Saturday, September 5, 2009

Percaya Pada Hari Kiamat

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Orang-orang yang beriman dan bertakwa dan mengerjakan amal soleh ketika di dunia akan dikurniakan syurga oleh Allah SWT. Sebaliknya orang-orang yang melakukan perbuatan dan amal kejahatan dan maksiat akan diberi hukuman dan balasan oleh Allah SWT. dengan neraka. Setiap manusia akan dimasukkan salah satu tempat ini samaada syurga atau neraka bergantung kepada amalan masing-masing, semasa hidup didunia dan mereka boleh membuat pilihan tanpa ada paksaan.

Selagi di dunia belum berlakunya hari kiamat maka pintu taubat masih terbuka luas untuk manusia yang melakukan kesalahan dan dosa untuk bertubat dan memohon ampun kepada Allah SWT. Tetapi apabila saat kematiannya sudah hampir tiba sekiranya nyawanya sudah sampai kehalkum ketika nazak, maka pintu taubat sudah tertutup, tidak berguna lagi penyesalannya ketika itu. Allah SWT memberi ruang masa yang cukup banyak di dunia ini kepada manusia untuk ia sentiasa beristighfar, bertaubat dan memohon ampun kepada Allah SWT .sebelum saat kematian.

Salah satu Rukun Iman adalah percaya kepada hari kiamat. Masa datangnya hari kiamat tidak ada seorang manusia pun di dunia ini yang tahu bilakah berlakunya, hanya Allah SWT sahaja Yang Maha Mengetahui bilakah saatnya akan berlaku.

Apabila sampai saatnya nanti Allah SWT. akan memerintahkan Malaikat Israfil untuk meniup sangkala maka pada waktu itu seluruh alam semesta, manusia dan makhluk yang lain akan hancur binasa dan suasana ketika itu berlaku dengan amat dasyat sekali.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan (ingatlah) hari (ketika) ditiup sangkala, maka terkejutlah segala yang ada dilangit dan segala yang dibumi, kecuali siapa yang dikehendaki Allah. Dan semua mereka datang menghadapi-Nya dengan merendahkan diri.”
(Surah an-Naml ayat 87).

Sesudah sangkala ditiup, semua manusia berada dalam kadaan huru hara dan sangat terkejut, setiap orang membawa diri masing-masing untuk menyelamatkan diri sendiri.

Firman Allah SWT. yang bermaksud : “Dan apabila datang suara yang memekakkan (tiupan sangkala yang kedua) pada hari ketika manusia lari dari saudaranya, dan dari ibu bapanya, dan dari isteri dan anak-anaknya. Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya.” (Surah ‘Abasa ayat 33 – 37)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : “Hai manusia bertakwalah kepada Tuhanmu, sesungguhnya kegoncangan hari kiamat itu adalah suatu kejadiaan yang sangat besar (dahsyat). (Ingatlah) pada hari (ketika) kamu melihat kegoncangan itu lalailah wanita yang menyusui anaknya dari anak yang disusuinya dan gugurlah kandongan segala wanita yang hamil, dan kamu lihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal sebenarnya mereka tidak mabuk, akan tetapi azab Allah itu sangat keras.” (Surah Al-Hajj ayat 1 -2).

Sangat hebat dan kacaubilau akan terjadi kelak di hari kiamat, dan itu hanyalah baru sebagai permulaan percubaan bagi manusia, dan melihat kepada amal masing-masingnya selama di dunia ini.Oleh itu ambillah iktibar dan menjadi keinsafan dan peringatan bagi kita apa yang dinyatakan Allah didalam al-Quran.

Setelah habis masa kiamat itu dan entah berapa lama masa huruhara, sehingga tidak ada satupun dari makhluk yang tinggal di dunia, hanya Zat Allah yang Wahidul Qahhar. Kemudian Tuhan mengadakan pula hari Mahsyar, iaitu hari Kebangkitan.

Malaikat Israfil dihidupkan kembali lantas meniup sangkakala kedua dan demikian maka terjadilah Padang Mahsyar. Semua makhluk dihidupkan dan berdiri kembali dari kubur masing-masing. Dan bagaiman hebat dan dahsyat penanggungan serta huru hara dihari itu, ketika ini semua makhluk sejak Nabi Adam dilahirkan sehingga kepada manusia yang terakhir diadakan. Semua ini akan dihimpunkan di PadangMahsyar itu, sesak dan padat makhluk di Padang Mahsyar itu sedang matahari dihampirkan diumbun-umbun, yang menyebabkan mengeluarkan peluh masing-masing sampai ada yang menengelamkan sebahagian mereka di hari Mahsyar itu.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Berpancaran peluh manusia di hari kiamat (di Padang Mahsyar) nanti kerana sangat huru hara yang mereka alami dan rasai, sehingga mereka tenggelam didalam peluh mereka yang telah mengalir.”

Sehari di Padang Mahsyar sama dengan 1000 tahun lamanya menurut perhitungan sekarang. Segala peristiwa dan kesengsaraan yang dialami ketika di Padang Mashyar amat dahsyat sekali yang akan dialami oleh orang-orang kafir dan mereka yang melakukan maksiat dan dosa ketika di dunia dan tidak sempat bertaubat kepada Allah SWT.

Perlulah setiap diri mempersiapkan dirinya untuk kesenangan hidup di hari kemudian, tanpa melupakan bahagiannya didunia. Hari kiamat besar adalah merujuk kepada hancurnya dunia ini, tetapi hari kiamat kecil adalah hari kematian seseorang didunia ini. Apabila meninggal dunia seorang manusia maka terputuslah semua amalannya kecuali tiga iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya.

Oleh itu kita hendaklah menjadikan ayat-ayat Allah dan hadis Nabi SAW di atas yang menceritakan tentang kisah hari kiamat dan perhimpunan di Padang Mahsyar sebagai pengajaran untuk menginsafkan diri kita supaya sentiasa taat dan patuh kepada suruhan Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya.

Friday, September 4, 2009

Empat Soalan Yang Akan di Tanya di Akhirat Nanti


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud : "Setiap hamba pada hari kiamat tidak akan mengorak langkah menuju ke mana-mana selagi dia belum selesai disoal-siasat tentang empat perkara :

Pertama : Tentang umurnya di manakah dihabiskan sewaktu di dunia dahula?

Kedua : Masa remajanya, bagaimana dia menghadapi ujian di waktu itu?

Ketiga : Tentang harta, dari mana dia perolehi dan bagaimana dia membelanjakannya?

Keempat : Tentang ilmunya, apakah dia telah beramal dengan ilmu itu?"

(Hadis Riwayat Muaz bin Jabal r.a.)

Ketika di hari kiamat nanti soal siasat yang pertama diajukan adalah umur yang dihabiskan di dunia. Adakah umur ketika di dunia banyak dihabiskan untuk mengerjakan amal soleh atau mengerjakan maksiat atau masa berjalan dan habis begitu sahaja tanpa di isi dengan kerja-kerja yang berfaedah.

Ingatlah masa itu adalah kehidupan, tidak berlalu masa itu melainkan habis kehidupan kita, dan ianya tidak boleh digantikan lagi selama-lamanya.

Oleh itu apa yang boleh kita lakukan adalah kita merancang dengan penuh hati-hati dan bertanggungjawab untuk masa sekarang dan akan datang agar masa dan umur kita dapat dimanfaatkan tanpa mengalami kerugian. Pergunakanlah sepenuh masa dan tenaga yang ada untuk melaksanakan amal ibadah dan amal soleh untuk mencari keredaan Allah SWT.

Remaja Muslim yang sepenuh masa menuntut ilmu semestinya berhati-hati menguruskan masa. Tidak boleh membiarkan masa berlalu dengan sia-sia atau yang dimurkai Allah. Alangkah ruginya kita jika tidak dapat menyelamatkan diri bila berhadapan dengan Allah nanti.

Ujian semasa muda juga agak berat kerana ketika inilah darah muda sedang membara dan naluri semula jadi remaja ingin mencari pasangan hidup yang serasi atau ingin berpoya-poya dahulu sebelum memasuki alam perkahwinan. Amat malang apabila mereka ingin mencuba sesuatu perbuatan maksiat yang membawa kepada dosa besar. Ketika inilah ramai para remaja tewas, tidak dapat mencari nilai kebahagiaan sebenarnya. Kenapakah hadis Nabi SAW mengkhususkan masa remaja dan ujian diwaktu itu ?

Kalau kita perhatikan gejala sosial dan keruntuhan akhlak yang banyak berlaku dikalangan muda mudi Islam sebagai contoh penagihan dadah, kes buang anak, bohsia, bohjan, mat rempit, kes ragut, perzinahan, gengsterism dan minum arak dan berbagai-bagai lagi, adalah disebabkan para remaja tidak di tarbiyyah dengan asas agama yang kuat, dan mudah terpedaya dengan nafsu muda dan hasutan syaitan.

Sepatutnya ketika usia remaja, mereka melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang berguna, ilmu agama, kemahiran dan menghiasi diri dengan akhlak yang mulia dan amal-amal soleh kerana persiapan yang sempurna nanti sebagi pengganti generasi yang terdahulu sebagai pemimpin dan pendidik yang berfikiran jauh. Sesungguhnya kejayaan dan kejatuhan sesuatu umat bergantung kepada kekuatan pemuda dan pemudinya, bila baik dan kuat dari segi akhlak, keimanan dan pengetahuan maka akan baik dan majulah sesuatu umat itu. Sebaliknya apabila runtuh akhlak dan keperibadian mereka maka umat itu akan runtuh dan amat sukar untuk dibangunkan semula.

Sahabat yang dimuliakan,
Harta kekayaan yang kita miliki akan ditanya di hari akhirat nanti, dari mana diperolehi dan kemana dan bagaimana ianya di belanjakannya.Oleh itu kita perlu berhati-hati mencari sumber rezeki pastikan ianya didapati bukan dari sumber yang haram. Sumber rezeki yang termasuk didalam kategori haram adalah seperti berikut :

1. Bekerja dengan syarikat penerbangan, kilang arak, pasaraya, restoran yang menjual, memproses dan menghidangkan arak.

2. Bekerja dengan syarikat insuran, perbankan, kewangan, money lender dan 'along' mengandungi unsur-unsur riba.

3. Mengambil rasuah.

4. Bekerja dikelab-kelab malam sebagi penari, teman sosial, penyanyi, pemuzik yang jelas suasana kerja disitu pergaulan bebas lelaki dan wanita, terdapat minuman keras dan suasana kerja yang meruntukkan akhlak seorang muslim.

5. Memakan harta anak yatim (sekiranya pembahagian faraid tidak disempurnakan dan pembahagian harta dibuat secara adil).

6. Mendapat keuntungan dalam perniagaan secara menipu atau mengurangkan spesifikasi yang ditetapkan pelangan.

7. Menjual barang-barang haram seperti dadah. daging babi dan arak dan lain-lain lagi.

Sahabat yang dihormati,
Bagaimana hidup kita hendak mendapat keredaan Allah, dan Allah menerima doa kita kalau sumber rezeki kita diperolehi dari sumber yang haram dan makanan yang masuk dalam perut kita juga haram! Betapa ramainya umat Islam yang bekerja ditempat-tempat yang dinyatakan diatas. Semua ini akan ditanya oleh Allah SWT. dihari akhirat nanti, kerana sedekah dan zakat dari sumber yang haram tidak akan diterima oleh Allah SWT.

Sekiranya sumber harta kita dari sumber yang halal, kita akan ditanya kemana harta kita digunakan dan dibelanjakan, andaikata kita gunakan untuk menyara keluarga, menuntut ilmu, sedekah pada fakir miskin dan anak-anak yatim, kerja-kerja dakwah,amal jariah,pembangunan masjid dan surau, membantu sekolah agama dan tahfiz, kerja-kerja kebajikan dan menegakkan syiar Islam, maka alhamdulillah, kesemua ini adalah merupakan amalan soleh yang akan mendapat balasan pahala disisi Allah s.w.t. Tetapi sekiranya kita gunakan harta yang dimiliki membantu kerja-kerja maksiat, menjalankan kerja-kerja yang di haramkan Allah s.w.t. dan tidak mahu berzakat dan bersedekah maka kita akan mendapat balasan siksa yang berat di hari kiamat nanti.

