Saturday, April 20, 2013

Ciri-ciri Kepimpinan Dalam Islam

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 

Suasana sekarang ini rakyat Malaysia sedang demam pilihanraya, para pemimpin parti berada di dalam kesibukan untuk bertanding di dalam pilihanraya ke 13 (PRU13) . Semua parti politik telah pun bersedia menyenaraikan calun-calun mereka untuk di daftarkan sebagai calun di hari penamaan calun nanti iaitu pada Sabtu 20 April 2013 . Ada calun yang terpilih dan ada calun yang digugurkan dan ada pula calun-calun muka baru yang akan mencuba nasib untuk di ketengahkan menjadi pemimpin rakyat. Samaada layak atau tidak , terpilih atau tidak bergantung kepada penilaian rakyat sendiri yang akan menilai dan memilih semasa hari pembuangan undi pada 5 Mei 2013. 

Terdapat parti politik yang diharamkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) kerana terdapat pertikaian di dalam Masyuarat Agongnya. Di sana-sini kedengaran suara bantahan daripada penyokong pemimpin kawasan yang tidak puas hati calun pilihan mereka tidak disenaraikan untuk bertanding di PRU 13 samaada sebagai ahli Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

Islam adalah agama yang cukup prihatin terhadap pemilihan pemimpin, kerana pemimpin yang jujur, amanah dan berpandangan jauh adalah pemimpin yang di kehendaki dalam Islam. Sebaliknya pula apabila seorang pemimpin itu suka menipu, berdusta, tidak amanah dan mementingkan diri sendiri adalah ciri-ciri pemimpin yang di benci dan dimurkai oleh Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya : "Setiap kalian adalah pemimpin dan bertanggung jawab atas apa yang di pimpinnya. Seorang penguasa adalah pemimpin bagi rakyatnya dan bertanggung jawab atas mereka, seorang isteri adalah pemimpin di rumah suaminya dan dia bertanggung jawab atasnya. Seorang hamba sahaya adalah penjaga harga tuannya dan dia bertanggung jawab atasnya. (Hadis Riwayat Bukhari)


Terdapat beberapa garis panduan umum sebagai perkongsian untuk rakyat Malaysia, khususnya umat Islam untuk memilih pemimpin berdasarkan ciri-ciri yang ditetapkan oleh Islam.

Pertama : Menggunakan hukum Allah SWT. di dalam pentakbirannya.
 
Dalam berbagai aspek dan lingkup kepemimpinan, ia senantiasa menggunakan hukum yang telah di tetapkan oleh Allah SWT, perkara ini sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (sunahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya". (Surah an-Nisaa' ayat 59)

Melalui ayat di atas taat kepada pemimpin adalah satu hal yang wajib dipenuhi, tetapi dengan syarat para pemimpin yang di taati itu adalah pemimpin yang  menggunakan hukum-hukum Allah SWT di dalam pemerentahannya. Dalam hal ini sebagaimana di nyatakan dalam ayat-Nya yang lain yang bermaksud :

"Ikutilah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selain-Nya . Amat sedikitlah kamu mengambil pelajaran (daripadanya)". (Surah al-A'raf ayat 3)

Dalam ayat yang lain firman Allah SWT maksudnya :


1. "..Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir..." (Surah al-Maaidah ayat 44)
 
"..Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim..." (Surah al-Maaidah ayat 45)

 
"..Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik.." (Surah al-Maaidah ayat 47)

 
" Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin ?". (Surah al-Maaidah ayat 50)

Dan bagi kaum muslimin Allah SWT telah dengan jelas melarang untuk mengambil pemimpin sebagaimana ayat;

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin(mu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa diantara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim". (Surah al-Maaidah ayat 51)

Dari beberapa ayat diatas, boleh disimpulkan, bahawa pemimpin dalam Islam adalah mereka yang senantiasa mengambil dan menempatkan hukum Allah dalam seluruh aspek kepemimpinannya. Jika mereka belum melaksanakan hukum Allah SWT di dalam masyarakat umat Islam tetapi sedang berusaha ke arah perlaksanaan hukum-hukum Allah SWT adalah dikira sebagai pemimpin yang memenuhi ciri-ciri pertama.

 
Kedua :Tidak meminta-minta jawatan.


Tidak terlalu mengharap atau menginginkan jawatan tertentu. Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya kami tidak akan memberikan jawatan ini kepada seseorang yang memintanya, tidak pula kepada orang yang sangat berminat untuk mendapatkannya" (Hadis Riwayat Muslim).
 
Sabda Nabi SAW lagi yang bermaksud : "Sesungguhnya engkau ini lemah (ketika Abu Zar meminta jawatan di jawab demikian oleh Rasulullah), sementara jawatan adalah amanah, di hari kiamat dia akan mendatangkan penyesalan dan kerugian, kecuali bagi mereka yang menunaikannya dengan baik dan melaksanakan apa yang menjadi kewajiban atas dirinya". (Hadis Riwayat Muslim).

Kecuali, jika tidak ada lagi pemimpin yang layak dan tugas kepemimpinan akan jatuh pada orang yang tidak amanah dan akan lebih banyak membawa mudharat daripada manfaat, perkara ini dijelaskan dalam ayat al-Quran :

Firman Allah SWT maksudnya : "Jadikanlah aku bendaharawan negeri (Mesir), kerana sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga dan berpengetahuan". (Surah Yusuf ayat 55)

Dengan catatan bahawa amanah kepemimpinan dilakukan dengan ;
1. Ikhlas.
2. Amanah.
3. Memiliki keunggulan daripada pemimpin yang lain.
4. Menyebabkan terjadinya kerosakan jika dibiarkan jawatan itu diserahkan kepada orang lain.

 
Ketiga : Fizikal sihat dan kuat dan amanah.

 
Firman Allah SWT maksudnya : "Salah seorang dari kedua wanita itu berkata: "Ya bapakku ambillah ia sebagai orang yang bekerja (pada kita), kerana sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercaya." (Surah al-Qasas ayat 26).

 
Keempat : Tekun dan bersungguh-sungguh (profesional).

 
Sabda Nabi SAW maksudnya : "Sesungguhnya Allah sangat senang pada pekerjaan salah seorang di antara kalian jika dilakukan dengan tekun dan bersungguh-sungguh (profesional)" (Hadis Riwayat Baihaqi) 

Kelima : Tidak mengutamakan ahli keluarga dan rakan terdekat (kroni).
 
Rasulullah SAW, "Barang siapa yang menempatkan seseorang kerana hubungan kerabat, sedangkan masih ada orang yang lebih Allah redhai, maka sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah, Rasul-Nya dan orang mukmin". (Hadis Riwayat al-Hakim).

Saidina Umar bin al-Khattab berkata : "Siapa yang menempatkan seseorang pada jawatan tertentu, kerana rasa cinta atau kerana hubungan kekerabatan, dia melakukannya hanya atas pertimbangan itu, maka seseungguhnya dia telah mengkhianati Allah, Rasul-Nya dan kaum mukminin".

 
Keenam : Menempatkan orang yang paling sesuai dan layak.

 
"Rasulullah bersabda maksudnya, : "Jika suatu perkara telah diberikan kepada orang yang tidak semestinya (bukan ahlinya), maka tunggulah kiamat (kehancurannya)". (Hadis Riwayat Bukhari).

 
Dalam konteks hadis ini, setidaknya ada beberapa perkara yang perlu kita teliti :

1. Seorang pemimpin mampu melihat potensi seseorang.

 
Setiap manusia tentunya diberikan kelebihan dan kekurangan.Kesalahan terbesar bagi seorang pemimpin adalah ketika dirinya tidak boleh melihat potensi seseorang dan menempatkannya pada tempat yang semestinya. Begitu pentingnya perhatian bagi seorang pemimpin terhadap perkara ini, maka Rasulullah SAW bersabda sebagaiman hadis ke5 di atas.

Ketidakmampuan pemimpin dalam hal ini hanya akan membuat jamaah, parti atau organisasi yang di pimpinnya menjadi tidak efektif dan efisien, bahkan tidak sedikit kesalahan pemimpin dalam hal ini menimbulkan kekacauan yang membawa kepada kehancuran.

2. Mampu mengasah (meningkatkan) potensi seseorang.

 
Selain ia boleh melihat potensi pada diri seseorang, seorang pemimpin dengan caranya yang paling baik, ia boleh mengasah potensi mereka yang berada dalam kepemimpinannya. Mengasah potensi seseorang bukanlah suatu yang mudah ianya perlu kepada kesabaran dan istiqamah

3. Meletakkan seseorang sesuai dengan potensi yang ia miliki.


Seorang pemimpin akan berusaha menempatkan seseorang itu di tempat yang paling tepat bagi orang tersebut serta sesuai dengan bidang tugas yang diberikan.

4. Mengatur setiap potensi dari mereka yang di pimpinnya menjadi satu kekuatan yang kokoh.

 
Bangunan yang baik, kokoh dan indah tentunya tidak hanya terdiri dari satu elemen, tetapi terdiri dari berbagai elemen yang ada di dalamnya. Tentunya, penempatan dan penggunaan masing-masing elemen itulah yang sangat mempengaruhi bagaimana sebuah bangunan itu. Perumpamaan sederhana ini boleh kita gunakan untuk memahami tugas seorang pemimpin dalam menempatkan, menggunakan mereka yang berada dalam kepemimpinannya.


Sahabat yang dimuliakan,
Dalam susana politik di Malaysia terdapat juga pemimpin yang bukan Islam akan bertanding pada piliharaya kerana amalan demokrasi. Adakah boleh kita memilih pemimpin yang bukan Islam di suatu kawasan yang majoritinya orang bukan Islam?

Pengerusi Multaqa Asatizah dan Du’at, Dr Zaharuddin Abdul Rahman baru-baru ini yang menyatakan boleh mengundi calon bukan Islam untuk dijadikan pemimpin.

Dr Zaharuddin berhujah bahawa orang bukan Islam boleh diundi atas kapasiti MOU yang dibuat, bukan diundi atas kapasiti peribadi.Selain itu, katanya orang bukan muslim yang diundi tidak semestinya akan dilantik memegang jawatan penting dalam kerajaan.

Di dalam amalan sisitem demokrasi di Malaysia, hanya parti yang mempunyai majoriti 2/3 ahli di Parlimen saja boleh mengubah perlembagaan negara dan menentukan dasar dan polisi negara. Jumlah calun bukan Islam yang mengadakan MOU tidak sampai 50% ianya tidak akan mendominasikan majoriti 2/3 ahli Parlimen, tetapi iannya membantu calun-calun Islam untuk mendapat majoriti 2/3 atau pun majoriti mudah.

Jika parti politik mendapat majoriti mudah saja di Parlimen , perubahan perlembagaan negara tidak boleh dibuat. Saya setuju pendapat Dr Zaharuddin bahawa mengundi calun bukan Islam yamg mempunyai MOU atau perjanjian dengan organisasi Islam adalah mengikut kaedah "tahaluf siyasi" yang dibenarkan Islam. Pendapat yang mengatakan tidak boleh langsung berkompromi adalah pendapat yang tidak memahami kaedah syarak untuk di sesuaikan dengan perkembangan semasa. Umat Islam perlu membuka minda dan tidak rijid dan jumud dengan pendapat sendiri yang akan merugikan Islam. Wallahualam.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita membuka minda dan berfikir dengan tenang, pilihlah pemimpin Islam yang akan membawa agenda umat dan mereka yang bersetuju atas dasar keadilan ketelusan dan kebajikan bersama. Kesilapan kalian memilih pemimpin hingga hak rakyat terabai akan dipertanggungjawabkan di hari akhirat nanti.Tangan kalian yang memangkah akan menjadi saksi dan pencil yang kalian gunakan juga akan menjadi saksi di hadapan mahkamah Allah SWT.

Wednesday, April 17, 2013

Tafsir Surah Ash-Shaff Ayat 1-3

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,


Firman Allah SWT :

ŰłَŰšَّŰ­َ لِلَّهِ مَۧ فِي Ű§Ù„ŰłَّمَŰ§ÙˆَۧŰȘِ وَمَۧ فِي Ű§Ù„ْŰŁَ۱ْ۶ِ وَهُوَ Ű§Ù„ْŰčَŰČِيŰČُ Ű§Ù„ْŰ­َكِيمُ (1)
 

Maksudnya : "Telah bertasbih kepada Allah apa saja yang ada di langit dan di bumi; dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana".(Surah Ash-Shaff (61) ayat 1)

Huraiannya :

Segala apa yang di langit dan bumi mengakui bahawa hanyalah Allah SWT yang berhak disembah tidak ada yang lain, Dialah yang menciptakan, menguasai, menjaga kelangsungan hidup, serta menentukan segala sesuatu yang ada di alam semesta ini.

Dia mempunyai sifat-sifat yang sempurna, semua makhluk tunduk di bawah kehendak-Nya dan Dia menciptakan segala sesuatu sesuai dengan maksud, tujuan yang Dia kehendaki dan sesuai pula dengan kegunaannya.

Tafsir  Jalalain Surah Ash-Shaff ayat 1 :
 

"(Telah bertasbih kepada Allah apa saja yang ada di langit dan apa saja yang ada di bumi) yakni semuanya memahasucikan-Nya. Huruf lam yang terdapat pada lafal lillaah adalah huruf zaidah; dan di sini dipakai lafal maa, kerana lebih mengutamakan yang majoriti (dan Dialah Yang Maha Perkasa) di dalam kerajaan-Nya (lagi Maha Bijaksana) di dalam perbuatan-Nya."

Firman Allah SWT :

يَۧ ŰŁَيُّهَۧ Ű§Ù„َّŰ°ِينَ ŰąÙ…َنُÙˆŰ§ لِمَ ŰȘَقُولُونَ مَۧ لَۧ ŰȘَفْŰčَلُونَ (2)


Maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat?" (Surah Ash-Shaff (61) ayat 2)


Huraiannya :

Setelah Allah SWT menerangkan sifat-sifat kesempurnaan-Nya ia memperingatkan manusia akan kekurangan-kekurangan yang ada padanya, iaitu mereka mengatakan suatu perkataan, tetapi mereka tidak mengerjakannya. Seperti mereka mengatakan: "Kami ingin mengerjakan kebaikan-kebaikan yang diperintahkan Allah", tetapi jika datang perintah Allah mereka tidak mengerjakannya.

Ada dua jenis kelemahan manusia yang dikemukakan ayat ini, iaitu:


Pertama : Perkataan mereka tidak sesuai dengan perbuatan mereka. Kelemahan ini kelihatannya mudah diperbaiki, tetapi sukar melaksanakannya. Ramai manusia pandai berbicara, suka menganjurkan suatu perbuatan baik dan memperingatkan agar orang lain menjauhi larangan-larangan Allah SWT, tetapi ia sendiri tidak melaksanakannya. 

Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas bahawa Abdullah bin Rahawah berkata: "Para mukmin di masa Rasulullah, sebelum jihad di wajibkan, berkata: 'Seandainya kami mengetahui perbuatan-perbuatan yang disukai Allah tentu kami akan memperbuatnya. Maka Rasulullah menyampaikan bahawa perbuatan yang paling disukai Allah, ialah beriman kepada-Nya, berjihad menghapuskan kemaksiatan yang dapat merosakkan iman, mengakui kebenaran risalah yang disampaikan Nabi-Nya: Setelah datang perintah jihad, sebagian orang-orang yang beriman merasa berat melakukannya. Maka turunlah ayat ini sebagai celaan akan sikap mereka yang tidak baik itu."

Kedua : Tidak menepati janji yang telah mereka buat. Suka menepati janji yang telah ditetapkan merupakan salah satu ciri dari ciri-ciri orang-orang yang beriman. Jika ciri itu tidak dimiliki oleh seorang yang mengaku beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, bererti ia telah menjadi orang munafik.

Rasulullah SAW. bersabda:

ŰąÙŠŰ© Ű§Ù„Ù…Ù†Ű§ÙÙ‚ÙŠÙ† Ű«Ù„Ű§Ű«: ۄ۰ۧ Ű­ŰŻŰ« ÙƒŰ°Űš ÙˆŰ„Ű°Ű§ وŰčŰŻ ŰŁŰźÙ„Ù ÙˆŰ„Ű°Ű§ ŰŁŰŠŰȘمن ŰźŰ§Ù†

Maksudnya : "Tanda-tanda orang-orang munafik itu ada tiga macam. Iaitu apabila ia berjanji ia menyalahi janjinya, apabila ia berkata ia berdusta dan apabila ia dipercaya ia khianati.' (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tafsir Jalalain Surah Ash-Shaff ayat 2


"(Hai orang-orang yang beriman mengapa kalian mengatakan) sewaktu kalian meminta berjihad (apa yang tidak kalian perbuat) kerana ternyata kalian mengalami kekalahan atau kebelakang dalam perang Uhud."

Firman Allah SWT :

كَŰšُ۱َ مَقْŰȘًۧ ŰčِنْŰŻَ Ű§Ù„Ù„َّهِ ŰŁَنْ ŰȘَقُولُÙˆŰ§ مَۧ لَۧ ŰȘَفْŰčَلُونَ (3)
 

Maksudnya : "Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tiada kamu kerjakan".(Surah Ash-Shaff (61) ayat 3)

Huraiannya :

Allah SWT memperingatkan amatlah besar dosanya mengatakan atau menyanggupi sesuatu, tetapi ia sendiri tidak melaksanakannya, baik dalam pandangan Allah SWT mahupun dalam pandangan masyarakat.

Menepati janji merupakan tanda iman yang kuat budi pekerti yang agung, sikap yang baik dan mulia pada seseorang, menimbulkan kepercayaan dan penghormatan masyarakat. Sebaliknya perbuatan tidak menepati janji merupakan tanda iman yang lemah, perangai yang buruk dan sikap yang tidak berprikemanusiaan, akan timbul saling mencurigai dan dendam kesumat di dalam masyarakat. Kerana itulah agama Islam sangat mencela orang yang suka berdusta dan menyalahi janji itu.


Supaya sifat tercela itu tidak dimiliki oleh orang-orang beriman alangkah baiknya jika amalan menepati janji dan berkata benar itu dijadikan tujuan pendidikan yang utama diberikan kepada anak-anak di samping beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan melatih diri mengerjakan bentuk-bentuk ibadah yang diwajibkan.

Tafsir  Jalalain Surah Ash-Shaff ayat 3

"(Amat besar) yakni besar sekali (kebencian) lafal maqtan berfungsi menjadi tamyiz (di sisi Allah bahawa kalian mengatakan) lafal an taquuluu menjadi fa'il dari lafal kabura (apa-apa yang tiada kalian kerjakan)."

Asbabun Nuzul ayat 1-3 Surah Ash-Shaff :


Dari Abdullah bin Salam r.a. dia berkata : " Sekelompok sahabat saling berbincang. Kami berkata ," Jikalau kami tahusuatu perbuatan yang paling di cintai Allah SWT, pasti kami akan melakukannya." (Hadis Sahih Riwayat Hakim, Ahmad dan Tirmidzi)

Sahabat yang dimuliakan,
Berdasarkan ayat-ayat di atas jelaslah kepada kita bahawa Allah SWT murka apabila kita memperkatakan sesuatu kebaikan sedangkan kita sendiri tidak melakukannya. Kita melarang orang melakukannya tetapi kita sendiri mengerjakan perbuatan tersebut. Istilah peribahasa mengatakan, :"seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul"

Dari Usamah bin Zaid r.a bahawa dia pernah mendengar Nabi SAW  bersabda: "Seorang lelaki didatangkan pada hari kiamat lalu dicampakkan ke dalam api neraka, kemudian ususnya berhamburan keluar lalu dia berputar-putar dengannya seperti berputar-putarnya  himar dengan batu penggilingannya. Kemudian para penghuni syurga berkumpul di hadapannya dan bertanya kepadanya: Apakah yang terjadi padamu?. Tidakkah engkau yang pernah memerintahkan kami kepada Al-Ma’ruf dan yang mencegah kepada yang mungkar?. Dia menjawab: Aku telah memerintahkan kalian dengan yang ma’ruf namun aku sendiri tidak melakukannya dan mencegah kalian kepada dari yang mungkar namun aku mengerjakannya”.(Hadis Sahih Bukhari: 2/236, 437 no: 3627 dan Sahih Muslim: 4/2291 no: 2989)


Dari Jundub bin Abdillah ra bahwa Nabi SAW bersabda: "Perumpamaan orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia namun melupakan dirinya sendiri sama seperti pelita yang menerangi manusia namun membakar dirinya sendiri” (Al-Haitsami berkata di dalam kitab Majma’uz Zawa’id 1/184 diriwayatkan oleh Al-Tabrani di kitab Al-Kabir dan perawinya terpercaya. Dan Al-mundziri berkata di dalam kitab targib wat tarhib: 1/173 sanadnya hasan)


Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita  menyeru kepada kebaikan dan mengajak untuk meninggalkan kejahatan pada masa yang sama kita beramal dan melaksanakan apa yang kita ucapkan. Jika terdapat kelemahan diri maka perbaikailah walaupun belum sempurna sepenuhnya teruskan dan beristiqamah nescaya kita akan diberi kekuatan oleh Allah SWT untuk mengamalkannya.

Tafsir Surah Al-Anfal Ayat 47.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Firman Allah SWT :


وَلَۧ ŰȘَكُونُÙˆŰ§ كَŰ§Ù„َّŰ°ِينَ Űźَ۱َŰŹُÙˆŰ§ مِنْ ŰŻِيَۧ۱ِهِمْ ŰšَŰ·َ۱ًۧ وَ۱ِŰŠَۧۥَ Ű§Ù„Ù†َّۧ۳ِ وَيَŰ”ُŰŻُّونَ Űčَنْ ŰłَŰšِيلِ Ű§Ù„Ù„َّهِ وَŰ§Ù„Ù„َّهُ Űšِمَۧ يَŰčْمَلُونَ مُŰ­ِÙŠŰ·ٌ (47)
 

Maksudnya : "Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang keluar dari kampungnya dengan rasa angkuh dan dengan maksud riyak kepada manusia serta menghalangi (orang) dari jalan Allah. Dan (ilmu) Allah meliputi apa yang mereka kerjakan".(Surah Al-Anfal (8) ayat 47)

Asbabun Nuzul Surah Al-Anfal ayat 47 :

Muhammad bin Ka'ab al-Qurazhi r.a. menyatakan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan saat kaum Quraisy keluar dari Makkah menuju medan Perang Badar. Mereka memakai pakaian serba indah serta diiringi tiupan terompet dan tabuhan rabana." (Hadis Riwayar Ibnu Jarir. Lihat Qurthubi :4/2952)

Huraiannya : 

Dalam ayat ini Allah SWT melarang kaum muslimin agar tidak bersikap seperti orang-orang kafir Quraisy yang keluar dari kampungnya dengan rasa angkuh dengan maksud riyak pada manusia serta menghalangi orang lain dari jalan Allah. Mereka keluar dengan penuh ketakaburan kerana banyak membawa tentara dan perlengkapan. Mereka berlaku angkuh dan sombong terhadap manusia yang melihatnya dan mereka selalu memuji-muji tentaranya dengan menonjolkan sikap-sikap keperwiraan dan keberaniannya. Mereka bermaksud pula untuk menghalang-halangi manusia dari Agama Islam dengan membangkitkan permusuhan terhadap Nabi Muhammad SAW. dan berpaling daripada dakwahnya dan menyeksa para sahabat yang mengikuti jejak Rasulullah SAW. 

Allah SWT memberi peringatan, bahwa Dia Maha Mengetahui apa saja yang mereka kerjakan dan memberi ancaman dengan azab yang setimpal dengan kejahatannya.
 

Menurut Imam Bukhari, ayat itu diturunkan sehubungan dengan peristiwa kaum musyrikin Quraisy, ketika mereka meninggalkan negeri Mekah dan bergerak menuju Badar. Ketika Rasulullah SAW berhadapan dengan tentara musyrikin itu baginda bermunajat dengan berkata: "Ya Allah, inilah kaum Quraisy telah datang dengan kesombongan dan keangkuhannya, mereka ingkar kepada-Mu dan mendustakan utusan-Mu, maka berikanlah pertolongan kepada kami yang Engkau telah janjikan kepada kami." 

Ketika Abu Sufyan yang memimpin kafilah unta niaga itu melihat, bahwa untanya telah selamat dibawa menyusur pantai, maka ia berkata kepada Abu Jahal yang memimpin pasukan Quraisy: "Kedatangan kamu itu hanya sekedar untuk menyelamatkan kafilah unta jangan sampai dirampas oleh sahabat-sahabat Muhammad, maka sekarang kafilah unta itu telah selamat. Kerana itu pulanglah kamu kembali ke negeri Mekah." 

Abu Jahal berkata: "Demi Allah, kami tidak akan kembali sebelum sampai ke Badar." 

Badar pada waktu itu ada pasar besar yang banyak menghimpun barang dagangan setiap tahun. Abu Jahal berkata: "Kami akan tinggal di Badar selama tiga hari sehingga sempat minum arak dengan puas, memakan hidangan yang enak, menyembelih unta dan menghibur diri dengan berbagai lagu dan kesenian. Biarlah semua bangsa Arab mengetahui dan menyaksikan, bahwa kaum Quraisy selalu berada dalam kebesaran dan kejayaan." 

Sebab itu Allah SWT melarang hamba-hamba-Nya kaum muslimin melakukan seperti mereka itu, bahkan sebaliknya harus tetap memelihara keikhlasan hati, ketabahan, kesabaran dan ketaatan kepada Rasulullah SAW.

Sahabat yang dimuliakan,



Pengajaran yang kita hadapi daripada ayat di atas adalah :

1. Allah SWT melarang orang-orang mukmin berlagak sombong, angkuh dan takbur. Kesombongan adalah selendang Allah SWT sesiapa yang sombong akan di benci oleh Allah SWT dan akan mendatangkan kemurkaan-Nya.

2. Di dalam perjuangan menegakkan kebenaran kita hendaklah bersifat tawaduk dan di larang daripada menunjukakan kekuatan dan merasa hebat. Kerana sesungguhnya Yang Maha Hebat adalah Allah SWT sahaja sedangkan makhluk adalah amat kerdil di sisi Allah SWT. Kita dilarang terlalu optimis akan memperolehi kejayaan dan merasa bangga dengan kekuatan yang ada. Sedangkan kejayaan dan kegagalan adalah hak Allah SWT . Dia mampu memberikan kejayaan atau kegagalan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.
Sifat oarng mukmin berusaha bersungguh-sungguh kemudian berdoa dan bertawkal kepada Allah SWT.

3. Berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT  adalah senjata orang mukmin . Berusaha tanpa doa adalah seseorang yang sombong dan bangga diri sedangkan pula jika seseorang berdoa tanpa usaha  adalah sifat orang jahil dan malas. Kedua-duanya akan menemui kegagalan.

Sahabat yang dikasihi,
Di dalam suasana berkempen untuk pilihanraya yang sedang hangat, setiap pemimpin parti perlulah menasihati calun yang bertanding dan para penyokong mereka supaya membawa akhlak dan sahsiah diri semasa berceramah dan berkempen. Jauhkan daripada suka mendedahkan aib seseorang atau menyebarkan berita-berita fitnah yang direka cipta untuk menjatuhkan pihak lawan.

Matlamat tidak boleh membersihkan jalan, kerana apabila matlamatnya bersih maka jalan-jalan yang digunakan perlulah bersih.

Ingatlah kejayaan Rasulullah SAW berjaya mengalahkan musuh (kafir Quraisy) adalah kerana sifat tawakal dan pergantungan baginda kepada Allah SWT secara total dan yakin pertolongan Allah SWT walaupun memiliki tentera yang sedikit dan senjata yang tidak cangih berbanding tentera kafir Quraisy. 

Bukanlah kejayaan dalam pilihanraya bergantung kepada hebatnya ceramah dan poster yang digantung merata tempat tetapi kejayaan sebenar adalah apabila hati dan jiwa kalian bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT, jelas matlamat perjuangan untuk menegakkan agama Allah dan menentang kezaliman manusia dan memakmurkan bumi Allah dengan keadilan Islam.



Monday, April 15, 2013

Amalan-amalan Anak Yang Soleh Kepada Kedua Ibu bapa Yang Telah Meninggal Dunia.

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Űłْمِ Ű§Ù„Ù„Ù‡ِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ْمنِ Ű§Ù„Ű±َّŰ­ِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Sebagai seorang anak yang kasih kepada kedua ibu bapa perlulah kita membalas jasa-jasa baik yang telah mereka berikan kepada kita. Terutama apabila mereka berdua atau salah seorang daripada mereka telah meninggal dunia. Jika kita laksanakan amalan-amalan tersebut akan meringankan beban ibu bapa yang sedang bersemadi di alam barzakh. Mereka akan bergembira kerana memiliki anak-anak yang soleh dan solehah yang sentiasa menyalurkan rezeki berupa pahala yang mengalir terus ke alam barzakh tanpa henti-henti. Balasan yang akan kita terima adalah keredhaan Allah SWT dan kebaikannya anak-anak kita pula akan melaksanakan amalan yang sama apabila giliran kita kembali dijemput pulang oleh Allah SWT.

Amalan-amalan anak untuk kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia :

1. Mohon keampunan untuk mereka.

Doakan kepada mereka.supaya diampunkan dosa-dosa mereka. (Setiap selepas solat fardu berdoalah kepada Allah SWT untuk  kedua ibu bapa supaya Allah SWT mengampunkan semua dosa-dosa mereka)

Daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu katanya,, Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya : "Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariyah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.'' (Hadis Riwayat Muslim).

"Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla menaikkan darjat seorang lelaki yang shalih di syurga,

lalu dia bertanya: “Wahai Tuhan! Kenapakah saya mendapat kelebihan ini?”

Dijawab: “Disebabkan permohonan ampun anak kamu kepada kamu.”

(Hadis Sanad Hasan Riwayat Ahmad dalam Musnadnya – hadis no: 10610 (jld. 2, ms. 509) dan sanadnya dinilai hasan oleh Syu‘aib al-Arna’uth.)

Doa keampunan kepada ibubapa yang boleh diamalkan adalah daripada al-Quran seperti mana yang dikemukakan sebelum ini:

“Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan; dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan!” (Surah Nuh (71) ayat 28)

Memandangkan hadis yang pertama menyebut doa seorang anak yang soleh secara umum, maka dianjurkan juga mendoakan rahmat kepada ibubapa sebagaimana berikut:

“Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah al-Isra’ (17) ayat 24)

Demikianlah dua doa yang diajarkan oleh al-Quran dan ia mencakupi dua perkara yang amat diperlukan oleh ibubapa setelah mereka meninggal dunia: keampunan dan rahmat daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Doa-doa ini boleh kita baca di mana-mana dan pada bila-bila masa. Ia tidak terhad kepada saat menziarahi kubur ibubapa.

2. Menunaskan hutang mereka.

Hutang seperti ini akan menawan ibubapa yang meninggal dunia sehinggalah ia dilunaskan.

Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam pernah bersabda kepada Sa‘ad ibn al-Atswal radhiallahu 'anh yang baru kematian saudaranya: "Saudara kamu tertahan disebabkan hutangnya, oleh itu pergilah engkau melunasinya." (Hadis Sahih Riwayat Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah – hadis no: 2433 .Kitab al-Ahkam, Bab membayar hutang orang yang meninggal dunia).

3.  Laksanakan wasiat ibadah yang mereka tinggalkan.

Jika ibubapa memiliki hajat untuk melaksanakan sesuatu ibadah lalu mereka tidak sempat kerana meninggal dunia, maka kita boleh melaksanakan ibadah tersebut. ‘Abd Allah ibn ‘Abbas radhiallahu 'anhuma menerangkan:

Bahawa seorang wanita daripada Juhainah datang menemui Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam dan berkata: “Sesungguhnya ibuku bernazar untuk melaksanakan haji akan tetapi dia tidak sempat melaksanakan haji tersebut sehingga dia meninggal dunia. Apakah boleh aku melaksanakan haji tersebut untuknya?”

Rasulullah menjawab: “Ya, hajikanlah dia. Apa pandangan kamu jika ibu kamu memiliki hutang, adakah kamu juga akan melunasinya? Lunaskanlah untuk Allah kerana (hutang kepada) Allah adalah lebih berhak untuk dilunasi." (Hadis Sahih Riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 1852 (Kitab al-Hajj, Bab menunaikan nazar haji untuk yang meninggal dunia).

4.  Melaksanakan Rancangan Atau Janji Ibubapa.

Jika ibubapa memiliki rancangan tertentu dan mereka tidak sempat melaksanakannya, kita sebagai anak boleh melaksanakannya dan ganjaran kebaikan akan mengalir kepada ibubapa dan juga kita. Jabir bin ‘Abd Allah radhiallahu 'anh menerangkan:

Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam pernah berkata: “Apabila datang harta dari Bahrain nescaya aku akan memberi engkau sekian-sekian.”

Namun harta dari Bahrain tidak datang sehinggalah Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam wafat.

Ketika harta dari Bahrain sampai, Abu Bakar (radhiallahu 'anh) memerintahkan seseorang menyeru: “Sesiapa yang memiliki janji atau hutang dengan Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam datanglah kepada kami.”

Maka aku datang dan berkata: “Sesungguhnya Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam berjanji kepada aku sekian-sekian.” Maka dia memberi aku satu genggaman dan aku menghitungnya, ternyata jumlahnya lima ratus (dirham). Dia berkata: “Ambillah lagi seumpamanya.”
(Hadis Sahih Riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 2296 (Kitab al-Kafalah, Bab orang yang bertanggungjawab untuk menunaikan hutang si-mati…).

Dalam hadis di atas, janji Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam kepada Jabir dilaksanakan oleh Abu Bakar radhiallahu 'anh sebagai pemerintah pada saat itu. Dalam kes ibubapa, janji atau rancangan mereka boleh dilaksanakan oleh anak-anaknya.

5. Meneruskan Apa Yang Baik dan Menghentikan Apa Yang Buruk.

Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: "Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun. Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunah yang jahat lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya (dosa) seperti dosa orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun. (Hadis Sahih Riwayat Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 1017 (Kitab al-Zakat, Bab suruhan bersedekah sekalipun dengan setengah biji tamar…)

6. Berhubung Dengan Orang Yang Dicintai Oleh Ibubapa.

Kebaikan yang terakhir adalah setinggi-tinggi kebaikan yang dapat dilakukan oleh seorang anak kepada ibubapanya yang telah meninggal.

Hadisnya adalah seperti berikut: Dalam satu perjalanan ke Mekah, ‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma menemui seorang Arab Badui. Lantas Ibn ‘Umar mengucapkan salam kepada beliau, menaikkan beliau ke atas keldai yang tadi ditungganginya dan kemudian memberikan beliau serban yang sedang dipakainya. Ibn Dinar (yang menyaksikan perbuatan Ibn ‘Umar) berkata kepadanya:

“Semoga Allah memperelok keadaan kamu! Sesungguhnya mereka adalah orang Arab Badui dan sesungguhnya mereka sudah mencukupi dengan sesuatu yang sedikit.”

Maka Ibn ‘Umar menjawab: “Sesungguhnya ayah orang ini adalah sahabat yang amat dicintai oleh (ayahku) ‘Umar bin al-Khaththab. Sesunguhnya aku mendengar Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: “Sesungguhnya bakti terbaik seorang anak ialah menghubung silaturahim dengan orang yang dicintai ayahnya.”

(Hadis Sahih Riwayat Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 2552 (Kitab al-Birr wa al-Sholah wa al-Adab, Bab keutamaan berbuat baik kepada rakan ayah dan ibu).

Berdasarkan hadis di atas, hendaklah kita berbuat baik kepada ibubapa yang sudah meninggal dunia dengan menjalinkan hubungan silaturahim dan berbuat baik kepada sesiapa sahaja yang dicintai atau menjadi sahabat karib ibubapa semasa mereka masih hidup.

Selain daripada perkara-perkara diatas seorang anak yang soleh atau solehah akan melakukan beberapa perkara kebaikan untuk membantu ibu bapa mereka yang sedang berada di alam barzakh sebagai ikhtiar dan usaha-usaha untuk membantu mereka beroleh kebaikan dan tambahan pahala yang berterusan.

1. Banyakkan bersedekah terutama sedekah jariah (pembinaan sekolah agama, masjid, rumah anak yatim dan mewakafkan tanah perkuburan orang Islam) niatkan untuk mereka.

2. Sedekahkan al-Quran, buku-buku Islam di sekolah-sekolah agama atau maahad tahfiz atau dimasjid-masjid niatkan untuk mereka.

3. Selalu sedekahkan al-Fatihah, surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Nas, surah Yasin, surah al-Baqarah dan ayat-ayat al-Quran yang lain untuk mereka. Sebaik-baik yang membacanya adalah kita sendiri sebagai seorang anak.. Sedekah bacaan al-Quran menurut majoriti ulama ahli sunah waljamaah sampai kepada simati :

Abu al-Lajlaj Abu Khalid (seorang sahabat) mendengar Nabi SAW menggalakkan para sahabat membaca ayat suci al-Quran di bahagian kepala dan kaki si mati di atas kubur. Lalu mewasiatkan amalan tersebut kepada anaknya supaya berbuat demikian.

Abd Rahman bin al-A’la bin Lajlaj daripada bapanya, katanya : berkata Abu al-Lajlaj Abu Khalid : “Wahai anakku, apabila aku meninggal dunia kebumikanlah aku. Apabila kamu meletakkan jasadku di liang lahad, bacalah: “Dengan nama Allah dan atas agama Rasulullah SAW, Kemudian curahkanlah tanah dengan cermat ke atasku. Kemudian bacalah disisi kepalaku permulaan surah al-Baqarah dan penutupnya, kerana aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda sedemikian.” (al-Thabrani, Mu’jam al-Kabir, 1982, Maktabah al-Ulum Wal Hikam, hlm 220 juz 19)

4. Beramal dengan amalan Islam. Semua anak-anak yang masih hidup apabila mereka tidak mengamalkan cara hidup Islam dengan melakukan maksiat dan dosa, anak perempuan tidak menutup aurat,  bergaduh sesama adik beradik kerana harta pusaka semua tindakkan ini menyusahkan dan membebankan ibu bapa kita yang berada dialam barzakh. Ibu bapa akan menyesal kerana mereka tidak mendidik anak-anak mereka dengan cara hidup Islam hingga mereka melakukan maksiat kepada Allah SWT. Ketika ini penyesalan sudah tidak berguna lagi kerana perkara tersebut sudah berlaku. Tetapi untuk anak-anak pula macamana mereka hendak membantu ibu bapa mereka yang sudah mati tadi? Maka mereka perlu beramal soleh, beramal ibadah dan beramal kebaikan kerana semua pahala yang kalian buat akan membari saham yang besar kepada ibu bapa kalian yang sedang menderita di alam barzakh.

Amalkanlah ilmu yang diajarkan oleh kedua ibu bapa kalian maka mereka akan mendapat pahala ilmu yang bermanfaat. 


Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita sama-sama berusaha memberi saham terbaik untuk kedua orang tua kita yang telah meninggal dunia. Amalkanlah beberapa amalan di atas yang pernah di laksanakan oleh sahabat-sahabat Rasulullah SAW dan ulama tabiin untuk meneruskan jasa bakti kepada insan tersayang yang telah meninggal dunia. Sebenarnya amal soleh dan kebaikan yang kita berikan kepada mereka kita juga akan mendapat pahala yang sama dan tidak dikurangkan walaupun sedikit oleh Allah SWT.