Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
ŰšِŰłْÙ
ِ Ù±ÙÙَّÙِ Ù±Ù۱َّŰْÙ
َÙٰÙِ Ù±Ù۱َّŰِÙÙ
Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Satu ketika,
terdapat cubaan dari sesetengah orang Islam ingin memulaukan laman
sosial Facebook kerana selain ia adalah ciptaan seorang bukan Islam, ia
banyak membawa kelalaian kepada umat. Beberapa laman sosial yang agak
Islamik diwujudkan. Namun mungkin kerana kurang daya tarikan, ia kurang
mendapat sambutan dan akhirnya berkubur begitu sahaja. Facebook juga
yang menjadi pujaan hati orang-orang Islam. Yang jelasnya, buat masa
sekarang Facebook sudah menjadi kegilaan ramai orang termasuk umat
Islam.
Tidak kisahlah ia ciptaan siapa, alangkah
baik dan beruntungnya jika seseorang Muslim dapat menjana pahala mudah
dengan kemudahan laman sosial ini. Sekurang-kurangnya daripada 3-4 jam
seseorang menghadap Facebook dalam satu hari, ada juga pahala yang
tercatit di buku amalan, yang diharapkan dapat meneutralkan balik
dosa-dosa yang terhasil disebabkan Facebook.
Beberapa amalan mudah dan mampu dibuat
oleh sesiapa sahaja untuk menjana kebaikan dan pahala melalui Facebook
adalah seperti berikut:
1. Update status anda dengan pengisian
yang bermanfaat. Contohnya, menulis di status anda beberapa potong
maksud ayat al-Quran, hadis, kata-kata salaf, yang anda rasakan ia akan
memberi kesan kepada orang yang membacanya. Jika anda mempunyai 1000
friends, andaikata hanya 10% yang membacanya, ada sudah dikira
menyebarkan kebaikan kepada 100 orang dengan cara yang cukup mudah.
Jika
daripada 100 orang yang membacanya, hanya 10% yang terkesan dan
mengamalkan kandungan status anda, anda sudah dikira menjadi penyebab kebaikan kepada 10 orang, dengan cara yang tidak disangka-sangka.
Tapi awas! jangan terlalu boros dalam
membuat pengisian, nanti friends anda akan boring membaca status anda,
kerana sudah menjadi tabiat manusia cepat boring dan jemu dengan perkara
yang berterusan dan sekata. Pilihlah pengisian yang betul-betul
berkualiti dan berkesan. Dan variasikan ia samada dengan tulisan,
gambar, video, dan lain-lain.
2. Jika anda terbaca status orang lain
yang sangat bermanfaat dan boleh memberi kesan kepada orang lain, apa
salahnya anda sebarkan status tersebut. Gunakan kemudahan share untuk
tujuan perkongsian, atau copy paste sahaja apa yang anda ingin kongsikan
dengan friends anda. Lebih-lebih lagi, bagi pemegang akaun Facebook
yang mempunyai list friends yang ramai, boleh membantu menyebarkan
kebaikan yang ada pada status seseorang yang mempunyai bilangan friends
yang ciput. Mudah-mudahan termasuk dalam bekerjasama dalam dakwah.
3. Anda yang mempunyai maklumat tentang
program-program ilmu (yang betul-betul), bolehlah mengiklankan program
tersebut di laman Facebook masing-masing dengan memberikan tajuk, nama
penceramah, dan jadual pengajian. Manalah tahu, ada kalangan friends
kita yang tinggal berhampiran dengan lokasi dan mempunyai kelapangan,
boleh mengambil faedah dari majlis-majlis yang berkat.
4. Atas semangat silaturrahim dan atas
kesedaran betapa besarnya kewajipan mengeratkan silaturrahim, alangkah
baiknya jika setiap kelurga mempunyai group tersendiri yang boleh
menghimpunkan segala suku-sakatnya. Dalam group seperti ini, banyak
kebaikan dapat dibuat, contohnya bertanya khabar antara ahli keluarga,
mengupdate berita-berita keluarga, menyelesaikan permasalahan ahli
keluarga secara tertutup dan macam-macam. Walaupun perkara kecil, namun
siapa sangka dengan semangat silaturrahim, Allah Taala akan memberkati
hidup seseorang.
5. Jika anda mempunyai komen bernas dan
bernilai terhadap sesuatu kandungan status orang lain, lakukanlah dengan
penuh adab dan sopan seolah-olah anda sedang bercakap dengannya.
Mungkin anda yang berpengetahuan tinggi boleh membuat penambahan
maklumat, pembetulan kesilapan, pencerahan terhadap kekeliruan, dan
lain-lain. Malahan, mungkin komen-komen untuk tujuan tersebut boleh
sampai ke tahap fardhu kifayah jika di sana terdapat keperluan mendesak
dari sudut Syarak, dan tiada yang boleh melakukannya kecuali anda.
6. Jika mereka yang mempunyai kemusykilan
agama, boleh juga menggunakaan laman Facebook sebagai tempat
perbincangan. Tulislah soalan anda, dan tag kan ustaz-ustaz Facebook
yang dipercayai dan mempunyai masa untuk melayan soalan anda.
Mudah-mudahan, ini sebagai satu cara melaksanakan arahan Allah SWT supaya
bertanya kepada ahli ilmu dalam perkara-perkara yang tidak diketahui.
Sahabat yang dikasihi,
Semoga dengan melakukan perkara-perkara
kecil di atas ketika melayari Facebook, akan ada insan-insan yang
beroleh kebaikan dari dakwah kita, akan ada pahala-pahala tercatat di
buku amalan baik kita, akan ada dosa-dosa dihapuskan dari buku amalan
jahat kita. Mudah-mudahan Facebook yang dicipta oleh seorang bukan
Muslim menjadi satu sebab kebaikan kepada seseorang Muslim.
Wallahu a'lam.