Thursday, March 4, 2010

Wasiat Ketujuh Nabi s.a.w. (Keutamaan Solat Dhuha dan Puasa Tiga Hari Pada Setiap Bulan)

Dari Abu Dzar r.a., beliau berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Setiap persendian (ruas) tulang salah seorang di antara kamu ada sedekahnya.Setiap tasbih itu sedekah, setiap tahmid sedekah, setiap tahlil sedekah, setiap takbir sedekah, perintah yang baik itu sedekah, mencegah kemungkaran itu juga sedekah. Dan kesemuanya itu cukup dengan melakukan dua rakaat solat dhuha."
(Hadis Riwayat Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a. beliau berkata : "Kekasihku (Rasulullah s.a.w) telah memberi wasiat kepadaku untuk mengerjakan shaum (puasa) tiga hari setiap bulan, solat dhuha dua rakaat dan solat witir sebelum saya tidur".
(Hadis Riwayat Lima Imam Hadis).

Dari Jabir r.a. berkata Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Shaum (berpuasa) tiga hari setiap bulan menyamai shaum (puasa) setahun, iaitu hari-hari putih, yakni pada hari bulan 13, 14 dan 15 (dalam hitungan qamariah).
(Hadis Riwayat An-Nasai dengan sanad yang baik begitu pula menurut Al-Baihaqi)

Doa yang dibaca selepas mengerjakan solat Duha :

Doa yang disarankan
“Ya Allah bahawasanya waktu duha itu waktu duhamu, kecantikan itu ialah kecantikanmu , keindahan itu keindahanmu, kekuatan itu kekuatanmu ,kekuasaan itu kekuasaanmu dan perlindungan itu perlindunganmu “. ” Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit , turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah. ,Jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu duha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaanmu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah engkau limpahkan kepada hamba-hambamu yang soleh”


 
 

Wednesday, March 3, 2010

Hati Yang Mati

Hati yang sudah mati ialah hati tidak berfungsi sebagaimana fitrahnya hati itu dijadikan. Fitrah kejadian hati ialah untuk menerima aqidah dan keimanan kepada Allah s.w.t. Hati yang mati telah ditutup dan dihijab oleh Allah s.w.t daripada menerima iman dan hidayah Allah s.w.t. Hati diselubungi dan dikuasai oleh hawa nafsu syaitaniah yang sentiasa mendorong manusia untuk melakukan dosa, maksiat dan kejahatan.

Apabila hati sudah tidak berfungsi, maka hawa nafsulah yang menerajui kekuasaan hati. Justeru kehidupan mereka bergelomang dengan dosa dan maksiat. Kehidupan mereka penuh dengan kesombongan dan ketakabburan. Kehidupan mereka tiada panduan, apa yang mereka lakukan berdasarkan kepada perasaan. Mereka berada dalam kesesatan dan kedurjanaan sedangkan mereka tidak menyedari kesesatan dan kedurjanaan yang mereka lakukan disebabkan hati mereka sudah mati dan tertutup.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
 " Dan orang-orang yang menyanggah ayat-ayat Allah tanpa mendatangkan bukti, kemurkaan amat  besar disisi Allah swt dan orang-orang yang beriman. Begitulah Alllah menutup hati yang sombong dan takabbur."

Ciri-ciri hati yang mati.
Orang yang hatinya mati ialah orang yang tidak menerima iman dan hidayah Allah s.w.t. Itulah orang-orang kafir dan musyrik yang dimurkai Allah s.w.t. Justeru antara sifat-sifat orang yang hatinya telah mati ialah seperti berikut;

1. Menolak keimanan kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta perkara-perkara yang wajib di imani sebagai orang Islam.

2. Menyekutukan Allah s.w.t .

3. Menolak ajaran Islam dan memilih kekufuran.

4. Tidak ada perasaan rasa bersalah apabila melakukan dosa dan maksiat.

5. Menjadikan akal dan fikiran dan logik semata-mata dalam membuat penilaian dan keputusan.

6. Menjadikan dunia sebagai matlamat hidup mereka.

7. Tidak mempercayai dosa dan pahala serta kehidupan alam akhirat.

8. Sentiasa melakukan penindasan dan kezaliman di atas muka bumi.

9. Tidak mengenal halal dan haram dalam kehidupan mereka.

"Ya Allah ya Tuhan kami, lindungilah kami dari hati yang mati, hati yang tidak mengenali-Mu ya Allah, hati yang jauh dari hidayah-Mu ya Allah."