Sahabat yang dikasihi,
Ilmu yang kita miliki mestilah diamalkan. Kita diwajibkan menuntut ilmu sejak dalam buayan hinggalah keliang lahat. Setelah ilmu difahami maka perlulah berusaha untuk merelisasikannya dalam kehidupan. Apakah umat Islam yang melakukan maksiat dan dosa mereka tidak berilmu? 

Mengikut kajian sebahagian besar daripada mereka mengetahui hukum hakam tetapi tetap juga melakukan perkara yang dilarang Allah SWT kerana dorongan nafsu dan hasutan syaitan. Sebahagian pula memang jahil tentang hukum hakam agama. Orang jahil akan ditanya pula kenapa mereka tidak mahu belajar dan menuntut ilmu, mereka tetap mendapat balasan diatas kejahilan mereka.

Untuk melaksanakan ilmu yang dimiliki perlu kepada suasana yang baik, perlu mendekati alim ulama' dan bersahabat dengan orang-orang yang baik akhlaknya dan mengikuti program usrah dan halakat. Dari sinilah kita mempunyai kekuatan untuk melaksanakan kebaikan dan amal soleh, kerana proses nasihat-menasihat dan tegur menegur akan berjalan.

Oleh itu setiap kita perlulah mengambil perhatian tentang empat perkara seperti hadis diatas, apabila kita melaksanakan dengan baik keempat-empat perkara tersebut maka kita akan lulus ujian lisan yang akan ditanya kepada kita kelak. Bila ujian lisan lulus alhamdulillah ianya akan memudahkan kita untuk lulus ujian-ujian lain pula.


Thursday, September 3, 2009

Jauhilah Tipu Daya Syaitan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dari Tsabit r.a. dia berkata," Tatkala Nabi SAW diutus, maka iblis mengirim syaitan-syaitannya untuk menemui para sahabat baginda. Syaitan-syaitan itu datang sambil membawa lembaran catitan yang masih kosong.

Lalu iblis bertanya pada syaitan-syaitan itu ,"Mengapa kalian tidak menganggu mereka?"
Mereka menjawab,"Kami tidak pernah berhadapan dengan suatu kaum seperti halnya mereka." Tapi mereka berkata lagi, "Tapi sebentar. Siapa tahu dunia dibukakan kepada mereka, sehingga kita boleh menganggu mereka."

Dari Abu Musa, dia berkata,"Jika iblis menyebarkan para perajuritnya ke bumi, maka dia berkata, 'Siapa boleh menyesatkan orang Muslim, maka di kepalanya akan disematkan mahkota.'

Diantara perajuritnya itu ada yang melaporkan hasil usahanya, " Aku boleh menganggu Fulan sehingga dia menceraikan isterinya."

Dijawab,"Tapi dia boleh bernikah lagi."

Yang lain melaporkan,"Aku dapat menganggu Fulan sehingga dia derhaka."

Dijawab, "Tapi dia boleh berbuat kebajikan lagi."

Yang lain melaporkan,"Aku dapat menganggu Fulan sehingga dia berzina."

Dijawab, "Bagus."

Yang lain melaporkan,"Aku dapat menganggu Fulan sehingga dia minum arak."

Dijawab,"Bagus."

Yang lain melaporkan,"Aku dapat menganggu Fulan sehingga dia membunuh."

Dijawab,"Bagus. Bagus."

Ibnu Mu'aqqal berkata,"Aku pernah mendengar Wahb bin Munabbih berkata,'Seorang rahib bertanya kepada syaitan yang muncul dihadapannya, 'Sifat anak keturunan Adam yang paling mudah membantumu.'
Iblis menjawab,'Marah. Sebab jika seorang marah, maka kami boleh membolak balikkan sebagaimana anak kecil yang membolak balikkan bola.'

Sahabat yang dimuliakan,
Iblis laknatullah tidak akan membiarkan anak cucu Adam hidup senang dan mudah untuk melakukan amal ibadah dan amal soleh. Iblis dan syaitan akan menjauhkan manusia daripada melakukan amal ibadah dan amal soleh, jika mereka gagal menggoda dan memasongkan amalan yang baik mereka akan menimbulkan rasa riak dan ujub dalam jiwa manusai.

Iblis laknatullah adalah musuh yang nyata terhadap semua anak cucu Adam kerana  iblis telah bersumpah dan berjanji di hadapan Allah SWT bahawa dia akan merosakkan semua anak Adam di muka bumi ini. 
 
Hakikat iblis dan syaitan sebagai musuh manusia diulangi oleh Allah SWT beberapa kali di dalam al-Quran. Semuanya bagi memperingatkan kita tentang musuh yang nyata ini, Allah SWT berfirman maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam dengan selengkapnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. (Surah al-Baqarah ayat 208)

Golongan Yang di Mulia Di sisi Allah


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Sesungguhnya ada beberapa manusia dari kalangan hamba-hamba Allah SWT. yang dicemburui oleh para nabi dan syuhada lantaran kedudukan mereka yang mulia di sisi Allah".

Para sahabat bertanya, "Siapakah mereka ya Rasulullah dan apakah yang telah mereka lakukan? Kami ingin mencontohi dan mencintai mereka".

Rasulullah SAW menjawab dengan sabdanya, "Mereka itu adalah satu kaum yang berkasih sayang kerana Allah walaupun tanpa ikatan kekeluargaan serta tanpa harta yang mereka saling memberi. Sesungguhnya demi Allah mereka berada diatas cahaya dan sesungguhnya mereka itulah cahaya. Mereka tidak takut apabila manusia takut dan mereka tidak berdukacita apabila manusia berdukacita".

Siapakah mereka ini yang dinyatakan oleh Nabi SAW.?
Adakah kita mampu menjadi seperti mereka?
Apakah ciri-ciri peribadi yang ada pada mereka?

Didalam hadis diatas terdapat tiga ciri-ciri penting iaitu pertama, mereka berkasih sayang tanpa ada ikatan kekeluargaan atau harta. Kedua mereka tidak takut apabila manusia takut, dan ketiga, mereka tidak berdukacita apabila manusia berdukacita.

Sahabat yang dimuliakan,
Sebenarnya golongan yang dinyatakan oleh Nabi SAW seperti diatas adalah satu jemaah orang-orang yang beriman. Tugas mereka adalah mengajak yang ma'aruf dan mencegah kemungkaran. Mereka berkasih sayang kerana Allah, bertemu dan berpisah kerana Allah. Mereka merancang dan berusaha sesuatu bagaimana untuk mengembalikan balik dan membetulkan akidah manusia yang telah rosak untuk mentauhidkan hanya kepada Allah SWT. semata-mata. Mengajak manusia supaya menerima Tauhid Rububiyah dan Tauhid Uluhiyah dan menjadikan undang-undang dan hukum-hukum Allah SWT. sebagai pedoman hidup di dunia ini.

Mereka tidak takut di keji, di hina, di fitnah atau di lemparkan dengan berbagai-bagai tuduhan, kerana mereka berjuang untuk mencari keredhan Allah bukannya mencari habuan duniawi dan pangkat kedudukan. Walaupun terpaksa mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit hati mereka tetap gembira kerana tugas ini adalah tugas para Rasul dan Nabi. Allah SWT mencampakkan sakina dalam hati-hati mereka.

Mereka adalah kaum yang menempuh jalan yang sukar hingga sampai pada tingkatan para Nabi. Mereka memilih lapar setelah Alah memberikan (peluang)kepada mereka untuk (sentiasa)kenyang, memilih pakaian kasar setelah Allah memberi mereka pilihan berbagai pakaian, dan memilih haus setelah Allah memberi mereka rasa puas. Mereka meninggalkan itu semua kerana mengharap apa yang ada di sisi Allah (redha dan nikmat Syurga). Mereka tinggalkan yang halal kerana takut banyak dihisab. Mereka mempergauli manusia dengan badan-badan (lahir) mereka, tetapi itu tidak menyibukkan (hati) diri mereka (daripada mengingati Tuhan mereka). Para Nabi dan malaikat takjub dengan ketaatan mereka kepada Tuhan.

Untuk memasuki syurga Allah SWT penuh kenikmatan, tidaklah boleh berpeluk tubuh dan berangan-angan sahaja tanpa berusaha, bekerja dan berjuang diatas jalan kebenaran. Kerja-kerja dakwah perlu bermula membaiki diri sendiri, mendidik isteri dan anak-anak seterusnya jiran, saudara mara, sahabat handai, rakan-rakan dan seterusnya kepada masyarakat. Sampaikanlah kebenaran ini walaupun bermula dengan satu ayat dan seterusnya menyampaikan kebenaran Islam dengan penuh hikmah dan lemah lembut.

Jangan menganggap bahawa kerja-kerja dakwah ini hanya tugas alim ulama atau ustaz sahaja, sebenarnya kita semua yang telah beriman kepada Allah s.w.t dan beriman dengan rukun-rukun iman yang lain untuk bersama-sama menjalankan kerja-kerja dakwah dan tarbiyyah. Buatlah sekadar kemampuan dan berusaha meningkatkan kemampuan kerana kerja-kerja dakwah adalah kerja-kerja ahli syurga.

Jika kita melihat sejarah pejuang-pejuang Islam selepas generasi sahabat-sahabat Rasulullah SAW hingga kini mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh untuk mempertahankan Islam, mereka tidak takut kepada sesiapa sahaja yang menentang matlamat dan jalan perjuangan mereka, kerana mereka berjuang semata-mata mencari keredhaan Allah ,walaupun mereka terpaksa melalui ujian dan tribulasi, ditangkap, dipenjara atau disiksa. Walaupun menerima tekanan dan penderitaan namun hati mereka tetap gembira kerana mereka yakin janji-janji Allah SWT. dan Allah SWT. akan memberi pertolonganNya kepada mereka-mereka yang berjuang diatas jalan yang hak.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita sama-sama berazam untuk meletakkan diri kita diatas matlamat perjuangan untuk berkhidmat pada Deen Allah SWT. Apabila kita kembali menemui Allah SWT. kita tidak takut menjelaskankan bahawa semasa hidup di dunia kita telah serahkan semua yang kita miliki harta kekayaan, kenderaan, rumah, masa lapang,tenaga kerja, buah fikiran untuk Islam semata-mata dan mencari keredan Allah.

Tuesday, September 1, 2009

Mohonlah Keampunan dari Allah SWT

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT. kerana kita masih dihidupkan dan dapat bernafas dibulan yang penuh keberkataan, sedang meneruskan ibadah puasa. Ketika ini semua pintu-pintu syurga dibuka luas dan semua pintu-pintu neraka ditutup rapat. Telah berlalu fasa pertama iaitu permulaannya rahmat dan kita masuk fasa kedua iaitu pengampunan daripada Allah SWT.

Rahmat Allah SWT. terlalu luas keatas semua makhluk yang ada dimuka bumi ini, dari sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya. Allah SWT memasukkan jin dan manusia kedalam syurga-Nya bukanlah kerana banyaknya amal ibadah atau banyaknya pahala yang dihimpun ketika didunia, tetapi Allah SWT. memasukkan kedalam syurga pada hamba-hamba-Nya adalah kerana rahmat-Nya.

Sekiranya ditimbang seluruh amal kebaikan dan pahala kita ketika hidup didunia berbanding sebiji nikmat mata yang Allah SWT. kurniakan, maka sebiji mata itu lebih berat daripada amalan kita.Kita tidak akan mampu nak balas nikmat-nikmat Allah ini. Allah SWT akan memberikan rahmatNya hanya kepada mereka yang beramal soleh ketika hidup di dunia.

Sebenarnya tanpa kita sedari semua yang berlaku di atas muka bumi ini adalah diatas rahmat Allah SWT. Kekuatan kita meneruskan ibadah puasa dan amalan ibadah yang lain, kesihatan badan yang baik, rezeki yang bertambah, terhindar dari bala dan musibah, keharmoniaan hidup berkeluarga dan lahir kasih sayang dan tidak berlaku huru hara dan pergaduhan dalam masyarakat dan lain-lain lagi semuanya adalah kerana rahmat Allah.

Oleh itu kita tidak boleh sombong dan takbur dengan Allah SWT. Rahmat Allah akan terus dikurniakan-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertakwa dan tidak diberikan kepada mereka-mereka yang sombong dan takbur.

Sahabat yang dimuliakan,
Sebagai seorang hamba kepada Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, tidak ada permohonan yang lebih besar dari permohonan keampunan dari segala noda dan dosa. Setiap satu dosa yang kita kerjakan akan terjadi satu titk hitam pada hati-hati kita. Apabila terlalu banyak dosa yang dilakukan secara sedar atau tidak maka titik-titik hitam itu akan menjadi banyak hingga hati itu menjadi hitam pekat. Apabila hati sudah menjadi hitam maka selaput inilah yang menjadi hijab kepada Allah SWT.

Hati yang kotor ini tidak akan menjadi gementar apabila disebut nama Allah SWT dan tidak akan bertambah imannya apabila dibacakan ayat-ayat Allah. Hati ini tak rasa takut bila mendengar siksaan-siksaan di neraka. Untuk mensucikan hati-hati yang hitam ini tidak ada jalan lain melainkan dengan zikrullah, membaca al-Quran, berdoa, bermunajat, beribadah dan bertaubat kepada Allah SWT. Apabila bersih saja daki-daki hitam di hati, hati akan menjadi jernih, puth, bersih, maka akan terbinalah iman dan takwa didalam hati tersebut.

Di fasa kedua ini di dalam bulan yang mulia, perbanyakkanlah memohon ampun diatas segala kejahilan , kesalahan dan perbuatan yang terlanjur yang kita lakukan. Dosa mulut banyak mengumpat , berbohong dan menyakitkan hati orang, dosa mata melihat aurat wanita , dosa telinga mendengar berita fitnah dan mengumpat. Dosa tangan menulis berita yang tak sahih. Dosa dengan manusia kita perlu meminta maaf kepada orang-orang yang kita lakukan kesalahan, seperti suami, isteri, ibu bapa, jiran, saudara mara dan rakan-rakan.

Dosa dengan Allah SWT juga banyak kita lakukan tanpa kita sedari. Dosa tidak menjalankan amal ma'aruf nahi mungkar, kita biarkan maksiat didepan mata tanpa kita berusaha mencegahnya, tidak ada usaha untuk menyampaikan dakwah kepada orang jahil, kelalaian kita tidak mendidik dengan sempurna isteri dan anak-anak kerana kesibukan kita dengan aktiviti lain, malas untuk menuntut ilmu, melambat-lambatkan waktu solat dan tidak mengerjakannya secara berjemaah di masjid, tidak menjaga adab-adab puasa yang boleh mengurangkan pahala puasa, membazirkan masa dan harta kejalan yang tidak bermanfaat, menonton filem dan mendengar lagu-lagu yang melalaikan , pergaulan bebas dengan lelaki dan wanita yang bukan mahram dan banyak lagi dosa-dosa lain yang kita telah melakukannya.

Sahabat yang dikasihi,
Ingatlah! Bahawa sesungguhnya hawa nafsu manusia menjadi penghalang di antara manusia dengan Allah SWT. Hawa nafsulah yang menebar kesuraman, menghalang penglihatan dan mengkaburkan arah tujuan, hawa nafsu tidak dapat ditundukkan dengan kata-kata saja tetapi hawa nafsu dapat ditewaskan dengan takwa. Ianya dapat dilemahkan dengan rasa takut kepada Allah SWT. dan terus menerus muraqabah terhadap-Nya baik dalam keadaan sunyi dan terang-terangan.

Natijah dari ibadah puasa yang ikhlas akan melahirkan takwa, dan takwa juga adalah lahir dari keimaman yang kukuh, keimanan yang selalu dipupuk dengan maraqabatullah, merasa takut terhadap murka dan azab-Nya, dan selalu berharap limpahan kurnia dan rahmat-Nya.

Dengan takwa ini akan menjadi sumber segala kebaikan dalam masyarakat, sebagai satu-satunya cara untuk mencegah kerosakan, kejahatan dan kekusutan. Takwa merupakan asas utama dalam pembinaan jiwa dan akhlak seseorang dalam rangka berhadapan dengan fenomena kehidupan. Dia dapat membezakan mana yang baik dan mana yang buruk, serta bersabar di atas segala ujian dan cubaan. Itulah hakikat takwa.

Sahabat yang dihormati.
Teruskanlah berpuasa dengan ikhlas dan pertingkatkan amal-amal ibadah dengan bersungguh-sungguh. Untuk membaiki dan meningkatkan amal soleh kita, perlulah kita laksanakan tujuh amalan sunnah Nabi SAW. yang tidak pernah Nabi SAW. meninggalkannya.

Pertama : Solat malam (solat tahajjud dan solat witir dan lain-lain lagi. Ketika bulan Ramadan Nabi s.a.w tidak pernah meninggalkan solat tarawih)
Kedua : Solat duha.
Ketiga : Membaca al-Quran.
Keempat : Solat fardu berjemaah di masjid.
Kelima : Beristighfar (100 kali sehari)
Keenam : Sentiasa berwuduk.
Ketujuh : Bersedekah.

Dibulan Ramadan Nabi SAW. akan melaksanakan amal ibadah dengan berlipat kali ganda banyaknya.Oleh itu perlulah kita mempertingkatkan amalan ibadah kita sebagaimana yang dilaksanakan oleh baginda Nabi SAW.

Jangan ditinggal solat tarawih, solat tahajjud, solat witir, solat taubat, solat hajat, solat duha, membaca al-Quran, sentiasa beristighfar, solat berjemaah di masjid, sentiasa berwuduk dan bersedekah. Pertingkatkan juga dengan menghadiri majlis ilmu, tazkirah Ramadan, tadarus al-Quran dan iftar (berbuka puasa) bersama-sama di masjid atau di surau.

Sekiranya berkemampuan adakanlah sekurang-kurangnya sekali iftar dirumah menjemput ahli keluarga, jiran dan sahabat-sahabat dan solat berjemaah bersama, dengan ini boleh merapatkan hubungan silaturahim dan membina ukuwah Islamiyah. Seseorang yang memberi makan dan minum orang berpuasa, mendapat dua pahala iaitu pahala memberi jamuan dan pahala orang yang berpuasa.

Akhirkata, jangan sia-siakan fasa kedua ini iaitu pengampunan daripada Allah SWT  minta dan mohonlah keampunan dengan bersungguh-sungguh kepada Allah s.w.t. hingga menitiskan air mata penyesalan diatas dosa-dosa yang telah dilakukan.

Monday, August 31, 2009

Ubati Keresahan Jiwa dengan al-Quran.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,  Al-Quran al-Karim adalah kitab suci yang diturunkan oleh Allah SWT. kepada Nabi Muhammad SAW. sebagai satu rahmat yang tiada bandingnya kepada alam ini. Ia menjadi petunjuk, pedoman dan pengajaran bagi semua umat manusia di muka bumi.


Firman Allah SWT. yang bermaksud :
“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia”. (Surah al-Baqarah ayat 185).

Membaca al-Quran adalah amalan mulia. Sesiapa yang membacanya akan mendapat pahala berlipat ganda pada setiap hurufnya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Qur’an maka dia akan mendapat satu kebajikan, dan satu kebajikan itu nilainya 10 kali ganda seumpamanya. Aku tidak berkata bahawa Alif Lam Mim itu adalah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf”. (Hadis Riwayat Tirmizi)

Jelaslah bahawa al-Quran itu adalah sebaik-baik bahan bacaan bagi orang-orang yang benar-benar beriman kepada Allah SWT tidak kira ketika senang atau susah. Selain merupakan ibadah yang diberi ganjaran, al-Quran juga mampu mengubati keresan jiwa insan.

Diceritakan bahawa seorang lelaki berjumpa dengan Ibn Mas’ud r.a untuk meminta nasihat bagi mengubati jiwanya yang gelisah, fikiran kusut, tiada selera makan dan tidak boleh tidur seperti biasa.

Ibnu Mas’ud menasihati agar lelaki tadi mengunjungi tiga tempat iaitu :

Pertama : Tempat orang membaca al-Quran atau mendengar baik-baik orang yang membaca al-Quran.

Kedua : Menghadiri majlis ilmu yang mengingatkan hati kepada Allah.

Ketiga : Memohon ketenangan dan ketenteraman jiwa dan ketenteraman fikiran dan kemurnian hati.

Andainya jiwa masih juga tidak terubat dengan cara ini, minta kepada Allah SWT. agar diberi hati yang lain, kerana hati yang dimiliki bukan hatinya.

Lalu lelaki itu mengamalkan apa yang di nasihatkan oleh Ibn Mas’ud. Dia pergi mengambil wuduk kemudian membaca al-Quran dengan penuh khusyuk. Selepas sempurna membaca al-Quran jiwanya terasa tenang dan tenteram, manakala kegelisahannya hilang sama sekali.

Perlu dijelaskan membaca al-Quran, samaada memahami ertinya atau tidak adalah ibadah, amalan soleh dan memberi rahmat serta manfaat bagi mereka yang melakukannya. Memberi cahaya dalam hati, memberi cahaya kepada keluarga juga tempat dimana al-Quran itu dibaca.

Daripada Anas bin Malik r.a Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Hendaklah kamu beri nur (cahaya) rumahtangga kamu dengan solat dan dengan membaca al-Quran"
(Hadis Riwayat al-Baihaqi).

Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya' Ulumuddin telah memberi garis panduan yang berkaitan dengan adab-adab membaca al-Qur'an iaitu adab batin dan zahir."

Adab batin itu ialah memahami kalimah-kalimah yang dibaca, ada rasa penghayatan membesarkan kalimah Allah, menghadirkan hati sepenuhnya ketika membaca, memperhalus perasaan dan jiwa. Dengan sebab batin itu, kandungan al-Quran yang dibaca dengan perantaraan lidah itu dapat bersemi di dalam jiwa dan meresap kedalam lubuk hati si pembaca."

Untuk membesarkan kalimah Allah SWT seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Ghazali seorang itu mestilah menghadirkan dalam hati betapa keagungan Allah SWT yang mempunyai kalimah-kalimah itu tadi.

Pembaca mesti memahami bahawa apa yang dibaca itu bukan tutur kata manusia tetapi ia adalah kalam Allah. Membesarkan kalam Allah itu bukan sahaja ketika membacanya, tetapi juga ketika menjaga tulisan-tulisan al-Qur'an.

Adab-adab zahir adalah seperti berikut :

1. Membaca al-Quran mestilah dalam keadaan bersih dan berwuduk.
Firman Allah SWT. yang bermaksud : "Tidak boleh menyentuh al-Quran kecuali makhluk-makhluk yang diakui bersih suci". (Surah al-Waqi'ah ayat 79).

2. Al-Quran hendaklah diambil dari tangan kanan dan sebaik-baiknya hendaklah dipegang dengan kedua-dua belah tangan.

3. Al-Quran hendaklah dibaca ditempat yang bersih, seperti dirumah, dimasjid dan lain-lain tempat. Paling utama adalah di masjid.

4. Mulut hendaklah bersih, tidak berisi sisa-sisa makanan, kerana itu seorang itu hendaklah bersugi sebelum itu.

5. Disunatkan membaca al-Quran dalam keadaan menghadap kiblat. Membacanya dengan penuh khusyuk dan tenang Dalam masa yang sama orang yang membaca hendaklah berpakaian yang sesuai.

6. Sebelum membaca, seseorang hendaklah memohon perlindungan daripada Allah. Permohonan ini diistilahkan sebagai 'at-Ta'awwuz'. Setelah itu barulah membaca 'Basmalah'. Dilakukan demikian agar ia dilindungi Allah daripada tipu daya iblis dan syaitan yang boleh menyebabkan hati dan fikiran tidak tenang ketika membaca al-Quran.

Elok juga seseorang itu memohon kepada Allah agar hatinya menjadi terang dengan doa yang bermaksud, ' Ya Allah, bukakan bagi kami hikmat-Mu dan anugrahkan rahmat-Mu kepada kami dari khazanah-Mu. Ya Allah yang Maha Pengasih Lagi Penyayang".

7. Al-Qur'an hendaklah dibaca dengan tartib, iaitu membaca dengan perlahan-lahan dan tenang.

8. Bagi mereka yang boleh memahami makna dan maksud ayat-ayat yang dibaca, mereka hendaklah membacanya dengan penuh perhatian dan penghayatan. Untuk mereka yang tidak memahami bahasa Arab selepas membaca ayat-ayat ai-Qur'an hendaklah membaca terjemahannya supaya makna dan maksud ayat-ayat yang dibaca dapat difahami.

Sahabat yang dimuliakan,
Kesimpulannya, membaca al-Quran samaada memahami maknanya atau pun tidak tetap mendapat ganjaran daripada Allah SWT. Selepas membaca dan memahami makna dan maksud al-Quran, seseorang itu mestilah cuba melaksanakan segala bentuk arahan-arahan yang datang daripada Allah SWT kerana al-Quran diturunkan adalah untuk menjadi peduman hidup manusia di dunia ini.

Kata-kata Nasihat Imam Ibnu Qayyim Al- Jauzi

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Imam Ibnu Qayyim Al- Jauzi berkata :

Pertama, sesiapa di dunia yang meninggalkan solat, di akhirat kelak mereka akan bersama orang yang terkutuk.

Kedua, sesiapa yang sibuk dengan kuasa, dia akan berhimpun dengan Firaun.

Ketiga, sesiapa yang sibuk dengan harta, dia akan berhimpun dengan Qarun.

Keempat, sesiapa yang sibuk dengan pangkat, dia akan berhimpun dengan Hamam.

Kelima, sesiapa yang sibuk dengan berniaga, dia akan berhimpun dengan Ubai bin Khalaf.

Ibnu Qayyim Al-Jauzi dalam kitab Madarijus Salikin mengatakan, " Sabar adalah menahan jiwa daripada berkeluh kesah dan marah, menahan lisan dari mengeluh, serta menahan anggota badan dari berbuat tashwisy (yang tidak lurus). Sabar ada tiga jenis iaitu sabar dalam berbuat ketaatan kepada Allah, sabar dari melakukan maksiat, dan sabar tehadap ujian Allah."
Antara tiga jenis sabar, yang mana satu paling berat?(sabar menghadapi ujian, sabar daripada melakukan maksita dan sabar untuk taat)". 

Sabar yang paling berat adalah sabar untuk taat berbanding sabar dalam ujian dan membuat maksiat.
 
Sabar untuk taat bererti kita mentaati segala perintah Allah dengan melawan MUSUH UTAMA, iaitu nafsu dan syaitan. Ketaatan yang sempurna, kita taat dengan penuh penghayatan. Solat yang khusyuk, puasa yang penuh keinsafan, zikir yang berpanjangan, munajat di sepertiga malam yang diiringi rasa takut dan pengharapan. Kita tahu hukum-hukum dalam Islam. Wajib, sunat, harus, makruh dan haram. TAHU tapi tidak bermakna kita BUAT semuanya. Alangkah susahnya untuk taat..

Andainya kalian mampu memberi ketaatan sebegini rupa, pasti sepenuh masa hidup kita terisi dengan ingatan pada Allah SWT.

Sabar daripada melakukan maksiat. Alhamdulillah, hingga sekarang dapat kita lihat rata-rata masyarakat kita masih menilai yang buruk itu salah, dan yang baik itu betul. Sebagai contoh, meragut, perbuatan zina, membunuh dan lain-lain. Secara tidak langsung, maksiat berlaku dikalangan golongan minoriti bukan majoriti.

Sabar menghadapi ujian. Setiap manusia diuji dengan ujian yang berbeza. Sabar ataupun tidak, ujian itu tetap berlaku..cuma dapat kita lihat tahap perbezaan kesabaran. Cuba bayangkan, seorang isteri yang kematian suami. Ada yang meraung, menangis, pitam, pengsan. Ada juga yang mengalir air matanya tanpa suara. Ada juga yang tidak menzahirkan air matanya. Selepas kematian suami, si isteri tetap meneruskan hidup seperti biasa. Ada yang mencari pengganti. Ada yang membesarkan anak-anak dengan hasil titik peluh sendiri. Lazimnya, manusia akan merelakan hatinya apabila ditimpa musibah. 

Sahabat yang dikasihi,
Demikianlah perbezaan antara tiga jenis sabar. Moga kalian semua diluruskan hati untuk sabar dalam memberi sepenuh ketaatan kepada Allah SWT. "Ya Allah, sabarkanlah hati kami dalam mencari redaMu. Hapuskanlah segala rasa jemu dalam beribadah kepadaMu. Kurniakanlah kami kenikmatan dalam menjejak cintaMu..amin"

Menjaga Keluarga Adalah Tadbir Dari Neraka

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,  
Sebuah kisah daripada pertemuan dua sahabat Rasulullah SAW pada waktu pagi iaitu Saidina Ali k.w dan Salman al-Farsi r.a. Selepas memberi salam, Ali k.w bertanya khabar kepada Salman. Selepas menjawab salam Salman menceritakan keadaannya pada pagi itu.

"Ya Amirul Mukminin, pagi ini aku disedihkan oleh empat perkara." selepas mendapati Ali inginkan jawapan, Salman pun menjelaskan :

"Pertama, sedih memikirkan keluarga yang menuntut roti kepadaku.

Kedua, sedih memikirkan suruhan Allah terhadapku.

Ketiga, sedih memikirkan pujukan syaitan terhadap rohku.

Keempat, sedih memikirkan tuntutan malaikat terhadap rohku."

Mendengar penjelasan itu Ali k.w mententeramkan hati Salman dengan katanya :

"Wahai Salman, gembiralah kerana keempat-empat itu menambahkan darjatmu."

Kemudian, Ali k.w menceritakan peristiwa dia bertemu Rasulullah SAW yang bertanya khabar kepadanya. 

Jawab Ali, "Ya Rasulullah, aku berada dalam empat kesedihan :

Pertama, sedih memikirkan anak-anakku di rumah yang tiada sebarang makanan kecuali air.

Kedua, sedih memikirkan taat kepada Allah.

Ketiga, sedih memikirkan akibatku.

Keempat, sedih memikirkan malaikat pencabut roh."

Nabi SAW bersabda yang maksudnya, "Wahai Ali, bergembiralah kerana sesungguhnya sedih memikirkan keluarga adalah tabir dari api neraka. Sedih memikirkan taat kepada Allah itulah kesejahteraan dari seksa. Sedih memikirkan akibat itu adalah perjuangan yang lebih utama daripada ibadah selama 60 tahun. Sementara sedih memikirkan malaikat itu adalah pelebur semua dosa".

