Saturday, January 1, 2011

Orang Mukmin Sentiasa Mengurus Masa Dengan Baik dan Berkesan.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Kita baru sahaja menyambul tahun baru umat Islam (maal hijrah) 1432 H. Kini sampai pula tahun baru masihi iaitu tahun 2011 M. Biasanya umat Islam akan lebih bersemangat dipermulaan tahun baru dengan menyatakan bermacam-macam azam yg baik

Orang mukmin sentiasa menjaga dan menggunakan masa dengan baik. Masa yang ada digunakan sebaik mungkin supaya tidak sia-sia begitu sahaja.Begitu tinggi nilai masa dari pandangan seorang beriman kerana masa yang berlalu tidak akan berulang dan tidak boleh diganti.Masa itu bukan emas, tetapi masa itu lebih berharga dari emas iaitu kehidupan. Kehidupan didunia ini adalah jalan dan wasilah menuju ke alam akhirat. Kebahagian di akhirat adalah bergantung kepada amalan-amalan soleh kita ketika di dunia ini.

Sewajarnya setiap Muslim memulakan harinya dengan doa yang telah diajar oleh Rasulullah S.A.W. kepada para sahabat supaya dibaca pada waktu pagi dan petang. :

"Ya Allah! Aku berlindung dengan nama-Mu dari rasa sedih dan duka.
Aku berlindung dengan nama-Mu dari rasa lemah dan malas.
Aku berlindung dengan nama-Mu dari sifat bacul dan kikir.
Aku berlindung dengan nama-Mu dari beban hutang dan penindasan orang."

Doa ini memberi kesan kepada jiwa untuk lebih bersemangat, mengurus masa dan urusan lain samaada memberi idea, masa dan tenaga untuk manfaat bersama. Orang yang mensia-siakan masa dengan kerja tidak berfaedah, sebaliknya tidak suka  untuk berkongsi idea dan tenaga pada perkara kebaikan sangat dibenci oleh Allah S.W.T.

Pepatah Arab ada menyatakan :

"Masa itu seperti pisau. Jika kamu tidak memotongnya, ia pula memotong kamu!"

Generasi sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. telah bekerja keras untuk mempertingkatkan prestasi hidup mereka dari masa ke semasa. Konsep hidup mereka adalah, 'Hari ini mesti lebih baik dari semalam. Siapa yang pada hari esok sama dengan semalam, maka dia masih lemah. Siapa yang hari esoknya lebih buruk dari semalam, maka dia adalah orang yang terkutuk!"

Masa perlu diurus dengan baik agar tidak ada yang terbuang begitu sahaja. Perancangan perlu ada untuk setiap perkara yang ingin dilakukan. Perancangan dapat mengelakkan perkara yang penting terabai begitu sahaja.

Oleh itu setiap Muslim perlu mempunyai jadual waktu kerja harian yang teratur meliputi semua urusan keduniaan dan ibadat. Ini boleh mengelakkan urusan yang kurang penting diutamakan daripada urusan yang lebih penting.Pekerjaan penting mestilah disegerakan, manakala yang kurang penting bolehlah dilewatkan hingga selesai urusan penting.

Rasulullah S.A.W. juga ada menyebut tentang pembahagian masa seperti yang terdapat dalam Kitab Nabi Ibrahim a.s. : 'Sewajarnya setiap yang berakal, selagi akal fikirannya tidak hilang, membahagikan masa-masanya kepada empat masa iaitu :

1.Masa untuk bermunajat (berzikir) kepada Tuhannya.
2.Masa untuk dia bermuhasabah tentang dirinya.
3.Masa untuk dia berfikir berhubung dengan setiap ciptaan Allah.
4.Masa untuk dia menumpukan kepada keperluan, seperti mencari rezeki yang halal atau belajar.'

Pengajaran dan huraiannya adalah seperti berikut :

Pertama : Masa untuk bermunajat (berzikir) kepada Tuhan.

Kita perlu memperuntukkan masa kita untuk beribadah, solat, membaca al-Quran, berzikir, berdoa dan bermunajat. Seorang mukmin yang sentiasa dalam hidupnya  berdoa dan berzikir kepada Allah S.W.T.  kekuatan dalamannya amat luar biasa dan akan mencapai kecemerlangan dalam hidupnya berbanding mereka yang dalam hidupnya tidak mahu berdoa dan berzikir dan hanya bergantung pada akal fikirannya semata-mata untuk mencapai sesuatu perkara.

Perancangan macamana hebat sekalipun apabila ianya dibuat tanpa memohon pertolongan Allah S.W.T. maka ianya tidak akan berjaya dan kalau berjaya sekalipun ianya tidak akan berkat dan akhirnya akan menemui jalan buntu dan kegagalan.

Segala kekuatan lahir, pengalaman, kemahiran dan kekuatan batin daripada tenaga dalaman akan dipadukan untuk mencapai apa-apa yang dihajatkan. Apabila diketengahkan dan diamalkan dalam kehidupan seharian doa dan zikir mampu menjadi senjata yang ampuh.

Nabi s.a.w. berwasiat kepada Muaz bin Jabal r.a agar dapat mengamalkan do'a ini setiap lepas solat :
"Allahumma inni ala zikrika wasyukrika wahusni ibadatik"
(Ya Allah, tolonglah aku agar dapat berzikir kepada-Mu (mengingati Allah), bersyukur kepada-Mu, dan memperelokkan ibadah kepada-Mu.) - (Hadis Riwayat Abu Daud).

Kedua : Masa untuk dia bermuhasabah tentang dirinya.

Ingatlah ketika Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."
(Surah al-Hasyr ayat 18)

Ayat di atas mengingatkan  agar selalu muhasabah diri. Jangan biarkan masa kita walaupun sedikit berlalu begitu sahaja. Gunakanlah masa itu untuk menghitung diri, hingga kita ketahui amalan mana yang harus dipelihara atau diperelokkan dan amal mana yang harus ditinggalkan. Dengan demikian, kita dapat meneruskan langkah-langkah sebagai seorang mukmin dengan lebih mantap untuk hari esok yang pastinya lebih mencabar akal, jiwa dan syaksiah kita.

Pesanan Saydina Umar al-Khattab r.a :
"Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab (Allah) dan timbanglah dirimu sebelum ditimbang (Allah) serta bersiap-siaplah untuk menghadapi hari peperiksaan yang paling besar (hari kiamat)".

Ketiga : Masa untuk dia berfikir berhubung dengan setiap ciptaan Allah.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Sesungguhnya pada pertukaran malam dan siang silih berganti, dan pada segala yang dijadikan oleh Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (kebesaran Allah) kepada kaum yang mahu bertakwa." (Surah Yunus ayat 6)

"Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberimu pendengaran, penglihatan, dan hati, supaya kamu bersyukur"
(Surah An-Nahl ayat 78).

"Dan Dialah (Allah) yang menundukkan lautan (untukmu) agar kamu dapat memakan daging (ikan) yang segar darinya, dan kamu mengeluarkan dan lautan itu perhiasan yang kamu pakai, dan kamu melihat bahtera berlayar padanya, dan supaya kamu mencari (keuntungan) dan karunia-Nya, dan supaya kamu bersyukur"
(Surah An-Nahl ayat14) .

"Bagaimana kamu mengkufuri (tidak mensyukuri nikmat) Allah, padahal tadinya kamu tiada, lalu kamu dihidupkan, kemudian kamu dimatikan, lalu dihidupkan kembali."
(Surah A1Baqarah ayat 28)

Berdasarkan ayat-ayat diatas jelaslah bahawa kita diminta oleh Allah S.W.T. untuk memerhatikan segala penciptaan-Nya yang Maha Sempurna samaada dilangit atau dibumi kerana dengan memikirkannya dengan hati yang tenang dan damai maka kita akan merasai keagungan dan kekuasaan Allah S.W.T.

Kita digalakkan pergi ketepi pantai, ke tempat air terjun dan dan hutan untuk memerhatikan bagaimana indah dan seimbangnya ciptaan-Nya. Dari sinilah melahirkan jiwa hamba dan merasai bahawa diri ini terlalu kerdil dan tidak sepatutnya kita menderhakai Allah S.W.T.

Keempat : Masa untuk dia menumpukan kepada keperluan, seperti mencari rezeki yang halal atau belajar.

Kita perlu kepada bekerja atau menjalankan perniagaan untuk mendapatkan rezeki Allah S.W.T. yang halal. Orang mukmin tidak boleh berpeluk tubuh sahaja tanpa berusaha dan berikhtiar untuk mencari rezeki Allah S.W.T.

Pada suatu hari selepas solat Jumaat, Khalifah Umar Khattab bertanya kepada sekumpulan jemaah yang bersantai pada satu sudut masjid: "Mengapa kamu masih berada di sini?

Mereka menjawab: "Kami adalah orang yang bertawakal kepada Allah."

Mendengar jawapan itu, Umar mengusir mereka keluar dari masjid, sambil berkata: "Jangan kamu berhenti daripada bekerja untuk mencari rezeki, sedangkan Dia mengetahui langit belum pernah menurunkan hujan emas atau hujan perak."

Allah berfirman yang bermaksud: "Apabila kamu selesai mengerjakan solat, bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurnia Allah, dan ingatlah Allah banyak-banyak agar kamu beruntung."
(Surah AI Jumu'ah ayat 10).

Bertebaranlah di muka bumi bermakna bergerak mencari rezeki halal, manakala mencari kurnia Allah bermakna bekerja, berniaga dan berusaha.

Orang beriman dituntut bekerja untuk urusan dunia dengan bersungguh-sungguh, berjuang sekuat tenaga untuk membangunkan ummah, meneroka dan memakmurkan kehidupan dunia - dengan niat bukan semata-mata untuk kepentingan kehidupan di dunia tetapi juga untuk memenuhi tututan di akhirat.

Orang beriman adalah orang yang menggunakan kehidupan dunia yang bersifat sementara untuk mendapatkan kebahagiaannya yang abadi di hari akhirat. Dunia adalah ladang tempat bercucuk tanam untuk kehidupan akhirat. Dunia adalah tempat berhijrah untuk bekerja, beramal dan berusaha  sebagai saham kebahagiaan hidup di akhirat.

