Thursday, February 5, 2015

Internet Baik Buruknya Kita di Golongan Yang Mana?

Bismilahirrahmanirrahim.

Pada masa kini secara umumnya ramai yang telah didedahkan dan berkemahiran untuk menggunakan kemudahan internet sejajar dengan perkembangan sains dan teknologi. Dengan kemudahan internet, semua kebaikan dan keburukan berada di hujung jari kita.

Terdapat tiga golongan yang menggunakan kemudahan internet:

Pertama : Golongan yang memanfaatkan kemudahan internet untuk menyebarkan, berkongsi atau menimba ilmu dunia dan akhirat, menambahkan pendapatan kewangan, merapatkan ukhuwah sesama insan dan sebagainya. Semua itu boleh dimasukkan ke dalam senarai amal solehnya dan dia mendapat ganjaran untuk kebaikan dunia dan akhiratnya.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : “Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan daripada tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu pengetahuan yang dapat diambil manfaat daripadanya dan anak soleh yang mendoakan untuknya”. (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Barang siapa menyeru kepada petunjuk (Islam) maka ia akan mendapat pahala seperti pahala yang diperoleh oleh orang-orang yang mengikutinya, tidak berkurang sedikit pun." (Hadis Riwayat Muslim).

Perlu diingat bahawa sekiranya seseorang memasuki Islam dan beriman kepada Allah SWT kerana usaha-usahanya, maka pahala orang tersebut dan pahala keturunannya yang beriman sehingga kehari kiamat akan diperoleh oleh orang yang berdakwah tadi tanpa dikurangkan walaupun sedikit. Umpama air sungai yang mengalir tanpa henti-henti.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesiapa yang melakukan satu kebaikan, dan kebaikan itu diikuti oleh orang lain maka ia dapat ganjaran terhadap apa yang dia lakukan dan ganjaran terhadap apa yang dilakukan oleh orang lain tanpa ada sebarang kekurangan. Manakala sesiapa yang melakukan keburukan dan keburukan itu diikuti oleh orang lain maka ia mendapat ganjaran terhadap apa yang dia buat dan ganjaran terhadap apa yang dilakukan oleh orang lain tanpa sebarang kekurangan. " (Hadis Riwayat Tirmizi)

Kedua : Golongan yang menghabiskan masa berada depan komputer dengan bermain 'game', mendengar lagu, bersembang kosong (chatting) dengan sesiapa sahaja, membuka web site yang kurang bermanfaat untuk menambahkan ilmu pengetahuan seperti membaca kehidupan artis-artis atau ahli-ahli sukan dan sebagainya tanpa tujuan yang jelas.. Waktunya dihabiskan berjam-jam tanpa sebarang faedah untuknya.

Sepatutnya, mereka perlu mengisi masa berharga itu dengan amalan yang boleh menghalakan hati untuk memberi sepenuh perhatian dan tumpuan terhadap Allah S.W.T. bukan semata-mata memenuhi hawa nafsu semata-mata. Masa inilah kita pergunakan untuk menghadiri pengajian-pengajian ilmu, ceramah-ceramah agama, khidmat masyarakat dan menyediakan dan menghantar nota-nota tazkirah dalam fb dan blog kepada masyarakat.

Nabi SAW bersabda maksudnya, ‘’Ada dua kenikmatan yang membuat kebanyakan manusia tertipu yaitu nikmat sehat dan waktu lapang." (Hadis Riwayat Bukhari)

"Belum lagi kedua kaki seorang hamba bergerak pada hari kiamat, ditanyalah tentang usianya, dihabiskan untuk apa; tentang ilmunya, digunakan untuk mengerjakan apa; tentang hartanya, diperoleh dari mana dan dibelanjakan untuk apa; tentang badannya, digerakkan untuk ...apa." (Hadis Riwayat Tirmidzi).

Ketiga : Golongan yang menggunakan internet untuk memuat naik dan memuat turun gambar-gambar tidak senonoh,melawati laman-laman lucah, mengumpat, menyebarkan fitnah, melaga-lagakan manusia, menghasut sehingga memutuskan hubungan silaturahim dan memusnahkan rumahtangga, bersembang dengan menggunakan bahasa kesat dan kasar, memuat naik gambar-gambar peribadi yang mendedahkan aurat dan banyak lagi aktiviti-aktiviti di internet yang mengundang laknat dan murka Allah SWT. 

Lebih dahsyat lagi jika terlibat dengan aktiviti tidak bermoral membuat fitnah dan menyebarkannya pula dengan menggunakan teknologi 'super impose'

Golongan ini amat mudah menjadi muflis di akhirat kerana terlalu banyak menghimpun dosa-dosa "kering" menyebarkan fitnah dan tidak mudah untuk meminta maaf pada orang yang di fitnahkannya. Bertaubat kepada Allah SWT tidak akan dapat menghapuskan dosa-dosa fitnah kerana dosa tersebut adalah masaalah di antara manusia sesama manusia.

Marilah sama-sama kita bermuhasabah diri kita. Sekarang ini kita berada digolongan mana? Jika berada di golongan yang pertama, alhamdulillah semoga kita sentiasa dirahmati Allah. Masa yang kita peruntukkan menghadap komputer berjam-jam dikira sebagai ibadah di sisi Allah S.W.T. Teruskan kerja-kerja yang murni ini.

Sekiranya kita golongan yang kedua, kita adalah golongan yang akan rugi kerana masa kita dipergunakan dengan banyak tanpa berfaedah . Kita akan menyesal di akhirat nanti ketika berdepan dengan hisab amalan satu persatu termasuk masa yang kita habiskan dengan sia-sia.

Jika termasuk golongan yang ketiga kita akan mendapat kerugian di dunia dan akhirat . Oleh itu hendaklah kita jangan menjadi golongan ketiga ini dan minta di hentikan tabiat buruk itu. Secara sedar atau tidak golongan ketiga ini telah membuat koleksi dosa-dosa sama ada dosa besar atau dosa kecil. Dosa mengumpat dan memfitnah zaman moden ini amat mudah dilakukan. Tidak perlu bersuara atau berkumpul ramai-ramai. Hanya dengan sekali klik dosa mencurah-curah menjadi milik sesiapa yang terlibat dengan perbuatan fitnah tadi. Seseorang akan menjadi golongan muflis di hari akhirat nanti jika tidak bertaubat .

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
“Tahukah kamu siapakah dia Orang Muflis?”

Sahabat-sahabat baginda menjawab : “Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda.”

Nabi SAW. bersabda yang bermaksud : “Sebenarnya Orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat , sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini, dan menuduh orang itu , memakan harta orang orang ini ,menumpah darah orang itu dan juga memukul orang . Maka akan di ambil dari amal kebajikannya serta di beri kepada orang ini dan orang itu , kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis di bayar kesalahan-kesalahan yang di tanggungnya , akan di ambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang di aniayakannya serta di timpakan keatasnya , kemudian ia di humbankan kedalam neraka.” (Hadis Riwayat Muslim dan Turmizi)

Mudarat internet amat besar. Kerana internet boleh menghilangkan maruah diri seseorang, boleh meruntuhkan rumahtangga, boleh memutuskan hubungan dua sahabat dan boleh mendatangkan persengkitaan di antara agama dan bangsa jika tidak ditangani dengan baik.

Kebaikan internet juga banyak menfaatnya jika digunakan sebaik-baiknya untuk mencari keredaan Allah SWT.

Akhirkata berhati-hatilah dalam menggunakan kemudahan internet. Manfaatkan kemudahannya untuk menjana amal soleh dan kebaikan di dunia dan akhirat. Jangan kerananya menyebabkan kita menerima penghinaan dan azab yang pedih bila kembali ke kehidupan yang sebenar nanti.

Kemuskilan Agama : Khasiat Berbekam dan Makanan Sunah.

Soalan Ke Lima Puluh Sembilan : Berbekam adalah salah satu rawatan perubatan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Bolehkah ustaz nyatakan hadis-hadis yang menceritakan tentang kebaikan berbekam? Dan apakah makanan-makanan sunah yang baik untuk kesihatan?

Jawapan :

Amalkanlah berbekam kerana berbekam banyak menfaatnya untuk membuangkan darah kotor dalam badan kita. 
  
Terdapat banyak hadis mengenai bekam di antaranya ialah: 

1. Dari Anas bin Malik r.a., Rasulullah SAW bersabda;
"Kalian harus berbekam dan menggunakan al-qushtul bahri" 
(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad) 

2. Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya dengan berbekam itu terdapat kesembuhan." (Lihat Mukhtashar Muslim, Shahiihul Jaami' dan Silsilah al-Ahaadiits ash-Shahiihah) 

3. Dari 'Uqbah bin 'Amir, Rasulullah SAW. bersabda: "Ada tiga hal yang jika pada sesuatu ada kesembuhan, maka kesembuhan itu terdapat pada hirisan alat bekam atau meminum madu atau dengan membakar di tempat yang sakit. Dan aku membenci pembakaran" (Hadis Riwayat Imam Ahmad) 

4. Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW. bersabda:"Barang siapa yang berbekam pada hari ke 17, 19 dan 21 (Kalender Hijrah), maka ia akan sembuh dari segala penyakit"
(Hadis Sahih Riwayat Sunan Abu Daud) 

5. Dari Abu Kabsyah al-'Anmari r.a., bahawa Rasulullah SAW. pernah berbekam di bahagian tengah kepalanya dan di antara kedua bahunya. Dan Baginda bersabda:
"Barangsiapa mengalirkan darah ini, maka tidak ada mudharat baginya untuk mengubati sesuatu dengan sesuatu" (Hadis Sahih Riwayat Abu Daud dan Jaami'ul Ushuul) 

6. Diriwayatkan oleh Ibnu Sunni dan Abu Nu'aim, Nabi Muhammad SAW. bersabda:
"Kalian harus berbekam di jauzatil qamahduwah, kerana sesungguhnya ia dapat menyembuhkan 70 penyakit" 

7. Dari Anas bin Malik r.a., dia bercerita: "Rasulullah SAW. biasa berbekam di bahagian urat merih (jugular vein) dan pada bahagian belakang. Baginda biasa berbekam pada hari ke 17, 19 dan 21".(Hadis Riwayat Tarmizi) 

8. Dari Ibnu 'Umar r.a., Rasulullah SAW bersabda:  "Berbekam dalam keadaan perut kosong adalah yang paling baik, di mana ia akan menambah ketajaman menghafal. Ia akan menjadikan seseorang penghafal lebih mudah menghafal. Oleh kerana itu, sesiapa yang hendak berbekam, maka sebaiknya dia melakukannya pada hari Khamis dengan menyebut nama Allah. Hindarilah berbekam pada hari Jumaat dan Sabtu serta Ahad. Berbekamlah pada hari Isnin dan Selasa. Hindarilah berbekam pada hari Rabu kerana hari tersebut merupakan hari di mana Nabi Ayyub tertimpa malapetaka. Tidaklah timbul penyakit kusta dan lepra kecuali pada hari Rabu atau malam hari Rabu" (Hadis Sahih Riwayat Sunan Ibni Majah) 

9. Dari Anas r.a., dia bercerita: "Rasulullah SAW. bersabda: "Jika terjadi panas memuncak, maka neutralkannya dengan berbekam sehingga tidak berlaku darah tinggi pada seseorang dari kalian yang akan membunuhnya" (Hadis Riwayat al-Hakim). 

10. Dari Ibnu 'Abbas r.a., dia bercerita: "Nabi Allah SAW. bersabda: "Sebaik-baik hamba adalah tukang bekam, mengeluarkan darah dan meringankan tulang rusuk serta memperjelaskan pandangan." (Hadis Riwayat Ibni Majah)

11. Dalam hadis qudsi yang diriwayatkan oleh al-Tarmizi menyatakan ketika Nabi Muhammad dalam perjalanan Israk Mikraj, Baginda menemui malaikat yang menyuruh umat Islam menggunakan bekam untuk tujuan kesihatan,” katanya.

Makanan Sunah :

Makanan kesihatan (makanan sunah) yang sentiasa digunakan oleh Rasulullah SAW adalah madu, habbatus sauda', buah delima dan kurma. 

Hasiat Madu : 

Firman Allah SWT naksudnya : “Kemudian makanlah daripada setiap macam buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan. Daripada perut lebah itu keluar minuman madu yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda kebesaran Tuhan bagi orang yang memikirkan.” (Surah An-Nahl ayat 69)

Rasulullaah SAW bersabda maksudnya : “Ambillah / pergunakanlah olehmu sekalian akan dua ubat penyembuh iaitu madu dan al-Quran.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

“Sungguh seorang datang pada Nabi SAW dan berkata saudaraku sakit perut, maka bersabda Rasul SAW : Beri ia madu. Lalu ia datang lagi mengadukan saudaranya masih sakit, Rasul SAW bersabda : beri ia madu. Lalu ia datang ketiga kalinya (saudaranya masih sakit) dan Rasul SAW bersabda : beri ia madu. Orang itu berkata : sudah kuperbuat (dua kali) namun tidak sembuh. Rasul SAW bersabda : beri ia madu, sungguh Maha Benar Allah dan jangan kau didustakan oleh perut saudaramu. Maka orang itu memberi saudaranya madu (yg ketiga kali) dan ia sembuh.” (Hadis Shahih Riwayat Bukhari)
  
Hasiat Habbatus Sauda' : 

Diriwayatkan dari Aisyah r.a, beliau mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:
"Sesungguhnya Al-Habbatus Sauda' boleh menyembuh segala penyakit kecuali Al-Sam". Aku bertanya. "Apakah Al-Sam itu? Baginda menjawab, "Al-Sam itu ialah maut" (Hadis Riwayat  Bukhari.)

Daripada Buraidah katanya, Rasulullah S.A.W bersabda: "Pada Habbatus Sauda' terdapat ubat segala penyakit kecuali mati".(Hadis Riwayat Abu Nu'aim dalam kitab Al-Tibb dalam himpunan hadis-hadis sahih no. 1819.)

Buah Delima :

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Buah delima dan kulitnya memperkuat pencernaan di perut.” (Hadis Riwayat Abu Nu’aim dan Al-Jauzi)

Kurma Ajwa :

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah menyebutkan tentang khasiat sejenis kurma yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud :

"Diceritakan oleh Jumaah bin Abdullah yang disampaikan oleh Marwan yang mendapat berita daripada Ibnu Hashim bahawa Amir bin Saad mendengar bapanya meriwayatkan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda : "Sesiapa yang memakan 7 biji tamar ‘Ajwah’ dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu".

Khasiat kurma "Ajwah" sebagaimana yang tersebut di dalam hadis di atas merupakan satu kelebihan yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala sesuai dengan kemuliannya sebagai jenis kurma pertama yang ditanam sendiri oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Wednesday, February 4, 2015

Kemuskilan Agama : Sifat Suka Makin Hamun Adalah Sifat Di Benci Oleh Allah SWT.

Soalan Ke Lima Puluh Lapan : Saya bekerja di syarikat swasta, pengurus syarikat yang saya bekerja sifatnya suka marah-marah dan maki hamun pekerja dibawahnya walau pun mereka melakukan kesilapan yang kecil. Minta pandangan ustaz adakah saya boleh membalasnya dengan maki hamun kepadanya atau saya perlu bersabar menghadapai perangai buruk beliau.?

Jawapan :

Peribadi seorang mukmin dia tidak akan membalas kejahatan dengan kejahatan, maki hamun dengan maki hamun tetapi dia tetap bersabar dan tidak meluahkan perasaan marahnya tanpa kawalan.

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud : "Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat  mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia  berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)" (Hadis Riwayat Baihaqi)

Dalam satu hadis Nabi SAW melarang seseorang yang membalas maki hamun dengan makin hamun.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya : "Bertakwalah kepada Allah dan jangan sedikit pun memandang kecil kepada kerja kebajikan walaupun sekadar mencurahkan air dari timba ke dalam bekas orang yang meminta air dan menemui saudara dengan muka yang riang. Jauhilah melabuh-labuhkan pakaian kerana melabuhkan pakaian itu dari sifat takbur, satu sifat yang tidak disukai Allah. Andainya ada orang yang memaki dan mencaci dengan sifat yang tidak ada pada kita,maka janganlah mencacinya dengan sifat yang ada padanya, biarlah ia yang menanggung padah dan kita mendapat pahalanya dan janganlah memaki seorang yang lain. (Hadis Riwayat At Tayalisi dari Jabir bin Sulaiman).

Perlu diingat bahawa ucapan negatif yang lahir daripada mulut seseorang sebenarnya ucapan negatif tersebut akan kembali balik kepada orang yang mengucapkannya.

Rasulullah Sallallaahu Alaihi Wasalam bersabda, yang maksudnya  :”Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaknya ia berkata yang baik atau diam.” ( Muttafaq 'alaih).

Salah satu amalan buruk yang akan di bayar dengan pahalanya adalah seseorang yang suka maki hamun kepada orang lain. Sila baca hadis ini : Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW. bersabda yang bermaksud : “Tahukah kamu siapakah dia Orang Muflis?”

Sahabat-sahabat baginda menjawab : “Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda.”

Nabi SAW. bersabda yang bermaksud : “Sebenarnya Orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat , sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini, dan menuduh orang itu , memakan harta orang orang ini ,menumpah darah orang itu dan juga memukul orang . Maka akan di ambil dari amal kebajikannya serta di beri kepada orang ini dan orang itu , kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis di bayar kesalahan-kesalahan yang di tanggungnya , akan di ambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang di aniayakannya serta di timpakan keatasnya , kemudian ia di humbankan kedalam neraka.” (Hadis Riwayat Muslim dan Tirmizi)