Sahabat yang dirahmati Allah,
Adalah dikira sebagai musibah, apabila hati kalian sudah tidak lagi sensitif terhadap dosa! Tidak merasai apa-apa dan sudah menjadi kebiasaan.
Pepatah ada mengatakan "Alah bisa tegal biasa.", sekiranya amalan soleh atau amal kebaikan telah menjadi biasa kerana kerap dilakukan alhamdulillah, tetapi sekiranya dosa atau kemaksiatan telah menjadi biasa dan hati hilang sestitif terhadapnya maka ianya menjadi masaalah besar dan amat membimbangkan.
Abu Hassan Zayyat r.a berkata : "Demi Allah saya tidak kisah berlaku banyak kemungkaran, tetapi yang saya khuatirkan adalah apabila hati sudah berjinak dengannya (maksiat). Kerana sesuatu itu apabila terus menerus dilakukan, ia akan menjinakkan jiwa. Apabila jiwa sudah terjinak dengan sesuatu itu, maka kuranglah sensitifnya."
Generasi sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w cukup sensitif terhadap dosa kerana takut amalan-amalan baiknya tidak diterima oleh Allah s.w.t.. Mereka sentiasa berada di dalam keadaan takut kepada Allah s.w.t. bukan sahaja mereka meninggalkan yang haram tetapi mereka juga telah meninggalkan yang subhat kerana takut terjatuh kepada yang haram. Jiwa yang diasuh dan di didik oleh Rasulullah s.a.w ini kerap menangis diwaktu malam, mereka sentiasa mujahadan, muhasabah, muraqabah dan murajaah kepada diri mereka sendiri dan diatas dosa-dosa yang telah mereka lakukan disiang hari. Setengah sahabat menyediakan rotan untuk dipukul belakang badannya sendiri sekiranya dia merasakan ada sesuatu dosa yang ia lakukan.
Sahabat yang dimuliakan,
Untuk menjaga hati kita supaya sentiasa mengingati Allah s.w.t hendaklah sentiasa bergaul rapat dengan orang-orang soleh dan alim ulama didalam majlis-majlis ilmu. Memilih sahabat-sahabat yang baik dan sentiasa mengingatkan kita kepada kehidupan di hari Akhirat dan memperuntukkan masa membaca al-Qur'an .
Di dalam al-Qur'an Allah s.w.t. melarang orang-orang yang beriman daripada menghampiri zina, supaya mereka tidak terjebak daripada melakukan perbuatan zina. Daripada larangan ini, kita boleh mengambil pengajaran bahawa semua bentuk maksiat dan perbuatan yang boleh mendatangkan dosa kita dikehendaki jangan mendekatinya. Kenapa kita dilarang mendekatinya? Kerana untuk menjaga hati kita supaya tidak tergoda dan terpesona dengan maksiat.
Ibnu al-Jauzi ada berkata : "Ketahuilah bahawa antara ujian terbesar adalah seseorang tertipu dengan perasaan selamat setelah melakukan dosa kerana sebenarnya balasan itu ditangguhkan. Diantara balasan terbesar adalah seseorang itu tidak merasakan itu sebagai balasan sedang itu menghakis agama, mengkaburkan hati dan menyusahkan pilihan untuk diri."
Diantara contoh fenomena ini adalah seseorang itu tidak bersama untuk solah berjemaah dalam satu tempuh yang lama sehingga ia merasakan biasa dengan keadaan ini dan tidak merasa bersalah. Sedangkan generasi pertama sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w mengucap takziah apabila ada dikalangan mereka yang ketinggalan untuk satu waktu sahaja solat berjamaah.Sesiapa yang sampai kepada tahap "tidak sensitif" seperti ini ketahuilah dia berada di dalam bahaya besar! Kerana ia boleh menyebabkan seseorang gugur atau berpatah ke jalan kesesatan.
Ibnu Qayim menyatakan : "Dosa itu adalah luka-luka, adakalanya dengan satu luka boleh menyebabkan seseorang itu mati."
Dalam al-Qur'an Allah s.w.t ada menceritakan kisah orang-orang yang berdosa yang berdo'a kepada Allah s.w.t untuk kembali ke dunia untuk mengerjakan amal soleh, firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Ya Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari tempat ini untuk kami lakukan amal-amal soleh, bukan amal-amal yang pernah kami buat sebelumnya." (Surah al-Faatir ayat 37)
Akhir kata marilah sama-sama kita beramal soleh dan tinggalkan segala bentuk amalan dan perbuatan yang boleh mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah s.w.t. Berdo'alah semoga kita diplih-Nya menjadi hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertakwa.dan mendapat balasan Syurga dihari Akhirat nanti.
No comments:
Post a Comment