Saturday, April 4, 2015

Empat Perkara (Amalan) Beri Keberkatan Umur.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW pernah meninggalkan satu pesanan amat berharga buat kita. Rasulullah SAW bersabda yang  bermaksud: “Memberi sedekah, menyuruh pada kebaikan, berbakti kepada ibu bapa dan silaturahim dapat mengubah penderitaan menjadi kebahagiaan, menambah berkat umur dan menolak kejahatan.” (Hadis Riwayat Abu Naim). 

Inilah empat perkara yang seharusnya kita jadikan budaya hidup dalam usaha mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. 

Pertama Sedekah :

Perkara pertama yang disentuh Rasulullah SAW ialah bersedekah. Semua orang mampu bersedekah kerana pengertian sedekah itu tidak hanya berupa bentuk fizikal seperti wang ringgit atau harta benda semata-mata. Hatta yang tidak berharta benda pun masih mampu bersedekah, iaitu dengan menggunakan tenaga kudrat fizikal tubuh badan untuk membantu orang lain. Apatah lagi seandainya kita dianugerahkan Allah dengan kemewahan dan kekayaan sudah pasti lebih mudah untuk mengamalkan apa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW itu. 

Sedekah mana yg lebih besar pahalanya?

Nabi SAW bersabda maksudnya, "Sedekah yg diberikan sedangkan pada masa itu engkau masih sihat dan sebenarnya engkau bakhil (merasa sayang nak dermakan harta kerana takut jadi fakir dan engkau berangan jadi kaya) maka jangan menangguh sedekah sehingga apabila roh sampai dikerongkongan lalu pada masa itu kau berkata, "ini untuk si anu ini untuk si anu sekian" dan sebenarnya harta engkau pada masa itu memang akan dimilki oleh orang lain."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Abu Hurairah pernah memberitahu bahawa Rasulullah SAW ada ditanyakan: “Wahai Rasulullah SAW, sedekah apakah yang paling mulia?,lalu Baginda menjawab: “Sedekah orang yang tidak mampu dan mulakanlah (memberi sedekah) pada orang yang banyak tanggungannya.” (Hadis Riwaya Ahmad dan Abu Daud). 

Sabda Rasulullah SAW ini adalah satu penghargaan besar kepada golongan kurang berkemampuan tetapi masih bersemangat menghulurkan sedaya upayanya memberikan sedekah kepada orang lain. Inilah keindahan dalam Islam kerana sikap saling membantu dititikberatkan dalam membina masyarakat. 

Melalui budaya bersedekah itu akan membentuk landskap masyarakat penyayang dan prihatin. Perasaan kebersamaan dan semangat kekitaan pasti wujud kukuh dan berakar umbi teguh dalam masyarakat yang saling membantu melalui pemberian sedekah. 

Kedua Menyuruh Kepada Kebaikan.

Perkara kedua yang disarankan Baginda SAW ialah bersikap sentiasa menyuruh ke arah kemanfaatan dan kebaikan (amar makruf nahi mungkar) . Skop menyuruh kepada kebaikan sebenarnya tidak hanya terhad kepada dai atau pendakwah saja. Semua mukmin mesti berasa terpanggil untuk bersama-sama mengajak insan lain kepada kebaikan. Menyuruh kepada kebaikan juga bermakna kita melaksanakan seruan ke jalan Allah SWT. dan mengajak manusia tinggalkan kejahatan.

Atas sebab pentingnya aspek ini, Saidina Ali bin Abi Talib turut mewasiatkan kepada kita berbuat demikian. Kata beliau: “Serulah manusia ke jalan Allah (amar makruf) dan cegahlah mereka daripada kemungkaran (nahi mungkar) kerana apabila kedua-dua perkara ini ditinggalkan, maka tunggulah kebinasaan umat ini.” 

Jadi, apa saja kesempatan hidup seharusnya kita menggunakannya dengan menggiatkan satu gaya hidup saling menasihati ke arah kebaikan. Tidaklah wajar dalam sebuah masyarakat Muslimin saling menutup mata seandainya melihat adanya sesuatu yang mungkar. 

Ketiga Berbakti Kepada Ibu Bapa

Seterusnya, aspek berbakti kepada kedua-dua ibu bapa juga diberitahu oleh Rasulullah SAW sebagai elemen yang akan memancarkan keberkatan kepada umur dan kehidupan kita. Senario semasa jelas masih banyak yang tergamak mengabaikan perkara ini dan tidak menganggapnya sebagai penting untuk dihayati. 

Sesungguhnya persoalan mengabaikan aspek memelihara dan berbakti kepada ibu bapa akan mengundang laknat Allah SWT dan pastinya seksa maha pedih menanti anak yang derhaka itu. Seseorang anak yang derhaka dan mengabaikan tanggungjawabnya kepada ibu bapa tidak mungkin memperoleh keberkatan dalam apa saja di atas dunia ini, apatah lagi di akhirat kelak. 

Allah ingatkan kita: yang bermaksud: “Sembahlah Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat ihsanlah (berbuat baik) kepada kedua-dua ibu bapa.” (Surah An-Nisa; ayat 36).

Ini perintah Allah SWT dan sesiapa ingkar mematuhinya bermakna melakukan satu dosa besar di sisi-Nya. 

Keempat Silaturahim.

Perkara keempat memanfaatkan umur dan memberikan kebahagiaan kehidupan kita dengan sentiasa memelihara hubungan sesama insan (eratkan hubungan silaturahim) sama ada dengan ibu bapa, kaum kerabat, jiran tetangga dan juga sesama ummah. 

Pesan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang ingin murah rezeki dan panjang umurnya, hendaklah dia menyambung hubungan dengan saudaranya (silaturahim). (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). 

Kesimpulannya : Untuk mendapat keberkatan umur yang Allah SWT kurniakan kepada kalian semua maka lakukanlah empat perkara (amalan) iaitu bersedekah, menyuruh kepada kebaikan (amar makruf nahi mungkar) , berbakti kepada kedua ibu bapa dan hubungkan ikatan silatutahim yang terputus insya Allah hidup kalian sentiasa di berkati dan di rahmati Allah SWT..

Kemuskilan Agama : Bertaubat Daripada Melakukan Dosa Besar.

Soalan Ke Lapan Puluh Satu  : Adakah orang yang telah melakukan zina taubatnya di terima oleh Allah SWT? Dan adakah terhapus dosa zina seseorang apabila mereka berkahwin selepas berzina?

Jawapan :

Zina termasuk salah dosa besar dalam Islam. Kerana itu, dosa zina mendapatkan hukuman khusus di dunia. Di sebat  dengan rotan sebanyak 100 kali bagi penzina yang belum berkahwin (ghairu Muhsan), dan di rejam hingga mati bagi penzina Muhsan (yang sudah berkahwin).

Orang yang telah melakukan zina jika dia benar-benar bertaubat nasuha maka dosanya akan di ampunkan oleh Allah SWT.

Setiap orang yang melakukan perbuatan dosa besar seperti berzina, dia diwajibkan untuk bertaubat. Dan cara yang diajarkan oleh islam untuk menghapus dosa besar adalah dengan bertaubat nasuha. Allah SWT berfirman  :

Ű„ِنْ ŰȘَŰŹْŰȘَنِŰšُÙˆŰ§ كَŰšَۧۊِ۱َ مَۧ ŰȘُنْهَوْنَ Űčَنْهُ نُكَفِّ۱ْ Űčَنْكُمْ ŰłَيِّŰŠَۧŰȘِكُمْ وَنُŰŻْŰźِلْكُمْ مُŰŻْŰźَلًۧ كَ۱ِيمًۧ

Maksudnya, "Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang dilarang kamu mengerjakannya, nescaya Kami hapus kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu yang kecil) dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga). (Surah An-Nisa' ayat 31).

Ayat ini menjelaskan, syarat dihapuskannya kesalahan adalah dengan bertaubat nasuha, dengan meninggalkan dosa yang dilakukan.

Taubat secara bahasa maksudnya kembali. Orang yang bertaubat, bererti dia kembali dari kemaksiatan, menuju aturan Allah SWT, diiringi memohon ampun kepada-Nya.

Rukun Utama Taubat Nasuha Ada Tiga :

Imam An-Nawawi mengatakan,

ÙˆÙ‚ŰŻ ŰłŰšÙ‚ في كŰȘۧۚ Ű§Ù„Ű„ÙŠÙ…Ű§Ù† ŰŁÙ† Ù„Ù‡Ű§ Ű«Ù„Ű§Ű«Ű© ŰŁŰ±ÙƒŰ§Ù†: Ű§Ù„Ű„Ù‚Ù„Ű§Űč، ÙˆŰ§Ù„Ù†ŰŻÙ… Űčلى فŰčل ŰȘلك Ű§Ù„Ù…ŰčŰ”ÙŠŰ©، ÙˆŰ§Ù„ŰčŰČم Űčلى ŰŁÙ† Ù„Ű§ يŰčÙˆŰŻ Ű§Ù„ÙŠÙ‡Ű§ ۣۚۯۧ

”Dalam kitab al-Iman disebutkan bahawa taubat memiliki tiga rukun iaitu:

1. Al-Iqla’ (meninggalkan dosa tersebut), 

2. An-Nadm (menyesali) perbuatan maksiat tersebut, dan 

3. Al-Azm (bertekad) untuk tidak mengulangi dosa yang dia taubati selamanya. (Syarh Shahih Muslim, 17/59)

Berikut penjelasan lebih terperinci :

Pertama ; al-Iqla’ (Meninggalkan perbuatan tersebut yang boleh mendatangkan dosa besar)

Inilah bukti keseriusan taubatnya. Meninggalkan dosa yang dia lakukan. Seorang pegawai bank, belum dikatakan bertaubat dari riba, selama dia masih aktif kerja di bank. Seorang penzina belum dikatakan bertaubat dari zina, sementara dia masih rajin berzina.

Imam Fudhail bin Iyadh menyatakan: “Istighfar tanpa meninggalkan kemaksiatan adalah taubat para pendusta.”

Kedua, an-Nadm (Mengakui kesalahan dan menyesali perbuatannya)

Orang yang tidak mengakui dosanya, dia tidak akan menyesali perbuatannya. Dengan menyesal, dia akan bersedih jika teringat dosanya. Termasuk bagian dari penyesalan itu adalah tidak menceritakan dosa tersebut kepada orang lain, apalagi membanggakannya. Dan jika dosa itu di sebabkan kawasan sekitarnya mempengaruhinya maka dia akan meninggalkan kawasan tersebut.

Bentuk penyesalan penzina adalah dengan menghindari segala yang boleh membawa kepada syahwatnya.

Ketiga, al-Azm (Bertekad untuk tidak mengulangi dosanya)

Jika seseorang berhenti dari dosanya, sementara dia masih punya harapan untuk melakukannya jika waktu memungkinkan, maka dia belum disebut taubat.

Seseorang yang bertaubat dari berkhalwat  ketika Ramadan, dan akan kembali berkhalwat selepas Ramadan belum dikatakan telah bertaubat.

Apakah dengan berkahwin, dosa zina otomatik akan hilang?

Dosa zina sebagaimana dosa besar lainnya, hanya boleh hilang dengan taubat nasuha. Dan syarat taubat adalah tiga seperti yang disebutkan di atas.

Oleh itu, semata-mata berkahwin, belum menghapus dosa zina yang pernah dilakukan. Kerana dengan berkahwin, bukan syarat taubat itu sendiri. Kecuali jika perkahwinan ini dilangsungkan atas dasar:

1. Menyesali dosa zina yang telah dilakukan

2. Agar tidak mengulang kembali dosa zina tersebut.

Jika berkahwin atas motivasi ini, insyaa Allah status perkahwinannya adalah sebahagian dari taubat untuk perbuatan zina itu.

Untuk itu, sebahagian ulama menyarankan agar orang yang melakukan zina, untuk segera berkahwin, dalam rangka menutupi aib keduanya. Kerana jika mereka berpisah, akan sangat merugikan pihak wanita, kerana tidak ada lelaki yang bangga memiliki isteri yang pernah dinodai orang lain secara tidak halal.

Kemuskilan Agama : Ciri-ciri Orang Bertakwa

Soalan Ke Lapan Puluh : Bolehkah ustaz jelaskan apakah yang dimaksudkan dengan takwa dan ciri-ciri orang bertakwa dan balasannya jika seseorang itu memiliki sifat takwa?

Jawapan :

 ‘Takwa’ bererti : “Menjaga dan memelihara diri dari seksa dan murka Allah SWT  dengan jalan melaksanakan perintah-perintahNya, taat kepadaNya dan menjauhi larangan-laranganNya serta menjauhi perbuatan maksiat."

Rasulullah SAW. pernah menjelaskan hakikat takwa dengan sabda baginda yang bermaksud :

“Mentaati Allah dan tidak mengingkari perintah-Nya, sentiasa mengingati Allah dan tidak melupainya, bersyukur kepada-Nya dan tidak mengkufuri nikmat-Nya”. (Hadis Riwayat Bukhari dari Abdullah bin Abbas rha. )

Saidina Ali bin Abi Talib k.wj  ditanya mengenai takwa lalu jawabnya: "Takut kepada Allah, beramal dengan apa jua yang diturunkan, redha dengan agihan rezeki yang sedikit, bersedia untuk hari keberangkatan (kematian). dan meletakkan diri dalam perkara yang diperintah dan mengelakkan diri dari perkara yang terlarang."

Saidina Usman bin Affan menyatakan bahawa terdapat lima ciri-ciri orang bertakwa. 

Ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut : 

Pertama : Tidak suka bergaul kecuali bergaul dengan orang-orang yang soleh atau solehah, yang menjaga lisannya. 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Seseorang yang duduk (berteman) dengan orang soleh dan orang yang jahat adalah bagaikan berteman dengan pemilik minyak wangi dan tukang besi. Jika engkau tidak dihadiahkan minyak wangi olehnya, engkau boleh membeli darinya atau sekurang-kurangnya dapat baunya. Adapun berteman dengan tukang besi, jika engkau tidak mendapati badan atau pakaianmu hangus terbakar, paling kurang engkau dapat baunya yang tidak elok.” (Hadis Riwayat Bukhari dari Abu Musa r.a ) 

Kedua : Jika mendapat musibah duniawi, ia menganggapnya sebagai ujian dari Allah SWT. dan bersabar. 

Firman-Nya lagi yang bermaksud : "Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan berita gembira kepada orang yang sabar.'' (Surah al-Baqarah ayat 155) 

Ketiga : Jika mendapat musibah dalam urusan agama ia akan sangat menyesalinya.  

Teringat kisah Saidina Umar bin Khattab r.a yang ketinggalan satu rakaat solat Asar di masjid hanya kerana beliau sedang asyik berada dalam kebun kurmanya. Mengetahui dirinya telah tertinggal satu rakaat dalam berjamaah, Saidina Umar r.a. pun begitu menyesali perbuatannya sehingga kebun kurma yang dianggap sebagai penyebab musibah itu akhirnya dijual. 

Keempat : Tidak suka memenuhi perutnya dengan makanan haram dan jika makan tidak sampai kenyang. 

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Tidak ada bekas yang dipenuhi oleh manusia lebih teruk dari perutnya. Cukuplah manusia itu memakan beberapa suapan yang menegakkan tulang-tulang sulbinya. Jia dia tetap hendak makan banyak maka satu pertiga perutnya untuk makanan, satu pertiga minuman dan satu pertiga lagi dikosongkan." (Hadis Riwayat Tirmizi dan Abu Daud) 

Kelima : Apabila memandang orang lain, orang itu lebih soleh dari dirinya. Tapi bila 
memandang diri sendiri, dirinya adalah orang yang penuh dosa.

Balasan untuk orang yang bertakwa adalah syurga. 

Firman Allah SWT :

وَŰłَۧ۱ِŰčُÙˆŰ§ Ű„ِلَى مَŰșْفِ۱َŰ©ٍ مِنْ ۱َŰšِّكُمْ وَŰŹَنَّŰ©ٍ

Űčَ۱ْ۶ُهَۧ Ű§Ù„ŰłَّمَوَۧŰȘُ وَŰ§Ù„ْŰŁَ۱ْ۶ُ ŰŁُŰčِŰŻَّŰȘْ لِلْمُŰȘَّقِينَ

Maksudnya : ”Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Rabbmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.” (Surah Ali- Imran ayat 133) 

Ayat ini menegaskan bahwa syurga telah Allah sediakan untuk orang-orang muttaqin (orang-orang yang bertakwa)

Wednesday, April 1, 2015

Kedudukan Hadith: "Rasululah S.A.W. Dan Pengemis Yahudi Buta

Fatwa Malaysia pada 1 Jun 2014 - 10:39 pagi

ISU:

Bagaimana kedudukan kisah ini dari segi kebenarannya? Jika benar, mohon tuan sertakan sekali rujukan hadithnya: "Rasululah S.A.W. DAN Pengemis Yahudi Buta

Di sudut pasar Madinah Al-Munawarah seorang pengemis Yahudi buta hari demi hari apabila ada orang yang mendekatinya ia selalu berkata "Wahai saudaraku jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya kalian akan dipengaruhinya". Setiap pagi Rasulullah SAW. mendatanginya dengan membawa makanan, dan tanpa berkata sepatah kata pun Rasulullah SAW. menyuap makanan yang dibawanya kepada pengemis itu walaupun pengemis itu selalu berpesan agar tidak mendekati orang yang bernama Muhammad. 

Rasulullah SAW melakukannya hingga menjelang Nabi Muhammad SAW. wafat. Setelah kewafatan Rasulullah s.a.w. tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu.Suatu hari Abubakar r.a berkunjung ke rumah anaknya Aisyah r.ha. Beliau bertanya kepada anaknya, "Anakku adakah sunnah kekasihku yang belum aku kerjakan", Aisyah r.ha menjawab pertanyaan ayahnya, "Wahai ayah engkau adalah seorang ahli sunnah hampir tidak ada satu sunnah pun yang belum ayah lakukan kecuali satu sunnah saja". "Apakah itu?", tanya Abubakar r.a. Setiap pagi Rasulullah s.a.w. selalu pergi ke ujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang berada di sana", kata Aisyah r.ha. 

Keesokan harinya Abubakar r.a. pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikannya kepada pengemis itu. Abubakar r.a mendatangi pengemis itu dan memberikan makanan itu kepada nya. Ketika Abubakar r.a. mulai menyuapinya, si pengemis marah sambil berteriak, "Siapakah kamu ?". Abu bakar r.a menjawab, "Aku orang yang biasa". "Bukan !, engkau bukan orang yang biasa mendatangiku", jawab si pengemis buta itu. Apabila ia datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut dengan mulutnya setelah itu ia berikan pada ku dengan mulutnya sendiri", pengemis itu melanjutkan perkataannya.

Abubakar r.a. tidak dapat menahan air matanya, ia menangis sambil berkata kepada pengemis itu, aku memang bukan orang yang biasa datang pada mu, aku adalah salah seorang dari sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Ia adalah Muhammad Rasulullah SAW. Setelah pengemis itu mendengar cerita Abu bakar r.a. ia pun menangis dan kemudian berkata, benarkah demikian?, selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, ia tidak pernah memarahiku sedikitpun, ia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, ia begitu mulia.... Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya bersyahadat dihadapan Abubakar r.a."

PENJELASAN:

Setakat pencarian dan rujukan yang dibuat, tidak ditemui nas hadis tersebut dalam kitab-kitab hadis yang muktabar, sekalipun cerita ini banyak tersebar di laman-laman web berbahasa Malaysia dan kedapatan beberapa laman web berbahasa Arab juga menyebarkan cerita di atas.

Walau bagaimanapun tidak ada sumber yang boleh dirujuk bagi mengesahkan kebenaran cerita tersebut. Apatah lagi dalam cerita di atas terdapat bahagian yang menunjukkan ketidakbenaran cerita tersebut, iaitu Abu Bakr r.a. berbohong kepada pengemis Yahudi apabila pengemis itu bertanya, “Siapakah kamu?”, lalu Abu Bakr r.a. menjawab, “Aku orang yang biasa”. Berbohong dalam perkara tersebut tidak mungkin berlaku kepada seorang sahabat yang mulia seperti Abu Bakr r.a. yang digelar al-Siddiq. Tidak ada keperluan dan darurat untuk berbohong dalam situasi di atas. Maka dibimbangi ia adalah petunjuk bahawa cerita di atas adalah tidak sahih daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dan Abu Bakr r.a.

Wallahu A’lam.

Monday, March 30, 2015

Kemuskilan Agama : Makan Dahulu Kemudian Solat Jika Makanan Sudah Terhidang .

Soalan Ke Tujuh Puluh Sembilan : Jika makanan telah terhidang dan telah masuk waktu solat, adakah kita kena solat dahulu atau makan dahulu? Boleh ustaz berikan hadis-hadis yang menjelaskan persoalan tersebut?

Jawapan :

Ada orang menyangka bahawa sekalipun makanan sudah terhidang, yang terbaik itu solat dahulu, selepas itu barulah makan. Sehingga ada yang apabila mereka duduk di keliling hidangan, kemudian bangun meninggalkannya dan pergi menunaikan solat. Amalan seperti itu dirasakan oleh sesetengah pihak sebagai lebih mengikut kehendak agama. Namun, jika kita merujuk kepada hadis-hadis Nabi SAW kita akan dapati penegasan yang sebaliknya. Antaranya hadis daripada Anas bin Malik r.a.: bahawa Rasulullah SAW  bersabda:

“Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah makan sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah semasa makan malam kamu.”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis yang lain daripada Abdullah bin Umar, baginda SAW. bersabda:
“Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesai.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Riwayat di atas juga menambah bahawa Ibn Umar r.a. apabila dihidangkan untuknya makanan, manakala solat pula sedang didirikan, maka beliau tidak mendatangi solat melainkan hingga beliau selesai makan, walaupun beliau mendengar bacaan imam.

Hikmah daripada arahan Nabi SAW agar mendahulukan makan ialah agar pemikiran kita tidak diganggu ketika solat dengan ingatan kepada makanan yang telah kita lihat terhidang di hadapan mata sebelum bersolat tadi. Ini boleh mengganggu kekusyukan solat seseorang. Dengan itu para ulama menyatakan dimakruhkan solat setelah makanan terhidang di hadapan mata. Ini merangkumi semua solat, bukan khusus pada solat Maghrib sahaja. Kata al-Imam an-Nawawi (meninggal 676H) dalam Sharh Sahih Muslim mengulas hadis-hadis berkaitan:

“Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk”.

Dalam Faidh al-Qadir l-Imam al-Munawi (meninggal 1031H) pula menyebut bahawa arahan ini merangkumi semua solat dengan katanya: “Hadis tersebut menyatakan hendaklah didahulukan makan malam sebelum solat Maghrib. Namun ia juga dipraktikkan juga pada solat-solat yang lain. Ini kerana punca arahan ini ialah bimbang hilangnya khusyuk.”

Ini bukan bererti kita mengutamakan makan dari solat. Sebaliknya kita makan terlebih dahulu kerana ingin menjaga kekusyukan solat. Hal yang sama apabila kita dilarang bersolat dalam keadaan terasa ingin membuang air besar ataupun air kecil. Nabi bersabda:
“Tiada solat (jangan dirikan solat) dalam keadaan makanan terhidang dan dalam keadaan menahan air besar atau air kecil” (Hadis Riwayat Muslim).

Ini bukanlah bererti kita menganggap buang air besar dan kecil itu lebih utama dari solat, sebaliknya mendahului kedua perkara itu demi menjaga kepentingan solat.

Al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) dalam Fath al-Bari memetik ungkapan Ibn Jauzi (meninggal 597H) . “Ada orang menyangka bahawa mendahulukan makanan sebelum solat adalah bab mendahulukan hak hamba ke atas hak Tuhan. Sebenarnya bukan demikian, tetapi ini adalah menjaga hak Allah agar makhluk masuk ke dalam ibadahnya dengan penuh tumpuan. Sesungguhnya makanan mereka (para sahabat) adalah sedikit dan tidak memutuskan mereka daripada mengikuti solat jemaah.”

Dengan itu, makan dahulu setelah makanan terhidang kemudian baru bersolat adalah sunnah Nabi SAW. Maka apabila makanan terhidang, ibubapa hendaklah memberikan anak-anak makan terlebih dahulu ketika berbuka, sehingga mereka selesai maka barulah bersolat. Inilah sunnah.

Melakukan susunan yang seperti itu, mendapat pahala. Namun makanlah dengan kadar yang diajar oleh Islam, bukan makan sehingga mengah lalu gagal bersolat dengan sempurna.

Di sana ada cara untuk mengelakkan kemakruhan ini, iaitu elakkan menghidangkan makanan terlebih dahulu sebelum solat. Elakkan mata terpandang kepada makanan yang telah dihidangkan. Selepas selesai bersolat barulah dihidangkan. Namun, jika kelaparan itu kuat, bau makanan telah masuk ke hidung, sehingga ingatan kepada makanan sangat kuat sekali belum melihatnya, hendaklah dia makan terlebih dahulu.

Juga sudah pasti tidak makruh bersolat sekalipun makanan sudah terhidang jika keinginan kepada makanan tiada. Ini kerana punca (‘illah) larangan bersolat semasa makanan terhidang ialah agar tidak mengganggu kusyuk. Jika seseorang memang tiada keinginan kepada makanan, sudah pasti tidak menggangu kusyuk sekalipun makanan sudah terhidang.

Sunday, March 29, 2015

Tafsir Surah al-Baqarah Ayat 266

Firman Allah SWT :

ŰŁَيَوَŰŻُّ ŰŁَŰ­َŰŻُكُمْ ŰŁَنْ ŰȘَكُونَ لَهُ ŰŹَنَّŰ©ٌ مِنْ نَŰźِيلٍ وَŰŁَŰčْنٍَۧۚ ŰȘَŰŹْ۱ِي مِنْ ŰȘَŰ­ْŰȘِهَۧ Ű§Ù„ْŰŁَنْهَۧ۱ُ لَهُ فِيهَۧ مِنْ كُلِّ Ű§Ù„Ű«َّمَ۱َۧŰȘِ وَŰŁَŰ”ََۧۚهُ Ű§Ù„ْكِŰšَ۱ُ وَلَهُ Ű°ُ۱ِّيَّŰ©ٌ ۶ُŰčَفَۧۥُ فَŰŁَŰ”ََۧۚهَۧ Ű„ِŰčْŰ”َۧ۱ٌ فِيهِ نَۧ۱ٌ فَْۭۧŰȘَ۱َقَŰȘْ كَŰ°َلِكَ يُŰšَيِّنُ Ű§Ù„Ù„َّهُ لَكُمُ Ű§Ù„ْŰąÙŠَۧŰȘِ لَŰčَلَّكُمْ ŰȘَŰȘَفَكَّ۱ُونَ (266) 

Maksudnya, "Apakah ada salah seorang di antaramu yang ingin mempunyai kebun kurma dan anggur yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dia mempunyai dalam kebun itu segala macam buah-buahan, kemudian datanglah masa tua pada orang itu sedang dia mempunyai keturunan yang masih kecil-kecil. Maka kebun itu ditiup angin keras yang mengandung api, lalu terbakarlah. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kamu supaya kamu memikirkannya".(Surah al-Baqarah ( 2) ayat 266)

Huraiannya :

Dalam ayat ini Allah SWT. memberikan perumpamaan pula bagi orang yang menafkahkan hartanya bukan untuk mendapatkan redha Allah melainkan kerana riyak, atau sedekahnya disertai dengan ucapan-ucapan yang melukai perasaan orang yang di berikan sedekah, atau ia suka menyebut-nyebut sedekah yang telah diberikannya. Orang ini diumpamakan sebagai seseorang yang mempunyai sebidang kebun yang berisi bermacam-macam tumbuh-tumbuhan, dan kebun itu mendapatkan air yang cukup dari sungai yang mengalir sehingga kebun itu menghasilkan buah-buah yang banyak. Dan orang tersebut sudah lanjut usianya, dan mempunyai anak-anak dan cucu-cucu yang masih kecil-kecil yang belum dapat mencari rezeki sendiri. Dengan demikian, orang itu dan anak-cucunya sangat memerlukan hasil kebun itu. Tapi tiba-tiba datanglah angin ribut yang panas, sehingga pohon-pohon dan tanaman-tanaman menjadi rosak tidak mendatangkan hasil apa pun padahal ia sangat mengharapkannya. 

Demikianlah keadaan orang yang menafkahkan hartanya bukan kerana Allah SWT. Ia mengira akan mendapatkan pahala dari sedekah dan infaknya. Akan tetapi yang sebenarnya bukanlah demikian. Pahalanya akan hilang lenyap kerana niatnya yang tidak ikhlas. Dia berinfak hanya kerana riyak, mengikuti bisikan syaitan. Bukan kerana mengharapkan redha Allah SWT.

Dengan keterangan-keterangan dan perumpamaan yang jelas ini Allah SWT menerangkan ayat-ayat-Nya kepada hamba-Nya semoga mereka berfikir dan dapat mengambil iktibar dan pelajaran dari perumpamaan-perumpamaan itu.