Wednesday, April 17, 2013

Tafsir Surah Al-Anfal Ayat 47.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Firman Allah SWT :


وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ خَرَجُوا مِنْ دِيَارِهِمْ بَطَرًا وَرِئَاءَ النَّاسِ وَيَصُدُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ وَاللَّهُ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطٌ (47)
 

Maksudnya : "Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang keluar dari kampungnya dengan rasa angkuh dan dengan maksud riyak kepada manusia serta menghalangi (orang) dari jalan Allah. Dan (ilmu) Allah meliputi apa yang mereka kerjakan".(Surah Al-Anfal (8) ayat 47)

Asbabun Nuzul Surah Al-Anfal ayat 47 :

Muhammad bin Ka'ab al-Qurazhi r.a. menyatakan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan saat kaum Quraisy keluar dari Makkah menuju medan Perang Badar. Mereka memakai pakaian serba indah serta diiringi tiupan terompet dan tabuhan rabana." (Hadis Riwayar Ibnu Jarir. Lihat Qurthubi :4/2952)

Huraiannya : 

Dalam ayat ini Allah SWT melarang kaum muslimin agar tidak bersikap seperti orang-orang kafir Quraisy yang keluar dari kampungnya dengan rasa angkuh dengan maksud riyak pada manusia serta menghalangi orang lain dari jalan Allah. Mereka keluar dengan penuh ketakaburan kerana banyak membawa tentara dan perlengkapan. Mereka berlaku angkuh dan sombong terhadap manusia yang melihatnya dan mereka selalu memuji-muji tentaranya dengan menonjolkan sikap-sikap keperwiraan dan keberaniannya. Mereka bermaksud pula untuk menghalang-halangi manusia dari Agama Islam dengan membangkitkan permusuhan terhadap Nabi Muhammad SAW. dan berpaling daripada dakwahnya dan menyeksa para sahabat yang mengikuti jejak Rasulullah SAW. 

Allah SWT memberi peringatan, bahwa Dia Maha Mengetahui apa saja yang mereka kerjakan dan memberi ancaman dengan azab yang setimpal dengan kejahatannya.
 

Menurut Imam Bukhari, ayat itu diturunkan sehubungan dengan peristiwa kaum musyrikin Quraisy, ketika mereka meninggalkan negeri Mekah dan bergerak menuju Badar. Ketika Rasulullah SAW berhadapan dengan tentara musyrikin itu baginda bermunajat dengan berkata: "Ya Allah, inilah kaum Quraisy telah datang dengan kesombongan dan keangkuhannya, mereka ingkar kepada-Mu dan mendustakan utusan-Mu, maka berikanlah pertolongan kepada kami yang Engkau telah janjikan kepada kami." 

Ketika Abu Sufyan yang memimpin kafilah unta niaga itu melihat, bahwa untanya telah selamat dibawa menyusur pantai, maka ia berkata kepada Abu Jahal yang memimpin pasukan Quraisy: "Kedatangan kamu itu hanya sekedar untuk menyelamatkan kafilah unta jangan sampai dirampas oleh sahabat-sahabat Muhammad, maka sekarang kafilah unta itu telah selamat. Kerana itu pulanglah kamu kembali ke negeri Mekah." 

Abu Jahal berkata: "Demi Allah, kami tidak akan kembali sebelum sampai ke Badar." 

Badar pada waktu itu ada pasar besar yang banyak menghimpun barang dagangan setiap tahun. Abu Jahal berkata: "Kami akan tinggal di Badar selama tiga hari sehingga sempat minum arak dengan puas, memakan hidangan yang enak, menyembelih unta dan menghibur diri dengan berbagai lagu dan kesenian. Biarlah semua bangsa Arab mengetahui dan menyaksikan, bahwa kaum Quraisy selalu berada dalam kebesaran dan kejayaan." 

Sebab itu Allah SWT melarang hamba-hamba-Nya kaum muslimin melakukan seperti mereka itu, bahkan sebaliknya harus tetap memelihara keikhlasan hati, ketabahan, kesabaran dan ketaatan kepada Rasulullah SAW.

Sahabat yang dimuliakan,



Pengajaran yang kita hadapi daripada ayat di atas adalah :

1. Allah SWT melarang orang-orang mukmin berlagak sombong, angkuh dan takbur. Kesombongan adalah selendang Allah SWT sesiapa yang sombong akan di benci oleh Allah SWT dan akan mendatangkan kemurkaan-Nya.

2. Di dalam perjuangan menegakkan kebenaran kita hendaklah bersifat tawaduk dan di larang daripada menunjukakan kekuatan dan merasa hebat. Kerana sesungguhnya Yang Maha Hebat adalah Allah SWT sahaja sedangkan makhluk adalah amat kerdil di sisi Allah SWT. Kita dilarang terlalu optimis akan memperolehi kejayaan dan merasa bangga dengan kekuatan yang ada. Sedangkan kejayaan dan kegagalan adalah hak Allah SWT . Dia mampu memberikan kejayaan atau kegagalan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.
Sifat oarng mukmin berusaha bersungguh-sungguh kemudian berdoa dan bertawkal kepada Allah SWT.

3. Berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT  adalah senjata orang mukmin . Berusaha tanpa doa adalah seseorang yang sombong dan bangga diri sedangkan pula jika seseorang berdoa tanpa usaha  adalah sifat orang jahil dan malas. Kedua-duanya akan menemui kegagalan.

Sahabat yang dikasihi,
Di dalam suasana berkempen untuk pilihanraya yang sedang hangat, setiap pemimpin parti perlulah menasihati calun yang bertanding dan para penyokong mereka supaya membawa akhlak dan sahsiah diri semasa berceramah dan berkempen. Jauhkan daripada suka mendedahkan aib seseorang atau menyebarkan berita-berita fitnah yang direka cipta untuk menjatuhkan pihak lawan.

Matlamat tidak boleh membersihkan jalan, kerana apabila matlamatnya bersih maka jalan-jalan yang digunakan perlulah bersih.

Ingatlah kejayaan Rasulullah SAW berjaya mengalahkan musuh (kafir Quraisy) adalah kerana sifat tawakal dan pergantungan baginda kepada Allah SWT secara total dan yakin pertolongan Allah SWT walaupun memiliki tentera yang sedikit dan senjata yang tidak cangih berbanding tentera kafir Quraisy. 

Bukanlah kejayaan dalam pilihanraya bergantung kepada hebatnya ceramah dan poster yang digantung merata tempat tetapi kejayaan sebenar adalah apabila hati dan jiwa kalian bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT, jelas matlamat perjuangan untuk menegakkan agama Allah dan menentang kezaliman manusia dan memakmurkan bumi Allah dengan keadilan Islam.



No comments: