Tuesday, August 3, 2010

Waktu-waktu Mustajab Doa

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم  
 
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah, 

Setiap amalan dalam Islam ada waktu-waktu tertentu yang lebih afdal untuk kita laksanakan. Contoh solat tahajjud dilaksanakan di waktu malam selepas solat Isya' sebelum subuh. Puasa sunat pula digalakkan untuk berpuasa setiap  hari Isnin dan Khamis dan pertengahan bulan Islam (tiga hari puasa). Begitu juga berdo'a kepada Allah s.w.t ada waktu-waktu mustajab do'a yang perlu kita ketahui dan menggunakan waktu tersebut untuk bermunajad di sisi Allah SWT.


Menurut Ibn Atha', do'a mempunyai beberapa rukun yang kuat menyebabkannya naik ke langit untuk diterima Allah s.w.t. Rukun yang paling utama ialah hadir hati dan memohon dengan tawaduk. Sayap-sayap do'a itu ialah berdo'a dengan penuh keikhlasan dari hati dan bertepatan dengan waktu. 

Terdapat 22 waktu dimakbulkan doa ialah :


1.Berdoa sewaktu hujan turun.
 
Sabda Nabi SAW  yang bermaksud :
"Berdoalah pada waktu mustajab doa iaitu sewaktu pasukan tentera bertempur, waktu mendirikan solat dan ketika hujan turun". (Hadis Riwayat Abu Daud).


2.Ketika hendak bersolat berdasarkan hadis diatas.


3.Selesai membaca al-Fatihah dalam solat.


4.Selepas mengucapkan 'Amin' apabila selesai membaca surah al-Fatihah.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Apabila imam mengatakan 'Amin', maka ucapkanlah 'Amin'. Sesiapa yang mengucapkan 'Amin' bersama dengan para malaikat, diampunkan dosa yang telah lalu."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


5.Pada waktu tengah malam, terutama sepertiga malam yang terakhir.

Sabda Nabi SAW  yang bermaksud :
"Allah SWT  turun ke langit dunia apabila tinggal sepertiga malam yang terakhir dan berkata : 'Ada sesiapa yang memohon kepada-Ku untuk Ku makbulkan, ada sesiapa yang meminta kepada-Ku untuk Kuberikan, ada sesiapa yang beristighfar memohon ampun untuk Ku ampunkan?" (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


6.Waktu di antara azan dan iqamah. 

Sabda Nabi SAW. yang bermaksud :
"Tidaklah ditolak do'a di antara azan dan iqamah." (Hadis Riwayat Tirmizi).


7.Ketika sujud dalam solat. 

Sabda Nabi SAW  yang bermaksud :
"Sehampir-hampir hamba kepada Tuhannya ialah pada waktu sujud, maka perbanyakkanlah berdoa." (Hadis Riwayat Muslim).


8.Selepas berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW  dalam tahiyat akhir.


9.Selesai solat fardu.

Ditanya kepada Rasulullah SAW., "Doa manakah yang didengar (Allah)"

Sabda baginda, "Doa itu mustajab pada waktu malam dan selesai solat fardu." 
 (Hadis Riwayat Tirmizi).


10.Sepanjang waktu berpuasa. 

Sabda Nabi SAW yang bermaksud, "Tiga bentuk doa yang dimustajabkan Allah; doa ibu bapa terhadap anak, doa orang yang berpuasa dan doa orang yang bermusafir."
(Hadis Riwayat Baihaqi)


11.Malam al-Qadar berlaku pada bulan Ramadan.


12.Ketika khatam 30 juz al-Quran.


13.Sepanjang hari Jumaat itu, dengan harapan bersua dengan waktu mustajab doa.

Nabi SAW  bersabda yang bermaksud : "Pada hari Jumaat itu, ada satu waktu yang apabila seseorang hamba memohon kepada Allah sesuatu, maka akan diberikan-Nya".
(Hadis Riwayat Bukhari).


14.Sepanjang perjalanan semasa bermusafir.