Orang beriman sepatutnya dapat menguasai semua bidang ilmu dan kehidupan dan menggunakannya untuk kepentingan dirinya sama ada di dunia atau di akhirat. Orang beriman sepatutnya dapat menjadi pemilik, penguasa dan pentadbir kehidupan di dunia bukan pekerja sahaja kepada orang kafir.

Sahabat yang dimuliakan,
Individu yang bijak membahagikan masa akan sentiasa kelihatan sibuk mengisi masanya. Peruntukkanlah masa kita untuk melaksanakan amanah, tugas dan tanggungjawab dengan lebih berkesan. Setelah mental dan fizikal dikerah melaksanakan berbagai tugas dan urusan perlulah diambil sedikit masa untuk beristriehat. Kerehatan perlu untuk mengumpul kembali tenaga untuk melakukan berbagai kerja yang seterusnya.

Melakukan kerja tanpa rehat menyebabkan badan menjadi lemah, dan akhirnya menganggu kesihatan. Umpama sebilah parang yang sentiasa digunakan akan menjadi tumpul, tetapi apabila diasah semula barulah boleh digunakan.

Sayyidina Ali r.a ada berkata, " Berilah kerehatan kepada hati beberapa ketika. Maka sesungguhnya hati bila dipaksa akan menjadi buta!"

Cara bekerja hingga kelesuan adalah bertentangan dengan apa yang Rasulullah s.a.w. anjurkan walaupun ia ibadat yang Allah suka seperti berpuasa dan berjaga malam. Ibadah yang dilakukan sedemikian rupa tidak akan berkekalan.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
"Ambillah amal ibadat sekadar kemampuan kamu. Maka sesungguhnya Allah tidak akan jemu hingga kamu berasa jemu. Dan sesungguhnya amal ibadat yang paling Allah suka ialah amal ibadat yang berterusan walaupun sedikit."

Sabda baginda lagi yang bermaksud :
"Sebenarnya aku seorang yang paling takut dan takwa kepada Allah dari kamu. Disamping itu aku juga bangun dan tidur diwaktu malam, aku berpuasa dan berbuka dan juga aku berkahwin. Maka sesiapa yang benci dengan sunnahku, bukanlah dia pengikutku."

Inilah antara contoh keseimbangan Islam. Suatu sistem yang mengimbangkan dengan adil terhadap tuntutan spritual (rohani) dan material (fizikal), dan mengimbangkan keperluan fitrah manusia dengan tuntutan Allah.

Ingatlah! kita akan di tanya di akhirat nanti masa yang kita habiskan di dunia ini, samaada kita gunakan untuk jalan maksiat dan kerja sia-sia atau masa yang ada kita pergunakan sepenuhnya untuk beribadah dan mencari keredhan Allah s.w.t.

Friday, December 31, 2010

Kembali Kepada Allah Melalui Taubat Yang Sebenar...


Alhamdulillah, intipati yang dibicarakan sangat-sangat tepat pada ketika dan saat jiwa saya memerlukan sentuhan pengisian yang berterusan ini. Semoga Allah reda dan merahmatinya. Saya kongsikan coretan nasihat untuk kita jadikan bekalan kekuatan dalam kehidupan.

Sering kali saya merenung doa yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada kita, iaitu, doa sayyidul istighfar.

Rasulullah SAW berdoa:

‘Ya Allah, Engkaulah Tuhanku. Tidak ada Tuhan kecuali Engkau. Engkau telah menciptakan diriku, sedangkan aku adalah hamba-Mu dan aku berada di atas perjanjian-Mu sebatas kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan perbuatanku. Aku mengakui nikmat yang Engkau limpahkan kepadaku dan mengakui dosa-dosaku, maka ampunilah aku, karena tidak ada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.” [riwayat Bukhari]

Saya dapati sungguh dalam makna doa ini. Dalamnya kita dapati ada pengakuan yang jujur bahawa kita adalah hamba ciptaan Allah SWT. Kita telah mengadakan perjanjian untuk beriman dan mentaati Allah. 

Kita juga mengaku bahawa pabila kita menyemak-nyemak diri kita (bermuhasabah) kita dapati banyak sungguh nikmat yang Allah SWT kurniakan ke atas kita. Di masa yang sama lebih banyak dosa kita yang naik kepada Allah SWT. Sungguh berat rasanya hakikat ini dan dosa-dosa yang naik ini berlaku setiap hari selama bertahun-tahun, khususnya saya yang sudah berusia 55 tahun. 


Dalam siri catatan saya mengajak diri saya dan para pembaca sedarkan hati serta bangun untuk melakar sejarah yang hebat dalam kehidupan yang singkat ini, kita sudahpun singgah di stesen ‘Muhasabah’ sebelum ini. Perjalanan kita kali ini akan melalui stesen ‘Taubat’ yang sangat penting dalam kehidupan mukmin.

Syeikh Hasan Al Banna telah mengatakan:
 “Taubat adalah karunia Allah kepada Anda, bukan karunia Anda kepada Allah”.

“Wahai Akhi, taubat adalah timbangan yang menguatkan dan tangga untuk meningkatkan kebaikan. Jika Anda terseret oleh kekuatan jahat, boleh jadi Anda mendapatkan ilham untuk bertaubat sehingga kembali sebagaimana keadaan sebelumnya, atau Anda terdorong untuk terus melakukan kemaksiatan dan tetap pada kejahatannya, sehingga Anda kalah dalam pertarungan.”

Setelah kita melakukan muhasabah secara jujur kita sedar bahawa kita sangat perlu segera menuju stesen taubat. Inilah stesen yang akan mengembalikan diri kita kepada Allah Yang Maha Pengampun. 


Kenapakah kita perlu bertaubat?

Seorang da’ie telah menulis:

“Dosa saya dan dosa kita semua apabila dikumpulkan sudah tentu banyak sekali. Semua dosa ini membentuk dinding yang menghalangi kita dengan Allah SWT”.

Jika kita melihat sekeliling kita dan meneliti keadaan umat Islam khususnya kita bimbang bahawa kita telah terdindingi dari Allah SWT lantaran tebalnya dosa-dosa kita. Kita sering sahaja berdoa tetapi kita mungkin telah kehilangan syarat untuk diterima doa kita oleh Allah SWT. Bencana yang berlaku di sana sini juga kemungkinan besar akibat maksiat dan kemungkaran yang kita lakukan dan kita pula terlalu lalai untuk ‘kembali kepada Allah SWT dengan bertaubat’. 

Dosa dan maksiat kita bukan sahaja meninggalkan kesan buruk ke atas diri kita tetapi ke atas masyarakat kita juga. Tetapi dalam realiti kita hari di mana majoriti masyarakat berada dalam keadaan lalai dan tenggelam dalam dosa bagaimanakah hubungan kita dengan Allah SWT. Bukankah kita selayaknya menerima bala’ dari Allah SWT.

Benarlah kata-kata seorang da’ie:

“Kita (manusia) kini mungkin saja hidup di atas rahmat Allah, yang Allah kurniakan ke atas binatang dan tumbuh-tumbuhan”


Perkongsian perasaan

(1)- Taubat adalah langkahan pertama untuk kita mencintai dan merindui Allah SWT. Pintu taubat terbuka luas buat hamba-hamba Allah SWT. Bertaubat setiap hari dan setiap ketika.- Jiwa dan sanubari kita penuh dengan kesan-kesan dosa dan maksiat.

(2) Perbaharuilah taubat dalam setiap munajat, setiap doa dan setiap rintihan jiwa terhadap Allah SWT.- Antara waktu yang terbaik untuk bersunyi untuk bersama Allah SWT ialah disepertiga malam. Nah! Ia adalah waktu yang istimewa bagi jiwa-jiwa yang mendambakan keampunan dan rahmat kasih sayang Allah SWT.

(3) Dengan bertaubat, jiwa dan hati kita akan bersinar bersih dan putih bercahaya. Dengan hati sebeginilah kita akan mempunyai kekuatan yang luar biasa. – Kekuatan untuk menyerahkan segala-galanya pergantungan kepada Allah SWT. Benarlah kata-kata Ibnu Qayyim al-Jauziyah :

“ Ketika orang lain bergantung pada dunia, gantungkanlah dirimu hanya kepada Allah. Ketika orang lain merasa gembira dengan dunia, jadikanlah dirimu gembira kerana Allah. Ketika orang lain bahagia dengan kekasih-kekasih mereka, jadikan dirimu rasa bahagia dengan Allah. Dan ketika orang-orang lain pergi menghadap raja-raja dan pembesar-pembesar mereka untuk mengais harta dan mencintai mereka, jadikan dirimu betul-betul mencintai Allah.” Trilogi Ibnul Qayyim. – Amru Khalid, (Ibadah Sepenuh Hati)

(4) Perbanyakanlah istighfar, agar anda menemui jalan keluar, memperolehi ketenangan batin, rezeki yang halal, zuriat yang soleh dan hujan lebat yang membawa berkah.[Perbanyakkanlah Istighfar - Dr ‘Aid Abdullah Al-Qarni, Jangan Bersedih.]

(5) Bersegera bertaubat dan memperbanyakan taubat – harus menjadi agenda yang utama dan penting di dalam kehidupan kita sebagai seorang mukmin muslim. InsyaAllah


Pergaulan Bebas Adalah Ciri Yang Mendekatkan Kepada Zina.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Salah satu perbuatan dosa besar adalah berzina. Islam melarang keras perbuatan berzina kerana perbuatan ini adalah perbuatan keji dan boleh merosakkan keturunan dan akan menimbulkan persengkitaan di dalam masyarakat . Islam bukan saja melarang perbuatan zina tetapi Islam juga melarang segala bentuk perbuatan yang boleh menghampiri zina.

Di antara beberapa kaedah pokok dalam perundangan Islam, terdapat satu kaedah yang menyatakan: “Apa yang membawa kepada haram itu, hukumnya adalah haram.”

Jika perbuatan seseorang itu belum sampai kepada tahap zina yang membawa hukuman hadd, maka ia dikenakan takzir, sama ada perbuatan itu belum mencukupi syarat-syarat seperti  berkhalwat, berpeluk-peluk, bercium-ciuman dan lain-lain seumpamanya. Semua itu adalah haram dan dikenakan takzir. Ia tidak syak lagi merupakan pendahuluan zina, maksiat dan dosa besar.

Perbutan menghampiri zina (takrabul zina) ini cukup jelas di firmankan oleh Allah S.W.T. di dalam al-Quran surah al-Israk ayat 32 yang bermaksud : "Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan seburuk-buruk jalan."

Semua perlakuan dalam hubungan di antara lelaki dan wanita yang sudah akil baligh dan bukan mahram, samaada dari segi zahir atau batin dikira sebagai perbuatan zina. Apa lagi perhubungan fizikal yang lebih rapat (bercumbu-cumbun, berdua-duaan, berdansar dan berhimpit-himpitan), terutama dalam keadaan aurat terdedah.

Dalam Islam, pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita ajnabi dilarang keras kerana segala tindak tanduk dalam pergaulan itu membuka peluang kepada mukadimah zina dan seterusnya melakukan perbuatan terkutuk itu.

Sahabat yang dimuliakan,
Islam bukan sahaja melarang mereka yang menghampiri zina tetapi Islam juga melarang  mereka  yang bersubahat dan terlibat secara langsung dengan perbuatan menghampiri zina. Ramai di antara kita tidak menyedari bahawa kita telah meletakkan sahamnya dan memberi ruang kepada perbuatan terkutuk ini. Di kalangan masyarakat Islam sekarang , ramai ibu bapa yang memberi peluang kepada anak gadis mereka berdua-duaan dengan teman lelaki, semata-mata untuk mereka berkenal-kenalan dahulu sebelum berkahwin.

Nabi S.A.W bersabda maksudnya : “Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka jangan sekali-kali dia berkhalwat dengan perempuan yang tidak ada bersamanya mahramnya, (kerana) sesungguhnya syaitan adalah orang ketiga bersama kedua mereka itu.”
(Hadis riwayat Ahmad)

Mereka tidak sedar atau mungkin sengaja tidak mahu menyedari bahawa dengan tindakan itu, mereka turut bersubahat memberi peluang anak gadis mereka terbabit di dalam budaya 'takrabul zina'. Mungkin anak gadis mereka tidak melakukan zina, tetapi mereka sekurang-kurangnya sudah mendekati zina seperti melakukan zina mata, zina tangan, zina kaki atau zina hati dengan teman lelaki mereka.

Ibu bapa juga kena ingat bahawa sekiranya anak gadis mereka sudah bertunang sekali pun mereka masih tidak dibenarkan keluar berdua-duaan dengan tunangnya tanpa mahramkerana selagi belum dijalankan akad nikah maka mereka diharamkan untuk berdua-duaan dan bergaul dengan bebas.

Sahabat yang dihormati,
Pengaruh budaya barat dalam kegiatan sosial ini harus disedari sebagai virus berbahaya yang merosakkan budaya Islam, sekali gus meruntuhkan kekuatan umat Islam sendiri. Peringkat awal, orang barat melancarkan perang bersenjata terhadap kerajaan Islam, tetapi gagal. Mereka menukar strategi kepada perang psaikologi, termasuk mendedahkan corak hiburan yang membawa kepada pergaulan bebas.

Hiburan dari barat sengaja dieksport ke nedara Islam sebagai satu strategi perang psikologi untuk melemahkan umat Islam. Tanpa kesedaran ini, umat Islam bukan sahaja tidak peka dengan matlamat hiburan barat itu, malah mereka menerimanya sebagai seni dan budaya global.

Allah S.W.T mengingatkan Rasulullah S.A.W dalam firman-Nya yang bermaksud : " Orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu sehingga kamu mengikut agama mereka. Katakanlah: 'Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)..."
(Surah al-Baqarah ayat 120)

Fenomena keruntuhan akhlak kini semakin serius di kalangan remaja Islam sehingga merebaknya wabak bohsia, bohjan dan pembuangan anak.

Betapa besarnya dosa zina Allah S.W.T berfirman maksudnya :
“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina (yang belum berkahwin), hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari kedua-duanya 100 kali sebat, dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum Agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat, dan hendaklah disaksikan hukuman siksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman”.
(Surah An- Nur ayat 2)

Seseorang yang melakukan zina Muhsan (sudah berkahwin) , sama ada lelaki atau perempuan wajib dikenakan keatas mereka hukuman had (rejam) iaitu dibaling dengan batu yang sederhana besarnya hingga mati. Sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitab I’anah Al- Thalibin juzuk 2 muka surat 146 yang bermaksud :

”Lelaki atau perempuan yang melakukan zina muhsan wajib dikenakan keatas mereka had (rejam), iaitu dibaling dengan batu yang sederhana besarnya sehingga mati”.

Daripada Abu Hurairah dan Zaid bin Khalid al-Juhani berkata : “Seorang lelaki desa datang menghadap Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam seraya berkata : ” Wahai Rasulullah ! Atas nama Allah, saya minta kepada Tuan supaya Tuan menjatuhkan hukuman kepada saya sesuai dengan Kitabullah.”

Kemudian berkata lelaki lawannya dan dia itu lebih pintar daripadanya: “Ya betul ! Putuskanlah perkara kami sesuai dengan Kitabullah dan izinkanlah saya lebih dahulu berbicara.”

Bersabda Rasulullah Sallalahu ‘Alaihi Wasallam “Berbicaralah.”

Katanya : “Anak lelaki saya bekerja menjadi pekerja orang ini, maka dia berzina dengan isteri orang ini dan sesungguhnya saya telah diberitahu bahawa anak saya itu harus dihukum rejam, maka saya tebus dia dengan seratus ekor kambing dan seorang sahaya perempuan. Kemudian saya bertanya kepada ahli ilmu, maka mereka mengatakan kepada saya bahawa anak saya itu dihukum sebat seratus kali dan dibuang negeri selama satu tahun, sedangkan isteri lelaki ini mendapat hukuman rejam (sampai mati).

Maka bersabda Rasullullah Sallalahu ‘Alaihi Wasallam : “Demi Allah yang jiwaku ditanganNya, sesungguhnya aku akan menjatuhkan hukuman di antara kedua belah pihak sesuai dengan Kitabullah. (Tebusan) Hamba sahaya dan kambing itu ditolak dan ke atas anakmu sebat seratus kali dan dibuang negeri satu tahun. Wahai Unais ! Besok pagi pergilah engkau kepada isteri orang ini ( dan periksa apakah dia memang berzina), jika dia mengaku, maka rejamlah dia !”

Berkata Abu Hurairah : Besok pagi Unais pergi kepada perempuan itu, (ternyata) dia mengaku (berzina).” Rasulullah memerintahkan supaya dihukum rejam, maka direjamlah perempuan itu.”
(Hadis riwayat Muslim)

Sahabat,
Di dalam realiti kita sekarang ini hukum hudud tidak dijalankan, sekiranya seseorang itu telah melakukan zina dan dia telah insaf di atas  kesalahannya yang lalu maka jalan terbaik adalah dia bertaubat nasuha  dan berazam tidak akan mengulanginya lagi perbuatan tersebut.

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud :
"Sesungguhnya Allah membuka tangan selebar-lebarnya pada waktu siang untuk menerima taubat mereka yang melakukan dosa pada waktu malam, dan membuka tangan selebar-lebarnya pada waktu malam untuk menerima taubat mereka yang melakukan dosa pada waktu siang. Hal ini berkekalan sehinggalah matahari terbit dari sebelah barat."

Marilah sama-sama kita berusaha bersungguh-sungguh menasihati anak-anak kita dan remaja masa kini semoga mereka menjauhi zina dan aktiviti yang boleh menjurus kepada zina. Jika kita mendiamkan diri dan membiarkan anak-anak zina lahir ke dunia tanpa disekat jalan-jalan yang membawa kepada zina,  maka kita khuatir bala Allah S.W.T akan menimpa kita semua.

Nabi S.A.W.  bersabda maksudnya : “Daripada Maimunah Radhiallahu Anha beliau berkata : “Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : “Umatku (ini) akan terus berada dalam kebaikan selama tidak tersebar luas anak zina di kalangan mereka. Apabila anak zina tersebar luas di kalangan mereka, maka hampir sahaja Allah ‘Azza wajalla akan menurunkan azab siksa kepada mereka seluruhnya.”
(Hadis Riwayat Ahmad dengan sanad yang baik)

Thursday, December 30, 2010

Di Mana Cantiknya Wanita Solehah?

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  SAW. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Kecantikan  dan kemanisan wanita solehah itu, tidak terletak pada kecantikan wajahnya atau pada kemanjaannya, tetapi ianya terletak pada akhlak dan budi pekertinya. Daya penarik wanita solehah itu, bukan pada kemanisan bicaranya yang mengoncang iman para muslimin, dan bukan pula terletak pada kebijaksanaannya bermain lidah, memujuk rayu, bukan dan tidak sama sekali tetapi daya tarikannya terletak pada iman dan takwanya kepada Allah S.W.T.

Wanita solehah tidak berbangga dengan kecantikan luaran, kerana satu hari nanti ianya akan lapuk di telan zaman, tetapi yang di jaga dan pelihara adalah kecantikan dalaman , agar diri nya bersih dan sentiasa mendapat rahmat Ilahi. Wanita solehah tidak berbangga dengan ilmu duniawi yang dikuasainya, kerana  ada lagi manusia yang lebih berpengetahuan darinya. Wanita solehah tidak pula berdukacita atas kekurangan dirinya kerana  ada lagi insan yang lebih malang darinya.

Wanita solehah sentiasa menjaga iman dan takwanya dan membuangkan segala sifat-sifat keji yang ada di dalam hatinya. Wanita solehah merasakan bahawa hidup di dunia ini hanya sementara dan di akhiratlah kehidupan yang kekal abadi. Wanita solehah sentiasa menghiasi dirinya dengan akhlak Islam, menutup aurat, berhati-hati di dalam percakapan dan pergaulannya supaya terhindar daripada kemurkaan Allah. Wanita solehah sentiasa menjaga lidahnya daripada mengumpat, memfitnah dan berkata dusta. Wanita  solehah melakukan ketaatan kepada Allah dan bersedia menjadi isteri dan ibu solehah.

Di manakah kecantika wanita solehah sebenarnya? Terdapat lapan keistimewaan wanita solehah yang tidak dimiliki oleh wanita-wanita yang lain. Wanita solehah akan memiliki kecantikan yang sebenar.

Pertama : Menundukkan pandangan (ghadhdul bashar)  nescaya hati dan jiwa akan semakin bening dan jernih.

Allah S.W.T. berfirman maksudnya : “Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya" (Surah an-Nur ayat 30-31)

Kedua : Sentiasa bersikap jujur, nescaya akan menjadi  semakin manis.

Daripada Abdullah bin Masud r.a. katanya sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Sesungguhnya kejujuran mengantarkan kepada kebaikan, dan kebaikan mengantarkan kepada syurga. Sesungguhnya seseorang biasa berlaku jujur hingga ia disebut shiddiq (orang yang senantiasa jujur). Sedang dusta mengantarkan kepada perilaku menyimpang (zalim) dari perilaku menyimpang mengantarkan kepada neraka. Sesungguhnya seseorang biasa berlaku dusta hingga ia disebut pendusta besar."
( Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmizi).

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman, yang artinya: “Hai orang-orang yang beriman,bertaqwalah kepada dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang jujur”
(Surah  At-Taubah ayat 119).

Dalam ayat lain, Allah S.W.T. berfirman, yang maksudnya: “Jikalau mereka jujur kepada Allah, nescaya yang demikian itu lebih baik bagi mereka”
(Surah Muhammad ayat 21)

Ketiga : Rasa malu yang lahir daripada Iman.

Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud :
"Malu itu sebahagian dari iman"

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Iman mempunyai lebih daripada enam puluh cabang. Adapun malu adalah salah satu cabang dari cabang iman."
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Sayyidina Ali bin Abi Thalib berkata : “Orang yang menjadikan sifat malu sebagai pakaiannya, nescaya orang-orang tidak akan melihat aib dan cela pada dirinya.”

Keempat : Sentiasa beristighfar yang menghilangkan semua dosa dan kesalahan yang di lakukan.

Istighfar merupakan syiar para nabi dan rasul, tidak ada seorang Nabipun yang tidak beristighfar dan selalu mengajak umatnya untuk beristighfar.

Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa beristighfar atas dosa yang telah mereka perbuat sepertimana firman Allah S.W.T. dalam surah Al-`Araf ayat 23 maksudnya :" Keduanya berkata "Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, niscaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi".

Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Barangsiapa mengucapkan 'Astaghfirullahal Adzim aladzi laa ilaha illa huwal hayyul qayyum wa atubu ilaihi' akan diampuni dosa-dosanya, meskipun pernah lari dari medan peperangan" (Hadis Riwayat Al Hakim)

Kelima : Sentiasa menjaga kehormatan diri dan menutup aurat.

Perjalanan harian kehidupannya penuh dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah S.W.T. Sentiasa menjaga kehormatan diri, menutup aurat, cukup berhati-hati di dalam percakapan, pergaulan dan tidak menimbulkan fitnah dan syak wasangka.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud " Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan itu adalah wanita solehah. "
(Hadis Riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah S.A.W.  yang bermaksud : "Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya)."
(Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani)

Firman Allah S.W.T. maksudnya :"...Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka,
atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putra-putra suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung".
(Surah An-Nur ayat 31)

Keenam : Sentiasa bersifat tawaduk dan membina rasa ukhwah.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala maksudnya : "(Mereka) keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka..."
(Surah al-Fath ayat 29)

Allah Subhanahu Wa Ta'ala menyuruh Nabi-Nya dengan firman-Nya yang bermaksud : "dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang mengikutimu, yaitu orang-orang yang beriman."
(Surah Asy-Syu'ara ayat  215)

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Maukah kamu aku tunjukkan akhlak yang paling mulia di dunia dan di akhirat? Memberi maaf orang yang menzalimimu, memberi orang yang menghalangimu dan menyambung silaturrahim orang yang memutuskanmu”
 (Hadis Riwayat Baihaqi)

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Maukah kamu aku tunjukkan amal yang lebih besar pahalanya daripada solat dan puasa?” Sahabat menjawab, “Tentu saja!” Rasulullah  kemudian menjelaskan, “Engkau damaikan yang bertengkar, menyambungkan persaudaraan yang terputus, mempertemukan kembali saudara-saudara yang terpisah, menyambungkan berbagai kelompok dalam Islam, dan mengukuhkan ukhuwah di antara mereka, (semua itu) adalah amal soleh yang besar pahalanya. Barangsiapa yang ingin dipanjangkan usianya dan dibanyakkan rezekinya, hendaklah ia menyambungkan tali persaudaraan”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Ketujuh : Mengelakkan fitnah untuk menjaga kesucian diri .

Dari Abu Malih Al- Hudzli : Kaum perempuan kota Himsh atau penduduk Syam menemui Aisyah. lalu Aisyah berkata " Kamu adalah kaum perempuan yang masuk ke kamar mandi. padahal, aku mendengar Rasulullah S.A.W.  bersabda maksudnya : "Siapa saja perempuan yang meletakkan pakaiannya bukan di rumah suaminya, Allah akan membuka aibnya"
( Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Hakim )

Abu Hurairah r.a pun menyebutkan, ketika turun ayat al- Mula'anah ( tentang suami-istri yang saling melaknat kerana tuduhan perbuatan serong ) Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : " Siapapun perempuan yang menemui suatu kaum yang bukan kerabatnya, ia akan tidak memperoleh apapun dari Allah S.W.T dan Dia tidak akan memasukkannya ke syurga "

Dari Aisyah ra berkata : “Sesungguhnya wanita-wanita Quraisy memiliki beberapa kelebihan. Demi Allah, sesungguhnya aku tidak pernah melihat wanita lain yang lebih baik daripada wanita kaum Anshar dalam hal keimanannya terhadap kitabullah dan apa-apa yang diturunkan-Nya. Ketika turun surat An-Nur, pada potongan ayat (yang artinya) : Dan hendaknya mereka memakai tudung sampai menutupi dada mereka. Maka saat itu pula para suami membacakan kepada anak-anak perempuan, saudara-saudara perempuan dan kerabat-kerabatnya setelah dibacakan, maka tidak ada satu wanita pun kecuali mereka memakai tudung (jilbab) lalu mereka melipatkannya di atas kepala mereka. Hal itu dilakukan kerana kepercayaan dan keimanan mereka terhadap apa yang telah diturunkan Allah dalam kitab-Nya. Kemudian tatkala mereka berada di belakang Nabi Shallallahu Alaihi wasallam , mereka terlihat sudah mengenakan jilbab. Seolah-olah di atas kepala mereka ada seekor burung ghirban.”

Hadis di atas menunjukkan contoh perempuan yang tidak menjaga diri daripada perkara-perkara yang boleh mendatangkan fitnah yang akan menjerumuskan pada fitnah yang lebih besar.

Semoga semua para wanita  senantiasa menjaga kesucian diri mereka dan elakkanlah segala bentuk fitnah yang mungkin boleh berlaku tanpa disedarinya.

Kelapan : Sentiasa berwuduk nescaya akan bercahaya wajahnya di hari akhirat.

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Umatku akan tampil pada hari kiamat dengan  wajah bersinar tangan serta kakinya berkilauan dari bekas-bekas wudhu."

Sahabat yang dimuliakan,
Wahai para wanita solehah yang budiman, jika kalian menghiasi diri kalian dengan lapan perkara di atas, kalian akan menjadi wanita solehah idaman lelaki soleh. Kalian telah meletakkan diri kalian ditempat yang mulai di sisi Allah S.W.T. Kalian bakal menjadi ketua bidadari di syurga yang lebih cantik daripada bidadari bermata jeli!

Wednesday, December 29, 2010

Sembilan Faktur Tanda-tanda Iman Lemah

Sahabat yang dirahmati Allah,
Iman seorang muslim adakala kuat dan adakalanya lemah. Ianya turun naik setiap masa bergantung pada kehidupan dan keadaan seseorang itu. Ketika seseorang  ditimpa dengan berbagai masaalah kehidupan dan diuji dengan berbagai musibah maka ketika ini biasanya iman akan menjadi lemah kerana timbul rasa gelisah dan keluh kesah.

Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Iman itu naik dan turun, maka sentiasa perbaharui iman kamu".

Tetapi, kebanyakan daripada kita mentafsirkan hadis tersebut bahawa sekiranya berlaku kelemahan diri kita, kita mengatakan sememangnya iman itu ada masa naik dan ada masa turun. Sepatutnya kita merasakan bahawa sekiranya tahap iman kita rendah kita berusaha untuk meningkatkannya.

Tapi kita lupa hal terpenting yang harus kita ambil dari hadis itu, iaitu apakah tindakan selanjutnya apabila mendapati iman kita semakin turun, maka tidak seharusnya kita membiarkannya turun. Kita harus memperbaharuinya dan ini boleh dilakukan dengan banyak cara.

Sahabat yang dimuliakan,
Istilah futur adalah merujuk kepada kemerosotan atau kemalapan yang berlaku pada keimanan atau keislaman seseorang. Futur adalah satu penyakit. Seseorang yang dihinggapi penyakit ini akan lemah dalam melaksanakan tanggungjawab yang di amanahkan oleh Allah S.W.T.

Terdapat 9 faktur jika wujud dalan diri seseorang sebenarnya dia sedang mengalami futur, ketika inilah perlu kita bertindak segera untuk meningkatkan semulai iman kita ketahap yang biasa atau lebih tinggi lagi. Perkara-perkara tesebut adalah seperti berikut :

1. Malas beribadah.

Sering melewat-lewatkan waktu solat. Kadangkala sehingga terlepas waktunya tanpa disedari. Malas solat sunat , berzikir dan membaca al-Quran . Menghabiskan banyak masa untuk tidur, berbual kosong atau melayan hobi yang kurang manfaatnya.

Betapa besarnya dosa orang yang meninggalkan solat atau melalaikan solat hingga luput waktunya. Renungkan hadis Rasulullah S.A.W. di bawah yang menghalang perbuatan tersebut .

Saad bin Abi waqas bertanya Rasulullah S.A.W. mengenai orang yang melalaikan solat maka jawab baginda " Iaitu mengakhirkan waktu solatnya dari waktu asalnya hingga sampai waktu solat lain. Mereka telah mensia-siakan dan melewatkan waktu solatnya, maka mereka diancam dengan Neraka Wail".

2. Tidak ada perasaan takut mengenai kematian. 

Apabila hati tidak langsung mengingati kematian ini bermakna iman sedang ditahap yang lemah. Oleh itu kita digalakkan menziarahi orang mati  dan menziarahi kubur sebagai ubat agar hati dapat mengambil pengajaran daripada kematian. Hati orang mukmin sentiasa mengingati kematian sebagai satu cara untuk membersihkan hatinya.

Daripada Abu Hurairah r.a , Rasulullah S.A.W.  bersabda yang bermaksud :
"Perbanyakkanlah olehmu mengingati sesuatu yang memutuskan segala kelazatan (mati)."
(Hadis Riwayat Tirmizi)

3. Melakukan maksiat samaada kecil atau besar. 

Lebih teruk lagi apabila maksiat sudah menjadi kebiasaan dan bergembira dengan maksiat.
Sabda Nabi S.A.W maksudnya : " Barang siapa di antaramu melihat kemungkaran hendaklah ia merubahnya (mencegah) dengan tangannya (kekuasaan) jika ia tidak sanggup, maka dengan  lisannya (nasehat), dan jika tak sanggup juga, maka dengan hatinya (merasa tak
senang dan tak setuju, tinggalkan !) dan itu adalah selemah-lemahnya Iman. " 
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Berdasarkan hadis di atas jika seseorang itu tidak rasa bersalah dengan maksiat yang dilakukan dan gembira pula maka sebenarnya sedikit pun iman tidak ada didalam hatinya.

 4. Suka melihat atau menyaksikan maksiat.
Zina mata adalah mata suka melihat maksiat dilakukan oleh orang lain. Memerhatikan aurat wanita yang bukan mahram dan juga melihat filem-filem lucah atau gambar-gambar seksi adalah maksiat yang dibuat oleh mata, dari mata akan turun ke hati dan hati akan hilang kemanisan beribadah kepada Allah S.W.T. 

5. Ukuwah menjadi longgar. 

Sifat orang mukmin adalah sentiasa baik sangka kepada saudaranya yang lain. Dia cinta dan kasih pada saudaranya semata-mata kerana Allah. Dia datang berziarah adalah semata-mata kerana Allah dan bukan diatas sebab-sebab ada kepentingan duniawi kerana harta atau kerana hubungan keluarga.

Dari Muaz bin Jabal meriwayatkan, aku mendengar Rasulullah S.A.W.  meriwayatkan hadis qudsi : Allah Azzawa Jalla berfirman yang bermaksud : " Orang-orang yang mencintai satu sama lain kerana kebesaran dan kemuliaan-Ku akan duduk diatas mimbar-mimbar nur pada hari Qiyamat, (bahkan) nabi-nabi dan para syuhada akan beriri hati kepada mereka."
(Hadis Riwayat Tirmizi)

Orang mukmin akan mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri. Jika perasaan kasih sayang dan ukhwah menjadi longgar ini petanda imannya sedang lemah.

6. Ghairah kepada dunia. 

Sebuk dengan dunia hingga membuang masa dengan kerja-kerja yang tak berfaedah.
Firman Allah s.w.t bermaksud :“Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi. Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.” 
(Surah Al-A’laa: 16-17)

Apabila seseorang sibuk dengan hal-hal dunia seperti hiburan yang melalaikan , hanya memikirkan nak besarkan rumah, perabut yang mahal-mahal, kereta mewah, untuk mengaut keuntungan dan bekerja siang malam , jika kesemua ini menjejaskan berhubungannya dengan Allah, dan membuat seseorang merasa jauh dari kedudukan yang tinggi di akhirat kelak, sebenarnya dia sedang ghairah dan mabuk dengan dunia.

Firman Allah maksudnya :“Kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu).”
(Surah At-Takaatsur ayat  6)

7. Berbangga dengan kemajuan duniawi.

 Islam tidak menghalang kemajuan duniawi dengan bangunan yang mencakar langit, kemajuan sains dan teknologi. Tetapi Islam amat menitik beratkan nilai-nilai rohani dan jika nilai rohani dan akhlak yang mulia diabaikan dan lebih mengutamakan kemajuan duniawi maka ianya dilarang. Dibarat dan Jepun terlalu mengutamakan kemajuan tetapi mengabaikan nilai-nilai moral manusia akibatnya mereka menuju kepada kehancuran.

Qarun, kaum 'Ad, kaum Samud dan kaum Luth semua mereka maju dengan pembangunan material tetapi mereka engkar dengan perintah Allah S.W.T. yang di bawa oleh para Rasul maka mereka dibinasakan oleh Allah S.W.T.

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri- isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah- rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehinggga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya) kerana Allah tidak akan memberi pertunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). 
(Surah at-Taubah ayat 24)
 
8. Lemah atau tidak bersedia dengan kerja-kerja amal Islam.

Jika timbul perasaan malas bekerja untuk amal Islam dan sanggup membiarkan kerosakkan masyarakat berlaku tanpa di jalankan kerja-kerja dakwah dan tarbiyah maka ini adalah petanda futur sedang melanda seorang da'i atau  seorang pekerja Islam. Kerja-kerja amal makruf nahi mungkar perlu dijalankan tanda kita menyahut seruan Allah S.W.T.
 
9. Menangguh-nangguhkan kerja.

Apa sahaja kerja yang membawa kebaikan dan amal soleh tidak boleh ditangguh-tangguhkan.
Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Bersegeralah kalian untuk berbuat amal soleh, kerana akan muncul berbagai fitnah seperti penggalan-penggalan malam yang gelap-gulita, ada orang yang paginya beriman, petangnya kafir. Ada yang petangnya beriman, paginya kafir. Ia jual agamanya dengan barang perhiasan dunia."
(Hadis Riwayat Muslim)

Sahabat yang dikasihi, 
Marilah sama-sama kita tingkatkan iman kita kepada Allah S.W.T dengan melaksanakan semua suruhanNya dan meninggalkan semua larangan-Nya. Jika salah satu sifat diatas wujud pada diri kita sebenarnya kita sedang futur atau lemah iman maka perlulah kita perbaiki segera. Peruntukkanlah masa kita untuk berjumpa orang-orang soleh untuk menimba ilmu pengetahuan dan tarbiyah. Perbanyakkanlah membaca al-Quran, berzikir dan solat tahajud supaya kita dapat perbaiki iman dan jiwa kita yang lemah menuju kepada kecintaan kepada Allah S.W.T dan Rasul-Nya Muhammad S.A.W.

Tuesday, December 28, 2010

Sembilan Jenis Wanita Yang Perlu Dijauhi Lelaki

Bismillahirrahmanirrahim…Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha penyayang.

ASSALAMU’ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH…  

Renungan bersama untuk kita semua

LELAKI SERING DIGAMBARKAN SEBAGAI SEORANG YANG EGO, KERAS HATI DAN PEMBULI SEMENTARA WANITA PULA DIGAMBARKAN SEBAGAI MAKHLUK LEMAH LEMBUT DAN PERLUKAN PERHATIAN DARI LELAKI SEPENUHNYA.

Tetapi awas, bukan semua kejadian begitu sebaliknya 9 sikap ini perlu anda beri perhatian tentang wanita. Cuba semak, apa sikap wanita yang perlu lelaki jauhi!

1. Perasan cantik

Wanita ini, beranggapan amat mudah mencairkan hati lelaki dengan kecantikan yang mereka ada. Lebih malang, ada yang menjadikan wajah cantik sebagai aset dan bergelar pisau cukur dengan mengikis harta lelaki kaya yang begitu mendambakan layanan wanita cantik. Biasanya golongan cantik ini percaya, wajah mereka boleh memberikan mereka apa saja termasuklah cinta.

2. Punya ‘sugar daddy’

Dalam kehidupan di kota yang serba-serbi memerlukan wang ada wanita yang sanggup mendampingi lelaki kaya demi kesenangan hidup. Mereka sanggup menyerahkan tubuh badan memberikan layanan seks demi wang biar pun haram di sisi agama. Lelaki yang merasakan ia satu peluang yang sukar dilepaskan pula sanggup menabur wang untuk kepuasan nafsu mereka.

3. Pandai ambil kesempatan

Bagi mereka, setiap peluang perlu direbut dengan pantas tanpa mengambil kira sama ada ia hak orang lain atau tidak. Kalau tidak, masakan muncul kisah tunang dirampas, suami diambil wanita lain dan sebagainya.

4. Suka mengongkong

‘Queen control’ inilah gelaran paling sinonim dengan wanita sedemikian. Mereka suka mengawal semua pergerakan pasangannya, dengan siapa suami keluar, balik jam berapa dan macam-macam lagi. Suami yang mendapat isteri begini dikatakan sering menjadi bahan jenaka jika sanak saudara berkumpul.
Cuba bayangkan, ketika sedang minum di kedai mamak bersama rakan lelaki, isteri menelefon menyuruh anda balik segera sedangkan teh tarik baru saja terhidang. Suami mana yang tidak stres. Wanita ini bersikap demikian kerana cemburu dan tidak mahu suami mempunyai wanita lain.

