Tuesday, August 31, 2010

Berdo'alah Kepada Allah Semoga Kita Memperolehi Malam Lailatul Qadar.




Sahabat yang dirahmati Allah,
Apakah malam LailatulQadar?

Di antara perkara yang perlu diimani dalam perkara berkaitan Lailatul Qadr ialah:

1. Al-Qur'an diturunkan pada malam Lailatul Qadr.

2. Lailatul Qadr lebih baik daripada seribu bulan yang membawa maksud bahawa
setiap amalan yang termakbul pada malam itu samalah dengan amalan yang
setara dengannya sebanyak amalan seribu bulan.(83 tahun 4 bulan)

3. Para Malaikat dan ruh diturunkan pada malam tersebut.

4. Sejahtera malam itu hingga terbit fajar (masuknya waktu Subuh).

5. Ibadah yang jujur, ikhlas, konsisten, iltizam dan khusyuk pada sebarang masa. (Banyakkan berdo'a, bermunajat, berikhtikaf di masjid, solat tahajjud, berzikir- tahlil, tahmid dan takbir, berselawat dan membaca al-Qur'an)

6. Tiada tanda-tanda fizikal yang dijelaskan oleh nas.
(Ulama ada menyatakan malam itu suasannya hening dan damai. Hati kita merasai tenteram dan bahagia kerana keberkatan malam tersebut)

Kenapa Lailatul Qadr Dipilih Ianya Berlaku Pada 10 Malam Terakhir?
Inilah kebijaksanaan Allah s.w.t. Setelah 20 hari berpuasa, manusia sudah
mempunyai kekuatan tahap kerohanian dan tingakat kesedaran yang tinggi serta
momentum yang diperlukan untuk mempertingkatkan ”gear tertinggi” dalam
amalannya. Malaikat turun pada malam tersebut sehingga terdorong orang Mukmin
melakukan ibadah dengan izin Allah s.w.t. dan merasai sejahtera dan selesa hingga
pagi.

Persiapan menghadapi malam Al-Qadr ialah selama 10 hari sebab ia berlaku pada 10
malam terakhir Ramadan, bukannya sehari dua. Pastinya Allah akan menganugerahkan malam Al-Qadr pada mereka yang bersedia untuk 10 malam dan bukan hanya untuk semalam dua sahaja. Inilah falsafah Lailatul Qadr iaitu kita perlukan dalam kehidupan ketika persiapan yang teliti tanpa membenarkan ruang-ruang kerugian untuk mendapatkan kerahmatan dan keredhaan Allah s.w.t. Adapun ketentuan malam Al-Qadr itu pada malam-malam ganjil adalah untuk tidak terlalu memenatkan kita beribadah berterusan pada 10 malam terakhir kerana ada keselangselian. Allah pastinya menganugerahkannya pada orang yang ikhlas.
Apakah Amalan Pada Malam Lailatul Qadr?

Ia adalah malam yang cukup istimewa yang tidak kedapatan pada mana-mana malam.
Amalan yang mesti dilakukan pada malamnya ialah memperbanyakkan ibadah,
membaca Al-Quran, beriktikaf dan berdo'a. Dalam sebuah hadis daripada Aisyah r.a.
berkata:
``Ya Rasulullah bagaimana kalau saya bertemu Lailatul Qadar? Apa yang harus saya
ucapkan pada malam itu?'' Baginda bersabda: Ucapkanlah: ``Ya Allah kami bermohon
pada-Mu, Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, suka mengampuni (hamba-hamba-
Mu), maka ampunilah (dosa-dosa) kami.'' 
(Riwayat Tirmizi, Nasa'i, Ibnu Majah dan Ahmad).

Do'a lain yang baginda baca ialah seperti berikut yang bermaksud: Wahai Tuhan kami,
anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan kebajikan di akhirat, dan
peliharalah kami dan siksa neraka (Surah Al-Baqarah ayat 201).


Aisyah juga pernah bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam: “Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat anda jika aku mengetahui waktu lailatul Qadr, apa yang aku ucapkan di malam itu?” Beliau menjawab: “Ucapkanlah: Allaahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘annii (wahai Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, Engkau suka memaafkan, maka maafkanlah daku).” 
(HR. Ibnu Majah dan at-Tirmidzi dengan sanad yang shahih) 

Tanda-tandanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah memberitahukan tanda-tanda Lailatul Qadr di dalam beberapa hadisnya, antara lain: Dari Abu Hurairah dia berkata: “Kami memperbincangkan Lailatul Qadr di sisi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu baginda bersabda: ”Siapa diantara kalian yang mengingat ketika bulan muncul, yang bulan itu seperti separuh piring”. (HSR. Muslim)

Ubay bin Ka’b berkata: “Demi Allah, sesungguhnya aku mengetahui bila Lailatul Qadr itu, iaitu malam yang kami diperintahkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam untuk solat padanya. Iaitu malam yang esok paginya (adalah hari ke) dua puluh tujuh. Adapun tandanya adalah matahari akan terbit pada pagi harinya dalam keadaan putih tidak menyilaukan.” 
(HSR. Muslim no. 762, Tirmidzi, Abu Dawud, al-Humaidi dan lainnya).

Ibnu Abbas berkata: “Lailatul Qadr adalah malam yang lembut, sedang, tidak panas, tidak dingin; matahari akan terbit pada pagi harinya dalam keadaan lembut, merah“. (HR. at-Thayalisi 349, Ibnu Khuzaimah dan al-Bazzar dengan sanad yang hasan)



Sahabat yang dimuliakan,
Kenapakah malam Lailatul Qadar menjadi rahsia? Terdapat kisah pertengkaran dua orang sahabat Nabi s.a.w.
Dan memang ilmu tentang hal tersebut telah diambil oleh Allah daripada Nabi gara-gara kesalahan (iaitu pertengkaran) yang dilakukan oleh dua lelaki di antara umat baginda. 

‘Ubadah bin as-Shamit berkata: “Bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar akan memberitahukan tentang Lailatul Qadr, lalu ada dua lelaki di antara kaum muslimin bertengkar maka baginda bersabda: “Sesungguhnya aku keluar untuk memberitahukan kalian tentang Lailatul Qadr. Tetapi sesungguhnya si Fulan dan si Fulan bertengkar sehingga diangkatlah (ilmu tentang waktu Lailatul Qadr). Namun mudah-mudahan hal itu lebih baik bagi kalian. Carilah Lailatul Qadr pada malam tujuh, sembilan dan lima (yang terakhir).”
(HR. al-Bukhari).
Akhirkata marilah kita bersama-sama hidupkan malam-malam sepuluh terakhir ini dengan hati yang khusyuk dan tawaduk. Sibukkanlah hati dan fikiran kita dengan ibadah dan hubungan hati kita dengan Allah s.w.t. Jangan dipersia-siakan malam yang penuh berkat ini. Masa untuk membeli belah dan  persiapan hari raya gunakanlah waktu siang hari dan jangan di ganggu waktu malam hari kerana masa berharga ini tak akan di dapati digantikan lagi ianya datang setahun sekali dan masa yang berlalu tak akan ada penggantinya. Inilah masa untuk kita buat pelaburan untuk saham akhirat. Pelaburan ini tak perlukan wang ringgit tetapi ianya memerlukan masa dan hati yang cekal dan azam yang tinggi.

Sesuatu yang berharga tak mungkin boleh kita perolehi dengan usaha sambil lewa, oleh itu berusahalah semaksima mungkin, berdo'alah dengan bersungguh-sungguh hingga mampu mengalirkan air mata penyesalan. Solatlah dengan khusyuk seolah-olah kalian melihat Allah, jika kalian belum sampai ketahap itu maka yakinlah Allah sedang melihat apa yang kalian kerjakan.

No comments: