Friday, April 12, 2013

Menjaga Lidah dan Akhlaknya Semasa Berkempen Dalam Pilihanraya Adalah Sifat Orang Mukmin.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “Orang mukmin bukan seorang pencela, bukan seorang pengutuk, bukan seorang yang keji dan bukan seorang yang berkata kotor.” (Hadis Riwayat Ibnu Mas'ud)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : “Bukankah manusia terjerumus ke dalam neraka kerana tidak dapat mengendalikan lidahnya?”. (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Seorang mukmin akan sentiasa menjaga akhlak dan adab sopan dan kehidupannya. Akhlak dan kesopanan adalah pakaian seorang mukmin sejati. Justeru, dalam kempen pilihan raya bukannya masa untuk kita menanggalkan akhlak dan adab sopan.

Antara anggota badan yang paling banyak digunakan dalam kempen pilihan raya adalah lidah untuk tutur bicara. Calon dan penyokong parti akan menggunakan lidah untuk berkempen dan menarik sokongan dan kepercayaan pengundi dengan manifesto dan janji-janji yang akan ditunaikan sekiranya diberi peluang untuk memenangi pilihanraya.

Menjanjikan sesuatu yang lebih baik kepada rakyat tidak salah, malah itulah yang sewajarnya, tetapi bukan janji-janji kosong yang tidak akan mampu ditunaikan. Ia juga bukan medan untuk menghamburkan tutur bicara sesuka hati tanpa kawalan sehingga menimbulkan bibit perpecahan serta kebencian sesama rakyat.

Lidah adalah nikmat kurniaan Allah dan sebaik-baik fungsi lidah ialah digunakan untuk berzikir kepada Allah SWT atau melakukan kerja dakwah iaitu menyeru manusia kepada kebaikan dan kebenaran seperti firman Allah bermaksud: "Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah (agama-Nya) serta beramal soleh serta berkata, "saya salah seorang muslim." (Sural al-Fushilat, ayat 33)

Di sebalik kebaikannya, lidah juga boleh membawa kebinasaan kepada pemiliknya juga manusia lain. Medan pertuturan lidah tidak ada sempadan. Jika baik penggunaannya, maka baiklah natijahnya, tetapi jika buruk penggunaannya, maka buruklah natijahnya.

Justeru, keghairahan berkempen tanpa mengawal tutur bicara boleh menyebabkan pelbagai implikasi bukan saja kepada pemilik lidah, malah anggota masyarakat. Disebabkan lidah yang tidak terkawal boleh membawa perpecahan, benci membenci, permusuhan, fitnah memfitnah dan api perkauman.

Ketika berkempen (berceramah) lidah perlulah dikawal dengan sebaik-baiknya kerana peribadi seorang mukmin tidak akan berkata perkara dusta, memfitnah, berbohong atau menokok-tambah keaiban seseorang yang tidak ada pada dirinya.

Paling buruk yang mungkin berlaku dalam tempoh berkempen ialah kegagalan mengawal lidah daripada mengeluarkan fitnah dan hasutan. Lidah kedua-dua pihak (parti) yang cabar mencabar boleh menjadi panas dan akhirnya mencetuskan pertelingkahan atau pergaduhan.

Ketika berceramah atau berkempen ramai calon atau penyokong parti gagal mengawal perasaan lalu terhamburlah caci-maki dan tuduh-menuduh.

Sebaiknya, mereka yang dicaci atau difitnah mendiamkan diri daripada membalas cacian. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Diam itu adalah suatu hukum dan amat sedikit orang yang melakukannya." (Hadis riwayat Abu Mansurad-Dailani daripada Ibn Umar)

Sahabat yang dimuliakan,
Alangkah baiknya jika tempoh berkempen pilihan raya dihiasi dengan akhlak mulia, tutur bicara beradab dan bersopan. Sentiasalah ingat pesan Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang mengawal lidahnya daripada memperkata kehormatan orang lain, maka Allah akan menutup kecelaannya."

Fitnah adalah perbuatan melempar tuduhan keburukan terhadap seseorang tanpa bukti dan asas kukuh. Fitnah dan mengadu domba (namimah) biasanya seiringan. Justeru, ia wajib dijauhi kerana kesannya amat buruk sekali.

Rasulullah SAW pernah bertanya sahabatnya: "Adakah aku belum pernah menerangkan kepadamu orang yang paling jahat daripada kamu?" Sahabat menjawab: "Belum!", lalu Nabi bersabda bermaksud: "Mereka yang berjalan ke sana ke mari membawa fitnah, mereka yang membuat kerosakan antara sesama sahabat dan mereka yang mencari-cari kekurangan pada orang yang tidak bersalah." (Hadis riwayat Ahmad)

Oleh itu, jangan jadikan kempen pilihan raya medan atau kesempatan untuk menabur fitnah. Semua lisan keji itu dilarang dan dicela oleh agama. Kata-kata keji tidak seharusnya keluar daripada lidah orang-orang mukmin. Berjanjilah kepada rakyat sesuatu yang baik dan mampu dikotakan . Banyak tawaran yang boleh diberikan iaitu menghapuskan rasuah , memansuhkan undang-undang zalim (tangkapan tanpa bicara), kebebasan mahasiswa untuk menyuarakan pandangan, kebebasan berdemontrasi cara aman, pendidkan percuma dan rawatan perubatan secara percuma, menghapuskan tol dan memberi royalti bagi negeri-negeri yang mempunyai sumber minyak dan lain-lain lagi dan lebih baik daripada pemerentah sebelumnya.

Perlu diingat akhlak seorang pemimpin Islam tidaklah sama dengan golongan lain kerana mereka berkempen dengan menggunakan berbagai cara, fitnah dan mengaibkan musuh politiknya dengan berpegang kepada kaedah "matlamat menghalalkan cara" maksudnya biar pun cara itu haram bagi mereka itu masih boleh dilakukan asalkan matlamat mereka tercapai.

Islam melarang kita menjadi agen penyebaran fitnah, pastikan apa yang kita cakap itu berdasarkan fakta yang betul. Periksa dahulu fakta, fahami dahulu suasana dan keadaan, kenali masyarakat di hadapan kita sebelum kita menyampaikan sesuatu perkara.

Sebagai peyokong dan pendokong parti yang memperjuangkan Islam dan memperjuangkan keadilan dan menentang rasuah, jentera parti harus menunjukkan akhlak yang baik sewaktu berhadapan dengan masyarakat yang pelbagai latar belakang.

Dekati pengundi dengan akhlak yang baik, dengan budaya timur yang menghormati satu sama lain dan memahami kehendak satu sama lain.

Jentera parti mesti memahami bahawa politik itu merupakan salah satu kaedah untuk mengajak masyarakat ke arah kebaikan, bukan untuk mendapatkan kuasa memerintah semata-mata.Kempen yang bersih dan tidak mengandungi caci-maki dan kutuk mengutuk kepada calun lawan adalah akhlak yang terpuji dan merupakan sifat orang mukmin yang bertanggungjawab dan mengajak rakyat untuk melakukan kebaikan.

Jadikanlah kempen dan pertandingan dalam pilihan raya umum ini merupakan peluang yang paling baik untuk kalian melakukan perubahan dalam masyarakat dan mengubah pentadbiran negeri dan seterusnya pusat yang sejak sekian lama menafikan keadilan dan hak-hak rakyat yang patut diberikan.

Sahabat yang dikasihi,
Satu peringatan yang perlu kalian pegang bahawa apabila kalian memulakan sahaja kempen berceramah, ziarah rumah ke rumah dan menyebarkan risalah manifesto kalian sedang berjihad dijalan Allah SWT untuk mendaulatkan Islam dan keadilan yang dituntut Islam.

Ingatlah kalian sedang diperhatikan oleh Allah SWT dan malaiakat pencatat amal sedia menulis apa yg kalian lakukan. Kejayaan sesuatu perjuangan berhadapan musuh adalah dengan izin dan pertolongan Allah SWT kerana akhlak dan tawakal kalian kepada-Nya . Jika kalian berjuang dijalan Allah SWT tetapi kalian melakukan maksiat dengan menyerang peribadi pihak lawan dengan mengumpat, membuat fitnah, mengadu domba, mengaibkan orang lain dan maki-hamun maka kalian akan mendapat kemurkaan Allah SWT. Tetapi jika kalian menyerang dasar parti pihak lawan yang menyeleweng, rasuah, zalim, mementingkan kroni , tidak mendaulatkan hukum Allah SWT yang mereka lakukan secara umum maka ianya diharuskan.

Khalifah Umar al-Khattab pernah menasihatkan tentera Islam bahawa yang lebih beliau takut adalah maksiat tentera Islam daripada kekuatan musuh. Kekalahan musuh adalah kerana maksiat mereka kepada Allah SWT. Jika tentera Islam melakukan maksiat maka mereka tidak akan mendapat pertolongan Allah SWT.

Biar rakyat yang menilai dengan adil akan kerosakkan yang pernah dilakukan oleh pihak lawan , Allah SWT sahaja yang akan membuka pintu hati-hati mereka untuk memilih calun dan parti yang berwibawa, adil dan sentiasa konsisten memperjuangkan kebenaran dan keadilan.

Tonjolkan peribadi yang baik untuk kalian mengajak mereka ke arah kebaikan. Sekali lagi di ingatkan, jangan menggunakan fitnah kerana salah satu unsur yang menafikan kemenangan ialah apabila maksiat dilakukan termasuklah melakukan fitnah.

Akhirkata marilah sama-sama kita berdoa dan memohon rahmat dan pertolongan Allah SWT di atas perjuangan yang mulia ini untuk meletakkan Islam ditempatnya yang sebenarnya. Yakinlah jika kita ikhlas berjuang dengan niat semata-mata mencari reda Allah SWT, insya Allah kemenangan akan berpihak kepada kita biarpun mereka merancang dengan rancangan yang hebat kerana sesungguhnya perancangan Allah SWT lebih baik dan lebih sempurna.

Thursday, April 11, 2013

Tafsir Surah Ali -Imran Ayat 26

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Firman Allah SWT :

قُلِ Ű§Ù„Ù„َّهُمَّ مَŰ§Ù„ِكَ Ű§Ù„ْمُلْكِ ŰȘُŰ€ْŰȘِي Ű§Ù„ْمُلْكَ مَنْ ŰȘَŰŽَۧۥُ وَŰȘَنْŰČِŰčُ Ű§Ù„ْمُلْكَ مِمَّنْ ŰȘَŰŽَۧۥُ وَŰȘُŰčِŰČُّ مَنْ ŰȘَŰŽَۧۥُ وَŰȘُŰ°ِلُّ مَنْ ŰȘَŰŽَۧۥُ ŰšِيَŰŻِكَ Ű§Ù„ْŰźَيْ۱ُ Ű„ِنَّكَ Űčَلَى كُلِّ ŰŽَيْŰĄٍ قَŰŻِÙŠŰ±ٌ (26)


Maksudnya : "Katakanlah: `Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu".(Surah Ali-Imran (3) ayat 26)

Huraiannya :

Dalam ayat ini Allah SWT menyuruh Nabi-Nya untuk menyatakan bahawa Allah lah Yang Maha Suci yang mempunyai kekuasaan tertinggi dan Maha Bijaksana dengan tindakan-Nya yang sempurna di dalam menyusun, mengurus, dan mentakbirkan segala perkara dan yang menegakkan neraca undang-undang umum di alam ini. Maka Allah lah yang memberikan pemerintahan kepada siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya. 

Ada kalanya Allah SWT memberikan itu bersamaan dengan pangkat kenabian seperti keluarga Nabi Ibrahim a.s., keluarga Nabi Daud a.s.dan ada kalanya hanya memberikan pemerintahan saja menurut hukum kemasyarakatan iaitu dengan menyusun kabilah-kabilah dan bangsa-bangsa. Dan Allah juga yang mencabut pemerintahan dari orang-orang yang Dia kehendaki disebabkan mereka berpaling dari jalan yang lurus, jalan yang dapat memelihara pemerintahan, kerana meninggalkan keadilan, berlaku curang dalam pemerintahan. Demikianlah hal itu telah berlaku pula terhadap Bani Israil dan lain-lain bangsa disebabkan kezaliman dan kerosakan yang telah mereka lakukan dimuka bumi.

Allah SWT jualah yang memberi kekuasaan kepada orang yang Dia kehendaki, dan menghinakan orang yang Dia kehendaki. Orang yang diberi kekuasaan ialah orang yang didengar tutur katanya, banyak penolongnya menguasai jiwa manusia dengan menunjukkn contoh yang baik dan ilmunya yang berguna bagi manusia. serta mempunyai keluasan rezeki serta berbuat baik kepada segenap manusia.


Adapun orang yang mendapat kehinaan ialah orang yang rendah jiwanya dan merasa lemah membela kehormatan lagi tidak mampu menentang musuhnya yang menyerbu dan tidak bersatu padu padahal tidak ada satu kemuliaanpun dapat dicapai tanpa persatuan untuk menegakkan kebenaran dan menentang kezaliman.


Apabila masyarakat telah bersatu dan berjalan menurut sunatullah, bererti mereka telah menyiapkan segala sesuatu untuk menghadapi segala kemungkinan. Banyak sedikitnya bilangan sesuatu umat tidaklah menjamin untuk mewujudkan kekuasaan dan menghimpun kekuatan. Orang-orang musyrik Mekah, orang-orang Yahudi dan orang-orang munafik Arab telah tertipu oleh banyaknya pengikut dibanding dengan pengikut Rasulullah SAW, padahal yang demikian itu tidak mendatangkan faedah bagi mereka sedikitpun. Sebagaimana firman Allah SWT :

يقولون Ù„ŰŠÙ† ۱ۏŰčÙ†Ű§ Ű„Ù„Ù‰ Ű§Ù„Ù…ŰŻÙŠÙ†Ű© Ù„ÙŠŰźŰ±ŰŹÙ† Ű§Ù„ŰŁŰčŰČ Ù…Ù†Ù‡Ű§ Ű§Ù„ŰŁŰ°Ù„ ولله Ű§Ù„ŰčŰČŰ© ÙˆÙ„Ű±ŰłÙˆÙ„Ù‡ ÙˆÙ„Ù„Ù…Ű€Ù…Ù†ÙŠÙ† ولكن Ű§Ù„Ù…Ù†Ű§ÙÙ‚ÙŠÙ† Ù„Ű§ يŰčلمون

Maksudnya : "Mereka berkata "Sesungguhnya jika kita telah kembali ke Madinah, pastilah orang-orang yang kuat mengusir orang-orang yang lemah dari padanya. Padahal kekuatan itu hanyalah bagi Allah, bagi rasul-Nya dan bagi orang-orang mukmin. Tetapi orang-orang munafik itu tidak mengetahui". (Surah Al-Munafiqun ayat 8)


Fakta-fakta sejarah menjadi bukti bahawa jumlah yang banyak saja tidaklah menunjukkan kekuatan. Lihatlah bangsa-bangsa timur, mereka berjumlah banyak tetapi dapat dikuasai oleh bangsa-bangsa barat yang berjumlah lebih sedikit disebabkan kelemaham mereka menguasai ilmu sains dan teknologi , perpecahan dan permusuhan yang terjadi di antara sesama mereka.


Dalam ayat ini Allah menerangkan pula bahwa segala kebajikan terletak ditangan-Nya baik kenabian, kekuasaan ataupun kekayaan. Ini menunjukkan bahawa Allah SWT sendirilah yang memberikannya menurut kemauan-Nya. Tidak ada seorangpun yang memiliki kebajikan itu selain Allah SWT. Dalam ayat ini hanya disebutkan kebajikan saja sebenarnya segala yang buruk dan jahat juga ada di bawah kekuasaan Allah SWT. Hal ini difahami dari  Allah SWT sendiri di dalam al-Quran bahawa Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.


Dalam ayat ini disebutkan kebajikan saja kerana disesuaikan dengan keadaan. Keadaan yang mendorong orang-orang kafir menentang dan meremehkan dakwah Nabi Muhammad SAW  ialah kemiskinan baginda, kelemahan pengikut-pengikutnya serta kecilnya bilangan mereka. Maka oleh sebab itu Allah SWT menyuruh Nabi untuk berlindung kepada Yang memiliki segala kerajaan. Yang di tangan-Nya segala kekuasaan dan kemuliaan, Allah mengingatkan Rasulullah SAW bahawa seluruh kebaikan dan kekayaan ada di tangan-Nya. Maka tidak ada yang dapat menghalangi-Nya apabila Dia memberikan kemiskinan dan kekayaan kepada Nabi Nya atau kepada orang-orang yang mukmin yang dikehendaki Nya. Sebagaimana diterangkan oleh Allah dalam firman Nya:

ÙˆÙ†Ű±ÙŠŰŻ ŰŁÙ† نمن Űčلى Ű§Ù„Ű°ÙŠÙ† ۧ۳ŰȘ۶ŰčÙÙˆŰ§ في Ű§Ù„ŰŁŰ±Ű¶ ÙˆÙ†ŰŹŰčلهم ŰŁŰŠÙ…Ű© ÙˆÙ†ŰŹŰčلهم Ű§Ù„ÙˆŰ§Ű±Ű«ÙŠÙ†

Maksudnya : "Dan Kami hendak memberi karunia kepada orang-orang yang tertindas di bumi (Mesir) itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi) (Surah Al-Qasas ayat 5)


Sahabat yang dimuliakan,

Sesungguhnya Allah lah yang memiliki pemerintahan yang Dia berikan kepada orang-orang yang telah dikehendaki-Nya. Allah SWT telah mengeluarkan seorang anak yatim dari bangsa Arab yang buta huruf. iaitu Muhammad SAW yang mampu mengeluarkan manusia daripada kegelapan jahiliah kepada kemulian Islam dengan izin Allah SWT, menyiapkan mereka dengan kekuatan kemahuan untuk menjadi umat yang terkuat, yang dapat menghancurkan benteng masyarakat jahiliah Sementara itu orang-orang Yahudi (Bani Israil) bergelimang di dalam taqild. buta dan penindasan raja-raja atau para penguasa.
 

Allah SWT memberikan kekuasaan kepada orang-orang yang Dia kehendaki atau mencabut pemberian Nya itu dari orang-orang yang Dia kehendaki hanyalah berdasarkan sunah-sunah dan hukum-hukum Nya.

Segala urusan ada di tangan Allah. Tidak ada seorangpun yang dapat menilai dan memperkirakan perhitungannya. Dialah yang berkuasa mencabut kekuasan dari siapa yang dikehendaki Nya serta menghinakan Nya. Dan hanya Dia pulalah yang kuasa memberikan kekuasaan itu kepada suatu bangsa serta memuliakannya. Yang demikian ini, amat mudah bagi Allah.


Sahabat yang dikasihi,

Perlu diingatkan bahawa tidak ada sesiapa pun boleh mendakwah bahawa mereka akan tetap berkuasa walaupun telah memerentah negara setengah abad. Walau pun mereka menggunakan berbagai cara untuk menghalalkan tindakkannya iaitu dengan kaedah " matlamat menghalalkan cara". Sejarah dunia telah membuktikan bahawa setiap pemerentah zalim yang merampas hak rakyat , mengutamakan kroni atau ahli keluarga daripada rakyat jelata. Hidup bermewah-mewah dengan mengambil rasuah, pilih kasih dan berlaku ketirisan wang negara, maka golongan ini tidak mustahil akan digantikan dengan golongan yang lebih baik, telus dan amanah.