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita bersabar dan tenang menghadapi dugaan dan kesusahan hidup di dunia yang sementara ini. Sedih memikirkan keluarga  dalam keadaan kemiskinan dan berusaha uantuk mencari nafkah yang halal adalah boleh terselamat daripada seksaan api neraka. Sedih memikirkan taat kepada Allah SWT dan Rasul-Nya adalah kesejahteraan daripada seksa di akhirat, sedih memikirkan perjuangan hidup yang penuh cabaran dan dugaan (jihad dijalan Allah) akibat daripadanya adalah lebih baik daripada beribadah 60 tahun dan yang terakhir sedih memikirkan kematian dan kehadiran malaikat maut (diri masih belum bersedia dengan amal soleh) adalah boleh menghapuskan dosa.

Sunday, August 30, 2009

Amalan Yang Mendekatkan Diri Kepada Allah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,  Untuk menjadi hamba Allah yang taat maka kamu perlulah melaksanakan yang wajib dan meninggalkan yang haram. Bersihkanlah dirimu dari dosa dengan memohon ampun kepada Allah s.w.t. dan janganlah menzalimi orang lain nescaya dihari akhirat nanti kamu akan dihitung di bawah cahaya . Allah s.w.t akan mengasihi hamba-hamba-Nya diakhirat nanti apabila mereka berkasih-kasihan didunia ini semata-mata kerana Allah SWT.



Sebagai seorang manusia iman ada masa naik dan turun. Kadangkala kita melakukan dosa tanpa kita sedari, dari itu sentiasalah beristighfar siang dan malam kerana Nabi s.a.w beristighfar seratus kali sehari. Buangkanlah segala perasaan buruk sangka dan hasad dengki dalam dirimu dan sifat-sifat keji yang lain nescaya kamu akan menjadi orang yang mulia disisi Allah dan manusia lain pun akan menghormati dan memuliakanmu.


Kamu yakinilah bahawa semua rezeki datangnya dari Allah SWT. Allah SWT akan mengurniakan rezeki yang lumayan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dijalan yang tiada disangka-sangka dengan syarat kamu hendaklah menjadi orang yang bertakwa, sentiasa bertawakkal kepada Allah dan sentiasa bersih dari hadas (kecil dan besar). Orang yang sentiasa berwuduk akan dimurahkan rezeki oleh Allah SWT.


Sahabat yang dimuliakan,
Sifat marah adalah salah satu sifat tercela. Apabila kamu marah cepat-cepatlah mengambil wuduk kerana kepanasan marah dapat disejukkan dengan air. Syaitan amat suka melihat anak Adam berada dalam keadaan marah kerana dengan marah, manusia akan hilang pertimbangan dan bertindak mengikut nafsu dan ianya akan membawa kepada kebinasaan. Allah SWT amat kasih pada hamba-hamba-Nya yang dapat mengawal kemarahan dengan mohon perlindungan daripada-Nya. Dihari kiamat nanti kamu akan terselamat dari kemurkaan Allah SWT.


Doa dan munajat adalah senjata orang mukmin. Kita dituntut untuk sentiasa berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT .kerana kita amat berhajat kepada pertolongan Allah SWT, tanpa pertolongan Allah SWT siapalah kita ini, hamba yang lemah dan dhaif dan tidak bermaya disisi Allah SWT.


Sebelum doa dan munajat kamu diterima oleh Allah SWT. pastikan kamu tidak memutuskan silaturahim dengan kaum keluarga, jauhkan tidak bertegur sapa selama 3 hari, jangan derhaka kepada ibu bapa dan makanan dan minuman yang masuk dalam perut adalah makanan dan minuman yang halal. Termasuk juga sumber rezeki yang diperolehi untuk membeli makanan dan minuman mesti dari sumber yang halal.Termasuk meninggalkan makanan dan minuman yang subhah.



Apabila kita berdoa hingga menitiskan air mata kerana dosa dan kesalahan kita kepada Allah, dan takut pada azab Allah, Allah akan mengampunkan dosa kita dan kita akan termasuk salah satu golongan yang akan mendapat perlingungan Allah di hari kiamat nanti. Mereka yang sabar ketika ditimpa sakit juga akan mendapat pengampunan dari dosa-dosanya yang lalu.


Jika kamu beribadah kepada Allah SWT. kerjakanlah dengan hati yang kusyuk dan tawaduk. Fokuskanlah hati dan jiwa sepenuhnya kepada Allah SWT sehingga seolah-olah kamu melihat Allah SWT. Seandainya hati kamu belum sampai ketahap ini, maka kamu yakinilah bahawa Allah SWT. sedang melihat dan memerhatikan kamu, dengan ini kamu akan termasuk golongan muhsinin (ikhlas).


Janganlah kamu membuka keaiban saudaramu, mengadu domba, mengumpat dan memfitnah nescaya Allah SWT. akan menutup keaibanmu dihari kiamat dan kamu akan dijauhi dari seksaan api neraka. Sebahagian daripada penghuni neraka adalah disebabkan mereka tidak mahu menjaga lidahnya ketika didunia iaitu suka membuka keaiban orang , mengadu domba, mengumpat dan memfitnah orang lain.


Sahabat yang dikasihi,
Dikira sebesar-besar kebaikan disisi Allah SWT apabila kamu memperelokkan budi pekerti, merendahkan diri dan sabar diatas bala dan musibah dan ujian-ujian daripada Allah keatas kamu.Janganlah kamu menjadi orang yang buruk akhlaknya dan sedikit ketaatannya terhadap perintah-perintah Allah SWT kerana mereka-mereka ini akan mendapat kutukan daripada Allah SWT.


Akhir sekali jadilah kamu hamba Allah yang dermawan. Pergunakanlah harta yang kamu miliki untuk berzakat, bersedekah dan beramal jariah kerana sesungguhnya amalan mulia ini akan melahirkan hubungan silaturahim dan ukuwah Islamiyah. Sebaik-baiknya menghulur dengan tangan kanan sehinggakan tangan kiri tak tahu. Percayalah amalan mulia ini akan mendapat dua kebaikan iaitu meredakan kemurkaan Allah di dunia dan di akhirat dan di akhirat nanti ianya termasuk golongan yang mendapat perlindungan daripada Allah SWT.