Monday, May 26, 2014

Bagaimanakah Caranya Membantu Orang Yang Sudah Meninggal Dunia.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat

Sahabat yang dirahmati Allah,
Bagaimanakah caranya membantu orang yang sudah mati berdasarkan Al-Quran dan Hadis Shahih Nabi SAW?

Di dalam menjawab persoalan ini, kita tumpukan hanya kepada dalil-dalil dari Al-Quran dan hadis shahih semata-mata. Kita menolak hadis-hadis dhaif hanya kerana mengambil jalan selamat kerana sesungguhnya berurusan dengan orang yang sudah mati merupakan satu perkara yang melibatkan alam yang lain dari alam yang kita duduki sekarang. Oleh kerana itu, akal tidak boleh dipakai sama sekali kerana Allah telah menghadkan akal pemikiran manusia setakat mana Dia ingini. Memandangkan dunia ghaib ini tidak dapat kita lihat mahupun rasai, maka kita memerlukan bantuan dari Allah yang Maha Kuasa di samping Nabi kita Muhammad SAW.

Terdapat beberapa cara yang membolehkan orang yang masih hidup membantu mereka yang sudah mati.

Pertama: Doa orang yang masih hidup untuk si mati.

Kaedah ini berlandaskan kepada dalil yang jelas di dalam Al-Quran surah Al-Hasyr ayat 10 yang bermaksud:

Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas Kasihan dan RahmatMu.

Di samping itu, anjuran solat jenazah merupakan satu bukti kukuh. Ini kerana intipati bacaan di dalam solat itu sendiri merupakan satu doa buat si mati. Dan tidak dinafikan, solat jenazah adalah amalan Nabi SAW dan banyak hadis-hadis shahih menceritakan mengenainya.

Kedua: Membayar hutang puasa si mati.

Orang yang tidak mengerjakan puasa Ramadhan selama beberapa hari atau lebih dari itu, atau ia tidak mengerjakan puasa "nazar" atau puasa "kifarah", disebabkan uzur syar'i (seperti sakit dan sebagainya) lalu ia mati sebelum sempat mengqadha puasanya, maka ia tidak dikira berdosa.
Dengan itu, pihak kaum kerabatnya tidak dikenakan mengqadha puasanya atau membayar "fidyah" dari harta peninggalannya.

Sebaliknya, kalau ia mati setelah hapus uzurnya - yakni setelah ia sembuh dari sakitnya dan sebagainya - kemudian semasa hayatnya tidak mengqadha puasanya itu maka hukumnya menurut jumhur ulama', bahawa pihak kaum kerabatnya tidak dibolehkan berpuasa untuknya tetapi hendaklah membayar "fidyah" untuknya dari harta peninggalannya, iaitu memberi makan orang miskin, satu cupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasanya.

Menurut huraian ulama' rahimahullah: Kadar satu "fidyah" untuk satu hari yang ditinggalkan puasanya ialah "satu cupak" dari jenis makanan yang mengenyangkan yang biasa dimakan oleh penduduk sesebuah negeri.
Fidyah itu pula hendaklah di berikan kepada orang fakir miskin sahaja seorang miskin, boleh di berikan "satu cupak" - tidak terhad.

Fidyah itu pula hendaklah diberikan kepada orang faqir miskin sahaja. Seseorang miskin, boleh diberikan "satu cupak" atau "beberapa cupak" - tidak terhad.
Tetapi fidyah yang satu cupak itu tidak boleh dibahagikan dua untuk diberikan kepada "dua orang miskin", kerana yang demikian tidak merupakan "satu fidyah" yang sempurna dan dengan itu tidak sah hukumnya.
Terdapat juga dalam hadis yang lain iaitu:

Dari Ibn Abbas r.a., katanya: Seorang lelaki datang mengadap Nabi Muhammad s.a.w. lalu berkata: "Ya Rasulullah, ibu saya telah mati sedang ia menanggung hutang puasa (yang wajib) selama sebulan, bolehkah saya mengqadha puasanya itu?"
Baginda menjawab: "Boleh, (Kalau hutang sesama manusia wajib dibayar) maka hutang (manusia kepada) Allah lebih berhak diselesaikan. (Hadis Sahih Riwayat Bukhari)

Hadis ini mengatakan bahawa orang mati yang menanggung hutang puasa yang wajib (sama ada puasa Ramadhan atau pun puasa nazar atau puasa kifarah), boleh dibayar oleh orang yang termasuk dalam lingkungan kaum kerabatnya - dengan jalan berpuasa untuknya.

Dalam huraiannya, Imam Nawawi rahimahullah berkata: Imam al-Syafi'i rahimahullah, mempunyai "dua qaul" dalam masalah ini:

Pertama - Hutang puasa si mati hendaklah dibayar dengan "fidyah" sahaja.

Kedua - Boleh juga dibayar dengan jalan berpuasa untuknya.
Berdasarkan keterangan yang tersebut, maka kesimpulan masalah ini dalam mazhab Syafi'i ialah: Menurut "qaul" yang pertama: Hutang puasa si mati , hendaklah di bayar dengan "fidyah" sahaja oleh walinya.
Menurut "qaul" yang kedua pula: Pihak walinya bebas memilih, sama ada dengan memberi fidyah atau dengan berpuasa untuknya.

Salah satu hadis yang lain juga: Dari `Aisyah r.a., bahawa Rasulullah SAW. bersabda: "Barangsiapa mati sedang ia menanggung hutang puasa (yang wajib) hendaklah walinya (membayar dengan) berpuasa untuknya".(Hadis Sahih - Riwayat Bukhari dan Muslim)

Nota: Huraian di atas adalah pendapat Imam SyafiI bukannya pendapat yang rajih berkaitan qadha puasa si mati. Tumpuan kita adalah apakah cara yang dibolehkan dalam membantu orang yang sudah mati.

Ketiga: doa anak yang soleh/solehah,

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnyakecuali tiga perkara: sedekah jariah atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya."
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan lain-lainnya)

Hadith ini juga diriwayatkan dengan lafaz yang lain seperti berikut:

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad SAW. bersabda: "Apabila seorang manusia mati , putuslah (tulisan pahala) amalan (setakat itu) (1) Kecuali tiga perkara (yang akan berlanjutan tulisan pahalanya) iaitu sedekah jariah atau ilmu memberi kepada yang faedah orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." (2)
(Hadith Sahih - Riwayat Imam Ahmad)

"Sedekah jariah" ialah harta benda yang diwaqafkan kerana Allah Taala, seperti:

(1) Mewaqafkan sebuah kebun bersama hasil tanamannya untuk kebajikan umum. Atau mewaqafkan sebidang tanah untuk menjadi tapak masjid, surau, rumah anak yatim, madrasah, sekolah dan sebagainya.
(2) Mendirikan - atau berkhairat ala kadarnya untuk mendirikan masjid surau, rumah anak yatim, madrasah, sekolah dan sebagainya.
(3) Mendirikan rumah waqaf untuk kaum kerabat sahaja atau umum untuk orang-orang miskin yang memerlukan tempat berteduh atau untuk disewakan dan hasilnya dikhairatkan untuk kebajikan umum.
(4) Mendirikan rumah "musafir khanah" untuk persinggahan orang-orang musafir yang memerlukannya.
(5) Dan lain-lain lagi yang termasuk dalam amalan yang diredhai Allah seperti mendirikan hospital dan kutub khanah, mencetak al-Qur'an dan kitab-kitab Islam serta buka-buka pengetahuan yang berguna dan sebagainya.

Amalan "waqaf" dalam Islam ini telah bermula semenjak zaman Rasulullah s.a.w. dan telah berkembang di negara-negara Islam hingga hari ini dan seterusnya, malah ada yang datang membentuk "Kementerian Waqaf di negara masing-masing.

Selagi harta benda yang diwaqafkan itu masih wujud dan dinikmati faedahnya olah umum maka tuan punya harta itu akan mendapat pahalanya berterusan semasa ia hidup dan sesudah ia mati .

Kedua: "Ilmu yang berguna atau bermanfaat kepada orang lain," yang tersebut dalam hadith ini ialah ilmu yang berhubung dengan agama Islam secara khusus dan juga yang berhubung dengan kemajuan di dunia secara umum, sama ada melalui syarahannya kepada murid-muridnya dan orang ramai, atau melalui kitab-kitab dan buku-buku karangannya.

Selagi ilmu yang diajarkannya atau kitab-kitab dan buku-buku karangannya masih wujud dan dinikmati faedahnya oleh umum maka ia akan mendapat pahalanya berterusan semasa ia hidup dan sesudah ia mati .

Ketiga: "Anaknya yang soleh yang berdoa untuknya"
Doa anak kepada kedua ibu bapanya, sama ada anak itu orang yang soleh atau sebaliknya adalah baik dan berguna. Tetapi doa anak yang soleh lebih diharap tentang makbulnya.
Sebab itulah Rasulullah s.a.w. menarik perhatian tentang kelebihan anak yang soleh dalam hadithnya ini, supaya ibu bapa mendidik anak-anak masing-masing dengan sebaik-baiknya sehingga anak itu menjadi orang yang berjaya di dunia dan berjaya di akhirat.

Serentak dengan itu kedua ibu bapa akan mendapat rahmat disebabkan usahanya mendidik anak-anaknya dengan sebaik-baiknya dan mendapat rahmat pula disebabkan doa anaknya yang soleh itu.

Keempat: melangsaikan hutang harta si mati :

Orang ramai boleh juga membantu si mati dengan cara melangsaikan hutang harta si mati. Terdapat beberapa hadis yang menceritakan kebolehan tersebut. Di antaranya:
Di dalam satu hadis sahih yang bermaksud:

Berkata Jabir bin Abdullah rh: Telah meninggal dunia salah seorang daripada kami, lalu kami mandikannya, kapankannya dan kemudian kami letakkan jenazah di tempat yang biasa diletakkan jenazah iaitu di Makm Jibril untuk diselesaikan oleh Rasulullah saw. Dan kami memaklumkan kepada baginda untuk disolatkan jenazahnya. Lalu baginda pun datang mendekati jenazah lalu bertanya kepada kami, Barangkali jenazah ini ada meninggalkan hutang. Lalu kami jawab, Benar, ya Rasulullah. Ada 2 dinar. Rasulullah saw berundur dan bersabda, kamu sahajalah yang menyembahyangkan jenazah sahabatmu ini. Lalu salah seorang daripada kami yang di panggil Abu Qatadah berkata, Ya Rasulullah, kedua-dua dinar hutang jenazah ini adalah tanggungjawab saya. Kemudian Rasulullah bersabda lagi, Mula sekarang, 2 dinar itu menjadi tanggungjawab engkau, Abu Qatadah dan engkau mesti ambil dari wang kau sedangkan jenazah ini bebas daripada kedua-dua dinar itu? Jawab Abu Qatadah, Benar, ya Rasulullah. Setelah mendengar pengakuan daripada Abu Qatadah bahawa ia bertanggungjawab melunasi hutang jenazah tersebut, barulah Nabi saw melakukan solat jenazah ke atas si mati. Dan diriwayatkan, pada keesokan harinya, Rasulullah saw bertemu akan Abu Qatadah dan bertanya kepadanya, sudahkah kau lunasi hutang jenazah semalam? Abu Qatadah menjawab, Wahai Rasulullah, bukankah dia baru sahaja meninnggal dunia semalam. Kemudian setiap hari apabila Nabi saw bertemu Abu Qatadah maka akan ditanya, Apakah kamu telah lunasi hutang 2 dinar itu? Jawab Abu Qatadah, telah aku lunasi hutang itu. Mendengar akan jawapan Abu Qatadah, Rasulullah saw bersabda, Sekarang barulah dingin kulitnya kerana azabnya baru sahaja diangkat kerana hutangnya telah selesai.

Hadis di atas memberitahu kita bahawa hutang wajib dilunasi. Bahkan dalam hadis yang lain ada menceritakan bahawa hutang wajib didahului dari keluarga yang miskin. Di dalam hadis di atas juga, mengkhabarkan bahawa bukan sahaja ahli waris yang boleh melunaskan hutang si mati, tetapi juga orang lain yang tiada ikatan kekeluargaan.

Terdapat banyak lagi hadis yang menceritakan akan kebolehan dan kewajipan melunaskan hutang si mati.

Dari Ibn Abbas r.a., bahawa: .. Rasulullah SAW bersabda: ".. (Kalau hutang sesama manusia wajib dibayar) maka hutang kepada Allah lebih berhak diselesaikan."
(Hadith Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim).

Kelima: Amalan baik anak sendiri :

Di dalam Al-Quran, ayat 39, Allah telah berfirman yang bermaksud: "Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya."

Terang di dalam ayat di atas mengatakan bahawa usaha seseorang akan di bawa ketika telah mati. Bagaimana pula ayat di atas dapat menjadi dalil yang membolehkan amalan baik anak itu sampai kepada si mati? Persoalan ini terjawab dengan hadis sahih di bawah:
Sabda Nabi SAW maksudnya, "Sesungguhnya makanan yang paling baik untuk di makan oleh seseorang ialah hasil titik peluhnya sendiri. Dan sesungguhnya anakanya adalah sebahagian daripada usahanya." (Hadis sahih-Al-Hakim, Imam At-Turmudzi, Imam Ahmad, Abu Daud An-Nasai)

Di dalam hadis yang lain: Hadis Aisyah r.a: "Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan berkata: Wahai Rasulullah! Ibuku meninggal dunia secara mengejut dan tidak sempat berwasiat tetapi aku menduga, seandainya dia mampu berkata-kata, tentu dia menyuruh untuk bersedekah. Adakah dia akan mendapat pahala jika aku bersedekah untuknya? Rasulullah SAW bersabda: Benar" (Hadis Sahih Riwayat Muslim)

Maka jelas, keumuman ayat Al-Quran di atas telah diperjelaskan oleh Rasulullah SAW di dalam banyak hadis dan di antaranya hadis di atas.

Kesimpulan
Inilah cara-cara membantu orang yang telah mati secara ringkas. Tidaklah saya nukilkan kesemua dalil dari Al-Quran dan Hadis kerana tujuan sebenar saya masukkan artikel ini di dalam diskusi Isu Talkin ini adalah agar kita tahu apakah amalan yang berlandaskan Al-Quran dan Hadis Sahih semata-mata.

Mengapa mesti kita tinggalkan cara yang sudah pasti sampai kepada simati dan kita ambil amalan yang tidak ada kepastiannya. Bukankah Rasulullah telah mengajar cara yang sebenar membantu orang yang telah mati. Di manakah dalilnya yang mengatakan sampainya pahala membaca Al-Quran kepada si mati oleh orang selain anak-anak sendiri? Di manakah dalilnya kewujudan solat fidyah atau hadiah kepada si mati? Dan yang lebih berkait dengan topik perbincangan kita, bagaimana pula ajaran di dalam ucapan talkin itu dapat membantu orang yang telah mati? Cukuplah dengan apa yang diajar dan dilakukan oleh Rasulullah saw. Sesungguhnya cara Rasulullah adalah cara yang terbaik. Allahualam.

RUJUKAN

 
1. Kaset Ceramah Al-Fadhil Ustaz Abdullah Yasin-Menolong orang yang mati
2. Kitab Irsyadul Ibad Ilasabilirrasyad
3. Al-Fath al-Rabbani (9:204) dan Fiqh al-Sunnah (1:429).
4. Fath al-Bari
5. Seperti yang tersebut dalam kitab-kitab mazhab 'Jadid'nya.
6. Seperti yang dinyatakan dalam kitab-kitab mazhab 'Qadim'nya.
7. Al-Majmu' (6:342).
8. Sabil al-Muhtadin (2:154).
9. Tuhfat al-Ahwazi (3:405) dan Misykat al-Masabih (1:634).
10. Kifayah al-Akhyar (2:212).
11. Mughni al-Muhtaj (1:439).
12. Nihayat al-Muhtaj (3:192) dan Sabil al-Muhtadin (2:154).
13. Al-Muntakhab min al-Sunnah (7:268).