Sahabat yang dirahmati Allah,
Ikhlas itu merupakan satu rahsia dari rahsia-rahsia Allah s.w.t. yang mana para malaikat pun tidak dapat mengesannya. Malaikat akan mencatat apa yang nampak zahir sahaja segala perbuatan dan amalan manusia.
Amalan yang ikhlas adalah amalan yang dilakukan semata-mata kerana Allah s.w.t. bukan kerana ada sebab-sebab yang lain atau ada dorongan-dorongan yang lain. Semua amalan kebaikan manusia akan tertolak di akhirat nanti apabila ada amalan atau pekejaan yang dibuat kerana sesuatu sebab iaitu untuk mendapat nama, pujian, penghargaan, pangkat dan kedudukan.
Seorang yang mati syahid akan ditolak amalannya kerana dia berjuang dan berjihad fisabilillah supaya dia terkenal sebagai seorang pahlawan terbilang. Seorang alim ulama yang tinggi ilmu pengetahuannya yang ramai anak muridnya dan dipandang mulia oleh orang ramai tertolak amalannya kerana dalam hatinya inginkan pujian dan disanjung supaya digelar sebagai seorang Qari atau orang alim. Seorang dermawan juga di tolak sedekah dan zakatnya kerana dia inginkan pujian daripada manusia supaya manusia gelar dia seorang dermawan.
Seseorang yang melakukan sesuatau amal ibadah, amal soleh dan amal kebajikan tetapi terselit dalam hatinya perasaan riak, sombong, takbur dan ego (kibir) sebenarnya ianya telah menghapuskan keikhlasan pada Allah s.w.t. Ikhas adalah satu perasaan halus dalam hati manusia dan ianya tidak boleh bercampur dengan sifat-sifat mazmumah.
Seorang ulama solihin generasi tabiin yang ulung bernama As-Syeikh al-Imam Fudhail bin 'Iyad rahimahullah berkata : "Sesungguhnya sesuatu amalan itu, sekiranya ia sekadar ikhlas tetapi tidak tepat, ia tidak diterima Allah. (Begitu juga) sekiranya amalan itu sekadar tepat tetapi tidak ikhlas, tidak juga diterima Allah, hinggalah amalan itu benar-benar ikhlas dan tepat. Amalan yang ikhlas itu hanya boleh berlaku bila ia dilakukan untuk dan kerana Allah s.w.t dan amalan yang betul (tepat dan berpahala) pula hanyalah dengan mengikut dan mencontohi sunnah Nabi Muhammad s.a.w."
Oleh itu kita perlulah berhati-hati dalam setiap amalan, percakapan dan niat dihati, semuanya hendaklah dibuat ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t. Kita buat sesuatu kerana Allah dan tinggalkan sesuatu juga kerana Allah. Kita cinta dan kasih seseorang kerana Allah dan kita benci seseorang juga kerana Allah. Untuk kita sentiasa kekal dalam keadaan ikhlas perlulah sentiasa berdo'a kepada Allah s.w.t. supaya Dia sentiasa tetapkan hati dan jiwa kita dalam keadaan bersih dan terhindar daripada syirik kepada-Nya.
No comments:
Post a Comment