Saturday, April 14, 2012

Segeralah Bertaubat Kepada Allah SWT Jika Melakukan Kesalahan dan Dosa

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Seorang mukmin akan merasakan dosa-dosa yang telah dilakukan walaupun kecil seperti gunung yang akan menghempap dirinya lantas dia terus beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT. Tetapi orang fasik dan munafik akan merasakan bahawa dosa-dosa itu umpama lalat yang menghingapi hidungnya hanya dengan menepisnya sahaja dengan tangannya.

Sifat orang mukmin akan cuba tidak mengulagi dosa-dosa yang sama berulang kali setelah dia bertaubat kepada Allah SWT. Jika terlanjur juga dia akan cepat-cepat beristighfar dan menyesali apa yang telah dilakukannya.

Bagaimana cara untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama? Terdapat empat perkara jika diamalkan akan dapat mengelakkan untuk mengulagi  kesalahan yang sama.

Beberapa tindakan yang mampu dilakukan untuk mengelak diri daripada mengulangi kesalahan yang sama untuk kedua kalinya. Antara langkah-langkah itu adalah:
 
Pertama : Segera bertaubat untuk memotong mata rantai dosa dan mengiringi perbuatan dosa dengan kebaikan yang akan menghapuskan dosa.

Rasulullah bersabda maksudnya : “Seandainya kamu melakukan perbuatan dosa sehingga dosa –dosamu mencapai setinggi langit, kemudian kamu bertaubat nescaya Allah akan mengampuninya (menerima taubatmu)”. (Hadis Riwayat Baihaqi)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersanda maksudnya : “Seorang yang bertaubat dari suatu dosa seakan-akan tidak pernah memiliki dosa.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah).
 
Sabda Nabi SAW maksudnya : “Apabila kamu berbuat dosa, maka lakukanlah kebaikan (untuk menghapuskannya.” (Hadis Riwayat Baihaqi)
 
Kedua : Mengukuhkan azam untuk memperbaiki diri.

Penyebab utama seseorang menjadi lemah di hadapan dosa-dosa adalah kerana ketiadaan atau lemah tekad untuk menghidarinya sehingga mudah untuk melakukan dosa secara berulang kali.

Firman Allah dalam Surah Thaha ayat 115 yang bermaksud: "Dan Sesungguhnya Telah kami perintahkan [*] kepada Adam dahulu, Maka ia lupa (akan perintah itu), dan tidak kami dapati padanya kemauan yang kuat."

[*] perintah Allah Ini tersebut dalam ayat 35 surat Al Baqarah yang bermaksud:

"Dan kami berfirman: "Hai Adam, diamilah oleh kamu dan isterimu syurga ini, dan makanlah makanan-makanannya yang banyak lagi baik dimana saja yang kamu sukai, dan janganlah kamu dekati pohon ini[**], yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang zalim."

[**] pohon yang dilarang Allah mendekatinya tidak dapat dipastikan, sebab Al Quran dan Hadist tidak menerangkannya. ada yang menamakan pohon khuldi sebagaimana tersebut dalam surat Thaha ayat 120, tapi itu adalah nama yang diberikan syaitan.
 
Ketiga : Mencari lingkungan yang kondusif (suasana yang baik) untuk membaiki diri. Apabila berada di kalangan orang yang baik-baik maka orang akan rasa malu untuk melakukan dosa.

Itulah hikmah orang yang membunuh 100 orang dianjurkan untuk berhijrah ke tempat lain yang didiami oleh orang yang baik-baik dan rajin beribadah kepada Allah SWT.

Keempat : Memohon perlindungan daripada Allah SWT dan memperbanyakkan zikir. Seorang perlu memohon perlindungan Allah SWT daripada gangguan syaitan.

Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa bila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, Maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya." (Surah al-Araf ayat 201)

Diantara sifat orang mukmin yang mendapat kelazatan iman ialah sentiasa menyedari bahawa maksiat adalah cabang kepada kekufuran. Kekufuran akan menyebabkan ia tercampak ke dalam neraka.

Sabda Rasulullah maksudnya :  “Ada tiga sifat, barangsiapa yang pada dirinya terdapat 3 sifat ini, ia akan merasakan kelazatan iman: .... ia membenci untuk kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkan dirinya dari kekafiran sebagaimana ia membenci apbila dilemparkan ke dalam api neraka.” (Hadis Riwayat Muttafaqun ‘Alaih).

Hendaklah kita mempelajari segala hal yang berkaitan dengan dosa dan akibat buruk serta negatif daripada perbuatan dosa tersebut agar berwaspada dan menjauhkan diri daripada dosa berkenaan.

Seorang mukmin yang cerdas ialah orang yang mengambil pengajaran daripada kesalahan diri sendiri. Tetapi lebih cerdas lagi jika mengambil pengajaran daripada perbuatan atau kesalahan orang lain agar tidak melakukan kesilapan atau kesalahan yang sama.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita memperbaiki diri dan sentiasa bermuhasabah di atas kesalahan dan dosa-dosa yang telah kita lakukan. Jangan dilambat-lambatkan bertaubat kerana kita tidak mengetahui bila saatnya kita akan meninggal dunia. Alangkan bahagiannya jika kita kembali kepada Allah SWT dalam keadaan kita telah bertaubat kepada-Nya.

No comments: