Saturday, July 17, 2010

Tunaikanlah Enam Hak Muslim Terhadap Muslim Yang Lain

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sebagai seorang Muslim kita mempunyai beberapa tanggungjawab dan hak kepada saudara sesama Muslim. Tanggungjawab ini kita tidak boleh di abaikan dan memandang ringan sahaja. Apabila kita dengan ikhlas memenuhi tanggungjawab ini maka kita akan mendapat pahala dan ganjaran yang besar disisi Allah s.w.t. Begitu juga sebaliknya apabila kita tinggalkan tanggungjawab dan hak sesama Muslim kita akan mendapat dosa dan di akhirat nanti Allah s.w.t. akan murka kepada kita.

Dari Abi Hurairah (ra) katanya: Telah bersabda Rasulullah (sallallahu alayhi wasalam): Hak Muslim terhadap Muslim lainnya ada enam. (Baginda) ditanya: Apakah hak-hak tersebut, ya Rasulullah? Jawab baginda:
1. Jika kamu bertemu dengannya, ucapkanlah salam padanya.
2. Jika dia mengundangmu, hadirilah undangannya.
3. Jika dia minta nasihatmu, berilah dia nasihat.
4. Jika dia bersin dan bertahmid, maka tasymitkan dia.
5. Jika dia sakit, maka kunjungilah dia.
6. Jika dia meninggal dunia, maka ikutilah (jenazah) nya.
(Hadis Riwayat Muslim)

Sahabat yang dimuliakan,
Terdapat enam hak yang perlu kita tunaikan terhadap saudara kita sesama Muslim dengan kita melaksanakannya kita akan mendapat kebaikan di dunia dan akhirat.

1. Jika kamu bertemu dengannya, ucapkanlah salam padanya.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
"Kamu tidak akan masuk Syurga sehingga kamu beriman. Dan kamu tidak akan beriman sehingga kamu berkasih sayang. Mahukah kamu saya tunjukkan kepada sesuatu jika kamu lakukan kamu akan berkasih sayang? Sebarkanlah salam antara sesama kamu".
(Hadis Riwayat Muslim dari Abu Hurairah r.a).

Apabila Rasulullah s.a.w bertanya Iblis apakah tindakkannya apabila umatnya memberi salam sesama mereka, maka Iblis berkata :
"Ya Nabi Allah, akan pecahlah daku apabila umatmu bertemu dijalanan lantas salah seorang daripadanya memberi salam dan yang lain menjawabnya sehingga aku menangis, melolong kesedihan. Kerana keduanya telah mendapat keampunan setelah keduanya berpisah".

Salam adalah salah satu bukti keindahan Islam, karena jika masing-masing Muslim yang bertemu dengan rakannya seagama mereka akan saling mendoakan keselematan agar terhindar daripada keburukan dan juga saling mengharapkan agar Allah mencucuri rahmat dan berkat di dalam hidup rakannya. Selain itu juga biasanya salam akan diikuti olih ucapan-ucapan yang sesuai dan muka yang manis sehingga terjalin rasa kasih sayang dan kemesraan antara sesama mereka, dan salam juga dapat menjauhkan dari perasaan kasar, hasad dengki, dendam dan pemutusan hubungan silaturrahmi.

Salam adalah hak Muslim ke atas Muslim lainnya. Dan ke atas Muslim yang mendapat ucapan salam hendaklah membalas ucapan tersebut dengan ucapan yang lebih baik ataupun dengan ucapan yang serupa.

Firman Allah s.w.t maksudnya :
“Apabila kamu dihormati dengan suatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik, atau balaslah dengan yang serupa. Sesungguhnya Allah memperhitungkan segala sesuatu”.
(Surah An-Nisaa ayat 86)

2. Jika dia mengundangmu, hadirilah undangannya

Kalau Muslim mengundangmu untuk suatu upacara atau jamuan yang munasabah seperti perkahwinan, aqikah, kenduri kesyukuran dan lain-lain maka penuhilah undangannya itu. Dia sebenarnya telah menyatakan penghormatannya terhadapmu dengan undangan tersebut. Olih sebab itu janganlah kamu hampakan harapannya itu, kecuali jika ada keuzuran yang tidak dapat dielakkan.

Malah, ada ulama mengatakan wajib menghadirinya sekiranya tiada halangan untuk hadir ke majlis tersebut berdasarkan riwayat Imam Bukhari daripada Ibn ‘Umar bahawa Rasulullah bersabda maksudnya : “Apabila di jemput oleh saudaramu ke kenduri kahwin maka hadirilah”.

Di dalam hadis yang lain riwayat Bukhari juga daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda :
“Sesiapa tinggalkan jemputan tersebut, dia melakukan maksiat kepada Allah dan Rasul”

Rasulullah bersabda maksudnya :
“Seburuk-buruk makanan kenduri kahwin itu dihalangnya orang yang mahu datang dan memanggil orang yang enggan datang. Dan barangsiapa yang tidak menghadiri jemputan tersebut, dia melakukan maksiat kepada Allah dan RasulNya “
(Hadis Riwayat Muslim)

3. Jika dia minta nasihatmu, berilah dia nasihat.

Kalau dia memohon nasihatmu tentang sesuatu pekerjaan, apakah sebaiknya dia lakukan ataupun tidak? Maka nasihatilah dia sebagaimana kamu mengambil keputusan dan menginginkan untuk dirimu sendiri. Sekiranya menurut pertimbanganmu baik maka doronglah dia melakukannya dan sekiranya bolih mendatangkan mudharat maka ingatkanlah dan cegahlah dia melakukannya.

Tetapi jika perbuatan tersebut mengandungi kedua-duanya (baik dan buruk) maka jelaskanlah kepadanya dan buatlah pertimbangan yang wajar. Ini termasuk nasihat dalam mencari jodoh, rakan kongsi dalam usaha dan lain-lain. Perlakukanlah Muslim lain yang memohon nasihatmu sebagaimana kamu memperlakukannya untuk dirimu sendiri. Hindarkanlah segala unsur penipuan di dalamnya.

Nasihat hukumnya wajib secara mutlak tetapi hukumnya akan menjadi lebih wajib jika ia dipinta olih Muslim lain. Imam An-Nawawy berkata: Pensyaratan memberi nasihat jika dipinta, hanya terbatas pada masalah dunia. Tetapi jika bersangkutan dengan masalah agama, kita wajib memberi nasihat walaupun tidak dipinta.

4. Jika dia bersin dan bertahmid, maka tasymitkan dia.

Bersin adalah nikmat Allah karena angin yang terperangkap pada bahagian badan dipermudahkan olih Allah untuk keluar sehingga insan merasa lega. Olih sebab itu disyari’atkan kepadanya agar bersyukur kepada Allah dengan mengucapkan tahmid َۧلْŰ­َمْŰŻُ للَّه (segala puji milik Allah).

Dan disyaria’atkan pula kepada saudara seagamanya yang mendengar tahmiditu untuk mentasymitkan/mendoakannya
يَ۱ْŰ­َمُكَ Ű§Ù„Ù„Ù‡ (semoga Allah mencucuri rahmat). Dan selanjutnya Muslim yang bersin tadi disuruh olih agama agar menjawab tasymit itu dengan doa يَهْŰŻِيكُمُ Ű§Ù„Ù„Ù‡ ويُŰ”ْلِŰ­ُ ŰšَŰ§Ù„َكُمْ (semoga Allah memberimua petunjuk dan memperbaiki hatimu).

Barangsiapa yang tidsk bertahmid (memuji Allah) ketika bersin maka dia tidak berhak mendapat tasymit dari Muslim lainnya.

Dia tidak bolih menyalahkan Muslim lain dalam hal ini, tetapi hendaklah dia menyalahkan dirinya sendiri. Dia sebenarnya, dengan tidak bertahmid itu, dia telah luput dari dua nikmat:

Pertama: Nikmat Alhamdulillah
Kedua: Nikmat tasymit dari Muslim lain.

5. Jika dia sakit, maka kunjungilah dia.

Menziarahi orang sakit sama ada di hospital atau rumah termasuk antara kunjungan diwajibkan.

Diriwayatkan Imam Ahmad: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Barang siapa mengunjungi orang sakit, tujuh puluh ribu malaikat mengikutnya dan memintakan ampun kepadanya hingga petang. Baginya pahala satu tahun di Syurga. Dan jika ia mengunjunginya pada malam hari, maka tujuh puluh ribu malaikat mengikutnya dan semua memintakan ampun untuknya hingga pagi. Dan baginya pahala satu tahun di Syurga."

Daripada Anas bin Malik pula mengungkapkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud: "Barang siapa berwuduk dengan sempurna lalu berkunjung kepada saudaranya yang sakit semata-mata mengharap reda Allah, ia akan dijauhkan daripada api Neraka sejauh perjalanan 60 kharif (satu kharif bersamaan dengan satu tahun)."

Sementara Abu Hurairah menyatakan Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud: "Barang siapa berkunjung kepada saudaranya yang sakit, maka seseorang menyeru dari langit: Beruntunglah engkau, beruntunglah perjalananmu dan sungguh engkau sudah membangun rumah di Syurga."

Mengunjungi Muslim yang sedang sakit adalah suatu kewajiban ke atas Muslim lain. Lebih-lebih lagi jika pesakit itu kaum kerabat dan handai tolannya sendiri. Mengunjungi orang sakit tersmasuk salah satu amal salih yang sangat afdhal. Rahmat Allah senantiasa menaungi diri pesakit dan orang yang mengunjunginya.

Orang yang datang berkunjung sebaiknya mendoakan untuk pesakit agar dia lekas sembuh dan menasihatinya supaya memperbanyak taubat dan berpesan dengan pesan-pesan penting lainnya.
Pengunjung janganlah terlalu lama duduk dan berbual dengan pesakit kecuali dalam hal-hal tertentu.

6. Jika dia meninggal dunia, maka ikutilah (jenazah) nya.

Barangsiapa yang mengikuti penyempurnaan jenazah hingga solat jenazah maka dia akan memperolihi ganjaran satu qirath, dan barangsiapa yang mengikutinya hingga dikebumikan maka dia akan memperolihi ganjaran dua qirath. Mengikuti jenazah adalah hak Allah, hak jenazah dan hak kaum kerabatnya yang masih hidup.

“Suatu ketika kami semua berada di Baqi’ Al-Gharqad untuk menghantar jenazah seseorang. Pada saat itu Nabi s.a.w mendatangi tempat kami, lalu baginda duduk dan kami semua pun duduk mengelilinginya dan bersama baginda ada sebatang tongkat.”
(Hadis riwayat Bukhari)

Sahabat yang dimuliakan,
Pendidikan yang terkandung di dalam hadis ini amatlah sederhana kelihatannya, tetapi bila direnung dengan cermat sebenarnya ia mengandungi pengajaran yang amat mendalam.

Nabi s.a.w. ingin mendidik dan membentuk peribadi dan sikap kita terhadap Muslim lain agar selalu tolong-menolong, saling hormat-menghormati, saling doa-mendoakan agar selamat selalu; bukan saling kutuk mengutuk, hidup nafsi-nafsi dan saling salah-menyalahkan.

Tanamkan pada jiwa kita, sahabat-sahabat yang lain dan anak-anak bahwa kemuliaan dan kesempurnaan seseorang di sisi Allah bukanlah hanya terletak pada penyermpurnaannya terhadap hak Allah saja, tetapi kesempurnaan manusia adalah sangat tergantung sampai di mana dia dapat menyempurnakan semua hak: hak Allah, hak diri, hak keluarga, hak masyarakat, hak sesama insan, hak sesama Muslim, hak tetangga, hak jalan, hak makhluk lain selain manusia dan lain-lain.

Bacaan Al-Qur'an di Kubur

Sahabat yang dirahmati Allah,
Perlu disedari bahawa amalan membaca al-Quran di atas kubur merupakan permasalahan  cabang agama. Ia bukannya permasalahan tunjang menyentuh masaalah Iman dan Islam. Amalan cabang (furu') boleh dibuat atau ditinggalkan dan iannya tidak menjejaskan aqidah seseorang Mukmin. Oleh hal yang demikian itu, mengamalkannya dikira satu kebaikan. Manakala meninggalkannya bukanlah satu kecelaan. Demikian betapa fleksibelnya hukum syarak dalam permasalahan ini.

Tinjauan permasalahan ini menemukan kita dengan beberapa dalil sama ada daripada kitab suci al-Quran mahupun al-Sunnah. Ulama ada perselisihan pendapat mengenai bacaan al-Qur'an samada sampai atu tidak kepada simati. Disini dikemukakan beberapa pendapat ulama dan dalil-dalil menjadi pegangan mereka yang menyatakan bahawa bacaan al-Qur'an dan zikir-zikir itu sampai kepada simati.

Analisis fakta

Perlu diketahui secara insaf bahawa amalan membaca al-Quran di atas kubur berteraskan kepada dalil yang pelbagai. Adakalanya berstatus sahih, hasan, dhaif dan amat dhaif. Selain itu, kita juga yakin untuk menolak daripada menggunakan hadis-hadis palsu. Antaranya ialah:

1.  Imam Muslim meriwayatkan: “Setiap anggota tubuh kamu berpagi-pagian dengan sedekah ke atasnya. Setiap tasbih adalah sedekah. Setiap tahmid adalah sedekah. Setiap tahlil adalah sedekah. Setiap takbir adalah sedekah. Menyuruh yang makruf adalah sedekah. Melarang yang mungkar adalah sedekah. Semua itu dapat diperolehi melalui dua rakaat solat di waktu dhuha.” (Muslim bin Hajjaj al-Neisaburi, Sahih Muslim, ed : Muhammad Fu’ad Abd al-Baqi, t.th, Dar Ihya’ Thurath al-Arabi: Beirut , hlm 498 juz 1)

Imam al-Qurtubi mengatakan: “Berdasarkan dalil inilah para ulama menggalakkan menziarahi kubur kerana bacaan al-Qur’an itu bagaikan buah tangan untuk si mati yang dibawa oleh penziarah kubur.” (al-Qurtubi, al-Tazkirah, Maktabah al-Iman: Mansurah, Mesir, hlm. 74)

Imam Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari mengatakan: “Hadis ini memberi kita satu kefahaman bahawa bacaan al-Qur’an juga termasuk dalam erti kata sedekah menurut syarak.” (Abdullah bin al-Siddiq, Itqan al-Sun’ah fi Tahkik Makna al-Bid’ah, 1997, Maktabah al-Qaherah: Mesir)

2.  Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis tatkala Baginda s.a.w ditanyakan tentang solat qasar dalam suasana aman. Baginda s.a.w bersabda yang bermaksud: “Ia adalah sedekah yang disedekahkan oleh Allah kepada kamu. Maka terimalah sedekahnya.” (Muslim bin Hajjaj, Sahih Muslim, hlm 478 juz 1)

Al-Qurtubi mengatakan: “Asal kepada bab ini ialah sedekah yang tidak ada pertikaian pendapat di kalangan ulama. Sebagaimana pahala sedekah sampai kepada si mati maka begitu jugalah pahala membaca al-Quran sampai kepada si mati. Ini kerana semua itu termasuk dalam erti kata sedekah. Sedekah bukan terbatas kepada harta benda sahaja. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w ketika Baginda ditanyakan tentang solat qasar dalam keadaan aman.”

3.  Imam al-Thabrani meriwayatkan: “Menceritakan kepada kami al-Hussain bin Ishak al-Tustari, menceritakan kepada kami Ali bin Hajr, menceritakan kepada kami Mubasyir bin Ismail, menceritakan kepada kami Abd Rahman bin al-A’la bin Lajlaj daripada bapanya, katanya : berkata Abu al-Lajlaj Abu Khalid : “Wahai anakku, apabila aku meninggal dunia kebumikanlah aku. Apabila kamu meletakkan jasadku di liang lahad, bacalah: “Dengan nama Allah dan atas agama Rasulullah SAW, Kemudian curahkanlah tanah dengan cermat ke atasku. Kemudian bacalah disisi kepalaku permulaan surah al-Baqarah dan penutupnya, kerana aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda sedemikian.” (al-Thabrani, Mu’jam al-Kabir, 1982, Maktabah al-Ulum Wal Hikam, hlm 220 juz 19)

Imam al-Haitsami di dalam Majma’ al-Zawa’id hlm 44 juz 3 mengatakan bahawa rangkaian perawi ini terdiri dari kalangan perawi yang ditsiqahi (dipercayai). Manakala Imam al-Hakim membawa kesaksian hadis ini di dalam kitabnya al-Mustadrak hlm 512 juz 3 (al-Hakim, al-Mustadrak ‘Ala Sahihain, 1990, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah).

Imam Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Talkhis al-Habir turut memperakui hadis ini. (al-Asqalani, Talkhis al-Habir, 1964, ed: Abdullah Hasyim al-Yamani, al-Madinah al-Munawwarah, hlm 130 juz 2). Juga tiada sebarang komentar daripada Imam al-Zaila’ie di dalam Nusb al-Rayah hlm 302 juz 2.

Senario kesaksian ini juga turut dipersetujui oleh Sayyid Muhammad Alawi al-Makki di dalam kitabnya Hadaya al-Ahya’ Lil Amwaat (Hadiah Si Hidup Kepada Si Mati) halaman 57.

Pemerincian sanad hadis ini dibuat berdasarkan kepada beberapa pandangan para pengkritik hadis. Jika para pengkritik hadis bertauliah menerimanya… kenapa tidak dengan kita?

Hadis di atas secara jelas menaskan kepada kita bahawa Abu al-Lajlaj Abu Khalid (seorang sahabat) mendengar Nabi s.a.w menggalakkan para sahabat membaca ayat suci al-Qur’an di bahagian kepala dan kaki si mati di atas kubur. Lalu mewasiatkan amalan tersebut kepada anaknya supaya berbuat demikian.

Ternyata amalan membaca ayat suci al-Quran di atas kubur bukanlah sesuatu bid’ah yang sesat. Bahkan ia diwarisi daripada Nabi s.a.w sendiri. Justeru, amalan ini merupakan satu sunnah yang terpuji.

4.  Imam al-Baihaqi, al-Thabrani dan al-Hakim meriwayatkan daripada Ibn Umar r.a berkata: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w: “Apabila salah seorang kamu meninggal dunia, jangan kamu menahan jenazahnya dan segeralah membawanya ke kubur. Bacalah di sisi kepalanya Fatihatul Kitab (surah al-Fatihah) – lafaz al-Baihaqi berbunyi: “… permulaan surah al-Baqarah dan di sisi kakinya penutup surah al-Baqarah di kuburnya.” (al-Thabrani, Mu’jam al-Kabir m/s 44 juz 12, al-Baihaqi, Syuab al-Iman m/s 16 juz 7)

Imam al-Haitsami di dalam Majma’ al-Zawaid, halaman 44 juz 3 mengatakan: “Hadis ini diriwayatkan oleh al-Thabrani di dalam Mu’jam al-Kabir. Padanya terdapat Yahya bin Abdullah al-Bablati. Dia merupakan seorang perawi yang lemah.” Seterusnya al-Haitsami mengintegrasikan sanad yang lemah ini dengan riwayat al-Baihaqi. Riwayat itu bersumberkan Abd Rahman bin al’-‘Ala bin al-Lajlaj yang diperakui kesahihannya.

Kedua-dua hadis ini secara jelas membuktikan kepada kita bahawa Ibn Umar dan  Abu Khalid al-Lajlaj mendengar galakan daripada Nabi s.a.w agar dibacakan ayat-ayat suci al-Qur’an di tanah perkuburan.

Walaupun riwayat dari Thabrani ini bertaraf dhaif, namun ia dibantu dengan beberapa riwayat yang sahih daripada Imam Muslim dan al-Baihaqi sebagaimana di atas.

Tambahan pula, Imam Ibn Hajr al-Asqalani mendakwa bahawa ia berstatus hasan (baik). (al-Asqalani, Fath al-Bari, 1379H, Dar al-Makrifah: Beirut , hlm. 184, juz 3)

Manakala Imam al-Ajlouni ketika membentangkan hadis ini menyatakan bahawa hadis yang diriwayat al-Thabrani ini adalah marfuk. (al-Ajlouni, Kasyf al-Khafa’, 1405H, Muassasah al-Risalah: Beirut , cet 4, hlmm 192, juz 1)

Al-Zurqani mengatakan: “Bahawa hadis: “Apabila seseorang kamu telah meninggal dunia jangan kamu menahannya..adalah diriwayatkan al-Thabrani dengan sanad-sanadnya yang hasan.” ( al-Zurqani, Syarh al-Zurqani, 1411H, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah: Beirut , hlm 127 juz 2). Kehasanan hadis ini juga turut diperakui oleh al-Syaukani di dalam Subul al-Salam. (al-Syaukani, Subul al-Salam, 1379H, Dar Ihya’ Thurats al-Arabi : Beirut , Cet 4, hlm. 106, juz 2)

Justeru, kedhaifan sanad pada riwayat al-Thabrani secara automatik ditampung dengan riwayat yang sahih dan dhaif yang lain. Himpunan jaluran sanad yang dhaif menjadikan ia bertaraf hasan sebagaimana diperakui ulamak. Justeru, situasi ini sedikit pun tidak mencacatkan penghujahan terhadap amalan membaca al-Quran di tanah perkuburan. Bahkan hujahnya kekal dalam kelasnya yang tersendiri.

5.  Imam Ahmad, Abu Daud, al-Nasai’ie, al-Tirmidzi dan Ibn Majah meriwayatkan daripada Ma’qil bin Yasar bahawa Nabi s.a.w bersabda (yang bermaksud): “Hati al-Quran adalah Yaasin. Tidaklah dibaca surah itu oleh seseorang yang mengkehendaki Allah dan hari akhirat melainkan diampunkan dosanya. Bacalah Yaasin kepada orang mati kamu.”

Hadis ini dipandang sahih oleh Ibn Hibban dan al-Hakim. Ibn Hibban menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan orang mati di dalam hadis ini ialah orang yang hampir mati.. pendapat ini ditarjih oleh Ibn Qayyim dengan beberapa alasan yang diberikannya. Akan tetapi Ibn Rif’ah berpegang kepada zahir hadis di atas. Lantaran itu, beliau mengesahkan bahawa surah Yaasin boleh dibacakan kepada orang yang telah mati. Al-Syaukani pula berpendapat bahawa lafaz al-Mauta pada hakikatnya bermaksud orang yang telah mati. Dan maksud hakikat tidak boleh dipesongkan melainkan ada karenahnya.

Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari berpendapat bahawa tidak menjadi halangan dibacakan al-Quran kepada orang yang hampir mati supaya dia dapat mentadabbur bacaan itu. Manakala tidak menjadi halangan dibacakan al-Qur’an kepada orang yang telah mati supaya seseorang itu mendapat manfaat pahalanya.” (al-Ghumari, Itqan al-Sun’ah, hlm. 87 )

6.  Imam al-Baihaqi meriwayatkan: “Menceritakan kepada kami Abu Abdullah al-Hafiz dari Abu al-Abbas bin Ya’qub dari al-Abbas bin Muhammad, katanya: “Aku bertanya Yahya bin Ma’in tetang membaca al-Qur’an di atas kubur? Lalu beliau menjawab berdasarkan kepada riwayat Abd Rahman bin al-‘Ala bin al-Lajlaj daripada ayahnya daripada Ibn Umar yang menggalakkan amalan sedemikian.”

Imam Ibn Hajr al-Asqalani di dalam Amali al-Azkar mengesahkan bahawa hadis ini bertaraf mauquf dan hasan.

Berdasarkan kepada keterangan di atas, jelaslah kepada kita bahawa Imam Yahya bin Ma’in (sarjana hadis yang mashyur) sendiri turut membenarkan amalan membaca al-Qur’an di atas kubur.

7. Imam Muslim meriwayatkan : “Jangan kamu jadikan rumah kamu seperti kawasan perkuburan. Sesungguhnya syaitan akan lari daripada rumah yang dibacakan di dalamnya surah Al-Baqarah(Muslim, Sahih Muslim, no: 870, hlm. 539, juz 1).

Imam al-Tirmidzi mengatakan: “Perkara yang dimaksudkan ‘Jangan kamu jadikan rumah kamu seperti tanah perkuburan’ bermaksud jangan jadikan ia (rumah) sunyi dari berzikir dan melakukan ketaatan (kebaikan) sepertimana tanah perkuburan dan orang mati…” (al-Tirmidzi, Tuhfah al-Ahwazi, t.th, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah : Beirut , hlm 146 juz 8)

Perintah hadis ini bersifat umum, iaitu menggalakkan kita untuk membaca al-Quran di rumah atau di mana-mana sahaja kita berada asalkan bertunjangkan kepada niat, cara, tempat yang baik dan munasabah.

Kandungan hadis ini sama sekali tidak menjustifikasikan larangan membaca al-Quran di tanah perkuburan. Ini kerana kebenaran membaca al-Quran di tanah perkuburan tsabit dengan pemerincian hadis-hadis di atas.

Oleh yang demikian, hadis yang bersifat umum tidak boleh digunakan hujjah untuk membatalkan galakan yang bersifat khusus. Hal ini penting bagi mengelak percanggahan hadis.

Tambahan pula, galakkan Rasulullah SAW supaya kita membaca al-Quran khususnya surah al-Baqarah ternyata ada kelebihan tersendiri. Bacaan surah ini dapat menghalau syaitan daripada bermastautin kerana penghuninya telah menghidupkan suasana rumah dengan ibadat.

Mafhum sebaliknya, jika kita tidak membaca al-Quran di tempat kediaman, maka jadilah tempat kediaman itu sunyi sepi bagaikan tanah perkuburan. Walaupun kediaman dihuni makhluk hidup tetapi suasana kediaman itu bagaikan dihuni orang mati apabila tidak diserikan dengan ibadat. Itulah yang dimaksudkan dengan ‘Jangan jadikan rumah kamu seperti tanah perkuburan.’

Terdapat beberapa pendapat para ulama mengenai bacaan al-Qur'an untuk simati akan sampai kepada mereka pahala bacaan tersebut :

1.   Muhammad bin Ahmad al-Muruzi berkata: Aku mendengar Ahmad bin Hanbal berkata: “Apabila kamu masuk ke kubur, bacalah fatihah al-Kitab dan ayat Muawwizatain dan surah al-Ikhlas. Jadikanlah pahalanya untuk penghuni kubur itu kerana pahalanya itu sampai kepada mereka.”

2.   Di dalam kitab al-Azkar di bawah tajuk: “Apa yang perlu dibaca selepas pengebumian?. Imam al-Nawawi menyebutkan: “Al-Syafie dan para sahabat (ulamak Syafi’iyyah) mengatakan: “Disunatkan membaca disisi kubur sesuatu daripada ayat al-Quran. Mereka mengatakan: Jika mereka mengkhatamkan al-Qur’an kesemuanya maka itu adalah (sesuatu yang) baik.” (al-Nawawi, al-Azkar, Dar al-Makrifah: Beirut, 1996, hlm. 142 )

3.   Imam al-Zahabi di dalam Takzikah al-Huffaz ketika membicarakan biodata al-Khatib al-Baghdadi menyebutkan: “Tatkala beliau meninggal dunia orang membacakan al-Quran di atas kuburnya dengan beberapa kali dikhatamkan.”

4.   Imam al-Hassan bin al-Sobbah al-Za’farani berkata: “Aku bertanya kepada al-Syafi’ie tentang bacaan al-Quran di kubur. Lalu beliau menjawab: “Tidak mengapa. Al-Khallal meriwayatkan daripada Al-Sya’bie katanya: “Orang Ansar apabila berlakunya kematian dikalangan mereka, maka mereka selalu mengunjungi kuburnya untuk membaca al-Quran di sisinya.”

5.   Al-Khara’iti di dalam kitab al-Kubur menyebutkan: “Menjadi Sunnah kebiasaan ornag-orang ansar apabila mengusung mayat mereka membaca surah al-Baqarah.”

6.   Al-Qurtubi mengatakan: “Sebahagian ulama kami mengemukakan dalil sampainya bacaan al-Quran kepada si mati dengan hadis berkenaan pelepah tamar yang dibelah dua oleh Nabi s.a.w. Kemudian Baginda memacaknya satu di atas kubur orang ini dan satu lagi di atas kubur yang lain. Kemudian Baginda bersabda: “Mudah-mudahan ia dapat meringankan mereka berdua selagi kedua-duanya tidak kering.” Riwayat al-Syeikhain: Bukhari Kitab Wudhu 218 dan Muslim al-Thaharah 111/292)

Bagi saya, jika pacakan pelepah tamar yang basah di kubur boleh memberi manfaat kepada si mati, bagaimana pula halnya dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang dihadiahkan kepada si mati? Tentunya bacaan ayat suci itu lebih istimewa daripada pelepah tamar berkenaan.” Cumanya perbuatan Baginda memacak pelepah tamar tersebut adalah salah satu daripada kepelbagaian yang boleh membantu mereka yang telah meninggal dunia. Wallahu’alam.

7.   Ibn Qayyim (ketika membicarakan panjang lebar tentang sampainya pahala amalan-amalan yang dihadiahkan kepada si mati beserta dalilnya) mengatakan: “Adapun membaca al-Quran dan menghadiahkan pahalanya kepada si mati secar sukarela tanpa mengambil upah maka ia sampai kepada si mati sebagaimana pahala puasa dan haji…” (Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, al-Ruh, hlm. 152-159)

8.   Imam Ibn al-Solah ketika menjawab penghujahan ayat 39 surah al-Najm mengatakan: “Apa yang dimaksudkan oleh ayat ini ialah seseorang itu tidak mempunyai hak atau mendapat balasan melainkan apa yang diusahakannya. Ini tidak termasuk amalan yang dilakukan untuknya secara sukarela oleh orang lain seperti membaca al-Quran dan berdoa.”

9.   Syeikh Ibn Taimiyyah mengatakan: “Barangsiapa yang berkeyakinan bahawa manusia tidak dapat mengambil manfaat kecuali dengan amalannya sahaja beerti dia telah melanggar ijmak. Pendapat itu terbatal dengan beberapa sudut…”  Ibnu Taimiyah pernah ditanya tentang bacaan al-Quran untuk mayat dan juga tentang tasbih, tahmid, tahlil dan takbir jika dihadiahkan kepada mayat. Sampaikah pahalanya atau tidak? Maka beliau menjawab sebagaimana tersebut dalam kitab beliau; ”Sampai kepada mayat pahala bacaan al-Quran daripada keluarganya, dan tasbih, takbir serta seluruh zikir mereka kepada Allah apabila mereka menghadiahkan pahalanya kepada mayat akan sampai pula kepadanya.” (Ibn Taimiyyah al-Harrani, Majmu’Fataawa, jilid 24 hlm. 324)

10.   Imam Ibn Muflih al-Hanbali di dalam al-Furu’ mengatakan: “Tidak dilarang untuk membaca al-Quran di atas kubur atau tanah perkuburan. Telah dinaskan ke atasnya oleh Abu Bakar, al-Qadhi dan sebahagian ulama dan ia merupakan pandangan mazhab…” (Ibn Muflih al-Hanbali, al-Furu’, hlm. 304, juz 2)

Kesimpulan

1.     Amalan membaca ayat-ayat suci al-Quran di atas kubur merupakan salah satu dari permasalahan cabang  agama. Galakkan ini bersumberkan dalil-dalil yang sahih, hasan dan dhaif.

2.   Al-Quran al-Karim sepatutnya dijadikan dalil utama. Manakala sumber hadis dijadikan dalil kedua dalam apa jua permasalahan umat Islam.

3.   Himpunan dalil yang ada menjustifikasikan amalan ini sebagai amalan sunat. Ia dilihat sebagai amalan pelengkap  sahaja.

4.   Kita perlu memahami permasalahan usul dan furu’ secara menyeluruh beserta dalil-dalil dan kaedah syariah yang jelas. Hal ini penting supaya sesuatu isu yang dirumus benar-benar menepati tuntutan syarak. Di samping boleh mengelakkan diri daripada bersikap fanatik dan melampau.


Wednesday, July 14, 2010

Apabila Roh di Cabut..



Dari Al Baro bin ‘Azib r.a. katanya : Kami telah keluar bersama-sama Nabi s.a.w. mengiringi jenazah seorang lelaki dari kaum Ansar, lalu kami sampai di kuburnya yang disediakan. Rasululullah s.a.w pun duduk lalu kami duduk di sekelilingnya dengan keadaan tidak bergerak dan membisu; manakala baginda s.a.w pula mencucuk-cucuk tanah dengan seranting kayu yang di tangannya.

Setelah itu baginda s.a.w mengangkat kepalanya lalu bersabda maksudnya : “Mintalah kamu perlindungan kepada Allah dari azab kubur”, (diulanginya sabdanya itu ) dua atau tiga kali; kemudian baginda s.a.w. bersaba lagi: “ Sesungguhnya hamba Allah yang mukmin (ketika hendak mati)  apabila ia berada dalam keadaan terputus dari dunia dan sedang menghadapi akhirat, akan turunlah kepadanya malaikat-malaikat dari langit, putih berseri muka mereka, seolah-olah matahari, dengan membawa kain kafan bersama mereka dari kain-kain kafan Syurga, dan hanut dari yang ada di Syurga, sehingga mereka duduk jarak daripadanya sejauh mata memandang. 

Kemudian datang malakulmaut a.s , lalu duduk di sisi kepalanya sambil menyerunya dengan berkata ‘Wahai jiwa yang baik! Keluarlah (dan ada suatu riwayat ada disebutkan: orang yang hendak mati dihadiri - saat nazaknya- oleh malaikat, maka sekiranya orang itu seorang yang soleh, berkatalah malaikat: ‘Keluarlah engkau….) menuju ke tempat keampunan-Nya dan keredhaan Allah’.

Baginda s.a.w. bersabda lagi: “Kemudian roh orang itu keluar – mengalir seperti mengalirnya setitik air dari mulut bekas air (yang terbuat dari kulit kambing), lalu malakulmaut mengambilnya, maka apabila ia mengambilnya, malaikat-malaikat (yang ditugaskan untuk itu) tidak membiarkannya di tangan malakulmaut a.s. walau sekelip mata pun lalu mereka mengambilnya; kemudian mereka meletakkannya di dalam kain kafan dan hanut yang tersebut; dan keluar pula dari roh itu bau yang harumnya seperti seharum-harum kasturi yang terdapat di atas muka bumi: “Kemudian mereka membawanya naik ke langit, maka mereka tidak melalui (semasa membawanya) mana-mana kumpulan malaikat melainkan kumpulan malaikat itu berkata: ‘roh yang baik ini roh siapa?’ mereka menjawab: ‘roh si anu anak si anu’ (dengan menyebutkan sebaik-baik namanya yang biasa mereka menamakannya dengan nama-nama itu dunia), (demikianlah hanya) sehingga berakhirlah perjalanan mereka membawanya ke langit yang pertama: setelah itu mereka meminta dibukakan pintu langit untuknya, lalu dibukakan pintu untuk mereka; kemudian malaikat-malaikat yang berkedudukan istimewa di sisi Tuhan dari penduduk tiap-tiap langit menghantar roh itu beramai-ramai hingga ke langit yang berikutnya, sehinggalah mereka berhenti membawanya di langit yang ketujuh.

Setelah itu Allah Azza wa Jalla berfirman kepada malaikat-malikat (yang ditugaskan untuk itu): ‘Simpanlah suratan amal hamba-Ku ini dalam Illiyyin (tempat simpanan surat amal orang-orang yang berbakti) dan bawalah dia balik ke bumi, kerana sesunguhnya Aku telah menciptakan manusia dari bumi, dan ke bumi juga aku kembalikan mereka, serta dari bumi pula Aku keluarkan mereka sekali lagi’..”

Baginda s.a.w. bersabda lagi:” Dan sesungguhnya orang yang kafir (ketika hendak mati) apabila berada dalam keadaan terputus dari dunia dan sedang menghadapi akhirat, akan turunlah kepadanya malaikat-malaikat dari langit, hitam muka mereka, dengan membawa kain-kain kasar seperti kadut, lalu mereka duduk jarak daripadanya sejauh mata memandang.

Kemudian datang malakulmauta.s. lalu duduk di sisi kepalanya sambil menyerunya dengan berkata: ‘Wahai jiwa yang jahat! Keluarlah (dan pada satu riwayat ada disebutkan: maka apabila orang itu orang jahat,berkatalah malaikat: keluarlah engkau..) menuju ke tempat kebencian dan kemurkaan Allah’.” 

Baginda s.a.w bersabda lagi: ‘Kemudian roh orang itu berserak di merata jasadnya (kerana takut hendak keluar), lalu disentap rohnya itu oleh Malakulmaut sebagaimana sebatag besi pembakar daging disentap dari segumpal bulu yang basah; malakulmaut pun mengambilnya, maka apabila ia mengambilnya, malaikat-malaikat (yang ditugaskan untuk itu) tidak membiarkannya di tangan malakulmaut walau sekelip mata pun sehingga mereka meletakkannya dalam kain kasar yang tersebut; dan keluar pula roh itu bau yang busuknya seperti sebusuk-busuk bau bangkai yang ada di atas muka bumi. 

Kemudian mereka membawanya naik ke langit, maka mereka tidak melalui (semasa membawanya) mana-mana kumpulan malaikat melainkan kumpulan malaikat itu berkata: ‘roh yang jahat ini roh siapa?’Mereka menjawab:’ roh si anu anak sianu, (dengan menyebutkan seburuk-buruk namanya yang biasa dipanggil dengan nama-nama itu di dunia); (demikianlah halnya) sehingga berakhirlah perjalanan mereka membawanya ke langit yang pertama, setelah itu mereka meminta dibukakan pintu langit untuknya, tetapi tidak dibukakan baginya. 

Kemudian Rasulullah s.a.w. membaca (ayat 40 surah Al A’raf maksudnya) : “…Tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk Syurga hingga unta masuk di lubang jarum….”. (Kemduian baginda s.a.w. bersabda: “Lalu Allah Azza Wajalla berfirman kepada malaikat:’ Simpanlah suratan amal jahatnya di dalam sijjin (tempat simpanan surat amal jahat orang-orang yang berdosa), yang letaknya di bumi yang terkebawah sekali. Lalu dicampakkan rohnya ke situ..”

(Hadis Riwayat Al Imam Ahmad, Abu Daud, Anna)

Tuesday, July 13, 2010

Amalankanlah Tujuh Amalan Sunnah Untuk Menghampirkan Diri Kepada Allah

Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Rasulullah s.a.w. diutuskan oleh Allah s.w.t untuk membawa rahmat sekelian alam. Baginda diutuskan sebagai pembawa risalah Allah s.w.t. dan mengajak mausia kepada keimanan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Baginda menunjukkan suri tauladan yang baik dan membawa manusia kepada jalan yang hak dan membetulkan perjalanna hidup manusia kepada keredhaan Allah s.w.t.

Terdapat tujuh amalan Nabi s.a.w. yang tidak pernah ditinggalkan baginda sebagai sunnah dan amalan seharian. iaitu :

Pertama : Melaksanakan solat berjemaah di masjid.

Abdullah bin Umar r.a menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Solat dengan berjemaah adalah dua puluh tujuh kali baik mutunya daripada solat bersendirian."

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, "Barangsiapa yang pergi ke masjid untuk berjemaah, maka satu langkah menghapuskan kesalahan (dosa) dan yang satu langkah lainnya dituliskan kebaikan. Hal itu berlangsung pada saat berangkat maupun pulang."
(Hadis Riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban)

Kedua : Mengerjakan solat tahajjud.

Bilal r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Hendaklah kamu qiamul lail (solat malam), kerana sesungguhnya solat malam itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu, dan mendekatkan diri kepada Allah, mencegah dari perbuatan dosa, dan menutupi dosa atau kejahatan-kejahatan dan mengusir penyakit dari badan.”
( Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Hakim dan Baihaqi.)

Sungguh Nabi s.a.w. solat malam hingga kedua tapak kakinya merekah. Dalam satu riwayat Aishah berkata kepada Nabi s.a.w.: “Mengapa engkau melakukan hal ini wahai Rasulullah, padahal Allah telah mengampuni dosa-dosamu yang telah lalu dan yang akan datang.” Baginda bersabda: “Apakah aku tidak ingin menjadi hamba yang sangat bersyukur?”
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari)

Ketiga : Membaca al-Qur'an.
Pembaca al-Qur'an akan mendapat kemuliaan dihari akhirat nanti.

1.Mereka adalah keluarga Allah s.w.t.
Daripada Anas ra. Ia berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesungguhnya Allah itu mempunyai keluarga yang terdiri daripada manusia."
Kemudian Anas berkata lagi, "Siapakah mereka itu wahai Rasulullah?"
Baginda menjawab: "Iaitu ahli Quran (orang yang membaca atau menghafal Al- Quran dan mengamalkan isinya). Mereka adalah keluarga Allah dan orang-orang yang istimewa bagi Allah".

2.Ditempatkan di Syurga yang paling tinggi.
Daripada Abdullah Bin Amr Bin Al Ash ra dari Nabi s.a.w, baginda bersabd maksudnya , " Dan bacalah Al Quran dengan tartil seperti engkau membacanya dengan tartil pada waktu di dunia. Tempat tinggalmu di Syurga berdasarkan ayat paling akhir yang engkau baca."

3. Ahli al-Qur'an adalah orang yang arif di Syurga.
Daripada Anas ra. Bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda;
"Para pembaca Al Quran itu adalah orang-orang yang arif di antara penghuni Syurga".

4. Dapat memberi syafaat kepada ahli keluarga.
Daripada Ali Bin Abi Thalib Karramallahu Wajhah ia berkata, "Barangsiapa membaca Al Quran dan menghafalnya, maka Allah akan memasukkannya ke dalam Syurga dan memberikannya hak syafaat untuk sepuluh anggota keluarganya di mana mereka semuanya telah di tetapkan untuk masuk Neraka."

5.Memakai mahkota kehormatan.
Daripada Abu Hurairah ra.daripada Nabi s.a.w. baginda bersabda maksudnya :" Orang yang hafal Al Quran, pada hari kiamat nanti akan datang dan Al Quran akan berkata; "Wahai Tuhan, pakaikanlah dia dengan pakaian yang baik lagi baru." Maka orang tersebut diberikan mahkota kehormatan. Al Quran berkata lagi : "Wahai Tuhan tambahlah pakaiannya." Maka orang itu di beri pakaian kehormatannya. Al Quran lalu berkata lagi, "Wahai Tuhan, redhailah dia." Maka kepadanya dikatakan; "Bacalah dan naiklah."Dan untuk setiap ayat, ia di beri tambahan satu kebajikan."

6. Al-Qur'an merupakan bekalan terbaik.
Daripada Jabir bin Nufair, katanya Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya :
"Sesungguhnya kamu tidak akan kembali menghadap Allah dengan membawa sesuatu yang paling baik daripada sesuatu yang berasal daripada-Nya iaitu Al Quran.

Keempat: Solat Dhuha.

Dari Abu Dzar r.a., beliau berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Setiap persendian (ruas) tulang salah seorang di antara kamu ada sedekahnya.Setiap tasbih itu sedekah, setiap tahmid sedekah, setiap tahlil sedekah, setiap takbir sedekah, perintah yang baik itu sedekah, mencegah kemungkaran itu juga sedekah. Dan kesemuanya itu cukup dengan melakukan dua rakaat solat dhuha."
(Hadis Riwayat Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a. beliau berkata : "Kekasihku (Rasulullah s.a.w) telah memberi wasiat kepadaku untuk mengerjakan shaum (puasa) tiga hari setiap bulan, solat dhuha dua rakaat dan solat witir sebelum saya tidur".
(Hadis Riwayat Lima Imam Hadis).

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud,"Barangsiap yang keluar dari rumahnya dalam keadaan bersuci untuk menunaikan solat fardu, pahalanya seperti pahala haji. Barangsiapa yang keluar untuk solat Dhuha dan tidak keluar melainkan hanya untuk itu, pahalanya seperti pahala umrah."
(Hadis Riwayat Abu Daud).

Kelima : Memberi sedekah.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (su’ul khatimah).”
(Hadis Riwayat al-Turmuzi)

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya : “Wahai Tuhanku!Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku- ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang soleh.”
(Surah al-Munafiqqun ayat 10)

Orang Mukmin Mendapat Perlindungan Dengan Bersedekah Pada Hari Kiamat :
Dalam sebuah hadis diceritakan bahawa ada tujuh golongan yang akan mendapatkan perlindungan Allah pada hari di mana tiada perlingungan sama sekali selain perlindungan Allah s.w.t.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“…..Seorang lelaki yang bersedekah secara diam-diam sehinggalah tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dikeluarkan oleh tangan kanannya.”
(Hadis Riwayar Bukhari dan Muslim)

Keenam : Beristighfar dan berzikir.
Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :
"Sesungguhnya aku meminta ampun kepada Allah serta bertaubat kepada-Nya sebanyak tujuh puluh kali dalam sehari semalam."

Memperbanyakkan istighfar serta taubat juga menjadi sebab bagi terhurainya segala masaalah serta terbuka luas segala pintu rezeki.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
"Barangsiapa melazimi meminta ampun kepada Allah, nescaya Allah akan menjadikan baginya jalan keluar dari setiap kesempitan dan menjadikan baginya jalan lapang dari setiap kesusahan serta Allah memberi rezeki kepadanya dari punca yang tidak disangka-sangka."

Berzikir dapat melepaskan diri dari bahaya. Firman Allah s.w.t maksudnya : “Maka Yunus ditelan oleh ikan yang besar.Maka kalau sekiranya,dia tidak termasuk orang-orang banyak mengingat Allah,nescaya ia akan tetap tinggal dalam perut ikan itu hingga hari berbangkit”.
(Surah As Shafaat ayat 142)

Berzikir memperoleh pahala yang tinggi. Rasulullah bersabda maksudnya : “Dua kalimah yang tercinta kepada Tuhan Yang pemurah,ringan diucapkan pada lidah,berat dalam timbangan iaitu: Subhanallahi Wabihamdihi, Subhanallahil Aziim.”
(Hadis Bukhari dan Muslim)

Firman Allah : “Dan sebutlah nama Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut,dan dengan tidak mengeraskan suara,di waktu pagi dan petang dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.
(Surah Al ‘Araf ayat 205)

Ketujuh : Sentiasa berwudhu'.

Dari Umar bin Khattab r.a, dari Nabi s.a.w., bahawasanya baginda bersabda yang bermaksud :
"Tidaklah salah seorang di antara kamu berwudhu', maka ia sempurnakan wudhu'nya kemudian berkata, 'Aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan kecuali Allah semata yang tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya,' kecuali dibukakan baginya delapan pintu Syurga, ia boleh masuk dari mana sahaja yang dikehendakinya."
(Hadis Riwayat Muslim )

Dari Abu Hurairah r.a. yang berkata, bahawa ia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari kiamat dalam keadaan bersinar putih wajah dan anggota wudhu'nya dari bekas-bekas wudhu'. Barangsiapa di antara kamu ingin memanjanglan sinarnya, maka lakukanlah."
(Hadis Riwayat Muttafaq Alaih)

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita amalkan tujuh perkara amalan sunnah yang tidak pernah ditinggalkan oleh kekasih kita Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. sebagai amalan harian tanda cinta dan kasih kita kepada baginda. Amalan ini akan menghampirkan diri kita dengan Allah s.w.t. dan akan dapat membantu kita di hari akhirat nanti ketika itu tidak akan ada pembantu melainkan amalan soleh yang kita laksanakan ketika di dunia.

Sunday, July 11, 2010

Bolehkah Lidahku Berkata Benar?

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :"Wahai orang-orang yang beriman bertakwalah kepada Allah  dan jadikanlah kamu bersama-sama orang yang benar"
(Surah Al-Taubah ayat 119)

Allah s.w.t sentiasa bersifat benar,begitu juga para rasul bersifat sidek.Mereka memperjuangkan agama yang benar (Islam) dan mengajak manusia kepada kebenaran.Mereka berjuang melupuskan segala pendustaan,kepalsuan dan kepura-puraan dalam hidup.Mereka memperjuangkan keadilan dan nilai kemanisan hidup berteraskan kebenaran.

Apabila kebenaran di abaikan maka muncullah manusia yang sentiasa menjadikan pendustaan amalan kehidupan mereka seharian.Secara tidak langsung membawa kepada kemusnahan keamanan ummat manusia.Kebenaran tergambar pada sifat ikhlas,jujur dan didikasi.Benar pada niat dan kemahuan fikiran dan tindakkan dan benar pada kata-kata pernyataanya.

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud : "Sesungguhnya kebenaran membawa kepada kebajikkan dan kebajikan itu membawa kepada Syurga. Seorang yang sentiasa berlaku benar, nescaya akan tercatat di sisinya Allah s.w.t sebagai sidek (org yg benar) dan sesungguhnya bohong membawa keburukkan dan keburukkan itu membawa ke Neraka. Seseorang yang suka berbohong, nescaya tercatat disisi Allah s.w.t sebagai kazab(pembohong)''

Kemanisan hati budi manusia sentiasa mengakui kebenaran dan menolak pembohongan atau pendustaan.Hati budi itu dibantu oleh akal untuk mengakui dan menerima kebenaran dan menolak pendustaan.Akal dapat membezakan antara kebaikkan benar dan keburukkan dusta.Manusia menolak kebenaran kerana nafsu amarah.Contohnya Abu Lahab yang menentang Rasulullah s.a.w. Hati budinya mengakui kebenaran Rasulullah tetapi nafsu amarah menolak kebenaran itu.

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Nilai benar menjadi asas segala nilai dalam hidup manusia''
(Surah Al-Taubah ayat 119)

''Ya Tuhanku! Masukkanlah aku melalui tempat masuk yang benar dan keluarkanlah aku melalui tempat keluar yang benar, dan berilah aku daripada-Mu kekuasaan yg dapat menolong''
(Surah Al-Isra' ayat 80)

~~KEBAIKKAN BENAR~~

1-Kebenaran menjadi teras hidup manusia dalam hubungan dengan Allah s.w.t dan manusia.

2-Mertabat orang yang berlaku benar setaraf dengan para syuahadah dan solehin.

3-Dipercayai dan di hormati oleh orang lain.

4-Berkualiti dan bernafaat dalam setiap kerja dan tindakkan.

5-Diampuni dihormati dan diberkati oleh Allah s.w.t.

6-Dapat mencapai kejayaan hidup didunia dan akhirat.

7-Menjadi tokoh dan pemimpin yang baik dan mulia

8-Pemikiran yang jelas dan bernas

9-Jiwa tenang dan tenteram.

~~SASARKAN DIRI SUPAYA BENAR~~

1-Beriman dan bertakwa kepada Allah s.w.t

2-Mengikut hadis dan sunnah Rasulullah

3-Berilmu dan berbudaya ilmu

4-Berakal dan berfikiran terbuka

5-Berhemah tinggi dan berakhlak mulia

6-Berlaku adil dan bertanggungjawab

7-Berwaspada,teliti,sistem ,etik dan tidak terburu-buru membuat sesuatu keputusan.

8-Memohon taufik dan hidayah kepada Allah s.w.t melalui cara solat hajjat dan istikharah serta do'a.


Sahabat tersayang lilahitaala,

Jadikanlah bersikap benar sebagai pakaian peribadi kita. Walaupun berhadapan dengan kepayahan dan keperitan...itulah dinamakan perjuangan hati...Semoga kita mendapat hidayah dengan terhidangnya nota kecil ini..untuk saya dan untuk sahabat semua.

(Petikan dari tulisan Nur Husrah)

Solat Istikharah Menjadi Pedoman Orang Mukmin

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Jiwa dan hati orang Mukmin apabila berhajat untuk melakukan sesuatu perkara ia akan menyerahkannya dahulu kepada Allah SWT. samaada perkara ini sesuai atau pun tidak kerana Allah SWT. Maha Mengetahui perkara yang akan datang.

Walaupun pada zahirnya ianya nampak elok, cantik, berkenan dihati tetapi hakikat benarnya kita tidak pasti dan tidak mengetahuinya. Mungkin baik pada pandangan zahir kita tetapi ianya tak baik dan buruk pada pandangan Allah SWT. Oleh itu sebelum kita membuat sesuatu keputusan eloklah sebagai seorang Mukmin yang yakin dengan Qada dan Qadar Allah SWT dan yakin bahawa masa hadapan itu ada dibawah ilmu Allah kita memohon doa dan pertolongan Allah SWT dengan mengerjakan solat istikharah.

Sebut sahaja solat sunat istikharah, pasti yang tergambar dalam minda kita ialah solat untuk memilih pasangan atau mencari jodoh terbaik. Itulah tanggapan umum mengenai solat sunat ini. Tetapi hakikat sebenarnya solat istikharah yang membawa maksud meminta Allah SWT mengilhamkan sesuatu dalam sesuatu urusan merupakan senjata orang yang beriman dalam menghadapi urusan agar dapat membuat pilihan yang tepat.

Yang pasti urusan itu tidak sahaja yang melibatkan pemilihan bakal pasangan tetapi turut merangkumi soal-soal berkaitan rumah, kenderaan, kerja dan sebagainya. Pokoknya ibadat itu memohon petunjuk tentang perkara yang menimbulkan keraguan dalam membuat sesuatu penentuan atau pilihan.

Rasulullah SAW telah mensyariatkan umatnya agar mereka memohon pengetahuan Allah SWT dalam segala urusan yang mereka alami dalam kehidupan, sama ada yang kecil mahupun besar, agar beroleh kebaikan. Ia sebenarnya dilakukan bagi menggantikan upacara pada zaman jahiliah berupa meramalkan masa depan dengan berpandukan kepada berhala dan syaitan.

Dari Jabir bin Abdullah r.anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW mengajarkan kami cara melakukan istikharah (memohon kepada Allah SWT untuk menunjuki cara yang benar mengenai sesuatu kerja atau amalan),  dalam segala hal sebagaimana baginda mengajar kami surah-surah dari al-Quran.

Baginda SAW bersabda: Jikalau salah seorang daripada kamu berniat melakukan sesuatu pekerjaan, maka kerjakanlah dua rakaat solat sunat dan berdoa:

” Ya Allah, Aku meminta pilihan kepadaMu dengan pengetahuanMu dan aku memohon keputusan dengan kekuasaanMu dan aku memohon kepada-Mu dari keutamaanMu yang besar, sesungguhnya Engkau mampu sedangkan aku tidak mampu dan Engkau mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkau mengetahui urusan-urusan yang ghaib.

Ya Allah, jikalau Engkau mengetahui bahawa 'urusan ini' baik bagiku dalam
(agamaku dan kehidupanku serta akhir urusanku, atau sebut buat masa kini dan akan datang)

maka takdirkanlah bagiku dan mudahkanlah bagiku kemudian berkatilah aku di dalamnya.
Apabila Engkau mengetahui bahawa 'urusan ini' buruk bagiku (dalam agamaku, kehidupanku dan akhir urusanku, atau sebut buat masa kini dan akan datang)

maka singkirkanlah ia daripadaku dan takdirkanlah kebaikan bagiku di mana pun jua kemudian jadikanlah aku redha dengannya."

Rasulullah SAW menambahkan bahawa seseorang boleh menyebut masalah atau keperluannya selepas membaca 'urusan ini'.

Bagaimana Allah SWT menjawab permohonan ini?


Al-Quran menunjukkan bahawa Allah SWT akan memberi ilham kepada peminta itu, sama ada baik atau buruk, seperti dalam Surah al-Syams ayat 7-8, bermaksud: “Demi jiwa manusia dan yang menyempurnakannya. Maka Allah mengilhamkan kepada jiwanya tentang buruk dan baiknya.”

Ilham adalah pemberitahuan Allah kepada manusia biasa. Ia akan datang pada bila-bila masa sahaja. Ada juga hadis yang menyebutkan alamat itu datang melalui mimpi.

Hendaklah mengerjakan solat istikharah 7 kali berturut. Panduan agar solat istikharah dibuat sebanyak 7 kali datang dari sebuah hadis yang maksudnya : “Apabila kamu inginkan sesuatu maka beristikharahlah kepada Tuhanmu sebanyak 7 kali kemudian perhatilah petanda atau perasaan yang datang terlebih dahulu(dominan) di dalam hatimu” 
(Hadis Riwayat Ibn Sunni dari Anas, Al-Hafidz Al-‘Iraqi, An-Nawawi)

Terdapat juga ulama yang mencadangkan si pembuat istikharah agar jangan mempunyai kecenderungan tertentu kepada salah satu antara dua (atau lebih pilihannya) sebelum membuat istikharah. Demikian pandangan Ibn Hajar Al-‘Asqolani.

Galakkan menuruti tanda istikharah juga datang dari riwayat hadis Nabi SAW .maksudnya : “ Salah satu sumber kebahagian anak Adam adalah beristikharah kepada Allah dan redha dengan apa yang ditentukan kepadanya, dan daripada keburukkan anak Adam adalah meninggalkan istikharah kepada Allah dan membenci apa yang telah ditentukan kepadanya” (Hadis Riwayat Ahmad, At-Tirmidzi) 

Sahabat yang dimuliakan,
Oleh itu jadikanlah solat dua rekaat itu sebagai amalan yang berterusan di dalam apa saja urusan. Kerana Nabi SAW dan sahabat-sahabat apabila menghadapi apa juga masaalah kehidupan atau sesuatu kebuntuan untuk menyelesaikan sesuatu perkara mereka akan solat dua rekaat. Salah satu solat sunat yang tidak ditinggalkan sahabat-sahabat Rasulullah SAW adalah solat istikharah. Wallahu a'lam.

Firman Allah SWT maksudnya :
“Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku, nescaya Aku ingat (pula) kepadamu dan bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)Ku. Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Sesungguhnya Allah  sentiasa bersama dengan orang-orang yang sabar“. 
(Surah Al-Baqarah: 152-153)


Dari Pandangan Mata

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
''Sesungguhnya pendengaran,penglihatan dan hati,semua itu akan diminta pertanggungjawabkannnya''
 
Wahai sahabatku lilahitaala,

Sebagaimana telah diwajibkan ke atas kaum lelaki supaya memalingkan pandangannya dari kaum wanita,maka yang demikian juga telah diwajibkan ke atas kaum wanita supaya memalingkan pandanganya dari kaum lelaki yang bukan muhrimnya tanpa hajat atau darurat.

Wahai sahabatku,

Sedarlah bahawa pandangan itu laksana anak panah yang dilepaskan dari busar panah iblis.semua kejadian selalunya berpunca dari pandangan mata yang mengandungi zina (zina mata)

~~FAEDAH MENUNDUKKAN PANDANGAN~~

1-Menundukkan pandangan bereti menunaikan perintah Allah s.w.t.Tiada manusia yang bahagia di dunia dan akhirat kecuali dengan menunaikan perintah Allah s.w.t.

2-Menundukkan pandangan akan menguatkan hati dan membahagiakannya. Sebagaimana halnya membiarkan pandangan menjadi liar akan melemahkan hati dan membuatnya gelisah.

3-Menundukkan pandangan membuat hati selalu bermesraan dengan Allah s.w.t. Sebaliknya,membiarkan pandangan menjadi liar akan memporak-perandakan hati dan fikiran.

4-Menundukkan pandangan menimbulkan kecerdasan yang luar biasa. Sesiapa saja yang meramaikan zahirnya dengan mengikut sunnah dan meramaikan batinnya dengan sentiasa muraqabah(mendekatkan diri kpd Allah s.w.t) menundukkan pandangan dari perkara-perkara yg diharamkan, menahan nafsunya dari syahwat, serta membiasakan hanya memakan harta yang halal,maka tidak ada yang menyalahkannya.

5-Menundukkan pandangan akan melahirkan hati yang gagah dan berani hingga membuat seseorang memilikki wawasan luas dan hujjah yang kuat.

6-Menundukkan pandangan akan melepaskan hati dari tawanan syahwat. Sebagaimana kerap dikatakan, ''Orang yang tertawan oleh pandangan matanya, maka itulah sebenarnya tawanan''

7-Menundukkan pandangan akan membentengkan seseorang dari pintu syaitan.

8-Menundukkan pandangan akan menguatkan akal dan menambah kecerdasan

9-Menundukkan pandangan akan menyelamatkan hati dari mabuk syahwat

10-Menundukkan pandangan akan mengosongkan hati dari berbagai kemaksiatan.

11-Menundukkan pandangan merupakan mahar (mas kahwin) bagi bidadari.

12-Melepaskan pandangan akan memberi beban kesukaran bagi badan dan dua mata.

13-Menundukkan pandangan akan membantu seseorang dalam menuntut ilmu.

~~Wahai kaum muslimin,tundukkan pandangan matamu. Sedarilah bahawa membiarkan pandangan mata menjadi liar merupakan pintu pertama pembuka jalan yang kelak merosakkan tirai kehormatanmu.Ini syariat dan perintah yang Allah swt telah syariatkan...

Pesanan ini dipersembahkan untuk ingatan pada diriku yang sering lupa dan kepada sahabat yang tercinta lillahitaala....(Nur Husrah)