Saturday, August 29, 2009

Kebesaran Kalimah Allah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Hidup didunia ini penuh cabaran dan dugaan. Ujian dari Allah SWT. akan datang dalam berbagai bentuk untuk menguji manusia, siapa diantara mereka yang sabar dan tenang menghadapi cabaran hidup. Orang-orang Mukmin, menganggap bahawa hidup didunia ini hanya sementara dan diakhiratlah tempat yang kekal abadi. Mereka akan sentiasa mengingati Allah SWT dan sentiasa berzikir supaya hati mereka akan menjadi tenang dan tenteram dan sentiasa reda dengan qadak dan qadar dari Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan zikrullah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allah (zikrullah) hati menjadi tenteram.” (Surah Ar-Ra’d ayat 28).

Sabda Rasulullah SWT. yang bermaksud :
”Tidak duduk satu jemaah mengucap zikrullah, melainkan (di tempat itu) telah di kelilingi malaikat-malaikat yang dipenuhi rahmat dan diturunkan kepada mereka sakinah (ketenangan).” (Hadis Riwayat Muslim).

Di dalam hadis yang lain Nabi SAW. ada bersabda yang bermaksud : “Seutama-utama apa yang kuucapkan, aku dan Nabi-nabi yang sebelumku, ialah “Laa ila ha illallah”

Dari Abi’d Dardaak Nabi SAW  bersabda yang bermaksud : “Tidaklah seorang hamba yang mengucapkan ‘Laa ila ha illallah’ 100 kali, melainkan dibangkitkan Allah Ta’ala di hari kiamat (kelak) sedang mukanya seperti bulan purnama.”

Dari hadis yang lain Nabi SAW  bersabda yang bermaksud : “Barangsiapa mengucapkan ‘Laa ila ha illallah’ 100 kali sehari, samalah seperti dia dengan memerdekakan 10 orang hamba sahaya dan dicatatlah 100 kebajikan serta dihapuskan 100 kejahatan”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sahabat yang dimuliakan,
Zikir kalimah “ Laa ila ha illallah” adalah digelar zikir pembersih hati. Kalimah ini juga dinamakan anak kunci pembuka syurga kerana Nabi SAW  pernah bersabda dalam khutbahnya bahawa pintu syurga akan terbuka pada setiap orang yang menyebut “ Laa ila ha illallah” itu dengan betul-betul ikhlas walaupun sekali dalam seumur hidupnya. Pintu ini banyak tetapi kunci yang satu itu boleh membuka semua pintu tersebut."

Nabi Musa a.s diberitahu oleh Allah SWT. bahawa zikir “Laa ila ha illallah” itu adalah ibadat yang paling disukai-Nya sebab kemampuan zikir ini menimbulkan perasaan ikhlas yang mendalam dalam jiwa orang mukmin.

Nabi SAW pernah berkata bahawa sesiapa diantara orang Islam yang mati diakhir kalamnya menyebut kalimah "Laa ila ha illallah" maka ianya akan dimasukkan kedalam syurga.

Sahabat yang dikasihi,
Kalimah "Laa ila ha illallah" bermakna "Tidak ada Tuhan (Ilah) yang di sembah melainkan Allah", kalimah ini membawa pengertian yang cukup besar. Setiap para Rasul dan Nabi diutuskan Allah SWT ke muka bumi ini adalah mengajak kaum mereka dan umat manusia untuk kembali mentauhidkan Allah SWT. Menyeru mereka supaya membuang semua sembahan-sembahan dan tuhan-tuhan lain, patung-patung berhala, meninggalkan peraturan dan adat istiadat datok nenek moyang mereka dan kembali mengambil hanya sistem hidup dan undang-undang ciptaan Allah semata-mata.

Kesemua mereka yang menentang seruan para Rasul utusan Allah SWT adalah disebabkan mereka mempunyai kepentingan duniawi. Mereka tahu tabiat buruk mereka yang sentiasa menuruti hawa nafsu mereka akan dihalang dan di sekat. Mereka seronok dengan arak, wanita, riba, judi, tenung nasib, perdagangan manusia, penindasan kepada orang fakir miskin dan bermacam-macam amalan yang lari dari fitrah asal manusia. Hakikatnya mereka menolak Tauhud Rububiyah dan Tauhid Uluhiyah.

Walaupun kita berada di zaman sains dan teknologi, zaman ict dan internet yang serba cangih tetapi apabila cara hidup kita lari dari peraturan Allah, menyimpang dari maksud sebenar kalimah "Laa ila ha illallah" iaitu mengambil hawa nafsu sebagai tuhan dan meyakini undang-undang ciptaan manusia adalah undang-undang terbaik dan menafikan hak mutlak undang-undang Allah maka manusia seperti ini pada hakikatnya sama seperti umat jahiliyah yang terdahulu. Walaupun mereka membaca kalimah "Laa ila ha illallah" tetapi sekiranya kehidupan mereka lari dari roh (hakikat) kalimah ini maka kalimah ini tidak dapat menyelamatkannya dari seksaan api neraka.

Oleh itu mari kita amalkan zikir kalimah ini dengan kefahaman yang mendalam diatas tuntutan kalimah ini dan dengan hati yang penuh yakin untuk menyelamatkan kita dari seksaan api neraka dan dimasukkan kedalam syurga seluas langit dan bumi melalui mana-mana diantara pintu-pintunya.

Friday, August 28, 2009

Kelebihan Zikir

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,  
Sesungguhnya, zikrullah mempunyai pelbadai kelebihan yang tiada tolok bandingnya. Hafiz Ibnu Qayyim, seorang ulama hadis yang masyhur telah mengarang sebuah risalah bernama Al-Wabil, yang mengandungi berbagai-bagai penjelasan mengenai kelebihan berzikir. Di dalam risalah itu, beliau berkata bahawa zikir mempunyai faedah kira-kira lebih dari seratus faedah, di sini di nyatakan hanya sepuluh sahaja kelebihannya :

1. Zikir boleh menjauhkan syaitan dan menghancurkan kekuatannya.

2. Zikir boleh melahirkan cinta sejati kepada Allah SWT kerana cinta itulah merupakan roh Islam, jiwa agama dan sumber kejayaan dan kebahagiaan. Barangsiapa ingin mendapat cinta Ilahi itu, maka hendaklah ia berzikir sebanyak-banyaknya.

3. Zikir mendatangkan hakikat muraqabah. Muraqabah itu membawa seorang kepada martabat Ihsan. Dengan Ihsan, manusia dapat beribadah kepada Allah SWT dalam keadaan seolah-olah ia melihat-Nya (keadaan seperti inilah merupakan tujuan asasi setiap perjalanan para sufi).

4. Zikir membawa seorang kepada penyerahan diri yang bulat kepada Allah SWT. Dengan ini, lama kelamaan maka setiap urusan dan dalam setiap keadaan Allah SWT menjadi pelindung dan pembantunya.

5. Zikir membawa seorang kepada taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah SWT. Jika zikir itu bertambah banyak, maka dengan sendirinya ia bertambah dekat kepada Allah SWT dan sebaliknya, jika ia bertambah lalai daripada berzikir, maka dengan sendirinya ia makin bertambah jauh daripda Allah SWT.

6. Zikir adalah membuka pintu makrifat (mengenal) Allah SWT.

7. Zikir boleh menghidupkan hati. Perbandingan zikrullah dengan hati seseorang ibarat ikan dengan air. Ingatlah, apakah halnya ikan itu kalau ia tidak berada di dalam air?

8. Zikir adalah santapan bagi roh dan hati. Andaikata keduanya tidak dapat menikmati santapannya, maka adalah sama seperti badan yang tidak mendapat makanan.

9. Zikir boleh membersihkan hati daripada kekaratan (kekotoran) sepertimana diterangkan di dalam hadis, bahawa tiap-tiap sesuatu mempunyai daki dan kotoran baginya. Daki dan kotoran hati ialah keinginan dan kelalaian yang tidak dapat dibersihkan melainkan dengan berzikir.

10. Nur zikir sentiasa bersama dengan orang yang berzikir sama di dunia ini atau di dalam kubur. 

Firman Allah SWT. yang bermaksud : “Apakah orang yang sudah mati (sudah sesat) kemudian Kami hidupkan ia (menjadi ia beragama Islam) dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang. Dengan cahaya itu, dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia (nur itu sentiasa bersama dengannya) serupa dengan orang-orang yang berada di dalam keadaan gelap gelita yang tidak dapat keluar daripadanya.” (Surah Al-An’am ayat 122)

Demikianlah beberapa kelebihan amalan zikir. Sesungguhnya kepentingan zikrullah tidak boleh dipertikaikan. Ia adalah jalan para Anbiya dan Auliya yang terbukti berjaya melahirkan hamba Allah yang bertakwa dan bersih jiwa dan nuraninya, yang memancarkan cahaya ketenangan kepada seluruh makhluk dan alam. Jadilah hamba Allah yang hidup hati nuraninya dengan cahaya yang akan menerangi kita di dunia dan akhirat.

Sahabat ayng dimuliakan,
Nabi SAW  menjelaskan tentang apa yang terjadi dalam majlis zikrullah. Nabi SAW bersabda bahawa sekumpulan malaikat diberi tugas khusus oleh Allah SWT. membuat rondaan di muka bumi ini untuk melihat orang yang berzikir itu. Apabila malaikat itu berjumpa dengan jemaah orang yang berzikir itu, malaikat berasa sukacita, lalu memanggil lebih ramai malaikat masuk ke dalam kumpulan tersebut. Mereka saling berpegangan sayap dan membuat satu barisan yang sampai ke langit.

Apabila majlis zikir itu tamat, malaikat itupun kembali kelangit. Allah bertanya ke mana mereka pergi (walaupun Allah Maha Mengetahui ke mana mereka pergi). Para malaikat itu menjawab bahawa mereka kembali dari majlis zikir yang mengagung dan membesarkan Allah.

Allah bertanya pada mereka, "Pernahkah mereka melihat Aku?"

Malaikat menjawab, "Tidak, wahai Tuhan kami."

Allah bertanya,"Apakah anggapan mereka sekiranya mereka melihat Aku?"

Malaikat menjawab,"Jika demikian mereka akan bertambah-tambah lagi mengingati dan memuliakan Engkau."

Allah bertanya,"Apa yang mereka pinta dari-Ku?"

Malaikat menjawab,"Mereka rindukan syurga-Mu?"

Allah bertanya,"Pernahkah mereka melihatnya?"

Malaikat menjawab,"Belum pernah."

Allah bertanya,"Apa akan terjadi jika mereka melihatnya?"

Malaikat menjawab,"Mereka akan bertambah rindu lagi."

Allah bertanya lagi,"Dan apakah mereka hendak berlindung?"

Malaikat menjawab,"Mereka minta perlindungan daripada neraka-Mu."

Allah bertanya,"Pernahkah mereka melihat neraka-Ku?"

Jawab malaikat,"Belum lagi wahai Tuhan kami."

Allah bertanya,"Bagaimana kalau mereka melihat neraka-Ku?"

Malaikat menjawab,"Mereka bertambah-tambah lagi memohon perlindungan daripada-Mu supaya dilindungi daripada neraka."

Kemudian Allah berkata kepada para malaikat bahawa Dia telah mengampunkan semua dosa mereka yang berzikrullah itu. Tetapi seorang malaikat bertanya,"Ya Allah, ada seorang yang kebetulan duduk sahaja hampir dengan mereka yang berzikir itu dan bukan termasuk dalam kumpulan yang berzikir itu." (iaitu zikir dengan ikhlas)

Allah menjawab,"Bahkan yang seorang itu pun Aku ampuni. Majlis zikrullah itu sangat mulia hinggakan orang yang berada di tepi majlis mereka itu pun mendapat ganjaran daripada-Ku."

Sahabat yang dikasihi,
Majlis zikir itu berbagai-bagai bentuk dengan gelaran Majlis Usrah, Halaqah, Tadarus al-Qur'an, Zikir Asma' Allah (nama-nama Allah) , Zikir al-Ma'thurat dan sebagainya. Semuanya adalah untuk memuji Allah dan mengagongkan kebesaran-Nya. Marilah kita teruskan melaksanakan majlis zikir iaitumengingati Allah SWT.

Thursday, August 27, 2009

Mari Muhasabah Ibadah Kita...

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Syukur kita kepada Allah SWT. sehingga kehari ini kita telah menjalani ibadah puasa selama enam hari. Allah SWT masih memanjangkan usia dan di berinya kesihatan pada kita untuk melaksanakan kewajipan berpuasa untuk melaksanakan salah satu daripada Rukun Islam. Untuk muhasabah diri, adakah selama berpuasa enam hari ini kita ada merasakan sedikit kesan atau perubahan dalam hati dan jiwa kita?

Sekiranya ada alhamdulillah! Ini bermakna kesan iman dan takwa dan rahmat Allah itu ada menunjukkan peningkatan dan berlaku keatas diri kita.Tetapi sekiranya kita rasakan tidak ada apa-apa perubahan, hati dan jiwa kita sekarang ini sama seperti ketika berada dibulan-bulan sebelum Ramadhan, bermakna ada sesuatu yang tak kena pada proses tarbiyyah di Madrasah Ramadhan yang sedang dilalui ini.

Rasulullah SAW ada menyatakan bahawa permulaannya rahmat (10 hari pertama), pertengahannya pengampunan (10 hari kedua) dan penghujungnya terlepas dari api neraka (10 hari terakhir).

Tanda-tanda Allah SWT memberikan rahmatNya kepada kita adalah kita merasakan keseronokan menjalankan berbagai-bagai aktiviti ibadah, rasa tak puas-puas dengan ibadah. Tak cukup dengan solat tarawih 20 rekaat dan 3 witir, bangun awal pagi untuk melaksanakan solat taubat, solat tahajud,solat hajat dan solat tasbih. Membaca al-Quran pada masa-masa yang terluang, bertekat untuk khatam 30 Juzuk al-Quran sebelum masa 10 hari terakhir.

Memperbanyakkan zikir-zikir yang lain dan berdoa berulang-ulang kali tanpa jemu dan bosan dan memohon dan bermunajat bersungguh-sungguh dengan keyakinan bahawa Allah SWT akan memperkenankan doa-doa kita tanpa sedikit pun keraguan. Salah satu tempat doa anak Adam yang mustajab dan diterima oleh Allah SWT  adalah mereka yang berpuasa sehingga waktu berbuka.

Sudah berapa banyak sedekah yang kita telah hulurkan pada orang fakir miskin dan anak yatim? Dan berapa wang telah di masukkan dalam tabung-tabung masjid? Adakah solat 5 waktu kita kerjakan berjemaah dimasjid? Berapakalikah kita berbuka puasa dan solah jemaah Magrib dimasjid dan kiamulail ? Persoalan ini perlu dijawab kerana amalan-amalan tersebut perlu di laksanakan tanda perubahan dan peningkatan amal kita kepad Allah SWT

Salah satu tanda Allah SWT kasih dan memberi rahmat pada hamba-hamba-Nya, Dia memberi kefahaman terhadap deen Islam dan diberi-Nya kekuatan untuk beramal dan merasa rakus dan tak puas-puas untuk melaksanakan amal soleh.

Sahabat yang dimuliakan,
Sekiranya peningkatan amal telah berlaku maka teruskan dan istiqamahlah hingga akhir Ramadan, hasilnya nanti insya Allah SWT kita akan menjadi insan yang berakal dan bertakwa. Tetapi seandainya belum ada perubahan yang diharapkan, jangan risau masih ada masa lagi untuk kita pertingkatkan amal ibadah dan amal soleh. Rebutlah peluang keemasan ini, mohonlah sungguh-sungguh pada Allah s.w.t semoga permulaan rahmat ini tidak terlepas begitu sahaja tanpa kita menikmati kemanisannya.

Minta kita dilindungi Allah SWT dari hadis Nabi SAW. yang bermaksud, “ Dan celaka bagi sesiapa yang bertemu dengan Ramadan tetapi tidak mendapat apa-apa daripadanya.”

Berpuasa dan mengerjakan amal ibadah di bulan Ramadan dengan hati yang penuh ikhlas akan melahirkan manusia yang berakal dan bertakwa.

Abul Laits as-Samarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Said bin Al-Musayyab bahawa Umar dan Ubai bin Kaab dan Abu Hurairah r.a masuk bertemu Nabi SAW. dan bertanya,” Ya Rasulullah, siapakah orang yang terpandai?”

Rasulullah SAW menjawab maksudnya, “Orang yang berakal”

Kemudian mereka bertanya lagi, “ Siapakah orang yang sangat banyak ibadat?”

Jawab Nabi SAW, “Orang yang berakal.”

Mereka bertanya,” Siapakah orang yang lebih utama (afdal)?”

Jawab Nabi SAW, “Orang yang berakal.”

Lalu mereka berkata,” Ya Rasulullah tidakkah orang-orang yang berakal itu orang yang sempurna akhlaknya, jelas kata-katanya, murah tangannya dan besar kedudukannya?”

Baginda menjawab, “ Itu semua perlengkapan kepuasan hidup di dunia sedang akhirat yang di sisi Tuhan itu untuk orang yang bertakwa meskipun dia di dunia tiada kedudukan, yakni orang yang bertakwa ialah orang yang taat dan meninggalkan semua maksiat.”

Sahabat yang dikasihi,
Berilah dorongan kepada anak-anak dan adik-adik kita supaya mereka dapat melatihkan diri mengerjakan ibadah puasa. Walaupun usia mereka masih terlalu muda tetapi asuhan dan didikan perlu diberilkan supaya apabila mula meningkat usia remaja latihan puasa telah mereka terima sejak kecil lagi dan ianya akan menjadi kebiasaan. Pepatah melayu ada menyatakan ‘Bila nak lentur buluh biarlah semasa rebung’.

Betapa besarnya dosa meninggalkan ibadah puasa tanpa uzur syarie.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,”Sesiapa berbuka satu hari pada Ramadan tanpa ada ruksah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat menggantikan puasa ditinggalkan itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup.”

Didalam syurga terdapat satu pintu bernama Ar-Rayyan khusus untuk orang-orang berpuasa.

Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud,”Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang-orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada hari kiamat kelak. Tidak boleh masuk bersama mereka seorang pun selain mereka. Kelak akan ada pengumuman : Di manakah orang yang berpuasa? Mereka berduyun-duyun masuk melalui pintu tersebut. Setelah seorang yang terakhir dari mereka masuk. Pintu itu ditutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Akhir kata, marilah sama-sama kita hudupkan malam-malam Ramadan ini dengan hati yang penuh khusyuk dan tawaduk kepada Allah SWT. Sebaik-baiknya banyakkan beriktikaf di masjid walaupun belum sampai sepuluh terakhir, kerana beriktikaf banyak fadilatnya.

Kita bertandang dirumah Allah dan menjadi tetamu Allah. Sebenarnya para-para malaikat juga bersama-sama beribadah dan berdoa di dalam masjid. Alangkah mulia dan beruntungnya bacaan ‘amin’ disebut bersama-sama ‘amin’ para malaikat ketika solat berjemaah dilaksanakan.

Wednesday, August 26, 2009

Hormati dan Kasihilah Ibu Bapa Kamu

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dari mana asal kita?Tidak lain dari keturunan ibu dan bapa.
Begitulah satu renungan besar yang mesti terpahat di dalam sanubari.
Betapa susahnya si ibu membawa kandungan berbulan-bulan, saat melahirkan penentuaan antara hidup dan mati, menyusukan dan membesarkan dan mendidik kita, bapa pula bersusuh payah mencari rezeki dan menyara keluarga. Terlalu besar jasa dan pengorbanan mereka berdua dan kita tidak akan mampu membalasnya.

Abu Laith Samarqandi meriwayatkan bahawa datang seorang pemuda berkata kepada Rasulullah SAW "Ya Rasulullah, ibu saya sakit di tempat saya, maka sayalah yang memberi makan dan minum. Tangan sayalah yang mewudhukkan mereka, mengangkat di atas bahu saya. Apakah dengan itu terbalas jasa-jasa mereka?"

Jawab Nabi SAW yang bermaksud, "Belum satupun dari jasa-jasa mereka! Cuma kau telah berbuat baik, dan Allah akan memberi pahala yang besar terhadap amal kau yang sedikit itu."

Sahabat yang dimuliakan,
Untuk menjadi anak yang soleh dan solehah, kita semestinya berbakti semaksima mungkin kepada kedua ibu dan bapa. Hormatilah dan dengarlah nasihat mereka, sekiranya pilihan hati kita tidak direstui oleh ibu bapa , utamakanlah pendapat mereka kerana keredhan Allah bergantung kepada keredhaan ibu bapa. Janganlah menjadi anak yang derhaka, sesungguhnya anak yang derhaka tidak akan mencium bau Syurga.

Firman Allah SWT.yang bermaksud :
"Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun;(dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)."
(Surah al-Luqman ayat 14)

Berurusanlah dengan mereka dengan berendah hati untuk mengelak membantah dengan suara keras. Membentak sekalipun dengan satu perkataan umpama 'cis' menguris hati mereka. Tanyalah mana-mana orang tua dan mula lemah anggota kerana ketuaan, bantahan anak memang memilukan hati. Hati orang tua cukup sensitif.

Allah menjadikan orang tua lazimnya bersifat pengasih dan penyayang, lebih-lebih lagi orang tua yang sangat manis beribadat. Mereka suka melihat kelakuan anak yang sopan terhadap mereka, mengambil berat tentang mereka, dan menjadi kawan bicara mereka. Tugas seumpama itu tidak berat. Usahlah kesibukan membuat kita abaikan mereka. Jika berjauhan seringkalilah hubungi mereka melalui telefon tanya khabar, walaupun hanya dua tiga patah perkataan sebenarnya boleh mengembirakan hati ibu bapa. Bila ada masa lapang ambillah cuti dan ziarahlah mereka, sesungguhnya apabila kita membuat hati ibu dan bapa gembira menyebabkan Allah meredhai hidup kita.

Firman Allah SWT. yang bermaksud :
"Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan do'akanlah (untuk mereka dan berkata): "Wahai Tuhanku. Cucuri mereka dengan rahmat sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku semasa kecil."
(Surah al-Isra' ayat 24)

Ayat itu menuntut supaya kita membuang sifat besar diri terhadap mereka yang kelihatan lemah atau nyanyuk. Wajib kita rasa rendah di hati. Dituntut pula kita memasukkan do'a terhadap mereka dalam do'a harian kita. Begitulah suci hati kita terhadap ibu bapa saban hari tanpa diketahui oleh mereka.

Sahabat yang dikasihi,
Sekiranya ibu bapa kita telah meninggal dunia, kita masih boleh berjasa kepada mereka, iaitu kita berdoa untuk mereka semoga Allah SWT mengampunkan dosa-dosa mereka. Bukan setakat doa-doa kita sahaja boleh membantu mereka dialam barzah, tetapi sedekah, amal jariah dan amal soleh yang kita laksanakan, disamping kita memperolehinya, kedua ibu bapa yang berjasa mendidik kita sehingga kita menjadi anak yang soleh akan mendapat sahamnya. Begitu besarnya rahmat Allah SWT tidak mensia-siakan amal kebaikan yang di buat ketika di dunia ini.

Terdapat juga beberapa amalan kebaikan lain yang boleh kita laksanakan sebagai bakti kita kepada kedua ibu bapa walaupun mereka telah meninggal dunia seperti hadis dibawah.

Seorang dari suku Bani Salimah datang dan bertanya kepada Rasulullah SAW, "Kedua orang tuaku telah mati, apakah ada cara untuk aku berbakti kepada mereka?"

Jawab Nabi SAW, "Ya, membaca istighfar untuk kedua mereka, melaksanakan wasiat mereka, menghormati sahabat-sahabat mereka, dan menghubungkan keluarga mereka."

Tuesday, August 25, 2009

Hati Yang Hidup dan Hati Yang Mati.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Dari Abu Musa r.a. Rasulullah SAW besabda yang bermaksud : “Perumpamaan orang yang berzikir dengan yang tidak berzikir, seperti orang yang hidup dan orang yang mati.”
(Hadis Riwayat Bukhari)

Berdasarkan hadis Nabi SAW  diatas dapatlah kita ambil iktibar bahawa perumpamaan hidup dan matinya manusia adalah bergantung kepada berzikir atau tidaknya seorang manusia itu. Apabila ia tinggalkan zikir bermakna seolah-olah seperti sudah mati walaupun darisegi fizikalnya ia masih hidup. Sebaliknya pula orang yang berzikir diumpamakan oleh Nabi SAW seperti orang yang hidup.

Fungsi dan kedudukan zikir pada hati sama dengan fungsi makanan bagi tubuh. Seseorang yang tidak memenuhi ruang hati dan rohnya dengan zikir, samalah umpama tubuh yang tidak diberi bekalan makanan sebagai sumber kekuatan. Apabila hati kosong dengan zikrullah, semakin hari ia semakin lemah, mudah terumbang ambing, goyah dan resah. Hati yang lemah mudah dikuasai oleh hawa nafsu dan mudah dikotak katikkan oleh syaitan laknatullah. Akhirnya apabila keadaan ini berterusan hati akan menjadi keras, sakit dan akan terus mati.

Hati yang mati adalah hati yang tidak dapat menjalankan apa-apa fungsi. Manusia yang memiliki hati yang sakit atau mati, adalah manusia yang tidak ada nilai, tanpa pengemudi. Neraca penentuan sikapnya hanya ditentukan oleh hawa nafsu. Keadaan mereka ini lebih dahsyat jika dibandingkan dengan orang yang mati fizikalnya.

Manusia yang mati fizikalnya tidak membawa kemudaratan kepada manusia sekelilingnya namun manusia yang mati hatinya akan merugikan diri sendiri dan akan memudaratkan orang lain. Oramg yang mati hatinya akan bertindak mengikut hawa nafsu dan melakukan banyak kerosakkan, maksiat, jenayah dan perbuatan dan amalan yang membawa kemurkaan Allah SWT.

Sahabat yang dimuliakan,
Hati yang sentiasa diisi dengan zikir kepada Allah SWT, akan menjadi kuat, teguh, istiqamah, mampu mematahkan serangan dan pengaruh hawa nafsu yang dikendalikan oleh syaitan. Hati yang hidup, bersih dan salim akan dekat kepada Allah SWT, jauh dari gelisah dan keluh kesah dan sentiasa tenang dan gembira. Hati-hati seperti inilah yang akan diingati oleh Allah SWT, dikasihi dan diredai-Nya .

Firman Allah SWT. yang bermaksud : "Berzikirlah kamu kepada-Ku, nescaya Aku ingat kepadamu.” (Surah al-Baqarah ayat 152)

Seorang pemuda bertanya kepada Rasulullah SAW :  “Ya Rasulullah, sesungguhnya pintu-pintu kebaikan itu banyak, tapi aku tak mampu melakukan seluruhnya. Beritahukanlah kepadaku nasihat apa yang dapat aku pegang teguh, nasihat yang singkat sehingga aku tidak mudah melupakannya.”

Rasulullah SAW menjawab, “Basahlah lidahmu selalu dengan zikrullah.”
(Hadis Riwayat Tirmizi)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW  bersabda yang bermaksud : “Barangsiapa yang mengatakan ‘subhanallah wa bihamdhi’, akan ditanam untuknya pohon kurma di syurga.”
(Hadis Riwayat Tirmizi).

Berdasarkan dua hadis diatas zikrullah begitu sederhana dan mudah dilaksanakan. Namun ganjarannya yang akan diperolehi adalah besar. Walaupun ianya mudah untuk dilaksanakan tetapi anggota masyarakat kita merasakan ianya amat sukar. Mereka lebih tertarik dengan lagu-lagu irama merdu, mengasyikkan dan melalaikan hati.

Sahabat yang dikasihi,
Zikrullah banyak caranya boleh dilakukan. Boleh dilakukan dengan menyebut asma’ Allah (nama-nama Allah), sifat dan memuji-Nya seperti ucapan ‘Subhanallah, Alhamdulillah, Laa Ilaahaillallah, Allah akbar,dan zikir-zikir lain yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Didalam kitab zikir Al-Ma’thurat merupakan himpunan zikir-zikir yang diajarkan Rasulullah SAW yang perlu dibaca waktu pagi dan petang adalah sebahagian daripada panduan yang perlu di amalkan untuk melaksanakan amalan-amalan zikir kepada Allah SWT.

Selain daripada zikrullah, tilawahul Quran (membaca al-Quran) adalah salah satu bentuk zikir yang dituntut untuk diamalkan. Al-Quran diturunkan adalah sebagai petunjuk dan rahmat, dan sebagai penawar dan ubat daripada penyakit-penyakit hati.

Khabab bin Art r.a pernah berwasiat kepada seorang katanya, “Hampirkanlah diri kalian kepada Allah SWT mengikut batas kemampuanmu. Dan ketahuilah bahawa kalian tidak mungkin mendekati Allah SWT dengan sesuatu yang lebih Dia cintai dengan firman-Nya. (al-Quran)”

Firman Allah SWT. yang bermaksud, “Dan kami turunkan dari al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman, dan al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang zalim selain kerugian.”
(Surah al-Isra’ ayat 82)

Sahabat yang dihormati,
Oleh itu ingatlah bahawa hati yang hidup adalah hati yang masih terkesan dengan zikrullah, membaca al-Quran dan ibadah. Ia juga kuat berpegang pada agama dan berani menyatakan yang hak. Tidak takut kecuali Allah SWT.

