Tuesday, September 21, 2010

Suami Yang Bertanggungjawab

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

 سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dimuliakan,

Pembentukan rumahtangga yang didasari dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. akan menjamin lahirnya kasih sayang, keharmonian dan iklim pendidikan yang sihat di dalam pelbagai aspek. Inilah suasana yang subur untuk melahirkan dan membesarkan anak-anak ke arah pertumbuhan yang sihat dari segi roh, akal dan jasmani. Di samping anak-anak, dengan wujudnya suasana seperti ini, ibu bapa di dalam rumahtangga itu juga akan terselamat dari dipengaruhi oleh gejala-gejala yang tidak baik. Justeru itu, ajaran Islam akan dapat dilaksanakan atau disempurnakan. Benar sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :"Sesiapa yang berkahwin bererti beliau telah menyempurnakan sebahagian dari agama (deen)nya, maka beliau hendaklah bertakwa kepada Allah pada sebahagian yang lain yang masih tinggal."

Dari rumahtangga yang bahagia inilah akan melahirkan Baitul Muslim iaitu rumahtangga Islam. Al-Imam Hasan Al-Banna ada berkata, "Tegakkanlah negara Islam dalam diri kamu sebelum menegakkan negara Islam dalam masyarakat kamu."

Sahabat yang dirahmati Allah,
Perkahwinan yang bahagia dan aman damai adalah cita-cita dan idaman setiap pasangan. Untuk mencapai kebahagiaan, setiap pasangan perlulah mengikut jalan-jalan yang telah pun ditunjukkan oleh Allah dan Rasul.

Sekiranya masing-masing dapat menjalankan setiap tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah itu adalah baik dan sempurna, mereka akan berjaya di dalam melayari bahtera perkahwinan.

Namun, di antara tanggungjawab itu, ada yang berat dan ada yang ringan. Cuma pasangan yang terdidik dengan ajaran Islam akan mudah melaksanakan tanggungjawab yang berat ini.

Di antara tanggungjawab seorang suami terhadap isterinya ialah :

1.Menjadi pemimpin kepada keluarganya.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :"Setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab ke atas pimpinannya. Seorang Imam adalah pemimpin dan bertanggungjawab ke atas rakyatnya. Seorang suami adalah pemimpin dan bertanggungjawab ke atas keluarganya."

2.Mengajar ilmu yang wajib (fardhu ain).

Ibnu Abbas berkata : "Berilah pengertian agama kepada mereka (isteri dan anak-anak) dan pelajaran akhlak yang bagus kepada mereka."

Yang dikatakan ilmu fardu ain adalah :
a.Ilmu Tauhud ; MengEsakan Allah s.w.t., yang dengannya dapat diketahui Zat dan Sifat-sifat-Nya.
b.Ilmu Feqah ; Mengetahui cara-cara beribadah, halal dan haram, bersuci dan sebagainya.
c.Ilmu Tasauf ; Mengenal hal ehwal hati, sifat-sifat mazmumah dan mahmudah, dan sebagainya.

Sekiranya suami tidak mampu mengajar ilmu fardu ain, hendaklah dia menyuruh isterinya belajar daripada guru.

3.Menyediakan makan minum, tempat tinggal dan pakaian dari sumber yang halal.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :"Kewajipan seorang suami ialah menyediakan makanan, pakaian, tidak boleh memukul mukanya dan tidak boleh memperolok-olokkannya dan tidak meninggalkannya kecuali pada tempat tidur (waktu isteri menderhaka)."

Kata ulama' : "Sekali suami membeli pakaian yang dapat mengembirakan isterinya dari sumber yang halal, Allah memberi ganjaran pahala kepadanya tujuh puluh tahun."

4.Memberi nafkah zahir dan batin.

Nafkah zahir dan batin yang perlu di berikan kepada isteri adalah mengikut kadar keperluan masing-masing dengan secukupnya. Sekiranya nafkah ini mencukupi dan sempurna, kedua-dua pasangan akan merasa tenang dan nikmat rumahtangga.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :"Sesungguhnya apabila seorang lelaki bersetubuh dengan isterinya, baginya dicatat pahala (kerana persetubuhan itu) seperti pahala anak lelaki yang mati syahid dalam medan peperangan menegakkan agama Allah."

5.Memberi nasihat dan teguran .

Sekiranya isteri dan anak-anak melakukan maksiat dan kesalahan, maka ia mestilah memberi nasihat yang baik dengan hikmah dan lemah lembut.

Firman Allah s.w.t.yang bermaksud :"Dan mereka sekelian (isteri-isteri) telah mengambil suatu perjanjian yang berat dari kamu."(Surah an-Nisa' ayat 20)

"Pergaulilah mereka dengan cara yang baik."(Surah an-Nisa' ayat 183)

Sahabat yang dirahmati Allah,
Di dalam Al-Qur'an dan hadis Nabi SAW. terdapat beberapa tugas dan tanggungjawab suami yang soleh, yang perlu di laksanakan untuk melahirkan rumahtangga yang bahagia. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :
1. Bertanggungjawab dalam memimpin rumahtangga.

2. Mempergauli isteri dengan baik dan halus.

3. Memberi makan dan pakaian yang secukupnya.

4. Tidak memperolok-olok atau merendahkan isterinya.

5. Mengarahkan atau mengingatkan isterinya dengan nada yang lembut.

6. Bersabar di atas tingkahlaku isteri yang tidak menyenangkan.

7. Mengajar isteri akan agama (deen) dan hukum-hukumnya (fekah).

8. Wanita-wanita yang kamu khuatiri nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah dari tempat tidur mereka dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah mencari-cari jalan untuk menyusahkannya.

9. Menahan pandangan.

10. Memelihara kemaluannya.

11. Tidak kedekut atau terlalu bermewah-mewah dalam memberi nafkah makan minum, pakai, tempat tinggal serta perabut untuk anak dan isteri.

12. Kasih sayang, mesra serta sentiasa mengambil berat tentang mereka.

13. Tidak terburu-buru dalam menerima fitnah (pengaduan) serta bertindak segera tanpa usul selidik dahulu.

14. Tidak gemar memandang perempuan-perempuan yang lain.

15. Tidak minum arak, berjudi, merokok dan tidak suka buang masa dengan kerja sia-sia.

16. Jujur serta sentiasa menepati janji terhadap anak dan isteri.

17. Sentiasa menjaga kebersihan diri zahir dan batin.

18. Cemburu dalam hal-hal yang mendatangkan maksiat terhadap dirinya, anak dan isterinya.

Oleh itu setiap lelaki yang beriman perlulah melengkapkan dirinya dengan ilmu Islam, akhlak yang mulia dan hati yang bersih dan hidup, supaya setiap tanggungjawab di atas dapat di laksanakan dengan baik dan sempurna.

Tugas dan tanggungjawab yang besar ini mestilah dilaksanakan dengan hati yang sabar dan ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t., sentiasalah berdoa setiap lepas solat, memohon semuga Allah s.w.t. memberi kebahagiaan di dunia dan akhirat dan menyelamatkan diri kita, isteri dan anak-anak dari seksa api Neraka yang bahan bakarnya dari manusia dan batu.

No comments: