Friday, September 24, 2010

Bersahabat Kerana Allah.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap manusia yang waras perlu kepada sahabat yang akan bersama-samanya semasa susah dan senang.Keperluan kepada sahabat adalah fitrah manusia. Rasulullah s.a.w sendiri mempunyai sahabat-sahabat yang setia, yang sentiasa bersama-sama baginda di dalam menjalankan kerja-kerja dakwah dan tarbiyah, bermula di Mekkah dan seterusnya di Madinah hingga tertegaknya Daulah Islamiyah di Madinah.

Kita juga perlu kepada sahabat, melalui sahabatlah kita akan mendapat menyelesaikan berbagai-bagai masaalah yang kita hadapi.Sahabat adalah penasihat utama kita, bila penasihat itu baik, maka jadi baiklah kita, begitu juga apabila penasihat itu tidak baik maka akan berlaku sebaliknya.

Dari Abu Hurairah r.a sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :"Seseorang itu atas agama (perjalanan) sahabatnya, maka hendaklah seseorang kamu memerhatikan siapa harus di pilih menjadi sahabat."
(Hadis Riwayat Abu Daud, At-Tarmizi dan al-Hakim)

Berdasarkan hadis di atas Rasulullah menyatakan bahawa apabila kita ingin mencari sahabat maka hendaklah cari sahabat yang mempunyai asas agama, iaitu sahabat yang mempunyai asas budi pekerti dan akhlak yang baik, tidak fasik, tidak terlalu mementingkan hal-hak keduniaan sahaja. Jika dia seorang ahli agama maka kita juga akan menjadi ahli agama. Jika sebaliknya kita memilih sahabat yang suka kepada maksiat kita juga akan terdorong untuk melakukan maksiat.

Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w juga mengajarkan kepada kita agar bersahabat dengan orang yang dapat memberikan kebaikan dan sering menasehati kita.

“Seseorang yang duduk (berteman) dengan orang soleh dan orang yang jahat adalah bagaikan berteman dengan pemilik minyak wangi dan tukang besi. Jika engkau tidak dihadiahkan minyak wangi olehnya, engkau boleh membeli darinya atau sekurang-kurangnya dapat baunya. Adapun berteman dengan tukang besi, jika engkau tidak mendapati badan atau pakaianmu hangus terbakar, paling kurang engkau dapat baunya yang tidak elok.”
(Hadis Riwayat Imam al- Bukhari dari Abu Musa.)

Ibnu Hajar Al Asqolani mengatakan, “Hadis ini menunjukkan larangan berteman dengan orang-orang yang dapat merusak agama maupun dunia kita. Dan hadis ini juga menunjukkan dorongan agar bergaul dengan orang-orang yang dapat memberikan manfaat dalam agama dan dunia."
(Fathul Bari, Ibnu Hajar Al Asqolani)

Itulah pentingnya bergaul dengan orang-orang yang baik akhlaknya. Oleh kerana itu, sangat penting sekali mencari persekitaran yang baik dan mencari sahabat atau teman dekat yang semangat dalam menjalankan agama sehingga kita pun boleh mendapat aroma kebaikannya. Jika persekitaran atau teman kita adalah baik, maka ketika kita lemah, ada yang selalu menasehati dan mengingati kita kepada kebaikan.

Sahabat yang dimuliakan,
Firman Allah s.w.t yang bermaksud :"Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran,"(Surah Al-Kahfi ayat 28)

Berdasarkan ayat di atas terdapat tiga pengajaran yang boleh kita ambil :

1.Bersahabatlah dengan orang-orang yang sentiasa beribadat kepada Allah dan mengharap keredhan-Nya.

2.Jangan menjauhi diri dari orang-orang ahli ibadat, semata-mata kerana mengejar kesenangan dunia.

3.Jangan bersahabat dengan orang-orang fasik serta mematuhi dan mengikut perbuatannya.

Ulama' Salaf ada memberi pesanan :"Carilah banyak sahabat, kerana sesungguhnya tiap-tiap mukmin itu mempunyai syafaat.Maka semuga engkau dapat masuk ke dalam syafaat sahabatmu. Orang-orang beriman dan beramal soleh dapat memberi syafaat (pertolongan) kepada sahabat-sahabatnya dan membawa masuk kedalam Syurga. Dikatakan juga , apabila Allah s.w.t. mengampunkan dosa seseorang, maka orang tersebut akan dapat memberi syafaat kepada sahabat-sahabatnya."

Banyak hadis-hadis Nabi s.a.w yang menjelaskan ciri-ciri sahabat yang baik.Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :"Barangsiapa menutup rahsia saudaranya, nescaya Allah akan menutup rahsianya di dunia dan akhirat."(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

"Janganlah kamu bermusuh-musuhan, jangan benci-membenci, jangan dengki-mendengki, jangan berputus hubungan antara satu sama lain, dan jadilah kamu sekalian sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara."
(Hadis Riwayat Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Do'a seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain kerana Allah dalam tempat yang berjauhan diterima oleh Allah s.w.t."
(Hadis Riwayat Muslim)

Termasuk sahabat yang berjauhan adalah sahabat-sahabat di dalam blog. Walaupun kita berjauhan dan perkenalan melalui alam maya tetapi jika persahabatan kita kerana Allah, saling nasihat menasihati, lengkap melengkapi dan berkongsi ilmu yang bermanfaat insya Allah kita semua akan termasuk di dalam hadis ini. Teruskanlah persahabatan ini dan jika kita ada permasaalahan berbincanglah bersama-sama dan carilah jawapannya mengikut ajaran Islam nescaya kita akan mendapat keredhaan Allah s.w.t di dunia dan akhirat. Do'a-do'a kalian kepada sahabat-sahabat kalian yang lain mustajab disisi Allah s.w.t.

Terdapat banyak ciri-ciri lain yang di gariskan oleh ulama'-ulama' muktabar yang boleh kita jadikan peduman untuk kita memilih dan mencari sahabat-sahabat yang baik :

1.Boleh diharapkan untuk menjaga harta kita

2.Bila kita sakit dia ziarah

3.Bila kita sibuk dia beri bantuan

4.Bila kita lupa dia ingatkan kita

5.Bila kita bercakap dia beri perhatian

6.Dia menjaga lidahnya dari berkata yang menyakitkan hati

7.Dia mendo'akan kita bila berdo'a

8.Dia menepati janjinya bila berjanji

9.Bila tersilap dia sentiasa beri maaf

10.Bila kita susah dia membantu

Kita bersahabat dengan sahabat yang baik adalah semata-mata kerana Allah s.w.t kerana sahabat kita bukan setakat di dunia sahaja tetapi dia akan menjadi sahabat kita di hari akhirat.Di dalam Al-Quran Allah s.w.t. ada menceritakan kisah ahli-ahli Syurga bertemu dan berbincang sesama mereka, mereka adalah sahabat-sahabat yang baik dan sentiasa taat pada Allah semasa di dunia.

Sahabat,
Al-Qamah berpesan kepada puteranya :"Wahai anakku! Kiranya engkau merasakan perlu bersahabat, maka pilihlah sifatnya yang berikut:

1.Jika engkau membuat bakti kepadanya, ia akan melindungimu.

2.Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, ia akan membalas baik persahabatanmu.

3.Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya berupa wang dan sebagainya, ia akan membantumu.

4.Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, ia akan menerima dengan baik.

5.Jika ia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripadamu, ia akan menghargai dan menyebut kebaikanmu.

6.Jika ia melihat yang tidak baik daripadamu, ia akan menutupnya.

7.Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, ia akan mengusahakannya.

8.Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), ia akan menanyakan kesusahanmu.

9.Jika datang suatu bencana menimpa dirimu, ia akan meringankan kesusahanmu (membuat sesuatu untuk menghilangkan kesusahan itu).

10.Jika engkau berkata kepadanya, nescaya ia akan membenarkanmu.

11.Jika engkau merancang sesuatu, nescaya ia akan membantumu.

12.Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya ia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan."

Dari itu wahai sahabat-sahabatku,  pilihlah sahabat-sahabatmu yang memiliki akhlak yang mulia dan berkasih sayang semata-mata kerana Allah seperti yang dinyatakan ciri-cirinya seperti diatas. Semoga kalian berbahagia di dunia dan akhirat.

Thursday, September 23, 2010

Keistimewaan dan Kebaikan Hari Jumaat

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hari Jumaat adalah hari hari besar di sisi Allah dan dikhususkan bagi umatnya. Ini jelas daripada Firman Allah yang bermaksud : "Apabila diseru untuk bersembahyang pada hari Jumaat maka segeralah kamu mengingati Allah serta tinggalkan jual beli. Inilah yang lebih baik bagi kamu sekiranya kamu mengetahui".
(Surah Jumaah ayat 9)

Dalam ayat itu, Allah melarang manusia bekerja dan berusaha untuk kepentingan dunia sebaik ia mendengar seruan azan solat Jumaat. Larangan ini menggambarkan bahawa menunaikan fardu Jumaat penting dan wajib dikerjakan.

Dalam hadis lain Rasulullah mengatakan hari Jumaat adalah hari yang besar disisi Allah. Ia lebih besar daripada Aidilfitri dan Aidiladha.

Pada hari Jumaat kita disunatkan pergi ke masjid awal,sekurang-kurangnya sebelum tergelincir mata hari. Ini kerana pada setiap hari Jumaat, Allah mengutus malaikat berdiri di pintu masjid untuk mencatat nama mereka yang masuk. Apabila khatib naik ke mimbar, berhentilah mereka mencatatnya.

Dalam perjalanan ke masjid kita hendaklah dalam keadaan khusyuk dan merendahkan diri. Apabila berada dalam masjid, janganlah melangkah kepala orang untuk kesaf hadapan atau berjalan di sisi mereka. Jika hendak duduk di saf hadapan, kita hendaklah datang awal kerana Rasulullah melarang keras melangkah kepala orang. Apabila masuk masjid, hendaklah kita solat dua rakaat tahayattul masjid walaupun pada masa itu khatib sedang berkhutbah.

Sebaik-baiknya hendaklah ia solat di tiang yang terdekat dengannya supaya orang ramai tidak lalu di hadapannya ketika ia sedang solat. .Ketika imam berkhutbah, kita hendaklah  mendengar nasihat dan tunjuk ajar yang disampaikan. Anggaplah nasihat itu untuk diri kita dan berazamlah untuk melaksanakan segala nasihat tersebut.

Jangan sekali-kali berkata-kata atau bercakap dengan teman ketika imam berkhutbah. Larangan ini jelas daripada sabda Rasulullah yang bermaksud:"Sesiapa yang berkata kepada temannya sedangkan imam masih berkhutbah: Dengarlah! Maka dia telah lalai, dan barang siapa yang lalai pada waktu imam sedang berkhutbah maka tiada Jumaat baginya."
(Hadis Riwayat Ibn Majah)

Setiap hari-hari dalam Islam mempunyai kelebihan masing-masing. hari Jumaat adalah hari yang paling istimewa daripada hari-hari lain. Terdapat enam keistimewaan hari Jumaat iaitu :

1. Berlakunya hari kiamat.

Jumaat merupakan hari yang selalu dikaitkan dengan berlakunya hari kiamat. Dalam suatu hadis riwayat Muslim, Nabi s.a.w. bersabda maksudnya : “Pada hari Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.”

Sabda Nabi s.a.w. maksudnya : "Pada hari itu kiamat akan terjadi dan tidaklah seorang pun malaikat muqarrabun pun di sisi Allah Azzawajalla melainkan ia takut pada hari Jumaat, (tetapi) tidak langit dan tidak bumi melainkan ia merasa kasih pada hari Jumaat”.
(Hadis Riwayat  Ibnu Majah dan  Al-Baihaqi)

 2. Nabi Adam diciptakan dan dia juga disingkirkan dari Syurga.

 Hari Jumaat memang istimewa. Hari ini nabi Adam a.s. diciptakan, dan hari ini jugalah baginda diturunkan daripada Syurga. Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah bersabda, maksudnya : “Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah Jumaat, pada hari itulah, Adam a.s. diciptakan dan pada hari itulah juga dia dikeluarkan dari Syurga.”

 3. Penghulu segala hari.

 Jumaat ini adalah hari yang sangat-sangat istimewa kerana agama kita sendiri yang meletakkan Jumaat itu ketua dan lebih sedikit ganjarannya berbanding hari-hari yang lain. Dalam suatu hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud: “Jumaat di namakan sebagai ‘Saidul aiyam’ iaitu penghulu segala hari (hari yang sebaik hari).”

Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud : “Hari yang dijanjikan ialah hari kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat.

 4. Selamat dari fitnah kubur bagi yang mati pada hari Jumaat.

 Daripada Abdullah bin Amr berkata sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud : “Tidak seorang Muslim yang mati pada hari Jumaat atau pun malam Jumaat, melainkan diselamatkan Allah  daripada fitnah kubur.” (Hadis Riwayat Tarmizi)

Jadi, sama-samalah kita berdo'a moga-moga Allah memilih kita di kalangan manusia-manusia yang diberikan kelebihan oleh Allah s.w.t.

 5. Kebaikan menjaga kebersihan dan memotong kuku.

Sebelum menunaikan fardu Jumaat, kita disunatkan mandi walaupun waktu solat telah hampir. Disunatkan juga mencukur kepala, memotong kuku, memendekkan misai, memakai wangi-wangian dan mengenakan pakaian yangsebaik-baiknya. Ibnu Masud berkata, “Sesiapa yang memotong kuku pada hari Jumaat, Allah akan menyembuhkannya daripada penyakit dan memberikannya keselamatan.”

 6. Makbulnya do'a di antara dua khutbah.

Majoriti ulama'  berpendapat bahawa makbulnya do'a yang dibaca di antara dua khutbah, iaitu ketika imam sedang duduk antara khutbah pertama dan khutbah kedua.

Daripada Abu Hurairah r.a. telah meriwayatkan : Rasulullah s.a.w telah bersabda :
"Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. sedang membicarakan tentang hari Jumaat, dan baginda bersabda: Padanya (hari Jumaat) terdapat suatu saat yang tidak ditemui oleh seorang hamba (Allah) yang muslim dengan dia mendirikan solat sambil memohon kepada Allah akan sesuatu, melainkan apa yang dipohonkannya itu diberikannya kepadanya. Dia mengisyaratkan dengan tangannya yang diangkatkan".
(Hadis Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

“Pada hari itu terdapat suatu masa di mana seorang hamba Mukmin apabila meminta (berdo'a) kepada Allah sesuatu kebaikan melainkan Allah memakbulkan do'anya atau ia meminta Allah melindunginya daripada sesuatu kejahatan melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan.”
(Hadis riwayat Tarmizi).

Abi Burdah bin Abi al-Amusa al-Asy’ari r.a berkata bahawa beliau pernah mendengar bahawa Abdullah bin Umar r.a pernah mendengar bahawa Rasulullah pernah menjelaskan bahawa waktu yang paling mustajab itu adalah waktu antara imam duduk di atas mimbar sehingga solat selesai didirikan.

Sahabat yang dimuliakan,
Solat Jumaat dua rakaat yang difardukan ke atas umat Islam membuktikan hari itu adalah semulia hari yang perlu ambil manfaat untuk mendapatkan ganjaran Allah daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.

Rasulullah bersabda maksudnya :
“Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta."

“Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu."

“Barang siapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas."

“Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam , " dan

"Sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.”

Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan dalam buku kehadiran malaikat.

Umat Islam juga dituntut membuat persediaan sebelum menghadiri solat Jumaat untuk mendapat fadilatnya, termasuk dalam berwuduk, mandi sunat dan tertib ketika menghadiri solat Jumaat.

Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya  : “Sesiapa berwuduk lalu memperelokkan wuduknya, kemudian mendatangi solat Jumaat, terus mendengar dan berdiam diri, tidak berbicara sama sekali, maka diberi tambahan tiga hari lagi.

“Sesiapa yang memegang kerikil untuk dimainkan sehingga tidak memperhatikan isi khutbah, sesungguhnya dia telah melakukan kelalaian, yakni bersalah.”

Hadis di atas membuktikan bahawa Islam memberi penekanan terhadap perlunya makmum menumpukan kepada khutbah yang disampaikan. Isi kandungannya khutbah perlu diteliti bukan hanya sebagai sumber ilmu, malah mencakupi teguran, pembinaan hidup dan nasihat yang berguna.

Daripada Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Jika seseorang antara kalian mendatangi solat Jumaat, maka hendaklah mandi dulu.” (Muttafaq ‘alaih)

Daripada Samurah, diriwayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda: “Sesiapa yang berwuduk pada Jumaat, maka dengan keringanan itu, bolehlah dilakukan tanpa mandi tetapi mandi itu adalah lebih utama.”
(Hadis riwayat Imam Abu Daud dan Tarmizi).

Ada banyak hadis dan riwayat mengenai kelebihan hari Jumaat. yang bertujuan menceritakan ganjaran yang perlu direbut oleh umat Islam antaranya adalah :
 
1.Orang yang meninggal dunia pada hari Jumaat akan terlepas soal jawab kubur hingga hari kiamat.
 
Daripada Abdullah bin Amr r.a. berkata : Rasululah s.a.w. telah bersabda maksudnya :
"Tidaklah daripada seorang Muslim yang mati pada hari atau malam Jumaat, melainkan dia dipelihara Allah daripada fitnah kubur".
 (Hadis Riwayat Tarmizi)
      
2. Sesiapa yang membaca surah Ali Imran pada hari Jumaat, maka Allah dan malaikat mendo'akan kebaikan ke atasnya sehingga matahari terbenam pada hari itu.
  
Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abi Said Al-Khudri bermaksud: “Sesiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, Allah menerangi hidupnya antara dua Jumaat.”

3. Waktu solat subuh membaca surah al-Sajdah dan surah Al-Insan.
   
4. Selesai solat Jumaat : Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, An-Naas 

5. Memperbanyakkan doa, zikir dan selawat

Firman Allah Dalam Al-Quran maksudnya :
"Sesungguhnya Allah dan para malaikat telah berselawat ke atas nabi. Wahai orang-orang yang beriman, ucapkanlah selawat dan salam yang sempurna ke atasnya (nabi)".
(Surah Al-Ahzab, ayat 56)

6. Sesiapa membaca Surah Yassin pada malam Jumaat, Allah mengampunkan dosa kecil yang dilakukan, demikian menurut hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah.

7. Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abi Khatadah, bermaksud:  "Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seolah-olah dirinya bersih hingga Jumaat akan datang."

8. "Mereka yang mendirikan solat Jumaat antara satu Jumaat ke satu Jumaat berikutnya, maka Allah mengkifaratkan atau mengelakkan dia daripada terbabit dosa besar."

9. "Mereka yang berdo'a dengan penuh keikhlasan hati pada Jumaat, mudah dimakbulkan Allah."



Wednesday, September 22, 2010

Umar Mukhtar- Tokoh Gerakan Islam Abad Ke 20.

Umar Mukhtar adalah ‘Hero’ umat Islam, yang sememangnya pernah wujud. Bukan lagenda, bukan khayalan seperti filem Rambo. Bukan cerita The Last Samurai. tetapi Umar Mukhtar sememangnya hero yang benar-benar wujud suatu ketika dahulu, menjadi pejuang Islam ketika itu. Siapa Umar Mukhtar?
‘Umar al Mukhtar – Lion of The Desert

Melangkah sejenak ke tahun 1892, kita menyingkap sejarah tentang kelahiran seorang bayi serba daif di sebuah kampung pada zaman pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah. Selepas ayahnya meninggal dunia pada usianya 16 tahun, anak muda ini diletakkan di bawah asuhan dan perhatian seorang syeikh (guru) di antara syeikh-syeikh yang ada di kampung beliau.
 
Berkat didikan Syeikh tersebut, lama kelamaan beliau mula mengamalkan cara hidup Islamiyyah di mana beliau hanya tidur selama 3 jam setiap malam agar mudah bagi beliau untuk bangun bersembahyang pada sepertiga malam. Tidak cukup sekadar itu, beliau juga gemar membaca ayat-ayat suci Al-Quran hingga fajar menyinsing. Walaupun menghadapi pelbagai kesukaran sepanjang hidupnya, beliau berjaya menghafaz Al-Quran, dan mengulanginya dengan lengkap setiap tujuh hari.
 
Keberanian dan kebijaksaan beliau memang dikenali di setiap pelusuk daerah. Malah, beliau menjadi ikutan dan contoh kepada orang ramai pada ketika itu. Bukti keistimewaan beliau terserlah pada ketika beliau berkafilah (berdagang) ke Sudan semasa beliau masih muda. Ditakdirkan Tuhan, seekor singa telah menghalang kumpulan kafilah-kafilah ini daripada memasuki satu laluan sehingga mereka terpaksa mengubah hala mereka kerana takut akan si singa tadi. Untuk menyelamatkan diri, ada yang terpaksa mengorbankan unta mereka sebagai percubaan terakhir untuk melepaskan diri, walaupun unta pada ketika itu merupakan salah satu harta yang berharga buat mereka.
Beliau yang mengetahui tentang ancaman singa berkenaan, lantas tampil untuk cuba meleraikan kekecohan. Tidak seperti kafilah-kafilah lain yang buntu mencari jalan penyelesaian, beliau tangkas menunggang kudanya bersama senapang beliau dan memburu singa tersebut. Sejurus kemudian, beliau mengejutkan kumpulan-kumpulan kafilah tadi apabila pulang dengan membawa kepala singa berkenaan. Mereka sangat bersyukur akan pengorbanan yang dilakukan beliau dan sejak dari itu lah beliau digelar ”Singa Cyrenaica”
 
Dibesarkan dengan ajaran agama dan diserapkan dengan nilai-nilai keberanian seorang pahlawan, telah memberi impak yang hebat buat beliau. Akhlak dan karisma yang dimiliki bukan hanya memberi kesan pada kaum, negara dan bangsanya, malah kepada umat Islam sedunia selepas zaman penjajahan.
 
Apabila umur beliau menjangkau lingkungan 20-an, beliau semakin dikenali berikutan kematangan dan kehandalan beliau dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang ditimbulkan suku bangsa beliau pada ketika itu. Pandangan serta nasihat beliau didengari oleh setiap penduduk kampung tidak kira di mana beliau berada. Kesopanan dan tata tertib yang dipamerkan dalam sikapnya yang disenangi ramai, memang cukup disegani. Kepetahan beliau tatkala berbicara, susunan ayat yang teratur, membuatkan orang ramai tertarik untuk mendengar ucapan mahupun ceramah yang disampaikan beliau. Keunikan inilah yang menjadi aset untuk beliau menyatukan puak-puak pada ketika itu di samping memudahkan usaha beliau untuk mengumpul kumpulan perang bagi melawan penjajah-penjajah yang datang untuk mengambil alih pemerintahan pada ketika itu.
 
Pada usia beliau 30an, bermulalah zaman penjajahan yang mula berkembang ke seluruh pelusuk dunia. Fenomena ini telah membayangi kehidupan beliau untul tampil bertindak. Pada ketika dunia dirosakkan oleh anasir-anasir Eropah, beliau bangkit mempertahankan kedaulatan Islam dengan semangat kentalnya. Beliau bersama-sama dengan satu kumpulan bernama Banu Sanus, yang selepas itu dikenali dgn nama Sanusi, menentang penjajahan Perancis tanpa rasa takut walau sedikit pun. Mereka juga pernah menentang penjajah-penjajah Inggeris yang diselubungi rasa tamak dan haloba untuk menakluki tanah air mereka.
 
Apabila Itali bersekongkol dengan negara-negara Eropah yang lain dalam membuat kacau-bilau di hemisfera selatan dengan menjajah Afrika Utara, beliau yang ketika itu sudah pun menjangkau usia 50-an, mula mengumpulkan pejuang-pejuang bagi menentang penjajahan di tanah air mereka, Libya.
 
Itali yang mula resah akan tindakan berani beliau dan pengikut-pengikutnya, mula mengatur strategi dengan cuba untuk merasuah beliau agar menyerah diri, dan menerima tawaran mereka untuk mentadbir dengan jawatan tinggi dalam kerajaan, selain menjanjikan harta kekayaan buat beliau. Taktik kotor mereka ditolak mentah-mentah. Kata-kata beliau terhadap mereka ketika itu yang amat terkenal berbunyi..”Saya bukannya orang yang mudah dipengaruhi. Betapa kuat cabaran dan desakan mereka untuk mengubah pendapat dan kepercayaan saya, Allah tidak akan mengizinkannya.”
 
Gagal dengan strategi pertama, Itali mula menggunakan taktir kotor kedua mereka dengan menggesa beliau supaya meninggalkan bandar kediamannya, dan berpindah ke bandar yang lain, berhampiran dengan pusat pemerintahan kerajaan. Tidak cukup dengan itu, mereka juga cuba menawan hati beliau dengan menawarkan gaji bulanan yang tinggi supaya beliau akur dengan kehendak mereka. Walaubagaimanapun, sekali lagi usaha mereka gagal apabila beliau menolak dengan berkata, ”Tidak! Aku sesekali tidak akan meninggalkan tanah airku sehinggalah tiba waktunya aku bertemu Tuhanku. Ajal adalah perkara yang paling hampir denganku berbanding yang lain. Aku menunggunya setiap waktu.”
 
Keazaman dan kesungguhan beliau untuk menentang penjajahan walaupun pada usia 70-an telah berjaya membakar semangat bangsa dan kaum beliau untuk terus berjuang walaupun menderita. Beliau berikan mereka harapan dan keyakinan bagi menentang bala tentera penjajah yang jauh lebih ramai daripada pejuang-pejuang mereka sendiri. Di kala pihak penjajah dilengkapi alat-alat kelengkapan perang serba moden dan canggih, pejuang-pejuang ini tabah menahan lapar dan dahaga berbekalkan hanya senjata dan kuda-kuda mereka. Selepas kedudukannya kukuh, golongan Ummah mula mengelilinginya. Beliau berjaya menyerang bangsa Itali pada tempat kelemahan mereka. Beliau menyerang balas dengan tegas dan pantas terhadap golongan penjajah yang menyangka menguasai tanah orang Islam dan menindas mereka merupakan suatu kerja yang mudah.
 
Seorang pejuang yang berusia 90-an dari oasis Jalu, Abu Karayyim, merupakan salah seorang sahabat yang setia berjuang bersama beliau di selatan pedalaman. Walaubagaimanapun, kesukaran mendapatkan bekalan makanan menyebabkan kebanyakan daripada mereka kelaparan dan diserang penyakit. Ekoran itu, semakin berkuranglah bilangan pejuang-pejuang mereka bagi menentang Itali. Mengetahui situasi ini, askar-askar Itali telah mengambil kesempatan dengan membakar dan merompak kampung-kampung. Kaum wanita, warga tua, dan kanak-kanak tidak terkecuali dalam perbuatan jijik mereka. Atas desakan hidup, mereka terpaksa ditempatkan di kem-kem tahanan kerana tiada pilihan lain.
 
Muhammad az-Zaway, seorang pahlawan yang dulunya pernah bersama beliau memerangi tentera Perancis, cuba memujuk beliau untuk berundur ke Mesir dengan pejuang-pejuang yang lain. Tetapi beliau enggan untuk menyerah kalah walaupun mengetahui bahawa peluang beliau semakin tipis untuk mengalahkan musuh yang boleh menghapuskan beliau dalam sekelip mata dek kerana bilangan mereka yang semakin bertambah dari semasa ke semasa.
 
Bila ditanya, mengapa beliau masih setia berjuang, beliau menyatakan yang beliau berjuang kerana agama dan beliau tidak sanggup untuk melihat pihak musuh menduduki tanah airnya. Beliau akan terus menentang dan menentang kezaliman, tidak kira sama ada menang atau kalah. Yang pasti, kejayaan datang hanya dari Allah swt. Beliau juga menolak untuk mengadakan perundingan damai dengan pihak penjajah dengan menyatakan bahawa ’mereka tidak mempunyai apa-apa melainkan untuk melawan musuh-musuh Allah.’
 
Selepas mengharungi beberapa peperangan yang tidak terkira banyaknya, akhirnya beliau tewas juga di tangan musuh. Di akhir peperangan tersebut, tinggal hanya beliau serta salah seorang pengikut setianya yang masih teguh berdiri di medan perang. Tangan dan kaki mereka dirantai dan dibawa ke bandar yang bernama Suluq di mana kubu tentera Italy berpusat.
 
Pejuang yang dihormati ini percaya bahawa Jihad adalah disyariatkan pada setiap umat Islam sekiranya tanah air mereka dikuasai penjajah. Dengan semangat yang berkobar di dalam jiwanya, di samping keberanian dan sifat kesungguhan yang tinggi, menyebabkan beliau dihormati dan disegani oleh sesiapa saja termasuklah musuh-musuh beliau sendiri.
 
Pegawai tentera yang menyoal siasat beliau berkata, “Apabila beliau tiba sampai ke pejabat saya, beliau kelihatan seperti seorang daripada beribu murabiteen yang saya lihat di medan perang padang pasir. Tangan beliau dirantai. Tulangnya patah akibat perang tetapi beliau memaksa dirinya berjalan dalam keadaan derita kesakitan. Beliau tidak seperti tawanan lain yang biasa ditangkap sebelum ini. Beliau berdiri di dalam pejabat saya dan menjawab segala soalan yang kami kemukakan dengan suara yang tenang dan jelas. Apabila beliau mahu mula beredar, tampak mukanya yang kelihatan bercahaya membuat saya terpegun dan terkejut. Terketar bicara saya di akhir perbualan kami semasa saya mengarah beliau kembali ke sel penjaranya sebelum upacara pengadilan di mahkamah pada sebelah petangnya.”
 
`Umar Al-MukhtĂąr, ditahan oleh tentera Itali
 
Beliau adalah seorang lagenda yang tetap teguh pada agamanya walaupun teruk ditentang. Bilamana menteri-menteri dan ketua-ketua negara beliau yang lain menyerah diri begitu saja kepada Itali serta menyelamatkan diri sendiri dengan berpindah ke negara lain, beliau tanpa ragu-ragu tetap berjuang mempertahankan Islam dan tanah air daripada terus dijajah. Salah seorang ulama dari kalangan Sanusi, yang pernah bertarung bersama beliau menentang Perancis dan British, gagal menghantar bantuan kepada beliau tepat pada masanya. Malah, ramai di kalangan ulama-ulama ini sanggup berpaling tadah dengan menggadaikan tanah orang Islam bagi memperoleh belas simpati, gaji bulanan, serta bebas dari cukai pendapatan. Sikap seumpama inilah yang sering kita lihat pada sesetengah umat Islam yang belot pada hari ini.
 
Berlawanan dengan tindakan kebanyakan orang Islam pada waktu itu, beliau mengeluarkan sebuah Al-Qur’an, dan bersumpah dengan nama Allah s.w.t. bahawa beliau akan terus menentang golongan penjajah, biarpun secara berseorangan mahupun sehingga syahid. Dalam 20 tahun terakhir hidupnya, beliau telah memimpin dan berjuang dalam 1000 peperangan.
 
`Umar Al-MukhtĂąr bersedia untuk syahid

Apabila Ketua Panglima perang Itali menawarkannya peluang terakhir untuk hidup di bawah pemerintahannya, dengan syarat beliau mesti mematuhi segala arahannya, beliau menjawab, “Aku tidak akan berhenti menentang kamu, sehinggalah kamu meninggalkan tanah airku, atau sehinggalah aku mati. Dan aku bersumpah kepada Allah Yang Maha Mengetahui sesuatu di dalam hati manusia, jikalau bukan kerana tanganku diikat sebegini, nescaya aku akan tetap melawanmu dengan tangan kosong, biarpun dalam keadaan yang tua dan cedar sebegini.”
 