Sabda Nabi SAW  yang bermaksud : "Tiga bentuk doa yang pasti dimakbulkan Allah, iaitu ; doa orang yang teraniaya, doa orang yang bermusafir dan doa ibu bapa terhadap anaknya."
(Hadis Riwayat Abu Daud).


15.Pada hari 'Arafah iaitu 9 Zulhijjah.

Nabi SAW. bersabda yang bermaksud : "Sebaik-baik doa adalah pada hari 'Arafah, dan sebaik-baik doa yang aku dan para nabi yang lain ucapkan ialah (maksudnya) : 'Tiada Tuhan yang sebenarnya yang layak disembah melainkan Allah, tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu'.
(Hadis Riwayat Tirmizi)


16.Ketika berjihad dan sewaktu melaksanakan ibadah haji atau umrah,

Sabda Nabi SAW. yang bermaksud, "Orang yang berjihad pada jalan Allah dan orang yang mengerjakan haji serta umrah merupakan tetamu Allah, Dia menyeru (memerintahkan) mereka dan mereka menjawabnya (menunaikannya) mereka berdoa kepada Allah lalu Allah terimanya." (Hadis Riwayat Ibn Majah)


17.Ketika iman meningkat kerana berbuat taat.

Sabda Nabi SAW. yang bermaksud, "...dan adalah hamba-Ku mendekatkan dirinya kepada-Ku dengan ibadah yang sunat hingga Aku mencintainya, jika Aku sudah mencintainya, Aku akan menjadi pendengarannya yang dengannya dia mendengar dan penglihatannya yang dengannya dia melihat dan tangannya yang dengannya dia menyentuh dan kakinya yang dengannya dia melangkah, dan jika dia meminta akan Ku berikan dan jika dia meminta perlindungan nescaya akan Ku lindungi."


18.Waktu menerima ujian.

Firman Allah SWT. yang bermaksud : "Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila ia berdoa kepada-Nya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit antara kamu yang mengingati (nikmat Allah itu). (Surah al-Naml ayat 62)


19.Ketika tentera Islam berhadapan dengan tentera musuh.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud, "Dua jenis doa yang tidak akan ditolak oleh Allah s.w.t. atau jarang-jarang sekali ditolak; doa sewaktu azan dan ketika berlakunya peperangan."
(Hadis Riwayat Abu Daud)


20.Ketika menghadiri penyelenggaraan jenazah.

Ummu Salamah r.ha. melapurkan bahawa Nabi SAW. bersabda yang bermaksud, "Apabila engkau menziarahi orang yang sakit atau menziarahi jenazah, berkatalah hal yang baik-baik, kerana para malaikat mengaminkan apa yang kamu katakan itu." (Hadis Riwayat Muslim)


21.Selepas saat kematiaan seseorang.

Diriwayatkan daripada Ummu Salamah r.ha. bahawa Nabi SAW. menziarahi jenazah Abu Salamah r.a lalu menutup matanya. Baginda bersabda maksudnya, "Sesungguhnya roh seseorang yang keluar dari jasadnya akan diekori oleh mata." lalu baginda bersabda lagi yang bermaksud : "Janganlah kalian berdoa untuk diri kalian melainkan perkara yang baik sahaja kerana malaikat mendoakan untuk kalian." Baginda kemudiannya mendoakan untuk Abu Salamah r.a".


22.Ketika ayam berkokok. 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud, "Apabila kamu mendengar ayam berkokok, mohonlah anugerah-Nya, kerana ayam itu melihat malaikat." (Hadis Riwayat Bukhari)


Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita berusaha untuk berdoa diwaktu-waktu mustajab doa. Semoga dengan ikhtiar kta yang sedikit ini Allah perkenankan doa-doa kita dan meletakkan diri kita bersama barisan hamba-hamba-Nya yang di redhai di dunia dan akhirat.


(Dipetik dari buku 101 Do'a daripada Hadis-hadis Sahih oleh Ustaz Zahazan Mohamed.)

No comments: