaka.

Benua atau Negara yang berbilang kaum dan bahasa ketika itu seperti India, Mesir, Asia Timur, Sepanyol dan Turki semua hidup aman di bawah syariat Islam. Khalifah atau ketua pemerentah Islam sedunia telah bertukar tangan dari kalangan berbagai bangsa. Namun, semua itu tidak menghalang semua Negara mematuhi arahan Khalifah. Itulah nikmat besar yang pernah dinikmati oleh bumi selama seribu tahun hasil dari manusia berpegang kepada iman terhadap Allah s.w.t.

Petua Kesihatan Oleh Imam Ibnu Qayim

Penyebab Rosaknya Badan :
Perasaan rungsing, gelisah, lapar dan tidak tidur malam (bukan tujuan qiyamullail).

Menerangkan Penglihatan dan Menyejukkan Hati :
Melihat warna hijau, melihat air mengalir, melihat orang atau barang yang disayangi dan melihat buah-buahan dan dedaun.

Perkara Yang Boleh Mengelapkan Pandangan :
Berjalan tanpa alas (berkaki ayam), menyambut waktu pagi dengan wajah muram (masam), banyak menangis (bukan kerana takutkan azab Allah) dan banyak membaca tulisan yang kecil-kecil.

Penyebab Wajah Bersinar :
Menjaga maruah, jujur, dermawan dan takwa.

Perkara Yang Menyebabkan Wajah Kelihatan Kering (hilang cahaya) :
Berdusta, tidak mempunyai perasaan malu, banyak bertanya tanpa ilmu dan banyak berbuat dosa.

Perasaan Benci (Pada Perkara Yang Baik) :
Sombong, dengki, berdusta, suka membuat fitnah dan melaga-lagakan sesama Muslim.

Perkara Yang Mendatangkan Rezeki :
Qiyamullail (beribadah pada waktu malam selepas tidur), banyak beristighfar pada waktu sahur (waktu sebelum masuk waktu subuh), bersedekah dan berzikir pada waktu pagi dan petang.

Perkara Yang Menyebabkan Rezeki Tersekat :
Tidur pada waktu pagi (lepas subuh), sedikit mengerjakan sembahyang (sunat), malas dan khianat.

Bertambahnya Kefahaman Dan Ingatan :
Hati gembira, sedikit makan dan minum, mengawal makanan yang manis dan berlemak, serta mengurangkan lebihan berat badan.

Merosakkan Kefahaman Dan Ingatan :
Sentiasa makan buah yang masam, tidur menggunakan tengkuk (belakang kepala), hati sedih dan fikiran rungsing