Saturday, August 7, 2010

Hikmah dan Adab-adab Puasa

Sahabat yang dirahmati Allah,
Ibadah puasa dibulan Ramadhan adalah salah satu daripada Rukun Islam yang wajib dilaksanakan.

Pengertian puasa
Takrif puasa dari segi istilah bermaksud menahan diri daripada makan dan minum dan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari beserta niat.

Dalil Wajib puasa :
Umat Islam yang mempunyai cukup syarat diwajibkan berpuasa di bulan Ramadhan bersandarkan dalil seperti berikut:

Al-Quran:
Firman Allah s.w.t maksudnya : " Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa keatas kamu sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa".
(Surah al-Baqarah ayat 183)

Hadis:
Sabda Nabi s.a.w maksudnya : Daripada Ibnu Umar dari Nabi Muhammad s.a.w. bersabda maksudnya ; "Islam itu dibina atas lima perkara, bersaksi tiada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan sembahyang, membayar zakat, menunaikan haji dan puasa pada bulan Ramadhan."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sehubungan dengan adanya dalil daripada Al-Quran dan hadis yang jelas tentang wajibnya puasa, maka orang yang mengingkari kewajipan berpusa adalah dihukum sebagai murtad (keluar daripada Islam)

Lafaz Niat
Lafaz niat puasa bulan Ramadhan:
Maksudnya: "Sahaja aku puasa esok hari pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala."

Lafaz niat puasa Ramadhan sepenuhnya (sebulan):
Maksudnya: "Sahaja aku puasa untuk sebulan pada bulan Ramadhan kerana Allah Taala."

Syarat –syarat wajib berpuasa empat perkara iaitu:
1. Islam :
Tidak diwajibkan kepada orang kafir.
2. Baligh:
Tidak diwajibkan berpuasa ke atas kanak-kanak yang belum sampai umur baligh. Walau bagaimanapun kanak-kanak digalakkan berpuasa
3. Berakal :
Tidak diwajibkan puasa bagi orang gila.
4. Berkemampuan:
Tidak wajib berpuasa ke atas orang yang tidak berdaya berpuasa seperti orang sakit, musafir, orang tua dan sebagainya.

Syarat-syarat sah puasa itu enam perkara:
1. Islam:
Orang Islam yang sedang berpuasa kemudian ia murtad walaupun sekejap, maka puasanya batal.
2. Berakal: Orang Gila tidak sah puasanya
3. Suci daripada nifas dan haid
4. Masuk waktu puasa
5. Berniat pada setiap malam: Menurut mazhab Imam Malik-memadai dengan sekali niat sahaja iaitu pada malam pertama bulan Ramadhan.
6. Menahan diri daripada sesuatu yang membatalkan puasa.

Rukun Puasa ada tiga :
1. Orang yang berpuasa
2. Niat
3. Menahan diri daripada sesuatu yang membatalkan puasa.

Hikmah Puasa
Puasa mempunyai pelbagai hikmah antaranya:
1. Menandakan kesyukuran kepada Allah
2. Melatih diri dengan sifat-sifat mahmudah (terpuji seperti sabar, tabah, amanah dan sebagainya).
3. Melatih sikap tolong-menolong di antara satu sama lain
4. Meningkatkan kesihatan diri.
5. Mendapat dua kegembiraan iaitu ketika berbuka (hari raya) dan ketika berjumpa dengan Tuhannya pada hari kiamat.
6. Menjauhkan dari sifat-sifat mazmumah (keji) sepert tamak, sombong hasad dengki dan sebagainya.

Kelebihan Ramadhan :
Bulan Ramadhan mempunyai banyak kelebihan antaranya;
1. Bulan diturunkan Al-Quran :
Firman Allah s.w.t. maksudnya : "Bulan Ramadhan padanya diturunkan al-Quran yang mempunyai keterangan-keterangan yang nyata sebagai petunjuk kepada manusia"

2. Bulan penuh berkat :
Bulan Ramadhan merupakan satu bulan yang disebut sebagai bulan mulanya rahmat, ditengahnya pengampunanNya dan akhirnya merdeka daripada api Neraka.
Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : "Apabila bulan Ramadhan telah datang maka dibukalah pintu-pintu Syurga, dihapuslah pintu-pintu Neraka dan di ikatlah semua syaitan."

3. Bulan Penghapusan dosa :
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : "Sesiapa berpuasa Ramadhan dan berjaga malamnya dengan penuh kepercayaan dan ketelusan ikhlasnya nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu."

4. Bulan diturunkan Lailatul Qadar :
Firman Allah s.w.t. maksudnya : "Sesungguhnya kami telah menurunkan (Al-Quran ) ini pada malam Lailatul Qadar. Dan tahukah kamu apa dia Lailatul Qadar itu. Lailatul Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu diturunkan malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka untuk mengutus segala urusan.Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar"
(Surah al-Qadr ayat 1-5)


Sahabat yang dimuliakan,
Dalam ruang ini, marilah kita memerhatikan beberapa adab-adab berpuasa , semuga kita menjalani ibadah puasa dengan betul sebagaimana generasi awal dahulu berpuasa. Semuga kita melihat dan memahami ibadah puasa ini sebagai satu institusi pendidikan dan latihan.

1.Makan sahur.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, "Makan sahurlah kalian kerana sesungguhnya makan sahur itu berkah"
(Hadis Riwayat Bukhari)

Diriwayatkan dari Zaid bin Tsabit bahawa kami bersahur bersama Rasulullah kemudian kami bangkit untuk menunaikan solat subuh lalu beliau bertanya, "Berapa saat jarak antara kedua (waktu sahur dan waktu subuh)?" Nabi bersabda maksudnya, "Selama orang membaca 50 ayat."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan dari Amru bin Maimun bahawa para sahabat Muhammad s.a.w adalah orang yang menyegerakan berbuka dan melambatkan sahur.
(Riwayat al-Baihaqi)

2.Menyegerakan berbuka :
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, "Selalulah manusia dalam kebaikan, selama mereka menyegerakan berbuka."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan dari Salman bin Amir, bahawa Nabi s.a.w telah bersabda yang bermaksud, "Apabila salah seorang di antara kamu berpuasa hendaklah berbuka dengan kurma, bila tidak ada kurma hendaklah dengan air, sesungguhnya air itu bersih."
(Hadis Riwayat Ahmad dan Tirmidzi)

Diriwayatkan dari Ibnu Umar, bahawa Nabi s.a.w apabila selesai berbuka baginda berdo'a. "Telah pergi rasa haus dan menjadi basah semua urat-urat dan pahala tetap ada insya Allah."
(Hadis Riwayat ad-Daaruqthni dan Abu Daud)

3.Berdo'a ketika berpuasa dan waktu berbuka :
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, "Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa, pada waktu berbuka, tersedia do'a yang makbul."

Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Ada tiga golongan yang tidak ditolak do'a mereka : Orang yang berpuasa hingga dia berbuka, Imam (ketua) yang adil dan orang yang teraniaya."

4.Menjauhi perkara yang bertentangan dengan puasa :
Puasa adalah ibadah yang utama untuk kita mendekatkan diri kepada Allah, untuk mendidik jiwa dan melatihnya berbuat kebaikan.

Sesungguhnya puasa bukan setakat menahan diri dari makan dan minum sahaja, tetapi juga menahan diri dari apa jua yang dilarang oleh Allah s.w.t., disamping mengikhlaskan niat kerana Allah s.w.t semata-mata.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, "Tidaklah puasa itu dari makan dan minum, tetapi puasa itu adalah dari perbuatan yang sia-sia dan dari perbuatan keji."

Sabda baginda s.a.w lagi yang bermaksud, "Berapa ramai yang berpuasa tetapi yang diterimanya hanyalah rasa lapar dan dahaga sahaja; dan berapa banyak orang yang bangun bersolat, tetapi yang diterimanya tiada lebih dari letih dan penat sahaja."

5.Menggosok gigi (bersugi)
Disunatkan menurut riwayat bahawa Rasulullah s.a.w biasa bersugi ketika berpuasa.(Jika boleh jangan menggunakan ubat gigi, gunakan berus kosong saja atau gunakan kayu sugi)

6.Lebih bersifat dermawan. (banyak bersedekah dan menolong orang lain) dan membaca al-Qur'an.
Kedua perkara ini adalah disunatkan pada setiap ketika, dan lebih utama dalam bulan Ramadhan, dimana ganjaran pahalanya digandakan oleh Allah s.w.t.

Diriwayatkan Ibnu Abbas bahawa Rasulullah orang yang paling dermawan dan baginda lebih dermawan lagi dalam bulan Ramadhan. Jibril menemui Nabi s.a.w setiap malam pada bulan Ramadhan untuk mentadaruskan al-Qur'an kepada baginda dan benar-benar Rasulullah lebih dermawan dan cepat melakukan kebajikan (lebih cepat daripada angin yang dikirim)
(Hadis Riwayat Bukhari)

7.Menghidupkan malam dengan solat Tarawih secara berjemaah.
Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, "Barangsiapa yang solat malam di bulan Ramadhan kerana beriman dan mengharapkan pahala dari Allah maka diampuni dosanya yang telah lalu."
(Hadis Riwayat Jama'ah)

8.Giat beribadat pada 10 hari terakhir dalam bulan Ramadhan.
Syaidatina Aisyah r.h meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bila telah masuk puluhan terakhir dari bulan Ramadhan, diramaikan waktu malam, dibangunkan keluarganya dan diikat eratkan kain sarungnya.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

"Baginda amat giat (beribadat) pada puluhan terakhir, melebihi kegiatannya pada saat-saat lainnya."
(Hadis Riwayat Muslim)

Diriwayatkan dari Aisyah r.h bahawa saya berkata kepada Rasulullah s.a.w, " Ya Rasulullah, bagaimana pendapat tuan bila saya mengetahui Lailatul qadar, apa yang harus saya baca pada malam itu?' Baginda bersabda, "Bacalah, 'Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi Ampun, Engkau suka kepada keampunan maka ampunilah daku"
(Hadis Riwayat at-Tirmidzi dan Ahmad)

9.Menjauhi perkara keji dan pertengkaran.
Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Setiap amal anak Adam adalah untuknya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku yang akan memberikan pahala dengannya. Dan sesungguhnya puasa itu adalah benteng pertahanan, pada hari ketika kamu berpuasa janganlah berbuat keji, jangan berteriak-teriak (pertengkaran), apabila seorang memakinya sedang ia berpuasa maka hendaklah ia katakan : 'Sesungguhnya saya sedang berpuasa.'Demi jiwa Muhammad yang ada di tangan-Nya sungguh bau busuk mulut orang yang sedang berpuasa itu lebih wangi di sisi Allah pada hari kiamat daripada kasturi. Dan bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan, apabila ia berbuka ia bergembira dengan bukanya dan apabila ia berjumpa dengan Rabbnya ia gembira kerana puasanya."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Friday, August 6, 2010

Persiapkan Tiga Perkara Sebelum Kedatangan Ramadhan

Sahabat yang dirahmati Allah,
Ramadhan akan menjelma beberapa hari lagi,
kedatangannya membawa seribu rahmat untuk orang berpuasa.
Setiap detiknya mengandungi keampunan dan keberkatan.
Kedatangannya dinanti oleh orang yang bertakwa.

'Ya Allah, berkatilah kami dibulan Sya'ban ini dan sampaikanlah kami di bulan Ramadhan al-Mubarak.'

Sudahkah sahabat persiapkan diri dan hati untuk menyambut kedatangan Ramadhan?
Adakah sahabat merasa gembira atau resah bila kehadiran Ramadhan?

Nabi s.a.w ada menyatakan sesiapa yang merasa gembira dengan kedatangan Ramadhan ia dijauhkan dari api Neraka.!

Tanda orang Mukmin itu, hatinya terpaut pada Ramadhan, jiwa dan perasaannya seronok dan bergembira kerana di bulan inilah ia dapat mempertingkatkan iman dan takwanya kepada Allah s.w.t., dilipatkan ganda pahala dan diampunkan segala dosa-dosanya yang telah lalu.

Sahabat yang dimuliakan,
Sebagai orang Mukmin kita perlu membuat tiga persiapan penting sebelum kedatangan Ramadhan :

Pertama : Persiapan ilmu tentang Ramadhan.
Membuka kitab mengenai adab-adab puasa, perkara-perkara yang membatalkan puasa dan perkara-perkara yang mengurangkan pahala puasa. Dan amalan-amalan yang perlu dilaksanakan semasa berpuasa.

Syarat Sah Puasa ialah :
1. Islam, tidak sah puasa orang kafir
2. Berakal yang bermaksud mumayyiz, tidak sah puasa orang gila dan kanak-kanak yang belum mumayyiz kerana mereka tidak memiliki niat. Puasa kanak-kanak yang sudah mumayyiz adalah sah. Apabila usianya mencapai 7 tahun, dia hendaklah diminta supaya berpuasa jika dia mampu melaksanakanya. Apabila usianya mencapai 10 tahun, dia hendaklah dipukul kerana meninggalkanya sebagaimana sembahyang.
3. Tidak mempunyai keuzuran yang menghalangnya daripada berpuasa seperti berada dalam keadaan haid atau nifas, pengsan atau gila sepanjang hari.

Sabda Nabi s.a.w bermaksud :  “Diangkat qalam (tulisan amalan) daripada tiga jenis manusia : daripada orang tidur sehingga dia bangun, daripada kanak-kanak sehingga dia bermimpi (baligh) dan daripada orang gila sehinggalah dia berakal“. 
(Hadis Riwayat Abu Daud  dan selainnya). 

Kedua : Persiapan hati dan jiwa.
Di akhir bulan Sya'ban ini perlulah kita membuat persiapan hati dan jiwa kita untuk memohon keampunan kepada Allah di atas segala dosa-dosa yang telah kita lakukan sebelum ini. Kita merintih dan mengharap belas kasih daripada Allah s.w.t. supaya mengampunkan dosa-dosa kita hingga berlinang air mata. 

Imam al-Ghazali berkata, "Orang yang bijak adalah mereka yg merintih dan memohon keampunan kepada Allah s.w.t  sebelum datangnya Ramadhan"

Kita juga perlu meminta maaf kepada ibu bapa, suami, isteri, anak-anak, jiran tetangga, sahabat-sahabat, rakan-rakan dan sesiapa saja yang telah kita melakukan dosa kepada mereka.

Pesanan Jibril a.s. kepada Rasulullah s.a.w. ketika hadirnya Ramadhan:
"Jangan tinggalkan bermohon maaf dengan tiga golongan ketika hadirnya Ramadhan :
Pertama : Mohon maaf dari kedua ibu bapamu.
Kedua : Mohon maaf sesama suami dan isteri.
Ketiga : Mohon maaf daripada keluarga, sahabat handai dan mereka berada disekelilingmu" 

Diharapkan masuk saja kita dibulan Ramadhan kita telah bersih dari dosa-dosa besar dan kecil, semoga keberkataan Ramadhan dapat kita miliki sepenohnya.

Ketiga : Ikhlaskan hati kita kepada Allah s.w.t.
Ikhlaskan hati kita kepada Allah s.w.t bahawa kita berazam menjadikan  Ramadhan kali ini adalah Ramadhan yang terbaik yang akan kita laksanakan daripada Ramadhan sebelumnya semoga memiliki  TAKWA  di akhir Ramadhan dengan keazaman :
1. Membaca al-Qur'an 30juz termasuk memahami maknanya.
2..Melaksanakan solat berjemaah 5 waktu dimasjid atau surau secara berjemaah.
3. Melaksanakan solat terawih dimasjid atau surau secara berjemaah termasuk witir.
4. Mengikuti tazkirah Ramadhan.
5. Tidak meninggalkan solat duha.
6. Memperbanyakkan sedekah setiap hari .
7. Sentiasa berwudhu'
8. Melaksanakan solat tahajjud.
9. Memperbanyakkan berdo'a siang dan malam.
10. Meninggalkan semua perkara yang membatalkan puasa dan membatalkan pahala puasa.
11. Menambahkan amalan-amalan sunat disepanjang bulan Ramadhan samaada siang atau malam.

Sahabat yang dihormati,
Takwa adalah kekuatan dalaman anugrah Allah s.w.t kepada hamba-hamba-Nya yang ikhlas beribadah semata-mata mencari keredhan-Nya,
semakin tinggi takwa kita, maka semakin hampir dan mulia kita di sisi Allah s.w.t.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud, " Solat yang lima, Jumaat hingga Jumaat dan Ramadhan hingga Ramadhan menghapuskan dosa-dosa yang di antaranya apabila (dengan syarat) dijauhi dosa-dosa besar."

Jadikanlah madrasah Ramadhan ini untuk sahabat bersihkan hati dari dosa-dosa dan jinakkanlah nafsu yang liar supaya ia ikut arahan iman, berlapar penting untuk menjinakkan nafsu.

Apabila puasa mengikut sunnah Nabi, hati Muslim menjadi lembut dan takut kepada azab Allah. Muslim akan lebih teliti dalam tindak tanduknya.
 
Apabila sahabat berpuasa, puasalah segala-galanya ;
Berpuasa pada perut ialah tidak makan dan minum.
Berpuasa pada lidah ialah tidak bercakap sia-sia atau mengumpat.
Berpuasa pada telinga ialah tidak mendengar muzik rock dan perbualan lucah.
Berpuasa pada mata ialah tidak memandang yang berdosa seperti aurat dan pandangan marah.
Berpuasa pada kaki tidak menuju ketempat maksiat dan sia-sia.

Jagalah masa sahabat , tinggalkan perbuatan sia-sia dan cakap kosong.
Bila sahabat dimarahi, bersabarlah dan katakanlah 'saya sedang berpuasa'
Gunakanlah masa sahabat untuk membaca al-Qur'an, berzikir, berselawat, solat-solat sunat.
Tambahkanlah ilmu  dengan membaca hadis, tafsir al-Qur'an. buku-buku ulama' muktabar dan hadirilah mana-mana majlis ilmu yang bermanfaat.

Sahabat,
Banyakkanlah beristighfar dan bertaubat kepada Allah,
kerjakanlah solat tarawih sepenohnya dua puluh rekaat termasuk tiga witir.
Janganlah saudara merasa beban dengan ibadah sunat, kerana sesungguhnya satu amalan sunat yang saudara kerjakan akan mendapat pahala satu amalan fardu, dan satu amalan fardu akan digandakan Allah s.w.t kepada 70 kaliganda.
Inilah rahmat Allah s.w.t kepada hamba-hamba-Nya, di bulan yang mulia ini.

Sahabat,
Intai-intailah malam lailatul qadar kerana dimalam ini amalan kita lebih baik dari seribu bulan bersamaan 83 tahun 4 bulan.

Oleh itu janganlah disia-siakan 10 malam terakhir, asingkanlah diri dan beriktikaf di masjid untuk menumpukan ibadahmu kepada Allah, semoga Ramadhan tahun ini sahabat bertemu lailatul qadar, ketika kedatangannya sahabat sedang berdo'a dan bermunajat.

Sahabat,
Ingatlah , orang yang berpuasa mengikut adabnya akan menjadi 'orang baru' kerana berjaya membuang segala kelemahan diri.
Ramadhan di akhiri dengan kesedihan kerana berpisah dengan limpahan rahmat dan keampunan Allah.
Nabi s.a.w pernah bersabda yang bermaksud, "Jikalau para hamba itu mengetahui apa dia Ramadhan, nescaya umatku berangan-angan setahun itu kesemuanya Ramadhan."

Akhir kata, mulai sekarang, sahabat buatlah persiapan serapi mungkin. Buatlah jadual harian sebulan penuh apakah bentuk amalan dan ibadah yang akan dilaksanakan. Anggaplah Ramadhan kali ini merupakan Ramadhan terbaik yang akan saudara laksanakan dalam rangka mencari keredhaan Allah s.w.t.

Thursday, August 5, 2010

Empat Golongan Yang di Redhai Allah

Sahabat yang dikasihi Allah,
Dari Abu Bakrah ra., Dari Nabi s.a.w ,  sabdanya yang bermaksud :"Jadikanlah dirimu orang alim atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pelajaran agama, atau pun orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut); dan janganlah engkau menjadi (dari) golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa."
(Al-Bazzar)

Berdasarkan hadis di atas terdapat lima golongan manusia yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan. Emapt golongan akan mendapat keredhaan Allah dan golongan kelima akan mendapat kemurkaan Allah dan akan mendapat kebinasaan.

Pertama : Jadikan dirimu orang alim (berilmu) 

Menjadi orang alim (berilmu) adalah amat mulia disisi Allah s.w.t. kerana dengan ilmu yang dimiliki , beramal pula dengan ilmu tersebut dan menyampaikan kepada orang lain adalah menjadi pewaris para Nabi dan Rasul. Kedudukannya disisi Allah dihari akhirat nanti adalah bersama para Nabi dan Rasul dan para syuhada'.


Orang alim yang berilmu dan menyampaikan ilmu tersebut apabila ia meninggal dunia dan berada dialam barzakh maka pahala ilmu yang bermanfaat yang diajarkan ketika di dunia pahalanya akan terus mengalir masuk ke alam barzakh. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud "Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanafaat dan do'a anak soleh yang mendoakannya"
(Hadith Riwayat Muslim).
 
Seorang yang alim akan menyampaikan ilmu yang ia miliki bukan sahaja melalui ceramah atau kuliah tetapi ianya boleh disampaikan melalui tulisan di majalah, di internet dan mengarang buku sebagai sumber ilmu untuk rujukan orang ramai.

Ilmu merupakan salah satu nilai luhur yang dibawa oleh ajaran Islam dan yang tegak di atasnya kehidupan manusia, baik secara moral maupun material, duniawi mahupun ukhrawi. Islam menjadikannya sebagai jalan menuju keimanan dan untuk di amalkan.

Nikmat ilmulah yang menyebabkan manusia diberikan amanah oleh Allah sebagai 'khalifah' di atas mukabumi ini. Sesungguhnya Islam adalah agama ilmu dan al-Quran adalah kitab ilmu. Ayat al-Quran yang pertama sekali turun kepada Rasulullah s.a.w. adalah "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakanmu"
(Surah al-'Alaq ayat 1)

Sayyidina Ali k.w. berkata :  "Tiga tanda orang berilmu :Ilmu, sabar dan diam"
(Ibid, Jilid:2,ms:59)

Sayyidina Ali k.w. berkata: "Tiadalah kebanggaan yang sebenar melainkan bagi orang-orang yang berilmu kerana mereka sentiasa berada di atas jalan hidayah, mereka menunjukkan jalan hidayah kepada orang-orang yang memintanya. Memadailah ukuran bagi setiap seseorang itu kebaikan yang dilakukan sedangkan orang yang jahil sentiasa memusuhi orang-orang berilmu. Maka rebutlah kesempatan menuntut ilmu supaya kita dapat hidup selamanya kerana pada hakikatnya, manusia itu semuanya mati sedangkan orang-orang yang berilmu akan terus hidup."

Membaca adalah kunci untuk memahami ilmu dan al-Quran merupakan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya, yakni bacaan dalam bahasa Arab, untuk kaum yang berilmu."
(Surah al-Fushshilat ayat 3)

Al-Quran telah menjadikan ilmu sebagai asas dan kayu ukur kemuliaan di kalangan manusia.
Allah s.w.t. berfirman maksudnya : "Apakah sama orang-orang yang berilmu dan orang-orang yang tidak berilmu?."
(Surah az-Zumar ayat 9)

Sebagaimana juga al-Quran telah menjadikan 'ahlul ilmi'(ahli ilmu) sebagai syuhada' (orang-orang yang bersaksi) terhadap keesaan Allah bersama para Malaikat.

Firman Allah s.w.t. maksudnya : "Allah telah bersaksi bahawasanya tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, (demikian pula) para Malaikat dan orang-orang yang berilmu, yang menegakkan keadilan. Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."
(Surah Ali 'Imran ayat 18)

Demikian juga orang alim (berilmu)  adalah orang-orang yang paling takut kepada Allah s.w.t. dan bertaqwa kepadaNya. FirmanNya yang bermaksud : "Sesunggungnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu ('ulama)."
(Surah Fathir ayat 28)

Kedua : Orang yang menuntut ilmu.

Jika kita tidak mampu menjadi orang alim maka jadilah golongan kedua iaitu menjadi orang yang menuntut ilmu. Sungguh besar pahala orang yang menuntut ilmu kerana Allah, setiap langkah yang ia lakukan untuk keluar menuntut ilmu akan diberi ganjaran pahala oleh Allah s.w.t. semua makhluk termasuk ikan dilaut memohon keampunan kepada pencari ilmu.

Termasuk golongan orang yang menuntut ilmu apabila ia membaca buku-buku Islam, mentelaah bahan-bahan tarbiyah, membaca risalah dan nota-nota tazkirah yang terdapat di internet atau di masjid-masjid dan cuba memahami dan menghayatinya.

Nabi s.a.w. bersabda maksudnya : "Mereka yang melangkah di jalan pencarian ilmu, Allah akan membawanya terus ke jalan Syurga. Sesungguhnya, para Malaikat merasa gembira menebarkan sayap mereka untuk menaungi para pencari ilmu, bahkan seluruh makhluk termasuk ikan di laut memohon keampunan buat para pencari ilmu. Kedudukan orang yang alim ke atas orang yang 'abid(ahli ibadah) adalah seperti kelebihan bulan purnama ke atas bintang-bintang pada malam bulan purnama. Para ulama' adalah pewaris para Anbiya' kerana para Anbiya tidak meninggalkan kekayaan tetapi ilmu pengetahuan. Maka beruntunglah mereka yang menelusuri di jalan ini."

Sayyidina Ali k.w berkata : "Janganlah mencari ilmu kerana 4 sebab berikut:
1. Untuk membangga diri di hadapan orang yang alim,
2. Untuk berdebat dengan orang yang jahil,
3. Untuk mempamerkan diri kepada manusia,
4. Untuk menarik perhatian manusia demi menjamin kedudukan.


Ketiga : Orang yang selalu mendengar pelajaran agama.

Menjadi golongan ketiga iaitu selalu dan suka mendengar ceramah dimasjid atau internet (you tube), mengikuti kursus motivasi, mendengar  kuliah agama di kaset , radio atau TV adalah masih termasuk golongan yang diredhai Allah. Semoga dengan minat mendengar ini akan mendapat pahala dan akan menjadikan hatinya cinta pada ilmu dan berusaha untuk di amalkan pula.

Nabi s.a.w. pernah ditanya: "Apakah ilmu?," baginda s.a.w. menjawab, "Diam," baginda s.a.w. ditanya lagi, "Kemudian?," baginda s.a.w. menjawab, "Mendengar dengan penuh perhatian," baginda s.a.w. ditanya lagi, "Lalu?," baginda s.a.w. menjawab, "Mengamalkan apa yang dipelajari," baginda s.a.w.ditanya lagi, "Setelah itu?," baginda (saw) menjawab, "Menyebarkannya."

Orang yang mendengar bacaan Al-Quran dan berkunjung di tempat-tempat pengajian  (majlis ilmu) untuk mendengar bahan-bahan tarbiyah yang disampaikan oleh ulama' atau orang alim akan dilapangkan dadanya dan ditenteramkan hatinya daripada masalah-masalah dunia,
Allah akan sentiasa bersamanya dan orang tersebut akan lebih khusyuk beribadah kepada Allah dan ia akan dapat mendidik nafsunya kejalan kebaikan yang diredhai Allah.

Keempat : Mencintai  tiga golongan iaitu orang alim, orang yang menuntut ilmu dan orang yang mendengar ilmu agama.

Mencintai dan memberi sokongan moral dan material kepada tiga golongan tersebut di atas juga akan mendapat pahala seperti mana mereka yang melakukannya. Orang yang mencintai orang alim, orang yang menuntut ilmu dan orang yang mendengar ilmu yang di ajarkan adalah orang yang mulia hatinya dan niatnya baik kerana Allah. Mungkin dia tak berkesempatan untuk menjadi golongan pertama, kedua dan ketiga kerana kesibukan tugas tetapi hatinya tetap bersama mereka.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:
“Sesungguhnya sah atau tidak sesuatu amalan itu, bergantung pada niat. Dan setiap sesuatu pekerjaan itu apa yang diniatkan. 
(Hadis Riwayar Bukhari dan Muslim)

Kelima : Janganlah engkau menjadi (dari) golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.


Golongan kelima adalah golongan yang membenci atau meremehkan golongan ulama' (sering menuduh dan memfitnah ulama'), tidak berminat menuntut ilmu (lebih suka menghabiskan masa berhibur dan bersuka ria, dan membuang masa yang sia-sia), tidak berminat untuk menjadi pendengar majlis ilmu (tak suka hadir dimasjid atau surau, tak suka dengar ceramah agama diradio , TV atau di kaset-kaset) dan golongan kelima ini tidak mencintai orang-orang yang termasuk golongan pertama, kedua, ketiga dan keempat.

Maka amat malanglah sesiapa yang termasuk di dalam golongan kelima, hidup penuh dengan pura-pura, dan mengejar dunia yang menipu dan menghabiskan sisi umurnya untuk menjauhkan diri dengan agama dan orang seperti ini hidupnya tak akan bahagia di dunia ini dan dihari akhirat akan mendapat azab yang pedih.

Golongan yang kelima juga  adalah golongan yang binasa, kerana mereka tidak ada pimpinan yang dengannya mereka dapat membezakan di antara yang benar dengan yang salah.


Sahabat yang dimuliakan,
Tiap-tiap seorang dikehendaki menentukan sikapnya terhadap ilmu pengetahuan agama dengan salah satu dari empat cara, iaitu menjadikan dirinya orang alim yang mengajar atau orang yang belajar atau orang yang mendengar syarahan-syarahan agama atau pun orang yang mencintai dan menghargai salah satu dari tiga golongan yang tersebut dengan menurut jejak langkahnya.

Dengan sikap yang demikian, seseorang itu terjamin untuk mendapat keselamatan dan kebahagiaan, sama ada dalam perkara jasmaninya mahu pun rohaninya, kerana ia sentiasa dalam jagaan ilmu pengetahuan yang memimpinnya ke jalan yang benar dan memberinya kesedaran untuk memilih yang baik dari yang buruk dan yang hak dari yang batil.

Imam Mawardi menyatakan: Bahawa orang yang menganggap ilmu syarak itu tidak ada faedahnya dipelajari dan lebih baik sahaja ditinggalkan, sebenarnya orang itu tenggelam dalam kesesatan dan jauh dan mendapat hidayat pertunjuk, serta ia termasuk dalam golongan yang kelima yang binasa.


Oleh itu marilah sama-sama kita meletakkan diri kita menjadi golongan yang diredhai Allah s.w.t. iaitu golongan pertama, kedua, ketiga atau keempat dan jauhilah diri kita menjadi golongan kelima yang akan binasa samaada binasa di dunia dan juga binasa dihari akhirat, nauzubillah.

Wednesday, August 4, 2010

Hayatilah Konsep Kalimah Tayyibah.

 Sahabat yang dimuliakan,
Segala puji bagi Allah s.w.t, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi  Muhammad s.a.w., ahli keluarga baginda, sahabat-sahabat, tabi'en dan sekelian pengikut mereka sehingga ke hari kiamat.

Ya Allah! Permudahkanlah dan janganlah disusahkan segala urusan kami. Amin Ya Karim!

Kalimah Tayyibah adalah tahlil, kalimah yang mulia, ianya adalah kalimah tauhid, kalimah takwa, kalimah ikhlas, kalimah suci, kalimah peneguh, anak kunci langit dan bumi, nilaian Syurga, tali yang teguh dari Allah dan dakwah yang benar dan sebagainya.


Firman Allah s.w.t. :
ŰŁَلَمْ ŰȘَ۱َ كَيْفَ ۶َ۱َŰšَ Ű§Ù„Ù„َّهُ مَŰ«َÙ„Ű§ كَلِمَŰ©ً Ű·َيِّŰšَŰ©ً كَŰŽَŰŹَ۱َŰ©ٍ Ű·َيِّŰšَŰ©ٍ ŰŁَŰ”ْلُهَۧ Ű«َِۧۚŰȘٌ وَفَ۱ْŰčُهَۧ فِي Ű§Ù„Űłَّمَۧۥِ (ÙąÙ€)ŰȘُŰ€ْŰȘِي ŰŁُكُلَهَۧ كُلَّ Ű­ِينٍ ŰšِŰ„ِŰ°ْنِ ۱َŰšِّهَۧ وَيَ۶ْ۱ِŰšُ Ű§Ù„Ù„َّهُ Ű§Ù„ŰŁÙ…ْŰ«َŰ§Ù„َ لِلنَّۧ۳ِ لَŰčَلَّهُمْ يَŰȘَŰ°َكَّ۱ُونَ (ÙąÙ„)وَمَŰ«َلُ كَلِمَŰ©ٍ ŰźَŰšِÙŠŰ«َŰ©ٍ كَŰŽَŰŹَ۱َŰ©ٍ ŰźَŰšِÙŠŰ«َŰ©ٍ ۧۏْŰȘُŰ«َّŰȘْ مِنْ فَوْقِ Ű§Ù„ŰŁŰ±ْ۶ِ مَۧ لَهَۧ مِنْ قَ۱َۧ۱ٍ (ÙąÙŠ)

Maksudnya : Tidakkah Engkau melihat (Wahai Muhammad) Bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: Kalimah Tayyibah itu (yakni kalimah la ilaha illAllah - Ù„Ű§ Ű§Ù„Ù‡ Ű§Ù„Ű§ Ű§Ù„Ù„Ù‡) adalah sebagai sebatang pohon yang bagus, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran). Dan bandingan Kalimah Khabithah (kalimah yang jahat dan buruk) samalah seperti sebatang pohon yang rosak yang tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tempat baginya untuk terus hidup.
(Surah Ibrahim: 24-26)

Keterangan:
Ibnu Abbas r.a  dilaporkan berkata bahawa Kalimah Tayyibah ini maksudnya ialah kalimah syahadah - ŰŁŰŽÙ‡ŰŻ ŰŁÙ† Ù„Ű§ Ű§Ù„Ù‡ Ű§Ù„Ű§ Ű§Ù„Ù„Ù‡ di mana akarnya ialah pada hujung lidah (ucapan) orang-orang mukmin dan ia di bawa ke langit. Manakala Kalimah Khabithah maksudnya ialah syirik, kerana itu tiada amalan yang akan diterima apabila syirik.

Seterusnya, beliau menyatakan bahawa "mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa" bermaksud berzikir mengingati Allah s.w.t. siang dan malam yakni pada setiap waktu (secara istiqamah).

Qatadah r.a. dilaporkan meriwayatkan bahawa pada suatu ketika, seorang bertanya kepada Nabi s.a.w. "Wahai Rasulullah! Bukankah saudara-saudara kita yang kaya mendapat pahala yang tak terkira banyaknya (kerana sedekah jariah mereka)?"

Maka Rasulullah s.a.w. menjawab, "Seandainya jika seorang yang harta kekayaannya disusun satu demi satu daripada bawah ke atas, mampukah ia sampai ke langit?" (Sudah tentu tidak mampu!)

Bukankah aku telah memberitakan kepada kamu tentang satu amalan yang berakar umbi jauh ke dalam bumi dan cabang-cabangnya menjulang ke langit? Yakni hendaklah kamu berzikir:
ŰłُŰšْŰ­َŰ§Ù†َ Ű§Ù„Ù„ْهِ  وَŰ§Ù„ْŰ­َمْŰŻُ للهِ  وَلَۧ ِۧلَهَ ِۧلَّۧ Ű§Ù„Ù„Ù‡ُ  وَŰ§Ù„Ù„Ù‡ُ  ŰŁَكْŰšَ۱
sebanyak sepuluh kali selepas tiap-tiap solat kerana akarnya jauh ke dalam tanah dan dahan-dahannya sampai ke langit."

Sahabat yang dirahmati Allah,
Bila di lafaz sahaja Kalimah Tayyibah “ Tiada Ilah di sembah melainkan Allah” ini bermakna seseorang itu telah mengaku, mengikrar dan mengumumkan bahawa Allah s.w.t adalah Ilahnya, Allah s.w.t sebagai sembahannya, Allah s.w.t sebagai tempat dia berserah diri dan meminta pertolongan, tempat bertawakkal dan tempat seharusnya di takuti . Allah s.w.t adalah tempat memohon segala harapan. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud :
“Barang siapa yang takut akan kebesaran Allah kemudian dia mencegah dirinya dari menurut hawa nafsunya, maka Syurgalah tempat kembalinya.”

Suatu perkara yang kita kena didik dalam diri kita ialah rasa takut kepada Allah s.w.t dan kita asuh nafsu kita supaya tunduk di bawah telunjuk iman.Kalimah Tayyibah yang kita ucapkan bermakna Allah s.w.t yang menghidupkan kita dan Allah s.w.t sahaja yang berkuasa mematikan kita bila-bila masa yang di kehendakiNya, Allah s.w.t sahaja Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Allah s.w.t yang mengatur dan mengubal UNDANG-UNDANG SEJAGAT termasuk undang-undang untuk manusia, untuk alam tumbuhan, haiwan, dan jin. Manusia tidak boleh memilih selain daripada undang-undang yang telah di tetapkan oleh Allah s.w.t. Undang-undang Allah s.w.t sudah cukup sempurna kerana Allah s.w.t bersifat Maha Sempurna.

Bagi mereka-mereka yang angkuh dan merasa puas dengan kehidupan duniawi dan menafikan hak Allah s.w.t di muka bumi ini, maka tempat tinggal mereka adalah Neraka Jahim.

Rasulullah pernah bersabda kepada Ibnu Umar yang bermaksud :
“Jagalah hak Allah nescaya Allah menjaga kamu, ketahuilah sekiranya sesuatu kaum itu ingin memusnahkan kamu, yakinilah bahawa mereka tidak dapat melakukannya kerana apa yang di tentukan oleh Allah.”

Bilamana seseorang itu mengaku Allah s.w.t sebagai Ilah maka beliau juga mesti menerima dan mengaku Allah s.w.t sebagai Rabb, iaitu mengaku bahawa Allah s.w.t sebagai Pemilik dan Penguasa alam ini termasuk manusia itu sendiri.

Tauhid terbagi kepada dua :
1.Tauhid Uluhiyah (meng Esakan Allah s.w.t, menerima undang-undang dan mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah s.w.t)
2.Tauhid Rububiyah (meyakini segala sifat-sifat kesempurnaan Allah s.w.t dan meyakini bahawa Allah s.w.t adalah Pemilik, Pencipta dan Penguasa alam semesta)

Apabila Tauhid ini (Tauhid Uluhiyah dan Tauhid Rububiyah) tidak ada dalam hati kita ini bermakna kita telah mensyirikkan dan menyekutukan Allah s.w.t. Tidak ada dosa yang lebih besar melainkan dosa mensyirikan Allah s.w.t. Di hari akhirat nanti Allah s.w.t ,tidak akan mengampunkan dosa mereka-mereka yang mensyirikanNya ketika di dunia ini.

Kalimah Tayyiba yang kita ucapkan perlu kepada tuntutan, ingatlah bila mana kita mengucap sahaja Kalimah Tayyibah, ini bermakna kita telah mencabut segala kekuasaan yang di kuasai oleh sesiapa sahaja dalam kehidupan kita dan di kembalikan kepada Kekuasaan Allah s.w.t. 

Manusia akan bebas dari belengu yang mengikat dirinya iaitu belengu adat istiadat yang di warisi dari datuk nenek moyang mereka yang bercangah dengan Syariah, belengu yang berupa undang-undang ciptaan manusia yang mengusai pemerentahan dan penguatkuasaan di dalam kehidupan harian yang mana ianya terang-terang bertentangan dengan Al- Quran dan Sunnah Nabi-Nya dan belengu yang berupa hawa nafsu yang menguasai hati dan perasaannya.

Orang-orang Arab jahiliyah percaya bahawa langit dan bumi di ciptakan oleh Allah s.w.t, tetapi apabila di ajak beriman kepada Allah s.w.t dengan pengakuan bahawa “Tiada Ilah yang di sembah melainkan Allah” maka mereka menolaknya di sebabkan mereka cukup sayang pada ilah-ilah yang lain iaitu sistem hidup dan adat istiadat “latta dan uzah” yang di warisi dari datuk nenek moyang mereka. Mereka tidak mahu meninggalkan amalan mengikut hawa nafsu yang menjadi sebagai ilah-ilah mereka. Hidup mereka telah sebati dengan perbuatan zina, bermain judi, minum arak, mengambil riba’, menindas orang fakir miskin, membunuh anak perempuan dan meninggalkan hidup anak lelaki, tenung nasib dan lain-lain lagi. Mereka cukup faham apabila mereka mengucapkan sahaja kalimah ini mereka pasti dan terpaksa meninggalkan segala amalan-amalan jahiliyah yang telah sebati dalam kehidupan mereka seharian. Itulah sebabnya mereka bermati-matian memerangi dan menzalimi Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w.

Apabila kita kaitkan suasana di zaman jahiliyah dahulu berbanding dengan suasana kita sekarang ini ada beberapa persamaan dari segi prinsip, walaupun suasana ketika itu tidak ada kemajuan sain dan teknologi. Hari ini manusia rata-rata menolak hukum-hukum Allah s.w.t, mereka menganggap hukum-hukum Allah s.w.t tidak sesuai di laksanakan dalam kehidupan sekarang ini kerana kepesatan kemajuan sain dan teknologi dan hidup di dunia tanpa sempadan. Alasan yang lain hidup dalam masyarakat majmuk perlu toleransi dan mengiktiraf kebebasan dan hak asasi manusia!

Sahabat yang dihormati,
Ingatlah ! sebagai seorang Muslim-Mukmin yang beriman kepada Allah s.w.t dan rukun-rukun Iman yang lain dan beriman kepada Tauhid Uluhiyah dan Tauhid Rububiyah, maka kita perlu meyakini sepenoh hati bahawa keimanan tidak boleh di pisahkan dalam kehidupan. Apabila kita beriman kepada Allah s.w.t ini bermakna kita kena terima sistem hidup Isam yang sempurna. Islam merangkumi segala kehidupan manusia, dalam bidang ekonomi, politik, pemerentahan, pentadbiran, sosial, kewangan, kekeluargaan, kehakiman dan lain-lain lagi. Yakinilah bahawa undang-undang Islam dan hukum Hudud sesuai di sepanjang zaman. Hanya perlaksanaannya sahaja perlu kepada peringkat demi peringkat berdasarkan keadaan semasa.

Justeru, marilah kita sama-sama beramal dengan Kalimah Tayyibah dengan istiqamah, pada setiap masa dan ketika, semoga kita semua diberikan taufiq dan hidayah, rahmat dan keberkatan, inayah dan kebahagiaan daripada Allah s.w.t.

Kunci Syurga adalah Kalimah Tayyibah.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Terdapat satu dailog di antara seorang pemuda Arab Islam dengan paderi Kristian. Peristiwa ini berlaku disalah satu gereja di Amerika Syarikat. Paderi tersebut memahami bahawa kunci untuk memasuki Syurga adalah Kalimah Tayyibah. Dengan dailog ini semoga kalian dapat memahami bahawa al-Qur'an adalah kita suci yang lengkap dan sempurna dan boleh menyelesaikan semua perso'alaan hidup manusia..

Ada seorang pemuda Arab yang baru selesai pengajiannya di Amerika. Pemuda ini adalah salah seorang yang diberi nikmat oleh Allah berupa pendidikan agama Islam bahkan dia mampu mendalaminya. Selain belajar, dia juga seorang jurudakwah Islam.

Ketika berada di Amerika, dia berkenalan dengan salah seorang Nasrani. Hubungan mereka semakin akrab, dengan harapan semoga Allah s.w.t. memberinya hidayah masuk Islam.

Pada suatu hari mereka berdua berjalan-jalan di sebuah perkampungan di Amerika dan melintas dekat sebuah gereja yang terdapat di kampung tersebut. Temannya itu meminta agar dia turut masuk ke dalam gereja. Mula-mula dia keberatan, namun kerana desakan akhirnya pemuda itu pun memenuhi permintaannya lalu ikut masuk ke dalam gereja dan duduk di salah satu bangku dengan hening, sebagaimana kebiasaan mereka.

Ketika paderi masuk, mereka serentak berdiri untuk memberikan penghormatan lantas kembali duduk. Di saat itu, si paderi agak terkejut ketika melihat kepada para hadirin dan berkata, "Di tengah kita ada seorang Muslim. Aku harap dia keluar dari sini."

Pemuda Arab itu tidak bergerak dari tempatnya. Paderi tersebut mengucapkan perkataan itu berkali-kali, namun dia tetap tidak bergerak dari tempatnya. Hingga akhirnya paderi itu berkata, "Aku minta dia keluar dari sini dan aku menjamin keselamatannya. " Barulah pemuda ini beranjak keluar.

Di ambang pintu, pemuda bertanya kepada sang paderi, "Bagaimana anda tahu bahawa saya seorang Muslim?" Paderi itu menjawab, "Dari tanda yang terdapat di wajahmu."

Kemudian dia beranjak hendak keluar. Namun, paderi ingin memanfaatkan kehadiran pemuda ini dengan mengajukan beberapa pertanyaan, tujuannya untuk memalukan pemuda tersebut dan sekaligus mengukuhkan agamanya. Pemuda Muslim itupun menerima pelawaan debat tersebut.

Paderi berkata, "Aku akan mengajukan kepada anda 22 pertanyaan dan anda harus menjawabnya dengan tepat."
Si pemuda tersenyum dan berkata, "Silakan!"

Si Paderi pun mulai bertanya, "Sebutkan satu yang tiada duanya, dua yang tiada tiganya, tiga yang tiada empatnya, empat yang tiada limanya, lima yang tiada enamnya, enam yang tiada tujuhnya, tujuh yang tiada lapannya, lapan yang tiada sembilannya, sembilan yang tiada sepuluhnya, sesuatu yang tidak lebih dari sepuluh, sebelas yang tiada dua belasnya, dua belas yang tiada tiga belasnya, tiga belas yang tiada empat belasnya.."

"Sebutkan sesuatu yang dapat bernafas namun tidak mempunyai ruh! Apa yang dimaksud dengan kubur berjalan membawa isinya? Siapakah yang berdusta namun masuk ke dalam syurga? Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah namun Dia tidak menyukainya? Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah dengan tanpa ayah dan ibu!"

"Siapakah yang tercipta dari api, siapakah yang diazab dengan api dan siapakah yang terpelihara dari api? Siapakah yang tercipta dari batu, siapakah yang diazab dengan batu dan siapakah yang terpelihara dari batu?"

"Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah dan dianggap besar! Pohon apakah yang mempunyai 12 ranting, setiap ranting mempunyai 30 daun, setiap daun mempunyai 5 buah, 3 di bawah naungan dan dua di bawah sinaran matahari?"


Mendengar pertanyaan tersebut, pemuda itu tersenyum dengan keyakinan kepada Allah. Setelah membaca "Bismillah.. ." dia berkata,

-Satu yang tiada duanya ialah Allah s.w.t...

-Dua yang tiada tiganya ialah Malam dan Siang. Allah s.w.t. berfirman, "Dan Kami jadikan malam dan siang sebagai dua tanda (kebesaran kami)." (Al-Isra': 12).

-Tiga yang tiada empatnya adalah kesilapan yang dilakukan Nabi Musa ketika Nabi Khidir menenggelamkan sampan, membunuh seorang anak kecil dan ketika menegakkan kembali dinding yang hampir roboh.

-Empat yang tiada limanya adalah Taurat, Injil, Zabur dan al-Qur'an.

- Lima yang tiada enamnya ialah Solat lima waktu.

-Enam yang tiada tujuhnya ialah jumlah Hari ketika Allah s.w.t. menciptakan makhluk.

-Tujuh yang tiada lapannya ialah Langit yang tujuh lapis. Allah s.w.t. berfirman, "Yang telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Rabb Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang." (Al-Mulk: 3).

-Lapan yang tiada sembilannya ialah Malaikat pemikul Arsy ar-Rahman. Allah s.w.t. berfirman, "Dan malaikat-malaikat berada di penjuru-penjuru langit. Dan pada hari itu lapan orang malaikat menjunjung 'Arsy Rabbmu di atas (kepala) mereka." (Al-Haqah: 17).

-Sembilan yang tiada sepuluhnya adalah mukjizat yang diberikan kepada Nabi Musa iaitu: tongkat, tangan yang bercahaya, angin taufan, katak, darah, kutu dan belalang.

-Sesuatu yang tidak lebih dari sepuluh ialah Kebaikan. Allah s.w.t. berfirman, "Barang siapa yang berbuat kebaikan maka untuknya sepuluh kali ganda." (Al-An'am: 160).

-Sebelas yang tiada dua belasnya ialah jumlah Saudara-Saudara Nabi Yusuf.

-Dua belas yang tiada tiga belasnya ialah Mukjizat Nabi Musa yang terdapat dalam firman Allah, "Dan (ingatlah) ketika Musa memohon air untuk kaumnya, lalu Kami berfirman, "Pukullah batu itu dengan tongkatmu." Lalu memancarlah daripadanya dua belas mata air." (Al-Baqarah: 60).

-Tiga belas yang tiada empat belasnya ialah jumlah Saudara Nabi Yusuf ditambah dengan ayah dan ibunya.

-Adapun sesuatu yang bernafas namun tidak mempunyai ruh adalah waktu Subuh. Allah s.w.t. berfirman, "Dan waktu subuh apabila fajarnya mulai menyingsing. " (At-Takwir: 18).

-Kubur yang membawa isinya adalah Ikan yang menelan Nabi Yunus AS.

-Mereka yang berdusta namun masuk ke dalam syurga adalah saudara-saudara Nabi Yusuf, yakni ketika mereka berkata kepada ayahnya, "Wahai ayah kami, sesungguhnya kami pergi berlumba-lumba dan kami tinggalkan Yusuf di dekat barang-barang kami, lalu dia dimakan serigala." Setelah kedustaan terungkap, Yusuf berkata kepada mereka, "Tak ada cercaan terhadap kamu semua." Dan ayah mereka Ya'qub berkata, "Aku akan memohonkan ampun bagimu kepada Rabbku. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Yusuf:98)

-Sesuatu yang diciptakan Allah namun tidak Dia sukai adalah suara Keldai. Allah s.w.t. berfirman, "Sesungguhnya sejelek-jelek suara adalah suara keldai." (Luqman: 19).

-Makhluk yang diciptakan Allah tanpa bapa dan ibu adalah Nabi Adam, Malaikat, Unta Nabi Soleh dan Kambing Nabi Ibrahim.

-Makhluk yang diciptakan dari api adalah Iblis, yang diazab dengan api ialah Abu Jahal dan yang terpelihara dari api adalah Nabi Ibrahim.. Allah s.w.t. berfirman, "Wahai api dinginlah dan selamatkan Ibrahim." (Al-Anbiya': 69).

-Makhluk yang terbuat dari batu adalah Unta Nabi Soleh, yang diazab dengan batu adalah tentara bergajah dan yang terpelihara dari batu adalah Ashabul Kahfi (penghuni gua).

-Sesuatu yang diciptakan Allah dan dianggap perkara besar adalah Tipu Daya Wanita, sebagaimana firman Allah s.w.t. "Sesungguhnya tipu daya kaum wanita itu sangatlah besar." (Yusuf: 28).

-Adapun pohon yang memiliki 12 ranting setiap ranting mempunyai 30 daun, setiap daun mempunyai 5 buah, 3 di bawah teduhan dan dua di bawah sinaran matahari maknanya: Pohon adalah Tahun, Ranting adalah Bulan, Daun adalah Hari dan Buahnya adalah Solat yang lima waktu, Tiga dikerjakan di malam hari dan Dua di siang hari.

Paderi dan para hadirin merasa takjub mendengar jawapan pemuda Muslim tersebut. Kemudian dia pun mula hendak pergi. Namun dia menghentikan niatnya dan meminta kepada paderi agar menjawab satu pertanyaan saja. Permintaan ini disetujui oleh paderi.

Pemuda ini berkata, "Apakah kunci syurga itu?"

Mendengar pertanyaan itu lidah paderi menjadi kelu, hatinya diselimuti keraguan dan rupa wajahnya pun berubah. Dia berusaha menyembunyikan kekuatirannya, namun tidak berhasil. Orang-orang yang hadir di gereja itu terus mendesaknya agar menjawab pertanyaan tersebut, namun dia cuba mengelak.

Mereka berkata, "Anda telah memberikan 22 pertanyaan kepadanya dan semuanya dia jawab, sementara dia hanya memberi cuma satu pertanyaan namun anda tidak mampu menjawabnya! "

Paderi tersebut berkata, "Sesungguh aku tahu jawapannya, namun aku takut kamu marah."

Mereka menjawab, "Kami akan jamin keselamatan anda. "

Paderi pun berkata, "Jawapannya ialah: Asyhadu An La Ilaha Illallah , Wa Asyhadu Anna Saiyidina Muhammadar Rasulullah."
Lantas paderi dan orang-orang yang hadir di gereja itu terus memeluk agama Islam.. Sungguh Allah telah menganugerahkan kebaikan dan menjaga mereka dengan Islam melalui tangan seorang pemuda Muslim yang bertakwa.


NOTA:
Ini adalah artikel sulung dari qasha dan merupakan sebuah artikel yang cukup bagus. Ia dapat menyedarkan kita agar membaca dan memahami isi kandungan Al-Qur'an bagi membolehkan kita menangkis tohmahan dan menjawab pertanyaan orang-orang kafir.

Saya pernah membaca dari satu buku bahawa sebenarnya paderi Kristian tahu bahawa Kunci Syurga itu adalah Dua Kalimah Syahadah. Kerana itu (kononnya) apabila nazak seorang Kristian, maka paderi akan datang membisikkan kalimah itu ke telinganya dengan harapan dia akan mati dalam Islam.

Saya tidak pasti sama ada dakwaan ini (membisikkan ke telinga orang nazak) benar atau tidak. Namun saya pasti ahli kitab Kristian tahu bahawa Kunci Syurga adalah Dua Kalimah Syahadah. Cuma, mereka tidak mahu mengaku (kebenaran Islam) kerana bimbang akan kehilangan pangkat dan kedudukan duniawi.

Wallahua'lam
Semana kaya atau besar...tetap Allahu Akbar!!!! Ittaqullah!! !!!
Ya Allah, Kembalikanlah kami dalam keadaan KAU redha seluruh kehidupan kami. amin.

Kerana Allah SWT kita ditemukan... .Andai Terpisah...Itu ketentuan..
.


wallahualam...

Amalan Yang Lebih Utama

Daripada Abu Zar r.a katanya, “Aku bertanya Rasulullah SAW : “ Manakah satu amalan lebih utama?” Baginda bersabda: “ Beriman di jalan Allah dan berjihad di jalan-Nya. Aku bertanya lagi : “ Memerdekakan hamba yang manakah yang lebih utama? Baginda bersabda : “ Yang lebih mahal harganya dan yang lebih bernilai di sisi pemiliknya.” Abu Zar bertanya lagi : “ Jika saya tidak dapat melakukannya?” Baginda bersabda : “ Engkau menolong orang yang berbuat atau engkau melakukan untuk orang yang tidak dapat berbuat. Abu Zar bertanya lagi : “Jika saya tidak dapat berbuat?” Sabda baginda : “ Engkau menjauhkan orang dari kejahatan kerana ia satu sedekah yang engkau bersedekah ke atas diri mu.”
(Al-Bukahri dan Muslim)

Huraiannya :
Di dalam al-Quran dinyatakan bahawa setiap amal perbuatan atau amal ibadah walau sekecil zarah sekalipun pasti dibalas dengan pahala oleh Allah SWT. Bayangkan, jika kita melakukan amal perbuatan atau amal ibadah yang paling utama tentulah jumlah pahalanya luar biasa banyaknya. Maka beruntunglah orang yang dapat melakukan amalan-amalan seperti yang disebutkan di dalam hadith di atas yang sememangnya sungguh besar ganjarannya. Hal ini disebabkan setiap sesuatu kebaikan itu sesungguhnya amat susah untuk dilakukan lantaran terlalu banyak godaan dan halangan khususnya daripada syaitan laknatullah. Berbeza pula halnya dengan kejahatan yang senang sahaja berlaku kerana ini tidak dihalang bahkan dibantu khusus oleh syaitan. Oleh yang demikian, sebagai benteng yang kukuh, manusia mestilah mempunyai keimanan yang teguh bagi melawan hasutan syaitan tersebut kerana kebiasaannya orang yang selalu tewas dan malas dalam melakukan kebajikan adalah orang yang meremehkan pembalasan daripada Allah SWT sama ada ia merupakan pembalasan baik atau pembalasan buruk (neraka).

Tuesday, August 3, 2010

Waktu-waktu Mustajab Doa

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم  
 
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah, 

Setiap amalan dalam Islam ada waktu-waktu tertentu yang lebih afdal untuk kita laksanakan. Contoh solat tahajjud dilaksanakan di waktu malam selepas solat Isya' sebelum subuh. Puasa sunat pula digalakkan untuk berpuasa setiap  hari Isnin dan Khamis dan pertengahan bulan Islam (tiga hari puasa). Begitu juga berdo'a kepada Allah s.w.t ada waktu-waktu mustajab do'a yang perlu kita ketahui dan menggunakan waktu tersebut untuk bermunajad di sisi Allah SWT.


Menurut Ibn Atha', do'a mempunyai beberapa rukun yang kuat menyebabkannya naik ke langit untuk diterima Allah s.w.t. Rukun yang paling utama ialah hadir hati dan memohon dengan tawaduk. Sayap-sayap do'a itu ialah berdo'a dengan penuh keikhlasan dari hati dan bertepatan dengan waktu. 

Terdapat 22 waktu dimakbulkan doa ialah :


1.Berdoa sewaktu hujan turun.
 
Sabda Nabi SAW  yang bermaksud :
"Berdoalah pada waktu mustajab doa iaitu sewaktu pasukan tentera bertempur, waktu mendirikan solat dan ketika hujan turun". (Hadis Riwayat Abu Daud).


2.Ketika hendak bersolat berdasarkan hadis diatas.


3.Selesai membaca al-Fatihah dalam solat.


4.Selepas mengucapkan 'Amin' apabila selesai membaca surah al-Fatihah.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Apabila imam mengatakan 'Amin', maka ucapkanlah 'Amin'. Sesiapa yang mengucapkan 'Amin' bersama dengan para malaikat, diampunkan dosa yang telah lalu."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


5.Pada waktu tengah malam, terutama sepertiga malam yang terakhir.

Sabda Nabi SAW  yang bermaksud :
"Allah SWT  turun ke langit dunia apabila tinggal sepertiga malam yang terakhir dan berkata : 'Ada sesiapa yang memohon kepada-Ku untuk Ku makbulkan, ada sesiapa yang meminta kepada-Ku untuk Kuberikan, ada sesiapa yang beristighfar memohon ampun untuk Ku ampunkan?" (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


6.Waktu di antara azan dan iqamah. 

Sabda Nabi SAW. yang bermaksud :
"Tidaklah ditolak do'a di antara azan dan iqamah." (Hadis Riwayat Tirmizi).


7.Ketika sujud dalam solat. 

Sabda Nabi SAW  yang bermaksud :
"Sehampir-hampir hamba kepada Tuhannya ialah pada waktu sujud, maka perbanyakkanlah berdoa." (Hadis Riwayat Muslim).


8.Selepas berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW  dalam tahiyat akhir.


9.Selesai solat fardu.

Ditanya kepada Rasulullah SAW., "Doa manakah yang didengar (Allah)"

Sabda baginda, "Doa itu mustajab pada waktu malam dan selesai solat fardu." 
 (Hadis Riwayat Tirmizi).


10.Sepanjang waktu berpuasa. 

Sabda Nabi SAW yang bermaksud, "Tiga bentuk doa yang dimustajabkan Allah; doa ibu bapa terhadap anak, doa orang yang berpuasa dan doa orang yang bermusafir."
(Hadis Riwayat Baihaqi)


11.Malam al-Qadar berlaku pada bulan Ramadan.


12.Ketika khatam 30 juz al-Quran.


13.Sepanjang hari Jumaat itu, dengan harapan bersua dengan waktu mustajab doa.

Nabi SAW  bersabda yang bermaksud : "Pada hari Jumaat itu, ada satu waktu yang apabila seseorang hamba memohon kepada Allah sesuatu, maka akan diberikan-Nya".
(Hadis Riwayat Bukhari).


14.Sepanjang perjalanan semasa bermusafir.

Sabda Nabi SAW  yang bermaksud : "Tiga bentuk doa yang pasti dimakbulkan Allah, iaitu ; doa orang yang teraniaya, doa orang yang bermusafir dan doa ibu bapa terhadap anaknya."
(Hadis Riwayat Abu Daud).


15.Pada hari 'Arafah iaitu 9 Zulhijjah.

Nabi SAW. bersabda yang bermaksud : "Sebaik-baik doa adalah pada hari 'Arafah, dan sebaik-baik doa yang aku dan para nabi yang lain ucapkan ialah (maksudnya) : 'Tiada Tuhan yang sebenarnya yang layak disembah melainkan Allah, tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu'.
(Hadis Riwayat Tirmizi)


16.Ketika berjihad dan sewaktu melaksanakan ibadah haji atau umrah,

Sabda Nabi SAW. yang bermaksud, "Orang yang berjihad pada jalan Allah dan orang yang mengerjakan haji serta umrah merupakan tetamu Allah, Dia menyeru (memerintahkan) mereka dan mereka menjawabnya (menunaikannya) mereka berdoa kepada Allah lalu Allah terimanya." (Hadis Riwayat Ibn Majah)


17.Ketika iman meningkat kerana berbuat taat.

Sabda Nabi SAW. yang bermaksud, "...dan adalah hamba-Ku mendekatkan dirinya kepada-Ku dengan ibadah yang sunat hingga Aku mencintainya, jika Aku sudah mencintainya, Aku akan menjadi pendengarannya yang dengannya dia mendengar dan penglihatannya yang dengannya dia melihat dan tangannya yang dengannya dia menyentuh dan kakinya yang dengannya dia melangkah, dan jika dia meminta akan Ku berikan dan jika dia meminta perlindungan nescaya akan Ku lindungi."


18.Waktu menerima ujian.

Firman Allah SWT. yang bermaksud : "Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila ia berdoa kepada-Nya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit antara kamu yang mengingati (nikmat Allah itu). (Surah al-Naml ayat 62)


19.Ketika tentera Islam berhadapan dengan tentera musuh.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud, "Dua jenis doa yang tidak akan ditolak oleh Allah s.w.t. atau jarang-jarang sekali ditolak; doa sewaktu azan dan ketika berlakunya peperangan."
(Hadis Riwayat Abu Daud)


20.Ketika menghadiri penyelenggaraan jenazah.

Ummu Salamah r.ha. melapurkan bahawa Nabi SAW. bersabda yang bermaksud, "Apabila engkau menziarahi orang yang sakit atau menziarahi jenazah, berkatalah hal yang baik-baik, kerana para malaikat mengaminkan apa yang kamu katakan itu." (Hadis Riwayat Muslim)


21.Selepas saat kematiaan seseorang.

Diriwayatkan daripada Ummu Salamah r.ha. bahawa Nabi SAW. menziarahi jenazah Abu Salamah r.a lalu menutup matanya. Baginda bersabda maksudnya, "Sesungguhnya roh seseorang yang keluar dari jasadnya akan diekori oleh mata." lalu baginda bersabda lagi yang bermaksud : "Janganlah kalian berdoa untuk diri kalian melainkan perkara yang baik sahaja kerana malaikat mendoakan untuk kalian." Baginda kemudiannya mendoakan untuk Abu Salamah r.a".


22.Ketika ayam berkokok. 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud, "Apabila kamu mendengar ayam berkokok, mohonlah anugerah-Nya, kerana ayam itu melihat malaikat." (Hadis Riwayat Bukhari)


Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita berusaha untuk berdoa diwaktu-waktu mustajab doa. Semoga dengan ikhtiar kta yang sedikit ini Allah perkenankan doa-doa kita dan meletakkan diri kita bersama barisan hamba-hamba-Nya yang di redhai di dunia dan akhirat.


(Dipetik dari buku 101 Do'a daripada Hadis-hadis Sahih oleh Ustaz Zahazan Mohamed.)

Sempurnakan Lima Syarat Supaya Solat Kita di Terima Oleh Allah

Ibnu Abbas ra. berkata: Nabi s.a.w. bersabda: Allah s.w.t. berfirman maksudnya : "Sesungguhnya Aku hanya menerima solat dari orang yang merendahkan diri karena keagungan-Ku dan tiada menyombongkan dirinya di atas makhluk-Ku, tiada terus menerus bermaksiat pada-Ku, menghabiskan masa harinya berdzikir kepada-Ku, berbalas kasih kepada orang miskin, orang musafir-ibnussabil- perempuan janda dan orang yang terkena mushibah. Ia bercahaya laksana matahari. Aku lindungi ia dengan kesabaran-Ku dan memerintahkan malaikat-Ku menjaganya. Aku berinya cahaya dalam kegelapan dan kesabaran dalam kesukaran. Ia di antara makhluk-makhluk-Ku laksana "firdaus" diantara barisan Syurga".
(Hadis Riwayat Al-Bazzar)

Sahabat yang dimuliakan,
Solat adalah amalan yang pertama akan dihisab oleh Allah s.w.t di hari akhirat nanti. Bila solatnya diterima maka barulah amalan-amalan yang lain di terima seperti puasa, zakat. haji, sedekah, bacaan al-Qur'an, berzikir, berbuat kebaikan kepada kedua orang tua dan berjihad di jalan Allah akan diterima dan dihisab. Jika solatnya ditolak maka amalan kebaikan yang lain tidak akan di hisab dan ianya akan terus dimasukkan ke dalam Neraka, nauzubillah.

Sebelum Allah s.w.t menerima solat seseorang hamba di hari akhirat nanti.maka Allah s.w.t. akan terima solat itu di dunia ini lagi.Jika Allah s.w.t menolak solat seseorang ketika di dunia maka solatnya tidak akan diterima apabila dipersembahkan olehnya dihadapan Allah s.w.t nanti. Selain daripada khusyuk dan betul dari rukun dan syarat sah solat, terdapat beberapa faktur lain yang akan diambil kira untuk diterima solat kita oleh Allah s.w.t.

Berdasarkan hadis Qudsi tersebut Allah s.w.t hanya akan menerima solat seseorang yang memiliki lima syarat tersebut dibawah ini :

1. Merendakkan diri kerana keagungan Allah.
Sifat merendahkan diri iaitu sifat tawadu' adalah sifat yang terpuji.Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
"Tidak ada seorang pun yang bertawadu' kerana Allah kecuali Allah akan meninggikan darjatnya."
(Hadis Riwayat Muslim)

Sifat tawadu' adalah satu sifat yang mulia, seseorang Muslim yang mempunyai sifat ini akan mendapat darjat yang tinggi disisi Allah s.w.t. Berlawanan dari sifat tawadu' adalah sifat sombong dan takbur.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya Allah mewahyukan kepadaku supaya kalian merendah hati, hingga tidak ada orang yang merasa tinggi daripada yang lain dan tidak ada orang yang berbuat zalim kepada yang lain."

2. . Tidak bersikap sombong kepada makhluk Allah s.w.t.
Orang yang sombong suka menghina orang lain ketika di dunia ini, di akhirat nanti mereka pula akan di hina oleh Allah , Allah tidak akan memandang dan berbicara dengan mereka atau menyucikan mereka dan inilah kehidupan yang sebenar-benar hina.

Orang yang takbur dengan habuan dunia lupa bahawa sombong adalah pakaian Allah, iaitu hak uluhiyah-Nya yang tidak boleh di rampas oleh sesiapa pun seperti sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :

"Perkasa adalah kain sarung-Ku (Allah) dan sombong ialah pakaian-Ku, barangsiapa menandingi Aku daripada salah satu dari keduanya, nescaya Aku akan menyiksanya."
(Hadis Riwayat Muslim)

Sebuah hadis Qudsi yang lain bermaksud:
"Allah Ta'ala berfirman (di dalam Hadis Qudsi) : Kesombongan adalah selendangKu dan kebesaran adalah sarungKu. Maka barang siapa menyamai-Ku salah satu dari keduanya, maka pasti Kulemparkan ia ke dalam Jahannam dan tidak akan Kupedulikan lagi."

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;
"Sombong itu ialah menolak kebenaran dan menghinakan makhluk."

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud;
"Tidak akan masuk ke dalam Syurga orang yang di dalam hatinya terdapat seberat biji sawi dari sifat kesombongan."

3.. Tidak berterusan melakukan maksiat. Jika melakukan sesuatu maksiat segera beristighfar dan bertaubat kepada Allah s.w.t.

Kesesatan dan kesalahan yang berlaku adalah di sebabkan dorongan hawa nafsu dan bisikan syaitan yang tidak sedari sentiasa mendorong untuk melakukan maksiat, ditambah pula pengaruh kebendaan dan nikmat dunia yang menipu. Oleh itu jalan terbaik segeralah bertaubat dan memohon keampunan Allah s.w.t. di atas kesalahan dan dosa-dosa yang telah dilakukan.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
"Semua anak Adam adalah berdosa dan sebaik-baik orang yang berdosa ialah yang bertaubat dari dosanya."

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud :
"Orang yang bertaubat dari dosanya adalah seperti orang yang tidak punya dosa."

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
"Barangsiapa melazimi meminta ampun kepada Allah, nescaya Allah akan menjadikan baginya jalan keluar dari setiap kesempitan dan menjadikan baginya jalan lapang dari setiap kesusahan serta Allah memberi rezeki kepadanya dari punca yang tidak disangka-sangka."

4. Menghabiskan masanya untuk sentiasa berzikir kepada Allah s.w.t.
Berzikir dan meningati Allah s.w.t adalah sifat orang-orang Mukmin, lidahnya sentiasa basah menyebut nama-nama Allah dan memuji dan memuja kebesaran dan keagungan-Nya.

Firman Allah s.w.t maksudnya : “Dan sebutlah nama Tuhanmu pada waktu pagi dan petang, dan pada sebahagian dari malam, maka sujudlah kepadaNya dan bertasbihlah kepadaNya pada bahagian yang panjang di malam hari.”
( Surah Al Insan, Ayat 25 - 26)

Abu Hurairah r.a memberitahu bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda,Allah s.w.t berfirman maksudnya : "Sesungguhnya,Aku adalah sebagaimana yang disangkakan oleh hambaku,adalah Aku bersamanya apabila dia mengingati Aku,jika dia mengingat aku di dalam hatinya, maka Aku mengingati dia dalam hatiKu, dan jika dia mengingati aku dalam jemaah maka Aku ingati dia dalam jemaah yang lebih baik ( iaitu dalam jemaah para malaikat yang maksum dan suci dari segala dosa).Apabila hambaku mendekatiku sejengkal,maka aku dekati dia sehasta. Apabila dia mendekati Aku sehasta Aku dekati dia sedepa.Dan apabila dia datang mendekati aku dengan berjalan,maka Aku dekati dia dengan berlari."

5. Mengasihi orang-orang miskin, orang musafir ( ibnussabil) dan wanita janda dan orang yang ditimpa musibah (sentiasa memberikan bantuan kepada mereka).

Sifat mengasihi dan menyayangi orang-orang miskin, orang musafir dan wanita janda (ibu tunggal yang miskin dan menanggung anak yatim) dan orang yang sedang ditimpa musibah. Kemudian diberikan bantuan untuk membantu kesusahan mereka adalah satu sifat yang mulia disisi Allah s.w.t.

Sedekah adalah satu amalan soleh yang sangat dituntut oleh Islam. Sesiapa yang banyak bersedekah akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah s.w.t. Sehinggakan Nabi s.a.w. ada menyatakan di dalam hadisnya bahawa salah satu daripada tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan daripada Allah s.w.t. di hari akhirat nanti adalah mereka yang bersedekah kerana Allah sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dihulurkan oleh tangan kanannya. Didalam riwayat yang yang lain Nabi s.a.w ada menyatakan bahawa seorang dermawan yang ikhlas kerana Allah akan dimasukkan ke dalam Syurga lebih awal daripada ulama dan orang yang mati syahid.

Sifat bakhil dan membenci orang miskin yang serba kekurangan, orang musafir (ibnussabil) yang terputus perbelanjaan dan tidak menghiraukan kesusuahan yang menimpa wanita janda meskin dan orang yang ditimpa musibah (penyakit atau kemalangan) adalah sifat tercela dan dimurkai oleh Allah s.w.t..

Sahabat yang dimuliakan,
Sebagai balasan daripada Allah s.w.t. kedudukan mereka yang memiliki lima ciri-ciri di atas akan bercahaya di hari akhirat seperti matahari. Sentiasa mendapat perlindungan dan kasih sayang daripada Allah s.w.t. dan malaikat akan menjaganya (keselamatan diri) dan diberinya nur sakinah di dalam hati dan jiwa ketika di dunia . Apabila Allah s.w.t megasihi dan mencintai hamba-hamba-Nya maka Allah s.w.t akan memberi rahmat, perlindungan, rezeki dan pertolongan-Nya ketika di dunia ini dan di hari akhirat nanti diberi pengampunan dan di masukkan kedalam Syurga yang tinggi seluas langit dan bumi dan mengalir sungai-sungai dibawahnya.Di sinilah puncak kebahagiaan yang sebenarnya.

Oleh itu marilah sama-sama kita muhasabah diri kita dan perbaikilah amal soleh kita dan perbanyakkan kerja-kerja jihad dan membantu masyarakat yang memerlukan bantuan kebajikan. Sesungguhnya segala kebaikan kita akan dinilai dan diberi ganjaran oleh Allah s.w.t.

Sunday, August 1, 2010

Mencari ketenangan Hati

Sahabat yang dikasihi Allah,
Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Namun zikrullah yang bagaimana dapat memberi kesan dan impak kepada hati? Ramai yang berzikir tetapi tidak tenang. Ada orang berkata, “ketika saya dihimpit hutang, jatuh sakit, dicerca dan difitnah, saya pun berzikir. Saya ucapkan subhanallah, alhamdulillah, Allah hu Akbar beratus-ratus malah beribu-ribu kali tetapi mengapa hati tidak tenang juga?”

Zikrullah hakikatnya bukan sekadar menyebut atau menuturkan kalimah. Ada bezanya antara berzikir dengan “membaca” kalimah zikir. Zikir yang berkesan melibatkan tiga dimensi :
1. Dimensi lidah (qauli), 
2. Hati (qalbi) dan 
3. Perlakuan (fikli). 
 
Mari kita lihat lebih dekat bagaimana ketiga-tiga dimensi zikir ini diaplikasikan.
 
Kita mengucapkan subhanallah – ertinya Maha Suci Allah. Itu zikir qauli. Namun, pada masa yang sama hati hendaklah merasakan Allah itu Maha Suci pada zat, sifat dan af’al (perbuatannya). Segala ilmu yang kita miliki tentang kesucian Allah hendaklah dirasai bukan hanya diketahui. Allah itu misalnya, suci daripada sifat-sifat kotor seperti dendam, khianat, prasangka dan sebagainya.

Dimensi kata, rasa dan tindakan
Jika seorang hamba yang berdosa bertaubat kepada-Nya, Allah bukan sahaja mengampunkannya, malah menghapuskan catatan dosa itu, bahkan menyayangi dan memberi “hadiah” kepadanya.
 
Firman Allah maksudnya :
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai…”
(Surah At Tahrim ayat 8)

Firman Allah lagi:
“… Sungguh, Allah menyukai orang yang taubat dan menyukai orang yang menyucikan diri” 
(Surah Al-Baqarah ayat 222).

Sifat ini berbeza sekali dengan kita manusia yang kekadang begitu sukar memaafkan kesalahan orang lain. Dan segelintir yang mampu memaafkan pula begitu sukar melupakan . Hendak memberi hadiah kepada orang yang bersalah mencaci, memfitnah dan menghina kita? Begitulah kotornya hati kita yang sentiasa diselubungi dendam, prasangka dan sukar memaafkan. Tidak seperti Allah yang begitu suci, lunak dan pemaaf. Jadi, apabila kita bertasbih, rasa-rasa inilah yang harus diresapkan ke dalam hati. Ini zikir qalbi namanya.

Tidak cukup di tahap itu, zikrullah perlu dipertingkatkan lagi ke dimensi ketiga. Hendaklah orang yang bertasbih itu memastikan perlakuannya benar-benar menyucikan Allah. Ertinya, dia melakukan perkara yang selaras dengan suruhan Allah yang Maha Suci dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Yang halal, wajib, harus dan sunat dibuat. Manakala yang haram dan makruh ditinggalkannya. Zina, mengumpat, mencuri, memfitnah dan lain-lain dosa yang keji dan kotor dijauhi. Bila ini dapat dilakukan kita telah tiba di dimensi ketiga zikrullah – zikir fikli!

Sekiranya ketiga-tiga dimensi zikrullah itu dapat dilakukan, maka kesannya sangat mendalam kepada hati. Sekurang-kurang hati akan dapat merasakan empat perkara:

Rasa kehambaan.
Rasa bertuhan.
Memahami maksud takdir.
Mendapat hikmah di sebalik ujian.

Hati adalah sumber dari segala-galanya dalam hidup kita, agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat merosak kehidupan kita apalagi sampai merosak kebahagiaan hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti. Untuk menjaga kebersihan hati maka kita juga perlu untuk menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang dilarang oleh Allah s.w.t.. Dengan menjaga hal-hal tersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita akan dapat mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.

Rasa kehambaan.
Rasa kehambaan ialah rasa yang perlu ada di dalam hati seorang hamba Allah terhadap Tuhan-Nya. Antara rasa itu ialah rasa miskin, jahil, lemah, bersalah, hina dan lain-lain lagi. Bila diuji dengan kesakitan, kemiskinan, cercaan misalnya, seorang yang memiliki rasa kehambaan nampak segala-galanya itu datang daripada Allah. 
 
Firman Allah maksudnya :
“Katakanlah (Muhammad), tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah bertawakal orang-orang yang beriman.” 
(Surah At Taubah ayat 51)

Seorang hamba akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji. Bukankah dia seorang hamba? Dia akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku yang diuji? Kenapa aku, bukan orang lain? Ini samalah dengan mempersoalkan Allah yang mendatangkan ujian itu. Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang. Jika kita “memberontak” hati akan bertambah kacau.

Sahabat yang dimuliakan,
Imam Ghazali rhm pernah menyatakan bahawa cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah “memberontak” kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya. Misalnya, dia tidak lalu mahu makan-minum secara teratur, tidak mandi, tidak menyisir rambut, tidak berpakaian kemas, tidak mengemaskan misai dan janggut dan lain-lain yang menjadi selalunya menjadi rutin hidupnya. Ungkapan mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang adalah satu “demonstrasi” seorang yang sudah tercabut rasa kehambaannya apabila diuji.

Bila ditimpa ujian kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja’ – innalillah wa inna ilaihi rajiun.
Firman Allah s.w.t maksudnya :  “…Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-nyalah kami kembali.” 
(Surah Al Baqarah ayat 156)

Mengapa kita diperintahkan mengucapkan istirja’? Kalimah ini sebenarnya mengingatkan kita agar kembali merasakan rasa kehambaan. Bahawa kita adalah hamba milik Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini.

Rasa berTuhan.
Rasa kehambaan yang serba lemah, miskin, kurang dan jahil itu mesti diimbangi oleh rasa bertuhan. Bila kita rasa lemah timbul pergantungan kepada yang Maha Kuat. Bila kita rasa kurang timbul pengharapan kepada yang Maha Sempurna. Bila miskin, timbul rasa hendak meminta kepada yang Maha Kaya. Rasa pengharapan, pengaduan dan permintaan hasil menghayati sifat-sifat Allah yang Maha Sempurna itulah yang dikatakan rasa berTuhan.

Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina, lemah sebaliknya rasa berTuhan akan menimbulkan rasa berani, mulia dan kuat. Seorang hamba yang paling kuat di kalangan manusia ialah dia yang merasa lemah di sisi Allah. Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya. Inilah rasa yang dialami oleh Rasulullah s.a.w. yang menenteramkan kebimbangan Sayidina Abu Bakar ketika bersembunyi di gua Thaur dengan katanya, “La tahzan innallaha maana – Jangan takut, sesungguhnya Allah bersama kita!”

Rasa berTuhan inilah yang menyebabkan para Nabi dan Rasul, mujaddid dan mujtahid, para mujahid dan murabbi sanggup berdepan kekuatan majoriti masyarakat yang menentang mereka mahupun kezaliman pemerintah yang mempunyai kuasa. Tidak ada istilah kecewa dan putus asa dalam kamus hidup mereka. Do'a adalah senjata mereka manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah. Firman Allah s.w.t. maksudnya :
“Dan pohonlah pertolongan dengan sabar dan solat.” (Surah Al Baqarah.)

Dalam apa jua keadaan, positif mahupun negatif, miskin ataupun kaya, berkuasa ataupun rakyat biasa, tidak dikenali ataupun popular, hati mereka tetap tenang. Firman Allahs.w.t. maksudnya :
“Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana.” 
(Surah Al Fathu ayat  4).

Bila hati tenang berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w  melalui sabdanya yang bermaksud : "Amat menarik hati keadaan orang beriman, semua pekerjaannya baik belaka, dan itu ada hanya pada orang beriman: Jika memperoleh kesenangan, dia bersyukur. Dan itu memberikannya kebaikan (pahala). Jika ditimpa bahaya (kesusahan), dia sabar dan itu juga memberikannya kebaikan.”

Memahami maksud takdir Allah.
Mana mungkin kita mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah takdir Allah s.w.t.. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal: "Kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita."

Kemudi dalam pelayaran kehidupan kita hati. Hati yang bersifat bolak-balik (terutamanya bila diuji) hanya akan tenang bila kita beriman kepada Allah – yakin kepada kasih-sayang, keampunan dan sifat pemurah-Nya. Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan negatif. Baik dan buruk hanya pada pandangan kita yang terbatas, namun pada pandangan-Nya yang Maha luas, semua yang ditakdirkan ke atas hamba-Nya pasti bermaksud baik.

Tidak salah untuk kita menyelesaikan masalah yang menimpa (bahkan kita dituntut untuk berbuat demikian), namun jika masalah itu tidak juga dapat diselesaikan, bersangka baik kepada Allah berdasarkan firman-Nya yang bermaksud : “Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik bagi kamu dan ada perkara yang kamu suka tetapi ia buruk bagi kamu, Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahuinya”
(Surah Al Baqarah ayat 216)

Seorang ahli hikmah, Ibn Atoillah menjelaskan hakikat ini menerusi katanya, “Barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pendeknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.”

Siapa tidak inginkan kekayaan, malah kita dituntut mencari harta. Namun jika setelah berusaha sedaya upaya, masih miskin juga, bersangka baiklah dengan Tuhan . Mungkin itu caranya untuk kita mendapat pahala sabar. Begitu juga kalau kita ditakdirkan kita tidak berilmu, maka berusahalah untuk belajar, kerana itulah maksud Allah mentakdirkan begitu.

Kalau kita berkuasa, Allah inginkan kita melaksanakan keadilan. Sebaliknya, kalau kita diperintah (oleh pemimpin yang baik), itulah jalan untuk kita memberi ketaatan. Rupanya cantik kita gunakan ke arah kebaikan. Bersyukurlah kita terselamat daripada fitnah dan godaan. Ya, dalam apa jua takdir Allah, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud Allah di sebalik takdir itu.

Jadi, kita tidak akan merungut, stres dan tertekan dengan ujian hidup. Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini:
“Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”

Tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya, namun ingatlah takdir Tuhan sentiasa mengatasi tadbir insan. Jangan cuba mengambil alih “kerja Tuhan” yakni cuba menentukan arah angin dalam kehidupan ini tetapi buatlah kerja kita, yakni mengawal pelayaran hidup kita dengan meningkatkan iman dari semasa ke semasa.

Mendapat hikmah bila diuji.
Hikmah adalah sesuatu yang tersirat di sebalik yang tersurat. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh “mehnah” – didikan langsung daripada Allah melalui ujian-ujian-Nya.
 
Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja!”

Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan ujian bentuk inilah ada di kalangan para Rasul ditingkatkan kepada darjat Ulul Azmi – yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian. Ringkasnya, hikmah adalah kurnia termahal di sebalik ujian buat golongan para Nabi, Siddiqin, Syuhada dan Solihin ialah mereka yang sentiasa diuji.

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam Syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagaimana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan kegoncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?”
(Surah al-Baqarah ayat 214)

Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Malah dalam keadaan berdosa sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai satu pengampunan. Manakala dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk meningkatkan darjat.

Justeru, telah sering para muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah) tentang hikmah ujian dengan berkata: “Allah melapangkan bagi mu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagi mu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya, supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah."

Apabila keempat-empat perkara ini dapat kita miliki maka hati akan sentiasa riang, gembira dan tenang dengan setiap pekerjaan yang dilakukan. Sentiasa melakukan kerja amal, tolong menolong, bergotong royong, sentiasa bercakap benar, sopan dan hidup dengan berkasih sayang antara satu dengan lain.

Marilah kita bersihkan hati kita dari segala kotorannya dengan memperbanyak zikrullah. Itulah satu-satunya jalan untuk mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat nanti. Manusia perlukan zikir umpama ikan perlukan air. Tanpa zikir, hati akan mati. Tidak salah memburu kekayaan, ilmu, nama yang baik, pangkat yang tinggi tetapi zikrullah mestilah menjadi teras dan asasnya.

Insya Allah, dengan zikrullah hati kita akan lapang sekalipun duduk di dalam pondok yang sempit apatah lagi kalau tinggal di istana yang luas. Inilah bukti keadilan Allah kerana meletakkan kebahagiaan pada zikrullah .Sesuatu yang dapat dicapai oleh semua manusia tidak kira miskin atau kaya, berkuasa atau rakyat jelata, hodoh atau jelita. Dengan itu semua orang layak untuk bahagia asalkan tahu erti dan melalui jalan yang sebenar dalam mencarinya. Rupa-rupanya yang di cari terlalu dekat… hanya berada di dalam hati sendiri!
 
(Di petik daripada tulisan  Ustaz Pahrol)