Saturday, February 12, 2011

Menyambut Hari Memperingati Kekasih ( Valentine's day) Hukumnya Haram di Sisi Islam

Sahabat yang dirahmati Allah,
Di dalam Islam terdapat perayaan yang disyariatkan oleh Allah S.W.T. iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

Anas bin Malik r.a berkata: Nabi S.A.W.  pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” 
(Hadis riwayat Nasaai) 

Selepas kurun ke 3 Hijrah, pelbagai hari perayaan telah ditambah ke dalam kalendar umat Islam seperti Maulidur-Rasul, Israk Mikraj, Maal Hijrah, Nuzul al-Quran dan lain-lain lagi.

Namun demikian apa yang mendukacitakan adalah umat Islam pada zaman kini telah mula merayakan hari-hari perayaan yang langsung tidak berkaitan dengan umat Islam malah ianya berasal dari budaya serta agama golongan yang ingkar kepada perintah Allah S.W.T. seperti sambutan Tahun Baru Masehi, Christmas, Deepavali , Thaipusam, Hari Halloween
dan juga Hari Memperingati Kekasih (Valentine's day) yang sedang kita perbincangkan ini.

Terdapat larangan daripada baginda S.A.W. untuk meniru budaya orang bukan Islam dan bagi mereka yang meniru budaya seperti ini ditakuti mereka akan tergolong bersama dalam golongan tersebut. Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Barangsiapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka." (Hadis riwayat Abu Dawud)

Hadis Nabi S.A.W yang lain bermaksud : "“Sesiapa yang reda dengan kufur maka dia menjadi kufur"

Sahabat yang dimuliakan,
Tarikh 14hb Februari merupakan hari yang dianggap keramat oleh pasangan-pasangan yang sedang berkasih. Hari yang dikenali sebagai Hari Memperingati Kekasih (Valentine's day) dianggap sebagai satu masa untuk mengisytiharkan ketulusan cinta kepada pasangan masing-masing. Maka pada 14hb Februari pasangan-pasangan kekasih ini akan memakai pakaian-pakaian yang terbaik dan sebaiknya hendaklah ia berwarna merah, bertukar-tukar hadiah dan seeloknya adalah bunga ros berwarna merah. Pasangan-pasangan kekasih ini juga akan bercanda di merata-rata tempat sehingga terjadilah adengan-adengan maksiat yang bertentangan dengan syarak demi untuk membuktikan kasih dan sayang mereka yang tidak ternilai harganya.

Setiap tahun juga para ulamak mengingatkan kepada umat Islam agar menghindari menyambut Hari Memperingati Kekasih (Valentine's day)  ini namun ianya tidak di hiraukan oleh golongan remaja dan muda-mudi umat Islam, mereka tetap menyambut dan meraikannya.

Oleh itu untuk menyedarkan umat Islam terutama mereka yang sedang bercinta sebenarnya hari tersebut mempunyai kaitan dengan sejarah agama Kristian, sejarah Rom Kuno dan sejarah mereka bergembira kerana kejatuhan kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol . Hari Memperingati Kekasih tidak ada kena-mengena dengan umat Islam malah hukum menyambutnya adalah haram.
Terdapat 3 pendapat kenapa orang Kristian menyambut Hari Memperingati Kekasih (Valentine's Day) :

Pendapat Pertama : Claudius II beranggapan bahawa anggota tentera yang muda dan masih bujang adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan berbanding dengan mereka yang telah berkahwin. Justeru itu Cladius II menghalang para pemuda dari berkahwin. Namun demikian St.Valentine menentangnya dengan keras dan beliau telah melakukan upacara pernikahan terhadap para pemuda-pemuda Rom secara sulit. Aktiviti St. Valentine ini akhirnya dapat diketahui oleh Cladius II lalu beliau mengarahkan St. Valentine ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 M.

Pendapat Kedua : Mengaitkannya dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia. Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13hb hingga 18hb Februari.


Pendapat Ketiga :  Ia dirayakan sempena kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol. St. Valentine merupakan individu yang telah memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu. Disebabkan sumbangan beliau itu, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. 14 Februari 1492 merupakan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.


Sambutan Hari Memperingati Kekasih (Valentine's day)  ini merupakan satu upacara yang berhubung-kait dengan agama Kristian dan Rom Kuno sebagaimana yang telah penulis paparkan di atas. Justeru itu bagi mereka yang menyambut hari tersebut ditakuti dia tergolong dalam ke dua golongan tersebut sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. di atas. Apabila seseorang itu merayakannya bermaksud untuk mengenang kembali peristiwa kematian St. Valentine dan menyambut peristiwa yang berlaku semasa Rom Kuno jelas akan menjejaskan akidah Islam, maka tidak disangsikan lagi bahawa perbuatan tersebut boleh menyebabkan pelakunya terkeluar dari agama Islam.

Sambutan Hari Memperingati Kekasih juga seolah-oleh kita reda dengan kegembiraan orang Kristian merayakan kemenangan mereka menjatuhkan Kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol yang mana sejarah terlah menceritakan ratusan ribu umat Islam disembelih, masjid ditukar menjadi gereja dan hukum-hukum Islam telah ditukar dengan hukum-hukum menurut agama meraka. Adalah sesuatu yang amat memalukan jika kita bersekongkol dengan orang kafir  untuk meraikan hari tersebut. Jika ini berlaku maka kita telah mendedahkan diri kita untuk mendapat kemurkaaan Allah S.W.T kerana terang-terang perayaan tersebut menentang hukum-hukum Allah S.W.T.


Sahabat yang dikasihi,
Apabila dia tidak bermaksud sedemikian dan menyambut Hari Memperingati Kelasih (Valentine's day)  sekadar untuk bersuka-ria maka dia sebenarnya telah melakukan suatu kemungkaran yang besar kerana sambutan hari tersebut menyerupai perbuatan golongan yang durhaka kepada Allah S.W.T.

Tambahan pula sambutan ini turut diikuti dengan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan syarak seperti pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan, membuang masa dengan berpeleseran ke tempat-tempat yang tak tentu hala malah mencurigakan dan membazir wang dengan memberi hadiah yang mahal-mahal.

Tentang hukum menyambut Hari Memperingati Kekasih (Valentine's day) , Syaikh al-‘Utsaimin berkata: “Maka bila dalam merayakan Hari Valentine tersebut bermaksud untuk mengenangkan kembali St. Valentine, maka tidak diragukan bahawa orang itu telah kafir. Dan jika tidak bermaksud begitu namun sekadar ikut-ikutan kepada orang lain, maka orang itu telah melaksanakan dosa besar.”

Tidak dapat dinafikan pergaulan bebas ketika sambutan hari tersebut  ini membuka pintu perzinaan sedangkan Allah S.W.T. memerintahkan kita untuk menutup segala ruang yang boleh menyebabkan terjadinya perzinaan. Firman-Nya yang bermaksud : "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)." ( Surah al-Israa’ ayat 32)

Sebagaimana yang telah dilaporkan dalam akhbar arus perdana, Pengasas Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahaya Mohamed Yusof telah menegaskan bahawa kes remaja hamil anak luar nikah meningkat pada akhir Februari dan awal Mac. Beliau berkata: “Sebahagian besar remaja yang ditempatkan di Kewaja mengadu mereka lupa diri ketika menyambut Hari Memperingati Kekasih atau Valentine’s Day. Mereka keluar berpasangan dan berpesta sehingga larut malam, kemudian mengambil pil khayal hingga tidak sedar terlanjur lalu hamil.”


Harus kita ingat bahawa golongan yang memusuhi Islam, akan sentiasa berusaha menanamkan benih-benih kesesatan dalam jiwa umat Islam supaya mereka jauh dari jalan yang lurus lagi diredai Allah S.W.T.. Firman-Nya yang bermaksud : "Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar)". 
(Surah al-Baqarah ayat 120)

Oleh itu mereka mempopularkan sambutan Hari Memperingati Kekasih (Valentine's day)  ini di negara-negara Islam dan menampakkan sambutannya sebagai satu perkara yang begitu romantis serta indah bagi pasangan-pasangan yang ingin membuktikan perasaan cinta mereka. Inilah sebenarnya sikap syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyadur perbuatan maksiat agar kelihatan seperti satu perkara yang baik dan diamalkan oleh manusia tanpa rasa berdosa. Firman-Nya yang bermaksud : "Iblis berkata: 'Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik".(Surah al-Hijr ayat 39-40)

Bersandarkan kepada hujah-hujah di atas maka para ulamak telah merumuskan bahawa sambutan Hari Memperingati Kekasih (Valentine's day)  adalah diharamkan bagi seluruh umat Islam. Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Memperingati Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam”.

Oleh itu marilah sama-sama kita berkempen kepada semua umat Islam agar meninggalkan amalan songsang ini dan jangan sekali-kali merayakannya kerana dikhuatiri akan menjejaskan akidah kita sebagai umat Islam. Jika kita berdiam diri dan tidak memberi nasihat kepada umat Islam, remaja dan muda mudi kitaakan bahaya perayaan tersebut ditakuti bala yang turun nanti bukan saja menimpa kepada orang yang melakukan maksiat tetapi kita juga akan turut mendapat kesannya. Gunakanlah masa terluang kita untuk menambahkan ilmu yang bermanfaat disurau-surau atau di masjid-masjid supaya kita sentiasa mendapat taufik dan hidayah dan rahmat daripada Allah S.W.T.


Friday, February 11, 2011

Mencari Pasangan Isteri Yang Solehah

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap makhluk diciptakan Allah berpasang-pasangan. Begitu juga Allah S.W.T.. menciptakan manusia ada lelaki dan wanita. Kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain.Oleh itu Islam menggalakkan umatnya mengikat tali perkahwinan yang sah supaya akan melahirkan zuriat keturunan. Nabi S.A.W. merasa bangga apabila melihat umatnya ramai di hari akhirat nanti, berbondong-bondong masuk ke syurga. Perkahwinan adalah Sunnah Nabi S.A.W. dan baginda tidak mengaku sebagai umatnya apabila ada di kalangan mereka enggan berkahwin tanpa mempunyai alasan yang dibenarkan oleh syarak.

Persoalannya adalah bagaimana seorang muslim dapat mengenalpasti ciri muslimah sebelum berkahwin, kerana ia diperintahkan untuk menundukkan pandangan (shaddul bashar) terhadap wanita? Seorang yang soleh akan tetap menjaga ketinggian akhlak dan mengelakkan perhubungan yang tidak diizinkan syarak.

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud : “Nikah itu adalah sunnatku, maka barangsiapa yang benci kepada sunnatku, nescaya telah membenci aku.”

Sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud : ”Ambillah isteri, kerana beristeri lebih membuka pintu rezeki bagi kamu.”
(Hadis Riwayat Thusiy)

Sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud : “Barangsiapa yang mampu untuk berumahtangga, maka hendaklah ia berkahwin kerana yang demikian itu dapat memelihara mata dan menjaga kemaluan. Dan barangsiapa yang tidak mampu maka hendaklah ia berpuasa kerana puasa itu adalah dapat menahan keinginan (hawa nafsu).”

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Jika yang datang meminang kepada kamu orang yang kamu percaya tentang agamanya dan amanahnya, maka sebaik-baiknya kamu kawinkanlah saja. Jika tidak, dikawatirkan akan menjadi fitnah di atas muka bumi dan kecelakaan yang besar.”

Sahabat yang dimuliakan,
Terdapat beberapa perkara yang perlu diperhatikan bila memilih jodoh.

1. Mengetahui akhlak dan tingkahlaku muslimah dalam kehidupan harian.

Kehidupan harian yang dilalui setiap individu yang beriman dan beramal soleh digambarkan melaliu ciri-ciri berikut iaitu :

a. Ibadah yang khusyuk.

b. Berpakaian menutup aurat yang sempurna.(menutup seluruh tubuh melainkan muka dan dua tapak tangan).

c. Cara percakapannya tidak dibuat-buat (mengada-ngada).

d. Menjaga pandangannya (tidak melingas matanya memandang, terutamanya melihat pemuda yang bukan mahramnya).

e. Bergaul dengan semua muslimah dengan akhlak yang baik.

Dari Abu hurairah bin Amr bin Ash r.a., Rasulullah S.A.W. telah bersabda maksudnya :
”Dunia ini laksana perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah isteri yang solehah.”

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud : “Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji pula. Wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik pula”.
(Surah an-Nur ayat 26)

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud : “Wanita itu dikawini kerana hartanya atau kecantikannya, keturunannya atau agamanya, maka hendaklah kamu memilih yang mempunyai agama yang kukuh, nescaya kamu akan bernasib baik.”

Dari hadis Rasulullah S.A.W.  di atas, ada empat kriteria utama yang perlu dipertimbangkan dalam memilih jodoh, iaitu:

(1) Agama

Hendaklah isteri itu seorang yang solehah dan berpegang teguh kepada agama. Termasuk ke dalam kategori agama adalah baik budi pekertinya, akhlaknya. Inilah sebaik-baik pilihan.

(2) Kecantikan

Manis atau cantik rupanya; ini juga sering dituntut oleh orang kerana dengannya akan terpelihara diri dari mencari yang lain, sebab tabiat manusia biasanya tiada puas dengan isteri yang buruk rupa. Jika disebutkan supaya memilih yang teguh agamanya bukanlah bererti melarang memilih yang cantik rupanya.

(3) Keturunan baik

Hendaklah wanita itu dari golongan keturunan yang baik, maksudnya dari kaum yang terkenal menjaga urusan agamanya dan termasyhur dengan perjalanannya yang lurus. Sebab wanita dari rumahtangga yang seumpama itu akan memelihara dan mendidik anak-anaknya pada jalan yang diredhai oleh Allah dan Rasul-Nya.

(4) Harta

Ada juga yang memilih jodoh kerana calon isteri atau suami mempunyai harta yang banyak. Inipun tidak dilarang. Tetapi sebaik-baik pilihan adalah kerana agama. Janganlah harta menjadi perkara yang paling penting dalam urusan pemilihan calun isteri kerana harta akan habis dan harta juga boleh menyebabkan seseorang lupa pada tanggungjawabnya kepada Allah jika tidak diuruskan dengan baik.

Pertimbangan lain (dari Bimbingan Mukmin, Imam al Gazali )

Imam al Ghazali r.a. dalam bukunya “Bimbingan Mukmin” menuliskan beberapa tambahan kriteria dalam hal memilih jodoh.

• Masih Gadis

Sebaiknya calon isteri itu seorang gadis untuk lelaki yang bujang. Jika lelaki itu sudah berkahwin tidak ada masaalah mengawini janda.

Berkata Rasulullah S.A.W.kepada Jabir yang baru berkahwin dengan seorang janda: “Mengapa tidak berkahwin dengan gadis yang boleh engkau bergurau senda dengannya.”

• Bukan keluarga yang dekat

Hendaklah wanita itu bukan dari kerabat yang dekat, sebab yang demikian itu akan mengurangkan syahwat. Berkahwin dengan kaum kerabat juga tidak meramaikan persaudaraan dengan umat Islam yang lain sedangkan Islam mengalakkan meramaikan hubungan persaudaraan kekeluargaan.

• Ringan maskawin dan hantaran tidak terlalu tinggi.

Rasulullah S.A.W.  memberi cara mudah bagi laki-laki untuk mengetahui akhlak calon isterinya dengan mengetahui besar kecil mas kawin yang dimintanya. Seorang wanita yang kuat agamanya tentu tidak akan membebani calon suaminya dengan mas kawin yang mahal harganya. Tetapi dia akan menunjukkan jalan bagi suaminya jalan yang mudah untuk segera menikah.

Sabda Nabi S.A.W.  yang bermaksud : ”Sebaik baik wanita yaitu yang paling murah permintaan mas kawinnya.”
(Hadis Riwayat Thabrani)

Dalam zaman sekarang ini masaalah yang besar di alami oleh pasangan yang ingin berkahwin adalah kerana kos perkahwinan yang tinggi dan hantaran yang ditetapkan oleh pihak wanita juga tinggi, akibatnya ramai yang membujang dan telah membuka ruang pintu perzinaan kerana hajat mereka untuk berkahwin telah dihalang dengan hantaran yang tinggi. Oleh itu umat Islam perlulah merubah budaya adat yang meletakkan hantaran yang tinggi dan cuba meringankan beban pihak lelaki dengan meletakkan kos hantaran yang paling berpatutan.

Tidak mandul.

Hendaklah ia mengetahui, bahwasanya wanita itu dapat melahirkan anak, kiranya diketahui kemandulannya atau dapat diketahui pihak wanita mengalami ketumbuhan dirahimnya atau menghidapi barah pangkal rahim maka ikut kebiasaannya penyakit tersebut menyebabkan kesukaran untuk mengandung, maka hendaklah ia menahan diri dari berkawin dengannya.

Langkah-langkah menemukan jodoh.

1. Langkah utama adalah berdoa, memohon kepada Allah S.W.T, kerana Dialah yang menciptakan manusia berpasang-pasangan .

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Wahai sekalian manusia! bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silatur-rahim) kaum kerabat kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu." (Surah an-Nissa ayat 1)

Permohonan kepada Allah S.W.T. dengan meminta jodoh yang diredhai-Nya, merupakan keperluan penting manusia kerana kejayaan manusia mendapatkan jodoh berpengaruh besar dalam kehidupan dunia dan akhirat seseorang.

2. Harus berikhtiar. Ada beberapa cara untuk mendapatkan jodoh, dengan tetap berpegangan kepada syariat Islam:

1- Melalui orang tengah, antara lain :

a- Orang tua.

Seorang muslim atau muslimah dapat meminta orang tuanya untuk mencarikannya jodoh dengan menyebut kriteria yang ia inginkan. Pada masa Nabi s.a.w. baginda dan para sahabat-sahabatnya segera mengawinkan anak perempuan mereka.

b- Guru (pendidik).

Seorang muslim dan muslimah tidak ada salahnya untuk minta tolong kepada gurunya agar dicarikan jodoh yang sesuai dengannya. Ini adalah salah satu upaya dalam mencari jodoh.

c- Sahabat dekat.

Seorang muslim atau muslimah dapat meminta kepada sahabat dekatnya untuk dicarikan jodoh. Sebagai gambaran, kita melihat perjodohan antara Nabi S.A.W. dengan Khadijah r.h.

Dimulakan dengan tertarik dan minat Khadijah r.h kepada pribadi baginda yang pada saat itu menjadi usahawan pada perusahan perniagaan yang dipegang oleh Khadijah r.h. Melalui Nafisah sebagai orang tengah akhirnya Nabi s.a.w.mengawini Khadijah r.h.

Sahabat yang dikasihi,
Terdapat beberapa langkah-langkah yang perlu diambil sebelum perkahwinan

1. Disunnatkan melihat bakal isteri sebelum berkawin,

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : “Apabila Allah telah mentakdirkan cinta dalam diri seseorang dari kamu, hendaklah dia melihat kepadanya (wanita) kerana yang demikian itu lebih terjamin untuk mengeratkan perhubungan antara keduanya.”

Dalam hal ini berdua-duaan dilarang dalam ajaran Islam. Bukankah berdua-duaan itu sama saja dengan mendekati zina. Jika masing-masing sudah sesuai maka segera saja melamar dan meneruskan perkahwinan.

2. Pertunangan (Khitbah)

Khithbah adalah meminang (melamar) yaitu permintaan seorang laki-laki kepada anak perempuan orang lain untuk dikahwini, sebagai pendahuluan pernikahan, namun belum berupa aqad nikah. Pertunangan merupakan permintaan dan janji untuk mengadakan perkahwinan.

Dalam melakukan pertunangan ini perlu diperhatikan adab-adabnya, antara lain :

- Tidak boleh (haram) meminang pinangan orang lain.

Umar bin Khattab berkata dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim : Nabi s.a.w. melarang sebagian kamu menawarkan atas penawaran sebagian yang lain, dan tidak boleh seseorang meminang pinangan saudaranya hingga peminang sebelumnya meninggalkannya atau mengizinkannya.

- Peminang (laki-laki) tetaplah orang lain bagi wanitanya (bukan mahram).

Oleh kerana pertunangan ini bukanlah aqad nikah, maka status peminangan masih tetap sebagai orang lain bagi yang dipinang (bukan mahram), dan tidak diperkenankan untuk berkhalwat atau berdua-duaan.

- Dianjurkan menemui dan memberi hadiah.

Pertemuan yang sopan bagi laki-laki yang meminang dan wanita yang dipinang ialah dengan kehadiran mahram wanita, karena hal tersebut akan menambah kemudahan untuk saling mengenal. Dengan pemberian hadiah dari peminang kepada wanita yang dipinang diharapkan akan mempererat lagi tali silaturrahim di antara mereka.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita melaksanakan cara Islam dalam kita mencari jodoh. Buangkanlah cara-cara barat atau jahiliah yang tidak mementingkan tata susila dan adab-adab Islam. Jauhilah cara-cara atau perbuatan yang boleh membawa kepada menghampiri zina kerana Allah S.W.T melarang hamba-Nya untuk mendekati zina.

Perbutan menghampiri zina (takrabul zina) ini cukup jelas di firmankan oleh Allah S.W.T. di dalam al-Quran surah al-Israk ayat 32 yang bermaksud : "Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan seburuk-buruk jalan."

Nabi S.A.W bersabda maksudnya : “Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka jangan sekali-kali dia berkhalwat dengan perempuan yang tidak ada bersamanya mahramnya, (kerana) sesungguhnya syaitan adalah orang ketiga bersama kedua mereka itu.”
(Hadis riwayat Ahmad)

Suami Yang Soleh Sentiasa Melayan Isterinya Dengan Baik

Sahabat yang dirahmati Allah,
Seorang suami yang soleh dan bertanggungjawab akan menjadikan Islam sebagai asas dalam kehidupan untuk dirinya, isteri dan anak-anak . Dia akan memastikan semua ahli keluarganya sentiasa mentaati Allah S.W.T. dan menjauhi larangan-Nya.

Membina sebuah rumahtangga yang dihiasi dengan ibadah adalah suasana yang harmonis hanya dapat dibentuk dengan bimbingan taufik dan hidayah dari Allah S.W.T.  Oleh itu salah satu  faktor utama dalam pembinaan keluarga bahagia adalah membentuk sebuah rumahtangga yang senantiasa dihiasi dengan amal ibadah yang soleh dan penuh dengan keimanan serta ketakwaan. 

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan."
(Surah al-Nahl ayat 97)

Oleh itu para suami hendaklah senantiasa menganjurkan para isteri untuk beribadah bersama seperti mengerjakan solat tahajud, berpuasa sunat, bertadarus (membaca) serta mentadabbur (memahami) al-Quran dan belajar tentang hal-hal keagamaan yang boleh meningkatkan keimanan dan ketakwaan. Rasulullah S.A.W. senantiasa menganjurkan para isterinya agar mengerjakan ibadah  sesuai dengan perintah Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa. 
(Surah Taha ayat 132)

Telah diriwayatkan dari `Aisyah radhiallahu 'anha, dia berkata: "Rasulullah biasa mengerjakan solat malam (tahajud), sementara aku tidur melintang di hadapan baginda. Bila hendak mengerjakan solat witir, baginda akan membangunkanku".
(Hadis Riwayat Bukhari)

Rasulullah S.A.W. juga telah bersabda maksudnya : " Semoga Allah merahmati seorang suami yang bangun pada malam hari untuk mengerjakan solat malam, lalu membangunkan isterinya untuk solat bersama. Bila si isteri enggan (tidak mampu untuk bangun), beliau memercikkan air ke wajah isterinya (supaya bangun). Semoga Allah merahmati seorang isterinya yang bangun malam hari untuk mengerjakan solat malam, lalu membangunkan suaminya untuk solat bersama. Bila si suami enggan, dia memercikkan air ke wajah suaminya."
(Hadis Riwayat Abu Dawud)

Oleh itu sewajarnya para suami menghidupkan rumah mereka dengan pelbagai amal ibadah yang sesuai dengan sunnah Nabi S.A.W. Disamping itu hendaklah para suami isteri berusaha untuk saling memperingatkan di antara satu sama lain untuk bersama-sama melaksanakan segala perintah Allah S.W.T. sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran dan al-Sunnah dan meninggalkan segala laranganNya. 

Hendaklah mereka berganding bahu dalam menegakkan kebenaran di dalam rumahtangga mereka, berusaha membentuk suasana yang Islamik yang di dalamnya penuh dengan kasih sayang dan kecintaan dan suasana yang tenteram. Saranan ini sesuai dengan firman Allah S.W.T. maksudnya : " Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, dan keras dan tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka yang selalu mengerjakan apa yang diperintahkan."
(Surah al-Tahrim ayat 6)

Sahabt yang dimuliakan,
Hendaklah suami sentiasa menunjukkan wajah yang ceria kepada isteri dan anak-anaknya dirumah. Raut wajah seseorang boleh menggambar pelbagai makna dan ianya boleh
mempengaruhi suasana hubungan suami isteri. Wajah yang ceria tentu sekali akan menenangkan jiwa isteri. Janganlah masalah di tempat kerja di bawa pulang ke rumah sehingga menunjukkan air muka yang merengut. Apatahlagi telah sabit perintah dari Nabi S.A.W. agar kita sentiasa mempamerkan wajah yang ceria sebagaimana sabdanya yang bermaksud : " Sedikit pun janganlah engkau menganggap remeh perbuatan baik,
meskipun ketika berjumpa dengan saudaramu engkau menampakkan wajah ceria.
(Hadis Riwayat Muslim)

Lanjutan dari hadis di atas tentu sekali yang paling utama bagi suami adalah untuk menunjukkan wajah cerianya kepada isteri tercinta.

Satu lagi perkara yang perlu di ambil perhatian suami bahawa dia hendaklah menjaga penampilan dirinya, disamping mempamerkan wajah yang ceria. Para suami juga hendaklah
menjaga penampilan diri agar sentiasa kelihatan menarik dan bersih.

Ini adalah penting demi untuk menimbulkan keselesaan dalam hubungan suami isteri. Sesungguhnya isteri juga ingin melihat pasangannya yang memiliki penampilan yang menarik sebagaimana suami inginkan isteri yang anggun lagi bergaya disisinya. Firman Allah S.W.T. maksudnya : " Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang
ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak)… (Surah al-Baqarah ayat 228)

Ibnu Abbas radhiallahu 'anh berkata: "Sesungguhnya aku senang berhias untuk isteriku sebagaimana aku senangi isteriku berhias untukku."

Tambahan pula Allah 'Azza wa Jalla menyukai keindahan termasuklah penampilan diri yang menarik serta sesuai dengan lunas-lunas syarak sebagaimana sabda Nabi S.A.W. yang maksudnya : " Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan menyukai keindahan".
(Hadis Riwayat Muslim)

Para suami yang soleh sentiasa berusaha untuk kelihatan bergaya sehingga sedap mata isteri memandangnya ketika dirumah bukan hanya bergaya ketika hendak pergi ketempat kerja atau datang ke majlis jamuan dan kenduri kendara.

Suami yang berakhlak mulia dan lemah lembut adalah seorang suami yang sentiasa sabar dengan kerenah isterinya. Sentiasa berusaha untuk menjaga keharmonian rumah tangga dan tidak suka kepada pertengkaran dan perselisihan faham sesama suami isteri.

Perempuan memang terkenal dengan sikap mereka yang emosional dan suka ikut perasaan. Namun begitu para suami harus sabar ketika berhadapan dengan kerenah sedemikian rupa. Hendaklah para suami berhadapan dengan situasi sebegini dengan penuh kesabaran dan hikmah.

Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : " Nasihatilah wanita dengan baik. Sesungguhnya mereka diciptakan dari tulang rusuk dan bahagian terbengkok dari tulang rusuk adalah
bahagian atasnya. Seandainya kamu luruskan maka berarti kamu mematahkannya dan seandainya kamu biarkan maka ia akan terus sahaja bengkok. Untuk itu nasihatilah wanita dengan baik. (Hadis Riwayat Bukhari)

Hadis ini menganjurkan para suami untuk menasihati para isteri dengan cara yang penuh hikmah dan lemah lembut. Jangan sesekali terburu-buru menggunakan kekerasan kerana ianya bukan sahaja tidak akan menyelesaikan permasalahan malah akan memburukkan lagi keadaan. Oleh itu para suami haruslah bijak mencari masa yang paling baik untuk menasihati isterinya. Sekiranya keadaan tidak mengizinkan seperti ketika kemarahan isteri masih meluap-luap maka sebaiknya ditangguh dahulu penjelasan atau menasihatinya sehingga keadaan menjadi tenang dan tenteram.

Sekiranya wujud di dalam isteri masing-masing sifat-sifat yang kurang kita senangi maka handaklah kita mencari sifat serta tabiat isteri yang positif untuk menghiburkan diri kita dan mengelakkan timbul perasaan benci terhadap isteri. Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya :
"Janganlah seorang mukmin membenci seorang mukminah. Apabila dia membenci sebahagian akhlaknya maka mungkin dia boleh meredai akhlaknya yang lain."
(Hadis Riwayat Muslim)

Sekiranya terdapat perbuatan isteri yang memerlukan para suami untuk meluruskannya maka hendaklah ianya dilakukan secara bertahap-tahap dan tidak terburu-buru untuk berkeras terhadapnya. Firman Allah S.W.T. maksudnya : " Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar."
(Surah al-Nisaa' ayat 34)

Jika suami telah melihat tanda-tanda kedurhakaan pada isterinya, hendaklah dia menasihatinya dengan mengingatkannya tentang hukuman Allah terhadap tingkahlakunya itu. Sekiranya setelah menasihatinya dan dia masih tidak berubah maka suami berhak memisahkan tempat tidur dan tidak menggaulinya (Hajr). Apabila hajr juga gagal untuk
menyedarkan isteri atas kesilapannya maka suami boleh memukul isteri sekadar menyedarkannya bukan dipukul hingga mendatangkan kecederaan atau menyakitkan seperti dengan menggunakan kayu siwak (kayu yang digunakan untuk memberus gigi) atau sejenisnya. Inilah tatacara yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. untuk menangani sikap-sikap yang negatif yang mungkin wujud pada para isteri. Jika pukulan ini pun tidak boleh menyedarkannya maka perlulah dirujuk kepada keluarga pihak isteri untuk memainkan peranan sebagai orang tengah dan menasihati isterinya.

Satu lagi kewajipan suami adalah dia perlu untuk menyediakan rumah untuk isteri sekadar kemampuannya. Menyediakan tempat perlindungan untuk isteri dan anak-anak merupakan
kewajipan seorang suami. Ianya amat penting dalam membentuk sebuah keluarga yang harmonis kerana rumah adalah tempat sepasang suami isteri memainkan peranan masing-masing dan membesarkan serta mendidik anak-anak. Dalil kewajipan menyediakan rumah adalah sebagaimana firman Allah S.W.T. maksudnya : " Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu… "
(Surah al-Talaaq ayat 6)

Walaupun ayat di atas merujuk kepada isteri yang telah dicerai dalam tempoh idah namun ini hanya menguatkan lagi pandangan bahawa isteri yang masih dalam status pernikahan lebih berhak untuk mendapatkan tempat tinggal. Tentang saiz serta reka bentuk rumah maka ianya menurut kemampuan para suami. 

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "Kebahagiaan bagi anak Adam ada tiga. Dan kesengsaraan terhadap anak Adam ada tiga. Maka di antara yang membahagiakan adalah isteri yang solehah, kenderaan yang baik serta rumah yang lapang. Dan kesengsaraan bagi anak Adam ada tiga iaitu tempat yang tidak baik dan isteri yang tidak baik serta kenderaan yang tidak baik."
 
Firman Allah S.W.T. maksudnya : " Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. (Surah al-Baqarah ayat 233)

Bagi suami yang memiliki sedikit harta maka dapatkanlah rumah bersaiz kecil yang sesuai dengan kemampuannya itu dan sekiranya di masa hadapan harta semakin bertambah banyak, ketika itu usahakan untuk mendapatkan rumah yang lebih besar dan selesa.

Seorang isteri juga berhak untuk mendapatkan rumah yang khusus bagi dirinya tanpa berkongsi dengan madu-madunya (jika suaminya berpoligami) mahupun ahli keluarga yang lain. Isteri berhak untuk menolak permintaan suami untuk tinggal bersama madu-madunya ataupun ahli keluarga yang lain dan suami wajib memenuhi tuntutan tersebut. Penolakan isteri itu menunjukkan kemungkinan dia merasa tidak selesa dengan situasi tersebut ataupun mungkin ada perkara-perkara yang boleh menyebabkan suasana yang tegang dalam rumahtangga sekiranya duduk bersama dengan pihak lain.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita menghayati ciri-ciri suami yang soleh dan mampu memainkan peranan sebagai ketua keluarga mendidik dan memberi segala keperluan asasi untuk isterinya, yang mana hak ini terlah termaktub di dalam al-Quran dan hadis-hadis Nabi S.A.W.

Inilah beberapa peranan suami menurut al-Quran serta sunnah Nabi S.A.W.  yang dapat membantu membina sebuah keluarga yang harmonis. Semoga ianya dapat dijadikan pedoman bagi sekalian pemimpin keluarga untuk membahagiakan para isteri.

Contohilah sunnah Nabi S.A.W. kerana pada diri baginda terdapat contoh tauladan yang terbaik. Firman Alah S.W.T. maksudnya : " Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan
(keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (Surah al-Ahzaab ayat 21)

Imam Sufyan bin `Uyainah rahimahullah berkata: "Sesungguhnya Rasulullah adalah timbangan yang paling besar. Segala sesuatu harus diukur dengan akhlak, perilaku dan petunjuknya. Yang sesuai dengannya, maka itu benar dan yang tidak sesuai dengannya maka itu bererti batil."



Thursday, February 10, 2011

Kelebihan Solat Duha Dan Kunci Murah Rezeki dan Keberkatannya.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Solat Duha adalah salah satu daripada sunnah Rasulullah S.A.W. Baginda tidak pernah meninggalkannya kerana betapa besar akan fadilatnya. Solat duha adalah solat sunat yang dituntut, dan tanda kesyukuran dan pergantungan seorang hamba kepada Tuhannya yang memberi nikmat dan rezeki yang tidak putus-putus.

Rasulullah bersabda yang bermaksud : "Siapa saja yang dapat mengerjakan solat Duha dengan istiqamah, akan diampuni dosanya oleh Allah, sekalipun dosa itu seluas lautan."

Dari Abu Hurairah r.a. beliau berkata : "Kekasihku (Rasulullah s.a.w) telah memberi wasiat kepadaku untuk mengerjakan shaum (puasa) tiga hari setiap bulan, solat dhuha dua rakaat dan solat witir sebelum saya tidur".
(Hadis Riwayat Lima Imam Hadis).

Rasulullah bersabda lagi maksudnya : "Solat Duha itu mendatangkan rezeki dan menolak kefakiran (kemiskinan), dan tidak ada yang akan memelihara solat Duha kecuali hanya orang-orang yang bertaubat."
Di dalam hadis yang lain pula diterangkan seperti berikut:

Űčَنْ ŰŁَŰšِي هُ۱َيْ۱َŰ©َ Űčَنِ Ű§Ù„Ù†َّŰšِيِّ Ű”َلَّى Ű§Ù„Ù„َّهُ Űčَلَيْهِ وَŰłَلَّمَ، قَŰ§Ù„َ:"Ű„ِنَّ فِي Ű§Ù„ْŰŹَنَّŰ©ِ Űšًَۧۚۧ، يُقَŰ§Ù„ُ لَهُ: Ű§Ù„Ű¶ُّŰ­َى، فَŰ„ِŰ°َۧ كَŰ§Ù†َ يَوْمُ Ű§Ù„ْقِيَŰ§Ù…َŰ©ِ نَۧۯَى مُنَۧۯٍ: ŰŁَيْنَ Ű§Ù„َّŰ°ِينَ كَŰ§Ù†ُÙˆŰ§ يُŰŻِيمُونَ Űčَلَى Ű”َÙ„Ű§Ű©ِ Ű§Ù„Ű¶ُّŰ­َى؟ هَŰ°َۧ Űšَُۧۚكُمْ فَۧۯْŰźُلُوهُ Űšِ۱َŰ­ْمَŰ©ِ Ű§Ù„Ù„َّهِ

Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi SAW , baginda bersabda maksudnya  : "Bahawasanya di syurga ada pintu yang dinamakan, "Duha." Maka jika kamu datang hari kiamat kelak, serulah (malaikat) penyeru: manakah orang-orang yang telah mengerjakan solat Duha? Inilah pintu kamu, silakan masuk ke dalam dengan rahmat Allah." (Hadis Riwayat Tabrani)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: "Kekasihku Rasulullah S.A.W. telah berpesan kepada aku dengan tiga perkara: 'Berpuasa tiga hari pada setiap bulan, mendirikan sembahyang sunat Duha sebanyak dua rakaat dan mendirikan sembahyang Witir sebelum aku tidur."
(Hadis riwayat Bukhari).

Sekurang-kurang solat duha adalah dua rekaat, selepas salam Nabi S.A.W. mengajar kita berdoa seperti berikut :

Maksudnya : " Ya Allah bahawasanya waktu duha itu waktu duha-Mu, kecantikan ialah kecantikan-Mu , keindahan itu keindahan-Mu, kekuatan itu kekuatan-Mu , kekuasaan itu kekuasaan-Mu dan perlindungan itu perlindungan-Mu .  Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit , turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah, jika masih jauh dekatkanlah, berkat waktu duha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaan-Mu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah Engkau limpahkan kepada hamba-hamba-Mu yang soleh ."

Sahabat yang dimuliakan,
Doa yang kita ucapkan cukup indah dan penuh pengharapan kepada Allah S.W.T. Sebagai hamba yang lemah yang amat memerlukan bantuan dan pertolongan Allah S.W.T yang menguasai langit dan bumi dan yang menjaga rezeki dan perbendaharaan alam semesta.

Intisari doa tersebut berbunyi :
1. Jika rezekiku masih di atas langit , turunkanlah dan
2. Jika ada di dalam bumi, keluarkanlah,
3. Jika sukar mudahkanlah,
4. Jika haram sucikanlah,
5. Jika masih jauh dekatkanlah.

Huraiannya :

Pertama : Jika rezekiku masih di atas langit, turunkanlah.

Setiap rezeki manusia telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. di Loh Mahfuz. Allah S.W.T mengutus malaikat rahmat yang menjaga rezeki manusia dan disampaikannya kepada manusia mengikut ketenentuan daripada-Nya. Sebagai hamba kita merayu agar rezeki yang ada dilangit itu dipermudahkan dan disegerakan turun kebumi supaya kita dapat menikmatinya.

Rezeki ini berbentuk hujan, cahaya matahari, rahmat, kesihatan, ketenangan dalam hidup, kegembiraan, keselamatan dari musibah dan berbentuk harta dan wang ringgit (melalui asbab ikhtiar dan usha-usaha kita).

Kedua : Jika ada di dalam bumi, keluarkanlah,

Rezeki daripada Allah S.W.T yang ada dibumi cukup banyak.
Rasulullah SAW bersabda, “Berusahalah untuk memperbanyak keturunan, kerana kalian tidak tahu dari anak yang mana kamu mendapatkan rezeki.“

“Rabbana hab lana min azwajina wa zurriyatina qurrata a’ayun, wajaalna lill mutaqiina imama” Maksudnya: “Ya Tuhan kami berikanlah kepada kami pasangan dan anak-anak (zuriat) yang menjadi penyejuk mata dan jadikanlah kami pemimpin kepada orang yang bertakwa“

Rezeki merupakan salah satu rahsia Allah. Ia tidak boleh difikirkan oleh akal manusia. Seringkali rezeki datang tanpa kita merancangnya. Itulah yang disebut dengan rezeki tidak disangka-sangka. Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan Dia memberikan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya," (Surah Ath-Thalaq ayat 3)

Allah telah menjamin rezeki setiap makhluk-Nya. Setiap manusia yang terlahir ke dunia sudah dilengkapi dengan rezekinya masing-masing. Rasullah S.A.W. bersabda maksudnya : “Allah telah menetapkan takdir semua mahluk sejak 50.000 tahun sebelum Dia menciptakan langit dan bumi“ (Hadis Riwayat Muslim).

Oleh karena itu selayaknyalah kita tidak perlu cemas mengenai rezeki Allah SWT. Sebab Pemberi Rezeki telah menjamin. Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan tidak satu pun makhluk bergerak (bernyawa) dibumi melainkan rezeki kesemuanya dijamin Allah. Dia mengetahui tempat kediamannya dan tempat penyimpanannya. Semua (tertulis) dalam kitab yang nyata (Loh Mahfuz). " (Surah Hud ayat 6)

Persoalan rezeki sudah diatur oleh Allah SWT. Hal penting yang perlu dilakukan adalah sempurnakan ikhtiar, perkuat dengan doa, dan tawakal secara mutlak kepada Allah S.W.T. Biarlah Allah yang Maha Mengatur. Insya Allah, jika ikhtiar, doa serta tawakal kita sepenuhnya, kita akan diberikan kelapangan rezeki oleh Allah S.W.T. Dia akan mengaruniakan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.

Dari Umar bin Khattab r.a, ia berkata, “Saya mendengar Rassulullah SAW bersabda, ‘Jika kalian bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benarnya, nescaya Allah akan memberikan rezeki kepada kalian seperti seekor burung, pagi-pagi ia keluar dari sarangnya dalam keadaan lapar dan pulang dipetang hari dalam keadaan kenyang “
(Hadis Riwayat Ahmad dan Turmuzi).

Rezeki dibumi berbentuk pekerjaan dan mendapat gaji bulanan, mendapat biasiswa, mendapat pinjaman kewangan, keuntungan dalam perniagaan, hasil pertaniaan dan penternakan, dijemput untuk kenduri dan jamuan berbentuk makanan dan minuman, hasil tangkapan ikan di laut atau di sungai, tawaran projek-projek pembinaan, jawatan-jawatan yang disandang dan sebagainya.

Terhindar daripada musibah dan bala, kerukunan hidup berumah tangga, kejayaan anak-anak dalam pelajaran dan diberi kesihatan dan kefahaman tentang Islam dan bertemu jodoh dengan suami hartawan yang soleh.

Terjumpa harta khazanah dibumi berbentuk minyak, gas dan emas terpendam juga termasuk rezeki daripada bumi yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Ketiga : Jika sukar mudahkanlah.

Kadangkala rezeki yang kita cari dan usahakan  mengalami berbagai dugaan dan halangan.Betapa ramai orang berniaga tapi mengalami kerugian dan kegagalan. Betapa banyak keluarga yang dibina hancur ditengah jalan dengan penceraian. Betapa ramai anak-anak yang hidup menyusahkan ke dua ibu bapanya. Semua kejayaan dan keberkatan datangnya daripada Allah S.W.T. disamping kita berikhtiar dan berusaha jangan lupa untuk memohon keselamatan dan kejayaan kita. Jika dipermudahkan segala-galanya maka itu adalah nikmat daripada kurniaan Allah S.W.T.

Keempat : Jika haram sucikanlah.

Di dalam kehidupan sekarang yang penuh dengan sistem muamalah secara bukan Islam iaitu terlibat dengan sisitem riba dimana-mana kadangkala tanpa disedari kita boleh terjebak dengan sisterm tersebut atau sekurang-kurangnya terlibat secara tidak langsung yang termasuk di dalam perkara subha, maka kita berdoalah kepada Allah S.W.T. semoga Dia membersihkan harta kita melalui zakat dan sedekah yang kita berikan.

Kelima : Jika masih jauh dekatkanlah.

Allah S.W.T. Maha Berkuasa untuk memberi dan menarik balik rezeki yang diperuntukkan-Nya kepada manusia. Allah S.W.T. juga Maha Berkuasa untuk mendekatkan rezeki kita yang masih jauh di dekatkan dan diberi-Nya lebih awal dari sepatutnya.

Jika kita banyak sedekah, suka melepaskan kesusuahan saudara kita (dengan memberi pinjaman) ,suka hubungkan balik silaturahim yang terputus dan suka berkhidmat kepada ibu bapa maka Allah S.W.T akan mengurniakan rezeki yang lumayan dan dijalan yang tidak disangka-sangka. Di percepatkan dan dipermudahkan.

Sekiranya kita cukup berkira-kira dan cukup berat untuk membantu atau memberi pinjaman kewangan kepada saudara kita yang memerlukan sebenarnya kita menjauhkan rezeki kita yang sedia ada kepada masa yang lebih jauh atau mungkin Allah S.W.T menarik balik rezeki tersebut. Janganlah kita menyangka dengan kita mengeluarkan sedikit harta kita itu untuk melepaskan kesulitan orang lain harta kita akan berkurangan tetapi sebenarnya tidak sama sekali, harta kita akan bertambah dan akan dipermudahkan segala urusan duniawi kita.

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersada yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya."
(Hadis Riwayat Muslim).

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : “Tidaklah hamba-hamba Allah bangun di pagi hari, kecuali disertai dengan turunnya dua malaikat. Salah satu dari keduanya lalu berkata : ‘Ya Allah berilah orang yang berinfaq ganti (dari barang yang diinfaqkan)’. Dan salah satu lagi berkata ; ‘Ya Allah berilah orang yang menahan (bakhil) akan kerugian.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Oleh kerana manfaat yang cukup besar maka janganlah kita abaikan sedekah yang ikhlas semata-mata kerana Allah atau bantuan untuk melepaskan kesusahan saudara kita. Latihlah diri kita untuk bersedekah, jangan tangguh-tangguh, mulakanlah dengan sedikit setakat kemampuan kita.

Jangan fikir kita akan rugi sebab rezeki yang datang daripada Allah S.W.T. kita tidak tahu dari mana puncanya. Allah akan beri rezeki dari jalan yang tidak di sangka-sangka apabila kita sahut seruan Allah untuk sedekah dan infaq di jalan Allah s.w.t.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pada malam aku pergi ke syurga (ketika Israk Mi’raj), aku melihat tertulis di dalam pintu Syurga, “Setiap sumbangan sedekah digandakan pahalanya kepada sepuluh kali, dan setiap pinjaman tanpa faedah digandakan sebanyak 18 kali.”

Lalu aku bertanya: “Wahai Jibrail, mengapakah pemberian pinjam lebih mulia daripada sedekah?”
“Jawab Jibrail: Kerana yang meminta di waktu meminta itu, sedang ia masih memiliki (mampu), sedangkan orang yang meminta pinjaman tidak akan meminta pinjam kecuali benar-benar di kala keperluan.” (Hadis Riwayat  Ibn Majah)

Di dalam doa selepas solat duha di akhir doa tersebut ada menyatakan " limpahkanlah kepada kami segala yang telah Engkau limpahkan kepada hamba-hamba-Mu yang soleh "

Bermakna kita memohon kepada Allah S.W.T. semoga Dia melimpahkan rahmat kepada kita sebagaimana Dia merahmati hamba-hamba-Nya yang soleh. Alangkan berbahagianya kita jika kita termasuk dikalangan hamba-hamba Allah yang soleh dan diredai-Nya.

Sahabat yang dikasihi,
Dari Abu Dzar r.a., beliau berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Setiap persendian (ruas) tulang salah seorang di antara kamu ada sedekahnya.Setiap tasbih itu sedekah, setiap tahmid sedekah, setiap tahlil sedekah, setiap takbir sedekah, perintah yang baik itu sedekah, mencegah kemungkaran itu juga sedekah. Dan kesemuanya itu cukup dengan melakukan dua rakaat solat dhuha."
(Hadis Riwayat Muslim)

Oleh itu marilah kita istiqamah dan terus mengerjakan solat duha kerana banyak fadilat dan kelebihan yang akan dikurniakan oleh Allah S.W.T. kerana ia juga adalah kunci murah rezeki dan keberkatan.

Wednesday, February 9, 2011

Raut Wajah Orang Mukmin Sentiasa Ceria dan Mendamaikan

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dalam kehidupan seharian, kita sering merasa penat dan letih dengan tugas harian, dengan disertai berbagai masaalah kehidupan megakibatkan perasaan tekanan dan ketegangan.

Untuk boleh  lepas dari keadaan seperti ini kita perlu membagi waktu khusus guna melakukan senaman dan berehat untuk mencari ketenangan, sehingga jiwa kita pun menjadi lebih ceria dan bersemangat kembali. Sebagaimana tubuh yang memerlukan makanan  dan vitemin, jiwa manusia pun memerlukan kerehatan, ketenangan dan keceriaan. 

Rasa gembira merupakan kesan positif kejiwaan yang muncul di berbagai keadaan. Jiwa yang ceria merupakan hal yang penting dalam menghilangkan pengalaman buruk yang tak mungkin dihindari seperti kegagalan, kekecewaan, dan perasaan negatif lainnya. Perasaan gembira boleh membantu kesehatan diri dan kembali pulih dan tenang. 

Imam Ali bin Musa Al-Ridha berkata, "Rekreasi dan permainan yang menghibur, boleh membantu kalian mengatur hidup dan dengannya kalian akan lebih baik memperoleh kejayaan dalam urusan duniawi." 

Para psikologi kini meyakini bahwa kegembiraan dan fikiran yang ceria berpengaruh penting dalam kehidupan manusia. Begitu pentingnya keceriaan bagi manusia sehingga mampu menjadi ubat sejumlah penyakit. Para psikologi percaya, pada abad terakhir ini, manusia disibukkan dengan dirinya sendiri. Keceriaan bukan hanya boleh  mencegah sejumlah penyakit, tapi bahkan boleh membantu dalam perkembangan perniagaan.

Dalam ilmu kedoktoran, tertawa dan gembira merupakan reaksi reflektif yang menyebabkan bergeraknya 15 otot wajah secara tenang, dan mempercepat pernafasan serta peredaran darah sehingga menambah adrenal darah. Kesan dari proses ini menimbulkan perasaan ceria dan gembira dalam diri seseorang. Jika kehidupan manusia kosong dari rasa ceria, nescaya ia akan mengalami derita yang amat berat lantaran beratnya tekanan perasaan."

Menghapus rasa duka dan menciptakan keceriaan merupkan hal yang cukup baik untuk diri sendiri maupun bagi keluarga dan masyarakat. Kerana rasa duka dan ceria tidak hanya terbatas pada pribadi manusia. Keceriaan dan kesedihan seorang manusia boleh berpengaruh juga terhadap orang lain. Oleh kerana itu, kesedihan ataupun keceriaan seseroang berpengaruh juga bagi orang lain di sekitarnya.

Sahabt yang dimuliakan,
Islam sebagai agama universal yang memenuhi seluruh tuntutan jasmani dan rohani manusia mengajarkan bahawa jiwa yang ceria merupakan hal yang perlu bagi kehidupan. Islam mengajarkan pula kepada kita cara melahirkan keceriaan . Keceriaan yang kadang bermanfaat bagi diri sendiri, dan kadang bermanfaat pula bagi orang lain. 

Imam Ali bin Musa Al-Ridha as menyatakan, "Waktu kalian terbagi dalam empat masa. Masa pertama untuk bermunajat dan berdoa kepada Tuhan, masa kedua untuk mencari rezeki, masa ketiga berinteraksi dan bergaul mesra dengan keluarga dan sahabat dan siapa saja yang kalian percaya dan menyimpan aib kalian, dan masa keempat adalah memperuntukkan masa untuk bersenang-senang. Manfaatkan sebaik-baiknya waktu bersenang-senang kalian sehingga boleh membantu dalam menjalankan tugas dan kewajiban kalian".

Salah satu faktor penyebab kegembiraan adalah melihat dan menghayati alam semesta ciptaan Allah. Menyaksikan pemandangan yang indah, warna-warni bunga yang mempesona, pokok-pokok yang hijau, air terjun , gunung-gunung, dan keindahan alam lainnya merupakan kenikmatan yang boleh mendatangkan rasa keceriaan dan kebahagiaan hati.
Selain melihat keindahan alam semesta dengan  melakukan perjalanan (musafir) jua merupakan perkara positif yang diajarkan Islam kepada umatnya. 

Allah S.W.T.  dalam kitab sucinya al-Quran mengajak manusia untuk melakukan perjalanan ke berbagai pelosok muka bumi, sehingga selain boleh mengambil pelajaran dari sejarah dan umat-umat lainnya, juga boleh menikmati keindahan alam di negeri-negeri lain. 

Rasulullah S.A.W. dalam hadisnya bersabda yang maksudnya : "Bermusafirlah supaya kalian sehat".

Olahraga dan sukan juga boleh mendatangkan  keceriaan bagi jiwa manusia. Olahraga merupakan aktiviti positif dan menggembirakan yang selalu ditegaskan oleh para ulama. Tentu saja, jenis olahraga yang boleh  memperkuat semangat ketenteraan dan mengajarkan teknik bela diri lebih dianjurkan. 

Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Hak seorang anak dari bapanya adalah mendapatkan pengajaran cara menulis, berenang, dan memanah serta memperoleh rezeki hanya dari cara yang halal".

Menghadiri acara-acara hiburan yang tidak melalaikan seperti nasyid adalah satu cara boleh menghiburkan hati dan menimbulkan rasa ceria separti menyambut hari-hari kebesaran umat Islam atau majlis perkahwinan. Perlulah menjaga batas-batas pergaulan di antara lelaki dan wanita

Islam melarang acara hiburan dan pesta yang bercampur dengan laku maksiat dan hal-hal yang diharamkan. Yang penting keceriaan dan kegembiraan yang positif boleh diperolehi dengan cara menolong sesama kita untuk menjalankan kerja-kerja dakwah.

Menurut Islam keceriaan yang sebenar hanya boleh diperoleh dengan cara menjalankan perintah agama dan mengurangkan pergantungan  terhadap dunia. Terikat dengan dunia dan tenggelam dalam kehidupan kebendaan akan membuat manusia menjadi lalai dan tamak. Manusia yang tamak tidak akan pernah puas dan hal inilah yang menyebabkan rasa duka dan kesedihan. Oleh itu, manusia yang tidak terlalu terikat dengan kehidupan duniawi, ia akan senantiasa tabah dalam menghadapi segala ujian dan memiliki jiwa yang lebih positif. 

Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud :  "Barang siapa yang menggembirakan seorang mukmin, sebenarnya ia menggembirakan diriku, barang siapa yang menggembirakan diriku, sebenarnya ia menggembirakan Allah".

Sahabat yang dikasihi,
Abu Yazid Al-Busthami, seorang ahli sufi, pada suatu hari pernah didatangi seorang lelaki yang wajahnya kusam dan keningnya selalu berkerut.

Dengan murung lelaki itu mengadu, "Tuan Guru, sepanjang hidup saya, rasanya tak pernah lepas saya beribadah kepada Allah. Orang lain sudah lelap, saya masih bermunajat. Isteri saya belum bangun, saya sudah mengaji. Saya juga bukan pemalas dalam mencari rezeki tetapi mengapa saya selalu malang dan kehidupan saya penuh kesulitan?."

Guru menjawab sederhana, "Perbaiki penampilanmu dan ubahlah raut mukamu. Kau tahu, Rasulullah S.A.W. adalah penduduk dunia yang miskin namun wajahnya tak pernah keruh dan selalu ceria. Sebab menurut Rasulullah S.A.W. salah satu tanda penghuni neraka ialah muka masam yang membuat orang curiga kepadanya."

Lelaki itu tunduk. Ia pun berjanji akan memperbaiki penampilannya. Wajahnya sentiasa berseri. Setiap kesedihan diterima dengan sabar, tanpa mengeluh. Alhamdulillah, sesudah itu dia tidak pernah datang lagi untuk berkeluh kesah.

Memang Allah telah mentakdirkan manusia sebagai makhluk yang paling indah. Bentuknya begitu sempurna, sehingga dipandang dari sudut manapun manusia kelihatan cantik dan serasi. Untuk itu hendaklah kurnia ini jangan dinodai dengan penampilan yang buruk, sebagaimana kata Rasulullah S.A.W. yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah itu indah dan mencintai keindahan."

Namun demikian tidak bererti Islam mengajarkan kemewahan. Islam justeru menganjurkan kesederhanaan. Baik dalam berpakaian, menghias tubuh maupun pada tindakan dalam kehidupan seharian. Nabi S.A.W.  walaupun memakai jubah yang luntur warnanya, tetapi sentiasa bersih.

Sayyidina Umar bin Khattab walaupun jawatannya khalifah, pakaiannya sangat sederhana dan tidak nampakkan tanda kebesaran diri. Tetapi kerapian berpakaian selalu dijaga. Sikapnya ramah, wajahnya sentiasa mengukir senyum. Raut mukanya berseri. Tidak hairanlah jika Imam Hasan Al-Basri berpendapat, awal keberhasilan suatu pekerjaan adalah raut muka yang ramah dan penuh senyuman. Rasulullah juga pernah bersabda bahawa senyuman adalah sedekah paling murah tetapi besar pahalanya.

Sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud, "Senyuman kepada saudaramu adalah sedekah."

Oleh itu marilah sama-sama kita memperbaiki penampilan diri dengan raut wajah yang ceria dan mendamaikan dan sentiasa senyum tanda hati yang bersih dan tulus ikhlas.

Tuesday, February 8, 2011

Hari Lahirku Yang ke 53 Tahun

Tanggal 08.02.2011 genaplah usiaku 53 tahun.

Ya Allah, ya Tuhanku!
Umurku telah meningkat tapi amalku masih sedikit!
Masih banyak tugas dan amanah yang masih belum mampu ku laksanakan.
Ya Allah, ampunkan semua dosa-dosaku,
Berilah kemampuanku untuk memikul tugas dan amanah yang Kau berikan.

Janganlah Kau biarkan aku keseorangan tanpa Kau berkati dan rahmati hidupku ini, aku tidak ada tempat lain untuk meletakkan harapan dalam hidup ini melainkan kepada-Mu.

Ya Allah!
Kurniakanku lisan yang lemah lembut mengingati dan meyebut nama-Mu,
hati yang segar mensyukuri nikmat-Mu dan badan yang ringan mentaati perintah-Mu,

Ya Allah!
Kurniakan kepadaku iman yang sempurna,
hati yang khusyuk, ilmu yang berguna, keyakinan yang benar-benar mantap.

Ya Allah!
Kurniakan untuk ku cara hidup Islam yang jitu dan unggul,
selamat dari segala mara bahaya dan petaka.
Ku mohon ya Allah, kecukupan yang tidak sampai aku terpaksa meminta jasa orang lain.

Ya Allah,
Berikan kepadaku iman yang sebenarnya sehingga aku tidak gentar mengharap orang lain selain Engkau sendiri. Kembangkanlah  lembayung rahmat-Mu kepada diriku, isteri dan anak-anakku, sahabat-sahabatku, serta siapa saja yang bersamaku.

Janganlah Kau biarkan nasibku ditentukan oleh diriku sendiri walaupun sekadar sekelip mata atau kadar masa yang lebih pendik dari itu.

Ya Allah!
Kenapa hati ini begitu keras untuk mengingati-Mu?
Mungkinkah jiwaku sudah penuh dengan kekotoran?
Setiap hari aku solah, membaca al-Quran, tetapi aku tidak dapat merasai kenikmatannya.
Bagaimanakah akan aku tempohi hidup ini?
Adakah jiwa ini akan dapat Engkau terima?


Ya Allah!
Janganlah Engkau tinggalkan aku.
Janganlah Engkau biarkan jiwa ini ternoda dengan kemaksiatan.
Apalah diri ini tanpa-Mu.
Aku begitu lemah untuk mengharung gelombang dunia ini.
Ku harapkan reda, kasih sayang dan belaian mesra dari-Mu

 Ya Allah!
Aku tidak layak memasuki syurga-Mu tetapi aku tidak sanggup memasuki neraka-Mu
oleh itu ampunkan dosa-dosaku yang aku ketahui dan yang tidak aku ketahui, yang kemudian dan yang akan datang.

Ya Allah, perbaikilah agamaku kerana ia merupakan pangkal urusanku, perbaikilah duniaku kerana ia merupakan penghidupanku, perbaikilah akhiratku kerana ia merupakan tempat kembaliku, dan jadikanlah hidup sebagai kesempatan untuk menambah setiap kebaikanku, dan jadikanlah mati sebagai pelepas diriku dari setiap kejahatan.

Ya Allah,
Jadikan hatiku yang sentiasa bersyukur, . lisan yang sentiasa berzikir
,tubuh yang sentiasa sabar dalam menanggung musibah, dan isteri yang tidak pernah khianat sama ada terhadap dirinya atau terhadap harta bendaku.

Ya Allah,
Tolonglah aku agar dapat berzikir dan mengingati-Mu , bersyukur kepada-Mu, dan memperelokkan ibadah kepada-Mu.

Ya Allah,
Tiada yang mendatangkan kebaikan melainkan Engkau, dan tiada yang menghilangkan keburukan melainkan Engkau, tiada upaya melainkan dengan keizinan-Mu

Ya Allah ya Tuhan ku,
Aku mempunyai sahabat-sahabat yang nyata dan sahabat-sahabat di alam siber.

Kau berilah sihat wal afiat kepada kami , Kau berilah taufik dan hidayah-Mu, Kau berilah kefahaman yang mendalam tentang Islam, Kau berikanlah kekuatan pada kami untuk mengamalkannya dan kemampuan pula untuk menyampaikannya pada orang lain.



Ya Allah Kau jadikanlah kami sahabat-sahabat di dunia dan sahabat-sahabat di hari akhirat, kami mohon ketika di hari akhirat nanti kami semua dapat berteduh dibawah naungan-Mu.

Ya Allah,
Kau satukanlah hati-hati kami dengan ikatan persaudaraan Islam, Kau pertemukanlah kami di dunia dan pertemukanlah kami di hari akhirat bersama hamba-hamba-Mu yang Kau redhai.

Jadikanlah hati –hati kami bertemu dan berpisah semata-mata untuk mencari keredaan-Mu. Jadikanlah kami batu-bata untuk membina bangunan Islam, pilihlah kami untuk menjadi para dai’e-Mu untuk melaksanakan amal maaruf dan nahi mungkar.

Ya Allah ,
Ampunkanlah dosa-dosa kami, yang telah kami lakukan dengan sengaja atau dengan tidak sengaja, yang kami ketahui dan yang tidak kami ketahui, sesungguhnya Engkau suka mengampuni, ampuni kami ya Allah.
 
 
Ya Allah,
Jadikan hati-hati kami cinta kepada al-Quran. Jadikan al-Quran sebagai imam, cahaya, hidayah dan sumber rahmat kepada kami.
 
Ya Allah,
Kurniakan kebaikan kepada kami dalam beragama, yang merupakan kunci kehormatan, kurniakan kebaikan di dunia ini tempat kami menjalani kehidupan, kurniakan kebaikan akhirat yang merupakan tempat kami akan kembali. Jadikan hidup kami sentiasa baik. Jadikan kematian sebagai pembebasan kami dari segala keburukan.
 
Ya Allah,
Jadikan umur terbaik kami dipenghujungnya, jadikan amal terbaik kami dipenutupnya, jadikan hari-hari terbaik kami saat bertemu dengan-Mu.
 
Ya Allah,
Kami mohon kepada-Mu kehidupan yang baik, kematian yang mulia (husnul khatimah) dan tempat kembali yang tidak menyedihkan dan terhindar daripada azab yang menyakitkan.
 
Ya Allah,
Kami memohon kepada-Mu permintaan terbaik, doa terbaik, kejayaan terbaik, ilmu terbaik, pahala terbaik, kehidupan terbaik, kematian terbaik. Kuatkan kami, beratkan timbang kebajikan kami, realisasikan iman kami, tinggikan darjat kami, terimalah solat kami dan ampunkan dosa-dosa kami.
 
Ya Allah,
Kami memohon kurnia dari-Mu, keampunan yang harus Engkau berikan, keselamatan daripada segala dosa, mendapat ganjaran dari segala kebajikan dan kemenangan mendapat syurga-Mu dan dijauhi dari api neraka.
 
Ya Allah,
Kurniakanlah kebaikan bagi kami dalam segala urusan, berikan pahala dari luka dunia dan seksa akhirat.
 
Ya Allah,
Kurniakanlah untuk kami rasa takut kepada-Mu yang membatasi antara kami dan perbuatan maksiat kepada-Mu, dan anugrahkanlah ketaatan kepada-Mu yang akan menyampaikan kami ke syurga-Mu. Anugrahkanlah kami keyakinan yang akan menyebabkan ringannya kami segala musibah di dunia ini.
 
Ya Allah,
Kurniakan kenikmatan kepada kami melalui pendengaran, penglihatan dan dalam kekuatan kami selama kami masih hidup dan jadikan ia warisan dari kami. Tolonglah kami dari orang-orang yang memusuhi kami. Janganlah Engkau jadikan musibah kami dalam urusan agama kami. Janganlah Engkau jadikan dunia ini cita-cita terbesar kami dan puncak dari ilmu kami. Janganlah Engkau jadikan berkuasa orang-orang yang tidak mengasihi kami.
 
Ya Allah,
Janganlah Engkau tinggalkan kami dalam keadaan berdosa melainkan Engkau ampunkan dosa-dosa kami. Jadikan kesulitan dalam hidup ini melainkan Engkau berikan jalan keluar. Tidak ada hutang-hutang kami melainkan kami mampu selesaikan. Dan tidak ada suatu keperluan dunia dan akhirat melainkan Engkau penuhi wahai Tuhan  semesta alam.
 
Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di hari akhirat serta jauhkan kami daripada seksaan api neraka.
 
Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga baginda dan para sahabat yang terpilih dan kepada mereka-mereka yang beriman dan bertakwa dari masa ke masa sehingga hari kiamat. Amiin.