Friday, December 19, 2014

Persediaan Sebelum Berkahwin

Persiapan ilmu sebelum berkahwin :

Al-Quran dan As-sunnah telah memberitahu kita tentang pelbagai persediaan yang perlu dilakukan oleh para pemuda sebelum melangkah masuk ke alam perkahwinan. Di antara semua senarai persediaan yang banyak itu terdapat 10 persediaan yang paling penting untuk diperhatikan dan diusahakan oleh anak-anak muda sebelum menyahut gelaran sebagai seorang suami.

1. Memiliki aqidah yang sahih

Aqidah yang sahih bermaksud ikatan kepercayaan dan pegangan di antara seorang hamba dan Allah SWT yang terjalin secara benar dan sah disisi agama melalui pertunjuk Al-Quran dan As-sunnah yang sahih. Hal ini menjadi asas dan perkara yang paling penting dan utama dimiliki oleh seorang muslim sebelum melakukan sebarang urusan keagamaan yang lain.

Firman Allah SWT : “Dan janganlah kamu menikahkan orang-orang musyrik dengan wanita-wanita mukmin sebelum mereka beriman. Sesungguhnya hamba lelaki yang mukmin itu adalah lebih baik dari orang lelaki yang musyrik, walaupun dia menarik hatimu. Mereka mengajak ke neraka, sedangkan Allah mengajak kamu ke syurga dan keampunan dengan izin-Nya.” (Surah Al-Baqarah ayat 221)

Sebelum bernikah dan mendirikan rumahtangga maka hendaklah seseorang anak muda atau lelaki itu berusaha membersihkan aqidahnya dari sebarang kesalahan dan kesilapan dan berusaha memperkukuhkan keimanan dan keyakinannya kepada Allah SWT menurut ajaran Al-Quran dan As-sunnah.

Buah dari aqidah yang benar ialah tauhid yang tulus dan suci serta bersih daripada syirik dan kekufuran. Inilah yang mesti dimiliki sebelum memasuki gerbang pernikahan agar pasangan atau isteri serta ahli keluarga terselamat dari kesesatan dan diredhai oleh Allah SWT.

2. Mempunyai tujuan dan perancangan hidup

Perkahwinan ialah alat atau wasilah dan bukanlah merupakan matlamat hidup seseorang. Apa yang berlaku dalam perkahwinan ialah dua insan menjadi pasangan dan hidup bersama secara halal.Perkahwinan tidak akan mengubah hidup seseorang menjadi lebih baik atau lebih buruk sebaliknya perkahwinan adalah alat yang bergantung kepada cara seseorang itu menggunakannya untuk mencapai sesuatu tujuan.

Daripada Amirul Mukminin, Umar bin Khattab ra yang berkata : Aku mendengar Rasulullah Salallahu Alaihi Wasalam bersabda :“Sesungguhnya setiap amal itu dengan niat dan setiap amalan itu dibalas menurut apa yang ia niatkan. Barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan rasul-Nya maka hijrahnya itu ialah kepada Allah dan rasul-Nya dan barangsiapa yang hijrahnya itu untuk tujuan dunia yang akan diperolehinya atau kerana perempuan yang hendak dinikahinya maka hijrahnya itu ialah kepada apa yang diniatkan olehnya.” (Hadis Riwayati Muslim)

Seperti kereta ia adalah kenderaan yang boleh dipandu ke mana-mana yang kita mahu tetapi kitalah yang mesti menetapkan arah tuju dan destinasinya. Kereta itu tidak boleh bergerak sendiri atau membawa kita ke mana-mana jika kita tidak memandunya atau tidak mengetahui arah tuju yang harus diambil. Perkahwinan ialah seperti kereta yang tidak akan bergerak ke mana-mana tanpa mempunyai hala tuju dan matlamat yang jelas.

Maka adalah penting bagi suami dan seorang bapa untuk memimpin keluarganya menuju ke sebuah destinasi dan matlamat tertentu dengan menggunakan perkahwinan dan keluarganya sebagai kenderaan. Oleh itu sebelum melangsungkan pernikahan hendaklah dipastikan kita memiliki matlamat dan tujuan jelas yang mahu dicapai dari perkahwinan ini agar ianya dapat membantu kita memimpin dan memandu perkahwinan menuju ke matlamat yang dimahukan.

3.Mempunyai asas kekuatan jiwa dan kawalan diri.

Kekuatan jiwa bermaksud kekuatan hati dan keperibadian yang dimiliki oleh seseorang yang dapat menyebabkan dia mampu mengawal dirinya dan kuat menghadapi dugaan dan cabaran dalam kehidupan. Antara asas kekuatan jiwa yang paling mustahak untuk dimiliki oleh seseorang lelaki sebelum melangkah ke alam perkahwinan ialah seperti kesabaran dan kawalan diri dari melakukan perkara yang tidak sepatutnya.

Kita perlu memahami bahawa dalam perkahwinan, suami mempunyai kedudukan yang tinggi dan penting. Kebahagiaan isteri dan neraka mereka adalah bergantung kepada sikap suami dan kekuatan peribadi sang lelaki dalam mengawal diri. Jika suami seorang yang pemarah, kaki pukul dan gagal mengawal diri maka banyak bahaya dan kemudharatan dikhuatiri akan menimpa pihak isteri yang boleh mengakibatkan kehancuran rumahtangga dan pelanggaran hukum Allah SWT.