(Sumber dari http://www.usrahrasahati.blogspot.com/)

Tuesday, March 2, 2010

Wasiat Keenam Nabi s.a.w. (Keutamaan Bersedekah)

Dari Ka'ab bin Ujrah r.a., beliau berkata : Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Wahai Ka'ab bin Ujrah. Sesungguhnya tidak akan masuk Syurga daging dan darah yang tumbuh dari usaha yang haram, Nerakalah yang lebih berhak atasnya. Wahai Ka'ab bin Ujrah. Manusia dibolehkan kenyang dalam dua perkara iaitu kenyang yang dapat melepaskan dirinya dari sifat perbudakan (perhambaan) dan kenyang yang dapat menguatkan jiwanya. Wahai Ka'ab bin Ujrah, solat itu mendekatkan diri kepada Allah, shaum (puasa) itu perisai, sedekah itu dapat menghapuskan kesalahan sepertimana cairnya ais di atas gunung Shafa."
(Hadis Riwayat Ibnu Hibban dalam Sahihnya)

Dari Muadz bin Jabal r.a., beliau berkata : Saya bersama Rasulullah s.a.w. dalam satu perjalanan di mana baginda menyebutkan hadis di atas kemudian Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Maukah engkau aku tunjukkan pintu-pintu kebaikan? Saya menjawab : Ya, mahu wahai Rasulullah. Baginda bersabda : Shaum itu perisai, sedekah itu menghapuskan kesalahan sepertimana air memadamkan api."
(Hadis Riwayat At-Tirmidzi dan beliau mengatakan hadis ini hasan sahih)

Muadz bin Jabal ada menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Sesungguhnya sedekah itu dapat memadamkan panasnya kubur bagi yang mengerjakannya. Sesungguhnya orang Mukmin akan mencari perlindungan pada hari Qiyamat nanti di bawah perlindungan sedekah"
(Hadis Riwayat At-Tabrani)

Dari Maimunah binti Sa'ad r.a beliau berkata : Wahai Rasulullah berfatwalah kepada kami tentang sedekah. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : "Sesungguhnya sedekah itu penghalang dari api Neraka bagi orang yang melakukannya hanya kerana mencari keredhaan Allah s.w.t.."
(Hadis Riwayat At-Tabrani)

Monday, March 1, 2010

Kalau Benar Cintakan Allah

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Supaya kamu semua beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, menguatkan (agama)-Nya, membesarkan-Nya, dan bertasbihlah kepada-Nya pada waktu pagi dan petang."
(Surah al-Fath ayat 9).

Bertasbih di sini bermaksud kita berzikir dengan kuantiti dan kualiti yang tinggi. Zikir lidah, zikir hati dan zikir perbuatan semuanya menjurus kepada membesarkan Allah dan segala yang lain kecil belaka.

Lidah menyebut kalimah Allah, lalu hati merasakan kebesaran dan keagungan-Nya dan tindakan  menyusul apabila kita selaraskan segala perbuatan dengan hukum-hakam-Nya. Itulah zikir yang hakiki. Kesannya sepadu. Ia akan memberi ketenangan dan kekuatan.

Namun apabila Allah dilupakan umat akan kurang menyebut nama-Nya lagi. Ketika itu hati-hati pun lalai daripada merasakan kebesaran dan keagungan-Nya. Akibatnya hukum-hakam diabaikan dalam tindakan dan perbuatan. Apabila ini terjadi jangan ditangisi jika Allah 'lupakan' kita.

Allah hanya menjadi pembela kepada orang yang bertakwa. Orang yang bertakwa adalah orang yang banyak mengingati-Nya ; dengan lidah, hati dan perbuatan. Menjadi seorang Muslim sahaja (buka muttaqin), tidak melayakkan kita mendapat jaminan bantuan daripada-Nya. Siapakah kita, muttaqin atau Muslim?

Muslim, lebih-lebih lagi Muslim yang fasiq, kurang berzikir malah ada yang tidak berzikir langsung. Apakah Allah akan mengingati kita jika kita melupakan-Nya? Lalu terbiarlah kita dihina, dizalimi dan diperkotak-katikkan oleh musuh tanpa mendapat pembelaan.

Bimbang Dosa.
Sayyidina Umar pernah mengingatkan, bahawa dia lebih bimbangkan dosa-dosa yang dilakukan oleh tentera Islam berbanding kekuatan dan perancangan musuh. Dosa-dosa akan menghalang daripada datangnya bantuan Allah kepada kita. Kenapa orang melakukan dosa? Jawabnya, kerana lupakan Allah. Lupa zikir kepada-Nya. Justeru, untuk mendapat kekuatan, elakkan dosa. Dan untuk elakkan dosa sentiasalah mengingati Allah.

Ya, masakan orang yang sentiasa ingatkan Allah tergamak bergelumang dengan dosa? Jika terlanjur sedikit pun mereka segera bertaubat. Orang yang beginilah akan mendapat bantuan Allah dalam apa yang mereka usahakan dan perjuangkan. Mereka disokong oleh kawan dan dihormati oleh lawan. Belum pun bertempik, hanya berbisik, orang akan akur dan tunduk.

Bila Allah menjadi 'kawan', siapa pula musuh kita?
Apabila Allah akrab dengan kita, siapakah yang berani memusuhi kita? Raja Richard berhati singa itu pun tunduk kepada Sultan Salehuddin al-Ayubi. Mengapa? Apakah hanya kerana kekuatan Salehuddin? Tidak, tetapi kerana akhlak dan keperibadiannya yang ditempa dengan zikrullah. Hasilnya, sifat pemaaf, kasih sayang dan prihatinnya, tidak terbatas. Merentas sempadan bangsa, negara dan agama.

Musuh tidak terlalu laju, tetapi orang Islam yang terlalu perlahan. Kita seharusnya ke depan dengan roh cinta dan kasih sayang. Dengan cinta kita berdakwah, berhujah dan menjelaskan dengan penuh hemah dan hikmah tanpa dibauri oleh kebencian dan perasangka.

Dengan cinta kita tidak hanya menyebut nama-Nya, mengingati-Nya dan mendaulatkan hukum-hakam-Nya dalam diri tetapi kita akan kembangkan sayap cinta itu ke dalam rumah tangga, organisasi, masyarakat dan negara.

Kalau benar cintakan Allah, cintalah diri dan umat ini dengan banyak mengingati-Nya. Bangun seawal Subuh, bersih dan sucikan diri. Lalu solatlah untuk mengingati-Nya. Kemudian, bertebaranlah di muka bumi untuk mencari rezeki yang halal dengan meninggalkan segala bentuk rasuah, riba dan penyelewengan.

Atur keluarga mengikut syariat. Jauhkan pendedahan aurat. Perangilah pergaulan bebas, racun hedonisme dan fesyen bohemian dalam kehidupan diri dan remaja kita. Pacu kemajuan ekonomi, tetapi jangan lupakan hukum Ilahi. Bersiasahlah tetapi jauhi fitnah dan kepentingan diri. Ingat Allah! Jaga halal dan haram dalam setiap perilaku dan perbuatan.

(Sumber di ambil daripada tulisan Muhammad Jihad dalam majalah Solusi Isu no.16)

Sunday, February 28, 2010

Wasiat Kelima Nabi s.a.w. (Keutamaan Sujud Kepada Allah)

Dari Ma'dan bin Abi Talhah, beliau berkata : "Saya bertemu dengan Tsauban, hamba yang dimerdekakan oleh Rasulullah s.a.w. dan saya berkata :'Khabarkan kepada saya tentang amal yang dapat saya lakukan sehingga Allah akan memasukkan saya ke Syurga atau khabarkan kepadaku tentang amal yang paling disukai Allah. Maka dia (Tsauban) diam, kemudian saya bertanya lagi, dia pun tetap berdiam diri. Saya bertanya lagi untuk kali ketiga, maka dia berkata :
'Saya telah bertanyakan hal itu kepada Rasulullah s.a.w. maka baginda bersabda yang bermaksud :
"Tetaplah kamu memperbanyak sujud. Ini kerana tidaklah engkau sujud sekali kepada Allah melainkan Allah akan mengangkatmu satu darjat dan akan menghapuskan satu kesalahan."
(Hadis Riwayat Muslim, At-Tarmidzi, An-Nasai dan Ibnu Majah)

Dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Tidaklah seorang hamba sujud sekali kepada Allah kecuali Dia akan menulis baginya satu kebaikan dan menghapus satu keburukan daripadanya dan meninggalkan satu darjat. Oleh itu, perbanyakkan sujud."
(Hadis Riwayat Ibnu Majah dengan sanat yang sahih).

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud :
"Tidak ada sesuatu perbuatan hamba yang lebih disukai Allah daripada tatkala Allah melihatnya sedang sujud sambil membenamkan wajahnya ke dalam tanah (debu)"
(Hadis Riwayat At-Tabrani di dalam Al-Ausat)