Allah SWT Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana dan Dia mampu merubah sistem kehidupan di muka bumi. Bagaimana kekuasan Raja Nambrut dan Firaun yang menindas rakyatnya sendiri dan menentang para Rasul utusan Allah SWT akhirnya mereka tewas dan dihinakan oleh Allah SWT. Begitu juga pemerentah zalim abat ke 21 telah jatuh satu demi satu seperti di Mesir, Tunisia, Libya, Yaman dan akan tiba masanya di Syria kerana kezaliman yang amat dahsyat membunuh rakyatnya sendiri tanpa peri kemanusiaan.

Oleh itu perlulah kita insaf dan sedar bahawa hidup kita di dunia ini hanya sementara dan kehidupan  yang sebenarnya adalah di kampung akhirat maka berwaspadalah jangan sampai kalian tertipu dengan pujuk rayu dunia yang mempersonakan dan berhati-hatilah semasa memilih pemimpin kerana kalian akan disoal nanti di akhirat jika tersalah membuat pilihan . Wallahualam.

Sunday, April 7, 2013

Tafsir Surah Al-Baqarah Ayat 201 -202 (Kebahagiaan Dunia dan Akhirat)


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Firman Allah SWT :

وَمِنْهُمْ مَنْ يَقُولُ ۱َŰšَّنَۧ ŰąŰȘِنَۧ فِي Ű§Ù„ŰŻُّنْيَۧ Ű­َŰłَنَŰ©ً وَفِي Ű§Ù„ْ۹ِ۟۱َŰ©ِ Ű­َŰłَنَŰ©ً وَقِنَۧ ŰčَŰ°ََۧۚ Ű§Ù„Ù†َّۧ۱ِ (201)
 

Maksudnya : "Dan di antara mereka ada orang yang mendoa: `Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa neraka".
(Surah al-Baqarah ayat 201)

Di dalam ayat ini Allah menyebutkan manusia yang memperoleh keuntungan dunia dan akhirat, adalah orang-orang yang di dalam doanya selalu minta supaya mendapat kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat, dan di jauhi dari seksaan api neraka. 

Untuk mencapai hidup bahagia di dunia perlulah melalui beberapa syarat, di antaranya sentiasa bersabar dalam berusaha, patuh kepada peraturan dan disiplin yang di tetapkan oleh Allah SWT, pandai bergaul dan dipercaya serta mempunyai niat yang baik dalam usahanya. 

Untuk mencapai hidup bahagia di akhirat haruslah mempunyai iman yang murni dan kuat, serta mengerjakan amal yang soleh dan mempunyai akhlak yang mulia. Maka untuk terlepas dari seksa hendaklah sentiasa meninggalkan pekerjaan-pekerjaan maksiat, menjauhkan diri dari sifat keji serta memelihara diri jangan sampai melakukan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT kerana pengaruh syahwat dan hawa nafsu.

Firman Allah SWT :

ŰŁُولَŰŠِكَ لَهُمْ نَŰ”ِÙŠŰšٌ مِمَّۧ كَŰłَŰšُÙˆŰ§ وَŰ§Ù„Ù„َّهُ Űłَ۱ِيŰčُ Ű§Ù„ْŰ­ِŰłَِۧۚ (202)
 

Maksudnya : "Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian dari apa yang mereka usahakan; dan Allah sangat cepat perhitungan-Nya".(Surah al-Baqarah ayat 202)

Mereka yang meminta kebahagiaan hidup di dunia dan kebahagiaan hidup di akhirat itulah yang akan mendapat nasib yang baik dan beruntung kerana kesungguhannya dalam berusaha dan beramal. Maksudnya mereka memohon kepada Allah SWT dengan hatinya, yang diucapkan oleh lidahnya dengan kesungguhan jasmaninya dalam berusaha dan beramal. Hasilnya ialah keuntungan dan kebahagiaan. Ayat ini diakhiri dengan peringatan bahawa Allah SWT sangat cepat perhitungan-Nya.

Maksudnya ialah supaya setiap manusia tidak boleh ragu-ragu dalam berusaha dan beramal, sebab seluruhnya itu akan diperhitungkan oleh Allah SWT dan tidak akan dirugikan-Nya seorang pun juga. Perhitungan Allah sangat cepat dan tepat sehingga dalam waktu sekejap mata saja, setiap manusia itu sudah dapat melihat hasil usaha dan amalnya dan sekaligus akan dapat menerima balasan dari usaha dan amalnya itu dari Allah SWT.

Asbabun Nuzul ayat 201-202 Surah al-Baqarah.


Ibnu Abbas r.a. berkata : "Kedua ayat ini diturunkan Allah agar kaum muslimin memanjatkan doa dengan memohon kebaikan di dunia dan akhirat, tidak hanya kebaikan di dunia, tetapi melupakan akhirat, sebagaimana yang telah terjadi pada kaum Badui, yang berdoa tanpa menyebutkan urusan akhirat." (Hadis Riwayat Ibnu Abi Hatim. Lihat Ibnu Katsir : 332/333 dan al-Hadis al-Mukhratah :4/116)

Sahabat yang dimuliakan,
Amalkanlah doa di atas setiap kali lepas solat atau ketika kita berdoa memohon pertolongan daripada Allah SWT dan berhajat di dalam sesuatu permohonan. Jangan pisahkan permohonan urusan dunia dengan urusan akhirat.


Doa adalah senjata orang mukmin. Dalam kehidupan seorang mukmin, hidupnya penuh dihiasi dengan akhlak Islam, amal soleh, amal ibadah dan peribadi mulia yang akan menjadi contoh kepada orang lain. Dalam keadaan hidup yang sukar dan perlu pengorbanan maka lidahnya sentiasa berzikir, berdoa dan bermunajat kepada Allah S.W.T.  tanda pengharapannya yang mutlak kepada Allah SWT.

Nabi S.A.W. mengajarkan agar sentiasa berdoa tanda pengharapan dan pergantungan kita kepada Allah S.W.T. salah satu doa yang sering baginda ucapkan yang maksudnya : "Ya Allah, perbaikilah agamaku kerana ia merupakan pangkal urusanku, perbaikilah duniaku kerana ia merupakan penghidupanku, perbaikilah akhiratku kerana ia merupakan tempat kembaliku, dan jadikanlah hidup sebagai kesempatan untuk menambah setiap kebaikanku, dan jadikanlah mati sebagai pelepas diriku dari setiap kejahatan." (Hadis Riwayat Muslim)
 Di samping kita berdoa jangan lupa pula untuk mengerjakan amal-amal soleh dan beribadah yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT.


Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah S.A.W.  bersabda yang bermaksud :
"Bersegeralah kalian untuk berbuat amal soleh, kerana akan muncul berbagai fitnah seperti penggalan-penggalan malam yang gelap-gulita, ada orang yang paginya beriman, petangnya kafir. Ada yang petangnya beriman, paginya kafir. Ia jual agamanya dengan barang perhiasan dunia." (Hadis Riwayat Muslim)

Rasulullah memperingatkan umatnya agar tidak malas dalam beribadat dan beramal soleh, sebaliknya harus memperbanyakkan kedua-duanya. Setiap hari ketika anak Adam menemui pagi, maka saat itu ada kesempatan baginya yang harus ia manfaatkan dengan memperbanyakkan ketaatan, ibadat dan amal soleh. Dengan begitu, ia akan sentiasa taat kepada Tuhannya dan menjauhi segala larangan-Nya, sehingga akan bertambah kebaikannya, semakin berat timbangan amal kebajikannya dan terhapus dosa-dosanya.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita perbaiki amalan-amalan kita di dunia sebagai bekalan di hari akhirat dan sentiasa berdoa agar Allah SWT permudahkan urusan dunia dan akhirat kita. Di dunia mendapat rahmat dan kasih sayang daripada Allah SWT dan di akhirat pula mendapat syafaat dan rahmat daripada Allah SWT dengan di ampunkan dosa-dosa kita dan di benarkan untuk memasuki syurga seluas langit dan bumi, in syaa Allah.