Saturday, April 14, 2012

Kisah Benar : Mati Terbakar Kerana Mencabar Allah SWT.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Terdapat kisah benar berlaku di Iskandariah Mesir, seorang wanita muda menghina hukum Allah SWT bab menutup aurat
dan mencabar kekuasaan Allah SWT akhirnya mati dibakar di dunia ini lagi.

Pada suatu hari, seorang gadis yang terpengaruh dengan cara hidup masyarakat Barat menaiki sebuah bas mini untuk menuju ke destinasi di wilayah Iskandariah Mesir. Malangnya walaupun tinggal di bumi yang terkenal dengan tradisi keislaman, pakaian gadis tersebut sangat menjolok mata.Bajunya agak nipis dan seksi hampir terlihat segala yang patut disembunyikan bagi seorang perempuan daripada pandangan lelaki ajnabi atau mahramnya.

Gadis itu dalam lingkungan 20 tahun. Di dalam bas itu, ada seorang tua yang dipenuhi uban menegurnya: "Wahai pemudi! Alangkah baiknya jika kamu berpakaian yang baik, yang sesuai dengan ketimuran dan adat serta agama Islam kamu, itu lebih baik daripada kamu berpakaian begini yang pastinya menjadi mangsa pandangan liar kaum lelaki.... " nasihat orang tua itu.

Namun, nasihat yang sangat bertetapan dengan tuntutan agama itu dijawab oleh gadis itu dengan jawapan yang mengejek: "Siapalah kamu hai orang tua? Adakah kamu cuba nak ingatkan aku supaya menutup aurat sepenuhnya sedangkan bapa kandungku sendiri tidak pernah menasihatiku?Apakah kamu mahu aku berpakaian menutup aurat sedangkan aku masih mahu bebas menayangkan tubuh badan ku di khalayak ramai?Apakah di tangan kamu ada anak kunci syurga? Atau adakah kamu memiliki sejenis kuasa yang menentukan aku bakal berada di syurga atau neraka?"

Setelah menghamburkan kata-kata yang sangat menghiris perasaan orang tua itu, gadis itu tertawa mengejek panjang. Tidak cukup setakat itu, si gadis lantas cuba memberikan telefon bimbitnya kepada orang tua tadi sambil melafazkan kata-kata yang lebih dahsyat. " Jika ISLAM itu BENAR,tempatkan bilikku di Neraka ,Ambil handphone ku ini dan hubungilah Allah serta tolong tempahkan sebuah bilik di neraka jahanam untukku," katanya lagi lantas ketawa berdekah-dekah tanpa mengetahui bahawa dia sedang mempertikaikan hukum Allah dengan begitu biadab.

Orang tua tersebut sangat terkejut mendengar jawapan daripada si gadis manis. Sayang sekali,  wajahnya yang ayu tidak sama dengan perilakunya yang buruk. Penumpang-penumpang yang lain turut terdiam malah ada yang menggelengkan kepala kebingungan. Semua yang di dalam bas tidak menghiraukan gadis muda yang tidak menghormati hukum-hakam agama itu dan mereka tidak mahu menasihatinya kerana khuatir dia akan akan menghina agama dengan lebih teruk lagi.

Sepuluh minit kemudian bas pun tiba di perhentian. Gadis seksi bermulut celupar tersebut tertidur di muka pintu bas. Puas pemandu bas termasuk para penumpang yang lain mengejutkannya tapi gadis tersebut tidak sedarkan diri. Tiba tiba orang tua tadi memeriksa nadi si gadis. Sedetik kemudian dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Gadis itu telah kembali menemui Tuhannya dalam keadaan yang tidak disangka.

Para penumpang menjadi cemas dengan berita yang menggemparkan itu. Dalam suasana kelam kabut itu, tiba tiba tubuh gadis itu terjatuh ke pinggir jalan. Orang ramai segera berkejar untuk menyelamatkan jenazah tersebut. Tapi sekali lagi mereka terkejut. Sesuatu yang aneh menimpa jenazah yang terbujur kaku di jalan raya. Mayatnya menjadi hitam seolah-olah dibakar api. Dua tiga orang yang cuba mengangkat mayat tersebut juga kehairanan kerana tangan mereka terasa panas dan hampir melecur sebaik saja menyentuh tubuh si mayat. Akhirnya mereka memanggil pihak keselamatan menguruskan mayat itu.

Begitulah kisah ngeri lagi menyayat hati yang menimpa gadis malang tersebut. Apakah hasratnya menempah sebuah bilik di neraka dimakbulkan Allah? Na'uzubillah, sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa di atas segala sesuatu. Sangat baik kita jadikan iktibar dan pelajaran dengan kisah benar ini sebagai muslim sejati. Jangan sesekali kita mempertikaikan hukum Allah mahupun sunnah Rasu-lNya SAW. dengan mempersendakan atau mengejek. Kata kata seperti ajaran Islam tidak sesuai lagi dengan arus kemodenan dunia hari ini atau sembahyang tidak akan buat kita jadi kaya dan seumpamanya adalah kata-kata yang sangat biadab dan menghina Allah, pencipta seluruh alam.

Sahabat yang dimuliakan,
Bertaubatlah kita kepada Allah SWT kerana kematian akan datang bila-bila masa. Kita boleh melupakan kematian, tetapi kematian tetap akan terjadi kepada kita. Hanya masanya saja yang akan menentukan bila kita akan kembali ke alam barzakh. Janganlah menjadi orang yang kufur, siapakah orang yang kufur itu? Mereka itulah orang yang ingin melawan Tuhan Rabbul 'alamin. Apabila  enggan melaksanakan suruhan Tuhan bererti seseorang ingin melawan arahan Tuhan. Jangan cuba mencabar Allah SWT dan menghina ajaran Islam pasti balasannya akan di terima di dunia lagi dan di akhirat telah tersedia seksaan api neraka yang amat dahsyat.

Segeralah Bertaubat Kepada Allah SWT Jika Melakukan Kesalahan dan Dosa

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Seorang mukmin akan merasakan dosa-dosa yang telah dilakukan walaupun kecil seperti gunung yang akan menghempap dirinya lantas dia terus beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT. Tetapi orang fasik dan munafik akan merasakan bahawa dosa-dosa itu umpama lalat yang menghingapi hidungnya hanya dengan menepisnya sahaja dengan tangannya.

Sifat orang mukmin akan cuba tidak mengulagi dosa-dosa yang sama berulang kali setelah dia bertaubat kepada Allah SWT. Jika terlanjur juga dia akan cepat-cepat beristighfar dan menyesali apa yang telah dilakukannya.

Bagaimana cara untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama? Terdapat empat perkara jika diamalkan akan dapat mengelakkan untuk mengulagi  kesalahan yang sama.

Beberapa tindakan yang mampu dilakukan untuk mengelak diri daripada mengulangi kesalahan yang sama untuk kedua kalinya. Antara langkah-langkah itu adalah:
 
Pertama : Segera bertaubat untuk memotong mata rantai dosa dan mengiringi perbuatan dosa dengan kebaikan yang akan menghapuskan dosa.

Rasulullah bersabda maksudnya : “Seandainya kamu melakukan perbuatan dosa sehingga dosa –dosamu mencapai setinggi langit, kemudian kamu bertaubat nescaya Allah akan mengampuninya (menerima taubatmu)”. (Hadis Riwayat Baihaqi)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersanda maksudnya : “Seorang yang bertaubat dari suatu dosa seakan-akan tidak pernah memiliki dosa.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah).
 
Sabda Nabi SAW maksudnya : “Apabila kamu berbuat dosa, maka lakukanlah kebaikan (untuk menghapuskannya.” (Hadis Riwayat Baihaqi)
 
Kedua : Mengukuhkan azam untuk memperbaiki diri.

Penyebab utama seseorang menjadi lemah di hadapan dosa-dosa adalah kerana ketiadaan atau lemah tekad untuk menghidarinya sehingga mudah untuk melakukan dosa secara berulang kali.

Firman Allah dalam Surah Thaha ayat 115 yang bermaksud: "Dan Sesungguhnya Telah kami perintahkan [*] kepada Adam dahulu, Maka ia lupa (akan perintah itu), dan tidak kami dapati padanya kemauan yang kuat."

[*] perintah Allah Ini tersebut dalam ayat 35 surat Al Baqarah yang bermaksud:

"Dan kami berfirman: "Hai Adam, diamilah oleh kamu dan isterimu syurga ini, dan makanlah makanan-makanannya yang banyak lagi baik dimana saja yang kamu sukai, dan janganlah kamu dekati pohon ini[**], yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang zalim."

[**] pohon yang dilarang Allah mendekatinya tidak dapat dipastikan, sebab Al Quran dan Hadist tidak menerangkannya. ada yang menamakan pohon khuldi sebagaimana tersebut dalam surat Thaha ayat 120, tapi itu adalah nama yang diberikan syaitan.
 
Ketiga : Mencari lingkungan yang kondusif (suasana yang baik) untuk membaiki diri. Apabila berada di kalangan orang yang baik-baik maka orang akan rasa malu untuk melakukan dosa.

Itulah hikmah orang yang membunuh 100 orang dianjurkan untuk berhijrah ke tempat lain yang didiami oleh orang yang baik-baik dan rajin beribadah kepada Allah SWT.

Keempat : Memohon perlindungan daripada Allah SWT dan memperbanyakkan zikir. Seorang perlu memohon perlindungan Allah SWT daripada gangguan syaitan.

Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa bila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, Maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya." (Surah al-Araf ayat 201)

Diantara sifat orang mukmin yang mendapat kelazatan iman ialah sentiasa menyedari bahawa maksiat adalah cabang kepada kekufuran. Kekufuran akan menyebabkan ia tercampak ke dalam neraka.

Sabda Rasulullah maksudnya :  “Ada tiga sifat, barangsiapa yang pada dirinya terdapat 3 sifat ini, ia akan merasakan kelazatan iman: .... ia membenci untuk kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkan dirinya dari kekafiran sebagaimana ia membenci apbila dilemparkan ke dalam api neraka.” (Hadis Riwayat Muttafaqun ‘Alaih).

Hendaklah kita mempelajari segala hal yang berkaitan dengan dosa dan akibat buruk serta negatif daripada perbuatan dosa tersebut agar berwaspada dan menjauhkan diri daripada dosa berkenaan.

Seorang mukmin yang cerdas ialah orang yang mengambil pengajaran daripada kesalahan diri sendiri. Tetapi lebih cerdas lagi jika mengambil pengajaran daripada perbuatan atau kesalahan orang lain agar tidak melakukan kesilapan atau kesalahan yang sama.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita memperbaiki diri dan sentiasa bermuhasabah di atas kesalahan dan dosa-dosa yang telah kita lakukan. Jangan dilambat-lambatkan bertaubat kerana kita tidak mengetahui bila saatnya kita akan meninggal dunia. Alangkan bahagiannya jika kita kembali kepada Allah SWT dalam keadaan kita telah bertaubat kepada-Nya.

Wednesday, April 11, 2012

Dua Puluh Perkara Yang Boleh Membatalkan Syahadah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Persoalan akidah adalah persoalan asas,... yang mana setiap Muslim mestilah memiliki akidah yang sahih, betul dan tidak ada cacat di dalam akidahnya. Jika akidah seseorang telah cacat atau rosak maka sebenarnya dia telah terkeluar daripada Islam. Untuk kembali balik kepada Islam perlulah bertaubat dan memperbarui semula dua kalimah syahadah iaitu :

“Aku bersaksi bahawa tiada tuhan (yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya) melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah Pesuruh Allah.”

Apabila akidah seseorang sudah sempurna barulah semua amal soleh, amal ibadah dan amal kebajikan yang dikerjakan akan bernilai di sisi Allah S.W.T. dengan diberi-Nya pahala.

Di dalam buku bertajuk " Iman dan 20 perkara yang membatalkan syahadatain oleh As-Syahid Sayed Qutub, As-Syaikh Said Hawa dan Abu 'Ala Al-Maududi" telah dijelaskan bahawa terdapat 20 perkara yang boleh membatalkan syahadah seorang muslim.

Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

1. Tawakkkal atau bergantung harap kepada sesuatu selain daripada Allah.

2. Mengengkari nikmat Allah samada yang terang atau tersembunyi, sesuatu yang mudah difikir atau yang memerlukan kajian. Bukanlah menjadi bidang kuasa manusia dalam urusan memberi dan menahan rezeki seseorang tetapi ia merupakan hak Allah.

3. Beribadat khusus, berkerja atau berkhidmat dengan tujuan selain daripada Allah kerana segala yang kita lakukan mestilah selari dengan apa yang dikehendaki oleh Allah.

4. Menggubal undang-undang atau peraturan mengikut kemahuan manusia bukan mengikut ketentuan Allah sedangkan hanya Allah sahaja yang berhak menentukan peraturan manusia.

5. Menumpukan segala ketaatan kepada selain daripada Allah dengan cara yang tidak disukaiNya.

6. Menjalankan hukuman yang lain daripada hukum Allah atau tidak merujukkan kepada hukum Allah dalam sesuatu perkara.

7. Membenci atau menentang sesuatu perkara yang berhubung dengan Islam atau pun membenci agama Islam secara keseluruhannya.

8. Mencintai kehidupan dunia mengatasi kecintaan kepada akhirat di mana dia menjadikan dunia ini sebagai matlamat utama yang unggul dalam kehidupannya.

9. Menghina sesuatu daripada al-Quran atau hadis atau pun kitab orang alim yang menegakkannya atau pun mempersendakan hukum daripada hukum Allah.

10. Menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dan mengharam apa yang dihalalkan oleh Allah.

11. Tidak beriman kepada semua sumber hukum daripada al-Quran dan Hadis.

12. Melantik orang kafir dan munafik menjadi pemimpin serta tidak mencintai orang yang berakidah Islam dan beriman.

13. Tidak beradab dalam pergaulan dengan Rasulullah S.A.W. di mana bagi mereka yang datang selepas kewafatannya mesti beradab dalam percakapan, penulisan dan syarahan.

14. Rasa takut dan gentar dalam menegakkan Islam dan rasa lapang, riang dalam menegakkan perkara syirik.

15. Menyatakan bahawa al-Quran terdapat pertentangan antara ayat yang zahir dan isi yang terkandung dalam ayat itu dan juga menyatakan bahawa isi yang terkandung dalam ayat al-Quran hanya boleh difahami oleh setengah orang melalui ilham. Begitu juga bagi mereka yang menuduh perkara demikian terhadap sunnah nabi.

16. Tidak mengetahui tentang makrifat Allah dengan pengenalan yang jelas serta mengengkari sifat ketuhananNya atau nama-nama Allah.

17. Tidak mengetahui atau mengenali Rasul dengan betul atau menafikan bahawa adanya sifat yang terpuji yang dianugerahkan oleh Allah kepadanya atau menghina sifat kepujian atau tidak beriktikad bahawa baginda adalah sebagai contoh ikutan utama bagi umat manusia.

18. Mengkafirkan orang yang mengucap dua kalimah syahadah serta tidak mengkafirkan orang yang telah engkar syahadah dan tidak menghalalkan perang dengan mereka.

Suatu kaedah : "Sesiapa yang mengkafirkan orang mukmin maka ia menjadi kafir, sebaliknya sesiapa yang tidak mengkafirkan orang kafir maka dia menjadi kafir. Sesiapa yang syak tentang kekafiran orang kafir maka dia juga menjadi kafir."

19. Membuat sesuatu pekerjaan (ibadat) bukan kerana Allah seperti sembelih binatang bukan kerana Allah, sujud dan tawaf pada selain Baitullah dengan niat mendekati Allah.

20. Melakukan syirik khafi atau kecil di mana ia tidak membatalkan syahadah dan ia juga boleh boleh diubati dengan doa seperti solat kerana pujian manusia dan sebagainya. Syirik khafi boleh dihapuskan dengan beristighfar kepada Allah SWT.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita jaga akidah kita supaya tidak ada sedikit pun unsur-unsur yang boleh mencacatkannya, kerana Allah S.W.T tidak mengampunkan dosa syirik kepada-Nya dan akan mengampunkan dosa selain itu.

Syirik iaitu menyamakan selain Allah dengan Allah dalam Rububiyyah dan Uluhiyyah Allah Subhanahu wa Ta'ala. Umumnya menyekutukan dalam Uluhiyyah Allah, iaitu hal-hal yang merupakan kekhususan bagi Allah, seperti berdoa kepada selain Allah disamping berdoa kepada Allah, atau memalingkan suatu bentuk ibadah seperti menyembelih (kurban), bernazar, berdoa dan 20 perkara yang dijelaskan di atas adalah perkara-perkara yang boleh menjadikan syirik kepada Allah S.W.T.

Kerana itu, barangsiapa menyembah selain Allah bererti ia meletakkan ibadah tidak pada tempatnya dan memberikannya kepada yang tidak berhak, dan itu merupakan kezaliman yang paling besar.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman maksudnya : "Sesungguhnya menyekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar" (Surah Luqman ayat 13)

Allah tidak akan mengampuni orang yang berbuat syirik kepadaNya, jika ia meninggal dunia dalam kemusyrikannya.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman maksudnya : "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar".(Surah An-Nisaa' ayat 48)

Syurga pun diharamkan atas orang Musyrik. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman maksudnya : "Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan syurga kepadanya, dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi orang-orang zalim itu seorang penolong pun". (Surah al-Maaidah ayat 72).

Syirik menghapuskan pahala segala amal kebaikan. Allah Azza wa Jalla berfirman maksudnya : "Seandainya mereka mempersekutukan Allah, niscaya lenyaplah dari mereka amalan yang telah mereka kerjakan". (Surah al-An'am ayat 88)

Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu marilah sama-sama kita jaga akidah kita dan mereka yang dibawah tanggungan kita, jiran tetanga, saudara-mara dan sahabat- handai supaya akidah mereka tidak cacat dan rosak hingga menyebabkan segala amal-amal soleh di tolak oleh Allah S.W.T. Kepentingan akidah ini lebih penting daripada kita jaga makan-minum dan kesihatan fizikal kita kerana di sinilah akan menentukan kebahagiaan kita hidup di hari akhirat nanti.

Berkempen Cara Islam Akan Mendapat Keredaan Allah SWT

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Islam adalah cara hidup yang lengkap dan sempurna. Islam tidak dapat dipisahkan dengan amalan harian, bekerja, berinteraksi sesama manusia malahan perhubungan dengan haiwan dan alam sekitar juga ada adab-adab yang telah digariskan oleh Islam.
Jika kita benar-benar beriman kepada Allah SWT dan beriman dengan rukun Iman yang lain dan rukun Islam, maka kita perlu berpegang teguh dengan ikatan Islam dan tidak boleh terpisah walaupun sedikit. Oleh itu semua perkataan, perbuatan, amalan, tulisan, arahan, gagasan, perancangan maka tidak boleh lari  dengan ajaran Islam yang ditanzilkan oleh Allah SWT melalui Rasulullah SAW.

BERKEMPEN adalah salah satu aktiviti kehidupan manusia hari ini iaitu ketika manusia sedang berusaha untuk menonjolkan atau menyokong pemimpin, mencari sokongan rakyat, menunjukkan ketokohan diri atau mempromosikan kebaikan parti atau organisasi maka ianya tidak boleh langsung terkeluar daripada adab-adab Islam .

Jika kita ketandas atau ketempat tidur ada doa dan adab-adabnya maka apakah ketika kita hendak berkempen dan memilih pemimpi, kita bebas daripada adab-adab dan peraturan yang ditetapkan oleh Islam?

Adakah kita boleh menggunakan apa cara sekali pun, termasuk memfitnah, mengumpat , mengutuk, maki hamun , mengupah gengster membuat kacau dalam kita menjalankan kempen dan mengadakan rapat-rapat umum?

Jawabnya pasti tidak boleh kerana dalam Islam kita tidak boleh menggunakan kaedah "Matlamat menghalalkan cara". Jika cara itu haram dan berdosa Islam melarang kita menggunakan walaupun matlamatnya baik .
Seorang mukmin akan sentiasa menjaga akhlak dan adab sopan dan kehidupannya. Akhlak dan kesopanan adalah pakaian seorang mukmin sejati. Justeru, dalam kempen pilihan raya bukannya masa untuk kita menanggalkan akhlak dan adab sopan.

Antara anggota badan yang paling banyak digunakan dalam kempen pilihan raya adalah lidah untuk tutur bicara. Calon dan penyokong parti akan menggunakan lidah untuk berkempen dan menarik sokongan dan kepercayaan pengundi dengan manifesto dan janji-janji yang akan ditunaikan sekiranya diberi peluang untuk memenangi pilihanraya

Sahabat yang dimuliakan,
Majoriti ahli politik dunia termasuk di negara kita menggunakan idealogi dan falsafah politik Nicholo Machiavelli yang terang dan jelas bertentangan dengan roh Islam dan adab-adabnya.
Nicholo Machiavelli merupakan seorang ahli falsafah Itali. Beliau telah berkhidmat selama 14 tahun dengan kerajaan Itali sebagai setiausaha kerajaan. Terkenal dengan bukunya yang masyhur The Prince. Sebuah buku yang membicarakan ideologi dan falsafah politik menurut sisi pandang Nicholo Machiavelli.

Falsafah politik Machiavelli adalah falsafah pengalaman peribadinya yang bersifat saintifik dan empirikal yang berdasarkan suasana kekacauan politik pada zaman Renaissance. Dalam bukunya, beliau menggariskan beberapa panduan berpolitik untuk kerajaan.

Antara falsafah beliau, untuk sesebuah kerajaan mengekalkan kuasa, maka para menterinya haruslah mengabaikan pertimbangan moral sepenuhnya dan menaruh segala keyakinan terhadap kekuatan dan kepintaran menipu. Dalam tulisan Machiavelli, beliau banyak menceritakan sejarah kerajaan terdahulu seperti kerajaan Yunani dan Rom yang memusatkan kepada kuasa sebagai tunggak pemerintahan.

Machiavelli juga mengatakan kerajaan perlu bijak mengaburi mata rakyat dengan menyuap rakyat dengan hiburan, pertunjukan seni dan sukan bagi melalaikan mereka. Bagi Machiavelli, MATLAMAT MENGHALALKAN CARA, tidak kira caranya baik atau buruk.

Machiavelli menyatakan nilai–nilai buruk yang perlu dimiliki oleh seorang pemimpin adalah seperti sifat kedekut, melakukan kejahatan dan tidak takut kepada kutukan rakyat. Walaubagaimanapun sifat pemurah perlu ditunjukkan kepada rakyat seperti mengadakan ‘rumah terbuka’ dengan menggunakan duit rakyat, demi meraih sokongan dan pujian rakyat.

Machiavelli menambah, seorang pemimpin juga patut menonjolkan sifat hipokrit dalam kehidupan hariannya. Dia harus berpura-pura menonjolkan nilai baik dalam dirinya terutama sifat pemurah, jujur, berperikemanusiaan, baik budi dan alim. Machiavelli berkata seorang pemimpin itu tidak perlu memiliki semua sifat baik tetapi ‘seakan-akan memiliki sifat baik’ kerana manusia akan hanya menilai berdasarkan apa yang dilihat sahaja daripada apa yang mereka rasa.

Doktinnya The end justifies the mean. Ertinya , dalam mencapai dan mengukuhkan kuasa, seseorang pemimpin itu hendaklah mengukur antara manfaat tindakan yang baik dan tindakan yang buruk. Jika perlu memperolehi kuasa, maka tindakan buruk perlu DIUTAMAKAN. Demi kepentingan kuasa politik, kerajaan diharuskan menggunakan sebarang cara untuk merealisasikan matlamatnya.

Sahabat yang dihormati,
Apakah cara-cara kempen yang beretika dan berakhlak yang dibenarkan oleh Islam?
Terdapat beberapa cara yang boleh digunakan oleh orang mukmin ketika dia berceramah, berkempen dan mencari sokongan rakyat.  

Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

1. Jauhkan ucapan berbentuk maki hamun, mengutuk dan mendedahkan aib seseorang secara peribadi.

Ketika berkempen (berceramah atau rapat umum) lidah perlulah dikawal dengan sebaik-baiknya kerana peribadi seorang muslim tidak akan berkata perkara dusta, memfitnah, berbohong atau menokok-tambah keaiban seseorang yang tidak ada pada dirinya.

2. Jauhi memfitnah dengan menyebarkan gambar-gambar palsu (super impose), VCD seks palsu, menuduh berzina atau liwath (dalam Islam perlu bawa 4 orang saksi yang adil) dan edaran risalah-risalah berbentuk dakwaan semata-mata. (perlu diingat bahawa setiap satu tuduhan jika tak benar akan bertanggungjawab di hari akhirat ).

Janganlah  menuduh dalam sesuatu yang tak pasti. Hukumnya boleh jatuh dalam kategori dosa fitnah yang dosanya lebih besar dari membunuh.

3. Mendedahkan kesalahan seorang pemimpin yang rasuah dan ada bukti-bukti yang kukuh tidak dilarang kerana orang ramai perlu tahu akhlak seorang pemimpin yang hendak dipilih. Contohnya : ada bukti berbentuk dokumen, transasi kewangan, perjanjian jual beli dan sebagainya. 

4. Sebaik-baiknya mereka yang dicaci atau difitnah perlu mendiamkan diri daripada membalas cacian. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Diam itu adalah suatu hukum dan amat sedikit orang yang melakukannya." (Hadis riwayat Abu Mansurad-Dailani daripada Ibn Umar)

5. Mendedahkan kelemahan pemerentahan lama dan mencadangkan cara pemerentahan baru yang lebih telus dan adil tidak salah dan berikan bukti-bukti kelemahan dan akibat yang ditanggung oleh rakyat kerana salah tadbir dan salah laku pemimpin. Bukti perlu dalam bentuk lapuran audit, lapuran pegawai kewangan dan lapuran pakar luar negara.

6. Tidak salah mewar-warkan kebaikan yang telah dibuat oleh pemimpin kepada rakyat untuk memberi kebajikan kepada rakyat, dengan syarat kebaikan itu telus dan bukan untuk berbangga-bangga. 

7. Mengemukakan menipesto yang lebih baik dan berjanji untuk melaksanakan jika berkuasa tidak dilarang kerana setiap niat dan kebaikan yang dirancang adalah salah satu tuntutan Islam.

Sahabat yang dikasihi,
Dekati pengundi dengan akhlak yang baik, dengan budaya timur yang menghormati satu sama lain dan memahami kehendak satu sama lain.

Jentera parti mesti memahami bahawa politik itu merupakan salah satu kaedah untuk mengajak masyarakat ke arah kebaikan, bukan untuk mendapatkan kuasa memerintah semata-mata.Kempen yang bersih dan tidak mengandungi caci-maki dan kutuk mengutuk kepada calun lawan adalah akhlak yang terpuji dan  merupakan sifat orang mukmin yang bertanggungjawab dan mengajak rakyat untuk melakukan kebaikan.

Semua rakyat yang cintakan keadilan dan kehidupan perlulah sentiasa kekal dengan akhlak dan adab-adab Islam. Jadikanlah kempen dan pertandingan dalam pilihan raya umum ini merupakan peluang yang paling baik untuk kalian melakukan perubahan dalam masyarakat dan memilih pemimpin yang benar-benar bercirikan Islam dalam akhlak dan kehidupannya, bukannya pemimpin yang hanya mabuk kuasa dan tetap mahu berkuasa walaupun menggunakan cara Machiavelli iaitu matlamat menghalalkan cara. Waullahualam.


Tertawa di Dunai Dan Menangis di Akhirat

 
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Untuk menghisab diri, kurangkanlah ketawa dan perbanyakkan menangis. Dalam satu hadis, Nabi SAW. bersabda : "Banyak ketawa dan bergelak-gelak itu mematikan hati". 

Banyak tertawa menjadikan hati semakin ...malap dan tidak berseri. Lampu hati tidak lagi bersinar dan akhirnya terus tidak menyala. Hati tidak berfungsi lagi. Nabi Muhammad SAW. melarang umatnya dari bergelak ketawa yang melampaui batas. Menurut hadis, banyak ketawa menghilangkan akal dan ilmu. 

Barangsiapa yang ketawa berdeka-dekah, akan hilang satu pintu dari pintu ilmu. Kenapa dilarang ketawa berdekah-dekah ? Dalam keadaan suka yag keterlaluan, hati kita lalai dan lupa suasana akhirat dan alam barzakh yang bakal kita tempuhi kelak. Sedangkan dahsyatnya alam tersebut tidak dapat dinukilkan dalam sebarang bentuk media. Kita sedang menuju ke satu destinasi yang belum tentu menjanjikan kebahagiaan abadi. Sepatutnya kita berfikir, bagaimana kedudukan kita di sana nanti, samada berbahagia atau menderita sengsara. 

Berbahagia di dunia, bersifat sementara tetapi di akhirat berpanjangan tanpa had. Penderitaan di dunia hanya seketika tetapi azab di akhirat, berterusan dan berkekalan. 

"Tertawa-tawa di masjid menggelapkan suasana kubur". Demikian ditegaskan oleh Nabi SAW. Kita sedia maklum, kuburan yang bakal kita duduki dalam tempuh yang panjang. Kita keseorangan dan kesunyian tanpa teman di dalam kubur. 

Kubur adalah samada satu pintu ke syurga atau neraka. Betapa dalam kegelapan di sana, kita digelapkan lagi dengan sikap kita yang suka ketawa terbahak-bahak. Nabi SAW. pernah bersabda : "Barangsiapa tertawa-tawa, nescaya melaknat akan dia oleh Allah (Al-Jabbar). Mereka yang banyak tertawa di dunia nescaya banyak menangis di akhirat". 

Sahabat yang di hormati,
Dalam hadis yang lain, Nabi SAW. bersabda maksudnya : "Barangsiapa banyak tertawa-tawa, nescaya meringankan oleh api neraka". Maksudnya mudah masuk neraka. Kita tidak dilarang untuk menunjukkan perasaan suka terhadap sesuatu. Cuma dilarang berterusan bergembira dengan ketawa yang berlebihan. 

Sebaik-baik cara bergembira adalah seperti yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW. Baginda tidak ketawa terbahak-bahak tetapi hanya tersenyum menampakkan gigi tanpa bersuara kuat. Para sahabat pernah berkata : "Ketawa segala Nabi ialah tersenyum tetapi ketawa syaitan itu tergelak-gelak"

Nabi SAW melarang seseorang membuat cerita dusta supaya orang lain ketawa.
Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Celakalah orang yang berbicara lalu mengarang cerita dusta agar orang lain tertawa. Celakalah!” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Membuatkan orang lain senang hati adalah termasuk dalam amal kebajikan dan Rasulullah SAW juga selalu berjenaka dengan ahli keluarga dan para sahabat baginda.  Namun begitu bergurau mempunyai adab-adab tertentu yang telah digariskan oleh Islam seperti berikut :

1. Tidak menjadikan aspek agama sebagai bahan jenaka seperti mempersendakan sunnah Rasulullah SAW .

2.Gurauan tersebut bukan merupakan cacian atau cemuhan seperti memperlekehkan orang lain dengan menyebut kekurangannya.

3. Gurauan itu bukan ghibah (mengumpat) seperti memburukkan seseorang individu dengan niat hendak merendah-rendahkannya.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita jauhi bergurau senda dan gelak ketawa secara berlebih-lebihan kerana terlalu banyak ketawa dan bergurau senda boleh mematikan hati dan melupakan kehidupan di hari akhirat. Kita masih dibolehkan bergurau senda tetapi secara sederhana dan apa yang diguraukan bukan perkara dusta yang dibuat-buat atau bertujuan mengambil perhatian orang lain.

Tuesday, April 10, 2012

Beramal Dan Berjuang Kerana Untuk Pujian Manusia Tidak Di Terima Oleh Allah.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap amalan perlulah dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT bukan kerana ingin dipuji dan disanjung oleh manusia. Manusia yang berjuang kerana asyabiah atau kerana kepentingan suku kaum termasuk perjuangannya di kira kerana manusia bukan kerana Allah SWT. Perjuangan seperti ini akan ditolak oleh Allah SWT seperti kisah seorang pejuang Perang Uhud bernama Qazman yang berjuang untuk menaikkan bangsa Arab bukan untuk ISLAM , maka matinya dikira mati jahiliah.

Dalam sirah Nabi SAW menerusi kisah kematian Qazman; seorang yang menyamar sebagai muslim, berjuang bersama-sama dengan para sahabat. Sedangkan hatinya menyertai para sahabat hanyalah bertujuan mendapat jolokan pejuang yg berjiwa bangsa Arab untuk menjaga kepentingan Yathrib. Penyertaannya hanyalah untuk dipuji orang. Akhirnya beliau telah berjaya membunuh ramai musuh yg menyerang Madinah.