Akhirkata, Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah mempunyai bejana di bumi dan bejana itu adalah hati. Maka bajana yang paling disukai Allah ialah yang paling bersih (dari dosa), paling kukuh, paling halus dan paling lembut (pada saudaranya).”
(Hadis Riwayat al-Thabrani)

Mangkuk Yang Cantik

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Rasulullah SAW dengan sahabat-sahabatnya Abu Bakar r.a, Umar r.a, Utshman r.a. dan Ali k.w. bertamu ke rumah Ali k.w. Di rumah Ali k.w. isterinya Saidatina Fatimah r.ha. puteri Rasulullah SAW. menghidangkan untuk mereka madu yang diletakkan didalam sebuah mangkuk yang cantik, dan ketika semangkuk madu itu dihidangkan sehelai rambut terikut didalam mangkuk itu. Baginda Rasulullah SAW kemudian meminta kesemua sahabatnya untuk membuat suatu perbandingan terhadap ketiga benda tersebut, mangkuk yang cantik, madu dan sehelai rambut.

Abu Bakar r.a berkata, "Iman itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, orang yang beriman itu lebih manis dari madu, dan mempertahankan iman itu lebih susah dari meniti sehelai rambut."

Umar r.a. berkata, "Kerajaan itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, seorang raja itu lebih manis dari madu, dan memerentah dengan adil itu lebih sulit dari meniti sehelai rambut."

Utshman r.a. berkata, "Ilmu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, orang yang menuntut ilmu itu lebih manis dari madu, dan beramal dengan ilmu yang dimiliki itu lebih sulit dari meniti sehelai rambut."

Ali k.w. berkata, "Tetamu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, menjamu tetamu itu lebih manis dari madu, dan membuat tetamu senang sampai kembali pulang ke rumah adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut."

Fatimah r.ha berkata, "Seorang wanita itu lebih cantik dari sebuah mangkuk yang cantik, wanita yang berpurda itu lebih manis dari madu, dan mendapatkan seorang wanita yang tidak pernah dilihat orang lain kecuali mahramnya lebih sulit dari meniti sehelai rambut."

Rasulullah SAW berkata maksudnya, "Seorang yang mendapat taufiq untuk beramal adalah lebih cantik dari mangkuk yang cantik, beramal dengan amal yang baik itu lebih manis dari madu, dan berbuat amal dengan ikhlas adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut."

Malaikat Jibril a.s berkata maksudnya, "Menegakkan pilar-pilar agama itu lebih cantik dari sebuah mangkuk yang cantik, menyerahkan diri, harta dan waktu untuk usaha agama lebih manis dari madu, dan mempertahankan usaha agama sampai akhir ayat lebih sulit dari meniti sehelai rambut."

Allah SWT. berfirman maksudnya, "Syurga-Ku itu cantik dari mangkuk yang cantik itu, nikmat syurga-Ku itu lebih manis dari madu, dan jalan menuju syurga-Ku adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut."

Sahabat yang dimuliakan,
Begitulah beberapa tafsiran yang firmankan oleh Allah SWT, Rasulullah SAW, malaikat dan para sahabat mengenai mangkuk yang cantik, madu dan sehelai rambut. Termasuk juga kata-kata ini : "Sahabat yang baik (soleh) adalah lebih cantik daripada mangkuk yang cantik, sahabat yang sanggup berkorban lebih manis daripada madu dan mendapat sahabat yang bertakwa dan ikhlas lebih sulit dari meniti sehelai rambut."


Monday, August 24, 2009

Bertawakallah Kamu Kepada Allah.


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Semoga kesejahteraan, keberkatan serta keredaan Allah sentiasa melimpahi dan membahagiakan sahabat semua.

Untuk menjadi hamba Allah SWT, tanggungjawabmu adalah sentiasa menyembah Allah SWT serta beribadah semata-mata kerana-Nya. Dirimu mestilah dapat menahan segala macam godaan yang membuatkan jiwa dalam keraguan.Jika jiwa ragu-ragu tidak akan dapat menghasilkan ibadah yang baik dan diredai Allah SWT.Sedangkan melaksanakan ibadah perlu kepada ketenangan rohani serta jasmani. Ini hanya mampu dilakukan oleh orang yang bertawakal kepada Allah SWT.

Tawakal menurut Islam membawa maksud : "Meletakkan keyakinan serta menyerahkan kepada ketentuan Allah SWT." Orang yang bertawakkal memiliki keyakinan yang mantap terhadap janji-janji Allah. Dia bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT dan tidak bimbang dengan pandangan yang menakutkan dan tidak pula menghiraukan pujukan syaitan. Dari itu jiwa akan menjadi tenang serta terbuka luas peluang beribadah dengan sebaik-baiknya.

Sahabat yang dimuliakan,
Awasilah dengan pengertian yang salah mengenai tawakal. Tawakal bukan bererti berpeluk tubuh dan menanti datangnya sebarang peluang tanpa usaha. Sedangkan tawakal bererti berusaha bersungguh-sungguh dan menyerahkan segala keputusan kepada Allah SWT. serta percaya akan pertolongan Allah SWT.

Hayatilah maksud hadis dari Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Barangsiapa menginginkan dirinya menjadi orang terkuat hendaklah dia bertawakal kepada Allah.”

Dalam riwayat yang lain Nabi SAW. bersabda yang bermaksud :
“Barangsiapa menginginkan menjadi orang yang paling kaya hendaklah lebih mempercayai kekuatan dirinya.”

Firman Allah SWT yang bermaksud :
“… Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakal, jika kamu benar-benar orang yang beriman.” (Surah al-Maidah ayat 23)

Sahabat yang dikasihi,
Lihatlah pula bahagian tawakal yang di jelaskan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya ‘Minhaju Abidin’.Tawakal ini merangkumi tiga sudut :

Pertama. Tawakkal mengenai qismah (nasib atau takdir).

Yakin terhadap keputusan Allah SWT yang tetap tidak berubah. Apa jua yang telah ditentukan Allah SWT sejak azali lagi pasti akan kita terima. Maka, bertakwa kepada Allah SWT adalah wajib, kerana segala yang digariskan Allah SWT  dalam ‘Lauhul Mahfudz’ adalah benar.

Kedua. Tawakal dalam pertolongan Allah SWT.

Misalnya dalam keadaan genting berjuang atau dalam apa bentuk kesempitan, Allah SWT menjanjikan pertolongan bagi kita. Sekiranya kita menghadapi suasana begini, keyakinan mestilah dibulatkan, jauhi keraguan dan janji Allah SWT itu pasti benar-benar berlaku.

Ketiga. Tawakal dalam hal rezeki.

Sesungguhnya di samping menetapkan perintah-Nya. Allah telah menjamin hamba-Nya dengan rezeki yang mencukupi sebagai memberikan kekuatan dan keampunan melaksanakan ibadah. Ini bertepatan denga firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan bagi tiap-tiap sesuatu.” (Surah ath-Talaq ayat 3)

Sahabat yang dikasihi,
Jadilah dirimu umat yang hidup tenteram dan tidak terpengaruh dengan perubahan yang memesongkan matlamat deen Islam.

Selesaikan masaalah ibadah dan tanggungjawabmu tanpa dihalang oleh apa jua godaan.Nanti pasti kamu akan menjadi golongan yang kuat, bebas dan merdeka serta mampu membawa kesejahteraan kepada kehidupan insan.

Sesungguhnya yakinilah bahawa :
*Dunia seisinya beserta akhirat adalah dalam kekuasaan Allah SWT.
*Semua makhluk adalah hamba Allah SWT.
*Urusan rezeki dan apa jua persoalannya adalah dalam susunan dan kekuasaan Allah SWT.
*Allah sebagai Penguasa dan Pemilik alam semesta, segala yang dikehendaki-Nya pasti akan terjadi.

Ambillah pengajaran dan perbualan berikut ;
Abdullah bin Umar bertanya, “Bagaimana jika engkau panjang umur dan hidup ditengah-tengah orang yang suka menimbun harta untuk bertahun-tahun disebabkan lemah keyakinannya dengan janji Allah?”

Imam Hasan al-Basri menjawab, “Allah melaknat orang-orang yang tidak mempercayai jaminan-Nya.”

Imam Uwes Qarni r.a pula menyatakan, “Meskipun engkau beribadat sebanyak bilangan penghuni langit dan bumi sekalipun, tidak diterima ibadahmu sebelum engkau mempercayai jaminan Allah.”

Bertanya pula seorang sahabat,”Bagaimana tanda orang yang percaya dengan jaminan Allah.?”

Jawab Imam Uwes Qarni, “Dia sentiasa merasa tenteram dan aman dengan jaminan Allah. Tiada suatu pun yang memalingkannya hingga ia mempunyai banyak kelapangan masa beribadat kepada Allah SWT.”

Oleh itu marilah sama-sama kita memohon kepada Allah SWT semoga kita diberi-Nya kebaikan serta petunjuk agar sentiasa meyakini kekuasaan-Nya. Segala pergantungan jiwa kita seluruhnya hanya terhadap Allah SWT dan tidak dipesungkan kepada selain dari perlindungan-Nya.

Ingatlah pesanan berikut :

*Untuk menjadi orang yang paling alim kamu hendaklah takut kepada Allah SWT, takut akan azab dan seksaan-Nya.

*Untuk menjadi orang yang istimewa disisi Allah SWT hendaklah kamu sentiasa berzikir kepada Allah SWT siang dan malam, basahkan lidahmu dengan menyebut nama-Nya.

*Untuk menjadi orang yang paling baik dan berguna, peruntukkanlah masamu berkhidmat pada masyarakat yang memerlukan baktimu.

*Untuk menjadi orang yang paling adil pada orang lain, kamu hendaklah mengasihi orang lain seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.

*Untuk mendapat kesempurnaan iman kamu hendaklah perelok dan perbaiki akhlak kamu. Sesungguhnya akhlak dan iman tidak dapat dipisahkan.

Sunday, August 23, 2009

Nikmat dan Azab Seteguk Air.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Ulama sufi Syaqiq al-Balkhi pernah berkata kepada Khalifah Harun ar-Rasyid yang memimpin kerajaan Bani Abbasiah, " Wahai khalifah! Sekiranya tuan berada di tengah padang pasir yang luas terbentang dalam kepanasan yang membakar kulit. Ketika itu tuan berasa haus yang amat sangat. Jika tuan tidak mendapat minuman, sudah tentu tuan akan ditimpa kebinasaan. Tiba-tiba datang seorang yang menawarkan air. Berapakah yang tuan sanggup bayar untuk air itu?"

"Apa sahaja yang dikehendaki olehnya, aku akan bayar." jawab Khalifah Harun ar-Rasyid.

Saqiq bertanya lagi, "Jika orang itu meminta separuh dari kerajaanmu, bagaimana?

"Aku akan penuhi permintaannya itu." jawab Khalifah Harun ar-Rasyid.

"Baiklah, sekaran khalifah telah selamat dari maut kerana mendapat seteguk air. Seandainya air yang tuan minum itu tiba-tiba tidak boleh keluar (buang air kecil) dan jika dibiarkan akan menyebabkan kematian. Lalu datang seorang pakar yang sanggup mengubatinya, tetapi dia juga meminta bayaran yang sangat tinggi iaitu separuh dari kerajaan tuan yang masih ada. Adakah khalifah akan setuju?" soal Syaqiq.

Jawab Khalifah Harun, "Tentu aku setuju."

Kata Syaqiq, " Sekarang khalifah telah tahu nilai kerajaan yang khalifah tadbir sekarang ini boleh dibeli dengan seteguk air. Jadi, kenapa kita masih bermegah dengan kemewahan serta kekayaan yang kita miliki. Sedangkan Allah tak nilai itu semua."

"Bukankah besar dan mahalnya nikmat kesihatan yang dianugrahkan oleh Allah kepada setiap makhluk-Nya?.Oleh itu, jadilah kita hamba yang bersyukur." Syaqiq mengakhiri nasihatnya.

Sahabat yang dimuliakan,
Untuk mengambil pelajaran daripada kisah di atas maka kita sebagai hamba Allah SWT yang diberikan berbagai-bagai nikmat, rezeki dan sebagai manusia yang sempurna anggota tubuh badan perlulah bersyukur dan berterima kasih kepada Allah SWT. Tanda kita bersyukur dan mengucapkan terima kasih perlulah kita mematuhi segala suruhan Allah SWT dan meninggalkan semua larangan-Nya.


Kurangkanlah Masa Tidurmu..

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Hendaklah kamu bangun malam kerana itu adalah kebiasaan amalan orang-orang yang soleh. Sesungguhnya bangun malam itu mendekatkan diri kepada Allah, menutup segala dosa, menghilangkan penyakit kepada tubuh badan dan menjauhi kekejian." (Hadis Riwayat Tarmizi).

Dalam kitab Miskatul Masabih ada disebutkan tidur sedikit pada waktu tengahari tidaklah dikeji. Rasulullah SAW. turut melakukannya. Ini dapat mengimbangi kekuatan tubuh badan setelah bertahajud pada malam hari.

Ibn Qaiyim menambah, "Tidur pada awal dan akhir siang hari amat dikeji kerana ia akan mewarisi penyakit kebengkakan (muka kelihatan sembab dan tidak bercahaya), merosakkan warna kulit, menimbulkan penyakit radang limpa, melemahkan syahwat. Sekeji-keji ialah ketika pada awal hari (matahari terbit) dan terlebih keji lagi ialah tidur diakhir siang hari (lepas asar)."

Abdullah Ibnu Abbas (Ibnu Abbas) telah melihat anaknya tidur pada waktu subuh. Maka dikatakan kepada anaknya, "Bangun! Apakah kamu tidur pada waktu rezeki dibahagi-bahagikan?"

Setengah ulama mengatakan, "Sesiapa yang tidur selepas asar sehingga terganggu kewarasannya maka janganlah ia mencaci selain daripada dirinya sendiri."

Oleh itu kita perlu membuang anggapan bahawa kurang tidur malam boleh menjejaskan kesihatan, kerana para ambiak, auliak, sahabat-sahabat Rasulullah SAW, solihin, ahli-ahli sufi dan alim ulama Islam mereka memperuntukkan masa tidur malam mereka terlalu sedikit . Sedangkan tidak pernah kita dengar mereka mendapat penyakit disebabkan kekurangan tidur. Malahan yang kita dengar mereka bertambah sihat dan gigih bekerja dan berjuang disiang hari. Sebenarnya untuk orang dewasa masa tidur yang cukup adalah sepertiga waktu malam iaitu 4 jam sahaja. Sekurang-kurangnya masa untuk solat tahajud, berdoa dan berzikir adalah antara 2-3 jam.

Solat tahajud, berzikir dan membaca al-Quran diwaktu malam adalah santapan rohani yang cukup lazat dan berhasiat untuk roh kita, sesiapa yang sentiasa melaksanakannya akan mendapat makam yang tinggi disisi Allah SWT. dan akan dijauhi dari seksaan api neraka semasa dihari akhirat nanti.

Sahabat yang dimuliakan,
Diriwayatkan dari Abu Hurairah radhiallahu'anhu:

ŰŁَنَّ ۱َŰłُولَ Ű§Ù„Ù„َّهِ Ű”َلَّى Ű§Ù„Ù„َّهُ Űčَلَيْهِ وَŰłَلَّمَ قَŰ§Ù„َ يَنْŰČِلُ ۱َŰšُّنَۧ ŰȘَŰšَۧ۱َكَ وَŰȘَŰčَŰ§Ù„َى كُلَّ لَيْلَŰ©ٍ Ű„ِلَى Ű§Ù„Űłَّمَۧۥِ Ű§Ù„ŰŻُّنْيَۧ Ű­ِينَ يَŰšْقَى Ű«ُلُŰ«ُ Ű§Ù„Ù„َّيْلِ ْۧÙ„ŰąŰźِ۱ُ فَيَقُولُ مَنْ يَŰŻْŰčُونِي فَŰŁَŰłْŰȘَŰŹِÙŠŰšَ لَهُ وَمَنْ يَŰłْŰŁَلُنِي فَŰŁُŰčْŰ·ِيَهُ وَمَنْ يَŰłْŰȘَŰșْفِ۱ُنِي فَŰŁَŰșْفِ۱َ لَهُ. (مŰȘفق Űčليه)

Maksudnya : "Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu'alaihi wasallam bersabda: “Allah Tabaraka Wa ta’ala akan turun setiap malam ke langit dunia hingga tersisa sepertiga malam terakhir. Maka Ia berkata: “Barangsiapa siapa yang berdoa kepada-Ku akan Aku kabulkan doanya; barangsiapa yang meminta kepada-Ku, akan Aku beri permintaanya; dan barangsiapa yang meminta ampun kepada-Ku, akan Aku ampuni dia”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Betapa berharganya waktu sepertiga malam terakhir ketika Allah SWT turun ke langit dunia dan menawarkan ampunan, pemberian dan pengkabulan doa. Orang yang yakin dengan hadis ini, tentu akan memanfaatkan waktu tersebut untuk solat malam dan berdoa. Adapun orang yang tidak percaya, ragu, menakwilkan dengan makna lain, maka semangat mereka untuk bangun di waktu tersebut sangat lemah, kerana tidak ada dorongan akidah dalam hatinya. Inilah yang menyebabkan kaum munafik terhalang dari keutamaan waktu tersebut.

Oleh itu janganlah sia-siakan umur dan waktu sihat kita untuk terus beribadah , berzikir, bersolat malam dan berdoa dan memohon keampunan disisi Allah SWT ketika sepertiga malam yang akhir iaitu di antara jam 4.00 pagi hingga 5.30 pagi. Kemudian bersiap-siap kemasjid untuk solat subuh berjemaah. Amalkan setiap hari sebagai bekalan untuk kita menjadi para daie dan mukmin yang bertakwa.