5. Mahu Sempurna

Sikap wanita yang mahukan kesempurnaan juga merimaskan. Bagi mereka, setiap perbuatan orang lain adalah salah dan hanya mereka saja yang betul. Malah bagi mereka, tiada orang lain yang sempurna kecuali mereka. Bayangkan jika anda mempunyai isteri begini, alamatnya makan hatilah selama bersama.

6. Selekeh 

Jangan ingat lelaki saja yang selekeh tetapi ada juga wanita yang tidak tahu menjaga penampilan diri. Bagi mereka, cukup berkain batik saja bila di rumah atau memakai baju kaftan seharian walau pun suami ada di rumah. Sebaiknya, biar tidak cantik tetapi pandai menjaga penampilan diri.
Begitu juga halnya dengan wanita yang tidak mempedulikan apa kata-kata orang tentang penampilannya itu, ia juga bahaya. Mereka tidak dapat membuat penilaian tentang diri sendiri selain mengabaikan cakap-cakap orang tentang mereka juga.

7. Suka mengharap

Ada sesetengah wanita yang tidak mampu membuat sebarang keputusan untuk diri mereka dan terlalu mengharapkan orang lain memberikan jawapan bagi diri mereka. Biasanya wanita begini kalau ditinggalkan suami, hidup mereka lebih merana kerana terlalu mengharap.

8. Terlalu cemburu

Lebih teruk lagi jika cemburu buta. Wanita ini biasanya akan menyerang pasangan sebelum sempat memberi penjelasan. Cemburu ini biasanya akan menjadi perosak kepada sebuah perhubungan. Malah ada yang sanggup memutuskan perhubungan kerana tidak sanggup berdepan dengan kerenah wanita cemburu.

9. Tidak berhati-hati

Bayangkan, apabila anda tidak berhati-hati dalam setiap perbuatan dan kata-kata, ia tentu saja akan melukakan hati orang lain.


Wallahu a'lamu bi al-shawab......

(Di petik daripada tulisan Mohamad Zuhairi Abd Hadi)

15 Tanda Kematian Mulia (شاهد وحمل فيديو)

Bismillahirrahmanirrahim…Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha penyayang.

ASSALAMU’ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH…

Renungan bersama untuk kita semua


Pernahkah kita meminta supaya kita dimatikan dengan penutup yang baik ‘husnul khatimah’?

Sebenarnya bukan kena minta sahaja tetapi kena buru dan kena cari. Kali ini kita bincangkan tanda-tanda mati husnul khatimah. Antara tanda mati husnul khatimah ialah:

1. Mengucapkan kalimah syahadah ketika wafat. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang pada akhir kalimahnya mengucapkan La ilaaha illallah maka ia dimasukkan ke dalam syurga." (Hadis Riwayat Hakim)

2. Ketika wafat dahinya berkeringat. Ini berdasarkan hadis dari Buraidah Ibnul Khasib. Adalah Buraidah dahulu ketika di Khurasan, melihat saudaranya yang tengah sakit, namun didapatinya ia sudah wafat dan terlihat pada jidatnya (dahi) berkeringat, kemudian dia berkata: "Allahu Akbar, sungguh aku telah mendengar Rasulullah bersabda: Matinya seorang mukmin adalah dengan berkeringat dahinya." (Hadis Riwayat Ahmad, an-Nasai, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, Al-Hakim dan ath-Thayalusi dari Abdullah bin Mas'ud)

3. Mati syahid di dalam medan perang.

4. Mati dalam peperangan fisabilillah.

Rasulullah bersabda, maksudnya: "Apa yang kalian kategorikan sebagai orang yang mati syahid di antara kalian?

Mereka menjawab: "Wahai Rasulullah yang kami anggap sebagai orang yang mati syahid adalah siapa saja yang mati terbunuh di jalan Allah.

Baginda bersabda: "Kalau begitu umatku yang mati syahid sangatlah sedikit."

Kalangan sahabat kembali bertanya: "Kalau begitu siapa sajakah dari mereka yang mati syahid wahai Rasulullah?"

Baginda menjawab: "Sesiapa yang terbunuh di jalan Allah, yang mati sedang berjuang di jalan Allah dan yang mati kerana penyakit kolera, yang mati kerana penyakit perut (iaitu disebabkan penyakit yang menyerang perut seperti busung lapar atau sejenisnya), dialah syahid dan orang-orang yang mati tenggelam, dialah syahid."(Hadis riwayat Muslim, Ahmad dan al-Baihaqi)

5. Mati disebabkan penyakit kolera. Mengenai ini banyak hadis Rasulullah S.A.W. meriwayatkan antaranya sebagai berikut:

Rasulullah bersabda, maksudnya: "Penyakit kolera adalah penyebab mati syahid bagi setiap Muslim." (Hadis riwayat Bukhari, ath-Thayalusi dan Ahmad)

6. Mati kerana tenggelam.

7. Mati kerana tertimpa runtuhan/tanah.

Dalil dari dua perkara di atas adalah berdasarkan sabda Rasulullah bermaksud: "Kalangan syuhada itu ada lima; orang yang mati kerana wabak kolera, kerana sakit perut, tenggelam, tertimpa runtuhan bangunan dan syahid berperang di jalan Allah." (Hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi dan Ahmad)

8. Perempuan yang meninggal kerana melahirkan anak.

9. Mati terbakar.

10. Mati kerana penyakit busung perut.

Mengenai kedua perkara ini banyak sekali riwayat dan yang paling masyhur adalah dari Jabir bin Atik secara marfu': "Kalangan syuhada ada tujuh: Mati terbunuh di jalan Allah, kerana penyakit kolera adalah syahid, mati tenggelam adalah syahid, kerana busung lapar adalah syahid, kerana penyakit perut keracunan adalah syahid, kerana terbakar adalah syahid dan yang mati kerana tertimpa runtuhan (bangunan atau tanah gelongsor) adalah syahid serta wanita yang mati ketika hamil adalah syahid." (Hadis riwayat Imam Malik, Abu Daud, an-Nasa'i, Ibnu Majah dan Ahmad)

11. Mati kerana penyakit Tubercolosis (TBC).

Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya: "Mati di jalan Allah adalah syahid dan perempuan yang mati ketika melahirkan adalah syahid, mati kerana terbakar adalah syahid, mati kerana tenggelam adalah syahid, mati kerana penyakit TBC adalah syahid dan mati kerana penyakit perut adalah syahid." (Hadis riwayat Thabrani)

12. Mati kerana mempertahankan harta dari perompak. "Sesiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya (dalam riwayat lain; Sesiapa menuntut hartanya yang dirampas lalu ia terbunuh) adalah syahid." (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, an-Nasa'i, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad)

13. Mati dalam membela agama dan jiwa. "Sesiapa mati terbunuh dalam membela hartanya, dia mati syahid; siapa saja yang mati dalam membela keluarganya, dia mati syahid; sesiapa mati dalam membela agama (keyakinannya), dia mati syahid dan siapa saja yang mati mempertahankan darah (jiwanya) dia syahid."

14. Mati dalam berjaga-jaga (waspada) di jalan Allah. Rasulullah S.A.W.  bersabda, maksudnya: "Berjaga-jaga (waspada) di jalan Allah sehari semalam adalah lebih baik daripada berpuasa selama sebulan dengan mendirikan (solat) pada malam harinya. Apabila dia mati, mengalirkan pahala amalannya yang dahulu dilakukannya dan juga rezekinya serta aman dari seksa kubur (fitnah kubur)."

15. Orang yang meninggal ketika mengerjakan amal soleh.

Semoga kematian kita dalam husnul khatiimah.

Tidak seorangpun mampu melarikan diri dari kematian. Bahkan, kematian itu yang akan menemui kita, bila dan dimanapun. “Katakanlah (wahai Muhammad) bahwa kematian yang kalian lari daripadanya, dia akan menemui kalian…” (Surah  Al-Jumu‘ah ayat 8).

Kita pun tidak dapat bersembunyi darinya: “Di mana saja kalian berada, kematian itu akan mendapatkan kalian, walaupun kalian bersembunyi di balik benteng yang sangat tinggi lagi kukuh…” (Surah Al-Nisâ’ ayat 78).

Pesan ‘Ali ibn Abi Thalib…

Kematian bukan untuk ditakuti. Kerana takut atau tidak takut, kematian akan datang. Yang penting adalah persiapan untuk menghadapi waktu datangnya kematian. Maka, ada dua hal penting berkenaan dengan kematian ini:

1. Banyak mengingatnya. Jangan lalai dalam hal ini. “Perbanyklah mengingat kematian, sebab seorang hamba yang banyak mengingatnya, maka Allah akan menghidupkan hatinya dan akan menghilangkan baginya rasa sakit kematian itu.” (Hadis Riwayat  Al-Dailami)

2. Bersiap-siap dalam menyambutnya. Kita harus mempersiapkan amal sebanyak-banyak untuk kematian. Al-Ashbu’ al-Hanzhali menceritakan bahwa menjelang kematiannya, Imam ‘Ali bersenandung lewat bait syair:

Bersiaplah menghadapi kematian

Kerana kematian nescaya menjumpaimu

Janganlah engkau takut akan kematian

Saat itu telah berada di lembahmu

Wallahu a'lamu bi al-shawab......

Monday, December 27, 2010

Laksanakan Lima Wasiat Allah S.W.T. Kepada Rasulullah S.A.W.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sabda Rasulullah S.A.W. yang maksudnya : "Pada waktu malam saya diisrakkan sampai ke langit, Allah S.W.T. telah memberikan lima wasiat, antaranya :

1. Janganlah engkau gantungkan hatimu kepada dunia kerana sesungguhnya Aku tidak menjadikan dunia ini untuk engkau.
2. Jadikan cintamu kepada-Ku sebab tempat kembalimu adalah kepada-Ku.
3. Bersungguh-sungguhlah engkau mencari syurga.
4. Putuskan harapan dari makhluk kerana sesungguhnya mereka itu sedikitpun tidak ada kuasa di tangan mereka.
5.  Rajinlah mengerjakan sembahyang tahajjud kerana sesungguhnya pertolongan itu berserta qiamullail.

Berdasarkan hadis tersebut di atas Allah S.W.T telah memerintahkan Rasul-Nya untuk melaksanakan wasiat tersebut di dalam kehidupan dan memerintahkan baginda untuk sampaikan kepada umatnya.

Huraian wasiat-wasiat terebut adalah seperti berikut :

Pertama : Janganlah engkau gantungkan hatimu kepada dunia kerana sesungguhnya Aku tidak menjadikan dunia ini untuk engkau.

Dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya :”Dunia penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Dunia ini harus kita nikmati dengan mengikuti segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Dikatakan bahawa dunia adalah penjara bagi mukmin kerana di dunia manusia terdedah dengan pelbagai macam godaan dan ancaman yang mencabar keimanan. Dunia juga adalah tempat main-main dan senda gurau bukan tempat yang kekal abadi.

Bahkan apa yang dilarang oleh agama itu selalunya menjadi kesukaan nafsu manusia. Namun hakikatnya laranga-larangan itu adalah demi kebaikan dan kesejahteraan manusia itu sendiri agar tidak terjebak ke lembah kebinasaan.

Berbeza pula bagi golongan kafir mereka bebas melakukan apa sahaja sehingga akhirnya mereka merosakkan jiwa dan diri mereka sendiri. Inilah hakikat dunia yang akan menjadikan manusia yang alpa tenggelam di dalamnya.

Sebab itu kita selaku orang mukmin diseru agar memanfaatkan dunia dengan bijaksana iaitu apabila kita berusaha memanfaatkan kehidupan dunia sebagai jambatan menuju kebahagiaan akhirat, maka Allah akan memberikan kedua-duanya (kebahagiaan dunia dan akhirat).

Jabir bin Abdullah berkata : "Pada suatu hari sewaktu saya bersama baginda Rasulullah S.A.W. maka tiba-tiba datang seorang lelaki yang berwajah putih bersih, rambutnya sangat cantik dan dia memakai pakaian yang putih. Lantas dia menghampiri Rasulullah S.A.W. dengan berkata : "Assalamualaikum ya Rasulullah, apakah ertinya dunia itu?

Maka Rasulullah s.a.w. pun berkata : " Dunia itu adalah impian orang yang tidur"

Bertanya orang itu lagi : "Apakah ertinya akhirat itu ya Rasulullah S.A.W.?"

Berkata Rasulullah S.A.W. : " Satu kumpulan manusia yang berada dalam syurga dan satu kumpulan lagi berada di dalam Neraka Sa'ir"

Kedua : Jadikan cintamu kepada-Ku sebab tempat kembalimu adalah kepada-Ku.

Perasaan cinta dan kasih sayang adalah fitrah manusia. Manusia perlu mencintai dan di cintai. Cinta paling agong dan paling tinggi adalah cinta kepada Allah S.W.T. Cinta-cinta yang lain sesama makhluk mestilah berpaksikan cinta kerana Allah, kerana cinta bukan kerana Allah menyebabkan cinta itu palsu dan tidak akan kekal lama dan ianya berasakan nafsu semata-mata. Allah S.W.T. akan murka kepada sesiapa yang mencintai orang lain bukan kerana-Nya.

Untuk mendapatkan cinta kepada Allah S.W.T. seorang hamba itu mestilah membanyakkan bermunajat, solat sunat, membaca al-Quran dan berzikir. Lidahnya tidak kering sentiasa menyebut nama-Nya, memuji dan mengagungkan-Nya . Apabila berkumandang suara azan, jiwa dan hatinya rasa seronok kerana menuju ketempat solat menyahut panggilan muazin dan dapat bertemu dan mengabdikan diri kepada-Nya.

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri- isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah- rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehinggga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya) kerana Allah tidak akan memberi pertunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). (Surah at-Taubah ayat 24)

Oleh itu marilah kita memberikan memberikan cinta kita kepada Allah S.W.T. dengan hati yang ikhlas dengan mentaati segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Semoga cinta yang agung ini akan menyelamatkan kita daripada seksaan yang daksyat di hari akhirat nanti. 

Ketiga : Bersungguh-sungguhlah engkau mencari syurga.

Terdapat tujuh amal soleh apabila dilaksanakan bersungguh-sungguh akan mendapat balasan syurga. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

1. Bertakwa kepada Allah.

Menurut Syara’, ‘Takwa’ bererti : “Menjaga dan memelihara diri dari siksa dan murka Allah s.w.t. dengan jalan melaksanakan perintah-perintahNya, taat kepadaNya dan menjauhi larangan-laranganNya serta menjauhi perbuatan maksiat”.

Allah berfirman maksudnya :‘’Sesungguhnya bagi orang-orang yang bertakwa (disediakan) syurga-syurga yang penuh kenikmatan di sisi Rabbnya.'’ (Surah al-Qalam ayat 34).

2. Beriman dan beramal dengan ikhlas serta sesuai dengan yang diajarkan Rasulullah S.A.W.

Dari Abu Hurairah bahwa Rasulullah S.A.W.  bersabda :(Setiap umatku masuk ke dalam syurga kecuali yang enggan, para sahabat bertanya : ‘’Siapa yang enggan itu wahai Rasulullah ?'’ Baginda  menjawab : ‘’Siapa yang taat kepadaku nescaya ia masuk syurga, dan siapa yang bermaksiat (melanggar) kepadaku maka sesungguhnya dia lah orangnya yang enggan itu.'’ (Hadis Riwayat Bukhari)

3. Melaksanakan seluruh perintah Allah S.W.T. menjauhkan seluruh larangan-Nya dan melaksanakn hal-hal yang diwajibkan serta meninggalkan hal-hal yang diharamkan.

Dari Jabir katanya seorang laki-laki bertanya kepada Rasulullah S.A.W. : "Bagaimana pendapatmu, apabila aku telah melakukan solat wajib, dan berpuasa Ramadan, aku halalkan yang halal dan aku haramkan yang haram, dan tidak kutambah yang demikian itu dengan yang lainnya, dapatkah aku masuk syurga ? Jawab baginda : ‘’Ya, dapat !.'’ 
(Hadis Riwayat Muslim.)

4. Bertaubat dan memohon ampunan kepada Allah S.W.T. dari seluruh dosa dan kesalahan. Suka bersedekah, mampu menahan marah serta memiliki sifat pemaaf.

Allah berfirman maksudnya :‘’Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Rabbmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, (iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan. Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain dari pada Allah . Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui. Mereka itu balasannya ialah ampunan dari Rabb mereka dan syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya; dan itulah sebaik-baik pahala orang-orang yang beramal.'’ (Surah Ali-Imran ayat 133-136).

5. Berhijrah dari keburukan (jahiliyah) kepada kebaikan (Islam), serta berjihad dengan harta dan jiwa demi meninggikan kalimah Allah.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : ‘’Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi derajatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapatkan kemenangan. Rabb mereka mengembirakan mereka dengan memberikan rahmat daripada-Nya, keredaan dan syurga, mereka memperoleh di dalamnya kesenangan yang kekal, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar.'’ (Surah at-Taubah ayat 20-22)

6. Istiqamah dalam ketaatan dan bersungguh-sungguh dalam menjalankannya.

Firman Allah S.W.T.  maksudnya  : ‘’Sesunguhnya orang-orang yang mengatakan : ‘’Rabb kami ialah Allah'’, kemudian mereka tetap istiqamah maka tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan mereka tiada (pula) berdukacita. Mereka itulah penghuni - penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya; sebagai balasan atas apa yang telah mereka kerjakan.'’(Surah al-Ahqaf  ayat 13-14)

7. Khusyuk dalam solat, meninggalkan perbuatan yang tidak berguna dan membayar zakat, menjaga kemaluan serta memelihara amanah.

Firman Allah s.w.t maksudnya : ‘’Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya, dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna, dan orang-orang yang menunaikan zakat, dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela. Barangsiapa mencari yang di balik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya, dan orang-orang yang memelihara solatnya. Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi, (yakni) yang akan mewarisi Syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.'’(Surah al-Mukminun ayat 1-11)

Keempat : Putuskan harapan dari makhluk kerana sesungguhnya mereka itu sedikitpun tidak ada kuasa di tangan mereka.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :
"Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, maka Allah akan menunjukkan kepadanya jalan keluar dari kesusahan, dan diberikanNya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka, dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan keperluannya."
(Surah At-Talaq ayat 2-3)
Apa itu tawakal? Tawakal bererti menyerah diri kepada Allah dalam melaksanakan sesuatu perancangan bersandarkan kepada kekuatan-Nya dalam menjayakan suatu pekerjaan atau berserah diri di bawah lindungan-Nya pada saat menghadapi kesusahan.

Orang mukmin akan putuskan harapan dari makhluk kerana makhluk tidak mempunyai apa-apa kekuatan, kerana kekuatan sebenar adalah kekuatan Allah S.W.T. Dia bertawakal dan berserah diri hanya kepada Allah S.W.T. Makhluk tidak boleh mendatangkan sedikit pun mudarat melainkan dengan izin Allah S.W.T.

Kelima : Rajinlah mengerjakan sembahyang tahajjud kerana sesungguhnya pertolongan itu berserta qiamullail.

Solat satu ibadah khusus solat sunat yang amat dituntut untuk dikerjakan oleh seorang mukmin adalah solat tahajjud. Kekuatan solat tahajjud adalah dapat membina hubungan hati dengan Allah S.W.T.
 
“Tahajjud” bermaksud bangun dari tidur pada waktu tengah malam. Solat tahajjud boleh dikerjakan di permulaan, pertengahan atau penghabisan malam, asalkan sesudah menunaikan solat Isyak. Akan tetapi sebaik-baik waktu melakukannya ialah sepertiga malam yang terakhir. Sekurang-kurangnya solat tahajjud dikerjakan dua rekaat.

Firman Allah s.w.t maksudnya :
“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “solat Tahajjud” padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”. 
(Surah al-Israa’ ayat 79)
Dalam sebuah hadis dari Bilal r.a. bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud, “Hendaklah kamu qiamul lail (solat malam), kerana sesungguhnya solat malam itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu, dan mendekatkan diri kepada Allah, mencegah dari perbuatan dosa, dan menutupi dosaatau kejahatan-kejahatan dan mengusir penyakit dari badan.” 
( Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Hakim dan Baihaqi.)
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita laksanakan lima wasiat Allah S.W.T kepada Nabi S.A.W ketika baginda di israkkan untuk bertemu Allah S.W.T. Sesungguhnya kelima-lima wasiat tersebut akan mendekatkan diri kita kepada Allah S.W.T dan akan mendapat balasan syurga di hari akhirat nanti.

Sunday, December 26, 2010

Orang Mukmin Akan Melaksanakan Amanah Dengan Penuh Tanggungjawab

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap muslim  akan dipertanggungjawab terhadap segala amalannya di dunia ini. Jika dia berusaha dan bersungguh-sungguh melaksanakan amanah dan tugas yang dibebankan dibahunya dengan penuh rasa tanggungjawab maka ianya akan meringankan timbangan amal di hari akhirat nanti.

Setiap lelaki muslim dan wanita muslimah mempunyai berbezaan tanggungjawab ketika di dunia ini mengikut bidang dan tugas masing-masing. Kaum lelaki mempunyai tanggungjawab yang lebih berat dan besar berbanding dengan kaum wanita. Dia akan bertanggungjawab kepada isterinya, anak-anaknya, adik perempuannya dan kepada ibu-bapanya.

Amanah adalah satu hak yang dipertanggungjawabkan kepada seseorang samada tanggungjawab itu milik Allah (hak Allah) mahupun hak manusia (hak insan) baik berupa pekerjaan mahupun perkataan dan pekerjaan hati.

Pengertian amanah bererti menempatkan sesuatu pada tempatnya yang wajar, seperti sesuatu kedudukan tidak diberikan kecuali kepada orang yang betul-betul berhak dan yang betul-betul mampu menunaikan tugas dan kewajipannya dengan benar.
Pengertian amanah di dalam Islam cukup luas dan berat untuk pertanggungjawabkan.

Sabda Rasulullah S.A.W. dari riwayat Al-Bukhari yang bererti : " Kamu sekalian adalah pemimpin dan kamu juga akan diminta bertanggungjawab tentang apa yang kamu pemimpin, ketua atau imam adalah pemimpin dan ia akan diminta tanggungjawab tentang apa yang dipimpin. Suami adalah pemimpin di dalam keluarganya, dan dia akan bertanggungjawab tentang apa yang dipimpin. Isteri juga dipimpin, dalam mengendalikan rumahtangga suaminya dan dia juga akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya, dan pembantu rumahtangga juga pemimpin dalam mengawasi harta benda majikannya dan dia juga akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya."

Dari hadis ini jelaslah bahawa tiap-tiap orang tidak dapat melepaskan diri dari tanggungjawab, dan tiap-tiap orang tidak dapat melepaskan tugasnya terhadap masyarakat dan semuanya akan ditanya oleh Allah apakah tanggungjawab kita itu dapat dilaksanakan dengan baik atau tidak.

Sahabat yang dimuliakan,
Terdapat satu kisah yang telah diceritakan oleh Abdullah Ibnu Dinar: " Pada suatu hari, saya berjalan bersama Khalifah Umar Al-Khatab di Mekah, waktu itu saya bertemu dengan seorang budak pengembala kambing yang sedang mengembala kambingnya.

Kemudian Saidina Umar berkata kepada budak pengembala kambing itu : " juallah kambing itu kepadaku "

Budak itu menjawab :" Kambing ini bukan kambingku, tetapi kepunyaan tuanku ".

Kemudian Saidina Umar sekali lagi cuba menawarnya : " Bukankah engkau dapat mengatakan kepada tuan engkau, bahawa satu di antaranya telah dimakan serigala, dan pasti tuan engkau tidak akan mengetahuinya.

" Tidak, saya tidak mahu, " kata budak itu, " Sesunggguhnya Allah Maha Mengetahui ".

Kemudian setelah mendengar yang demikian, menangislah Saidina Umar dan berkata kepada pengiringnya supaya memanggil tuannya, Saidina Umar telah membeli budak itu lalu dibebaskan oleh beliau, dengan berkata : " Sejak hari ini engkau bebas merdeka di dunia dan engkau akan lapang di akhirat ".

Sabda Rasulullah S.A.W.  seperti mana yang telah diberitahu oleh Anas bin Malik yang bermaksud : "Tidak sempurna iman seseorang yang tidak dapat dipercayainya. Dan tidak sempurna agama orang yang tidak menunaikan janji."

Firman Allah subhanahua ta'ala dalam surah An-Nisa' ayat 58 yang berbunyi :
Maksudnya : " Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada orang yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkannya dengan adil ".

Amanah hendaklah diberikan kepada orang yang benar-benar boleh melaksanakannya, kerana menurut hadis Rsulullah S.A.W. dari riwayat Muslim : " Dari Abu Zar, dia berkata : " Saya berkata " : Ya Rasulullah mengapa engkau tidak memilih saya. "  Rasulullah bersabda " hai Abu Zar engkau seorang yang lemah, sedangkan itu sebagai amanah pada hari kiamat hanya akan menjadi penyesalan dan kehinaan. Kecuali orang yang dapat menunaikan hak kewajipannya dan memenuhi tanggungjawabnya.

Dan perhatikan riwayat hadis dibawah ini :
Yazid bin Abu Sufiyan berkata : Telah berkata kepadaku Abu Bakar r.a. diwaktu beliau mengutusku ke negeri Syam : "Hai Yazid ! sesungguhnya engkau mempunyai kerabat, boleh jadi engkau mengutamakan mereka buat memegang kekuasaannya, dan itulah yang aku khuatirkan atasmu, kerana Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bererti :"Barangsiapa menguasai sesuatu dari urusan kaum muslimin, lalu dia memberi kuasa kepada seseorang atas mereka kerana cintanya, maka laknat Allah menimpa atasnya, Allah tidak diterima daripadanya gantian dan tidak pula tebusan, sehingga dia dimasukkan ke dalam neraka jahannam ". (Hadis Riwayat Al-Hakim)

Sahabat yang dihormati,
Dalam satu hadis Rasulullah s.a.w. digambarkan bahawa kemusnahan akan berlaku sekiranya amanah diberikan kepada orang yang bukan ahlinya. Hadis tersebut yang bererti : Seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w., bertanya tentang " bilakah terjadi kiamat ". Rasulullah s.a.w. menjawab : yang bermaksud : " Apabila hilang amanah, tunggulah kiamat itu. Orang itu bertanya lagi : Bagaimanakah keadaan itu berlaku ? jawab Rasulullah s.a.w. : " iaitu apabila sesuatu urusan diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kiamatnya (kerosakan)."

Untuk memenuhi erti amanah, hendaklah manusia berlumba menunaikan tugasnya dengan tegas dan bersungguh-sungguh serta sebaik-baiknya dalam menyempurnakan satu amanah yang dijunjung tinggi. Islam menyarankan supaya manusia ikhlas bekerja dan suka memperhatikan hak-hak manusia yang diamanahkan kepadanya, tidak memandang ringan tugas yang diamanahkan.

Rasulullah s.a.w. telah menjelaskan, tidak akan berlaku kiamat yang lebih besar dan yang lebih buruk daripada khianat seorang muslim yang diamanahkan memimpin urusan manusia, tetapi kemudian dia mengabaikannya sehingga semua urusan jadi terbiar dan sia-sia. Oleh itu jangan kita menyalahgunakan kedudukan yang diberikan untuk menarik keuntungan peribadi atau keluarga.

Sahabat yang dihormati,
Memang telah sewajarnya bagi pekerja tanpa mengira pangkat mendapat imbuhan kaji sebagai ganjarannya, tetapi berusaha mencari tambahan kaji atau upah dengan jalan penyelewengan seperti rasuah adalah usaha haram dan berdosa besar.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :"Barangsiapa yang kami angkat menjadi penguasa (pemerintah) untuk mengerjakan sesuatu, dan kami memberi upah menurut semestinya, maka apa yang dia ambil lebih dari upah yang sepatutnya adalah satu kesalahan "
(Riwayat Abu Daud)

Di hari akhirat nanti terdapat empat golongan lelaki yang akan ditarik masuk ke neraka oleh wanita kerana ketika di dunia ini dia tidak melaksanakan amanah iaitu mendidik mereka dengan ajaran dan akhlak Islam dan tidak memberikan hak kepada wanita . Mereka ialah:

1. Ayahnya.
Apabila seseorang yang bergelar ayah tidak memperdulikan anak-anak perempuannya di dunia. dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji dan sebagainya. Dia memperbiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat. Tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja maka dia akan ditarik
ke neraka oleh anaknya.

2. Suaminya.
Apabila  suami tidak memperdulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yg bukan mahram apabila suami mendiam diri walaupun dia seorang alim seperti solat tidak bertangguh, puasa tidak tinggal maka dia akan turut ditarik oleh isterinya. Suami mengabaikan tanggungjawab memberi nafkah zahir dan batin kepada isterinya adalah satu kesalahan dan dosa yang mana isteri boleh menuntut haknya di hari akhirat.

3. Abang-abangnya.
Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke bahu abang-abangnya. Jikalau mereka hanya mementing keluarganya sahaja dan adik perempuannya dibiar melencong dari ajaran Islam, tunggulah tarikan adiknya di akhirat kelak.

4. Anak lelakinya.
Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yg haram dari ajaran Islam, bila ibu membuat kemungkaran pengumpat , mendedahkan aurat dan membuat maksiat sebagainya maka anak itu akan disoal dan dipertangungjawabkan di akhirat kelak. Nantikan tarikan ibunya ke neraka.

Oleh itu marilah sama-sama kita tunaikan amanah yang diberikan kepada kita dengan penuh tanggungjawab dan istiqamah, kerana sesungguhnya  'amanah'  yang laksanakan dengan sempurna nanti akan menunggu kita ditepi  'Titian Sirat' untuk membantu dan memudahkan perjalanan kita untuk menuju ke syurga Allah S.W.T.