Walau bagaimanapun, Nabi SAW. agak keberatan menyebut kematiaanya sebagai salah seorang syuhada. Akhirnya Nabi SAW. dengan tegas mengatakan dia mati sebagai seorang kafir yg tidak diterima usahanya sedikit pun di sisi Allah. Kenyatan nabi ini disokong oleh seorang sahabat yg menyaksikan bahawa Qazman ini telah membunuh dirinya sendiri dengan pedang yang dimiliki kerana kesakitan daripada luka yg dialaminya dlam perang Uhud ini.

Ini amat berbeza dengan keadaan seorang lagi perajurit Islam dalam kalangan sahabat bernama Usayrim r.a yg memeluk Islam agak lambat. Walau bagaimanapun beliau telah menjejaki syurga dengan ketelusannya beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Nabi SAW. pernah bersabda yg bermaksud:"Usayrim ialah ahli syurga walaupun tempoh keislamannya amat pendek dan beliau belum pernah solat walaupun satu rakaat."

Kedua-dua personaliti ini berbeza kerana Qazman adalah suatu gambaran manusia yang menderita seperti pengembara yg mengharapkan kewujudan air di tempat yg amat payah menemuinya, sedangkan Usayrim r.a ialah seorang bertaraf sahabat yg menyahut panggilan fitrah dalam dirinya, lantas menyertai Nabi SAW. walaupun belum sempat berbuat apa2 amalan termasuk solat.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita sama-sama bermuhasabah dan perbetulkan segala niat, amalan dan perjuangan kita dimuka bumi ini perlulah berlandaskan ISLAM yang tulin dan murni dan jangan bercampur aduk dengan amalan-amalan jahiliah supaya amalan kita  diterima oleh Allah SWT.


Monday, April 9, 2012

Hawa Nafsu Menarik Manusia Ke Neraka...

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda:”Neraka dilingkari oleh hal-hal yang menarik hawa nafsu sedangkan syurga dilingkari oleh hal-hal yang tidak disenangi.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa jalan-jalan yang boleh menjerumuskan seseorang itu ke dalam neraka adalah perkara-perkara menarik hawa nafsu. Sebaliknya pula jalan menuju ke syurga adalah jalan yang sukar dan bertentangan dengan hawa nafsu manusia. 

Ingatlah hawa nafsu sentiasa mendorong manusia kepada keseronokan dan kebahagian yang menipu, melupakan manusia bahawa seksaan dan azab sengsara menanti manusia di hari akhirat akibat maksiat dan dosa yang dilakukan ketika di dunia. Hawa nafsu dan bisikan syaitan seiringan menjadikan manusia lupa diri dan lupa bahawa hidup di dunia ini adalah sementara waktu sahaja bukannya tempat yang kekal abdi.

Sedangkan iman, takwa dan akhlak yang baik adalah ciri-ciri ahli syurga yang hanya mampu dimiliki oleh orang-orang mukmin pilihan Allah SWT .

Sahabat yang dimulikan,
Pertentangan di antara kebenaran dan kebatilan sebenarnya adalah satu sunnah di dalam kehidupan manusia. Setiap perkara yang menjurus kepada nafsu sentiasa mendorong manusia untuk melakukannya sedangkan perkara yang mengajak kepada syurga sentiasa ada halangan dan rintangannya. Itulah yang dinamakan cabaran iman.

Allah SWT memberi khabar gembira terhadap orang-orang yang sanggup mengorbankan gelora hawa nafsunya demi untuk berbakti di jalan Allah SWT bahawa mereka nanti akan diberi ganjaran syurga yang penuh dengan kemewahan dan kenikmatan.

Kekuatan iman itu akan tetap terpelihara dengan sebaik-baiknya apabila wujudnya nilai-nilai istiqamah di dalam hati dan sabar adalah kunci kekuatan tersebut. Ia menjadikan manusia dapat bertahan daripada dipengaruhi oleh sebarang hasutan yang menarik diri mereka kepada neraka atau dengan lain perkataan kesabaran itu merupakan ubat yang paling pahit tetapi paling mujarrab untuk seseorang itu sampai ke syurga.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita jaga iman , hubungan hati kita kepada Allah SWT dan akhlak Islam yang mulia, untuk menjadi contoh dan ikutan kepada orang lain. Orang mukmin tidak akan mudah dipengaruhi hawa nafsu amarah sebaliknya  orang fasik dan munafik akan mudah dipengaruhi oleh hawa nafsunya sendiri di tambah pula dengan bisikan dan godaan syaitan. Oleh itu untuk kita terpilih menjadi penghuni syurga seluas langit dan bumi perlulah bersabar dengan godaan  dan tarikan dunia dan sanggup bersusah payah di dunia ini semata-mata mencari reda dan rahmat Allah SWT.