Daripada Abu Said Al-Khudri ra bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda :

“Tidak boleh melakukan kemudharatan dan tidak pula boleh mengundang kemudharatan (melalui perbuatan yang dilakukan).” (Hadis Hasan Riwayat Daruquthni, Al-Hakim dan Baihaqi)

Adalah haram menikahi seorang wanita dengan niat untuk melakukan kemudharatan terhadap dirinya atau dalam keadaan tidak bersedia dan tidak mampu untuk memenuhi keperluannya sehingga menyebabkan kesusahan dan mudharat kepada agama, nyawa, akal dan maruah serta hartanya yang dipelihara oleh Islam. Oleh yang demikian persediaan kekuatan jiwa dan kawalan diri sebelum berkahwin ialah wajib dimiliki oleh setiap lelaki muslim agar diri mereka layak menjadi pemimpin dan ketua keluarga yang berkemampuan menegakkan hukum Allah SWT dalam rumahtangga mereka.

4. Mampu membaca kitab Allah dan sunnah rasul-Nya

Tidak ada petunjuk selain petunjuk Allah dan Rasul-Nya dan petunjuk tersebut hanya akan dapat diperolehi jika kita mampu membaca dan memahami isi kandungan kitab Allah SWT dan sunnah rasul-Nya. Sebagai ketua keluarga, lelaki Muslim bertanggungjawab membawa ahli keluarganya ke jalan Allah SWT dan menyelamatkan mereka dari menjadi bahan bakar api neraka.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.” (Surah At-Tahrim ayat 6)

Adalah menjadi syarat yang penting bagi seorang bapa dan wali kepada perempuan untuk memastikan calon suami kepada anak-anak gadis mereka mampu membaca kitab Allah dan boleh merujuk kepada sunnah Rasululullah Salallahu Alaihi Wassalam. Sekurang-kurangnya dia mampu menguasai bacaan Al-Quran dengan baik dan boleh menjadi Imam dalam keluarganya, mampu membuka tafsir dan merujuk kitab-kitab tafsir atau kitab terjemahan untuk mempelajari maksud-maksud ayat-ayat Allah SWT dan mengambil pelajaran daripadanya.

Juga dia mampu untuk membaca hadis-hadis Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam dan boleh mencari rujukan dan pelajaran dari hadis-hadis tersebut walaupun dengan bantuan kitab-kitab terjemahan dan buku-buku hadis yang ringkas seperti hadis 40 karya Imam Nawawi atau Riyadhus Solihin bagi mengajarkan ahli keluarganya kehidupan menurut sunnah Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam.

5. Mengetahui tentang halal dan haram dan cara beribadah (fardhu ain)

Seorang lelaki yang telah mukallaf dan berhasrat untuk bernikah wajib mengetahui perkara yang halal dan haram dalam agama serta cara untuk menunaikan ibadah kepada Allah SWT yang disebut sebagai ilmu fardhu ain sebelum dirinya layak untuk bernikah dan menjadi ketua keluarga. Hal ini amat penting kerana tanpa mengetahui apa yang halal dan haram, bagaimana dia akan mampu untuk membimbing isterinya dan menunaikan kewajipannya sebagai suami mahupun sebagai hamba Allah ?

Hubungan suami isteri seperti apa yang dibenarkan dan diharamkan, cara bersuci, cara solat dan seluruh perkara yang melibatkan halal dan haram menurut Islam perlu diketahui oleh seorang mukallaf sebelum menjejakkan kakinya ke alam perkahwinan. Perlu pelajari bab nikah, cerai, talak, rujuk, iddah wanita, haid, nifas dan istihadah.

Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Yang menyuruh mereka mengerjakan yang makruf dan melarang mereka dari mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka". (Surah Al-A'raf ayat 157)

Apa yang perlu diketahui oleh seorang lelaki itu sebelum bernikah ialah perkara-perkara asas dan hukum halal dan haram yang telah jelas dari Al-Quran dan As-sunnah. Hal ini tidak semestinya dihafal atau dikuasai di dalam kepala tetapi bermaksud dia mampu mencari rujukan, membaca buku atau boleh mendapatkan pengetahuan tentang halal dan haram apabila berdepan dengan sesuatu situasi. Namun adalah lebih baik seorang Muslim itu bersedia dan mengetahui tentang apakah perkara yang dihalalkan dan diharamkan oleh Allah SWT kerana hal itu termasuk dalam perintah untuk menuntut ilmu dan mencari petunjuk.

6. Mempunyai kesihatan yang baik

Kesihatan yang baik ialah merupakan perintah agama dan menjadi salah satu sifat dan kelebihan kepada orang yang beriman. Islam amat mementingkan penjagaan makan, kesihatan diri seperti kebersihan dan kecergasan badan. Ini boleh dilihat di dalam sebuah hadis yang menyebut sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:"Orang mukmin yang kuat adalah lebih baik dan disukai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah." (Hadis Riwayat Muslim)

Persediaan kesihatan sebelum bernikah bermaksud menjaga diri daripada penyakit berjangkit, virus dan kuman berbahaya serta apa-apa yang boleh memudharatkan pihak isteri dan keluarga yang akan dibina. Selain daripada itu hendaklah seorang lelaki muslim menjaga kesihatannya seperti bersenam, menjaga pemakanan agar dirinya tetap sihat dan segar untuk pernikahan dan tidak menjadi beban kepada keluarga atau isterinya selepas bernikah.

Ada orang yang tidak menjaga kesihatannya sehingga mendapat penyakit berbahaya dan menyusahkan seperti jantung, kencing manis, darah tinggi dan sebagainya. Hal ini akan menganggu hubungan suami isteri dan menjadi beban dalam perkahwinan apabila ianya tidak dijaga dan diselia dengan baik. Kesihatan adalah rezeki dan anugerah daripada Allah SWT tetapi hendaklah dicapai dengan usaha dan disiplin diri dalam menjaga makan dan minum serta rajin bersenam dan memelihara kebersihan diri.

7. Mempunyai pengetahuan tentang seks dan mampu melakukannya dengan betul

Hubungan seks ialah salah satu di antara tujuan penting perkahwinan iaitu untuk memuaskan fitrah dan nafsu di jalan yang halal. Oleh yang demikian mana-mana pasangan yang hendak mendirikan pernikahan perlulah mengetahui ilmu asas dan persediaan untuk memenuhi fitrah masing-masing secara halal dan baik serta bersedia baik dari segi fizikal dan emosi.

Sebagai seorang lelaki muslim, dia perlu bersedia untuk memenuhi keperluan fitrah dirinya dengan cara yang betul dan bersedia untuk memenuhi keperluan isterinya pula dengan cara yang baik dan berkesan. Persediaan itu termasuk mengetahui biologi dan fitrah wanita seperti kitaran haid, penyakit-penyakit kelamin seperti masalah keputihan, isu hubungan badan seperti ransangan dan membangkitkan rasa ghairah sebelum jimak agar tidak wujud kesakitan kepada pihak isteri dan mampu menjadikan hubungan seks sebagai nikmat dan kegembiraan bukan masalah dan kesedihan.

Syeikhul Islam, Ibn Taimiyyah ra menyebutkan bahawa hendaklah seorang suami itu melakukan hubungan seksual dengan isterinya menurut cara yang mampu memenuhi keperluan isterinya selama ianya tidak membawa mudharat kepada fizikalnya.

Dalam hal ini para lelaki Muslim hendaklah bertanyakan kepada orang tua atau mereka yang arif tentang petua dan panduan yang boleh membantu mereka melayari perkahwinan dan memberi kepuasan kepada pihak isteri.

Dari ‘Ummul Mu’minin ‘Aisyah ra berkata: Rasulullah Salallahualaihiwassalam bersabda : “Sebaik-baik kalian adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya.” (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Keperluan seksual lelaki dan perempuan adalah berbeza serta cara masing-masing mencapai nikmat dan keseronokan juga adalah tidak sama maka hendaklah pihak lelaki dan bakal suami mempelajari dan menguasai pengetahuan ini agar dapat memberikan layanan yang terbaik kepada isteri masing-masing.

8. Mempunyai pekerjaan dan pendapatan serta tempat tinggal

Termasuk diantara syarat-syarat asas untuk mendirikan rumahtangga ialah pihak suami atau lelaki itu mempunyai kemampuan untuk memberikan nafkah dan memenuhi keperluan asas keluarganya serta menyediakan tempat tinggal yang selamat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu tinggal menurut kemampuan kamu dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan (hati) mereka.” (Surah At-Talaq ayat 6)

Tidak disyaratkan untuk memiliki rumah yang besar atau mewah tetapi hendaklah ianya mampu melindungi keselamatan isteri dan auratnya serta dapat memberikan perlindungan dari hujan dan panas serta tidak memudharatkannya untuk menetap di dalamnya.

Oleh yang demikian maka para lelaki Muslim dan bakal suami hendaklah memiliki pekerjaan dan pendapatan yang mampu untuk membiayai sara hidup dan kehidupan isterinya bersama keluarga sebelum mendirikan pernikahan dengan cara bekerja atau berniaga.

Hal ini kerana Islam mementingkan persediaan dan pekerjaan bersungguh-sungguh bukan hanya meminta-minta dan mengharapkan bantuan atau sedekah tanpa usaha gigih yang bercanggah dengan sikap Islam.

Firman Allah SWT : “Dan Kami jadikan malam sebagai pakaian, dan Kami jadikan siang untuk mencari penghidupan (sara hidup dan rezeki).” (Surah An-Naba ayat 10-11)

Diriwayatkan dari Zuba'ir bin Al Aawam dari Nabi SAW yang bersabda dengan bermaksud: "Sekiranya salah seorang daripada kamu membawa tali lalu pergi ke bukit untuk mencari kayu, kemudian dia memikul kayu tersebut untuk ke pasar dan menjualnya demi menjaga kehormatannya, maka nescaya hal yang demikian itu adalah lebih baik baginya daripada perbuatan meminta-minta kepada orang lain, baik dia diberi atau pun ditolak." (Hadis Riwayat Bukhari)

9. Memiliki kekuatan untuk menjaga dan melindungi keselamatan isteri dan keluarga

Islam menjadikan lelaki sebagai pemimpin wanita kerana kekuatan dan kelebihan yang ada pada kaum lelaki untuk memelihara dan melindungi wanita. Sebelum bernikah, seseorang wanita itu akan berada dibawah pemeliharaan walinya yang bertanggungjawab ke atasnya. Namun apabila dia sudah menikah maka tugas untuk melindungi dan menjaga keselamatan dirinya, agamanya dan memelihara dirinya daripada bahaya dan fitnah adalah terletak di atas bahu suaminya.

Daripada Abdullah ibn Amru ibn As ra bahawa rasulullah salallahualaihiwasalam pernah bersabda : “Dan bagi isteri kamu itu mempunyai hak ke atas kamu.” (Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim)

Oleh yang demikian hendaklah bakal suami dan lelaki muslim yang akan bernikah bersedia menyiapkan diri dengan kekuatan dan kemampuan fizikal dan mental serta persediaan yang perlu untuk melindungi isterinya daripada bahaya dan gangguan manusia dan syaitan.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang terbunuh kerana membela harta yang dimilikinya maka matinya adalah mati syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana membela dirinya dari dibunuh oleh orang lain, maka matinya adalah mati syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan agamanya (agama Islam) matinya adalah mati syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan keluarganya daripada diceroboh, matinya juga adalah mati syahid.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)

Di dalam hadis di atas menyebutkan bahawa mempertahankan keluarga termasuk di antara penyebab kepada mati syahid sebagai menunjukkan bahawa ianya adalah kewajipan dan tugas yang besar di sisi agama. Untuk melaksanakan tugas mempertahankan keluarga seperti yang disarankan oleh hadith di atas maka hendaklah lelaki Muslim atau bakal suami itu memiliki kekuatan dan persediaan.

Kekuatan di sini bukan sahaja bermaksud kekuatan fizikal tetapi juga kekuatan mental dan kebijaksanaan serta kemampuan baik dari sudut kewangan, kepandaian atau memiliki hubungan ramai dengan pihak yang mampu menghulurkan bantuan untuk membantu melindungi isteri dan keluarganya daripada sebarang bahaya dan fitnah.

10. Memiliki kemahiran asas dalam hidup

Rumahtangga ialah seperti kenderaan yang tidak berguna jika kita tidak tahu memandunya atau tidak tahu ke mana mahu dituju dengannya. Oleh yang demikian adalah penting bagi seorang pemandu yang mahu memandu keluarganya agar tahu dengan selok-belok kehidupan serta mempunyai kemahiran yang asas dalam pelbagai pengetahuan hidup seperti komunikasi, pertukangan, memperbaiki perkakasan rumah dan elektrik, menyelia kenderaan dan automotif atau mampu mengendalikan kecemasan dan rawatan cemas apabila diperlukan.

Hidup ini adalah misteri dan penuh dengan ujian dan dugaan. Kita haruslah mempersiapkan diri dengan pelbagai kemahiran yang boleh membantu kita di dalam mendepani cabaran kehidupan apabila tibanya saat-saat yang memerlukan. Malang tidak pernah berbau seperti kata orang maka tidak rugi bahkan menjadi kewajipan untuk memiliki sekurang-kurangnya satu atau dua kemahiran asas dalam hidup yang dapat menjadi bekalan dalam memimpin keluarga dan rumahtangga.

Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam sendiri amat mengalakkan umatnya belajar menunggang kuda, berenang dan memanah di zaman baginda. Pada hari ini kemahiran yang penting ialah seperti kemahiran IT, kaunselling, motivasi dan kemahiran pertukangan dan memperbaiki alatan elektrik dan menyelia kenderaan jika rosak di tengah jalan.

Antara kemahiran asas yang penting ialah kemahiran komunikasi dan kemahiran mendidik isteri dan anak-anak dengan berkesan atau kemahiran memujuk para isteri dan anak-anak apabila berlakunya masalah dan pergaduhan. Komunikasi boleh memberi kesan yang besar kepada perkahwinan jika tidak dijaga dengan baik dan diabaikan. Kemahiran bertukang dan berkebun pula boleh memberikan manfaat kepada pendapatan, manakala kemahiran seperti pengetahuan tentang kesihatan dan perubatan boleh membantu keluarga apabila berlakunya kecemasan dan kemalangan.

Kedudukan Mimpi Dalam Islam

Mimpi ialah pengalaman minda separa sedar yang melibatkan penglihatan, pendengaran, pemikiran, perasaan atau pergerakan lain-lain panca indera manusia sewaktu tidur. Mimpi berlaku tanpa kawalan dan kesedaran oleh orang yang mengalaminya.

Di dalam Al-Quran, Allah SWT menyebut tentang mimpi dalam tiga keadaan. Pertama dengan menggunakan kalimah Ar-Ru’yah iaitu mimpi yang benar. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah akan membuktikan kepada Rasul-Nya, tentang kebenaran mimpinya dengan sebenarnya (iaitu) bahawa sesungguhnya kamu pasti akan memasuki Masjidil Haram, insya Allah dalam keadaan aman, dengan mencukur rambut kepala dan mengguntingnya, dalam keadaan kamu tidak merasa takut. Maka Allah mengetahui apa yang tidak kamu ketahui dan Dia memberikan sebelum itu kemenangan yang dekat.” (Surah Al-Fath ayat 27)

Kedua dengan mengunakan kalimah Al-hadis yang bermaksud mimpi tentang kejadian yang akan berlaku, sebagaimana dalam firman-Nya yang bermaksud : “Ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah menganugerahkan kepadaku sebahagian kerajaan dan telah mengajarkan kepadaku sebahagian ta'bir mimpi. (Ya Tuhan) Pencipta langit dan bumi. Engkaulah Pelindungku di dunia dan di akhirat, wafatkanlah aku dalam keadaan Islam dan gabungkanlah aku bersama dengan orang-orang yang soleh.” (Surah Yusof ayat 101)

Ketiga ialah kalimah Al-hulum, iaitu mimpi khayalan dan mainan tidur seperti yang disebut dalam ayat yang lain dalam firman-Nya yang bermaksud : “Bahkan mereka sanggup berkata (pula) bahawa Al Quran itu adalah mimpi-mimpi yang karut, malah diada-adakannya, bahkan dia sendiri seorang penyair, maka hendaklah dia mendatangkan kepada kita suatu mukjizat, sebagai-mana rasul-rasul yang telah lalu yang di-utus.” (Surah Al-Anbiya ayat 5)

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh seorang sahabat yang bernama Al-Harith bin Rabi'I atau dikenali dengan gelaran Abu Qatadah Al-Ansori ra menyebut bahawa beliau mendengar Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam bersabda : “Ar-ru’yah (mimpi yang benar) itu daripada Allah manakala Al-hulmu (mimpi yang karut) itu daripada syaitan. Apabila salah seorang daripada kamu bermimpi tentang sesuatu yang dibenci maka ludahlah ke kirinya sambil meminta perlindungan Allah daripada syaitan maka nescaya mimpi itu tidak akan memudharatkannya. (Hadis riwayat Bukhari no. 6603)

Berdasarkan penjelasan di atas maka tidak semua mimpi itu boleh dipercayai dan tidak pula boleh didustakan sebaliknya ia amat bergantung kepada peribadi orang yang bermimpi dan keadaan mimpi yang berlaku kepada dirinya. Ini disebabkan para ulama menyebut bahawa mimpi itu dinilai berdasarkan keperibadian seseorang yang bermaksud jika orang yang bermimpi itu ialah orang yang soleh dan dipercayai maka mimpinya itu juga boleh dipercayai tetapi jika yang bermimpi itu ialah seorang yang fasik dan ahli maksiat maka mimpinya adalah dusta dan tidak boleh dipercayai.

Mereka berhujah berdasarkan hadith nabi salallahualaihiwassalam yang dikeluarkan oleh Imam Muslim ra di dalam kitab sahihnya yang bermaksud : “Apabila tiba di akhir zaman maka mimpi seseorang itu tidaklah berdusta dan orang yang paling benar mimpinya di kalangan kamu ialah orang yang paling benar perkataannya.” (Hadis riwayat Muslim dan lain-lain)

Ulama Islam seperti Dr. Yusof Al-Qaradhawi di dalam bukunya Mawqif al-Islam min al-Ilham wa al-Kasyf wa al-Ru’a wa Min al-Kananah wal-Tarna’im wa al-Ruqa. ( Pandangan Islam terhadap kedudukan Ilham, kasyaf, mimpi, ramalan, pencegahan musibah dan jampi) menolak hujah golongan sufi dan tasawwuf yang melampau dan berlebihan di dalam mimpi dan menegaskan bahawa mimpi itu tidak boleh dijadikan sebagai hujah syarak.

Hukumnya adalah tetap sama dengan prinsip Islam di dalam bab penerimaan maklumat atau berita seperti yang disebut oleh Allah SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang yang fasik membawa sesuatu berita, maka hendaklah kamu periksa dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Surah Al-Hujurat ayat 6)

Kedudukan Mimpi dalam Islam :

Mimpi mempunyai kedudukan dalam Islam kerana ianya pernah dijadikan oleh Allah SWT sebagai salah satu alat atau kaedah dalam penyampaian wahyu kepada para nabi dan rasul. Walaubagaimanapun keadaan ini hanya berlaku apabila wahyu masih berjalan dan rasululullah salallahualaihiwassalam masih hidup. Apabila baginda Nabi Muhammad Salallahu Alaihi Wassalam telah wafat maka wahyu pun terputus dan tidak ada lagi nabi selepas baginda serta syariat Islam pun telah sempurna.

Firman Allah SWT : “Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kalian agama kalian. Dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku kepada kalian. Dan Aku redha Islam menjadi agama kalian.” (Surah Al- Maidah ayat 3)

Bahkan ketika dalam haji yang terakhir, baginda rasulullah salallahualaihiwassalam pernah berkhutbah dan menyampaikan pesanan kepada para sahabat dan seluruh umat Islam dengan mengatakan bahawa Islam telah sempurna dan baginda pun sudah menyampaikan ajaran Islam semuanya tanpa tertinggal. Diriwayatkan oleh Jabir dari Abdullah bahawa baginda Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam bersabda : "Wahai manusia, sesungguhnya kamu semua akan ditanya tentang aku, maka apakah yang akan kamu katakan tentang diriku ?" Maka hadirin yang ada di situ pun menjawab: "Kami menyaksikan bahawa engkau telah menyampaikan risalah dan amanah serta memberi kami peringatan." Lalu Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam pun mengangkat kedua tangan baginda ke langit seraya berkata: "Ya Allah, aku telah menyampaikan.” (Hadis riwayat Muslim)

Oleh yang demikian mimpi telah disebutkan oleh para ulama ahli sunnah wal jamaah secara ijmak bahawa ianya tidak boleh dijadikan sebagai hujah agama atau pegangan dalam aqidah. Sebaliknya mimpi yang baik atau ru’ya solehah itu adalah lebih kepada nasihat atau tazkirah dan rezeki daripada Allah SWT secara peribadi dan khusus untuk orang yang bermimpi sahaja tanpa menokok tambah atau mengubah apa-apa daripada ajaran Islam yang telah sedia ada di dalam Al-Quran dan as-sunnah.

Ini kerana ibu orang yang beriman, Saidatina Aisyah ra menyebutkan bahawa Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam pernah bersabda yang bermaksud : “Barangsiapa yang mengerjakan satu amalan yang tidak ada asalnya daripada kami, maka amalan itu adalah tertolak.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Oleh yang demikian kita haruslah berhati-hati dalam masalah mimpi dan jangan terpedaya dengan dakwaan sesetengah pihak yang membawa ajaran atau fahaman kononnya bertemu nabi atau wali tertentu di dalam mimpi yang mengajarkan kepadanya ilmu atau memberitahu sesuatu rahsia kerana sesungguhnya Islam itu telah pun sempurna dan Rasulullah salallahualaihiwassalam telah pun menunaikan amanah baginda sebagai utusan Allah dengan menyampaikan semua kebaikan dan perkara agama tanpa tertinggal sehingga perlu dilengkapkan atau ditokok tambah oleh tukang-tukang karut atau penipu.

Para ulama’ selalu menyebut bahawa kadang-kadang kesesatan kepada manusia itu selalunya bermula dari hal yang kecil dan baik. Berkata Al-Hasan bin Soleh ra (salah seorang ulama' salaf) bahawa "Sesungguhnya syaitan itu selalu membuka 99 pintu kebaikan kepada seorang hamba Allah tetapi dengan tujuan untuk mendorongnya masuk ke dalam satu pintu kejahatan." (Talbis Iblis, Ibn Jauzi)

Di dalam hadis mimpi itu terbahagi kepada 3 bahagian iaitu mimpi yang benar dari Allah SWT, seperti wahyu kepada para nabi dalam tidur mereka atau pun ilham dan pertolongan kepada orang yang soleh dan yang kedua ialah mimpi buruk yang datang daripada syaitan. Seterusnya ialah mimpi biasa yang sering berlaku kepada kita dalam kehidupan seharian apabila terbawa-bawa perkara di waktu siang atau apa yang dilalui oleh kita ke dalam mimpi akibat kelesuan otak dan permainan minda separa sedar.

Ini berdasarkan hadith dari Abu Hurairah ra yang berkata bahawa telah bersabda rasulullah salallahualaihiwassalam yang bermaksud : “ Mimpi itu ada tiga bahagian iaitu berita atau khabar gembira dari Allah , apa yang berlaku dalam hidup seharian dan mimpi buruk yang menakutkan dari syaitan.” (Hadis riwayat Ahmad)

Setiap mimpi yang dialami oleh seseorang perlu dibahagikan atau diperhatikan mengikut kategorinya apakah mimpi tersebut merupakan mimpi yang benar atau merupakan gangguan syaitan atau pun permainan tidur akibat keletihan otak. Sekiranya mimpi tersebut jatuh dalam kategori mimpi yang benar maka ianya adalah boleh dipercayai dan perlu dirujuk kepada orang yang soleh dan alim untuk ditanyakan pengertian dan maksudnya.

Ini berdasarkan hadis yang menyebut bahawa : “ Mimpi orang yang soleh itu merupakan satu daripada 46 bahagian sifat kenabian.” (Hadis sahih, riwayat Bukhari dan Muslim)

Tidak ramai orang yang tahu menafsirkan mimpi kecuali sedikit dan ilmu menafsirkan mimpi ini merupakan anugerah Allah SWT kepada mereka yang mendalami ayat-ayat Al-Quran dan berpengetahuan tinggi terhadap kitab Allah dan sunnah rasulullah. Adalah menjadi kebiasaan bahawa orang yang mahir menafsirkan mimpi ini ialah mereka yang tahu menafsirkan Al-Quran dan ayat-ayat Allah SWT serta mempunyai pengalaman luas dalam hidup.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : " Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah akan kebaikan baginya maka Allah pun akan memberikan kepadanya kefahaman dalam urusan agama." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Para ulama menyebut bahawa hendaklah orang yang bermimpi itu menjaga rahsia mimpinya dan tidak menceritakan kepada orang lain tentang apa yang dilihatnya kecuali ada keperluan yang mustahak dan hanya diceritakan kepada mereka yang amanah dan layak untuk mentafsirkannya.

Mimpi tidak boleh diceritakan dalam ceramah atau menjadi modal untuk bertazkirah kepada orang ramai akan apa yang ditemui atau dilihat oleh kita sewaktu tidur kerana hal tersebut menyalahi adab-adab mimpi serta berlawanan dengan sunnah rasulullah salallahualaihiwassalam. Ini disebutkan dalam hadith baginda dari riwayat Abu Hurairah ra yang menyatakan bahawa bersabda Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam pernah bersabda: “Janganlah menceritakan mimpi itu kecuali kepada orang yang alim dan orang yang sering memberi nasihat (iaitu orang soleh).” (Hadis riwayat Tirmidzi dan Ad-Darimi)

Di dalam Islam tidur dianggap sebagai mati kecil dan proses keluarnya ruh daripada jasad buat sementara waktu seperti yang dijelaskan oleh Imam Ibn Taimiyyah di dalam fatwanya. Ini kerana Allah SWT telah berfirman yang bermaksud : “Allah memegang jiwa (orang) ketika matinya dan (memegang) jiwa (orang) yang belum mati di waktu tidurnya; maka Dia menahan jiwa (orang) yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia melepaskan jiwa yang lain sampai waktu yang ditetapkan. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda- tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir.” (Surah Az-Zumar ayat 42)

Kerana itu baginda Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam selalu membaca doa berikut sebelum tidur yang berbunyi : “Bismika Rabbiy wada’tu janbi wa bika arfa’uhu fa in amsakta nafsi farhamha wa in arsaltaha fahfazha bima tahfazu bihi ‘ibaadaka al-saaliheen” yang bermaksud : “Dengan namaMu ya Tuhanku, aku berbaring dan dengan namaMu aku bangkit. Jika Engkau akan mengambil nyawaku maka rahmatilah ia dan jika Engkau akan kembalikan ia kepadaku maka peliharalah ia dengan cara yang Engkau lakukan terhadap hambaMu yang soleh.”

Adalah digalakkan sebelum tidur untuk umat Islam membersihkan diri dan mengambil wudhuk serta membaca doa serta zikir-zikir yang diajarkan oleh Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam serta membaca surah-surah daripada al-Quran. Antara yang baik dan mudah untuk diamalkan ialah membaca surah Al-Ikhlas, Al-Falak dan An-Nas sebanyak tiga kali sebelum tidur bagi memohon perlindungan Allah daripada gangguan syaitan dan kemudian meniup tapak tangan lalu menyapu ke seluruh badan seperti yang diajarkan oleh baginda Nabi Salallahu Alaihi Wassalam.

Al-Imam Ibn Qayyim al-jauziyah ra menyebut di dalam Kitab Madaarij As-Salikin bahawa orang yang ingin memperolehi mimpi yang baik hendaklah menjaga agamanya dan berusaha bercakap jujur, memakan makanan yang halal, mematuhi perintah syarak dan meninggalkan perkara yang diharamkan oleh Allah dan rasul serta tidur dengan mengikuti sunnah seperti menghadap kiblat, membaca doa, berzikir dan memohon perlindungan dari syaitan. Waktu yang paling bagus untuk mendapatkan mimpi yang baik ialah antara waktu sahur dan sebelum masuknya waktu subuh. Saat ini juga adalah merupakan waktu yang mustajab untuk berdoa.

Berkenaan dengan mimpi juga maka sebahagian dari kalangan ulama ahli sunnah wal jamaah berpendapat bahawa arwah orang yang telah meninggal dunia boleh mendatangi ahli keluarga atau sahabat handainya di dalam mimpi khususnya kepada orang yang soleh dan bertaqwa. Antaranya seperti yang disebut oleh Imam Al-Qurtubi ra dalam tafsirnya bahawa Ibn Abbas radan Said bin Jubair ra berpendapat bahawa arwah orang yang mati dapat bertemu di dalam mimpi dan saling berkenalan.

Diriwayatkan oleh Imam Hafiz Abi Nuaim ra dalam kitabnyaHilyah al-Awliya' wa Tabaqat al-Asfiya' bahawa dua orang sahabat nabi Salman al-Farisi ra dan Abdullah bin Salam ra pernah berkawan baik dan mereka membuat satu perjanjian sewaktu hidup. Iaitu jika salah seorang daripada mereka itu mati maka hendaklah yang mati itu menziarahi orang yang hidup di dalam mimpi dan memberitahu tentang khabarnya apa yang telah dia temui. Maka tidak lama selepas itu Salman pun meninggal dunia dan Abdullah bin Salam ra pun bermimpi menemui Salman dan bertanya kepadanya apakah khabarmu wahai Aba Abdullah ? Lalu dijawab oleh Salman dengan berkata keadaanku amat baik. Lalu ditanyakan kepadanya apakah amalan yang engkau dapati paling afdhal dan membantumu di hadapan Allah lalu dijawab oleh Salman dengan mengatakan bahawa aku mendapati tawakal ialah amalan yang paling ajaib dan besar kedudukannya di sisi Allah !

Sebahagian ulama mengatakan bahawa adalah harus dan mungkin terjadi kepada keluarga si mati untuk bermimpi bertemu dengan arwah orang yang telah meninggal dunia di dalam mimpi pada malam Jumaat atau waktu-waktu tertentu dan si mati meminta keluarganya supaya mendoakannya atau melakukan kebajikan untuknya. Cumanya setiap Muslim hendaklah berhati-hati dan berusaha mengelak daripada ditipu oleh syaitan dan perangkapnya yang boleh menyamar sebagai orang yang mati bagi menakut-nakutkan orang yang hidup di dalam tidur.

Hal yang sama juga kerap berlaku kepada mereka yang mendakwa bermimpi melihat nabi salallahualaihiwassalam. Ramai orang kerap mendakwa konon bermimpi bertemu dengan nabi salallahualaihiwassalam demi mendapatkan penghormatan dan kekaguman daripada manusia tetapi perbuatan tersebut adalah berdosa besar dan termasuk dusta jika apa yang dilihatnya dalam mimpi ialah bukan nabi salallahualaihiwassalam atau dia sebenarnya tidak bermimpi pun bertemu nabi.

Ini kerana apabila ditanyakan kepada mereka bagaimanakah rupa nabi salallahualaihiwassalam, bentuk tubuh baginda, warna rambut dan janggutnya serta cara pemakaian dan gambaran rasulullah salallahualaihiwassalam yang diberikan oleh mereka adalah tidak tepat dan menyalahi keterangan hadis-hadis sahih tentang fizikal baginda.

Tetapi bagi mereka yang benar-benar sama keterangan mimpinya dengan hadith tentang perwatakan dan rupa paras baginda Salallahu Alaihi Wassalam maka mimpinya itu adalah benar dan dia telah dimuliakan untuk bertemu dengan Rasululullah Salallahu Alaihi Wassalam. Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam pernah bersabda : “Barangsiapa yang melihat aku di dalam mimpi maka dia benar-benar telah melihatku kerana syaitan tidak boleh menyerupai diriku.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Kita hendaklah tidak tertipu dengan dakwaan orang yang mengaku bertemu dengan Nabi Salallahu Alaihi Wassalam di dalam mimpi selagi tidak dibuktikan atau dibandingkan kenyataannya dengan hadis-hadis Rasulullah

Salallahu Alaihi Wassalam. Ini kerana Al-Hafiz Imam Ibn Hajar Al-Asqalani ra menyebutkan bahawa Imam Muhammad bin Sirin ra, salah seorang tabien yang mahir dalam ta’bir mimpi apabila dikatakan oleh orang tertentu bahawa mereka bermimpi menemui nabi maka dia pasti akan bertanya sebutkan kepadaku ciri-ciri orang yang kamu lihat itu. Jika ciri-ciri tersebut menyalahi hadis-hadis sahih maka dia akan mengatakan kamu tidak melihat baginda. (Lihat Fathul Bari )

Manakala bagi orang yang diganggu oleh syaitan dan terjaga akibat mimpi yang tidak baik maka hendaklah segera memohon perlindungan Allah daripada syaitan dan meminta perlindungan Allah daripada bala dan musibah yang dilihatnya dalam tidur. Diriwayatkan oleh Jabir bahawa rasulullah salallahualaihiwassalam pernah bersabda : “Jika ada sesiapa di antara kamu yang bermimpi tentang sesuatu yang tidak disukainya maka hendaklah dia meludah (tanpa mengeluarkan air) sebanyak tiga kali ke bahagian kirinya dan memohon perlindungan Allah daripada syaitan sebanyak tiga kali dan kemudian berpaling dari tempat tidur dan mengubah kedudukan tidurnya.” (Hadis riwayat Muslim)

Sebagai orang Islam kita perlu beriman kepada Allah dan hari akhirat serta beriman kepada rukun Islam yang enam dan salah satu di antara rukun tersebut ialah percaya kepada qadha dan qadar. Setiap sesuatu itu telah ditakdirkan dan mimpi atau kejadian apa-apa pun tidak akan mempengaruhi nasib seseorang. Oleh yang demikian hendaklah seorang mukmin teguh dan mempertingkatkan keimanannya apabila diuji dengan gangguan mimpi atau syaitan serta menghubungi orang yang beragama dan alim untuk mendapatkan pertolongan.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “ Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah dan barangsiapa yang beriman kepada Allah nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Surah At-Thagabun ayat 11)

Kesimpulannya kita wajib bersangka baik kepada Allah SWT dan selalu menyakini bahawa tiada mudharat dan manfaat yang boleh diberikan oleh makhluk kepada kita tanpa izin Allah SWT kerana hanya Allah yang boleh menimpakan mudharat atau memberikan manfaat kepada manusia bukan selainnya termasuklah mimpi atau gangguan tidur serta jin dan syaitan.

Disebut dalam sebuah hadis yang meriwayatkan bahawa baginda bersabda : “Sungguh menakjubkan perihal orang mukmin kerana semua perkara yang menimpanya ialah kebaikan dan tidaklah berlaku perkara ini melainkan hanya kepada orang yang beriman. Apabila dia diberi nikmat lalu disyukurinya maka jadilah nikmat itu sebagai kebaikan baginya. Sebaliknya apabila dia diuji dengan musibah maka dia bersabar lalu jadilah pula musibah itu sebagai kebaikan kepadanya.” (Hadis sahih riwayat Muslim)

Dan disebutkan pula di dalam sebuah hadis yang lain dari Abdullah bin Abbas ra yang berkata : “Sesungguhnya aku berada di belakang nabi salallahualaihiwasalam pada suatu hari dan lalu baginda bersabda :“Wahai pemuda sesungguhnya aku akan mengajarkan kamu beberapa kalimah (pesanan) iaitu : Peliharalah Allah (pelihara hak-Nya) maka nescaya Allah akan memelihara kamu, Peliharalah ketaatanmu kepada Allah (taati perintah-Nya dan jauhi larangan-Nya maka nescaya engkau akan mendapati Dia (Allah) akan membantu engkau, jika kamu hendak meminta sesuatu maka mintalah kepada Allah dan jika kamu hendak memohon perlindungan dari sesuatu maka mohonlah perlindungan dari Allah. Ketahuilah jika umat seluruhnya berkumpul untuk memberikan manfaat kepada engkau dengan sesuatu maka tidaklah mereka dapat memberi manfaat kepada engkau melainkan dengan apa yang telah Allah tetapkan kepada engkau dan jika seluruh umat berkumpul untuk memudharatkan engkau dengan sesuatu maka tidaklah mereka dapat memberi mudharat itu melainkan dengan apa yang telah Allah tetapkan buat engkau. Telah terangkat qalam-qalam dan telah kering dakwat. (Hadis riwayat Tirmidzi)

(Artikal ini di ambil dariada tulisan Ustaz Emran)