Saturday, January 9, 2010

Kalimah Allah Khusus Untuk Umat Islam Sahaja

Sahabat yang dirahmati Allah,
Pada masa ini umat Islam digemparkan dengan isu penggunaan kalimah ‘Allah’ telah dibenarkan dalam penerbitan Herald The Catholic Weekly oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lau Bee Lan dalam keputusan lisannya pada 31 hbb. Disember, 2009. Hasil daripada keputusan tersebut telah mencetuskan bantahan daripada umat Islam dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan mereka mendesak agar mahkamah dan kerajaan mengambil inisiatif untuk membatalkan keputusan tersebut demi menjamin kesucian agama Islam yang menjadi agama resmi dan ianya telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Seminggu selepas keputusan tersebut Kementerian Dalam Negeri telah membuat rayuan di Mahkamah Rayuan dan keputusan Mahkamah Rayuan telah menangguhkan keputusan tersebut untuk dilaksanakan, sementara menunggu masa perbicaraan.

Sahabat yang dimuliakan,
Berdasarkan peristiwa tersebut di atas, apakah resionalnya Herald The Catholic Weekly  beriya-riya benar untuk menggunakan kalimah ‘Allah’ sedangkan dalam kitab Bible mereka tidak wujud langsung kalimah tersebut.Yang terdapat adalah perkataan ‘God’, ‘Sons of God’ dan ‘God’s wife’ Yang pastinya ini adalah stratigi mereka untuk menyebarkan dakyaan dan ajaran agama mereka keatas umat Islam.

Dalam Islam merujuk kepada kitab suci al-Qur’an perkataan Allah adalah merujuk kepada nama Allah Yang Maha Esa, tidak beranak dan tidak diperanakkan seperti yang terdapat dalam Surah al-Ikhlash( ayat 1-4) firman Allah s.w.t. yang bermaksud : “ Katakanlah : ‘Dialah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan, dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia’.”

Sebenarnya dalam bahasa Melayu juga perkataan Allah merujuk kepada hakikat Tuhan Yang Maha Esa. Sebab itu terjemahan bahasa Inggeris ‘God’ ialah Tuhan, bukan Allah.

Sahabat yang dihormati,
Apabila nama Allah dibenarkan dalam tulisan mereka, maka ia akan membuka implikasi yang lebih besar kepada umat Islam iaitu :

Pertama, akan berlaku kekeliruan terjemahan, seperti ‘Sons of God’ kepada Anak-anak Allah, ‘God’s wife’ kepada Isteri-isteri Allah. Bentuk tulisan yang membawa nama Allah telah menukar makna hakiki nama Allah yang difahami dalam bahasa Melayu, iaitu Yang Maha Esa.

Kedua, ia seolah mengikhtiraf nama Allah yang ‘baharu’. Maka umat Islam menghadapi tugas yang berat untuk menjernihkan nama Allah yang hakiki dan nama Allah yang digunakan oleh agama Kristian.

Didalam Enakmen Ugama Bukan Islam Negeri Selangor (Kawalan Perkembangan Dikalangan Orang Islam) 1988 Jadual (Seksyen 9) Bahagian 1 :

Terdapat 25 perkataan yang tidak boleh digunakan berkaitan dengan agama Islam iaitu :

Allah, Fatwa, Imam, Dakwah, Syariah, Syiekh, Haji, Mufti, Ibadah, Illahi, Wahyu, Ulama, Nabi, Qiblat, Salat, Khalifah, Wali, Rasul, Iman, Mubaligh, Hadith, Injil, Kaabah, Kadi dan Firman Allah.

Umat Islam sering dikelirukan dengan hujah bahawa semua agama menuju Allah Yang Esa, hanya berbeza bentuk ibadat dan do’a yang disampaikan. Fahaman ini amat bahaya kerana mengiktiraf semua agama sama taraf. Maknanya al-Qur’an mungkin sama dengan Bible, para Rasul sama dengan Confucius, dan berbagai lagi. Hanya Islam agama yang benar di sisi Allah. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : “ Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam.” (Surah Ali-Imran ayat 19)

Tedapat beberapa tokoh ulama dan pemimpin Islam menyatakan bantahan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam :

Semua pihak dalam Negara ini perlu menghormati institusi Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengeluarkan fatwa bagi melindungi kedaulatan dan kesucian agama Islam.”
(En Amidi Abd Manan, Timbalan Presiden ABIM. Pada 3 Januari 2010 Bernama)

“Tidak terdapat tasawur kefahaman mengenai ‘Allah’ dalam agama Kristian, dan dalam sebarang agama yang lain pun begitu juga…Tidak ada disebut mengenai nama khas Tuhan dalam Bible.”
(Dr. Syed Ali Tawfik Al-Atas, Mantan Ketua Pengarah IKIM. Pada 6 Januari, 2008 di Utusan Malaysia)

“Allah adalah nama khas, kita minta pimpinan Katolik tunjukkan kepada kita (nama Allah dalam Bible)… ini (ketegangan) patut kita elak sebab Malaysia terlalu kaya dengan sejarah ketegangan antara kaum dan penganut agama.”
(Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, Ketua Pengarah JAKIM . Pada 3 Mac 2009 di Berita Harian.)

“Sepatutnya mereka (Herald Catholic) faham perkataan Allah itu tidak harus digunakan kerana perkataan itu adalah khusus kepada agama Islam sahaja dan ia merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa. Dalam agama Kristian sendiri, mereka tidak menggunakan perkataan Allah dalam kitab mereka, sebaliknya mereka menggunakan perkataan seperti God, Lord dan sebagainya bagi merujuk tuhan mereka.”
(Dato’Setia Hj Mohd Tamyes Abd Wahid Mufti Selangor).

Sahabat,
Jika perkataan ‘Allah’ dibenarkan dalam terbitan agama lain di negara kita, ia dikhuatiri akan mengelirukan umat Islam terutama golongan muda. Paling dibimbangi, penggunaan perkataan itu juga mempunyai agenda tersembunyi. Kita tidak mahu wujud usaha penyebaraan dakyah agama lain secara tidak langsung menerusi penggunaan perkataan ‘Allah’ tersebut. Sudah cukup serangan daripada pelbagai sudut terhadap umat Islam dan kesucian agama Islam dinegara kita. Sebarang provokasi yang menjejas dan mempersendakan kesucian agama Islam perlu dihalang.

Kalau dilihat kes murtad yang membabitkan orang Islam amat membimbangkan kerana menurut Mufti Perak jumlah umat Islam yang murtad dan keluar daripada agama Islam melebihi 100,000 orang. Kita kuatir jika umat Islam hanya membiarkan diri dan tidak menghalang pengunaan nama Allah oleh pihak Kristian berkemungkinan kes murtad akan bertambah lagi.

Sebagai umat Islam yang beriman dan bertakwa kepada Allah s.w.t kita bukan sahaja sensitif terhadap nama Allah dipersendakan tetapi juga kita sensitif terhadap mereka yang cuba mempersendakan hukum-hukum Allah s.w.t. dan engan untuk melaksanakannya dalam kehidupan .

Apabila kita marah kepada agama lain yang cuba hendak permainkan nama Allah, adakah kita merasa marah juga kepada sesiapa sahaja yang tidak menjalankan hukum-hikum Allah? Sepatutnya kita konsisten dalam mempertahankan hak-hak Allah, dan tidak bersikap 'double standard' untuk mempertahankan kebenaran.

Islam diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Muhammad s.a.w untuk dilaksanakan dalam kehidupan manusia. Tanda kita cinta dan kasih pada Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w maka pelulah kita berusaha dan mempraktikan Islam sebagai satu cara hidup, melaksanakan segala suruhan Allah s.w.t dan meninggalkan segala larangan-Nya.






Friday, January 8, 2010

Jauhkan Daripada Perkara Syubhat.

Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a. Ű±Ű¶ÙŠ Ű§Ù„Ù„Ù‡ ŰčÙ†Ù‡Ù…Ű§ beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :
"Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya.

Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya.

Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkanNya.

 Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati."
(Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim.)


Pokok Perbincangan Hadis :
1) Perkara Halal Jelas, Perkara Haram Jelas : Yang telah dinaskan seperti kahwin, makan benda-benda yang baik dan jual beli cara Islam. Manakala yang haram sprt. minum arak, judi, zina dan riba.

 2) Perkara-perkara Syubhat, berlaku dalam ibadah, muamalat dan lainnya yang tidak jelas halal dan haram dan tidak ada nas padanya. Contoh makanan yang dibuat oleh kilang yang bukan Islam walaupun ada tanda halal dari luar negara.

 3) Bila berhadapan dengan syubhat, hendaklah kita tinggalkan perkara tersebut untuk elakkan dosa dan mencari redha Allah. Apabila kita tinggalkan syubhat akan melahirkan sifat wara’ dan dapat sempurna iman.

4) Peranan Hati adalah penting untuk melaksanakan jihad dan tanggung jawab kepada Allah s.w.t. Apabila hati berpenyakit maka ianya akan merosakkan amal seseorang.

 Pengajaran hadis:

Seseorang mukmin mestilah cuba mengenali dan mempelajari perkara halal dan haram seterusnya melakukan yang halal dan meninggalkan yang haram demi menjaga kemuliaan agamanya. 

 Perkara yang kesamaran, yang belum jelas halal haramnya adalah perkara syubhat yang mesti dijauhi, demi menjaga maruah diri dan keheningan agama.

Sempadan murka dan redha Allah SWT ialah perkara haram. Sesiapa yang melewati garisan dan terjebak melakukan perkara haram, maka dia telah melewati sempadan kemurkaan Allah.

Hati adalah raja segala anggota yang mesti dipastikan keelokannya dan kebersihannya justeru kerosakan dan kemusnahannya akan merosakkan dan memusnahkan seluruhan anggota badan yang lain.

Thursday, January 7, 2010

Ganjaran Wang Satu Dinar

Pada satu hari, Sayyidina Ali k.w bertanya kepada istrinya (Saydatina Fatimah) samaada terdapat sesuatu untuk makanan mereka sekeluarga. Fatimah menjawab : "Demi Allah yang telah memuliakan ayahku dengan kenabian, tiada apapun untuk kita makan hari ini. Aku sendiri telah dua hari tidak makan sesuatu pun. Aku benar-benar pilu memikirkan nasib anak-anak kita."

Dengan hati yang sedih Ali berkata : "Mengapa engkau diam sahaja dan tidak mahu memberitahuku supaya aku dapat berusaha mencari rezeki."

"Aku malu kepada Allah..., aku tidak mahu membebani dirimu dengan sesuatu yang tak dapat kau pikul," jawab Fatimah r.h sambil menundukkan kepalanya.

Terlalu sedih Sayyidina Ali mendengan jawapan isteri yang penuh dengan ketakwaan dan kasih sayang. Lantas beliau keluar meninggalkan rumah tanpa mengucapkan sepatah kata pun. Beliau yakin Allah akan melimpahkan rezeki kepada keluarganya.

Beliau menuju ke rumah seorang sahabat dengan maksud hendak meminjam wang satu dinar. Setelah berhasil mendapat pinjaman, beliau pun segera ke pasar untuk membeli makanan. Tiba-tiba pada saat itu, beliau terpandang seorang sahabatnya sedang  berjalan dengan wajah yang lesu, Sayyidina Ali segera menegur.

"Hai Miqdad, apa yang memaksamu ke pasar di tengahari yang panas terik ini?

"Hai Abul Hassan, tak payah bertanya, biarkan sahajalah aku ini...." jawab Miqdad.

"Sahabatku, tidak sepatutnya anda merahsiakan sesuatu daripadaku" tanya Ali.

"Sebenarnya begini...., aku terpaksa keluar rumak kerana tak tahan melihat keluargaku menangis kelaparan. Aku tak sanggup melihat anak-anakku yang masih kecil menangis meminta makanan. Begitulah jika anda benar-benar ingin tahu."

Sayyidina Ali tunduk menyembunyikan air mata yang berlinang di kelopak matanya. Dengan hati sebak, beliau berkata : "Hai Miqdad, demi Allah yang menguji diriku sama seperti keresahaamu pada hari ini, aku baru saja mendapat pinjaman wang satu dinar. Ambillah...., engkau lebih memerlukan...." pada mulanya Miqdad agak keberatan untuk menerima wang tersebut. Tetapi akhirnya beliau menerimanya juga kerana Sayyidina Ali bersungguh-sungguh memberinya dan beliau yakin akan keikhlasan Ali.

Berbalik kepada Sayyidina Ali yang solah berjemaah di masjid, selepas solah magrib Rasulullah mengajak Ali pulang. Rasulullah bertanya, "Hai Abu Hassan, apakah engkau mempunyai makanan malam ini?"

Sepatah pun Sayyidina Ali tidak menjawab. Beliau hanya menundukkan kepalanya dengan penuh rasa malu. Rasulullah segera berkata, "Katakan sahaja...., kalau tidak aku akan pergi. Tetapi sekiranya memang ada..., aku akan turut makan bersama."

Mertua dan menantu berjalan bersama menuju ke rumah Sayyidina Ali. Fikiran Ali resah kerana mengingatkan tiada sebarang makanan di rumahnya.

Setiba diruamh Sayyidina Ali, Fatimah kelihatan sedang berada di tempat solah. Dibelakangnya terdapat sebuah periuk yang terletak diatas tungku yang menyala dan mengeluarkan asap. Apabila mengetahui ayahnya datang dan suaminya pulang, lantas Fatimah menyambut mereka dengan wajah yang berseri-seri. Fatimah segera menyiapkan hidangan, dan baunya sungguh menyelerakan.... Sayyidina Ali kelihatan bingung dan airmukanya mendadak berubah, dengan pandangan tajam beliau menatap wajah Fatimah. Berbagai persoalan timbul difikirannya....

Fatimah kehairanan, lantas bertanya, "Apa dosa dan kesalahanku hinggakan memandangku begitu rupa?"

"Dosa...? Salah?" sahut Ali, dengan suara terputus-putus menahan marah

"Dosa apa yang lebih besar? Tadi siang katamu sudah dua hari tidak makan, dan tidak ada apa-apa makanan untuk kita makan hari ini.... tetapi sekarang? dan ini...? " tanya Ali sambil menunjuk ke arah periuk yang berkepul-kepul mengeluarkan bau lazat.

Lantas Fatimah berkata dengan perlahan-lahan, "Tuhanku mengetahui segala apa yang ada di langit dan di bumi.... Aku tidak mengatakan sesuatu kepadamu melainkan yang benar." Kelihatan airmata tertahan di kelopak mata Fatimah.

"Kalau begitu, makanan ini dari mana? Belum pernah aku mencium makanan selazat ini." tanya Sayyidina Ali yang masih belum puas hati dengan jawapan Fatimah.

Rasulullah s.a.w yang tadinya sudah sedia tunduk menghadap hidangan tersebut hanya mendiamkan diri. Baginda tidak menyebelahi mana-mana pihak. Tetapi setelah dilihatnya Fatimah tidak dapat memberikan jawapan yang memuaskan suaminya, baginda cuba meleraikan kekusutan kedua suami isteri tersebut.

Rasulullah memegang bahu Sayyidina Ali dan sambil tersenyum berkata, " Wahai Ali, itulah pahala wang satu dinar yang kau berikan kepada Miqdad. Itulah ganjaran daripada Allah s.w.t. Dia memberi ganjaran kepada sesiapa sahaja menurut kehendak-Nya tanpa hitungan."

Dengan terharu Rasulullah terus berkata, "Segala puji bagi Allah yang tidak akan mengeluarkan kalian dari dunia ini sebelum Dia melimpahkan pahala seperti yang pernah di berikan kepada keluarga Zakaria. Wahai Fatimah, ganjaran pahala yang dilimpahkan Allah kepadamu sama seperti  yang dilimpahkan kepada Maryam yang sentiasa melihat rezeki tersedia di tempat ibadatnya. Dan ketika Zakaria bertanya kepada Maryam, dari mana rezeki itu diperolehi? Maryam menjawab, itulah pemberian Allah, Allah melimpahkan rezeki kepada sesiapa sahaja menurut kehendak-Nya tanpa hitungan."

Begitulah secebis kisah daripada rumahtangga Saydatina Fatimah yang sewajarnya kita jadikan contoh dan panduan dalam menghayati tuntutan ukuwah. Melalui kisah di atas dapat kita lihat sesungguhnya perasaan ukuwah yang Allah kurniakan kepada setiap Mukmin itu dapat disuburkan dengan keikhlasan dan ketakwaan yang mendalam. Manakala pengorbanan dan kerelaan mendahulukan kepentingan saudara Muslim pula terbina melalui keyakinan kepada janji-janji Allah.

Hakikat ini bertepatan dengan maksud sabda Rasulullah seperti mana yang diriwayatkan oleh At-Tarmidzi, Abu Daud dan Ahmad : "Orang yang merahmati orang lain, akan dirahmati oleh Allah Yang Maha Pengasih. Rahmatilah orang yang di atas bumi, nescaya kamu akan dirahmati oleh sesiapa yang di langit."

(Di petik daripada majalah Haluan 10/1998 oleh Noraini Eslah)

Wednesday, January 6, 2010

Sifat Kasih Sayang Akan di Rahmati Allah.

Sahabat yang dikasihi Allah,
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : " Orang-orang yang mempunyai rasa belas kasih akan dirahmati oleh Allah. Kasihlah siapa sahaja yang ada dibumi, nescaya kalian akan dikasihi oleh Zat Yang ada di langit. Sanak kerabat adalah dahan yang kukuh dari Zat Yang Maha Rahman. Barangsiapa menyambungnya (tali silaturahim), nescaya Allah akan menyambungnya, dan barangsiapa memutuskannya, nescaya Allah akan memutuskan hubungan dengannya."
(Hadis Riwayat Abu Daud)

Jadikanlah hati dan jiwa kalian memiliki sifat kasih sayang kepada sesama Muslim dan juga kasih kepada makhluk Allah s.w.t. yang ada di bumi. Rahmat Allah akan kalian perolehi apabila kalian memiliki sifat yang mulia ini. Persediaan kalian untuk menyambung tali silaturahim dan menjalini hubungan ukuwah Islamiyah sesama kaum kerabat dan umat Islam  seluruhnya akan mendapat rahmat dan kasih sayang daripada Allah s.w.t. dari langit.

Apabila kalian memiliki rasa belas kasihan ini hati kalian akan menjadi lembut , jiwa kalian akan seronok untuk memberi khidmat pada masyarakat. Sentiasa mencurahkan kebaikan, rasa kasih sayang dan kebajikan kepada makhluk Allah yang lain. Bersikap adil kepada orang yang teraniaya, bertindak tegas kepada orang zalim, memberi makan orang yang lapar, memberi pakaian kepada yang tidak memilikinya, turut menanggung derita anak yatim, selalu mendamaikan sesama manusia, sentiasa menampakkan sifat timbang rasa dan tawaduk serta tidak segan-segan menolong sanak saudara yang sedang memerlukan pertolongan.

Di dunia ini kesan dari rahmat Allah akan kalian perolehi iaitu kalian akan di sayangi oleh kaum kerabat, dihormati oleh masyarakat, dimurahkan rezeki oleh Allah s.w.t dan dipanjangkan umur kalian dan terhindar daripada penyakit dan musibah. Jiwa kalian akan rasa tenang dan rumah tangga kalian akan aman damai.

Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : "Barangsiapa tidak punya belas kasih (rahmat) kepada manusia, Allah tidak akan memberikan belas kasih kepada-Nya."
(Hadis Riwayat Muttafaq Alaih)

Akhir kata marilah kita perbaiki hubungan silaturahim  dan binalah kasih sayang sesama umat Islam. Walaupun perpecahan telah melanda umat Islam hari ini dengan hebatnya dengan berbagai isu, tetapi janganlah kita terpengaruh dengan berita dari orang fasik dan hasutan syaitan dan hawa nafsu. Kerja syaitan memang suka memecah belahkan umat manusia supaya mereka jauh dari rahmat Allah. Apabila kita berjaya mendominasikan sifat yang mulai ini kita akan mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat.





Tuesday, January 5, 2010

Sensitif Dengan Dosa

Sahabat yang dirahmati Allah,
Adalah dikira sebagai musibah, apabila hati kalian sudah tidak lagi sensitif terhadap dosa! Tidak merasai apa-apa dan sudah menjadi kebiasaan.

Pepatah ada mengatakan "Alah bisa tegal biasa.", sekiranya amalan soleh atau amal kebaikan telah menjadi biasa kerana kerap dilakukan alhamdulillah, tetapi sekiranya dosa atau kemaksiatan telah menjadi biasa dan hati hilang sestitif terhadapnya maka ianya menjadi masaalah besar dan amat membimbangkan.

