Saturday, April 16, 2011

Sikap Orang Mukmin Sentiasa Berusaha Dengan Baik, Berbelanja Dengan Sederhana dan Suka Menabung

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Semoga Allah memberikan rahmat kepada orang yang berusaha dengan cara yang baik, berbelanja dengan sederhana dan menabung apa yang lebih (setelah memberi nafkah) untuk saat-saat dia yang memerlukannya nanti." (Hadis Muttafaqun 'Alaih)

Berdasarkan hadis di atas terdapat 3 pengajaran  penting yang dinyatakan oleh Nabi SAW untuk kita amalkan iaitu :

1. Berusaha dengan cara yang baik.

2. Berbelanja dengan sederhana

3. Menabung apa yang lebih (setelah memberi nafkah)

Huraiannya :

Pertama : Berusaha dengan cara yang baik

Allah SWT akan memberi rahmat-Nya kepada setiap ketua keluarga yang berusaha bersungguh-sungguh  mencari nafkah untuk menyara ahli keluarganya dengan melaksanakan pekerjaan yang halal dan bekerja dengan amanah dan bertanggungjawab.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud :"Tidak ada makanan yang dimakan seseorang yang lebih baik dari makanan yang merupakan usaha tangannya sendiri, kerana Nabi Allah, Daud, makan dari hasil usaha tangannya sendiri."( Hadis Sahih Riwayat Bukhari dalam Shahihnya (2072) dan Imam al-Baghawi dalam Syarhus Sunnah, 8/ 62.)

Allah SWT tidak melarang para hamba-Nya berusaha, bahkan Allah mencintai segala bentuk usaha asalkan sesuai dengan kaedah dan prinsip agama, maka tidak ada alasan untuk mencela jalan-jalan usaha yang halal, tetapi yang tercela adalah usaha yang haram atau melalaikan ibadah kepada Allah SWT.

Bahkan Allah SWT akan memberi ampunan kepada orang yang kepenatan kerana mencari nafkah dan gigih bekerja sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Barangsiapa yang bermalam badannya penat kerana pekerjaannya, maka bermalam dalam keadaan terampuni dosanya. ( LIhat fathul Bari, 4/353.6.)

Seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Abdurrahman bin Auf r.a ketika datang di Madinah dengan tangan kosong dan mengalami kehidupan yang serba susah, kerana baru saja berhijrah, beliau telah meninggalkan seluruh hartanya di Makkah. Pada keadaan seperti itu beliau mendapat tawaran dan bantuan dari sahabat Ansar tetapi beliau menolaknya dengan mengatakan, "Tunjukkan kepadaku di mana pasar Madinah". Dalam waktu yang tidak begitu lama beliau sudah mampu hidup berdikari dan dapat mendirikan rumahtangga dari hasil usahanya sendiri.

Kesibukan para utusan Allah SWT dan para ulama salaf, dalam mencari ilmu dan berdakwah tidak melalaikan mereka mencari rezeki yang halal untuk memberi nafkah kepada keluarganya. Maka, kita perlulah mencontohi mereka, kerana kesibukannya dalam berusaha mencari nafkah tidak melalaikannya menuntut ilmu begitu juga kesibukannya menuntut ilmu tidak melalaikannya mencari nafkah.

Oleh itu sifat orang mukmin akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari rezeki, tetapi pada masa yang sama tidak melalaikannya daripada kewajipan beribadah dan berjihad dijalan Allah SWT. Bekerja semata-mata tanpa mempunyai matlamat yang jelas iaitu harta yang dimiliki apabila tidak di infak di jalan Allah akan menyebabkan seseorang hanya mementingkan dunia semata-mata.

Kedua : Berberbelanja dengan sederhana

Dalam menjalani bahtera kehidupan, Islam memberi garis panduan yang cukup sempurna bagi manusia mencapai puncak kesejahteraan. Hidup menurut ukuran Islam ialah menikmati kesejahteraan di dunia dan di akhirat nanti. Demi merealisasikan harapan yang murni itu, setiap orang Islam haruslah mengamalkan sifat kesederhanaan dalam segenap segi kehidupannya. Sifat ini dipraktikkan Nabi Muhammad SAW dan juga sahabat baginda, sehingga mereka muncul di permukaan sebagai insan yang sewajarnya diteladani, yang cemerlang dan dirahmati Allah.

Kalau kita menyusuri perjalanan hidup Rasulullah, sejak kecil sehinggalah saat wafatnya, ternyata Baginda tidak pernah mengecapi hidup mewah. Dalam segenap sudut kehidupan baginda, sama ada cara berpakaian, perhiasan, dalam soal makanan dan sebagainya, berada di paksi kesederhanaan. Padahal baginda memang mampu untuk hidup bermewah. Namun keimanan yang jitu di dada baginda justeru mengalahkan segala-galanya.

Sesungguhnya sifat ini adalah pakaian peribadi orang yang beriman sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud:
 “Tidakkah kalian mendengar? Tidakkah kalian mendengar? Sesungguhnya kesederhanaan itu sebahagian daripada iman!” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Suasana sekarang, kenaikan harga barang keperluan harian yang sepertinya tidak terbendung mampu meletakkan masyarakat dalam kerisauan. Apa lagi bagi golongan berpendapatan rendah. Namun kemelut ini boleh dihadapi dengan lapang dada sekiranya ada kesedaran orang Islam mengambil kebijaksanaan bagaimana mengurus kewangan agar supaya dapat menepati konsep kesederhanaan. Iaitu berjimat cermat, dan hanya membeli barang yang diperlukan saja (tidak mengikut kehendak hawa nafsu yang merosakkan), serta yang paling utama ialah tindakan yang diambil menepati jalan Allah.

Menyedari betapa buruknya akibat boros dan kedekut, maka orang Islam hendaklah berada di tengah-tengahnya iaitu bersederhana sebagaimana disuruh oleh syarak, Allah berfirman maksudnya : “Dan mereka yang apabila membelanjakan harta mereka tidak melampaui batas (tidak boros) dan tidak pula bakhil, tetapi (sebaliknya perbelanjaan mereka dalam keadaan betul dan sederhana antara kedua-dua cara (boros dan kedekut)” (Surah al-Furqan ayat 67)

Islam dengan tegas menegah seseorang membeli barang melebihi keperluan hidup atau berbelanja mengatasi jarum penunjuk pendapatan, lantaran akibatnya akan menimbulkan pembaziran yang dibenci Allah. Jika berbelanja melampaui batas untuk tujuan bermegah-megah, sehingga berlaku pembaziran hanya saja akan menggambarkan tingkah laku orang yang tidak tahu bersyukur dengan nikmat Allah.

Sesungguhnya membazir itu adalah amalan syaitan sebagaimana keterangan daripada ayat yang bermaksud: “Dan jangan membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah al-Israk ayat 26 – 27)

Orang boros sebenarnya tidak tahu untuk merancang, tidak ada wawasan, tidak gerun dengan masa depannya yang bakal hadir nanti terbiar begitu saja. Akhirnya ditimpa penyakit miskin dan muflis, sebagai modal untuk menjadi orang yang suka berhutang, meminta-minta dan pada pandangan masyarakat pula jelas menjadi hina dan tidak dihormati. Ekoran itu, akan jadi orang yang dibelenggu seribu masalah dan jiwa pun tidak mungkin disentuh ketenangan lagi. Oleh itu berhati-hatilah dalam kita membelanjakan setiap sen harta yang kita miliki dan pastikan ianya digunakan dalam perkara-perkara yang bermanfaat semata-mata.

Ketiga : Menabung apa yang lebih (setelah memberi nafkah)

Kita perlu merancang dan menabung wang lebihan setelah kita gunakan untuk nafkah keluarga kerana ia merupakan sunnah atau jalan para rasul. Sebagai contoh, kisah Nabi Yusuf a.s. memberikan kita pengajaran yang jelas betapa pentingnya perancangan untuk masa depan. Kisah Nabi Yusuf a.s membuat perancangan untuk Kerajaan Mesir yang menghadapi suasana kegawatan ekonomi akibat kemarau panjang selama tujuh tahun patut diteladani dan dicontohi. Hal ini kerana al-Quran tidak akan menceritakan kisah ini hanya untuk bacaan semata-mata.

Nabi Yusuf a.s. pandai mentafsir mimpi menunjukkan anugerah Allah kepadan-Nya. Kepandaian Nabi Yusuf a.s dalam mentafsir mimpi diketahui Raja Mesir dan dia dipanggil mengadap untuk tujuan itu. Ceritanya diterangkan di dalam al-Quran: Surah Yusuf: Ayat 43 - 49.

Ketahuilah dalam ayat ini Allah mengaambarkan contoh usaha manusia membentuk tabungan untuk menghadap kemungkinan yang buruk di masa akan datang. Secara ringkasnya ayat ini bercerita tentang pertanyaan Raja Mesir tentang mimpinya kepada Nabi Yusuf. Di mana Raja Mesir telah bermimpi melihat tujuh ekor sapi betina yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor sapi yang kurus, dan dia juga melihat tujuh tangkai gandum yang hijau berbuah serta tujuh tangkai yang merah mengering tidak berbuah.

Nabi Yusuf a.s dalam hal ini menjawab supaya mereka bercucuk tanam tujuh tahun dan dari hasilnya hendaklah disimpan sebahagian. Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit, yang menghabiskan apa yang telah mereka simpan untuk menghadapi masa sulit tersebut, kecuali sedikit dari apa yang disimpan.Perancangan penggunaan kewangan untuk menghadapi risiko yang mendatang amat perlu dilakukan. Oleh itu perlulah kita mengambil pengajaran daripada kisah Nabi Yusof a.s. untuk menyediakan tabungung wang atau harta yang berlebihan untuk kemaslahatan dan masa depan kita dan ahli keluarga.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita amalkan tiga perkara penting apa yang disarankan oleh Nabi SAW iaitu berusaha dengan cara yang baik, berbelanja secara sederhana dan menabung (buat simpanan) apa yang berlebihan daripada wang kita. Semoga kita mendapat kebahagiaan di dunia dan mendapat kebahagiaan di hari akhirat.

Persahabatan Kerana Allah Akan mendapat Rahmat Allah Dunia dan Akhirat

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap diri muslim melalui perjalanan hidup yang berbagai ragam. Tiada berada di dalam suasana yang sama warnanya sepanjang masa. Adakalanya kita mudah melakukan kebaikan. Adakalanya kita ditimpa bencana hasutan syaitan dan perdayaan nafsu hingga menyeleweng dari keredaan Allah.

Oleh itu perkara yang berpengaruh kuat dan mampu menarik kita kembali ke jalan kebenaran adalah keteguhan persahabatan di jalan Allah SWT. Di sebabkan kekuatan luar biasa terkandung di dalam persaudaraan Islam, maka perkara yang Ar-Rasul Muhammad SAW laksanakan sewaktu di Madinah ialah mempersaudarakan golongan Mujahirin dan Ansar.

Kekuatan yang dimaksudkan adalah anugrah Allah SWT kepada setiap muslim yang merasai mereka telah terikat dengan keimanan . Allah SWT berfirman dalam surah Al-Anfaal ayat 63 bermaksud : "dan Dia (Allah)  yang mempersatukan hati mereka (orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua kekayaan yang beada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana".

Abu Hurairah r.a. berkata bahawa satu hari, seorang mendatangi Rasulullah S.A.W. dan berkata : "Rasulullah S.A.W. saya kelaparan" .

Rasulullah S.A.W. pun menyanyakan persediaan makanankepada para isteri baginda. Namun mereka memberitahu, bahawa tidak ada makanan sama sekali.

Lalau baginda S.A.W. berkata kepada para sahabatnya, "Semoga Allah merahmati siap pun di antara kalian yang mahu menjamunya malam ini."
"Aku yang akan menjamunya ya Rasulullah" kata seorang sahabat Ansar.
Ia pun pulang dan berkata kepada isterinya : "Siapkan makanan kepada tetamu Rasulullah ini."

"Demi Allah, makanan ini hanya cukup untuk anak-anak kita," jawab isterinya.

"Jika anak kita lapar, tidurkanlah mereka dan padamkan lampu. Biar kita menahan lapar pada malam ini," pesan sahabat tadi. Isterinya pun melakukan pesan suaminya itu.

Atas peristiwa itu, Allah menurunkan ayat surah al-Hasyr ayat 9. maksudnya : "Dan orang-orang (Ansar) yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), dan mereka mencintai orang yang berhijrah ke tempat mereka. Dan mereka tidak menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa yang di berikan kepada mereka (Muhajirin), dan mereka mengutamakan (Muhajirin), atas diri mereka sendiri, meskipun mereka juga memerlukan. Dan siapa yang dijaga dirinya dari kekikiran (bakhil), maka mereka itulah orang-orang yang beruntung."

Betapa Allah S.W.T. memberikan kemuliaan kepada sahabat Ansar yang berhati mulia, yang telah dididik oleh Rasulullah S.A.W. sanggup mengutamakan sahabat yang kelaparan dan memerlukan makanan walaupun dia, isteri dan anak-anaknya kelaparan pada malam tersebut.

Sahabat yang dimuliakan,
Pada hakikatnya serigala akan menerkam kambing yang terpisah dari kumpulannya. Sudah tentu sahabat yang soleh (baik) tidak akan membiarkan kita bersendirian. Dia akan sentiasa mengingatkan kita kepada kebaikan.

Seperkara lagi yang perlu diingat; setiap diri manusia merupakan cermin sahabatnya. Sekiranya sahabat yang kita pilih itu berakhlak mulia, maka kesannya kepada diri kita juga adalah kebaikan belaka. Sebaliknya andainya sahabat yang kita pilih itu berakhlak buruk, maka kita akan terdorong melakukan dosa dan kemungkaran. 
 
Ibnul Qayyim mengisahkan, “Kami (murid-murid Ibnu Taimiyyah), jika kami ditimpa perasaan gundah gulana atau muncul dalam diri kami prasangka-prasangka buruk atau ketika kami merasakan sempit dalam menjalani hidup, kami segera mendatangi Ibnu Taimiyah untuk meminta nasehat. Maka dengan hanya memandang wajah beliau dan mendengarkan nasehat beliau serta merta hilang semua kegundahan yang kami rasakan dan berganti dengan perasaan lapang, segar, yakin dan tenang".
(Lihat Shahih Al Wabilush Shoyyib, antara hal. 91-96, Dar Ibnul Jauziy)

Ini bertepatan dengan maksud sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Seseorang yang duduk (berteman) dengan orang soleh dan orang yang jahat adalah bagaikan berteman dengan pemilik minyak wangi dan tukang besi. Jika engkau tidak dihadiahkan minyak wangi olehnya, engkau boleh membeli darinya atau sekurang-kurangnya dapat baunya. Adapun berteman dengan tukang besi, jika engkau tidak mendapati badan atau pakaianmu hangus terbakar, paling kurang engkau dapat baunya yang tidak elok.
(Hadis Riwayat Bukhari dari Abu Musa r.a )
Ibnu Hajar Al Asqolani mengatakan, “Hadis ini menunjukkan larangan bersahabat dengan orang-orang yang dapat merusak agama maupun dunia kita. Dan hadis ini juga menunjukkan dorongan agar bergaul dengan orang-orang yang dapat memberikan manfaat dalam agama dan dunia."
(Fathul Bari, Ibnu Hajar Al Asqolani, 4/324, Darul Ma’rifah, Beirut, 1379)

Banyak hadis-hadis Nabi SAW yang menjelaskan ciri-ciri sahabat yang baik.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Barangsiapa menutup rahsia saudaranya, nescaya Allah akan menutup rahsianya di dunia dan akhirat."
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Apabila kalian telah berjaya beroleh sahabat sejati berteraskan iman dan takwa, perlulah diberi perhatian terhadap langkah-langkah yang menyuburkan ikatan ukhwah tersebut :
1. Mengasihi saudara sesama Islam semata-mata kerana Allah SWT
2. Mengucap salam bila bertemu
3. Sentiasa menziarahi terutama ketika sakit 
4. Sentiasa saling mendoakan
5. Menolong ketika kesempitan
6. Memenuhi jemputan
7. Memberi ucapat tahniah dan takziah
8. Saling memberi hadiah
9. Tidak memutuskan silaturahim dan memulaukan
10. Bertolak ansur dan saling memaafkan
11. Bermanis muka bila bertemu
12. Sentiasa jujur dan ikhlas inginkan kebaikan sesama saudara seislam
13. Memberi tempoh yang diperlukan untuk dia membayar balik hutangnya
14. Bersangka baik dan tidak mudah mempercayai berita fitnah mengenai dirinya
15. Membantunya mencarikan pasangan hidup yang baik jika dia belum berumahtangga

Pada hakikatnya, persahabatan yang baik memerlukan perhatian dari kita untuk mengawalnya dari dirosakkan oleh gejala-gejala liar sepertimana maksud sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Janganlah kamu saling putus memutus hubungan, janganlah kamu saling berpaling tadah, janganlah kamu saling benci-membenci, janganlah kamu saling berhasad dengki. Dan jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Dan tidaklah halal bagi seorang muslim berpaling dari saudaranya lebih dari tiga hari". (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sahabat yang dikasihi,
Setiap masa kita dituntut untuk mencari sahabat yang baik, apalagi dengan mencari pasangan hidup iaitu suami atau isteri. Pasangan suami-isteri tentu saja akan menjalani hubungan bukan hanya seketika. Bahkan suami atau isteri akan menjadi teman setiap masa. Sudah sepatutnya, kita berusaha mencari pasangan yang soleh atau solehah. Dengan ini akan membuat kita semakin teguh dalam menjalani agama.

Friday, April 15, 2011

Orang Mukmin Yang Sihat dan Kuat Lebih di Kasihi Allah Daripada Mukmin Yang Lemah

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Orang mukmin sentiasa menjaga kesihatan dirinya samaada kesihatan untuk rohaninya dan untuk jasmaninya. Kedua-dua kesihatan ini adalah penting kerana  Nabi S.A.W amat mengambil berat mengenai kesihatan rohani dan jasmani.

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Seorang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah berbanding mukmin yang lemah. Pada setiap orang ada kebaikan maka bersungguh-sungguhlah mencari apa yang bermanfaat bagi kamu dan mohonlah pertolongan Allah serta jangan bersikap mengalah. Jika kamu ditimpa oleh sesuatu maka janganlah berkata: “Seandainya (kalau) aku berbuat demikian, tentu akan menjadi sekian-sekian” akan tetapi katakanlah: “Takdir Allah dan apa yang Allah kehendaki pasti terjadi”. Ini kerana perkataan “Seandainya” membuka pintu perbuatan syaitan." (Hadis Sahih Riwayat Muslim , no: 4816)

Mukmin yang kuat daripada hadis di atas adalah mengandungi dua makna iaitu kuat darisegi kerohaniannya dengan Allah S.W.T. Sentiasa yakin dengan takdir dan qadak dan qadar dan sentiasa berdoa dan meminta pertolongan daripada Allah S.W.T. Kekuatan kedua adalah kekuatan jasmaninya iaitu badan dan akal fikiran yang sihat dan cergas untuk mencari rezeki kurniaan Allah S.W.T dan untuk berjihad dijalan Allah S.W.T.

Sahabat yang dimuliakan,
Al-Quranul karim adalah perbendaharaan yang penuh dengan ilmu pengetahuan . Ianya mengandungi seribu satu misteri yang perlu dicungkil dan dikaji oleh manusia. Salah satu keistimewaan Al-Quran ialah keterangan mengenai beberapa jenis tumbuhan yang masih menjadi tandatanya para saintis mengenai kelebihan dan khasiatnya.

Walaupun demikian terdapat juga hadis Rasulullah S.A.W. yang menyokong serta memperjelaskan tentang kegunaan tumbuhan tersebut walaupun pada masa itu tidak terdapat kajian saintifik mengenainya. Kebanyakan tumbuhan tersebut adalah penawar penyakit dan ianya sangat berkhasiat untuk manusia.

Di antara tumbuhan yang terdapat dalam al-Quran  ialah:

1.Madu

2.Tin dan Zaitun

3.Kurma

4.Habbah as-sauda

Pertama : Madu.

Keistimewaan lebah ini telah diabadikan oleh Allah di dalam kitab-Nya al-Quran. Pengabadian ini dilakukan dengan menamakan satu surah dengan nama lebah, (Al-Nahl). Allah S.W.T telah berfirman dalam surah ini mengenai lebah dan khasiat yang terdapat dalam madu lebah.

Maksudnya: "Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: "Hendaklah engkau membuat sarangmu pada gunung-ganang, dan pada pokok-pokok kayu, dan pada bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai) serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkan kepadamu (dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit) sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang berfikir."
(Surah al-Nahl ayat 68-69)

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mājjah. Nabi S.A.W. bersabda :

مَنْ لَŰčِقَ Ű§Ù„ْŰčَŰłَلَ Ű«َلََۧ۫ ŰșَŰŻَوَۧŰȘٍ كُلَّ ŰŽَهْ۱ٍ لَمْ يُŰ”ِŰšْهُ ŰčَŰžِيمٌ مِنْ Ű§Ù„ْŰšَلَۧۥِ

Maksudnya: "Sesiapa yang meminum madu lebah pada waktu pagi, tiga kali setiap bulan, dia tidak akan menghidapi penyakit berbahaya."

Rasulullah S.A.W. juga ada berpesan agar seseorang itu berubat dengan madu dan dengan ayat-ayat al-Quran. Baginda bersabda maksudnya : "Ambillah atau pergunakanlah olehmu sekalian akan dua ubat penyembuh iaitu madu dan al-Quran. (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Secara tidak langsung, ia membuktikan bahawa madu mempunyai keistimewaan tersendiri dengan nilai-nilai utama dalam ilmu kesihatan. Di samping itu, madu juga dianggap penting kerana memenuhi keperluan tubuh dan cepat memberi tenaga.

Dengan keyakinan bahawa setiap penyakit itu pasti ada ubatnya yang diterangkan oleh baginda Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Berubatlah, maka sesungguhnya Allah tidak meletakkan penyakit kecuali Allah menyediakan baginya ubat, kecuali satu penyakit, iaitu penyakit tua. (Hadis Riwayat Abu Daud)

Mereka yang mengetahui khasiat madu akan menggunakannya secara rutin. Hal ini bukan hanya teori tetapi telah dibuktikan daripada beberapa kajian yang dilakukan.Jika diamalkan setiap hari, ia akan mencegah daripada pelbagai penyakit dan memberi tenaga yang cukup, terutamanya dalam kita melaksanakan ibadah puasa.

Madu juga seringkali digunakan untuk sampingan sarapan agar tenaga segera siap digunakan dalam menjalankan kerja harian.

Madu boleh menyembuhkan penyakit (dengan izin Allah) yang disebabkan oleh pelbagai faktor.

* Madu dapat menyegarkan tubuh

* Madu dapat membersihkan gigi dan memelihara kesihatan nya dan
ia malah dapat mempercantikkan rambut dan memanjangkannya

* Madu boleh mengeluarkan racun

* Madu dapat mengeluarkan ubat-ubat yang tidak baik dari tubuh

dan ia membersihkan ubat-ubat itu darinya.