Pada waktu itulah, Ketua Panglima perang itu ketawa, sambil mengarahkan supaya beliau digantung, selepas mengadakan sebuah perbicaraan ‘olok-olok’ yang direka untuk menjaga maruah kerajaan Itali. Walaupun perbicaraan untuk beliau masih belum bermula, tali gantung telah pun disediakan untuk beliau di luar mahkamah.
 
Penggantungan beliau telah disaksikan oleh ratusan puak pada tahun 1931. Namun demikian, kerjaan Itali tidak berjaya dalam usaha mereka untuk menakutkan golongan orang Islam. Bahkan, yang sebaliknya pula yang terjadi. Kematian beliau telah menggoncang jiwa umat Islam seluruh dunia, dan dari situlah pelbagai penentangan bermula, terutamanya di Utara Afrika.
 
Semoga Allah meninggikan darjatnya di syurga.
 
Orang-orang Itali yang berjiwa kotor telah mengambil gambar mayat beliau yang diikat, sambil dikelilingi oleh panglima-panglima perang yang tersenyum puas bersama mereka-mereka yang riang gembira dengan kematian beliau. Tanpa disedari mereka, kematian di tangan musuh demi memperjuangkan hak Allah inilah yang sebenarnya menjadi idaman setiap orang Islam sejati.
 
Syahid di tali gantungan
 
Pejuang unggul ini, tidak lain dan tidak bukan, adalah Omar Al Mukhtar, dan cerita tentang keperwiraannya akan kekal sehinggalah ke hari kiamat, insyaAllah. Dengan darahnya, beliau telah membawa cerita kejayaan, beliau telah menjadi lagenda di kalangan lagenda, dan beliau telah menjadi teladan untuk mereka yang ingin hidup dengan maruah Islam yang dihormati, walaupun pada saat-saat ditindas.
 
Golongan yang menyerah kalah dan para ilmuan yang telah berpihak kepada kerajaan Itali tidak dibunuh ataupun dipenjarakan. Mereka mati dalam keadaan biasa’ dan mugkin di dalam keadaan mewah dan selesa, di bawah perlindungan golongan penjajah Itali. Naumn demikian, kematian mereka tidak membawa sebarang erti. Dan, Neraka Jahanam adalah tempat bagi mereka yang bersekongkol dengan golongan penjajah yang kafir. Omar Al Mukhtar hidup dan berjuang demi Islam sepanjang hayatnya. Beliau diikat, dipenjarakan, dan dihukum gantung. Namun, cerita keperwiraannya kekal berterusan, dan insyaAllah, Syurga adalah tempat bagi mereka yang syahid.

Omar Al Mukhtar terikat kepada Allah s.w.t, bergantung hidup padaNya, dan sentiasa menerima takdir Ilahi. Beliau telah meminta daripada Allah s.w.t. untuk mati syahid, dan itulah yang telah beliau capai, InsyaAllah.

Siapakah pula Umar Mukhtar Abad ini ? Kita menunggu kemunculannya atau cuba menjadi sepertinya?


(Di petik daripada tulisan Ramli bin Abd Rahim)

Sedekah Boleh Meredakan Kemurkaan Allah di Dunia dan Akhirat

Sahabat yang dimuliakan,
Nabi s.a.w pernah ditanya oleh seorang Arab Desa :
"Apakah yang meredakan kemurkaan Allah di dunia dan akhirat"
Nabi s.a.w. menjawab " Sedekah dalam keadaan sembunyi (tidak diketahui) dan menghubungkan kasih sayang."
(Hadis Riwayat Khalid bin Al-Walid r.a.)

Berdasarkan hadis ini sedekah mempunyai pengaruh yang cukup besar untuk meredakan kemurkaan Allah s.w.t. samaada di dunia dan hari akhirat.

Dalam hadis yang lain Allah s.w.t.  memilih dikalangan hamba-Nya yang bersedekah secara bersembunyi-sembunyi hingga tangan kirinya tak mengetahui apa yang diberikan tangan kanannya akan mendapat perlindungan Allah s.w.t. di hari kiamat nanti yang mana ketika itu tidak ada perlindungan lain melainkan perlindungan daripada-Nya.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dalam satu hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Ibn Hibban telah menceritakan satu kisah bahawa sedekah dua keping roti kepada orang miskin yang kelaparan lebih berat timbangannya daripada dosa berzina. Sedangkan pahala beribadah selama 60 tahun tidak dapat menampung beratnya dosa berzina.

Diriwayatkan daripada Abu Dzar r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

"Salah seorang ahli ibadah pada zaman Bani Israil selalu beribadah kepada Allah di rumah ibadah selama 60 tahun.

Suatu ketika, hujan turun dengan lebatnya sehingga bumi menjadi subur menghijau. Kemudian, ahli ibadah itu keluar dari rumah ibadahnya sambil berbisik, 'Sekiranya aku turun dari tempatku ini dan memperbanyakkan mengucap zikir tentulah kebaikanku berubah.'

Lalu ia turun dari penempatannya dengan membawa satu atau dua keping roti. Ketika ia berjalan-jalan, tiba-tiba ia bertemu dengan seorang perempuan. Lalu ia mula-mula berbual-bual dengan perempuan tersebut. Akibat terlalu asyik berbual dengan perempuan itu, ahli ibadah tadi diperdaya oleh syaitan menyebabkannya tertidur lalu berzina dengannya.

Lelaki ahli ibadah itu akhirnya telah pengsan. Kemudian apabila sedar daripada pengsan itu ia terjun ke tasik berdekatan untuk mandi. Pada masa itu datang seorang peminta sedekah yang melarat, meminta daripadanya sebahagian daripada bekalannya itu. Ahli ibadah itu menghulurkan kepadanya roti yang di bawanya. Kemudian lelaki ahli ibadah itu pun dicabut nyawanya oleh Allah s.w.t.

Pahala amal ibadah yang dikerjakan selama 60 tahun itu ditimbang dengan dosa perbuatan zinanya, ternyata dosa zinanya lebih berat. Kemudian satu atau dua keping roti yang diberikan kepada peminta sedekah telah ditimbang dengan amal kebaikan lelaki ahli ibadah tersebut. Hasilnya menyebabkan berat amalan kebaikannya bertambah, maka dosa lelaki tersebut diampuni Allah."

(Hadis Riwayat Ibn Hibban)

Sahabat yang dihormati,
Salah satu cara untuk mengubati penyakit fizikal adalah dengan bersedekah. Semua penyakit yang dihidapi oleh manusia adalah datang daripada Allah s.w.t. kebagai kafarah dosa-dosa manusia kepada-Nya. Penyakit ini adalah ujian Allah kepada manusia supaya ia sedar akan kesalahan dan dosa-dosanya. Penyakit juga adalah sebagai ujian kesabaran dan untuk menginsafkan manusia untuk kembali meningati Allah.  Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “Ubatilah penyakit kamu dengan bersedekah.”
(Hadis Sahih al-Targhib)

Sabda Nabi s.a.w. maksudnya : "Bentengilah hartamu dengan zakat, ubati orang-orang sakit (darikalanganmu) dengan Bersedekah dan persiapkan do'a untuk menghadapi datangnya bencana."
(Hadis Riwayat: Imam Ath-Thabrani)

Jangalah ditangguh-tangguh untuk bersedekah, janganlah menunggu sudah kaya baru hendak bersedekah. Ringan-ringakanlah tangan kalian untuk menghulurkan sedekah walaupun hanya seringgit. Lakukanlah setiap hari tanpa memikirkan rugi dan kekurangan wang kerana sesungguhnya berkat wang seringgit itu akan dilipat gandakan rezeki oleh Allah s.w.t. di jalan yang tiada disangka-sangka. Ingatlah bahawa sesungguhnya tidak akan berkurangan harta yang disedekahkan.

Sedekah boleh memanjangkan umur seseorang, melindungi dari bahaya dan musibah, serta menolak su’ul khatimah (kematian yang buruk) dan dapat menghapuskan sifat sombong, takbur dan membanggakan diri.

Sedekah mampu memberikan pengaruh yang luar biasa kepada orang yang menunaikannya. Salah satu manfaat sedekah adalah ia memelihara seseorang dari segala macam bahaya dan musibah.

Dari Amru bin Auf r.a katanya Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya :“Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk (su'ul khatimah) dan Allah s.w.t. pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya).”
(Hadis Riwayat Bukhari)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :“Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (su’ul khatimah).”
(Hadis Riwayat al-Turmuzi)

Perbanyakkanlah sedekah semoga kita dan ahli keluarga dipanjangkan umur oleh Allah s.w.t. dan kita terselamat daripada kemalangan, bala atau musibah dan dijauhi daripada su'ul khatimah (kematian yang buruk)

Satu kisah di zaman Nabi Sulaiman a.s. bagaimana seorang petani dapat terselamat dari musibah dibunuh oleh jin kerana mengambil anak-anak burung dikebunnya semata-mata kerana ia telah bersedekah dengan memberi makanan kepada seorang miskin yang kelaparan secara kebetulan datang kekebunnya. Apabila jin tersebut hendak menangkap dan membunuh petani tersebut, malaikat telah menghalangnya dan menangkap jin tersebut dan dicampakkan ditempat lain. Kehadiran malaikat tersebut adalah kerana kebaikan sedekah yang telah dilakukan olehnya sebagai hikmah dan kebaikan yang besar.

Bersesuaianlah dengan hadis Nabi s.a.w yang bermaksud : “Setiap hari dua malaikat akan turun ke bumi. Berkata salah seorang dari mereka : ‘ Ya Allah gantikanlah harta orang yang bersedekah pada jalan-Mu.’ Berkata pula malaikat yang seorang lagi : ‘Ya Allah, binasakanlah harta orang yang menahan hartanya daripada disedekahkan."
(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sabda Nabi s.a.w. maksudnya : "Barangsiapa ingin do'anya terkabul dan dibebaskan dari kesulitannya hendaklah dia mengatasi menyelesaikan) kesulitan orang lain."
(Hadis Riwayat: Imam Ahmad)

Rasulullah saw bersabda maksudnya : “Berdekahlah walaupun segantang korma, walaupun sebagian dari segantang, walaupun segenggam korma, walaupun sebiji korma, walaupun separoh korma. Barangsiapa yang belum mendapatkannya maka bersedakahlah dengan ucapan yang baik. Kerana sesungguhnya kamu akan menjumpai Allah dan Dia akan bertanya kepadamu: ‘Apakah Aku belum berbuat sesuatu untukmu? Apakah Aku belum menciptakan pendengaran dan penglihatan untukmu? Apakah Aku belum mengkaruniakan padamu harta dan anak? Kamu tentu akan menjawab: Tidak (semuanya sudah). Kemudian Allah s.w.t berfirman: ‘Lihatlah apa yang telah kamu lakukan pada dirimu. Kemudian ia akan melihat apa yang telah ia lakukan, ia melihat ke depan dan ke belakang, ke kanan dan ke kiri. Maka saat itulah ia tidak akan mendapatkan sesuatu pun yang dapat menjaga wajahnya dari api Neraka.”

Sahabat,
Berdasarkan hadis-hadis di atas dapat disimpulkan beberapa kebaikan bersedekah yang dilakukan ikhlas semata-mata kerana  Allah s.w.t. :

1. Sedekah dapat meredakan kemurkaan Allah s.w.t. di dunia dan akhirat.

2. Sedekah akan mendapat perlindungan Allah di Padang Mahsyar.

3. Pahala sedekah lebih berat timbangannya berbanding amal ibadah selama 60 tahun.

4. Sedekah dapat pengampunan Allah s.w.t kerana dosa melakukan zina.

5. Sedekah boleh mengubati penyakit fizikal.

6. Sedekah boleh memanjangkan umur seseorang.

7. Sedekah boleh melindungi bahaya dan musibah.

8. Sedekah boleh menolak kematian yang buruk (su'ul khatimah)

9. Sedekah boleh menghapuskan sifat sombong, takbur dan membanggakan diri.

10. Sedekah akan mendapat do'a daripada malaikat rahmat.

11. Sedekah boleh menyebabkan do'a dimakbulkan Allah s.w.t. dan bebas daripada kesulitan.

12. Sedekah boleh terselamat daripada siksaan api Neraka.
· · Share

Air Mata Yang Paling Berharga

Nur Husrah's Photos - ~CINTAKU NUR HUSRAH~

*BARANG SIAPA BERBUAT DOSA SAMBIL KETAWA,ALLAH AKAN MELEMPARKANNYA KE NERAKA DALAM KEADAAN MENANGIS.DAN BARANG SIAPA MENTAATI ALLAH SAMBIL MENANGIS,ALLAH AKAN MEMASUKKANNYA KE SYURGA DALAM KEADAAN KETAWA*

Tuesday, September 21, 2010

Suami Yang Bertanggungjawab

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

 Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dimuliakan,

Pembentukan rumahtangga yang didasari dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. akan menjamin lahirnya kasih sayang, keharmonian dan iklim pendidikan yang sihat di dalam pelbagai aspek. Inilah suasana yang subur untuk melahirkan dan membesarkan anak-anak ke arah pertumbuhan yang sihat dari segi roh, akal dan jasmani. Di samping anak-anak, dengan wujudnya suasana seperti ini, ibu bapa di dalam rumahtangga itu juga akan terselamat dari dipengaruhi oleh gejala-gejala yang tidak baik. Justeru itu, ajaran Islam akan dapat dilaksanakan atau disempurnakan. Benar sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :"Sesiapa yang berkahwin bererti beliau telah menyempurnakan sebahagian dari agama (deen)nya, maka beliau hendaklah bertakwa kepada Allah pada sebahagian yang lain yang masih tinggal."

Dari rumahtangga yang bahagia inilah akan melahirkan Baitul Muslim iaitu rumahtangga Islam. Al-Imam Hasan Al-Banna ada berkata, "Tegakkanlah negara Islam dalam diri kamu sebelum menegakkan negara Islam dalam masyarakat kamu."

Sahabat yang dirahmati Allah,
Perkahwinan yang bahagia dan aman damai adalah cita-cita dan idaman setiap pasangan. Untuk mencapai kebahagiaan, setiap pasangan perlulah mengikut jalan-jalan yang telah pun ditunjukkan oleh Allah dan Rasul.

Sekiranya masing-masing dapat menjalankan setiap tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah itu adalah baik dan sempurna, mereka akan berjaya di dalam melayari bahtera perkahwinan.

Namun, di antara tanggungjawab itu, ada yang berat dan ada yang ringan. Cuma pasangan yang terdidik dengan ajaran Islam akan mudah melaksanakan tanggungjawab yang berat ini.

Di antara tanggungjawab seorang suami terhadap isterinya ialah :

1.Menjadi pemimpin kepada keluarganya.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :"Setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab ke atas pimpinannya. Seorang Imam adalah pemimpin dan bertanggungjawab ke atas rakyatnya. Seorang suami adalah pemimpin dan bertanggungjawab ke atas keluarganya."

2.Mengajar ilmu yang wajib (fardhu ain).

Ibnu Abbas berkata : "Berilah pengertian agama kepada mereka (isteri dan anak-anak) dan pelajaran akhlak yang bagus kepada mereka."

Yang dikatakan ilmu fardu ain adalah :
a.Ilmu Tauhud ; MengEsakan Allah s.w.t., yang dengannya dapat diketahui Zat dan Sifat-sifat-Nya.
b.Ilmu Feqah ; Mengetahui cara-cara beribadah, halal dan haram, bersuci dan sebagainya.
c.Ilmu Tasauf ; Mengenal hal ehwal hati, sifat-sifat mazmumah dan mahmudah, dan sebagainya.

Sekiranya suami tidak mampu mengajar ilmu fardu ain, hendaklah dia menyuruh isterinya belajar daripada guru.

3.Menyediakan makan minum, tempat tinggal dan pakaian dari sumber yang halal.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :"Kewajipan seorang suami ialah menyediakan makanan, pakaian, tidak boleh memukul mukanya dan tidak boleh memperolok-olokkannya dan tidak meninggalkannya kecuali pada tempat tidur (waktu isteri menderhaka)."

Kata ulama' : "Sekali suami membeli pakaian yang dapat mengembirakan isterinya dari sumber yang halal, Allah memberi ganjaran pahala kepadanya tujuh puluh tahun."

4.Memberi nafkah zahir dan batin.

Nafkah zahir dan batin yang perlu di berikan kepada isteri adalah mengikut kadar keperluan masing-masing dengan secukupnya. Sekiranya nafkah ini mencukupi dan sempurna, kedua-dua pasangan akan merasa tenang dan nikmat rumahtangga.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :"Sesungguhnya apabila seorang lelaki bersetubuh dengan isterinya, baginya dicatat pahala (kerana persetubuhan itu) seperti pahala anak lelaki yang mati syahid dalam medan peperangan menegakkan agama Allah."

5.Memberi nasihat dan teguran .

Sekiranya isteri dan anak-anak melakukan maksiat dan kesalahan, maka ia mestilah memberi nasihat yang baik dengan hikmah dan lemah lembut.

Firman Allah s.w.t.yang bermaksud :"Dan mereka sekelian (isteri-isteri) telah mengambil suatu perjanjian yang berat dari kamu."(Surah an-Nisa' ayat 20)

"Pergaulilah mereka dengan cara yang baik."(Surah an-Nisa' ayat 183)

Sahabat yang dirahmati Allah,
Di dalam Al-Qur'an dan hadis Nabi SAW. terdapat beberapa tugas dan tanggungjawab suami yang soleh, yang perlu di laksanakan untuk melahirkan rumahtangga yang bahagia. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :
1. Bertanggungjawab dalam memimpin rumahtangga.

2. Mempergauli isteri dengan baik dan halus.

3. Memberi makan dan pakaian yang secukupnya.

4. Tidak memperolok-olok atau merendahkan isterinya.

5. Mengarahkan atau mengingatkan isterinya dengan nada yang lembut.

6. Bersabar di atas tingkahlaku isteri yang tidak menyenangkan.

7. Mengajar isteri akan agama (deen) dan hukum-hukumnya (fekah).

8. Wanita-wanita yang kamu khuatiri nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah dari tempat tidur mereka dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah mencari-cari jalan untuk menyusahkannya.

9. Menahan pandangan.

10. Memelihara kemaluannya.

11. Tidak kedekut atau terlalu bermewah-mewah dalam memberi nafkah makan minum, pakai, tempat tinggal serta perabut untuk anak dan isteri.

12. Kasih sayang, mesra serta sentiasa mengambil berat tentang mereka.

13. Tidak terburu-buru dalam menerima fitnah (pengaduan) serta bertindak segera tanpa usul selidik dahulu.

14. Tidak gemar memandang perempuan-perempuan yang lain.

15. Tidak minum arak, berjudi, merokok dan tidak suka buang masa dengan kerja sia-sia.

16. Jujur serta sentiasa menepati janji terhadap anak dan isteri.

17. Sentiasa menjaga kebersihan diri zahir dan batin.

18. Cemburu dalam hal-hal yang mendatangkan maksiat terhadap dirinya, anak dan isterinya.

Oleh itu setiap lelaki yang beriman perlulah melengkapkan dirinya dengan ilmu Islam, akhlak yang mulia dan hati yang bersih dan hidup, supaya setiap tanggungjawab di atas dapat di laksanakan dengan baik dan sempurna.

Tugas dan tanggungjawab yang besar ini mestilah dilaksanakan dengan hati yang sabar dan ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t., sentiasalah berdoa setiap lepas solat, memohon semuga Allah s.w.t. memberi kebahagiaan di dunia dan akhirat dan menyelamatkan diri kita, isteri dan anak-anak dari seksa api Neraka yang bahan bakarnya dari manusia dan batu.

Tanggongjawab Anak Kepada Kedua Ibu Bapa

Sahabat yang dikasihi Allah,
Dari mana asal kita?Tidak lain dari keturunan ibu dan bapa.Begitulah satu renungan besar yang mesti terpahat di dalam sanubari.Betapa susahnya si ibu membawa kandungan berbulan-bulan, saat melahirkan penentuaan antara hidup dan mati, menyusukan dan membesarkan dan mendidik kita, bapa pula bersusuh payah mencari rezeki dan menyara keluarga. Terlalu besar jasa dan pengorbanan mereka berdua dan kita tidak akan mampu membalasnya.

Abu Laith Samarqandi meriwayatkan bahawa datang seorang pemuda berkata kepada Rasulullah s.a.w, "Ya Rasulullah, ibu saya sakit di tempat saya, maka sayalah yang memberi makan dan minum. Tangan sayalah yang mewudhukkan mereka, mengangkat di atas bahu saya. Apakah dengan itu terbalas jasa-jasa mereka?"

Jawab Nabi s.a.w yang bermaksud, "Belum satupun dari jasa-jasa mereka! Cuma kau telah berbuat baik, dan Allah akan memberi pahala yang besar terhadap amal kau yang sedikit itu."

Sahabat yang dimuliakan,
Untuk menjadi anak yang soleh dan solehah, kita semestinya berbakti semaksima mungkin kepada kedua ibu dan bapa. Hormatilah dan dengarlah nasihat mereka, sekiranya pilihan hati kita tidak direstui oleh ibu bapa , utamakanlah pendapat mereka kerana keredhan Allah bergantung kepada keredhaan ibu bapa. Janganlah menjadi anak yang derhaka, sesungguhnya anak yang derhaka tidak akan mencium bau Syurga.

Nabi s.a.w. pernah bertanya kepada para sahabat sebanyak tiga kali: “Mahukah aku memberitahu kalian tentang dosa yang paling besar?” Maka mereka (para sahabat) pun menjawab: “Sudah tentu wahai Rasulullah.” Baginda menjelaskan: “Syirik kepada Allah, derhaka kepada ibubapa (perawi menerangkan bahawa baginda ketika itu duduk sambil bersandar, lalu menyambung) dan sumpah yang palsu.”
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Lihatlah bagaimana dosa menderhaka kepada ibubapa ini diletakkan dalam satu kategori bersama dosa mensyirikkan Allah s.w.t. iaitu dosa yang paling keji di atas muka bumi ini. Di sisi lain Allah s.w.t.. berfirman maksudnya : “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukannya Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa.”
(Surah al-Nisaa’ ayat 36)

Di dalam ayat ini setelah Allah memerintahkan hamba-Nya untuk mengtauhidkan-Nya dan mengerjakan ibadat kepada-Nya, Allah s.w.t. turut menyuruh hamba-hamba-Nya agar menjaga kedua ibu bapa mereka dengan baik. Dalam ertikata lain seseorang itu tidak dianggap memiliki kemantapan iman serta ibadatnya juga belum dianggap sempurna selagi dia tidak berbuat baik kepada orang tuanya.

Keredhaan Allah s.w.t. terhadap hamba-Nya juga bergantung kepada bagaimana seseorang itu menjaga hal ehwal ibu bapanya.

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya :“Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.”  (Hadis riwayat al-Tirmidzi )

Firman Allah s.w.t.yang bermaksud :"Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun;(dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)."
(Surah al-Luqman ayat 14)

Berurusanlah dengan mereka dengan berendah hati untuk mengelak membantah dengan suara keras. Membentak sekalipun dengan satu perkataan umpama 'cis' menguris hati mereka. Tanyalah mana-mana orang tua dan mula lemah anggota kerana ketuaan, bantahan anak memang memilukan hati. Hati orang tua cukup sensitif.

Allah menjadikan orang tua lazimnya bersifat pengasih dan penyayang, lebih-lebih lagi orang tua yang sangat manis beribadat. Mereka suka melihat kelakuan anak yang sopan terhadap mereka, mengambil berat tentang mereka, dan menjadi kawan bicara mereka. Tugas seumpama itu tidak berat. Usahlah kesibukan membuat kita abaikan mereka. Jika berjauhan seringkalilah hubungi mereka melalui telefon tanya khabar, walaupun hanya dua tiga patah perkataan sebenarnya boleh mengembirakan hati ibu bapa. Bila ada masa lapang ambillah cuti dan ziarahlah mereka, sesungguhnya apabila kita membuat hati ibu dan bapa gembira menyebabkan Allah meredhai hidup kita.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :"Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan do'akanlah (untuk mereka dan berkata): "Wahai Tuhanku. Cucuri mereka dengan rahmat sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku semasa kecil."
(Surah al-Isra' ayat 24)

Ayat itu menuntut supaya kita membuang sifat besar diri terhadap mereka yang kelihatan lemah atau nyanyuk. Wajib kita rasa rendah di hati. Dituntut pula kita memasukkan do'a terhadap mereka dalam do'a harian kita. Begitulah suci hati kita terhadap ibu bapa saban hari tanpa diketahui oleh mereka.

Sahabat yang dihormati,
Sekiranya ibu bapa kita telah meninggal dunia, kita masih boleh berjasa kepada mereka, iaitu kita berdo'a untuk mereka semoga Allah s.w.t mengampunkan dosa-dosa mereka. Bukan setakat do'a-do'a kita sahaja boleh membantu mereka dialam Barzah, tetapi sedekah, amal jariah dan amal soleh yang kita laksanakan, disamping kita memperolehinya, kedua ibu bapa yang berjasa mendidik kita sehingga kita menjadi anak yang soleh akan mendapat sahamnya. Begitu besarnya rahmat Allah s.w.t. tidak mensia-siakan amal kebaikan yang di buat ketika di dunia ini.

Rasulullah s.a.w. pernah mencela bagi mereka yang memiliki ibu bapa yang telah lanjut usia mereka namun masih tidak mampu untuk memasuki Syurga.

Baginda pernah bersabda maksudnya : “Sungguh hina, sungguh hina, sungguh hina!” Baginda ditanya: “Siapakah wahai Rasulullah (yang hina itu)?” Baginda menjawab: “Orang yang mendapati orang tuanya dalam keadaan tua, sama ada salah seorang atau kedua-duanya, kemudian dia tidak memasuki Syurga.” (Hadis riwayat Muslim)

Kedudukan istimewa seorang ayah dan ibu itu semakin terserlah apabila Rasulullah s.a.w tidak membenarkan seseorang itu melaksanakan satu misi yang besar lagi penting dalam urusan dakwah sekiranya ia bakal mengundang kesedihan kepada ibubapanya atau tidak mendapat keizinan dari mereka. Ketika peristiwa hijrah terdapat seorang sahabat yang telah datang kepada baginda dengan memberi taat setia (bai’ah) untuk turut berhijrah namun perbuatannya ini telah menyebabkan kedua ibubapanya menangis. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya:  “Kembalilah kepada mereka berdua dan jadikanlah mereka berdua ketawa (gembirakanlah mereka) sebagaimana kamu jadikan mereka menangis.” ( Hadis riwayat Imam al-Nasaa’i )

Terdapat juga beberapa amalan kebaikan lain yang boleh kita laksanakan sebagai bakti kita kepada kedua ibu bapa walaupun mereka telah meninggal dunia seperti hadis dibawah.

Seorang dari suku Bani Salimah datang dan bertanya kepada Rasulullah s.a.w, "Kedua orang tuaku telah mati, apakah ada cara untuk aku berbakti kepada mereka?"

Jawab Nabi s.a.w, "Ya, membaca istighfar untuk kedua mereka, melaksanakan wasiat mereka, menghormati sahabat-sahabat mereka, dan menghubungkan keluarga mereka."

Sahabat,
Marilah kita hayati satu kisah dizaman Nabi Musa a.s. seorang anak yang soleh menjadi teman Nabi Musa a.s. di Syurga kerana baktinya kepada ibunya yang telah tua.

Nabi Musa a.s. ingin benar mengetahui siapakah yang akan menjadi temannya di Syurga. Setelah diwahyukan oleh Allah mengenai sifat-sifat lelaki itu, Nabi Musa a.s. terus mencarinya.

Lelaki itu seorang penjual daging dipasar. Setelah menemui lelaki itu, Nabi Musa a.s. menyatakan hasratnya untuk menjadi tetamu lelaki itu beberapa hari. Lelaki itu bersetuju memerimanya.

Sebenarnya, Nabi Musa a.s. mahu melihat apakah amalan yang menyebabkan lelaki itu menjadi temannya di Syurga kelak, Nabi Musa a.s. tetap merahsiakan tujuannya.

Setelah Nabi Musa a.s. memasuki rumah lelaki itu, baginda serta merta dihidangkan dengan sup daging. Sewaktu baginda menikmati sup, lelaki itu masuk kebilik dan keluar mendukung seorang wanita yang sangat tua lalu meletakkan diatas tilam. Lelaki itu menyuapkan sup daging kemulut wanita tua itu hingga kenyang. Selepas makan, lelaki itu menukar pakaian wanita tua tadi yang kotor terkena sup. Dia membasuh pakaian itu di sebuah telaga berhampitan rumahnya.

Agak lama barulah lelaki tadi menemui Nabi Musa a.s.yang sedang memerhatikan perbuatannya. Nabi Musa a.s. bertanya :"Siapakah perempuan tua itu?"

Lelaki itu menjawab dengan suara sayu, "Itulah ibu saya. Dia sekarang ini sudah terlalu tua.Tidak berdaya lagi menguruskan dirinya, sebab itu saya membuat segala-galanya. Maafkan saya kerana tidak melayan saudara makan sebentar tadi."

Nabi Musa a.s. merasa terharu mendengar kata-kata lelaki itu, hatinya berbisik, 'Alangkah besar bakti dan kasih sayang lelaki itu kepada ibunya. Patutlah Allah telah menyediakan baginya Syurga di akhirat kelak.'

Kemudian Nabi Musa a.s. menghampiri lelaki itu dan menerangkan tujuan sebenar baginda ingin menjadi tetamu hari ini, "Saya ingin sangat melihat apakah amalan yang menyebabkan Allah s.w.t. menjadikan saudara teman saya di Syurga kelak."

Sebaik mendengar penjelasan baginda, lelaki itu terus sujud syukur dan terus berazam akan meningkatkan keimanannya kepada Allah serta berbakti kepada ibunya.

Konsep Zuhud Dalam Pandangan Islam

Sahabat yang dimuliakan,
Zuhud yang sebenarnya adalah mengutamakan kehidupan akhirat dari dunia. Sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Al-A'laa ayat 16 dan 17 , yang mana Allah s.w.t. menyifatkan orang bukan Islam mengutamakan dunia semata-mata, kemudian Allah menyebut kehidupan akhriat lebih baik dan kekal.

Firman Allah s.w.t bermaksud :“Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi. Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.” (Surah Al-A’laa: 16-17)

Ibnu al-Qayyim mengatakan bahwa zuhud adalah meninggalkan apa yang tidak bermanfaat demi kehidupan akhirat.

Al-Imam Hasan Al-Bashri menyatakan bahwa zuhud itu bukanlah mengharamkan yang halal atau menyia-nyiakan harta, akan tetapi zuhud di dunia adalah engkau lebih mempercayai apa yang ada di tangan Allah daripada apa yang ada di tanganmu. Keadaanmu antara ketika tertimpa musibah dan tidak adalah sama saja, sebagaimana sama saja di matamu antara orang yang memujimu dengan yang mencelamu dalam kebenaran.

Di sini zuhud ditafsirkan dengan tiga perkara yang semuanya berkaitan dengan perbuatan hati:

1. Bagi seorang hamba yang zuhud, apa yang ada di sisi Allah lebih dia percayai daripada apa yang ada di tangannya sendiri. Hal ini timbul dari keyakinannya yang kuat dan lurus terhadap kekuasaan Allah. Abu Hazim az-Zahid pernah ditanya, “Berupa apakah hartamu?” Beliau menjawab, “Dua macam. Aku tidak pernah takut miskin karena percaya kepada Allah, dan tidak pernah mengharapkan apa yang ada di tangan manusia.” Kemudian beliau ditanya lagi, “Engkau tidak takut miskin?” Beliau menjawab, “(Mengapa) aku harus takut miskin, sedangkan Rabb-ku adalah pemilik langit, bumi serta apa yang berada di antara keduanya.”

2. Seorang Mukmin yang zuhud, apabila terkena musibah, baik itu kehilangan harta, kematian anak atau yang lainnya, dia lebih mengharapkan pahala kerananya daripada mengharapkan kembalinya harta atau anaknya tersebut. Hal ini juga timbul kerana keyakinannya yang sempurna kepada Allah.

3. Baginya orang yang memuji atau yang mencelanya ketika ia berada di atas kebenaran adalah sama saja. Seorang yang zuhud  menganggap dunia itu kecil sahaja, maka dia akan lebih memilih celaan daripada pujian. Hal itu akan mendorongnya untuk melaksanakan  kebenaran dan tidak  khawatir dicela atau dijauhi (oleh manusia), dia melakukan kebaikan semata-mata kerana Allah. Jadi, apabila seorang hamba telah menganggap sama kedudukan antara orang yang memuji atau yang mencelanya, bererti menunjukkan bahwa kedudukan makhluk di hatinya adalah rendah, dan hatinya dipenuhi dengan rasa cinta kepada kebenaran.

Hakikat zuhud itu berada di dalam hati, yaitu dengan keluarnya rasa cinta dan ketamakan terhadap dunia dari hati seorang hamba. Ia jadikan dunia (hanya) di tangannya, sementara hatinya dipenuhi rasa cinta kepada Allah dan akhirat.

Sabda Nabi s.a.w maksudnya : "Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau seperti orang yang melintas ( Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sayyidina Ali k.w. pernah berkata , "Aku telah talak dunia dengan talak tiga" ini bermaksud dunia ini tidak masuk di dalam hatinya, apa yang beliau lakukan adalah semata-mata kerana Allah dan tidak ada langsung kepentingan dunia masuk di dalam hatinya.

Sebagai seorang Khalifah Islam kezuhudan beliau tidak menghalang beliau untuk mentakbir negara dengan adil dan saksama dan menjaga kemaslahatan rakyat. Diberitakan setiap pagi beliau akan menghantar makanan dipintu rumah ibu-ibu tunggal yang miskin dan kematiaan suami. Setelah kewafatan beliau tidak ada lagi makanan yang dihantarkan, barulah mereka tahu bahawa yang menghantar makanan adalah beliau sendiri.

Dalam pribadi Sayyidina Ali k.w , antara zuhud dan tanggungjawab sosial bertemu. Beliau adalah seorang yang zuhud sekaligus orang yang paling peka terhadap tanggungjawab sosial. Beliau termasuk orang yang paling sukar tidur ketika menyaksikan ketidak adilan atau mendengar rintihan orang-orang kecil. Beliau tidak pernah mengenyangkan perutnya selama ada orang-orang yang lapar di sekitarnya. Beliau pernah berkata: "Demi Allah, aku bersumpah, andaikan aku dipaksa tidur di atas duri-duri padang pasir, atau aku dibelenggu kemudian dipendam hidup-hidup dalam tanah, sungguh ini semua lebih baik daripada aku berjumpa Allah dan Rasul-Nya di hari kiamat sementara aku pernah berbuat zalim kepada hamba-hamba Allah."

Terdapat empat perkara kenapa kita perlu kepada zuhud :

1. Keimanan yang kuat dan selalu ingat bagaimana ia berdiri di hadapan Allah pada hari kiamat guna mempertanggung-jawabkan segala amalnya, yang besar maupun yang kecil, yang nampak ataupun yang tersembunyi. Ingat! betapa dahsyatnya peristiwa datangnya hari kiamat kelak. Hal itu akan membuat kecintaannya terhadap dunia dan kelezatannya menjadi hilang dalam hatinya, kemudian meninggalkannya dan merasa cukup dengan hidup sederhana.

2. Merasakan bahwa dunia itu membuat hati terganggu dalam berhubungan dengan Allah, dan membuat seseorang merasa jauh dari kedudukan yang tinggi di akhirat kelak, dimana dia akan ditanya tentang kenikmatan dunia yang telah ia peroleh.

Firman Allah maksudnya :“Kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu).” (Surah At-Takaatsur ayat  6)
Perasaan seperti ini akan mendorong seorang hamba untuk hidup zuhud.

3. Dunia hanya akan didapatkan dengan susah payah dan kerja keras, mengorbankan tenaga dan fikiran yang sangat banyak, dan kadang-kadang terpaksa harus bergaul dengan orang-orang yang berperangai jahat dan buruk. Berbeza halnya jika menyibukkan diri dengan berbagai macam ibadah; jiwa menjadi tentram dan hati merasa sejuk, menerima takdir Allah dengan tulus dan sabar, ditambah akan menerima balasan di akhirat. Dua hal di atas jelas berbeza dan (setiap orang) tentu akan memilih yang lebih baik dan kekal.

4. Merenungkan ayat-ayat Al-Qur’an yang banyak menyebutkan tentang kehinaan dan kerendahan dunia serta kenikmatannya yang menipu (manusia). Dunia hanyalah tipu daya, permainaan dan kesia-siaan belaka. Allah mencela orang-orang yang mengutamakan kehidupan dunia yang fana ini daripada kehidupan akhirat, sebagaimana dalam firman-Nya yang bermaksud, “Adapun orang yang melampaui batas, dan lebih mengutamakan kehidupan dunia, maka sesungguhnya Nerakalah tempat tinggal(nya).”
 (Surah  An-Naaziat ayat 37-39)

Dalam ayat yang lainnya Allah berfirman maksudnya :“Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi. Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.” (Surah Al-A’laa: 16-17)

Semua dalil-dalil, baik dari Al-Qur’an maupun as-Sunnah, mendorong seorang yang beriman untuk tidak terlalu bergantung kepada dunia dan lebih mengharapkan akhirat yang lebih baik dan lebih kekal.

Sahabat yang dihormati,
Zuhud yang disyariatkan dan bermanfaat bagi orang yang menjalaninya adalah zuhud yang dicintai oleh Allah dan rasul-Nya, yaitu meninggalkan segala sesuatu yang tidak bermanfaat demi untuk mencapai kehidupan akhirat. Adapun sesuatu yang memberi manfaat bagi kehidupan akhirat dan membantu untuk mendapatkannya adalah termasuk salah satu jenis ibadah dan ketaatan.

 Sabda Nabi s.a.w. maksudnya :“Carilah apa yang bermanfaat bagi dirimu dan mintalah pertolongan kepada Allah dan jangan lemah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Yang bermanfaat bagi seorang hamba adalah beribadah kepada Allah, menjalankan ketaatan kepada-Nya dan kepada Rasul-Nya. Dan semua yang menghalangi hal ini adalah perkara yang mendatangkan kemudharatan dan tidak bermanfaat. Yang paling berguna bagi seorang hamba adalah mengikhlaskan seluruh amalnya kerana Allah.

Orang yang tidak memperhatikan segala yang dicintai dan dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya akan banyak menyia-nyiakan kewajiban dan jatuh ke dalam perkara yang diharamkan; meninggalkan sesuatu yang merupakan keperluannya seperti makan dan minum; memakan sesuatu yang dapat merusak akalnya sehingga tidak mampu menjalankan kewajiban; meninggalkan amar ma’ruf nahi munkar; meningalkan jihad di jalan Allah kerana dianggap mengganggu dan merugikan orang lain. Pada akhirnya, orang-orang kafir dan orang-orang jahat mampu menguasai negeri mereka kerana meninggalkan jihad dan amar ma’ruf tanpa ada maslahat yang nyata.

Sahabat,
Ada yang tertanya-tanya samada Islam menentang kekayaan dan perolehan harta? Sebenarnya Islam tidak menentang kekayaan dan perolehan harta. Umat Islam perlu harta untuk membantu pentadbiran negara Islam yang berdaulat dan kuat ianya memerlukan kepada dana yang besar untuk pembangunan negara dan kemaslahatan rakyat jelata.

Zuhud adalah satu sifat yang amat baik dan terpuji di dalam Islam, bagaimanapun  perlu difahami bahawa mendapati terdapat salah faham masyarakat Islam dalam memahami ertinya, sehingga ia ditakrifkan  sebagai menjauhkan diri dari dunia dan membiarkan diri miskin. Ada juga yang mengganggap zuhud sebagai tidak menggunakan harta yang diperolehi untuk diri, dan keluarganya.

Ada dikalangan kita mengatakan bahawa zuhud jika berumah, berpakaian dan berkereta usang walaupun mempunyai harta. Membiarkan umat Islam tidak membina sebarang kilang, bangunan dan perniagaan kerana ia dikira sebagai zuhud iaitu lari dari dunia sejauh-jauhnya. Dengan demikian dunia akan datang kepada kita. Adakah ini benar-benar yang diarahkan oleh Islam ?.

Sebenarnya Islam mengalakkan kita memiliki harta dan kekayaan. Kekuatan darisegi ekonomi akan membuatkan umat Islam dapat mengatasi kekuatan orang kafir. Islam akan dipandang mulia kerana negara dan umatnya memiliki ilmu, harta, kekayaan dan kekuatan darisegi ekonomi.

Allah s.w.t. indah dan Dia suka yang indah-indah. Bila kita menggunakan nikmat Allah s.w.t dan bersyukur di atas pemberian-Nya maka ianya disukai oleh Allah s.w.t. Memiliki kereta baru, rumah banglow dan ladang pertaniaan yang luas , saham perniagaan  dan kilang-kilang perusahaan tidak dilarang selagi hati dan jiwa kita tidak cintakan dunia. Kita menganggap semua harta ini adalah pinjaman sementara di dunia ini dan ianya adalah amanah daripada Allah s.w.t. Walaupun pada zahirnya ia sebuk uruskan perniagaan di dunia tetapi hatinya sentiasa sebuk dengan akhirat dan ia akan salurkan semua keuntungan dan rezeki yang Allah kurniakan untuk jalan Allah dan mencari keredhaan-Nya.

Zuhud itu adalah mencari dan membelanjakan harta tanpa melupakan hukum dan keredhaan Allah s.w.t.. Pandangan Allah akan sentiasa menjadi ‘priority' dalam pengurusan dan pendapatan hartanya. Ia juga akan memastikan zakat dan sedeqah dikeluarkan. Itulah zuhud namanya dan bukannya menjadikan diri miskin  dan menjauhi dunia.

Oleh itu marilah sama-sama kita meningkatkan martabat diri kita menuju kepada zuhud kepada Allah s.w.t. iaitu tidak ada sedikit pun kecintaan hati kita kepada harta dunia yang sementara ini. Dan hati kita sentiasa disebukkan dengan keyakinan pada hari akhirat dan nikmat Syurga yang kekal abadi. Walaupun kita memiliki hati yang cinta pada hari akhirat tetapi ianya tidak menjejaskan kehidupan kita seharian. Bila kita bekerja kita bekerja bersungguh-sungguh tidak buang masa dengan sia-sia dan bila kita berniaga kita berniaga bersungguh-sungguh tidak ada penipuan dan pecah amanah. Semoga dengan keuntungan yang diperolehi akan dibayar zakat, bersedeqah dan infak dijalan Allah s.w.t. Meningkatkan taraf ekonomi umat Islam adalah satu jihad yang besar.

 


Monday, September 20, 2010

Ciri-ciri Kesempurnaan Iman

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:" Tidak sempurna iman seseorang hamba sehingga dia memiliki tiga sifat iaitu: menafkahkan harta tanpa kedekut, berlaku adil terhadap diri dan memberi salam kepada orang lain."
(Hadis Riwayat Ahmad)

Sahabat yang dirahmati Allah,
Iman adalah perkara penting yang mesti ada pada diri seorang Mukmin. Tanpa iman seorang itu akan menjadi kufur dan terkeluar daripada Islam. Iman itu bukan angan-angan tetapi iman itu apa yang tertanam dihati dan dilaksanakan dalam kehidupan. Asas iman yang mesti ada pada seorang Mukmin adalah mempercayai dan menghayati Rukun Iman yang enam.

Oleh itu untuk menyempurnakan iman tersebut perlulah kepada tiga ciri penting iaitu menafkahkan harta tanpa kedekut, berlaku adil terhadap diri sendiri dan memberi salam pada orang lain. Jika tiga ciri-ciri ini tidak ada padi diri seorang Mukmin maka imannya masih belum sempurna.

Berdasarkan hadis Nabi s.a.w di atas terdapat tiga ciri-ciri kesempurnaan iman yang perlu dimiliki oleh setiap orang Mukmin iaitu 1. menafkahkan harta tanpa kedekut. 2. berlaku adil terhadap diri dan 3. memberi salam kepada orang lain.
Pertama : Menafkahkan harta tanpa kedekut .
Nabi s.a.w berwasiat kepada Sayyidina Ali k.wj : "Wahai Ali ! Orang yang pemurah itu dekat dengan Allah, dekat dengan rahmat-Nya serta jauh dari seksa-Nya, sedangkan orang bakhil (kedekut) itu jauh dari Allah, jauh dari rahmat-Nya serta dekat dengan seksa-Nya.

Wahai Ali ! Saya melihat tulisan pada pintu Syurga yang berbunyi "Syurga itu diharamkan bagi setiap orang yang bakhil (kedekut), orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, dan bagi orang yang suka mengadu domba (mengasut)."

Asma’ r.a menerangkan bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda (kepada Asma) : “Nafkahkanlah dan janganlah kamu menyempitkan sedekah yang menyebabkan Allah menyempitkan (tidak mengeluarkannya) untuk kamu. Dan janganlah kamu menyembunyikan sesuatu dalam bungkusan yang kerananya Allah memutuskan berkatnya dan kesuburannya”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Allah melarang kita daripada bersifat kedekut, suka mengumpulkan harta dan tidak menafkahkan harta ke jalan Allah. Orang yang banyak bersedekah adalah orang yang tahu akan kebaikan di masa akan datang kerana Allah s.a.w. telah berjanji bahawa pintu rezeki hamba-Nya akan diluaskan jika seseorang itu banyak bersedekah.

Harta benda atau wang ringgit adalah kurniaan Allah kepada hamba-Nya. Harta benda yang dimiliki adalah suatu himpunan amanah dan tanggungjawab yang perlu diurus dan dibelanjakan sewajarnya. Oleh itu manusia yang suka menyimpan harta kerana takut akan kehabisan dan tidak sanggup mengeluarkan sebahagiannya ke jalan yang hak seperti berzakat dan membelanjakan ke jalan yang bermanfaat pasti tidak akan mendapat keberkatan dan rahmat Allah walaupun dianugerahi nikmat yang melimpah ruah.
Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Tuhanmu yang meluaskan rezeki terhadap sesiapa jua yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang dan peraturan-Nya) dan Dia juga yang menyempitkan (menurut yang demikian). Sesungguhnya Dia Maha Mendalam Pengetahuan-Nya lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya." 
(Al-Israk ayat 30).

 Orang yang suka membelanjakan hartanya dijalan Allah akan mendapat banyak kebaikan di sisi Allah s.w.t.

Sabda Nabi s.a.w. maksudnya :

"Bentengilah hartamu dengan zakat, ubati orang-orang sakit (dari kalanganmu) dengan bersedekah dan persiapkan do'a untuk menghadapi datangnya bencana."
(Hadis Riwayat Ath-Thabrani)

"Barangsiapa ingin do'anya terkabul dan dibebaskan dari kesulitannya hendaklah dia mengatasi (menyelesaikan) kesulitan orang lain."
(Hadis Riwayat Ahmad)

"Orang yang mengusahakan bantuan (pertolongan) bagi janda dan orang miskin ibarat berjihad dijalan Allah dan ibarat orang solat malam. Ia tidak merasa lelah dan ia juga ibarat orang berpuasa yang tidak pernah berbuka."
(Hadis Riwayat Bukhari)
Kedua : Berlaku adil terhadap diri sendiri.

Adil dengan diri sendiri bermaksud seseorang itu menyeimbangkan antara keperluan spiritual (rohani) , fizikal , emosi dan akal. Di mana semua empat komponen ini saling berkait rapat dan sangat penting bagi menjadikan kehidupan seseorang seimbang, tenang dan damai.

Seorang Mukmin yang kuat akan menjaga empat fakuti insan iaitu :
1. Rohaninya (hubungan hati dengan Allah). Seperti solat wajib dan sunat, puasa, zikir, berdo'a, istighfar dan membaca al-Qur'an .
2. Fizikalnya . Menjaga makan dan minum (makanan halal dan berhasiat) , kebersihan diri, tidur yang cukup dan beriadah.
3. Emosinya. Memberi kasih dan sayangnya pada isteri , anak-anak, ibu bapa, anak yatim, fakir miskin , orang alim dan pemimpin yang bertaqwa.
4. Akalnya. Menuntut ilmu syarak dan ilmu yang bermanfaat.

Hadis riwayat Anas ra.: Bahwa beberapa orang sahabat Nabi s.a.w. bertanya secara diam-diam kepada isteri-isteri Nabi s.a.w. tentang amal ibadah baginda. Lalu di antara mereka ada yang mengatakan: Aku tidak akan menikah dengan wanita. Yang lain berkata: Aku tidak akan memakan daging. Dan yang lain lagi mengatakan: Aku tidak akan tidur dengan alas. Mendengar itu, Nabi s.a.w. memuji Allah dan bersabda maksudnya : "Apa yang diinginkan orang-orang yang berkata begini, begini! Padahal aku sendiri salat dan tidur, berpuasa dan berbuka serta menikahi wanita! Barang siapa yang tidak menyukai sunahku, maka ia bukan termasuk golonganku (Hadis riwayat Abdullah bin Mas`ud r.a)

Berdasarkan hadis di atas Nabi s.a.w melarang ada dikalangan sahabat baginda yang mengatakan ia tidak mahu berkahwin , tidak mahu memakan daging (berpuasa sepanjang masa) dan tidak mahu tidur malam untuk berqiyamulail setiap malam. Maka Nabi s.a.w menjelaskan bahawa baginda bersolat malam dan tidur, berpuasa dan berbuka dan mengawini wanita. Baginda memberi amaran bahawa sesiapa yang tidak  menyukai sunah baginda maka Nabi s.a.w tidak akan mengaku menjadi umat baginda.

Ketiga :  Memberi salam kepada orang lain.

Memberi salam pula adalah simbol kekuatan ukhuwwah yang dituntut oleh Islam untuk diamalkan selalu oleh setiap Muslim dalam menjalani kehidupan bermasyarakat. Ini bagi memastikan masyarakat yang dihuni itu berkeadaan saling hormat menghormati di samping mewujudkan perpaduan dan kasih sayang tanpa berlakunya cara hidup yang bersifat individulistik, menyombong diri, mementingkan diri dan sebagainya tanpa menghiraukan orang lain.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
"Kamu tidak akan masuk Syurga sehingga kamu beriman. Dan kamu tidak akan beriman sehingga kamu berkasih sayang. Mahukah kamu saya tunjukkan kepada sesuatu jika kamu lakukan kamu akan berkasih sayang? Sebarkanlah salam antara sesama kamu".
(Hadis Riwayat Muslim dari Abu Hurairah r.a).

Firman Allah s.w.t yang bermaksud ;
"Apabila kamu memasuki rumah-rumah, maka hendaklah kamu memberi salam kepada sesama kamu, sebagai penghormatan yang berkat, lagi baik disisi Allah".
(Surah An-Nur ayat 61).

Islam mengalakkan umatnya supaya memberi salam dan menyebarkan salam antara satu dengan lain apabila bertemu, kerana salah satu hak dan kewajipan seorang Muslim adalah apabila bertemu ia memberi salam dan menjawab salam.

Apabila Rasulullah s.a.w bertanya Iblis apakah tindakkannya apabila umatnya memberi salam sesama mereka, maka Iblis berkata :
"Ya Nabi Allah, akan pecahlah daku apabila umatmu bertemu dijalanan lantas salah seorang daripadanya memberi salam dan yang lain menjawabnya sehingga aku menangis, melolong kesedihan. Kerana keduanya telah mendapat keampunan setelah keduanya berpisah".

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita amalkan tiga ciri-ciri kesempurnaan iman seperti yang dinyatakan Nabi s.a.w seperti hadis diatas yang merangkumi hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia. Jika kita benar-benar menghayatinya dan memahaminya dengan yakin maka kita akan menjadi Mukmin yang sempurna darisegi keimanan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t.