Saturday, August 29, 2009

Kebesaran Kalimah Allah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Hidup didunia ini penuh cabaran dan dugaan. Ujian dari Allah SWT. akan datang dalam berbagai bentuk untuk menguji manusia, siapa diantara mereka yang sabar dan tenang menghadapi cabaran hidup. Orang-orang Mukmin, menganggap bahawa hidup didunia ini hanya sementara dan diakhiratlah tempat yang kekal abadi. Mereka akan sentiasa mengingati Allah SWT dan sentiasa berzikir supaya hati mereka akan menjadi tenang dan tenteram dan sentiasa reda dengan qadak dan qadar dari Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan zikrullah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allah (zikrullah) hati menjadi tenteram.” (Surah Ar-Ra’d ayat 28).

Sabda Rasulullah SWT. yang bermaksud :
”Tidak duduk satu jemaah mengucap zikrullah, melainkan (di tempat itu) telah di kelilingi malaikat-malaikat yang dipenuhi rahmat dan diturunkan kepada mereka sakinah (ketenangan).” (Hadis Riwayat Muslim).

Di dalam hadis yang lain Nabi SAW. ada bersabda yang bermaksud : “Seutama-utama apa yang kuucapkan, aku dan Nabi-nabi yang sebelumku, ialah “Laa ila ha illallah”

Dari Abi’d Dardaak Nabi SAW  bersabda yang bermaksud : “Tidaklah seorang hamba yang mengucapkan ‘Laa ila ha illallah’ 100 kali, melainkan dibangkitkan Allah Ta’ala di hari kiamat (kelak) sedang mukanya seperti bulan purnama.”

Dari hadis yang lain Nabi SAW  bersabda yang bermaksud : “Barangsiapa mengucapkan ‘Laa ila ha illallah’ 100 kali sehari, samalah seperti dia dengan memerdekakan 10 orang hamba sahaya dan dicatatlah 100 kebajikan serta dihapuskan 100 kejahatan”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sahabat yang dimuliakan,
Zikir kalimah “ Laa ila ha illallah” adalah digelar zikir pembersih hati. Kalimah ini juga dinamakan anak kunci pembuka syurga kerana Nabi SAW  pernah bersabda dalam khutbahnya bahawa pintu syurga akan terbuka pada setiap orang yang menyebut “ Laa ila ha illallah” itu dengan betul-betul ikhlas walaupun sekali dalam seumur hidupnya. Pintu ini banyak tetapi kunci yang satu itu boleh membuka semua pintu tersebut."

Nabi Musa a.s diberitahu oleh Allah SWT. bahawa zikir “Laa ila ha illallah” itu adalah ibadat yang paling disukai-Nya sebab kemampuan zikir ini menimbulkan perasaan ikhlas yang mendalam dalam jiwa orang mukmin.

Nabi SAW pernah berkata bahawa sesiapa diantara orang Islam yang mati diakhir kalamnya menyebut kalimah "Laa ila ha illallah" maka ianya akan dimasukkan kedalam syurga.

Sahabat yang dikasihi,
Kalimah "Laa ila ha illallah" bermakna "Tidak ada Tuhan (Ilah) yang di sembah melainkan Allah", kalimah ini membawa pengertian yang cukup besar. Setiap para Rasul dan Nabi diutuskan Allah SWT ke muka bumi ini adalah mengajak kaum mereka dan umat manusia untuk kembali mentauhidkan Allah SWT. Menyeru mereka supaya membuang semua sembahan-sembahan dan tuhan-tuhan lain, patung-patung berhala, meninggalkan peraturan dan adat istiadat datok nenek moyang mereka dan kembali mengambil hanya sistem hidup dan undang-undang ciptaan Allah semata-mata.

Kesemua mereka yang menentang seruan para Rasul utusan Allah SWT adalah disebabkan mereka mempunyai kepentingan duniawi. Mereka tahu tabiat buruk mereka yang sentiasa menuruti hawa nafsu mereka akan dihalang dan di sekat. Mereka seronok dengan arak, wanita, riba, judi, tenung nasib, perdagangan manusia, penindasan kepada orang fakir miskin dan bermacam-macam amalan yang lari dari fitrah asal manusia. Hakikatnya mereka menolak Tauhud Rububiyah dan Tauhid Uluhiyah.

Walaupun kita berada di zaman sains dan teknologi, zaman ict dan internet yang serba cangih tetapi apabila cara hidup kita lari dari peraturan Allah, menyimpang dari maksud sebenar kalimah "Laa ila ha illallah" iaitu mengambil hawa nafsu sebagai tuhan dan meyakini undang-undang ciptaan manusia adalah undang-undang terbaik dan menafikan hak mutlak undang-undang Allah maka manusia seperti ini pada hakikatnya sama seperti umat jahiliyah yang terdahulu. Walaupun mereka membaca kalimah "Laa ila ha illallah" tetapi sekiranya kehidupan mereka lari dari roh (hakikat) kalimah ini maka kalimah ini tidak dapat menyelamatkannya dari seksaan api neraka.

Oleh itu mari kita amalkan zikir kalimah ini dengan kefahaman yang mendalam diatas tuntutan kalimah ini dan dengan hati yang penuh yakin untuk menyelamatkan kita dari seksaan api neraka dan dimasukkan kedalam syurga seluas langit dan bumi melalui mana-mana diantara pintu-pintunya.

No comments: