Saturday, August 4, 2012

Malam Nuzul Al-Quran Adalah Malam Al-Quran Di Turunkan.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Nuzul al-Quran iaitu masa al-Quran diturunkan kepada Junjungan Besar Rasulullah SAW. pada 17 Ramadan.

Kita sedang berada dipenghujung fasa kedua iaitu pengampunan dari Allah SWT. dan akan memasuki fasa terakhir iaitu pembebasan dari api neraka.Beberapa hari lagi akan sampai kepada Nuzul al-Quran.

Marilah kita bermuhasabah dan memerhatikan kualiti ibadah puasa yang kita laksanakan dan amalan ibadah-ibadah yang lain. Adakah ibadah puasa yang dilakukan pada zahir dan batin iaitu puasa dalam erti sebenarnya?. Sekiranya kita dapat menjaganya dan mengawal hati, nafsu dan keinginan lahiriah maka kita telah berjaya meningkatkan kualiti ibadah puasa iaitu puasa darisegi zahir dan batin.

Darisegi ibadah yang lain pula berjalan dan berterusan secara konsistan iaitu solat tarawih 8 atau 20 rekaat, solat witir 3 rekaat, solat duha, solat tahajjud, solat taubat,solat hajat, membaca al-Quran, mendengar tazkirah Ramadan, sedekah , bermunajat, berdoa dan berzikir . Tidak ada ruang langsung untuk membuang masa yang sia-sia. Berusahalah semoga Ramadan tahun ini akan menjadi Ramadan terbaik untuk kita.

Sahabat yang dimuliakan,
Peristiwa Nuzul al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat al-Quran yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW. hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada hari ini. Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW.

Ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira, bersamaan dengan tanggal 6 Ogos 610M. Perkataan “Nuzul” bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW. melalui perantaraan Malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq.

Untuk pengetahuan kalian pada awalnya Allah SWT menempatkan keseluruhan Al-Quran di LohMahfuz, iaitu satu tempat yang amat mulia dan suci. Ketika ini, Allah SWT sejak awal lagi menunjukkan kemutlakan kebijaksanaan-Nya dengan menentukan segala apa yang tercatat disitu akan benar-benar berlaku. Keyakinan akan kemuliaan al-Quran di Luh Mahfuz dinyatakan begitu jelas sekali dalam firmanNya yang bermaksud :

"Bahkan (yang didustakan itu) ialah al-Quran yang mulia, yang (tersimpan) dalam (tempat) yang terjaga (Loh Mahfuz)" (Surah al-Buruj ayat 21-22)

Langkah kedua ialah, ia diturunkan secara sekaligus dari Loh Mahfuz ke Baitul Izzah yang terletak di langit dunia pada malam yang penuh dengan kemuliaan, iaitu Malam Kemuliaan (Lailatul Qadr) di bulan Ramadan. Hal ini tercatat dalam firmanNya yang bermaksud : " Bulan Ramadan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu, dan pembeza (antara yang benar dan yang batil).." (Surah al-Baqarah ayat 185)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : "Sesungguhnya, Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemulian (Lailatul Qadr). Tahukah kamu apakah itu malam kemuliaan (Lailatul Qadr) itu?. Malam kemuliaan itu (Lailatul Qadar) lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan roh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan. Sejahtera (malam itu) sampai terbit fajar." (Surah al-Qadr ayat 1-5)

Kemudian al-Quran itu diturunkan beransur-ansur kepada Rasulullah SAW melalui perantaraan Malaikat Jibril. Peristiwa itu bermula dengan menjelmanya Malaikat Jibril dihadapan Rasulullah SAW di Gua Hira’, tepatnya ketika baginda berusia 40 tahun.

Ibnu Abbas menyatakan: "Al-Quran itu diturunkan pada malam kemuliaan (Lailatul Qadr) dalam bulan Ramadan ke langit dunia secara sekaligus, kemudian diturunkan secara beransur-ansur."

Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Lailatul Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.

Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain .

Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah SAW ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.

Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam kemuliaan (Lailatul Qadr ) pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.

Sahabat yang dihormati,
Dari maklumat serba sedikit di atas tadi sebenarnya banyak boleh dijadikan panduan kepada kalian semua beberapa panduan iaitu :

1. Tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam al-Quran.

2. Ayat pertama diturunkan ialah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui perantaraan pena dan tulisan.

3. Kelemahan umat Nabi Muhammad beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita mendapatkannya kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.

Apabila disebutkan bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di dalam al-Quran itu maka ianya memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan yang merangkumi fardu ‘ain dan fardu kifayah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains dan teknologi dan lain-lain, segalanya terdapat dalam al-Quran. Tafsiran, kupasan analisa dan penyelidikan membolehkan umat Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia ini.

Manakala penurunan al-Quran pula didahului dengan suatu kalimah ‘iqra’’ iaitu ‘baca’ di mana membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah mengiringi dengan ayat yang bermaksud; "Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan." Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. Keadaan ini menguatkan lagi bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang paling penting dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui umum melalui satu ungkapan bahawa: “ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah kuasa”.

Perkara ketiga ialah hikmah dari anugerah malam al-Qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman.

Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun 4 bulan. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita dalam ibadah.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita menghayati di malam nuzul al-Quran ini dengan azam menjadikan al-Quran sebagai peduman hidup kita, membacanya, memahami maknanya dan menghayati maksud yang terkandung di dalamnya . Semata-mata mencari keredaan Allah SWT dan mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Thursday, August 2, 2012

Sejarah Menyaksikan Kejayaan Umat Islam Berlaku Di Bulan Ramadan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Bulan Ramadan tahun ini 1433 H merakamkan beberapa peristiwa suka duka yang berlaku terhadap umat Islam di seluruh dunia. Salah satu hikmah dan fadilat puasa adalah melahirkan hati dan jiwa yang prihatin terhadap penderitaan dan musibah yang berlaku terhadap saudara-saudara kita di tempat lain. Kesan daripada puasa yang ikhlas akan mendorong kita untuk memberi sumbangan wang ringgit, harta benda, bantuan kemanusiaan dan di iringi doa kepada Allah SWT ke atas mereka yang di zalimi.


Dunia dikejutkan dengan pembunuhan kejam tanpa peri kemanusiaan kepada penduduk Islam Rohingya di Mynmar. Mereka disembelih dan dibakar hidup-hidup tidak kita samaada kanak-kanak, wanita, orang dewasa dan orang tua. Mayat yang mati dibiarkan bergelimpangan tanpa di kapan dan dikebumikan dengan sempurna.


Di Syria pula Rejim Bashar Assad laknatullah berterusan membunuh rakyatnya sendiri terdiri daripada umat Islam Ahli Sunnah Wal jamaah samaada disembelih atau di bom secara membuta tuli samaada dengan menggunakan  jet pejuang dan kereta kebal. Umat Islam yang cintakan kebenaran dan berjihad di jalan Allah telah bangun untuk menentang dan menjatuhkan rejim yang zalim dan ganas. Roh dan semangat Ramadan tidak melunturkan semangat para mujahidin di Syria untuk menyahut panggilan jihad dijalan Allah untuk menghancurkan pemerintah yang zalim.


Umat Islam Palestin yang telah lama di tindas oleh Rejim Zionis laknatullah tetap bersiap siaga dengan semangat jihad dan bersedia berkorban bila-bila masa walaupun mereka sedang berpuasa. Puasa tidak menghalang mereka untuk berjihad dijalan Allah SWT. Beberapa orang imam muda Gaza (hafiz) yang dihantar oleh kerajaan Hamas Palestin ke Malaysia untuk mengimamkan solat terawih dan memberi tazkirah adalah salah satu usaha-usaha jihad yang berterusan dan sebagai latihan terhadap pemimpin pelapis akan datang untuk meneruskan jihad hingga tertegaknya negara Islam Palestin.

Ketika menyambut Ramadan pada tahun ini (1433 H) terdapat beberapa peristiwa yang mengembirakan umat Islam iaitu dengan kejatuhan rejim-rejim zalim yang telah menindas umat Islam selama puluhan tahun . Negara-negara Islam seperti Mesir, Tunisai, Libya dan Yaman telah dijatuhkan oleh rakyatnya sendiri yang cintakan keadilan dan kebebasan bersuara. Peristiwa ini menjadi sebagai pengubat rindu setelah sekian lama umat Islam ditindas dan dinafikan hak bersuara dan memilih pemimpin yang adil dan amanah.


Sahabat yang dimuliakan,
Ramadan adalah bulan yang mulia disisi Allah SWT. Kehadiran Ramadan umat Islam diwajibkan berpuasa dan melaksanakan ibadah dengan penuh kusyuk semata-mata mencari keredhaan Allah SWT.


Namun begitu dibulan Ramadan ini juga mengandungi rahsia kejayaan Rasulullah SAW dan sahabat-sahabatnya dan juga para mujahid Islam dalam usaha untuk mempertahankan Islam dan mengembalikan balik kedaulatan Islam . Islam hanya mampu dihayati sepenuhnya apabila wujud Daulah Islamiah dan melaksanakan hukum-hukum Allah SWT di dalamnya.

Perlulah kita faham bahawa kewajipan berpuasa dengan kewajipan berjihad tidak ada bezanya. Malah puasa yang sedang umat Islam lakukan benar-benar menjadi penguat rohiyah yang jauh melebihi kekuatan fizikal. Semasa berpuasalah semangat jihad dan pengorbanan akan terbentuk didalam hati dan jiwa orang mukmin.

Terdapat beberapa peristiwa dalam sejarah Islam, kejayaan umat Islam berjaya dalam jihad dan peperangan ketika berhadapan dengan tentera kuffar ianya berlaku didalam bulan Ramadan. Peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Perang Badar al-Qubra .

Dengan pertolongan Allah SWT Rasulullah SAW dan sahabat-sahabatnya telah berjaya mengalahkan pasukan kafir Quraish meskipun secara fizikal dan material memihak kepada Quraish.

Perang Badar al-Kubra adalah antara peristiwa penting dalam sejarah Islam yang berlaku pada bulan Ramadan. Perang itu berlaku pada 17 Ramadan tahun kedua hijrah, menyaksikan pertembungan antara tentera Islam yang disertai 313 orang dengan bala tentera kafir musyrikin seramai 1,000 orang.

Jumlah tentera yang tidak seimbang itu menyebabkan Rasulullah berdoa kepada Allah SWT sambil bermunajat: "Ya Allah! Ya Tuhanku! Perkenankan apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah! Ya Tuhanku! Jika Jemaah Islam ini binasa, maka tidak akan ada lagi orang yang akan menyembah-Mu di bumi ini."

Baginda terus berdoa sehingga selendangnya jatuh daripada bahunya. Lantas datang Abu Bakar al-Siddiq mengambil selendang itu, lalu meletakkannya kembali pada bahu Baginda. Kemudian beliau berdiri di belakang Rasulullah SAW seraya berkata: "Wahai Nabi Allah! Cukuplah doamu itu kepada Allah. Mudah-mudahan Allah akan makbulkan permintaanmu dan akan penuhi janji-Nya kepadamu."

Selepas itu, turun wahyu yang bermaksud: "(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu Allah perkenankan permohonan kamu (dengan firman-Nya): 'Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) daripada malaikat yang datang berturut-turut."
(Surah al-Anfal ayat 9)

Kisah ini menggambarkan dengan jelas peranan doa dalam kehidupan muslim. Setiap muslim dituntut berdoa hanya kepada Allah SWT. Ia juga menunjukkan betapa manusia adalah makhluk lemah dan serba dhaif. Oleh itu, manusia berhajatkan kepada pertolongan Allah sebagai Pencipta alam semesta yang Maha Berkuasa. Kepada-Nya setiap muslim bergantung harapan dan memohon bantuan sebagaimana maksud daripada surah al-Fatihah yang diulang-ulang sekurang-kurang 17 kali sehari semalam maksudnya: "Engkaulah saja (Ya Allah) yang kami sembah dan kepada Engkaulah saja kami memohon pertolongan."
(Surah al-Fatihah, ayat 5)

Maka tidak hairan baginda sentiasa menggalakkan umat Islam agar tidak putus-putus berdoa kepada Allah SAW  dalam semua keadaan tidak kira pada masa senang atau susah, kaya atau miskin dan seterusnya. Baginda pernah bersabda maksudnya: "Doa adalah senjata mukmin dan tiang agama serta sinaran cahaya yang menerangi langit dan bumi."
(Hadis riwayat Abu Ya'la)

Kedua : Perang Khandak .

Pada bulan Ramadan tahun 5H pula, Rasulullah SAW dan para sahabat melakukan persiapan untuk Perang Khandak. Persiapan dilakukan dengan menggali parit (khandak) di sekeliling kota Madinah. Taktik yang diusulkan oleh Salman Al-Farisi ini tidak pernah digunakan oleh bangsa Arab sebelum ini. Peperangan Khandak akhirnya terjadi pada bulan Syawal dan berakhir pada bulan Dzulkaedah dengan kemenangan berpihak kepada kaum muslimin setelah Allah SWT menurunkan bantuan-Nya berupa angit ribut menghancurkan kekuatan tentera kafir Quraish.

Ketiga : Pembukaan Kota Mekah .

Satu lagi peristiwa penting berlaku pada 21 Ramadan 8H yakni Fathul (pembukaan) Mekah. Rasulullah SAW. keluar dari Madinah pada 10 Ramadan dan berpuasa, lalu diikuti para sahabat. Mereka berbuka di suatu tempat yang dipanggil Mukaddid (antara Asfan dengan Amjad). Mekah jatuh ke tangan kaum muslimin tanpa pertumpahan darah. Menurut Ibnu Ishaq, penaklukan itu terjadi pada 10 malam terakhir bulan Ramadan. Peristiwa penting ini telah menyaksikan berapa ramai dari para sahabat khasnya golongan muhajirin menitiskan air mata gembira kerana kejayaan mereka menawan¡ kembali kota yang dulunya menjadi tempat mereka dihina dan diseksa di dalam perjuangan menegakkan agama Allah.

Kisah yang terjadi pada 10 Ramadan tahun ke-8 Hijrah adalah Pembukaan Kota Mekah (Fathul Makkah) di mana umat Islam telah berjaya menakluki Mekah dan ia merupakan kejayaan yang terbesar kepada umat Islam apabila berjaya menguasai Mekah dan Madinah sekaligus menjadikan kedua-duanya sebagai pusat yang penting bagi Daulah Islamiah di bawah kepimpinan Rasulullah SAW.

Kejayaan umat Islam pada waktu itu bukan sahaja dapat menakluki Mekah, bahkan hasil penaklukan kota Mekah itu telah menyebabkan penduduk Mekah yang dahulunya kafir telah berbondong-bondong memasuki agama Allah SWT. Ini terkandung di dalam al-Quran.

Firman Allah SWT maksudnya : "Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Mekah) . Dan engkau melihat manusia berbondong-bondong masuk ke dalam agama Allah. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampunan padaNya, Sesungguhnya, Dia Maha Penerima Taubat".(Surah an-Nasr ayat 1-3)

Ayat ini jelas menceritakan kisah Fathul Makkah (pembukaan Kota Mekah) dan dalam ayat ini juga, Allah SAW. menyeru agar hamba-hambaNya bertasbih kepadaNya apabila beroleh kemenangan sebagai tanda mensyukuri atas nikmat yang diberikan. Seperti yang kita sedia maklum, kita juga akan bertasbih, bertakbir dan bertahmid meraikan hari kemenangan seperti pada Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha khususnya.

Ibnu Qayyim Al-Jauzi telah berkata :  "Ianya satu pembukaan teragung yang dengannya Allah SWT memuliakan agama-Nya, Rasul-Nya, tentera-Nya dan parti-Nya yang beramanah, dengannya juga Allah SWT telah menyelamatkan negeri-negeri-Nya dan rumah-Nya yang telahpun ditetapkan sebagai tempat hidayah untuk seluruh alam, menyelamatkan dari tangan-tangan kafir dan musyrikin, ianya pembukaan yang turut bergembira olehnya penghuni-penghuni langit, lanjutan kemuliaannya melimpah ke angkasa cakerawala hingga dengannya maka berduyun-duyunlah manusia menganut agama-Nya, hingga dengan-Nya wajah bumi terukir seribu senyuman mekar".

Keempat : Tentera Islam mendarat di Pantai Andalusia (Sepanyol).

Pada bulan Ramadan tahun 91H, pasukan tentera Islam mendarat di selatan Pantai Andalusia (Sepanyol) dan terus berjihad. Kemudian pada Ramadan tahun berikutnya Panglima Thariq bin Ziyad berjaya mengalahkan Raja Roderick.

Kelima : Salahuddin Al-Ayyubi mengalahkan tentera salib di Baitul Maqdis.

Pada Ramadan 584H pula menyaksikan Panglima Islam yang terkenal, Salahuddin Al-Ayyubi mendapat kemenangan besar ke atas tentera Salib. Tentera Islam menguasai daerah-daerah yang sebelumnya dikuasai oleh tentera Salib. Oleh kerana bulan Ramadan, penasihat-penasihat Salahuddin menyarankan agar dia berehat kerana risau ajalnya tiba, tetapi Salahuddin menjawab "Umur itu pendek dan ajal itu sentiasa mengancam". Kemudian tentera Islam yang dipimpinnya terus berperang dan berjaya merampas benteng Shafad yang kuat.

Keenam : Tentera Islam mengalahkan tentera Mongol .

Seterusnya dalam bulan Ramadan 658H, tentera Mongol berjaya dikalahkan di Ain Jalut dan Palestin kembali ke tangan kaum muslimin.

Banyak lagi peperangan lain yang berlaku di masa Rasulullah SAW dan juga para khalifah Islam semasa bulan Ramadan yang tidak dapat diungkapkan di sini. Catatan sejarah membuktikan kepada kita bahawa bulan Ramadan bukan sahaja dipenuhi dengan ibadah khusus tetapi juga penuh dengan perjuangan untuk menyebarkan agama Allah SAW dan meninggikan syiar Islam.

Beberapa peristiwa yang tercatat juga menunjukkan betapa Rasulullah SAW. dan para khalifah sentiasa berusaha menyebarkan rahmat Allah di muka bumi dengan jalan dakwah dan jihad meskipun mereka dalam keadaan lapar dan dahaga. Mereka tidak rela melihat dan membiarkan umat Islam terus berada di bawah kekuasaan musuh mereka. Mereka sentiasa memerangi kaum kuffar demi menjaga nasib umat Islam dari ditindas dan diancam oleh musuh Allah SWT.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita mengambil iktibar di sini bahawa bulan Ramadan bukan sahaja dituntut kita mengerjakan ibadah puasa sahaja tetapi dan melahirkan hubungan iman kita dengan Allah SWT tetapi ibadah puasa juga bertujuan memberi keyakinan kepada kita bahawa perlu dikembalikan balik Daulah Islamiah dan meletakkan Islam sebagai satu kuasa yang dapat memerintah dan Islam pastinya akan beroleh kejayaan sekali lagi seperti zaman kegemilangannya sebelum ini. Hanya Allah SWT yang mengetahui masanya. 

Alangkah indahnya jika kita dapat hidup mengikut syariat Islam di dalam semua kehidupan kita dan Islam dapat dikembalikan ditempatnya yang sebenarnya dan seluruh muka bumi Allah ini dimakmurkan dengan keadilan Islam. 

Tuesday, July 31, 2012

Allah SWT Sentiasa Menanti Taubat Para Hamba-Nya Untuk Di Ampunkan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Mukmin yang merasa dirinya hina di sisi Allah SWT sentiasa merasa bersalah dan berdosa di atas perbuatan, tutur katanya dan niat-niat yang tidak baik terhadap manusia samaada dia sedar atau pun tidak . Dia juga merasakan banyak dosa-dosa yang dilakukan terhadap Allah SWT kerana melalaikan tanggungjawab yang diwajibkan, tidak mahu menuntut ilmu, tidak mahu berdakwah dan berjihad dan membiarkan maksiat berlaku disekelilingnya tanpa di perbaiki dan juga termasuk melalaikan pendidikan terhadap isteri dan anak-anaknya.

Apa yang perlu dibina didalam diri seorang muslim bukan hanya sikap berwaspada dan berhati-hati dari menjauhi dosa. Malah tidak kurang pentingnya menanamkan sikap yang benar tentang apa dan bagaimana yang harus dilakukan ketika dosa-dosa itu terlanjur.

Terdapat beberapa jalan-jalan pengampunan yang dianjurkan oleh Islam yang boleh mengurangkan azab keatas dosa-dosa malah boleh menghapuskan semua dosa-dosa yang telah dilakukan.

Antara jalan-jalan pengampunan itu adalah :

Pertama : Bertaubat.

Terdapat banyak ayat-ayat Al-Quran, yang menyebutkan bahawa taubat itu berfungsi sebagai pengecualian dari ancaman azab yang akan diberikan kepada orang-orang yang melakukan kesalahan.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
“kecuali orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh, maka mereka itu akan masuk syurga dan tidak dianiaya (dirugikan) sedikitpun.”
(Surah Maryam ayat 60)

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :“Barangsiapa bertaubat kepada Allah sebelum matahari terbit dari barat, nescaya Allah akan menerima taubat orang tersebut.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Taubat yang dimaksudkan adalah Taubat Nasuha. Sebuah taubat yang dilakukan dengan ikhlas dan benar. Bahkan ianya adalah termasuk jalan yang paling besar dan luas untuk memperolehi pengampunan dari Allah SWT.

Kedua : Berstighfar.

Istighfar dan taubat sebenarnya tidak jauh bezanya. Kedua-duanya adalah memohon keampunan daripada Allah SWT. Rasulullah SAW .beristigfar 100 kali sehari supaya lidah dan hati sentiasa menyebut dan mengingati Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Wahai manusia, Bertaubatlah kamu kepada Allah! Sesungguhnya Aku bertaubat kepadaNya setiap hari 100 kali." (Hadis Riwayat Muslim)

Firman Allah SWT. yang bermaksud :
“Dan tidaklah Allah akan mengazab mereka, sedang mereka meminta ampun (istighfar)”
(Surah Al-Anfal ayat 33)

Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud :
“Sesungguhnya syaitan itu berkata kepada Allah : ‘Demi Izzah-Mu ya Allah, aku tidak akan berhenti menggoda hamba-hamba-Mu selama nyawa-nyawa mereka masih ada dalam jasad-jasad mereka. Maka Allah SWT. menjawab. ‘Demi Izzah-Ku dan keagongan-Ku, Aku akan mengampuni mereka selama mereka beristighfar memohon ampun kepada-Ku.”
(Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Al-Hakim)

Ketiga : Amal-amal Kebajikan.

Amal kebajikan yang dilakukan oleh seorang muslim akan dilipat gandakan oleh Allah SWT menjadi sepuluh kali atau lebih (hingga 700 kali ganda). Oleh itu amal kebajikan juga akan menjadi salah satu jalan pengampunan atas dosa-dosa kecil. Amal kebajikan adalah seperti sedekah, melapangkan kesusuahan orang ramai, membantu mangsa banjir, bencana alam dan mangsa peperangan, membina rumah anak yatim, sekolah agama dan lain-lain lagi.

Firman Allah SWT  yang bermaksud :
“Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk.” (Surah Hud ayat 114)

Abu Dzar meriwayatkan dari hadis Rasulullah SAW. yang bermaksud :
“Bertakwalah kepada Allah dimana saja kamu berada, dan iringilah perbuatan buruk itu dengan perbuatan yang baik kerana ia boleh menghapuskannya…”
(Hadis Riwayat Tirmidzi dan Ahmad)

Keempat : Musibah-musibah di dunia.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Sesungguhnya setiap musibah yang menimpa seorang muslim menjadi penebus (kifarah) atas dosanya. Bahkan sampai terpeleset kakinya, luka di jari jemarinya atau pun duri yang mengenainya.” (Hadis Riwayat Muslim dari Abu Hurairah)

Sekiranya kita sabar diatas musibah yang datang kita akan mendapat pahala dan dihapuskan dosa-dosa kita , diatas kesabaran ini  akan  menjadi sebagai penebus dosa. Kalau kita berkeluh kesah dan tidak sabar diatas ujian tadi maka kita akan mendapat dosa diatas sifat keluh kesah tadi.

Kelima : Seksa Kubur .

Azab Kubur adalah suatu yang mesti diyakini kebenarannya. Ia juga merupakan salah satu jalan pengampunan yang boleh meringankan azab yang ditimpakan Allah kepada hamba-hamba-Nya kerana dosa dan kesalahan yang dilakukan. Namun begitu azab kubur itu terbagi dua macam ;

1.  Azab kubur yang dirasai oleh orang-orang kafir selama-lamanya hingga hari kiamat.

Dari Baro’ bin Azib berkata, Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud : “Kepada orang kafir yang sudah berada di kubur dibukakan suatu pintu yang menghubungkannya dengan neraka, maka ia boleh melihat bakal tempat duduknya di neraka itu sampai hari kiamat.” (Hadis Riwayat Ahmad)

2. Azab kubur yang waktunya terbatas untuk orang-orang Islam yang berdosa. Azab ini di khususkan kepada dosa-dosa yang dikategorikan sebagai ringan dan disesuaikan dengan tingkat kesalahannya. Sehingga ia menjadi pengurang atau penebus azab yang akan menimpanya di akhirat nanti.

Keenam : Doa Orang Mukmin.

Doa dan permohonan ampun dari orang mukmin yang diminta kepada Allah SWT untuk diberikan kepada orang yang berdosa dan melakukan kesalahan. Samaada yang melakukan dosa itu masih hidup atau sudah meninggal dunia. Setiap kali apabila orang mukmin berdoa samaada secara individu atau berjemaah selepas solat atau selepas majlis ilmu akan mengurangkan beban dosa orang mukmin yang lain.

Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud :
“Doa seorang muslim untuk saudaranya sesama muslim dengan tidak diketahuinya adalah sangat mustajab. Diatas kepalanya diutus seorang malaikat. Setiap kali ia berdoa dan memohon kepada Allah untuk saudaranya itu suatu permohonan yang baik, maka mengaminkannya. Dan sesungguhnya untukmu seperti yang engkau mohonkan untuk saudaramu itu.” (Hadis Riwayat Muslim dari Abu Darda’)

Ketujuh : Hadiah Pahala Untuk Muslim (yang telah meninggal dunia)

Apa yang dihadiahkan seorang muslim yang masih hidup kepada saudaranya yang telah meninggal dunia. Hadiah tersebut berupa pahala sedekah, pahala bacaan al-Quran, pahala haji dan seumpamanya akan sampai kepada saudaranya (samaada ibu, bapa, anak, adik beradik, suami, isteri atau sahabatnya)

Para ulama  sependapat bahawa apabila meninggal dunia seorang muslim maka ia masih dapat memperolehi manfaat dari orang yang masih hidup lantaran dua perkara :

1. Sumbernya dari orang yang mati itu sendiri ketika ia masih hidup seperti amal jariah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Apabila meninggal dunia seorang anak Adam maka putuslah segala amalannya kecuali tiga iaitu sedekah yang ditinggalkan semasa hidupnya, ilmu yang di manfaatkan dan anak yang soleh yang mendoakan kedua ibu bapanya.”

2. Doa kaum muslimin untuknya, pahala sedekah yang di peruntukkan kepadanya, haji dan lainnya. Ada pun pahala dari amal-amal seperti membaca Al-Quran, zikir dan lain-lain menurut Imam Ahmad dan Imam Abu Hanifah boleh sampai kepada simati tersebut kalau memang dihadiahkan kepadanya .

Kelapan : Syafaat Dari Mereka Yang Berhak Memberi Syafaat.

Diantara jalan pengampunan yang lain ialah syafaat dari mereka yang diizinkan Allah untuk memberi syafaat. Syafaat untuk meringankan atau membebaskan orang-orang yang harus mendapat seksaan di akhirat nanti. Mereka-mereka yang diberi keistimewaan adalah seperti berikut :

1. Rasulullah SAW .

Syafaat untuk meringankan seksa keatas orang-orang tertentu seperti bapa saudara baginda Abu Talib, begitu juga syafaat baginda ke atas orang-orang yang melakukan dosa-dosa besar agar boleh dikeluarkan dari neraka.

Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud : “Diantara syafaatku ialah untuk orang yang melakukan doas besar dikalangan umatku.”
(Hadis Riwayat Abu Daud)

Untuk mendapat syafaat Rasulullah SAW hendaklah banyak mengamalkan sunah Nabi SAW dan membaca selawat untuk baginda.

2. Para Malaikat, para Nabi-nabi dan orang-orang yang beriman ;

Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud : “…maka para malaikat telah memberi syafaat, para nabi sudah memberi syafaat, orang-orang beriman telah pun memberi syafaat… maka tidak ada lagi kecuali Zat Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Kemudian setelah berkata demikian Allah mengambil dengan sekali genggaman-Nya itu dari neraka orang-orang yang belum pernah berbuat kebaikan sedikitpun…”
(Hadis Riwayat Muslim)

Namun begitu, syafaat hanya berlaku untuk orang-orang yang memang dihatinya ada tauhid meskipun sebesar zarah.Syafaat tidak berlaku untuk mereka yang memang harus kekal dalam neraka seperti orang-orang kafir dan munafik. Maka jika begitu kita mesti berhati-hati jangan sampai terjejas akidah kita kepada Allah SWT.

Sahabat yang soleh juga boleh memberikan syafaat. Ulama Salaf ada memberi pesanan : "Carilah banyak sahabat, kerana sesungguhnya tiap-tiap mukmin itu mempunyai syafaat.Maka semoga engkau dapat masuk ke dalam syafaat sahabatmu. Orang-orang beriman dan beramal soleh dapat memberi syafaat (pertolongan) kepada sahabat-sahabatnya dan membawa masuk kedalam syurga. Dikatakan juga , apabila Allah SWT. mengampunkan dosa seseorang, maka orang tersebut akan dapat memberi syafaat kepada sahabat-sahabatnya."

Kesembilan : Ampunan dan Kemaafan Allah SWT. diluar Syafaat-Nya.

Ini adalah jalan pengampunan terakhir.Keampunan daripada Allah SWT yang boleh meringankan atau menghapuskan sama sekali azab yang sepatutnya di terima oleh sesaorang yang melakukan dosa dan kesalahan didunia.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syrik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari itu (syirik), bagi siapa yang dikehendaki-Nya.” (Surah An-Nisaa’ ayat 48)

Ini adalah jalan pengampunan yang terakhir. Semuanya bergantung kepada kehendak Allah SWT. Untuk mengampuni siapa saja yang Dia kehendaki selain daripada dosa syirik. Adapun mereka yang tidak diampuni dosanya maka mereka terpaksa memasuki neraka terlebih dahulu untuk membersihkan keimanannya daripada kotoran dosa-dosanya.

Sahabat yang dikasihi,
Jalan-jalan pengampunan telah dihamparkan di hadapan kita. Di bulan yang mulia ini perlulah kita banyak memohon keampunan daripada Allah SWT. Allah SWT memiliki sifat Al-Ghaffar ( Maha pengampun).

Marilah sama-sama kita bertaubat dengan taubat yang sebenar-benarnya supaya kita mendapat rahmat dan kasih sayang Allah SWT.dan di masukkan kedalam Syurga Firdaus dan kekal kita semua di dalamnya insya Allah.

Firman Allah SWT  yang bermaksud : “Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.” (Surah Ali Imran ayat 133)




Hayati Keistimewaan Dan Kemuliaan Surah Al-Fatihah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Surah al-Fatihah adalah surah Makkiyyah mengandungi tujuh ayat. Surah yang wajib dibaca berulang-ulang setiap rekaat semasa solat. Tidak sah solat tanpa membaca surah ini. Surah al-Fatihah juga dipanggil sebagai Umm al-Quran (ibu al-Quran) atau Umm al-Kitab (ibu al-Kitab)

Kita mengerjakan solat 5 waktu sehari, dan ini bermakna kita membaca Al-Fatihah sebanyak 17 kali setiap hari. Keistimewaan dan kebaikan surah ini cukup jelas ianya merangkumi maksud yang terkandung di dalam keseluruhan al-Quran nul Karim.
As-Shahid Hasan al-Banna dalam risalahnya "Mukadimah fi at-Tafsir " berkata  : "Tiada syak siapa yang tadabbur al-Fatihah yang mulia ini pasti dapat melihat kayanya makna dan keindahannya serta keserasiannya, antara lain dapat dilimpahi cahaya pada hatinya."

As-Shahid Syed Qutb dalam tafsirnya "Fi Zilal al-Quran" antara lain berkata : "Sesungguhnya surah ini mengandungi inti pati akidah Islamiah, tasawur Islam, perasaan dan harapan doa kepada Ilahi yang diisyaratkan daripada hikmah pemilihan surah ini pada setiap rakaat solat.

Surah al-Fatihah adalah ibu al-Quran yang diasaskan dengan maksud-maksud secara menyeluruh, terdiri daripada usul ad-din dan cabang-cabangnya seperti akidah, ibadah, tasyri’, iqtikad dengan hari akhirat, beriman dengan sifat-sifat Allah yang mulia, mengesahkannya dalam beribadah, meminta pertolongan dan doa kepada Allah SWT.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita hayati dan amalkan Surah al-Fatihah ini kerana ianya mengandungi beberapa keistimewaan yang tidak terdapat di dalam surah-surah lain di dalam al-Quran.

Pertama : Paling Besar (A’zham)

Abu Said al-Ma’alli r.a., katanya : “Aku sedang solat, lalu dipanggil oleh Rasulullah SAW., maka tak dapat aku menyahut. Sesudah aku selesai solat, aku datangi baginda, Rasulullah berkata : Kenapa engkau tidak segera mendatangiku ? 
Aku menjawab : Kerana aku dalam bersolat ya Rasulullah.
Berkata Rasulullah : Bukankah Allah sudah berfirman : 'Hai orang-orang beriman, sahutilah seruan Allah dan Rasul bila menyeru kamu kepada apa yang menghidupkan kamu'. 
Kemudian baginda berkata : 'Aku akan mengajarkan kepadamu sebesar-besar surah di dalam al-Quran sebelum engkau keluar dari masjid ini'. 
Ketika Rasulullah akan keluar dari masjid, baginda memegang tanganku, lalu aku berkata : 'Ya Rasulullah, Engkau mengatakan mahu mengajarkan kepadaku sebesar-besar surah di dalam al-Quran.'
Berkata Rasulullah : 'Ya, ialah al-Hamdulillahi Rabbil “Aalamin (dan seterusnya), ialah 7 ayat yang berulang-ulang, dan itulah al-Qur’an al-‘Azhim yang telah disampaikan kepadaku” (Hadis Riwayat Bukhari, Abu Dawud, an-Nasa’i)

Kedua : Dua cahaya untuk Nabi SAW.

Ibnu Abbas r.a. katanya : “Pada suatu hari Rasulullah SAW. duduk bersama Jibril, tiba-tiba Rasulullah mendengar suatu bunyi dari atas, lalu Jibril menoleh ke atas, kemudian lalu berkata : “Itu sebuah pintu sudah terbuka di langit, dan tak pernah pintu itu terbuka sebelum ini”, dari pintu itu turun satu malaikat, yang langsung menuju kepada Rasulullah, dan berkata : “Bergembiralah engkau (Muhammad) mendapat dua cahaya yang aku bawakan ini, yang tak pernah kedua cahaya ini diberikan kepada Nabi yang manapun sebelum engkau, kedua cahaya itu ialah Fatihatul-Kitab dan beberapa ayat di akhir Surah al-Baqarah, setiap huruf engkau baca dari keduanya pasti engkau mendapatkannya”.
(Hadis Riwayat Muslim dan Nasa'i)

Ketiga : Langsung mendapat jawapan daripada Allah SWT.

Siapa yang membaca Surah al-Fatihah, setiap ayat yang dibaca itu langsung dijawab oleh Allah SWT.  
Dari Abu Hurairah r.a. katanya : “Kami berada di belakang Imam (bersolat), maka berkatalah Imam itu kepadaku : “Bacalah al-Fatihah dalam hatimu, kerana aku telah mendengar Rasulullah SAW. mengatakan : Telah berkata Allah Azza-wa Jalla : Aku bagi solat (di sini maksudnya ialah al-Fatihah) antaraKu dan hambaKu menjadi dua bahagian (maksudnya : seperdua untukKu dan seperdua lagi untuk hambaKu), dan bagi hambaKu apa yang mereka minta."
Apabila hambaKu itu berkata : “Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalamin”, 
Allah menjawab : ”HambaKu memujiKu” ;
dan apabila hambaKu berkata : “Arrahmaanir Rahiim” , 
Allah menjawab : “HambaKu menyanjungKu” ; 
dan apabila hambaKu berkata : “Maaliki Yaumiddin”, 
Allah menjawab : “HambaKu memuliakanKu”, 
dan apabila hambaKu berkata “Iyyaka na’budu wa iyyaka nasta’iin”, 
Allah menjawab : “Ini seperdua untukKu dan seperdua untuk hambaKu, 
bagi hambaKu, apa yang ia minta; 
dan apabila hambaKu berkata “Ihdinashshiraathalmustaqiim, shiraathal ladzina an’amta ‘alaihim, ghairil maghdhuubi ‘alaihim waladh-dhaalliin”, 
Allah menjawab : Ini semuanya untuk hambaKu, dan bagi hambaKu apa yang ia minta”.
(Hadis Riwayat Muslim)

Keempat : Langsung Dari Arasy

Dari Ma’qal bin Yasaar r.a. : Telah berkata Rasulullah SAW  maksudnya : “Amalkanlah segala apa yang tersebut di dalam al-Quran, halalkanlah apa yang dihalalkannya, haramkanlah apa yang diharamkannya, dan patuhilah ia, jangan sekali-kali engkau engkar apa-apa yang tersebut di dalamnya, dan apa-apa yang kamu ragukan (maksudnya), kembalikanlah kepada Allah dan orang-orang yang mempunyai pengetahuan sesudah meninggal aku nanti, supaya diterangkannya kepada kamu, dan berimanlah kamu dengan Taurat, Injil dan Zabur, dan apa saja yang dibawa oleh para Nabi dari Tuhan mereka, dan akan memberi kelapangan kepadamu al-Quran dan segala keterangan yang tersebut di dalamnya, maka sesungguhnya al-Quran itu Pemberi Syafaat, sesuatu yang tak pandai bercakap tetapi membawa kebenaran, dan kepadaku diberikan Allah Surah al-Baqarah dari ZIKIR PERTAMA (Kitab-Kitab Suci yang diturunkan sebelum Musa a.s.) dan diberikan kepadaku surah yang berawalan Thaha, Thasin dan Hamim dari Papan-papan Musa (maksudnya : TAURAT), dan diberikan kepadaku Surah al-Fatihah langsung dari Arasy”.(Hadis Riwayat al-Hakim)

Kelima : Sebagai Ubat dan jampi.

Dari Abu Said al-Khudri r.a. “Pada suatu hari kami bersama-sama dalam perjalanan, bermalam di satu dusun. Datang kepada kami seorang budak perempuan dan berkata : “Sesungguhnya kepala desa ini sakit dan tak seorangpun di antara kami yang dapat mengubatinya, adakah diantara tuan-tuan yang dapat mengubatinya ?” Salah seorang dari rombongan kami berdiri dan mengikuti budak tadi. Kami tidak mengira yang ia dapat menjadi dukun. Si sakit itu lalu dijampinya dan sembuh. Kepadanya diberi hadiah 30 ekor kambing, dan kepada kami disuguhkan susu. Ketika ia kembali kami bertanya : “Apakah engkau membolehkan jampi, dan apakah engkau tukang jampi ?” Ia menjawab : “Tidak, saya bukan tukang jampi, tetapi aku hanya membacakan Ummul-Kitab (al-Fatihah).” Kami katakana : “Kejadian ini jangan dikabarkan kepada siapapun, sebelum kita tanyakan kepada Rasulullah s.a.w. lebih dahulu”. Sesudah kami sampai di kota Madinah, kami datangi Rasulullah s.a.w. dan kami ceritakanlah kejadian itu. Rasulullah lalu berkata : “Siapa tahu bahwa surah itu (al-Fatihah) adalah jampi (ubat) bagilah hadiah itu dan berikan saya sebahagian darinya”.(Hadis Riwayat Bukhari)

Keenam : Aman Dari Segala Bahaya.
Dari Anas r.a. : Berkata  Rasulullah SAW. : “Bila engkau baca al-Fatihah dan Qul Huwallahu Ahad maka amanlah engkau dari segala sesuatu, kecuali dari maut”. (Hadis Riwayat al-Buzar)

Sahabat yang di hormati,
Surah Al-Fatihah sebenarnya macam suatu doa dan munajat kita sebagai hamba-Nya. Adalah penting untuk kita sentiasa mengharapkan pertolonganNya. Konsep kepercayaan kepada Tuhan yang Esa dan konsep bergantung kepada Allah SWT. sahaja.

Didalam surah ini juga terangkum Tauhid Rububiyah dan Tauhid Uluhiyah. Di dalam Tauhid Rububiyah mengandungi sifat-sifat kesempurnaan Allah SWT., nama-nama Allah yang mulia dan dan kekuasaan Allah SWT mentadbir Allah semesta dan berkuasa di hari akhirat. 

Di dalam Tauhid Uluhiyah pula adalah pengabdian diri sepenuhnya manusia kepada Allah SWT, termasuk juga penyembahan, pergantungan dan pengharapan manusia kepada-Nya. 

Jalan yang lurus dalam surah ini bermaksud jalan hidup Islam yang sempurna dan lengkap. Jalan yang membolehkan manusia merasai nikmat iman, jalan ketaataan, jalan beramal dan beribadah hanya kerana Allah, jalan melakukan kebaikan dan menjauhi keburukan, sebagaimana yang dikehendaki dan diredhai oleh Allah SWT.  Jalan-jalan lain yang bengkuk adalah jalan syaitan yang akan menyesatkan manusia.

Siapakah golongan yang diberi nikmat oleh Allah SWT.? Allah SWT menjelaskan dalam surah An-Nisa' bahawa mereka yang diberi nikmat adalah para Nabi, para shiddiqun, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang soleh seperti didalam firman-Nya yang bermaksud :"Dan barangsiapa yang menaati Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu para nabi, para shiddiqun, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang saleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah karunia dari Allah, dan Allah cukup mengetahui." 
(Surah An-Nisa' ayat 69 - 70).

Di akhir surah ini minta dijauhi daripada orang yang dimurkai Allah SWT dan orang yang sesat. Siapkah orang yang di murkai Allah SWT dan orang yang sesat? 
Menurut Hadis Nabi  SAW.: "Orang-orang yang dimurkai" itu ialah kaum Yahudi, dan “Orang-orang yang sesat” ialah kaum Nasrani.” (Tafsir Al-Alusi, 1:90).

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita tadabbur dengan surah al-Fatihah , faham makna dan tafsirnya supaya kita mendapat khusyuk semasa menunaikan solat (ketika membaca surah al-Fatihah), seolah-olah kita sedang berbicara secara langsung dengan Allah SWT. Amalkan juga membaca surah ini ketika di luar solat kerana hikmah dan kebaikannya cukup besar akan terpelihara daripada sebarang musibah dan bala dan dapat menjalin hubungan hati dengan Allah SWT.

Monday, July 30, 2012

Fasa Kedua Ramadan : Pengampunan Daripada Allah SWT (Maghfirah)

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Alhamdulillah, kita baru sahaja selesai melalui Fasa Pertama keistimewaan bulan Ramadan iaitu permulaannya rahmat dan kita akan masuk Fasa Kedua pertengahannya maghfirah (keampunan Allah SWT)

Bulan suci Ramadan dikenal juga sebagai syahrul maghfirah (bulan ampunan), kerana di bulan inilah Allah SWT berkenan memberikan maghfirah-Nya dengan sangat murah kepada para hamba-Nya yang ingin bertaubat. Dan bagi mereka yang sudah memperoleh maghfirah-Nya, tidak ada balasan lain selain syurga. Sehingga seolah-olah Allah memberi tawaran istimewa untuk mendapat syurga-Nya di bulan ini. 

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Barangsiapa mengerjakan ibadah (qiyam) pada bulan Ramadan kerana iman dan mencari reda Allah semata, maka diampunilah dosanya yang telah lalu." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
 
Berlimpahnya maghfiroh dari Allah ini memang tidak mengherankan, mengingat Allah SWT memiliki sifat Al-Ghaffar ( Maha pengampun). Nah agar kita lebih meyakini dan menghayati ke Maha Pengampunan Allah SWT

Firman Allah SWT maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha (taubat yang semurni-murninya), mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai” (Surah at-Tahrim ayat 8)

Ibnul Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah telah menggariskan cara taubat nasuha:

1) Meminta pengampunan (taubat) yang meliputi segala dosa-dosa maksiat tanpa ada kecualinya, sehingga tidak ada dosa yang tidak disertakan dalam taubatnya.

2) Membulatkan tekad dan kejujuran hati dengan sepenuhnya supaya tidak menyeksa pada dirinya keragu-raguan, kekesalan atau menanti-nanti (masa bertaubat). Tetapi seorang hamba harus mengerahkan segala keinginan dan ketekadannya untuk segera bertaubat.

3) Memurnikan taubat dari berbagai noda dan penyakit yang mengganggu keikhlasan bertaubat.

4) Memastikan agar taubat itu benar-benar dari rasa takut, kesedaran dan gentar terhadap seksa Allah SAW, mengharapkan apa yang ada di sisiNya dan khawatir terhadap ancamanNya.

Allah SWT berfirman lagi: “Katakanlah! Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan semua dosa”. (Surah az-Zumar ayat 53)

Dari Abu Musa al-Asy’ari radiallahu ‘anhu beliau menceritakan: Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya Allah Azza wa-Jalla membentangkan tanganNya di malam hari untuk menerima taubat orang yang berbuat dosa di siang hari dan membentangkan tanganNya di siang hari untuk menerima taubat orang yang berdosa di malam hari. Demikianlah seterusnya sehingga sampai matahari terbit dari barat (kiamat)”.
(Hadis riwayat Muslim)

Berkata Luqmanul al-Hakim kepada anaknya : “ Biasakan lisanmu dengan perkataan : "Ya Allah, ampunkanlah daku", sesungguhnya Allah menjadikan beberapa waktu yang tidak ditolak doa seseorang.”

Berkata Hassan al-Basri : “ Perbanyakkan istighfar di rumah-rumahmu, hidangan-hidanganmu, jalananmu, pasar-pasarmu, serta dalam majlis-majlismu, dan dimana sahaja kamu berada. Sesungguhnya kamu tidak tahu bilakah turunnya keampunan.”

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita bermuhasabah dan memerhatikan kualiti ibadah puasa yang kita laksanakan dan amalan ibadah-ibadah yang lain. Adakah ibadah puasa yang dilakukan pada zahir dan batin iaitu puasa dalam erti sebenarnya?. Sekiranya kita dapat menjaganya dan mengawal hati, nafsu dan keinginan lahiriah maka kita telah berjaya meningkatkan kualiti ibadah puasa iaitu darisegi zahir dan batin.
 
Puasa pada hati iaitu menghidupkan hati dengan zikrullah, mengingati Allah, meningkatkan iman, takwa, tawakkal, tawaduk, sabar dan membuangkan sifat-sifat mazmumah (sifat –sifat yang dikeji seperti hasad dengki, iri hati, sombong , takbur dan buruk sangka).

Puasa pada nafsu tidak makan dan minum disiang hari dan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa dan tidak makan dan minum berlebihan ketika berbuka. Kontrol nafsu makan dan tidak melakukan pembaziran.

Puasa pada pancaindera iaitu menjaga mulut, mata, telinga dan anggota lain supaya tidak melakukan sesuatu yang ditegah oleh syarak.

Darisegi ibadah yang lain pula berjalan dan berterusan secara istiqamah iaitu solat tarawih, solat duha, solat tahajjud, solat taubat,solat hajat, membaca al-Quran, mendengar tazkirah Ramadan, sedekah , bermunajat, berdoa dan berzikir . Tidak ada ruang langsung untuk membuang masa yang sia-sia.

Sekiranya apa yang dinyatakan diatas terdapat didalam puasa kita dan perlaksanaan ibadah-ibadah yang lain, memenuhi ciri-ciri tersebut insya Allah kita mempunyai puasa yang berkualiti seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT . Pengampunan daripada Allah SWT seiring dengan puasa yang berkualiti.

Sahabat yang dikasihi,
Dalam fasa kedua ini Allah SWT. akan menerima dan memberi pengampunan kepada hamba-hamba-Nya yang merayu , berdoa dan memohon keampunan daripada-Nya.
 
Amalkanlah membaca doa ini sebelum membuat sebarang permohonan kepada Allah SWT. agar doa kita diterima oleh-Nya.

“Ya Allah, ampunkanlah bagiku amalan yang telah kukerjakan dan apa yang akan kukerjakan, sesuatu yang aku sembunyikan dan sesuatu yang aku nyatakan, sesuatu yang tidak sengaja kulakukan dan sesuatu yang Engkau lebih mengetahuinya daripadaku. Engkaulah yang terawal dan Engkau yang terakhir, tiada Tuhan selain Engkau.”
 
“Ya Allah, aku pohon perlindungan daripada azab api neraka dan azab kubur dan fitnah kehidupan dan kematian dan fitnah al-Masih al-Dajjal.”
 
“Ya Allah, aku pohon perlindungan daripada dosa dan hutang.”
 
“Ya Allah, aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang besar dan tidaklah dapat mengampunkan aku melainkan Engkau, maka ampunilah aku dengan keampunan daripada-Mu dan rahmatilah aku, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

"Ya Allah berikanlah kepada kami kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat dan bebaskanlah kami daripada seksaan api neraka."


Sunday, July 29, 2012

Muhasabah Diri Untuk Menjadi Insan Soleh Dan Bertakwa.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT sehingga ke hari ini Allah SWT masih memanjangkan umur kita di bulan Ramadan al-Mubarak, dapat meneruskan ibadah puasa dan dapat meneruskan ibadah rutin kita setiap hari. Tanpa kita sedari bermula sahaja hari baru ini bermakna umur kita semakin singkat untuk menuju kepada kematian. Kematian tidak dapat ditangguhkan walaupun sesaat atau di cepatkan sesaat semuanya telah tertulis di Loh Mahfuz. Walaupun manusia cuba menjaga kesihatan dengan serapi mungkin dan makan makanan kesihatan yang terbaik dipasaran. 

Allah SWT  berfirman maksudnya : "Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu; maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak dapat (pula) mencepatkannya. (Surah al-A'raf ayat 34)

Kematian apabila datang tidak kira umur seseorang , samaada kanak-kanak, remaja yang sihat, dewasa yang berkerjaya dan orang tua yang uzur. Setelah kematian tidak ada lagi kehidupan untuk beramal tetapi yang ada adalah kehidupan untuk mendapatkan balasan dan hisab, tidak ada lagi kehidupan kedua di dunia yang ada adalah kehidupan di alam barzakh dan hari akhirat, hari akhirat adalah hari yang kekal selama-lamanya.

Manusia yang tidak beramal semasa peluang hidup di dunia akan menyesal dan kecewa tetapi semuanya sudah terlambat dan umurnya tidak akan dikembalikan balik oleh Allah SWT . Maka apa yang telah dikerjakan semasa di dunia itu sahaja yang akan dibawa bersama untuk berhadapan dengan Allah SWT di alam barzakh dan hari akhirat.

Nabi SAW berpesan bahawa hidup di dunia ini umpama musafir yang sedang dalam perjalanan menuju destinasi yang dituju. Perjalanan ke alam barzakh dan akhirat adalah terlalu jauh  perlu kepada bekalan yang cukup kerana dikhuatiri terkandas di tengah diperjalanan. Bekalan yang dimaksudkan disini adalah bekalan amal-amal soleh, amal ibadah dan amal kebajikan . Nabi SAW juga berpesan semasa perjalanan supaya meninggalkan beban-beban yang berat dan tidak diperlukan kerana ianya akan menyusahkan dalam perjalanan. Maksudnya beban dosa dan maksiat perlulah ditinggalkan sebanyak mungkin (jika boleh kosongkan terus) kerana perjalanan menuju akhirat memakan masa beribu tahun sebelum dihisab dan dimasukkan samaada ke syurga atau ke neraka.

Hadis Anas bin Malik r.a katanya: Nabi SAW  bersabda: "Apabila seseorang hamba dikebumikan di dalam kuburnya kemudian ditinggalkan oleh kawan-kawannya nescaya dia akan mendengar bunyi hentakan tapak kasut mereka. Seterusnya dia akan didatangi oleh dua malaikat lalu mendudukkannya dan bertanya: 'Apa pendapatmu tentang lelaki ini iaitu Nabi Muhammad SAW?'. Baginda bersabda lagi: 'Sekiranya dia seorang mukmin, nescaya dia akan menjawab: Aku bersaksi bahawa dia hamba Allah dan pesuruh-Nya'. Lalu diberitahu kepadanya: 'Lihatlah tempatmu di neraka, sesungguhnya Allah telah menggantikannya dengan syurga. Nabi SAW bersabda: 'Dia dapat melihat kedua-duanya iaitu syurga dan neraka." (Hadis Riwayat Muslim- no. 5115)


Alam barzakh adalah alam pertengahan di antara alam dunia dan hari akhirat. Di alam barzakh seorang manusia akan tahu kedudukannya nanti selepas berlakunya kiamat dan di himpunkan di Padang Mahsyar samaada akan ke syurga atau ke neraka. Jika dia termasuk golongan orang-orang yang beriman dan bertakwa maka dia akan duduk di alam barzakh seperti taman-taman syurga, tetapi sebaliknya jika dia orang kafir, fasik atau munafik maka dia akan duduk di alam barzakh seperti salah satu lubang daripada lubang-lubang api neraka. Masing-masing akan diperlihatkan setiap pagi dan petang.

Hadis Ibnu Umar r.a: Rasulullah SAW  bersabda: "Apabila seseorang itu mati, akan diperlihatkan tempatnya setiap pagi dan petang. Sekiranya dia di kalangan ahli syurga, akan diperlihatkan kepadanya syurga. Sekiranya dia dari kalangan ahli neraka, akan diperlihatkan kepadanya neraka. Diberitahu kepadanya: Inilah tempatmu sehingga kamu dibangkitkan oleh Allah pada hari kiamat." (Hadis Riwayat Muslim- no.5110)

Bagi orang-orang kafir dan ahli maksiat (melakukan dosa-dosa besar) mereka bukan sahaja menderita kerana melihat azab yang akan mereka terima nanti tetapi di alam barzakh sendiri mereka akan di seksa dengan azab  kubur yang bukan kepalang sakitnya dan dibalun setiap hari kerana dosa-dosa yang pernah mereka lakukan ketika di dunia. Malaikat Munkar dan Nakir datang dalam keadaan bengis dan tidak ada belas kasihan, bumi menghimpit simati dengan hempitan yang dahsyat dan ular-ular yang berbisa akan membelit dan mematuk simati. Penyiksaan ini dilakukan berulang-ulang hingga sampai hari kiamat.

Sahabat yang dimuliakan,
Hari kiamat pasti datang mematikan semua makhluk lalu membangkitkannya kembali untuk mendapatkan hisab dari seluruh amalnya. Setelah itu tidak ada lagi hari untuk beramal kerana hari itu adalah hari pembalasan. Beramalah sebelum hari kiamat tiba.

Sabda  Rasulullah SAW  yang bermaksud : "Orang yang paling menyesal pada hari kiamat ialah lelaki yang ada peluang menuntut ilmu di dunia tetapi ia tidak mengambil kesempatan menuntutnya, dan lelaki yang mengajar ilmu kepada orang lain; lalu yang belajar darinya mendapat faedah dari ilmu itu sedangkan ia sendiri tidak mendapat apa-apa."

Dari Ady bin Hatim r.a. yang berkata, bahawa Rasulullah SAW. telah bersabda, "Tidak seorang pun di antara kamu sekelian, kecuali Tuhannya akan berbicara kepadanya besok di hari kiamat. Antara ia dan Tuhannya tidak ada penterjemah. Ia memandang suatu kebaikan, maka ia tidak melihat kecuali apa yang telah dipersembahkannya, dan ia memandang sesuatu yang buruk darinya, maka ia tidak melihat kecuali apa yang telah dilakukannya serta memandang apa yang ada di depannya, maka ia tidak melihat kecuali neraka yang persis ada di depan wajahnya. Maka takutlah kalian kepada neraka meski dengan hanya (bersedekah) separuh kurma, dan kalimat yang baik." (Hadis Riwayat Muttafaq Alaih)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita meningkatkan amal ibadah dan amal soleh kita di bulan yang mulia ini. Apakah maksud amal soleh? Amal soleh adalah setiap amal yang boleh mendatangkan pahala. Sebesar-besar amal soleh adalah solat hingga sekecil-kecilnya membuangkan halangan dijalan raya. Amal yang mula-mula di hisab di hari akhirat adalah solat seseorang, jika diterima solatnya maka barulah amal soleh yang lain akan di hisab. Buangkanlah segala beban-beban dosa yang akan menyusahkan kita dengan kita banyak bertaubat dan beristighfar dan bersedekah.

Jika ada dosa-dosa menumpat, memfitnah, mengambil barang orang maka cepat-cepatlah minta maaf dan pulangkan kepada yang punya hak. Jika di blog dan facebook banyak share berita-berita fitnah, sangkaan, tuduhan zina, kutuk orang lain , maki hamun maka cubalah minta maaf dan padamkan gambar-gambar dan nota-nota tersebut dan gantikan dengan nota-nota yang bermanfaat untuk mengajak kepada kebenaran dan Islam.

Jangan dilambat-lambatkan amal soleh ini dan jangan tunggu kerana dikhuatiri kita mati dulu tidak sempat bertaubat dan minta maaf kepada orang yang kita mengumpat dan fitnah dahulu, atau pun orang yang menjadi mangsa mengumpat dan fitnah mati dulu dan kita pula tidak sempat meminta maaf.  Kedua-dua keadaan kita amat mencemaskan jika kita fikir dengan hati yang yakin kepada kehidupan di hari akhirat.

Hidayah Dan Taufik Adalah Hak Allah SWT Tetapi Tugas Dawah Adalah Tanggungjawab Setiap Mukmin


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ŰšِŰłْمِ ٱللَّهِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ْمَـٰنِ Ù±Ù„Ű±َّŰ­ِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Apakah perbezaan di antara hidayah dan taufiq?

Hidayah adalah keimanan yang menetap di dalam hati seseorang. Keimanan yang mencakup tiga aspek iaitu 1. Keyakinan di dalam hati (i'tiqadi) , 2. Pengikraran dengan lisan (Iqrari) dan 3. Perlaksanaan dengan anggota badan (amali).

Hidayah juga bermaksud orang yang mendapat petunjuk daripada Allah SWT. Daripada seorang kufur menjadi seorang yang beriman dan taat pada perintah Allah SWT.

Seseorang yang telah mendapai iman daripada Allah SWT adalah seorang yang mendapat hidayah. Ini bermakna, semua manusia yang menganut agama Islam adalah mendapat hidayah daripada Allah SWT tetapi tidak semua dari kalangan mereka mendapat taufiq untuk mengerjakan amal soleh.

Menurut kitab Jauharah Tauhid, pengertian taufiq ialah sesuatu yang diciptakan oleh Allah SWT yang mendorong seseorang itu untuk melakukan kebaikan jika perkara tersebut berada di dalam dirinya.

Taufiq tidak akan diberikan oleh Azza Wajalla melainkan hanya kepada mereka yang bersungguh-sungguh mengabdikan diri dengan rasa kehambaan demi mendekatkan diri kepadaNya Ianya berdalilkan ayat dibawah.


Firman Allah SWT maksudnya : "Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh berusaha di dalam agama Kami, nescaya Kami akan beri petunjuk (hidayah) kepada mereka akan jalan-jalan kami." (Surah al-Ankabut ayat 69)

Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman yang maksudnya : "Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman" (Surah al-An'am ayat 125)

Sahabat yang dimuliakan,
Allah SWT tidak menyeksa sesuatu kaum itu melainkan hidayah itu terlebih dahulu disampaikan kepada mereka. Berpindah dari keadaan jahil kepada takwa itu adalah sesuatu yang sesuai dengan kehendak hidayah.

Firman Allah SWT maksudnya : "Sesiapa yang mendapat petunjuk, maka sesungguhnya itu adalah petunjuk untuk dirinya sendiri; dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesesatan itu untuk dirinya sendiri (pula). Dan tidaklah memikul beban seorang pemikul akan beban orang lain, dan Kami (Allah) tidak akan mengazab sebelum Kami (Allah) mengutus seorang rasul." (Surah al-Israk ayat 15)

Hidayah dan taufik adalah hak Allah SWT , Dia akan beri kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Seorang rasul tidak mampu memberi hidayah kepada orang yang dikasihinya walaupun ahli keluarganya sendiri.

Kisah Nabi Nuh a.s. telah berdakwah hampir 1000 tahun tetapi isteri dan anak lelakinya tidak mahu beriman kepada Allah SWT dan tidak beriman kepada baginda sendiri.

Nabi Luth a.s. juga menghadapi masaalah yang sama bahawa isteri baginda tidak menerima seruan dakwah yang dibawa oleh baginda sebaliknya bersekongkol dengan golongan homeoseks dengan memberitahu bahawa suaminya (Nabi Luth a.s) mempunyai tetamu lelaki yang segak dengan tujuan mendapat upah yang lumayan.

Nabi Muhammad SAW juga tidak mampu memberi hidayah kepada bapa saudaranya Abu Talib yang banyak berjasa kepada baginda di saat akhir kematiannya.

Abu Talib merupakan bapa saudara kepada Rasulullah SAW. Abu Talib begitu sayang dan kasih kepada Muhammad SAW tetapi beliau sendiri tidak memeluk Islam. Sehinggakan saat kematian beliau, Nabi SAW mengajar beliau mengucap, beliau tetap dengan pendirian dan teguh bersama dengan tuhan nenek moyangnya. Selepas kematian Abu Talib, Nabi SAW bersabda maksudnya : "Demi Allah , aku meminta ampun daripada Allah selagi tidak di larang".

Lalu turunnya wahyu kepada Nabi SAW. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.(Surah at- Taubah ayat 113)

Dari keterangan di atas telah jelas bahwa Rasulullah SAW hanya mampu berusaha dan berdakwah kepada bapa saudaranya. Adapun hidayah dan taufiq hanya Allah SWT yang mampu memberikan.

Nabi SAW juga pernah berdoa kepada Allah SWT supaya memberi hidayah dan taufik kepada salah seorang daripada dua lelaki (pembesar Quraisy) iaitu Umar bin al-Khattab atau Abu Jahal . Akhirnya Allah SWT kabulkan doa baginda dan Umar bin al-Khattab telah beriman dan masuk Islam dan menjadi seorang sahabat Nabi SAW yang besar.

Rasulullah SAW pernah berdoa: “Ya Allah! Engkau kuatkan Islam dengan salah seorang dari dua lelaki yang Engkau lebih sayang; Abu Jahal atau ‘Umar bin Al-Khattab.” (Hadis riwayat Tirmizi).

Sahabat yang dikasihi,
Tugas kita sebagai pendakwah (daie) atau pendidik (murabbi) adalah tugas yang murni di sisi Allah SWT. Kita menjalankan tugas mendidik (tarbiah) kepada umat Islam sendiri dan menyampaikan dakwah Islam kepada orang yang bukan Islam. Perlu di ingat bahawa berjaya atau gagalnya tarbiah atau dakwah yang kita jalankan bukanlah urusan kita kerana hidayah dan taufik adalah urusan Allah SWT.

Di akhirat nanti kita tidak akan ditanya berapa ramai orang yang kita dakwahkan telah masuk Islam, tetapi kita akan ditanya adakah kita telah berdakwah kepada orang bukan Islam yang ada disekeliling kita. Adakah kita telah sediakan program dakwah dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyampaikan mesej Islam kepada mereka?

Marilah sama-sama kita bergerak dalam satu saf yang tersusun rapi untuk mengembeling tenaga untuk menjalankan kerja-kerja dakwah dan tarbiah kerana kerja-kerja ini adalah kerja-kerja para rasul yang mulia dan sesiapa yang menjalankan kerja-kerja ini akan mendapat kemuliaan di sisi Allah SWT .  Tidak ada balasan yang lebih baik melainkan balasan syurga seluas langit dan bumi yang akan di sediakan oleh Allah SWT.