Showing posts with label Ramadhan 2010. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan 2010. Show all posts

Thursday, September 9, 2010

Ramadhan Akan Pergi...

Ramadhan!
Malam ini kau akan pergi...
Pergi untuk selama sebelas bulan
Aku tidak pasti samaada kita akan bertemu lagi,
Hanya harapan dan do'a ku pada Allah
Agar ku dapat bertemu denganmu lagi tahun hadapan.
Ramadhan!
Kedatanganmu membawa 1000 rahmat, 1000 pengampunan dan pembebasan daripada api Neraka.

Kaulah bulan kesabaran, bulan tarbiyah, bulan tazkiah, bulan rahmat, bulan pengampunan, bulan mujahadah  bulan muraqabah, bulan ibadah, bulan sedekah dan bulan pembebasan api Neraka.

Beruntunglah sesiapa yang menghayatimu dengan beramal ibadah, beramal soleh, qiyamulail ,bersedekah. dan mendapat pengampunan Allah.

Ramadhan!
Bila kau pergi maka di buka semula pintu-pintu Neraka dan ditutup semua pntu-pintu Syurga

Ahli-ahli kubur menjalani hukuman semula setelah direhatkan kerana menghormatimu

Iblis dan syaitan telah dilerai semula segala ikatan yang membelenggu mereka dari siksaan Allah.
Ketika inilah syaitan dan bala tenteranya akan mengoda dan menghasut anak Adam setelah kau tiada.

Ramadhan!
Kedatanganmu disambut dengan gembira  oleh golongan muttaqin dan mereka menangisi kerana pemergianmu.Di tangisi kerana seistimewaanmu tak serupa dengan kebaikan sebelas bulan yang lain.

Nabi s.a.w berabda bahawa celakalah sesiapa yang namanya masih ada tercatat dipintu Neraka sedangkan kehadiranmu tak membawa kebaikan kepadanya.

Berbahagialah sesiapa yang namanya dicatat dipintu Syurga kerana mendapat pengampunan daripada Allah s.w.t. setelah kau pergi meninggalkannya.

Ramadhan!
Kau datang membawa ibadah puasa yang penuh dengan keistimewaannya :
* Pintu Syurga Rayyan khusus untuk orang berpuasa.
* Menjadi benteng daripada api Neraka,
* Menjadi tirai penghadang daripada hawa nafsu.
* Bau mulut orang berpuasa lebih wangi daripada kasturi disisi Allah
* Orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan menyambut hari raya dan ketika bertemu dengan Allah di hari akhirat.
* Keseluruhan aktiviti  orang berpuasa dikira sebagai ibadah, samaada tidurnya , diamnya dan bangunnya mendapat ganjaran disisi Allah.
* Do'a orang-orang berpuasa sangat mustajab disisi Allah
* Semua amalan wajib dan sunat pahalanya akan digandakan Allah berlipat  kali ganda.
* Malaikat akan mendo'akan dan memohon keampunan disisi Allah sesiapa yang menjamu orang berpuasa dan berbuka bersama jemaah

Ramadhan!
Madrasah tarbiyah yang kau miliki bisa membawa kepada taqwa kepada Allah Taqwa adalah pakaian orang-orang Mukmin dan sesiapa yang paling tinggi taqwnya  dia adalah orang yang paling mulia disisi Allah.

Kehadiranmu benar-benar telah mendidik hati dan jiwaku. Keberkatanmu melatihku untuk memiliki sifat mahmudah iaitu sifat sabar, baik sangka, takwa, tawakkal, lemah lembut, rendah diri, bersyukur dan sopan santun dan juga aku mampu menjauhi daripada segala sifat-sifat mazmumah iaitu sifat marah, suka mengumpat, sombong, bongkak, takbur, iri hati, ujub ,batu api dan hasad dengki. telah benar-benar mendidik hatiku. Melatih diriku bersedekah setiap hari ditabung-tabung masjid.

Alangkah indahnya kesan dari kemuliaanmu memberi kekuatan untuk ku bertahajjud, berikhtikaf dan berqiyamulail sepanjang kehadiranmu , mengadap wajah kehadrat Rabbul Jalil, di rumah Allah, terutama di sepuluh malam terakhir.

Ramadhan!
Segala natijah rohiyah dan jasmaniah yang kau tinggalkan akan ku pergunakan untuk menghadapi cabaran hidup  di sebelas  bulan yang akan datang.

Terima kasih Ramadhan.!

Rinduku sentiasa mengingringi pemergiaanmu dengan penuh harapan agar kau dapat ku temui lagi ditahun hadapan dengan keazaman untuk meningkatkan amalku kepada Allah Azzawajalla.

Monday, September 6, 2010

Munajat Kepada Allah di Akhir Ramadhan

Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Marilah sama-sama kita hayati do'a dan munajat kepada Allah di akhir Ramadhan ini. Untuk saya dan semua sahabat-sahahabat di blog. Do'a dan munajat ini adalah untuk kita semua. Semoga persahabatan yang terjalin di antara kita sentiasa diredhai Allah s.w.t. walaupun pertemuan, perjumpaan dan perkenalan kita di alam maya tetapi amat bernilai disisi Allah s.w.t

"Ya Allah ya Tuhan kami. Ampunkan semua dosa-dosa kami yang telah kami lakukan secara sengaja atau tidak secara sengaja. Yang kami ketahui dan yang tidak kami ketahui. Kami adalah hamba-hamba-Mu yang lemah dan dhaif yang sentiasa melakukan kesalahan dan dosa, sentiasa melangar peraturan dan suruhan -Mu, yang selalu leka dan lalai untuk melaksanakan tanggungjawab dan kewajipan terhadap-Mu. Jika kami bersalah ampunkanlah kami , maafkanlah kami sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun dan Maha Pemaaf.

Ya Allah, dibulan Ramadhan yang penuh berkat ini rahmat dan pengampunan-Mu amat luas sekali kepada hamba-hamab-Mu yang berpuasa. Ya Allah terimalah ibadah puasa kami. Berikanlah kami rahmat-Mu, pengampunan-Mu dan bebaskanlah kami daripada siksaan api Neraka.

Ya Allah pilihlah kami semua untuk memasuki Syurga-Mu melalui pintu Ar-Rayyan khusus untuk orang-orang berpuasa.Pintu Ar-Rayyan hanya Kau peruntukkan bagi orang-orang berpuasa, bukan untuk lainnya. Bila pintu tersebut sudah dimasuki oleh seluruh rombongan ahli puasa Ramadhan, maka tak ada lagi yang boleh masuk ke dalamnya. Sesungguhnya bila Kau telah pilih kami memasuki Syurga sebenarnya kami telah berjaya. Tunaikan hajat dan permohonan kami ini ya Allah.

Ya Allah, jika Engkau telah mentakdirkan kami tergolong di dalam golongan orang-orang yang bahagia dan berjaya di hari akhirat, maka tetaplah kami di dalam keadaan itu. Sebaliknya jika Engkau telah tetapkan kami di dalam golongan orang-orang yang celaka dan berdosa, hapuskanlah takdir itu dan masukkanlah kami ke dalam golongan orang-orang yang mendapat kebahagiaan dan keampunan-Mu.

Ya Allah ya Tuhan kami, Kau berilah sihat sejahtera kepada kami , jauhkan kami daripada mala petaka bencana dan penyakit. Jauhkan kami daripada siksa kubur, siksa Neraka, fitnah hidup ada mati, pilihlah kami dapat menyebut kalimah syahadah di akhir hayat kami dan mendapat husnul khatimah, jadikanlah lubang-lubang kubur kami adalah daripada taman-taman Syurga.

Ya Allah, Kau redhailah segala ilmu yang bermanfaat yang kami perolehi disini, Kau berilah Taufik dan Hidayah-Mu, Kau berilah kepada kami kefahaman yang mendalam tentang Islam, Kau berikanlah kekuatan pada kami untuk mengamalkannya dan kemampuan pula untuk menyampaikannya pada orang lain.

Ya Allah Kau jadikanlah kami sahabat-sahabat yang mulia di dunia walaupun kami bertemu di alam maya dan jadikanlah kami sahabat-sahabat di hari akhirat, kami mohon ketika itu kami semua dapat berteduh dibawah naungan-Mu. Ketika itu tidak ada naungan yang lain melainkan naungan daripada-Mu.

Ya Allah, Kau satukanlah hati-hati kami dengan ikatan persaudaraan Islam, Kau pertemukanlah kami di dunia dan pertemukanlah kami di hari akhirat bersama hamba-hamba-Mu yang Kau redhai.

Jadikanlah hati –hati kami bertemu dan berpisah semata-mata untuk mencari keredhaan-Mu. Jadikanlah kami batu-bata untuk membina bangunan Islam, pilihlah kami untuk menjadi para dai’e-Mu untuk melaksanakan amal maaruf dan nahi mungkar.

Ya Allah bersihkan aqidah kami daripada syirik kepada-Mu, sucikan hati-hati kami daripada sifat hasad dengki, riak, sombong, bongkak, takbur, iri hati dan sifat-sifat keji yang Kau benci , dan tanamkan di dalam hati-hati kami sifat iman, taqwa, sabar, syukur, lemah lembut dan jadikan hati-hati kami memiliki sifat mahmudah.

Ya Allah, hati kami merasa pilu dan sedih kerana Ramadhan yang penuh keberkataan akan meninggalkan kami. Sedangkan kami belum puas menikmati ganjaran besar yang Kau sediakan. Kami masih kurang membaca al-Qur'an, kurang bersedekah, kurang qiyamulail, kurang berzikir dan kurang berdo'a kehadrat-Mu. Ya Allah kami mengharapkan di akhir Ramadhan ini terimalah ibadah puasa kami, berilah pengampunan terhadap semua dosa-dosa kami samaada yang kecil atau yang besar. Bebaskanlah kami daripada siksaan api Neraka.

Ya Allah berikanlah kekuatan kami menghadapi cabaran dan dugaan untuk sebelas bulan yang akan datang.Kurniakan kami nilai taqwa dan jadikanlah taqwa itu pakaian kami dan sebagai benting untuk kami hadapi dugaan dan cabaran dalam hidup. Ya Allah berilah kekuatan kami untuk menundukkan nafsu kami supaya ianya tunduk dibawah telunjuk iman dan lindunglah kami dari godaan dan hasutan syaitan yang menyesatkan.

Ya Allah izinkanlah kami bertemu Ramadhan yang akan datang dan jadikanlah hati-hati kami sentiasa mengingati-Mu  samaada ketika kami berseorangan atau dengan orang lain. Jadikan kami sentiasa berbaik sangka dengan Qadha' dan Qadar-Mu dan sentiasa redha dengan takdir yang telah Kau tetapkan.

Ya Allah berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan lindungilah kami daripada siksaan api Neraka."

Saturday, September 4, 2010

Teruskan Beramal dan Berzakat Fitrah Tanda Hamba Yang Bertaqwa.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Ramadhan telah berada dipenghujungnya. Beberapa hari lagi Syahwal akan menjalang tiba.
iaitu menandakan Hari Raya Aidilfitri akan menjelma lagi.

Hari Raya Aidilfitri disambut pada 1 Syawal tahun Hijrah. Perayaan tersebut juga dikenali sebagai Hari Raya Puasa, Hari Raya Fitrah, dan Hari Lebaran. Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia berbagai bangsa di seluruh dunia yang beragama Islam bagi menandakan berakhirnya bulan Ramadhan yang mana umat Islam telah menjalani ibadat puasa dengan tekun. Ia merupakan antara dua perayaan terbesar bagi umat Islam, selain Hari Raya Korban.

Sebelum menjelangnya Hari Raya Aidilfitri umat Islam diwajibkan membayar zakat fitrah.

Ibnu Umar meriwayatkan: “Rasulullah s.a.w. mewajibkan zakat fitrah di bulan Ramadhan kepada setiap orang Muslim, sama ada dia merdeka atau hamba, lelaki mahu pun perempuan. Iaitu (jumlahnya) segantang kurma atau gandum.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Di dalam Islam, di samping zakat harta maka semua umat Islam yang layak diwajibkan zakat fitrah. Sungguh pun sama dari aspek nama dan amalan; namun kedua-dua amalan fardu ini mempunyai perbezaan. Ia berbeza lantaran mempunyai beberapa syarat  yang mendasari hikmah di sebalik perlaksanaannya.

Zakat fitrah dikenakan kepada semua umat Islam, sama ada merdeka mahu pun hamba sahaya. Ini berbeza dengan zakat harta, kerana tidak dikenakan kepada hamba. Mana mungkin seorang hamba mampu berzakat, andai dirinya sendiri pun dimiliki oleh orang lain. Bahkan, demi mengangkat taraf seorang hamba maka Islam memberikan hak zakat untuk mereka menebus diri.

Zakat fitrah juga mempunyai nisab yang berbeza dengan zakat harta. Untuk menunaikan zakat fitrah, Islam menetapkan bahawa seseorang itu mempunyai makanan yang cukup baginya pada malam hari raya sehingga ke siang hari raya. Jika seseorang itu mempunyai makanan yang cukup bagi tempoh itu, maka wajiblah zakat fitrah ke atasnya. Manakala, nisab zakat harta pula mesti disandarkan kepada nilai emas semasa. Apabila harga emas tinggi, maka tinggilah nisabnya.

Kadar zakat fitrah pula ialah sekadar segantang Baghdad yang dikenakan berdasarkan makanan asasi. Jika di Malaysia, beraslah zakat fitrahnya. Segantang Baghdad itu pula menyamai 2.7 kg. Maka, darablah harga beras semasa dengan 2.7 kg bagi mendapatkan kadar zakat fitrah. Manakala, kadar zakat harta pula ialah 2.5 peratus dari keseluruhan harta. Manakala, jika zakat pertanian pula kadarnya sama ada 5.0 peratus atau 10.0 peratus.