Abu Hassan Zayyat r.a berkata : "Demi Allah saya tidak kisah berlaku banyak kemungkaran, tetapi yang saya khuatirkan adalah apabila hati sudah berjinak dengannya (maksiat). Kerana sesuatu itu apabila terus menerus dilakukan, ia akan menjinakkan jiwa. Apabila jiwa sudah terjinak dengan sesuatu itu, maka kuranglah sensitifnya."

Generasi sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w cukup sensitif terhadap dosa kerana takut amalan-amalan baiknya tidak diterima oleh Allah s.w.t.. Mereka sentiasa berada di dalam keadaan takut kepada Allah s.w.t. bukan sahaja mereka meninggalkan yang haram tetapi mereka juga telah meninggalkan yang subhat kerana takut terjatuh kepada yang haram. Jiwa yang diasuh dan di didik oleh Rasulullah s.a.w ini kerap menangis diwaktu malam, mereka sentiasa mujahadan, muhasabah, muraqabah dan murajaah kepada diri mereka sendiri dan diatas dosa-dosa yang telah mereka lakukan disiang hari. Setengah sahabat menyediakan rotan untuk dipukul belakang badannya sendiri sekiranya dia merasakan ada sesuatu dosa yang ia lakukan.

Sahabat yang dimuliakan,
Untuk menjaga hati kita supaya sentiasa mengingati Allah s.w.t hendaklah sentiasa bergaul rapat dengan orang-orang soleh dan alim ulama didalam majlis-majlis ilmu. Memilih sahabat-sahabat yang baik dan sentiasa mengingatkan kita kepada kehidupan di hari Akhirat dan memperuntukkan masa membaca al-Qur'an .

Di dalam al-Qur'an Allah s.w.t. melarang orang-orang yang beriman daripada menghampiri zina, supaya mereka tidak terjebak daripada melakukan perbuatan zina. Daripada larangan ini, kita boleh mengambil pengajaran bahawa semua bentuk maksiat dan perbuatan yang boleh mendatangkan dosa kita dikehendaki jangan mendekatinya. Kenapa kita dilarang mendekatinya? Kerana untuk menjaga hati kita supaya tidak tergoda dan terpesona dengan maksiat.

Ibnu al-Jauzi ada berkata : "Ketahuilah bahawa antara ujian terbesar adalah seseorang tertipu dengan perasaan selamat setelah melakukan dosa kerana sebenarnya balasan itu ditangguhkan. Diantara balasan terbesar adalah seseorang itu tidak merasakan itu sebagai balasan sedang itu menghakis agama, mengkaburkan hati dan menyusahkan pilihan untuk diri."

Diantara contoh fenomena ini adalah seseorang itu tidak bersama untuk solah  berjemaah dalam satu tempuh yang lama sehingga ia merasakan biasa dengan keadaan ini dan tidak merasa bersalah. Sedangkan generasi pertama sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w mengucap takziah apabila ada dikalangan mereka yang ketinggalan untuk satu waktu sahaja solat  berjamaah.Sesiapa yang sampai kepada tahap "tidak sensitif" seperti ini ketahuilah dia berada di dalam bahaya besar! Kerana ia boleh menyebabkan seseorang gugur atau berpatah ke jalan kesesatan.

Ibnu Qayim menyatakan : "Dosa itu adalah luka-luka, adakalanya dengan satu luka boleh menyebabkan seseorang itu mati."

Dalam al-Qur'an Allah s.w.t ada menceritakan kisah orang-orang yang berdosa yang berdo'a kepada Allah s.w.t untuk kembali ke dunia untuk mengerjakan amal soleh, firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Ya Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari tempat ini untuk kami lakukan amal-amal soleh, bukan amal-amal yang pernah kami buat sebelumnya." (Surah al-Faatir ayat 37)

Akhir kata marilah sama-sama kita beramal soleh dan tinggalkan segala bentuk amalan dan perbuatan yang boleh mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah s.w.t. Berdo'alah semoga kita diplih-Nya menjadi hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertakwa.dan mendapat balasan Syurga dihari Akhirat nanti.