* Madu berfaedah untuk mengawet mayat manusia supaya tidak
berbau busuk

* Madu juga dapat membunuh kuman-kuman yang mremudaratkan tubuh atau menyebabkan penyakit.

* Makanan yang disukai oleh pinggang dan hati

* senang dihadamkan

Kedua : Buah Tin dan Zaitun

Selain daripada madu , terdapat dalam satu surah iatu surah At-Tin di mana Allah telah bersumpah di atas nama buah tin dan zaitun . Apakah keistimewaan buah tin dam zaitun sehinggakan Allah bersumpah di atasnya? Ada beberapa hadis dan riwayat yang menerangkan tentang fadhilat dan kelebihan buah ini.

Antaranya:

i) Hadis di riwayatkan dari Abu Zar r.a.
Bahawa Nabi SAW dihadiahkan satu bekas buah tin.Lalu Nabi SAW mengajak sahabat-sahabatnya makan. Nabi pun turut sama makan.Kemudian baginda  bersabda maksudnya :”Kalau aku perkatakan tentang buah yang diturunkan dari syurga, nescaya aku katakan inilah dia.Kerana buah-buahan syurga tidak berbiji. Oleh itu makanlah buah ini. Sesungguhnya dia menghentikan penyakit buasir, serta bermanfaat untuk sakit-sakit badan.”

ii) Sesetengah ahli tafsir menerangkan bahawa Allah bersumpah dengan buah tin kerana dengan buah inilah yang menjadi penutup aurat Nabi Adam dan isterinya di dalam syurga sewaktu Allah singkap aurat kedua-duanya selepas memakan buah larangan dalam syurga.

Khasiat buah tin

Buah ini dapat menyembuh beberapa jenis penyakit (dengan izin Allah) antaranya ialah:

* Penyakit Buasir

* Sakit-sakit dan bengkak-bengkak badan

* Batuk yang berpanjangan

* Melawas kencing

Rahsia buah zaitun

Ianya dijadikan kayu sugi oleh para Nabi termasuklah Rasulullah SAW sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W.  yang bermaksud : “Sebaik-baik kayu sugi ialah zaitun, ia adalah pokok kayu berkat.Ia membersihkan mulut dan menghilangkan kuning-kuningan gigi. Ia adalah kayu sugiku dan kayu sugi para nabi sebelumku.”

Rasulullah juga bersabda yang bermaksud : “Gunakanlah minyak zaitun untuk masak makanan , berminyaklah dengannya untuk rambut, badan dan seumpama dengannya kerana sesungguhnya ia adalah daripada pokok yang berkat.”

Dalam masyarakat moden hari ini , minyak zaitun digunakan dalam berbagai-bagai kegunaan termasuklah dijadikan sabun mandi untuk melembutkan kulit dan sebagai minyak rambut untuk melebatkan rambut.

Khasiat buah zaitun

Antara khasiat buah zaitun ialah:

* Membaik pulihkan perut

* Mengeluarkan cacing

* Menjadi penawar racun

* Minyaknya menghaluskan kulit

* Minyaknya melambatkan tumbuh uban

* Menghilangkan melecur kena api.

Ketiga : Buah Kurma/ Tamar

Walaupun tiada surah khusus untuk buah kurma tetapi Allah menerangkan tentang kegunaan buah kurma dalam surah Maryam iaitu dimana Maryam sakit ketika hendak bersalin , Allah memerintahkan Maryam dalam ayat ke25 supaya makan buah kurma yang masak. Firman Allah S.W.T maksudnya : "Dan goyanglah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya (pohon) itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu." (Surah Maryam ayat 25)

Di sini ianya berfungsi sebagai analgesik(tahan sakit) dan sekaligus dapat memberikan Maryam tenaga untuk melahirkan anak.

Ayat di atas menjelaskan tentang khasiat buah kurma kepada kaum wanita yang sedang dalam nifas, bila mana Allah memerintahkan Maryam memakannya sedang beliau dalam keadaan lemah selepas bersalin. Penemuan kajian sains tentang khasiat buah kurma yang kaya dengan unzur zat besi dan kalsium telah membuktikan bahawa perubatan cara Islam yang terkandung di dalam al-Qur’an dan hadis Rasulullah S.A.W.  bukanlah jenis perubatan yang semata-mata sesuai dengan keadaan iklim masyarakat Arab sahaja atau sudah ketinggalan zaman, tetapi ia adalah perubatan yang diiktiraf oleh dunia antarabangsa.

Berdasarkan ini juga Nabi S.A.W. menganjurkan kita supaya berbuka puasa dengan buah kurma sebagaimana sabdanya daripada Anas bermaksud :

"Rasulullah S.A.W.  berbuka puasa dengan beberapa biji buah kurma sebelum sembahyang. Sekiranya tiada terpadat kurma, maka baginda S.A.W.  akan berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur, maka baginda meminum beberapa terguk air." (Hadis Riwayat Ahmad)

Menurut pandangan Islam , apabila ibu yang hamil digalakkan diberikan buah kurma, Buah kurma juga disunatkan makan ketika berbuka puasa. Rasulullah juga suka makan kurma bersama timun . Ini kerana kedua-dua dapat mengimbangkan kedua-dua sifat tersebut iaitu dimana buah timun sejuk dan tawar , manakala buah kurma panas dan manis.

Rasulullah S.A.W. telah menyebutkan tentang khasiat sejenis kurma yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud :

"Diceritakan oleh Jumaah bin Abdullah yang disampaikan oleh Marwan yang mendapat berita daripada Ibnu Hashim bahawa Amir bin Saad mendengar bapanya meriwayatkan Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Sesiapa yang memakan 7 biji tamar ‘Ajwah’ dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu".

Khasiat kurma "Ajwah" sebagaimana yang tersebut di dalam hadis di atas merupakan satu kelebihan yang dikurniakan Allah S.W.T. sesuai dengan kemuliannya sebagai jenis kurma pertama yang ditanam sendiri oleh baginda.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Jaafar katanya : "Aku melihat Rasulullah S.A.W.  memakan buah-buahan dengan kurma masak."

Keempat : Habbah as- Sauda

Hadis Rasulullah S.A.W. mengenai Habbah as-sauda:

Daripada Buraidah , katanya; Rasulullah SAW bersabda maksudnya :  "Pada habbah as-sauda terdapat ubat segala penyakit, kecuali maut."
(Hadis Riwayatkan Abu Nu’aim dalam kitad “al-tibb”, dalam himpunan hadis-hadis sahih.)

Habbah as-sauda adalah sejenis rumput , warnanya hitam dan bermusim tahunan . Ianya tumbuh di negara-negara sekitar laut tengah dan di India.Daun-daunnya kecil serta halus, bunganya bewarna biru, buahnya berbungkus dan didalamnya terdapat biji kecil bewarna hitam yang boleh dijadikan ubat.Bijinya keras dan rasanya pedas. Biji ini juga boleh dijadikan minyak.Apabila bijinya ditumbuk ianya mengeluarkan bau yang harum.

Penyelidikan moden tentang khasiat Habbah as-sauda telah mendapati bahawa pada biji ini insya Allah terdapat ubat yang boleh mengubati sesetengah penyakit.

Antaranya ialah:

* Sepahnya boleh meringankan beban orang yang sesak nafas

* Dapat mengubati penyakit lelah dan batuk berterusan

* Mengeluarkan angin dalam perut

* Menambah ghairah seks

* Melancarkan pengeluaran darah haid , air besar dan air kencing

* Dapat melangsingkan badan ibu-ibu dan dapat menambah air susu
bagi para ibu

Selain daripada khasiat yang di sebut di atas, masih terdapat banyak lagi keistimewaan yang belum kita ketahui mengenai madu ,buah tin, zaitun , kurma dan habbah as-sauda.

Islam menggalakkan umatnya menggunakan keempat-empat tumbuh-tumbuhan di atas agar kita dapat manfaat dari penggunaannya.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita jaga kesihatan rohani kita dengan banyakkan beramal soleh , beramal ibadah, berdoa, membaca al-Quran, berzikir dan sentiasa muhasabah dan murajaah diri kita yang lemah dan dhaif ini. Begitu juga kita jaga kesihatan jasmani kita dengan banyakkan sukan dan berriadah, kurangkan makan dan sentiasa makan makanan-kesihatan yang dinyatakan diatas. Semoga kita menjadi mukmin yang sihat dan kuat dan dikasihi Allah S.W.T. untuk menjadi para mujahid-Nya di dunia ini. Jika kita ingin menjadi para mujahidin di hari akhirat kita mestilah menjadi para mujahidin ketika di dunia ini.

Orang Mukmin Sentiasa Berhati-hati Terhadap Keseronokan Dunia dan Fitnah Wanita

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dari Abu Said Al-Khudri ra dari Nabi S.A.W.  bersabda maksudnya : ”Sesungguhnya dunia itu manis dan lazat, dan sesungguhnya Allah menitipkannya padamu, kemudian melihat bagaimana kamu menggunakannya. Maka hati-hatilah terhadap dunia dan hati-hatilah terhadap wanita, kerana  fitnah pertama yang menimpa bani Israil disebabkan wanita”
(Hadis Riwayat  Muslim)

Berdasarkan hadis diatas Nabi S.A.W. mengingatkan kita bahawa terdapat dua perkara di dunia ini perlu kepada berhati-hati dan waspada iaitu terhadap keseronokan dunia dan fitnah terhadap wanita. Huraiannya adalah seperti berikut :

Pertama : Keseronokan Dunia.

Di dalam dunia terdapat segala perhiasannya. Rumah yang dibina tersergam indah dengan perabut dan perhiasannya, kerderaan-kenderaan mewah,  saham-saham pelaburan, ladang-ladang pertanian yang luas, binatang-binatang ternakan, kilang-kilang perusahaan yang mengeluarkan produk untuk kemudahan manusia, keseronokan mempunyai anak-anak yang berjaya dalam kerjaya, isteri-isteri yang sentiasa berhias dan sebagainya jika semua kenikmatan ini menyebabkan kita lupa kepada Allah S.W.T. dan tanggungjawab terhadap-Nya, tidak mahu berdakwah dan berjihad dijalan-Nya maka sebenarnya kita telah terpengaruh dengan dunia ini dan amaran ini telah diberikan oleh Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Katakanlah: 'Jika bapa-bapa , anak-anak , saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan RasulNya dan dari berjihad di jalan Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan Nya". Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik. " (Surah at-Taubah ayat 24)

Ayat ini menjelaskan tentang fokas cinta dan kasih kita kepada Allah dan Rasul-Nya semata-mata. Jangan sekali-kali semua yang disebut di atas boleh mengalihkan cinta kita kepada Allah dan Rasul, juga jangan sekali-kali semua itu menjadi punca kita leka serta lalai dari mematuhi perintah Allah dan Rasul-Nya. Bukan bermaksud kita perlu buang kasih kita kepada semua itu, tetapi yang dimaksudkan ialah jangan kita lebih mengasihi semua itu dari Allah, Rasul-Nya dan berjuang ke jalan Allah.

Kerana semua itu akan boleh menjauhkan kita dari Allah, Rasul-Nya dan jihad di jalan-Nya. Kita mungkin akan meninggalkan sembahyang kerana sibuk melayani kerenah anak isteri atau suami, kita mungkin lupa beramal dan mengikut ajaran Rasulullah S.A.W. , apabila kita mula leka dengan komitment-komitment yang lain, dan kita mungkin akan lupa dengan tugasan jihad, iaitu berjuang di jalan Allah, kerana leka dengan urusan perniagaan serta leka menguruskan harta benda dunia, sehingga kita tidak mahu mengeluarkan sumbangan kepada jihad fi sabillah.

Dalam ayat yang lain Allah S.W.T. berfirman maksudnya : "Wahai orang orang yang beriman , sesungguhnya di antara isteri-isteri dan anak anakmu, ada yang menjadi musuhmu , kerana itu berhati-hatilah teradap mereka. Namun jika kamu maafkan, kamu santuni, dan kamu ampuni kesalahan mereka, maka Allah Maha Pengampun dan Panyayang.  Sesungguhnya cinta terhadap harta dan anak-anakmu adalah cubaan belaka. Padahal disisi Allah ada pahala yang lebih besar dari itu. (Surah at-Tagabun ayat 14-15)

Alllah S.W.T. menjadikan kehidupan manusia di atas dunia ini dan dibekalkan bagi mereka segala keperluan untuk hidup didunia. Keperluan asasi bagi manusia semuanya sama, sama beriman atau sebaliknya. Itulah sifat pemurah Allah S.W.T.

Firman AllahS.W.T.

هوَ Ű§Ù„َّŰ°ِي Űźَلَقَ لَكُمْ مَۧ فِي Ű§Ù„ŰŁَ۱ْ۶ِ ŰŹَمِيŰčًۧ

Maksudnya; "Dialah Tuhan yang menjadikan bagi kamu semua perkara yang ada di bumi."

Sebagaimana yang telah dibincangkan Allah S.W.T. menjadikan kehidupan ini dan semua yang ada padanya sebagai ujian kepada manusia, dan dapat menilai siapakah manusia yang paling baik amalannya. Di akhirat nanti kedudukan manusia ditentukan beradasarkan apa yang mereka lakukan ketika di dunia dan akhir kesudahan kehidupan mereka. Kehidupan didunia hanyalah sementara sahaja.

Sabda Rasulullah S.A.W maksudnya : "Jadilah engkau di dunia seolah-olah orang berjalan, diwaktu petang engkau tidak menunggu pagi dan apabila diwaktu pagi tidak menunggu petang, perumpamaan aku dan dunia seperti orang musafir duduk berteduh dibawah pokok kemudian bangun dan meninggalkannya."

Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Tapak kaki manusia tidak akan berganjak sehingga ditanya empat perkara; untuk apa badannya digunakan, umurnya untuk apa dihabiskan, hartanya dari mana ia diperolehi dan untuk apa ia dibelanjakan."

Bagaimana menggunakan dunia supaya ia menjadi membawa manfaat diakhirat?

1. Harta yang dimiliki hendaklah digunakan pada perkara yang dibenarkan oleh syarak seperti memberi nafkah kepada orang yang wajib diberi nafakah, haji, umrah, membeli pakaian untuk menutup aurat, menuntut ilmu dan lain-lain. Maka harta tersebut akan membawa ke akhirat. Bukan digunakan untuk perkara maksiat dan sia-sia.

2. Umur yang Allah berikan kepada kita hendaklah digunakan untuk mengabdikan diri kepadaNya dan jangan sekali–kali digunakan untuk melakukan maksiat atau perkara yang sia-sia kerana umur yang diberikan kepada manusia dirahsiakan tempohnya.

3. Amanah pangkat, kekuasaan, kedudukan dan jawatan yang di berikan hendaklah digunakan untuk melaksanakan keadilan, kewajipan dan tanggungjawab dengan sebaiknya. Semua amanah dan tanggungjawab akan dipertanggungjawabkan di kahirat nanti.

4. Anak-anak yang menjadi kembanggaan setiap pasangan suami isteri hendaklah dididik supaya menjadi anak yang soleh supaya ia sentiasa mendoakan kedua ibu bapanya.


Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Bila seorang anak Adam meninggal dunia maka amalnya terputus kecuali tiga hal, 1.  Sedekah jariah, 2. Ilmu yang bermanfaat dan
3. Anak soleh yang mendoakan kepada orang tuanya."
(Hadis Riwayat Muslim, Abu Dawud, At-Tirmidzi, Nasa’i dan Ahmad)

5. Menuntut ilmu dengan tujuan untuk menunaikan kewajipan dan menghampirkan diri kepada Allah S.W.T. bukan hanya untuk mendapatkan habuan dunia..

Segala urusan dunia yang dilakukan oleh manusia akan menjadi ibadah dan membawa ke akhirat dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah S.W.T. Orang mukmin akan menggunakan kesempatan hidup di dunia dengan berhati-hati dan tidak mudah dilekakan dan kemanisan dan keseronokannya.

Kedua : Fitnah Terhadap Wanita .

Nabi S.A.W. berpesan berhati-hatilah terhadap wanita, kerana  fitnah pertama yang menimpa bani Israil disebabkan wanita. Kenapakah wanita menjadi punca berlakunya fitnah kepada umat nabi-nabi yang terdahulu?

Contoh fitnah wanita berlaku dizaman Nabi Musa a.s. , bagaimana Qarun menggunakan wanita pelacur untuk menjatuhkan maruh Nabi Musa a.s. supaya dia membuat fitnah kepada Nabi Musa a.s. Kerana fitnah tersebut baginda berdoa kepada Allah S.W.T. supaya menimpakan bala kepada Qarun, dengan izin Allah S.W.T. bumi telah membenamkan Qarun dan hartanya keperut bumi dengan perintah baginda.

Nabi Yahya a.s. dibunuh oleh raja yang zalim di zaman baginda, kerana angkara wanita jahat yang mempengaruhi raja supaya membunuh Nabi Yahya a.s. disebabkan tidak puas hati dengan fatwa  yang dijatuhkan baginda kepada wanita tersebut.

Islam melarang memandang kepada benda-benda yang haram, seperti seorang wanita memandang kepada lelaki ajnabi dan seorang lelaki memandang kepada wanita. Kerana pandangan mata itu lamanya mungkin cuma satu atau dua saat, namun bekasnya dapat kekal di dalam hati sepanjang hayat!!

Firman Allah yang bermaksud :-
“Dan katakanlah olehmu (Muhammad), kepada orang-orang perempuan yang beriman: Hendaklah mereka itu memejamkan setengah daripada pandangan mata mereka….” (Surah An Nur ayat 31)

Tubuh wanita juga boleh menimbulkan fitnah. Fitnah yang bagaimana? Mempamerkan kecantikan tubuh terutamanya dengan membuka aurat adalah satu fitnah yang pasti. Hal ini akan membawa fitnah bagi setiap lelaki apabila seorang wanita tidak menutup auratnya, apalagi kalau ia memamerkan bentuk tubuhnya yang seharusnya mereka tutupi dan sembunyikan. Apatah lagi dengan ‘trend’ golongan kini yang suka menggayakan busana-busana ‘muslimah’ yang kononnya berpakaian menurut Islam dan berhias berlebih-lebihan (bertabaruj) sehingga menyebabkan lelaki tergoda. Ini juga merupakan suatu fitnah.

Keluar rumah tanpa ada keperluan, atau meninggalkan tanggung jawab rumahtangga merupakan satu fitnah wanita yang timbul dari golongan wanita kini terutamanya yang telah bekerjaya ataupun golongan wanita muda-mudi.  Betapa ramai kaum wanita disebabkan mengejar urusan dunia, mereka tinggalkan anak-anak mereka, mereka serahkan urusan anak mereka sepenuhnya kepada pembanturumah  sehingga menimbulkan kurang kasih sayang ibu dengan anak-anaknya.

Sabda Rasulullah SAW :”Tidak halal bagi seorang perempuan yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, jika hendak bepergian sejauh perjalanan sehari dan semalam, melainkan jika bersama seorang mahramnya.” (Hadis Riwayat  Ahmad, Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan Turmudzi dari  Abi Hurairah r.a.)

Apa yang lebih teruk lagi apabila wanita ingin dijadikan ‘barang dagangan’ atau dalam bahasa yang lebih lembutnya, inginkan diri mereka dipaparkan di dalam iklan, media massa, majalah, televisyen, suratkhabar, dan sebagainya. Bahkan penilaian terhadap mereka dilakukan secara fizikal sahaja yakni pada luaran.

Bercampurgaul antara lelaki dan perempuan dalam berbagai tempat, baik di dalam lingkungan pekerjaan, pendidikan dan sebagainya, mengakibatkan terjadinya perbuatan maksiat seperti zina, pergaulan bebas, perselingkuhan dan lain sebagainya.

Rasulullah SAW telah bersabda : “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka janganlah ia bertemu sendirian di satu tempat dengan seorang wanita yang tidak ada sertanya mahram daripadanya, kerana sesungguhnya yang ketiganya tentu syaitan.” (Hadis Riwayat  Ahmad dari Jabir r.a.)

Ramai wanita berlumba-lumba menjadi artis (penyanyi dan pelakon) untuk mendapat glamor dengan pakaian yang mendedahkan aurat, pergaulan bebas dan berhias pada wajah dan berpakaian seksi, ini semuanya adalah tabaruj dan haram dan akan  membawa kepada keruntuhan akhlak masyarakat Islam kerana genarasi muda-mudi terbawa-bawa dengan akhlak mereka yang tidak sopan.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“Dan janganlah mereka menghentakkan kaki-kaki mereka, agar diketahui barang apa yang tersembunyi daripada perhiasaan-perhiasan mereka.” (Surah An Nur ayat 31)

Aisyah r.a. berkata: “Tidak, demi Allah! Tidak pernah Rasulullah S.A.W. menyentuhkan tangannya dengan tangan seorang perempuan lain, hanya ia membai’at mereka itu dengan percakapan.”(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Turmudzi).

Hal ini sebenarnya merupakan satu propoganda musuh-musuh Islam, musuh-musuh Islam terutama Yahudi dan Nasrani, ingin merosakkan umat Islam melalui wanita. Mereka membuka ‘laluan’ pekerjaan yang hanya untuk wanita, sehingga terjadinya pengangguran di kalangan lelaki, akhirnya timbullah kerosakan. Mereka merosakkan akidah umat Islam melalui wanita dengan menanamkan pelbagai syubhat, diantaranya persamaan taraf lelaki dan wanita dan menentang hukum Islam terutama poligami dan pembahgiaan harta pusaka.

Rasulullah S.A.W. pernah bertanya pada Iblis maksudnya ; “Wahai Iblis bagaimanakah cara kamu bertindak terhadap makhluk Allah?”

Berkata Iblis ; “Ya Nabi Allah, aku dengan makhluk Allah ada beberapa cara dan tektik yang aku gunakan mengikut keperluan semasa seperti berikut ;

Pertama : "Terhadap perempuan-perempuan aku akan naikkan nafsu dan syahwatnya dengan merenggangkan kedua peha kepada lelaki yang bukan suaminya, sehingga setengahnya itu mengeluarkan benih yang salah (menjadi anak zina) yang dikeji oleh Allah.”

Walaupun Iblis akan menggunakan tektik mempengaruhi kaum wanita yang lemah imannya untuk melakukan maksiat tetapi bagi wanita solehah yang bertakwa dan  menjaga kehormatan diri dan membawa akhlak Islam perkara godaan tersebut akan dapat di atasi .

Islam meletakkan kemulian kepada wanita solehah dengan menganggap wanita solehah itu adalah sebaik-baik perhiasan dunia. Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud " Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan itu adalah wanita solehah.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita berwaspada dan jangan terpedaya dengan kenikmatan dunia yang sementara, kerana benda yang tidak kekal kita jadikan alat sahaja bukan matlamat semasa kita hidup di dunia ini kerana kehidupan yang kekal adalah di hari akhirat. Begitu juga janganlah kita tertipu dengan fitnah wanita yang datang daripada wanita yang lemah imannya sehingga mendorong kita melakukan maksiat kepada Allah S.W.T.

Ingatlah wahai lelaki mukmin! Jika kalian tewas dengan wanita di dunia ini (melakukan maksiat)  kalian akan terlepas untuk memiliki bidadari bermata jeli yang disediakan oleh Allah S.W.T.  di syurga nanti.

Wednesday, April 13, 2011

Muhasabah Diri Untuk Kehidupan Yang Lebih Cemerlang

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap saat masa berlalu, samaada kita sedar ataupun tidak sebenarnya kita telah menghampiri bertemu dengan Allah S.W.T. Berlalunya masa itu dari detik ke suatu detik, minit ke minit, jam ke jam, suatu hari ke suatu hari, adalah aturan, ketentuan dan ketetapan Allah S.W.T.
Inilah hakikat kehidupan, ia sentiasa bergerak pantas dan tidak  berada dalam keadaan statik. Kepantasan dan bergeraknya masa itu berlalu, dan kita sebagai manusia harus sentiasa disedarkan tentang hakikat ini, bahawa hakikat kehidupan ia sentiasa bergerak dan berubah. Masa berubah, dan sejajar dengan itu juga usia kita semakin meningkat dan bertambah. 

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Demi masa sesungguhnya manusia itu benar-benar di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan kepada kesabaran." (Surah al-Ashr ayat 1-3)
Penjelasan ayat di atas memberi satu penerangan yang nyata kepada manusia bahawa suatu nilai kehidupan di dunia ini terletak kepada nilaian iman dan amal soleh. Melalui kehidupan bersama nilaian ini melambangkan kita sudah tempah tiket untuk keselamatan di alam seterusnya.


Sahabat yang dimuliakan,
Kehidupan kita di dunia ini umpama musafir yang singgah berteduh di bawah sepohon pokok, kemudian meneruskan perjalanannya. Kehidupan di dunia hanyalah seketika sedangkan kehidupan di akhirat adalah selama-lamanya.

Meletakkan matlamat, merancang pelan kehidupan, meletakkan strategi, melaksanakan pelan tindakan, pemantauan proses tindakan dan menilai setiap apa yang kita lakukan di dunia ini adalah satu tindakan yang bijak dan harus kembangkan kepada seluruh masyarakat. Sentiasa sedar untuk terus mengkoreksi, menilai dan muhasabah diri adalah satu sikap yang harus disistemkan dan dibumikan dalam amalan seharian.

Perkara ini telah diamalkan oleh para sahabat, alim ulama, dan para cerdik pandai yang terdahulu daripada kita dan hasilnya mereka sentiasa mempertingkatkan diri untuk menjadi lebih baik dari sehari ke sehari. Moto harian mereka ialah, "Hari ini lebih baik daripada semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini" terus subur dalam jiwa mereka.

 Sahabat yang dikasihi,
Ingatlah ketika Allah S.W.T.  berfirman yang bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."
(Surah al-Hasyr ayat 18)

Ayat di atas mengingatkan  agar selalu muhasabah diri.

"Kamu ibarat pedagang di dunia ini!

Ajaran Islam dan segala hukumnya adalah modalmu.

Keikhlasan, ketaatan dan istiqamah adalah strategimu.

Pahala dan keampunan dari Allah adalah untungmu.

Keredaan Allah adalah matlamatmu.

Tempoh perniagaanmu hanya seumur hidupmu sahaja.

Jika kamu beruntung dan berjaya hendaklah kamu bersyukur kepada Allah S.W.T. sambil mengucap 'Alhamdulillah.'
Jika ditakdirkan kamu kurang bernasib baik dalam hidup ini, rugi atau gagal apa yang dihajatkan maka janganlah lemah dan patah semangat...

Perbaikilah langkah kamu sambil memohon ampun kepada Allah. 

Mungkin ada dosa-dosamu yang menyebabkan kegagalan ini. 

Ucaplah istighfar agar Dia mengampunkan dosa-dosamu dan segala keterlanjuranmu."

Sahabat yang dihormati,
Hayatilah firman Allah S.W.T. yang bermaksud : “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat Ku), maka sesungguhnya azab Ku sangat pedih.”
(Surah Ibrahim, ayat 7).
 
Ingatlah pesanan Saydina Umar al-Khattab r.a :
"Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab (Allah) dan timbanglah dirimu sebelum ditimbang (Allah) serta bersiap-siaplah untuk menghadapi hari peperiksaan yang paling besar (hari kiamat)".

Marilah sama-sama kita menilai prestasi amalan dan segala hasil kerja yang kita perolehi. Muhasabah secara menyeluruh, kemudian membuat penilaian secara jujur, ikhlas dan melihat dengan mata hati. Jika terdapat kekurangan, berazamlah untuk memperbaiki dan mempertingkatkannya. Sekiranya ia menampakkan kebaikan, maka bertekadlah untuk memeliharanya sehingga mampu mengekalkannya pada tahap yang baik dan konsisten. Semoga amalan kita terus mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. dan mampu menjadi bekalan di hari pertemuan dengan Allah S.W.T. nanti. Insya Allah.

Jauhi 17 Amalan Yang Menyebabkan Mendapat Seksa Kubur

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap manusia apabila sampai saat kematiannya maka ianya tidak ditangguhkan atau di percepatkan oleh Allah S.W.T. walaupun sesaat. Apabila mati saja anak Adam ianya akan dikebumikan dan di masukkan keliang lahat. Maka ketika inilah bermulanya hidup baru di alam barzakh. Kehidupan disini hanya terdapat dua keadaan saja saamada mendapat kenikmatan seperti duduk ditaman-taman syurga ataupun seperti duduk salah satu lubang daripada lubang api neraka.

Mereka yang mendapat azab atau seksa kubur adalah kerana semasa di dunia ini mereka melakukan salah satu atau lebih daripada 17 dosa dan kesalahan yang dilarang oleh Allah S.W.T.

Disebutkan oleh Imam Ibnu Qayyim rahimahullah bahawa seksa kubur ditimpakan kerana berbagai macam dosa dan maksiat, di antaranya:

1. Melaga-lagakan (mengadu domba) dan mengampu.

Nabi S.A.W berwasiat kepada Sayidina Ali : "Wahai Ali ! Saya melihat tulisan pada pintu syurga yang berbunyi "Syurga itu diharamkan bagi setiap orang yang bakhil (kedekut), orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, dan bagi orang yang suka mengadu domba (mengasut)."

2. Tidak basuh dengan suci selepas  buang air kecil.

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Bersih-bersihlah kamu daripada kencing, sebab umumnya seksa kubur itu kerana kencing. (yakni hendaklah dicuci kemaluan sebersih-bersihnya.)

3. Solat tanpa bersuci.

Rasulullah S.A.W.  bersabda  maksudnya :  “Allah tidak menerima solat tanpa bersuci”
(Hadis Riwayat Muslim )

Diriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W.  pernah melihat seseorang melakukan solat, sedangkan pada tumitnya ada sedikit yang tidak terkena siraman air wuduk. Nabi S.A.W. memerintahkannya untuk mengulangi wuduk dan solatnya .
(Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Dawud)

Nabi S.A.W. menyuruh orang tersebut untuk mengulangi solatnya kerana solat tersebut dilakukan tanpa bersuci dan tidak sah.

4. Berdusta.

Rasulullah S.A.W.  bersabda kepada Sayyidina Ali k.w. yang bermaksud :
"Wahai Ali ! Berbuatlah jujur sekalipun hal itu akan membahayakan dirimu didunia. Sesungguhnya kejujuran itu bermanfaat di kemudian hari. Dan janganlah berdusta sekalipun bermanfaat bagimu ketika itu kerana kedustaan itu akan menyulitkan kamu di kemudian hari."

5. Melalaikan dan malas mengerjakan solat.

Nabi S.A.W.  ada bersabda yang bermaksud :
“ Bermula orang yang meninggalkan solat pada hal ia dalam keadaan sihat, maka Allah tidak memandang kepadanya dengan pandangan rahmat, dan baginya kelak azab yang amat hebat melainkan kalau ia bertaubat dari perbuatannya itu”

6. Tidak mengeluarkan zakat.

Sabda Rasulullah S.A.W.  yang bermaksud :
“Barangsiapa mempunyai emas atau perak senisab, sedang tidak di keluarkan zakatnya, kelak di hari kemudian ia akan di kejar-kejar oleh ular yang besar dan sangat berbisa dari neraka yang mengigit tangannya sehingga terpotong, kemudian tangannya kembali sebagai sediakala, di gigit lagi ular itu, demikianlah setiap masa, sehingga akhirnya orang yang bakhil itu akan di seret ke Neraka Jahannam”

7. Berzina

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“ Jauhilah oleh kamu akan zina, kerana kecelakaannya empat macam iaitu hilang seri (cahaya) pada wajahnya , di sempitkan rezekinya , dan kemurkaan Allah atasnya dan menyebabkan kekal di dalam neraka.” (Hadis riwayat Thabrany dan Ibnu Abbas)

8. Mencuri

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : ”Tidak dipotong tangan seseorang pencuri itu kecuali seperempat dinar atau lebih daripada nilai wang mas”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

9. Berkhianat.

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Empat perkara, siapa yang terdapat padanya empat perkara ini, maka ia adalah munafik tulin, dan siapa yang terdapat padanya salah satu darinya, maka padanya ada satu ciri kemunafikan; apabila diberi amanah ia berkhianat, apabila bercerita ia berdusta, apabila membuat janji ia mungkiri dan apabila berdebat ia curang.”  (Hadis Riwayat Bukhari no. 34, 2459, 3178 dan Muslim no. 2635. dari Abdullah bin Amr bin Ash r.a.)

10. Menfitnah sesama umat Islam.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

11. Makan riba.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :
“Hai orang-orang yang beriman , bertakwalah kepada Allah dan tinggalkanlah riba (yang belum di pungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba) maka ketahuilah , bahawa Allah dan RasulNya akan memerangimu . Dan jika kamu bertaubat (dari mengambil riba), maka bagimu pokok hartamu, kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.”
(Surah Al- Baqarah ayat 278-279)

12. Tidak menolong orang yang di zalimi

Firman Allah S.W.T. dalam hadis qudsi yang maksudnya : “Wahai segenap hambaku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan perbuatan zalim atas diri-Ku dan Aku telah menjadikan hal tersebut sebagai perkara yang haram antara sesama kalian, maka janganlah kalian saling menzalimi.”(Hadis Riwayat Muslim)

13. Minum khamar ( tuak, arak atau minuman keras )

Sabda Rasulullah S.A.W.  yang bermaksud :
“ Empat ( macam manusia) tidak Allah masukkan mereka itu ke syurga dan tidak akan merasai kenikmatannya, peminum arak , pemakan riba, menzalami (memakan) harta anak yatim dengan tidak hak dan derhaka pada ibu atau bapa.”
(Hadis Riwayat Al-Hakim)

14. Memanjangkan kain hingga di bawah mata kaki

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Barangsiapa menyeret pakaiannya kerana sombong maka Allah tidak memandangnya pada hari kiamat”.(Hadis Riwayat Bukhari)

15. Membunuh

Firman Allah S.A.W. yang bermaksud :
“Dan barangsiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Jahannam , kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya, dan mengutukinya serta menyediakan azab yang besar baginya.”
(Surah An- Nisaa’ ayat 93)

Sabda Rasulullah S.A.W.  yang bermaksud :
“ Orang yang mati terbunuh , akan datang di hari kiamat dengan mengantungkan kepalanya di salah satu tangannya , sambil memegang pembunuhnya dengan tangan yang lain , sedang darah terus mengalir. Apabila mereka berdua sudah ada di hadapan Allah, maka orang yang terbunuh itu berkata :' Ya Allah, inilah orang yang telah membunuh aku'. Maka Allah berkata kepada sipembunuh :' Celakalah engkau', lalu di bawalah orang itu ke neraka.”

16. Mencaci sahabat Rasulullah S.A.W.

Allah S.W.T. berfirman, yang bermaksud : "Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) di antara orang-orang Muhajirin dan Anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah reda kepada mereka dan mereka reda kepadaNya. Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar". (Surah at-Taubah ayat 100)

Al-Qadhi ‘Iyaadh berkata :”Jumhur ulama berpendapat bahawa orang yg menghina/mencaci maki para shahabat Rasulullah S.A.W.  harus dihukum takzir (yakni harus didera menurut kebijaksanaan hakimIslam )”. [Fathul Bari VII hal. 36].

17. Mati dalam keadaan membawa bidaah.

Nabi S.A.W bersabda maksudnya : “Barangsiapa membuat buat hal baru yang baik dalam Islam, maka baginya pahalanya dan pahala orang yang mengikutinya dan tak berkurang sedikitpun dari pahalanya, dan barangsiapa membuat-buat hal baru yg buruk dalam Islam, maka baginya dosanya dan dosa orang yang mengikutinya dan tak dikurangkan sedikitpun dari dosanya” (Sahih Muslim hadis no.1017, demikian pula diriwayatkan pada Sahih Ibn Khuzaimah, Sunan Baihaqi Alkubra, Sunan Addarimiy, Sahih Ibn Hibban dan banyak lagi).

Sahabat yang dimuliakan,
Imam Ibnu Qayyim rahimahullah selanjutnya berkata, "Ketika keadaan manusia banyak yang melakukan dosa-dosa di atas, maka kebanyakan ahli kubur adalah dalam keadaan diseksa. Dan orang yang selamat daripadanya amatlah sedikit. Secara lahirnya, kuburan itu memang hanyalah tanah biasa, padahal didalamnya terdapat penyesalan dan seksa.

Di atasnya nampak tanah, batu-batu yang terukir dan bangunan, tetapi di dalamnya adalah bencana.  Mereka mendidih dalam penyesalan sebagaimana periuk mendidih dengan apa yang ditanaknya. Sedangkan angan-angannya tak mungkin lagi dipenuhi."

Imam Ibnu Qayyim rahimahullah mengatakan, sebab-sebab keselamatan seksa kubur adalah dengan menjauhi sebab-sebab terkena seksa kubur, yakni berbagai macam maksiat dan dosa.  Untuk itu, Ibnu Qayyim rahimahullah menganjurkan, hendaknya setiap muslim melakukan perhitungan atas dirinya setiap hari, tentang apa dosa dan kebaikan yang telah dilakukannya pada hari itu.

Selanjutnya, hendaknya ia memperbaharui taubatnya kepada Allah dan tidur pada malam itu dalam keadaan taubat.

Jika ia meninggal dunia pada malam itu, maka ia meninggal dalam keadaan telah bertaubat. Jika bangun dari tidurnya maka ia siap menghadapi harinya, dan bersyukur kerana ajalnya masih ditangguhkan.  Dengan demikian ia masih berkesempatan beribadah kepada Rabbnya dan mengejar amal yang belum dilakukannya.

Sebelum tidur, hendaknya pula ia dalam keadaan berwuduk, senantiasa mengingat Allah dan mengucapkan zikir-zikir yang disunnahkan Nabi S.A.W. sehingga ia tidur. Jika seseorang dikehendaki baik oleh Allah, nescaya dia akan diberi kekuatan untuk melakukannya.

Kemudian Ibnu Qayyim rahimahullah menyebutkan ketaatan yang dapat menyelamatkan dari seksa kubur, di antaranya:

1. Senantiasa mengikatkan diri di jalan Allah.

2. Mati syahid di jalan Allah.

3. Membaca surat Al-Mulk.

4. Meninggal kerana sakit perut.

5. Meninggal dunia pada hari Jumaat.

Oleh itu beramallah dengan amalan soleh secara berterusan dan jauhilah segala perbuatan atau perkataan yang boleh mengundang dosa dan maksiat di sisi Allah S.W.T. Mukmin yang berhati-hati dan sentiasa muhasabah diri adalah lebih baik daripada mukmin yang berpuas hati dengan amalan-amalan yang telah dikerjakannya.

Tuesday, April 12, 2011

Penuhilah 10 Wasiat Penting Dalam Menuntut Hak.

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sebelum Imam Syafie pulang ke Rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada murid-muridnya serta umat Islam. Beliau meninggalkan 10 wasiat berikut:

"Barang siapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara."

PERTAMA: Hak Kepada Diri.

Iaitu: Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

Firman Allah (SWT) dalam Al-Quran yang bermaksud :
“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa ada di dalam syurga dan dekat dengan air yang mengalir. Sambil mengambil apa yang diberi oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum ini di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik. Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam. Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah (SWT).” ( Surah az-Zariat ayat 15-18 )

Nabi SAW bersabda lagi, maksudnya; “Janganlah kamu mematikan hati dengan banyak (berlebih) makan dan minum, walau pun yang halal. Kerana hati itu ibarat tumbuh-tumbuhan, ia akan mati jika terlalu banyak disirami air”.

KEDUA: Hak Kepada Malaikat Maut.

Iaitu: Mengada kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan maaf daripada orang yang dizalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.

Bersabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Siapa yg merasa pernah berbuat aniaya kepada saudaranya, baik berupa kehormatan badan, harta atau lainnya, hendaknya segera meminta halal (maaf)nya sekarang juga sebelum datang suatu hari yg tiada harta, dinar atau dirham, jika ia punya amal soleh, maka akan diambil menurut penganiayaannya, dan jika tidak mempunyai hasanat (kebaikan), maka diambilkan dari kejahatan orang yg dianiaya utk ditanggungkan kepadanya." (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim).

Rasulullah S.A.W. pernah menasihati umatnya agar sentiasa bertaubat kepada Allah : "Wahai sekelian manusia, bertaubatlah kamu kepada Tuhan sebelum kamu mati. Gunakanlah kesempatan yang ada untuk beramal dan berbakti sebelum masa kamu dipenuhi oleh urusan dan kerja. Wujudkanlah satu pertalian antara kamu dengan-Nya, memperbanyakan mengingati-Nya (zikrullah)."

KETIGA: Hak Kepada Kubur.

Iaitu: Menaggalkan tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat tahajud dan membantu orang yang dizalimi.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Bersih-bersihlah kamu daripada kencing, sebab umumnya siksa kubur itu kerana kencing. (Yakni hendaklah dicuci kemaluan sebersih-bersihnya.)

Firman Allah s.w.t maksudnya :
“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “solat Tahajjud” padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”.
(Surah al-Israa’ ayat 79)

KEEMPAT: Hak Kepada Munkar dan Nakir.

Iaitu: Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat-menasihati.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bertakwalah dan hendaklah kamu bersama-sama orang yang bersifat benar.” (Surah at-Taubah: 119)

Orang yang bersifat benar ialah orang yang baik, berbudi bahasa, berakhlak dan mengamalkan budaya hidup terpuji, bukan orang jahat serta suka berdusta.

Nabi berwasiat pada Sayidina Ali : "Wahai Ali ! Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga :
1.Jika berbicara selalu dusta 2.Jika berjanji selalu ingkar dan 3.Jika bersumpah selalu khianat"

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan barang siapa yang mendurhakai Allah dan Rasul-Nya dan melanggar ketentuan-ketentuan-Nya, nescaya Allah memasukkannya ke dalam api neraka sedang ia kekal di dalamnya; dan baginya seksa yang menghinakan.”
(Surah  Al-Nisa’ ayat 14)

Nabi  S.A.W. bersabda maksudnya : "Agama adalah nasihat". Kami berkata: "Kepada siapa?". Baginda bersabda maksudnya : "Kepada Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya dan kepada pemimpan kaum muslimin dan rakyatnya". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

KELIMA: Hak Kepada Mizan (Neraca Timbangan Amalan Pada Hari Akhirat).

Iaitu: Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesulitan.

Sabda Nabi s.a.w. lagi yang bermaksud : "Tiada seorang pun yang meneguk satu tegukan yang lebih agung pahalanya daripada tegukan berupa kemarahan yang ditahannya semata-mata mengharapkan keredhaan Allah Taala."
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda maksudnya : "Sesungguhnya Allah s.w.t Yang Maha Memberkati lagi Maha Tinggi memiliki para Malaikat yang mempunyai kelebihan yang diberikan oleh Allah s.w.t. Para Malaikat selalu mengelilingi bumi. Para Malaikat sentiasa memerhati majlis-majlis zikir. Apabila mereka dapati ada satu majlis yang dipenuhi dengan zikir, mereka turut mengikuti majlis tersebut di mana mereka akan melingkunginya dengan sayap-sayap mereka sehinggalah memenuhi ruangan antara orang yang menghadiri majlis zikir tersebut dan langit. Apabila orang ramai yang hadir dalam majlis tersebut beredar, para malikat naik ke langit."

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu wahai Muhammad dengan membawa kebenaran, oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat kepadaNya"

KEENAM: Hak Kepada Sirat (Titian Yang Merentangi Neraka Pada Hari Akhirat).

Iaitu: Membuang tabiat suka mengumpat, warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.

Jabir dan Abu Sa'id menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, " Awaslah dari mengumpat, kerana mengumpat itu lebih keras dari zina. Sesungguhnya seseorang itu berzina ia bertaubat, maka Allah s.w.t. menerima taubatnya. Dan sesungguhnya seseorang yang mengumpat, tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampuni oleh orang yang diumpat." (Hadis Riwayat Ibn Abid Dunya)

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersada yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya."
(Hadis Riwayat Muslim).

Nabi S.A.W bersabda maksudnya : "Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab." (Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)

KETUJUH: Hak Kepada Malik (Malaikat Penjaga Neraka).

Iaitu: Menangis lantaran takut kepada Allah SWT, berbuat baik kapada ibu bapa, bersedekah ketika terang-terangan serta bersembunyi dan memperelok akhlak.

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya :  "Tidaklah mata seseorang menitiskan air mata kecuali Allah akan mengharamkan tubuhnya dari api Neraka. Dan apabila air matanya mengalir ke pipi maka wajahnya tidak akan terkotori oleh debu kehinaan, apabila seorang daripada suatu kaum menangis, maka kaum itu akan di rahmati. Tidaklah ada sesuatupun yang tak mempunyai kadar dan balasan kecuali air mata. Sesungguhnya air mata dapat memadamkan lautan api Neraka."

Hadis riwayat Abdullah bin Umar ra., ia berkata:
Seseorang datang menghadap Nabi S.A.W.  memohon izin untuk ikut berperang. Nabi S.A.W. bertanya: Apakah kedua orang tuamu masih hidup? Orang itu menjawab: Ya. Nabi S.A.W. bersabda: Maka kepada keduanyalah kamu berperang (dengan berbakti kepada mereka). (Hadis Shahih Riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (su’ul khatimah).”
(Hadis Riwayat al-Turmuzi)

KELAPAN: Hak Kepada Ridwan (Malaikat Penjaga Syurga).

Iaitu: Berasa reda kepada qadak Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W.  bersabda yang bermaksud : "Allah s.w.t berfirman, 'Aku sesuai dengan prasangka hamba-Ku kepada diri-Ku'."
(Hadis RiwayatAl-Bukhari)

Rasulullah S.A.W.  bersabda, maksudnya : "Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu berbaik sangka dengan Allah."
(Hadis Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sangat mengagumkan kepada seorang mukmin, sebab segala keadaannya untuk ia sangat baik, dan tidak mungkin terjadi demikian kecuali bagi seorang mukmin: jika mendapat nikmat ia bersyukur, maka syukur itu sangat baik baginya dan bila menderita kesusahan ia bersabar, maka sabar itu lebih baik baginya.” (Hadis riwayat Muslim)

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."
 (Surah Al-Baqarah ayat 222)

KESEMBILAN: Hak Kepada Nabi SAW.

Iaitu: Berselawat ke atasnya, berpegang dengan syariat, bergantung kepada sunnah (Hadis), menyayangi para sahabat dan bersaing dalam mencari kelebihan dari Allah.

Sabda Nabi S.A.W.  maksudnya : "Sesungguhnya seutama-utama manusia (orang terdekat) dengan aku pada hari kiamat adalah mereka yang lebih banyak berselawat kepadaku" (Hadis Riwayat An-Nasa'i dan Ibnu Hibban)

Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : " Dan sesiapa berselawat kepadaku sekali,  nescaya Allah akan selawat ke atasnya 10 selawat, menghapuskan daripadanya 10 kejahatan (dosa) dan mengangkatkannya 10 darjat."
(Hadis Riwayat Bukhari, Ahmad, Nasa'i dan Al-Hakim)

Dari Anas bin Malik ra. katanya, Rasulullah SAW telah berkata kepadaku: "Hai anakku! Jika engkau mampu tidak menyimpan dendam kepada orang lain sejak dari pagi sampai ke petangmu, hendaklah engkau kekalkan kelakuan itu! " Kemudian baginda  menyambung pula: "Hai anakku! Itulah perjalananku (sunnahku), dan barangsiapa yang menyukai sunnahku, maka dia telah menyukaiku, dan barangsiapa yang menyukaiku, dia akan berada denganku di dalam syurga! " (Hadis Riwayat Tarmidzi)

Rasulullah S.A.W. pernah bersabda dalam hadithnya yang bermaksud:
“Perumpamaan orang mukmin itu dalam perkara berkasih sayang dan saling cinta-menyintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggota tubuhnya berasa sakit, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasai akan kesakitannya” (Hadis Riwayat Muntafaq ‘Alaih)

KESEPULUH: Hak Kepada Allah SWT.

Iaitu: Mengajak manusiake arah kebaikan, mencegah manusia dari keburukan, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.

Nabi S.A.W bersabda maksudnya : “Barangsiapa yang mengajak (seseorang) kepada petunjuk (kebaikan), maka baginya pahala seperti pahala orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun” (Hadis Riwayat Muslim, No. 2674.)

Sabda Nabi S.A.W. dalam hadis yang lain maksudnya : “Barangsiapa diantara kalian melihat suatu kemungkaran, maka hendaklah ia mengubah kemungkaran itu dengan tangannya, jika ia tidak mampu maka dengan lisannya, jika ia tidak mampu (pula) maka dengan hatinya dan itu adalah selemah-lemahnya iman” (Hadis Riwayat Muslim, No. 804.)

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita menghayati 10 wasiat Imam Syafie untuk menjamin kebahagiaan kita di dunia dan akhirat. Jika kita fahami dan hayati nasihat tersebut akan dapat menyelamatkan kita semasa berada di alam barzakh dan hari akhirat. Ingatlah! Masa terus berlalu tanpa menunggu kita, jika amal soleh dan amal kebaikan , ketaatan dan kepatuhan kepada Allah S.W.T. kita isi sepenuhnya masa itu,  maka kita lah akan mendapat kebahagiaannya begitu juga jika kita leka dengan keseronokan dunia dan hayal dengan tipu dayanya maka kita sendiri yang akan rugi dan menyesal tanpa kesudahan.

Monday, April 11, 2011

Jauhilah Makan Secara Berlebihan Kerana Boleh Menutup Pintu Hati

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Allah S.W.T berfirman maksudnya : "Dan, makan serta minumlah kamu, tetapi jangan sampai berlebih-lebihan, kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berlebih-lebihan." (Surah al-A'raf ayat 31)

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Anak adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya
(memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertga untuk pernafasan."
(Hadis Riwayat al-Tirmizi di dalam kitab Sunannya – hadis no: 2302 dan beliau berkata: “Hadis ini hasan sahih.” Al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani di dalam Fath al-Bari menyatakan hadis ini hasan)

Hadis ini telah salah difahami oleh sesetengah pihak, lalu mereka menyangka Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menyuruh umatnya jika makan hendaklah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan. Sebenarnya jika kita teliti hadith ini maksudnya bukan demikian. Pembahagian tersebut ialah had maksima, kalau boleh hendaklah kurang daripada itu. Sebab itu baginda menyebut jika tidak dapat, bererti tidak melebihi pembahagian tadi. Namun yang lebih utama digalakkan sekadar yang dapat memberi tenaga.

Hadis di atas di samping menganjurkan agar menghadkan kadar makan dan minum, Nabi SAW juga mengingatkan tentang bahaya perut jika ia diisi dengan tanpa hadi. Difahamkan daripada hadis di atas juga bahawa perut kita hanya selamat jika ia diisi dengan makanan satu pertiga sahaja. Tetapi jika ia dipenuhi dengan makanan melebihi ruang itu, maka kemungkinan besar ia merbahaya kepada kesihatan kita sendiri.

Sayidina Umar r.a berkata : "Jauhilah daripada membuat perut kamu penuh, kerana perut yang penuh menjadi bebanan ketika hidup di dunia dan menjadi daging yang berbau busuk sesudah mati."

Kesan sampingan dan bahaya makan minum sering dilapurkan dan ia diakui sendiri oleh pakar perubatan bahawa punca penyakit yang diidapi oleh masyarakat manusia dan ada yang membawa kematian khususnya masyarakat moden hari ini, ia berpunca daripada banyak makan daripada kekurangan makanan. Penyakit-penyakit seperti darah tinggi, lemah jantung, kencing manis , gout dan lain-lain semuanya berpunca daripada lebih makan atau tidak mengawal makanan dengan cara yang betul.

Satu ketika Nabi S.A.W berjumpa dengan seorang lelaki yang mempunyai perut boroi (buncit). Maka Nabi S.A.W. menunjukkan kearah perut lelaki itu dengan jarinya seraya bersabda yang bermaksud : "Kalaulah makanan-makanan ini (yang menyebabkan perut boroi) di berikan kepada orang yang memerlukan adalah lebih baik." (Hadis Riwayat Ahmad, Hakim dan Baihaqi)

Orang yang kuat makan dan makan banyak biasanya perut akan menjadi boroi disebabkan lemak-lemak tidak sempat dibakar dan ianya berkumpul diperut. Adalah lebih baik jika makan sekadarnya dan wang lebihan untuk membeli makanan tadi ditukarkan menjadi sedekah dan di berikan kepada fakir miskin lebih menfaatnya dan mendapat pahala.

Dalam hadis yang lain Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud : "Orang yang banyak makan tiada nilai disisi Allah. Maka di datangkan pada hari kiamat seorang yang besar, panjang, kuat makan dan kuat minum tetapi apabila ditimbang amalannya tidak ada sebesar nilai kepak nyamuk pun di sisi Allah." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sahabat yang dimuliakan,
Oleh sebab itu Imam Al Ghazali dalam Minhajul ‘Abidin menjelaskan terdapat 10 bahaya berpunca daripada lebihan makanan. Di antara bahaya-bahaya makan minum tanpa had itu ialah;

1. BANYAK MAKAN HATI MENJADI KERAS DAN MEMADAMKAN CAHAYANYA.

Dalam sebuah hadis yang agak masyhur bahawa Nabi SAW mengingatkan; “Hati anak Adam ditempa bentuknya mengikut makan dan minum”. Ertinya bentuk dan sifat hati itu berpunca daripada makan minum.

Dalam hadis lain Nabi SAW bersabda lagi, maksudnya; “Janganlah kamu mematikan hati dengan banyak (berlebih) makan dan minum, walau pun yang halal. Kerana hati itu ibarat tumbuh-tumbuhan, ia akan mati jika terlalu banyak disirami air”.

Hukama’ pula ada berkata; “Perut itu umpama kuali yang berada di bawah hati, bila ia mendidih asapnya akan terkena pada hati. Jika banyak asap, ia akan kotor dan menjadi hitam”. Ertinya bahan kimia daripada makanan itu menghasilkan toksid yang boleh membinasakan hati dan jantung.

2. BANYAK MAKAN HATI MENJADI RESAH DAN MERUNTUN ANGGOTA KE ARAH PERKARA SIA-SIA DAN MAKSIAT.

Seorang yang sentiasa kenyang sentiasa lupa daratan. Segala pancainderanya, seperti mata, telingan, lidah dan kemaluannya cenderung untuk melakukan perkara haram. Tetapi bila perut lapar, semua anggota menjadi aman dan tenteram daripada runtutan maksiat, hatta perkara fudhul (tidak berfaedah).

Jika makan yang haram, maka yang terhasil daripada anggota dan pancainderanya adalah perkara haram juga. Jika makan yang halal, yang terhasilnya adalah perkara baik dan manfaat serta keuntungan di dunia dan akhirat. Tapi jika makan belebihan, walaupun halal, ia mendatangkan kesan sampingan yang memudharatkan pula.

3. BANYAK MAKAN AKAN MELEMAHKAN AKAL DAN TERHALANG DARIPADA MENJADI CERDIK.

Benar sekali apa yang disebut oleh Imam Ad Daraqutni; “Bila engkau ingin sesuatu dari keperluan dunia dan akhirat, maka janganlah engkau makan dahulu sehingga perkara yang engkau ingin itu tercapai atau berhasil. Kerana makan itu akan merubahkan fikiran menjadi lemah. Bukti itu telah dialami oleh banyak orang yang mempraktikkannya”.

4. BANYAK MAKAN MENYEBABKAN KURANG IBADAH.

Banyak makan menyebabkan badan menjadi berat, mata mengantuk, anggota badan lesu dan lemah. Walau pun dipaksa untuk melakukan sesuatu, tetapi tidak berdaya lagi, kecuali hanya tidur seperti bangkai terbuang.

Diceritakan bahawa Nabi Yahya as pernah bertemu dengan iblis sedang membawa sesuatu serupa joran (alat memancing). Nabi Yahya a.s. bertanya; “Untuk apa engkau bawa alat ini”.

Jawab iblis; “Inilah syahwat untuk aku pancing anak-anak Adam”.

Tanya Nabi Yahya lagi; “Adakah aku juga hendak engkau pancing?”.

Jawab iblis; “Tidak ada peluang. Tetapi pernah pada suatu malam, engkau makan agak banyak. Maka aku dapat memancing kamu sehingga engkau terasa berat untuk mengerjakan solat”.

Kata Nabi Yahya; “Kalau macam itu, mulai hari ini aku tidak lagi mahu makan kenyang sepanjang hidup aku”.

Kata iblis dengan penuh kesal; “Betapa menyesalnya aku kerana membuka rahsia ini. Mulai hari ini kami golongan iblis tidak akan menceritakan lagi rahsia ini kepada sesiapa pun”.

Ada pun kisah Nabi Yahya terlebih makan itu cuma berlaku sekali sahaja dalam hidupnya.

Cubalah bayangkan, bagi orang yang sentiasa kenyang pada setiap malam. Tentu sekali bukan sahaja malas, bahkan terasa rugi untuk bangun beribadah malam. Bila terjaga pada waktu malam sayang sekali untuk tinggalkan kain selimut dan tilam empuk untuk bangun beribadah kepada Allah.

5. BANYAK MAKAN AKAN MENGHILANGKAN KEMANISAN DALAM BERIBADAH.

Seperti seorang seniman yang sedang asyik menumpukan kepada kanvas lukisannya, ia pasti lupa alam sekelilingnya. Setelah selesai dihasilkan lukisannya, ia akan terasa suatu kepuasan. Demikian juga dengan badah yang dilakukan dengan takun dan khusyuk, akan terasa sedap dan nikmat. Selesai ibadah akan terasa suatu kepuasan.

Sayidina Abu Bakar berkata; “Sejak aku menganut Islam, belum pernah perut aku kenyang dengan makanan. Kerana aku ingin mendapat kemanisan dan kepuasan dalam beribadah. Juga belum pernah aku kenyang dengan minuman, kerana aku sangat rindukan Allah”.

Sayidina Abu Bakar r.a. ialah salah seorang sahabat Nabi SAW yang mendapat maqam (tingkatan) mukasyafah. Ini seperti mana diakui oleh Nabi SAW sendiri, maksudnya; “Tiada yang melebihi kamu Sayidina Abu Bakar dalam rasa kemanisan beribadah puasa dan solat. Sesungguhnya ia ialah kerana sesuatu yang tersimpan di dalam dadanya (takwa)”.

Inilah tanda dan sifat orang yang telah mendapat maqam mukasyafah kerana mengurangkan makan dan minum.

6. BANYAK MAKAN SEMBARANGAN MAKANAN AKAN MUDAH TERJERUMUS KEPADA SYUBHAT ATAU MUDAH MENDEKATI PERKARA HARAM.

Menurut Imam al-Ghazali, barang halal itu datang kepada kamu hanya sekadar untuk menjadi bekalan sahaja. Seperti mana disebut oleh Nabi SAW, maksudnya; “Sesungguhnya yang halal itu tiada datang kepada kamu, melainkan sekadar untuk menjadi bekal dan sekejab sahaja. Tetapi yang haram itu datang kepada kamu bertimbun-timbun”.

Banyak makan makanan syubhat menimbulkan was-was dalam hati. Sukar menghafal ilmu dan mudah lupa. Oleh sebab itu dalam hadis riwayat Bukhari bahawa Rasulullah SAW mensifatkan, di antara halal dengan haram ada di tengahnya perkara syubhat. Walau pun perkara syubhat belum haram, tetapi ia lebih mendekati ke arah haram dan termasuk perkara larangan, bagai taman larangan kawasan istana. Kerana, siapa yang suka meniti di atas syubhat, lambat laun ia akan terjerumus kepada haram. Bagi orang warak perkara syubhat dijauhinya bagai menjauhi perkara haram.

7. BANYAK MAKAN MENYEBABKAN TIMBUL PELBAGAI PERKARA BURUK.

Di antara perkara buruk atau kesan sampingan berpunca daripada banyak makan ialah;

a). Hati dan badan menjadi penat kerana sebuk berusaha mencari perbelanjaan untuk tujuan menyediakan makanan yang lazat-lazat dan mahal-mahal perencah dan resepinya.

b). Badan akan menjadi penat dan letih dalam mencari pelbagai resepi, menyiapkan pelbagai jenis masakan, mencuci alat-alat yang telah diguna untuk makan dan sebagainya.

c). Menghabiskan masa, fikiran, dan pertimbangan untuk mengimbangkan resepi agar terasa lazat. Kerana bimbangkan risiko kekurangan salah satu bahan, nanti kurang sedap.

d). Selepas makan, kesibukan itu bersambung lagi, seperti kena mencuci gigi, menyiapkan peralatan selepas makan seperti kertas tisu, menghidang makan ringan sebagai pencuci mulut dan lain-lain.

e). Jika perut allergic terpaksa pula pergi ke jamban. Menghadapi risiko kesan sampingan seperti terkena penyakit darah tinggi, lemah jantung atau kencing manis dan lain-lain, maka terpaksa pula jumpa doktor dan sediakan ubat sepanjang masa.

f). Selalu rugi di bidang agama seperti;

i). Banyak makan menjadikan seseorang malas beribadah atau melambat-lambat sembahyang, kerana terasa penat akibat perut terlalu kenyang. Jika ibadah pun telah mengurangkan perkara-perkara sunat.

ii). Orang yang banyak makan akan sentiasa hendak membuang air kecil atau air besar atau sentiasa kentut. Oleh sebab itu wuduknya tidak dapat kekal. Ertinya, ia tidak mampu kekal dalam keadaan suci, iaitu sentiasa berada dalam wuduk. Sedangkan orang yang sentiasa berwuduk, menurut hadis, ia sentiasa diampuni dosa oleh Allah sepanjang ia berwuduk.

iii). Banyak makan menyebabkan kurang tahan beriktikaf atau tidak dapat berlama-lama dalam mesjid, kerana keluar untuk keperluan cari makan atau kerana terbatal wuduk (sentiasa kentut) atau kerana hendak buang air kecil atau air besar.

iV). Orang yang banyak makan ia tidak tahan berpuasa, kerana tidak tahan berlapar.

Demikian beberapa kelemahan keburukan orang yang banyak makan dan ia merupakan satu kerugian.

Sesungguhnya puasa, iktikaf, dawamut toharah (sentiasa berkeadaan suci – sentiasa berwuduk, termasuk juga menjaga kebersihan pakaian pada diri) dan lain-lain itu merupakan perkara yang menjadi ibadah dan mendapat pahala. Sedangkan banyak makan, menyebabkan peluang untuk berada dalam keadaan ibadah dan mendapat pahala menjadi terganggu oleh kesan sampingan akibat makan banyak seperti perasaan malas, mengantuk, terkentut, buang air kecil dan besar (menyebabkan tidak tahan berada dalam keadaan sentiasa wuduk) dan lain-lain.

Kerana itu Nabi SAW mengingatkan, maksudnya; “Punca segala penyakit ialah rakus atau lahap dalam makan dan punca segala ubat ialah berpantang”.

Malik bin Dinar pernah berkata; “Wahai saudara ahli Basrah, disebabkan makan terlalu banyak, maka kita terpaksa kerap pergi ke tandas, tempat yang hina. Ertinya kita dimalukan oleh Tuhan. Oleh sebab itu, maka aku amat inginkan sekiranya diberi rezki oleh Tuhan, cuma cukup untuk menjilat lidah sahaja pada batu krikil”.

Oleh itu orang yang Cuma menghabiskan masa untuk fakir makan dan minum sahaja, maka semua urusan yang dilakukan (untuk mencari makanan) hanya semata-mata untuk keduniaan dan tidak ada apa-apa bahagian untuk di akhirat. Kerana apa yang diusahakan semata-mata untuk menghasilkan najis dan mengakibatkan pula badan lesu, menanggung penyakit dan masa (umur) tebuang percuma sahaja.

8. BANYAK MAKAN MENYEBABKAN AMAT SAKIT KETIKA SAKARATUL MAUT DAN URUSAN PERHITUNGAN DI AKHIRAT MENJADI RUMIT.

Dalam hal ini Nabi SAW ada mengingatkan yang bermaksud :  “Berat atau ringannya sakit sakaratulmaut itu bergantung kepada sedikit atau banyaknya kenikmatan dunia yang kita ambil. Jika banyak kenikmatan dan kesenangan dunia yang kita ambil dan nikmat, maka beratlah kita hadapi sakit sakaratul maut, kerana sedih dan sayang untuk meninggalkan dunia yang telah mendarah-daging bagi kita”.

9. BANYAK MAKAN MENYEBABKAN KURANGNYA GANJARAN DI AKHIRAT, KERANA NIKMATNYA TELAH DITERIMA DI DUNIA.

Firman Allah, maksudnya; “Dan ingatlah hari ketika orang-orang kafir dimasukkan ke dalam neraka, kepada mereka dikatakan; ‘Kamu telah menghabiskan rezki dan kesenanganmu yang baik di dunia dan kamu telah pun bersenang-senang dengannya, maka pada hari ini dibalas pula dengan azab yang menghinakan. Kerana kamu dahulu di dunia sombong dan fasiq tanpa hak” (Surah Al Ahqaaf ayat 20).

Jika kita hanya mengambil dan menggunakan nikmat dunia semata-mata untuk merasakan kesenangan di dunia, maka akibatnya nikmat di akhirat akan dikurangkan oleh Allah.

Diriwayatkan bahwa suatu masa Khalid Ibnu Walid menghidangkan makanan yang enak-enak kepada Saidina Umar. Lalu Saidina Umar berkata; “Makan yang enak ini kita akan makan sekarang, tetapi bagaimana dengan nasib orang –orang fakir di kalangan sahabat Muhajirin yang meninggal dunia, kerana belum pernah kenyang makan roti yang dibuat daripada sya’ir (iaitu gandum yang amat murah harganya)”.

Khalid menjawab; “Ya, Amirul Mukminin, bagi mereka sudah ada syuga. Sekarang mereka sudah mendapat ganjarannya”. Kata Sayidina Umar lagi; “Kalau begitu, mereka sudah dapat syurga, sedangkan kita baru dapat makanan yang enak ini. Amat celakalah kita, kerana di antara kita dengan mereka berbezaan amat jauh sekali”.

Sayidina Umar amat faham tentang peringatan Rasulullah SAW, bahawa jika seseorang itu telah mendapat nikmat dunia dan bermewah-mewah dengannya, nanti di akhirat ganjarannya akan berkurangan.

10. BAHAYA MAKAN MERUMITKAN SOAL JAWAB DI AKHIRAT.

Bahaya makan terakhir ialah mengakibatkan seseorang itu akan menghadapi saat rumit ketika berhadapan dengan soal jawab di akhirat.

Walau pun memakan rezki yang halal, tapi jika di akhirat kita disoal siasat oleh Allah di Mahkamah Akhirat tentang daripada mana kita perolehi yang halal itu dan ia diperhitungankan satu persatu. Jika kita memakan makanan yang syubhat, kita akan disalahkan, kerana hanya ingin bersenang-senang. Sedangkan hal ehwal keadaan jiran, orang miskin dan lain-lain orang yang susah, tanpa dibantu, itu akan ditanya kelak oleh Allah kepada kita.

Sesiapa yang tidak membantu orang yang memerlukan bantuan, sedangkan ia mampu, maka ia dianggap tidak tergolong sebagai umat Islam.

Sebuah hadis bahawa Nabi SAW bersabda amat tegas sekali, maksudnya; “Siapa yang tidak memikirkan urusan sesama Muslim, ia dianggap bukan golongan mereka (bukan golongan Muslim)” (Hadis Riwayat Al Hakim dari Ibnu Mas’ud).

Oleh itu, dalam hidup ini, kita selaku umat Islam telah tersedia memikul amanah, sama ada amanah masyarakat atau amanah diri dan keluarga. Jadi, tidak pantaslah setiap hari kita cuma memikirkan tentang makan dan mengisi perut sahaja. Kerana kita mempunyai tanggungjawab yang lebih besar terhadap keluarga dan masyarakat.

Memang dalam hidup ini, lebih-lebih lagi untuk mengisi tugas dan tanggungjawab terhadap Allah dan juga masyarakat, kita perlukan badan sihat. Badan yang sihat, terbina daripada makanan minum yang baik dan berzat. Memang makanan itu perlu, tetapi janganlah sampai makan terlalu berlebihan sehingga melupakan tanggungjawab lain yang lebih utama.
 
Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita sentiasa meningkatkan amal soleh, amal ibadah dan amal kebajikan supaya dengan amalan ini dapat membantu kita ketika di periksa dan ditimbang dengan mudah di Mizan ( timbang amal manusia). Kurangkan makan dan minum walaupun halal tetapi iannya boleh menutup (hijap) pintu hati kita untuk lebih khusyuk dan  tenang ketika berhubung dengan Allah S.W.T. Hati yang mati adalah hati yang terputus hubungan dengan Allah  kerana pemilik hati tersebut banyak makan, minum, tidur, bermalas-malas , suka mengikut hawa nafsu dan berkekalan buat perkara maksiat.