Zakat harta agihannya kepada lapan asnaf. Manakala, agihan zakat fitrah selalunya difokuskan kepada fakir dan miskin. Inilah pandangan sebahagian ulama. Misalnya dinyatakan oleh Ibnu Qayyim, Ibnu Rusyd, Sayid Sabiq dan Karim Zaidan

Menjelang Aidilfitri, bermakna umat Islam menuju kegembiraan. Inilah yang dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w. iaitu orang yang berpuasa diberikan dua kegembiraan. Kegembiraan pertama sewaktu berbuka (berbuka puasa dan berhari raya) dan keduanya ketika menatap wajah Allah  s.w.t. di dalam Syurga (mafhum daripada hadis riwayat Imam Muslim dan Imam Ahmad).

Di dalam memastikan umat Islam khususnya golongan fakir dan miskin turut merasai nikmat hari raya inilah, maka zakat fitrah diwajibkan. Ia bertujuan memberikan mereka makanan yang cukup. Bahkan dalam konteks hari ini, fakir miskin bukan sahaja diberikan makanan bahkan wang ringgit. Maka, dapatlah mereka membeli keperluan hari raya dengan wang ringgit tersebut.

Di samping itu, zakat fitrah juga menepati kehendak puasa yang bermaksud mengembalikan manusia kepada fitrah. Apabila zakat fitrah ditunaikan, maka akan terhakislah rasa tamak dan haloba dalam diri. Akan tersingkaplah tirai kesombongan dan diganti dengan rasa rendah diri dan saling berkongsi.

Ibnu Abbas menyatakan: “Rasulullah s.a.w. telah mewajibkan zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang berpuasa daripada ucapan yang tidak ada manfaatnya dan kata-kata yang kotor, serta untuk memberikan makanan kepada orang-orang miskin.” (Hadis Riwayat Abu Daud).

Sahabat yang dimuliakan,
Pergunakanlah beberapa hari yang tinggal dibulan Ramadhan ini dengan penuh keinsafan dan tingkatkan lagi amalan, kerana para sahabat Rasulullah menangisi kerana pemergiaan Ramadhan kerana dibulan yang penuh berkah ini terdapat hikmah dan ganjaran yang tidak diperolehi pada sebelas bulan yang akan datang. Di bulan inilah datangnya rahmat Allah, pengampunan daripada Allah s.w.t. dari segala dosa dan pembebasan daripada api Neraka. Dibulan ini juga pahala fardu digandakan hingga 70 gandaan dan pahala sunat sama dengan pahala fardu.Di bulan ini juga ada malam Lailatul Qadr yang lebih baik daripada beribadah selama 83 tahun 4 bulan. Bersedekah dibulan ini seolah-olah kita memperolehi pahala berzakat kerana betapa besarnya pahala bersedekah. Semua kebaikan-kebaikan yang kita laksanakan, dari yang kecil hingga yang besar akan menghapuskan dosa-dosa kita yang telah lalu.

Bulan Ramadhan dipilih sebagai bulan re-charge untuk kita semua menghadapi 11 bulan keseterusnya. Re-charge dari segi ibadat, akhlak, muamalat. Sebab itu, banyak sekali pantang larang yang perlu kita ikuti dan patuhi sepanjang tempoh sebulan tersebut. Ia adalah latihan Allah s.w.t.. kepada kita supaya dapat diamalkan pada bulan-bulan seterusnya. Solat berjama’ah, berterawih, berzikir, membaca al-Qur'an, menjaga tutur kata dan  bersedekah ialah antara amalan yang menjadi kelaziman pada bulan yang mulia ini .Namun, sebaik sahaja azan Maghrib berkumandang menandakan masuknya 1 Syawal, adakah ia juga menandakan panggilan berakhirnya amalan-amalan tersebut? Jika ya, marilah kita sama-sama merenung firman-Nya yang berbunyi ;
وَلَكِنْ كُونُÙˆŰ§ ۱َŰšَّŰ§Ù†ِيِّينَ Űšِمَۧ كُنْŰȘُمْ ŰȘُŰčَلِّمُونَ Ű§Ù„ْكِŰȘََۧۚ وَŰšِمَۧ كُنْŰȘُمْ ŰȘَŰŻْ۱ُŰłُونَ
“…namun jadilah kalian hamba Rabbani, terhadap apa yang telah kalian pelajari daripada Al-Quran dan daripada apa yang telah dikaji”. (Ali Imran:79)

Sahabat,
Kekalkanlah amalan-amalan mulia yang kalian lakukan ini walaupun Ramadhan yang penuh berkah pergi meninggalkan kita. Penerusan amalan dan beristiqamah adalah tanda taqwa itu telah kita miliki. Jika kita kembali hidup cara lama iaitu kurang darisegi ibadah dan amal soleh dikhuatiri ibadah puasa kita setakat mendapat lapar dan dahaga saja. Oleh itu marilah sama-sama kita bermuhasabah dan meneruskan jihad dan pengorbanan kita dalam mencari keredhaan Allah di dunia ini.


Tuesday, August 31, 2010

Menghidupkan Bulan Ramadhan (Part 6)




TETAP DUDUK DI DALAM MASJID HINGGA TERBIT MATAHARI

Apabila Rasulullah s.a.w.. selesai menunaikan
solat Subuh, beliau selalu duduk di tempat solatnya hingga terbit matahari.
(HR. Muslim)

Imam At-Tirmidzi meriwayatkan sebuah hadis dari Anas bin Malik dari Rasulullah, bahawa baginda bersabda yg bermaksud:

“Barangsiapa solat fajar berjama’ah di masjid, kemudian tetap duduk berzikir mengingat Allah, hingga terbit matahari lalu solat dua rakaat (Dhuha), maka seakan-akan ia mendapat pahala haji dan umrah dengan sempurna, sempurna dan sempurna.” (Dinyatakan shahih oleh Al-Albani)

Hal ini berlaku pada setiap hari, maka bagaimana pula bila dilakukan pada bulan Ramadhan?
Wahai saudaraku, semoga Allah menjaga engkau, berusahalah mendapatkan pahala yang agung ini. Dengan tidur malam yang cukup dan meneladani orang-orang soleh. Senantiasa bersungguh-sungguh dalam mencari keredhaan Allah s.w.t. , dan selalu bertekad untuk mencapai derajat yang tinggi di dalam Syurga.

p/s: Maafkan Jihan ye shbt2 mungkin nota ini yg terlewat pos... kerna tinggal beberapa hari lagi nak akhirnya Ramadhan, InsyaAllah dgn ini Jihan dapat berkongsi juga berharap agar shbt2 dapat manfaatnya... ameen ya rabb...:)

Nur Jihan Binti Mat Basir,

Berdo'alah Kepada Allah Semoga Kita Memperolehi Malam Lailatul Qadar.




Sahabat yang dirahmati Allah,
Apakah malam LailatulQadar?

Di antara perkara yang perlu diimani dalam perkara berkaitan Lailatul Qadr ialah:

1. Al-Qur'an diturunkan pada malam Lailatul Qadr.

2. Lailatul Qadr lebih baik daripada seribu bulan yang membawa maksud bahawa
setiap amalan yang termakbul pada malam itu samalah dengan amalan yang
setara dengannya sebanyak amalan seribu bulan.(83 tahun 4 bulan)

3. Para Malaikat dan ruh diturunkan pada malam tersebut.

4. Sejahtera malam itu hingga terbit fajar (masuknya waktu Subuh).

5. Ibadah yang jujur, ikhlas, konsisten, iltizam dan khusyuk pada sebarang masa. (Banyakkan berdo'a, bermunajat, berikhtikaf di masjid, solat tahajjud, berzikir- tahlil, tahmid dan takbir, berselawat dan membaca al-Qur'an)

6. Tiada tanda-tanda fizikal yang dijelaskan oleh nas.
(Ulama ada menyatakan malam itu suasannya hening dan damai. Hati kita merasai tenteram dan bahagia kerana keberkatan malam tersebut)

Kenapa Lailatul Qadr Dipilih Ianya Berlaku Pada 10 Malam Terakhir?
Inilah kebijaksanaan Allah s.w.t. Setelah 20 hari berpuasa, manusia sudah
mempunyai kekuatan tahap kerohanian dan tingakat kesedaran yang tinggi serta
momentum yang diperlukan untuk mempertingkatkan ”gear tertinggi” dalam
amalannya. Malaikat turun pada malam tersebut sehingga terdorong orang Mukmin
melakukan ibadah dengan izin Allah s.w.t. dan merasai sejahtera dan selesa hingga
pagi.

Persiapan menghadapi malam Al-Qadr ialah selama 10 hari sebab ia berlaku pada 10
malam terakhir Ramadan, bukannya sehari dua. Pastinya Allah akan menganugerahkan malam Al-Qadr pada mereka yang bersedia untuk 10 malam dan bukan hanya untuk semalam dua sahaja. Inilah falsafah Lailatul Qadr iaitu kita perlukan dalam kehidupan ketika persiapan yang teliti tanpa membenarkan ruang-ruang kerugian untuk mendapatkan kerahmatan dan keredhaan Allah s.w.t. Adapun ketentuan malam Al-Qadr itu pada malam-malam ganjil adalah untuk tidak terlalu memenatkan kita beribadah berterusan pada 10 malam terakhir kerana ada keselangselian. Allah pastinya menganugerahkannya pada orang yang ikhlas.
Apakah Amalan Pada Malam Lailatul Qadr?

Ia adalah malam yang cukup istimewa yang tidak kedapatan pada mana-mana malam.
Amalan yang mesti dilakukan pada malamnya ialah memperbanyakkan ibadah,
membaca Al-Quran, beriktikaf dan berdo'a. Dalam sebuah hadis daripada Aisyah r.a.
berkata:
``Ya Rasulullah bagaimana kalau saya bertemu Lailatul Qadar? Apa yang harus saya
ucapkan pada malam itu?'' Baginda bersabda: Ucapkanlah: ``Ya Allah kami bermohon
pada-Mu, Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, suka mengampuni (hamba-hamba-
Mu), maka ampunilah (dosa-dosa) kami.'' 
(Riwayat Tirmizi, Nasa'i, Ibnu Majah dan Ahmad).

Do'a lain yang baginda baca ialah seperti berikut yang bermaksud: Wahai Tuhan kami,
anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan kebajikan di akhirat, dan
peliharalah kami dan siksa neraka (Surah Al-Baqarah ayat 201).


Aisyah juga pernah bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam: “Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat anda jika aku mengetahui waktu lailatul Qadr, apa yang aku ucapkan di malam itu?” Beliau menjawab: “Ucapkanlah: Allaahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘annii (wahai Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, Engkau suka memaafkan, maka maafkanlah daku).” 
(HR. Ibnu Majah dan at-Tirmidzi dengan sanad yang shahih) 

Tanda-tandanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah memberitahukan tanda-tanda Lailatul Qadr di dalam beberapa hadisnya, antara lain: Dari Abu Hurairah dia berkata: “Kami memperbincangkan Lailatul Qadr di sisi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu baginda bersabda: ”Siapa diantara kalian yang mengingat ketika bulan muncul, yang bulan itu seperti separuh piring”. (HSR. Muslim)

Ubay bin Ka’b berkata: “Demi Allah, sesungguhnya aku mengetahui bila Lailatul Qadr itu, iaitu malam yang kami diperintahkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam untuk solat padanya. Iaitu malam yang esok paginya (adalah hari ke) dua puluh tujuh. Adapun tandanya adalah matahari akan terbit pada pagi harinya dalam keadaan putih tidak menyilaukan.” 
(HSR. Muslim no. 762, Tirmidzi, Abu Dawud, al-Humaidi dan lainnya).

Ibnu Abbas berkata: “Lailatul Qadr adalah malam yang lembut, sedang, tidak panas, tidak dingin; matahari akan terbit pada pagi harinya dalam keadaan lembut, merah“. (HR. at-Thayalisi 349, Ibnu Khuzaimah dan al-Bazzar dengan sanad yang hasan)



Sahabat yang dimuliakan,
Kenapakah malam Lailatul Qadar menjadi rahsia? Terdapat kisah pertengkaran dua orang sahabat Nabi s.a.w.
Dan memang ilmu tentang hal tersebut telah diambil oleh Allah daripada Nabi gara-gara kesalahan (iaitu pertengkaran) yang dilakukan oleh dua lelaki di antara umat baginda. 

‘Ubadah bin as-Shamit berkata: “Bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar akan memberitahukan tentang Lailatul Qadr, lalu ada dua lelaki di antara kaum muslimin bertengkar maka baginda bersabda: “Sesungguhnya aku keluar untuk memberitahukan kalian tentang Lailatul Qadr. Tetapi sesungguhnya si Fulan dan si Fulan bertengkar sehingga diangkatlah (ilmu tentang waktu Lailatul Qadr). Namun mudah-mudahan hal itu lebih baik bagi kalian. Carilah Lailatul Qadr pada malam tujuh, sembilan dan lima (yang terakhir).”
(HR. al-Bukhari).
Akhirkata marilah kita bersama-sama hidupkan malam-malam sepuluh terakhir ini dengan hati yang khusyuk dan tawaduk. Sibukkanlah hati dan fikiran kita dengan ibadah dan hubungan hati kita dengan Allah s.w.t. Jangan dipersia-siakan malam yang penuh berkat ini. Masa untuk membeli belah dan  persiapan hari raya gunakanlah waktu siang hari dan jangan di ganggu waktu malam hari kerana masa berharga ini tak akan di dapati digantikan lagi ianya datang setahun sekali dan masa yang berlalu tak akan ada penggantinya. Inilah masa untuk kita buat pelaburan untuk saham akhirat. Pelaburan ini tak perlukan wang ringgit tetapi ianya memerlukan masa dan hati yang cekal dan azam yang tinggi.

Sesuatu yang berharga tak mungkin boleh kita perolehi dengan usaha sambil lewa, oleh itu berusahalah semaksima mungkin, berdo'alah dengan bersungguh-sungguh hingga mampu mengalirkan air mata penyesalan. Solatlah dengan khusyuk seolah-olah kalian melihat Allah, jika kalian belum sampai ketahap itu maka yakinlah Allah sedang melihat apa yang kalian kerjakan.

Monday, August 30, 2010

10 Keistimewaan Orang Berpuasa.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Marilah sama-sama kita meghayati kemuliaan dan keistimewaan ibadah puasa yang fardukan oleh Allah s.w.t semoga dengan memahami hikmah dan kebaikan ibadah puasa ini akan menambahkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t.

Sayyid Muhammad bin Alwi Al Maliki mengatakan orang yang berpuasa mempunyai 10 keutamaan yang diberikan Allah s.w.t., di antaranya ialah:

Pertama, Allah memberikan keistimewaan kepada umat yang berpuasa dengan menyediakan satu pintu khusus di Syurga yang dinamai Al Rayyan. Pintu Syurga Al Rayyan ini hanya disediakan bagi umat yang berpuasa.

Kata Nabi s.a.w.dalam satu hadisnya yang bermaksud : " Pintu Rayyan hanya diperuntukkan bagi orang-orang berpuasa, bukan untuk lainnya. Bila pintu tersebut sudah dimasuki oleh seluruh rombongan ahli puasa Ramadhan, maka tak ada lagi yang boleh masuk ke dalamnya. (HR. Ahmad dan Bukhari-Muslim).

Kedua, Allah telah mengfungsikan puasa umat Nabi Muhammad s.a.w sebagai benteng yang kokoh dari siksa api Neraka sekaligus tirai penghalang dari godaan hawa nafsu. Dalam hal ini Nabi s.a.w.  bersabda maksudnya : “Puasa (Ramadhan) merupakan perisai dan benteng yang kokoh dari siksa api neraka.” (HR. Ahmad dan Al Baihaqi).

Nabi s.a.w. menambahkan pula bahawa puasa yang berfungsi sebagai perisai itu layaknya perisai dalam kancah peperangan selama tidak dinodai oleh kedustaan dan mengumpat. (HR. Ahmad, An Nasa`i, dan Ibnu Majah).

Ketiga, Allah memberikan keistimewaan kepada ahli puasa dengan menjadikan bau mulutnya itu lebih harum dari minyak kasturi. Sehingga Nabi s.a.w. bertutur demikian, “Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih semerbak di sisi Allah dari bau minyak kasturi.”

Keempat, Allah memberikan dua kebahagiaan bagi ahli puasa yaitu bahagia saat berbuka dan pada saat bertemu dengan Allah kelak. Orang yang berpuasa dalam santapan bukanya meluapkan rasa syukurnya dimana bersyukur termasuk salah satu ibadah dan zikir. Syukur yang terungkap dalam kebahagiaan kerana telah diberi kemampuan oleh Allah untuk menyempurnakan puasa di hari tersebut sekaligus berbahagia atas janji pahala yang besar dari-Nya. “Orang yang berpuasa mempunyai dua kebahagiaan. Yaitu berbahagia ketika berbuka dan ketika bertemu Allah,” kata Nabi s.a.w dalam hadis  riwayat Imam Muslim.

Kelima, puasa telah dijadikan oleh Allah sebagai medan untuk menempa kesehatan dan kesembuhan dari berbagai  penyakit. “Berpuasalah kalian, niscaya kalian akan sehat.” (HR. Ibnu Sunni dan Abu Nu`aim).

Sayyid Muhammad  menegaskan bahawa rahasia kesehatan di balik ibadah puasa adalah bahawa puasa menempah tubuh kita untuk melumatkan racun-racun yang mengendap dalam tubuh dan mengosongkan materi-materi kotor lainnya dari dalam tubuh.
Menurut kerangka berpikir beliau puasa ialah cara mendapatkan kesehatan bagi seorang hamba guna meningkatkan kadar ketaqwaan yang merupakan tujuan utama puasa itu sendiri. “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” (Surah  Al Baqarah ayat 183).

Keenam, keutamaan berikutnya yang Allah berikan kepada ahli puasa adalah dengan menjauhkan wajahnya dari siksa api Neraka. Matanya tak akan sampai melihat siksaan api Neraka dalam bentuk apapun juga. Nabi s.a.w. yang mulia berkata demikian, “Barangsiapa berpuasa satu hari demi di jalan Allah, dijauhkan wajahnya dari api Neraka sebanyak (jarak) tujuh puluh musim.” (HR. Ahmad, Bukhari-Muslim, dan Nasa`i).

Ketujuh, dalam Al Quran Allah berfirman, “Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji, yang melawat, yang ruku’, yang sujud, yang menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah berbuat munkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah. dan gembirakanlah orang-orang Mukmin itu.” (Surah At Taubah ayat 112).

Sebagian ulama ahli tafsir menerangkan bahawa orang –orang yang melawat (As Saihuun) pada ayat tersebut adalah orang yang berpuasa sebab mereka melakukan lawatan (kunjungan) kepada  Allah. Makna lawatan, tegas beliau, di sini adalah bahawa puasa merupakan penyebab mereka (orang yang berpuasa) boleh sampai kepada Allah. Lawatan kepada Allah ditandai dengan meninggalkan seluruh kebiasaan yang selama ini dilaksanakan  (contoh makan, minum, mendatangi isteri di siang hari) serta menahan diri dari rasa lapar dan dahaga.

Sayyid Muhammad cuba mentafsirkan ayat 10 dalam Surah Az Zumar : “Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” Orang-orang yang bersabarlah maksudnya adalah orang yang berpuasa sebab puasa adalah nama lain dari sabar. Di saat berpuasalah, orang-orang yang bersabar (dalam beribadah puasa) memperoleh ganjaran dan pahala yang tak terhitung banyaknya dari Zat Yang Maha Pemberi, Allah s.w.t.

Kelapan, di saat puasa inilah Allah memberi keistemewaan dengan menjadikan segala aktiviti orang yang berpuasa sebagai ibadah dan ketaatan kepada-Nya. Kerana  orang yang berpuasa dan ia meninggalkan ucapan yang tidak berguna (diam) adalah ibadah serta tidurnya dengan tujuan agar kuat dalam melaksanakan ketaatan di jalan-Nya juga ibadah. Dalam satu hadis  riwayat Ibnu Mundih dinyatakan, “Diamnya orang yang berpuasa adalah tasbih, tidurnya merupakan ibadah, dan do'anya akan dikabulkan, serta perbuatannya akan dilipatgandakan (pahalanya).”

Kesembilan, di antara cara yang Allah kenakan dalam memuliakan orang yang berpuasa, bahawa Allah menjadikan orang yang memberi makan berbuka puasa pahalanya sama seperti dengan orang yang berpuasa itu sendiri meski dengan sepotong roti atau seteguk air. Dalam satu riwayat Nabi s.a.w.bersabda maksudnya : " Seseorang yang memberi makan orang yang puasa dari hasil yang halal, akan dimintakan ampunan oleh malaikat pada malam-malam Ramadhan meski hanya seteguk air. (Hadis Riwayat  Abu Ya`la).

Kesepuluh, orang yang berbuka puasa dengan berjemaah demi melihat keagungan puasa, maka para malaikat akan bershalawat (memintakan ampunan) baginya.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita menghayati 10 keistimewaan yang dikurniakan oleh Allah s.w.t kepada mereka yang berpuasa ikhlas semata-mata mencari keredhaan Allah s.w.t. Di harapkan sampai akhiran bulan Ramadhan, semua dosa-dosa kita di ampunkan oleh Allah s.w.t., dapat pembebasan daripada api Neraka dan memperolehi taqwa kepada Allah s.w.t.

(Sumber daripada  Pondok Habib)

Menghidupkan Bulan Ramadhan (Part 5)




MEMBACA AL-QURAN DENGAN KESUNGGUHAN

Ada dua perkara yang perlu saya sampaikan kepada saudara-saudariku sekalian berkenaan dengan keadaan Salafus Soleh dalam bulan suci ini:

A. Banyak Membaca Al-Qur’an

Bulan Ramadhan adalah bulan Al-Qur’an. Kita semua dianjurkan agar memperbanyak membaca Al-Qur’an pada bulan ini. Di antara keadaan Salafus Soleh
adalah selalu menyibukkan diri dengan hal-hal yang berkaitan dengan Al-Qur’an (mulai dari membaca, mempelajari dan mentadabburinya). Malaikat Jibril
memperdengarkan Al-Qur’an kepada Rasulullah S.A.W. pada bulan Ramadhan. Usman bin Affan mengkhatamkan Al-Qur’an setiap hari pada bulan
Ramadhan.

Sebahagian Salafus Soleh mengkhatamkan Al-Qur’an dalam solat Tarawih setiap tiga malam sekali. Sebahagian lagi setiap tujuh malam sekali. Sementara
sebagian lainnya mengkhatamkannya setiap sepuluh malam sekali. Mereka selalu membaca Al-Qur’an baik di dalam solat maupun di luar solat.

Bahkan Imam Asy-Syafi’i dapat mengkhatamkan Al-Qur’an sebanyak enam puluh kali di luar solat dalam bulan Ramadhan.

Sementara Al-Aswad mengkhatamkannya setiap dua hari sekali. Adapun Qatadah selalu mengkhatamkannya setiap tujuh hari sekali di luar Ramadhan, sedangkan pada bulan Ramadhan beliau mengkhatamkannya setiap tiga hari sekali. Dan pada sepuluh terakhir bulan
Ramadhan beliau mengkhatamkannya setiap malam.

Pada bulan Ramadhan Imam Az-Zuhri menutup majlis-majlis hadith dan majlis-majlis ilmu yang biasa diisinya. Beliau mengkhususkan diri membaca Al-Qur’an dari mushaf.

Demikian pula Imam Ats-Tsauri, beliau meninggalkan ibadah-ibadah lain dan mengkhususkan diri untuk membaca Al-Qur’an.

Ibnu Rajab berkata: “Larangan mengkhatamkan Al-Qur’an kurang dari tiga hari tertuju bagi yang membiasakan hal itu. Adapun pada waktu-waktu yang
utama seperti bulan Ramadhan, terkhusus lagi pada malam-malam yang diperkirakan sebagai malam Lailatul Qadar, atau di tempat-tempat yang utama, seperti Makkah bagi selain ahli Makkah, maka dianjurkan agar memperbanyak membaca Al-Qur’an. Supaya mendapat keutamaan pada waktu dan tempat tersebut. Inilah pendapat Imam Ahmad, Ishaq, dan ulama lainnya. Demikianlah yang dapat kita saksikan dari kebiasaan mereka sebagaimana yang telah kita sebutkan tadi.

B. Menangis Tatkala Membaca Atau Mendengar Al-Qur’an

Mendendangkan Al-Qur’an layaknya mendendangkan syair tanpa mentadabburi dan memahaminya bukanlah termasuk petunjuk Salafus Soleh. Bahkan jiwa mereka
bergetar dan hati mereka tersentuh begitu mendengar untaian Kalamullah dibacakan.

Dalam Shahih Al-Bukhari diriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud r.a. bahwa ia berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Bacalah Al-Qur’an untukku!” Aku berkata: “Apakah aku membacakannya untukmu sedangkan ia diturunkan kepadamu?”

Rasulullah S.A.W. bersabda: “Aku senang mendengarkannya dari orang lain.” Aku pun membacakan untuknya surat An-Nisa’, hingga sampai pada ayat yang berbunyi:
“Maka bagaimanakah (halnya orang-orang kafir nanti), apabila kami mendatangkan seseorang saksi (rasul) dari tiap-tiap umat dan Kami mendatangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas mereka itu (sebagai umatmu).” 
(Surah An-Nisa’: 41)

Beliau mengatakan: Hasbuka (cukup). Aku menoleh kepadanya, ternyata kedua mata beliau menitiskan air mata.”

Imam Al-Baihaqi meriwayatkan sebuah hadith dari Abu Hurairah r.a.ia berkata: “Tatkala turun ayat:
“Maka apakah kamu merasa hairan terhadap pemberitaan ini? Dan kamu mentertawakan dan tidak menangis.”
(Surah An-Najm: 59-60)

Ahlu Suffah (orang yang bermukim di serambi masjid Nabi) menangis hingga titisan air mata membasahi pipi mereka. Ketika hal itu didengar oleh Rasulullah S.A.W., beliau tersentuh dan ikut menangis bersama mereka. Melihat hal itu kami pun turut menangis. Kemudian Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:
“Tidak akan masuk api Neraka orang yang menangis kerana takut kepada Allah.”

Suatu ketika Abdullah bin Mas’ud membaca surat Al-Muthaffifin, tatkala sampai ayat yang berbunyi:
“Iaitu hari ketika manusia berdiri menghadap Rabb semesta alam.” 
(Surah Al-Mutahffifin: 5)
beliau menangis hingga bersimpuh dan tidak mampu melanjutkan ayat berikutnya.

Diriwayatkan dari Muzahim bin Zufar ia berkata: “Pada suatu kesempatan, Sufyan Ats-Tsauri mengimami kami solat. Ketika sampai ayat: “Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon
pertolongan.” 
(Surah Al-Fatihah: 5) 
beliau menangis hingga terputus bacaannya sehingga beliau mengulanginya
kembali dari awal.”

Diriwayatkan dari Ibrahim bin Asy’ats ia berkata: “Pada suatu malam saya mendengar Fudhail tengah membaca surat Muhammad hingga beliau menangis dan mengulang-ulang ayat berbunyi:
“Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu; dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ehwalmu.” 
(Surah Muhammad:31)

Beliau berkata: “Dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ehwalmu!” beliau terus mengulang-ulang: “Agar Engkau menyatakan baik buruknya hal ehwal
kami!” Jika Engkau nyatakan hal ehwal kami, akan tersingkaplah buruk-buruk kami. Jika Engkau nyatakan hal ehwal kami, nescaya Engkau akan membinasakan dan mengazab kami,” sedangkan beliau tetap terus menangis.
 
(Nur Jihan Binti Mat Basir)

Sunday, August 29, 2010

Fasa Ke 3 Ramadhan Pembebasan dari Api Neraka

Sahabat yang dikasihi Allah,
Alhamdulillah kita berada dihari terakhir fasa ke 2 iaitu "Pertengahannya keampunan daripada Allah "esok kita akan masuk fasa ke 3 iaitu "Pembebasan dari api Neraka"

Apabila kita masuk saja fasa terakhir dalam bulan Ramadhan iaitu pembebasan dari api Neraka iaitu disepuluh terakhir. Apa yang kita sangat harapkan bertemu malam Lailatul Qadar iaitu malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Di fasa ini kita di tuntut menggandakan amal ibadah, bertahajjud, berikhtikaf di masjid, membaca al-Qur'an, zikrullah, berdo'a, bermunajat dan memohon keampunan kepada Allah s.w.t dari segala dosa dan kesalahan dan memohon untuk di bebaskan dari siksaan api Neraka!

Teruskanlah ibadah dengan bersungguh-sungguh, kurangkan berbicara dan simbang-simbang kosong, tinggalkan rutin harian seperti menonton t.v dan sebagaikan, ikutilah amalan Nabi s.a.w yang merasa terlalu sibuk lebih dari masa-masa sebelumnya kerana fasa terakhir ini amat penting iaitu mendapat pembebasan dari siksaan api Neraka. Nabi s.a.w. masa 10 malam terakhir mengikat kain sarung baginda (tidak mendekati isteri-ister baginda) .Kita amat berharap belas kasihan Allah s.w.t. semoga Allah memberi pembebasan dan menyelamatkan kita dari siksaan api Neraka. Malaikat Jibril mengatakan celaka pada mereka yang berakhir Ramadhan tetapi namanya masih tercatat sebagai ahli Neraka.

Allah s.w.t. Maha Mendengar atas rintihan hamba-hamba-Nya yang mengaku atas dosa dan kesalahannya meminta rahmat dan rahim Allah s.w.t. dimalam yang penuh sahdu hingga menitiskan air mata penyesalan.

Alangkah bahagianya hidup kita apabila Allah s.w.t. mengampunkan segala dosa-dosa kita dan diredhai-Nya dan dipilih untuk memasuki Syurga-Nya seluas langit dan bumi.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "Barangsiapa yang memohon Syurga kepada Allah sebanyak tiga kali, maka Syurga itu berkata :'Ya Allah masukkanlah ia ke Syurga!' Dan barangsiapa yang memohon diselamatkan dari Neraka sebanyak tiga kali, maka Neraka itu berkata: 'Ya Allah! Selamatkanlah ia dari Neraka," (Hadis Riwayat Tirmizi)

Sahabat yang dimuliakan,
Malam Lailatul-Qadar sunat dicari, kerana malam ini merupakan suatu malam yang diberkati serta mempunyai kelebihan dan diperkenankan do'a oleh Allah  s.w.t. Malam Lailatul-Qadar adalah sebaik-baik malam mengatasi semua malam termasuk malam Jumaat. Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Al-Qadr 97  Ayat 3.
Maksudnya:
" Malam Lailatul - Qadar lebih baik daripada seribu bulan"

Ertinya menghidupkan malam Lailatul-Qadar dengan mengerjakan ibadah adalah lebih baik daripada beribadah pada seribu bulan yang tidak ada Lailatul-Qadar seperti sabda Nabi s.a.w.maksudnya :
" Sesiapa menghidupkan malam Lailatul-Qadar kerana beriman serta mencari pahala yang dijanjikan akan mendapat pengampunan daripada dosa-dosa yang telah lalu "

Diriwayatkan daripada Saiyidatina Aisyah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. apabila tiba 10 hari terakhir bulan ramadhan, baginda menghidupkan malam-malamnya dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya.

Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan maksudnya : " Rasulullah s.a.w. berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh
akhir Ramadhan melebihi usahanya daripada malam-malam lain. "

Malam Lailatul-Qadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya :
" Carilah malam Lailatul-Qadar pada sepuluh akhir bulan Ramadhan dalam malam ganjil. "

Pendapat yang terkuat mengikut para ulama' bahawa malam Lailatul Qadar terkena pada malam 27 Ramadhan. Menurut Abu Ka'ab katanya, "Demi Allah sesungguhnya ibn Mas'ud telah meyakinkan bahawa malam Lailatul-Qadar jatuh dalam bulan Ramadhan manakala Lailatul-Qadar pula terjatuh pada malam 27, akan tetapi dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbangkan kamu tidak lagi berusaha mencarinya."

Daripada Riwayat Mu'awiyah maksudnya : " Bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda dalam malam lailatul-qadar
iaitu malam ke-27. "

Riwayat ini disokong oleh pendapat Ibn Abbas yang mengatakan bahawa surah Al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu terjatuh kepada dhamir(hia) yang kembalinya kepada Lailatul-Qadar.

Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah Hadis  daripada Ibn Umar r.a yang berbunyi maksudnya :" Sesiapa yang mencari Lailatul-Qadar , dia hendaklah mencarinya pada malam yang ke-27, carilah kamu malam Lailatul-Qadar pada malam yang ke-27. "

Aisyah r.a. bertanya kepada Rasulullah, katanya, "Ya Rasulullah s.a.w. andainya aku mendapati malam Lailatul-Qadar, apakah doa yang patut aku bacakan? Rasulullah s.a.w. berdoa dengan do'a:

" Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, oleh itu berilah keampunan-Mu untukku. "

"Ya Allah, aku memohon daripada-Mu keredhaan-Mu dan Syurga, dan aku memohon perlindungan-Mu dan dari azab api Neraka."

Sahabat,
Walaupun malam Lailatul Qadar ada riwayat menyatakan 27 Ramadhan tetapi seelok-eloknya kita isi kesemua malam terakhir (10 malam) dengan amal ibadah dan beriktikaf di masjid kerana ganjaran Ramadhan adalah cukup besar berbanding bulan-bulan yang lain. Nabi sendiri menghidupkan 10 malam terakhir dengan berikhtikaf di masjid, beribadah, solat, zikir dan baca al-Qur'an dengan penuh kesungguhan. Mintalah ampun dengan penuh khusyuk dan tawaduk kepada Allah supaya kita dibebaskan dari siksaan api Neraka.

Menghidupkan Ramadhan (Part 4)




SEDEKAH

Rasulullah s.a.w.. adalah orang yang sangat dermawan, dan kedermawanan beliau semakin bertambah pada bulan Ramadhan. Kebaikan-kebaikan yang beliau lakukan pada bulan itu melebihi angin yang berhembus.”

Dalam sebuah hadis beliau bersabda yg bermaksud:
“Seutama-utama sedekah adalah pada bulan Ramadhan.” 
(HR. At-Tirmidzi)

Zaid bin Salim meriwayatkan dari ayahandanya bahawa ia berkata: Saya mendengar Umar bin Khattab berkata: “Rasulullah s.a.w. memerintahkan kami agar bersedekah. Kebetulan aku sedang memiliki harta. Umar pun berkata: “Pada hari ini aku akan melebihi Abu
Bakar !” Umar melanjutkan: Aku pun membawa setengah dari hartaku. Rasulullah berkata: “Apa yang kamu sisakan untuk keluargamu?” “Sebanyak ini juga!” jawabku. Kemudian datanglah Abu Bakar dengan membawa seluruh hartanya. Rasulullah s.a.w. berkata: “Apa yang kamu sisakan untuk keluargamu?” .Dia menjawab: “Aku sisakan bagi mereka Allah dan RasulNya!” maka aku berkata: “Aku tidak akan mampu melebihimu selamanya.”

Diriwayatkan dari Thalhah bin Yahya bin Thalhah bahawa ia berkata:“Nenekku bernama Su’da binti ‘Auf Al-Murriyyah, beliau adalah isteri Thalhah bin ‘Ubaidillah- menceritakan kepadaku:
“Pada suatu hari Thalhah datang menemuiku dengan wajah yang kusut. Aku bertanya kepadanya: “Mengapa wajahmu kusut seperti itu?” Apa yang telah terjadi atas dirimu? Adakah sesuatu yang dapat kubantu? 

Ia berkata: “Terima kasih, kamu adalah sebaik-baik isteri seorang Muslim!” Aku bertanya lagi: “Jika demikian, apa yang terjadi atas dirimu? Ia akhirnya berkata: “Harta yang kumiliki sudah terlalu banyak dan hal itu sangat menyusahkan diriku.”

Kukatakan padanya: “Jangan terlalu bersusah, bagikan saja harta itu!” Maka ia pun membagi-bagikan harta itu hingga tidak tersisa sedirham pun.” 

Thalhah bin Yahya (cucunya) berkata:“Aku tanyakan kepada penjaga gudangnya: “Berapa harta Thalhah ketika itu?” 

“Empat ratus ribu dirham!” katanya.

Wahai saudaraku,
Banyak sekali keistimewaan bersedekah pada bulan Ramadhan, maka hendaknya engkau bersegera mengerjakannya. Keluarkanlah dengan segera sedekahmu sesuai dengan keluasan yang ada padamu. Ada beberapa bentuk sedekah pada bulan
Ramadhan, di antaranya:

A. Memberi Makan

Allah s.w.t. berfirman maksudnaya :
“Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan. Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keredhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu
dan tidak pula (ucapan) terima kasih. Sesungguhnya kami takut akan (azab) Allah kami pada suatu hari yang (di hari itu) orang-orang bermuka masam penuh
kesulitan. Maka Allah memelihara mereka dari kesusahan hari itu, dan memberikan kepada mereka kejernihan (wajah) dan kegembiraan hati. Dan Dia memberi balasan kepada mereka kerana kesabaran mereka (dengan) Syurga dan (pakaian) sutera.”
(Surah Al-Insan ayat 8-12)

Para Salafus Shalih senantiasa berlumba-lumba dalam memberi makan dan mereka lebih mengutamakannya dari ibadah-ibadah lainnya. Baik dengan memberi
makan orang yang lapar atau memberi makan seorang saudara yang soleh. Tidak disyaratkan yang diberi makan harus seorang fakir. 

Dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda yg bermaksud:
“Siapa saja di antara orang Mukmin yang memberi makan saudaranya sesama Mukmin yang lapar, nescaya Allah akan memberinya buah-buahan Syurga. Siapa saja di antara orang Mukmin yang memberi minum saudaranya sesama Mukmin yang dahaga,
nescaya Allah akan memberinya minuman Rahiqul Makhtum.” 
(HR. At-Tirmidzi)

Sebagian salaf berkata: “Mengundang makan sepuluh orang dari sahabat-sahabatku dengan makanan yang mereka gemari lebih aku sukai daripada membebaskan sepuluh orang budak dari keturunan Nabi Ismail a.s.

Sebagian besar kaum salaf mengutamakan menyediakan buka bagi orang yang berpuasa padahal mereka sendiri juga berpuasa. Di antaranya adalah Abdullah bin Umar , Dawud Ath-Tha’i, Malik bin Dinar, Ahmad bin Hambal dan lainnya. Bahkan Abdullah bin Umar selalu berbuka bersama anak-anak yatim dan fakir miskin. Kadangkala beliau tidak berbuka karena mengetahui keluarganya menolak kedatangan mereka.

Banyak di antara kaum salaf yang menyediakan makanan bagi teman-temannya padahal ia tengah berpuasa. Bahkan ia melayani teman-temannya dengan baik. Di antaranya adalah Hasan Al-Bashri dan Ibnul Mubarak.

Abu Siwar Al-‘Adawi berkata: “Dahulu ada serombongan orang dari Bani ‘Adi yang biasa solat di masjid ini. Tidak ada seorang pun di antara mereka yang berbuka puasa sendiri. Ia selalu mencari orang yang bersedia berbuka bersamanya. Jika tidak maka ia keluarkan makanannya untuk dimakan bersama orang-orang di masjid.

Ibadah berupa memberi makan akan melahirkan aspek-aspek ibadah lainnya, di antaranya, terciptanya saling mengasihi dan saling menyayangi. Di mana hal itu adalah sebab seseorang masuk ke dalam Syurga. 

Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w.. bersabda yg bermaksud:
“Kamu tidak akan masuk Syurga hingga beriman. Dan kamu tidak akan beriman hingga saling mengasihi di antara kamu.” 

Di antaranya juga, bermajlis dengan orang-orang soleh serta mengharap pahala
dari menolong mereka dalam ketaatan yang mereka dapat lakukan disebabkan makanan yang engkau berikan.

B. Menyediakan Makanan Berbuka Bagi Orang-orang Yang Berpuasa.

Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w.. bersabda yg bermaksud:
“Barangsiapa menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, nescaya ia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikitpun.” 
(HR. Ahmad dan An-Nasai)

Dalam hadis Salman Al-Farisi berbunyi:
“Barangsiapa menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, nescaya hal itu akan menjadi penghapus dosa-dosanya dan menjadi pembebas dirinya dari api Neraka. Dan ia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikitpun.”

Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, tidak semua orang mampu menyediakan buka orang yang berpuasa?” Rasulullah s.a.w.. menjawab:

“Pahala ini Allah berikan bagi siapa saja yang menyediakan makanan bagi orang yang berbuka puasa meskipun berupa susu bercampur air, kurma atau seteguk air. Barangsiapa memberikan seteguk air bagi orang yang berbuka, nescaya Allah akan memberinya minum seteguk air dari telagaku, ia tidak akan dahaga selamanya hingga masuk ke dalam Syurga.”

Nur Jihan Binti Mat Basir,